Tafsir Surah Ankabut Ayat 34 – 38 (Orang pandai tapi bodoh)

Ayat 34: Sekarang disebut apakah azab yang dikenakan kepada penduduk Sodom pada zaman Nabi Luth as. itu.

إِنّا مُنزِلونَ عَلىٰ أَهلِ هٰذِهِ القَريَةِ رِجزًا مِّنَ السَّماءِ بِما كانوا يَفسُقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, we will bring down on the people of this city punishment from the sky because they have been defiantly disobedient.”

(MELAYU)

Sesungguhnya Kami akan menurunkan azab dari langit atas penduduk kota ini kerana mereka berbuat fasik.

 

إِنّا مُنزِلونَ عَلىٰ أَهلِ هٰذِهِ القَريَةِ رِجزًا مِّنَ السَّماءِ

Sesungguhnya Kami akan menurunkan azab dari langit atas penduduk kota ini

Para malaikat itu kata yang mereka akan menghujani kaum itu dengan azab dari langit. Mereka dihujankan dengan batu-batu Sijjil. Malaikat Jibril telah mengangkat kota mereka dari bawah tanah, lalu mengangkatnya ke udara, setelah itu dijungkirkan dan ditangkubkan ke bumi, sedangkan mereka berada di bawahnya.

Lalu Allah mengirimkan hujan batu dari sijjil (tanah liat yang dibakar), masing-masing batu telah diberi tanda (setiap batu sudah ada nama siapa yang akan kena).

 

بِما كانوا يَفسُقونَ

kerana mereka berbuat fasik.

Mereka layak dikenakan dengan azab itu kerana mereka itu fasik – sentiasa melakukan dosa. Maka bukanlah Allah zalim. Allah kenakan azab kepada mereka yang memang layak kena.


 

Ayat 35:

وَلَقَد تَّرَكنا مِنها ءآيَةً بَيِّنَةً لِّقَومٍ يَعقِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly left of it a sign as clear evidence for a people who use reason.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya Kami tinggalkan daripadanya satu tanda yang nyata bagi orang-orang yang berakal.

 

Negara Sodom itu telah dimusnahkan tetapi ianya telah ditemui di dalam laut dan menjadi peringatan kepada manusia. Iaitu tempat berdekatan dengan Laut Mati. Allah menjadikan bekas tempat tinggal mereka sebuah danau yang kotor lagi busuk airnya. Sepatutnya manusia yang pergi ke sana, terkesan dengan apa yang berlaku itu dan tidak berani untuk melakukan kesalahan Kaum Nabi Luth itu.

Jadi semua kisah yang disebut ini adalah sebagai hujah kepada Dakwa Kedua surah ini: iaitu mereka yang menentang para Nabi dan Rasul akan dimusnahkan. Zaman sekarang tidak ada Rasul lagi, tapi ada penyebar dakwah. Maka kalaulah ada yang menentang penyebar tauhid pun, mereka akan mengalami nasib yang sama.


 

Ayat 36: Kisah keempat iaitu kisah Nabi Syu’aib a.s. Ayat 36 dan 37 adalah Perenggan Makro 3d iaitu tentang ujian yang dikenakan kepada Nabi Syuaib a.s. pula.

وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا فَقالَ يٰقومِ اعبُدُوا اللهَ وَارجُوا اليَومَ الآخِرَ وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Madyan [We sent] their brother Shu‘ayb, and he said, “O my people, worship Allāh and expect the Last Day and do not commit abuse on the earth, spreading corruption.”

(MELAYU)

Dan (Kami telah mengutus) kepada penduduk Mad-yan, saudara mereka Syu’aib, maka dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah olehmu Allah, harapkanlah (pahala) hari akhir, dan jangan kamu berkeliaran di muka bumi berbuat kerosakan”.

 

وَإِلىٰ مَديَنَ أَخاهُم شُعَيبًا

Dan (Kami telah mengutus) kepada penduduk Mad-yan, saudara mereka Syu’aib,

Sekarang kita masuk ke kisah yang baru, terjadi di Madyan. Madyan ini adalah tempat hijrah Nabi Musa a.s. selepas baginda membunuh (tidak sengaja) Lelaki Qibti seperti yang disebut dalam Surah Qasas. Ada pendapat yang mengatakan, Nabi Syu’aib itu adalah bapa mertua baginda, tapi ada pula pendapat yang mengatakan tidak. Ini adalah kerana zaman antara keduanya tidak sama. Allahu a’lam.

 

فَقالَ يٰقومِ اعبُدُوا اللهَ

maka dia berkata: “Hai kaumku, sembahlah olehmu Allah, 

Seperti juga para Rasul yang lain, Nabi Syu’aib mengajak kaumnya itu menyembah Allah taala sahaja. Jangan seru selain Allah, jadi minta doa kepada selain Allah.

 

وَارجُوا اليَومَ الآخِرَ

harapkanlah (pahala) hari akhir,

Dan baginda mengajar mereka untuk berbuatlah sesuatu yang dapat memberi harapan kepada mereka di akhirat kelak. Buatlah amal ibadat yang dengan amal itu, mereka boleh berharap mendapat kebaikan di akhirat.

Begitu juga dengan kita, kenalah bersedia untuk akhirat. Belajarlah amal-amal yang soleh supaya dapat mengisi bekal kita semasa kita hidup di dunia ini. Jangan berharap kosong sahaja; kerana ada yang sangka, dengan mengucap syahadah sahaja, sudah tentu selamat.

Ini belum tentu lagi kerana ada banyak perkara yang kita tidak amalkan. Ingatlah yang Nabi Muhammad berdakwah dan mengajar selama 23 tahun, maka banyaklah perkara yang baginda sampaikan, bukan? Maka kena terus belajar agama.

 

وَلا تَعثَوا فِي الأَرضِ مُفسِدينَ

dan jangan kamu berkeliaran di muka bumi berbuat kerosakan”.

Dan baginda memberi nasihat kepada mereka supaya jangan berbuat kerosakan di atas muka bumi. Sama ada kerosakan dari segi fizikal ataupun agama. Demikian itu kerana mereka biasa mengurangi takaran dan timbangan serta gemar menyamun. Yang lebih berat, mereka telah melakukan kerosakan dari segi agama.


 

Ayat 37: Apakah jawapan penduduk Madyan itu?

فَكَذَّبوهُ فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they denied him, so the earthquake seized them, and they became within their home [corpses] fallen prone.

(MELAYU)

Maka mereka mendustakan Syu’aib, lalu mereka ditimpa gempa yang dahsyat, dan jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat-tempat tinggal mereka.

 

فَكَذَّبوهُ

Maka mereka mendustakan Syu’aib,

Tapi kaumnya itu mendustakan baginda. Maksudnya mereka kata Nabi Syu’aib berdusta sahaja. Mereka tidak mahu terima dakwah tauhid dan mereka berterusan hendak melakukan dosa dan melanggar ketaatan kepada Allah.

Tidak disebut apakah kesalahan mereka kerana telah disebut dalam surah-surah yang lain. Ayat ini pendek sahaja kerana hendak menekankan azab yang mereka terima sahaja.

 

فَأَخَذَتهُمُ الرَّجفَةُ

lalu mereka ditimpa gempa yang dahsyat,

Azab yang dikenakan kepada mereka adalah gempa bumi yang kuat. Dengan gempa bumi itu, mereka dihancurkan. Kisah mengenai mereka telah disebutkan panjang lebar di dalam tafsir Surah Al-A’raf, Hud dan Asy-Syu’ara.

 

فَأَصبَحوا في دارِهِم جٰثِمينَ

dan jadilah mereka mayat-mayat yang bergelimpangan di tempat-tempat tinggal mereka.

Maka mereka mati di dalam keadaan bergelimpangan, tidak ada nilai. Mayat mereka ditimpakan satu atas yang lainnya. Mereka sangka mereka hebat sangat, boleh buat apa sahaja. Tapi bila azab Allah dikenakan kepada mereka, mereka mati begitu sahaja.

Waktu surah ini diturunkan para sahabat sedang diseksa maka Allah hendak memberitahu kepada para sahabat bahawa orang-orang yang melakukan kekejaman itu tidak akan selamat. Dan Allah nak beri ancaman kepada Musyrikin Mekah yang menindas para sahabat itu, jangan mereka rasa mereka selamat.


 

Ayat 38: Ini adalah kisah ke-lima dalam surah ini. Dari ayat 38 – 40 adalah Perenggan Makro 3e dan ia tentang kaum yang telah dimusnahkan.

وَعادًا وَثَمودَ وَقَد تَّبَيَّنَ لَكُم مِّن مَّسٰكِنِهِم ۖ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم فَصَدَّهُم عَنِ السَّبيلِ وَكانوا مُستَبصِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [We destroyed] ‘Aad and Thamūd, and it has become clear to you from their [ruined] dwellings. And Satan had made pleasing to them their deeds and averted them from the path, and they were endowed with perception.

(MELAYU)

Dan (juga) kaum ‘Aad dan Tsamud, dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari tempat tinggal mereka. Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, lalu dia menghalangi mereka dari jalan (Allah), sedangkan mereka adalah orang-orang berpandangan tajam,

 

وَعادًا وَثَمودَ

Dan (juga) kaum ‘Aad dan Tsamud,

Mereka itu tempat tinggalnya di Tanah Arab juga dan Musyrikin Mekah kenal kisah mereka dan kawasan itu kerana mereka ada melalui kawasan-kawasan itu di dalam perjalanan musafir perdagangan mereka.

Dan mereka juga tahu bahawa Allah telah memberi azab kepada dua kaum itu kerana menentang Nabi dan Rasul mereka. Maka, Allah ingatkan mereka sahaja.

 

وَقَد تَّبَيَّنَ لَكُم مِّن مَّسٰكِنِهِم

dan sungguh telah nyata bagi kamu (kehancuran mereka) dari tempat tinggal mereka. 

Musyrikin Mekah sendiri sudah lihat kawasan peninggalan kaum Aad dan Tsamud itu. Memang sudah jelas nyata tentang hal mereka itu. ‘Aad adalah kaum Nabi Hud a.s. dan mereka tinggal di daerah Ahqaf (bukit-bukit pasir) yang letaknya dekat dengan Hadramaut di negeri Yaman. Tsamud pula adalah kaum Nabi Saleh, mereka tinggal di kota Al-Hijr yang letaknya dekat dengan Wadil Qura.

 

وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيطٰنُ أَعمٰلَهُم

Dan syaitan menjadikan mereka memandang baik perbuatan-perbuatan mereka, 

Syaitan telah mencantikkan segala perbuatan mereka, segala kekayaan mereka, segala kejayaan dan kerana itu mereka nampak mereka itu hebat dan benar.

Amalan mereka adalah amalan yang salah, tapi syaitan telah mengelabui mata mereka sampai mereka nampak amalan mereka itu benar. Macam kebanyakan daripada orang Islam sekarang, banyak yang mengamalkan amalan syirik dan bidaah. Tapi mereka tidak sedar yang amalan mereka itu salah kerana syaitan sudah mengelabui mata mereka.

Ini adalah talbis iblis. Jadi apabila kita tegur mereka, mereka pula yang marah kepada kita kerana mereka sangka sungguh yang amalan mereka itu Allah suka. Padahal, amalan mereka itu tidak ada dalil pun.

 

فَصَدَّهُم عَنِ السَّبيلِ

lalu dia menghalangi mereka dari jalan (Allah), 

Dan dengan cara itu, syaitan dapat menghalang mereka daripada jalan yang benar. Syaitan bagi mereka nampak amalan mereka itu benar, sampai mereka tak rasa nak tukar.

Macam zaman sekarang, ramai yang sibuk mengamalkan amalan yang syirik dan bidaah, sampai tidak sempat nak belajar. Sampai tidak sempat nak amal amalan yang benar. Mereka sangka: ‘amal baik, apa salahnya….’. Mereka tidak tahu yang syaitan sibukkan mereka dengan amalan yang tidak benar, seperti suruh berzikir beribu kali dalam sehari.

Apabila sudah sibuk berzikir, bilakah masanya mereka sempat belajar? Maka mereka tidak belajar dan terus dalam kejahilan. Inilah yang banyak terjadi kepada orang-orang tarekat sufi sekarang. Mereka rasa amalan mereka dan fahaman mereka sudah molek, tapi mereka tidak tahu yang mereka buat amalan syirik dan bidaah. Kalau mereka belajar sunnah, mereka akan nampak.

 

وَكانوا مُستَبصِرينَ

sedangkan mereka adalah orang-orang berpandangan tajam,

Allah telah beri kecerdasan akal kepada Kaum Aad dan Tsamud itu, tetapi walaupun mereka itu cerdas akal, tetapi berjaya juga ditipu oleh syaitan.

Ini mengajar kita bahawa orang-orang yang pandai pun boleh juga tertipu kerana kadang-kadang ada benda yang mereka bodoh juga. Kerana itu kadang-kadang kita lihat ada orang yang IQ tinggi tetapi mereka terlibat dengan dadah dan sebagainya.

Kita juga boleh lihat agama lain: bagaimana orang-orang terpelajar dalam dunia dan bekerja sebagai peguam, doktor, dan sebagainya tapi amalkan agama Hindu yang sembah patung, mandi dan minum air sungai yang kotor dan sebagainya.

Begitu juga, ada orang yang terpelajar dalam keduniaan, tapi masuk ajaran tarekat dan jadi bodoh sangat, percaya sahaja apa yang disampaikan oleh guru mereka. Inilah yang dimaksudkan dengan pepatah Arab أغنياء لكن أغبياء (mereka pandai, tapi bodoh juga). Maka, tahulah kita yang orang pandai pun boleh kena tipu juga.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ankabut Ayat 31 – 33 (Isteri Nabi pun tak selamat)

Ayat 31: Sebelum ini Nabi Luth a.s. telah berdoa kepada Allah untuk membantu baginda terhadap kaum baginda. Maka sekarang disebut bagaimana doa baginda itu dimakbulkan. Allah hantar para malaikat untuk menurunkan azab kepada mereka.

وَلَمّا جاءَت رُسُلُنا إِبرٰهيمَ بِالبُشرىٰ قالوا إِنّا مُهلِكو أَهلِ هٰذِهِ القَريَةِ ۖ إِنَّ أَهلَها كانوا ظٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Our messengers [i.e., angels] came to Abraham with the good tidings,¹ they said, “Indeed, we will destroy the people of that [i.e., Lot’s] city. Indeed, its people have been wrongdoers.”

  • Of the birth of Isaac and his descendant, Jacob.

(MELAYU)

Dan tatkala utusan Kami (para malaikat) datang kepada Ibrahim membawa khabar gembira, mereka mengatakan: “Sesungguhnya kami akan menghancurkan penduduk negeri (Sodom) ini; sesungguhnya penduduknya adalah orang-orang yang zalim”.

 

وَلَمّا جاءَت رُسُلُنا إِبرٰهيمَ بِالبُشرىٰ

Dan tatkala utusan Kami (para malaikat) datang kepada Ibrahim membawa khabar gembira, 

Berita gembira yang dimaksudkan adalah pemberitahuan kepada Nabi Ibrahim yang baginda akan mendapat anak dan cucu. Kisah ini sudah disebut dengan lebih panjang dalam Surah Hud dan Surah Hijr.

Para malaikat itu datang melawat Nabi Ibrahim dan menyampaikan berita kelahiran itu tapi mereka ada tugas lain yang lebih penting sebenarnya.

 

قالوا إِنّا مُهلِكو أَهلِ هٰذِهِ القَريَةِ

mereka mengatakan: “Sesungguhnya kami akan menghancurkan penduduk negeri (Sodom) ini;

Dan kemudian para malaikat itu memberitahu kepada Nabi Ibrahim yang kedatangan mereka itu bukan hanya untuk menyampaikan berita gembira kepada baginda sahaja, tapi sebenarnya hendak memusnahkan kaum Nabi Luth as (Sodom).

Kedudukan tempat tinggal Nabi Ibrahim tidak jauh dari tempat Nabi Luth. Mereka waktu itu tinggal di Palestin. Nabi Ibrahim waktu itu berada di Hebron, sekarang dipanggil al-Khalil. Sedangkan Nabi Luth tinggal di bahagian timur selatan Hebron. Tempat itu rendah dan boleh dilihat dari tempat tinggal Nabi Ibrahim. Kerana itu para malaikat menggunakan kalimah هذه yang memberi isyarat yang tempat itu dekat sahaja.

 

إِنَّ أَهلَها كانوا ظٰلِمينَ

sesungguhnya penduduknya adalah orang-orang yang zalim”.

Allah telah arahkan kaum itu untuk dimusnahkan kerana mereka telah berlaku zalim. Bukanlah Allah sengaja yang hendak membunuh hambaNya.

Maklumat berkenaan kisah mereka ini banyak disebut dalam ayat dan surah yang lain. Hanya disentuh secara ringkas sahaja di sini.


 

Ayat 32: Nabi Ibrahim terkejut dengan pemberitahuan itu.

قالَ إِنَّ فيها لوطًا ۚ قالوا نَحنُ أَعلَمُ بِمَن فيها ۖ لَنُنَجِّيَنَّهُ وَأَهلَهُ إِلَّا امرَأَتَهُ كانَت مِنَ الغٰبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Abraham] said, “Indeed, within it is Lot.” They said, “We are more knowing of who is within it. We will surely save him and his family, except his wife. She is to be of those who remain behind.”

(MELAYU)

Berkata Ibrahim: “Sesungguhnya di kota itu ada Luth”. Para malaikat berkata: “Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu. Kami sungguh-sungguh akan menyelamatkan dia dan pengikut-pengikutnya kecuali isterinya. Dia adalah termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan).

 

قالَ إِنَّ فيها لوطًا

Berkata Ibrahim: “Sesungguhnya di kota itu ada Luth”.

Nabi Ibrahim risaukan Nabi Luth yang berada di Sodom, maka baginda cuba untuk memujuk para malaikat itu. Juga bermaksud Nabi Ibrahim kata, oleh kerana ada Nabi Luth di sana, maka berilah tangguh supaya baginda boleh membawa mereka ke arah kebenaran.

 

قالوا نَحنُ أَعلَمُ بِمَن فيها

Para malaikat berkata: “Kami lebih mengetahui siapa yang ada di kota itu.

Para malaikat itu beritahu yang mereka tahu yang Nabi Luth ada di dalam kampung itu. Mereka lebih tahu, bukannya mereka tidak tahu.

 

لَنُنَجِّيَنَّهُ وَأَهلَهُ

Kami sungguh-sungguh akan menyelamatkan dia dan pengikut-pengikutnya

Mereka beritahu yang mereka bukan hendak musnahkan Nabi Luth dan Nabi Luth dan ahlinya akan diselamatkan.

 

إِلَّا امرَأَتَهُ كانَت مِنَ الغٰبِرينَ

Dia adalah termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan).

Kecuali isteri Nabi Luth kerana dia akan ditinggalkan dan tidak dapat mengejar balik. Isteri Nabi Luth akan dibunuh di dalam azab itu. Walaupun dia seorang isteri Nabi, tapi dia tidak beriman dengan baginda. Ini mungkin kerana baginda mengahwininya apabila datang ke situ dan walaupun beristeri kepada seorang Nabi, wanita itu tetap berada di pihak kaumnya.

Kalau isteri Nabi pun tidak selamat kalau buat dosa, bagaimanalah kita yang biasa ini? Maka kalau kita buat dosa, kita tidak akan selamat kalau Allah kenakan azab.


 

Ayat 33: Sekarang para malaikat itu sudah sampai ke Sodom.

وَلَمّا أَن جاءَت رُسُلُنا لوطًا سِيءَ بِهِم وَضاقَ بِهِم ذَرعًا وَقالوا لا تَخَف وَلا تَحزَن ۖ إِنّا مُنَجّوكَ وَأَهلَكَ إِلَّا امرَأَتَكَ كانَت مِنَ الغٰبِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Our messengers [i.e., angels] came to Lot, he was distressed for them and felt for them great discomfort. They said, “Fear not, nor grieve. Indeed, we will save you and your family, except your wife; she is to be of those who remain behind.

(MELAYU)

Dan tatkala datang utusan-utusan Kami (para malaikat) itu kepada Luth, dia merasa susah kerana (kedatangan) mereka, dan (merasa) tidak punya kekuatan untuk melindungi mereka dan mereka berkata: “Janganlah kamu takut dan jangan (pula) bersedih. Sesungguhnya kami akan menyelamatkan kamu dan pengikut-pengikutmu, kecuali isterimu, dia adalah termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan)”.

 

وَلَمّا أَن جاءَت رُسُلُنا لوطًا سِيءَ بِهِم وَضاقَ بِهِم ذَرعًا

Dan tatkala datang utusan-utusan Kami (para malaikat) itu kepada Luth, baginda merasa susah kerana mereka, dan (merasa) tidak punya kekuatan untuk melindungi mereka

Ini adalah apabila para malaikat itu telah sampai menemui Nabi Luth. Para malaikat datang ke rumah baginda, dan baginda tidak kenal mereka. Baginda tidak tahu yang mereka itu adalah para malaikat. Ini adalah kerana para Nabi pun tidak punya ilmu ghaib.

Baginda rasa tertekan apabila melihat para malaikat itu. Kalimah سِيءَ dari س و أ yang bermaksud apa-apa sahaja yang menyebabkan seseorang itu sedih. Dan kalimah ضاقَ pula dari ض ي ق yang bermaksud ‘ketat’ dan ia bermaksud dada Nabi Luth as. jadi ketat kerana kedatangan mereka.

Kenapa pula begitu? Baginda rasa tidak selesa dengan kedatangan mereka kerana mereka itu datang dalam rupa pemuda yang kacak dan baginda risau yang itu akan menarik perhatian kaum baginda yang homoseksual. Mereka bukan boleh kalau nampak lelaki kacak. Mereka tentu akan datang untuk ambil peluang.

Maka Nabi Luth sudah dapat agak akan ada masalah dengan kedatangan ‘lelaki-lelaki’ itu. Baginda takut baginda tidak mampu untuk mempertahankan mereka. Sedangkan mereka itu adalah tetamu baginda. Kerana itu baginda sudah susah hati. Baginda masih tidak tahu yang mereka itu para malaikat.

Ini juga menjadi dalil sekali lagi yang para Nabi tidak tahu ilmu ghaib. Mereka pun bergantung kepada ilmu pengetahuan yang diberi oleh Allah. Maka kalau kita kata ada manusia yang tahu ilmu ghaib, itu adalah amat salah sekali. Malangnya, ada orang jahil yang sangka guru mereka, wali itu dan ini tahu ilmu ghaib. Ini adalah fahaman syirik.

 

وَقالوا لا تَخَف وَلا تَحزَن

dan mereka berkata: “Janganlah kamu takut dan jangan (pula) bersedih. 

Apabila kaumnya telah masuk ke rumah baginda untuk menangkap jejaka-jejaka tampan itu, Luth sudah sedih. Tapi para malaikat itu kata jangan takut, kerana mereka itu sebenarnya malaikat. Takkan boleh manusia-manusia itu hendak mencederakan mereka.

Ataupun Nabi Luth rasa tidak selesa kerana dia tahu telah sampai masa yang kaumnya itu dihancurkan sedangkan dia masih lagi mahu berdakwah kepada mereka. Kerana itulah baginda rasa ketat pada dadanya. Allahu a’lam.

Apabila para malaikat Nabi Luth dalam kerisauan, maka mereka telah suruh Nabi Luth jangan takut dan sedih.

 

إِنّا مُنَجّوكَ وَأَهلَكَ

Sesungguhnya kami akan menyelamatkan kamu dan pengikut-pengikutmu,

Para malaikat itu memberitahu kepada Nabi Luth supaya jangan takut dan risau kerana baginda dan ahli keluarga baginda akan diselamatkan, kerana para malaikat itu tidak tahu yang Nabi Luth sebenarnya risaukan kaumnya, bukan dirinya. Maknanya para malaikat pun tidak tahu perkara ghaib kerana mereka juga bukan Allah dan tidak ada sifat tuhan.

 

إِلَّا امرَأَتَكَ كانَت مِنَ الغٰبِرينَ

kecuali isterimu, dia adalah termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan)”.

Semua ahli keluarga Nabi Luth akan diselamatkan, kecuali isteri baginda. Kerana isterinya itu bersekongkol dengan kaum itu. Isterinya itulah yang telah memberitahu bahawa telah datang beberapa lelaki yang kacak ke rumahnya.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ankabut Ayat 27 – 30 (Homoseksual bukan normal)

Ayat 27:

وَوَهَبنا لَهُ إِسحٰقَ وَيَعقوبَ وَجَعَلنا في ذُرِّيَّتِهِ النُّبُوَّةَ وَالكِتٰبَ وَءآتَينٰهُ أَجرَهُ فِي الدُّنيا ۖ وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصّٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We gave to him Isaac and Jacob and placed in his descendants prophethood and scripture. And We gave him his reward in this world, and indeed, he is in the Hereafter among the righteous.

(MELAYU)

Dan Kami anugerahkan kepada Ibrahim, Ishak dan Ya’qub, dan Kami jadikan kenabian dan Al Kitab pada keturunannya, dan Kami berikan kepadanya balasannya di dunia; dan sesungguhnya dia di akhirat, benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.

 

وَوَهَبنا لَهُ إِسحٰقَ وَيَعقوبَ

Dan Kami anugerahkan kepada Ibrahim: Ishak dan Ya’qub,

Dari keturunan Nabi Ibrahim datangnya banyak para Nabi dan Rasul. Dalam ayat ini disebut Nabi Ishak dan dari Nabi Ishak itu lahirnya Nabi Ya’qub. Maknanya, Nabi Ibrahim akan sempat lihat Nabi Ya’qub itu lahir.

Di dalam kitab Sahihain disebutkan melalui salah satu hadisnya yang mengatakan:

“إِنَّ الْكَرِيمَ ابنَ الْكَرِيمِ ابنِ الْكَرِيمِ ابْنِ الْكَرِيمِ يوسفُ بنَ يعقوبَ بْنِ إسحاقَ بْنِ إِبْرَاهِيمَ”

Sesungguhnya orang yang mulia, anak orang yang mulia, anak orang yang mulia, anak orang yang mulia adalah Yusuf ibnu Ya’qub ibnu Ishaq ibnu Ibrahim ‘alaihis salam.

Anak Nabi Ibrahim bukan sahaja Nabi Ishak dan Nabi Ismail tetapi ada lagi anak-anak yang lain. Sebagai contoh, dikatakan ada seorang lagi anak baginda yang bernama Qathurah yang darinya juga turun keturunan para Nabi yang lain tetapi kita tidak ada maklumat tentang perkara itu.

 

وَجَعَلنا في ذُرِّيَّتِهِ النُّبُوَّةَ وَالكِتٰبَ

dan Kami jadikan kenabian dan Al Kitab pada keturunannya,

Allah beri anak-anak baginda menjadi Rasul untuk memanjangkan ajaran baginda. Ini adalah satu kelebihan yang amat besar. Kalau anak kita orang baik pun kita sudah suka sangat, apatah lagi kalau anak kita seorang Nabi lagi Rasul?

Ini merupakan kurnia yang paling besar, kerana selain Allah menjadikan Ibrahim sebagai kekasih-Nya, dan menjadikannya sebagai ikutan bagi umat manusia, juga memberikan kepada keturunannya kenabian dan Al-Kitab. Maka tiada seorang nabi pun sesudah Nabi Ibrahim melainkan berasal dari keturunannya. Semua nabi kaum Bani Israil berasal dari keturunan Ya’qub ibnu Ishaq ibnu Ibrahim, sehingga nabi yang terakhir dari kalangan mereka adalah Isa ibnu Maryam.

Kemudian bangkitlah dari kalangan para nabi semuanya seorang nabi dari Arab keturunan kabilah Quraisy dari keluarga Bani Hasyim. Dia datang sebagai pembawa berita gembira dan penutup para rasul secara mutlak, juga penghulu seluruh anak Adam, baik di dunia mahupun di akhirat. Allah telah memilih­nya dari kalangan intinya orang-orang Arab ‘Uraba, berasal dari keturunan Nabi Ismail ibnu Ibrahim a.s. Itulah Nabi Muhammad SAW.

 

وَءآتَينٰهُ أَجرَهُ فِي الدُّنيا

dan Kami berikan kepadanya balasan di dunia;

Allah beritahu upah kepada Nabi Ibrahim diberi semasa di dunia lagi, tetapi apakah ia? Kita tahu yang baginda dikenakan dengan berbagai-bagai dugaan, bukan? Itu semua dugaan belaka, ujian demi ujian dan ujian itu besar-besar belaka.

Jadi yang dimaksudkan adalah baginda mendapat anak-anak yang soleh. Baginda mendapat tahu tentang cucunya akan menjadi Nabi sebelum cucunya itu lahir. Dan ini adalah satu pemberian yang amat-amat besar.

Baginda juga diberikan nikmat membina kembali Ka’bah. Dan tentu ada banyak lagi nikmat yang telah diberikan kepada baginda.

 

وَإِنَّهُ فِي الآخِرَةِ لَمِنَ الصّٰلِحينَ

dan sesungguhnya dia di akhirat, benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.

Dan baginda di akhirat nanti pasti akan dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Iaitu golongan soleh peringkat Nabi.


 

Ayat 28: Sekarang masuk ke Perenggan Makro 3c dari ayat ini sehingga ke ayat 35 iaitu tentang ujian yang dikenakan kepada Nabi Luth a.s. pula.

وَلوطًا إِذ قالَ لِقَومِهِ إِنَّكُم لَتَأتونَ الفٰحِشَةَ ما سَبَقَكُم بِها مِن أَحَدٍ مِّنَ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [mention] Lot, when he said to his people, “Indeed, you commit such immorality as no one has preceded you with from among the worlds.

(MELAYU)

Dan (ingatlah) ketika Luth berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya kamu benar-benar mengerjakan perbuatan yang amat keji yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun dari umat-umat sebelum kamu”.

 

وَلوطًا إِذ قالَ لِقَومِهِ إِنَّكُم لَتَأتونَ الفٰحِشَةَ

Dan (ingatlah) ketika Luth berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya kamu benar-benar mengerjakan perbuatan yang amat keji

Allah suruh Nabi Muhammad ajar kisah Nabi Luth kepada manusia. Baginda telah diutus kepada Sodom dan seperti yang kita sudah tahu, mereka itu kaum yang mengamalkan perbuatan keji yang amat teruk sekali iaitu homoseksual – hubungan seks sesama jenis.

 

ما سَبَقَكُم بِها مِن أَحَدٍ مِّنَ العٰلَمينَ

yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun dari umat-umat sebelum kamu”.

Perbuatan homoseksual yang dilakukan oleh kaum itu tidak pernah dilakukan dalam sejarah manusia sebelum itu. Merekalah yang mula-mula sekali melakukannya.

Jadi homoseksual bukanlah perkara yang normal. Maka salahlah pendapat yang mengatakan homoseksual itu adalah kehendak biologi manusia – kerana kalau ianya normal, maka ia sudah tentu sudah ada dari dulu lagi.


 

Ayat 29:

أَئِنَّكُم لَتَأتونَ الرِّجالَ وَتَقطَعونَ السَّبيلَ وَتَأتونَ في ناديكُمُ المُنكَرَ ۖ فَما كانَ جَوابَ قَومِهِ إِلّا أَن قالُوا ائتِنا بِعَذابِ اللهِ إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, you approach men and obstruct the road¹ and commit in your meetings [every] evil.” And the answer of his people was not but that they said, “Bring us the punishment of Allāh, if you should be of the truthful.”

  • i.e., commit highway robbery and acts of aggression against travelers.

(MELAYU)

Apakah sesungguhnya kamu patut mendatangi laki-laki, mengganggu di jalanan dan mengerjakan kemungkaran di tempat-tempat pertemuanmu? Maka jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan: “Datangkanlah kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar”.

 

أَئِنَّكُم لَتَأتونَ الرِّجالَ

Apakah sesungguhnya kamu patut mendatangi laki-laki,

Nabi Luth mengutuk perbuatan kaum lelaki mereka yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki juga. Macam tidak ada orang perempuan pula di tempat mereka itu.

 

وَتَقطَعونَ السَّبيلَ

dan mengganggu di jalanan

Mereka berdosa bukan sahaja berkenaan homoseksual sahaja. Mereka juga mengganggu di jalanan di mana ada yang merompak dan ada yang minta tol. Maknanya kalau nak pakai jalan kena bayar. Ini menyusahkan orang kerana laluan sepatutnya percuma.

Atau bermaksud mereka memutuskan pertalian kelahiran dengan mendatangi lelaki dan bukannya perempuan. Kerana kalau mereka menumpahkan air mani kepada lelaki, mana mungkin akan lahir anak dan lama kelamaan tidak adalah keturunan, bukan?

 

وَتَأتونَ في ناديكُمُ المُنكَرَ

dan mengerjakan kemungkaran di tempat-tempat pertemuanmu? 

Kalimah نادي boleh juga bermaksud kelab, iaitu tempat-tempat awam yang terbuka. Ianya menjadi tempat perjumpaan, tempat pertemuan.

Nabi Luth kata mereka berbuat mungkar itu di tempat umum, tempat orang berjumpa, ramai-ramai. Maknanya mereka melakukan kemungkaran di tempat-tempat terbuka dan tidak sorok-sorok lagi. Sudah tidak malu dengan orang lain. Maknanya mereka sudah tidak kisah dengan dosa dan sudah tidak kisah dengan perasaan malu lagi. Mereka melakukan kemungkaran dalam majlis-majlis mereka.

Dan ada kalangan kaum mereka yang tidak buat pun amalan homoseksual itu dan mereka tengok, tapi tidak tegur. Ini pun salah juga. Mereka sudah nampak kemungkaran yang berlaku di depan mata mereka, tapi mereka buat biasa sahaja. Kerana itu mereka semua sekali dihancurkan oleh Allah.

Kita takut perkara yang sama terjadi zaman sekarang. Kalau dulu, kumpulan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender) ini kumpulan yang kecil dan malu dengan masyarakat. Mereka akan cuba menyorok keadaan diri mereka dan mereka buat mungkar di tempat tersembunyi sahaja. Tapi sekarang, mereka sudah berani mengatakan mereka Gay, atau Lesbian, tapi segan silu lagi. Mereka berani keluar ke khalayak ramai. Maknanya, mereka sudah mula jadi seperti Kaum Sodom itu.

Setelah Nabi Luth menegur mereka atas kesalahan-kesalahan mereka itu, apakah jawapan balas dari mereka?

 

فَما كانَ جَوابَ قَومِهِ إِلّا أَن قالُوا ائتِنا بِعَذابِ اللهِ

Maka jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan: “Datangkanlah kepada kami azab Allah,

Apabila mereka ditegur dengan perbuatan-perbuatan salah mereka itu mereka balas dengan suruh Nabi Luth tunjukkan dan bawakan azab yang dijanjikan itu.

 

إِن كُنتَ مِنَ الصّٰدِقينَ

jika kamu termasuk orang-orang yang benar”.

Mereka teruk sangat sampai berani cabar Nabi Luth untuk bawakan azab yang diancam kepada mereka itu. Memang kalau sudah minta azab, itu adalah satu jenis bangsa yang teruk sangat.


 

Ayat 30: Kerana mereka teruk sangat, maka Nabi Luth telah berdoa:

قالَ رَبِّ انصُرني عَلَى القَومِ المُفسِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, support me against the corrupting people.”

(MELAYU)

Luth berdoa: “Ya Tuhanku, tolonglah aku atas kaum yang berbuat kerosakan itu”.

 

Nabi Luth telah meminta pertolongan daripada Allah. Baginda minta supaya mereka itu ditimpakan sahaja dengan azab yang menghancurkan mereka kerana mereka itu tidak ada harapan untuk diubah lagi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ankabut Ayat 24 – 26 (Bila tak boleh lawan, bunuh sahaja)

Ayat 24: Selepas jumlah mu’taridah sebelum ini, maka sekarang kembali kepada kisah Nabi Ibrahim semula. Sekarang adalah kesimpulan kepada kisah Nabi Ibrahim.

فَما كانَ جَوابَ قَومِهِ إِلّا أَن قالُوا اقتُلوهُ أَو حَرِّقوهُ فَأَنجٰهُ اللهُ مِنَ النّارِ ۚ إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the answer of his [i.e., Abraham’s] people was not but that they said, “Kill him or burn him,” but Allāh saved him from the fire. Indeed in that are signs for a people who believe.

(MELAYU)

Maka tidak adalah jawapan kaum Ibrahim, selain mengatakan: “Bunuhlah atau bakarlah dia”, lalu Allah menyelamatkannya dari api. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang beriman.

 

فَما كانَ جَوابَ قَومِهِ إِلّا أَن قالُوا اقتُلوهُ أَو حَرِّقوهُ

Maka tidak adalah jawapan kaum Ibrahim, selain mengatakan: “Bunuhlah atau bakarlah dia”,

Respon mereka kepada dakwah Nabi Ibrahim itu adalah untuk membunuh baginda ataupun membakar baginda. Begitu keras sekali tindakan yang mereka hendak kenakan kepada baginda. Maknanya pejuang agama seperti Nabi Ibrahim itu kena menerima dugaan yang besar.

Mereka sudah tidak ada hujah lagi untuk mengalahkan hujah Nabi Ibrahim. Sampai kepada satu tahap, mereka rasa mereka kena bunuh sahaja. Kerana mereka rasa apa yang baginda sampaikan itu akan menggugat ekologi agama mereka, industri berhala mereka dan cara hidup mereka.

Maka mereka sepakat ramai-ramai untuk bunuh Nabi Ibrahim. Nak jadikan baginda sebagai contoh – jangan ada lagi yang memandai nak bawa ajaran yang berlawanan dengan fahaman mereka. Mereka sepakat nak bunuh, cuma cara nak bunuh sahaja yang mereka tidak sepakat.

Begitu jugalah yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW di Mekah. Pada asalnya, Musyrikin Mekah melihat sahaja apa yang dilakukan oleh Nabi Muhammad. Mereka pada mulanya tidak rasa ianya membahayakan lagi kerana baginda seorang sahaja dan hanya diikuti oleh beberapa orang yang lemah sahaja.

Tapi apabila mereka nampak pengaruh baginda semakin kuat dan semakin ramai yang masuk ke dalam agama Islam, maka mereka mula risau. Tapi pada peringkat permulaan, mereka hanya menuduh dan membuat tohmahan sahaja kepada baginda. Dan ramai dari pengikut baginda ditindas, sampai ada yang diseksa.

Tapi lama kelamaan, usaha mereka untuk menjatuhkan agama Islam tidak berjaya. Maka mereka akhirnya buat keputusan untuk membunuh sahaja baginda. Mereka nampak itulah sahaja jalan penyelesaian kerana pada mereka, dengan matinya Muhammad, maka matilah ajaran baginda.

Dan sekarang, kita melihat lagi bagaimana jalan Sunnah sekarang disekat oleh para penentangnya. Sekarang banyak sekali tuduhan yang diberikan kepada jalan Sunnah, kepada mereka yang mengamalkannya dan kepada mereka yang menyebarkannya. Banyak sekali tohmahan dan tuduhan yang tidak benar diberikan.

Ini normal sahaja kerana ramai yang masih tidak tahu apakah jalan sunnah ini. Manusia memusuhi apa yang mereka tidak kenal. Ini kerana ramai yang jahil dalam agama dan ramai yang ikut-ikut sahaja amalan tok nenek mereka.

Tapi jalan Sunnah di negara ini semakin berkembang dan menarik minat ramai orang. Kerana ianya adalah jalan yang benar dan masuk dalam akal. Dan hujah yang diberikan berdasarkan dalil dari Al-Qur’an dan hadith. Lalu bagaimana ia tidak menarik perhatian mereka yang cintakan kebenaran?

Para penentang iaitu mereka yang mengamalkan ‘ajaran lama’ tidak senang duduk. Mereka tohmah berhadapan dan juga di media sosial. Sudah ada juga ustaz-ustaz yang digam malah dipenjara hanya kerana tidak ada tauliah mengajar. Tauliah diminta tapi tidak diberikan. Kalau hendak dapat tauliah, kena berfahaman seperti mereka, barulah diberi.

Maka peluang untuk mengajar di masjid dan surau amat jauh, jadi ramai dari kalangan masyarakat tidak terdedah dengan apakah Sunnah itu dan mereka hanya dapat maklumat dari mereka yang tidak suka dengan jalan Sunnah.

Maka apa yang terjadi sekarang ini adalah perkara biasa sahaja. Ianya adalah ujian kepada pejuang agama. Memang itulah yang Allah hendak sampaikan dengan surah ini. Dakwa Surah ini adalah tentang dugaan dan ujian yang dialami oleh penyebar agama.

Dan Allah sampaikan kisah-kisah para Nabi dan Rasul untuk memberitahu kita, apa yang dilalui oleh para Rasul itu lebih teruk lagi dari apa yang kita lalui. Maka bersabarlah dengan ujian dalam menyampaikan agama Allah ini.

Kita berharap perkelahian itu tidaklah sampai kepada berbunuhan. Biarlah hujah antara penentang dan penyokong Sunnah itu diadakan dalam bentuk percakapan dan pemberian hujah sahaja. Semoga kekerasan tidak digunakan kerana itu sudah teruk sangat. Malah, semoga janganlah ada kes-kes penjara lagi. Biarlah para ustaz Sunnah dibenarkan mengajar, biar masyarakat sendiri tentukan mana benar dan mana tidak. Kalau ianya salah, maka masyarakat yang bijak boleh menilai sendiri. Masyarakat kita sekarang sudah pandai-pandai.

 

فَأَنجٰهُ اللهُ مِنَ النّارِ

lalu Allah menyelamatkannya dari api. 

Kembali kepada kisah Nabi Ibrahim, memang kaumnya ambil keputusan untuk membakar baginda. Akhirnya mereka sampai kepada konklusi untuk bunuh baginda dengan cara api.

Mereka buat unggun api yang besar dan membaling baginda ke dalamnya. Kisah ini ada terdapat dalam surah yang lain. Dan Allah menyelamatkan Nabi Ibrahim dari api itu sebagaimana Nabi Nuh diselamatkan daripada air. Api yang membakar itu tidak langsung membahayakan Nabi Ibrahim malah ia menjadi amat nyaman kepada baginda. Ini seperti firman Allah dalam Anbiya:69

قُلنا يا نارُ كوني بَردًا وَسَلامًا عَلىٰ إِبراهيمَ

Kami berfirman: “Hai api menjadi dinginlah, dan menjadi selamatlah bagi Ibrahim”,

 

إِنَّ في ذٰلِكَ لَآيٰتٍ لِّقَومٍ يُؤمِنونَ

Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang-orang yang beriman.

Kejadian Nabi Ibrahim diselamatkan itu menjadi tanda kekuasaan Allah untuk melakukan apa sahaja. Api yang membakar itu tidaklah membakar kalau Allah tidak izinkan. Sepertimana juga pisau yang selalunya memotong itu tidak dapat memotong kalau Allah tidak izinkan (seperti yang terjadi apabila baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail). Semua yang berlaku adalah dalam takluk dan kekuasaan Allah taala.

Ini dipanggil khawariqul adah (mencarik adat). Hukum adat, api memang membakar dan pisau memang memotong. Tapi sekali sekala Allah akan tukar hukum itu. Sekali sekala sahaja, bukan selalu. Allah boleh buat kerana hukum adat itu pun Allah juga yang buat.


 

Ayat 25: Apakah kesalahan yang dilakukan oleh umat Nabi Ibrahim itu? Ini adalah teguran dari baginda kepada mereka. Tapi kita kena bandingkan juga dengan diri kita.

وَقالَ إِنَّمَا اتَّخَذتُم مِّن دونِ اللهِ أَوثٰنًا مَّوَدَّةَ بَينِكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ ثُمَّ يَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرُ بَعضُكُم بِبَعضٍ وَيَلعَنُ بَعضُكُم بَعضًا وَمَأوٰكُمُ النّارُ وَما لَكُم مِّن نّاصِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [Abraham] said, “You have only taken, other than Allāh, idols as [a bond of] affection among you in worldly life. Then on the Day of Resurrection you will deny one another and curse one another, and your refuge will be the Fire, and you will not have any helpers.”

(MELAYU)

Dan berkata Ibrahim: “Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain) dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain); dan tempat kembalimu ialah neraka, dan sekali-kali tak ada bagimu para penolong pun.

 

وَقالَ إِنَّمَا اتَّخَذتُم مِّن دونِ اللهِ أَوثٰنًا

Dan berkata Ibrahim: “Sesungguhnya berhala-berhala yang kamu sembah selain Allah 

Satu pendapat mengatakan yang bercakap dalam ayat ini adalah Nabi Ibrahim. Ada juga yang mengatakan yang berkata itu adalah Nabi Muhammad. Kedua-duanya boleh dipakai.

Umat Nabi Ibrahim telah menyembah patung-patung berhala itu sebagai kiblat tawajuh (tempat fokus) di mana berhala-berhala itu merujuk kepada roh-roh sembahan mereka yang dijadikan sebagai ilah. Pada mereka, roh-roh itu dapat menyelesaikan masalah dan memberikan kehendak mereka. Pada mereka, roh-roh itu dapat menyampaikan doa mereka kepada Allah.

Mereka bukanlah nak sembah batu berhala itu semata-mata kerana mereka sendiri yang buat berhala itu. Yang mereka hendak sampaikan doa itu adalah kepada roh-roh di sebalik berhala itu, dan tujuannya adalah untuk sampaikan doa mereka kepada Tuhan. Itu sahaja.

Maka kerana itu jangan kita sempitkan syirik itu dengan berhala sahaja. Kerana berhala itu sebagai imbalan / nisbah / fokus kepada roh Nabi, wali dan malaikat sahaja. Ini apabila manusia sudah jadi teruk sangat sampaikan pakai berhala dalam bentuk fizikal terus. Tapi asalnya manusia tidak pakai berhala. Mereka mulanya ada fahaman syirik dahulu – iaitu mereka beriktikad yang roh Nabi, wali dan malaikat boleh menyampaikan doa kepada Allah. Ini pun sudah syirik.

Jadi ringkasnya, penyembahan berhala ini:

1. Manusia tidak yakin dengan doa terus kepada Allah. Mereka rasa ada roh-roh Nabi, wali dan malaikat yang rapat dengan Allah yang boleh menyampaikan doa mereka (sebagai wasilah). Jadi mereka berdoa kepada roh Nabi, wali dan malaikat itu untuk menyampaikan doa kepada Allah.

2. Lama kelamaan, generasi seterusnya akan sembah Nabi, wali dan malaikat itu. Kerana mereka nak minta sampaikan doa, maka mereka kenalah bodek roh Nabi, wali dan malaikat itu. Jadi mereka akan bodek dengan sembah mereka – beri salam, puja-puja, pergi ke kubur, tawaf kubur dan macam-macam lagi.

3. Akhir sekali, datang generasi yang susah nak bayangkan roh-roh itu, maka mereka buat sesuatu yang fizikal seperti gambar dan patung. Akhirnya mereka sangka berhala itulah tuhan sedangkan itu bukan iktikad mereka yang asal.

Inilah yang kita takut terjadi pada umat kita. Kita kena tegur awal-awal lagi. Sebagai contoh, kita boleh lihat bagaimana golongan Habib dari Yaman itu sudah mula meletakkan gambar Habib mereka yang telah meninggal di kubur. Dan kubur itu dihias dengan cantik, siapa ada lampu lagi. Ini sudah salah dan sudah membawa kepada syirik.

Dan ramai yang terkesan dengan apa yang dilakukan oleh habib-habib itu sampai ada yang mengambil tanah kubur mereka untuk dijadikan sebagai ubat. Ini kerana mereka amat jahil dan fahaman syirik sudah ada dalam minda mereka.

 

مَّوَدَّةَ بَينِكُم فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا

adalah untuk menciptakan perasaan kasih sayang di antara kamu dalam kehidupan dunia ini 

Dalam ayat ini kita belajar salah satu sebab manusia terus melakukan syirik itu. Iaitu kerana ia adalah elemen tautan kasih yang kuat. Allah memberitahu bahawa kadang-kadang manusia itu bukan mahu buat syirik sangat, tetapi kerana dia malu apa kata kawan-kawan mereka yang melakukan syirik itu jikalau mereka tidak bersama dengan mereka.

Mereka takut jikalau mereka disesarkan dari masyarakat dan hilang kasih sayang dari mereka. Kerana orang lain buat, maka mereka pun buat juga kerana hendak mendapat kasih sayang daripada orang lain.

Begitu jugalah dalam masyarakat kita ada yang mengamalkan amalan-amalan bidaah seperti Majlis Tahlil itu kerana mahu mendapat kasih sayang daripada orang lain yang melakukannya juga. Mereka rasa kalau mereka tidak pergi, nanti mereka akan dicemuh dan dikatakan sebagai pemecah belah masyarakat; begitu juga, kalau ada kenduri yang ada sanding, mereka takut kalau tidak pergi kerana takut nanti dikatakan tidak menghormati majlis orang dan hendak memutuskan silaturrahim.

Mengharap kasih sayang sampai menyebabkan buat benda syirik dan bidaah adalah alasan yang tidak patut. Ingatlah yang kasih sayang itu hanya di dunia sahaja dan tidak akan dibawa ke akhirat kerana di akhirat nanti semua akan sibuk dengan hal masing-masing dan akan lari dari kawan dan keluarga mereka sendiri. Kasih sayang itu tidak menyelamatkan sesiapa pun di akhirat kelak.

 

ثُمَّ يَومَ القِيٰمَةِ يَكفُرُ بَعضُكُم بِبَعضٍ

kemudian di hari kiamat sebahagian kamu mengingkari sebahagian (yang lain)

Nanti di akhirat nanti mereka akan menolak sesama diri mereka dan tidak mengaku ada kena mengena. Mereka akan marah kembali kepada kawan-kawan dan ahli keluarga mereka yang telah menyebabkan mereka menyertai majlis syirik dan bidaah. Waktu itu mereka akan mengingkari satu sama lain.

 

وَيَلعَنُ بَعضُكُم بَعضًا

dan sebahagian kamu melaknati sebahagian (yang lain);

Dan mereka akan melaknat sesama mereka dan menyalahkan orang lain yang menyebabkan mereka jadi musyrik. Seperti yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:

{كُلَّمَا دَخَلَتْ أُمَّةٌ لَعَنَتْ أُخْتَهَا}

Setiap suatu umat masuk (ke dalam neraka) mengutuk kawannya (yang menyesatkannya). (Al-A’raf: 38)

Mereka boleh nak bertengkar dan melaknat sesama sendiri tetapi tempat mereka adalah di neraka akhirnya. Dan firman Allah Swt.:

{الأخِلاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلا الْمُتَّقِينَ}

Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa. (Az-Zukhruf: 67)

Dan banyak lagi ayat-ayat lain dalam Al-Qur’an. Maka ingatlah, jangan ikut sahaja amalan kawan dan ahli keluarga kita. Kena pastikan yang ianya adalah benar.

 

وَمَأوٰكُمُ النّارُ

dan tempat kembalimu ialah neraka, 

Bertengkar atau marah di akhirat kelak tidak ada gunanya. Akan masuk neraka juga akhirnya. Kerana tidak boleh nak salahkan orang lain lagi nanti. Tidak boleh guna hujah: “saya ikut dia sahaja, ya Allah… bukan saya nak buat pun… kerana kalau saya tak buat, dia akan pandang serong dengan saya…..”. Alasan ini tidak ada nilai.

 

وَما لَكُم مِّن نّاصِرينَ

dan sekali-kali tak ada bagimu para penolong pun.

Dan bila sudah masuk ke dalam neraka, tidak ada yang boleh tolong sama sekali. Roh Nabi, wali dan malaikat yang mereka sembah itu tidak dapat tolong; kawan dan keluarga yang mereka rapat dulu semasa di dunia dulu pun tidak dapat nak tolong. Dulu mereka mengejar kasih sayang sesama sendiri, tapi tidak ada nilai di akhirat kelak.


 

Ayat 26: Dalam banyak-banyak umat Nabi Ibrahim yang beriman dengan baginda adalah Nabi Luth.

۞ فَئامَنَ لَهُ لوطٌ ۘ وَقالَ إِنّي مُهاجِرٌ إِلىٰ رَبّي ۖ إِنَّهُ هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Lot believed him. [Abraham] said, “Indeed, I will emigrate to [the service of] my Lord. Indeed, He is the Exalted in Might, the Wise.”

(MELAYU)

Maka Luth membenarkan (kenabian)nya. Dan berkatalah Ibrahim: “Sesungguhnya aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku); sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

فَئامَنَ لَهُ لوطٌ

Maka Luth membenarkan (kenabian)nya.

Nabi Luth menyerahkan keseluruhan dirinya kepada Allah (jika dhomir هو yang dimaksudkan adalah Allah).

Juga bermaksud dia beriman dengan Nabi Ibrahim (jika dhomir هو yang dimaksudkan adalah kepada Nabi Ibrahim) kerana Nabi Ibrahim tidak mempunyai banyak pengikut dan salah seorangnya adalah Nabi Luth. Menurut suatu pendapat, Nabi Luth adalah anak saudara lelaki Nabi Ibrahim. Mereka mengatakan bahawa nama baginda adalah Luth ibnu Haran ibnu Azar, dan tiada seorang pun dari kalangan kaumnya yang beriman kepadanya selain Lut dan Sarah (isteri Nabi Ibrahim sendiri).

Kita tahu yang mereka memang ada pertalian kerana apabila para malaikat hendak memusnahkan kaum Nabi Luth (Sodom), mereka telah pergi berjumpa dahulu dengan Nabi Ibrahim untuk memberitahu perkara itu.

Oleh kerana ayat ini disebut selepas cerita Nabi Ibrahim diselamatkan dari api, maka kita boleh katakan yang Nabi Luth beriman kepada Nabi Ibrahim selepas itu. Selepas Nabi Ibrahim keluar dari api itu, maka terkejutlah semua orang. Tapi mereka tidak juga mahu beriman kerana takut dengan apa yang dikenakan kepada Nabi Ibrahim itu. Yang mahu beriman adalah Nabi Luth sahaja.

Tapi ini tidaklah bermakna yang Nabi Luth mengamalkan syirik sebelum itu kerana para Nabi diselamatkan dari melakukan syirik. Maka Nabi Luth tidaklah mengamalkan syirik sebelum itu tapi baginda tidak tahu tentang iman yang sebenarnya sebelum itu.

 

وَقالَ إِنّي مُهاجِرٌ إِلىٰ رَبّي

Dan berkatalah (Ibrahim): “Sesungguhnya aku akan berpindah ke (tempat yang diperintahkan) Tuhanku (kepadaku); 

Setelah dakwah baginda tidak diterima di kampung halamannya, Nabi Ibrahim telah diperintahkan untuk berpindah. Maka Nabi Luth telah mengikut Nabi Ibrahim berpindah juga. Maka Nabi Luth bukannya berasal dari Sodom tapi baginda telah berhijrah ke sana.

Baginda telah mengikut Nabi Ibrahim meninggalkan Iraq menuju ke negeri Syam. Tapi Nabi Ibrahim sendiri bergerak ke banyak tempat di mana selepas sampai ke Syam, baginda telah pergi ke Mekah dan selepas itu ada yang mengatakan baginda telah pergi sampai ke Burma.

 

إِنَّهُ هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ

sesungguhnya Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Maknanya Allah berkuasa untuk menyelamatkan baginda dari apa-apa sahaja. Maka Nabi Ibrahim berserah kepada Allah kerana baginda tahu yang Allah akan menyelamatkannya.

Juga bermaksud Allah berkuasa untuk melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Allah boleh terus azab mereka yang melakukan kesalahan syirik.

Tapi Allah tidak terus azab manusia walaupun mereka telah melakukan kesalahan. Allah beri kesempatan kepada manusia untuk berubah dan baiki amalan dan akidah. Ini adalah atas kebijaksanaan Allah. Kalau Allah terus beri azab kepada manusia yang buat syirik, maka tentulah tidak ada yang tinggal di atas dunia ini lagi.

Juga bermaksud Nabi Ibrahim serahkan apa yang terjadi kepadanya selepas itu kepada kerana apa sahaja yang Allah tentukan, mestilah berdasarkan kepada kebijaksanaan Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Ankabut Ayat 19 – 23 (Dalil kebangkitan semula)

Ayat 19: Ayat ini sampai ayat 23 adalah jumlah mu’taridah. Allah menyelitkan kisah lain di dalam kisah Nabi Ibrahim untuk memberi pengajaran kepada Musyrikin Mekah dan manusia umumnya.

Ini adalah Dalil Aqli I’tirafi kepada kebangkitan semula selepas mati. Musyrikin Mekah tahu bahawa Allah itu Pencipta alam ini, bukannya mereka tidak tahu. Maka kalau mereka sudah tahu yang Allah boleh mencipta alam ini dari asalnya, kenapa mereka tidak terima sahaja yang Allah boleh jadikan semula alam ini semula setelah dihancurkan?

أَوَلَم يَرَوا كَيفَ يُبدِئُ اللهُ الخَلقَ ثُمَّ يُعيدُهُ ۚ إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have they not considered how Allāh begins creation and then repeats it? Indeed that, for Allāh, is easy.

(MELAYU)

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian mengulanginya (kembali). Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

 

أَوَلَم يَرَوا كَيفَ يُبدِئُ اللهُ الخَلقَ ثُمَّ يُعيدُهُ

Dan apakah mereka tidak memperhatikan bagaimana Allah menciptakan (manusia) dari permulaannya, kemudian mengulanginya (kembali).

Maksudnya Allah yang mula-mula mencipta makhluk itu dan Dia akan menjadikannya semula. Allah menciptakan makhluk tanpa contoh dari makhluk yang lain. Macam kita mencipta, kita akan ubahsuai dari benda-benda yang telah ada. Tapi dalam Allah mencipta, Allah tidak gunakan contoh apa-apa pun.

Dan apabila Allah yang mula-mula mencipta, tentulah Allah boleh menjadikannya semula. Dan dari segi logik, apabila Allah yang mula-mula menjadikan, tentulah mudah sahaja bagi Allah untuk menjadikannya semula. Macam kita, kalau sudah pernah berucap, dan kalau nak kena berucap untuk kali yang kedua, tentu ucapan kali kedua itu lebih mudah lagi kerana kita sudah pernah buat. Atau, kalau dia sudah pernah buat sesuatu, kalau kita kena membuatnya semula untuk kali kedua, tentu lebih mudah, bukan?

 

إِنَّ ذٰلِكَ عَلَى اللهِ يَسيرٌ

Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

Tapi untuk menjadikan makhluk dari asal, atau untuk menjadikannya (menghidupkan kembali) apabila akhirat bermula, mudah sahaja bagi Allah. Qudrat Allah tidak ada batasan. Apabila Allah hendak menjadikan sesuatu, Allah hanya sebut ‘kun’ (jadilah), ‘fayakun’ (maka jadilah). Bukan macam kita, kalau nak jadikan sesuatu, banyak usaha yang kita kena buat.

Ini penting untuk difahami kerana ada manusia seperti Musyrikin Mekah yang tidak dapat terima yang Allah mampu untuk menghidupkan semua makhluk yang telah mati. Ini adalah kerana akal mereka tahu yang mereka tidak mampu untuk melakukannya.

Tapi hujah itu salah kerana mereka membandingkan Allah dengan diri mereka. Sepatutnya mereka kena tahu yang Qudrat Allah tidak sama dengan qudrat manusia. Jadi Allah menegaskan yang penciptaan dan penciptaan semula itu mudah sahaja bagi Allah.


 

Ayat 20: Kalau tidak mahu juga beriman.

قُل سيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ بَدَأَ الخَلقَ ۚ ثُمَّ اللهُ يُنشِئُ النَّشأَةَ الآخِرَةَ ۚ إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “Travel through the land and observe how He began creation. Then Allāh will produce the final creation [i.e., development]. Indeed Allāh, over all things, is competent.”

(MELAYU)

Katakanlah: “Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan dari permulaannya, kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

قُل سيروا فِي الأَرضِ فَانظُروا كَيفَ بَدَأَ الخَلقَ

Katakanlah: “Berjalanlah di (muka) bumi, maka perhatikanlah bagaimana Allah menciptakan dari permulaannya,

Seolah-olah kita disuruh untuk melihat bagaimana kejadian alam ini mula-mula terjadi. Maka jangan takut buat kajian. Dan kajian dari saintis setakat yang kita tahu adalah Big Bang Theory yang sama dengan apa yang Allah sebut dalam Al-Qur’an.

Atau, kalau kita mudahkan maknanya: permulaan penciptaan adalah berkenaan segala benda dalam alam ini yang mulanya dicipta oleh Allah taala. Kalau mula-mula Dia yang cipta, tentu Dia boleh cipta lagi, bukan?

 

ثُمَّ اللهُ يُنشِئُ النَّشأَةَ الآخِرَةَ

kemudian Allah menjadikannya sekali lagi. 

Dan Allah terus mencipta kejadian-kejadian baru. Dan kerana itu kita dapat lihat ada makhluk yang musnah dan ada makhluk yang menggantikannya seperti pokok, binatang dan lain-lain lagi. Apabila mati makhluk, ada lagi makhluk lain yang lahir.

Dan kita juga boleh lihat ada sahaja spesis-spesis baru yang dijadikan oleh Allah. Ada spesis baru yang tidak dalam senarai saintis kerana ada sahaja penemuan-penemuan baru dalam alam ini. Memang tidak habis kaji lagi alam ini sebenarnya.

 

إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Semua penciptaan itu dilakukan oleh Allah. Allah memang mampu untuk menjadikan apa sahaja mengikut kehendakNya. Janganlah kita hadkan kuasa Allah. Kuasa Allah amat luas tanpa had.


 

Ayat 21: Jadi kita telah yakin yang Kiamat itu pasti. Dan apabila ada kehidupan semula di akhirat, maka bermaksud ada balasan. Kita bukannya dihidupkan semula untuk menjalani kehidupan sekali lagi seperti kehidupan di dunia.

يُعَذِّبُ مَن يَشاءُ وَيَرحَمُ مَن يَشاءُ ۖ وَإِلَيهِ تُقلَبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He punishes whom He wills and has mercy upon whom He wills, and to Him you will be returned.

(MELAYU)

Allah mengazab siapa yang dikehendaki-Nya, dan memberi rahmat kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan hanya kepada-Nya-lah kamu akan dikembalikan.

 

يُعَذِّبُ مَن يَشاءُ وَيَرحَمُ مَن يَشاءُ

Allah mengazab siapa yang dikehendaki-Nya, dan memberi rahmat kepada siapa yang dikehendaki-Nya,

Keputusan di akhirat kelak adalah dalam Tangan Allah. Allahlah nanti yang akan menentukan siapakah yang layak diberi azab di akhirat dan siapakah nanti yang layak diberi nikmat di syurga. Memang Allah akan adakah mahkamah di akhirat kelak, tapi Allah sudah tahu apakah keputusannya.

Allah adakan mahkamah pengadilan itu untuk puaskan hati manusia sahaja kerana mereka ada peluang untuk berhujah. Tapi keputusan terakhir adalah pada Allah. Disebut dalam satu hadis:

“إِنَّ اللهَ لَوْ عَذَّبَ أَهْلَ سَمَاوَاتِهِ وَأَهْلَ أَرْضِهِ، لَعَذَّبَهُمْ وَهُوَ غَيْرُ ظَالِمٍ لَهُمْ”

Sesungguhnya Allah itu seandainya Dia mengazab semua penduduk langit-Nya dan semua penduduk bumi-Nya, Dia benar-benar akan mengazab mereka, sedangkan Dia tidak berbuat aniaya terhadap mereka.

 

وَإِلَيهِ تُقلَبونَ

dan hanya kepada-Nya-lah kamu akan dikembalikan.

Kalimah tuqlab bermaksud berpusing. Maksudnya kita semua akan berpusing kepada Allah. Maksudnya kita semua akan dikembalikan kepada Allah. Kita tidak akan pergi ke mana-mana lagi. Kita semua sudah pasti akan mati. Dan Allah telah sebutkan yang kita akan dihidupkan semula. Apabila dihidupkan semula, sekarang Allah beritahu kita ke mana; iaitu bertemu denganNya.

Maka kita kena fikirkan, apa yang kita akan bawa mengadap Allah nanti? Adakah kita nak bawa pahala yang banyak atau dosa yang banyak? Fikir-fikirkanlah.


 

Ayat 22: Bolehlah kita melarikan diri dari azab Allah kalau Allah telah tetapkan?

وَما أَنتُم بِمُعجِزينَ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ ۖ وَما لَكُم مِّن دونِ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you will not cause failure [to Allāh] upon the earth or in the heaven. And you have not other than Allāh any protector or any helper.

(MELAYU)

Dan kamu sekali-kali tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah) di bumi dan tidak (pula) di langit dan sekali-kali tiadalah bagimu pelindung dan penolong selain Allah.

 

وَما أَنتُم بِمُعجِزينَ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

Dan kamu sekali-kali tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah) di bumi dan tidak (pula) di langit 

Apabila Allah sudah buat keputusan, memang ia akan kena kepada kita. Kalimah i’jaz bermaksud ‘mengalahkan’. Maksudnya kita tidak dapat mengalahkan kehendak Allah, tidak dapat melarikan diri atau melepaskan diri. Tidak kira sama ada di dunia semasa hidup ini, ataupun di akhirat kelak apabila kita dihidupkan kembali. Allah berfirman tentang ini dalam Rahman:33

يا مَعشَرَ الجِنِّ وَالإِنسِ إِنِ استَطَعتُم أَن تَنفُذوا مِن أَقطارِ السَّماواتِ وَالأَرضِ فَانفُذوا ۚ لا تَنفُذونَ إِلّا بِسُلطانٍ

Hai jama’ah jin dan manusia, jika kamu mampu menembus (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusinya kecuali dengan kekuatan.

Allah hendak beritahu yang walaupun waktu itu Musyrikin Mekah rasa mereka kuat, tetapi mereka tidak berkuasa untuk menundukkan sesiapa pun, lebih-lebih lagi Allah.

 

وَما لَكُم مِّن دونِ اللهِ مِن وَلِيٍّ وَلا نَصيرٍ

dan sekali-kali tiadalah bagimu pelindung dan penolong selain Allah.

Dan apabila Allah sudah buat keputusan untuk kenakan azab, maka tidak ada sesiapa yang boleh tolong. Tiada siapa yang boleh jadi wali – maksudnya tidak ada sesiapa pun yang dapat melindungi mereka dari kena azab.

Tiada siapa yang boleh tolong – maksudnya apabila sudah kenakan dengan azab itu, tidak ada sesiapa pun yang boleh keluarkan mereka dari azab itu.

Maknanya, sebelum kena tak dapat tolong, selepas kena pun tidak dapat tolong. Musyrikin Mekah dan orang yang sangka mereka rapat dengan Nabi, wali dan malaikat sangka yang mereka akan ditolong di akhirat kelak. Ini kerana mereka selalu buat ibadat kepada roh-roh itu, beri salam malam-malam, sedekah Fatihah, selalu sebut nama mereka, selalu lawat kubur mereka dan sebagainya.

Tapi Allah nak beritahu, tidak ada sesiapa pun yang mampu untuk menyelamatkan mereka. Bukan sahaja tidak mampu, tidak akan ada sesiapa pun yang mahu membantu mereka. Tidak ada sesiapa yang teringin nak jadi peguam untuk mereka.


 

Ayat 23: Allah akan azab sesiapa yang dikehendakiNya iaitu mereka yang kufur kepadaNya.

وَالَّذينَ كَفَروا بِئايٰتِ اللهِ وَلِقائِهِ أُولٰئِكَ يَئِسوا مِن رَّحمَتي وَأُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the ones who disbelieve in the signs of Allāh and the meeting with Him – those have despaired of My mercy, and they will have a painful punishment.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah dan pertemuan dengan Dia, mereka putus asa dari rahmat-Ku, dan mereka itu mendapat azab yang pedih.

 

وَالَّذينَ كَفَروا بِئايٰتِ اللهِ وَلِقائِهِ

Dan orang-orang yang kafir terhadap ayat-ayat Allah dan pertemuan dengan Dia,

Mereka tidak percaya kepada tanda-tanda yang Allah berikan. Apabila wahyu disampaikan kepada mereka, mereka buat tidak tahu sahaja. Kafir bermaksud ‘tutup’ bermaksud mereka tutup ayat-ayat wahyu Allah dari diri mereka. Mereka buat tidak tahu. Mereka tutup iman mereka.

Dan kemudian mereka tidak percaya perjumpaan dengan Allah. Mereka rasa mereka hidup di dunia sahaja dan apabila mati, mati terus begitu sahaja.

 

أُولٰئِكَ يَئِسوا مِن رَّحمَتي

mereka putus asa dari rahmat-Ku, 

Mereka itu tidak ada harapan untuk mendapat rahmat (kebaikan) dari Allah. Ini adalah kerana mereka kufur tidak percaya kepada perjumpaan dengan Allah di akhirat. Maka mereka tidak buat persediaan. Dan bila mereka tidak buat persediaan, mereka itu tidak akan ada harapan untuk dapat Rahmat.

Mereka juga tidak berharap kepada Allah. Mereka tidak percaya adanya Tuhan. Ini adalah kerana apabila mereka memperkatakan tentang dunia, mereka kata tidak ada Tuhan. Kerana mereka gunakan logik akal –  “ada banyak ketidakadilan dan sengsara dalam dunia ini, mana mungkin Tuhan ada?” Mereka kata: “di mana Tuhan? Kenapa Tuhan tidak tolong?”.

Mereka menggunakan logik akal sahaja, melihat alam ini dengan mata mereka sahaja. Mereka tidak terima bahawa Allah itu Maha Bijaksana. Mereka tidak mahu menerima hakikat bahawa apa yang terjadi dalam alam ini terjadi kerana kebijaksanaan Allah. Memang nampak macam tidak adil, tapi Allah ada rancanganNya. Dan rancanganNya kadang-kadang kita tidak nampak, kerana akal kita lemah.

 

وَأُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ أَليمٌ

dan mereka itu mendapat azab yang pedih.

Dan akhirnya mereka yang tidak percaya perjumpaan dengan Allah atau kewujudan Allah sendiri, mereka akan menerima azab yang pedih. Mereka akan menjadi orang yang amat rugi. Ini adalah kerana mereka degil untuk menerima kebenaran dan tidak mahu menggunakan akal mereka untuk memikirkan.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 15 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi