Tafsir Surah Qasas Ayat 44 – 47 (Tiada alasan menjadi jahil)

Ayat 44: Ini adalah ayat jumlah mu’taridah (iaitu diselitkan ayat yang tidak ada kena mengena dengan rentetan kisah dalam ayat sebelumnya. Tiba-tiba Allah bercakap dengan Nabi Muhammad ﷺ. Ini adalah kerana Allah nak sampaikan sesuatu pengajaran yang penting).

Kisah-kisah yang telah disebutkan sebelum ini tidak ada di dalam sejarah bangsa Arab dan jika bukan kerana Allah yang sampaikan wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ, maka baginda tidak akan tahu dan ini adalah dalil yang baginda adalah Rasul. Maka ini adalah dalil kerasulan Nabi Muhammad ﷺ.

وَما كُنتَ بِجانِبِ الغَربِيِّ إِذ قَضَينا إِلىٰ موسَى الأَمرَ وَما كُنتَ مِنَ الشّٰهِدينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you, [O Muḥammad], were not on the western side [of the mount] when We revealed to Moses the command, and you were not among the witnesses [to that].

(MELAYU)

Dan tidaklah kamu (Muhammad) berada di sisi yang sebelah barat ketika Kami menyampaikan perintah kepada Musa, dan tiada pula kamu termasuk orang-orang yang menyaksikan.

 

وَما كُنتَ بِجانِبِ الغَربِيِّ

Dan tidaklah kamu (Muhammad) berada di sisi yang sebelah barat

Allah telah memberitahu kepada Nabi Muhammad ﷺ di dalam wahyu Al-Qur’an ini segala perkara penting tentang Nabi Musa. Antaranya kisah bagaimana Allah bercakap dengan Nabi Musa secara terus.

Dan kemudian Allah ingatkan kepada Nabi Muhammad ﷺ yang baginda tidak ada sewaktu kejadian itu menunjukkan yang apa yang baginda dapat ini adalah wahyu daripada Allah.

 

إِذ قَضَينا إِلىٰ موسَى الأَمرَ

ketika Kami menyampaikan perintah kepada Musa, 

Iaitu ketika Nabi Musa dilantik menjadi Nabi dan baginda telah dilatih dengan tongkat menjadi ular dan tangannya bercahaya itu. Dan kemudian baginda telah ditugaskan untuk sampaikan dakwah kepada Fir’aun dan lain-lain.

 

وَما كُنتَ مِنَ الشّٰهِدينَ

dan tiada pula kamu termasuk orang-orang yang menyaksikan.

Allah mengingatkan Nabi Muhammad ﷺ yang baginda tidak ada bersama dengan orang-orang yang hadir ketika itu tetapi baginda boleh ceritakan balik satu persatu. Ini kerana berita ini didapati dari wahyu. Maka memanglah baginda seorang nabi. Kerana kalau bukan nabi, tentu baginda tidak tahu tentang kisah ini.


 

Ayat 45:

وَلٰكِنّا أَنشَأنا قُرونًا فَتَطاوَلَ عَلَيهِمُ العُمُرُ ۚ وَما كُنتَ ثاوِيًا في أَهلِ مَديَنَ تَتلو عَلَيهِم آيٰتِنا وَلٰكِنّا كُنّا مُرسِلينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But We produced [many] generations [after Moses], and prolonged was their duration.¹ And you were not a resident among the people of Madyan, reciting to them Our verses, but We were senders [of this message].²

  • So they forgot and neglected the ordinances of Allāh.
  • The Prophet (ṣ) had no way of obtaining this information except through Allāh’s revelation.

(MELAYU)

Tetapi Kami telah mengadakan beberapa generasi, dan berlalulah atas mereka masa yang panjang dan tiadalah kamu tinggal bersama-sama penduduk Madyan dengan membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka, tetapi Kami telah mengutus rasul-rasul.

 

وَلٰكِنّا أَنشَأنا قُرونًا

Tetapi Kami telah mengadakan beberapa generasi,

Allah memberitahu yang selepas Nabi Musa dan kaum yang sezaman dengan baginda itu, datang generasi demi generasi yang lain. Ia berterusan tanpa henti.

 

فَتَطاوَلَ عَلَيهِمُ العُمُرُ

dan berlalulah atas mereka masa yang panjang, 

Dan masa mereka hidup di dunia amatlah panjang dan apabila masa yang panjang, maka mereka telah tetap di dalam keadaan mereka tidak berubah. Mereka terus berada dalam sifat yang buruk.

Kita boleh bayangkan bagaimana kita ada permainan dan sudah lama kita main sampai kita tidak menghargainya lagi tetapi katakanlah ada orang datang ke rumah kita dan melihat permainan itu yang dia tidak ada, maka tentunya dia suka dan terpesona dengan permainan itu.

Maknanya lama-kelamaan mereka terbiasa dengan amalan-amalan mereka hingga ia menjadi sebagai adat sahaja. Begitulah yang terjadi kepada orang yang lahir-lahir sudah Muslim dan ini berbeza dengan orang yang baru menjumpai agama Islam di mana mereka akan melihat Islam ini sebagai sesuatu yang hebat. Macam orang yang nampak permainan baru di rumah seseorang. Orang yang ada permainan itu tidak kisah pun, bukan?

Atau ia bermaksud berlalu masa yang panjang tanpa diturunkan wahyu kepada manusia. Ini kerana selepas Nabi Isa, manusia lama tidak ada nabi dan mendapat wahyu disampaikan kepada mereka. Jarak antara Nabi Isa dan Nabi Muhammad adalah lebih 600 tahun. Maka mereka telah leka lalai kerana tidak mendapat peringatan dari wahyu.

Jadi untuk menghidupkan kembali perasaan kita terhadap agama, maka Allah akan melakukan sesuatu dan ini akan disebut dalam ayat yang lain dalam surah ini. Allah hendak mengembalikan perasaan beragama kepada kita. Jangan kita rasa agama ini sudah biasa, lali dengan agama Islam ini.

 

وَما كُنتَ ثاوِيًا في أَهلِ مَديَنَ تَتلو عَلَيهِم آيٰتِنا

dan tiadalah kamu tinggal bersama-sama penduduk Madyan dengan membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka, 

Kalimah ثاوِيًا bermaksud tinggal di satu tempat turun-temurun kerana ayah kita duduk di situ, datuk kita duduk di situ, dan keturunan mereka pun duduk di situ juga.

Allah mengingatkan yang Nabi Muhammad ﷺ bukanlah penduduk turun-temurun di negeri Madyan sambil membacakan ayat-ayat-Nya kepada penduduk itu; lalu bagaimana baginda tahu tentang kisah yang berlaku di situ? Semua maklumat yang baginda dapat ini adalah kerana wahyu yang Allah berikan kepada baginda. Kalau Allah tidak berikan wahyu ini maka baginda pun tentu tidak akan tahu tentang kisah yang berlaku berabad-abad lamanya dahulu kerana memang baginda tidak duduk di situ.

 

وَلٰكِنّا كُنّا مُرسِلينَ

tetapi Kami telah mengutus rasul-rasul.

Tetapi Allahlah yang telah mengutus para Rasul ke negeri itu untuk membacakan ayat-ayat-Nya kepada penduduk Madyan. Bukan Nabi Muhammad ﷺ yang membacakan kepada mereka, tapi Rasul lain.

Dan kerana rahmat-Nya itulah Nabi Muhammad ﷺ telah diangkat menjadi Rasul dan dapat membacakan kisah-kisah Madyan kepada umat baginda. Kerana ia sudah lama dalam lipatan sejarah dan kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.


 

Ayat 46:

وَما كُنتَ بِجانِبِ الطّورِ إِذ نادَينا وَلٰكِن رَّحمَةً مِّن رَّبِّكَ لِتُنذِرَ قَومًا مّا أَتٰهُم مِّن نَّذيرٍ مِّن قَبلِكَ لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And you were not at the side of the mount when We called [Moses] but [were sent] as a mercy from your Lord to warn a people to whom no warner had come before you that they might be reminded.

(MELAYU)

Dan tiadalah kamu berada dekat gunung Thur ketika Kami menyeru (Musa), tetapi (Kami beritahukan itu kepadamu) sebagai rahmat dari Tuhanmu, supaya kamu memberi peringatan kepada kaum (Quraisy) yang sekali-kali belum datang kepada mereka pemberi peringatan sebelum kamu agar mereka ingat.

 

وَما كُنتَ بِجانِبِ الطّورِ إِذ نادَينا

Dan tiadalah kamu berada dekat gunung Thur ketika Kami menyeru

Tidaklah Nabi Muhammad berada di Bukit Thursina ketika Nabi Musa diseru oleh Allah Taala untuk menerima wahyu.

 

وَلٰكِن رَّحمَةً مِّن رَّبِّكَ

tetapi sebagai rahmat dari Tuhanmu, 

Nabi Muhammad ﷺ tidak ada semasa kejadian semua itu tetapi atas rahmat Allah, baginda mendapat maklumat itu semua berdasarkan wahyu.

Apakah maksud ‘rahmah’? Rahim ibu juga diambil daripada kata dasar (ر ح م) yang sama dan rahim ibu itu boleh kita gunakan sebagai analogi kepada Rahmah Allah untuk kita cuba memahaminya. Seperti kita tahu, rahim ibu itu memberi segala keperluan anak yang di dalam kandungannya dan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Begitulah sayangnya Allah kepada kita malah lebih lagi. Segala keperluan kita diberikan-Nya.

Kalau dalam terjemahan selalunya Rahmah ini dikatakan sebagai ‘belas kasihan’ (mercy). Tetapi ini tidak berapa tepat kerana perkataan ‘belas kasihan’ ini digunakan apabila seseorang yang boleh menghukum atau merosakkan seseorang, tetapi dia tidak melakukannya kerana ‘belas kasihan’. Maknanya, dia beri peluang.

Tetapi di dalam bahasa Melayu apabila ia diterjemahkan sebagai ‘kasih’, ia lebih tepat lagi. Tapi kasih itu ada banyak jenis kasih dan yang lebih rapat kepada kebenaran adalah kalau kita bandingkan kasih Rahmah itu dengan kasih seorang ibu kepada anaknya. Kerana kasih ibu itu amat tinggi sampaikan dia sanggup untuk menyusahkan dirinya untuk kebaikan anaknya. Kerana kasihkan seseorang, kita sanggup melakukan apa sahaja untuk kebaikan anak itu malah sampai mengorbankan dirinya sendiri.

 

لِتُنذِرَ قَومًا مّا أَتٰهُم مِّن نَّذيرٍ مِّن قَبلِكَ

supaya kamu memberi peringatan kepada kaum (Quraisy) yang sekali-kali belum datang kepada mereka pemberi peringatan sebelum kamu

Jadi dengan kerana sifat rahmat Allah itulah Allah memberikan maklumat ini kepada penduduk Mekah supaya mereka dapat beriman. Supaya dengan maklumat itu Nabi Muhammad ﷺ boleh memberi peringatan kepada kaum yang sebelum itu tidak mendapat peringatan dari sesiapa pun kerana mereka tidak ada Nabi dan Rasul (dan juga tidak ada kitab).

Allah beritahu kepada mereka tentang kaum-kaum yang telah dihancurkan kerana mereka tidak beriman supaya dengan peringatan itu penduduk Mekah dapat tahu tentang tauhid dan agama dan dapat mengubah iman mereka.

 

لَعَلَّهُم يَتَذَكَّرونَ

agar mereka ingat.

Supaya mereka dapat ambil pengajaran. Dan supaya mereka ingat kembali perjanjian tauhid mereka dengan Allah semasa mereka di alam roh lagi.


 

Ayat 47: Kenapa Allah beri wahyu kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada umat baginda?

وَلَولا أَن تُصيبَهُم مُّصيبَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم فَيَقولوا رَبَّنا لَولا أَرسَلتَ إِلَينا رَسولًا فَنَتَّبِعَ ءآيٰتِكَ وَنَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And if not that a disaster should strike them for what their hands put forth [of sins] and they would say, “Our Lord, why did You not send us a messenger so we could have followed Your verses and been among the believers?”…¹

  • The conclusion of the sentence is understood to be “…We would not have sent messengers,” meaning that Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) sent messengers and sent Muḥammad (ṣ) with the final scripture to mankind so that no one could claim that punishment was imposed unjustly without warning.

(MELAYU)

Dan agar mereka tidak mengatakan ketika azab menimpa mereka disebabkan apa yang mereka kerjakan: “Ya Tuhan kami, mengapa Engkau tidak mengutus seorang rasul kepada kami, lalu kami mengikuti ayat-ayat Engkau dan jadilah kami termasuk orang-orang mukmin”.

 

وَلَولا أَن تُصيبَهُم مُّصيبَةٌ بِما قَدَّمَت أَيديهِم

Dan agar mereka tidak mengatakan ketika azab menimpa mereka disebabkan apa yang mereka kerjakan:

Apabila manusia tidak beramal dan berakidah tauhid seperti yang dikehendaki oleh Allah, mereka akan menerima azab dari Allah. Dan mereka layak mendapat azab itu dek kerana perbuatan mereka sendiri. Tapi tentu mereka tidak berpuas hati nanti, bukan? Kalau ada alasan, mereka akan gunakan apa sahaja alasan. Dan ini adalah salah satu alasan yang mungkin mereka gunakan:

 

فَيَقولوا رَبَّنا لَولا أَرسَلتَ إِلَينا رَسولًا

“Ya Tuhan kami, mengapa Engkau tidak mengutus seorang rasul kepada kami, 

Mungkin ada manusia yang berhujah yang mereka tidak tahu bahawa apa yang mereka lakukan itu salah kerana mereka tidak mendapat maklumat. Maka Allah hendak memotong hujah mereka itu dengan memberikan wahyu siap-siap kepada mereka, supaya mereka tidak ada hujah itu lagi. Apa lagi alasan mereka kalau mereka telah mendapat wahyu? Takkan mereka nak kata mereka tidak tahu?

Ini macam orang luar masuk negara kita dan mengedar dadah. Kemudian mereka kena tangkap dan mereka dihukum gantung. Mereka tidak boleh kata mereka tidak tahu undang-undang mati itu kerana undang-undang sudah ada – mereka sahaja yang tidak mahu ambil tahu. Maka merekalah yang salah kerana tidak ambil tahu.

Maka tidak ada alasan lagi kepada manusia untuk kata mereka tidak tahu agama kerana Allah telah turunkan 30 juzuk Al-Qur’an. Oleh kerana itulah Al-Qur’an ini perlu diajar dan dipelajari di dalam kelas-kelas tafsir supaya kita boleh faham. Jangan kita jadi orang yang jahil kerana ‘jahil’ bukanlah alasan yang akan diterima.

Manusia tidak ada alasan lagi sebagaimana yang disebutkan oleh Allah sesudah menyebutkan bahawa Dia telah menurunkan Kitab-Nya yang diberkati, iaitu Al-Qur’an:

{أَنْ تَقُولُوا إِنَّمَا أُنزلَ الْكِتَابُ عَلَى طَائِفَتَيْنِ مِنْ قَبْلِنَا وَإِنْ كُنَّا عَنْ دِرَاسَتِهِمْ لَغَافِلِينَ أَوْ تَقُولُوا لَوْ أَنَّا أُنزلَ عَلَيْنَا الْكِتَابُ لَكُنَّا أَهْدَى مِنْهُمْ فَقَدْ جَاءَكُمْ بَيِّنَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ}

(Kami turunkan Al-Qur’an itu) agar kamu (tidak) mengatakan bahawa kitab itu hanya diturunkan kepada dua golongan saja sebelum kami, dan sesungguhnya kami tidak memperhatikan apa yang mereka baca. Atau agar kamu (tidak) mengatakan, “Sesungguhnya jikalau kitab itu diturunkan kepada kami, tentulah kami lebih mendapat petunjuk dari mereka.” Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan yang nyata dari Tuhanmu, petunjuk dan rahmat. (Al-An’am: 156-157)

Atau ia juga boleh dinisbahkan kepada Bani Israil. Mereka tidak boleh kata yang mereka tidak tahu. Mereka juga tidak ada alasan lagi. Seperti yang disebut dalam ayat lain:

{يَا أَهْلَ الْكِتَابِ قَدْ جَاءَكُمْ رَسُولُنَا يُبَيِّنُ لَكُمْ عَلَى فَتْرَةٍ مِنَ الرُّسُلِ أَنْ تَقُولُوا مَا جَاءَنَا مِنْ بَشِيرٍ وَلا نَذِيرٍ فَقَدْ جَاءَكُمْ بَشِيرٌ وَنَذِيرٌ}

Hai Ahli Kitab, sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami, menjelaskan (syariat Kami) kepadamu ketika terputus (pengiriman) rasul-rasul, agar kamu tidak mengatakan, “Tidak datang kepada kami, baik seorang pembawa berita gembira mahupun seorang pemberi peringatan.” Sesungguhnya telah datang kepadamu pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. (Al-Maidah: 19), hingga akhir ayat.

 

فَنَتَّبِعَ ءآيٰتِكَ وَنَكونَ مِنَ المُؤمِنينَ

dan jadilah kami termasuk orang-orang mukmin”.

Kononnya mereka kata, kalau mereka dapat hidayah dari wahyu, tentu mereka jadi orang mukmin. Akan tetapi alasan ini tidak boleh dipakai.

Ini kerana Allah telah lantik Nabi Muhammad ﷺ menjadi Rasulullah supaya Musyrikin Mekah, atau golongan Ahli Kitab itu tidak ada hujah yang mengatakan mereka tidak ada rasul diturunkan kepada mereka dahulu.

Janganlah mereka kata: kalaulah kami ada pemberi peringatan dan wahyu, tentulah kami jadi orang mukmin. Nah, segala keperluan mereka telah ada: telah ada wahyu dari Allah dan Allah telah beri pengajar kepada wahyu itu juga, iaitu Rasulullah. Apa lagi alasan mereka untuk tidak jadi orang mukmin?

Maka bagi kita umat Islam di negara kita, apa alasan lagi? Agak-agak adakah laku kalau kita kata kita ‘tidak tahu’? Takkan nak pakai alasan sama dengan Ah Chong dan Muthu pula?

Allahu a’lam. Sambung dengan ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 10 September 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s