3. Dua lagi pilihan adalah jikalau kita mengambil kira bacaan كُذِّبُوا. Oleh itu satu lagi tafsiran adalah: mereka (para Rasul) hampir yakin yang mereka dikatakan sebagai penipu oleh orang-orang kafir. Para Rasul itu telah lama berdakwah akan tetapi mereka yang kafir itu tidak nampak kebenaran yang disampaikan oleh para Rasul itu. Sampaikan para Rasul itu sudah hampir putus asa kerana tidak nampak orang-orang kafir itu akan berubah.
4. Pendapat ini pula menisbahkan mereka itu bukanlah orang kafir, tapi orang beriman. Iaitu para pengikut Rasul yang telah beriman! Para Rasul itu takut orang-orang beriman pun sudah mula ada anggapan yang para Rasul itu menipu! Ini kerana keadaan sudah menjadi sangat teruk sampaikan para Rasul pun takut. Takut apa? Takut pengikut dan orang beriman pun rasa lelah sampai sudah tidak tetap lagi iman mereka, sampai mengatakan para Rasul itu sebagai penipu!
Begitulah kepayahan hidup boleh menggugat iman seseorang. Jangan kita anggap ia perkara kecil. Kalau iman tidak cukup kuat, boleh goyah jadinya. Kerana syaitan akan ambil peluang kesusahan hidup itu sebagai punca untuk mencalar iman manusia. Kita mungkin rasa kita sudah beriman, tapi bagaimana kalau hidup kita sudah sangat payah? Adakah kita pasti iman kita tidak tergadai? Begitulah yang terjadi pada golongan munafik zaman Nabi. Ia mula timbul apabila keadaan menjadi teruk sangat. Mereka tidak mahu kepayahan. Mereka sangka mereka akan senang kalau masuk Islam dan mereka tidak sangka mereka akan diuji, mereka kena berjihad dan sebagainya.
Bukan orang munafik sahaja yang rasa tertekan. Malah kalau orang yang memang ikhlas iman mereka pun akan rasa tertekan dengan dugaan yang bertimpa-timpa. Begitulah yang dialami oleh para sahabat ketika di Mekah sampaikan mereka mengadu kepada Rasulullah,
عَنْ خَبَّابِ بْنِ الأَرَتِّ، قَالَ شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ، قُلْنَا لَهُ أَلاَ تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلاَ تَدْعُو اللَّهَ لَنَا. قَالَ: ” كَانَ الرَّجُلُ فِيمَنْ قَبْلَكُمْ يُحْفَرُ لَهُ فِي الأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهِ، فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَتَيْنِ، مَا يَصْرِفُهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ مِنْ عَظْمٍ أَوْ عَصَبٍ، مَا يَصْرِفُهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ هَذَا الأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ، لاَ يَخَافُ إِلاَّ اللَّهَ أَوِ الذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ، وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ “
Daripada Khabbab bin al-Arat R.A, beliau berkata: “Kami mengadu kepada Rasulullah ﷺ ketika baginda sedang berbantalkan kain burdah (sejenis kain selimut/pakaian luar) miliknya di bawah naungan Kaabah. Kami berkata kepada Baginda: ‘Tidakkah engkau memohon pertolongan untuk kami? Tidakkah engkau berdoa kepada Allah untuk kami?’ Baginda ﷺ bersabda: “Sesungguhnya pernah terjadi kepada orang-orang sebelum kamu; seorang lelaki ditangkap lalu digalikan lubang di tanah dan dia dimasukkan ke dalamnya. Kemudian dibawakan gergaji lalu diletakkan di atas kepalanya, maka kepalanya itu dibelah dua, namun seksaan itu tidak memalingkannya daripada agamanya. Dan ada pula yang disikat dengan sikat besi sehingga menembusi dagingnya hingga ke tulang atau urat, namun itu juga tidak memalingkannya daripada agamanya. Demi Allah! Urusan (agama) ini akan sempurna sehingga seorang pengembara mampu berjalan dari San’a (Yaman) ke Hadramaut tanpa merasa takut kepada sesiapa melainkan kepada Allah, atau (takut) serigala menerkam kambingnya. Akan tetapi, kamu semua adalah kaum yang terburu-buru.”
(Riwayat al-Bukhari, No. 3612)
Kenapa para Rasul itu takut dan hampir putus asa? Kenapa mereka takut para pengikut pun berubah hati? Kerana mereka pun tidak tahu apa di dalam hati manusia lain, walaupun mereka itu telah beriman. Ini mengajar kita sekali lagi yang para Rasul juga tidak tahu apa yang di dalam hati manusia. Para Nabi dan Rasul itu ada pembantu, ada sahabat, ada pengikut. Akan tetapi mereka tetap manusia; maka mereka tidak tahu siapakah yang sebenar-benar beriman.
Tadi kita telah sebutkan yang kalimah ظنّ mempunyai berbagai maksud. Ia berubah-ubah mengikut keadaan. Sekarang kita boleh kaitkan dengan beberapa pendapat yang kita telah berikan.
-
- Sangkaan atau tekaan kerana tekanan ujian. Ini kerana para Rasul tidak tahu hati pengikut mereka. Mereka ada sangkaan sahaja.
- Keyakinan (dalam qirā’ah tasydid). Para Rasul itu yakin yang orang-orang kafir menyangka mereka menipu.
- sangkaan kaum bahawa rasul berdusta. Ini adalah setakat sangkaan sahaja, kerana orang-orang kafir itu tidak ada keyakinan.
جاءَهُم نَصرُنا فَنُجِّيَ مَن نَشاءُ
datanglah kepada para rasul itu pertolongan Kami, lalu diselamatkan orang-orang yang Kami kehendaki.
Ketika mereka dalam rasa putus asa itulah, datang نَصرُ (bantuan yang besar) dari Allah ﷻ kerana kalimah نَصرُ bukan bermaksud bantuan yang kecil-kecil tetapi bantuan yang besar. Dan penggunaan kalimah نَصرُ ini khusus apabila ia digunakan untuk bantuan ketika menentang musuh. Dengan bantuan Allah ﷻ itu, diselamatkan sesiapa yang Allah ﷻ kehendaki.
Menarik apabila kalimah جاءَ (datang) yang Allah gunakan. Seolah-olah bantuan itu sudah ada pun, tunggu untuk datang sahaja. Mudah sahaja Allah hendak beri kemenangan dan kejayaan kepada orang beriman, tapi kenapa Allah simpan dahulu bantuan yang sudah ada itu? Ini kita akan terangkan sebentar nanti.
Yang menarik tentang frasa ini adalah kalimah نَشاءُ (Kami kehendaki) yang digunakan. Ia di dalam bentuk mudhari’ (present tense). Kita sangka Allah bercakap tentang sejarah, tentang umat-umat sebelum ini yang menerima ujian, dan Allah beri bantuan kepada mereka. Kalau itu sahaja, maka ia seharusnya di dalam bentuk madhi’ (past tense). Tapi apabila Allah menggunakan kalimah نَشاءُ di dalam bentuk semasa, maka ia memberi berita baik yang Allah dahulu Dia bantu, sekarang dan di masa hadapan pun Allah akan bantu sesiapa yang Dia kehendaki; bukan dahulu sahaja.
Dan perhatikan siapakah yang dibantu dan diselamatkan? Allah beritahu di sini: مَن نَشاءُ (sesiapa yang Kami kehendaki) iaitu yang Allah pilih. Allah tidak kata pula Dia akan menyelamatkan para Rasul dan sahabat baginda, akan tetapi Allah kata: مَن نَشاءُ. Ini kerana hanya Allah sahaja yang tahu siapa yang patut diselamatkan, kita sebagai manusia tidak tahu. Mungkin ada orang yang nampak seperti beriman, tapi sebenarnya munafik, maka dia tidak layak diselamatkan. Mungkin pula ada orang yang nampak tidak beriman, tapi dia sebenarnya beriman dengan sembunyi dan rahsia (mungkin takut ahli keluarganya tahu) maka kerana imannya itu, dia diselamatkan. Siapa yang tahu mereka itu? Hanya Allah sahaja yang tahu.
Kerana itu kita perhatikan di dalam sejarah, ada penentang Rasulullah yang keras seperti Khalid al-Walid dan Abu Sufyan yang menjadi tonggak utama puak kafir Mekah. Akan tetapi mereka akhirnya telah beriman dan menjadi tonggak pula kepada Rasulullah dan agama Islam! Siapa sangka orang yang kuat menentang Islam, akhirnya menjadi pendukung Islam pula! Allah sahaja yang tahu dan Allah pilih mereka kerana Allah tahu mereka itu layak diselamatkan.
Ayat ini diturunkan di Mekah dan ketika itu ada yang beriman dan ada yang tidak. Dalam kalangan yang beriman pula, ada yang menzahirkan iman mereka dan ada yang menyembunyikannya. Mungkin mereka orang yang lemah, mungkin mereka tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan keluarga mereka, maka mereka memilih untuk merahsiakan iman mereka. Mana kita tahu yang ada orang Mekah yang beriman tapi menyembunyikan iman mereka? Dalilnya terdapat di dalam Fath:25
…وَلَوْلَا رِجَالٌ مُّؤْمِنُونَ وَنِسَاءٌ مُّؤْمِنَاتٌ لَّمْ تَعْلَمُوهُمْ أَن تَطَئُوهُمْ فَتُصِيبَكُم مِّنْهُم مَّعَرَّةٌ بِغَيْرِ عِلْمٍ ۖ لِّيُدْخِلَ اللَّهُ فِي رَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ…
“…Dan kalaulah tidak kerana adanya lelaki-lelaki yang beriman dan perempuan-perempuan yang beriman (di Mekah) yang kamu tidak mengetahuinya, supaya kamu tidak memijak (menyerang) mereka lalu kamu ditimpa kesusahan/dosa (kerana membunuh mereka) tanpa pengetahuan kamu… (Allah menahan kamu daripada menyerang) supaya Allah memasukkan sesiapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya…”
Ayat ini tentang peristiwa Hudaibiyah ketika umat Islam datang ke Mekah untuk menunaikan Umrah. Hampir terjadi peperangan ketika umat Islam ketika itu sudah bersedia untuk berperang dengan Musyrikin Mekah tetapi Allah tidak benarkan. Kerana kalau terjadi, ada kemungkinan orang beriman di Mekah dan menyembunyikan keimanan mereka, akan dibunuh oleh umat Islam Madinah sendiri tanpa mengenali mereka. Allah mahu selamatkan mereka.
Akhir sekali, perhatikan sekarang bilakah Allah beri bantuan kepada para Rasul itu? Adakah dari mula? Kita tahu Nabi Yusuf telah diberi bantuan oleh Allah, tapi bila? Adakah ketika baginda di dalam telaga? Adakah ketika baginda dijual sebagai hamba dan terpaksa bekerja di rumah Al-Aziz? Adakah ketika baginda meringkuk di dalam penjara? Tidak, bukan? Allah tidak terus beri bantuan kepada baginda.
Bagaimana pula dengan Nabi Muhammad? Bilakah kejayaan yang Allah berikan kepada baginda? Baginda berdakwah selama 13 tahun di Mekah, adakah baginda dikira berjaya? Tidak. Bagaimana pula setelah baginda berhijrah ke Madinah? Adakah itu kejayaan? Belum lagi. Malah setelah beberapa tahun di Madinah, Allah hanya kata bantuan itu ‘dekat’ sahaja seperti disebut di dalam Baqarah:214
أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).
Bilakah kejayaan itu diberi kepada baginda dan umat Islam? Setelah 8 tahun berlalu di Madinah, bukan? Ketika Pembukaan Mekah, barulah Allah kata kejayaan telah diberikan. Barulah Allah kata di dalam Nasr:1
إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan,
13 tahun + 8 = 21 tahun barulah Allah berikan kejayaan kepada baginda. Dan begitu juga dengan para Rasul yang lain. Kita belajar di sini Nabi Yusuf dapat kejayaan entah 40 tahun rasanya setelah diuji oleh Allah. Begitulah Allah tidak terus beri kejayaan kepada mereka. Malah setelah mereka diuji sampai mereka hampir putus asa, bukan? Kenapa? Kerana Allah hendak beri kemanisan kejayaan itu. Kemanisan kejayaan tidak akan ada jikalau ia mudah didapati. Kemanisan itu terasa apabila kepayahan telah dirasai. Tanyalah kepada orang yang dapat berjalan setelah kakinya lumpuh; orang yang dapat melihat setelah buta sekian lama. Kita yang dapat nikmat berjalan dan melihat ini tidak menghargai sangat nikmat itu, bukan? Tapi bagi orang yang telah merasa kehilangannya, nikmat itu tidak dapat dibayangkan. Begitu juga dengan kejayaan yang didapati dari usaha yang lama. Nikmat kejayaan itu lain macam!
Maka bagi kita yang menjalankan kerja dakwah Sunnah ini dan ditentang, diherdik, dicemuh dan sebagainya, bersabarlah. Dengan kita membaca ayat-ayat ini, sepatutnya memberi kelegaan kepada kita. Kejayaan masih jauh lagi dan mungkin akan sampai satu ketika, kita rasa hampir putus asa! Akan tetapi, kejayaan itu dekat dan Allah akan beri tepat pada masanya. Dan ketika itulah, kita akan merasai kemanisan kejayaan itu. Buat masa sekarang, kita buat kerja sahaja.
Tapi sebenarnya siapakah yang dimaksudkan dengan مَن نَشاءُ itu? Ya kita baca di sini yang para Rasul itu diberi kejayaan. Akan tetapi, adakah mereka perlu diselamatkan? Tidak sebenarnya. Nabi Musa tidak perlu diselamatkan kerana baginda telah selamat. Firaun sebenarnya yang perlu diselamatkan. Nabi Yusuf telah selamat, tapi abang-abangnya dan isteri Al-Aziz yang perlu diselamatkan. Nabi Muhammad tidak perlu diselamatkan tapi para penentang bagindalah sebenarnya yang perlu diselamatkan. Ini adalah anjakan paradigma sebenarnya. Kita mungkin rasa para Rasul itu yang perlu diselamatkan oleh Allah, tapi sebenarnya ia terbalik. Para penentang mereka yang memerlukan keselamatan! Kalau kita telah ada iman, kita selamat sebenarnya. Tapi kalau kita tidak beriman, walaupun kita ada kuasa besar, pengikut yang ramai dan kuasa kerajaan di tangan kita, kita sebenarnya tidak selamat!
وَلا يُرَدُّ بَأسُنا عَنِ القَومِ المُجرِمينَ
Dan tidak dapat ditolak seksa Kami dari pada orang-orang yang berdosa.
Yang akan dibantu akan diselamatkan oleh Allah ﷻ dan mereka yang berdosa akan tetap kena azab seksa. Mereka akan diperangi oleh Allah kerana kalimah kalimah بَأسُ boleh ditafsirkan sebagai perang. Ia asalnya bermaksud azab, seksaan, atau hukuman tapi selalu digunakan untuk merujuk kepada perang. Dan kalimah بَأسُنا bermaksud ‘perang Kami’ iaitu dari Allah ﷻ sendiri. Kalau perang itu dari Allah ﷻ, tentu tidak akan dapat ditolak lagi. Begitulah yang Allah ﷻ hendak timpakan kepada mereka yang melakukan syirik dan menentang Rasul dan orang beriman. Allah berfirman di dalam Tariq:10
فَما لَهُ مِن قُوَّةٍ وَلا ناصِرٍ
maka sekali-kali tidak ada bagi manusia itu suatu kekuatan pun dan tidak (pula) seorang penolong.
Allah kata Dia akan selamatkan orang yang Dia kehendaki iaitu orang-orang yang beriman, atau yang akan beriman. Apabila mereka diselamatkan, maka siapa yang tinggal? Yang tinggal hanyalah القَومِ المُجرِمينَ dan mereka itulah yang akan dihancurkan, dikalahkan. Kita tahu semua kisah ketika banjir besar dan keluarga Nabi Nuh diselamatkan. Tapi bukan semua ahli keluarganya selamat, bukan? Anaknya yang tidak beriman, tidak selamat dan dia ditenggelamkan bersama orang kafir yang lain. Anaknya sendiri yang tidak mahu beriman dan menolak apabila diajak untuk menaiki bahtera Nabi Nuh. Ini seperti disebut di dalam Hud:42-43
وَهِيَ تَجْرِي بِهِمْ فِي مَوْجٍ كَالْجِبَالِ وَنَادَىٰ نُوحٌ ابْنَهُ وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ يَا بُنَيَّ ارْكَب مَّعَنَا وَلَا تَكُن مَّعَ الْكَافِرِينَ (42)
قَالَ سَآوِي إِلَىٰ جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاءِ ۚ قَالَ لَا عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِلَّا مَن رَّحِمَ ۚ وَحَالَ بَيْنَهُمَا الْمَوْجُ فَكَانَ مِنَ الْمُغْرَقِينَ (43)
(42) “Dan bahtera itu pun bergerak membawa mereka dalam ombak yang besar seperti gunung-ganang. Dan Nabi Nuh memanggil anaknya, sedang anaknya itu berada di tempat yang terasing (dari bahtera itu): ‘Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau ada bersama-sama orang yang kafir!'” (43) “Anaknya menjawab: ‘Aku akan pergi berteduh di sebuah gunung yang dapat menyelamatkanku dari air (banjir) itu.’ Nabi Nuh berkata: ‘Pada hari ini tidak ada sesiapa yang akan selamat dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani-Nya.’ Dan (ketika itu) gelombang ombak pun menghalang antara keduanya, lalu jadilah dia (anak itu) dari golongan orang yang ditenggelamkan.”
Jadi sebenarnya bukanlah Allah pilih bulu siapa yang selamat dan siapa yang tidak. Yang tidak diberi keselamatan itu adalah kerana mereka sendiri yang tidak mahu. Mereka sendiri yang menolak untuk beriman apabila diajak. Jadi mereka sendiri yang tidak mahu selamatlah. Dan apabila azab dikenakan kepada mereka, ia akan tepat mengenai mereka. Begitulah Allah apabila memberi hukuman, tepat kena kepada yang ditentukan olehNya. Kerana itulah apabila Allah hendak jatuhkan azab kepada sesuatu kaum yang derhaka, Allah akan suruh Rasul dan orang beriman untuk tinggalkan tempat itu. Yang dimusnahkan hanya kaum yang telah melakukan kesalahan. Dan azab itu kena tepat. Sebagai contoh, batu yang dikenakan kepada umat Nabi Luth itu siap bernama, seperti disebut di dalam Hud:82-83
فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ (82) مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِيَ مِنَ الظَّالِمِينَ بِبَعِيدٍ (83)
(82) “Maka apabila datang azab Kami, Kami jadikan negeri itu terbalik (yang atas ke bawah), dan Kami menghujani mereka dengan batu-batu dari tanah yang dibakar (Sijjil) secara bertubi-tubi.” (83) “Yang ditandakan (Musawwamah) di sisi Tuhanmu; dan azab itu tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.”
Yang menarik, ayat ini diletakkan di dalam Surah Yusuf. Maka kita kena lihat contoh yang Allah berikan di dalam surah ini. Kisah apa yang kita telah belajar di dalamnya? Bukankah ada kisah orang yang telah berdosa tapi akhirnya tidak dimusnahkan? Kita lihat kisah abang-abang Nabi Yusuf, dan kita lihat juga kisah isteri Al-Aziz yang jelas-jelas berdosa tapi akhirnya mereka selamat, bukan? Kerana Allah tahu siapa yang patut diselamatkan. Kerana itu kita telah sebutkan contoh Khalid al-Walid dan Abu Sufyan yang asalnya menentang Rasulullah tapi Allah tidak musnahkan mereka.
Ayat ini pertama sekali menjadi peringatan dan ancaman kepada Musyrikin Mekah yang menentang Nabi Muhammad. Allah ingatkan mereka dengan umat terdahulu yang telah diseksa kerana menentang Nabi. Janganlah Musyrikin Mekah itu perasan yang mereka itu selamat kerana sehingga saat itu mereka belum lagi dikenakan azab. Allah kata, akan sampai masanya. Dan di dalam masa yang sama, ia adalah berita gembira kepada orang beriman. Allah memberitahu yang bukanlah Allah tidak tahu apa yang terjadi; bukanlah Allah tidak boleh membantu mereka; itu semua tidak benar. Allah menjanjikan kemenangan, cuma Allah tidak sebut bilakah kemenangan itu. Tarikh kemenangan itu Allah tidak letak dalam kalender, tapi ia bergantung kepada keputusan dari Allah. Dan Allah akan beri pada masa yang tepat.
Kenapa Allah tidak terus beri azab kepada para penentang kebenaran? Ini adalah salah satu rahmat yang Allah berikan kepada umat. Allah tidak terus beri azab, sebaliknya Allah beri masa untuk mereka berfikir dan berfikir. Allah beri peluang kepada mereka untuk memerhatikan jalan mana yang benar, jalan mana yang selamat. Kalau mereka tetap memilih jalan kesesatan setelah sekian lama, barulah mereka layak dikenakan azab yang teruk.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 6 Mac 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)
