Tafsir Surah Yaasin Ayat 69 (Al-Qur’an bukan Syair)

NABI MUHAMMAD ﷺ BUKAN PENYAIR

Yaasin Ayat 69: Ayat 69 & 70 adalah Perenggan Makro Kelima. Di dalam bahagian ini Allah ‎ﷻ menegaskan yang Nabi Muhammad ﷺ bukanlah penyair. Al-Qur’an bukanlah syair. Sebenarnya Nabi Muhammad ﷺ membawa wahyu Allah sebagai peringatan untuk mereka yang hidup hatinya. Jadi di dalam ayat ini menyentuh tentang Nabi Muhammad ﷺ dan juga Al-Qur’an, dua topik utama surah ini.

Apakah kaitan dengan ayat sebelum ini? Sebelum ini Allah ﷻ menyebut tentang umur manusia yang setelah lama, keadaan fizikal mereka akan semakin lemah sampaikan mereka akan menjadi seperti kanak-kanak semula. Itu adalah tentang fizikal mereka. Akan tetapi dalam fizikal melemah itu, tidaklah bermaksud rohani mereka juga akan jadi semakin lemah. Rohani boleh sahaja semakin menaik asalkan mereka tetap berpegang kepada Al-Qur’an dan ajaran Rasulullah ﷺ.

وَما عَلَّمنٰهُ الشِّعرَ وَما يَنبَغي لَهُ ۚ إِن هُوَ إِلّا ذِكرٌ وَقُرءآنٌ مُّبينٌ

 Sahih International

And We did not give Prophet Muhammad, knowledge of poetry, nor is it befitting for him. It is not but a message and a clear Qur’an

Malay

(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;

 

وَمَا عَلَّمْنٰهُ الشِّعْرَ

Dan tidaklah Kami ajar kepadanya (Nabi Muhammad) itu syair, 

Allah ﷻ beritahu yang Allah ﷻ tidak mengajar syair kepada Nabi Muhammad ﷺ, seperti yang dituduh oleh Musyrikin Mekah. Mereka kata Al-Qur’an yang baginda baca itu adalah syair sahaja, tidak lebih daripada itu. Ini tidak benar sama sekali dan ditolak di dalam ayat ini. Jadi ini adalah salah satu daripada tuduhan mereka. Tuduhan lain mereka kata Al-Qur’an adalah sihir dan Nabi Muhammad ﷺ seorang penyihir. Sekejap sihir, sekejap syair, mereka pun tidak keruan dalam tuduhan mereka.

Kalimah الشِّعْرَ daripada kata dasar ش ع ر yang bermaksud mengetahui; memahami; membuat ayat; sebutan; puisi; ayat; penyair; perasaan; pengetahuan; bintang Sirius; galaksi; tanda-tanda; upacara; simbol; rambut. Seorang penyair ialah seorang yang sanggup mengungkapkan apa yang terasa di dalam hatinya, sebagai tekanan daripada suatu inspirasi, atau suatu ilham. Kabilah-kabilah orang Arab merasa sangat bangga jika mereka mempunyai ahli-ahli syair yang akan menaikkan nama kabilahnya. Sekali setahun mereka berkumpul di Pasar Malam ‘Ukkadz, setelah naik haji ke Makkah, untuk mendengar ahli syair membacakan syairnya. Syair sudah menjadi salah satu kesukaan bagi suku-suku Arab, untuk membanggakan kelebihan suku, keutamaan kaum, ketinggian kumpulan masing-masing. Isi syair itu bermacam-macam; ada hikmat, ada cerita tentang pengalaman, ada memuji diri, ada membanggakan kemenangan perang, ada memuji kuda sebagai kenderaan, ada mengenangkan masa lalu. Syair yang dianggap indah bahasanya dan isinya digantungkan dalam Ka’bah. Sampai ada sepuluh syair yang pemah digantungkan dalam Ka’bah itu di zaman jahiliyah. Itulah sedikit sebanyak tentang pentingnya syair zaman itu supaya pembaca boleh faham. Kita tidak pentingkan sangat syair dan penyair itu, kalau mahu disamakan, mungkin sama seperti artis penyanyi kita. Sibuk sekali peminat dengan hiburan nyanyian sampaikan nikah cerai artis pun kecoh satu Malaya.

Allah ‎ﷻ mengaitkan Diri-Nya yang ‘mengajar’ dalam ayat ini. Allah ‎ﷻ hendak menekankan bahawa kalau Nabi Muhammad ﷺ ada ilmu apa-apa pun, ia mestilah daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Namun Allah ‎ﷻ kata Dia tidak ajar pun syair kepada Nabi ﷺ. Jadi memang Nabi Muhammad ﷺ tidak boleh bersyair  kerana ada riwayat yang mengatakan yang baginda pernah bersyair akan tetapi dikatakan  kalimah yang baginda baca terbalik. Maka ungkapan baginda tidaklah dianggap sebagai syair.

Selain daripada syair, Orientalis cuba untuk mengaitkan ilmu-ilmu yang ada pada Nabi Muhammad ﷺ itu dicedok daripada agama-agama lain. Namun begitu kalau dikaji dengan sebenarnya, Nabi ﷺ tidak pernah belajar atau mengambil ilmu Islam itu dari mana-mana sumber selain daripada Allah ‎ﷻ. Ini boleh dikaji daripada sejarah hidup Nabi ﷺ.

 

وَمَا يَنْبَغِي لَهُ

dan tidaklah patut dia (Nabi Muhammad) belajar syair;

Hujah ini disebut di sini sebab ada yang kata Al-Qur’an itu hanya syair sahaja, tidak lebih daripada itu. Apabila ada kalimah ما (tidak) di sini, ia digunakan untuk menidakkan sesuatu. Kerana itu tidak digunakan لا di sini. Perumpamaan begini, kalau tiba-tiba seseorang berkata: “Saya bukan orang Kelate”, mesti sebab ada orang kata dia orang Kelantan, kerana takkan tiba-tiba dia hendak menidakkan dia orang Kelantan. Jadi di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ hendak menidakkan golongan Musyrikin Mekah yang kata Nabi Muhammad ﷺ itu seorang penyair pula sedangkan itu tidak layak bagi kedudukan Nabi Muhammad ﷺ untuk bersyair gurindam. Akan tetapi itu adalah antara hujah-hujah batil mereka untuk menentang Al-Qur’an. Perhatikan Anbiya’: 5

بَل قالوا أَضغٰثُ أَحلٰمٍ بَلِ افتَرٰهُ بَل هُوَ شاعِرٌ فَليَأتِنا بِئٰيَةٍ كَما أُرسِلَ الأَوَّلونَ
Bahkan mereka berkata (pula): “(Al Qur’an itu adalah) mimpi-mimpi yang kalut, malah diada-adakannya, bahkan dia sendiri seorang penyair, maka hendaknya dia mendatangkan kepada kita suatu mukjizat, sebagaimana rasul-rasul yang telah lalu diutus”.

Mereka hendak merendahkan kedudukan Al-Qur’an dengan mengatakan ia hanya syair sahaja. Sedangkan Nabi Muhammad ﷺ sendiri memang tidak dikurniakan kebolehan untuk bersyair. Baginda pernah cuba tetapi tunggang terbalik jadinya. Ini seperti diriwayatkan daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا, isteri Nabi ﷺ, bahawa beliau berkata, Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“أَصْدَقُ بَيْتٍ قَالَهُ لَبِيدٌ: أَلاَ كُلُّ شَيْءٍ مَا خَلاَ اللَّهَ بَاطِلٌ.”
“Syair yang paling benar yang diucapkan oleh Labid adalah: ‘Ketahuilah, segala sesuatu selain Allah adalah batil.'”

Kemudian Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berkata: “Nabi ﷺ kemudian ingin mengutip sambungan bait syair itu, atau cuba menyusun syair sendiri (daripada perkataan Labid), tetapi baginda tidak dapat menyelesaikannya dengan betul dan hanya berkata: ‘Dan setiap nikmat pasti akan binasa.'”
(Sahih Al-Bukhari No. 6147 dan Sahih Muslim No. 2252)

Syarah:

    • Labid bin Rabi’ah adalah seorang penyair Arab Jahiliyah yang kemudian memeluk Islam dan terkenal dengan syairnya yang penuh hikmah.
    • Hadith ini menunjukkan bahawa Nabi ﷺ mengagumi kebenaran dalam bait syair Labid tersebut. Namun, ketika baginda cuba untuk menyambung atau mengulanginya, atau menyusun bait lain dalam bentuk syair, baginda tidak mampu untuk menghasilkan syair dengan wazan dan qafiyah (rima) yang tepat seperti seorang penyair. Baginda hanya dapat mengungkapkan maknanya.
    • Keterbatasan ini, dari sudut pandangan kebiasaan manusia, mungkin dilihat sebagai kekurangan. Namun, dalam konteks kenabian Muhammad ﷺ, ia sebenarnya adalah bukti kebenaran baginda. Ini kerana jika baginda mampu bersyair dengan sempurna, musuh-musuh Islam akan mempunyai hujah untuk mendakwa Al-Qur’an itu hanyalah hasil karya sastera baginda, bukan wahyu Ilahi.

Paling kuat yang boleh dikatakan baginda bersyair adalah ketika kaum Muslimin mengalami kekalahan sementara dan banyak para mujahideen berpecah belah, serta Nabi sendiri terluka parah dan terancam oleh musuh, baginda ﷺ berseru dengan gagah berani:

“أَنَا النَّبِيُّ لَا كَذِبْ، أَنَا ابْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ.”
“Aku adalah Nabi, tidak ada dusta. Aku adalah anak Abdul Muttalib.”
(Sahih Bukhari No. 2864 dan Sahih Muslim No. 1776)

Syair adalah sesuatu yang penting pada zaman Rasulullah ﷺ itu kerana ketinggian bahasa masyarakat Arab pada ketika itu yang suka kepada bahasa, antaranya syair. Kerana itu syair juga digunakan sebagai dakwah oleh Rasulullah ﷺ seperti syair-syair sindiran-sindiran terhadap orang-orang Musyrik yang dilantunkan oleh para ahli syair Islam, seperti Hassan bin Tsabit, Kaab bin Malik, Abdullah bin Rawahah dan orang-orang semisal mereka. Mereka bersyair untuk mempertahankan baginda. Apabila ada syair yang memburukkan baginda, para penyair Nabi ﷺ itu mencipta syair untuk melawannya kembali. Diriwayatkan daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ يَضَعُ لِحَسَّانَ بْنِ ثَابِتَ مِنْبَرًا فِي الْمَسْجِدِ يُنْشِدُ عَلَيْهِ شِعْرَهُ وَيُفَاخِرُ بِهِ عَنِ النَّبِيِّ ﷺ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: “اللَّهُمَّ أَيِّدْهُ بِرُوحِ الْقُدُسِ.”
“Rasulullah ﷺ pernah meletakkan mimbar di dalam masjid untuk Hassan bin Thabit, maka dia (Hassan) berdiri di atasnya dan berbangga-bangga (dengan syairnya, membela Nabi ﷺ). Dan Rasulullah ﷺ berdoa: ‘Ya Allah, perkuatlah beliau dengan Ruhul Qudus.'”
(Sahih Bukhari No. 4905 dan Sahih Muslim No. 2485)

Nabi ﷺ juga suka dibacakan syair. Nabi ﷺ pernah mendengar syair daripada Umayyah bin Abi As-Salt (seorang penyair Jahiliyah yang hampir memeluk Islam tetapi tidak sempat), dan Nabi ﷺ mengulasnya. Diriwayatkan daripada As-Syarid bin Suwaid Ats-Tsaqafi رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

حَدَّثَنَا عَمْرٌو النَّاقِدُ، وَابْنُ أَبِي عُمَرَ، كِلاَهُمَا عَنِ ابْنِ عُيَيْنَةَ، قَالَ ابْنُ أَبِي عُمَرَ حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، عَنْ إِبْرَاهِيمَ بْنِ مَيْسَرَةَ، عَنْ عَمْرِو بْنِ الشَّرِيدِ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ رَدِفْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَوْمًا فَقَالَ ‏”‏ هَلْ مَعَكَ مِنْ شِعْرِ أُمَيَّةَ بْنِ أَبِي الصَّلْتِ شَيْئًا ‏”‏ ‏.‏ قُلْتُ نَعَمْ قَالَ ‏”‏ هِيهِ ‏”‏ ‏.‏ فَأَنْشَدْتُهُ بَيْتًا فَقَالَ ‏”‏ هِيهِ ‏”‏ ‏.‏ ثُمَّ أَنْشَدْتُهُ بَيْتًا فَقَالَ ‏”‏ هِيهِ ‏”‏ ‏.‏ حَتَّى أَنْشَدْتُهُ مِائَةَ بَيْتٍ ‏.‏
“Pada suatu hari, aku pernah menaiki kenderaan bersama Rasulullah ﷺ, lalu Nabi ﷺ bertanya kepadaku: ‘Adakah engkau hafal syair Umayyah bin Abi As-Salt?’ Aku menjawab: ‘Ya.’ Baginda bersabda: ‘Bacakanlah untukku.’ Lalu aku membacakan kepadanya satu bait. Baginda bersabda: ‘Lagi.’ Lalu aku membacakan kepadanya. Baginda sentiasa berkata: ‘Lagi,’ sehingga aku membacakan seratus bait syair.”

(Sahih Muslim No. 2255)

Diriwayatkan daripada Ubay bin Ka’b رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

“إِنَّ مِنَ الشِّعْرِ حِكْمَةً.”
“Sesungguhnya sebahagian daripada syair itu adalah hikmah.”
(Sahih Bukhari No. 6145 dan Sahih Muslim No. 2257)

Seperti yang telah disebut, syair adalah penting pada zaman itu sampaikan para penyair dipandang tinggi sebagai orang yang ada ilmu dan kedudukan. Akan tetapi tidak layak Al-Qur’an disamakan dengan syair. Syair tidak akan setanding dengan Al-Qur’an. Terdapat beberapa perbezaan antara syair dan Al-Qur’an:

1. Syair hanya mementingkan lenggok bahasa sahaja. Kerana tujuan syair adalah untuk menggembirakan manusia yang membacanya. Sebaliknya Al-Qur’an mementingkan mesej yang hendak disampaikan di dalamnya.

2. Syair boleh tersilap. Kadang-kadang ia berkata tentang suatu perkara dan dalam bait yang lain, ia berlawanan dengan kata-kata sebelumnya. Al-Qur’an tidak mungkin begitu. Al-Qur’an sentiasa tepat dan tidak ada percanggahan antara ayat-ayatnya.

3. Pencinta syair tidak semestinya orang yang ada tujuan dalam hidup. Kalau kita lihat kepada pencinta syair, kebanyakannya adalah pemuzik-pemuzik dan penyair-penyair yang mereka sendiri tidak tahu apakah yang mereka perjuangkan. Mereka selalunya adalah orang yang hanya mahu bergembira sahaja dalam hidup mereka. Macam kehidupan penyanyi dan penghibur zaman ini yang tidak patut kita jadikan sebagai contoh/idola pun. Akan tetapi pencinta Al-Qur’an adalah mereka yang cintakan Allah ‎ﷻ dan cintakan kebenaran. Mereka mempunyai tujuan hidup yang tepat sepertimana yang digariskan dalam Al-Qur’an. Akhlak penyair dan akhlak pencinta Al-Qur’an tidak sama. Allah ‎ﷻ sebut tentang mereka di dalam Shu’araa (penyair-penyair): 224-226

وَٱلشُّعَرَآءُ يَتَّبِعُهُمُ ٱلۡغَاوُ ۥنَ (٢٢٤) أَلَمۡ تَرَ أَنَّهُمۡ فِى ڪُلِّ وَادٍ۬ يَهِيمُونَ (٢٢٥) وَأَنَّہُمۡ يَقُولُونَ مَا لَا يَفۡعَلُونَ (٢٢٦)
Dan Ahli-ahli syair itu, diturut oleh golongan yang sesat tidak berketentuan hala. (224) Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? (225) Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya? (226)

Oleh itu kita tidak perlu kepada syair sebagaimana kita tidak perlu kepada lagu. Oleh itu, tidak perlu kita menyusun doa kita kepada Allah ‎ﷻ sehingga hilang keikhlasan dalam doa kita itu. Kalau begitu kita seperti membaca sebuah sajak yang telah ditulis tetapi bukan dari hati kita. Seeloknya kita membaca doa yang benar-benar dari hati kita. Walaupun ia tidak tersusun, namun sekiranya ia ikhlas dari hati kita, ia lebih disukai oleh Allah ‎ﷻ. Kalau disusun doa itu, perhatian menjadi lebih kepada susunan pula, bukannya kepada doa.

Ini sama macam kita dengar ceramah atau khutbah Jumaat yang dibaca daripada teks ucapan. Selalunya ia tidak menarik langsung kerana terikat dengan teks. Ucapan yang tidak menggunakan teks ucapan lebih bagus dan berkesan kepada hati. Oleh itu, apabila kita berdakwah, cuma keluarkan apa yang ada dalam hati kita. Jangan hiraukan tentang kata-kata yang kita gunakan. Pastinya ia adalah kata-kata dari hati kita sendiri.

Eh, bukankah kita macam sudah pernah baca kalimah يَنْبَغِي di dalam surah ini? Yezza tengok balik ayat 40,

لَا الشَّمسُ يَنبَغي لَها أَن تُدرِكَ القَمَرَ وَلَا اللَّيلُ سابِقُ النَّهارِ
Tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. 

Di dalam ayat 40 itu kita ada sebut perumpamaan tentang Rasul iaitu ia ibadat seperti matahari dan pengikut mereka seperti bulan. Jadi kaitan antara ayat 40 dan ayat 69 adalah ‘Rasul’. Tidak patut Rasulullah ﷺ tahu syair. Kenapa patut Rasulullah ﷺ tidak tahu syair?

    • Menjaga Kemurnian Al-Quran: Ini adalah bukti kukuh bahawa Al-Qur’an bukanlah syair. Kemampuan Nabi ﷺ yang terbatas dalam menyusun syair menunjukkan bahawa Al-Qur’an yang luar biasa fasih, indah, dan mendalam itu datangnya daripada Allah ‎ﷻ, bukanlah daripada bakat sastera baginda sendiri.
    • Bukti Kenabian: Ketidakmampuan Nabi ﷺ bersyair adalah salah satu tanda kenabian baginda. Ia menunjukkan baginda benar-benar menerima wahyu daripada Allah ‎ﷻ, dan wahyu itu berbeza sama sekali daripada bentuk sastera manusia.
    • Kefasihan Bahasa Nabi ﷺ: Meskipun tidak mampu bersyair secara profesional, Nabi ﷺ adalah manusia yang paling fasih berbicara. Kata-kata baginda (Hadith) mempunyai keindahan dan kekuatan tersendiri yang dikenali sebagai jawami’ al-kalim (kata-kata ringkas padat makna). Ketidakmampuan bersyair tidak mengurangi kefasihan atau ketinggian bahasa baginda.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda,

“فُضِّلْتُ عَلَى الْأَنْبِيَاءِ بِسِتٍّ: أُعْطِيتُ جَوَامِعَ الْكَلِمِ، وَنُصِرْتُ بِالرُّعْبِ، وَأُحِلَّتْ لِيَ الْغَنَائِمُ، وَجُعِلَتْ لِيَ الْأَرْضُ طَهُورًا وَمَسْجِدًا، وَأُرْسِلْتُ إِلَى الْخَلْقِ كَافَّةً، وَخُتِمَ بِيَ النَّبِيُّونَ.”
“Aku diberi kelebihan atas para nabi dengan enam perkara: Aku diberikan jawami’ul kalim (kata-kata ringkas padat makna), aku ditolong dengan ketakutan (yang mencekam musuh), dihalalkan untukku harta rampasan perang, dijadikan bagiku bumi sebagai alat bersuci dan tempat solat, aku diutus kepada seluruh makhluk, dan dengan diriku para nabi ditutup (akulah penutup para nabi).”
(Sahih Muslim No. 523)

Tuduhan Nabi ﷺ seorang penyair itu tidak masuk akal kerana mereka pun tahu yang Nabi ﷺ tidak bersyair dan tidak terkenal pun sebagai seorang penyair. Mereka pun tahu yang bahasa lenggok Al-Qur’an tidak sama seperti lenggok syair. Macam kita mungkin tidak nampak, tetapi berbeza bagi mereka yang menjadikan syair itu sebagai makanan harian mereka sahaja. Perumpamaan seperti kita dapat bezakan antara cakap biasa dan cakap berpantun. Tentu tidak sama. Akan tetapi kenapa mereka tuduh begitu?

Pertama, mereka tidak ada hujah yang lain, jadi mereka gunakan sahaja apa hujah yang ada. Keduanya, apabila mereka ulang-ulang, lama-lama orang percaya juga. Ini dinamakan illusory truth effect. Apabila sesuatu itu diulang-ulang banyak kali, orang boleh percaya walaupun maklumat itu tidak benar. Kerana otak kita buat andaian: ‘kalau tak betul, takkan ramai orang cakap dan cakap banyak kali?’ Sebagai contoh, Sydney bukanlah ibu negara Australia, tetapi kerana selalu diulang-ulang, ramai orang sangka ia benar. Sedangkan ibu negara Australia adalah Canberra.

Begitulah juga sekarang kita lihat penggunaan tuduhan seperti yang dikenakan kepada Nabi Muhammad ﷺ itu telah digunakan ke atas golongan Sunnah dan Salafi. Tuduhan yang dikenakan adalah golongan Salafi ini ikut Wahabi, menolak mazhab, tafsir Al-Qur’an ikut sedap tekak sendiri, golongan Mujassimah (mengatakan Allah ‎ﷻ berjisim), golongan sesat, ekstrem kerja mahu bunuh orang sahaja, dan bermacam-macam lagi tuduhan yang tidak berkesudahan. Kesannya ramai yang takut hendak belajar dengan ustaz yang dilabel ‘Wahabi’ ini. Sedangkan kalau belajar dengan mereka, tidak ada pun mereka ajar perkara seperti yang dimomokkan itu.

Ketiga, mereka mungkin hendak kata sepertimana juga syair yang direka-reka, begitu jugalah Al-Qur’an ini.

Keempat, mereka mungkin hendak mengatakan Al-Qur’an ini memberi kesan yang sama dengan syair, iaitu menyebabkan orang ramai terpesona.

Sekiranya Nabi ﷺ tidak layak bersyair, orang yang ahli Al-Qur’an, yang mempelajari dan menghafalnya juga tidak layak menyanyi-nyanyi dan melayan muzik. Al-Qur’an adalah sesuatu yang sangat mulia dan tidak patut bercampur di dalam dada seorang ahli Al-Qur’an itu ayat-ayat Al-Qur’an dan lagu yang lagha. Malah empat mazhab Islam telah mengharamkan lagu dan muzik dan salah satu dalil adalah ayat Luqman: 6 

وَمِنَ النّاسِ مَن يَشتَري لَهوَ الحَديثِ لِيُضِلَّ عَن سَبيلِ اللهِ بِغَيرِ عِلمٍ وَيَتَّخِذَها هُزُوًا ۚ أُولٰئِكَ لَهُم عَذابٌ مُّهينٌ
Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.

Ibn Abbas mengatakan لَهوَ الحَديثِ di dalam ayat ini bermaksud lagu/muzik. Jadi hujah untuk mengatakan lagu/muzik itu haram agak kuat. Kita tahu ada pendapat yang mengatakan lagu/muzik itu harus asalkan tidak melalaikan. Akan tetapi kita berpendapat ia tetap haram.

Apa perlunya kita kepada lagu/muzik? Kalau kita hendakkan hiburan, kita ada Al-Qur’an yang sudah sangat indah bacaannya. Kalau kita hendak ketenangan, kita ada solat dan zikir. Solat itu memberi ketenangan seperti isyarat yang diberikan oleh Nabi Muhammad ﷺ. Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: Rasulullah ﷺ bersabda kepada Bilal:

“يَا بِلاَلُ، أَقِمِ الصَّلاَةَ، أَرِحْنَا بِهَا.”
“Wahai Bilal, tegakkanlah solat, rehatkanlah kami dengannya (solat).”
(Hadith riwayat Abu Dawud, Imam Ahmad, dan lainnya. Dinilai sahih oleh Al-Albani)

Dan kalau ketenangan yang dicari, bukankah dengan zikir dan ingat kepada Allah ‎ﷻ, hati akan menjadi tenang? Semua orang tahu ayat Ra’d: 28

“الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ”
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati menjadi tenteram.”

Sebab itulah kita tidak memerlukan lagu/muzik termasuklah lagu nasyid. Ia bukanlah cara Islam. Sebab kalau itulah caranya, Nabi ﷺ dan para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ pun mesti paling pandai menghasilkan lagu nasyid agaknya.

Maka kerana faham tentang hal inilah yang menyebabkan ada pelajar tahfiz yang apabila terdengar ada lagu dikumandangkan, mereka akan tutup telinga mereka.

Kerana begitulah yang dilakukan oleh Nabi ﷺ dan dalilnya adalah hadith ini yang diriwayatkan daripada Nafi’, maula (bekas hamba) Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, dia berkata:

“كنتُ مع ابنِ عمرَ فسمع صوتَ زمارةِ راعٍ ، فوضع أُصبعَيه في أُذُنَيهِ ، وعدل راحلتَهُ عن الطريقِ ، وقال : يا نافعُ ، أتسمعُ ؟ فأقولُ : نعم . فيمضِي حتى قلتُ : لا . فرفع يديه من أُذُنَيهِ ، وعدل راحلتَهُ إلى الطريقِ ، وقال : رأيتُ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ حينَ سمع صوتَ يراعَةٍ صنع مثلَ هذا.”
“Aku pernah bersama Ibnu Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, lalu dia mendengar suara seruling penggembala. Maka dia meletakkan kedua jarinya di kedua telinganya, dan dia membelokkan untanya dari jalan. Dia berkata: ‘Wahai Nafi’, apakah engkau masih mendengar?’ Maka aku berkata: ‘Ya.’ Dia terus berjalan hingga aku berkata: ‘Tidak.’ Maka dia mengangkat kedua tangannya dari kedua telinganya, dan dia mengembalikan untanya ke jalan semula. Kemudian dia berkata: ‘Aku melihat Rasulullah ﷺ ketika mendengar suara seruling, baginda melakukan hal yang serupa (seperti ini).'”
(Hadith riwayat Imam Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Majah. Dinilai shahih oleh Al-Albani dalam Silsilah Al-Hadis Ash-Shahihah No. 3177)

Jadi, kalau Al-Qur’an itu bukan syair, apakah ia?

 

إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ

Sesungguhnya Al-Qur’an itu tidak lain dan tidak bukan adalah pemberi peringatan

Apabila ada إن….إلّا ia bermaksud ada penegasan di sini. Allah ‎ﷻ memberitahu kita yang Al-Qur’an ini sifatnya ذِكْرٌ iaitu memberi peringatan. Ada banyak sebab kenapa ia digelar begitu, antaranya:

    • Peringatan dan Pengingat: Makna utama “dzikr” adalah peringatan atau pengingat. Al-Qur’an adalah peringatan daripada Allah ‎ﷻ kepada seluruh manusia tentang tujuan penciptaan mereka, tentang kewajipan mereka kepada Allah ‎ﷻ, tentang hari kiamat, syurga, neraka, serta kisah-kisah umat terdahulu sebagai pelajaran. Ia mengingatkan manusia akan janji-janji dan ancaman-ancaman Allah ‎ﷻ, serta hakikat kehidupan dunia dan akhirat. Sebab itulah kita kena baca selalu Al-Qur’an ini dan jangan ditinggalkan. Setiap hari kena ada masa yang kita luangkan untuk membacanya.

    • Nasihat dan Petunjuk: Al-Qur’an berfungsi sebagai nasihat dan petunjuk yang jelas bagi orang-orang yang berakal. Ia membimbing manusia kepada jalan yang lurus, membezakan antara yang hak dan yang batil, antara kebaikan dan keburukan. Akan tetapi, bagaimana ia boleh menjadi petunjuk kalau kita tidak faham apa yang kita baca? Ramai bukan orang kita yang setakat baca sahaja tetapi tidak faham pun apa yang dibaca?

    • Kemuliaan dan Kehormatan: Dalam beberapa konteks, “dzikr” juga dapat bererti kemuliaan atau kehormatan. Al-Qur’an adalah kitab yang mulia dan membawa kemuliaan bagi siapa pun yang memegangnya, mempelajarinya, dan mengamalkannya. Rasulullah ﷺ dan sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ itu mulia dan diingati sampai sekarang kerana mereka berpegang kepada Al-Qur’an dan menyampaikannya kepada manusia. Sebab itu kalau kita di khalayak ramai dan kita lihat ada orang yang baca Al-Qur’an, tentu kita rasa wah hebatnya dia. Kita pula bagaimana?

    • Menjaga dan Memelihara (Hafalan): Kata “dzikr” juga boleh bererti memelihara atau menjaga, terutama dalam konteks hafalan. Al-Qur’an adalah kitab yang dijaga dan dipelihara oleh Allah ‎ﷻ daripada perubahan atau pemalsuan, dan ia juga merupakan kitab yang mudah dihafal dan dipelajari oleh kaum Muslimin. Maka jadikan target kita untuk menghafal Al-Qur’an ini selagi kita hidup.

    • Dzikir kepada Allah: Al-Qur’an adalah bentuk dzikir (mengingat Allah ‎ﷻ) yang paling agung. Membaca, merenungkan (tadabbur), dan mengamalkan Al-Qur’an adalah cara tertinggi untuk mengingat Allah ‎ﷻ, memahami kebesaran-Nya, nama-nama dan sifat-sifat-Nya, serta hukum-hukum-Nya. Ramai yang tidak tahu hal ini rupanya. Ramai yang sibuk tanya zikir itu dan ini, padahal mereka ada Al-Qur’an yang lebih utama daripada mana-mana dzikir sebenarnya.

Begitulah dengan ringkas kenapa Al-Qur’an digelar ذِكْرٌ. Namun begitu perkataan yang digunakan untuk merujuk kepada Al-Qur’an adalah ذِكْرٌ. Bukan الذِكْرٌ seperti kebiasaan di dalam Al-Qur’an seperti ayat Qalam: 52

وَإِن يَكَادُ الَّذِينَ كَفَرُوا لَيُزْلِقُونَكَ بِأَبْصَارِهِمْ لَمَّا سَمِعُوا الذِّكْرَ وَيَقُولُونَ إِنَّهُ لَمَجْنُونٌ
“Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkanmu (dengan pandangan mereka yang tajam, kerana dengki) ketika mereka mendengar peringatan (الذِّكْرَ) (Al-Quran) dan mereka berkata: ‘Sesungguhnya dia (Muhammad) benar-benar orang gila’.”

Kali ini kalimah yang digunakan adalah dalam bentuk umum (nakirah). Kesannya adalah untuk memberitahu kita bahawa banyak benda yang Al-Qur’an itu ingatkan kita, bukan satu sahaja. Antaranya tentang realiti kehidupan, fitrah manusia, mengingatkan kita tentang sejarah silam umat-umat terdahulu, peringatan tentang apakah kesannya kalau kita ingkar kepada Allah ‎ﷻ, dan macam-macam lagi.

Ayat ke 69 adalah pengulangan tentang topik awal surah ini tentang Al-Qur’an dan juga Nabi Muhammad ﷺ. Lihat ayat 2 – 6

وَٱلۡقُرۡءَانِ ٱلۡحَكِيمِ (٢) إِنَّكَ لَمِنَ ٱلۡمُرۡسَلِينَ (٣) عَلَىٰ صِرَٲطٍ مُّسۡتَقِيمٍ۬ (٤) تَنزِيلَ ٱلۡعَزِيزِ ٱلرَّحِيمِ (٥) لِتُنذِرَ قَوۡمًا مَّآ أُنذِرَ ءَابَآؤُهُمۡ فَهُمۡ غَـٰفِلُونَ (٦)
Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh, (2) Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) daripada Rasul-rasul yang telah diutus, (3) Yang tetap di atas jalan yang lurus (agama Islam). (4) Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani, (5) Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai. (6)

Mengikut Shaikh Shalih al-Utsaimin , ذِكْرٌ bagi Al-Qur’an ini ada 3 perkara:

1. Kena ingat yang Al-Qur’an itu daripada Allah رَحِمَهُ اللَّهُ. Jadi ia sepatutnya memberi kesan kepada kita dalam melihat Al-Qur’an. Ia sepatutnya menjadi penting bagi kita kerana kalau kita dapat surat daripada polis pun kita sudah ketar, bukan? Apatah lagi kalau ini adalah surat daripada Allah ‎ﷻ yang sepatutnya kita kena agungkan. Semasa baca Al-Qur’an pun kena ada rasa lain macam kerana ia bukan kata-kata manusia.

2. Kena ingat bahawa apa-apa sahaja yang kita dapat daripada Al-Qur’an itu adalah terbaik. Kerana ia daripada Allah ‎ﷻ yang hendak memberi panduan hidup kepada hamba-Nya. Ia hukum terbaik dalam ayat yang terbaik.

3. Ia menaikkan darjat orang yang rapat dengan Al-Qur’an. Para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ terkenal sampai sekarang kerana mereka mengamalkan Al-Qur’an dan menyampaikannya kepada manusia. Begitulah Rasulullah ﷺ namanya disebut-sebut kerana baginda menyampaikan Al-Qur’an seperti disebut di dalam Sharh: 4

وَرَفَعۡنَا لَكَ ذِكۡرَكَ
Dan Kami telah meninggikan bagimu

 

وَقُرْءآنٌ مُّبِينٌ

dan bacaan yang jelas nyata;

Al-Qur’an itu adalah wahyu dalam Bahasa Arab yang jelas nyata, yang tidak boleh ditiru oleh manusia. Sekarang disebut satu lagi sifat Al-Qur’an setelah disebut di dalam ayat 2,

وَالقُرءآنِ الحَكيمِ
Demi Al-Qur’an yang penuh bijaksana;

Al-Qur’an itu jelas nyata kepada mereka yang belajar tafsir Al-Qur’an. Maknanya, apabila kita belajar tafsir Al-Qur’an, kita akan tahu mana perbuatan salah yang kita buat. Sebab telah jelas nyata kepada kita kerana telah diterangkan dengan nyata di dalam Al-Qur’an. Yang tidak jelas adalah kepada orang yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an sahaja.

Al-Qur’an ini sifatnya jelas, jadi boleh dipelajari dan difahami. Bukannya kena ada ijazah agama baru boleh belajar tafsir. Bukannya orang yang tertentu sahaja boleh faham, malah kebanyakan daripada kita boleh memahaminya. Jadi salahlah mereka yang kata orang tertentu sahaja yang boleh faham. Mereka ini kadangkala golongan ustaz tetapi mereka halang orang daripada belajar tafsir. Mereka kata kalau belajar, boleh jadi sesat. Sebenarnya yang sesat adalah mereka kerana mereka tidak belajar tafsir. Semua benda mereka belajar tetapi sumber utama agama mereka tidak belajar lagi. Pelik bin ajaib betul. Mereka tidak belajar kerana guru mereka sendiri tidak belajar dan guru kepada guru mereka sendiri tidak belajar. Jadi mereka pula tidak bagi orang lain belajar. Sudahlah mereka tidak belajar, mereka halang pula orang lain daripada belajar! Ini memang ahli agama yang paling teruk dalam dunia!

Al-Qur’an itu jelas memberi peringatan kepada mereka yang mahu merenungkan maknanya dan mentadabbur ayat-ayatnya (memikirkan tentangnya secara mendalam). Maka kena selalu belajar dan selalu baca supaya kita dapat faham. Daripada Uthman bin Affan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ bersabda:

 خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ القُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
“Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya”.
(Riwayat Bukhari No. 5027)

Manusia selain daripada fizikal, ada dua elemen iaitu hati dan minda. Ini diwakili oleh ذِكرٌ dan مُبِينٌ di hujung ayat ini. Maklumat yang jelas مُبِينٌ adalah untuk minda dan dan pengisian hati disentuh di dalam kalimah ذِكرٌ. Dalilnya adalah zikir itu adalah ibadah hati dan telah disebut di dalam ayat Ra’d: 28

 أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini 20 Jun 2025

Ringkasan Surah Yaasin


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah Pusat Pengajian Ahsanul Ulum Centre

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment