Syarah Hadis #31 (Hadis 40 Imam Nawawi).

Hadis 31: Perintah Zuhud

عَنْ سَهْلٍ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ: دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ أَحَبَّنِيَ اللهُ وَأَحَبَّنِيَ النَّاسُ؟ فَقَالَ: اِزْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ، وَازْهَدْ فِيْمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ.

حَدِيْثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ ابْنُ مَاجَهْ وَغَيْرُهُ بِأَسَانِيْدَ حَسَنَةٍ.

Dari Sahl bin Sa’ad As-Sa’idi radhiyallahu ‘anhu berkata, “Ada seseorang datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam lalu berkata, “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amal yang apabila aku lakukan, Allah mencintaiku dan manusia juga mencintaiku.” Baginda menjawab, “Zuhudlah di dunia, maka Allah akan mencintaimu. Begitu pula, zuhudlah dari apa yang ada di tangan manusia, maka manusia akan mencintaimu.”

(Hadis hasan, diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan selainnya dengan sanad hasan) [Riwayat Ibnu Majah, no. 4102. Syaikh Al-Albani dalam Silsilah Al-Ahadits Ash-Shahihah, no. 944 mengatakan bahawa hadits ini hasan].


 

Status Hadis (Kritikan Sanad)

Mengenai statusnya, terdapat perbezaan pandangan di kalangan ulama hadis:

Pandangan Imam al-Nawawi: Beliau menyatakan dalam kitab Arba’in bahawa hadis ini adalah Hasan, diriwayatkan oleh Ibnu Majah dan lain-lain dengan sanad-sanad yang baik (Asanid Hasanah).

Pandangan Ulama Mutaqaddimin: Sebahagian ulama melihat sanadnya mempunyai kelemahan (Dhaif) kerana terdapat perawi bernama Khalid bin Amr al-Qurasyi yang dianggap lemah.

Kesimpulan Ulama Kontemporari (Syeikh al-Albani): Beliau menilai hadis ini sebagai Sahih (Sahih lighairihi) kerana ia mempunyai pelbagai jalur (Syawahid) yang saling menguatkan antara satu sama lain.

Apakah maksud ‘Sahih lighairihi’? Dalam ilmu Mustalah al-Hadith (Sains Hadis), Sahih Lighairihi (صحيح لغيره) secara bahasa bermaksud “Sahih disebabkan faktor lain”. Ia adalah satu tingkatan hadis yang pada asalnya tidak mencapai darjat Sahih dengan sendirinya, tetapi diangkat darjatnya kerana adanya sokongan daripada jalur periwayatan yang lain.

Sahih Lighairihi adalah hadis Hasan Lizatihi (hadis yang baik pada dirinya sendiri) yang apabila ia datang melalui jalan (sanad) lain yang setaraf dengannya atau lebih kuat daripadanya, maka ia “naik pangkat” menjadi Sahih. Istilah ini digunakan kerana kekuatan hadis tersebut bukan datang daripada satu sanad itu sahaja, tetapi hasil daripada gabungan beberapa sanad yang saling menguatkan.

Untuk sebuah hadis dianggap sebagai Sahih Lighairihi, ia perlu memenuhi kriteria berikut:

    1. Asalnya Hasan Lizatihi: Perawinya seorang yang adil (beragama dan berakhlak baik) tetapi kurang sempurna hafalannya (khafif al-dhabti). Kalau Sahih Lizatihi, ia bermaksud hafalan perawi sangat sempurna (Tammu al-Dhabti) dan ia kuat dengan sendirinya tanpa perlu bantuan sanad lain.

    2. Adanya Syawahid atau Mutaba’at: Terdapat jalur periwayatan lain (sanad kedua atau ketiga) yang menceritakan perkara yang sama.
    3. Tiada Percanggahan: Jalur-jalur tersebut tidak bercanggah antara satu sama lain secara ekstrem.

Sebagai contoh, di dalam hadis yang kita akan bincangkan ini, Jalur pertama (Ibnu Majah) mungkin mempunyai perawi yang hafalannya sedikit lemah (menjadikannya Hasan). Namun, apabila ditemui jalur lain daripada Al-Hakim atau Al-Baihaqi yang membawa makna yang sama, kelemahan hafalan perawi tadi “tertutup” oleh sokongan perawi lain. Hasilnya, para ulama (seperti Al-Albani) menilainya sebagai Sahih Lighairihi.

Kesimpulan: Walaupun ada perbincangan pada sanadnya, makna hadis ini adalah sahih dan diterima secara meluas oleh umat Islam sebagai kaedah utama dalam akhlak. Imam Nawawi rahimahullah memang telah memilih hadis-hadis yang hebat untuk diletakkan di dalam himpunan 40 hadis beliau walaupun ada hadis yang tidak sahih kerana Imam Nawawi simpulkan hadis-hadis ini adalah penting untuk dibaca dari generasi ke generasi. Begitulah apabila orang sebut 40 hadis, orang teringat susunan Imam Nawawi ini walaupun banyak lagi himpunan 40 hadis ulama’ lain. Ini kerana apa yang dibuat oleh An-Nawawi adalah beliau himpun hadith-hadith yang memang penting untuk semua orang Islam tahu, termasuklah hadith tentang zuhud yang kita akan pelajari ini.


 

Mengenali Perawi

Sahl bin Sa’ad As-Sa’idi  ini adalah seorang sahabat Nabi yang berasal daripada Madinah. Beliau dikenali sebagai sahabat Nabi yang paling terakhir meninggal dunia di Madinah, dianggarkan pada tahun 88 H atau 91 H pada usia sekitar 96 hingga 100 tahun. Semasa Nabi SAW sampai ke Madinah umur beliau lebih kurang 8 atau 9 tahun. Perang yang pertama beliau sertai adalah Perang Tabuk pada Tahun 8 Hijrah. Ketika perang-perang yang lebih awal, beliau masih kecil lagi. Ketika Perang Tabut itu, umur beliau adalah 16 kerana umur yang dibenarkan untuk menyertai jihad adalah 15 tahun. Walau bagaimanapun, beliau terlibat dalam kerja-kerja sokongan penting semasa Perang Khandaq (Peperangan Parit). Walaupun masih kanak-kanak, beliau membantu mengangkut tanah semasa penggalian parit di sekeliling kota Madinah untuk menghalang kemaraan tentera Ahzab. Walaupun tidak bertempur dalam Perang Uhud, beliau merupakan saksi utama yang memerhati dan menceritakan bagaimana luka Nabi SAW dirawat oleh Saidatina Fatimah dan Saidina Ali selepas peperangan berakhir.

Beliau daripada kabilah Sa’idah. Ada kisah pertukaran nama beliau apabila beliau dibawa menemui Rasulullah SAW ketika baginda baru tiba di Madinah. Nama asal beliau mempunyai maksud yang tidak baik. Nama asal beliau ialah Hazn (atau Huzn), yang dalam bahasa Arab bermaksud sedih atau merujuk kepada tanah yang keras dan kasar. Sahl dibawa menemui Rasulullah SAW ketika beliau masih kanak-kanak (sekitar usia 5 tahun). Apabila baginda bertanyakan namanya dan mendengar nama “Hazn”, baginda terus bersabda: “Bukan, bahkan namamu adalah Sahl”. Nama Sahl bermaksud mudah, senang, atau tanah yang rata dan lembut. Baginda memilih nama ini sebagai lawan kepada maksud “Hazn” yang melambangkan kesusahan atau kekasaran. Rasulullah SAW sangat menyukai nama-nama yang membawa maksud yang baik (optimisme) dan tidak menyukai nama yang mempunyai unsur kesedihan atau membawa maksud yang buruk. Baginda percaya bahawa nama seseorang boleh memberi kesan kepada peribadi dan nasib individu tersebut.

Perbezaan dengan Kisah Lain: Menariknya, terdapat seorang sahabat lain (datuk kepada Sa’id bin al-Musayyib) yang juga bernama Hazn. Namun, apabila Rasulullah mahu menukarkan namanya kepada Sahl, beliau menolak kerana mahu mengekalkan nama pemberian bapanya. Kesannya, keturunan beliau dikatakan sering mengalami “kekasaran” (sifat yang keras) dalam peribadi mereka. Sahl bin Sa’ad pula menerima pertukaran itu dan dikenali dengan nama tersebut sehingga akhir hayatnya.

 

Syarah Hadis

Cara para sahabat memanggil Rasulullah

Hadis menyebut جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ ﷺ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ (Ada seseorang datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam lalu berkata, “Wahai Rasulullah). Perhatikan cara sahabat memanggil Rasulullah dengan gelaran pangkat baginda يَا رَسُولَ اللهِ, mereka tidak panggil nama baginda. Walaupun Saidina Abu Bakr yang telah mengenali baginda sejak mereka kecil dan walaupun para isteri baginda tetap memanggil baginda dengan gelaran يَا رَسُولَ اللهِ. Cara para sahabat ini menunjukkan cinta dan hormatnya mereka kepada Nabi Muhammad.

 

Soalan dari seorang sahabat

Tidak disebut nama sahabat ini. Sahabat itu berkata: دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ (tunjukkanlah kepadaku suatu amal). Ini soalan yang bagus. Soalan yang ditanya menggambarkan latar orang yang bertanya. Kalau orang cerdik, soalan dia bunyi cerdik. Kalau orang bodoh, soalan dia pun kita sudah dengar bodoh. Kadang sebelum kita jawab, kita tergelak kecil dahulu, bukan? Kadang-kadang ada orang lapik soalan bodoh dia dengan kata-kata: “maaf ada soalan bodoh sikit ni…” sebab dia  pun tahu soalan itu bodoh. Kadang-kadang satu-satu soalan itu macam kelihatan bodoh tapi kita perlu tanya kerana orang tak pernah tanya umpamanya. Macam saya suka satu Podcast nama dia Yousaf sebab dia selalu tanya soalan bodoh kepada tetamu dia. Tapi saya suka kerana dia tanya soalan yang basic, yang kita sendiri segan hendak tanya. Dan selalunya topik yang dibincangkan bukanlah kita tahu sangat, jadi soalan Yousaf ini sangat membantu.

Begitulah juga dengan para sahabat dahulu. Para sahabat jaga soalan  mereka. Mereka tak tanya soalan-soalan yang agak macam selekeh sikit. Sebab itu Anas bin Malik kata, mereka juga suka jika ada orang badwi bertanya soalan. Daripada Anas bin Malik R.A, beliau menceritakan keadaan para sahabat di Madinah:

نُهِينَا أَنْ نَسْأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ شَيْءٍ، فَكَانَ يُعْجِبُنَا أَنْ يَجِيءَ الرَّجُلُ مِنْ أَهْلِ الْبَدْوِ الْعَاقِلُ فَيَسْأَلَهُ وَنَحْنُ نَسْمَعُ
“Kami (para sahabat) telah dilarang daripada bertanya sesuatu kepada Rasulullah ﷺ. Oleh itu, kami sangat merasa kagum (seronok/suka) apabila datangnya seorang lelaki Badwi (orang kampung) yang cerdik, lalu dia bertanya kepada Nabi ﷺ sedangkan kami (para sahabat lain) hanya mendengar sahaja (jawapan Nabi).”

(Sahih Muslim, No. 12 | Sahih al-Bukhari, No. 63)

Orang Arab Badwi yang datang kepada Nabi SAW lalu bertanya Nabi SAW dengan soalan yang mungkin kalau para sahabat di Madinah tanya, Nabi akan marah. Tapi kalau orang badwi yang tanya, Nabi tidak marah kerana tahu keadaan mereka yang jauh dari segi keilmuan. Macam kita jugalah, kalau sudah lama belajar, janganlah tanya soalan-soalan yang remeh temeh. Perkara itu sebenarnya boleh selesai dengan belajar sahaja, bukannya semua perkara kita kena tanya ustaz.

 

Sifat al-Fi’liyyah Allah

Ada seorang sahabat datang bertanya kepada Rasulullah, دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ أَحَبَّنِيَ اللهُ (tunjukkanlah kepadaku suatu amal yang apabila aku lakukan, Allah mencintaiku). Di sini ada satu faedah yang menarik iaitu Allah Ta’ala ada sifat cinta. Jadi hadis ini mengisbatkan bahawa Allah Ta’ala ada sifat cinta dan kita Ahli Sunnah beriman bahawa Allah Ta’ala ada sifat cinta dan sifat cinta ini termasuk dalam Sifat al-Fi’liyyah Allah.

Sifat al-Fi’liyyah ini dari segi perbuatan Allah. Sedangkan kalau Sifat Zatiyyah ialah segala sifat Allah yang tidak berpisah daripadaNya, yang sentiasa Allah bersifat dengannya. Contohnya ilmu, hidup. Allah Ta’ala sentiasa bersifat dengan sifat berilmu, tidak ada waktu yang Allah Ta’ala tak berilmu. Allah Ta’ala sentiasa bersifat dengan sifat hidup, tidak ada waktu walau sesaat atau sedetik pun yang Allah Ta’ala tak hidup. Sifat Fi’liyyah Allah ataupun perbuatan Allah adalah yang Dia lakukan bila-bila masa yang Dia kehendaki. Contohnya Allah Ta’ala istiwa (bersemayam) atas Arasy. Kadangkala Allah Ta’ala marah, kadangkala Allah Ta’ala cinta. Bukanlah Allah Ta’ala sentiasa marah. Dia marah bila Dia hendak marah dan Dia cinta bila Dia nak cinta. Dia bersemayam bila Dia hendak bersemayam atas Arasy. Adakah sentiasa Allah Ta’ala benci? Tak. Adakah sentiasa Allah Ta’ala cinta? Tak. Dia cinta bila Dia nak cinta, Dia benci bila Dia nak benci, Dia marah bila Dia nak marah. Yang ni kita panggil sifat al-Fi’liyyah.

Kenapa kita sebut bab ini? Kerana kita hendak beritahu bahawa dalam hadis yang kita baca ini, ia menyebut tentang salah satu Sifat al-Fi’liyyah iaitu Allah Ta’ala cinta. Dan manusia juga ada cinta. Cuma ada beza cinta Allah dengan cinta manusia. Allah Ta’ala cinta yang sesuai dengan keagunganNya, manusia cinta sesuai dengan sifat kekurangannya. Tak boleh kita tolak sifat cinta Allah dengan alasan bahawa sifat makhluk. Kita katakan manusia ada cinta, Allah juga ada cinta. Tapi tentulah tidak sama. Kita tidak pernah kata ia sama. Kalau manusia bercinta, nanti mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur tak lena. Itu cintanya manusia yang ada banyak kekurangannya. Cinta Allah pula adalah cinta yang sempurna. Kerana itulah di dalam hadis ini kalimatnya adalah أَحَبَّنِيَ اللهُ وَأَحَبَّنِيَ النَّاسُ (Allah akan mencintaiku dan manusia juga mencintaiku). Bukannya digabungkan أَحَبَّنِيَ اللهُ وَالنَّاسُ. Kerana cinta manusia dan cinta Allah tidak sama.

 

Zuhud Dari Dunia

Apakah amalan yang Nabi ajar kepada sahabat yang bertanya tadi? Nabi kata, اِزْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ، وَازْهَدْ فِيْمَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ (Zuhudlah terhadap dunia, maka engkau akan dicintai Allah. Dan zuhudlah terhadap apa yang ada pada manusia, maka engkau akan dicintai manusia.

Hadis hendak cerita pasal bab zuhud dan ini adalah antara bab yang penting bagi seorang Muslim. Kalau kita buka kitab-kitab hadis, pasti ada kitab zuhud ataupun ada bab zuhud. Di dalam hadis-hadis itu kita akan belajar betapa zuhudnya Nabi SAW.

Golongan awal memang terkenal dengan zuhud mereka. Ini seperti disebut di dalam Kitab Az-Zuhd karangan Imam Ahmad bin Hanbal (wafat 241H) yang merupakan salah satu khazanah teragung dalam kesusasteraan Islam berkaitan penyucian jiwa (Tazkiyatun Nafs). Keistimewaan Kitab Az-Zuhd Imam Ahmad ini ialah berbeza dengan kitab zuhud yang selalunya ditulis dalam bentuk nasihat atau puisi. Imam Ahmad menyusun kitab ini dalam bentuk Hadis dan Athar (riwayat sahabat dan tabi’in). Beliau tidak hanya menceritakan zuhud Nabi Muhammad s.a.w, tetapi bermula daripada para Nabi terdahulu (Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa, Sulaiman) sehingga ke zaman Tabi’in. Beliau juga menekankan bahawa zuhud bukan bermaksud “menjadi miskin”, tetapi “mengosongkan hati daripada dunia”.

Kemudian istilah zuhud ini dipopularkan lagi oleh golongan yang dipanggil sufi ataupun tasawuf. Zuhud selalu juga dikaitkan dengan sufi. Kalau benar mereka mengamalkan zuhud maka baguslah, kita tidak ada masalah dengan itu. Tetapi kebelakangan ini ramai orang mendakwa ahli sufi tapi kalau kita perhatikan, mereka tidak zuhud pun. Bahkan kalau kita lihat guru-guru tarekat itu kadang-kadang jauh lebih mewah dengan kemewahan yang dahsyat  yang mereka kutip dari anak-anak murid mereka. Mereka jadi kaya raya sedangkan anak murid mereka kurus kering kononnya kerana zuhud. Tapi tok sheikh mereka tak zuhud pun. Kerana itu kita katakan sebahagian mereka menjadikan istilah sufi dan zuhud itu untuk mengumpulkan pengikut supaya mereka banyak dapat anak murid dan mereka dapat kumpul harta. Maka ramailah yang tertipu dengan istilah-istilah ini yang muncul kemudian. Mereka orang yang bodoh sedang ditipu.

Apakah itu Zuhud? Dari segi bahasa, zuhud (زُهْد) berasal daripada kata kerja bahasa Arab zahada (زَهَدَ) yang membawa beberapa pengertian utama yang sangat menarik untuk diperhatikan:

1. Meninggalkan atau Menjauhi

Secara literal, zuhud bermaksud berpaling daripada sesuatu kerana menganggapnya tidak bernilai atau tidak penting. Jika anda “zuhud” terhadap sesuatu barang, bermakna anda tidak lagi berminat atau tidak lagi mengejar barang tersebut.

2. Sedikit atau Remeh

Ia juga berkaitan dengan perkataan az-zahid yang bermaksud sesuatu yang sedikit. Sebab itu ada yang tulis status: “Kita tak boleh zuhud daripada membaca kitab-kitab salaf.” Macam mana pula zuhud baca kitab-kitab salaf pula? Maksudnya jangan sikit baca kitab-kitab salaf. Oleh itu dalam konteks bahasa, orang yang zuhud adalah orang yang merasa cukup dengan yang sedikit dan tidak rakus mengejar yang banyak.

3. Tidak Tertarik (Lawan kepada Raghbah)

Dalam kamus bahasa Arab, zuhud adalah lawan kepada perkataan Ar-Raghbah (الرَّغْبَةُ) yang bermaksud sangat menginginkan atau sangat loba.

Raghbah: Hati terpaut dan mengejar.

Zuhud: Hati melepaskan dan tidak mempedulikan.

 

Tafsiran Zuhud dari segi Istilah

Itu tadi dari segi bahasa. Ada pun dari segi istilah syarak, banyak maksudnya zuhud ini. Ulama’ memberikan pandangan mereka berdasarkan pemahaman mereka.

1. Antaranya (استِصغار الدنيا واِحتِقارُها) maksudnya ialah memandang kecil dunia ini dan memandang lekeh kepadanya. Orang yang zuhud, dia tak pandang besar pun dunia ini.

2. Sebahagian ulama’ pula mengatakan bahawa Zuhud ialah (أُولُو الْقَلْبِ مِمَّا خَلَتْ مِنْهُ الْيَدُ) yang bermaksud kosongnya hati daripada apa yang terdapat di tangannya. Maksudnya orang zuhud ini dia ada pegang dunia tapi dia tak pandang apa yang di tangannya. Contohnya orang zuhud dia ada rumah tapi hati dia tak terpaut pada rumah. Kerana hatinya sudah terpaut pada Allah. Maksudnya jiwa dia di langit, jiwa dia hendak bertemu dengan Allah Ta’ala walaupun badan dia di dunia. Ya dia makan, dia minum, dia beli rumah, dia ada kereta. Tapi hati tak terpaut pada benda-benda itu semua. Sebab ada ucapan daripada Imam Ahmad. Dia kata, bagaimana untuk tahu kamu ada zuhud atau tidak? Imam Ahmad kata, kalau duit kamu bertambah, kamu tak suka. Kalau duit kamu hilang, kamu tak sedih. Bila dipuji kamu tak rasa gembira dan apabila dicela kamu tak rasa sedih.

3. Sebahagian ulama’ pula mengatakan zuhud itu adalah (تَرْكُ مَا لَا يَنْفَعُ فِي الْآخِرَةِ) secara harfiah bermaksud “Meninggalkan apa-apa yang tidak memberi manfaat di akhirat.” Inilah tingkatan manusia yang mula-mula dia beriman. Kemudian dia naik ke tingkatan Muttaqin iaitu orang bertaqwa di mana dia akan buat apa yang Allah suruh dan tinggalkan apa yang Allah larang. Kedudukan yang lebih tinggi lagi adalah wara’ dan ciri utama mereka adalah: تَرْكُ مَا لَا بَأْسَ بِهِ حَذَرًا مِمَّا بِهِ بَأْسٌ (Meninggalkan perkara yang “tidak mengapa” / halal kerana bimbang ia boleh membawa kepada yang “apa-apa” / haram). Mereka ini seperti disebut oleh Rasulullah di satu hadis yang diriwayatkan di dalam Al-Mustadrak,

فَضْلُ الْعِلْمِ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ فَضْلِ الْعِبَادَةِ، وَخَيْرُ دِينِكُمُ الْوَرَعُ
“Kelebihan ilmu itu lebih aku cintai daripada kelebihan ibadah (sunat), dan sebaik-baik urusan agama kamu adalah sifat wara’.”

Hadis ini diriwayatkan daripada Hudzaifah bin al-Yaman R.A. Dikeluarkan oleh Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, At-Tabarani dalam Al-Awsat, dan Al-Bazzar. Hadis ini dinilai sebagai Sahih atau Hasan oleh ramai ulama, termasuk Syeikh Al-Albani dalam Sahih al-Jami’ (No. 4214).

Maksudnya, antara lebihkan ibadah lebih baik atau lebihkan ilmu? Lebihkan ilmu lagi bagus. Tetapi sebaik-baik agama adalah wara’. Maksudnya ilmu itu bagus tapi kalau ilmu banyak tapi tidak wara’, tidak bagus. Wara’ ini apa pula? Orang Melayu kalau dengar wara’ dia ingat orang yang kuat sembahyang. Itu fahaman yang salah. Maksud wara’ ialah tinggalkan perkara yang bakal membahayakan dia pada hari akhirat.

Contohnya rumah dalam ada TV yang memang boleh digunakan untuk tengok berita, National Geographic. Tapi selain dari benda-benda yang halal, ada juga banyak benda-benda yang tak elok. Jadi, orang yang wara’ takut perkara itu akan membahayakan agama dan hari akhirat dia, maka dia tinggalkan terus TV.

Satu lagi contoh, isteri dia ajak pergi pasar raya hujung minggu. Tapi orang ini tahu yang kalau hujung minggu, perempuan ramai dan banyak perkara mengarut. Jadi dia enggan pergi. kalau kita pergi, kita membahayakan agama kita tak? Membahayakan agama kita. Jadi, dia elak. Inilah yang dipanggil wara’ kalau hendak tahu. Memang jaranglah kita dengar orang yang sebegini. Tapi kalau hendak tahu wara’, inilah dia.

Kita lihat pula contoh dari Rasulullah. Daripada ‘Uqbah bin Al-Harith R.A, beliau berkata:

“Aku solat Asar di belakang Nabi s.a.w di Madinah. Sebaik sahaja baginda memberi salam, baginda segera bangun dan melangkah bahu-bahu para jemaah dengan cepat menuju ke bilik salah seorang isteri baginda. Para jemaah terkejut melihat ketergesaan baginda. Apabila baginda keluar semula, baginda melihat orang ramai kehairanan, lalu baginda bersabda:

ذَكَرْتُ تِبْرًا عِنْدَنَا، فَكَرِهْتُ أَنْ يَحْبِسَنِي، فَأَمَرْتُ بِقِسْمَتِهِ

“Aku teringat akan sepotong emas yang ada pada kami, maka aku benci jika ia menahanku (daripada menghadap Allah/terleka), lalu aku memerintahkan agar ia dibahagi-bahagikan.”

(Sahih Al-Bukhari, No. 851)

Ketika kejadian itu, para sahabat tercengang kerana jarang Nabi SAW lepas salat terus keluar kerana Nabi akan zikir dahulu. Nabi menjelaskan yang Nabi takut hatinya akan terpaut pada emas itu lalu baginda tak mahu belanjakan pada jalan Allah.

Tetapi ada maqam yang lagi atas lagi dan inilah Maqam Zuhud. Ia adalah meninggalkan apa-apa yang tidak bermanfaat untuknya di akhirat kelak. Contohnya, kita sudah ada satu kasut cukuplah. Kenapa hendak ada sampai 10 kasut? Adakah ada 10 kasut ini bermanfaat untuk aku? Kira-kira tak manfaat, jadi tak payah sampai begitu. Bukanlah kita katakan ia salah, berdosa. Kerana tak haram pun kalau ada kasut banyak. Tetapi orang yang zuhud akan menilai adakah ia perkara yang bermanfaat untuk akhirat atau tidak? Kalau tidak, dia akan tinggalkan.

4. Syeikh Khalil Islam memberikan perumpamaan yang sangat menarik tentang zuhud. Dia kata zuhud kepada dunia ini macam kita dengan tandas rumah kita. Adakah kita perlukan tandas? Ya tentu sekali kita perlukan tandas. Tapi adakah hati kita terpaut dengan tandas itu, asyik teringat tandas kita di rumah? Kalau musafir ke mana-mana jadi monyok sebab lama tak masuk tandas kita? Maka begitulah kita zuhud dengan dunia. Pakai tapi tidaklah hati kita terletak padanya.

Zaman sekarang, ramai orang berfalsafah. Mereka ada yang kata, tak kisah rumah 10 tingkat, kereta 5 biji, tapi hati tak terpaut. Mana mungkin hati tak terpaut kalau buat rumah sampai 10 tingkat? Kenapa kamu boleh yakin kata hati tak terpaut? Hakikat zuhud itu ialah sebenarnya hati tak terpaut dengan dunia, walaupun dunia di tangannya. Dia boleh dapat dunia, tapi dia tidak gunakan. Jangan gunakan alasan beli benda yang termahal yang patut dia tak perlu beli macam itu pun tapi kemudian beri alasan hati dia tak terpaut. Sebab Nabi SAW ialah Sayyidul Zahidin dan Nabi tidak buat begitu. Dan Nabi sendiri ada tunjukkan cara zuhud macam mana.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: دَخَلْتُ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُضْطَجِعٌ عَلَى حَصِيرٍ، فَقُمْتُ وَإِذَا لِأَثَرِ الْحَصِيرِ فِي جَنْبِهِ أَثَرٌ، فَنَظَرْتُ فِي خِزَانَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَإِذَا أَنَا بِقَبْضَةٍ مِنْ شَعِيرٍ نَحْوِ الصَّاعِ، وَمِثْلِهَا قَرَظًا فِي نَاحِيَةِ الْغُرْفَةِ، وَإِذَا أَفِيقٌ مُعَلَّقٌ، قَالَ: فَابْتَدَرَتْ عَيْنَايَ، قَالَ: “مَا يُبْكِيكَ يَا ابْنَ الْخَطَّابِ؟” قُلْتُ: يَا نَبِيَّ اللَّهِ، وَمَا لِي لَا أَبْكِي، وَهَذَا الْحَصِيرُ قَدْ أَثَّرَ فِي جَنْبِكَ، وَهَذِهِ خِزَانَتُكَ لَا أَرَى فِيهَا إِلَّا مَا أَرَى، وَذَاكَ قَيْصَرُ وَكِسْرَى فِي الثِّمَارِ وَالْأَنْهَارِ، وَأَنْتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَصَفْوَتُهُ، وَهَذِهِ خِزَانَتُكَ! فَقَالَ: “يَا ابْنَ الْخَطَّابِ، أَمَا تَرْضَى أَنْ تَكُونَ لَنَا الْآخِرَةُ وَلَهُمُ الدُّنْيَا؟” قُلْتُ: بَلَى
Daripada Ibnu Abbas, daripada Umar bin al-Khattab R.A., beliau berkata: “Aku masuk menemui Rasulullah s.a.w ketika baginda sedang berbaring di atas sebidang tikar. Aku berdiri (ketika baginda bangun) dan aku melihat bekas tikar itu telah meninggalkan kesan pada lambung (rusuk) baginda. Aku melihat ke dalam bilik simpanan Rasulullah s.a.w, rupa-rupanya hanya ada segenggam gandum (sekitar satu sha’), dan sebegitu juga jumlah daun qarazh (bahan penyamak kulit) di sudut bilik tersebut, serta sekeping kulit yang digantung. Umar berkata: Maka kedua-dua mataku mengalirkan air mata. Baginda bertanya: ‘Apakah yang membuatmu menangis wahai Ibnu al-Khattab?’ Aku menjawab: ‘Wahai Nabi Allah, bagaimana mungkin aku tidak menangis, sedangkan tikar ini telah meninggalkan bekas pada rusukmu, dan bilik simpananmu ini pula aku tidak melihat di dalamnya melainkan apa yang aku lihat sekarang (sangat sedikit). Sedangkan itu Kaisar dan Kisra hidup di tengah-tengah buah-buahan dan sungai-sungai yang mengalir, padahal engkau adalah Rasulullah s.a.w dan hamba pilihan-Nya, namun beginilah bilik simpananmu!’ Maka baginda bersabda: ‘Wahai Ibnu al-Khattab, tidakkah engkau reda bagi kita adalah akhirat dan bagi mereka adalah dunia?’ Aku menjawab: ‘Tentu (aku reda).'”

Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tafsir, Bab Wa taziruhu wa tuwaqqiruhu (Tafsir Surah al-Fath), Hadis No. 4913. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, Kitab al-Talaq, No. 1479 dengan lafaz yang hampir sama.

Jadi ini hendak menjawab kepada kelompok yang konon-konon berfalsafah dalam masalah zuhud. Tengok ini, hadis ini bertunjuk bahawa ini hakikat zuhud. Perhatikan pula firman Allah di dalam Taha:131

وَلَا تَمُدَّنَّ عَيْنَيْكَ إِلَىٰ مَا مَتَّعْنَا بِهِ أَزْوَاجًا مِّنْهُمْ زَهْرَةَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا لِنَفْتِنَهُمْ فِيهِ ۚ وَرِزْقُ رَبِّكَ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ
“Dan janganlah engkau tujukan pandangan matamu kepada apa yang telah Kami berikan kepada golongan-golongan (kafir) di antara mereka, sebagai bunga kehidupan dunia untuk Kami menguji mereka dengannya. Padahal rezeki Tuhanmu (di akhirat) adalah lebih baik dan lebih kekal.”

Ada orang jadi zuhud kerana dia miskin. Tapi adakah Rasulullah miskin? Memang pernah kita dengar hadis dapur rumah Nabi tidak berasap beberapa hari. Tapi bukan sentiasa Nabi miskin. Bayangkan bagi setiap perang, bahagian Nabi adalah 1/5 dari harta rampasan perang. Tadi pun kita telah lihat hadis Nabi ada emas di rumahnya. Malah banyak hadis Nabi memberi harta kepada orang yang meminta, contohnya hadis ini yang diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A:

أَنَّ نَاسًا مِنَ الأَنْصَارِ سَأَلُوا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَعْطَاهُمْ، ثُمَّ سأَلُوهُ، فَأَعْطَاهُمْ، ثُمَّ سأَلُوهُ، فَأَعْطَاهُمْ حَتَّى نَفِدَ مَا عِنْدَهُ، فَقَالَ: “مَا يَكُونُ عِنْدِي مِنْ خَيْرٍ فَلَنْ أَدَّخِرَهُ عَنْكُمْ، وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ، وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ، وَمَنْ يَتَصَبَّرْ يُصَبِّرْهُ اللَّهُ، وَمَا أُعْطِيَ أَحَدٌ عَطَاءً خَيْرًا وَأَوْسَعَ مِنَ الصَّبْرِ”
“Bahawa beberapa orang daripada golongan Ansar meminta (harta) kepada Rasulullah s.a.w, lalu baginda memberi kepada mereka. Kemudian mereka meminta lagi, dan baginda memberi lagi. Kemudian mereka meminta lagi, dan baginda memberi lagi sehingga habislah apa yang ada di sisi baginda. Lalu baginda bersabda: ‘Apa-apa kebaikan (harta) yang ada padaku, tidak akan aku simpan daripada kamu sekalian. Namun, sesiapa yang menjaga kehormatan dirinya (daripada meminta-minta), maka Allah akan menjaganya. Sesiapa yang merasa cukup (dengan apa yang ada), maka Allah akan mencukupkannya. Sesiapa yang bersabar, maka Allah akan menjadikannya penyabar. Dan tidaklah seseorang itu dianugerahkan sesuatu pemberian yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.'”

Sahih al-Bukhari, No. 1469; Sahih Muslim, No. 1053

Maknanya Nabi ada banyak harta sebenarnya. Baginda boleh sahaja bermewah-mewah jikalau baginda mahu kerana memang boleh sahaja dapat apa yang baginda mahukan dari dunia. Tapi harta yang banyak yang baginda dapat itu baginda berikan kepada para sahabat sampai habis. Dan perbuatan Nabi ini diikuti oleh isterinya Saidatina A’isyah. Anak saudara beliau, Urwah bin al-Zubair, menceritakan perihal ibu saudaranya itu:

“Bahawa Aisyah R.A. pernah menerima harta daripada pemberian (diwan/peruntukan kerajaan) sebanyak 70,000 dirham (dalam riwayat lain disebut 100,000 atau 50,000 dirham). Maka, beliau membahagi-bahagikan harta itu kepada orang ramai (fakir miskin) dalam keadaan beliau sendiri memakai baju yang bertampal-tampal. Pembantu beliau berkata: ‘Wahai Ummul Mukminin, tidakkah boleh engkau simpan satu dirham sahaja untuk kita membeli daging (untuk berbuka puasa)?’ Aisyah menjawab: ‘Sekiranya engkau mengingatkanku tadi (sebelum habis dibahagi), nescaya aku akan melakukannya.'”

Ini hakikat zuhud apabila mengambil keperluan dunia setakat yang perlu-perlu sahaja Makan mana yang perlu sahaja dan yang selain dari itu bukan kepentingan utama bagi orang yang zuhud. Bukanlah maksudnya kena pakai baju selekeh dan koyak-koyak pula. Ini pun salah faham juga yang ada di kalangan umat Islam. Antaranya golongan sufi yang sangka apabila hendak jadi zuhud kena pakai baju koyak-koyak, kena pakai baju bulu berabuk-rabuk. Mereka sampai ada rambut dengan tak bersikat, berdebu-debu!  Ketahuilah yang itu bukan zuhud. Tidak ada salahnya pakai baju cantik, malah ada anjuran terhadapnya.  Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda:

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ. قَالَ رَجُلٌ: إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً. قَالَ: إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ، الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Tidak akan masuk syurga sesiapa yang di dalam hatinya terdapat sebesar zarah sifat sombong (takabur).” Seorang lelaki bertanya: “Sesungguhnya seseorang itu sangat suka jika bajunya cantik dan seliparnya (kasutnya) elok (adakah itu dikira sombong?)” Baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Dia mencintai keindahan. Sombong itu adalah menolak kebenaran dan memandang rendah kepada manusia.”

(Sahih Muslim, No. 91)

Tapi kena ingatlah yang pakai baju elok bukan maksudnya pakai baju yang sampai ribuan harganya dan pelik-pelik kalau dibandingkan dengan orang lain. Ini bukan cara orang Islam. Kita pakai baju biasa-biasa sahaja. Daripada Abdullah bin Umar R.A, Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ لَبِسَ ثَوْبَ شُهْرَةٍ فِي الدُّنْيَا أَلْبَسَهُ اللَّهُ ثَوْبَ مَذَلَّةٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ أُلْهِبَ فِيهِ نَارًا
“Sesiapa yang memakai pakaian kemasyhuran di dunia, nescaya Allah akan memakaikannya pakaian kehinaan pada hari kiamat, kemudian dinyalakan api neraka padanya.”

(Riwayat Ibnu Majah, No. 3606 & Abu Daud, No. 4029. Hadis ini dinilai Hasan/Sahih oleh ramai ulama).

Orang yang dipuji ini bukanlah kerana dia tidak mampu, tapi kerana dia hendak merendahkan diri. Ini seperti disebut di dalam hadis riwayat daripada Mu’adh bin Anas al-Juhani R.A, Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ تَرَكَ اللِّبَاسَ تَوَاضُعًا لِلَّهِ وَهُوَ يَقْدِرُ عَلَيْهِ، دَعَاهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ حَتَّى يُخَيِّرَهُ مِنْ أَيِّ حُلَلِ الْإِيمَانِ شَاءَ يَلْبَسُهَا
“Sesiapa yang meninggalkan pakaian (yang mewah/mahal) kerana sifat tawaduk (merendah diri) kepada Allah, padahal dia mampu untuk membelinya, nescaya Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan sekalian makhluk, sehingga Allah memberi pilihan kepadanya untuk memakai mana-mana pakaian iman (perhiasan syurga) yang dia kehendaki.”

(Riwayat Al-Tirmidzi, No. 2481. Beliau menilai hadis ini sebagai Hasan).

Hadis ini menceritakan tentang orang yang banyak duit tapi dia tak beli baju sampai harga beribu-ribu ringgit sehelai. Dia beli yang biasa-biasa sahaja. Hakikatnya ia tentang orang kaya yang boleh jadi zuhud.

5. Definisi Abu Idris al-Khawlani (seorang Tabi’in besar dari Syam) pun menarik juga. Beliau memberikan “neraca” untuk membezakan antara zuhud yang dibuat-buat (hanya pada pakaian) dengan zuhud yang hakiki (pada hati). Beliau berkata:

لَيْسَ الزُّهْدُ فِي الدُّنْيَا بِتَحْرِيمِ الْحَلَالِ، وَلَا إِضَاعَةِ الْمَالِ، وَلَكِنَّ الزُّهْدَ فِي الدُّنْيَا أَنْ تَكُونَ بِمَا فِي يَدِ اللَّهِ أَوْثَقَ مِنْكَ بِمَا فِي يَدِكَ
“Bukanlah zuhud terhadap dunia itu dengan mengharamkan yang halal, bukan juga dengan mensia-siakan harta. Akan tetapi, zuhud terhadap dunia itu adalah: Engkau lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah berbanding apa yang ada di tanganmu sendiri.”

(Dipetik daripada Kitab al-Zuhd oleh Imam Ahmad & Sunan al-Tirmidzi)

Tiga Tiang Zuhud Menurut Beliau: Ulama menghuraikan kata-kata Abi Idris ini kepada tiga elemen utama yang sangat relevan dengan kehidupan kita hari ini:

A. Bukan Mengharamkan yang Halal

Zuhud bukan bermaksud anda tidak boleh memakai baju cantik, tidak boleh makan sedap, atau tidak boleh memandu kereta yang canggih. Islam tidak menyuruh kita menyeksa diri. Jika Allah beri nikmat, pakailah sebagai tanda syukur.

B. Bukan Mensia-siakan Harta

Zuhud bukan bermaksud anda perlu menjadi miskin papa kedana atau membuang duit ke dalam laut. Islam melarang pembaziran. Harta itu perlu diurus dengan baik untuk kelangsungan hidup dan dakwah. Bukanlah yang dikatakan zuhud itu dengan mengharamkan yang halal dan menghilangkan harta. Jangan pula kerana hendak zuhud, ambil duit bubuh dalam laut. Kalau zaman dulu zaman dulu ada orang buang TV dalam sungai.

C. Thiqah (Percaya) kepada Allah melebihi Harta Sendiri

Seseorang yang ada RM1,000 di tangan, tetapi dia rasa “selamat” hanya kerana RM1,000 itu, dia belum zahid. Seseorang yang ada RM1,000, tetapi dia tahu RM1,000 itu boleh hilang sekelip mata dan dia tetap tenang kerana yakin Allah adalah Ar-Razzaq (Pemberi Rezeki), dialah Zahid yang sebenar.

Tapi untuk jadikan kita lebih yakin apa yang ada di sisi Allah daripada ada di tangan kita, ini tidak mudah. Jadi ini mengajar kita supaya hati kita jangan terpaut dan bergantung kepada dunia. Dunia ini apa yang dimaksudkan? Sebahagian orang apabila disebut dunia, dia teringat bukit-bukau, gunung-ganang. Itu bukan dunia yang kita maksudkan di sini. Kerana bukit-bukau, gunung-ganang, itu semua Allah Ta’ala cipta untuk kita. Yang dikatakan dunia yang dikutuk oleh Al-Qur’an, ialah cara kehidupan manusia itu sendiri. Bukit-bukau, gunung-ganang adalah ciptaan Allah yang kita kena hargai. Maka Zuhud itu apabila kau lebih yakin apa yang ada di sisi Allah lebih daripada apa yang ada di tangan sendiri. Apa yang ada di tangan kita itu kita yakin bila-bila sahaja boleh hilang. Walaupun kita pegang sekejap, tapi jika Allah kata ia bukan hak kita, ia akan diambil dari kita. Tapi kalau Allah janji untuk kita, ia pasti akan diberikan kepada kita walaupun orang lain pegang sekejap.

Kata Abu Idris al-Khawlani lagi tentang hal ini:

وَأَنْ تَكُونَ فِي ثَوَابِ الْمُصِيبَةِ إِذَا أُصِبْتَ بِهَا أَرْغَبَ مِنْكَ فِيهَا لَوْ بَقِيَتْ لَكَ
“Dan hendaklah engkau (ketika ditimpa musibah) lebih mengharapkan pahala musibah tersebut daripada keinginanmu agar perkara (harta/nikmat) itu kekal bersamamu.”

Maknanya kalau kereta dia hilang, dia lebih suka kalau Allah ganti musibah hilang kereta itu dengan pahala, dari kereta itu dikembalikan kepadanya. Agak-agak, bolehkah begini?

6. Al-Hasan al-Basri, seorang tokoh Tabi’in yang merupakan “Lautan Ilmu” dalam bab penyucian jiwa dan zuhud juga ada memberikan satu definisi Zuhud yang bersifat Akhlak (Sosial), bukan sekadar zuhud pada harta. Kata beliau,

الزَّاهِدُ: الَّذِي إِذَا رَأَى أَحَدًا قَالَ: هُوَ أَفْضَلُ مِنِّي
“Orang yang zuhud (yang sebenar) itu adalah: Dia yang apabila melihat sesiapapun (orang lain), dia akan berkata (di dalam hatinya): Dia itu lebih mulia/afdhal daripadaku.”

Mungkin kita tertanya-tanya, apa kaitan “rendah diri” dengan “zuhud”? Di sinilah letaknya kebijaksanaan Al-Hasan al-Basri kerana ini melibatkan Zuhud terhadap “Diri Sendiri” (Ego). Ramai orang boleh zuhud daripada makan sedap atau pakai baju mahal, tetapi mereka gagal zuhud daripada “Rasa Diri Bagus” (Ujub).

Mengecilkan Diri di Hadapan Allah: Apabila kita rasa orang lain lebih baik, bermakna kita telah menyingkirkan “dunia” yang paling berbahaya, iaitu Pangkat dan Kedudukan (Jah). Sebagai contoh, jika nampak orang tua, katakanlah di dalam hati: “Dia lebih afdhal dariku kerana lebih banyak beribadah berbanding aku.” Jika nampak orang muda: “Dia lebih afdhal kerana kurang melakukan dosa berbanding aku.” Jika nampak orang jahil: “Dia lebih afdhal kerana dia buat salah sebab tak tahu, manakala aku buat salah walaupun aku tahu.”

Begitulah kadangkala orang hormat kepada kita, hanya kerana mereka tidak tahu dosa-dosa kita. Kalaulah orang tahu dosa kita, tentu orang akan hina dan kutuk kita. Kita selamat, hanya kerana Allah sembunyikan dosa-dosa kita dari mata manusia. Begitulah yang kita belajar dari Imam Ahmad. Apabila orang mula berkumpul dan memuji-muji beliau di jalanan, beliau menjadi sangat gelisah. Beliau pernah berkata dalam keadaan yang sangat hiba:

“Aku memohon kepada Allah agar Dia tidak membinasakan aku dengan pujian-pujian ini. Seandainya kalian tahu dosa-dosaku, nescaya kalian tidak akan sudi duduk bersamaku.”

Inilah bentuk Zuhud terhadap Ego. Beliau tidak memandang dirinya sebagai “Imam Besar”, sebaliknya beliau memandang dirinya sebagai seorang hamba yang penuh kekurangan.


 

Tingkatan Zuhud

Imam Ahmad bin Hanbal menyusun falsafah zuhud beliau bukan sekadar sebagai satu konsep umum, tetapi beliau membahagikannya kepada tiga tingkatan (tabaqat) yang sangat sistematik. Pembahagian ini membantu kita mengukur di manakah tahap “jiwa” kita sekarang—sama ada kita baru bermula, atau sudah mencapai tahap zuhud para kekasih Allah.

1. Zuhud Orang Awam (Zuhdul ‘Awam)

Definisi: Meninggalkan perkara yang Haram.

Ini adalah tahap paling asas. Seseorang itu dianggap zahid (zuhud) apabila dia berjaya menahan nafsunya daripada mengambil harta yang haram, melakukan maksiat, atau mencari rezeki dengan jalan syubhat.

2. Zuhud Orang Khusus (Zuhdul Khawas)

Definisi: Meninggalkan perkara yang Halal secara berlebihan (Fudhul al-Halal).

Seseorang itu mula meninggalkan perkara-perkara yang sebenarnya halal, tetapi ia tidak memberi manfaat yang besar untuk akhiratnya. Dia mengurangkan makan yang berlebihan, tidur yang berlebihan, dan perhiasan yang melampau-lampau.

Kaitan dengan Konsep “Tarku ma la yanfa’u”: Anda mula berfikir, “Adakah kemewahan ini mendekatkan aku kepada Allah atau sekadar membuang masa?” Anda memilih untuk hidup sederhana walaupun mampu untuk bermewah-mewah secara ekstrem.

3. Zuhud Orang Arif (Zuhdul ‘Arifin)

Definisi: Meninggalkan Segala sesuatu yang memalingkan hati daripada Allah.

Ini adalah kemuncak zuhud. Pada peringkat ini, bukan soal harta lagi, tetapi soal Hati. Walaupun dia memiliki kerajaan dunia di tangannya (seperti Nabi Sulaiman A.S.), hatinya tidak sedikit pun berpaut pada harta itu. Hatinya hanya terisi dengan Allah.

Kaitan dengan Kata-kata Abi Idris Al-Khawlani: Inilah tahap di mana anda lebih percaya kepada apa yang ada di tangan Allah berbanding apa yang ada di tangan anda. Jika dunia itu ada, anda syukur; jika ia hilang, anda tetap tenang kerana “Pusat (Amud)” hati anda adalah Allah.

Kalimah dunia yang disebut-sebut di dalam hadis bukanlah maksud dunia, harta-harta, gunung ganang. Yang kita kena jaga adalah cara kehidupan. Yang dikutuk ialah cara kehidupan kita yang tidak berlandaskan agama. Apabila kita mendahulukan dunia lebih daripada akhirat, apakah sikap dan pilihan kita ketika itu? Bilakah ia bertembung? Banyak. Bila bertembung antara kedudukan kita dengan keperluan memperkatakan kebenaran, kita nak pilih mana? Bila bertembung antara perintah Allah dengan rezeki kita, ataupun pendapatan kita, ketika itu nak pilih mana? Di situ kita akan ukur zuhud seseorang hamba.

Di sini adalah satu salah faham. Kena ingat yang zuhud bukan bermaksud duduk sahaja di rumah tak pergi kerja. Itu pemalas namanya. Sedangkan kalau kita perhatikan para sahabat, mereka pergi kerja, mereka berjihad sampai buka empayar. para sahabat jadi penggembala, petani, jadi macam-macam. Mereka berusaha macam-macam, jadi macam-macam, tetapi mereka tak pernah jual akhirat mereka untuk dunia. Uthman bin Affan kaya, Abdurrahman bin Auf kaya, tapi mereka adalah orang yang zuhud kerana sentiasa mendahulukan akhirat apabila bertembung dengan dunia mereka. Bukanlah agama suruh jangan pergi kerja. Agama suruh tetap pendirian apabila berhadapan dengan hakikat kepada kehidupan dunia. Kalau kita zuhud kepada makna itu, maka Allah akan sayang.


 

Zuhud Dari Apa Yang Ada Di Tangan Manusia

Yang bahagian kedua ini pula, iaitu tak pernah berharap apa yang di tangan manusia. Orang lain dapat nikmat, dia alhamdulillah, dia tak teringin dengan apa yang ada di tangan orang lain, dia tak payah nak kejar-kejar. Bahagian ini ada dua maksud.

1. Yang pertama, dia tak ada harapan dan pergantungan hati kepada makhluk. Sebaliknya dia bergantung kepada Allah. Sebagai contoh ada yang berkawan dengan orang  kaya kerana dia berharap kalau dia baik dengan orang kaya itu, mesti dia akan bagi macam-macam. Ini tidak baik dan malang kalau kita ada sifat ini. Kadangkala kita tengok ada setengah orang, walaupun ustaz-ustaz sekalipun, apabila dengan orang kaya bukan main lagi dia layan. Kalau orang biasa, dia pandang sebelah mata sahaja. Janganlah kita pandang rendah kepada orang miskin. Rasulullah pernah berdoa seperti disebut di dalam satu hadis,

Daripada Anas bin Malik R.A (dan juga diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A), Rasulullah berdoa:

اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مِسْكِينًا، وَأَمِتْنِي مِسْكِينًا، وَاحْشُرْنِي فِي زُمْرَةِ الْمَسَاكِينِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan bangkitkanlah aku (di padang Mahsyar) dalam kumpulan orang-orang miskin pada hari kiamat.”

(Riwayat Al-Tirmidzi, No. 2352. Beliau menilai hadis ini sebagai Gharib. Namun, ia mempunyai jalur penguat lain yang menjadikannya Hasan menurut ramai ulama).

Hadis ini bukanlah bermaksud Nabi minta jadi miskin pula kerana pernah Nabi juga Nabi berdoa minta kekayaan, kecukupan dalam kehidupan. Yang Nabi minta adalah jadikanlah baginda dengan sifat tawaduk macam orang miskin. Maka ia mengajar kita supaya ada sifat seperti orang miskin yang merendahkan diri mereka. Jangan kita berharap kepada orang kaya dan layan mereka berlebih sangat kalau dibandingkan dengan orang miskin. Miskin dan kaya sama sahaja pada kita sepatutnya.

Cantik hadis ini kerana datang lepas kita baca hadis berkenaan dengan orang kaya dapat kelebihan banyak, bukan? Boleh rujuk Hadis #25. Di dalam hadis itu kita telah belajar ada para sahabat yang cemburu dengan golongan sahabat yang kaya kerana mereka yang kaya dapat bersedekah dengan banyak. Imam Nawawi seolah-olah mengajar kita yang kita boleh kaya dan gunakanlah kekayaan itu untuk menambah amal dengan bersedekah. Akan tetapi kehidupan kamu mestilah kehidupan zuhud, bukan kehidupan yang bongkak sombong sambil menunjukkan kekayaan. Sekarang banyak bukan kita lihat di dalam medsos orang yang menunjukkan kekayaan mereka. Entahlah betul kaya atau tidak, tapi menunjuk dengan bongkak sekali. Allah telah menegur manusia di dalam Isra’:37

وَلَا تَمْشِ فِي الْأَرْضِ مَرَحًا ۖ إِنَّكَ لَن تَخْرِقَ الْأَرْضَ وَلَن تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا
“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan sombong (bermegah-megah), kerana sesungguhnya engkau tidak sekali-kali dapat menembus bumi, dan engkau tidak sekali-kali akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

Jadi maksud pertama وَازْهَدْ فِيْمَا عِنْدَ النَّاسِ ialah tak berharap apa sahaja kekayaan pada orang. Kita berkawan dengan orang lain semata-mata kerana Allah, bukan manusia yang cinta orang lain kerana dirham dan dinar.

2. Maksud kedua bagi وَازْهَدْ فِيْمَا عِنْدَ النَّاسِ adalah tidak rasa perlu pun nak macam kaya macam orang lain, nak berpengaruh macam orang lain, nak ada pangkat macam orang lain. Kalau orang lain ada kereta mewah, dia tak terasa pun untuk dapat kereta macam itu juga. Dia tak terliur pun. Kalau orang lain ada, dan dia tidak ada pun, dia biasa sahaja. Malangnya ada orang yang bersifat materialistik dan suka berangan-angan supaya mereka dapat apa yang orang kaya dapat juga. Allah sebut tentang mereka ini di dalam Qasas:79

فَخَرَجَ عَلىٰ قَومِهِ في زينَتِهِ ۖ قالَ الَّذينَ يُريدونَ الحَيَوٰةَ الدُّنيا يٰلَيتَ لَنا مِثلَ ما أوتِيَ قٰرونُ إِنَّهُ لَذو حَظٍّ عَظيمٍ
Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dalam kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: “Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Qarun; sesungguhnya dia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar”.

Allah tegur mereka yang ada sifat ini iaitu terliur tengok kesenangan orang lain dan berharap sangat supaya mereka pun dapat juga. Ini adalah sifat yang tidak baik ada dalam diri manusia, maka kerana itu Allah tegur. Kita semua diberikan dengan rezeki yang Allah pilih bagi diri kita, maka sepatutnya kita rasa cukup dengan apa yang Allah berikan kepada kita. Inilah zuhud yang kita sedang belajar ini. Yang Allah beri rezeki lebih kepada orang lain, itu bahagian mereka, itu ujian mereka. Kerana dapat rezeki lebih pun adalah ujian, bukan?

Jangan kita berharap kepada dunia, teringin sangat kepada dunia, sampai menggadai akhirat kita. Memang dunia ini bergemerlapan dan menarik keinginan ramai orang. Ia adalah ujian yang sangat-sangat licik bagi manusia dan ramai yang terjerumus kalah kerana ujian ini. Rasulullah telah sebut tentang golongan ini di dalam hadis daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah bersabda:

تَعِسَ عَبْدُ الدِّينَارِ، وَعَبْدُ الدِّرْهَمِ، وَعَبْدُ الْخَمِيصَةِ، إِنْ أُعْطِيَ رَضِيَ، وَإِنْ لَمْ يُعْطَ سَخِطَ، تَعِسَ وَانْتَكَسَ، وَإِذَا شِيكَ فَلَا انْتَقَشَ
“Celakalah (binasalah) hamba dinar, dan hamba dirham, dan hamba pakaian. Jika dia diberi, dia merasa senang (reda), tetapi jika tidak diberi, dia marah. Celakalah dia dan tersungkurlah dia, dan jika dia terkena duri, semoga tidak dapat dicabutnya.”

(Sahih Al-Bukhari, No. 2887)

Jadi kita kena jaga hati kita dari ada terliur kepada dunia. Itu semua adalah ujian bagi kita. Dan jangan kita bermewah dengan dunia ini walaupun kita. Kalau kita baca Uthman bin Affan, semua kita tahu yang beliau adalah seorang yang kaya, malah amat kaya. Kerana kita tahu beliau ada banyak memberikan sedekah dan infak kepada Islam. Malah sampai sekarang pun tanah beliau ada lagi sebagai wakaf dan sedang dimanfaatkan oleh umat Islam. Tapi apabila beliau meninggal dunia, apa yang tinggal? Ada jubah, buku dia, Al-Qur’an dia dan beberapa saja benda yang dia ada.

Hadis ini mengajar kita bahayanya apabila kita ada cinta kepada dunia. Rasanya semua tahu tentang hadis yang Rasulullah ingatkan kepada kita ini,

يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا. فَقَالَ قَائِلٌ: وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ؟ قَالَ: بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ، وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ، وَلَيَنْزِعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ المَهَابَةَ مِنْكُمْ، وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الوَهْنَ. فَقَالَ قَائِلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا الوَهْنُ؟ قَالَ: حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
“Akan tiba masanya umat-umat (lain) akan mengerumuni kalian sebagaimana orang-orang mengerumuni makanan di dalam satu bekas. “
Ada yang bertanya: “Adakah kerana bilangan kami sedikit ketika itu? “
Baginda menjawab: “Bahkan kamu ketika itu ramai, tetapi kamu seperti buih di lautan. Allah akan mencabut rasa takut musuh terhadap kamu dari dada mereka, dan Allah akan mencampakkan dalam hati kamu penyakit ‘wahn’.”
Lalu seorang sahabat bertanya: “Apakah itu ‘wahn’, wahai Rasulullah?”
Baginda menjawab: “Cinta dunia dan takut mati.”

Sunan Abi Dawud, no. 4297. Disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ (8183)

Maksudnya, umat manusia semua akan makan orang Islam. Macam orang lapar makan di dalam satu bekas. Kata ulama’, ini adalah dalil bahawa negeri umat Islam ini kaya, ada banyak hasil bumi. Tapi orang kafir yang datang makan hasil bumi orang Islam. Beginilah yang terjadi dahulu dan sekarang, bukan? Dan kita banggakan sekarang kita semakin ramai. Tapi perhatikan di dalam hadis ini, tidak ada gunanya setakat ramai sahaja, masih tetap juga ‘dimakan’ oleh orang kafir. Memang ramai namun seperti buih di genangan air. Kerana penyakit Wahn. Allahu Akbar. Inilah dia asas kepada semua bala yang menimpa umat Islam. Cinta dunia dan takut mati. Tidak zuhud terhadap dunia.

Kecintaan kepada dunia itu bukan sahaja kepada orang jahil, tapi golongan ustaz pun. Cinta dunia sampai untuk cakap benda betul pun tak mahu. Mereka tidak berani dakwah kepada Tauhid, dakwah kepada manhaj yang sahih. Takut hendak berkongsi kepada masyarakat yang perlukan nasihat sebegini kerana takut. Kalau kita tanya ada sahaja alasan mereka, kononnya ‘kena ada hikmah’. Lalu kerja dia ceramah sana-sini, dapat duit upah ceramah ribu-ribu sebulan tapi tak pernah sekali pun nak sampaikan manhaj yang benar. Maka kekallah umat dalam kejahilan, tak tahu benda yang haq dan batil. Masyarakat sampai tak tahu mana sunnah, mana bid’ah, mana benda yang betul, mana benda yang salah. Malang sekali kerana apa yang kita kejar sangat itu (dunia) tidak akan datang kepada kita. Kita rasa kita dapat banyak, tapi tidak sebenarnya. Rasulullah ada bersabda tentang hal ini. Daripada Anas bin Malik R.A, Rasulullah bersabda:

مَنْ كَانَتِ الآخِرَةُ هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ غِنَاهُ فِي قَلْبِهِ وَجَمَعَ لَهُ شَمْلَهُ وَأَتَتْهُ الدُّنْيَا وَهِيَ رَاغِمَةٌ، وَمَنْ كَانَتِ الدُّنْيَا هَمَّهُ جَعَلَ اللَّهُ فَقْرَهُ بَيْنَ عَيْنَيْهِ وَفَرَّقَ عَلَيْهِ شَمْلَهُ وَلَمْ يَأْتِهِ مِنَ الدُّنْيَا إِلاَّ مَا قُدِّرَ لَهُ
“Sesiapa yang menjadikan akhirat sebagai cita-cita utamanya, nescaya Allah akan menjadikan kekayaan dalam hatinya, menyatukan urusannya yang kucar-kacir, dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan tunduk (menyerah diri). Dan sesiapa yang menjadikan dunia sebagai cita-cita utamanya, nescaya Allah akan menjadikan kefakiran berada di antara kedua matanya, mencerai-beraikan urusannya, dan dunia tidak akan datang kepadanya melainkan apa yang telah ditentukan untuknya sahaja.”

(Jami’ Al-Tirmidzi, No. 2467. Hadis ini Sahih/Hasan).

Malangnya ada ramai di kalangan kita yang tidak puas dengan apa yang ada. Rasulullah telah bersabda, dari Ibnu ‘Abbas, dia berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

لَوْ أَنَّ لاِبْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ ، وَلَنْ يَمْلأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ ، وَيَتُوبُ اللَّهُ عَلَى مَنْ تَابَ
“Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu dia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan Allah menerima taubat orang-orang yang bertaubat.”

(Muttafaqun ‘alaih. Sahih Bukhari no. 6439 dan Muslim no. 1048)

Kalau kita ada hubb (terlalu cinta) kepada harta dunia dan kedudukan, itulah yang berebut harta, ambil hak orang, curi hak orang. Sampai berkelahi adik beradik kerana berebut peninggalan ayah. Sedangkan mungkin harga tak seberapa. Seratus dua ratus ribu, setahun sahaja sudah boleh habis. Tapi kerana berkelahi adik beradik, sampai bertahun hingga ke mati tidak bertegur sapa. Begitulah Allah jadikan harta dan dunia sebagai ujian dalam kehidupan kita. Kalau kita tidak perasan, tidak menjaga zuhud kita, kecintaan kepada harta akan menyebabkan kita jadi zalim, jadi pencuri, jadi perompak.


 

Faedah Hadis

Pertama: Sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sangat tamak dalam melakukan setiap kebaikan. Mereka adalah manusia yang terkehadapan dalam melaksanakan kebaikan. Para sahabat betul-betul ingin mengetahui suatu amalan yang dapat menyebabkan mereka mendapatkan kecintaan Allah dan kecintaan manusia. Oleh kerana itu, mereka menanyakan hal ini kepada Rasulullah.

Kedua: Sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam “Zuhudlah terhadap dunia, nescaya Allah akan mencintaimu” menunjukkan bahawa kecintaan Allah diperoleh dengan zuhud terhadap dunia. Definisi yang paling bagus, ‘zuhud terhadap dunia’ adalah seseorang meninggalkan sesuatu yang dapat melalaikannya dari mengingat Allah. Abu Sulaiman Ad-Daaraniy mengatakan,

“Para ulama di Iraq berselisih pendapat mengenai pengertian zuhud. Di antara mereka ada yang mengatakan bahawa zuhud adalah menjauh dari manusia. Ada pula yang mengatakan bahawa zuhud adalah meninggalkan berbagai nafsu syahwat. Ada juga yang mengatakan bahawa zuhud adalah tidak pernah kenyang. Semua definisi ini memiliki maksud yang sama.”

Ad-Daaraniy cenderung pada pendapat, zuhud adalah meninggalkan sesuatu yang dapat melalaikan dari mengingat Allah ‘azza wa jalla. Definisi beliau ini sangatlah bagus. Kerana definisi yang beliau ajukan telah mencakup makna dan macam-macam zuhud. Lihat Jaami’ Al-‘Ulum wa Al-Hikam, 2:186.

Ketiga: Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda, “Zuhudlah pula terhadap apa yang ada pada manusia, nescaya manusia mencintaimu”. Manusia dikenal begitu tamak terhadap harta dan berbagai kesenangan di kehidupan dunia. Kebanyakan manusia sangat kikir untuk mengeluarkan hartanya dan enggan untuk berderma. Padahal Allah Ta’ala berfirman di dalam Taghabun:16,

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَاسْمَعُوا وَأَطِيعُوا وَأَنفِقُوا خَيْراً لِّأَنفُسِكُمْ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
“Maka bertakwalah kamu kepada Allah menurut kesanggupanmu dan dengarlah serta taatlah dan nafkahkanlah nafkah yang baik untuk dirimu. Dan barangsiapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung.” 

Seharusnya seseorang tidak kagum dengan orang yang sangat tamak terhadap dunia dan menampakkan padanya. Jika seseorang merasa cukup dengan apa yang ada pada manusia, dia akan memperoleh kecintaan mereka dan manusia pun akan mencintainya. Jika sudah demikian, maka dia akan selamat dari kejelekan mereka.

 

Faedah lainnya:

  • Para sahabat sangat bersemangat melakukan sesuatu yang dapat mendatangkan kecintaan Allah dan manusia.
  • Dalam hadits di atas terdapat dalil adanya sifat mahabbah (kecintaan) bagi Allah ‘azza wa jalla.
  • Sesungguhnya kebaikan bagi hamba adalah jika Allah mencintainya.
  • Untuk memperoleh kecintaan Allah adalah dengan zuhud pada dunia.
  • Sesungguhnya jika seseorang zuhud terhadap apa yang ada pada manusia, hal itu merupakan sebab baginya untuk mendapatkan kecintaan mereka. Zuhud seperti ini akan membuatnya memperoleh kebaikan dan keselamatan dari berbagai kejelekan manusia.

 

Hukum zuhud:

  1. Zuhud pada syirik: wajib
  2. Zuhud pada maksiat: wajib
  3. Zuhud pada yang halal: sunnah, itulah bahasan hadits di atas.

 

Kaedah dari hadits:

كُلَّمَا كُنْتَ عَمَّا فِي أَيْدِي النَّاسِ كُلَّمَا كُنْتَ لَهُمْ أَحَبَّ
Jika engkau semakin menjauh dari segala yang dimiliki manusia, engkau akan mendapatkan cinta mereka.

 

Glosari Istilah Penting

  • Zuhud (زُهْد): Meninggalkan atau menjauhi sesuatu kerana menganggapnya tidak bernilai bagi tujuan akhirat; mengosongkan hati daripada keterikatan dunia.
  • Wara’ (الْوَرَع): Meninggalkan perkara yang halal atau samar-samar (syubhat) kerana bimbang ia boleh membahayakan kedudukan agama seseorang di akhirat.
  • Sifat al-Fi’liyyah: Sifat-sifat perbuatan Allah yang dilakukan mengikut kehendak dan hikmah-Nya pada waktu tertentu, seperti mencintai, membenci, atau bersemayam.
  • Sahih Lighairihi (صحيح لغيره): Hadis yang darjat asalnya adalah Hasan tetapi meningkat menjadi Sahih disebabkan faktor luaran (sokongan jalur periwayatan lain).
  • Wahn (الْوَهْن): Penyakit jiwa yang terdiri daripada kecintaan melampau terhadap dunia dan ketakutan terhadap kematian.
  • Tawaduk (تَوَاضُع): Sifat merendah diri kerana Allah walaupun seseorang itu mempunyai kemampuan atau kedudukan yang tinggi.
  • Ujub (عُجْب): Perasaan kagum terhadap diri sendiri atau merasa diri lebih baik daripada orang lain; lawan kepada zuhud terhadap ego.
  • Ar-Raghbah (الرَّغْبَةُ): Keinginan yang kuat atau loba terhadap sesuatu; merupakan lawan kepada sifat zuhud.
  • Thiqah (ثِقَة): Keyakinan dan kepercayaan yang teguh, terutamanya kepercayaan mutlak kepada janji dan rezeki daripada Allah.
  • Thoub Syuhrah (ثَوْبَ شُهْرَةٍ): Pakaian kemasyhuran yang dipakai dengan tujuan untuk menonjolkan diri atau mencari perhatian manusia, yang dilarang dalam Islam.

Kemaskini: 1 April 2026


 

Rujukan:

Ustaz Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)

Dr. MAZA (Mufti Perlis)

Rumaysho

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment