Tafsir Surah Qasas Ayat 44 – 47 (Tiada alasan menjadi jahil)

Qasas Ayat 44: Ini adalah ayat jumlah mu’taridah (iaitu diselitkan ayat yang tidak ada kena mengena dengan rentetan kisah dalam ayat sebelumnya. Tiba-tiba Allah bercakap dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah kerana Allah nak sampaikan sesuatu pengajaran yang penting).

Kisah-kisah yang telah disebutkan sebelum ini tidak ada di dalam sejarah bangsa Arab dan jika bukan kerana Allah yang sampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ, maka baginda tidak akan tahu dan ini adalah dalil yang baginda adalah Rasul. Maka ini adalah dalil kerasulan Nabi Muhammad ﷺ.

وَما كُنتَ بِجانِبِ الغَربِيِّ إِذ قَضَينا إِلىٰ موسَى الأَمرَ وَما كُنتَ مِنَ الشّٰهِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you, [O Muḥammad], were not on the western side [of the mount] when We revealed to Moses the command, and you were not among the witnesses [to that].

(MELAYU)

Dan tidaklah kamu (Muhammad) berada di sisi yang sebelah barat ketika Kami menyampaikan perintah kepada Musa, dan tiada pula kamu termasuk orang-orang yang menyaksikan.

 

وَما كُنتَ بِجانِبِ الغَربِيِّ

Dan tidaklah kamu (Muhammad) berada di sisi yang sebelah barat

Allah telah memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ di dalam wahyu Al-Qur’an ini segala perkara penting tentang Nabi Musa. Antaranya kisah bagaimana Allah bercakap dengan Nabi Musa secara terus.

Dan kemudian Allah ingatkan kepada Nabi Muhammad ﷺ yang baginda tidak ada sewaktu kejadian itu menunjukkan yang apa yang baginda dapat ini adalah wahyu daripada Allah.

 

إِذ قَضَينا إِلىٰ موسَى الأَمرَ

ketika Kami menyampaikan perintah kepada Musa, 

Iaitu ketika Nabi Musa dilantik menjadi Nabi dan baginda telah dilatih dengan tongkat menjadi ular dan tangannya bercahaya itu. Dan kemudian baginda telah ditugaskan untuk sampaikan dakwah kepada Fir’aun dan lain-lain.

 

وَما كُنتَ مِنَ الشّٰهِدينَ

dan tiada pula kamu termasuk orang-orang yang menyaksikan.

Allah mengingatkan Nabi Muhammad ﷺ yang baginda tidak ada bersama dengan orang-orang yang hadir ketika itu tetapi baginda boleh ceritakan balik satu persatu. Ini kerana berita ini didapati dari wahyu. Maka memanglah baginda seorang nabi. Kerana kalau bukan nabi, tentu baginda tidak tahu tentang kisah ini.


 

Qasas Ayat 45:

وَلٰكِنّا أَنشَأنا قُرونًا فَتَطاوَلَ عَلَيهِمُ العُمُرُ ۚ وَما كُنتَ ثاوِيًا في أَهلِ مَديَنَ تَتلو عَلَيهِم آيٰتِنا وَلٰكِنّا كُنّا مُرسِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But We produced [many] generations [after Moses], and prolonged was their duration.¹ And you were not a resident among the people of Madyan, reciting to them Our verses, but We were senders [of this message].²

  • So they forgot and neglected the ordinances of Allāh.
  • The Prophet (ṣ) had no way of obtaining this information except through Allāh’s revelation.

(MELAYU)

Tetapi Kami telah mengadakan beberapa generasi, dan berlalulah atas mereka masa yang panjang dan tiadalah kamu tinggal bersama-sama penduduk Madyan dengan membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka, tetapi Kami telah mengutus rasul-rasul.

 

وَلٰكِنّا أَنشَأنا قُرونًا

Tetapi Kami telah mengadakan beberapa generasi,

Allah memberitahu yang selepas Nabi Musa dan kaum yang sezaman dengan baginda itu, datang generasi demi generasi yang lain. Ia berterusan tanpa henti.

 

فَتَطاوَلَ عَلَيهِمُ العُمُرُ

dan berlalulah atas mereka masa yang panjang, 

Dan masa mereka hidup di dunia amatlah panjang dan apabila masa yang panjang, maka mereka telah tetap di dalam keadaan mereka tidak berubah. Mereka terus berada dalam sifat yang buruk.

Kita boleh bayangkan bagaimana kita ada permainan dan sudah lama kita main sampai kita tidak menghargainya lagi tetapi katakanlah ada orang datang ke rumah kita dan melihat permainan itu yang dia tidak ada, maka tentunya dia suka dan terpesona dengan permainan itu.

Maknanya lama-kelamaan mereka terbiasa dengan amalan-amalan mereka hingga ia menjadi sebagai adat sahaja. Begitulah yang terjadi kepada orang yang lahir-lahir sudah Muslim dan ini berbeza dengan orang yang baru menjumpai agama Islam di mana mereka akan melihat Islam ini sebagai sesuatu yang hebat. Macam orang yang nampak permainan baru di rumah seseorang. Orang yang ada permainan itu tidak kisah pun, bukan?

Atau ia bermaksud berlalu masa yang panjang tanpa diturunkan wahyu kepada manusia. Ini kerana selepas Nabi Isa, manusia lama tidak ada nabi dan mendapat wahyu disampaikan kepada mereka. Jarak antara Nabi Isa dan Nabi Muhammad adalah lebih 600 tahun. Maka mereka telah leka lalai kerana tidak mendapat peringatan dari wahyu.

Jadi untuk menghidupkan kembali perasaan kita terhadap agama, maka Allah akan melakukan sesuatu dan ini akan disebut dalam ayat yang lain dalam surah ini. Allah hendak mengembalikan perasaan beragama kepada kita. Jangan kita rasa agama ini sudah biasa, lali dengan agama Islam ini.

 

وَما كُنتَ ثاوِيًا في أَهلِ مَديَنَ تَتلو عَلَيهِم آيٰتِنا

dan tiadalah kamu tinggal bersama-sama penduduk Madyan dengan membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka, 

Kalimah ثاوِيًا bermaksud tinggal di satu tempat turun-temurun kerana ayah kita duduk di situ, datuk kita duduk di situ, dan keturunan mereka pun duduk di situ juga. Ia dari dari katadasar ث و ي yang bermaksud menetap di suatu tempat, berhenti, menetap di suatu tempat, menahan sesiapa sahaja (di suatu tempat), penginapan, tempat tinggal, resort, tempat berehat, penghuni. Kalimah مَثوَى bermaksud tempat tinggal generasi demi generasi. Ia adalah tempat tinggal yang diwarisi. Maknanya, tempat tinggal yang lama.

Allah mengingatkan yang Nabi Muhammad ﷺ bukanlah penduduk turun-temurun di negeri Madyan sambil membacakan ayat-ayat-Nya kepada penduduk itu; lalu bagaimana baginda tahu tentang kisah yang berlaku di situ? Semua maklumat yang baginda dapat ini adalah kerana wahyu yang Allah berikan kepada baginda. Kalau Allah tidak berikan wahyu ini maka baginda pun tentu tidak akan tahu tentang kisah yang berlaku berabad-abad lamanya dahulu kerana memang baginda tidak duduk di situ.

 

وَلٰكِنّا كُنّا مُرسِلينَ

tetapi Kami telah mengutus rasul-rasul.

Tetapi Allahlah yang telah mengutus para Rasul ke negeri itu untuk membacakan ayat-ayat-Nya kepada penduduk Madyan. Bukan Nabi Muhammad ﷺ yang membacakan kepada mereka, tapi Rasul lain.

Dan kerana rahmat-Nya itulah Nabi Muhammad ﷺ telah diangkat menjadi Rasul dan dapat membacakan kisah-kisah Madyan kepada umat baginda. Kerana ia sudah lama dalam lipatan sejarah dan kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.


 

Qasas Ayat 46:

وَما كُنتَ بِجانِبِ الطّورِ إِذ نادَينا وَلٰكِن رَّحمَةً مِّن رَّبِّكَ لِتُنذِرَ قَومًا مّا أَتٰهُم مِّن نَّذيرٍ مِّن قَبلِكَ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you were not at the side of the mount when We called [Moses] but [were sent] as a mercy from your Lord to warn a people to whom no warner had come before you that they might be reminded.

(MELAYU)

Dan tiadalah kamu berada dekat gunung Thur ketika Kami menyeru (Musa), tetapi (Kami beritahukan itu kepadamu) sebagai rahmat dari Tuhanmu, supaya kamu memberi peringatan kepada kaum (Quraisy) yang sekali-kali belum datang kepada mereka pemberi peringatan sebelum kamu agar mereka ingat.

 

وَما كُنتَ بِجانِبِ الطّورِ إِذ نادَينا

Dan tiadalah kamu berada dekat gunung Thur ketika Kami menyeru

Tidaklah Nabi Muhammad berada di Bukit Thursina ketika Nabi Musa diseru oleh Allah Taala untuk menerima wahyu.

 

وَلٰكِن رَّحمَةً مِّن رَّبِّكَ

tetapi sebagai rahmat dari Tuhanmu, 

Nabi Muhammad ﷺ tidak ada semasa kejadian semua itu tetapi atas rahmat Allah, baginda mendapat maklumat itu semua berdasarkan wahyu.

Apakah maksud ‘rahmah’? Rahim ibu juga diambil daripada kata dasar (ر ح م) yang sama dan rahim ibu itu boleh kita gunakan sebagai analogi kepada Rahmah Allah untuk kita cuba memahaminya. Seperti kita tahu, rahim ibu itu memberi segala keperluan anak yang di dalam kandungannya dan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Begitulah sayangnya Allah kepada kita malah lebih lagi. Segala keperluan kita diberikan-Nya.

Kalau dalam terjemahan selalunya Rahmah ini dikatakan sebagai ‘belas kasihan’ (mercy). Tetapi ini tidak berapa tepat kerana perkataan ‘belas kasihan’ ini digunakan apabila seseorang yang boleh menghukum atau merosakkan seseorang, tetapi dia tidak melakukannya kerana ‘belas kasihan’. Maknanya, dia beri peluang.

Tetapi di dalam bahasa Melayu apabila ia diterjemahkan sebagai ‘kasih’, ia lebih tepat lagi. Tapi kasih itu ada banyak jenis kasih dan yang lebih rapat kepada kebenaran adalah kalau kita bandingkan kasih Rahmah itu dengan kasih seorang ibu kepada anaknya. Kerana kasih ibu itu amat tinggi sampaikan dia sanggup untuk menyusahkan dirinya untuk kebaikan anaknya. Kerana kasihkan seseorang, kita sanggup melakukan apa sahaja untuk kebaikan anak itu malah sampai mengorbankan dirinya sendiri.

 

لِتُنذِرَ قَومًا مّا أَتٰهُم مِّن نَّذيرٍ مِّن قَبلِكَ

supaya kamu memberi peringatan kepada kaum (Quraisy) yang sekali-kali belum datang kepada mereka pemberi peringatan sebelum kamu

Jadi dengan kerana sifat rahmat Allah itulah Allah memberikan maklumat ini kepada penduduk Mekah supaya mereka dapat beriman. Supaya dengan maklumat itu Nabi Muhammad ﷺ boleh memberi peringatan kepada kaum yang sebelum itu tidak mendapat peringatan dari sesiapa pun kerana mereka tidak ada Nabi dan Rasul (dan juga tidak ada kitab).

Allah beritahu kepada mereka tentang kaum-kaum yang telah dihancurkan kerana mereka tidak beriman supaya dengan peringatan itu penduduk Mekah dapat tahu tentang tauhid dan agama dan dapat mengubah iman mereka.

 

لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

agar mereka ingat.

Supaya mereka dapat ambil pengajaran. Dan supaya mereka ingat kembali perjanjian tauhid mereka dengan Allah semasa mereka di alam roh lagi.


 

Qasas Ayat 47: Kenapa Allah beri wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada umat baginda?

وَلَولا أَن تُصيبَهُم مُّصيبَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم فَيَقولوا رَبَّنا لَولا أَرسَلتَ إِلَينا رَسولًا فَنَتَّبِعَ ءآيٰتِكَ وَنَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if not that a disaster should strike them for what their hands put forth [of sins] and they would say, “Our Lord, why did You not send us a messenger so we could have followed Your verses and been among the believers?”…¹

  • The conclusion of the sentence is understood to be “…We would not have sent messengers,” meaning that Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) sent messengers and sent Muḥammad (ṣ) with the final scripture to mankind so that no one could claim that punishment was imposed unjustly without warning.

(MELAYU)

Dan agar mereka tidak mengatakan ketika azab menimpa mereka disebabkan apa yang mereka kerjakan: “Ya Tuhan kami, mengapa Engkau tidak mengutus seorang rasul kepada kami, lalu kami mengikuti ayat-ayat Engkau dan jadilah kami termasuk orang-orang mukmin”.

 

وَلَولا أَن تُصيبَهُم مُّصيبَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم

Dan agar mereka tidak mengatakan ketika azab menimpa mereka disebabkan apa yang mereka kerjakan:

Apabila manusia tidak beramal dan berakidah tauhid seperti yang dikehendaki oleh Allah, mereka akan menerima azab dari Allah. Dan mereka layak mendapat azab itu dek kerana perbuatan mereka sendiri. Tapi tentu mereka tidak berpuas hati nanti, bukan? Kalau ada alasan, mereka akan gunakan apa sahaja alasan. Dan ini adalah salah satu alasan yang mungkin mereka gunakan:

 

فَيَقولوا رَبَّنا لَولا أَرسَلتَ إِلَينا رَسولًا

“Ya Tuhan kami, mengapa Engkau tidak mengutus seorang rasul kepada kami, 

Mungkin ada manusia yang berhujah yang mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu salah kerana mereka tidak mendapat maklumat. Maka Allah hendak memotong hujah mereka itu dengan memberikan wahyu siap-siap kepada mereka, supaya mereka tidak ada hujah itu lagi. Apa lagi alasan mereka kalau mereka telah mendapat wahyu? Takkan mereka nak kata mereka tidak tahu?

Ini macam orang luar masuk negara kita dan mengedar dadah. Kemudian mereka kena tangkap dan mereka dihukum gantung. Mereka tidak boleh kata mereka tidak tahu undang-undang mati itu kerana undang-undang sudah ada – mereka sahaja yang tidak mahu ambil tahu. Maka merekalah yang salah kerana tidak ambil tahu.

Maka tidak ada alasan lagi kepada manusia untuk kata mereka tidak tahu agama kerana Allah telah turunkan 30 juzuk Al-Qur’an. Oleh kerana itulah Al-Qur’an ini perlu diajar dan dipelajari di dalam kelas-kelas tafsir supaya kita boleh faham. Jangan kita jadi orang yang jahil kerana ‘jahil’ bukanlah alasan yang akan diterima.

Manusia tidak ada alasan lagi sebagaimana yang disebutkan oleh Allah sesudah menyebutkan bahawa Dia telah menurunkan Kitab-Nya yang diberkati, iaitu Al-Qur’an:

{أَنْ تَقُولُوا إِنَّمَا أُنزلَ الْكِتَابُ عَلَى طَائِفَتَيْنِ مِنْ قَبْلِنَا وَإِنْ كُنَّا عَنْ دِرَاسَتِهِمْ لَغَافِلِينَ أَوْ تَقُولُوا لَوْ أَنَّا أُنزلَ عَلَيْنَا الْكِتَابُ لَكُنَّا أَهْدَى مِنْهُمْ فَقَدْ جَاءَكُمْ بَيِّنَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ}

(Kami turunkan Al-Qur’an itu) agar kamu (tidak) mengatakan bahawa kitab itu hanya diturunkan kepada dua golongan saja sebelum kami, dan sesungguhnya kami tidak memperhatikan apa yang mereka baca. Atau agar kamu (tidak) mengatakan, “Sesungguhnya jikalau kitab itu diturunkan kepada kami, tentulah kami lebih mendapat petunjuk dari mereka.” Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhanmu, petunjuk dan rahmat. (Al-An’am: 156-157)

Atau ia juga boleh dinisbahkan kepada Bani Israil. Mereka tidak boleh kata yang mereka tidak tahu. Mereka juga tidak ada alasan lagi. Seperti yang disebut dalam ayat lain:

{يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ عَلَى فَتْرَةٍ مِنَ الرُّسُلِ أَنْ تَقُولُوا مَا جَاءَنَا مِنْ بَشِيرٍ وَلا نَذِيرٍ فَقَدْ جَاءَكُمْ بَشِيرٌ وَنَذِيرٌ}

Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami, menjelaskan (syariat Kami) kepadamu ketika terputus (pengiriman) rasul-rasul, agar kamu tidak mengatakan, “Tidak datang kepada kami, baik seorang pembawa berita gembira mahupun seorang pemberi peringatan.” Sesungguhnya telah datang kepadamu pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. (Al-Maidah: 19), hingga akhir ayat.

 

فَنَتَّبِعَ ءآيٰتِكَ وَنَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

dan jadilah kami termasuk orang-orang mukmin”.

Kononnya mereka kata, kalau mereka dapat hidayah dari wahyu, tentu mereka jadi orang mukmin. Akan tetapi alasan ini tidak boleh dipakai.

Ini kerana Allah telah lantik Nabi Muhammad ﷺ menjadi Rasulullah supaya Musyrikin Mekah, atau golongan Ahli Kitab itu tidak ada hujah yang mengatakan mereka tidak ada rasul diturunkan kepada mereka dahulu.

Janganlah mereka kata: kalaulah kami ada pemberi peringatan dan wahyu, tentulah kami jadi orang mukmin. Nah, segala keperluan mereka telah ada: telah ada wahyu dari Allah dan Allah telah beri pengajar kepada wahyu itu juga, iaitu Rasulullah. Apa lagi alasan mereka untuk tidak jadi orang mukmin?

Maka bagi kita umat Islam di negara kita, apa alasan lagi? Agak-agak adakah laku kalau kita kata kita ‘tidak tahu’? Takkan nak pakai alasan sama dengan Ah Chong dan Muthu pula?

Allahu a’lam. Sambung dengan ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 September 2023

Ringkasan Surah Qasas


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 39 – 43 (Fir’aun dimusnahkan)

Ayat 39:

وَاستَكبَرَ هُوَ وَجُنودُهُ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ وَظَنّوا أَنَّهُم إِلَينا لا يُرجَعونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And he was arrogant, he and his soldiers, in the land, without right, and they thought that they would not be returned to Us.

(MELAYU)

dan berlaku angkuhlah Fir’aun dan bala tenteranya di bumi (Mesir) tanpa alasan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami.

 

وَاستَكبَرَ هُوَ وَجُنودُهُ فِي الأَرضِ بِغَيرِ الحَقِّ

dan angkuhlah Fir’aun dan bala tenteranya di bumi (Mesir) tanpa alasan yang benar

Allah kata ‘Fir’aun dan juga tentera Fir’aun’ itu sombong tanpa haq. Mereka memang tidak ada punca atau layak untuk menjadi sombong. Tetapi Allah boleh saja sebut ‘mereka semua’ tetapi Allah sebut: ‘Fir’aun dan tenteranya’ kerana hendak menekankan kesombongan Fir’aun yang lebih besar.

Yang lain itu memang sombong juga tapi lebih kerana ikut Fir’aun sahaja. Ini seperti yang disebut dalam ayat yang lain:

{فَاسْتَخَفَّ قَوْمَهُ فَأَطَاعُوهُ}

Maka Fir’aun mempengaruhi kaumnya (dengan perkataan itu), lalu mereka patuh kepadanya. (Az-Zukhruf: 54), hingga akhir ayat.

Mereka sombong untuk terima akidah tauhid. Dan puncanya adalah kerana Fir’aun yang menyesatkan mereka. Mereka bersalah kerana ikut Fir’aun. Mereka tetap juga salah, tapi tidaklah sebesar kesalahan Fir’aun.

 

وَظَنّوا أَنَّهُم إِلَينا لا يُرجَعونَ

dan mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami.

Mereka tidak rasa yang mereka akan bertemu dengan Allah dan segala perbuatan mereka di dunia ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Maka mereka menolak tauhid dan juga mereka menolak tentang akhirat sebagaimana yang dilakukan juga oleh Musyrikin Mekah. Kerana kalau mereka terima yang mereka kena mengadap Allah dan ditanya tentang apa yang mereka lakukan, tentulah mereka tidak berani buat salah.

Begitulah dengan manusia. Apabila tidak yakin dengan akhirat, maka mereka tidak takut untuk buat dosa. Hanya dengan ada perasaan yakin dengan akhirat, barulah manusia boleh jadi baik.

Maka kerana itu kita kena yakin adanya akhirat. Kena yakin dan ingat yang kita kena jawab atas segala perbuatan kita. Dan ini susah (untuk sedar tentang akhirat) kerana kita tidak nampak brosur syurga dan neraka. Hanya dengar cerita sahaja. Maka kena selalu baca Al-Qur’an kerana berulang-ulang Allah ceritakan tentang syurga dan neraka. Apabila selalu baca, maka ia akan tersemat di dalam hati.


 

Ayat 40:

فَأَخَذنٰهُ وَجُنودَهُ فَنَبَذنٰهُم فِي اليَمِّ ۖ فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الظّٰلِمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So We took him and his soldiers and threw them into the sea.¹ So see how was the end of the wrongdoers.

  • Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) caused them to leave all their worldly wealth behind and enter the sea in pursuit of the Children of Israel. See 26:5266.

(MELAYU)

Maka Kami hukum Fir’aun dan bala tenteranya, lalu Kami lemparkan mereka ke dalam laut. Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim.

 

فَأَخَذنٰهُ وَجُنودَهُ فَنَبَذنٰهُم فِي اليَمِّ

Maka Kami hukum Fir’aun dan bala tenteranya, lalu Kami lemparkan mereka ke dalam laut.

Sekali lagi Allah mengkhususkan nama Fir’aun dahulu sebelum menyebut tenteranya, kerana kesombongannya dan kekufurannyalah yang menyebabkan tentera dan rakyatnya menjadi kufur.

Kenapa selalu disebut ‘tentera’ Fir’aun? Ini adalah kerana kerajaan Fir’aun itu adalah kerajaan ketenteraan. Maknanya kedudukan tinggi dalam kerajaan Fir’aun adalah panglima, jeneral dan pangkat ketenteraan. Tenteranya hebat dan ia menjadi kebanggaannya.

Kekuatan mereka tidak ada gunanya kerana akhirnya mereka dilemparkan ke dalam laut atau sungai yang besar. Kalimah ن ب ذ bermaksud mengambil sesuatu yang tidak bernilai dan dilemparkan begitu sahaja seperti budak-budak yang bermain dengan botol atau batu dan mereka lempar begitu sahaja. Begitulah perumpamaan Allah jadikan untuk mereka kerana mereka itu tidak bernilai pun pada mata Allah.

Sekali lagi kalimah اليَمِّ digunakan di mana kali yang pertama ibu Nabi Musa melemparkan Nabi Musa ke dalam اليَمِّ dan itu sudah ada tanda kehancuran Fir’aun sebenarnya. Sebagaimana kisah ini bermula dengan اليَمِّ dan sebagai itu juga kisah Fir’aun akan berakhir dengan اليَمِّ. Dulu semasa mereka membunuh bayi-bayi lelaki mereka melemparkan bayi-bayi itu ke dalam اليَمِّ juga dan memang patut jikalau mereka dimatikan di dalam اليَمِّ juga.

 

فَانظُر كَيفَ كانَ عٰقِبَةُ الظّٰلِمينَ

Maka lihatlah bagaimana akibat orang-orang yang zalim.

Maka lihatlah bagaimana akibat kepada mereka yang zalim. Ada yang Allah seksa mereka semasa di dunia lagi. Dan pasti di akhirat nanti mereka akan dikenakan azab yang teruk. Ada yang terselamat dari azab dunia, tapi mereka takkan selamat dari azab neraka.


 

Ayat 41:

وَجَعَلنٰهُم أَئِمَّةً يَدعونَ إِلَى النّارِ ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ لا يُنصَرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We made them leaders¹ inviting to the Fire, and on the Day of Resurrection they will not be helped.

  • i.e., examples or precedents, followed by subsequent tyrants.

(MELAYU)

Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka dan pada hari kiamat mereka tidak akan ditolong.

 

وَجَعَلنٰهُم أَئِمَّةً يَدعونَ إِلَى النّارِ

Dan Kami jadikan mereka pemimpin-pemimpin yang menyeru (manusia) ke neraka

Banyak yang menjadi pemimpin dan mengajak orang-orang bawahan mereka menuju ke neraka. Sebagai contoh macam Fir’aun ini. Dan zaman berzaman ia akan berlaku. Fir’aun mempengaruhi kerajaan tenteranya itu dan orang-orang dalam kerajaannya pula mempengaruhi orang bawahan.

Maka sebagai pemimpin menjadi tanggungjawab menjadi seperti ketua keluarga yang hendak memastikan ahli keluarga dia menuju ke syurga. Tidak kira pemimpin keluarga, masyarakat atau negara. Kerana kalau bawa orang bawahan kita ke neraka, lagi teruk seksaan yang akan dikenakan. Maka kena sedar yang jadi pemimpin bukanlah kerja mudah.

 

وَيَومَ القِيٰمَةِ لا يُنصَرونَ

dan pada hari kiamat mereka tidak akan ditolong.

Dan Fir’aun dan mereka yang sepertinya itu tidak akan selamat dan tidak akan diberi pertolongan di hari kiamat nanti. Kerana mereka telah melakukan kezaliman semasa di dunia dan mereka tidak layak mendapat pertolongan lagi. Mereka mungkin berkuasa di dunia tapi mereka tidak ada kuasa langsung di akhirat.


 

Ayat 42:

وَأَتبَعنٰهُم في هٰذِهِ الدُّنيا لَعنَةً ۖ وَيَومَ القِيٰمَةِ هُم مِّنَ المَقبوحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We caused to overtake them in this world a curse, and on the Day of Resurrection they will be of the despised.¹

  • Literally, “those made hideous,” who will be far removed from all good and mercy.

(MELAYU)

Dan Kami ikutkanlah laknat kepada mereka di dunia ini; dan pada hari kiamat mereka termasuk orang-orang yang dijauhkan (dari rahmat Allah).

 

وَأَتبَعنٰهُم في هٰذِهِ الدُّنيا لَعنَةً

Dan Kami ikutkanlah laknat kepada mereka di dunia ini;

Mereka sentiasa diikuti dengan laknat daripada Allah. ‘Laknat’ maksudnya mereka tidak akan mendapat rahmat. Mereka akan dijauhkan dari rahmat dan bila jauh dari rahmat, mereka tidak akan ada peluang untuk masuk ke syurga.

Bukan sahaja mereka mendapat laknat dari Allah, tapi dari malaikat dan juga dari manusia. Sampai sekarang kita membaca kisah mereka dan melaknat mereka kerana kezaliman yang mereka lakukan.

 

وَيَومَ القِيٰمَةِ هُم مِّنَ المَقبوحينَ

dan pada hari kiamat mereka termasuk orang-orang yang dijauhkan

Dan pada hari akhirat nanti mereka daripada orang yang dijauhkan dari rahmat Allah dan mereka akan menerima azab yang amat teruk.

Kalimah ق ب ح juga bermaksud ‘dihodohkan’ di mana wajah mereka akan dihodohkan di akhirat kelak. Maksudnya mereka akan dihina sehina-hinanya.


 

Ayat 43: Dari ayat ini sehingga ke ayat 60 adalah Perenggan Makro Keenam. Ia mengandungi amaran kepada puak Quraisy yang sedang menentang Nabi Muhammad ﷺ.

Ia juga mengandungi rangsangan semangat untuk Rasulullah ﷺ meneruskan usaha menyebarkan dakwah.

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ مِن بَعدِ ما أَهلَكنَا القُرونَ الأولىٰ بَصائِرَ لِلنّاسِ وَهُدًى وَرَحمَةً لَّعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We gave Moses the Scripture, after We had destroyed the former generations, as enlightenment for the people and guidance and mercy that they might be reminded.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa Al-Kitab (Taurat) sesudah Kami binasakan generasi-generasi yang terdahulu, untuk menjadi pelita bagi manusia dan petunjuk dan rahmat, agar mereka ingat.

 

وَلَقَد ءآتَينا موسَى الكِتٰبَ

Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa Al-Kitab

Allah telah memberikan Kitab Taurat sebagai panduan hukum kepada Nabi Musa dan umat baginda. Kitab Taurat diberi kepada baginda selepas baginda membawa Bani Israil menyeberangi laut.

 

مِن بَعدِ ما أَهلَكنَا القُرونَ الأولىٰ

sesudah Kami binasakan generasi-generasi yang terdahulu, 

Allah menceritakan bagaimana selepas dihancurkan Fir’aun dan tentera-tenteranya maka Allah telah memberikan kitab Taurat kepada baginda. Juga bermaksud telah dihancurkan kaum-kaum yang lain seperti Aad, Tsamud dan Nuh. Atau mana-mana kaum yang telah dibinasakan kerana kedegilan mereka.

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ibnu Basysyar, telah menceritakan kepada kami Muhammad dan Abdul Wahhab. Keduanya mengatakan, telah menceritakan kepada kami Auf ibnu Abu Nadrah, dari Abu Sa’id Al-Khudri yang mengatakan bahawa Allah tidak lagi mengazab suatu kaum pun dengan azab —baik dari langit mahupun dari bumi— sesudah kitab Taurat diturunkan ke muka bumi, selain penduduk kota yang diserapah semuanya menjadi kera pada masa sesudah Nabi Musa. Kemudian Abu Sa’id Al-Khudri r.a. membaca firman-Nya: Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Musa Al-Kitab (Taurat) sesudah Kami binasakan generasi-generasi yang terdahulu., (Al-Qasas: 43), hingga akhir ayat.

Maknanya tidak ada lagi umat yang dimusnahkan sehingga tidak tinggal baka mereka (seperti kaum Aad dan Tsamud). Kerana itu pada zaman Nabi Muhammad, walaupun Musyrikin Mekah itu menentang baginda sampai hendak membunuh baginda, tapi mereka tidak dihancurkan terus. Allah beri peluang kepada baginda dan para sahabat untuk membalas dengan tangan mereka sendiri. Ini disebut dalam surah yang lain.

Dan umat Nabi Muhammad tidak dimusnahkan sampai tidak tinggal baka. Ini kerana apabila Nabi Muhammad ﷺ diangkat menjadi nabi, maka semua manusia waktu itu dan selepasnya adalah umat baginda. Maka kalaulah Allah musnahkan semua umat Nabi Muhammad ﷺ, maka tidak ada umat lain lagi. Maka azab musibah yang dikenakan adalah kecil-kecilan sahaja.

 

بَصائِرَ لِلنّاسِ

untuk menjadi pelita bagi manusia

Tujuan Kitab Taurat itu diberikan adalah supaya umatnya boleh ‘melihat’ dengan jelas. Bani Israil yang bersama dengan Nabi Musa telah melihat berbagai-bagai mukjizat seperti tongkat dan tangan Nabi Musa bercahaya dan juga laut yang terbelah.

Tetapi apa yang mereka lihat itu walaupun hebat tetapi tidak sehebat apa yang akan disampaikan di dalam kitab Taurat. Kerana apa yang mereka dapat itu bukanlah penglihatan mata kasar mereka tetapi adalah pandangan mata hati. Ini dinamakan basirah.

 

وَهُدًى وَرَحمَةً

dan petunjuk dan rahmat, 

Dan Kitab Taurat itu akan menjadi pedoman untuk mereka menjalani kehidupan mereka. Dan kalau mereka mengikuti ajaran di dalamnya, maka mereka akan mendapat rahmat dari Allah.

Begitu jugalah Al-Qur’an ini diberikan kepada kita sebagai panduan hidup dan kalau kita mengamalkan dengan sebenarnya, ia akan memberi rahmah kepada kita juga. Tapi kalau kita jauh darinya, amatlah malang.

 

لَّعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

agar mereka ingat.

Semoga dengan Taurat itu mereka akan mengambil pengajaran dan akan mengambil peringatan. ‘Peringatan’ bermaksud ingatkan sahaja kepada perkara yang ‘sudah tahu’ (cuma hendak diingatkan kembali sahaja).

Ini adalah kerana manusia dilahirkan dengan fitrah sudah kenal Allah dan kenal tauhid. Tapi manusia sudah lama lupa. Maka ajaran wahyu mengingatkan kembali manusia kepada perkara yang penting itu. Sebab itu kena selalu baca dan tadabbur Al-Qur’an kerana ia akan mengingatkan kita kepada kebenaran yang sudah ada di dalam hati kita.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 3 September 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 36 – 38 (Fir’aun ingkar)

Qasas Ayat 36: Nabi Musa telah menjalankan dakwah kepada Fir’aun dan pembesar istana.

فَلَمّا جاءَهُم مّوسىٰ بِئايٰتِنا بَيِّنٰتٍ قالوا ما هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّفتَرًى وَما سَمِعنا بِهٰذا في ءآبائِنَا الأَوَّلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when Moses came to them with Our signs as clear evidences, they said, “This is not except invented magic, and we have not heard of this [religion] among our forefathers.”

(MELAYU)

Maka tatkala Musa datang kepada mereka dengan (membawa) mukjizat-mukjizat Kami yang nyata, mereka berkata: “Ini tidak lain hanyalah sihir yang dibuat-buat dan kami belum pernah mendengar (seruan yang seperti) ini pada nenek moyang kami dahulu”.

 

فَلَمّا جاءَهُم مّوسىٰ بِئايٰتِنا بَيِّنٰتٍ

Maka tatkala Musa datang kepada mereka dengan (membawa) mukjizat-mukjizat Kami yang nyata,

Nabi Musa telah memperlihatkan kepada mereka mukjizat-mukjizat yang nyata yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada keduanya untuk membuktikan kebenaran daripada berita yang disampaikan oleh keduanya dari Allah yang memerintahkan agar mengesakan-Nya dan mengikuti perintah-perintah-Nya. Akan tetapi mereka tetap menolaknya.

Setelah Fir’aun dan pembesar-pembesar kaumnya menyaksikan mukjizat itu, melihat dengan mata kepala sendiri, sehingga merasa yakin dalam hatinya bahawa hal tersebut datang dari sisi Allah, maka mereka dengan kekafiran dan kezalimannya berbalik mengingkari dan mendustakannya. Demikian itu kerana sikap angkuh mereka yang tidak mahu mengikuti perkara hak.

Maka ini memberi isyarat kepada kita, kalau ada orang yang sudah nampak kebenaran pun, mereka tetap juga boleh menolak kerana degil. Kerana itu jangan hairan kalau kita sudah beri hujah berjela-jela dengan ayat Al-Qur’an dan hadith sahih, tapi ada juga yang menolak. Mereka menolak kerana mereka degil sahaja, bukannya mereka tak faham.

 

قالوا ما هٰذا إِلّا سِحرٌ مُّفتَرًى

mereka berkata: “Ini tidak lain hanyalah sihir yang dibuat-buat 

Ini adalah antara hujah penolakan yang digunakan oleh manusia zaman berzaman. Allah beri contoh umat Nabi Musa dalam ayat ini. Mereka mengatakan yang mukjizat yang ditunjukkan oleh Nabi Musa itu adalah hanya sihir yang direka-reka. Maknanya, mereka kata baginda ahli sihir, bukannya Nabi lagi Rasul.

 

وَما سَمِعنا بِهٰذا في ءآبائِنَا الأَوَّلينَ

dan kami belum pernah mendengar (seruan yang seperti) ini pada nenek moyang kami dahulu”.

Dan mereka menolak dakwah yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Harun itu dengan hanya mengatakan mereka tidak pernah dengar pun perkara itu disebut-sebut oleh golongan-golongan yang terdahulu. Mereka nak kata Nabi Musa reka sahaja benda itu. Mereka berhujah: Kerana kalau ianya memang ada, tentu orang dahulu sudah cakap benda itu.

Ini juga memang hujah yang selalu digunakan manusia sampai sekarang. Apabila kita sampaikan sesuatu dari ajaran Sunnah, ada yang jawab: “eh, tak pernah dengar pun benda ni?”

Jawapan balas: “Memanglah tidak pernah dengar, sebab awak tidak belajar dulu… ini aku nak ajar lah.”


 

Qasas Ayat 37: Apakah jawapan balas Nabi Musa apabila mereka buat tohmahan dan tuduhan melulu itu tadi?

وَقالَ موسىٰ رَبّي أَعلَمُ بِمَن جاءَ بِالهُدىٰ مِن عِندِهِ وَمَن تَكونُ لَهُ عٰقِبَةُ الدّارِ ۖ إِنَّهُ لا يُفلِحُ الظّٰلِمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Moses said, “My Lord is more knowing [than we or you] of who has come with guidance from Him and to whom will be succession in the home.¹ Indeed, wrongdoers do not succeed.”

  • i.e., in this world or in the Hereafter.

(MELAYU)

Musa menjawab: “Tuhanku lebih mengetahui orang yang membawa petunjuk dari sisi-Nya dan siapa yang akan mendapat kesudahan (yang baik) di negeri akhirat. Sesungguhnya tidaklah akan mendapat kemenangan orang-orang yang zalim”.

 

وَقالَ موسىٰ رَبّي أَعلَمُ بِمَن جاءَ بِالهُدىٰ مِن عِندِهِ

Musa menjawab: “Tuhanku lebih mengetahui orang yang membawa petunjuk dari sisi-Nya

Baginda balas dengan memberitahu yang Allah tahu siapakah yang bawa kebenaran dari-Nya. Maknanya baginda nak kata bukan baginda reka, tapi memang benar dari Allah. Dan kelak nanti di akhirat Allah akan beri keputusan terhadap apa yang mereka telah lakukan.

Ia juga mengajar kita yang kebenaran itu dari Allah. Dalil dan hujah dari Allah, bukan dari akal manusia. Maka kena sampaikan hujah dan dalil daripada Allah. Maka bukanlah kita beri hujah: “ustaz aku kata begini dan ustaz aku kata begitu….”. Ini tidak benar kerana ustaz bukanlah hujah.

Memanglah kita dapat ilmu dari ustaz kita. Tapi kenalah tahu apakah dalil yang diberikan oleh ustaz kita itu. Kerana kalau nak kata ‘ustaz aku’… orang lain pun ada ustaz dia juga, bukan? Tidak ke mana-mana kalau berhujah begitu… pi mai pi mai tang tu juga…

 

وَمَن تَكونُ لَهُ عٰقِبَةُ الدّارِ

dan siapa yang akan mendapat kesudahan (yang baik) di negeri akhirat. 

Setelah Allah buat keputusan itu, ada yang masuk syurga dan Allah juga tahu siapa yang akhirnya nanti akan mendapat tempat tinggal yang baik di akhirat kelak. Kepada mereka yang beriman dan sanggup terima akidah tauhid (dan mengamalkan ajaran Sunnah), maka mereka akan dimasukkan ke dalam syurga.

Allah tahu apa yang manusia lakukan sepanjang hidupnya dan Allah tidak buat silap di dalam menentukan tempat akhir seseorang itu. Segala keputusan yang Allah buat adalah tepat dan adil.

 

إِنَّهُ لا يُفلِحُ الظّٰلِمونَ

Sesungguhnya tidaklah akan mendapat kemenangan orang-orang yang zalim”.

Dan Nabi Musa mengingatkan mereka bahawa orang-orang yang zalim tidak akan menang sampai bila-bila. Zalim yang dimaksudkan adalah zalim syirik. Iaitu mempersekutukan Allah dengan selain-Nya.

Zalim itu memang banyak jenis. Ia bermaksud tidak memberi hak kepada yang berhak menerimanya. Maka kalau kita tidak mentauhidkan Allah, maka kita telah menzalimi Allah.


 

Qasas Ayat 38: Fir’aun melawan balik dengan beri hujah rekaannya.

وَقالَ فِرعَونُ يٰأيُّهَا المَلَأُ ما عَلِمتُ لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيري فَأَوقِد لي يٰهٰمٰنُ عَلَى الطّينِ فَاجعَل لّي صَرحًا لَّعَلّي أَطَّلِعُ إِلىٰ إِلٰهِ موسىٰ وَإِنّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الكٰذِبينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Pharaoh said, “O eminent ones, I have not known you to have a god other than me. Then ignite for me, O Hāmān, [a fire] upon the clay¹ and make for me a tower that I may look at the God of Moses. And indeed, I do think he is among the liars.”

  • From which bricks are made.

(MELAYU)

Dan berkata Fir’aun: “Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui tuhan bagimu selain aku. Maka bakarlah hai Haman untukku tanah liat kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa, dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang pendusta”.

 

وَقالَ فِرعَونُ يٰأيُّهَا المَلَأُ ما عَلِمتُ لَكُم مِّن إِلٰهٍ غَيري

Dan berkata Fir’aun: “Hai pembesar kaumku, aku tidak mengetahui ilah bagimu selain aku.

Fir’aun mengingatkan para pembesarnya yang tidak ada ilah selain dia. Kerana sebelum itu pun dia telah mengaku yang dia adalah ilah. Seolah-olah Fir’aun mengingatkan kembali mereka kerana mungkin ada di antara mereka yang sudah mula terkesan dengan apa yang disampaikan oleh Nabi Musa dan Harun.

Allah menceritakan dakwaan Fir’aun melalui firman-Nya:

{فَحَشَرَ فَنَادَى * فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الأعْلَى * فَأَخَذَهُ اللَّهُ نَكَالَ الآخِرَةِ وَالأولَى * إِنَّ فِي ذَلِكَ لَعِبْرَةً لِمَنْ يَخْشَى}

Maka dia mengumpulkan (pembesar-pembesar kaumnya), lalu berseru memanggil kaumnya.’ (Seraya) berkata, “Akulah tuhanmu yang paling tinggi.” Maka Allah mengazabnya dengan azab di akhirat dan azab di dunia. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang yang takut (kepada Tuhannya). (An-Nazi’at: 23-26)

Kalimah ‘ilah’ di dalam ayat ini bukan bermaksud tuhan yang disembah kerana ilah itu bukan hanya bermakna yang disembah sahaja tetapi juga ‘ditaati‘. Kerana itu apabila kita mengatakan Allah itu hanya ilah kita, maka ia juga bermaksud hanya Allah yang kita taati. Bukan sahaja kita kena sembah Allah, tapi hukum-Nya juga kita kena taati.

Jadi ketaatan ini perlu diluaskan maknanya di mana kadang-kadang ada yang sembah Allah di dalam ibadah mereka seperti solat, tetapi tidak taat kepada Allah di luar solat. Sebagai contoh, solat dijaga tapi rasuah buat juga. Mereka yang berfikiran begini salah faham maksud ilah kerana mereka sangka ilah itu hanya untuk disembah sahaja. Mereka sempitkan fahaman ilah.

Atau, memang Firaun disembah sebagai tuhan oleh rakyatnya. Dan ini dapat dikenalpasti apabila tulisan hieroglif Mesir mula diterjemahkan bermula pada awal abad ke 19. Sebelum itu manusia tidak tahu apakah agama sebenarnya Mesir purba ini. Tapi Allah sudah beritahu kita dalam Al-Qur’an 1,400 tahun dahulu kerana Al-Qur’an adalah Kalamullah. Inilah salah satu dari mukjizat Al-Qur’an yang memberitahu perkara yang tepat.

 

فَأَوقِد لي يٰهٰمٰنُ عَلَى الطّينِ

Maka bakarlah hai Haman untukku tanah liat

Fir’aun telah beri arahan kepada Menteri Kerjarayanya yang bernama Haman untuk membakar tanah liat. Ia untuk dijadikan sebagai menara tinggi. Bakar tanah liat untuk buat batu bata. Maknanya ini adalah teknologi mereka untuk membuat binaan.

Ini juga menjadi satu kajian yang menarik tentang piramid di Mesir itu. Sekian lama pengkaji hairan memikirkan bagaimanakah batu yang besar-besar boleh dibawa ke Mesir dari tempat yang jauh? Kerana kajian menunjukkan batu-batu itu tidak ada di Mesir.

Kajian terkini mendapati yang kalau tanah liat dibakar, ia menjadi batu dan tidak dapat dibezakan dengan batu asli. Maka ini boleh menjadi satu sumber kajian bagaimana cara piramid itu dijadikan dari batu. Maknanya, bukanlah batu itu diambil dari tempat yang jauh, tapi dijadikan dari tanah liat yang dibakar, sama sahaja seperti yang disebut Fir’aun dalam ayat ini.

Ini juga menjadi satu lagi hujah tentang ketepatan maklumat sains yang digunakan dalam Al-Qur’an. Ia menjadi bukti bahawa bukanlah Nabi Muhammad ﷺ yang menulis Al-Qur’an kerana tidak mungkin baginda dapat tahu maklumat ini pada zaman baginda. Ini boleh dibaca di sini: http://www.miracles-of-quran.com/pyramids.htm

Satu lagi mukjizat Al-Qur’an adalah apabila disebut nama karektor Haman ini. Kenapa perlu disebut namanya? Sekian lama nama ini menjadi satu kritikan dari golongan penentang Al-Qur’an. Kerana nama Haman memang ada di dalam Bible tapi dia adalah pembantu kepada Raja Parsi, beberapa abad selepas zaman Nabi Musa. Jadi mereka berhujah, penulis Al-Qur’an silap salin maklumat sampai silap masuk cerita.

Tapi terbukti dari terjemahan hieroglif Mesir, memang betul ada nama Haman (Amun Haman) dan tugasnya adalah “Chief of the stone-quarry workers” macam menteri Kerjaraya lah. Tapi ini adalah maklumat baru kerana tulisan hieroglif hanya dapat diterjemah bermula abad ke 19. Tapi Al-Qur’an sudah sebut nama yang tepat kerana ia adalah Kalamullah. Jadi ini satu lagi mukjizat Al-Qur’an yang membuktikan kebenarannya.

 

فَاجعَل لّي صَرحًا لَّعَلّي أَطَّلِعُ إِلىٰ إِلٰهِ موسىٰ

kemudian buatkanlah untukku bangunan yang tinggi supaya aku dapat naik melihat Tuhan Musa,

Fir’aun suruh buat begitu kerana dia hendak mengejek pengalaman Nabi Musa yang naik ke Bukit Tursina dan nampak api dan kemudian dapat bercakap dengan Allah. Maka dia pun nak buat perkara yang sama juga. Dia pun nak naik tempat tinggi.

Kononnya dia hendak naik menara tinggi itu ke langit dan bercakap sendiri dengan ‘tuhan’ yang didakwa oleh Nabi Musa itu. Begitulah cara Fir’aun mengejek wahyu yang diberikan oleh Allah. Dia bukannya nak buat menara itu tapi dia nak ejek sahaja. Dan ada juga yang mengatakan memang dibuatkan bangunan yang tinggi, tapi ini kita tidak pasti lagi.

 

وَإِنّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الكٰذِبينَ

dan sesungguhnya aku benar-benar yakin bahawa dia termasuk orang-orang pendusta”.

Kerana dia tidak percaya yang ada Tuhan seperti yang dikatakan oleh Nabi Musa itu. Jadi kata-katanya itu sebagai ejekan sahaja. Atau, dia memang nak naik ke bangunan yang tinggi dan nanti dia nak kata: “aku sudah naik ke langit, tapi tak jumpa pun tuhan yang dikatakan Musa itu….”

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Jun 2023


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 32 – 35 (Nabi Musa pun takut)

Ayat 32: Sekarang kita lihat pula Mukjizat kedua.

اسلُك يَدَكَ في جَيبِكَ تَخرُج بَيضاءَ مِن غَيرِ سوءٍ وَاضمُم إِلَيكَ جَناحَكَ مِنَ الرَّهبِ ۖ فَذٰنِكَ بُرهٰنانِ مِن رَّبِّكَ إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَأِيهِ ۚ إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Insert your hand into the opening of your garment; it will come out white, without disease. And draw in your arm close to you [as prevention] from fear, for those are two proofs from your Lord to Pharaoh and his establishment. Indeed, they have been a people defiantly disobedient.”

(MELAYU)

Masukkanlah tanganmu ke leher bajumu, nescaya ia keluar putih tidak cacat bukan kerana penyakit, dan dekapkanlah kedua tanganmu (ke dada)mu bila ketakutan, maka yang demikian itu adalah dua mukjizat dari Tuhanmu (yang akan kamu hadapkan kepada Fir’aun dan pembesar-pembesarnya). Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang fasik”.

 

اسلُك يَدَكَ في جَيبِكَ

Masukkanlah tanganmu ke leher bajumu,

Dan kemudian Allah menyuruh Nabi Musa memasukkan tangan baginda melalui celah baju baginda hingga ke ketiak. Maksudnya baginda masukkan tangan ikut bukaan celah lehernya.

 

تَخرُج بَيضاءَ مِن غَيرِ سوءٍ

nescaya ia keluar putih bukan kerana penyakit,

Dan apabila baginda keluarkan tangannya, ia bercahaya putih bersinar dan bukan putih yang cacat. Maknanya bukan jenis sopak atau albino pula. Ia adalah warna putih yang cantik yang akan mempesonakan mereka yang melihatnya nanti. Tidaklah dapat dibayangkan bagaimana rupanya.

 

وَاضمُم إِلَيكَ جَناحَكَ مِنَ الرَّهبِ

dan dekapkanlah kedua tanganmu (ke dada)mu bila ketakutan,

Dan apabila baginda takut, maka masukkanlah kembali tangan itu ke ketiak dan ia akan kembali jadi biasa. Jadi ini macam On and Off switch.

Atau, ia bermaksud apabila Nabi Musa ada rasa takut sahaja, maka dakapkanlah tangan baginda ke dada. Maka akan hilangkan ketakutan baginda.

Ibnu Abu Hatim mengatakan, telah menceritakan kepada kami Ali ibnul Husain, telah menceritakan kepada kami Ar-Rabi ibnu Taglab Asy-Syekh Saleh, telah menceritakan kepada kami Abu Isma’il Al-Muaddib, dari Abdullah ibnu Muslim, dari Mujahid yang mengatakan bahawa sebelum itu hati Musa a.s. selalu dicengkam oleh rasa takut terhadap Fir’aun. Dan apabila dia melihat Fir’aun, dia membaca doa berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَدْرَأُ بِكَ فِي نَحْرِهِ، وَأُعَوِّذُ بِكَ مِنْ شَرِّهِ

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pertolongan kepada­Mu dalam menghadapinya dan aku memohon perlindungan kepada-Mu dari kejahatannya.

Maka Allah mencabut dari hati Musa a.s. rasa takut yang mencengkamnya dan mengalihkannya ke dalam hati Fir’aun. Sejak saat itu apabila Fir’aun melihat Musa a.s., maka dia terkencing-kencing bagaikan keldai kerana ketakutan terhadap Musa a.s.

 

فَذٰنِكَ بُرهٰنانِ مِن رَّبِّكَ إِلىٰ فِرعَونَ وَمَلَأِيهِ

maka yang demikian itu adalah dua mukjizat dari Tuhanmu kepada Fir’aun dan pembesar-pembesarnya. 

Itulah dua tanda mukjizat yang Allah bekalkan kepada Nabi Musa untuk baginda tunjukkan kepada Fir’aun dan juga orang-orang besarnya. Kena tunjukkan sesuatu yang hebat kepada mereka kerana kalau cakap mulut sahaja, mereka tentu susah nak dengar. Maka kena tunjukkan sesuatu yang hebat.

 

إِنَّهُم كانوا قَومًا فٰسِقينَ

Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang fasik”.

Perlu dibawakan mukjizat dan hujah kepada mereka kerana sungguh mereka itu sudah jauh mereka itu dari kebenaran. Mereka itu adalah kaum yang melakukan kerosakan di muka bumi. Mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana keadilan perlu ditegakkan.


 

Ayat 33: Nabi Musa rasa berat dengan tanggungjawab yang diberikan kepada baginda itu. Maka baginda menyebut beberapa perkara yang baginda rasa berat itu.

قالَ رَبِّ إِنّي قَتَلتُ مِنهُم نَفسًا فَأَخافُ أَن يَقتُلونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

He said, “My Lord, indeed I killed from among them someone, and I fear they will kill me.

(MELAYU)

Musa berkata: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah membunuh seorang manusia dari golongan mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku.

 

قالَ رَبِّ إِنّي قَتَلتُ مِنهُم نَفسًا

Dia berkata: “Ya Tuhanku sesungguhnya aku telah membunuh seorang manusia dari golongan mereka,

Nabi Musa mengadu ketakutannya kepada Allah kerana baginda telah pernah membunuh seorang lelaki dari kaum mereka (bangsa Qibti). Bukanlah Nabi beritahu Allah pula kerana Allah tahu segalanya. Tapi ini sebagai permulaan untuk menyebut apakah yang baginda rasa berat.

Ini berkenaan insiden baginda terbunuh seorang lelaki Qibti semasa di pasar yang telah disebut sebelum ini dalam ayat 15. Kes itulah yang menyebabkan baginda meninggalkan Mesir dahulu.

 

فَأَخافُ أَن يَقتُلونِ

maka aku takut mereka akan membunuhku.

Jadi baginda takut kalau baginda balik berjumpa dengan Fir’aun, maka baginda sendiri akan dibunuh. Tak sempat nak dakwah atau cakap apa-apa lagi baginda takut baginda telah kena bunuh. Kerana memang telah ada ‘waran’ tangkap untuk baginda.

Sebab itu baginda nak masuk ke Mesir secara senyap-senyap sahaja. Dengan harapan setelah 10 tahun di perantauan, tidaklah orang perasan siapakah baginda lagi.

Tapi kalau baginda datang dan dakwah kepada Fir’aun pula, tentulah baginda akan dikenali dan kes baginda akan naik kembali. Mereka bukannya akan buat pengadilan dalam mahkamah tapi baginda akan terus dibunuh.


 

Ayat 34: Ada satu lagi kerisauan baginda.

وَأَخي هٰرونُ هُوَ أَفصَحُ مِنّي لِسانًا فَأَرسِلهُ مَعِيَ رِدءًا يُصَدِّقُني ۖ إِنّي أَخافُ أَن يُكَذِّبونِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And my brother Aaron is more fluent than me in tongue, so send him with me as support, verifying me. Indeed, I fear that they will deny me.”

(MELAYU)

Dan saudaraku Harun dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk menyokongku; sesungguhnya aku khuatir mereka akan mendustakanku”.

 

وَأَخي هٰرونُ هُوَ أَفصَحُ مِنّي لِسانًا

Dan saudaraku Harun dia lebih fasih lidahnya daripadaku,

Satu lagi masalah baginda, penyakit gagap. Percakapan baginda tidak jelas dan tentu susah baginda nak berdakwah nanti. Orang akan gelakkan sahaja kalau kata-kata baginda tidak jelas.

Nabi Musa mengatakan yang abangnya Harun lebih fasih dalam berkata-kata. أَفصَحُ adalah seperti menuang susu ke dalam gelas dengan lancar. Ada orang yang lancar sahaja percakapannya dan kita pun senang dengar dan senang faham.

Nabi Harun tiga tahun lebih tua dari baginda dan memang seorang yang alim dalam agama dan seorang yang berakhlak baik. Namanya Harun bin Imran bin Qahits bin Lawi bin Yaakub bin Ishak bin Ibrahim. Baginda ialah adik-beradik seibu Nabi Musa.

Nabi Harun hidup selama 122 tahun. Baginda wafat 11 bulan sebelum kematian Musa, di daerah al Tiih, iaitu sebelum Bani Israel memasuki Palestin.

 

فَأَرسِلهُ مَعِيَ رِدءًا يُصَدِّقُني

maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk menyokongku;

Kalimah رِدءًا itu seperti menetapkan sesuatu kepada dinding untuk menahannya. Sebagai contoh, dinding itu hampir jatuh, maka kita sokong dengan kayu.

Atau satu lagi contoh, ada meja yang sudah tidak kuat dan kita letak di tepi dinding untuk menetapkannya. Begitulah perumpamaan yang Nabi Musa letakkan kepada Nabi Harun iaitu jikalau dia ada masalah, Nabi Harun akan membantunya dan beri sokongan. Kita pun kalau ada teman semasa mengadap sesiapa, maka kita akan rasa lebih senang dan selesa.

Dan supaya Nabi Harun akan membenarkan kebenaran yang baginda bawa. Kerana di awal-awal dakwah baginda tentu memerlukan seseorang yang mempercayai baginda. Sebagaimana Nabi Muhammad ﷺ ada isterinya Khadijah yang mula-mula beriman dan menjadi penyokong kepada baginda.

 

إِنّي أَخافُ أَن يُكَذِّبونِ

sesungguhnya aku khuatir mereka akan mendustakanku”.

Nabi Musa memerlukan Nabi Harun kerana baginda risau baginda dikatakan seorang pendusta. Kalau ada seorang lagi yang bersama baginda, maka tentulah baginda rasa kuat sikit.


 

Ayat 35: Allah jawab permintaan baginda.

قالَ سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخيكَ وَنَجعَلُ لَكُما سُلطٰنًا فَلا يَصِلونَ إِلَيكُما ۚ بِئايٰتِنا أَنتُما وَمَنِ اتَّبَعَكُمَا الغٰلِبونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Allāh] said, “We will strengthen your arm through your brother and grant you both supremacy so they will not reach you. [It will be] through Our signs; you and those who follow you will be the predominant.”

(MELAYU)

Allah berfirman: “Kami akan menguatkan lenganmu dengan saudaramu, dan Kami berikan kepadamu berdua kekuasaan yang besar, maka mereka tidak dapat mencapaimu; (berangkatlah kamu berdua) dengan membawa mukjizat Kami, kamu berdua dan orang yang mengikuti kamulah yang akan menang.

 

قالَ سَنَشُدُّ عَضُدَكَ بِأَخيكَ

Allah berfirman: “Kami akan menguatkan lenganmu dengan saudaramu,

Kalimah شُدُّ bermaksud ikat dan ketatkan. Dan عضد pula bermaksud lengan. Allah berfirman yang Dia akan ‘kuatkan lengan baginda’. Ini adalah satu pepatah kerana di dalam peperangan selalunya tentera akan mengikat dan mengukuhkan tangannya dengan perisai atau pelindung lain kerana tangannya itu yang memegang senjata.

Yang dimaksudkan adalah sepertimana yang diminta oleh Nabi Musa, maka Harun akan dilantik menjadi Nabi sebagai pembantu dan penguat baginda. Nabi Harun akan menjadi penyokong kepada Nabi Musa dalam usaha dakwah yang besar itu.

Kerana itulah sebahagian ulama Salaf mengatakan bahawa tiada seorang pun yang sangat berhutang budi kepada saudaranya selain dari Nabi Harun kepada Nabi Musa. Kerana sesungguhnya Musa mendoakan baginya hingga dia diangkat menjadi seorang Nabi oleh Allah bersama Musa untuk menyampaikan risalah Allah kepada Fir’aun dan pembesar­-pembesar kerajaannya.

 

وَنَجعَلُ لَكُما سُلطٰنًا

dan Kami jadikan untukmu berdua kekuasaan yang besar, 

Dan Allah kata yang Dia akan memberikan kekuasaan kepada mereka berdua sampaikan musuh-musuh yang hendak menentang mereka tidak dapat membunuh mereka berdua. Jadi jangan takut yang Fir’aun akan bunuh baginda kerana kesalahan dulu itu.

Atau ia bermaksud mereka diberikan dengan bukti dan hujah untuk mengalahkan musuh mereka iaitu Fir’aun dan pengikutnya.

 

فَلا يَصِلونَ إِلَيكُما

maka mereka tidak dapat mencapaimu

Dengan bantuan dan lindungan dari Allah, maka usaha musuh untuk menyusahkan dan menyakiti mereka tidak akan berhasil.

 

بِئايٰتِنا أَنتُما وَمَنِ اتَّبَعَكُمَا الغٰلِبونَ

dengan membawa mukjizat Kami, kamu berdua dan orang yang mengikuti kamulah yang akan menang.

Pergilah dengan ayat dan tanda-tanda dari Allah. Antaranya adalah mukjizat yang telah dibekalkan. Pergilah dan jangan takut lagi.

Allah juga memberitahu yang mereka berdua dan pengikut-pengikut mereka akan menang. Dan di dalam ayat ini Allah memberi isyarat yang mereka akan ada pengikutnya. Ini seperti yang disebut dalam ayat lain:

{إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا}

Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia. (Al-Mu-min: 51), hingga akhir ayat.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 27 Jun 2022


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Surah Qasas Ayat 29 – 31 (Peristiwa di Bukit Thur)

Ayat 29: Ini adalah peristiwa yang terjadi setelah berlalu lapan atau sepuluh tahun. Dari ayat ini sehingga ke ayat 42 adalah Perenggan Makro Kelima. Ia menceritakan peringkat Nabi Musa dilantik menjadi Rasul.

۞ فَلَمّا قَضىٰ موسَى الأَجَلَ وَسارَ بِأَهلِهِ ءآنَسَ مِن جانِبِ الطّورِ نارًا قالَ لِأَهلِهِ امكُثوا إِنّي ءآنَستُ نارًا لَّعَلّي ءآتيكُم مِّنها بِخَبَرٍ أَو جَذوَةٍ مِّنَ النّارِ لَعَلَّكُم تَصطَلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when Moses had completed the term and was traveling with his family, he perceived from the direction of the mount a fire. He said to his family, “Stay here; indeed, I have perceived a fire. Perhaps I will bring you from there [some] information or burning wood from the fire that you may warm yourselves.”

(MELAYU)

Maka tatkala Musa telah menyelesaikan waktu yang ditentukan dan dia berangkat dengan keluarganya, dilihatnyalah api di lereng gunung dia berkata kepada keluarganya: “Tunggulah (di sini), sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu dari (tempat) api itu atau (membawa) sesuluh api, agar kamu dapat menghangatkan badan”.

 

فَلَمّا قَضىٰ موسَى الأَجَلَ

Maka tatkala Musa telah menyelesaikan tempoh waktu yang ditentukan

Selepas Nabi Musa habiskan jangka masa pekerjaannya dengan bapa mertuanya itu dan kita tidak diberitahu sama ada baginda buat 8 ataupun 10 tahun. Ramai Ulama’ tafsir yang kata 10 tahun (seperti dikatakan pendapat Ibn Abbas) tapi tiada kepastian. Tetapi seperti yang kita telah kongsikan sebelum ini, pendapat yang lebih kuat mengatakan 10 tahun.

 

وَسارَ بِأَهلِهِ

dan dia telah berangkat dengan keluarganya,

Selepas habis tempoh itu Nabi Musa telah membawa isterinya untuk keluar daripada Madyan. Maknanya bawa isterinya berhijrah meninggalkan bapanya. Dan ini adalah perkara biasa sahaja bagi mana-mana keluarga. Apabila sudah sampai masanya maka anak menantu mungkin hendak berhijrah ke rumah yang lain. Maka jangan kita marah kalau anak menantu kita keluar daripada rumah. Mereka boleh tinggal di rumah sendiri.

Suami yang buat penentuan di mana dia dan isterinya akan tinggal. Isteri kena ikut dan mertua kena redha. Ini adalah kerana anaknya itu sudah jadi isteri orang. Mereka boleh buat keputusan untuk membina kehidupan di tempat yang lain.

Kalimah سار ini digunakan untuk menceritakan bermusafir dengan mudah seperti bersiar-siar yang menunjukkan yang baginda keluar daripada rumah itu tanpa drama. Tidaklah ada tarik menarik, rayu merayu, nangis-nangis teruk sangat.

Maka ini mengajar kita yang dalam keluarga tidak perlulah ada banyak sangat drama kerana semua itu menyusahkan sahaja. Berbaiklah dan tenang-tenanglah  kalau anak nak pergi ke tempat lain untuk berkeluarga, biarlah.

Ahli tafsir mengatakan bahawa Nabi Musa merasa rindu dengan tanah tempat kelahirannya dan juga sanak keluarganya, maka baginda bertekad untuk mengunjungi mereka dengan sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan Fir’aun dan kaumnya. Baginda berangkat bersama isterinya dan ternakan kambing hasil pemberian mertuanya, lalu menempuh jalan di malam yang gelap lagi hujan deras dan cuaca yang dingin.

 

ءآنَسَ مِن جانِبِ الطّورِ نارًا

dilihatnyalah api di lereng gunung

Semasa dalam perjalanan itu baginda telah berhenti di lereng Bukit Thur. Maka baginda turun istirehat di suatu tempat; dan setiap kali baginda cuba menyalakan apinya, ternyata tidak mahu juga menyala. Waktu itu mereka sudah sesat dan kesejukan di malam hari.

Waktu itulah Nabi Musa macam nampak api dari sebelah bukit. Kisah ini telah ada di dalam surah-surah yang lain tetapi surah ini menambah dengan kisah latar belakang Nabi Musa. Macam dalam filem-filem zaman sekarang, apabila ada filem saga yang terkenal, mereka ada yang buat kisah sebelum hero filem itu jadi hero. Mungkin masa dia kanak-kanak atau semasa dia muda, bukan?

Allah telah lama gunakan cara itu di mana kita sudah tahu kisah Nabi Musa di dalam surah-surah sebelum ini semasa baginda nampak api itu. Dan sekarang kita telah kenal Nabi Musa waktu baginda muda lagi – bagaimana baginda sampai ke istana Fir’aun, bagaimana baginda kena keluar dari Mesir, baginda berkahwin dan sebagainya.

Dan sekarang kita sampai semula kepada babak baginda di Bukit Thur. Jadi kita sudah boleh lengkapkan kisah baginda dari mula, bukan? Begitulah apabila kita baca kisah-kisah dari semua surah, kita dapat kumpulkan dan gabungkan semua maklumat itu menjadi satu kisah yang lengkap.

 

قالَ لِأَهلِهِ امكُثوا إِنّي ءآنَستُ نارًا

dia berkata kepada keluarganya: “Tunggulah (di sini), sesungguhnya aku melihat api,

Sedang baginda dalam kepayahan kerana keadaan gelap dan kesejukan, baginda nampak seperti api di kejauhan. Kerana keadaan amat gelap, maka apabila ada cahaya sikit pun senang nampak. Setelah nampak api itu, baginda suruh keluarga baginda tunggu di lereng bukit itu kerana baginda hendak pergi ke arah api itu.

 

لَّعَلّي ءآتيكُم مِّنها بِخَبَرٍ

mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu dari (tempat) api itu

Mungkin baginda boleh pergi ke tempat ada api itu untuk mendapatkan berita tentang kawasan itu dan bagaimana arah seterusnya. Berita yang baginda perlukan adalah jalan untuk menuju ke destinasinya. Kerana waktu itu mereka telah sesat.

 

أَو جَذوَةٍ مِّنَ النّارِ لَعَلَّكُم تَصطَلونَ

atau (membawa) sesuluh api, agar kamu dapat menghangatkan badan”.

Atau baginda boleh dapatkan bara dari api itu supaya baginda dan ahli keluarganya dapat memanaskan badan mereka. Kerana malam itu sejuk dan mereka kepenatan setelah berjalan jauh. Memang kebiasaan orang yang di dalam perjalanan jauh memerlukan unggun api untuk memasak dan memanaskan badan. Dan api itu juga dapat menghalang binatang buas dari datang dekat.


 

Ayat 30:

فَلَمّا أَتٰها نودِيَ مِن شٰطِئِ الوادِ الأَيمَنِ فِي البُقعَةِ المُبٰرَكَةِ مِنَ الشَّجَرَةِ أَن يٰموسىٰ إِنّي أَنَا اللهُ رَبُّ العٰلَمينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But when he came to it, he was called from the right side of the valley in a blessed spot – from the tree,¹ “O Moses, indeed I am Allāh, Lord of the worlds.”

  • Which was within the fire.

(MELAYU)

Maka tatkala Musa sampai ke (tempat) api itu, diserulah dia dari (arah) pinggir lembah yang sebelah kanan(nya) pada tempat yang diberkahi, dari sebatang pohon kayu, iaitu: “Ya Musa, sesungguhnya aku adalah Allah, Tuhan semesta alam.

 

فَلَمّا أَتٰها نودِيَ مِن شٰطِئِ الوادِ الأَيمَنِ فِي البُقعَةِ المُبٰرَكَةِ

Maka tatkala Musa sampai ke (tempat) api itu, diserulah dia dari (arah) pinggir lembah yang sebelah kanan(nya) pada tempat yang diberkahi,

Setelah baginda pergi ke arah api itu, baginda diseru dari hujung lembah. Dan disebut kejadian itu di sebelah kanan lembah itu. Waktu itu baginda telah berada di dalam kawasan yang diberkati.

 

مِنَ الشَّجَرَةِ

dari sebatang pohon kayu,

Iaitu pokok di sebelah kanan bukit. Dan suara yang memanggil baginda itu datang daripada pokok. Bukanlah pokok itu berkata, tapi dari arah pokok itu.

 

أَن يٰموسىٰ إِنّي أَنَا اللهُ رَبُّ العٰلَمينَ

iaitu: “Ya Musa, sesungguhnya aku adalah Allah, Tuhan semesta alam.

Seruan itu dari Allah sendiri. Apakah yang Allah firman kepada baginda? Allah memperkenalkan Diri-Nya kepada Nabi Musa. Allah bercakap secara terus dengan Nabi Musa tanpa perantaraan Jibril dengan cara yang Allah sahaja tahu. Kita tidak perlu fikirkan kerana akal kita tidak akan dapat menggarapinya.

Memang Nabi Musa benar-benar bercakap dengan Allah dan kerana itu Nabi Musa mendapat gelaran Kalimullah (yang berkata-kata dengan Allah) kerana baginda bercakap terus dengan Allah.

Kita tegaskan di sini kerana ada juga pihak yang mempersoalkan percakapan terus Allah dengan Nabi Musa ini. Tapi dari lafaz yang digunakan ini, Allah bercakap terus dan tidak ada tafsiran lain yang diberi oleh Nabi dan para sahabat yang belajar tafsir dengan baginda. Tidak perlu nak berikan tafsiran lain. Allah memang boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki.


 

Ayat 31: Apa lagi Allah cakap dengan Nabi Musa?

وَأَن أَلقِ عَصاكَ ۖ فَلَمّا رَءآها تَهتَزُّ كَأَنَّها جآنٌّ وَلّىٰ مُدبِرًا وَلَم يُعَقِّب ۚ يٰموسىٰ أَقبِل وَلا تَخَف ۖ إِنَّكَ مِنَ الأمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [he was told], “Throw down your staff.” But when he saw it writhing as if it was a snake, he turned in flight and did not return.¹ [Allāh said], “O Moses, approach and fear not. Indeed, you are of the secure.

  • Or “did not look back.”

(MELAYU)

dan lemparkanlah tongkatmu. Maka tatkala (tongkat itu menjadi ular dan) Musa melihatnya bergerak-gerak seolah-olah ia seekor ular yang tangkas, larilah dia berbalik ke belakang tanpa menoleh. (Kemudian Musa diseru): “Hai Musa datanglah dan janganlah kamu takut. Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang aman.

 

وَأَن أَلقِ عَصاكَ

dan lemparkanlah tongkatmu.

Allah suruh Nabi Musa untuk melemparkan tongkatnya. Sudah ada banyak ayat tentang kejadian ini di dalam surah-surah yang lain. Apa yang berlaku sekarang adalah Allah sedang memberi latihan kepada baginda untuk menggunakan tongkat itu.

Kerana nanti baginda akan gunakan banyak kali selepas itu – bila berhadapan dengan Fir’aun, dengan para ahli sihir, membelah laut dan membelah batu untuk mengeluarkan air minuman. Jadi Allah bagi praktis dahulu di tempat yang selesa dan tidak ada orang, supaya baginda dapat biasakan diri tengok tongkat itu bertukar jadi ular.

 

فَلَمّا رَءآها تَهتَزُّ كَأَنَّها جآنٌّ

Maka tatkala (tongkat itu menjadi ular dan) Musa melihatnya bergerak-gerak seolah-olah dia seekor ular yang tangkas,

Setelah dilempar ke tanah, tongkat baginda itu bergetar-getar dan menjadi ular seperti جآنٌّ (jin). Disamakan dengan jin kerana ada juga jin yang bertukar menjadi ular. Dan ular itu adalah ular yang tangkas, aktif. Tidaklah ular itu duduk senyap sahaja (macam ular sawa).

Padahal badan ular itu besar. Selalunya ular besar tidak bergerak tangkas, duduk senyap sahaja seperti ular sawa. Tapi yang amat menakutkan adalah ular itu bergerak tangkas macam ular yang kecil dan makan segala apa yang ada di hadapannya seperti batu dan lain-lain. Ditelannya sahaja, tak perlu kunyah.

 

وَلّىٰ مُدبِرًا وَلَم يُعَقِّب

larilah dia ke belakang tanpa menoleh.

Maka kerana ular itu tangkas dan menakutkan (besar juga), maka Nabi Musa melarikan diri kerana takut sangat dan baginda tidak mahu kembali ke tempat itu. Baginda tidak toleh ke belakang pun.

Ini tidak pelik kerana Nabi Musa pun seorang manusia juga dan kerana itu tentu baginda ada rasa takut. Makan ini bukanlah perkara yang memalukan baginda. Maka kita dapat tahu di sini yang baginda juga adalah manusia biasa. Dan manusia biasa ada juga perasaan takut.

 

يٰموسىٰ أَقبِل وَلا تَخَف

“Hai Musa datanglah dan janganlah kamu takut. 

Maka Allah panggil semula baginda menyuruh Nabi Musa untuk kembali dan menghadapi perkara itu. Dan Allah suruh baginda jangan takut kerana ini adalah latihan untuk baginda kerana nanti baginda kena tunjukkan perkara ini kepada Fir’aun dan pengikutnya nanti.

Waktu itu nanti tidak boleh takut, kena yakin. Apabila sudah melihat kali pertama, tidaklah baginda takut lagi, bukan? Maka itulah kita katakan yang ini latihan bagi baginda.

 

إِنَّكَ مِنَ الأمِنينَ

Sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang aman.

Dan Allah berjanji kepada Nabi Musa yang baginda akan selamat dan aman, jadi tidak perlu takut. Dan bukan selamat waktu itu sahaja tetapi di waktu-waktu yang mendatang apabila baginda menghadapi dugaan.

Kerana janji Allah inilah yang menyebabkan baginda berani untuk menghadapi Fir’aun dan apabila baginda menghadapi laut sambil di belakang baginda nanti ada Fir’aun dan tenteranya. Kerana baginda sudah lihat perkara yang hebat dan ajaib dan tahap yakin baginda sudah tahap yang amat tinggi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 18 Ogos 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir