Baqarah Ayat 279:
فَإِن لَّم تَفعَلوا فَأذَنوا بِحَربٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ ۖ وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموٰلِكُم لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ
SAHIH INTERNATIONAL
And if you do not, then be informed of a war [against you] from Allah and His Messenger. But if you repent, you may have your principal – [thus] you do no wrong, nor are you wronged.
MALAY
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.
فَإِن لَّم تَفعَلوا
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan
Kalau sudah tahu hukum haram riba, tetapi masih degil juga…maka dengarlah sekarang ancaman berat daripada Allah ﷻ! Begitu keras sekali ultimatum daripada Allah ﷻ ini. Perhatikanlah dan ingatlah baik-baik.
فَأذَنوا بِحَربٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسولِهِ
maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya,
Kalimah إذَنُواْ adalah dalam bentuk fi’il amr jamak dan ia bermaksud ‘ketahuilah’. Ia daripada kata dasar أ ذ ن yang bermaksud bagi telinga untuk mendengar, suka, beri kebenaran, membenarkan, dimaklumkan, menasihati, pemberitahuan, telinga, keinginan. Kalimah azan adalah daripada kata dasar ini juga. Maka di sini Allah ﷻ isytihar perang kepada mereka yang mengamalkan riba. Ini adalah satu pernyataan yang amat berat. Tidak ada dosa lain yang disebut sebegini. Mana ada dosa lain yang Allah ﷻ sebut begini (selain dosa kufur dan syirik). Maka sekarang bayangkan kita di pihak yang menentang Allah ﷻ, adakah akan selamat? Ini sudah macam ‘rocket launcher’ digunakan untuk bunuh lalat! Kenapa ganas sangat sampai Allah ﷻ isytihar perang? Ini adalah kerana teruk sangat perbuatan riba ini. Namun perlu diketahui bahawa riba tidaklah diharamkan secara tiba-tiba tetapi bertahap. Ini kerana riba sudah lama diamalkan di dalam masyarakat Arab, malah bapa saudara Rasulullah ﷻ, Saidina Abbas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ juga ada menjalankan pinjaman bentuk riba. Maka apabila ia sudah sebati dengan masyarakat, Allah ﷻ tidak terus haramkan, sama seperti pengharaman arak. Tahap pengharaman riba:
-
- Tahap 1: Menegaskan bahawa riba tidak mendatangkan berkah (Rum:39).
- Tahap 2: Menyamakan riba dengan tindakan orang Yahudi yang mengambil riba padahal dilarang (Nisa’:161).
- Tahap 3: Mengharamkan riba yang berlipat ganda (Ali Imran:130).
- Tahap 4 (Puncak): Mengharamkan semua bentuk riba dan mengancam pelakunya dengan peperangan daripada Allah ﷻ dan Rasul-Nya (Baqarah:275-281).
وَإِن تُبتُم فَلَكُم رُءوسُ أَموٰلِكُم
Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu ialah pokok asal harta kamu.
Walaupun sudah diharamkan riba, tetapi masih boleh ambil modal yang telah kita pinjamkan kepada orang lain. Mungkin asalnya kita sudah bagi pinjaman riba sebanyak 100 ringgit di mana orang itu kena bayar 150 ringgit. Maka dibolehkan ambil 100 sahaja kerana itulah hutang pokok – hutang asal. Namun begitu, perhatikan ada syarat di sini: kena taubat dahulu.
Ringkasan Rukun Taubat:
- Untuk dosa kepada Allah ﷻ:
- Menyesal
- Meninggalkan dosa
- Bertekad tidak mengulangi
- Untuk dosa kepada manusia ada penambahan:
4. Memulihkan hak orang yang dizalimi
لا تَظلِمونَ وَلا تُظلَمونَ
kamu tidak patut berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak patut dizalimi oleh sesiapa.
Memberi pinjaman dan kemudian orang yang meminjam kena bayar lebih banyak daripada yang diberi adalah zalim. Islam tidak membenarkan kita zalim kepada orang lain. Yang memberi pinjam tidak dizalimi dalam hukum ini kerana masih boleh ambil modal. Bukanlah terus melupakan hutang yang diberikan kepada peminjam walaupun niat asal semasa memberi pinjam itu adalah pinjaman riba.
SANTUN DI DALAM MENAGIH HUTANG
Baqarah Ayat 280: Allah ﷻ telah mengharamkan riba, akan tetapi dibenarkan qardh (pinjaman). Di dalam ayat ini diajar bersantun di dalam memberi hutang kerana kita sesama Muslim bantu membantu.
وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم ۖ إِن كُنتُم تَعلَمونَ
SAHIH INTERNATIONAL
And if someone is in hardship, then [let there be] postponement until [a time of] ease. But if you give [from your right as] charity, then it is better for you, if you only knew.
MALAY
Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).
وَإِن كانَ ذو عُسرَةٍ
Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup,
Kalau kita tidak sedekah terus pun, sekurang-kurangnya kita beri pinjaman (tanpa riba). Ini pun dikira bantu juga kerana kalau kita beri sedekah, orang itu mungkin tidak berusaha untuk membalasnya dan dia menjadi malas. Mungkin pada sesetengah orang, beri pinjam lebih baik daripada beri sedekah.
Kalau setelah memberi pinjaman itu, ada masanya orang yang meminjam itu tidak boleh bayar dalam masa yang telah dia berjanji akan bayar. Sama ada diberi pinjam dengan persetujuan riba atau tidak, kadang-kadang yang meminjam tidak dapat menepati janji untuk membayar pada waktu-waktu yang telah dijanjikan. Dia sudah berusaha hendak bayar, cuma tidak boleh sahaja. Dia mungkin dengan sendirinya datang kepada yang meminjamkan itu dan meminta tangguh. Maknanya tidaklah dia sidai dengan panggilan tidak berangkat, Whatsapp bluetick sahaja. Ini memang selalu terjadi, bukan? Semasa meminjam, berjanji itu dan ini tetapi bila duit sudah dapat, buat senyap sahaja. Sudahlah orang yang beri pinjam itu kena kejar dia setiap hari pula. Ada pepatah mengatakan: “Money lent to a friend must be retrieved from an enemy”. Ini adalah perbuatan yang buruk seperti disebut di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ”
“Penundaan (pembayaran hutang) oleh orang kaya (mampu) adalah kezaliman.”
(Sahih Bukhari No. 2289 dan Sahih Muslim No. 1564)
Penjelasan: Hadith ini dengan tegas menyatakan bahawa orang yang mampu tetapi menunda pembayaran hutang tanpa alasan yang syar’i adalah zalim. Kezaliman di sini bisa berupa menahan hak orang lain, menyebabkan kerugian, atau bahkan mempermainkan kepercayaan. Pelaku kezaliman akan mendapat balasan di akhirat.
Adakah di dalam Islam jalan penyelesaian bagi kes sebegini yang banyak terjadi? Di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id Al-Khudri رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“لَيُّ الْوَاجِدِ يُحِلُّ عِرْضَهُ وَعُقُوبَتَهُ”
“Penundaan (pembayaran hutang) oleh orang yang mampu menghalalkan kehormatan dan hukumannya.”
(Sunan Abu Daud no. 3596, An-Nasa’i No. 4689, Ibnu Majah No. 2427. Hadith ini dihasankan oleh Imam An-Nawawi dan disahihkan oleh Al-Albani)
Penjelasan:
- “Menghalalkan kehormatannya” (يُحِلُّ عِرْضَهُ): Ertinya, orang yang berhutang dan mampu tetapi menunda-nunda pembayaran, halal bagi orang yang menghutangi untuk menyingkap aibnya (misalnya, menceritakan keburukannya atau perilaku tidak bertanggungjawabnya kepada orang lain agar berhati-hati dengannya), atau mengadukannya kepada pihak berkuasa. Ini bukan ghibah (menggunjing) yang dilarang kerana ada hak yang terzalimi.
- “Menghalalkan hukumannya” (وَعُقُوبَتَهُ): Ertinya, pemerintah atau pihak berkuasa berhak memberikan hukuman kepada orang tersebut, seperti dipaksa membayar, dicegah untuk keluar negara, atau bahkan dipenjara hingga dia membayar hutangnya. Ini menunjukkan keseriusan masalah hutang yang ditunda-tunda oleh orang yang mampu.
Kalau orang yang mahu bayar hutangnya, Allah ﷻ akan buka jalan untuk dia bayar. Lainlah kalau dia tidak mahu bayar langsung. Kalau dia mati tidak sempat bayar, sedangkan dalam hatinya dia hendak bayar, akan ada orang yang akan bayarkan bagi pihak dia. Maka jangan bimbang kita tidak dapat duit itu. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ.”
“Barangsiapa mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat akan melunasinya, maka Allah akan melunaskan untuknya. Dan barangsiapa mengambilnya dengan niat untuk merosaknya (tidak mahu melunasi), maka Allah akan menghancurkannya.”
(Sahih Bukhari no. 2387)
Penjelasan: Hadith ini menunjukkan bahawa niat yang tulus sangatlah penting. Jika seseorang berhutang dengan niat yang jujur untuk melunasinya tetapi kemudian terhalang oleh ketidakmampuan, Allah ﷻ akan membantunya melunasi hutang tersebut, baik itu dengan memberinya rezeki untuk melunasi, atau dengan meringankan beban hutangnya di akhirat, atau bahkan mengampuninya. Ini adalah janji yang sangat besar daripada Allah ﷻ bagi para penghutang yang jujur.
فَنَظِرَةٌ إِلىٰ مَيسَرَةٍ
maka berilah tempoh sehingga dia mudah (membayarnya)
Kita beri pinjaman adalah untuk bantu kawan dan saudara kita. Maka teruskan bantu dia. Tengoklah keadaan dia mampu bayar atau tidak. Jangan dia tidak mampu bayar, kita paksa pula. Jangan juga suruh dia jual barang yang dia perlukan macam kereta atau motosikal dia. Dianjurkan untuk kita beri masa hingga dia boleh bayar. Inilah yang dinamakan Qardul Hasan seperti disebut di dalam Hadid:11
مَّن ذَا الَّذي يُقرِضُ اللهَ قَرضًا حَسَنًا فَيُضٰعِفَهُ لَهُ وَلَهُ أَجرٌ كَريمٌ
Siapakah yang mahu meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.
Ini adalah satu perbuatan yang amat mulia. Orang beriman sahaja yang boleh buat begini. Allah ﷻ akan balas perbuatan baik ini dan dalilnya adalah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
“مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُنْجِيَهُ اللَّهُ مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، فَلْيُنَفِّسْ عَنْ مُعْسِرٍ أَوْ يَضَعْ عَنْهُ”
“Barangsiapa ingin Allah menyelamatkannya dari kesusahan hari Kiamat, hendaklah dia memberi kelonggaran kepada orang yang kesulitan (berhutang) atau membebaskan hutangnya.”
(Sahih Muslim No. 1563)
Di dalam hadith yang lain, setiap hari penangguhan itu akan dikira sebagai sedekah. Ini diriwayatkan daripada Buraidah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا فَلَهُ بِكُلِّ يَوْمٍ صَدَقَةٌ قَبْلَ أَنْ يَحِلَّ الدَّيْنُ، فَإِذَا حَلَّ الدَّيْنُ فَأَنْظَرَهُ فَلَهُ بِكُلِّ يَوْمٍ مِثْلَيْهِ صَدَقَةٌ.”
“Barangsiapa memberi tempoh kepada orang yang kesulitan (untuk membayar hutang), maka baginya setiap hari (sebelum hutang itu sampai tempoh) pahala sedekah. Dan apabila hutang itu telah jatuh tempoh, lalu dia masih memberinya tempoh, maka baginya setiap hari pahala sedekah dua kali ganda daripada jumlah hutangnya itu.”
(Riwayat Imam Ahmad, Abu Ya’la, Ibnu Majah, Ath-Thabrani, Al-Hakim, Al-Baihaqi. Syaikh Al-Albani mensahihkannya dalam As-Silsilah Ash-Shahihah No. 86)
Ayat ini menggunakan frasa “فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ” yang bermaksud “berilah tangguh sampai dia berkelapangan”. Kata kerja imperatif (perintah) dalam konteks ini menunjukkan kewajiban bagi pemberi hutang untuk memberikan penangguhan jika penghutang benar-benar berada dalam kesulitan.
وَأَن تَصَدَّقوا خَيرٌ لَّكُم
dan jika kamu sedekahkan hutang itu, adalah lebih baik untuk kamu,
Dengan kita beri pinjam, tanpa ambil riba, kita sudah mendapat pahala kerana kita telah membantu orang dan kalau boleh, beri sedekah sahaja dan itu akan memberi pahala yang lebih besar kepada mereka yang memberi pinjam. Kalau orang itu termasuk salah seorang asnaf (al-Gharimin) maka boleh sahaja terus diniatkan sedekah itu sebagai zakat kita. Ini adalah lebih tinggi lagi daripada tinggalkan riba, kerana kalau riba, masih boleh lagi ambil pinjaman pokok, bukan? Kalau ini dengan pokok-pokok sekali diberikan. Kerana itu Allah ﷻ kata ia خَيرٌ (lebih baik).
Ini adalah pengorbanan yang lebih besar lagi. Bayangkan situasi di mana yang meminjam datang kepada peminjam untuk meminta tangguh dan yang beri pinjam kata: tidak mengapa, dia beri sedekah sahaja. Bayangkan apa perasaan yang berhutang itu? Tentulah lega selega-leganya. Masyarakat bagaimanakah yang akan ada perkara begini? Tentunya masyarakat yang faham Al-Qur’an dan yakin benar dengan rezeki daripada Allah ﷻ. Dia yakin balasan daripada Allah ﷻ kepada mereka yang infak. Maknanya, orang yang yakin dengan Al-Qur’an sahaja akan sanggup buat begini. Ini kerana nasihat ini diberikan dalam Al-Qur’an. Kalau masyarakat yang jahil Al-Qur’an, bagaimana hendak tahu tentang hal ini?
Ayat ini menambahkan “وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ” yang bermaksud “dan menyedekahkan (sebahagian atau seluruh hutang) itu lebih baik bagimu”. Ini adalah anjuran (sunnah) untuk membebaskan hutang jika mampu, namun perintah untuk menangguhkan tetap wajib.
إِن كُنتُم تَعلَمونَ
kalau kamu mengetahui
Kalaulah kita mengetahui dengan sebenarnya nilai pahala itu, kita tidak akan melepaskan peluang untuk sedekahkan sahaja nilai harta yang telah dipinjam itu. Biarlah tidak dapat pulangan di dunia, tetapi dapat pulangan berganda di akhirat kelak. Terdapat balasan yang dijanjikan kepada orang sebegini.
1. Mendapat naungan di Mahsyar. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
“مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا أَوْ وَضَعَ عَنْهُ، أَظَلَّهُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ.”
“Barangsiapa memberi tenggang waktu bagi orang yang berada dalam kesulitan untuk melunasi hutang atau bahkan membebaskan hutangnya, maka dia akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan-Nya.”
(Sahih Muslim No. 3006)
2. Dimudahkan Urusannya di Dunia dan Akhirat
Memudahkan kesulitan orang lain adalah kunci untuk mendapatkan kemudahan daripada Allah ﷻ. Membebaskan hutang adalah salah satu cara terbaik untuk melakukannya.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ
“Barangsiapa yang meringankan satu kesulitan seorang mukmin di dunia, nescaya Allah akan meringankan salah satu kesulitannya di hari Kiamat. Dan barangsiapa yang memudahkan orang yang kesulitan (berhutang), nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Dan Allah akan senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya menolong saudaranya.”
(Sahih Muslim No. 2699)
3. Diampuni Dosa-dosa dan Dimasukkan ke Syurga
Terdapat kisah-kisah dalam hadith yang menunjukkan bahawa Allah ﷻ mengampuni dosa seseorang dan memasukkannya ke syurga kerana kebaikannya dalam urusan hutang.
Diriwayatkan daripada Hudzaifah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
أُتِيَ اللَّهُ بِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِهِ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَقَالَ لَهُ: مَاذَا عَمِلْتَ فِي الدُّنْيَا؟ قَالَ: كُنْتُ أُعَامِلُ النَّاسَ، فَكُنْتُ أُنْظِرُ الْمُعْسِرَ، وَأَتَجَاوَزُ عَنِ الْمُوسِرِ، فَقَالَ اللَّهُ: أَنَا أَحَقُّ بِذَلِكَ مِنْكَ، ادْخُلِ الْجَنَّةَ
“Didatangkan seorang hamba daripada hamba-hamba Allah yang telah diberi-Nya harta. Maka Allah bertanya kepadanya: ‘Apa yang telah engkau lakukan di dunia?’ Dia menjawab: ‘Aku bermuamalah dengan manusia (berjual beli dan berhutang piutang), dan aku memberi tenggang waktu kepada orang yang kesulitan, serta aku membebaskan (melonggarkan) bagi orang yang mampu.’ Maka Allah berfirman: ‘Aku lebih berhak berbuat demikian darimu. Masuklah ke dalam syurga!'”
(Sahih Bukhari No. 2077 dan Muslim No. 1560, dengan sedikit perbezaan redaksi)
Sekarang berakhirlah sudah rentetan ayat-ayat tentang infak di dalam Surah Baqarah ini. Untuk memudahkan pembaca, saya sertakan senarai ayat-ayat itu dan ringkasannya di bentuk Peta Minda. Sila klik gambar untuk melihatnya dengan lebih besar.

PERINGATAN KEPADA HARI PEMBALASAN
Baqarah Ayat 281: Jumhur ulama’ kata ayat ini adalah ayat terakhir turun di dalam Al-Qur’an. 9 hari setelah ayat ini diturunkan maka Nabi ﷺ pun wafat. Ada juga pendapat yang mengatakan 81 hari selepas itu. Ada pula yang mengatakan 30 hari selepas itu. Ada yang kata seminggu, ada pula yang kata 3 minggu. Malah ada yang kata beberapa saat sebelum baginda wafat.
Allah ﷻ sekarang tutup ayat-ayat tentang riba ini dengan mengingatkan tentang akhirat. Orang yang boleh ikut hukum hakam termasuk larangan Allah ﷻ adalah orang yang yakin tentang adanya Hari Pembalasan. Kalau tidak takut, semuanya akan dilanggar.
وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ ۖ ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت وَهُم لا يُظلَمونَ
SAHIH INTERNATIONAL
And fear a Day when you will be returned to Allah . Then every soul will be compensated for what it earned, and they will not be treated unjustly.
MALAY
Dan peliharalah diri kamu daripada huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah. Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasannya sedikit pun.
وَاتَّقوا يَومًا تُرجَعونَ فيهِ إِلَى اللَّهِ
Dan peliharalah diri kamu daripada huru-hara hari (kiamat) yang padanya kamu akan dikembalikan kepada Allah.
Allah ﷻ sentiasa menyuruh kita ingat kepada Hari Akhirat yang pasti tiba. Allah ﷻ akan menyebut banyak perkara tentang hukum dan sekali sekala, akan diselang seli dengan peringatan kepada Hari Akhirat kerana segala hukum itu akan dapat dipatuhi dengan rela jikalau kita ingat yang Hari Kiamat akan datang.
Kena bayangkan apa terjadi pada hari itu yang tidak ada pengakhirannya (sebab itu namanya Akhirat, sebab tidak ada hari lain selepas itu). Waktu itu harta yang kamu sibukkan sampai hendak tindas orang susah dengan mengambil riba itu tidak berguna langsung. Baju kamu pakai pun tiga lapis kain kafan itu sahaja. Itu pun nanti hancur hilang dimakan tanah.
Yang dapat menyelamatkan kita adalah amal soleh kita, jadi buatlah sebanyak-banyaknya semasa hidup. Termasuk yang terpenting adalah infak kepada yang memerlukan. Cubalah jangan berbuat dosa terutama sekali dosa-dosa besar seperti mengamalkan riba. Tidak berbaloi langsung kalau kena azab disebabkan oleh riba yang bukan boleh dibawa pun harta itu ke akhirat. Sudahlah tidak boleh bawa, kena azab sebab dia pula!
ثُمَّ تُوَفّىٰ كُلُّ نَفسٍ مّا كَسَبَت
Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya,
Apabila Hari Kiamat itu datang, segala perbuatan kita akan dibalas, sama ada baik atau jahat. Semuanya akan ditimbang-timbang dan ditimbang pula dengan amat terperinci sekali. Terperinci macam mana? Disebut di dalam Kahf:49
وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا
“Dan Kitab-kitab Amal juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata: ‘Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!’ Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun.”
Allah ﷻ juga berfirman di dalam Zalzalah:7-8
فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ
“Maka sesiapa berbuat kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.”
Kalimah ثُمَّ bermaksud kemudian akan tetapi apabila ثُمَّ digunakan, ia bermaksud ada sengkang waktu yang lama di antaranya. Kita pun tahu bahawa apabila akhirat bermula, tidaklah terus diberikan balasan. Ini kerana lama kita menunggu di Mahsyar nanti. Al-Qur’an menyebutkan tempoh yang sangat panjang ini adalah selama 50 ribu tahun! Dalilnya adalah Ma’arij:4
تَعْرُجُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ إِلَيْهِ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ
“Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Allah pada satu hari yang kadarnya adalah lima puluh ribu tahun.”
Para ulama tafsir umumnya menafsirkan ayat ini merujuk kepada tempoh Hari Kiamat, termasuk masa menunggu di Padang Mahsyar sebelum hisab (perhitungan amal) dimulai. Bayangkan, satu hari di akhirat sama dengan 50,000 tahun di dunia! Ini adalah tempoh yang sangat lama dan penuh penderitaan bagi kebanyakan manusia.
Perhatikan di sini Allah ﷻ berfirman: مّا كَسَبَت. Manusia hanya akan dibalas di atas perbuatannya sahaja sama ada dosa atau pahala. Jadi pahala sedekah sebenarnya tidak ada. Allah ﷻ berfirman di dalam Najm:38-41
أَلَّا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ وَأَنَّ سَعْيَهُ سَوْفَ يُرَىٰ ثُمَّ يُجْزَاهُ الْجَزَاءَ الْأَوْفَىٰ
“Bahawasanya seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan bahawasanya tiadalah bagi seseorang melainkan apa yang telah diusahakannya. Dan sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya pada hari kiamat). Kemudian dia akan dibalas dengan balasan yang paling sempurna.”
Maka bagaimana dengan amalan sedekah Fatihah dan buat Tahlilan yang banyak diamalkan oleh masyarakat kita? Itu adalah bid’ah dan berlawanan dengan maksud ayat-ayat Al-Qur’an. Ia hanya kerana tidak mahir dengan wahyu dan ada mentaliti subsidi yang tidak habis dengan kematian. Orang kita asyik berharap dengan pemberian orang sahaja sampaikan pahala pun diharapkan daripada orang lain. Daripada hidup berharap subsidi, sudah mati pun masih berharap subsidi lagi. Sepatutnya kita bergantung kepada amalan kita dan ini mengajar kita untuk bersungguh-sungguh beramal. Maknanya jangan buang masa dengan kehidupan kita. Kehidupan kita bukannya lahir, makan minum, kencing berak, kerja dan berkeluarga sahaja tetapi hendaklah diingat apakah bekalan yang kita hendak bawa ke akhirat nanti. Jangan diharap hantaran pahala daripada orang yang hidup kerana ia tidak ada.
Namun bukankah ada pahala yang terus mengalir setelah kita mati? Ini kena diperhatikan kembali dalilnya. Kalau kita perhatikan, ia adalah hasil usaha kita semasa di dunia. Termasuklah doa anak yang soleh kerana bukankah anak yang menjadi soleh itu kerana usaha kita mendidiknya? Hadith yang dimaksudkan adalah daripada riwayat Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seseorang insan maka akan terputuslah amalannya melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan juga anak soleh (atau solehah) yang mendoakan kepada untuk ibubapanya.”
(Riwayat Muslim No. 1631)
Namun bukankah ada pendapat yang mengatakan ia sampai? Ya memang ada tetapi ia bukan pendapat Imam Syafie. Orang kita sibuk kata berpegang dengan Mazhab Syafie tetapi tiba-tiba apabila hendak membenarkan amalan bid’ah mereka, pandai pula pakai pendapat mazhab lain. Imam Ahmad bin Hanbal رَحِمَهُ اللَّهُ dan Mazhab Hanbali secara umumnya memegang pandangan bahawa segala bentuk amal ketaatan yang dilakukan oleh orang hidup, sama ada ibadah badaniyah (seperti solat, puasa, bacaan Al-Quran) atau ibadah maliyah (seperti sedekah), dan pahalanya dihadiahkan kepada si mati, maka pahala tersebut akan sampai kepadanya, insya-Allah.
Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ menggunakan kaedah qiyas tentang sedekah pahala sedekah maliyah (harta). Kalau sedekah pahala sampai, maka ada kemungkinan sedekah amaliah pun sampai juga. Antara hadith yang menjadi sandaran adalah hadith riwayat Aisyah:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنَّ أُمِّي افْتُلِتَتْ نَفْسُهَا، وَأَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ تَصَدَّقَتْ، فَهَلْ لَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا؟ قَالَ: “نَعَمْ
“Seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku meninggal dunia secara tiba-tiba (mengejut), dan aku rasa sekiranya dia sempat berbicara dia akan bersedekah. Adakah dia akan mendapat pahala sekiranya aku bersedekah atas namanya?’ Nabi ﷺ menjawab: ‘Ya.'”
(Sahih Bukhari No. 2760. Sahih Muslim: No. 1004)
Akan tetapi bukanlah semua ulama’ bersetuju dengan pandangan ini. Ini kerana kalau diperhatikan, hadith tentang pahala sampai kepada si mati itu adalah amalan yang melibatkan harta sahaja, bukannya sedekah amalan badan. Sedangkan Al-Qur’an telah ada pada zaman itu. Kalaulah ia boleh disedekahkan pahalanya untuk membantu si mati, kenapa Nabi Muhammad ﷺ tidak mengajarnya? Bukankah itu lebih mudah kalau benar ia boleh membantu mereka yang telah mati?
وَهُم لا يُظلَمونَ
sedang mereka tidak dizalimi.
Allah ﷻ tidak akan menzalimi hamba-Nya di mana segala perbuatan baik kita akan dibalas dan tidak ada tertinggal pun. Balasan itu pula berkali ganda daripada amal perbuatan baik kita itu. Kita pun tidak dizalimi dengan hal dosa kerana kita hanya akan dibalas dengan perbuatan dosa kita sahaja. Kalau kita tidak buat, tidak akan diazab langsung. Kalau dalam dunia, ada orang yang dihukum kerana salah bicara di mahkamah sampaikan yang tidak buat kesalahan pun ada yang dihukum. Namun Allah ﷻ tidak akan tersalah buat keputusan.
Pahala akan digandakan berganda-ganda sedangkan dosa pula hanya dibalas sama nilai dengan perbuatan salah kita sahaja, tidak ditambah. Malah, Allah ﷻ berhak untuk memaafkan terus segala kesalahan kita itu. Maka di mana lagi ruang untuk kita cuba kata Allah ﷻ zalim?
Ayat-ayat tentang Riba ini boleh dijadikan Komposisi Cincin. Sila rujuk Ayat 5 untuk pengenalan kepada Komposisi Cincin ini. Ia adalah salah satu daripada cincin kecil di dalam cincin besar Surah Baqarah ini.

Penjelasan:
[A7.4]/[A7.4′] – Di dalam Bahagian [A7.4] Allah ﷻ menjelaskan kenapa pelaku Riba itu melakukan Riba (kerana mereka sangka ia adalah perniagaan). Allah ﷻ mengancam mereka yang melakukan Riba itu dengan dibangkitkan nanti seperti orang yang disampuk syaitan. Di dalam [A7.4′] Allah ﷻ mengingatkan tentang kebangkitan di akhirat kelak.
[A7.5]/[A7.5′] – Di dalam Bahagian ini Allah ﷻ menyebut tentang Riba dan Sedekah dan perbezaan di antaranya.
[A7.6]/[A7.6′] – Di dalam kedua-dua Bahagian ini Allah ﷻ menyebut tentang menjaga iman. Ada perkara yang kena buat dan ada perkara yang mesti ditinggalkan. Di dalam [A7.6] menyebut perkara yang perlu dibuat iaitu Solat dan Sedekah dan di dalam Bahagian [A7.6′] Allah ﷻ menyebut perkara yang mesti ditinggalkan iaitu Riba.
Sekian Ruku’ 38 daripada 40 surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 20 Julai 2025
Ringkasan Baqarah
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Ustaz Solah
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah