Menegaskan Batasan Kemakhlukan Nabi Muhammad Semasa Hidup
Allah menegaskan di dalam Al-Qur’an bahawa makhluk tetaplah makhluk yang memiliki keterbatasan. Sepanjang hayat baginda Nabi, Allah merakamkan beberapa peristiwa yang membuktikan bahawa Nabi Muhammad sendiri tidak memiliki kuasa mutlak melainkan apa yang diizinkan-Nya:
1. Doa Qunut Nazilah Terhadap Pemuka Musyrikin:
Nabi Muhammad pernah berdoa melaknat sejumlah pembesar kaum Musyrikin Mekah. Adakah permohonan itu serta-merta diperkenankan? Tidak. Allah menurunkan firman-Nya dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 128:
لَيسَ لَكَ مِنَ الأَمرِ شَيءٌ أَو يَتوبَ عَلَيهِم أَو يُعَذِّبَهُم فَإِنَّهُم ظٰلِمونَ
”Engkau tidak berhak sedikit pun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada Dia menerima taubat mereka ataupun Dia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.”
Ayat ini menegaskan bahawa urusan penentuan mutlak adalah hak Allah semata-mata, bukan di tangan Nabi SAW.
2. Memohon Keampunan Buat Ibu Kandung Baginda:
Baginda Nabi pernah memohon izin untuk beristighfar bagi ibu kandungnya sendiri, Aminah binti Wahab, namun Allah tidak membenarkannya sebagaimana riwayat Abu Hurairah:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: زَارَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبْرَ أُمِّهِ، فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ، فَقَالَ: اسْتَأْذَنْتُ رَبِّي فِي أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِي، وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِي أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِي، فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Nabi صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ telah menziarahi kubur ibunya, lalu Baginda menangis dan menyebabkan orang-orang di sekelilingnya turut menangis. Kemudian Baginda bersabda: “Aku memohon izin daripada Tuhanku untuk memohon ampun baginya, tetapi tidak diizinkan untukku. Dan aku memohon izin untuk menziarahi kuburnya, lalu diizinkan untukku. Maka ziarahilah kubur, kerana sesungguhnya ziarah kubur itu dapat mengingatkan kamu kepada kematian.”
(Sahih Muslim No. 976; Sunan Abi Dawud No. 3234; Sunan an-Nasa’i No. 2034; Sunan Ibn Majah No. 1572).
Perhatikan hakikat ini: Ketika Nabi masih hidup di dunia pun, Allah tidak membenarkan baginda memohon ampun bagi ibunya. Bukannya baginda boleh buat keputusan sendiri.
3. Larangan Menyembahyangkan Orang Munafik:
Allah melarang Nabi Muhammad bersolat ke atas jenazah orang munafik dan mendoakan mereka di kubur seperti yang telah difirmankan di dalam Surah at-Taubah, ayat 84:
وَلا تُصَلِّ عَلىٰ أَحَدٍ مِّنهُم مّاتَ أَبَدًا وَلا تَقُم عَلىٰ قَبرِهِ ۖ إِنَّهُم كَفَروا بِاللَّهِ وَرَسولِهِ وَماتوا وَهُم فٰسِقونَ
“Dan janganlah kamu sekali-kali menyembahyangkan (jenazah) seorang yang mati di antara mereka, dan janganlah kamu berdiri (mendoakan) di kuburnya. Sesungguhnya mereka telah kafir kepada Allah dan Rasul-Nya dan mereka mati dalam keadaan fasik.”
Jelas sekali bahawa Nabi Muhammad sendiri terikat dengan ketetapan dan izin Allah Taala semasa baginda masih hidup. Maka, bagaimana mungkin selepas kewafatan baginda, seseorang menyangka baginda boleh memegang kuasa mengampunkan dosa atau menunaikan hajat manusia secara terus?
Hakikat Tawassul: Memahami Praktis Sahabat Nabi
Sebahagian pihak mendalilkan keharusan memohon kepada Nabi SAW dengan firman Allah dalam Surah an-Nisa’, ayat 64:
وَلَو أَنَّهُم إِذ ظَّلَموا أَنفُسَهُم جاءوكَ فَاستَغفَرُوا اللهَ وَاستَغفَرَ لَهُمُ الرَّسولُ لَوَجَدُوا اللهَ تَوّابًا رَّحيمًا
“Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”
Konteks ayat ini berlaku ketika Nabi masih hidup. Para sahabat mendatangi baginda lalu meminta baginda mendoakan keampunan untuk mereka di hadapan baginda secara fizikal.
Kefahaman ini dibuktikan secara kukuh melalui tindakan Saidina Umar bin al-Khattab RA semasa musim kemarau di Madinah. Beliau tidak pergi ke makam Nabi untuk meminta baginda menurunkan hujan atau mendoakannya dari dalam kubur. Sebaliknya, Saidina Umar bertawassul melalui bapa saudara Nabi, al-Abbas bin Abdul Muttalib RA, yang masih hidup ketika itu:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ كَانَ إِذَا قَحَطُوا اسْتَسْقَى بِالعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ المُطَّلِبِ، فَقَالَ: «اللَّهُمَّ إِنَّا كُنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِنَبِيِّنَا فَتَسْقِينَا، وَإِنَّا نَتَوَسَّلُ إِلَيْكَ بِعَمِّ نَبِيِّنَا فَاسْقِنَا»، قَالَ: فَيُسْقَوْنَ
Daripada Anas bin Malik RA bahawa Umar bin al-Khattab RA, apabila mereka ditimpa kemarau, beliau memohon hujan melalui perantaraan al-Abbas bin Abdul Muttalib, lalu berkata: “Ya Allah, sesungguhnya kami dahulu bertawassul kepada-Mu dengan perantaraan Nabi kami, lalu Engkau menurunkan hujan kepada kami, dan sekarang kami bertawassul kepada-Mu dengan perantaraan bapa saudara Nabi kami, maka turunkanlah hujan kepada kami.” Anas berkata: Maka hujan pun diturunkan kepada mereka.
(Riwayat al-Bukhari, No. 1010).
Kata-kata Saidina Umar RA kepada al-Abbas bin Abdul Muttalib RA ketika peristiwa tersebut adalah arahan agar al-Abbas berdiri dan memanjatkan doa:
«قُمْ يَا عَبَّاسُ، فَادْعُ»
(“Bangunlah wahai al-Abbas, lalu berdoalah!”)
(Direkodkan oleh Imam az-Zubair bin Bakkar dalam kitab al-Ansab, dan dinukilkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari ketika mensyarahkan hadis No. 1010 riwayat al-Bukhari).
Setelah diarahkan oleh Saidina Umar RA, al-Abbas RA pun berdiri menadah tangan dan berdoa:
«اللَّهُمَّ إِنَّهُ لَمْ يَنْزِلْ بَلَاءٌ إِلَّا بِذَنْبٍ، وَلَمْ يُكْشَفْ إِلَّا بِتَوْبَةٍ، وَقَدْ تَوَجَّهَ القَوْمُ بِي إِلَيْكَ لِمَكَانِي مِنْ نَبِيِّكَ، وَهَذِهِ أَيْدِينَا إِلَيْكَ بِالذُّنُوبِ، وَنَوَاصِينَا إِلَيْكَ بِالتَّوْبَةِ، فَاسْقِنَا الغَيْثَ»
(“Ya Allah, sesungguhnya tidak turun sesuatu bala melainkan disebabkan dosa, dan tidaklah ia diangkat melainkan dengan taubat. Sesungguhnya kaum ini menghadap kepada-Mu melaluiku kerana kedudukanku di sisi Nabi-Mu. Dan ini adalah tangan-tangan kami yang bergelumang dosa menadah kepada-Mu, dan ubun-ubun kami tunduk bertaubat kepada-Mu, maka turunkanlah hujan kepada kami.”)
Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan bahawa lafaz Umar «قم يا عباس فادع» (Bangunlah wahai al-Abbas, lalu berdoalah) menjelaskan maksud sebenar tawassul di sisi sahabat, iaitu bertawassul dengan doa orang soleh yang masih hidup dan hadir, bukan bertawassul dengan zat atau meminta kepada orang yang telah wafat. Sekiranya memohon kepada orang yang berada di dalam kubur itu dibolehkan, sudah tentu Saidina Umar dan para sahabat akan terus mendatangi makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi yang berada betul-betul bersebelahan dengan mereka.
Bandingkan amalan Umar ini dengan peristiwa ketika Rasulullah SAW masih hidup, di mana para sahabat sememangnya meminta baginda berdoa secara bersemuka:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَجُلًا دَخَلَ المَسْجِدَ يَوْمَ جُمُعَةٍ مِنْ بَابٍ كَانَ نَحْوَ دَارِ القَضَاءِ، وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَائِمٌ يَخْطُبُ، فَاسْتَقْبَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَائِمًا، ثُمَّ قَالَ: «يَا رَسُولَ اللَّهِ، هَلَكَتِ الأَمْوَالُ وَانْقَطَعَتِ السُّبُلُ، فَادْعُ اللَّهَ يُغِيثُنَا»، قَالَ: فَرَفَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَيْهِ، ثُمَّ قَالَ: «اللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا»، قَالَ أَنَسٌ: وَلاَ وَاللَّهِ مَا نَرَى فِي السَّمَاءِ مِنْ سَحَابٍ وَلاَ قَزَعَةٍ، وَمَا بَيْنَنَا وَبَيْنَ سَلْعٍ مِنْ بَيْتٍ وَلاَ دَارٍ، قَالَ: فَطَلَعَتْ مِنْ وَرَائِهِ سَحَابَةٌ مِثْلُ التُّرْسِ، فَلَمَّا تَوَسَّطَتِ السَّمَاءَ انْتَشَرَتْ ثُمَّ أَمْطَرَتْ، فَلاَ وَاللَّهِ مَا رَأَيْنَا الشَّمْسَ سَبْتًا
Daripada Anas bin Malik RA bahawa seorang lelaki masuk ke dalam masjid pada hari Jumaat melalui pintu yang menghadap Dar al-Qada’ ketika Rasulullah SAW sedang berdiri menyampaikan khutbah, lalu dia berdiri menghadap Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, binatang ternakan telah binasa dan jalan-jalan perhubungan telah terputus, maka berdoalah kepada Allah agar menurunkan hujan kepada kami.” Anas berkata: Maka Rasulullah SAW pun mengangkat kedua-dua belah tangan baginda seraya berdoa: “Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami! Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami! Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami!” Anas berkata: Demi Allah, ketika itu kami tidak melihat sedikit pun awan di langit mahupun gumpalan awan kecil, dan tidak ada antara kami dengan Bukit Sal’ sebarang rumah atau bangunan. Tiba-tiba muncul dari balik bukit itu segumpal awan berbentuk seperti perisai, apabila ia sampai ke tengah langit ia merebak lalu hujan pun turun; demi Allah kami tidak melihat matahari selama seminggu.
(Riwayat al-Bukhari No. 1013 dan Muslim No. 897).
Inilah hakikat perbezaan antara tawassul yang disyariatkan (meminta doa orang soleh yang masih hidup dan hadir) dengan tawassul yang dilarang (menyeru orang yang telah meninggal dunia).
Bolehkah Berdoa Meminta Tolong Kepada Malaikat?
Syubhat lain yang turut berlegar adalah dakwaan sebahagian orang bahawa kita boleh berdoa kepada para malaikat atas alasan mereka ditugaskan mengawal awan, menurunkan hujan, atau menguruskan rezeki.
Jawapannya: Malaikat adalah pelaksana perintah Allah, bukan pemilik alam. Mereka sama sekali tidak mendengar dan tidak akan melayan doa seruan manusia kepada mereka. Sifat malaikat ditegaskan dalam Surah at-Tahrim, ayat 6:
عَلَيها مَلٰئِكَةٌ غِلاظٌ شِدادٌ لّا يَعصونَ اللَّهَ ما أَمَرَهُم وَيَفعَلونَ ما يُؤمَرونَ
“Penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”
Malah, syafaat para malaikat sekalipun tidak berlaku secara bebas, melainkan tertakluk kepada keizinan dan keredaan Allah semata-mata, sebagaimana firman-Nya dalam Surah an-Najm, ayat 26:
وَكَم مِّن مَّلَكٍ فِي السَّمَاوَاتِ لَا تُغْنِي شَفَاعَتُهُمْ شَيْئًا إِلَّا مِن بَعْدِ أَن يَأْذَنَ اللَّهُ لِمَن يَشَاءُ وَيَرْضَىٰ
“Dan berapa banyak malaikat di langit, syafaat mereka sedikit pun tidak berguna, kecuali sesudah Allah memberi izin bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan diredai-Nya.”
Malaikat tidak membuat keputusan sendiri. Mereka bergerak semata-mata mengikut arahan Allah tanpa tokok tambah. Satu-satunya keadaan di mana malaikat bertindak membantu adalah apabila mereka diutuskan secara langsung oleh Allah. Contohnya, peristiwa Malaikat Gunung yang diperintahkan Allah untuk menemui Nabi SAW selepas peristiwa di Taif:
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّهَا قَالَتْ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلْ أَتَى عَلَيْكَ يَوْمٌ كَانَ أَشَدَّ مِنْ يَوْمِ أُحُدٍ؟ قَالَ: «لَقَدْ لَقِيتُ مِنْ قَوْمِكِ مَا لَقِيتُ، وَكَانَ أَشَدَّ مَا لَقِيتُ مِنْهُمْ يَوْمَ العَقَبَةِ، إِذْ عَرَضْتُ نَفْسِي عَلَى ابْنِ عَبْدِ يَالِيلَ بْنِ عَبْدِ كُلاَلٍ، فَلَمْ يُجِبْنِي إِلَى مَا أَرَدْتُ، فَانْطَلَقْتُ وَأَنَا مَهْمُومٌ عَلَى وَجْهِي، فَلَمْ أَسْتَفِقْ إِلَّا وَأَنَا بِقَرْنِ الثَّعَالِبِ، فَرَفَعْتُ رَأْسِي، فَإِذَا أَنَا بِسَحَابَةٍ قَدْ أَظَلَّتْنِي، فَنَظَرْتُ فَإِذَا فِيهَا جِبْرِيلُ، فَنَادَانِي فَقَالَ: إِنَّ اللَّهَ قَدْ سَمِعَ قَوْلَ قَوْمِكَ لَكَ، وَمَا رَدُّوا عَلَيْكَ، وَقَدْ بَعَثَ إِلَيْكَ مَلَكَ الجِبَالِ لِتَأْمُرَهُ بِمَا شِئْتَ فِيهِمْ، فَنَادَانِي مَلَكُ الجِبَالِ، فَسَلَّمَ عَلَيَّ، ثُمَّ قَالَ: يَا مُحَمَّدُ، فَقَالَ: ذَلِكَ فَمَا شِئْتَ، إِنْ شِئْتَ أَنْ أُطْبِقَ عَلَيْهِمُ الأَخْشَبَيْنِ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلاَبِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ لاَ يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا»
Daripada Aisyah RA, isteri Nabi SAW, bahawa beliau pernah bertanya kepada Nabi SAW: “Pernahkah engkau mengalami suatu hari yang lebih dahsyat daripada hari Uhud?” Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku telah menanggung pelbagai ujian daripada kaummu, dan saat yang paling dahsyat pernah aku hadapi daripada mereka adalah pada hari al-‘Aqabah ketika aku menawarkan dakwahku kepada Ibnu Abd Yalil bin Abd Kulal namun dia tidak menyahut permintaanku, lalu aku beredar dalam keadaan duka cita yang amat sangat tanpa arah tuju sehinggalah aku tersedar apabila sampai di Qarn ath-Tha’alib. Lalu aku mengangkat kepalaku, tiba-tiba aku melihat seketul awan memayungiku dan di dalamnya ada Jibril, lalu Jibril menyeruku seraya berkata: ‘Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan kaummu kepadamu serta penolakan mereka terhadapmu, dan Allah telah mengutuskan kepadamu Malaikat Gunung agar engkau dapat memerintahkannya dengan apa sahaja yang engkau kehendaki ke atas mereka.’ Kemudian Malaikat Gunung menyeruku lalu memberi salam kepadaku dan berkata: ‘Wahai Muhammad, demikianlah keadaannya, apa sahaja yang engkau kehendaki; jika engkau mahu, aku akan menimpakan ke atas mereka al-Akhsyabain (dua gunung besar)?’ Maka Nabi SAW bersabda: ‘Bahkan aku berharap agar Allah melahirkan daripada tulang sulbi mereka orang-orang yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun.'”
(Riwayat al-Bukhari No. 3231 dan Muslim No. 1795).
Bahkan Malaikat Jibril sendiri tidak turun sesuka hatinya menemui Nabi SAW melainkan semata-mata dengan perintah Allah:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ لِجِبْرِيلَ: يَا جِبْرِيلُ، مَا يَمْنَعُكَ أَنْ تَزُورَنَا أَكْثَرَ مِمَّا تَزُورُنَا؟ فَنَزَلَتْ: وَمَا نَتَنَزَّلُ إِلَّا بِأَمْرِ رَبِّكَ لَهُ مَا بَيْنَ أَيْدِينَا وَمَا خَلْفَنَا وَمَا بَيْنَ ذَٰلِكَ وَمَا كَانَ رَبُّكَ نَسِيًّ
Daripada Abdullah bin Abbas رضي الله عنهما, beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bertanya kepada Jibril: “Wahai Jibril, apakah yang menghalangmu daripada datang menziarahi kami lebih kerap daripada kebiasaanmu?” Lalu turunlah ayat: “Dan tidaklah kami (para malaikat) turun melainkan dengan perintah Tuhanmu. Milik-Nya segala yang ada di hadapan kita, yang ada di belakang kita dan yang ada di antara kedua-duanya. Dan Tuhanmu tidak pernah lupa.” (Surah Maryam: 64).
(Sahih al-Bukhari, Hadis No. 4731).
Maka jelaslah, memohon kepada malaikat adalah perbuatan yang batil dan menyalahi tauhid.
Bahaya Meminta Perlindungan Kepada Jin dan Khurafat Warisan
Sekiranya kepada para malaikat yang mulia pun kita dilarang memohon doa dan perlindungan, apatah lagi kepada golongan jin!
Apabila manusia meminta tolong kepada jin, bangsa jin pasti akan menuntut perkara-perkara yang menjatuhkan martabat manusia serta menghinakan diri di hadapan mereka. Inilah realiti kejahilan masyarakat zaman dahulu apabila memasuki hutan lalu mengucapkan kata-kata seperti:
“Ampun datuk, nenek moyang, cucu tumpang lalu…“
Hakikatnya, ungkapan “nenek moyang” tersebut merujuk kepada jin penunggu, kerana wujud kepercayaan lapuk bahawa roh orang tua-tua mendiami hutan belantara. Lalu mereka meminta izin dan perlindungan daripada makhluk halus tersebut.
Tindakan ini adalah syirik akbar. Meminta perlindungan ghaib (al-isti’adhah) dengan menyerahkan jiwa kepada pemeliharaan makhluk secara ghaib adalah amalan syirik yang membatalkan iman. Perlindungan ghaib dan hak permohonan mutlak hanya milik Allah Azza wa Jalla semata-mata, tiada sekutu bagi-Nya.
