Tafsir Surah Qasas Ayat 26 – 28 (Musa berkahwin)

Ayat 26:

قالَت إِحدىٰهُما يىٰأبت استَئجِرهُ ۖ إِنَّ خَيرَ مَنِ استَئجَرتَ القَوِيُّ الأَمينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

One of the women said, “O my father, hire him. Indeed, the best one you can hire is the strong and the trustworthy.”

(MELAYU)

Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: “Ya bapaku ambillah dia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya”.

 

قالَت إِحدىٰهُما يىٰأبت استَئجِرهُ

Salah seorang dari kedua wanita itu berkata: “Ya bapaku ambillah dia sebagai orang yang bekerja

Salah seorang daripada anak gadis itu memberi cadangan kepada ayahnya. Kita tidak tahu siapakah yang berkata dalam ayat ini sama ada wanita yang sama yang telah pergi menjemput Nabi Musa atau tidak. Dan kita tidak boleh membuat spekulasi mengikut akal kita sahaja.

Ini mengajar kita yang anak-anak perempuan boleh juga memberi cadangan kepada ayahnya dan bukannya kena duduk senyap sahaja. Sebelum ini kita telah belajar tentang wanita yang bijak: ibu Nabi Musa, Aminah; ibu angkat Nabi Musa, Asiah; kakak Nabi Musa, Maryam. Dan sekarang kita belajar lagi tentang seorang lagi wanita bijak, anak perempuan lelaki ini.

Wanita itu mencadangkan kepada ayahnya untuk mengambil Nabi Musa bekerja dengan mereka.

 

إِنَّ خَيرَ مَنِ استَئجَرتَ القَوِيُّ الأَمينُ

kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya”.

Anak gadis itu bukan sahaja beri cadangan tapi dia sebut kualiti Nabi Musa. Beliau kata yang sebaik-baik pekerja adalah yang kuat dan juga yang boleh dipercayai. Dan kita tahu yang ianya ditujukan kepada Nabi Musa kerana kalimah yang digunakan adalah dalam betul ma’rifah (khusus kepada seseorang). Gadis itu menyebut sifat itu sebagai benda yang baik kerana kualiti ini susah untuk dicari.

Inilah kualiti kerja yang baik sampai bila-bila pun. ‘Kuat’ itu maksudnya berkemampuan dan kriteria satu lagi adalah amanah. Maka kita sebagai pekerja hendaklah ada sifat-sifat ini. Tentunya itu adalah kualiti-kualiti yang amat berguna untuk mereka. Tak perlulah lagi mereka takut untuk menggembala ternakan mereka.

Ini menunjukkan yang mereka juga adalah wanita yang bijak kerana dapat membaca keadaan itu dan mengenali hati budi Nabi Musa. Dari kisah yang disampaikan oleh Nabi Musa, mereka dapat mengenali yang Nabi Musa itu adalah seorang yang amanah dan punya kekuatan yang telah terbukti semasa menolong mereka. Dan juga dari perawakan baginda yang mereka boleh tengok.

Umar, Ibnu Abbas, Syuraih Al-Qadi, Abu Malik, Qatadah, Muhammad ibnu Ishaq, dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang telah mengatakan bahawa ketika wanita itu mengatakan: kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. (Al-Qasas: 26) Maka ayahnya bertanya, “Apakah yang mendorongmu menilainya seperti itu?” Dia menjawab, “Sesungguhnya dia dapat mengangkat batu besar yang tidak dapat diangkat kecuali hanya oleh sepuluh orang laki-laki. Dan sesungguhnya ketika aku berjalan bersamanya, aku berada di depannya, namun dia mengatakan kepadaku, “Berjalanlah kamu di belakangku. Jika aku salah jalan, beritahulah aku dengan lemparan batu kerikil, agar aku mengetahui jalan mana yang harus kutempuh.”

Begitulah sifat warak baginda. Baginda tidak beri wanita itu berjalan di hadapannya kerana kalau wanita itu di depan, maka baginda akan nampak pula susuk tubuh wanita itu.

Begitulah baginda menjaga mata baginda. Baginda tidak ambil peluang. Telinga baginda pun baginda jaga: kerana itu baginda suruh beritahu arah jalan dengan baling batu sahaja, tak perlu bercakap dengan baginda.


 

Ayat 27: Gadis itu cadangkan kerja sahaja, tapi bapanya itu tawarkan perkahwinan pula. Mari kita lihat kenapa.

قالَ إِنّي أُريدُ أَن أُنكِحَكَ إِحدَى ابنَتَيَّ هٰتَينِ عَلىٰ أَن تَأجُرَني ثَمٰنِيَ حِجَجٍ ۖ فَإِن أَتمَمتَ عَشرًا فَمِن عِندِكَ ۖ وَما أُريدُ أَن أَشُقَّ عَلَيكَ ۚ سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “Indeed, I wish to wed you one of these, my two daughters, on [the condition] that you serve me for eight years; but if you complete ten, it will be [as a favor] from you. And I do not wish to put you in difficulty. You will find me, if Allāh wills, from among the righteous.”

(MELAYU)

Berkatalah dia (Syu’aib): “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini, atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu, maka aku tidak hendak memberati kamu. Dan kamu Insya Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik”.

 

قالَ إِنّي أُريدُ أَن أُنكِحَكَ إِحدَى ابنَتَيَّ هٰتَينِ

Berkatalah dia: “Sesungguhnya aku bermaksud menikahkan kamu dengan salah seorang dari kedua anakku ini,

Lelaki itu menawarkan untuk mengahwinkan salah seorang daripada dua anaknya itu kepada Nabi Musa. Mungkin salah seorang daripada anaknya itu sudah jatuh hati kepada Nabi Musa dan ayah ini dapat membaca perasaan anaknya itu. Sebab itu dia beriya-iya menganjurkan ayahnya ambil Nabi Musa bekerja dengan mereka.

Jadi ini mengajar kita yang bapa anak gadis boleh menawarkan anaknya atau mencari pasangan lelaki untuk anaknya. Maka tidaklah perlu sampai anaknya itu menjadi andartu kalau tiada orang meminang. Kalau anaknya sudah cukup umur, ayah boleh cari pasangan untuk anak.

Maka kalau kita ada anak gadis bolehlah kita tengok-tengok lelaki yang kita boleh percayai dan kita kenal mereka dan tahu kedudukan agama mereka, maka bolehlah kita tawarkan anak kita kepada lelaki itu. Tidak ada kerendahan pada perkara ini kerana ianya ada disebut di dalam Al-Qur’an.

Tambahan pula zaman sekarang memang sukar untuk mencari lelaki yang baik, maka bapa anak-anak perempuan kena menjalankan peranan mereka. Jangan biarkan sahaja anak perempuan cari sendiri. Entah siapa yang dicarinya nanti.

Dan apa yang dilakukan oleh bapa ini memang praktikal kerana dia hendak mengajak Nabi Musa sebagai pekerjanya dan tentulah Nabi Musa akan selalu berada di sekeliling anak-anaknya dan kalau tidak berkahwin maka akan menjadi masalah. Jadi lelaki ini memang seorang yang bijak.

Kita telah sebut yang bapa itu dapat membaca perasaan anaknya yang sudah minat kepada Nabi Musa dan ini mengajar kita yang seorang gadis boleh menggunakan isyarat untuk memberitahu yang dia minat kepada seseorang. Dan seorang bapa apabila anak-anak perempuannya memberi isyarat maka dengarlah dengan hati yang terbuka.

Sebagai contoh, cakaplah kepada ayah begini: “ayah, ayah… ada seorang pemuda di kolej saya sedap kalau dia bagi ceramah… ayah! Apa kata ayah datang tengok dia?” Bila anak sudah cakap macam itu, faham-faham sahajalah wahai bapa.

 

عَلىٰ أَن تَأجُرَني ثَمٰنِيَ حِجَجٍ

atas dasar bahawa kamu bekerja denganku lapan tahun 

Dan balasan untuk berkahwin dengan anaknya adalah bekerja selama lapan tahun dengannya. Itulah mahrnya. Tapi bukanlah kena bekerja lapan tahun baru boleh berkahwin. Maknanya Nabi Musa akan berkahwin dengan gadis itu terus dan baginda akan bekerja selama 8 tahun dengan mereka.

Dan kalau kita ambil pendapat yang lelaki ini adalah Nabi Syu’aib, maka dalam masa lapan tahun itu Nabi Musa dapat belajar agama dengannya. Mengambil dari masa lapan tahun inilah maka pengajian madrasah di Pakistan memilih waktu pembelajaran untuk jadi alim selama lapan tahun. Dan kalau mahu buat pengkhususan maka tambah dua tahun lagi seperti juga dalam ayat ini.

Dan kerana Nabi Musa lari daripada Negeri Mesir maka lapan tahun adalah masa yang sesuai untuk baginda dilupakan oleh orang-orang Mesir. Supaya orang Mesir lupa tentang baginda dan bolehlah kalau baginda nak pulang nanti apabila keadaan sudah tenang nanti.

Maka rancangan ini adalah rancangan yang terbaik untuk semua pihak kerana lelaki tua itu mendapat pekerja yang baik dan dapat mengahwinkan anak perempuannya dan Nabi Musa dapat tempat tinggal, tempat kerja, tempat perlindungan yang selamat dari Mesir dan wanita itu mendapat suami yang baik.

Jadi ini mengajar kita yang jikalau bapa mertua ataupun bakal bapa mertua menawarkan kerja kepada kita janganlah malu untuk terima kerana ini ada di dalam Al-Qur’an. Jangan malu untuk terima. Dan jangan kutuk lelaki yang kerja dengan bapa mertua atau kerja di syarikat bapa mertua.

Satu lagi yang menarik adalah penggunaan kalimah حِجَجٍ yang digunakan untuk merujuk kepada ‘tahun’. Ini merujuk kepada ibadah Haji ke Mekah. Kerana dia kira setiap tahun ada Haji. Maknanya mereka juga kenal ibadah Haji. Jadi Nabi Musa adalah Nabi kaum Yahudi maka mereka sepatutnya tahu adanya amalan Haji ke Kaabah. Tapi seperti yang kita tahu, puak Yahudi tidak buat Haji pun. Ini kerana mereka telah meninggalkan agama yang benar.

 

فَإِن أَتمَمتَ عَشرًا فَمِن عِندِكَ

dan jika kamu cukupkan sepuluh tahun maka itu adalah (suatu kebaikan) dari kamu,

Nabi Musa kena kerja selama lapan tahun tetapi kalau dapat cukupkan jadi 10 tahun itu lebih baik. Kira sebagai bonus.

Tentulah masa 8 ataupun 10 tahun itu adalah masa yang lama, maka bapa gadis itu memujuk Nabi Musa dengan mengatakan yang bukanlah dia hendak menyusahkan Nabi Musa. Dia tidaklah memaksa Nabi Musa untuk cukupkan juga 10 tahun. Ini menunjukkan yang lelaki itu pandai untuk negosiasi. Jadi apabila kita berurusan begitu, janganlah kita tunjuk sangat yang kita beriya.

Maka walaupun dia memang hendak mengahwinkan anaknya dengan Nabi Musa tetapi tidaklah dia letak harga yang murah. Kerana 8 tahun bukanlah masa yang sekejap, bukan?

Mungkin ada yang berhujah mengatakan para sahabat dulu letak mahr murah-murah sahaja tetapi kita kena tahu keadaan mereka yang memang tidak ada apa-apa kerana mereka menyerahkan seluruh harta dan diri mereka untuk agama.

Jadi kalau zaman sekarang janganlah perasan nak ikut keadaan zaman dulu. Lagi satu, adakah lelaki-lelaki kita sama seperti para sahabat itu? Maka berilah mahr yang ada harga.

Dan kita lihat bagaimana pada zaman Nabi Musa itu bukan harga yang diletakkan tetapi mungkin menjadi kebiasaan mahr itu boleh digunakan sebagai jangka masa bekerja dengan seseorang. Ini ikut keadaan semasa. Ada ketika zaman Nabi, mahr adalah cincin besi sahaja dan ada waktu mahr adalah mengajar ayat Al-Qur’an kepada isteri.

Dan jangan kita rasa yang ayah dia itu mengambil kesempatan ke atas Nabi Musa kerana bukannya Nabi Musa tidak dibayar gaji tetapi baginda mendapat kerja dan gaji, tempat tinggal dan juga isteri.

 

وَما أُريدُ أَن أَشُقَّ عَلَيكَ

dan aku tidaklah hendak memberati kamu.

Ayahnya itu berkata: “Kamu akan lihat yang aku seorang yang baik dan tidak akan ambil kesempatan terhadap kamu.” Ini penting kerana kadangkala ada orang ambil kesempatan apabila menantunya duduk bersama dengannya.

 

سَتَجِدُني إِن شاءَ اللهُ مِنَ الصّٰلِحينَ

Dan kamu Insya Allah akan mendapatiku termasuk orang-orang yang baik”.

Ayah itu memberitahu yang dia seorang yang baik dan Nabi Musa akan nampak perkara itu nanti.


 

Ayat 28: Apakah jawapan balas Nabi Musa?

قالَ ذٰلِكَ بَيني وَبَينَكَ ۖ أَيَّمَا الأَجَلَينِ قَضَيتُ فَلا عُدوٰنَ عَلَيَّ ۖ وَاللهُ عَلىٰ ما نَقولُ وَكيلٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Moses] said, “That is [established] between me and you. Whichever of the two terms I complete – there is no injustice to me, and Allāh, over what we say, is Witness.”

(MELAYU)

Dia (Musa) berkata: “Itulah (perjanjian) antara aku dan kamu. Mana saja dari kedua waktu yang ditentukan itu aku sempurnakan, maka tidak ada tuntutan tambahan atas diriku (lagi). Dan Allah adalah saksi atas apa yang kita ucapkan”.

 

قالَ ذٰلِكَ بَيني وَبَينَكَ

Dia (Musa) berkata: “Itulah (perjanjian) antara aku dan kamu.

Nabi Musa bersetuju dengan tawaran lelaki tua itu; dan ini adalah satu-satunya kisah yang menceritakan tentang perkahwinan di dalam Al-Qur’an. Dan kita boleh lihat bagaimana perbincangan ini adalah antara bapa seorang gadis dan juga lelaki yang akan berkahwin kerana jikalau dia sudah boleh berkahwin, maka dia sudah sepatutnya boleh buat keputusan tentang terma-terma perkahwinannya sendiri.

Tapi kadang-kadang kita tengok perbincangan perkahwinan antara keluarga kedua-dua pasangan di negara ini dan banyak di tempat lain, amat memalukan kerana kadang-kadang berkelahi kerana ada yang tidak puas hati dengan wang yang ditawarkan. Macam nak jual anak pula kadang-kadang kita lihat.

Sepatutnya bakal suami itulah yang kena menentukan sama ada dia sanggup atau tidak dengan harga mahr yang ditetapkan kerana dia yang akan membayarnya nanti. Kadang-kadang kerana ibubapa yang bodoh tidak ada akhlak, meletakkan harga yang tinggi sampaikan anak-anak mereka memulakan kehidupan suami isteri dipenuhi dengan hutang yang sampai beranak pinak pun mereka tidak habis bayar.

Tengoklah bagaimana P. Ramlee pun sampai buat kisah Seniman Bujang Lapok. Dia buat sketsa tentang satu pasangan yang kerana mas kahwin tinggi sangat sampai kena pinjam dengan ceti. Sampai anak beranak pinak pun tetap dia masih menanggung bayar bunga ceti!

Zaman sekarang lelaki sampai terpaksa buat pinjaman peribadi dengan bank. Lepas tu bertahun kena bayar. Padahal yang jadi mahal hanya kerana emak dan makcik-makcik kepoh hendak buat kenduri besar-besaran, pakai baju hias-hiasan, panggil orang besar-besaran. Semua itu tidak perlu dan membazir sahaja. Tidak perlu kita kena ikut golongan artis yang berkahwin di hotel berbintang-bintang. Artis bukanlah golongan yang kita patut ikuti.

 

أَيَّمَا الأَجَلَينِ قَضَيتُ فَلا عُدوٰنَ عَلَيَّ

Mana saja dari kedua waktu yang ditentukan itu aku sempurnakan, maka tidak ada tuntutan tambahan atas diriku (lagi).

Dan antara dua tempoh yang telah ditawarkan itu, mana saja yang baginda lakukan, janganlah dijadikan sebagai sebab untuk menyalahkan baginda nanti. Tambahan dua tahun itu pun sebagai bonus sahaja.

Maknanya nanti terpulang kepada Nabi Musa sama ada hendak buat 8 tahun ataupun 10 tahun. Baginda tidak beri penetapan dan ini bijak bagi pihak Nabi Musa. Baginda boleh tengok keadaan di hujung tahun kelapan itu. Kalau baginda rasa sesuai, baginda akan tambah lagi dua tahun.

Ulama’ tafsir mengatakan yang Nabi Musa menyempurnakan tempoh kerja baginda dengan Nabi Syu’aib selama 10 tahun. Ini berdasarkan:

Imam Bukhari mengatakan, telah menceritakan kepada kami Muhammad ibnu Abdur Rahim, telah menceritakan kepada kami Sa’id ibnu Sulaiman, telah menceritakan kepada kami Marwan ibnu Syuja’, dari Salim Al-Aftas, dari Sa’id ibnu Jubair yang mengatakan bahawa dia pernah ditanya oleh seorang Yahudi Hirah, “Manakah di antara kedua masa itu yang diselesaikan oleh Musa?” Aku menjawab, “Tidak tahu”, hingga aku mendatangi orang Arab yang paling alim, dialah Ibnu Abbas r.a. Lalu aku bertanya kepadanya mengenai masalah ini, maka dia jawab, “Sesungguhnya Musa menunaikan masa yang paling sempurna di antara kedua masa itu, kerana sesungguhnya utusan Allah itu apabila berkata pasti menunaikannya.”

 

وَاللهُ عَلىٰ ما نَقولُ وَكيلٌ

Dan Allah adalah saksi atas apa yang kita ucapkan”.

Nabi Musa menyerahkan kepada Allah yang akan menguruskan perkara itu di antara mereka. Kerana sama ada mereka hidup sampai ke tahun kelapan itu pun belum tentu lagi kerana ianya di dalam tangan Allah. Allah sahaja yang boleh menentukan sama ada ia terjadi ataupun tidak.

Atau bermaksud baginda menjadikan Allah sebagai saksi perjanjian mereka itu. Maka ini adalah janji yang kuat kerana dipersaksikan oleh Allah.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 13 Ogos 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 22 – 25 (Pengalaman di Madyan)

Ayat 22: Dari ayat ini sehingga ke ayat 28 adalah Perenggan Makro Keempat. Ia menceritakan tempoh Nabi Musa selama 10 tahun di Madyan.

وَلَمّا تَوَجَّهَ تِلقاءَ مَديَنَ قالَ عَسىٰ رَبّي أَن يَهدِيَني سَواءَ السَّبيلِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when he directed himself toward Madyan, he said, “Perhaps my Lord will guide me to the sound way.”

(MELAYU)

Dan tatkala dia menghadap ke arah negeri Madyan dia berdoa (lagi): “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan yang benar”.

 

وَلَمّا تَوَجَّهَ تِلقاءَ مَديَنَ

Dan tatkala dia menghadap ke arah negeri Madyan

Nabi Musa buat keputusan untuk menuju ke Madyan, satu negeri di Hijaz, sekarang di Dubai.

Perjalanan Nabi Musa

 

قالَ عَسىٰ رَبّي أَن يَهدِيَني سَواءَ السَّبيلِ

dia berdoa: “Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan yang benar”.

Dan semasa baginda menghadapkan wajah baginda ke arah yang baginda hendak pergi itu, baginda berdoa kepada Allah untuk memberikan jalan yang betul kepada baginda. Ini supaya baginda tidak sesat dalam perjalanan. Ini kerana baginda tidak tahu jalan ke Madyan dan ia juga adalah satu perjalanan yang amat jauh.

Jadi ‘jalan yang baik’ di dalam ayat ini bukan bermaksud jalan dalam agama kerana baginda tidak ada masalah dengan agama sekarang tetapi baginda sekarang perlu menyelamatkan diri baginda dan hendak berjalan jauh. Jadi baginda berharap petunjuk dari Allah tentang perjalanannya ke Madyan. Baginda berharap supaya keputusannya untuk pergi ke sana adalah keputusan yang baik dan Allah akan beri bantuan.

Jadi ada hikmah kenapa Allah keluarkan Nabi Musa dari istana Firaun kerana hendak beri baginda rasa susah dalam kehidupan dan dapat belajar erti kesusahan yang dialami oleh orang-orang Bani Israil.


 

Ayat 23: Dipendekkan cerita, baginda telah sampai di Madyan.

وَلَمّا وَرَدَ ماءَ مَديَنَ وَجَدَ عَلَيهِ أُمَّةً مِّنَ النّاسِ يَسقونَ وَوَجَدَ مِن دونِهِمُ امرَأَتَينِ تَذودانِ ۖ قالَ ما خَطبُكُما ۖ قالَتا لا نَسقي حَتّىٰ يُصدِرَ الرِّعاءُ ۖ وَأَبونا شَيخٌ كَبيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when he came to the water [i.e., well] of Madyan, he found there a crowd of people watering [their flocks], and he found aside from them two women driving back [their flocks]. He said, “What is your circumstance?” They said, “We do not water until the shepherds dispatch [their flocks]; and our father is an old man.”

(MELAYU)

Dan tatkala dia sampai di sumber air negeri Madyan dia menjumpai di sana sekumpulan orang yang sedang meminumkan (ternaknya), dan dia menjumpai di belakang orang banyak itu, dua orang wanita yang sedang menghambat (ternaknya). Musa berkata: “Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?” Kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), sedang bapa kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya”.

 

وَلَمّا وَرَدَ ماءَ مَديَنَ

Dan tatkala dia sampai di sumber air negeri Madyan

Setelah baginda sampai, maka tentunya Nabi Musa mencari sumber air. Baginda akhirnya telah jumpa telaga air di Madyan itu. Itulah tempat yang utama bagi masyarakat Madyan kerana mereka akan berkumpul untuk mendapatkan bekalan air.

 

وَجَدَ عَلَيهِ أُمَّةً مِّنَ النّاسِ يَسقونَ

dia menjumpai di sana sekumpulan orang yang sedang meminumkan (ternaknya),

Baginda nampak segolongan manusia yang memberi binatang ternak mereka minum. Orang kampung sedang berkerumun di telaga itu untuk memberi ternakan mereka minum.

 

وَوَجَدَ مِن دونِهِمُ امرَأَتَينِ تَذودانِ

dan dia menjumpai di belakang orang banyak itu, dua orang wanita yang sedang menghambat (ternaknya).

Dan selain daripada mereka yang ramai-ramai itu, Nabi Musa nampak di kejauhan itu ada dua orang gadis yang sedang bergelut menahan ternakan mereka. Ini kerana binatang itu telah nampak air dan mahu minum tetapi ditahan oleh dua gadis itu.

Dari bahasa yang digunakan kita dapat bayangkan betapa susahnya mereka menahan binatang-binatang itu kerana tentunya binatang-binatang itu lebih kuat dari mereka. Tapi mereka tahan juga ternakan mereka dari pergi ke telaga itu.

Satu pendapat mengatakan yang itu dua gadis itu adalah anak-anak Nabi Syu’aib. Nabi Syu’aib sudah tua dan tidak mampu untuk menjaga ternakannya sendiri maka anak-anak gadisnyalah yang dipertanggungjawabkan. Orang-orang kampung tidak suka kepada mereka kerana tidak setuju dalam hal agama dengan Nabi Syu’aib, maka mereka tidak benarkan ahli keluarga menggunakan air untuk memberi minum ternakan mereka.

Kerana itu anak-anak gadis itu tidak datang dekat kerana mereka akan halau kalau dua gadis itu datang. Tapi ada juga pendapat yang tidak bersetuju mengatakan yang bapa kepada dua gadis itu adalah Nabi Syu’aib kerana jarak masa tidak sama. Memang Nabi Syu’aib tinggal di Madyan tapi tidaklah sama zaman dengan Nabi Musa. Allahu a’lam.

Amat jahat sekali orang kampung itu kalau benar mereka menghalang dua gadis itu daripada mengambil bekalan air. Dan selepas ternakan mereka minum, mereka tutup telaga itu dengan penutup besi yang berat yang tidak dapat dibuka oleh anak-anak gadis itu kerana ianya berat.

Jadi anak-anak gadis itu akan pergi ke telaga itu selepas orang-orang lain pergi. Tetapi mereka tidak boleh nak buka penutup telaga itu jadi mereka hanya boleh beri minum ternakan mereka dengan lebihan-lebihan air yang jatuh di tepian saja.

Abu Bakar ibnu Abu Syaibah mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ubaidillah, telah menceritakan kepada kami Israil, dari Abu Ishaq, dari Amr ibnu Maimun Al-Audi, dari Umar ibnul Khattab r.a., bahawa Musa a.s. setelah sampai di sumber air negeri Madyan, dia menjumpai sekumpulan orang-orang yang sedang memberi minum ternak mereka. Setelah selesai, lalu mereka mengembalikan batu besar penutup sumur itu yang tidak dapat diangkat kecuali hanya oleh sepuluh orang laki-laki. Tiba-tiba Musa melihat dua orang wanita yang sedang menambat ternaknya. Dia bertanya, “Apakah gerangan yang dialami oleh kamu berdua?” Lalu keduanya menceritakan perihal dirinya kepada Musa, maka Musa mendatangi batu besar itu dan mengangkatnya sendirian. Kemudian tidaklah dia memberi minum ternak keduanya, melainkan cukup hanya dengan setimba air dan ternyata ternak kedua wanita itu kenyang. Sanad riwayat ini sahih.

 

قالَ ما خَطبُكُما

Musa berkata: “Apakah maksudmu (dengan berbuat begitu)?”

Nabi Musa kehairanan dan tidak tahan melihat apa yang berlaku dan kerana itu baginda pergi kepada mereka berdua dan tanya apakah hal mereka. Baginda tanya kenapa mereka menahan binatang ternak mereka dari minum air?

Dan tentunya baginda hairan kenapa gadis pula yang menjaga ternakan mereka sedangkan itu adalah kerja lelaki. Baginda prihatin dan hati baginda hendak menolong mereka.

 

قالَتا لا نَسقي حَتّىٰ يُصدِرَ الرِّعاءُ

Kedua wanita itu menjawab: “Kami tidak dapat meminumkan (ternak kami), sebelum pengembala-pengembala itu memulangkan (ternaknya), 

Mereka berdua beritahu kepada Nabi Musa yang mereka tidak boleh memberi binatang ternak mereka minum sehinggalah ternakan yang banyak-banyak itu telah minum (dan tuan mereka telah pulang) kerana mereka berdua tidak dibenarkan untuk mengambil air waktu itu seperti yang telah disebut di atas.

Satu lagi pendapat, mereka tidak mahu bercampur gaul dengan lelaki yang ramai itu. Kerana mereka itu gadis sunti dan mereka tahu adab antara lelaki dan wanita. Ini juga pendapat yang bagus. Ia menjadi pengajaran bagi kita bahawa wanita kena jaga pergaulan dengan lelaki ajnabi (menjaga ikhtilat).

 

وَأَبونا شَيخٌ كَبيرٌ

sedang bapa kami adalah orang tua yang telah lanjut umurnya”.

Dan mereka berdua beritahu yang bapa mereka terlalu tua. Oleh kerana itu merekalah yang mencari nafkah kehidupan dan ini mengajar kita yang orang perempuan boleh bekerja jikalau perlu. Ini adalah satu satu maksud ‘syeikh’ iaitu ‘tua’.

Juga boleh bermaksud yang bapa mereka mempunyai kedudukan dan memberi isyarat kepada Nabi Musa supaya jangan main-main dengan mereka. Ini adalah pendapat lain tentang maksud ‘syeikh’ dan kerana itulah selalu digunakan kalimah ini sebagai penghormatan kepada orang yang berilmu.


 

Ayat 24: Maka Nabi Musa terus membantu mereka.

فَسَقىٰ لَهُما ثُمَّ تَوَلّىٰ إِلَى الظِّلِّ فَقالَ رَبِّ إِنّي لِما أَنزَلتَ إِلَيَّ مِن خَيرٍ فَقيرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he watered [their flocks] for them; then he went back to the shade and said, “My Lord, indeed I am, for whatever good You would send down to me, in need.”

(MELAYU)

Maka Musa memberi minum ternak itu untuk (menolong) keduanya, kemudian dia kembali ke tempat yang teduh lalu berdoa: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku”.

 

فَسَقىٰ لَهُما

Maka Musa memberi minum ternak itu untuk (menolong) keduanya,

Baginda tanpa berkata banyak telah membawa binatang-binatang ternak gadis-gadis itu ke tempat air dan memberi minum kepada binatang-binatang itu. Mudah sahaja bagi baginda untuk melakukannya kerana baginda seorang yang gagah seperti yang kita telah sebut sebelum ini (tumbuk orang pun boleh mati).

Maka kalau ada orang yang ramai, baginda boleh tepis sahaja mereka. Dan kalau mereka tidak ada lagi dan mereka telah tutup penutup telaga itu, baginda boleh angkat seorang diri sahaja. Walaupun penutup itu sangat berat sampai sepuluh orang lelaki biasa diperlukan untuk mengangkatnya.

 

ثُمَّ تَوَلّىٰ إِلَى الظِّلِّ

kemudian dia kembali ke tempat yang teduh

Dan kemudian baginda pergi semula ke tempat rehat baginda. Sebelum itu baginda telah rehat di bawah teduhan pokok dan selepas tolong gadis-gadis itu, baginda pulang ke pokok itu.

Tidaklah ada disebut percakapan lain dengan mereka berdua. Baginda cuma hendak tolong sahaja dan tidak lebih dari itu. Tidaklah baginda mengorat mereka atau sebagainya. Selepas tolong sahaja, baginda tinggalkan mereka.

 

فَقالَ رَبِّ إِنّي لِما أَنزَلتَ إِلَيَّ مِن خَيرٍ فَقيرٌ

lalu dia berdoa: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku”.

Dan kemudian baginda berdoa kepada Allah dengan menyebut bahawa baginda tidak ada apa-apa. Baginda amat berharap kepada apa sahaja yang Allah hendak berikan kepada baginda. Sama ada makanan ataupun perlindungan atau apa sahaja keperluan baginda.

Lihatlah bagaimana Allah ajar doa para Nabi di mana mereka sentiasa sahaja berdoa dan mereka berdoa terus kepada Allah.

Dan ini menjadi dalil untuk anjuran kita berdoa selepas kita buat amal yang baik. Inilah tawassul (perantaraan) yang dibenarkan (malah digalakkan). Bukannya tawassul dengan Nabi dan wali yang telah mati. Kalau kita ada keperluan dan kita hendak bersungguh-sungguh doa kepada Allah, maka buatlah amal kebaikan, tolong orang; sedekah orang; baca Al-Qur’an; tolong ibubapa; malah apa sahaja kebaikan, dan kemudian berdoalah selepas itu.

Dan juga mengajar kita jangan lepaskan peluang untuk berdoa selepas kita beramal baik dan selepas kita beribadat.

Ata ibnus Sa’ib mengatakan bahawa ketika Musa berdoa: Ya Tuhanku, sesungguhnya aku sangat memerlukan sesuatu kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku. (Al-Qasas: 24) Doanya itu terdengar oleh wanita tersebut.


 

Ayat 25: Maka hari itu dua adik-beradik itu kembali ke rumah lebih awal daripada biasa. Tentunya bapa mereka kehairanan dan bertanya kepada mereka kenapa. Lalu mereka menceritakan kejadian yang telah berlaku.

Tentu bapa mereka bertanya kepada anak-anaknya itu tentang lelaki misteri ini kerana tentu dia juga risau. Dari kisah yang disebut oleh anak-anaknya itu, maka bapanya itu teringin untuk berjumpa dengan lelaki ini. Dia suruh anaknya menjemput Nabi Musa datang ke rumah.

فَجاءَتهُ إِحدىٰهُما تَمشي عَلَى استِحياءٍ قالَت إِنَّ أَبي يَدعوكَ لِيَجزِيَكَ أَجرَ ما سَقَيتَ لَنا ۚ فَلَمّا جاءَهُ وَقَصَّ عَلَيهِ القَصَصَ قالَ لا تَخَف ۖ نَجَوتَ مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then one of the two women came to him walking with shyness. She said, “Indeed, my father invites you that he may reward you for having watered for us.” So when he came to him¹ and related to him the story, he said, “Fear not. You have escaped from the wrongdoing people.”

  • Prophet Shu‘ayb, the father of the two women.

(MELAYU)

Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan tersipu-sipu, dia berkata: “Sesungguhnya bapaku memanggil kamu agar dia memberikan balasan terhadap (kebaikan)mu memberi minum (ternak) kami”. Maka tatkala Musa mendatangi bapanya dan menceritakan kepadanya cerita (mengenai dirinya), lelaki itu berkata: “Janganlah kamu takut. Kamu telah selamat dari orang-orang yang zalim itu”.

 

فَجاءَتهُ إِحدىٰهُما تَمشي عَلَى استِحياءٍ

Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan tersipu-sipu, 

Seorang sahaja anaknya yang dihantar, bukan kedua-duanya. Ini memberi isyarat yang bapanya itu yakin dengan lelaki itu. Allah tidak sebut pun siapa dari anaknya itu yang dihantar. Mungkin yang tua atau mungkin yang muda. Tidak perlu kita bincangkan.

Wanita itu datang kepada Nabi Musa dalam keadaan tersipu-sipu atau malu-malu kerana mungkin dia memang seorang yang pemalu ataupun Nabi Musa telah menyebabkan dia sendiri rasa malu. Kerana dia lihat Nabi Musa adalah lelaki yang baik dan berketrampilan.

Maknanya juga, dia menjaga maruahnya apabila bertemu dengan Nabi Musa. Yakni seperti jalannya perawan, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Amirul Mukminin Umar r.a. yang telah mengatakan bahawa wanita itu datang dengan menutupi wajahnya memakai lengan bajunya (sebagaimana layaknya seorang perawan).

Beginilah yang sepatutnya perhubungan lelaki dan wanita. Tidak boleh mesra berlebihan. Kena ada penghadang dari bermesra. Kerana bahaya kalau sudah mesra dan cakap pakai lepas sahaja. Lama kelamaan syaitan akan ambil peluang sampaikan perkara yang tidak patut berlaku pun boleh berlaku. Begitulah yang selalu terjadi di antara lelaki dan wanita. Amat ramai yang sudah terbabas dalam hal ini.

 

قالَت إِنَّ أَبي يَدعوكَ

dia berkata: “Sesungguhnya bapaku memanggil kamu

Gadis itu memberitahu yang ayahnya telah menjemput baginda ke rumah.

 

لِيَجزِيَكَ أَجرَ ما سَقَيتَ لَنا

agar dia memberikan balasan terhadap (kebaikan)mu memberi minum (ternak) kami”.

Kenapa dijemput ke rumah? Kerana ayahnya hendak memberi upah kepada Nabi Musa di atas pertolongan baginda sebelum itu.

Dan Nabi Musa tidak menolak permintaan itu. Maka baginda telah ikut gadis itu pulang ke rumahnya. Kerana sebelum itu bukankah dia telah berdoa kepada Allah dan dia tahu yang apa yang sedang berlaku itu adalah jawapan doa dari Allah.

Dalam Al-Qur’an tidak disebut kisah ini dengan panjang dan bagaimana cara baginda pergi ke rumah orang itu. Cuma terus disebut yang baginda telah berjumpa dengan bapa dua orang gadis itu.

 

فَلَمّا جاءَهُ وَقَصَّ عَلَيهِ القَصَصَ

Maka tatkala Musa mendatanginya dan menceritakan kepadanya cerita (mengenai dirinya), 

Setelah berjumpa dengan bapa gadis itu (mungkin juga Nabi Syu’aib mengikut satu pendapat), Nabi Musa nampak bahawa lelaki itu boleh dipercayai. Maka baginda telah menceritakan segala kisahnya dari mula hinggalah baginda sampai ke Madyan kepada lelaki itu.

Jadi akhirnya keluarga itu tahu siapakah Nabi Musa dan apakah yang terjadi dan bagaimana baginda adalah seorang pelarian dari negara sendiri.

 

قالَ لا تَخَف

dia berkata: “Janganlah kamu takut.

Setelah mendengar kisah dari Nabi Musa, maka lelaki itu menenangkan baginda supaya jangan lagi takut. Sebelum itu kita telah sebutkan bagaimana baginda dalam keadaan takut sahaja. Takut kalau-kalau baginda ditangkap.

 

نَجَوتَ مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

Kamu telah selamat dari orang-orang yang zalim itu”.

Lelaki ini seorang yang bijak dan dia boleh faham apa yang telah terjadi dan dia telah menenangkan Nabi Musa. Kerana negeri mereka itu kawasan lain jauh dari Mesir maka Nabi Musa akan selamat di tempat baru itu – Madyan. Tentera Fir’aun tidak boleh sampai ke situ kerana itu bukan tempat mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 11 Ogos 2020


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 17 – 21 (Musa dikhianati)

Ayat 17:

قالَ رَبِّ بِما أَنعَمتَ عَلَيَّ فَلَن أَكونَ ظَهيرًا لِّلمُجرِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, for the favor You bestowed upon me, I will never be an assistant to the criminals.”

(MELAYU)

Musa berkata: “Ya Tuhanku, demi nikmat yang telah Engkau anugerahkan kepadaku, aku sekali-kali tiada akan menjadi penolong bagi orang-orang yang berdosa”.

 

قالَ رَبِّ بِما أَنعَمتَ عَلَيَّ

Musa berkata: “Ya Tuhanku, demi nikmat yang telah Engkau anugerahkan kepadaku,

Oleh kerana baginda tahu yang Allah telah mengampunkan dosanya dan baginda tahu yang itu adalah nikmat yang besar, baginda telah berjanji kepada Allah yang baginda tidak akan menjadi pembantu kepada penjenayah lagi.

 

فَلَن أَكونَ ظَهيرًا لِّلمُجرِمينَ

aku sekali-kali tiada akan menjadi penolong bagi orang-orang yang berdosa”.

Oleh itu kita dapat tahu dari ayat ini yang Nabi Musa tahu bahawa lelaki Bani Israil itulah yang bersalah. Nabi Musa sudah sedar sekarang yang sepatutnya baginda kena dengar kedua-dua belah pihak sebelum mengambil tindakan dan kenalah dia menyelidiki kedudukan yang sebenarnya.

Ini mengajar kita jangan terus ambil perkara dalam bentuk umum. Itu adalah satu yang bahaya. Jangan terus anggap kerana bangsa Qibti jahat, semua mereka jahat. Berapa banyak kita sudah lakukan kesalahan ini? Kita selalu kata semua orang Cina macam ini, semua orang India macam itu, semua orang Indonesia begini dan begitu.

Ini bukanlah kata-kata yang bijak yang keluar daripada mulut manusia. Kerana setiap individu berbeza. Maka kita kena pastikan dulu sebelum kita ambil tindakan. Jangan kita ambil tindakan terburu-buru. Ini adalah masalah yang dipanggil overgeneralizing. Ramai yang terus buat sangkaan berdasarkan pandangan kita terhadap sesuatu kaum itu. Kita sudah jadi prejudis dan kerana itu kita akan buat keputusan yang salah dan tidak adil.

Kalau kumpulan gangster lagilah teruk. Mereka terus akan mempertahankan kumpulan mereka tanpa periksa lagi siapa yang salah. Dan kerana itu negara dan dunia tidak aman kerana manusia yang berakal pendek begini.


 

Ayat 18:

فَأَصبَحَ فِي المَدينَةِ خائِفًا يَتَرَقَّبُ فَإِذَا الَّذِي استَنصَرَهُ بِالأَمسِ يَستَصرِخُهُ ۚ قالَ لَهُ موسىٰ إِنَّكَ لَغَوِيٌّ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he became inside the city fearful and anticipating [exposure], when suddenly the one who sought his help the previous day cried out to him [once again]. Moses said to him, “Indeed, you are an evident, [persistent] deviator.”

(MELAYU)

Kerana itu, jadilah Musa di kota itu merasa takut menunggu-nunggu dengan khuatir (akibat perbuatannya), maka tiba-tiba orang yang meminta pertolongan kelmarin berteriak meminta pertolongan kepadanya. Musa berkata kepadanya: “Sesungguhnya kamu benar-benar orang sesat yang nyata (kesesatannya)”.

 

فَأَصبَحَ فِي المَدينَةِ خائِفًا يَتَرَقَّبُ

Kerana itu, jadilah Musa di kota itu merasa takut menunggu-nunggu dengan khuatir

Hari keesokannya Nabi Musa pergi lagi ke pekan (mungkin kerana dihantar ke sana) pada waktu pagi di mana ada orang ramai. Dan kerana itu baginda rasa takut. Maksudnya baginda kena pergi, kerana kalau tidak perlu tentu baginda tidak mahu pergi ke pasar lagi untuk beberapa waktu. Tapi kerana terpaksa pergi, maka baginda pergi juga.

Kalimah رقب asalnya bermaksud seseorang yang berjalan dengan kambing di dalam hutan keseorangan; dan itu adalah keadaan bahaya kerana serigala mungkin menyerang bila-bila masa sahaja. Maka kalau dalam keadaan begitu, tentulah orang itu akan berhati-hati, pandang kiri kanan, buka telinga dan berjaga-jaga.

Maka ia bermaksud Nabi Musa berjalan di pasar itu dalam keadaan risau sahaja. Setiap masa baginda tengok ke tepi dan ke belakang kerana takut. Baginda tidak tenang di hati kerana takut orang kenal baginda yang telah membunuh seorang lelaki Qibti semalam.

 

فَإِذَا الَّذِي استَنصَرَهُ بِالأَمسِ يَستَصرِخُهُ

maka tiba-tiba orang yang meminta pertolongan kelmarin berteriak meminta pertolongan kepadanya.

Dalam baginda tidak mahu dikenali itu, tiba-tiba dia bertemu lagi dengan lelaki Bani Israil yang meminta tolong kepadanya semalam. Lelaki itu memanggil Nabi Musa lagi sekali dan digunakan kalimah يَستَصرِخُهُ di dalam ayat ini yang membawa maksud lelaki itu meminta tolong menggunakan suara yang kuat.

Maka lagi sekali dia meminta pertolongan kepada Nabi Musa. Tapi kali ini dengan berteriak pula sedangkan waktu itu orang ada ramai. Waktu ini dia sedang berkelahi dengan orang lain pula dan bila nampak Nabi Musa, dia sudah nampak peluang dapat pertolongan lagi dari baginda.

Maka waktu itu sedarlah Nabi Musa bahawa lelaki itu bukan orang yang baik dan benar, kerana kalau hari-hari dia berkelahi dengan orang lain, maka tentunya dia sendiri yang ada masalah.

 

قالَ لَهُ موسىٰ إِنَّكَ لَغَوِيٌّ مُّبينٌ

Musa berkata kepadanya: “Sesungguhnya kamu benar-benar orang sesat yang nyata (kesesatannya)”.

Nabi Musa tidak selesa dan telah marah kepada lelaki itu kerana lelaki itu telah menyebabkan kacau-bilau semalam. Sampaikan baginda telah terbunuh seorang lelaki Qibti. Maka baginda kata lelaki itu لَغَوِيٌّ iaitu bermaksud seseorang yang mengambil kesempatan ke atas seseorang yang tidak sedar. Maka baginda telah beri nasihat kepada orang lelaki itu.


 

Ayat 19:

فَلَمّا أَن أَرادَ أَن يَبطِشَ بِالَّذي هُوَ عَدُوٌّ لَّهُما قالَ يٰموسىٰ أَتُريدُ أَن تَقتُلَني كَما قَتَلتَ نَفسًا بِالأَمسِ ۖ إِن تُريدُ إِلّا أَن تَكونَ جَبّارًا فِي الأَرضِ وَما تُريدُ أَن تَكونَ مِنَ المُصلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when he wanted to strike the one who was an enemy to both of them, he¹ said, “O Moses, do you intend to kill me as you killed someone yesterday? You only want to be a tyrant in the land and do not want to be of the amenders.”

  • i.e., the Israelite, thinking that Moses meant to strike him. Some commentators have attributed the words to the Copt; however, the Israelite was the only one who knew of the previous occurrence.

(MELAYU)

Maka tatkala Musa hendak memegang dengan keras orang yang menjadi musuh keduanya, lelaki itu berkata: “Hai Musa, apakah kamu bermaksud hendak membunuhku, sebagaimana kamu kelmarin telah membunuh seorang manusia? Kamu tidak bermaksud melainkan hendak menjadi orang yang berbuat sewenang-wenang di negeri (ini), dan tiadalah kamu hendak menjadi salah seorang dari orang-orang yang mengadakan perdamaian”.

 

فَلَمّا أَن أَرادَ أَن يَبطِشَ بِالَّذي هُوَ عَدُوٌّ لَّهُما

Maka tatkala Musa hendak memegang dengan keras orang yang menjadi musuh keduanya,

Akhirnya Nabi Musa terpaksa juga menolong lelaki Bani Israil itu kerana dia memang sedang digasak oleh lelaki Qibti. Tapi kali ini Nabi Musa tidak terus menumbuk seperti yang dilakukan semalam kerana baginda takut mati lagi seorang lelaki Qibti, maka baginda mahu يَبطِشَ iaitu menangkap sahaja.

 

قالَ يٰموسىٰ أَتُريدُ أَن تَقتُلَني كَما قَتَلتَ نَفسًا بِالأَمسِ

lelaki itu berkata: “Hai Musa, apakah kamu bermaksud hendak membunuhku, sebagaimana kamu kelmarin telah membunuh seorang manusia?

Tetapi apabila Nabi Musa hendak pergi ke arah mereka berdua, lelaki Bani Israil itu telah berkata sesuatu. Dia tidak tahu yang Nabi Musa sedang datang kepada mereka berdua untuk menolongnya. Lelaki itu jadi takut kerana dia sangka Nabi Musa nak gasak dia pula kerana baru tadi Nabi Musa sudah memarahinya.

Maka lelaki Bani Israil itu gunakan maklumat yang dia ada: nama Musa dan apa yang telah Musa lakukan semalam.

Dia bodoh kerana tidak sedar yang Nabi Musa sebenarnya hendak menolong dia tetapi begitulah manusia, apabila dapat teguran dengan orang lain, mereka sangka yang orang itu tidak mahu menolongnya lagi. Dia sangka Nabi Musa tidak berpihak kepadanya lagi. Maka dia telah mengeluarkan kata-kata yang tidak patut.

Dalam ayat ini, Allah hendak mengajar bahawa perjuangan bukan berasaskan bangsa sahaja. Bangsa itu diadakan untuk kita kenal mengenal sahaja (Rujuk Hujurat:13) dan syari’atlah yang perlu dijaga. Jadi bagi kita, kita bukan hendak mempertahankan ‘bangsa Melayu’ tetapi kita hendak mempertahankan ‘agama Islam’ dan kalau orang itu berbangsa Cina tetapi dia seorang Muslim, pun kita kena mempertahankan dia juga.

Maka jangan gunakan kalimah ‘Melayu-Muslim’ sebaliknya gunakan penggunaan kalimah ‘Muslim’ sahaja. Kerana agama ini tidak sepatutnya dikaitkan dengan satu-satu bangsa sahaja.

Inilah salah faham di dalam masyarakat yang berfikir yang kalau salah ataupun benar, mesti kena tolong puak kita juga walau macam mana pun. Inilah juga fahaman bangsa Arab yang kuat perasaan berpuak-puak dan suku mereka. Maka lelaki itu telah salah sangka kepada Nabi Musa sedangkan Nabi Musa hanya memberi nasihat sahaja kerana memang baginda nampak orang itu yang suka bergaduh dan itu tidak elok. Tapi baginda masih tetap hendak menolong.

Nabi Musa walaupun marah kepada lelaki itu tetapi dia tetap hendak menolong dengan bergerak ke arah mereka berdua untuk menolong lelaki Bani Israil itu tetapi lelaki itu yang salah faham. Dia sangka Nabi Musa hendak pukul dia pula.

Lelaki itu kata: “Wahai Musa! Kamu nak bunuh aku macam kau bunuh lelaki lain semalam?” Lihatlah kekoknya suasana ini: Nabi Musa punyalah jaga supaya manusia lain tak tahu apa yang terjadi semalam, tapi lelaki ini pula buat kecoh. Dia sebut pula nama Nabi Musa dan menyebut tentang pembunuhan yang dilakukan oleh baginda semalam.

Orang lain mungkin tidak tahu dan sekarang ramai sudah tahu kerana suasana di pasar yang sibuk ketika itu. Tentu berita kematian Lelaki Qibti semalam sudah tersebut tapi siapa pembunuhnya tidak diketahui. Maka sekarang rahsia itu sedang pecah. Dan yang pecahkan rahsia itu adalah bangsa baginda sendiri.

Maka pecahlah rahsia yang lelaki yang dibunuh semalam itu telah dibunuh oleh Nabi Musa dan perkara itu telah disampaikan ke pihak Firaun.

 

إِن تُريدُ إِلّا أَن تَكونَ جَبّارًا فِي الأَرضِ

Kamu tidak bermaksud melainkan hendak menjadi orang yang berbuat sewenang-wenang di negeri (ini),

Lelaki itu kata Musa nak jadi pembuli. Dia kata Nabi Musa suka tolak-tolak orang sahaja. Dia tuduh Nabi Musa yang buruk perangai sedangkan dia yang sebenarnya bermasalah.

 

وَما تُريدُ أَن تَكونَ مِنَ المُصلِحينَ

dan tiadalah kamu hendak menjadi salah seorang dari orang-orang yang mengadakan perbaikan”.

Dia kata Nabi Musa bukannya hendak membaiki keadaan, bukannya hendak buat benda baik, bukannya hendak membantu.

Apabila dia cakap begitu, maka kenalah Nabi Musa melarikan diri. Kerana lelaki Qibti yang berkelahi dengan lelaki Bani Israil itu telah tahu kisah pembunuhan semalam. Maka dia telah lari ke istana Firaun dan memberitahu maklumat itu.


 

Ayat 20: Sekarang orang ramai sudah tahu tentang pembunuhan sebelum itu. Al-Qur’an tidak menceritakan dengan terperinci apa yang berlaku jadi kita kena fikirkan apa yang telah terjadi.

Apabila Firaun tahu tentang kejadian itu, maka dia telah mengadakan mesyuarat tergempar di istana untuk menangkap Nabi Musa kerana dia rasa yang Nabi Musa patut dibunuh. Akan tetapi Nabi Musa telah diselamatkan dengan Allah menghantar seorang lelaki mukmin. Bagaimanakah cara baginda diselamatkan?

وَجاءَ رَجُلٌ مِّن أَقصَى المَدينَةِ يَسعىٰ قالَ يٰموسىٰ إِنَّ المَلَأَ يَأتَمِرونَ بِكَ لِيَقتُلوكَ فَاخرُج إِنّي لَكَ مِنَ النّٰصِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And a man came from the farthest end of the city, running. He said, “O Moses, indeed the eminent ones are conferring over you [intending] to kill you, so leave [the city]; indeed, I am to you of the sincere advisors.”

(MELAYU)

Dan datanglah seorang laki-laki dari hujung kota bergegas-gegas seraya berkata: “Hai Musa, sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu, sebab itu keluarlah (dari kota ini) sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu”.

 

وَجاءَ رَجُلٌ مِّن أَقصَى المَدينَةِ يَسعىٰ

Dan datanglah seorang laki-laki dari hujung kota bergegas-gegas

Dari hujung itu maksudnya dari kawasan istana. Kerana istana Firaun letaknya di hujung kota. Lelaki ini tidak disebut siapakah namanya, apakah pangkatnya. Akan tetapi kita dapat tahu yang dia seorang yang bersimpati kepada Nabi Musa dan ini menunjukkan baginda masih ada kawan di istana.

 

قالَ يٰموسىٰ إِنَّ المَلَأَ يَأتَمِرونَ بِكَ لِيَقتُلوكَ

seraya berkata: “Hai Musa, sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu untuk membunuhmu,

Lelaki itu memberitahu yang telah ada mesyuarat tergempar di istana. Firaun telah keluarkan arahan untuk kenakan hukuman kepada Nabi Musa. Dan keputusan yang keluar adalah untuk membunuh baginda. Kalau lelaki Bani Israil yang bunuh bangsa Qibti, bukannya ada penghakiman untuk tengok siapa salah dan siapa benar, tapi terus sahaja akan dibunuh lelaki Bani Israil itu, tidak kiralah sekiranya dia itu adalah Nabi Musa pun.

Dan sekarang orang di dalam mesyuarat itu yang baik dan beritahu maklumat itu kepada Nabi Musa. Walaupun dia berlainan bangsa tetapi dia tahu yang Nabi Musa tidak bersalah. Lihatlah bagaimana masalah Nabi Musa itu dikenakan kerana bangsanya sendiri tetapi baginda diselamatkan oleh bangsa lain. Jadi jangan kita sangka orang yang bukan bangsa kita itu musuh kita dan semua jahat belaka.

Yang memberitahu perkara ini adalah ahli keluarga Firaun sendiri dan dalam riwayat ada disebut yang dia inilah yang disebut sebagai Lelaki Mukmin di dalam Surah Ghafir. Memang dia mempunyai naluri yang baik.

Di dalam Surah Ghafir (bermula dari ayat Ghafir:28) kita belajar yang dia akan beriman dengan Nabi Musa nanti dan berdakwah kepada Firaun dan kaumnya mempertahankan Nabi Musa sekali lagi. Sekarang pun dalam ayat ini pun kita sudah dapat tahu yang dia sudah seorang yang baik. Semoga Allah limpahkan kurnia yang besar kepadanya.

 

فَاخرُج إِنّي لَكَ مِنَ النّٰصِحينَ

sebab itu keluarlah (dari kota ini) sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memberi nasihat kepadamu”.

Lelaki itu memberi cadangan kepada Nabi Musa untuk keluarlah dari Mesir itu untuk menyelamatkan diri. Maka tidak salah kalau melarikan diri (berhijrah) untuk menyelamatkan diri.

Lelaki itu memberitahu yang tujuannya adalah hendak menolong Nabi Musa sahaja (memberi nasihat). Mungkin kerana Nabi Musa sekarang susah untuk terima maklumat ataupun kata-kata dari orang lain, maka lelaki yang memberitahu berita itu mengatakan yang dia benar-benar berniat baik terhadap Nabi Musa.

Tambahan pula kerana lelaki itu dari Istana Firaun dan daripada bangsa musuhnya. Maka dia kena menegaskan yang dia hendakkan kebaikan untuk baginda.


 

Ayat 21:

فَخَرَجَ مِنها خائِفًا يَتَرَقَّبُ ۖ قالَ رَبِّ نَجِّني مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So he left it, fearful and anticipating [apprehension]. He said, “My Lord, save me from the wrongdoing people.”

(MELAYU)

Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa takut menunggu-nunggu dengan khuatir, dia berdoa: “Ya Tuhanku, selamatkanlah aku dari orang-orang yang zalim itu”.

 

فَخَرَجَ مِنها خائِفًا يَتَرَقَّبُ

Maka keluarlah Musa dari kota itu dengan rasa takut menunggu-nunggu dengan khuatir

Maka Nabi Musa ikut nasihat lelaki itu dan keluar daripada Negeri Mesir dalam keadaan takut dan berhati-hati (seperti juga keadaan baginda di pasar sebelum ini) sambil matanya melilau melihat kiri dan kanan dan juga di belakang baginda.

Baginda seolah-olah menunggu-nunggu sahaja, takut tibalah orang yang mencarinya. Memang keadaan yang amat menakutkan sekali bagi baginda.

 

قالَ رَبِّ نَجِّني مِنَ القَومِ الظّٰلِمينَ

dia berdoa: “Ya Tuhanku, selamatkanlah aku dari orang-orang yang zalim itu”.

Dan masa itu baginda berdoa kepada Allah untuk menyelamatkan baginda dan doa yang sama juga disebut oleh Asiah ibu angkatnya (di dalam Tahrim:11). Maka dari sini kita nampak yang ibunya itu telah memberi pengajaran kepadanya.

Maka begitulah cara orang yang baik; mereka akan berharap kepada Allah iaitu apabila ada masalah maka mereka akan berdoa terus kepada Allah. Maka kita kena biasakan diri kita untuk selalu berdoa kepada Allah di setiap ketika. Jangan kekok untuk minta pertolongan kepada Allah.

Nabi Musa kata mereka itu zalim kerana mereka itu hendak bunuh baginda tanpa perbicaraan. Ini bukanlah cara yang baik untuk buat keputusan. Kerana kalau ada orang yang dikatakan bersalah, kenalah diadakan penghakiman untuk pastikan sama ada orang itu bersalah atau tidak.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Ogos 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 14 – 16 (Nabi Musa terbunuh lelaki Qibti)

Ayat 14: Dari ayat ini sehingga ke ayat 21 adalah Perenggan Makro Ketiga. Ia menceritakan peringkat zaman muda Nabi Musa a.s.

وَلَمّا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَاستَوىٰ ءآتَينٰهُ حُكمًا وَعِلمًا ۚ وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when he attained his full strength and was [mentally] mature, We bestowed upon him judgement and knowledge. And thus do We reward the doers of good.

(MELAYU)

Dan setelah Musa cukup umur dan sempurna akalnya, Kami berikan kepadanya hikmah (kenabian) dan pengetahuan. Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

 

وَلَمّا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَاستَوىٰ

Dan setelah Musa sampai umur dan sempurna akalnya, 

Ayat yang sama juga digunakan apabila menceritakan tentang Nabi Yusuf di rumah tuannya. Dalam Surah Yusuf, selepas disebut ayat ini, baginda terus diuji dengan isteri tuannya dan nanti kita akan lihat juga bagaimana Nabi Musa juga akan diuji.

Tetapi ada penambahan kalimah di dalam ayat ini untuk Nabi Musa di mana baginda diberikan dengan استَوىٰ yang bermaksud kekuatan tubuh badan. Ini kerana Allah hendak menceritakan tentang kekuatan tubuh baginda yang menjadi penting dalam penceritaan kisahnya.

Ia juga memberi isyarat bahawa Nabi Musa mendapat kelebihan dari segi pendidikan (dari segi akal dan ilmu keduniaan). Nabi Yusuf juga mendapat pendidikan yang bagus juga kerana dia hidup di rumah ahli politik tetapi apa yang Nabi Musa dapat adalah lebih lagi daripada apa yang Nabi Yusuf dapat. Ini adalah kerana istana Firaun dikatakan menjadi tempat ilmu dunia di mana banyak anak-anak bangsawan dari negeri lain pun dihantar untuk belajar ke Mesir kerana sistem pendidikan di situ.

Jadi Nabi Musa mendapat pendidikan yang lebih tinggi lagi kalau dibandingkan dengan Nabi Yusuf.

 

ءآتَينٰهُ حُكمًا وَعِلمًا

Kami berikan kepadanya hikmah (kenabian) dan pengetahuan. 

Selepas baginda telah cukup umur dan masanya telah tiba, Nabi Musa telah diberikan dengan ilmu asas-asas kenabian. Maknanya baginda belum dilantik menjadi Nabi lagi. Pelantikan baginda adalah di Bukit Thur nanti apabila Allah bercakap terus dengan baginda.

Tapi setakat ini, baginda sudah mula mendapat ilmu kenabian tapi masih ada lagi latihan akan diberikan kepada baginda yang baginda kena lalui sebelum dilantik menjadi Nabi.

 

وَكَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ

Dan demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Itulah balasan yang diberikan kepada Nabi Musa kerana baginda adalah seorang yang baik. Memang Nabi Musa suka berbuat kebaikan kepada orang lain. Allah telah lantik baginda menjadi Nabi dan kemudian menjadi Rasul. Memang para Nabi sebelum menjadi Nabi pun mereka itu orang baik dan telah banyak buat banyak kebaikan.


 

Ayat 15: Sekarang bermula kisah Nabi Musa yang Allah hendak sampaikan. Sekarang terus lompat ke umur dewasa baginda. Kalau dalam filem, scene awal semasa dia bayi, dan sekarang terus melompat dia jadi dewasa. Zaman kanak-kanak tidak diceritakan kerana tidak penting.

وَدَخَلَ المَدينَةَ عَلىٰ حينِ غَفلَةٍ مِّن أَهلِها فَوَجَدَ فيها رَجُلَينِ يَقتَتِلانِ هٰذا مِن شيعَتِهِ وَهٰذا مِن عَدُوِّهِ ۖ فَاستَغٰثَهُ الَّذي مِن شيعَتِهِ عَلَى الَّذي مِن عَدُوِّهِ فَوَكَزَهُ موسىٰ فَقَضىٰ عَلَيهِ ۖ قالَ هٰذا مِن عَمَلِ الشَّيطٰنِ ۖ إِنَّهُ عَدُوٌّ مُّضِلٌّ مُّبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he entered the city at a time of inattention by its people¹ and found therein two men fighting: one from his faction and one from among his enemy. And the one from his faction called for help to him against the one from his enemy, so Moses struck him and [unintentionally] killed him. [Moses] said, “This is from the work of Satan. Indeed, he is a manifest, misleading enemy.”

  • i.e., during the noon period of rest.

(MELAYU)

Dan Musa masuk ke kota ketika penduduknya sedang lengah, maka didapatinya di dalam kota itu dua orang laki-laki yang berkelahi; yang seorang dari golongannya (Bani Israil) dan seorang (lagi) dari musuhnya (kaum Fir’aun). Maka orang yang dari golongannya meminta pertolongan kepadanya, untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya lalu Musa meninjunya, dan matilah musuhnya itu. Musa berkata: “Ini adalah perbuatan syaitan sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang menyesatkan lagi nyata (permusuhannya).

 

وَدَخَلَ المَدينَةَ عَلىٰ حينِ غَفلَةٍ مِّن أَهلِها

Dan dia (Musa) masuk ke kota ketika penduduknya sedang lengah,

Kisah Nabi Musa ini bersambung lagi dan sekarang situasinya di pasar di mana waktu itu adalah waktu senggang di mana tidak ramai manusia yang ada di pasar pada waktu itu. Ini adalah kerana waktu itu adalah waktu tengah hari dan kebiasaan masyarakat waktu itu tengah hari adalah masa rehat.

Ini sekarang pun dinamakan Waktu Qailullah. Sampai sekarang pun ada lagi negara-negara yang mengamalkan budaya ini dan mereka panggil siesta. Semua tutup kedai dan pejabat dan berehat di rumah. Ada juga yang ambil peluang untuk tidur waktu ini sekarang dan mereka panggil ‘power nap’ sebab ada kelebihan kalau tidur di waktu tengahari.

Ada juga sekolah tahfiz yang mewajibkan pelajar mereka tidur di tengahari ini (selepas Zuhur) kerana ia bagus untuk daya ingatan pelajar. Maka kalau anda hendak amalkan pun boleh juga. Tidur dalam 10 minit pun sudah ada kesan.

Nabi Musa pergi waktu tidak ramai orang kerana kurang masalah apabila tidak ramai orang. Dan dia mengambil kesempatan itu untuk membantu golongan Bani Israil, tetapi dia tidak mahu orang dari istana nampak yang dia membantu kaumnya sendiri.

Maka kita dapat fikirkan yang dia gunakan waktu itu kerana dalam waktu senggang itu tidak ramai bangsa Qibti. Maknanya ini menunjukkan yang Nabi Musa ini prihatin dengan masyarakat dan tidaklah dia duduk melepak di istana sahaja.

 

فَوَجَدَ فيها رَجُلَينِ يَقتَتِلانِ

maka didapatinya di dalam kota itu dua orang laki-laki yang berkelahi; 

Dan pada hari ini dia terjumpa dua orang lelaki yang sedang bertengkar. Pertengkaran itu amat panas hinggakan mereka berdua sampai hendak membunuh sesama mereka. Kerana itu digunakan kalimah يَقتَتِلانِ dalam ayat ini. Sudah hampir berbunuhan.

 

هٰذا مِن شيعَتِهِ وَهٰذا مِن عَدُوِّهِ

yang seorang dari golongannya (Bani Israil) dan seorang (lagi) dari musuhnya (kaum Fir’aun). 

Salah seorang yang bergaduh itu adalah daripada kaumnya iaitu Bani Israil dan seorang lagi daripada kaum musuhnya iaitu bangsa Qibti.

Ini memberitahu kita bahawa Nabi Musa sudah tahu yang dia itu memang daripada Bani Israil kerana apabila dia semakin membesar tentulah nampak yang kulit baginda lain daripada kulit bangsa Qibti dan rupanya pun sudah nampak seperti rupa ibu dan abangnya. Maka lama kelamaan rahsia siapakah sebenarnya baginda tentu sudah terbuka.

Dan ayat ini juga memberitahu kita bahawa memang dia bermusuh dengan bangsa Qibti. Tentunya ahli-ahli bangsawan daripada bangsa Qibti yang lain tidak suka kepada Nabi Musa kerana mereka tahu yang dia itu adalah dari Bani Israil tetapi mereka tidak boleh buat apa-apa kerana dia anak angkat kepada Firaun.

Dikatakan yang lelaki Qibti itu adalah pekerja dapur istana Firaun dan dia kena cari kayu api. Apabila dia nampak lelaki Bani Israil maka dia telah paksa lelaki itu untuk angkat kayu api untuk dia. Walaupun dia pekerja dapur istana sahaja tetapi apabila dia nampak lelaki Bani Israil dia nak paksa pula kerana mereka lihat semua bangsa Bani Israil itu sebagai hamba mereka sahaja.

Dan ini memang realiti waktu itu pun. Memang boleh dikatakan semua bangsa Bani Israil di bawah mereka – kelas rendah dan mereka boleh buat dan suruh apa sahaja. Ini kerana Firaun telah menjatuhkan maruah mereka dan menjadikan Bani Israil sebagai kelas bawahan. Maka ramai bangsa Qibti hendak ambil kesempatan. Seperti lelaki dalam kisah ini.

Tetapi lelaki Bani Israil itu walaupun dari golongan hamba tetapi dia tidak mahu mengalah kerana dia tahu yang itu bukan kerjanya. Maka dia telah menolak dan kerana itu mereka berkelahi di situ. Ditakdirkan Nabi Musa lalu di hadapan mereka pada waktu itu.

 

فَاستَغٰثَهُ الَّذي مِن شيعَتِهِ عَلَى الَّذي مِن عَدُوِّهِ

Maka orang yang dari golongannya meminta pertolongan kepadanya, untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya

Lelaki Bani Israil itu meminta tolong kepada Nabi Musa apabila dia nampak Nabi Musa.

Kalimah فَاستَغٰثَهُ dari غ و ث yang bermaksud ‘hujan yang tiba tepat pada masanya’ iaitu apabila hujan diperlukan sangat-sangat. Bermaksud kalau tidak hujan waktu itu, maka tanam-tanaman akan musnah. Maka kalimah istighasah bermaksud meminta tolong pada waktu yang kritikal. Iaitu waktu seseorang itu amat-amat memerlukan pertolongan.

Selalunya bangsa Qibti itu yang menindas Bani Israil maka apabila lelaki itu meminta pertolongan kepada Nabi Musa, maka baginda terus sangka seperti biasa tentulah Bani Israil itu yang ditindas dan tentu lelaki Qibti itu yang bersalah.

 

فَوَكَزَهُ موسىٰ فَقَضىٰ عَلَيهِ

lalu Musa menumbuknya, dan matilah musuhnya itu. 

Maka Nabi Musa menolak lelaki Qibti itu untuk menyelamatkan lelaki Bani Israil itu dan lelaki Qibti itu menolak balik dan akhirnya terjadi pergelutan antara mereka berdua. Dan seperti kita telah sebutkan Nabi Musa itu tubuhnya amat kuat.

Kalimah وَكَزَ bermaksud menumbuk di dada. Tumbukan Nabi Musa itu terlalu kuat sampaikan ditakdirkan lelaki itu mati. Atau, ia bermaksud menolak sahaja, bukan menumbuk, tapi kerana Nabi Musa itu kuat, maka tolakannya itu telah menjatuhkan lelaki itu.

Maka tidaklah Nabi Musa berniat untuk membunuh lelaki itu. Pada baginda, tumbukan itu biasa sahaja dalam pergelutan, tapi kerana kekuatan baginda lebih dari biasa, maka lelaki itu sampaikan terbunuh. Melihat apa yang berlaku, lelaki Bani Israil yang meminta tolong itu pula terus melarikan diri.

 

قالَ هٰذا مِن عَمَلِ الشَّيطٰنِ

Musa berkata: “Ini adalah perbuatan syaitan

Kalaulah Nabi Musa berniat untuk membunuh lelaki itu, tentulah baginda berbangga dengan apa yang terjadi itu; tetapi lihatlah apa kata Nabi Musa. Nabi Musa menyesal sangat dan terus mengatakan yang itu adalah dari kerja-kerja syaitan.

Maksud baginda, syaitan telah menyebabkan dia bertindak berlebihan dengan lelaki itu kerana sekarang baru dia sedar yang sepatutnya dia cuma tangkap sahaja lelaki itu dan jangan sampai memukulnya.

Dia sedar yang sepatutnya dia kena kawal perasaan dia tapi syaitan telah menyebabkan dia berlebihan pula sampai menjadikannya marah. Dan kita juga tahu dari ayat-ayat lain yang baginda ini senang marah. Nabi Musa itu memang seorang yang panas baran.

Dan Nabi Musa terus sedar yang perbuatannya itu akan menyebabkan bertambahnya kesusahan kepada Bani Israil. Kerana apabila seorang lelaki Qibti yang terbunuh, maka tentulah yang dituduh adalah Bani Israil dan mereka akan lebih teruk lagi kena seksa nanti. Maka tentulah inilah yang dikehendaki oleh syaitan.

 

إِنَّهُ عَدُوٌّ مُّضِلٌّ مُّبينٌ

sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang menyesatkan lagi nyata (permusuhannya).

Memang syaitan tidak suka kebaikan kepada orang Islam. Syaitan nak menyusahkan mereka sahaja dan hendak menjerumuskan mereka ke dalam kehinaan. Syaitan akan menggunakan apa sahaja cara untuk menyusahkan umat Islam.

Kerana itu kita kena berhati-hati dengan apa sahaja yang berlaku di hadapan kita. Kerana syaitan akan ambil peluang untuk menyebabkan dugaan bagi diri kita. Kadang-kadang ia perkara biasa sahaja tapi syaitan sentiasa akan ambil peluang.

Sebagai contoh dalam kes yang kita baca ini: memang ditakdirkan Nabi Musa bertemu dengan dua lelaki berkelahi itu dan lelaki itu meminta tolong kepadanya. Tapi yang dibisikkan oleh syaitan telah menyebabkan Nabi Musa terlebih marah; bila terlebih marah, maka tolakannya jadi terlebih kuat.

Maka, takdir apa yang terjadi kita tidak dapat nak kawal. Tapi yang kita kena kawal adalah perasaan kita. Jangan lupa yang syaitan akan mengambil peluang dalam setiap situasi untuk menyebabkan kita susah atau kita melakukan kesalahan. Kerana syaitan mahu kita menambah dosa. Syaitan mahu kita berkelahi.

Kerana itu kadangkala perkara kecil pun boleh berkelahi teruk sangat. Yang kalau orang luar tengok, mereka pun rasa: “eleh, itu hal kecil sahaja, tapi kenapa mereka sampai bermasam muka bertahun-tahun?” Ini kerana syaitan telah memperbesarkannya. Syaitan akan hasut hati-hati manusia supaya nampak benda itu besar. Antaranya dia bisik: “ishhhhh takkan kau nak biarkan sahaja dia cakap macam itu dengan kau?!!”


 

Ayat 16: Nabi Musa bertaubat dan berdoa kepada Allah di atas kesilapannya itu.

قالَ رَبِّ إِنّي ظَلَمتُ نَفسي فَاغفِر لي فَغَفَرَ لَهُ ۚ إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, indeed I have wronged myself, so forgive me,” and He forgave him. Indeed, He is the Forgiving, the Merciful.

(MELAYU)

Musa berdoa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri kerana itu ampunilah aku”. Maka Allah mengampuninya, sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

 

قالَ رَبِّ إِنّي ظَلَمتُ نَفسي فَاغفِر لي

Musa berdoa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri kerana itu ampunilah aku”.

Nabi Musa tahu yang dia telah tersilap dan terus dia meminta ampun kepada Allah SWT. Maka ini mengajar kita yang orang yang baik akan terus sedar kesalahan dirinya dan terus meminta ampun. Orang yang baik akan menilai perbuatannya dan dia fikirkan balik, sama ada benar atau tidak tindakannya sebelum itu. Orang perangai buruk tidak fikirkan langsung dengan tindakan mereka.

 

فَغَفَرَ لَهُ

Maka Allah mengampuninya,

Nabi Musa meminta ampun kepada Allah dan Allah terus mengampunkan baginda. Tapi Nabi Musa belum menjadi Nabi lagi, lalu bagaimana dia tahu yang Allah telah mengampunkannya?

Ini kerana Allah telah memberi ilham kepada baginda bukan di dalam bentuk wahyu sebagaimana telah diberikan kepada ibunya di mana mungkin baginda merasa tenang dan yakin yang Allah telah mengampuni dosanya.

Lagi satu kita kena ingat dan beradab dengan para Nabi dan Rasul. Kesalahan yang mereka lakukan tidaklah ‘berdosa’ kerana mereka itu maksum. Dari semasa mereka belum dilantik menjadi Nabi pun mereka tidak melakukan dosa. Tapi yang mereka lakukan adalah setakat ‘kesilapan’ sahaja. Kerana kita pun tahu yang Nabi Musa bukannya sengaja hendak membunuh lelaki itu. Itu semua tidak sengaja sahaja.

 

إِنَّهُ هُوَ الغَفورُ الرَّحيمُ

sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Allah sayang kepada hamba-hambaNya dan kerana itu Allah sanggup memberi ampun kepada hambaNya yang sanggup untuk bertaubat. Kerana itu kalau kita sayang orang, senang kita hendak maafkan kesalahannya. Maka, tentulah Allah berlebih-lebih lagi sayang kepada kita, bukan?

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 28 Julai 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 10 – 13 (Musa kembali kepada ibunya)

Ayat 10: Kalau kita bayangkan kisah Nabi Musa عليه السلام ini sebagai satu filem, sekarang kamera beralih balik kepada ibu Nabi Musa عليه السلام yang kesedihan kerana kehilangan anaknya. Dalam masa yang sama, pada kamera yang lain, sedang ditunjukkan Asiah pula kegembiraan kerana baru mendapat anak.

وَأَصبَحَ فُؤادُ أُمِّ موسىٰ فٰرِغًا ۖ إِن كادَت لَتُبدي بِهِ لَولا أَن رَّبَطنا عَلىٰ قَلبِها لِتَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the heart of Moses’ mother became empty [of all else]. She was about to disclose [the matter concerning] him had We not bound fast her heart that she would be of the believers.

(MELAYU)

Dan menjadi kosonglah hati ibu Musa. Sesungguhnya hampir saja dia menyatakan rahsia tentang Musa, seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, supaya dia termasuk orang-orang yang percaya (kepada janji Allah).

 

وَأَصبَحَ فُؤادُ أُمِّ موسىٰ فٰرِغًا

Dan menjadi kosonglah hati ibu Musa.

Hati ibu Nabi Musa عليه السلام menjadi kosong sekosong-kosongnya kerana kehilangan anak yang disayanginya. Tak ingat benda lain, asyik gelisah tentang Musa عليه السلام sahaja. Buat apa pun sudah tak kena.

Nama ibu Nabi Musa عليه السلام  ini dikatakan Aminah. Allahu a’lam tentang kesahihannya. Oleh kerana nama ini tidak penting, maka tidaklah kita kena periksa dengan teliti sama ada ia benar atau tidak. Kalau ia penting, sudah tentu Allah ﷻ akan beritahu kita namanya.

 

إِن كادَت لَتُبدي بِهِ لَولا أَن رَّبَطنا عَلىٰ قَلبِها

Sesungguhnya hampir saja dia menyatakan rahsia tentang Musa, seandainya tidak Kami teguhkan hatinya,

Kalau diikutkan hatinya maka tentu beliau akan terus melihat kepada anaknya semasa anaknya itu sedang hanyut di dalam sungai dan mungkin beliau akan terjun dan mengambil kembali anaknya itu.

Atau mungkin sahaja beliau cakap bahawa yang di istana Firaun itu anaknya. Kerana dia sudah tahu tentang anaknya itu di istana Firaun kerana kakak Nabi Musa عليه السلام telah mengekor adiknya itu hanyut ke mana (akan disebut dalam ayat selepas ini).

Tetapi Allah ﷻ telah teguhkan hati ibu ini. Pada mulanya Allah ﷻ gunakan kalimah فُؤادُ dalam potongan yang awal, dan dalam potongan ini, hati menjadi قَلبِ iaitu hati yang biasa sahaja. Kalau فُؤادُ bermaksud hati juga, tetapi hati yang bergelora dengan perasaan. Tapi kalau digunakan قَلبِ, ia adalah dalam bentuk hati yang dalam keadaan normal.

 

لِتَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

supaya dia termasuk orang-orang yang percaya (kepada janji Allah).

Dengan kesabaran itu ibu Nabi Musa عليه السلام menjadi seorang yang berkedudukan ‘mukminah’. Allah ﷻ berfirman yang beliau menjadi seorang mukminah kerana itulah balasan yang Allah ﷻ berikan kepadanya kerana beliau telah melalui satu trauma dan beliau bersabar dengannya. Itulah sebaik-baik hadiah yang Allah ﷻ berikan kepada manusia iaitu iman. Setelah melalui ujian kesabaran, maka dia mendapat balasan.

Jadi akhirnya Nabi Musa عليه السلام ada dua orang ibu yang hebat yang memberi penjagaan dan ajaran kepadanya. Seorang ibu daripada bangsa Qibti (Asiah) dan seorang lagi ibu daripada Bani Israel (Aminah). Kedua-dua ibu itu adalah wanita yang hebat kerana merekalah yang menjadi guru yang awal kepada baginda dan menjadikan baginda seorang yang hebat juga.


 

Ayat 11:

وَقالَت لِأُختِهِ قُصّيهِ ۖ فَبَصُرَت بِهِ عَن جُنُبٍ وَهُم لا يَشعُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And she said to his sister, “Follow him”; so she watched him from a distance while they perceived not.

(MELAYU)

Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara Musa yang perempuan: “Ikutilah dia” Maka melihat olehnya Musa dari jauh, sedang mereka tidak mengetahuinya,

 

وَقالَت لِأُختِهِ قُصّيهِ

Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara Musa yang perempuan: “Ikutilah dia”

Ibu Nabi Musa عليه السلام menyuruh kakak Nabi Musa عليه السلام untuk pergi ikut dan tengok ke mana perginya peti yang mengandungi Nabi Musa عليه السلام itu. Nama kakak itu dikatakan sebagai Maryam binti Imran (bukan Maryam ibu Nabi Isa عليه السلام).

Pendek sahaja arahan ibu Nabi Musa itu. Pepatah Arab ada mengatakan lebih kurang begini: “Berikan arahan kepada orang yang bijak dan jangan beri maklumat yang terlalu banyak”. Maknanya tidak perlu cakap banyak kalau orang yang dipilih itu sudah bijak kerana mereka sudah pandai dan kalau kita beritahu dengan terperinci perkara yang perlu dilakukan, itu adalah penghinaan kepada intelektual mereka.

Macam kita nak suruh anak kita mengambil barang dalam bilik kita. Kalau kita pilih anak yang sudah agak dewasa, kita boleh katakan sahaja: “Ambilkan buku daddy yang daddy selalu baca tu….”. Dia sudah boleh agak buku mana yang kita hendak. Tapi kalau kita suruh kepada anak yang kecil, sudah tentulah kita kena beri arahan lebih: “Buku warna merah dalam laci sebelah atas, bukan buku yang warna biru….” dan seterusnya.

Jadi ibu Nabi Musa عليه السلام memberikan arahan pendek sahaja kepada kakak Nabi Musa عليه السلام itu untuk memerhatikan apa yang terjadi kerana kakaknya itu seorang yang bijak. Jadi surah ini memang banyak mengandungi kisah wanita-wanita yang hebat – ibu Nabi Musa, Asiah isteri Firaun dan sekarang kita baca satu lagi karektor baru, kakak Nabi Musa.

 

فَبَصُرَت بِهِ عَن جُنُبٍ

Maka dia melihat Musa dari jauh, 

Jadi kakak Nabi Musa عليه السلام itu hanya memerhatikan dari tepi sahaja. Dia tengok daripada jauh sahaja supaya dia tidak dilihat oleh orang ramai (orang Qibti atau para tentera). Dan tentunya dia kena ikut perjalanan peti itu dalam jarak yang jauh kerana istana Firaun bukannya dekat dengan kampung mereka.

 

وَهُم لا يَشعُرونَ

sedang mereka tidak mengetahuinya,

Dia tengok dengan ekor matanya sahaja dan tidaklah merenung kepada peti itu sampaikan tidak ada orang yang perasan tentang kotak itu. Mungkin dia buat macam dia jalan-jalan kutip bunga dan sebagainya. Atau dia buat seperti sedang bermain-main di tepi sungai.

Maka tidaklah dia merenung tanpa berkelip mata kepada peti itu. Jadi kita boleh tahu daripada maklumat ini yang kakak Nabi Musa عليه السلام itu adalah seorang yang bijak.


 

Ayat 12:

۞ وَحَرَّمنا عَلَيهِ المَراضِعَ مِن قَبلُ فَقالَت هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ أَهلِ بَيتٍ يَكفُلونَهُ لَكُم وَهُم لَهُ نٰصِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We had prevented from him [all] wet nurses before,¹ so she said, “Shall I direct you to a household that will be responsible for him for you while they are to him [for his upbringing] sincere?”

  • Prior to that, Moses had refused to nurse from any other woman.

(MELAYU)

dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya) sebelum itu; maka berkatalah saudara Musa: “Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu ahlul bait yang akan memeliharanya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?”.

 

وَحَرَّمنا عَلَيهِ المَراضِعَ مِن قَبلُ

dan Kami cegah Musa daripada menyusu kepada perempuan-perempuan yang mahu menyusui(nya) sebelum itu;

Apabila Asiah ibu angkat Nabi Musa عليه السلام telah dapat Nabi Musa عليه السلام maka tentunya beliau cuba untuk mengupah banyak wanita untuk cuba menyusukan Nabi Musa عليه السلام. Akan tetapi baginda tidak mahu menyusu dengan mereka kerana Allah ‎ﷻ tidak benarkan. Ini adalah dalam perangan Allah ﷻ untuk mengembalikan baginda kepada ibunya yang sebenar.

Ini adalah kerana Nabi Musa عليه السلام sudah pernah dibiasakan dengan susu ibunya dan kerana itulah Allah ‎ﷻ telah ilhamkan kepada ibunya untuk susukan Nabi Musa عليه السلام sebelum membalingnya ke dalam sungai. Maka Nabi Musa عليه السلام hanya mahu susu ibunya kerana baginda telah rasa susu ibunya itu.

Maka tentulah Nabi Musa عليه السلام kelaparan dan Asiah berterusan mencari perempuan yang boleh menyusukan baginda tetapi tidak ada yang berjaya maka tentulah telah dihantar orang untuk mencari siapa lagi yang boleh menyusukannya. Dan waktu itulah kakak Nabi Musa عليه السلام tahu tentang perkara itu. Maka dia telah mendapat idea bagaimana hendak mengembalikan adiknya itu ke rumahnya.

 

فَقالَت هَل أَدُلُّكُم عَلىٰ أَهلِ بَيتٍ يَكفُلونَهُ لَكُم

maka berkatalah saudara Musa: “Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu ahlul bait yang akan memeliharanya untukmu

Kakaknya dengan bijak sekali memberi cadangan untuk pergi ke satu rumah yang boleh menjaga Nabi Musa عليه السلام tetapi dia tidaklah sampai memberitahu yang itu adalah rumah ibu Nabi Musa عليه السلام sendiri. Dia pun tidak beritahu yang itu adalah rumahnya sendiri.

 

وَهُم لَهُ نٰصِحونَ

dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?”.

Dan kakak itu memberitahu yang keluarga itu baik dan mereka akan menjaga Nabi Musa عليه السلام itu dengan baik. Kalimah ن ص ح bermaksud ‘ikhlas’. Kerana itu kalau nasihat, ia bermaksud nasihat yang ikhlas. Maknanya si kakak ini telah siap promosi lagi emaknya itu.

Ibnu Abbas رضي الله عنهما mengatakan bahawa setelah saudara perempuan Musa عليه السلام mengatakan hal itu kepada mereka, maka mereka menangkapnya kerana merasa curiga terhadapnya, lalu mereka menanyainya, “Apakah yang menyebabkan kamu mengetahui bahawa ahli bait itu pasti akan menyayangi bayi ini dan memperlakukannya dengan kasih sayang?”

Kakak perempuan Musa عليه السلام menjawab, “Perlakuan baik mereka terhadap bayi ini dan kasih sayang mereka kepadanya ialah kerana mereka menginginkan agar raja gembira, juga mengharapkan imbalan jasa daripadanya.” Berkat alasannya itu saudara perempuan Musa عليه السلام dilepaskan oleh mereka. Lihatlah bagaimana menjawab pun kakaknya itu pandai.

Setelah dia mengatakan alasannya itu, selamatlah dia daripada gangguan mereka, lalu mereka pergi bersamanya ke rumahnya. Setelah sampai di rumahnya mereka masuk dengan membawa Musa عليه السلام kepada ibunya. Ibu Musa عليه السلام terus menyusukan baginda tanpa sebarang masalah yang mana hal tersebut membuat mereka sangat gembira.

Kemudian dikirimlah seorang pembawa berita gembira kepada isteri Fir’aun, lalu isteri Fir’aun memanggil ibu Musa عليه السلام untuk mengadap kepadanya. Setelah ibu Musa عليه السلام sampai di istana isteri Raja Fir’aun, maka beliau diperlakukan dengan baik dan dihormati serta diberinya hadiah yang berlimpah, sedangkan isteri Fir’aun tidak mengetahui bahawa sebenarnya dia adalah ibu kandung bayi itu. Yang diketahui oleh isteri Fir’aun hanyalah Musa عليه السلام sesuai dan selesa menyusu dengannya.

Kemudian Asiah isteri Fir’aun meminta kepada Aminah ibu Musa عليه السلام untuk tinggal di istana sambil menyusui bayi itu, tetapi ibu Musa عليه السلام menolak dengan alasan bahawa sesungguhnya beliau mempunyai suami serta mempunyai ramai anak, maka tidak mampu tinggal di istana dan meninggalkan mereka. Tetapi jika isteri Fir’aun menyetujui, dia mahu menyusuinya di rumahnya sendiri.

Akhirnya isteri Fir’aun menyetujui usulnya dan memberinya perbelanjaan, pakaian, hubungan yang akrab, perlakuan yang baik, dan hadiah yang berlimpah.

Pada akhirnya ibu Musa عليه السلام pulang ke rumahnya dengan membawa anaknya dengan hati yang puas lagi disukai. Ternyata Allah ‎ﷻ telah menggantikannya dengan rasa aman berbanding sebelumnya beliau selalu dicengkam oleh rasa takut dan risau yang mendalam. Di samping itu juga, Allah ‎ﷻ memberinya kemuliaan dan kedudukan serta rezeki yang mengalir secara berlimpah.

Akhirnya nanti keluarga Nabi Musa عليه السلام akan menjadi rapat dengan istana kerana mereka sudah menjadi pekerja istana dan kerana itulah juga nanti Nabi Harun عليه السلام selamat dan mereka tidak dibunuh atau diganggu. Maknanya, mereka sudah dikira keluarga kroni raja.


 

Ayat 13:

فَرَدَدنٰهُ إِلىٰ أُمِّهِ كَي تَقَرَّ عَينُها وَلا تَحزَنَ وَلِتَعلَمَ أَنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We restored him to his mother that she might be content and not grieve and that she would know that the promise of Allāh is true. But most of them [i.e., the people] do not know.

(MELAYU)

Maka kami kembalikan Musa kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berduka cita dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah itu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

 

فَرَدَدنٰهُ إِلىٰ أُمِّهِ كَي تَقَرَّ عَينُها وَلا تَحزَنَ

Maka kami kembalikan Musa kepada ibunya, supaya senang hatinya dan tidak berduka cita

Maka dengan cara menjadi ibu susuan itulah Nabi Musa عليه السلام telah dikembalikan kepada ibunya (dan ke rumahnya sendiri) untuk menyusuinya dan dengan ini Allah telah memenuhi janjinya untuk mengembalikan Nabi Musa عليه السلام kepada ibunya (semasa Allah ilhamkan kepada ibu Nabi Musa عليه السلام semasa dibaling anaknya ke sungai).

Bayangkan betapa untungnya beliau: Sudahlah dapat kembali anaknya, dapat pula upah dari istana sebagai pekerja istana yang tentunya agak lumayan juga.

Maka hilanglah kesedihan ibu Nabi Musa عليه السلام kerana beliau telah mendapat anaknya kembali. Maka lihatlah bagaimana hebatnya perancangan Allah ‎ﷻ dari awalnya menyuruh ibunya menyusukan Nabi Musa عليه السلام di mana baginda diprogram agar sesuai hanya dengan susu ibunya sahaja. Jadi apabila baginda tidak mahu meminum susu orang lain akhirnya hanya susunya sahaja yang diterima dan dapatlah beliau menimang anaknya kembali.

Semua ini tentunya berlaku dengan cepat kerana jika tidak diberi susu kepada Nabi Musa عليه السلام tentulah baginda akan mati. Oleh sebab itu, besar kemungkinan dalam masa sehari sahaja ibu Nabi Musa عليه السلام telah mendapat anaknya kembali.

Begitulah cara kita bergantung kepada Allah ﷻ di mana kita hanya minta apa yang kita hendak dan terpulang kepada Allah ﷻ bagaimana Dia merancang untuk memberikan perkara itu kepada kita.

Sebagai contoh kita mungkin berdoa untuk dimurahkan rezeki tetapi mungkin tiba-tiba kita dibuang kerja dan kita sudah takut, tetapi mungkin Allah ﷻ hendak kita dapat kerja yang lain ataupun dapat idea untuk buat perniagaan yang lebih menguntungkan kita. Percayalah kepada jalan yang Allah ﷻ telah tetapkan.

Dengan pulangnya bayi itu kepadanya semula maka tenanglah dan sejuklah mata ibu Nabi Musa عليه السلام. Dan bukan saja beliau kegembiraan tetapi Asiah juga gembira kerana beliau mendapat bayi, dan bayinya itu telah dapat menyusu dan diasuh oleh orang yang baik pula.

 

وَلِتَعلَمَ أَنَّ وَعدَ اللهِ حَقٌّ

dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah itu adalah benar, 

Dan yakinlah ibu Nabi Musa عليه السلام dengan janji Allah ﷻ untuk mengembalikan anaknya itu dan beliau bukan saja percaya tetapi sudah ke tahap ‘yakin’ kerana beliau nampak sendiri bagaimana janji Allah ﷻ itu dipenuhi. Kalau sebelum itu beliau mendapat ilham sahaja dan waktu itu pun beliau sudah percaya (tapi belum yakin lagi).

Dan apabila beliau dapat melihat sendiri bagaimana janji Allah ﷻ dipenuhi maka tentulah beliau menjadi seorang yang imannya amat-amat tinggi dan apabila seorang ibu itu mempunyai iman yang tinggi maka beliau dapat mendidik Nabi Musa عليه السلام dengan iman yang hebat.

 

وَلٰكِنَّ أَكثَرَهُم لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.

Kebanyakan manusia tidak yakin dengan janji Allah ﷻ kerana mereka tidak dapat melihat kebenaran. Dan kerana itu ramai yang resah gelisah dengan apa-apa yang terjadi kepada dirinya kerana dia tidak nampak perancangan Allah ﷻ. Dan mereka tidak benar-benar tawakkal kepada Allah ﷻ.

Dan kalau mereka doa dan tidak dapat apa yang mereka minta, mereka jadi resah gelisah. Padahal, entah Allah ﷻ telah berikan perkara yang lebih baik daripada apa yang mereka minta. Sebagai contoh, katakanlah kita minta jadi kaya tetapi Allah ﷻ tidak berikan. Kerana mungkin kalau kita jadi kaya, maka agama kita akan rosak, maka Allah ﷻ tidak berikan kekayaan, tetapi Allah ﷻ beri iman yang kuat kepada kita.

Ayat ini juga bermaksud yang orang-orang di istana itu tidak dapat mengesan bahawa Nabi Musa عليه السلام itu adalah anak wanita yang menyusukannya itu. Mungkin ada yang tahu tetapi kebanyakannya tidak tahu. Mungkin ada daripada pekerja-pekerja istana itu yang dapat kesan kerana mereka lihat bagaimana rapatnya bayi itu dengan wanita itu; dan juga mereka teringat yang perempuan muda itulah yang memberi cadangan untuk minta wanita itu yang menyusukan. Dan kemudian mereka nampak eh eh, anak wanita itu rupanya…

Tetapi nampaknya walaupun mereka tahu mereka tidak mahu bocorkan rahsia itu kepada Firaun.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 22 Julai 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir