Tafsir Surah Ghafir Ayat 41 – 45 (Dalil Azab Kubur)

Ayat 41: Ini adalah bahagian ketiga dan bahagian akhir syarahan dari Lelaki Mukmin itu.

۞ وَيٰقَومِ ما لي أَدعوكُم إِلَى النَّجَوٰةِ وَتَدعونَني إِلَى النّارِ

Sahih International

And O my people, how is it that I invite you to salvation while you invite me to the Fire?

Malay

“Dan wahai kaumku! Apa halnya aku dengan kamu? Aku mengajak kamu kepada keselamatan, dan kamu pula mengajakku ke neraka? 

 

وَيٰقَوْمِ

“wahai kaumku”,

Bayangkan, lelaki ini seorang sahaja, tapi dia berani memberikan dakwah kepada jalan yang benar. Beliau berkata kepada Firaun dan pengikut-pengikut Firaun yang tentunya pemimpin yang besar di negara Mesir itu. Dia panggil mereka dengan pandangan yang lembut, memanggil mereka sebagai kaumnya yang dihormati.

 

مَا لِي

“Apa masalah kamu dengan aku ni”?

Dari segi bahasa, ia bermaksud: ‘apa untukku?’. Maksudnya, dia tanya mereka: Adakah kamu rasa ada yang tidak kena dengan aku? Atau, “apa masalah kamu dengan aku?”, “apa yang tak kena dengan aku, sampai kamu tak mahu ikut aku?”

 

أَدْعُوكُمْ إِلَى النَّجَوٰةِ

“Aku seru kamu kepada penyelamatan”

Kalau beriman kepada Allah, mereka akan selamat dari neraka.

“Apa masalah kamu ini, aku mengajak kamu ini sebenarnya adalah kepada keselamatan dari azab Allah, tapi kenapa kamu tidak mahu terima?”

 

وَتَدْعُونَنِي إِلَى النَّارِ

“Dan kamu pula nak ajak aku kepada neraka”.

“Sedangkan kamu pula mengajak aku kepada neraka.” Kerana dengan sembah syirik selain kepada Allah adalah jalan menuju neraka.

Kenapa yang mengajak kepada kebaikan pula yang ditentang?


 

Ayat 42:

تَدعونَني لِأَكفُرَ بِاللهِ وَأُشرِكَ بِهِ ما لَيسَ لي بِهِ عِلمٌ وَأَناْ أَدعوكُم إِلَى العَزيزِ الغَفّٰرِ

Sahih International

You invite me to disbelieve in Allah and associate with Him that of which I have no knowledge, and I invite you to the Exalted in Might, the Perpetual Forgiver.

Malay

“Kamu mengajakku supaya aku kufur (tidak percayakan keesaan) Allah dan mempersekutukanNya dengan apa yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, padahal aku mengajak kamu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun? 

 

تَدْعُونَنِي لِأَكْفُرَ بِاللهِ

“Kamu mengajak aku untuk kufur kepada Allah”

Musyrikin dari kalangan Firaun dan yang lain-lain itu mengajar manusia untuk kufur kepada Allah. Bila mengajak kepada kufur, itu maksudnya mengajak ke neraka.

Kufur ada banyak jenis. Seseorang itu boleh jadi kufur atau dia buat syirik, dia tolak hukum Allah, tolak ayat-ayat Allah, dan berbagai-bagai lagi. Buat salah satu sahaja, sudah boleh jadi kufur.

 

وَأُشْرِكَ بِهِ

“dan syirik kepadaNya”

Dan mereka juga mengajak manusia melakukan syirik kepada Allah. Seperti yang telah disebut, banyak cara manusia boleh jadi kufur. Dan syirik adalah cara yang paling besar sekali. Ramai yang tidak faham apakah maksud tauhid dan lawan kepada tauhid, iaitu syirik.

Oleh kerana itu, ramai yang melakukan syirik tanpa mereka sedari. Ramai dari orang Islam yang tidak ada niat untuk melakukan syirik, tapi kerana mereka tidak belajar, mereka tidak faham manakah syirik dan manakah tauhid. Ini adalah bahaya, kerana Allah tidak akan memaafkan kesalahan syirik yang dilakukan oleh manusia.

Dan dalam ayat ini, kufur yang dimaksudkan adalah syirik kepada Allah. Iaitu dengan mencampurkan pujaan: Mereka puja Allah dan dalam masa yang sama, mereka puja makhluk juga. Makhluk itu pula boleh jadi macam-macam – sama ada Nabi, wali, malaikat atau jin.

Dan ia boleh juga jadi lain-lain yang meliputi keseluruhan pujaan manusia selain Allah. Asalkan selain dari Allah, itu adalah pujaan dan seruan yang salah. Jadi kesalahan terbesar Firaun dan kuncunya adalah syirik. Memang ada salah yang lain, tapi yang paling besar adalah syirik.

 

مَا لَيْسَ لِي بِهِ عِلْمٌ

“Yang aku tidak ada ilmu (dalil/bukti) tentangnya”.

Perkataan ‘ilmu’ di sini bermaksud ‘dalil’. Maksudnya, tidak ada dalil atau perintah dari Allah yang membolehkan mereka buat syirik. Tidak ada bukti langsung untuk mengatakan apa yang mereka lakukan itu adalah benar.

Kesalahan yang banyak dilakukan oleh manusia adalah ‘tawasul dalam doa’. Ini adalah perbuatan yang syirik yang dilarang oleh Allah dan disebut dengan jelas dalam Al-Qur’an. Tapi kerana kekeliruan tentang ayat-ayat Al-Qur’an, pengamal tawasul kata ada dalil yang menyuruh kepada tawasul.

Mungkin mereka yang tidak mahir wahyu akan berkata yang ada hujah-hujah dalam Al-Qur’an dan juga dalam hadis yang mengajak kepada tawasul. Tapi apabila dikaji dengan lebih mendalam lagi, itu semua bukanlah hujah untuk membolehkan tawasul. Mungkin pada mata kasar, nampak macam ada dalil yang membolehkan melakukan tawasul, tapi itu tidaklah benar.

 

وَأَناْ أَدعوكُم إِلَى العَزيزِ الغَفّٰرِ

“Sedangkan aku ajak kamu kepada Tuhan yang gagah perkasa lagi maha pengampun”

Allah itu bersifat العَزيزِ, kalau kamu tidak taat kepadaNya, Dia boleh mengenakan azab yang amat pedih kepada kamu. Dan kamu tidak akan dapat menghalangnya.

Tapi dalam masa yang sama, Dia juga bersifat الغَفّارِ – kalau kamu minta ampun kepadaNya, Dia boleh ampunkan segala dosa-dosa kamu kalau Dia mahu.

Inilah keseimbangan dalam berdakwah. Jangan takutkan sahaja, dan jangan beri berita gembira sahaja – kena ada dua-dua.

Dan inilah ajakan dakwah yang utama, iaitu ajak kepada Allah, kenalkan manusia kepada Allah, bukan kepada diri kita atau diri orang-orang lain.


 

Ayat 43:

لا جَرَمَ أَنَّما تَدعونَني إِلَيهِ لَيسَ لَهُ دَعوَةٌ فِي الدُّنيا وَلا فِي الآخِرَةِ وَأَنَّ مَرَدَّنا إِلَى اللهِ وَأَنَّ المُسرِفينَ هُم أَصحٰبُ النّارِ

Sahih International

Assuredly, that to which you invite me has no [response to a] supplication in this world or in the Hereafter; and indeed, our return is to Allah , and indeed, the transgressors will be companions of the Fire.

Malay

“Tidak syak lagi, bahawa makhluk-makhluk yang kamu ajak aku menyembahnya itu tidak dapat menyahut sebarang seruan (atau memberikan sebarang pertolongan) sama ada di dunia atau di akhirat; dan sesungguhnya tempat kembali kita semua ialah kepada Allah, dan sebenarnya orang-orang yang melampau kejahatannya itu, merekalah ahli neraka. 

 

لَا جَرَمَ

“Tidak syak lagi”

Ini sebagai tahkik tentang apa yang hendak dikatakan. Tidak syak lagi.

 

أَنَّمَا تَدْعُونَنِي إِلَيْهِ

“Sesungguhnya apa yang kamu ajak aku kepadanya”

Apa yang mereka ajak? Mereka mengajak sembah Firaun dan menyeru sembahan-sembahan yang lain.

 

لَيْسَ لَهُ دَعْوَةٌ

“tidak ada baginya suatu kuasa yang boleh terima doa”

Maknanya, yang disembah itu tidak dapat nak menjawab doa kita. Bertepuk sebelah tangan sahaja. Yang berdoa kepada selain Allah itu, sia-sia sahaja. Mereka tidak tahu pun yang ada orang yang berdoa kepada mereka. Kerana mereka tidak ada kuasa.

Hanya Allah sahaja yang boleh mendengar doa kita. Kalau para Nabi, semuanya telah wafat dan tidak lagi mendengar permohonan kepada mereka. Begitu juga dengan para wali, mereka telah mati.

Dan kalau malaikat mendengar pun, mereka tidak ditugaskan untuk mendengar doa kita dan menyampaikan doa kita kepada Allah. Mereka hanya menjalankan tugas spesifik yang telah diberikan kepada mereka oleh Allah.

Allah telah sebut dalam ayat lain:

{إِنْ تَدْعُوهُمْ لَا يَسْمَعُوا دُعَاءَكُمْ وَلَوْ سَمِعُوا مَا اسْتَجَابُوا لَكُمْ}

Jika kamu menyeru mereka, mereka tiada mendengar seruanmu; dan kalau mereka mendengar, mereka tidak dapat memperkenankan permintaanmu. (Fatir: 14)

 

فِي الدُّنْيَا وَلَا فِي الْآخِرَةِ

“di dunia ini dan tidak juga di akhirat”

Mereka tidak dapat membantu apa-apa pun, sama ada di dunia atau di akhirat. Kerana mereka tidak dapat mendengar doa kita semasa di dunia dan semasa di akhirat pun. Kalau seseorang itu ada di hadapan kita, dan kita minta tolong kepada orang itu, bolehlah dia tolong.

Tapi kalau dia di tempat lain, macam mana dia nak dengar? Banyak kisah-kisah mengarut dari golongan sufi yang menceritakan bagaimana ada wali-wali mereka yang boleh dengar permintaan manusia walaupun mereka ada di tempat yang jauh. Ini tidak benar, dan kisah-kisah itu tidak boleh dipertanggungjawabkan. Dan dari pengalaman, golongan yang menggelar diri mereka sufi dan ada dalam tarekat, mereka itu tidak berilmu dan senang untuk ditipu dengan kisah-kisah dongeng.

Kalau di akhirat nanti, sembahan-sembahan mereka itu tidak dapat tolong sesiapa pun. Nabi dan wali itu sendiri ada masalah masing-masing dan tidak dapat nak tolong sesiapa pun. Orang yang menyeru kepada Nabi, wali dan malaikat itu sangka, kalau dulu di dunia, mereka selalu sembah dan seru, tentulah sembahan-sembahan itu akan tolong mereka semasa di akhirat. Tapi ini tidak akan berlaku seperti yang disebut dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain.

 

وَأَنَّ مَرَدَّنَا إِلَى اللهِ

“dan kembalian kita semua kepada Allah”.

Kita semua akan kembali kepada Allah selepas kita mati nanti dan akan menjawab segala amalan dan perbuatan kita. Kalau kita akan akhirnya kembali kepada Allah, maka kita kena takut kepadaNya, taat kepadaNya, seru kepadaNya dan sembah hanya kepadaNya sahaja.

 

وَأَنَّ الْمُسْرِفِينَ هُمْ أَصْحٰبُ النَّارِ

“Dan sesungguhnya orang yang melampau itu adalah ahli neraka”.

‘Melampau’ yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah melampau dalam hal akidah. Kalau melampau dalam hal akidah, itu maknanya telah melakukan syirik. Mereka yang melakukan syirik semasa di dunia, akan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Kerana mereka telah melakukan syirik dan Allah telah berfirman dalam ayat yang lain, yang Dia tidak akan memaafkan segala kesalahan syirik.

Banyak kali disebut-sebut telah mereka yang ‘melampau’. Kerana itulah yang mereka lakukan. Sebagai contoh, Firaun melampau dengan mengatakan yang dia adalah tuhan. Itu adalah melampau yang paling besar sekali, kerana dia sampai mengaku tuhan.

Tidaklah ramai yang ada mengaku sebagai tuhan. Tapi yang ramai buat adalah melampau dalam hal akidah juga. Melampau itu bermaksud, buat sesuatu yang tidak ada dalil dalam dalil yang sah. Kalau memandai-mandai buat perkara yang tidak ada dalil, itu sudah melampau namanya.

Mereka juga melampau dalam hal selain dari akidah, seperti dalam tindakan mereka kepada Bani Israil – mereka hambakan Bani Israil, mereka seksa dan buat macam-macam lagi kekejaman kepada Bani Israil. Itu juga adalah perkara yang melampau.

Tapi yang paling teruk adalah melampau dalam hal akidah. Kerana yang melampau dalam hal akidah, tidak akan mendapat pengampunan dari Allah, dan kerana itu mereka akan kekal dalam neraka.

Mereka juga melampau dalam menentang Nabi Musa. Sesiapa yang menentang Rasul, tidak akan selamat.


 

Ayat 44: Kata-kata terakhir Lelaki Mukmin itu.

فَسَتَذكُرونَ ما أَقولُ لَكُم ۚ وَأُفَوِّضُ أَمري إِلَى اللهِ ۚ إِنَّ اللهَ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Sahih International

And you will remember what I [now] say to you, and I entrust my affair to Allah . Indeed, Allah is Seeing of [His] servants.”

Malay

“(Kiranya kamu tetap berdegil sekarang) maka kamu sudah tentu akan mengetahui kebenaran apa yang aku katakan kepada kamu; dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”. 

 

فَسَتَذْكُرُونَ مَا أَقُولُ لَكُمْ

“Kamu pasti akan ingat kembali apa yang aku kata kepada kamu”

“Sekarang kamu tak kisah dengan apa yang aku cakap, tapi nanti kamu akan ingat apa yang aku katakan ini. Kamu akan tahu bahawa apa yang aku katakan ini adalah benar belaka. Bila? Di akhirat nanti. Waktu itu kalau baru sedar, memang sudah terlambat.”

 

وَأُفَوِّضُ أَمْرِي إِلَى اللهِ

“Dan aku menyerahkan urusanku hanya kepada Allah”

Sekarang baru dia mengaku dia telah menganut Islam. Dia kata: “Aku dah jalankan tugasku menyampaikan dakwah kepada kamu, sekarang aku serah kepada Allah sahaja. Dia yang akan uruskan segalanya.”

Hamba Mukmin ini tahu yang dia hanya boleh sampaikan sahaja, tapi sama ada diterima atau tidak, terpulang kepada Allah. Hanya Allah sahaja yang boleh beri taufik sampai mereka mahu terima Islam atau tidak.

Dia juga serahkan dirinya kepada Allah. Sebab dia sudah boleh agak yang dia akan berada dalam keadaan bahaya atas kata-katanya itu. Mereka tentu akan cuba untuk bunuh dia nanti. Dia tahu yang Allah yang akan uruskan segalanya. Inilah tawakal namanya.

 

إِنَّ اللهَ بَصِيرٌ بِالْعِبَادِ

“Sesungguhnya Allah Maha Melihat keadaan hamba”

“Allah Maha Tahu mereka yang nak berkhianat dan keadaan aku yang takut kena bunuh oleh kamu. Sebab itu aku serahkan diri aku kepada Allah sahaja.”

Ini adalah kata-kata doa seorang mukmin kepada Allah. Sebab dia nampak mereka nak lawan balik.


 

Ayat 45: Apa yang terjadi selepas itu? Selepas Lelaki Mukmin itu bersyarah kepada Firaun dan pengikut-pengikutnya, beliau telah lari dari situ.

فَوَقٰهُ اللهُ سَيِّئَاتِ ما مَكَروا ۖ وَحاقَ بِئآلِ فِرعَونَ سوءُ العَذابِ

Sahih International

So Allah protected him from the evils they plotted, and the people of Pharaoh were enveloped by the worst of punishment –

Malay

(Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) maka dia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka; dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya, 

 

فَوَقٰهُ اللهُ

Maka Allah selamatkan dia.

Allah telah selamatkan Lelaki Mukmin itu. Inilah natijah kalau serahkan diri kepada Allah. Allah takkan kecewakan pejuangNya. Ada riwayat kata Firaun telah menghantar seribu askar untuk bunuh Lelaki Mukmin itu. 500 dari seribu tentara itu mati tengah jalan kerana bencana alam.

Lagi 500 orang yang selamat itu, telah rasa takut dan mereka tidak berani untuk meneruskan arahan untuk pergi membunuh Lelaki Mukmin itu. Mereka telah balik berjumpa Firaun dan memberitahu dia apakah yang terjadi. Firaun amat marah dan kata mereka bohong dan semua kena bunuh akhirnya.

Ada juga yang berpendapat, kerana sibuk dengan Lelaki Mukmin ini, memberi peluang kepada Nabi Musa untuk menyelamatkan diri. Allahu a’lam.

 

سَيِّئَاتِ مَا مَكَرُوا

daripada kejahatan yang dirancang mereka.

Rancangan mereka untuk membunuh Lelaki Mukmin itu telah gagal. Begitulah kalau Allah tidak benarkan, walau hantar seribu, sejuta atau apa sahaja, tidak akan terjadi apa yang dirancang.

Dikatakan yang Lelaki Mukmin itu telah pergi bergabung dengan Nabi Musa akhirnya telah selamat menyeberang lautan bersama dengan Nabi Musa.

 

وَحَاقَ بِئآلِ فِرْعَوْن سُوءُ الْعَذَابِ

dan diliputi ahli keluarga Firaun dengan azab yang berat

Inilah natijah kepada golongan yang bathil. Yang mukmin Allah akan selamatkan dan yang bathil akan dimusnahkan. Iaitu mereka akhirnya dilemaskan dalam laut. Disebut keluarga Firaun kerana mereka memerintah dalam dinasti. Pemerintah tinggi adalah dari kalangan kaum kerabat mereka sahaja.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Tafsir Ibn Kathir