Tafsir Surah Rum Ayat 10 – 15 (sikit-sikit Qur’an, sikit-sikit Qur’an)

Ayat 10:

ثُمَّ كانَ عٰقِبَةَ الَّذينَ أَسٰئوا السّوأىٰ أَن كَذَّبوا بِئآيٰتِ اللهِ وَكانوا بِها يَستَهزِئونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then the end of those who did evil was the worst [consequence] because they denied the signs of Allāh and used to ridicule them.

(MELAYU)

Kemudian, akibat orang-orang yang mengerjakan kejahatan adalah (azab) yang lebih buruk, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Allah dan mereka selalu memperolok-oloknya.

 

ثُمَّ كانَ عٰقِبَةَ الَّذينَ أَسٰئوا السّوأىٰ

Kemudian, akibat orang-orang yang mengerjakan kejahatan adalah (azab) yang lebih buruk,

Mereka dikenakan dengan kehancuran itu kerana mereka telah melakukan kejahatan yang paling buruk dan apakah kesalahan mereka itu?

 

أَن كَذَّبوا بِئآيٰتِ اللهِ

kerana mereka mendustakan ayat-ayat Allah

Iaitu mendustakan ayat-ayat Allah dimana mereka kata ayat-ayat itu dusta sahaja, sebab itu mereka tak ikut. Mungkin mereka tidak cakap wahyu itu dusta, tapi apabila mereka tak pakai, seolah-olah mereka kata Al-Qur’an itu dusta sahaja.

 

وَكانوا بِها يَستَهزِئونَ

dan mereka selalu memperolok-oloknya.

Dan lebih teruk lagi, mereka buat olok-olok dengan ayat-ayat Al-Qur’an itu. Sebagai contoh, apabila Nabi Muhammad beritahu kepada Quraisy Mekah yang ahli neraka akan diberikan makanan dengan Zaqqum, mereka buat ejek-ejek: “owh ada juga makanan di neraka. Kawan-kawan, mari kita makan Zaqqum semua….”

Tapi itu orang jahiliah. Kalau orang kita yang memperolokkan Al-Qur’an, maka lagilah teruk. Kerana ada juga orang Islam yang tidak suka dengan Al-Qur’an. Apabila kita sampaikan maksud ayat-ayat Al-Qur’an kepada mereka, ada yang kata: “sikit-sikit Qur’an, sikit-sikit Qur’an, benda lain takde ke?”.


 

Ayat 11: Ayat dalil aqli sebagai tsabit adanya kiamat. Maka orang yang menolak dan memperolokkan Al-Qur’an itu, kena sedar sikit.

اللهُ يَبدَؤا الخَلقَ ثُمَّ يُعيدُهُ ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh begins creation; then He will repeat it; then to Him you will be returned.

(MELAYU)

Allah menciptakan (manusia) dari permulaan, kemudian mengembalikan (menghidupkan)nya kembali; kemudian kepada-Nya-lah kamu dikembalikan

 

اللهُ يَبدَؤا الخَلقَ

Allah menciptakan (manusia) dari permulaan

Allah yang mula-mula menjadikan makhluk dari tiada kepada ada. Allah cipta makhluk tidak memerlukan contoh atau pelan. Allah terus buat sahaja.

Ini berbeza kalau manusia menciptakan sesuatu. Kita pakai contoh perkara yang sudah ada. Macam kenderaan, kita cipta ikut contoh kenderaan yang ada, cuma kita ubah sikit-sikit sahaja.

 

ثُمَّ يُعيدُهُ

kemudian Dia mengembalikan (menghidupkan)nya kembali; 

Dan kemudian Allahlah yang mengembalikan kehidupan itu kembali kepada makhluk yang Dia cipta pertama kali. Dengan kudrat yang sama yang menjadikan alam ini pada asalnya. Jadi jangan hairan sangat bagaimana Allah nak jadikan Kiamat dan akhirat itu. Kerana Allah sudah pernah jadikan alam ini dari tiada kepada ada. Maka apa susahnya bagi Allah nak jadikan alam lain pula?

 

ثُمَّ إِلَيهِ تُرجَعونَ

kemudian kepada-Nya-lah kamu dikembalikan

Allah kembalikan kehidupan itu ada sebabnya. Bukan nak hidupkan balik sahaja. Semua akan dikembalikan untuk dihadapkan kepadaNya dan tidak akan ada yang terkecuali. Dikembalikan itu bukanlah sahaja-sahaja tetapi untuk dihisab dan diberi balasan.


 

Ayat 12: Takhwif Ukhrawi. Apa akan jadi kepada mereka yang menolak Al-Qur’an itu?

وَيَومَ تَقومُ السّاعَةُ يُبلِسُ المُجرِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Day the Hour appears the criminals will be in despair.

(MELAYU)

Dan pada hari terjadinya kiamat, orang-orang yang berdosa terdiam berputus asa.

 

Pada hari kiamat itu nanti orang-orang yang berdosa akan berputus asa kerana mereka tidak akan dapat peluang untuk perbaiki amalan dan akidah mereka lagi. Dan dosa yang disebut sebelum ini adalah dosa mendustakan Al-Qur’an dan memperolokkan Al-Qur’an.

Ibnu Abbas mengatakan bahawa makna yublisu ialah berputus asa, sedangkan menurut Mujahid ertinya dipermalukan, dan menurut riwayat yang lain bersedih hati.

Mereka akan berputus asa untuk menyelamatkan diri mereka. Nak pujuk dan mengadu kepada Allah pun tidak dilayan. Nak minta tolong kepada malaikat penjaga neraka pun tidak dilayan. Nak minta tolong kepada guru-guru dan yang mereka ikut dulu semasa di dunia pun sia-sia sahaja kerana mereka pun tidak dapat menolong. Nak bergantung kepada ilah-ilah seperti Nabi, wali dan malaikat yang diseru dan dipuja dulu pun, mereka yang diseru itu pun tidak mengaku dan tidak akan tolong.


 

Ayat 13: Ini adalah Ayat Nafi Syafaat Qahriyyah. (Ayat menolak syafaat kerana kasih sayang). Memang ada manusia yang berharap kepada ilah-ilah pujaan mereka seperti Nabi, wali dan malaikat. Maka Allah sebut apakah yang akan terjadi.

وَلَم يَكُن لَّهُم مِّن شُرَكائِهِم شُفَعٰؤا وَكانوا بِشُرَكائِهِم كافِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And there will not be for them among their [alleged] partners any intercessors, and they will [then] be disbelievers in their partners.

(MELAYU)

Dan sekali-kali tidak ada pemberi syafa’at bagi mereka dari syarik-syarik mereka dan adalah mereka mengingkari syarik-syarik mereka itu.

 

وَلَم يَكُن لَّهُم مِّن شُرَكائِهِم شُفَعٰؤا

Dan sekali-kali tidak ada pemberi syafa’at bagi mereka dari syarik-syarik mereka

Tidak ada sesiapa pun yang mereka puja dari kalangan roh Nabi, wali ataupun malaikat yang menjadi pemberi syafaat kepada mereka, iaitu yang boleh beri rekomendasi (syafa’at) kepada mereka untuk menyelamatkan mereka dari azab neraka.

Tidak ada Nabi, wali ataupun malaikat yang bangkit dan kata: “orang itu walaupun dia berdosa tetapi dulu semasa dia hidup, dia selalu sembah aku, puji aku, sembelih korban untuk aku, sedekah Fatihah untuk aku dan sebagainya, maka ampunkanlah dia ya Allah.” Tidak ada orang yang akan buat begitu.

Mereka yang dijadikan sebagai pemberi syafaat itu dijadikan ‘syarik’ – maksudnya tandingan kepada Allah, yang berkongsi sifat dengan Allah. Sepatutnya Allah sahaja tempat sembahan dan pujaan, tapi ada juga makhluk yang menyembah dan memuja mereka.

 

وَكانوا بِشُرَكائِهِم كافِرينَ

dan mereka mengingkari syarik-syarik mereka itu.

Nabi, wali dan malaikat yang disembah dan dipuja dahulu tidak akan mengaku penyembahan puak-puak syirik kepada mereka kerana mereka memang tidak tahu menahu pun benda itu. Dan mereka tidak pernah pun suruh mereka disembah dan dipuja.

Dan satu lagi tafsir: apabila pemuja-pemuja dan penyembah-penyembah Nabi, wali dan malaikat itu lihat yang Nabi, wali dan malaikat itu tidak akan menolong mereka, maka waktu itu mereka akan tukar cerita. Mereka akan kata yang mereka tidak pernah sembah dan puja kepada Nabi, wali dan malaikat itu.

Mereka sudah tak mengaku yang mereka pernah melakukan amalan syirik itu. Maknanya, di akhirat nanti mereka tidak akan mengaku yang mereka seru roh Nabi, wali dan malaikat semasa di dunia.


 

Ayat 14: Dan mereka akan dipisahkan.

وَيَومَ تَقومُ السّاعَةُ يَومَئِذٍ يَتَفَرَّقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Day the Hour appears – that Day they will become separated.

(MELAYU)

Dan pada hari terjadinya kiamat, di hari itu mereka akan dipisah-pisahkan.

 

Di akhirat nanti akan dipisahkan antara yang menyeru dan yang diseru. Ini adalah kerana tidak ada kaitan antara mereka walaupun yang menyeru dahulu bersungguh-sungguh melakukan pemujaan kepada ilah-ilah sembahan dan pujaan mereka seperti Nabi, wali dan malaikat itu.

Manusia akan dibahagikan kepada berbagai-bagai puak mengikut hukuman yang Allah akan bagi. Mereka juga akan dipisahkan dari golongan yang beriman. Kerana walaupun sama-sama Muslim, tapi iman tidak sama. Ada manusia yang mengaku sahaja beriman, tapi mereka sebenarnya mengamalkan amalan syirik.

Makhluk akan dibahagikan kepada dua kumpulan yang besar: ahli neraka dan ahli syurga. Qatadah mengatakan, “Demi Allah, itu adalah perpisahan yang tiada pertemuan lagi sesudahnya.” Yakni apabila golongan yang ini diangkat masuk ke dalam syurga yang tinggi dan golongan yang itu direndahkan di dalam neraka yang terbawah, maka itulah akhir pertemuan di antara kedua golongan tersebut.


 

Ayat 15: Allah beri penjelasan bagi maksud ‘puak’. Orang beriman dan orang syirik tidak akan duduk sama.

فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ فَهُم في رَوضَةٍ يُحبَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And as for those who had believed and done righteous deeds, they will be in a garden [of Paradise], delighted.

(MELAYU)

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh, maka mereka di dalam taman (syurga) bergembira.

 

فَأَمَّا الَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh,

Maksud iman yang diterima mestilah ‘iman yang sempurna’. Iaitu iman tanpa syirik. Ini penting untuk difahami kerana ada manusia yang beriman dengan Allah tapi iman mereka tidak sempurna kerana mereka ada fahaman syirik. Kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an, maka mereka tidak faham apakah tauhid dan manakah syirik.

Dan amal soleh mestilah amal yang sunnah. Iaitu amal yang ada contohnya daripada sunnah Nabi dan sahabat. Itulah sahaja amalan ibadah yang diterima. Tapi kerana tidak belajar sunnah, maka ramai dari kalangan masyarakat kita yang mengamalkan amalan bidaah.

 

فَهُم في رَوضَةٍ يُحبَرونَ

maka mereka di dalam taman (syurga) bergembira.

Mereka yang beriman sempurna dan beramal soleh, akan dimasukkan ke dalam syurga. Dan رَوضَةٍ itu adalah bahagian taman yang ada paling banyak warna dan keindahan padanya. Ianya adalah bahagian terbaik dalam taman itu.

Maka maksudnya ahli syurga itu akak ditempatkan di dalam kawasan yang paling cantik dalam syurga itu. Ianya adalah nikmat yang amat besar. Mereka akan bergembira dan akan diberi dengan segala kenikmatan. Nikmat itu pula adalah nikmat yang banyak sangat dan berganda-ganda dari amal yang mereka lakukan.

Menurut Mujahid dan Qatadah, makna yuhbarun ialah bersenang-senang. Menurut Yahya ibnu Abu Kasir ertinya mendengarkan nyanyian. Padahal makna asal dari al-hibrah lebih umum daripada semuanya itu.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 18 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Surah Rum Ayat 6 – 9 (Hanya pandai hal dunia)

Ayat 6:

وَعدَ اللهِ ۖ لا يُخلِفُ اللهُ وَعدَهُ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[It is] the promise of Allāh. Allāh does not fail in His promise, but most of the people do not know.

(MELAYU)

(Sebagai) janji yang sebenarnya dari Allah. Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

 

وَعدَ اللهِ

(Sebagai) janji yang sebenarnya dari Allah.

Janji Allah untuk beri kemenangan kepada umat Islam. Juga janji Allah untuk memberi kemenangan kepada Rum.

 

لا يُخلِفُ اللهُ وَعدَهُ

Allah tidak akan menyalahi janji-Nya,

Ingatlah yang Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Ia pasti akan berlaku. Janji Allah bukan macam janji manusia. Walaupun manusia berjanji untuk melakukan sesuatu, tapi dia bukan boleh tahu takdir, jadi ada kalanya seseorang itu tidak dapat memenuhi janjinya. Bukannya dia berniat untuk memungkiri, tapi kerana dia memang tidak mampu kerana dia hanya manusia.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Kebanyakan manusia hanya nampak kejadian yang zahir sahaja dan mereka tidak nampak kesannya selepas itu. Ini adalah kerana ia termasuk di dalam perkara-perkara ghaib dan manusia tidak ada yang tahu perkara ghaib melainkan yang disampaikan oleh Allah.

Sudahlah mereka tidak tahu perkara ghaib, mereka jauh pula dari wahyu. Maka kerana itu mereka tidak mengetahui. Mereka terus jahil dan terus ditipu oleh dunia.


 

Ayat 7: Ayat zajrun. Allah menegur sifat manusia yang terlalu mementingkan dunia sahaja.

يَعلَمونَ ظٰهِرًا مِّنَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَهُم عَنِ الآخِرَةِ هُم غٰفِلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They know what is apparent of the worldly life, but they, of the Hereafter, are unaware.

(MELAYU)

Mereka hanya mengetahui yang lahir (saja) dari kehidupan dunia; sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.

 

يَعلَمونَ ظٰهِرًا مِّنَ الحَيَوٰةِ الدُّنيا

Mereka hanya mengetahui yang zahir (saja) dari kehidupan dunia;

Manusia hanya nampak perkara yang zahir sahaja dan mereka tidak tahu tentang akhirat. Melainkan hanya yang disampaikan kepada kita melalui wahyuNya. Malangnya kebanyakan manusia tidak mahu ambil tahu maklumat-maklumat akhirat yang ada dalam wahyu ilahi.

Beginilah sifat orang kafir yang hanya melihat pada zahir sahaja. Sebagai contoh, kalau kita gunakan contoh perang, mereka sangka senjata mereka cukup, maka mereka sangka tentu mereka akan menang dalam perang. Mereka tidak lihat pun bab pertolongan Allah. Ini kerana mereka memang tidak percaya dengan Allah dengan sebenarnya.

Begitu jugalah dengan hal dunia dan akhirat. Kebanyakan manusia hanya mementingkan perkara keduniaan sahaja.

 

وَهُم عَنِ الآخِرَةِ هُم غٰفِلونَ

sedang mereka tentang (kehidupan) akhirat adalah lalai.

Dan kerana kebanyakan manusia tidak nampak akhirat itu lagi maka mereka lalai tentang akhirat dan tidak membuat persediaan kepada akhirat kerana mereka hanya nampak dunia yang zahir ini sahaja. Dan kerana itu mereka mengejar-ngejar kelebihan yang mereka nampak pada dunia. Mereka tidak nampak bahawa perbuatan kita di dunia ini memberi kesan kepada nasib kita di akhirat kelak.

Kerana melebihkan dunialah manusia tidak mementingkan ilmu agama. Kalau bab ilmu dunia mereka akan belajar sampai ke universiti, tapi bab agama mereka belajar sambil lewa sahaja. Maka kerana itu ramai yang jahil bab agama. Inilah sifat kebanyakan orang Melayu kita dalam hal agama. Mereka semuanya serahkan sahaja kepada para ustaz. Mereka sendiri tidak ambil inisiatif untuk belajar agama.

Al-Hasan Al-Basri mengatakan, “Demi Allah, kecintaan seseorang dari mereka kepada dunianya benar-benar mencapai batas yang tak terperikan, sehingga ketika dia sedang membolak-balikkan mata wang dirham di atas kukunya, dia dapat menceritakan kepadamu tentang berat kandungan logamnya, padahal dia masih belum dapat melakukan solat dengan baik.”


 

Ayat 8: Ayat 8 – 27 adalah Perenggan Makro Kedua dan ia mengandungi dalil-dalil tentang akhirat. Ayat 8 ini adalah Dalil Aqli.

أَوَلَم يَتَفَكَّروا في أَنفُسِهِم ۗ مّا خَلَقَ اللهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ وَأَجَلٍ مُّسَمًّى ۗ وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ بِلِقاءِ رَبِّهِم لَكٰفِرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Do they not contemplate within themselves?¹ Allāh has not created the heavens and the earth and what is between them except in truth and for a specified term. And indeed, many of the people, in the meeting with their Lord, are disbelievers.

  • An additional meaning is “Do they not contemplate concerning themselves.”

(MELAYU)

Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka? Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar engkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

 

أَوَلَم يَتَفَكَّروا في أَنفُسِهِم

Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) diri mereka?

Ini adalah dalil aqli anfusi. Allah bertanya dan suruh manusia memikirkan tentang kejadian diri mereka sendiri. Begitu hebat sekali kejadian biologi kita ini. Sangat hebat sampaikan banyak lagi yang tidak diketahui oleh para saintis. Ada sahaja penemuan baru tentang tubuh badan kita yang kita dapat baca setiap hari.

 

مّا خَلَقَ اللهُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ وَما بَينَهُما إِلّا بِالحَقِّ

Allah tidak menjadikan langit dan bumi dan apa yang ada diantara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar

Ini adalah dalil aqli afaqi. Allah suruh kita lihat alam yang kita dapat selalu lihat sepanjang hari ini. Allah menjadikan alam ini dengan ada tujuannya dan bukanlah Allah jadikan alam ini sia-sia sahaja. Allah menjadikan alam ini untuk menzahirkan al-haq iaitu Dialah Tuhan, Dilah Maha Pencipta. Maka kenalah seru dan sembah kepadaNya sahaja.

Semua yang terjadi ada tujuannya. Dan kemenangan Parsi ke atas Rum dan kemenangan Rum ke atas Parsi pun bukanlah kejadian yang biasa tetapi ada sebab dan kesan yang Allah hendak jadikan di dalam dunia ini dengan kekalahan dan kemenangan itu.

Antara pendapat yang dikeluarkan oleh ulama tafsir adalah: Allah jadikan kemenangan dan kekalahan Rum dan Parsi itu semata-mata supaya Allah keluarkan ayat ini dan ayat ini lebih penting dari kemenangan dan kekalahan mereka itu dan ayat ini yang kekal sampai ke hari kiamat. Kerajaan Rum dan Parsi memang tidak kekal tapi ayat-ayat Al-Qur’an ini yang kekal, bukan?

 

وَأَجَلٍ مُّسَمًّى

dan waktu yang ditentukan.

Semuanya ada ajalnya masing-masing. Dan kita pun boleh lihat kerajaan Rum dan Parsi itu memang sudah tidak ada lagi. Maknanya telah sampai ajalnya.

Tidaklah Allah jadikan alam ini melainkan dengan ada sebab dan bukan itu sahaja, semua makhluk itu ada ajalnya sendiri. Manusia ada ajal dan kerajaan juga ada ajalnya. Dan semua nanti akan musnah pada ‘ajal terbesar’. Itulah hari kiamat.

Dan hari kiamat itu ada banyak nama dan kerana itu ia dipanggil مُّسَمًّى (yang telah diberi nama). Ianya dikenali dengan banyak nama.

 

وَإِنَّ كَثيرًا مِّنَ النّاسِ بِلِقاءِ رَبِّهِم لَكٰفِرونَ

Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar engkar akan pertemuan dengan Tuhannya.

Akan tetapi kebanyakan manusia tidak percaya kepada perjumpaan dengan Allah SWT. Oleh kerana itu mereka leka dengan kehidupan mereka di dunia. Mereka buat ikut suka mereka sahaja. Mereka tidak buat persediaan untuk akhirat. Akhirnya nanti mereka akan rugi serugi-ruginya.


 

Ayat 9: Takhwif duniawi. Allah nak beri manusia takut supaya manusia beringat.

أَوَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كانوا أَشَدَّ مِنهُم قُوَّةً وَأَثارُوا الأَرضَ وَعَمَروها أَكثَرَ مِمّا عَمَروها وَجاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ ۖ فَما كانَ اللهُ لِيَظلِمَهُم وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Have they not traveled through the earth and observed how was the end of those before them? They were greater than them in power, and they plowed [or excavated] the earth and built it up more than they [i.e., the Makkans] have built it up, and their messengers came to them with clear evidences. And Allāh would not ever have wronged them, but they were wronging themselves.

(MELAYU)

Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka? Orang-orang itu adalah lebih kuat dari mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan. Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata. Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri.

 

أَوَلَم يَسيروا فِي الأَرضِ

Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi

Kalau masih berdegil juga, kenapa tidak berjalan tengok alam ini? Tengoklah kepada peninggalan kaum-kaum yang dahulu.

 

فَيَنظُروا كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الَّذينَ مِن قَبلِهِم

dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang sebelum mereka?

Tidakkah musyrikin Mekah itu berjalan di muka bumi dan melihat kesan-kesan peninggalan kaum-kaum yang terdahulu dari mereka yang telah dimusnahkan? Contohnya tempat kaum Aad dan Tsamud, Sodom, Mesir dan sebagainya? Mereka itu semua sudah tidak ada kerana dimusnahkan oleh Allah kerana kedegilan mereka menerima akidah tauhid.

 

كانوا أَشَدَّ مِنهُم قُوَّةً

Orang-orang itu lebih kuat dari mereka 

Kaum-kaum yang telah dimusnahkan itu lebih kuat daripada Arab Mekah. Mereka itu gagah tubuh badannya dan kuasa ketenteraan mereka lagi besar. Teknologi mereka pun lagi hebat. Arab Mekah sangka mereka kuat, tapi umat terdahulu lagi kuat.

 

وَأَثارُوا الأَرضَ

dan telah mengolah bumi

Kalimah athara bermaksud mengorek tanah dan menanam; dan ini bermaksud orang yang terdahulu itu lebih banyak bercucuk tanam daripada penduduk Mekah dan pada zaman itu kebanyakan daripada pendapatan adalah daripada hasil pertanian. Maka kaum-kaum dulu itu lebih kaya daripada penduduk Mekah.

Orang Mekah tidak kaya mana. Tanah mereka tidak subur dan kerana itu makanan pun harap dari tempat lain. Jadi jangan berlagak sangat.

 

وَعَمَروها أَكثَرَ مِمّا عَمَروها

serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan. 

Amara bermaksud pembinaan yang diadakan di atas tanah dan ini bermaksud kaum-kaum terdahulu itu lebih banyak membuat binaan dan monumen kalau dibandingkan dengan penduduk Mekah yang boleh dikatakan tidak ada apa-apa. Mereka cuma ada Kaabah sahaja. Rumah-rumah mereka dari tanah liat sahaja dan tidak ada binaan-binaan lain pun. Lihatlah contoh peninggalan dari Kaum Aad di Petra dan Piramid Firaun di Mesir itu.

Jadi Allah nak perli kepada musyrikin Mekah itu – mereka tidak ada apa pun kalau dibandingkan dengan umat dahulu. Tapi umat dahulu walaupun lagi hebat dari Arab Mekah, tetapi mereka tetap dihancurkan. Jadi kalau Arab Mekah yang lebih rendah itu, apakah Allah nak tahan dari dimusnahkan? Tidak sama sekali. Kalau Allah nak musnahkan, senang sahaja.

Kenapa umat-umat yang terdahulu itu Allah musnahkan?

 

وَجاءَتهُم رُسُلُهُم بِالبَيِّنٰتِ

Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata. 

Kaum-kaum terdahulu itu juga telah didatangi oleh para rasul mereka dan mereka juga telah menolak para rasul itu sebagaimana yang dilakukan oleh musyrikin Mekah.

Maka kerana kedegilan mereka itu, Allah musnahkan mereka. Dan kesannya Arab Mekah boleh lihat di sekeliling mereka. Maka Allah nak tanya: mereka nak jadi macam kaum yang telah dimusnahkan itu kah?

 

فَما كانَ اللهُ لِيَظلِمَهُم

Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka,

Walaupun Allah telah memusnahkan banyak golongan manusia dan tamadun, tetapi tidaklah Allah menzalimi mereka. Allah tidak pernah zalim dan dan tidak akan zalim. Jadi, kenapa mereka dimusnahkan?

 

وَلٰكِن كانوا أَنفُسَهُم يَظلِمونَ

akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri.

Mereka dikenakan dengan azab dan kehancuran itu kerana mereka sendiri yang telah berbuat kezaliman. Mereka duduk di atas bumi Allah tetapi tidak menyembah Allah secara eksklusif. Ada yang sembah Allah tapi dalam masa yang sama, mereka sembah juga selain Allah.

Maka tidak salahlah Allah apabila menghancurkan mereka. Mereka memang layak dihancurkan. Dan begitu juga Arab Mekah dan juga sesiapa sahaja yang engkar kepada Allah, Allah boleh hancurkan dan kalau mereka dihancurkan, Allah tidak zalim langsung.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 17 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Rum Ayat 1 – 5 (Kalah dan menang dalam tangan Allah)

Pengenalan:

Ada kaitan antara surah-surah dalam ayat Al-Qur’an ini. Ini dinamakan Robtus Suwaar. Kerana itu kalau kita lihat, dari Surah Ankabut hingga Surah Sajdah, kandungan ke-empat-empat surah ini lebih kurang sama. Ia adalah seperti satu kumpulan surah yang berkaitan. Tapi Surah Ankabut lebih rapat dengan Surah Luqman dan Surah Rum lebih rapat dengan Surat Sajdah. Jadi, ia seolah-olah berselang.

Surah ini diturunkan pada tahun kelima kenabian dan waktu itu Nabi Muhammad di Mekah. Ayat-ayat ini diturunkan ketika Sabur (Raja Persia) berhasil mengalahkan tentera Romawi dan berhasil merebut negeri-negeri Syam serta bahagian lainnya yang termasuk ke dalam wilayah kerajaan Romawi dari tanah Jazirah Arabia, juga sebahagian besar wilayah kerajaan Romawi, sehingga Kaisar Romawi Heraklius terpaksa mundur ke kota Konstantinopel.

Dia dikepung oleh Raja Sabur dan bala tenteranya di kota Konstantinopel dalam waktu yang cukup lama, tetapi pada akhirnya kawasan kerajaan Romawi berhasil direbut kembali oleh Heraklius dari tangan orang-orang Persia, sebagaimana yang akan dijelaskan berikutnya. Heraklius inilah yang bertanya kepada Abu Sufyan tentang agama Islam di dalam hadis yang masyhur.

Dakwa Surah ini adalah pada ayat yang ke-17. Kemenangan yang diberikan adalah atas akidah tauhid. Kerana umat Islam tetap tegar atas akidah tauhidlah yang menyebabkan Allah memberikan kemenangan itu.


 

Ayat 1: Surah ini mengandungi 8 Perenggan Makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi berita kemenangan Rum selepas kalah dengan Parsi. Ia mengandungi berita masa hadapan yang hanya boleh dilakukan oleh Allah sahaja kerana Allah sahaja yang tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.

الم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Ar-Rūm: The Byzantines (of the Eastern Roman Empire) or Romaeans.

Alif, Lām, Meem.

(MELAYU)

Alif Laam Miim

 

Ini adalah Ayat Muqatta’ah dan termasuk dalam perkara mutashabihat. Maka kita tidak tahu apakah maksudnya. Ini kerana Allah tidak jelaskan dan begitu juga Nabi Muhammad tidak memberitahu kita apakah maknanya. Maka kita tidak dapat nak terjemah dan tafsir huruf-huruf ini kerana ianya adalah rahsia Allah. Boleh baca penerangannya dalam surah lain.


 

Ayat 2: Allah memberitahu maklumat terkini pada waktu itu. Iaitu tentang kekalahan Rum.

غُلِبَتِ الرّومُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

The Byzantines have been defeated¹

  • By the Persians.

(MELAYU)

Telah dikalahkan Rumawi,

 

Bangsa Rum/Rom/Romawi berasal dari keturunan Al-Isa ibnu Ishaq ibnu Ibrahim a.s. Mereka asalnya beragama Yunani sembah bintang. Raja pertama yang memeluk agama Nasrani dari kalangan raja-raja Romawi adalah Konstantin ibnu Qastus. Ibunya bernama Maryam Al-Hailaniyah Al-Gandaqiyah dari tanah Haran.

Pada mulanya dialah yang lebih dahulu masuk agama Nasrani, lalu mengajak anaknya untuk memeluk agama Nasrani. Kesimpulannya ialah mereka tetap berpegang pada agama Nasrani. Setiap kali Kaisar meninggal dunia, kedudukannya diganti oleh penggantinya hingga kaisar yang terakhir bernama Heraklius.

Dia adalah seorang cendekiawan, raja yang berwibawa, paling luas wawasannya, serta paling jitu pendapatnya. Di bawah kepemimpinannya kekaisaran Romawi mencapai masa keemasannya sehingga sebanding dengan kerajaan Persia.

Kisra (Raja Persia) menguasai banyak negeri yang luas, seperti Irak, Khurasan, Ray, dan negeri-negeri lainnya yang bukan bangsa Arab penduduknya. Nama Raja Persia ketika itu adalah Sabur yang dijuluki dengan nama Zul Aktaf. Kerajaan Persia jauh lebih besar daripada kerajaan Romawi; tampuk kepemimpinan orang-orang ‘Ajam dan bangsa Persia berada di tangan kekuasaannya, dan mereka adalah penyembah api.

Maksud ayat ini, kerajaan Rum telah dikalahkan di dalam peperangan pada masa ayat ini diturunkan. Waktu itu kerajaan yang lagi satu adalah kerajaan Parsi. Rom waktu ini adalah kerajaan Kristian dan kerajaan Parsi golongan musyrik iaitu mereka adalah penyembah api. Jadi dua kerajaan ini adalah dua kerajaan besar pada zaman itu. Kalau zaman sekarang, seperti USA dan Russia.

Oleh kerana dua-duanya kuat dan hendak mengatasi satu sama lain, maka peperangan selalu berlaku di antara kerajaan Rom dan Parsi. Kadang-kadang peperangan dimenangi oleh kerajaan Rom dan kadang-kadang dimenangi oleh Parsi.

Orang-orang musyrik menjumpai sahabat Nabi Saw. dan mengata­kan, “Sesungguhnya kalian Ahli Kitab dan orang Nasrani pun Ahli Kitab, sedangkan kami adalah orang-orang ummi. Dan saudara-saudara kami bangsa Persia (yakni dalam hal akidah) beroleh kemenangan atas saudara-saudara kalian Ahli Kitab. Dan sesungguhnya jika kalian memerangi kami, pastilah kami pun akan beroleh kemenangan atas kalian.” Maka Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Alif Lam Mim, Telah dikalahkan bangsa Romawi di negeri yang terdekat. (Ar-Rum: 1-3) sampai dengan firman-Nya: Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. (Ar-Rum:5)

Kekalahan Rum yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah pada tahun 615 Masihi dan kerana kekalahan itu, Musyrikin Mekah telah berpesta. Kerana mereka menyokong kerajaan Parsi. Ini macam pasukan bolasepak pilihan telah menang liga. Mereka tidak ada dapat apa pun tapi mereka suka kerana pasukan yang mereka sokong telah menang.

Musyrikin Mekah suka apabila Parsi menang kerana mereka rasa lebih rapat dengan Parsi kerana Parsi itu agamanya menyembah api dan mereka pula menyembah berhala. Jadi ada persamaan antara mereka. Dan memang selepas mengalahkan Tentera Kristian Rum dan menakluk Palestin, ketua kerajaan Parsi waktu itu telah mengatakan yang kemenangan itu menunjukkan kebenaran agama sembahan api (agama Magian) mereka.

Sedangkan golongan Rum itu adalah beragama Kristian dan mereka ada kitab wahyu (Injil) seperti juga umat Islam (Al-Qur’an). Umat Islam pula rasa rapat dengan Rum kerana persamaan itu. Memang pada awal Islam, umat Islam merasa yang Kristian dan juga Yahudi akan masuk Islam akhirnya kerana terdapat persamaan yang banyak antara mereka.

Sangkaan umat Islam waktu itu, nanti apabila mereka dapat berjumpa dengan Yahudi dan Kristian, tentulah mereka akan rela masuk Islam beramai-ramai kerana memang sudah ada persamaan akidah. Walaupun agama mereka telah rosak tapi mereka masih lagi percaya kepada satu Tuhan, percaya kepada para Nabi dan juga percaya kepada Hari Akhirat.

Para sahabat menganggap agama berteraskan wahyu sebelum itu adalah Islam sehinggalah mereka tahu tentang Nabi dan Rasul yang baru (Nabi Muhammad SAW). Dan memang waktu itu baru tahun kelima dan Kristian memang belum tahu tentang kenabian Nabi Muhammad. (Tapi para sahabat mungkin tidak menganggap Yahudi sebagai Muslim lagi kerana mereka telah menolak kenabian Nabi Isa a.s.)

Jadi pada tahun kelima kenabian ini, umat Islam rasa mereka berada di pihak Rum yang waktu itu sedang kalah di dalam peperangan. Mereka juga bersedih kerana perkara ini.


 

Ayat 3: Ayat ini adalah ayat mukjizat yang menunjukkan kehebatan dan kebenaran Al-Qur’an. Allah menyebut maklumat yang Allah sahaja yang boleh sampaikan pada waktu itu.

في أَدنَى الأَرضِ وَهُم مِّن بَعدِ غَلَبِهِم سَيَغلِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In the nearest land. But they, after their defeat, will overcome

(MELAYU)

di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang

 

في أَدنَى الأَرضِ

di negeri yang terdekat

Iaitu kejadian kekalahan perang itu dekat sahaja dengan kedudukan Mekah. Tempatnya di antara Azri’at dan Basra, kawasan negeri Syam.

Dalam surah sebelum ini ada diberitahu bagaimana ada Musyrikin Mekah yang takut mereka dihalau dari Mekah kalau beriman dengan Nabi Muhammad dan Allah beritahu di sekeliling mereka banyak berlaku peperangan tetapi mereka tetap selamat pun; dan sekarang Allah menceritakan bagaimana ada peperangan besar yang berlaku dekat sahaja dengan mereka tetapi mereka tetap selamat.

Kalimah أَدْنَى boleh bermaksud ‘terdekat’ atau ‘terendah’. Peperangan itu juga jadinya berdekatan dengan Laut Mati dan itu adalah tempat paling rendah dalam dunia (423 meter bawah paras laut). Tentu sekali maklumat ini tidak diketahui oleh Nabi Muhammad dan ini adalah isyarat lagi yang memang ianya diberikan oleh Allah. Ini boleh dibaca di sini: http://www.miracles-of-quran.com/dead_sea.htm

 

وَهُم مِّن بَعدِ غَلَبِهِم سَيَغلِبونَ

dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang

Allah memberitahu maklumat masa hadapan – Kerajaan Rum akan menang kembali. Walaupun waktu itu mereka kalah teruk pun tapi mereka akan menang kembali.

Dan apabila mendengar tentang ini, Musyrikin Mekah tidak percaya sama sekali ayat ini kerana mereka lihat yang kekalahan yang dialami oleh Rum itu amat teruk. Mereka tak nampak yang Rum akan kembali bangkit. Sampaikan ada yang bertaruh dengan Abu Bakr yang Rum pasti tidak akan menang kembali.

Dan Abu Bakar bersetuju untuk bertaruh sebanyak 10 ekor unta. Ini kerana Abu Bakr percaya sungguh dengan wahyu. Waktu itu pertaruhan belum diharamkan lagi. Dan Abu Bakr tak makan pun hasil kemenangan itu kerana Nabi suruh sedekahkan.


 

Ayat 4: Bilakah kemenangan itu? Allah siap sebut bila ia akan terjadi.

في بِضعِ سِنينَ ۗ ِلِلهِ الأَمرُ مِن قَبلُ وَمِن بَعدُ ۚ وَيَومَئِذٍ يَفرَحُ المُؤمِنونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Within three to nine years. To Allāh belongs the command [i.e., decree] before and after. And that day the believers will rejoice

(MELAYU)

dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah. Dan di hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman,

 

في بِضعِ سِنينَ

dalam beberapa tahun lagi.

Dalam ‘beberapa tahun’ lagi Rum pasti akan menang. Dan kalimah yang digunakan adalah بِضعِ yang dalam bahasa Arab bermaksud antara tiga ke sembilan tahun.

Maka tentang pertaruhan Abu Bakr dengan seorang Musyrikin Mekah itu Nabi Muhammad suruh tukarkan tahunnya supaya menjadi sehingga sembilan tahun dan tambah bilangan unta pertaruhan itu. Jadikan sehingga 100 ekor unta. Kerana asalnya Abu Bakr kata Rum akan menang dalam masa tiga tahun sahaja. Sedangkan julat masa itu adalah antara 3-9 tahun.

Dan tepat sembilan tahun selepas ayat itu diturunkan, memang benar kerajaan Rum telah kembali naik dan telah memenangi peperangan yang besar mengalahkan Parsi.

 

ِلِلهِ الأَمرُ مِن قَبلُ وَمِن بَعدُ

Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah

Allahlah yang menentukan apa-apa yang akan terjadi. Allah yang menguruskan segala-galanya sebelum kemenangan itu dan selepas kemenangan itu dan Allah menguasai sepanjang waktu. Allah boleh beri kalah dan Allah boleh kemenangan.

Jangan sangka yang apabila Rum kalah, itu bermakna kerajaan Allah yang kalah. Kerana kekalahan Rum itu adalah kehendak Allah juga. Sebelum itu Allah tetap berkuasa dan selepas itu juga Allah tetap berkuasa. Allah tidak pernah hilang kekuasaanNya.

 

وَيَومَئِذٍ يَفرَحُ المُؤمِنونَ

Dan di hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman,

Dan Allah memberitahu yang pada hari kemenangan tentera Rum itu, orang-orang mukmin akan bergembira.

Dan ini agak pelik kerana sembilan tahun selepas ayat ini diturunkan, umat Islam telah bertemu dengan orang-orang Yahudi dan juga Kristian (di Madinah) dan kita pun tahu yang harapan orang Islam terhadap mereka telah musnah kerana ahli kitab tidak mahu pun masuk Islam.

Waktu itu ahli kitab tidak mahu mengiktiraf kebenaran Nabi Muhammad dan Islam. Mereka telah menolak untuk bergabung dengan umat Islam. Maka kenapa mereka tetap bergembira apabila Rum menang?

Rupanya, pada masa yang sama iaitu sembilan tahun selepas ayat ini diturunkan, umat Islam berperang di Badr dan telah mengalami kemenangan mengalahkan tentera Musyrikin Mekah. Jadi yang Allah maksudkan di dalam ayat ini adalah kemenangan di Badr dan bukannya kemenangan Rum itu sahaja.

Allah memberitahunya awal-awal lagi iaitu sembilan tahun sebelum kejadian itu. Mungkin semasa ayat ini diturunkan, para sahabat pun tidak sangka kerana mereka menyangka yang kemenangan yang dimaksudkan adalah kemenangan Rum ke atas Parsi tetapi tidak begitu sebenarnya. Jadi ini adalah salah satu dari bukti kemukjizatan Al-Qur’an.


 

Ayat 5:

بِنَصرِ اللهِ ۚ يَنصُرُ مَن يَشاءُ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

In the victory of Allāh.¹ He gives victory to whom He wills, and He is the Exalted in Might, the Merciful.

  • i.e., the victory given by Allāh to a people of the Scripture (Christians) over the Magians of Persia.

(MELAYU)

Kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang.

 

بِنَصرِ اللهِ

Kerana pertolongan Allah.

Allah membantu dan memberi kemenangan kepada umat Islam di Perang Badr. Kemenangan itu bukanlah kerana kekuatan umat Islam kerana mereka memang masih lemah lagi waktu itu. Dan kemenangan Rum ke atas Parsi itu juga adalah kerana pertolongan dari Allah juga. Semuanya dalam taqdir Allah.

Allah beri kemenangan kepada orang mukmin di Madinah kerana akidah tauhid mereka dan bukan sebab lain. Maknanya Allah tetap boleh beri kemenangan walaupun dari segi logik, susah nak menang. Bilangan tentera kafir Mekah lebih besar dari bilangan tentera Islam waktu itu. Tapi Allah boleh beri kemenangan juga kerana kalah dan menang adalah dalam Tangan Allah.

 

يَنصُرُ مَن يَشاءُ

Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya.

Memang Allah membantu sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Terutama kepada tentera Islam. Asalkan tentera Islam ikut syarat-syaratnya. Dan ini telah disebut dalam Surah Baqarah. Ringkasnya, tentera Islam kena jaga akidah dan taat kepada pemimpin. Apabila taat, kemenangan pasti dalam tangan umat Islam.

 

وَهُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ

Dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang.

Allah berkuasa untuk menentukan apa sahaja. Tidak ada yang dapat menghalang. Kalau Allah nak beri kemenangan kepada umat Islam, tiada siapa yang boleh kalahkan.

Dan Allah beri kemenangan itu kerana kasihNya kepada hambaNya yang taat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 17 Jun 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Tafsir Ibn Kathir