Tafsir Surah Ibrahim Ayat 37 – 39 (Sejarah Ka’bah)

Ibrahim Ayat 37: Sambungan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi.

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلَوٰةَ فَاجعَل أَفئِدَةً مِّنَ النّاسِ تَهوي إِلَيهِم وَارزُقهُم مِّنَ الثَّمَرٰتِ لَعَلَّهُم يَشكُرونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, I have settled some of my descendants in an uncultivated valley near Your sacred House, our Lord, that they may establish prayer. So make hearts among the people incline toward them and provide for them from the fruits that they might be grateful.

(MELAYU)

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan beri rezeki kepada mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

 

رَبَّنا إِنّي أَسكَنتُ مِن ذُرِّيَّتي

Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku

Kali ini digunakan kalimah رَبَّنا (Tuhan kami), kerana baginda memasukkan sebahagian ahli keluarga baginda dalam doa baginda. Baginda menceritakan yang baginda meninggalkan ahli keluarga baginda di Mekah itu iaitu Hajar dan Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Apabila disebut مِن ذُرِّيَّتي maknanya bukan anaknya diletakkan di situ kerana baginda juga mempunyai anak lain iaitu Nabi Ishak عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Ini menceritakan kembali sejarah asal Mekah kepada Musyrikin Mekah dan kita juga. Ia menceritakan pengorbanan yang dilakukan oleh baginda dan ahli keluarga baginda. Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sanggup meletakkan anak dan isterinya di Mekah yang tidak ada apa-apa pada waktu itu kerana ia adalah arahan daripada Allah ‎ﷻ. Baginda yakin dengan Allah ﷻ dan tahu yang Allah ﷻ akan menjaga mereka.

Maka begitulah kita kena yakin dengan Allah ﷻ. Kadang-kadang kita terlalu risaukan anak-anak kita. Entah bagaimana rezeki mereka, pendidikan mereka, keadaan mereka dan sebagainya. Maka ayat ini mengajar kita untuk meletakkan mereka di dalam perlindungan dan didikan Allah ﷻ. Ya kita buat semampu kita untuk menjaga mereka tetapi usaha kita terhad sahaja. Selebihnya kita kena serahkan kepada Allah ﷻ.

 

بِوادٍ غَيرِ ذي زَرعٍ عِندَ بَيتِكَ المُحَرَّمِ

di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati,

Baginda telah meletakkan ahli keluarga baginda di Mekah yang tidak ada makanan waktu itu kerana lembah Mekah adalah gersang dan tidak ada tanaman yang hidup. Baginda beritahu yang baginda percaya dan yakin kepada Allah‎ ﷻ, yang setiap suruhan Allah ﷻ pasti ada hikmahnya.

Lihatlah Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebut tempat itu غَيرِ ذي زَرعٍ dan bukannya لا زَرعٍ. Kalau kalimat لا زَرعٍ yang digunakan, maka ia hanya bermaksud yang tanah itu tidak ada tumbuhan waktu itu sahaja, boleh jadi di masa hadapan akan ada tumbuh-tumbuhan. Akan tetapi apabila kalimat غَيرِ ذي زَرعٍ yang digunakan, ia menidakkan akan ada tanaman di situ. Kerana itulah sampai sekarang Tanah Mekah itu gersang tidak ada tanam-tananam. Ia cuma akan ada tanaman apabila Kiamat sudah hampir seperti disebut di dalam hadith,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَكْثُرَ الْمَالُ وَيَفِيضَ حَتَّى يَخْرُجَ الرَّجُلُ بِزَكَاةِ مَالِهِ فَلَا يَجِدُ أَحَدًا يَقْبَلُهَا مِنْهُ وَحَتَّى تَعُودَ أَرْضُ الْعَرَبِ مُرُوجًا وَأَنْهَارًا
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Tidak akan terjadi hari kiamat, sebelum harta kekayaan telah tertumpuk dan melimpah ruah, hingga seorang laki-laki pergi ke mana-mana sambil membawa harta zakatnya, tetapi dia tidak mendapatkan seorang pun yang bersedia menerima zakatnya itu. Dan sehingga tanah Arab menjadi subur makmur kembali dengan padang-padang rumput dan sungai-sungai.”
(Sahih Muslim (1681))

Kenapa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya minta makanan sahaja? Kerana baginda yakin yang Allah ﷻ pasti akan memberikan air kepada mereka dengan cara apa sekali pun. Maka kerana itu baginda minta hanya makanan sahaja dan baginda tidaklah kata غَيرِ ذي مَاءٍ.

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meletakkan keluarga baginda di tempat yang tidak ada hidupan kerana itu adalah arahan Allah ‎ﷻ. Walaupun jika mengikut logik akal, tidak patut baginda meletakkan isteri dan anaknya di situ, namun oleh kerana taat, baginda lakukan juga. Ini menunjukkan yang arahan Allah ‎ﷻ tidak semestinya kena bandingkan dengan akal kita. Kerana akal kita tidak dapat menjelaskan kehendak dan kebijaksanaan Allah‎ ﷻ.

Baginda meletakkan isterinya dan anaknya Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berdekatan dengan Tanah Haram. Waktu itu tidak ada Ka’bah lagi tetapi masih ada lagi asasnya di situ. Begitulah kalau kita baca kisah baginda dan anaknya menaikkan Ka’bah dalam Surah Baqarah, baginda ‘menaikkan’ asas Ka’bah itu, bukan? Sila rujuk Baqarah: 127

وَاِذْ يَرْفَعُ اِبْرٰهٖمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَاِسْمٰعِيْلُۗ
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Ka’bah) itu

Pembinaan Ka’bah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah berdasarkan perintah daripada Allah ﷻ, iaitu selepas beberapa kali Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ datang menziarahi isteri dan anaknya Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di Mekah. Pada kedatangannya kali yang ketiga, baginda telah diperintahkan agar membina Ka’bah. Ketika itu Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُtelah berumur dua puluh tahun dan ibunya telah wafat. Itu adalah setelah baginda diuji untuk menyembelih Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Doa yang baginda sebutkan ini adalah selepas baginda mendirikan Ka’bah itu bersama Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

Ada pendapat yang mengatakan Ka’bah dibina oleh Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Allah ﷻ berfirman di dalam Ali Imran: 96

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعٰلَمِينَ
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Apabila Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sampai di Mekah, malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memukul dengan sayapnya di tapak pembinaan Ka’bah dan malaikat membawakan batu kepadanya untuk dibina Ka’bah. Bahan binaannya terdiri daripada batu yang diambil daripada lima buah gunung iaitu gunung Lubnan, Tur Zaita, Tur Sina, Juudi dan Hira’. Sementara konkritnya pula dibuat daripada batu pejal hitam. Itulah tempat baginda anak anak-anak baginda tawaf dan Ka’bah tegak berdiri sehinggalah banjir pada zaman Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Tapaknya masih ada lagi dan itulah yang dibangunkan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ia pernah hilang lagi dan dibina oleh puak Quraisy. Pernah Rasulullah ﷺ terlibat di dalam pembinaan semula Ka’bah ketika baginda berumur 35 tahun (sebelum dilantik menjadi Nabi).

Akan tetapi ada juga pendapat lain tentang siapa yang mula-mula membina Ka’bah. Imam Badr al-Din al-‘Aini رَحِمَهُ اللَّهُ dalam kitabnya Umdah al-Qari berkata: Para ulama’ telah khilaf siapa yang pertama membina Ka’bah:

Ada pendapat menyebut, malaikatlah yang pertama membinanya untuk mereka tawaf kerana takut kepada Allah ketika mana mereka berkata, mafhumnya: “Adakah Kamu mahu menciptakan Adam sebagai khalifah yang merosakkan di muka bumi dan menumpahkan darah?”
Ada pendapat mengatakan Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Inilah yang disebut oleh Ibn Ishaq.
Ada juga pendapat yang menyatakan Nabi Shi’th عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mula membinanya.
(Lihat Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 16/288)

Mekah adalah salah satu dari Tanah Haram (selain dari Madinah). Asasnya, Tanah Haram merupakan tempat yang Allah ﷻ haramkan beberapa perkara sehingga ke hari kiamat bagi memelihara kesuciannya. Hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa Nabi Muhammad ﷺ bersabda ketika hari penaklukan Kota Mekah,

إنَّ هذا البَلَدَ حَرَّمَهُ اللَّهُ يَومَ خَلَقَ السَّمَواتِ والأرْضَ، فَهو حَرامٌ بحُرْمَةِ اللهِ إلى يَومِ القِيامَةِ، وإنَّه لَمْ يَحِلَّ القِتالُ فيه لأَحَدٍ قَبْلِي، وَلَمْ يَحِلَّ لي إلّا ساعَةً مِن نَهارٍ، فَهو حَرامٌ بحُرْمَةِ اللهِ إلى يَومِ القِيامَةِ، لا يُعْضَدُ شَوْكُهُ، وَلا يُنَفَّرُ صَيْدُهُ، وَلا يَلْتَقِطُ إلّا مَن عَرَّفَها، وَلا يُخْتَلى خَلاها، فَقالَ العَبّاسُ: يا رَسولَ اللهِ، إلّا الإذْخِرَ، فإنَّه لِقَيْنِهِمْ وَلِبُيُوتِهِمْ، فَقالَ: إلّا الإذْخِرَ.
Sesungguhnya Allah ﷻ mengharamkan kota ini (Mekah) semenjak Dia menciptakan langit dan bumi. Pengharaman ini berterusan sehingga ke hari kiamat. Sebelumku, tiada siapa yang dihalalkan berperang di negeri ini. Bahkan aku sendiri juga tidak dihalalkan melakukan hal yang sama kecuali sebentar sahaja di siang hari (ketika ingin menakluk kota Mekah). Pengharaman ini berterusan sehingga ke hari kiamat. Pohon yang berduri tidak boleh dicabut, tidak boleh memburu binatang, barang yang tercicir tidak boleh diambil melainkan ingin mengumumkan sahaja, serta tumbuh-tumbuhan tidak boleh dipotong.
Al-Abbas berkata: “Kecualikan al-izkhir (pepohon yang wangi baunya seperti serai) wahai Rasulullah kerana ia bermanfaat untuk dijadikan bahan bakar (ganti kepada kayu bakar) dan keperluan rumah (dijadikan bumbung rumah). Rasulullah ﷺ menjawab: “Baiklah, kecuali al-izkhir”.
(Hadith Riwayat Bukhari (3189))

Inilah kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepada Tanah Mekah. Walaupun ia kering kontang akan tetapi kerana ia ada Rumah Allah (Baitullah/Ka’bah) maka ia menjadi mulia.

Kenapakah Allah ﷻ suruh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghantar keluarga baginda ke tanah yang gersang itu? Kalau sayangkan keluarga, hantar pergi melancong ke tempat sejuk dan selesa lah, bukan? Namun ini bukanlah perkara biasa. Allah ﷻ hendak mengajar yang ketenangan itu apabila dekat dengan Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak mengajar untuk bergantung dengan-Nya dan bukan dengan makhluk. Hanya dengan Allah ﷻlah sahaja kita boleh mendapat ketenangan dan kejayaan. Apabila mereka berada di situ maka mereka akan menggantungkan diri mereka kepada Allah ﷻ. Kalau melepasi ujian itu, maka kejayaanlah milik mereka. Lihatlah bagaimana tawakalnya Hajar,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَمَّا كَانَ بَيْنَ إِبْرَاهِيمَ وَبَيْنَ أَهْلِهِ مَا كَانَ خَرَجَ بِإِسْمَاعِيلَ وَأُمِّ إِسْمَاعِيلَ وَمَعَهُمْ شَنَّةٌ فِيهَا مَاءٌ فَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ فَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ فَوَضَعَهَا تَحْتَ دَوْحَةٍ ثُمَّ رَجَعَ إِبْرَاهِيمُ إِلَى أَهْلِهِ فَاتَّبَعَتْهُ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ حَتَّى لَمَّا بَلَغُوا كَدَاءً نَادَتْهُ مِنْ وَرَائِهِ يَا إِبْرَاهِيمُ إِلَى مَنْ تَتْرُكُنَا قَالَ إِلَى اللَّهِ قَالَتْ رَضِيتُ بِاللَّهِ قَالَ فَرَجَعَتْ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى لَمَّا فَنِيَ الْمَاءُ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا قَالَ فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ هَلْ تُحِسُّ أَحَدًا فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا فَلَمَّا بَلَغَتْ الْوَادِيَ سَعَتْ وَأَتَتْ الْمَرْوَةَ فَفَعَلَتْ ذَلِكَ أَشْوَاطًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ تَعْنِي الصَّبِيَّ فَذَهَبَتْ فَنَظَرَتْ فَإِذَا هُوَ عَلَى حَالِهِ كَأَنَّهُ يَنْشَغُ لِلْمَوْتِ فَلَمْ تُقِرَّهَا نَفْسُهَا فَقَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا حَتَّى أَتَمَّتْ سَبْعًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ فَإِذَا هِيَ بِصَوْتٍ فَقَالَتْ أَغِثْ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ خَيْرٌ فَإِذَا جِبْرِيلُ قَالَ فَقَالَ بِعَقِبِهِ هَكَذَا وَغَمَزَ عَقِبَهُ عَلَى الْأَرْضِ قَالَ فَانْبَثَقَ الْمَاءُ فَدَهَشَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ فَجَعَلَتْ تَحْفِزُ قَالَ فَقَالَ أَبُو الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ تَرَكَتْهُ كَانَ الْمَاءُ ظَاهِرًا قَالَ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الْمَاءِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا قَالَ فَمَرَّ نَاسٌ مِنْ جُرْهُمَ بِبَطْنِ الْوَادِي فَإِذَا هُمْ بِطَيْرٍ كَأَنَّهُمْ أَنْكَرُوا ذَاكَ وَقَالُوا مَا يَكُونُ الطَّيْرُ إِلَّا عَلَى مَاءٍ فَبَعَثُوا رَسُولَهُمْ فَنَظَرَ فَإِذَا هُمْ بِالْمَاءِ فَأَتَاهُمْ فَأَخْبَرَهُمْ فَأَتَوْا إِلَيْهَا فَقَالُوا يَا أُمَّ إِسْمَاعِيلَ أَتَأْذَنِينَ لَنَا أَنْ نَكُونَ مَعَكِ أَوْ نَسْكُنَ مَعَكِ فَبَلَغَ ابْنُهَا فَنَكَحَ فِيهِمْ امْرَأَةً
Daripada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] berkata; “Ketika Ibrahim keluar berkelana bersama Isma’il dan ibu Isma’il, mereka membawa geriba (kantung empat air) yang berisi air, ibu Isma’il minum daripada persediaan air dalam geriba tersebut sehingga dia dapat menyusui bayinya. Ketika tiba di Makkah, Ibrahim menempatkan keduanya di bawah sebuah pondok. Tatkala Ibrahim hendak kembali kepada keluarganya, ibu Isma’il mengikutinya di belakang hingga ketika sampai di dataran yang agak tinggi, ibu Isma’il memanggilnya dari belakang; “Wahai Ibrahim, kepada siapa engkau meninggalkan kami?”. Ibrahim menjawab; “Kepada Allah”. Hajar berkata; “Kalau begitu, Aku telah redha kepada Allah”. Perawi berkata; “Lalu Hajar kembali (ke tempat semula dia dan minum geriba kunonya dan boleh menyusui bayinya hingga ketika air persediaan habis dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Perawi berkata; “Maka dia pergi dan naik ke atas bukit Safaa lalu melihat-lihat apakah ada orang namun dia tidak merasakan ada seorang pun. Ketika sampai di lembah dia lari-lari kecil dan mendatangi Marwa, dia lakukan yang demikian berkali-kali. Kemudian dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihatnya, yang dimaksudnya adalah bayinya. Maka dia pergi mendatangi bayinya yang ternyata keadaannya seperti ketika ditinggalkan seolah-olah menghisap nafas-nafas kematian sehingga hati Hajar tidak tenang. Dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Maka dia pergi untuk mendaki bukit Safaa lalu melihat-lihat namun tidak ada seorang pun yang ditemuinya hingga ketika dia telah melakukan upaya itu sebanyak tujuh kali (antara bukit Safaa dan Marwah) dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat apa yang terjadi dengan bayiku”, ternyata dia mendengar suara, maka dia berkata; “Tolonglah (aku) jika memang kamu baik”. Ternyata (suara itu) adalah malaikat Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Perawi berkata; Lalu Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbuat dengan tumitnya begini. Dia mengais-ngais tanah dengan tumitnya”. Perawi berkata; “Maka memancarlah air dan ibu Ism’ail menjadi terperanjat dan segera menampungnya”. Perawi berkata; Berkata Abu Al Qasim ﷺ: “Seandainya Hajar membiarkannya pasti air akan mengalir”. Perawi berkata; “Maka Hajar minum air (zamzam) itu sehingga dapat menyusui bayinya”. Kemudian serombongan orang daripada suku Jurhum melalui di dasar lembah dan mereka melihat ada seekor burung, seakan mereka tidak percaya, Mereka berkata: “Tidak akan ada burung melainkan pasti kerana ada air”. Akhirnya mereka mengutuskan seorang utusan mereka untuk melihatnya yang ternyata mereka memang berada di kawasan yang ada air. Utusan itu kemudian kembali kepada mereka dan mengabarkan (apa yang dilihatnya). Kemudian mereka menemui Hajar dan berkata; “Wahai Ibu Isma’il, apakah kamu mengizinkan kami untuk tinggal bersama kamu atau kami hidup bertetangga bersama kamu?”. Kemudian anaknya (Isma’il) tumbuh menjadi seorang pemuda lalu menikah dengan seorang wanita”.
(Sahih Bukhari (3114))

Syarah: Hadith ini mengandungi banyak pengajaran. Antara yang kita hendak tekanlah adalah ketaatan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Apabila Allah ﷻ telah mengarahkan baginda melakukan sesuatu, baginda terus lakukan tanpa soal. Baginda tidaklah berbincang dahulu dengan isteri dan anaknya tetapi terus sahaja melaksanakannya. Sebab itulah Hajar tidak tahu rancangan Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu.

Keduanya lihatlah keyakinan Hajar terhadap Allah ‎ﷻ dan juga suaminya. Beliau tahu yang semuanya akan menjadi baik kalau Allah ﷻ menjadi tempat pengharapan. Beliau yakin yang Allah ﷻ tidak akan membiarkan mereka. Ini sangat hebat sekali kerana dugaan dan ujian yang dihadapi oleh mereka sangat besar. Apabila kita baca tentang hal-hal sebegini maka segala masalah kita menjadi kecil jika mahu dibandingkan dengan ujian yang Allah ﷻ berikan kepada mereka.

 

رَبَّنا لِيُقيمُوا الصَّلَوٰةَ

ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat,

Tujuan mereka ditinggalkan di situ adalah untuk mendirikan solat, untuk beribada kerana pahala beribadat di situ memang banyak. Kalau hendak kira sebab kehidupan, tidak ada pun kerana ia tempat yang gersang, tetapi tujuan ia dilakukan adalah kerana hendak buat ibadat. Moga-moga keluarganya itulah yang akan memulai meramaikan ibadat sembahyang di rumah yang suci itu, agar menjadi contoh teladan untuk manusia yang akan datang berkumpul ke sana.

Maka ada penekanan tentang ibadah solat di sini kerana ia adalah ibadah yang paling utama. Ia mengajar kita untuk menyuruh anak isteri kita menjaga solat mereka. Begitulah yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ doakan kerana baginda tahu bahawa ibadah solat itu amat-amat penting. Ini pun kadangkala menjadi masalah bagi kita, bukan? Kadangkala kita boleh jaga solat kita sendiri tetapi bagaimana dengan anak isteri kita? Kerana itulah pentingnya kita mengajar anak-anak kita tentang solat semenjak kecil lagi.

عن عمرو بن شُعَيْبٍ عن أَبِيهِ عن جَدِّهِ قَالَ، قَالَ رسولُ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْع سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءَ عَشْرِ سِنِينَ، وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي المَضَاجِعِ
Daripada ‘Amru bin Syu‘aib, daripada bapanya, daripada datuknya berkata, sabda Rasulullah ﷺ: “Perintahlah anak-anakmu mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka.
(Sunan Abu Dawud (418) disahihkan oleh Albani)

Kalau kita lihat kalimah لِيُقيمُوا yang digunakan adalah dalam bentuk jamak, sedangkan yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tinggalkan adalah dua orang sahaja (Hajar dan anaknya Ismail). Maka ini memberitahu kita yang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah menjangka yang Mekah itu akan menjadi tempat tumpuan untuk manusia beramai-ramai datang solat. Maka baginda masukkan seluruh umat manusia itu sekali di dalam doa baginda.

 

فَاجعَل أَفئِدَةً مِّنَ النّاسِ تَهوي إِلَيهِم

maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka

Baginda berdoa supaya Allah ‎ﷻ jadikanlah hati manusia (أَفئِدَةً adalah bahagian hati yang beremosi, ada perasaan yang kuat) berkeinginan kuat kepada ahli keluarga baginda itu. Kalimah تَهوي daripada kalimah yang bermaksud ‘hawa’. Selalunya hawa digunakan untuk perasaan yang hebat sangat sampai lupa diri sendiri. Memang selalunya digunakan dalam perkara yang tidak elok (ikut hawa nafsu). Akan tetapi baginda gunakan untuk kebaikan kali ini kerana baginda berharap manusia sayang sangat dan berkeinginan sangat kepada Tanah Haram itu.

Telah terbukit, kita pun boleh lihat sampai sekarang manusia pergi ke Tanah Haram untuk melakukan ibadah haji dan umrah, dan apabila mereka di sana, mereka akan lupa diri dan kekayaan dan pangkat mereka waktu itu.

Kalimah ‘hawa’ juga bermaksud ‘jatuh’, seperti ‘jatuh cinta’. Oleh itu, doa baginda ini adalah supaya manusia jadi begitu dengan Ka’bah. Begitulah kita dengan Ka’bah, bukan? Ingat bukan perasaan anda bila pertama kali melihat Ka’bah di depan mata anda? Sampai bila-bila terkenang rupa dan suasana di Ka’bah itu. Kenapa agaknya? Kerana semasa kita berada di sana, kita senang menumpukan perhatian kepada ibadah kita (kerana bukan selalu dapat ke sana). Maka kita lupa tentang dunia. Maka ini adalah formula untuk mendapat ketenangan dan khusyuk, iaitu meninggalkan dunia.

Bukanlah kita suruh buang dunia pula. Namun jangan bergantung dengan dunia, hati jangan terikat dengan dunia tetapi ikatlah hati itu kepada Allah ‎ﷻ. Dunia ini hanya digunakan untuk sementara waktu sahaja untuk menimba pahala untuk disimpan dan digunakan di akhirat kelak. Ingatlah firman Allah ﷻ di dalam Ra’d: 28

أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.

Kalimah yang digunakan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam doa baginda adalah أَفئِدَةً مِّنَ النّاسِ (hati-hati sebahagian daripada manusia) dan bukannya أَفئِدَةً النّاسِ (hati seluruh manusia). Kerana kalau hati seluruh manusia, maka tentu seluruh agama pun akan berkumpul di Ka’bah itu termasuk Yahudi dan juga Kristian. aka susah pula seperti Palestin sekarang yang menjadi kota suci bagi ketiga-tiga agama besar dunia. Masing-masing berebut pula sampaikan tidak aman-aman tempat itu. Maka bagi Ka’bah ini, ia hanya khas kepada umat Islam sahaja.

 

وَارزُقهُم مِّنَ الثَّمَرٰتِ لَعَلَّهُم يَشكُرونَ

dan beri rezeki kepada mereka daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.

Baginda berdoa supaya berikanlah makanan kepada mereka di situ. Walaupun kalimah yang digunakan adalah الثَّمَرٰتِ yang secara literal bermaksud buah-buahan. Namun ia juga bermaksud hasil daripada sesuatu. Hasil daripada usaha adalah الثَّمَرٰتِ, hasil daripada kerja adalah الثَّمَرٰتِ dan ia boleh merujuk kepada segala jenis makanan, bukan hanya buah-buahan sahaja. Ini seperti digunakan dalam Qasas: 57

ثَمَرٰتُ كُلِّ شَيءٍ
buah-buahan daripada segala sesuatu

Ia tidaklah disebut ثَمَرٰتُ كُلِّ شَجَرَةٌ (buah-buahan daripada segala pokok) sebalik ثَمَرٰتُ كُلِّ شَيءٍ yang bermaksud hasil daripada segala sesuatu. Maka ia termasuklah segala jenis makanan. Dalam doa baginda di dalam Surah Baqarah, perkara paling awal sekali baginda minta adalah makanan. Namun kali ini baginda minta juga, tetapi letak di hujung. Kita telah jelaskan kerana ini adalah permintaan setelah Mekah menjadi tempat yang telah ramai orang.

Walaupun Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu yang tempat itu gersang, akan tetapi baginda tetap juga berdoa kepada Allah ﷻ untuk diberikan makanan di tempat itu. Kerana baginda tahu yang Allah ﷻ boleh buat apa-apa sahaja. Tidak ada apa yang mustahil bagi Allah ﷻ. Sekarang pun memang ada banyak makanan di Mekah. Allah ﷻ tidaklah jmenadikan Mekah itu tanah yang subur, tetapi Allah ﷻ jadikan segala jenis makanan dari serata dunia boleh sampai ke situ.

Kenapakah minta buahan (makanan)? Supaya manusia dapat bersyukur kepada Allah‎ ﷻ. Apabila manusia dapat kebaikan, inilah yang manusia mesti lakukan. Namun kita kena ingat yang syukur itu bukan dilafazkan di mulut sahaja, tetapi kena ditunjukkan dengan ketaatan kepada hukum Allah‎ ﷻ. Ini kita telah bincang panjang lebar di bahagian awal surah ini kerana surah ini banyak memperkatakan tentang syukur. Maka segala nikmat yang kita dapat ini adalah sebagai ujian untuk kita syukur atau tidak. Allah ﷻ tunggu sahaja sambil melihat kita seperti disebut di dalam Insan: 3

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

Memang Allah ‎ﷻ makbulkan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Walaupun tempat itu tidak sesuai untuk diduduki dan tidak ada makanan, tetapi boleh dapat makanan dan buahan dengan banyak sekali. Allah ‎ ﷻ jadikan itu semua semua kerana doa. Allah ‎ ﷻ hendak ajar kehebatan doa dalam ayat ini. Maka jangan kita sesekali berputus asa dengan doa, teruskanlah berdoa.


 

Ibrahim Ayat 38: Lagi sambungan doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.

رَبَّنا إِنَّكَ تَعلَمُ ما نُخفي وَما نُعلِنُ ۗ وَما يَخفىٰ عَلَى اللهِ مِن شَيءٍ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Our Lord, indeed You know what we conceal and what we declare, and nothing is hidden from Allāh on the earth or in the heaven.

(MELAYU)

Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan; dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang ada di langit.

 

رَبَّنا إِنَّكَ تَعلَمُ ما نُخفي وَما نُعلِنُ

Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan; 

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengaku yang Allah ﷻ Maha Tahu apa yang manusia sembunyikan dalam hati dan apa yang kita cakap di lidah kita. Maka banyaklah yang kita cakap dan banyak lagi yang kita tidak sebut pun – semuanya Allah ﷻ tahu. Ini adalah kesempurnaan ilmu Allah ﷻ.

Maksud ayat ini, Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak mengatakan yang Allah ﷻ mengetahui maksud baginda dalam doanya dan apa yang baginda kehendaki dalam doa itu untuk penduduk kota suci ini. Sesungguhnya hal itu tiada lain menuju kepada redha-Nya dan mengikhlaskan diri kepada-Nya.

Ia juga mengajar kita yang Allah ﷻ tahu apa niat kita. Kadangkala kita berdoa minta Allah ﷻ beri kekayaan kepada kita untuk kita senang infak. Namun entah ada niat yang lain, bukan? Allah ﷻ tahu apa yang sebenarnya tersembunyi di sebalik kata-kata dan doa kita itu. Maka kena sedar dan hendaklah menjaga hati kita termasuklah semasa kita berdoa.

 

وَما يَخفىٰ عَلَى اللهِ مِن شَيءٍ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ

dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang ada di langit.

Ilmu Allah ﷻ itu amat luas sekali sampai tidak ada yang tersembunyi daripada pengetahuan Allah ﷻ. Tidak kira sama ada apa yang terjadi itu di bumi atau di langit. Maka kerana itu, hendaklah kita sembah Allah ﷻ sahaja dan doa kepada Allah ﷻ sahaj kerana tidak ada entiti lain yang ada sifat sebegini.

Inilah akidah yang kita kena ajar anak-anak kita sejak kecil lagi supaya mereka faham sangat. Ambillah contoh Luqman bagaimana beliau mengajar anaknya di dalam Luqman: 16

يٰبُنَيَّ إِنَّها إِن تَكُ مِثقالَ حَبَّةٍ مِّن خَردَلٍ فَتَكُن في صَخرَةٍ أَو فِي السَّمٰوٰتِ أَو فِي الأَرضِ يَأتِ بِهَا اللهُ ۚ إِنَّ اللهَ لَطيفٌ خَبيرٌ
(Luqman berkata): “Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasinya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.

Kalaulah kita dapat sematkan perkara ini ke dalam hati kita, maka kita tidak berani hendak melakukan dosa kerana kita tahu yang Allah ﷻ sedang memerhatikan kita sepanjang masa. Perkara ini terbaiknya diajar kepada anak-anak kita semasa mereka kecil-kecil lagi seperti yang dilakukan oleh Luqman itu.


 

Ibrahim Ayat 39: Sekarang Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memuji lagi Allah ﷻ. Begitulah, kita dalam berdoa kena puji Allah ﷻ sebanyak-banyaknya. Gunakan pujian itu sebagai tawasul kita. Bukannya kita gunakan perantaraan dalam bentuk Nabi, wali dan malaikat seperti yang banyak dilakukan oleh masyarakat Islam kita yang jahil dengan wahyu Al-Qur’an.

الحَمدُ لِلهِ الَّذي وَهَبَ لي عَلَى الكِبَرِ إِسمٰعيلَ وَإِسحٰقَ ۚ إِنَّ رَبّي لَسَميعُ الدُّعاءِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Praise to Allāh, who has granted to me in old age Ishmael and Isaac. Indeed, my Lord is the Hearer of supplication.

(MELAYU)

Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua(ku) Ismail dan Ishaq. Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.

 

الحَمدُ لِلهِ الَّذي وَهَبَ لي عَلَى الكِبَرِ إِسمٰعيلَ وَإِسحٰقَ

Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku di hari tua(ku) Ismail dan Ishaq. 

Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus memuji dan bersyukur kepada Allah ﷻ yang telah memberi anak kepadanya, walaupun baginda sudah tua. Kita boleh lihat dalam ayat ini yang Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ disebut dahulu kerana baginda lebih tua daripada Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini juga menjadi hujah yang Nabi Ismail عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah abang dan Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adik. Ini penting kerana Yahudi mengatakan Nabi Ishaq عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pula sebagai abang.

Mendapat anak itu sendiri sudah satu nikmat yang besar (kerana bukan semua orang dapat anak). Akan tetapi Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan dengan anak-anak (dan juga cucu) yang menjadi Nabi. Inilah yang didambakan oleh baginda iaitu keturunan yang akan meneruskan usaha dakwah baginda. Daripada keturunan baginda itu pula lahirnya ramai para Nabi daripada Bani Israil dan Nabi Muhammad ﷺ daripada Bani Ismail sebagai penutup para Nabi. Bagaimana doa Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum baginda dikurniakan dengan anak cucunya itu? Ia ada disebut dalam Saffat: 100

رَبِّ هَب لي مِنَ الصّٰلِحينَ
Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh.

Ini juga adalah harapan setiap orang daripada kita iaitu menginginkan anak yang soleh dan baik. Bukan hanya anak sahaja tetapi anak yang boleh menyejukkan mata kita. Kerana entah berapa ramai anak-anak yang memalukan pula ibubapanya sendiri. Kita mahukan anak yang soleh yang boleh menjadi saham bagi kita, bukan? Maka hendaklah kita berdoa kepada Allah ﷻ supaya dikurniakan anak yang soleh.

Bukannya minta anak yang sihat sahaja, yang pandai, berjaya dalam peperiksaan, yang bekerjaya. Kerana itu semua adalah hanya untuk dunia. Kalau mereka bantu kita pun, itu hanya di dunia yang sementara sahaja. Sedangkan yang kita sangat-sangat harapkan adalah anak-anak yang boleh membantu kita di akhirat kelak. Namun ramai ibubapa hanya berharap anak yang baik untuk dunia sahaja, bukan?

 

إِنَّ رَبّي لَسَميعُ الدُّعاءِ

Sesungguhnya Tuhanku, benar-benar Maha Mendengar (memperkenankan) doa.

Allah ﷻ amat mendengar doa makhluk. Allah ﷻ mendengar untuk kabulkan, bukan sekadar dengar sahaja. Ini kerana kalau setakat dengar, kita pun dengar juga, bukan? Namun kita bukan boleh buat apa pun. Yang kita hendak adalah supaya dimakbulkan.

Akan tetapi kalau ada yang minta kepada roh Nabi, wali dan malaikat, bagaimana pula? Adakah mereka itu mendengar? Tentu tidak. Nabi dan wali sudah mati dan malaikat pula bukan kerja mereka untuk dengar doa kita dan sampaikan doa kita kepada Allah ﷻ. Itu adalah perbuatan yang sia-sia. Malangnya ramai yang melakukan perkara ini kerana telah diajar begitu oleh guru-guru agama yang tidak faham wahyu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 Oktober 2023

Ringkasan Surah Ibrahim


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Abdul Muien

Ustaz Solahuddin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment