Pengenalan:
Ada kaitan antara surah-surah dalam ayat Al-Qur’an ini. Ini dinamakan Robtus Suwaar. Kerana itu kalau kita lihat, dari Surah Ankabut hingga Surah Sajdah, kandungan ke-empat-empat surah ini lebih kurang sama. Ia adalah seperti satu kumpulan surah yang berkaitan. Tapi Surah Ankabut lebih rapat dengan Surah Luqman dan Surah Rum lebih rapat dengan Surat Sajdah. Jadi, ia seolah-olah berselang.
Surah ini diturunkan pada tahun kelima kenabian dan waktu itu Nabi Muhammad di Mekah. Ayat-ayat ini diturunkan ketika Sabur (Raja Persia) berhasil mengalahkan tentera Romawi dan berhasil merebut negeri-negeri Syam serta bahagian lainnya yang termasuk ke dalam wilayah kerajaan Romawi dari tanah Jazirah Arabia, juga sebahagian besar wilayah kerajaan Romawi, sehingga Kaisar Romawi Heraklius terpaksa mundur ke kota Konstantinopel.
Dia dikepung oleh Raja Sabur dan bala tenteranya di kota Konstantinopel dalam waktu yang cukup lama, tetapi pada akhirnya kawasan kerajaan Romawi berhasil direbut kembali oleh Heraklius dari tangan orang-orang Persia, sebagaimana yang akan dijelaskan berikutnya. Heraklius inilah yang bertanya kepada Abu Sufyan tentang agama Islam di dalam hadis yang masyhur.
Dakwa Surah ini adalah pada ayat yang ke-17. Kemenangan yang diberikan adalah atas akidah tauhid. Kerana umat Islam tetap tegar atas akidah tauhidlah yang menyebabkan Allah memberikan kemenangan itu.
Ayat 1: Surah ini mengandungi 8 Perenggan Makro. Ayat 1 – 7 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia mengandungi berita kemenangan Rum selepas kalah dengan Parsi. Ia mengandungi berita masa hadapan yang hanya boleh dilakukan oleh Allah sahaja kerana Allah sahaja yang tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.
الم
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Ar-Rūm: The Byzantines (of the Eastern Roman Empire) or Romaeans.
Alif, Lām, Meem.
(MELAYU)
Alif Laam Miim
Ini adalah Ayat Muqatta’ah dan termasuk dalam perkara mutashabihat. Maka kita tidak tahu apakah maksudnya. Ini kerana Allah tidak jelaskan dan begitu juga Nabi Muhammad tidak memberitahu kita apakah maknanya. Maka kita tidak dapat nak terjemah dan tafsir huruf-huruf ini kerana ianya adalah rahsia Allah. Boleh baca penerangannya dalam surah lain.
Ayat 2: Allah memberitahu maklumat terkini pada waktu itu. Iaitu tentang kekalahan Rum.
غُلِبَتِ الرّومُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
The Byzantines have been defeated¹
- By the Persians.
(MELAYU)
Telah dikalahkan Rumawi,
Bangsa Rum/Rom/Romawi berasal dari keturunan Al-Isa ibnu Ishaq ibnu Ibrahim a.s. Mereka asalnya beragama Yunani sembah bintang. Raja pertama yang memeluk agama Nasrani dari kalangan raja-raja Romawi adalah Konstantin ibnu Qastus. Ibunya bernama Maryam Al-Hailaniyah Al-Gandaqiyah dari tanah Haran.
Pada mulanya dialah yang lebih dahulu masuk agama Nasrani, lalu mengajak anaknya untuk memeluk agama Nasrani. Kesimpulannya ialah mereka tetap berpegang pada agama Nasrani. Setiap kali Kaisar meninggal dunia, kedudukannya diganti oleh penggantinya hingga kaisar yang terakhir bernama Heraklius.
Dia adalah seorang cendekiawan, raja yang berwibawa, paling luas wawasannya, serta paling jitu pendapatnya. Di bawah kepemimpinannya kekaisaran Romawi mencapai masa keemasannya sehingga sebanding dengan kerajaan Persia.
Kisra (Raja Persia) menguasai banyak negeri yang luas, seperti Irak, Khurasan, Ray, dan negeri-negeri lainnya yang bukan bangsa Arab penduduknya. Nama Raja Persia ketika itu adalah Sabur yang dijuluki dengan nama Zul Aktaf. Kerajaan Persia jauh lebih besar daripada kerajaan Romawi; tampuk kepemimpinan orang-orang ‘Ajam dan bangsa Persia berada di tangan kekuasaannya, dan mereka adalah penyembah api.
Maksud ayat ini, kerajaan Rum telah dikalahkan di dalam peperangan pada masa ayat ini diturunkan. Waktu itu kerajaan yang lagi satu adalah kerajaan Parsi. Rom waktu ini adalah kerajaan Kristian dan kerajaan Parsi golongan musyrik iaitu mereka adalah penyembah api. Jadi dua kerajaan ini adalah dua kerajaan besar pada zaman itu. Kalau zaman sekarang, seperti USA dan Russia.
Oleh kerana dua-duanya kuat dan hendak mengatasi satu sama lain, maka peperangan selalu berlaku di antara kerajaan Rom dan Parsi. Kadang-kadang peperangan dimenangi oleh kerajaan Rom dan kadang-kadang dimenangi oleh Parsi.
Orang-orang musyrik menjumpai sahabat Nabi Saw. dan mengatakan, “Sesungguhnya kalian Ahli Kitab dan orang Nasrani pun Ahli Kitab, sedangkan kami adalah orang-orang ummi. Dan saudara-saudara kami bangsa Persia (yakni dalam hal akidah) beroleh kemenangan atas saudara-saudara kalian Ahli Kitab. Dan sesungguhnya jika kalian memerangi kami, pastilah kami pun akan beroleh kemenangan atas kalian.” Maka Allah Swt. menurunkan firman-Nya: Alif Lam Mim, Telah dikalahkan bangsa Romawi di negeri yang terdekat. (Ar-Rum: 1-3) sampai dengan firman-Nya: Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. (Ar-Rum:5)
Kekalahan Rum yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah pada tahun 615 Masihi dan kerana kekalahan itu, Musyrikin Mekah telah berpesta. Kerana mereka menyokong kerajaan Parsi. Ini macam pasukan bolasepak pilihan telah menang liga. Mereka tidak ada dapat apa pun tapi mereka suka kerana pasukan yang mereka sokong telah menang.
Musyrikin Mekah suka apabila Parsi menang kerana mereka rasa lebih rapat dengan Parsi kerana Parsi itu agamanya menyembah api dan mereka pula menyembah berhala. Jadi ada persamaan antara mereka. Dan memang selepas mengalahkan Tentera Kristian Rum dan menakluk Palestin, ketua kerajaan Parsi waktu itu telah mengatakan yang kemenangan itu menunjukkan kebenaran agama sembahan api (agama Magian) mereka.
Sedangkan golongan Rum itu adalah beragama Kristian dan mereka ada kitab wahyu (Injil) seperti juga umat Islam (Al-Qur’an). Umat Islam pula rasa rapat dengan Rum kerana persamaan itu. Memang pada awal Islam, umat Islam merasa yang Kristian dan juga Yahudi akan masuk Islam akhirnya kerana terdapat persamaan yang banyak antara mereka.
Sangkaan umat Islam waktu itu, nanti apabila mereka dapat berjumpa dengan Yahudi dan Kristian, tentulah mereka akan rela masuk Islam beramai-ramai kerana memang sudah ada persamaan akidah. Walaupun agama mereka telah rosak tapi mereka masih lagi percaya kepada satu Tuhan, percaya kepada para Nabi dan juga percaya kepada Hari Akhirat.
Para sahabat menganggap agama berteraskan wahyu sebelum itu adalah Islam sehinggalah mereka tahu tentang Nabi dan Rasul yang baru (Nabi Muhammad SAW). Dan memang waktu itu baru tahun kelima dan Kristian memang belum tahu tentang kenabian Nabi Muhammad. (Tapi para sahabat mungkin tidak menganggap Yahudi sebagai Muslim lagi kerana mereka telah menolak kenabian Nabi Isa a.s.)
Jadi pada tahun kelima kenabian ini, umat Islam rasa mereka berada di pihak Rum yang waktu itu sedang kalah di dalam peperangan. Mereka juga bersedih kerana perkara ini.
Ayat 3: Ayat ini adalah ayat mukjizat yang menunjukkan kehebatan dan kebenaran Al-Qur’an. Allah menyebut maklumat yang Allah sahaja yang boleh sampaikan pada waktu itu.
في أَدنَى الأَرضِ وَهُم مِّن بَعدِ غَلَبِهِم سَيَغلِبونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
In the nearest land. But they, after their defeat, will overcome
(MELAYU)
di negeri yang terdekat dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang
في أَدنَى الأَرضِ
di negeri yang terdekat
Iaitu kejadian kekalahan perang itu dekat sahaja dengan kedudukan Mekah. Tempatnya di antara Azri’at dan Basra, kawasan negeri Syam.
Dalam surah sebelum ini ada diberitahu bagaimana ada Musyrikin Mekah yang takut mereka dihalau dari Mekah kalau beriman dengan Nabi Muhammad dan Allah beritahu di sekeliling mereka banyak berlaku peperangan tetapi mereka tetap selamat pun; dan sekarang Allah menceritakan bagaimana ada peperangan besar yang berlaku dekat sahaja dengan mereka tetapi mereka tetap selamat.
Kalimah أَدْنَى boleh bermaksud ‘terdekat’ atau ‘terendah’. Peperangan itu juga jadinya berdekatan dengan Laut Mati dan itu adalah tempat paling rendah dalam dunia (423 meter bawah paras laut). Tentu sekali maklumat ini tidak diketahui oleh Nabi Muhammad dan ini adalah isyarat lagi yang memang ianya diberikan oleh Allah. Ini boleh dibaca di sini: http://www.miracles-of-quran.com/dead_sea.htm
وَهُم مِّن بَعدِ غَلَبِهِم سَيَغلِبونَ
dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang
Allah memberitahu maklumat masa hadapan – Kerajaan Rum akan menang kembali. Walaupun waktu itu mereka kalah teruk pun tapi mereka akan menang kembali.
Dan apabila mendengar tentang ini, Musyrikin Mekah tidak percaya sama sekali ayat ini kerana mereka lihat yang kekalahan yang dialami oleh Rum itu amat teruk. Mereka tak nampak yang Rum akan kembali bangkit. Sampaikan ada yang bertaruh dengan Abu Bakr yang Rum pasti tidak akan menang kembali.
Dan Abu Bakar bersetuju untuk bertaruh sebanyak 10 ekor unta. Ini kerana Abu Bakr percaya sungguh dengan wahyu. Waktu itu pertaruhan belum diharamkan lagi. Dan Abu Bakr tak makan pun hasil kemenangan itu kerana Nabi suruh sedekahkan.
Ayat 4: Bilakah kemenangan itu? Allah siap sebut bila ia akan terjadi.
في بِضعِ سِنينَ ۗ ِلِلهِ الأَمرُ مِن قَبلُ وَمِن بَعدُ ۚ وَيَومَئِذٍ يَفرَحُ المُؤمِنونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Within three to nine years. To Allāh belongs the command [i.e., decree] before and after. And that day the believers will rejoice
(MELAYU)
dalam beberapa tahun lagi. Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah. Dan di hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman,
في بِضعِ سِنينَ
dalam beberapa tahun lagi.
Dalam ‘beberapa tahun’ lagi Rum pasti akan menang. Dan kalimah yang digunakan adalah بِضعِ yang dalam bahasa Arab bermaksud antara tiga ke sembilan tahun.
Maka tentang pertaruhan Abu Bakr dengan seorang Musyrikin Mekah itu Nabi Muhammad suruh tukarkan tahunnya supaya menjadi sehingga sembilan tahun dan tambah bilangan unta pertaruhan itu. Jadikan sehingga 100 ekor unta. Kerana asalnya Abu Bakr kata Rum akan menang dalam masa tiga tahun sahaja. Sedangkan julat masa itu adalah antara 3-9 tahun.
Dan tepat sembilan tahun selepas ayat itu diturunkan, memang benar kerajaan Rum telah kembali naik dan telah memenangi peperangan yang besar mengalahkan Parsi.
ِلِلهِ الأَمرُ مِن قَبلُ وَمِن بَعدُ
Bagi Allah-lah urusan sebelum dan sesudah
Allahlah yang menentukan apa-apa yang akan terjadi. Allah yang menguruskan segala-galanya sebelum kemenangan itu dan selepas kemenangan itu dan Allah menguasai sepanjang waktu. Allah boleh beri kalah dan Allah boleh kemenangan.
Jangan sangka yang apabila Rum kalah, itu bermakna kerajaan Allah yang kalah. Kerana kekalahan Rum itu adalah kehendak Allah juga. Sebelum itu Allah tetap berkuasa dan selepas itu juga Allah tetap berkuasa. Allah tidak pernah hilang kekuasaanNya.
وَيَومَئِذٍ يَفرَحُ المُؤمِنونَ
Dan di hari itu bergembiralah orang-orang yang beriman,
Dan Allah memberitahu yang pada hari kemenangan tentera Rum itu, orang-orang mukmin akan bergembira.
Dan ini agak pelik kerana sembilan tahun selepas ayat ini diturunkan, umat Islam telah bertemu dengan orang-orang Yahudi dan juga Kristian (di Madinah) dan kita pun tahu yang harapan orang Islam terhadap mereka telah musnah kerana ahli kitab tidak mahu pun masuk Islam.
Waktu itu ahli kitab tidak mahu mengiktiraf kebenaran Nabi Muhammad dan Islam. Mereka telah menolak untuk bergabung dengan umat Islam. Maka kenapa mereka tetap bergembira apabila Rum menang?
Rupanya, pada masa yang sama iaitu sembilan tahun selepas ayat ini diturunkan, umat Islam berperang di Badr dan telah mengalami kemenangan mengalahkan tentera Musyrikin Mekah. Jadi yang Allah maksudkan di dalam ayat ini adalah kemenangan di Badr dan bukannya kemenangan Rum itu sahaja.
Allah memberitahunya awal-awal lagi iaitu sembilan tahun sebelum kejadian itu. Mungkin semasa ayat ini diturunkan, para sahabat pun tidak sangka kerana mereka menyangka yang kemenangan yang dimaksudkan adalah kemenangan Rum ke atas Parsi tetapi tidak begitu sebenarnya. Jadi ini adalah salah satu dari bukti kemukjizatan Al-Qur’an.
Ayat 5:
بِنَصرِ اللهِ ۚ يَنصُرُ مَن يَشاءُ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
In the victory of Allāh.¹ He gives victory to whom He wills, and He is the Exalted in Might, the Merciful.
- i.e., the victory given by Allāh to a people of the Scripture (Christians) over the Magians of Persia.
(MELAYU)
Kerana pertolongan Allah. Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang.
بِنَصرِ اللهِ
Kerana pertolongan Allah.
Allah membantu dan memberi kemenangan kepada umat Islam di Perang Badr. Kemenangan itu bukanlah kerana kekuatan umat Islam kerana mereka memang masih lemah lagi waktu itu. Dan kemenangan Rum ke atas Parsi itu juga adalah kerana pertolongan dari Allah juga. Semuanya dalam taqdir Allah.
Allah beri kemenangan kepada orang mukmin di Madinah kerana akidah tauhid mereka dan bukan sebab lain. Maknanya Allah tetap boleh beri kemenangan walaupun dari segi logik, susah nak menang. Bilangan tentera kafir Mekah lebih besar dari bilangan tentera Islam waktu itu. Tapi Allah boleh beri kemenangan juga kerana kalah dan menang adalah dalam Tangan Allah.
يَنصُرُ مَن يَشاءُ
Dia menolong siapa yang dikehendaki-Nya.
Memang Allah membantu sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Terutama kepada tentera Islam. Asalkan tentera Islam ikut syarat-syaratnya. Dan ini telah disebut dalam Surah Baqarah. Ringkasnya, tentera Islam kena jaga akidah dan taat kepada pemimpin. Apabila taat, kemenangan pasti dalam tangan umat Islam.
وَهُوَ العَزيزُ الرَّحيمُ
Dan Dialah Maha Perkasa lagi Penyayang.
Allah berkuasa untuk menentukan apa sahaja. Tidak ada yang dapat menghalang. Kalau Allah nak beri kemenangan kepada umat Islam, tiada siapa yang boleh kalahkan.
Dan Allah beri kemenangan itu kerana kasihNya kepada hambaNya yang taat.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 17 Jun 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi