Syarah Hadis #30 (Hadis 40 Imam Nawawi). Halal, Hudud dan Haram

Hadis 30: Wajib, Hudud, Haram, dan Yang Allah Diamkan

عَنْ أَبِي ثَعْلَبَةَ الخُشَنِيِّ جُرثُومِ بْنِ نَاشِرٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ، عَنْ رَسُولِ اللهِ ﷺ قَالَ: إِنَّ اللهَ فَرَضَ فَرَائِضَ فَلَا تُضَيِّعُوهَا، وَحَدَّ حُدُوْداً فَلَا تَعْتَدُوهَا وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلَا تَنْتَهِكُوهَا، وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً لَكُمْ غَيْرَ نِسْيَانٍ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا. حِدِيْثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ الدَّارَقُطْنِيُّ وَغَيْرُهُ

Dari Abu Tsa’labah Al-Khusyani Jurtsum bin Nasyir radhiyallahu ‘anhu, dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menetapkan beberapa kewajipan, maka janganlah engkau meremehkannya, dan Dia telah menentukan batasan-batasan, maka janganlah engkau melanggarnya, dan Dia telah pula mengharamkan beberapa hal, maka janganlah engkau jatuh ke dalamnya. Dia juga mendiamkan beberapa hal kerana kasih sayangnya kepada kalian bukannya lupa, maka janganlah engkau membahasnya.”

(Hadits hasan, HR. Ad-Daruquthni no. 4316 dan selainnya) [Hadits ini dikomentari oleh Syaikh ‘Abdul Muhsin, hadits ini sanadnya terputus. Namun, hadits ini kata Ibnu Rajab punya penguat].

 

Status Hadis

Hadis ke-30 dalam Arba’in Nawawiyyah ini diriwayatkan oleh Imam al-Daraqutni dalam kitab beliau, Sunan al-Daraqutni. Berikut adalah perincian rujukan dan jalur periwayatannya:

  • Nama Kitab: Sunan al-Daraqutni.
  • Nombor Hadis: 4316 (dalam cetakan moden).
  • Sahabat yang meriwayatkan: Abu Tha’labah al-Khushani R.A.

Hadis ini melalui jalur periwayatan berikut: Diriwayatkan oleh Al-Daraqutni, daripada Ahmad bin Muhammad bin Qasir, daripada Al-Laith bin Sa’ad, daripada Makhul, daripada Abu Tha’labah al-Khushani R.A.

Hadis ini tidak ada pun di dalam Kutubus Sittah. Majoriti ulama hadis mutakhir menilai hadis ini sebagai Dhaif (Lemah). Antara sebab utamanya ialah:

  • Sanad yang Terputus (Inqita’): Terdapat keterputusan sanad antara perawi bernama Makhul dengan sahabat Nabi, Abu Tha’labah. Makhul tidak pernah mendengar hadis ini secara langsung daripada Abu Tha’labah. Dan Makhul ada sedikit kelemahan iaitu dia selalu menyembunyikan sumber dari mana dia ambil hadis itu. Dia selalu melakukan irsal.
  • Kecacatan Perawi: Terdapat perawi dalam sanadnya (seperti Daud bin Abi Hindun) yang dipertikaikan oleh sebahagian ulama dari sudut hafalannya dalam jalur ini.

Siapa yang menilai Dhaif?

  • Imam al-Zahabi dan Imam an-Nawawi sendiri (dalam kitabnya yang lain) mengakui adanya kelemahan pada sanadnya.
  • Syeikh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah menilai hadis ini sebagai dhaif.

Walaupun Imam al-Daraqutni yang merekodkan hadis ini dalam kitabnya, beliau sendiri (dan ramai ulama lain) menganggap hadis ini lebih tepat dikategorikan sebagai “Mauquf” (kata-kata sahabat) atau terdapat perbincangan sama ada ia benar-benar bersambung kepada Nabi ﷺ atau hanya ucapan Abu Tha’labah sendiri.

Mengapa Imam Nawawi Memasukkannya dalam Hadis 40? Walaupun sanadnya lemah, Imam Nawawi tetap memasukkannya kerana:

  • Maknanya yang Sahih (Matannya Benar): Intipati hadis ini (tentang menjaga kewajipan, tidak melanggar hudud, dan Allah mendiamkan sesuatu sebagai rahmat) disokong oleh ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis sahih yang lain.
  • Kaedah Ibadah/Fadhail: Dalam tradisi ulama terdahulu, hadis yang sedikit lemah boleh digunakan jika maknanya selari dengan prinsip agama yang kukuh.

Pendapat Ibnu Rajab al-Hanbali seperti disebut di dalam kitab Jami’ al-‘Ulum wal-Hikam (syarah terbaik untuk Hadis 40), Ibnu Rajab menjelaskan dengan sangat terperinci. Beliau menganggap hadis ini sangat agung kedudukannya kerana ia merangkumi seluruh hukum agama (Wajib, Haram, Hudud, dan Mubah). Beliau mengakui kelemahan sanadnya tetapi menerima kandungannya sebagai kaedah usul yang benar.

Kesimpulan

  • Dari sudut Sanad: Hadis ini Dhaif (lemah).
  • Dari sudut Makna: Matannya Sahih dan diterima oleh para ulama sebagai kaedah umum dalam syariat.

 

Mengenali Perawi

Abu Tsa’labah Al-Khusyani (Jurthum bin Nasyir) ialah seorang sahabat Rasulullah SAW yang terkenal, berasal dari kabilah Khusyan (Yaman) dan menetap di Syam. Beliau terkenal sebagai perawi hadis, antaranya hadis masyhur mengenai kewajipan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya, serta seorang ahli ibadah yang wara’. Berikut adalah butiran mengenai beliau:

  • Nama dan Keturunan: Beliau ialah Jurthum bin Nasyir (جرثوم بن ناشر) al-Khusyani.
  • Beliau merupakan salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang ada meriwayatkan hadis. Beliau meriwayatkan beberapa hadis, antaranya yang terkenal adalah hadis yang kita sedang bincangkan ini. 
  • Beliau terlibat dengan peristiwa Perjanjian Hudaybiyah dan antara sahabat yang berbai’ah dengan Nabi di bawah pokok. Nabi pernah mengatakan semua sahabat yang berbai’ah ketika itu adalah ahli syurga dan beliau adalah salah seorang darinya.
  • Beliau dikenali sebagai sahabat yang zuhud. Beliau di dalam beberapa perkataannya ada sebut bahawa apabila orang menjadikan hidup dia semata-mata untuk beribadat kepada Allah, Allah akan cukupkan urusan dunia bagi orang itu. Ada ulama’ tak setuju dengan pandangan ini kerana bekerja dan mencari rezeki itu adalah sebahagian daripada ibadat. Tapi Abu Tsa’labah berpandangan kalau orang itu tumpukan hidup dia untuk beribadat sahaja kepada Allah dengan betul-betul beribadat, maka rezeki akan datang kepadanya walaupun dia tak keluar mencari rezeki.
  • Beliau menetap di Syam dan dikenali sebagai seorang yang soleh.Beliau wafat ketika sedang sujud dalam solat malam pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan.

 

Syarah Hadis

Allah yang menetapkan perkara yang fardhu. إِنَّ اللهَ فَرَضَ فَرَائِضَ فَلَا تُضَيِّعُوهَا

Kuasa untuk menentukan hukum akan perkara yang fardhu adalah di tangan Allah. Jadi bukan kita menetapkan yang fardhu atau yang wajib. Jangan kita memandai buat hukum pula.

Istilah fardhu dan wajib ini adalah sedikit perbezaan pendapat. Di dalam Mazhab Hanafi, Fardhu itu adalah apa yang difardhukan dengan nas yang qat’ie. Iaitu dalil-dalil yang orang tidak boleh hendak berbeza pandangan. Sedangkan Wajib pula adalah apa yang diwajibkan dengan Ijtihad. Maka apabila ia dari ijtihad, maka masih ada ruang untuk berbeza pandangan.

Di dalam Mazhab Syafie pula, tidak ada beza antara Fardhu dengan Wajib kerana ia sama sahaja. Kecuali di dalam Bab Haji. Kerana di dalam Mazhab Syafie, ada Fardhu Haji, dan ada Wajib Haji yang tidak sama. Yang Fardhu Haji itu di dalam Mazhab Syafie dikira sebagai Rukun Haji. Jadi Fardhu Haji itu kalau tertinggal, tak boleh dikafarahkan dengan bayar Dam. Sedangkan kalau Wajib Haji, ia boleh dikafarah dengan Dam. Itu boleh rujuk di dalam Bab Haji nanti.

Hadis ini juga menjadi dalil yang perbuatan memfardhukan perkara yang sunat, adalah makruh. Contohnya, yang selalu orang kita buat iaitu nazar. Ramai yang sangka oleh kerana ada dalam syariat agama, maka ia baik. Sebenarnya apa hukum nazar? Nazar hukumnya makruh. Kenapa ia makruh? Kerana perbuatan itu telah memfardhukan perkara yang sunat. Perbuatan nazar telah mewajibkan ke atas diri untuk melakukan perkara yang sunat. Contohnya Puasa Isnin itu sunat; tapi kalau anda bernazar maka bertukarlah Puasa Isnin itu daripada sunat menjadi wajib. Kerana itulah hukum bernazar adalah makruh kerana telah mewajibkan perkara yang sunat. Tapi kalau sudah bernazar, maka hukum menyempurnakan nazar itu wajib. Tapi harap masyarakat kita fahamlah yang ia bukan perkara yang terpuji. Sepatutnya ia tidak dilakukan oleh orang yang belajar agama.

Frasa إِنَّ اللهَ فَرَضَ فَرَائِضَ juga mengajar kita bahawa tak ada siapa boleh fardhukan sesuatu walaupun Rasulullah sendiri. Contohnya pernah Umar berharap supaya para isteri Nabi diwajibkan hijab.

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، يَدْخُلُ عَلَيْكَ الْبَرُّ وَالْفَاجِرُ، فَلَوْ أَمَرْتَ أُمَّهَاتِ الْمُؤْمِنِينَ بِالْحِجَابِ
“Aku (Umar) berkata: ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang yang baik mahupun orang yang jahat masuk menemui mu. Alangkah baiknya jika engkau memerintahkan ibu-ibu orang beriman (isteri-isterimu) untuk berhijab’.”

فَلَمْ يَفْعَلْ حَتَّى نَزَلَتْ آيَةُ الْحِجَابِ
“…Namun Rasulullah ﷺ tidak melakukannya (diam/tidak memerintah) sehinggalah turunnya ayat hijab.”

(Riwayat Muslim, No. 2399)

Para ulama (seperti Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari) menjelaskan sebab diamnya Nabi ﷺ:

1. Menunggu Wahyu: Nabi ﷺ tidak akan mengharamkan atau mewajibkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan hukum syarak yang besar (seperti cara berpakaian dan pergaulan isteri Nabi) melainkan setelah mendapat perintah jelas daripada Allah.

2. Sifat Asal Adalah Harus: Sebelum ayat hijab turun, hukum asalnya adalah para wanita (termasuk isteri Nabi) boleh keluar dan berkomunikasi tanpa tabir (hijab) mengikut adat kebiasaan Arab masa itu. Nabi ﷺ mengekalkan hukum asal itu sehingga Allah mengubahnya.

3. Memuliakan Cadangan Umar: Walaupun Nabi ﷺ tidak terus melaksanakannya, Baginda tidak memarahi Umar. Diamnya Nabi ﷺ adalah tanda Baginda mendengar, namun autoriti mutlak adalah pada wahyu.

 

Allah yang menentukan batasan-batasan. وَحَدَّ حُدُوْداً فَلَا تَعْتَدُوهَا

Dan Allah Ta’ala telah menetapkan hudud. Hudud adalah jamak bagi had. Iaitu batasan yang juga kita gunakan dalam bahasa Melayu kita. Mungkin ramai yang selalu dengar tentang Hudud tapi bukan Hudud ini bukanlah hukum hudud sahaja. Ramai orang hari ini menyempitkan istilah “Hudud” hanya kepada hukuman jenayah (seperti potong tangan atau sebat), sedangkan dalam Al-Qur’an, istilah ini membawa makna yang jauh lebih luas dan mendalam. Dari segi bahasa, Hudud bermaksud “Sempadan” atau “Had” (daripada kata dasar Hadda). Berikut adalah 3 dimensi makna Hudud yang jarang diperincikan:

1. Hudud Sebagai Sempadan Syariat (Garis Merah)

Dalam Al-Qur’an, istilah تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ (Itulah sempadan-sempadan Allah) paling banyak muncul, bukan dalam ayat jenayah, tetapi dalam urusan Kekeluargaan dan Ibadah. Sebagai contoh:

Dalam Urusan Cerai & Ruju’: (Baqarah:229). Allah menetapkan had bagaimana suami isteri harus berinteraksi. Jika mereka melanggar adab atau hak, mereka dianggap melanggar Hududullah.

Dalam Urusan Puasa: (Baqarah:187). Larangan makan dan minum serta bercumbu di siang hari disebut sebagai Hududullah.

Dalam Urusan Harta Pusaka: (Nisa’:13-14). Pembahagian faraid adalah Hududullah. Sesiapa yang mengambil hak orang lain dalam pusaka dianggap melampaui sempadan Allah.

Maksudnya: Hudud adalah “garis pemisah” antara yang Halal dan yang Haram dalam setiap aspek kehidupan.

2. Hudud Sebagai Akhlak dan Adab

Hudud juga bermaksud menjaga batas pergaulan dan kehormatan. Seperti perbincangan kita tadi mengenai Umar R.A dan Ayat Hijab, itu juga adalah sebahagian daripada Hudud (batasan) yang Allah tetapkan untuk menjaga kesucian hati manusia.

Apabila seseorang itu “menjaga hudud”, bermakna dia:

    • Tahu bila perlu berhenti bercakap (menjaga lidah).
    • Tahu batas pergaulan lelaki dan perempuan.
    • Tahu hak orang lain yang tidak boleh dicerobohi.

3. Hudud Sebagai Hukuman (Istilah Fiqh)

Ini adalah makna yang paling popular tetapi paling kecil skopnya. Dalam ilmu Fiqh Jenayah, Hudud merujuk kepada hukuman yang kadarnya telah ditetapkan oleh Allah dalam Al-Qur’an atau Hadis (seperti curi, zina, qazaf, minum arak, dan murtad). Tujuan hukuman ini bukan untuk menyeksa, tetapi sebagai Zajir (pencegah) dan Jawabir (penebus dosa) agar manusia tidak berani melangkaui “Sempadan” yang telah ditetapkan tadi.

 

Allah yang mengharamkan. وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ فَلَا تَنْتَهِكُوهَا

Kalau Allah sahaja yang boleh menetapkan hukum fardhu tadi, maka begitulah dalam hukum haram. Hanya Allah sahaja yang boleh mengharamkan sesuatu. Siapa yang menyangka bahawa dia boleh menghalalkan dan mengharamkan tanpa dalil dari Allah, maka dia telah kufur. Allah SWT memberi amaran keras kepada mereka yang memandai-mandai menetapkan hukum hanya berdasarkan lisan atau logik akal semata-mata di dalam Nahl:116:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ لِّتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لَا يُفْلِحُونَ
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidah kamu secara dusta: ‘Ini halal dan ini haram’, untuk mengada-adakan dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah tidak akan berjaya.”

Allah juga menegur di dalam A’raf:32 akan mereka yang mengharamkan sesuatu yang sebenarnya baik dan telah dihalalkan oleh Allah:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ…
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?’…”

Malangnya ada golongan agama kita yang memandai mengharamkan sesuatu tanpa dalil. Tidak tahulah dari mana mereka dapat keberanian itu, mungkin kerana akal mereka, mungkin kerana diajar oleh tok guru mereka, atau mereka berdasarkan kepada nas yang tidak sahih. Tapi ini amat bahyaa. Kalau ahli agama seperti ustaz yang mengatakan sesuatu itu haram, maka ia mungkin diterima bulat-bulat oleh masyarakat awam yang jahil agama. Mereka tak sangka golongan ustaz boleh tersalah pula, sedangkan golongan ustaz bukannya pandai sangat. Ramai yang ikut sahaja apa yang mereka baca tanpa berfikir.

Terdapat satu kisah menarik melibatkan Adiy bin Hatim R.A (bekas penganut Kristian). Kisah Adiy bin Hatim R.A ini sangat masyhur kerana ia memberikan definisi baharu kepada makna “syirik” dan “ibadah”, iaitu bukan sekadar sujud kepada patung, tetapi juga mengikut hukum manusia yang membelakangi hukum Allah.

عَنْ عَدِيِّ بْنِ حَاتِمٍ قَالَ: أَتَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم وَفِي عُنُقِي صَلِيبٌ مِنْ ذَهَبٍ‏.‏ فَقَالَ: **” يَا عَدِيُّ اطْرَحْ عَنْكَ هَذَا الْوَثَنَ “**‏.‏ وَسَمِعْتُهُ يَقْرَأُ فِي سُورَةِ بَرَاءَةٌ: (اتَّخَذُوا أَحْبَارَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللَّهِ)‏ قَالَ: ” أَمَا إِنَّهُمْ لَمْ يَكُونُوا يَعْبُدُونَهُمْ وَلَكِنَّهُمْ كَانُوا إِذَا أَحَلُّوا لَهُمْ شَيْئًا اسْتَحَلُّوهُ وَإِذَا حَرَّمُوا عَلَيْهِمْ شَيْئًا حَرَّمُوهُ “
Daripada Adiy bin Hatim R.A, beliau berkata: “Aku datang menemui Nabi ﷺ dalam keadaan di leherku ada salib daripada emas. Maka Baginda bersabda: ‘Wahai Adiy! Campakkan berhala itu dari lehermu.’ Dan aku mendengar Baginda membaca ayat dalam Surah Bara’ah (At-Taubah): (Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli agama mereka sebagai tuhan-tuhan selain Allah). Lalu Baginda ﷺ bersabda: ‘Adapun mereka (pengikut) itu tidaklah menyembah mereka (pendeta), akan tetapi (cara penyembahannya ialah) apabila para pendeta itu menghalalkan sesuatu bagi mereka, maka mereka pun ikut menghalalkannya, dan apabila para pendeta itu mengharamkan sesuatu ke atas mereka, maka mereka pun ikut mengharamkannya.'”

Sunan At-Tirmidzi: No. 3095 (Beliau menyatakan hadis ini Gharib); Tafsir Ibnu Kathir: Beliau menukilkan hadis ini ketika menghuraikan ayat 31 Surah At-Taubah dan menilai sanadnya sebagai Hasan.

Kalau kita baca hadis ini, apa bezanya dengan orang kita yang hanya menukilkan kata-kata ustaz mereka yang mengharamkan sesuatu dan menghalalkan sesuatu? Dalil tidak diberikan langsung tapi sekadar kata-kata sahaja. Maka keluarlah hujah-hujah yang melarang mandi ketika puasa, berak ketika puasa kerana takut tahi masuk balik ke lubang asal. Antara alasan mereka, ada dalam kitab. Ini memang kumpulan AADK (Asal Ada Dalam Kitab) yang tidak mahir menggunakan akal yang Allah beri.

Di dalam frasa berkenaan pengharaman digunakan kalimat وَحَرَّمَ أَشْيَاءَ dan bukan وَحَرَّمَ حرومseperti yang digunakan dalam bab fardhu: فَرَضَ فَرَائِضَ. Kalimah أَشْيَاءَ bermaksud beberapa perkara. Dari sini kita dapat tahu bahawa perkara yang diharamkan itu tidak banyak. Ini adalah rahmat dari Allah juga kepada hambaNya.

Tapi, tadi disebut tentang had dan sekarang disebut tentang haram pula? Apa bezanya? Ramai yang menyangka kedua-duanya sama kerana kedua-duanya melibatkan “larangan”, tetapi sebenarnya mereka berada pada dimensi yang berbeza. Secara ringkas: Haram adalah status hukum perbuatan, manakala Had adalah batasan atau hukuman yang ditetapkan Allah. Maksudnya ada benda yang kita boleh buat selagi belum sampai ke hadnya. Apabila sudah melepasi had, barulah ia masuk ke hukum haram. Salah satu maksud Hudud adalah hukuman yang dikenakan kepada manusia yang melanggarnya semasa di dunia lagi. Sedangkan ada banyak benda yang haram, tapi tidak dihukum di dunia, tapi di akhirat.

Para ulama sangat berhati‑hati ketika menyatakan sesuatu itu wajib atau haram. Kerana mengharamkan atau mewajibkan tanpa dalil adalah “berkata atas Allah tanpa ilmu”. Maka haram dan wajib hanya boleh disabitkan dengan dalil pasti daripada Allah dan Rasul-Nya. Hukum haram dan wajib mesti berasaskan nas atau qias yang sahih, bukan sangkaan. Ulama mengelak daripada mewajibkan atau mengharamkan sesuatu jika dalilnya tidak tegas dan jelas. Ini kerana ulama sedar bahawa mereka “mewakili” hukum Allah ketika berfatwa.

Malangnya ada di kalangan ahli agama seperti para ustaz yang rajin memberi ‘hukum’ halal atau haram tanpa periksa, tanpa dalil. Mereka mungkin ikut pemahaman mereka, mungkin ada guru yang beritahu kepada mereka, mungkin mereka ada dengar-dengar tapi tak tahu dari mana. Ini amat malang sekali kerana mengharamkan itu memerlukan dalil. Kalau setakat halal, boleh kira lagi kerana kalau tidak ada dalil larangan, kita kira halal. Akan tetapi kalau hendak kata haram, kena ada dalil. Sebagai contoh, apa hukum wudu’ bagi wanita dalam haidh? Memang tidak payah buat kerana dia ambil wuduk seratus kali pun dia tetap di dalam haidh, tidak terangkat sedikit pun. Akan tetapi adakah ia haram? Ia tidak haram kerana kalau kita hendak kata haram, mesti ada dalil. Kalau tidak ada dalil, maka kita senyapkan sahaja.

Bagaimana pula dengan makruh? Apakah beza dengan haram? Haram merujuk kepada sesuatu yang dilarang oleh syarak dengan tuntutan yang tegas dan pasti. Makruh merujuk kepada sesuatu yang dibenci oleh syarak, tetapi larangannya tidak bersifat tegas atau mutlak. Hukum makruh wujud sebagai “pagar” kepada hukum haram. Para ulama menyebut bahawa: “Sesiapa yang membiasakan diri melakukan perkara makruh, dia akan mudah terjerumus ke dalam perkara haram.” Sebagai contoh, jika seseorang tidak menjaga adab dalam perkara makruh (seperti berlebih-lebihan dalam berhibur yang asalnya makruh/harus), lama-kelamaan dia mungkin akan melanggar batas sehingga terjatuh ke dalam maksiat yang haram.

Sebenarnya Nabi tidak pernah menggunakan istilah ‘makruh’ (dibenci) ini. Bagi para sahabat R.A, apabila Nabi ﷺ melarang sesuatu, mereka tidak bertanya: “Adakah ini haram (berdosa) atau sekadar makruh (dibenci)?” Bagi mereka, “Larangan Nabi = Tinggalkan Segera.” Mereka melihat larangan sebagai satu bentuk didikan Rabbany. Jika Nabi ﷺ tidak suka, mereka juga tidak akan melakukannya. Contoh: Apabila Nabi ﷺ melarang memakai cincin emas bagi lelaki, para sahabat terus mencabut dan membuangnya tanpa bertanya status dosanya. Bagi mereka, keredaan Nabi ﷺ adalah segala-galanya.

Pada zaman awal (zaman Imam Malik, Imam Abu Hanifah, dan sebelumnya), para ulama sangat berhati-hati untuk menggunakan perkataan “Haram”. Mereka sangat takut kepada ayat Al-Qur’an (Nahl:116) yang melarang manusia memandai-mandai mengatakan “Ini halal dan ini haram.” Oleh itu, apabila mereka melihat sesuatu yang dilarang tetapi tiada dalil yang menunjukkan ia berdosa besar, mereka akan menyebut: “Aku memakruhkan (membenci) perkara ini” atau “Ini tidak disukai (la yu’jibuni).” Oleh itu maksud “Makruh” bagi Salaf kebiasaannya bermaksud Haram. Namun, mereka menggunakan bahasa yang lebih lembut kerana sifat tawaduk dan takut kepada Allah.

Apabila Islam berkembang dan kualiti iman masyarakat mula menurun (tidak seperti zaman sahabat), manusia mula mencari “kelonggaran”. Di sinilah para ulama mula menyusun ilmu Usul Fiqh untuk menjelaskan batasan hukum. Ulama kemudiannya (zaman Imam Syafi’i dan seterusnya) membahagikan larangan kepada dua:

Haram: Larangan keras yang ada ancaman dosa.

Makruh: Larangan bersifat didikan yang tidak membawa dosa.

Tujuannya adalah untuk memastikan orang tidak menyamakan dosa minum arak (Haram) dengan “dosa” makan bawang (Makruh). Ia adalah untuk menjaga ketepatan hukum, bukannya untuk memberi lesen kepada umat untuk menjadi “manja” atau ‘songeh’. Ramai orang menggunakan label “Makruh” sebagai alasan untuk menghalalkan perbuatan tersebut. Mereka mula sibuk bertanya: “ustaz.. ini haram ke atau hanya makruh?”. Amat jauh umat sekarang dengan para sahabat dahulu. Mentaliti para sahabat adalah “Wara'” (berhati-hati), manakala mentaliti orang kemudian sering kali adalah “Mencari lubang (Rukhsah)”. Inilah yang menyebabkan kualiti amal umat semakin merosot. Zaman sahabat bukan tidak ada pembahagian hukum, tetapi jiwa mereka tidak memerlukan pembahagian itu. Mereka meninggalkan makruh sama seperti mereka meninggalkan haram. Pembahagian hukum yang kita ada hari ini (Wajib, Sunat, Harus, Makruh, Haram) adalah alat bantu mengajar supaya kita tahu keutamaan, tetapi malangnya ia sering disalahgunakan oleh nafsu untuk meremehkan perkara yang dibenci Allah.

Tentang hukum halal dan haram juga berbeza di dalam mazhab. Ini kerana istinbat hukum mereka tidak sama. Jadi kalau kita tahu lebih sedikit tentang hujah-hujah mereka, kita boleh berlapang dada. Tidaklah kita terus mengatakan sesuatu itu mutlak haram kerana masih ada perbincangan lagi. Contohnya kulit babi. Di dalam mazhab Syafie, kalau binatang itu haram dimakan, penggunaan kulit binatang itu sendiri adalah haram. Malah berjual beli kulit itu pun haram juga walaupun dia tak pakai. Akan tetapi bagi mazhab Malik, tidak haram pakai kulit babi setelah disamak. Ada banyak lagi khilaf ulama’ di dalam hal ini.

Penentuan halal dan haram ini adalah bidang ulama’ lah, bukan bidang kita. Kita tidak akan mampu untuk keluarkan hukum sendiri. Kerana kita tidak faham maksud ayat Al-Qur’an dan hadis. Kerana ada benda yang Nabi tak sebut pun haram, tapi apabila ada ancaman azab atau dikaitkan dengan amalan syaitan, maka itu isyarat ia haram. Ada ketika Nabi ada larang, tapi bukanlah haram mutlak, tapi sebagai adab. Contohnya kencing berdiri. Nabi ada larang, tapi pernah juga para sahabat tengok Nabi kencing berdiri di tempat pembuangan sampah. Jadi kita bergantung kepada pendapat ulama’. Yang penting, jangan kita memandai sendiri.

 

Ada perkara yang Allah diamkan. وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً لَكُمْ غَيْرَ نِسْيَانٍ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Dan ada sebahagian perkara yang Allah diamkan dengan tidak diberikan hukumnya halal atau haram. Dari sini para ulama’ telah mendatang satu kaedah yang amat penting di dalam agama: الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ “Hukum asal bagi sesuatu perkara (selain ibadah) adalah harus.” Ini adalah رَحْمَةً لَكُمْ satu rahmat dari Allah.

Tapi kena ingat yang kaedah ini tidaklah terpakai untuk semua perkara. Para ulama membahagikannya kepada dua bahagian utama:

1. Dalam Urusan Dunia (Adat, Makanan, Muamalat): Hukum asalnya adalah HARUS. Anda boleh makan apa sahaja, pakai apa sahaja, dan buat apa sahaja teknologi atau perniagaan baru selagi tiada dalil yang melarangnya. Contoh: Mencipta aplikasi media sosial. Tiada dalil melarangnya, maka ia harus.

2. Dalam Urusan Ibadah (Solat, Puasa, Haji): Hukum asalnya adalah HARAM/TERHENTI (Tawaqquf). Anda tidak boleh reka ibadah baru. Sesuatu ibadah hanya boleh dibuat jika ada dalil yang menyuruhnya. Ini yang ramai orang awam termasuk ustaz pun tidak faham. Contoh: Solat Subuh 3 rakaat. Walaupun nampak “baik”, ia haram kerana tiada dalil. Jadi para ustaz yang menerima ibadah yang baru, mereka ini sebenarnya jahil sebenarnya. Kerana itu kita katakan bahawa bukan semua ustaz kita boleh dengar kata-kata mereka.

Kemudian Rasulullah sambung: فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا (maka janganlah engkau membahasnya). Maksudnya, jangan sibuk tanyalah kalau Allah telah diamkan. Rasulullah kata غَيْرَ نِسْيَانٍ (bukan kerana terlupa) iaitu Allah tidak berikan hukum itu bukanlah kerana Allah lupa sampai tertinggal hendak fikir, hendak beritahu. Takkan kamu lagi pandai dari Allah kot-kot Allah terlupa, jadi baik aku tanya…. Sebab itulah pada zaman Nabi SAW, antara perkara yang paling buruk sekali ialah orang yang sibuk bertanya hal sampai menjadikan perkara itu haram. Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas R.A, Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ أَعْظَمَ الْمُسْلِمِينَ جُرْمًا مَنْ سَأَلَ عَنْ شَيْءٍ لَمْ يُحَرَّمْ، فَحُرِّمَ مِنْ أَجْلِ مَسْأَلَتِهِ
“Sesungguhnya orang Muslim yang paling besar jenayahnya (dosanya) terhadap kaum Muslimin yang lain ialah orang yang bertanya tentang sesuatu perkara yang tidak diharamkan, lalu perkara itu menjadi haram disebabkan pertanyaannya itu.”

(Sahih al-Bukhari: 7289 | Sahih Muslim: 2358)

Nabi ﷺ menggunakan perkataan “جُرْمًا” (Jenayah/Dosa Besar) kerana:

  1. Menyusahkan Orang Lain: Sesuatu yang asalnya luas dan rahmat (halal), menjadi sempit dan beban (haram) kepada seluruh umat hanya kerana sifat ingin tahu seorang individu yang melampau.
  2. Sifat Bani Israil: Nabi ﷺ bimbang umat Islam mencontohi kaum Nabi Musa yang banyak bertanya tentang lembu betina (Baqarah) sehingga syaratnya menjadi sangat rumit, sedangkan pada asalnya mereka hanya diminta menyembelih “seekor lembu” sahaja.

Di dalam hadis yang lain,

ذَرُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ، فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِكَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلَافِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ، فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ، وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ
“Biarkanlah apa yang aku tinggalkan untuk kamu (janganlah kamu bertanya tentang apa yang aku tidak sebutkan). Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu binasa hanyalah kerana banyaknya pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka. Maka apabila aku melarang kamu daripada sesuatu, maka jauhilah ia. Dan apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu perkara, maka lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu.”

Sahih al-Bukhari: No. 7288;  Sahih Muslim: No. 1337 

Kisah di sebalik hadis ini sangat menarik untuk kita hayati. Ia berlaku ketika Nabi ﷺ sedang berkhutbah tentang kewajipan Haji:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: ” يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ الْحَجَّ فَحُجُّوا “‏.‏ فَقَالَ رَجُلٌ: أَكُلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلاَثًا، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: ” لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ “‏.‏ ثُمَّ قَالَ: ” ذَرُونِي مَا تَرَكْتُكُمْ فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِكَثْرَةِ سُؤَالِهِمْ وَاخْتِلافِهِمْ عَلَى أَنْبِيَائِهِمْ فَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِشَيْءٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ وَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَدَعُوهُ “
Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata: Rasulullah ﷺ berkhutbah kepada kami, Baginda bersabda: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas kamu ibadah Haji, maka tunaikanlah Haji.” Lalu seorang lelaki (Al-Aqra’ bin Habis) bertanya: “Adakah pada setiap tahun, wahai Rasulullah?” Rasulullah ﷺ diam (tidak menjawab) sehingga lelaki itu mengulangi pertanyaannya sebanyak tiga kali. Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: “Sekiranya aku katakan ‘Ya’, nescaya ia akan menjadi wajib (setiap tahun), dan pasti kamu tidak akan mampu melaksanakannya.” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Biarkanlah apa yang aku tinggalkan untuk kamu (jangan tanya yang tidak perlu). Sesungguhnya binasanya orang-orang sebelum kamu adalah kerana banyaknya pertanyaan mereka dan perselisihan mereka terhadap Nabi-nabi mereka. Maka apabila aku memerintahkan kamu dengan sesuatu perkara, lakukanlah ia mengikut kemampuan kamu, dan apabila aku melarang kamu daripada sesuatu, maka tinggalkanlah ia.”

Sahih Muslim: Kitab al-Hajj, No. 1337.

Nabi marah apabila sahabat itu bertanya soalan itu. Kalau Allah kata kena buat Haji tiap-tiap tahun macam mana? Jadi ini adalah soalan yang amat bahaya dan boleh menyusahkan umat Islam. Bayangkan sekarang ada kuota pun padat habis di Mekah itu, bayangkan kalau setiap orang kena buat Haji setiap tahun? Kerana itu pada zaman Nabi baginda sangat melarang tanya para sahabat bertanyakan soalan-soalan.  Dan para sahabat jarang bertanya sampaikan kita hanya jumpa 12 kali sahaja soalan para sahabat yang dijawab di dalam Al-Qur’an. Jadi mereka amat suka kalau ada orang Arab Badwi yang datang bertanya kerana mereka dapat tahu ilmu baru. Daripada Anas bin Malik R.A, beliau menceritakan keadaan para sahabat di Madinah:

نُهِينَا أَنْ نَسْأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ شَيْءٍ، فَكَانَ يُعْجِبُنَا أَنْ يَجِيءَ الرَّجُلُ مِنْ أَهْلِ الْبَدْوِ الْعَاقِلُ فَيَسْأَلَهُ وَنَحْنُ نَسْمَعُ
“Kami (para sahabat) telah dilarang daripada bertanya sesuatu kepada Rasulullah ﷺ. Oleh itu, kami sangat merasa kagum (seronok/suka) apabila datangnya seorang lelaki Badwi (orang kampung) yang cerdik, lalu dia bertanya kepada Nabi ﷺ sedangkan kami (para sahabat lain) hanya mendengar sahaja (jawapan Nabi).”

(Sahih Muslim, No. 12 | Sahih al-Bukhari, No. 63)

Orang Badwi (penduduk padang pasir) biasanya dimaafkan jika mereka kurang adab atau banyak bertanya kerana mereka jauh daripada pusat ilmu dan tidak tahu tentang larangan tersebut. Nabi ﷺ pula sangat menyantuni mereka dan jarang memarahi mereka. Para sahabat di Madinah (Muhajirin & Ansar) mengambil kesempatan ini untuk menumpang dengar ilmu-ilmu baru atau hukum-hakam yang mereka sendiri segan untuk tanyakan. Tapi kalau sahabat tanya soalan-soalan macam itu, Nabi marah. Kenapa? Sebab takut nanti akan diwajibkan oleh Allah disebabkan pertanyaan itu.

Penting untuk difahami bahawa larangan bertanya ini berlaku ketika wahyu masih turun. Jika seseorang bertanya tentang perkara yang “kelabu” (samar-samar) secara berlebih-lebihan, Allah boleh menurunkan wahyu untuk mengharamkannya sebagai hukuman atau ketetapan. Ada pun selepas kewafatan Nabi ﷺ (wahyu terputus), hukum tidak lagi berubah daripada halal kepada haram melalui pertanyaan. Jadi tidak ada lagi ketakutan akan diharamkan sesuatu perkara kerana pertanyaan kita. Maka sekarang ini tanyalah soalan untuk dapat ilmu kerana tiada masalah untuk bertanya soalan.

Jadi kadang-kadang diamnya syarak itu adalah faedah bagi kita, bukan? Jikalau sesuatu perkara itu tak ada dalil  yang mengharamkan, maka terimalah ia sebagai halal. Hukum makan petai, halal. Hukum makan jering, halal. Hukum makan durian, halal. Jangan pula kita pula yang haramkan ia. Kalau hendak pergi solat, maka makan durian dengan bau yang busuk-busuk itu makruh. Tapi kalau tak pergi solat, makanlah petai.

Rasulullah kata غَيْرَ نِسْيَانٍ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا (bukannya lupa, maka janganlah engkau membahasnya) sebab Allah takkan lupa. Maka jangan kamu bahaskannya, korek-korek ia. Maksudnya, contohnya kalau ada orang beri air dan nampak air itu nampak bersih, maka ia halal. Jangan pula tanya macam mana dia ni, dia ni sembahyang ke tak sembahyang. Begitu juga kalau bab makanan. Kalau kita tengok dia seorang Muslim, kita beri salam dan dia jawab, maka jangan tanya lebih-lebih. Tak diperintahkan kita untuk bertanya, dia solat ke tak solat. Ini teguran kepada orang yang pernah kata, kalau di Pasar Ramadhan itu jangan beli dari orang yang tak tutup aurat, sebab ada masalah dengan makanan dia. Ini mengarut dan ghuluw dalam buat keputusan.

Bayangkan orang Yahudi bagi makan pun Nabi makan, apatah lagi orang Islam  yang masak makanan itu.  Makanlah dengan tenang dan jangan tanya banyak. Melainkan ada qarinah (petunjuk-petunjuk). Contohnya kita pergi ke kedai makan tapi nampak pekedai itu macam pakai tudung tapi ada kemungkinan kedai itu bukan kedai orang Islam. Tulis dekat depan pula ‘No pork, no lard’. Maka ini ada qarinah, dan kalau ada qarinah macam ini, kita boleh ragui. Kan? Kadang kita pergi ke kedai mamak tapi ada tanda dia bukan mamak tapi Hindu. Kita bagi salam pun dia tak jawab.

Pernas sekali Umar al-Khattab r.a bermusafir dengan para sahabat yang lain. Mereka sampai kepada air tapi mereka tanya lebih-lebih pula. Umar tegur mereka.

عَنْ يَحْيَى بْنِ سَعِيدٍ، أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ خَرَجَ فِي رَكْبٍ فِيهِمْ عَمْرُو بْنُ الْعَاصِ، حَتَّى وَرَدُوا حَوْضًا، فَقَالَ عَمْرُو بْنُ الْعَاصِ لِصَاحِبِ الْحَوْضِ: يَا صَاحِبَ الْحَوْضِ، هَلْ تَرِدُ حَوْضَكَ السِّبَاعُ؟ فَقَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ: يَا صَاحِبَ الْحَوْضِ، لاَ تُخْبِرْنَا، فَإِنَّا نَرِدُ عَلَى السِّبَاعِ وَتَرِدُ عَلَيْنَا.
Daripada Yahya bin Said, sesungguhnya Umar bin al-Khattab R.A keluar dalam satu rombongan yang di dalamnya ada Amru bin al-Aas R.A, sehingga mereka sampai ke sebuah kolam (takungan air). Lalu Amru bin al-Aas bertanya kepada pemilik kolam tersebut: “Wahai pemilik kolam, adakah binatang-binatang buas mendatangi (minum di) kolammu ini?” Maka Umar bin al-Khattab segera berkata: “Wahai pemilik kolam, janganlah engkau beritahu kami! Kerana sesungguhnya kami mendatangi binatang buas (minum di sumber air mereka) dan binatang buas mendatangi kami (minum di sumber air kami).”

Al-Muwatta’ (Imam Malik): Kitab al-Thaharah, Hadis No. 13; Sunan al-Daraqutni: No. 81; Al-Sunan al-Kubra (Imam al-Baihaqi): Jilid 1, No. 248.

Lihatlah bagaimana Umar al-Khattab yang faham tentang agama. Beliau kata kata jangan tanya soalan tersebut. Jangan takalluf (membebankan diri). Kalau nampak air tu bersih, selesai jangan fikir-fikir lagi. Kalau tidak faham perkara inilah yang menyebabkan ramai orang kita yang ada penyakit was-was. Mereka itu kerana tidak faham agama telah menyusahkan diri dengan memikirkan benda yang tidak diberatkan oleh nas. Konon macam hebat sangat agaknya, warak sangat rasanya.

Kalau zaman sekarang, jangan melakukan Tanaṭṭu’ (التنطع) atau Ta’ammuq (التعمق).

1. Al-Mutanaṭṭi’ūn (المتنطعون). Inilah istilah yang paling kuat digunakan oleh Nabi ﷺ. Maksudnya orang yang melampau-lampau, terlalu mendalam, atau menyusah-nyusahkan diri dalam perkataan dan perbuatan. Rasulullah ﷺ bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ رضي الله عنه قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: “هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ” قَالَهَا ثَلاثًا
Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: “Binasalah orang-orang yang melampau-lampau (menyusah-nyusahkan diri).” Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali.

Sahih Muslim: No. 2670; Sunan Abi Dawud: No. 4608; Musnad Ahmad: No. 3655; Riyadhus Shalihin (Imam an-Nawawi): Hadis No. 144.

Imam an-Nawawi dalam syarahnya menjelaskan bahawa golongan yang binasa ini ialah:

  • Mereka yang melampaui batas dalam perkataan dan perbuatan.
  • Mereka yang terlalu mendalam (at-ta’ammuq) dalam mencari perincian hukum yang tidak dituntut sehingga mendatangkan kesulitan.
  • Mereka yang bersikap was-was yang keterlaluan dalam ibadah (seperti mengambil wuduk berkali-kali secara berlebihan).

2. Al-Ta’ammuq (التعمق). Secara harfiah bermaksud “menyelam ke lubuk yang paling dalam”. Digunakan untuk orang yang tidak berpada dengan hukum yang zahir dan jelas, tetapi cuba menggali perkara-perkara yang tersembunyi (ghayb) atau yang tidak dituntut sehingga menimbulkan was-was. Rasulullah bersabda,

إِنَّ هَذَا الدِّينَ مَتِينٌ، فَأَوْغِلُوا فِيهِ بِرِفْقٍ، وَلَا تُبَغِّضْ إِلَى نَفْسِكَ عِبَادَةَ اللَّهِ، فَإِنَّ الْمُنْبَتَّ لَا أَرْضًا قَطَعَ وَلَا ظَهْرًا أَبْقَى
“Sesungguhnya agama ini (Islam) adalah kukuh (teguh), maka masukilah (dalamilah) ia dengan lemah-lembut (beransur-ansur). Janganlah engkau menjadikan dirimu benci kepada ibadah kepada Allah. Kerana sesungguhnya orang yang melampaui batas (terlalu memacu tunggangannya) tidak akan sampai ke destinasi yang dituju, dan dia juga akan menyebabkan tunggangannya (haiwan) terkorban (binasa).”

Musnad Ahmad: Jilid 3, No. 13033; Al-Sunan al-Kubra (Imam al-Baihaqi): Jilid 3, No. 4686.

Nota: Sebahagian ulama menilai sanad hadis ini sebagai dhaif (lemah), namun maknanya diakui Sahih dan disokong oleh hadis muttafaq ‘alaih yang lain. Hadis yang menyokong:

إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ، وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ، فَسَدِّدُوا وَقَرِبُوا وَأَبْشِرُوا
“Sesungguhnya agama itu mudah. Tidak ada seorang pun yang cuba melawan (melebih-lebihkan) agama ini melainkan dia akan tewas (tersungkur). Maka bersederhanalah, lakukanlah yang terbaik mengikut kemampuan, dan berilah khabar gembira.”

Sahih al-Bukhari (No. 39)

3. Al-Takalluf (التكلف)

Ini adalah perbuatan membebankan diri dengan perkara yang tidak diperintahkan.

Isu Keju Parsi (Majusi) merupakan perdebatan besar pada zaman awal Islam kerana ia melibatkan hukum makanan yang dihasilkan oleh orang bukan ahli kitab. Apabila tentera Islam menakluk wilayah Parsi (Iraq dan Iran sekarang), mereka menjumpai Keju (Al-Jubun). Isu timbul kerana keju dibuat menggunakan rennet (infahah) iaitu enzim dari perut anak kambing/lembu. Orang Parsi pada waktu itu adalah Majusi (penyembah api), bukan Ahli Kitab. Sembelihan Majusi adalah Haram mengikut ijma’ ulama. Persoalannya: Jika rennet itu diambil daripada bangkai (kerana sembelihan Majusi dikira bangkai), adakah keju itu menjadi haram?

Para sahabat yang berada di barisan hadapan seperti Salman al-Farisi R.A (yang berasal dari Parsi) ditanya tentang keju, lemak, dan bulu binatang Majusi. Beliau memberikan jawapan yang sangat tenang dan berpegang pada kaedah asal:

“Halal itu adalah apa yang Allah halalkan dalam Kitab-Nya, dan Haram itu adalah apa yang Allah haramkan dalam Kitab-Nya. Manakala apa yang Dia diamkan, maka ia adalah perkara yang dimaafkan (dihalalkan) bagi kamu.”
(Riwayat At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Diriwayatkan bahawa Umar R.A pernah dibawa kepada beliau keju dari Parsi. Ada orang yang ragu-ragu dan berkata: “Wahai Amirul Mukminin, keju ini dibuat menggunakan rennet daripada sembelihan Majusi (bangkai).” Umar R.A menjawab dengan satu kaedah yang sangat praktikal:

“Sebutlah nama Allah (Bismillah) dan makanlah ia.”

Umar tidak mahu “Ta’ammuq” atau menggali-gali siapa yang menyembelih kambing itu, bagaimana ia disembelih, atau adakah rennet itu najis. Beliau berpegang bahawa keju adalah makanan yang asalnya suci dan keraguan tentang prosesnya tidak boleh mengalahkan keyakinan bahawa ia adalah makanan.

Ulama (terutamanya Mazhab Hanafi dan satu riwayat dari Ahmad) menjelaskan logik para sahabat:

  • Rennet bukan nyawa: Enzim dalam perut itu tidak “hidup” seperti daging, maka ia tidak tertakluk kepada hukum bangkai secara mutlak.
  • Menjauhi Kesusahan (Taysir): Jika setiap keju perlu disiasat susur-galur kambingnya, umat Islam akan mengalami kesulitan yang melampau (Haraj).
  • Hukum Zahir: Selagi keju itu nampak bersih dan tiada bau najis yang nyata, ia kekal sebagai makanan.

Maka dalam banyak hal jangan tanya lebih-lebih. Sebab kalau bertanya akan menjadikan hidup kita tak tenteram. Bulu binatang, sama juga iaitu bulu binatang yang datang daripada negeri-negeri kafir. Kita pun tak tahu binatang itu disembelih elok ke tak elok. Kita boleh sahaja pakai, jangan tanya, pakai dan habis cerita. Kalau kita sendiri tak mahu pakai, ikut kitalah tapi jangan larang orang lain untuk menggunakannya.

Kita lihat pula contoh Saidina Abu Ubaidah bin al-Jarrah R.A, ketika beliau menjadi Panglima Besar tentera Islam di wilayah Syam (Syria, Jordan, Palestin) pada zaman Khalifah Umar bin al-Khattab. Kisah ini sangat penting kerana ia menunjukkan bagaimana para sahabat mengaplikasikan hukum Ahli Kitab dalam situasi peperangan dan pembukaan wilayah baharu. Apabila tentera Islam membuka wilayah Syam, para tentera menjumpai banyak makanan dan sembelihan daripada penduduk setempat yang beragama Kristian (Nasrani). Sebahagian tentera merasa ragu-ragu untuk memakannya. Lalu Abu Ubaidah bin al-Jarrah R.A menulis surat atau memberikan arahan secara lisan yang bermaksud:

“Makanlah apa yang disembelih oleh Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) dan janganlah kamu bertanya (tentang cara sembelihannya secara berlebih-lebihan).”

Beliau berpegang teguh kepada firman Allah dalam Ma’idah:5:

وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ حِلٌّ لَّكُمْ
Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu

Kita tidak diberatkan untuk tengok bagaimana cara mereka sembelih, apa nama mereka sebut ketika mereka sembelih itu. Sebab kalau tanya juga, maka akan bercampurlah halal dan haram dan kita akan jadi keliru dan hidup susah.

Orang yang ada masalah selalu bertanya berlebihan dan terlalu mendalam adalah orang yang ada penyakit was-was. Mereka ini jadi begini kerana kurang ilmu agama. Kasihan kepada mereka kerana teruk hidup mereka ini. Contohnya dia sudah basuh air kencing dia. Kemudian dia terfikir dan tanya: air kencing setitik yang keluar selepas dia basuh, adakah dikira sebagai najis dan dia kena basuh balik dan ambil wuduk balik? Ini jadi masalah kalau hanya kerana air kencing setitik itu menyebabkan dia kena basuh balik dan kena ambil wuduk berkali-kali. Mereka ini boleh basuh zakar sampai pucat zakat dia tu. Kalau orang fikir-fikir benda begini, apa akan jadi? Akhirnya, bercantum halal dengan halal. Air kencing apabila kita kencing, bukan semua keluar, ada juga dalam badan. Dan mungkin akan keluar apabila kita berjalan dan bergerak. Kalau dia nak fikir sebegitu punya teruk, sampai bila-bila dia tak suci! Jadilah susah hidup dan jadi sebagaimana sebahagian orang yang dia dah tak sembahyang. Kita ajak dia sembahyang, dia kata dia tak sembahyang sebab pakaian dia tak bersih, dia kata. Kemudian dia boleh pula pergi hentam orang yang sembahyang! Dia kata orang lain solat dengan pakaian ada najis. Sudahlah dia tak sembahyang, orang lain pun dia hentam sekali. Jadi, benda-benda begini jangan tanyalah, ibadat ini Allah telah memudahkan dan tidak susahkan.

Benda yang tak perlu tahu, tak payahlah tanya. Sebab itulah sebahagian ulama’ tak buat fatwa benda yang tak wujud lagi. Ini dipanggil Fatwa Iftiradi (الفتاوى الافتراضية) berasal daripada perkataan Arab ‘Iftiradh’ yang bermaksud “andaian”, “rekaan”, atau “hipotesis”. Iftiradi adalah perkara-perkara akan datang tidak berlaku lagi. Mazhab Hanafi, dan sebahagian ulama’ ada buat.  Tapi Mazhab Ahlul Hadith, Mazhab Maliki dan Syafi’i, Imam Ahmad dan banyak lagi, kalau benda itu tak wujud, tak ada fatwa. Imam Malik cukup marah orang bertanya hukum perkara yang belum wujud. Contohnya kalau bertanya bagaimana hendak solat di bulan, padahal belum tentu akan duduk di bulan lagi. Maka kalau benda tak berlaku lagi, jangan tanya. Allah tak tulis, tak ada dalam Al-Qur’an, tak ada dalam Sunnah, kita tinggalkan. Jangan sibuk-sibuk mencari sebaliknya belajar apa yang ada dalam Nas, itu memandai bagi kita.

 

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi
Dhaif
Hadis yang lemah dari sudut periwayatan (sanad) dan tidak mencapai tahap sahih atau hasan.
Inqita’
Keterputusan dalam rantaian perawi hadis (sanad).
Matan
Teks atau kandungan sabda Nabi ﷺ yang terdapat dalam sesebuah hadis.
Mauquf
Kata-kata atau perbuatan yang disandarkan kepada sahabat Nabi, bukannya secara langsung kepada Nabi ﷺ.
Hudud
Sempadan atau batasan yang ditetapkan oleh Allah; juga merujuk kepada hukuman jenayah tertentu dalam Fiqh.
Nazar
Janji untuk melakukan sesuatu ibadah sunat dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah, yang menjadikannya wajib dilaksanakan.
Irsal
Perbuatan perawi (biasanya Tabi’in) yang menggugurkan nama sahabat dan terus menyandarkan hadis kepada Nabi ﷺ.
Makruh
Sesuatu yang dibenci oleh syarak tetapi tidak dilarang secara tegas; melakukan perkara ini tidak berdosa tetapi meninggalkannya mendapat pahala.
Tawaqquf
Sikap “berhenti” atau tidak melakukan sesuatu ibadah sehingga ditemui dalil yang sahih mengenainya.
Takalluf
Perbuatan membebankan diri sendiri dengan perkara yang tidak diperintahkan atau tidak dituntut oleh agama.
Fatwa Iftiradi
Fatwa atau hukum yang dikeluarkan berdasarkan andaian atau hipotesis terhadap perkara yang belum berlaku.
Rennet (Infahah)
Enzim daripada perut haiwan yang digunakan dalam proses pembuatan keju.
Qarinah
Petunjuk-petunjuk atau tanda-tanda yang boleh dijadikan asas dalam membuat sesuatu pertimbangan atau keputusan.
Zajir & Jawabir
Fungsi hukuman dalam Islam; sebagai pencegah (Zajir) agar orang lain tidak melakukan kesalahan, dan penebus dosa (Jawabir) bagi pelaku.

 

Kemaskini: 8 Mac 2026


Rujukan:

Ustaz Abu Asma’ (Yayasan Ta’lim)

Ustaz Dr. Salman Ali

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment