KEPENTINGAN MENDALAMI ILMU
Tawbah Ayat 122: Tidaklah semua orang mukmin kena pergi berjihad. Allah ﷻ beritahu ada dua perkara yang Nabi ﷺ ajar sahabat untuk lakukan – jihad dan ta’lim. Ta’lim maksudnya ajar dan sebar wahyu. Walaupun jihad itu penting, akan tetapi pembelajaran ilmu juga penting. Ini Allah ﷻ ingatkan kerana selepas Allah ﷻ tegur tentang umat Islam yang tidak mengerjakan jihad, maka ramai-ramai telah keluar berjihad sampaikan tidak tinggal pula mereka untuk belajar dengan Rasulullah ﷺ di Madinah.
۞ وَما كانَ المُؤمِنونَ لِيَنفِروا كافَّةً ۚ فَلَولا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرقَةٍ مِّنهُم طائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهوا فِي الدّينِ وَلِيُنذِروا قَومَهُم إِذا رَجَعوا إِلَيهِم لَعَلَّهُم يَحذَرونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And it is not for the believers to go forth [to battle] all at once. For there should separate from every division of them a group [remaining] to obtain understanding in the religion and warn [i.e., advise] their people when they return to them that they might be cautious.
(MALAY)
Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.
وَما كانَ المُؤمِنونَ لِيَنفِروا كافَّةً
Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya
Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini, tidak patut orang mukmin itu keluar jihad semua sekali. Kena ada yang talaqqi ilmu wahyu kerana pembelajaran dan penyebaran ilmu agama amat penting. Sekiranya semua pergi, siapa yang akan menjadi orang alim untuk mengajar?
Ini mengajar kita bukanlah semua umat Islam kena keluar berjihad. Ini kerana jihad secara umumnya adalah Fardhu Kifayah (jika sebahagian daripada golongan Muslim melakukannya, maka sudah dipenuhi kewajipan itu). Melainkan ia adalah Nafrul Am (arahan umum) seperti yang berlaku pada Perang Tabuk, barulah ia menjadi Fardhu Ain (kewajipan kepada semua individu yang mampu). Ia boleh menjadi Fardhu Ain apabila kerajaan memerlukan kekuatan tentera yang besar. Ini ditentukan oleh Khalifah.
Hukum Fardhu Kifayah ini berlaku di dalam banyak hal di dalam masyarakat Islam. Contohnya menguruskan jenazah orang Muslim yang meninggal. Sebahagian masyarakat sahaja yang perlu melakukannya dan jikalau ini dipenuhi, maka kewajipan keseluruhan masyarakat di situ telah dipenuhi.
فَلَولا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرقَةٍ مِّنهُم طائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهوا فِي الدّينِ
Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama
Allah ﷻ ajar kita supaya ada daripada setiap kumpulan manusia itu beberapa orang yang pergi mendalami agama. Mereka itu yang ditugaskan untuk mendalami agama secara menyeluruh. Itulah maksud لِيَتَفَقَّهوا. ‘Faqih’ adalah mereka yang mendapat ilmu mendalam tentang agama. Ini bukan belajar biasa-biasa tetapi belajar bagi faham secara mendalam.
Kalimah لِيَتَفَقَّهوا daripada katadasar ف ق ه yang bermaksud berilmu, mahir di dalam ilmu wahyu, memahami sesuatu, faham. Namun kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah لِيَتَفَقَّهوا dan bukannya لِيَفقَهوا. Apabila ada penambahan huruf dan syaddah (sabdu) maka ia menambah makna. Maka لِيَتَفَقَّهوا adalah untuk belajar dengan mendalam hingga hampir sempurna.
Ia tidak sama dengan تَعَلُّم yang belajar hanya ke peringkat alim sahaja. Orang yang tafaqquh belajar agama, mereka ini sampai mampu sampaikan kepada orang lain. Malah mereka itu menjadi rujukan kepada golongan yang alim. Kemudian kita ada orang yang di bawah peringkat alim iaitu yang belajar biasa-biasa sahaja. Kalau orang yang belajar biasa sahaja, mereka tidak mampu untuk sampaikan apa yang mereka belajar pun kepada orang lain. Kalau ditanya apa yang belajar semalam pun belum tentu mereka ingat. Maka kita perlukan ramai orang yang alim dan kena ada juga faqih yang menjadi rujukan dalam perkara-perkara yang memerlukan kepakaran.
Golongan para sahabat itu, banyak yang sudah alim. Namun kena ada yang faqih juga yang mesti mendalami agama bersama Rasulullah ﷺ sementara yang lain pergi berjihad. Semasa Rasulullah ﷺ masih lagi ada, mesti ada yang belajar dengan baginda. Maka sebahagian daripada kumpulan umat Islam yang (فِرقَةٍ) kena ada kumpulan kecil (طائِفَةٌ) yang tinggal khusus untuk mempelajari agama. Bukanlah semasa Nabi ﷺ hidup sahaja akan tetapi sepanjang zaman perkara ini mesti dijalankan.
Ini kerana ilmu agama ini luas sampaikan tidak ramai yang boleh mendalami kesemuanya. Maka menjadi fardhu kifayah bagi umat untuk ada dalam kalangan kita yang menjadi faqih. Yang tugas dia memang mendalami agama sahaja.
Namun begitu sebagai orang awam, mereka kena juga tahu ilmu yang menjadi Fardhu Ain. Iaitu ilmu yang wajib diketahui oleh semua Muslim. Ulama’ ada menggariskan beberapa ilmu yang penting:
-
- Akidah (Iaitu akidah yang benar. Jangan pergi belajar akidah Si Hulk pula)
- Fiqh Taharah (kebersihan)
- Solat, puasa dan ibadah-ibadah lain yang wajib
- Perkara-perkara yang haram dilakukan, juga yang makruh
- Fiqh Zakat bagi yang ada kemampuan
- Fiqh Haji bagi yang sudah mampu
- Fiqh Muamalat bagi yang berniaga
- Fiqh Nikah (dan Cerai sekali) bagi yang sudah layak menikah
Maka apakah ilmu yang dipelajari sehingga menjadi faqih yang menjadi fardhu kifayah itu? Ada yang memberi pandangan ini adalah ilmu-ilmu yang terlibat,
-
- Mengetahui makna ayat-ayat dan hukum hakam daripada Al-Qur’an
- Mengetahui kesemua hadith dan boleh membezakan antara hadith sahih dan lemah
- Mengetahui hukum hakam daripada wahyu Al-Qur’an dan Sunnah, pendapat para sahabat sehingga ke tabi’ tabein, pendapat ulama’ mazhab dan imam-imam mujtahid.
Kalau kita lihat, ilmu-ilmu ini adalah sangat banyak dan sangatlah berat kerana itu ia dianggap sebagai fardhu kifayah sahaja. Kalau sudah ada golongan faqih yang sebegini, maka seluruh umat Islam akan terlepas daripada dosa tidak mengamalkan ayat di dalam surah ini. Jika tidak ada, maka kita semuanya berdosa kerana ada ayat Al-Qur’an yang tidak diamalkan langsung oleh sesiapa.
وَلِيُنذِروا قَومَهُم إِذا رَجَعوا إِلَيهِم
dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepada mereka
Mereka sepatutnya belajar sampai mendalami ilmu mereka, kemudian pulang ke kampung halaman masing-masing dan berkhidmat mengajar agama. Merekalah yang menjadi tempat rujukan masyarakat setempat mereka. Setiap kawasan sepatutnya kena ada orang yang sebegini.
Kalimah yang digunakan di sini adalah لِيُنذِروا daripada katadasar ن ذ ر yang bermaksud memberi amaran, mengabdi (dedikasi), sumpah, beri peringatan, berjanji, menawar, mempersembahkan. Tugas indzar ini adalah memberi seseorang rasa takut supaya mereka berhati-hati supaya jangan terjerumus ke dalam bahaya. Di dalam Al-Qur’an disebut ini adalah tugas para Rasul seperti disebut di dalam Baqarah: 119
إِنّا أَرسَلنَـٰكَ بِالحَقِّ بَشيرًا وَنَذيرًا
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira dan pembawa amaran.
Maka tugas ini mesti diwarisi oleh mereka yang ada ilmu. Tidak kira sama ada mereka itu faqih, alim, pendakwah. Cuma di dalam ayat Tawbah ini hanya disebut لِيُنذِروا sahaja dan tidak disebut بَشيرًا kerana antara keduanya, memberi ancaman lebih penting.
Cuma di dalam ayat ini Allah ﷻ sebut beri peringatan kepada umat yang pulang daripada jihad. Kenapa pula perlu beri peringatan kepada mereka sedangkan mereka itu sudah kuat iman? Orang yang pergi berjihad itu adalah orang yang sudah melepasi banyak ujian luaran dan dalam mereka sampaikan mereka sanggup untuk berjihad. Maka kenapa perlu diberi peringatan kepada mereka?
Kena faham waktu itu wahyu masih diturunkan kerana Rasulullah ﷺ masih hidup lagi. Maka bagi orang yang berjihad, mereka ketinggalan kerana ada wahyu yang diturunkan semasa mereka di medan pertempuran. Oleh itu tugas orang yang duduk belajar dengan Nabi ﷺ adalah untuk sampaikan kepada mereka.
Bagaimana dengan zaman kita sekarang yang tidak ada jihad? Ini lagi berat tugas kita kerana kena sampaikan ajaran agama kepada orang yang tidak pernah pun belajar agama. Jangan kata pergi jihad, pergi kelas agama pun belum tentu. Mereka ini sangat-sangat memerlukan ilmu pengetahuan yang benar. Mereka itu hidup selamba sahaja menjalani kehidupan mereka tanpa tahu amalan mana yang benar, mana yang salah, apa yang perlu dibuat dan sebagainya. Maka mestilah ada guru agama yang mengajar mereka.
Merekalah yang mengajar, dan mereka yang menegur masyarakat mereka jika ada yang melakukan perkara yang salah. Hendaklah mereka memberi peringatan kepada kaum mereka. Ini adalah kerana, memang masyarakat memerlukan peringatan. Kena ada orang alim yang boleh menegur mereka dan kena pergi kepada mereka, bukannya tunggu golongan itu datang. Mereka itu memang sudah tidak pergi ke kelas pengajian, maka kalau tunggu mereka memang mereka tidak datang. Orang yang tahu agama yang kena pergi kepada mereka.
Ini kerana kalau masyarakat dibiarkan sahaja, entah apa jadinya. Mereka akan ikut hawa nafsu mereka dan buat perkara yang berlawanan dengan agama. Syaitan akan ambil kesempatan untuk menyesatkan mereka. Ajaran sesat pun senang untuk disebarkan kepada golongan yang jahil agama. Malangnya, orang agama dalam kalangan kita selalunya takut untuk menegur masyarakat.
Ayat ini menekankan tentang kepentingan ilmu. Tanpa ilmu apalah yang akan terjadi kepada sesebuah masyarakat. Kita boleh lihat bagaimana teruknya masyarakat Melayu kita yang sudah jauh daripada bidang ilmu sekarang. Perkara asas di dalam agama pun mereka tidak tahu. Anak-anak kita terutamanya mesti dididik dengan pengetahuan agama supaya tidak mudah ajaran sesat masuk ke dalam fikiran mereka. Pelik-pelik sekarang kita boleh lihat. Terbaru sekarang kita lihat ada yang berani mengatakan Nabi Muhammad ﷺ itu adalah Allah!
Ya, kita marah apabila ini berlaku di dalam masyarakat. Namun tahukah anda kenapa ini terjadi? Kerana pengetahuan ilmu agama amat kurang di dalam masyarakat kita. Semua sibuk dengan hal keduniaan masing-masing dalam bab kehidupan sampaikan ilmu agama hanyalah ilmu sampingan sahaja. Ilmu agama hanya didalami setelah meningkat usia dan umur sudah pencen sahaja. Mereka sangka ilmu agama ini untuk golongan yang hendak menjadi ustaz sahaja. Ini adalah fahaman yang salah. Kita kena belajar agama sampai boleh menjadi ustaz, tetapi bukanlah belajar untuk jadi ustaz!
Disebabkan tidak ada asas ilmu agama, maka amat senang tertipu oleh syaitan, ditipu dengan guru sesat, senang kena tipu dengan fahaman yang salah. Kita semua tidak suka ditipu, bukan? Namun kenapa senang sahaja ditipu dalam hal agama? Ini amat pelik.
Kerana pentingnya ilmu agama inilah maka banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang menyentuh tentangnya begitu juga dengan hadith-hadith Rasulullah ﷺ dan kata-kata ulama’. Kita kongsikan di sini beberapa dalil berkenaannya:
يَرفَعِ اللهُ الَّذينَ ءآمَنوا مِنكُم وَالَّذينَ أوتُوا العِلمَ دَرَجٰتٍ
nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. (Mujadilah:11)
Hadith-hadith Kepentingan Ilmu
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه, bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا، سَهَّلَ اللهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah ﷻ akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah ﷻ , membaca kitab Allah ﷻ (Al-Qur’an) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah ﷻ akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.
(Riwayat Muslim (4867))
Di dalam hadith yang lain:
فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit
(Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad).
Di dalam hadith yang lain:
مَنْ يُرِد اللَّه بِهِ خيْراً يُفَقِّهْهُ في الدِّينِ
“Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan baginya Allah akan fahamkan dia dalam urusan agamanya.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadith yang lain:
مَنْ خَرَجَ في طَلَبِ العِلْمِ فَهُوَ في سَبيلِ اللهِ حَتَّى يَرْجِعَ
“Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu maka dia berada di jalan Allah sehinggalah dia kembali (ke tempat asalnya).”
(Riwayat At-Tirmidzi )
Status: Hasan gharib
Di dalam hadith yang lain:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَبْتَغِي فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَريقًا إِلَى الجَنَّةِ، وَإنَّ المَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أجْنِحَتَهَا لِطَالِبِ العِلْمِ رِضًا بِمَا يَصْنَعُ
“Sesiapa yang menempuhi satu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga. Sesungguhnya malaikat merendahkan sayapnya bagi penuntut ilmu kerana redha dengan apa yang dilakukan oleh penuntut ilmu tersebut.”
(Riwayat Abu Daud, At-Tirmidzi dan Ibnu Majah daripada hadith Abu al-Darda’ dengan sanad yang Hasan)
Di dalam hadith yang lain:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
“Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim.”
(Riwayat Ibnu Majah daripada hadi Anas bin Malik. Hadis ini dinilai sebagai hasan oleh al-Hafiz al-Mizzi kerana sanadnya yang banyak)
Di dalam hadith yang lain:
أَلَا إِنَّ الدُّنْيَا مَلْعُونَةٌ مَلْعُونٌ مَا فِيهَا إِلَّا ذِكْرُ اللَّهِ وَمَا وَالَاهُ وَعَالِمٌ أَوْ مُتَعَلِّمٌ
“Ketahuilah, sesungguhnya dunia itu dilaknat dan dilaknat apa yang ada di dalamnya melainkan zikir kepada Allah dan apa yang dicintai oleh Allah, orang alim dan penuntut ilmu.”
(Riwayat At-Tirmidzi daripada hadith Abu Hurairah)
Status: Hasan gharib
Di dalam hadith yang lain:
عَنْ مُعَاوِيَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ )) أَخْرَجَه البُخَارِي وَ مُسْلِم
Daripada Muawiyah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: ((Barangsiapa yang dikehendaki Allah ﷻ kebaikan baginya, maka Allah ﷻ akan menjadikan dia faham dalam bidang agama.))
(Sahih Bukhari dan Muslim)
Di dalam hadith yang lain:
وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ((إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ )) رواه مسلم
Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata: Rasulullah ﷺ bersabda: ((Apabila matinya seorang anak Adam itu, maka akan terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya (oleh orang lain), atau anak soleh yang mendoakannya.))
(Sahih Muslim)
Di dalam hadith yang lain:
عن أنس رضي الله عنه مرفوعاً: «من خَرج في طلب العلم فهو في سَبِيلِ الله حتى يرجع»
Anas رضي الله عنه meriwayatkan secara marfū’: “Siapa yang keluar dalam rangka mencari ilmu, maka dia berada di jalan Allah sampai ia kembali.”
(Jami’ At-Tirmidzi)
Status: Hasan
Di dalam hadith yang lain:
عَنْ كَثِيرِ بْنِ قَيْسٍ قَالَ كُنْتُ جَالِسًا عِنْدَ أَبِي الدَّرْدَاءِ فِي مَسْجِدِ دِمَشْقَ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا أَبَا الدَّرْدَاءِ أَتَيْتُكَ مِنْ الْمَدِينَةِ مَدِينَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِحَدِيثٍ بَلَغَنِي أَنَّكَ تُحَدِّثُ بِهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَمَا جَاءَ بِكَ تِجَارَةٌ قَالَ لَا قَالَ وَلَا جَاءَ بِكَ غَيْرُهُ قَالَ لَا قَالَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلَائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ طَالِبَ الْعِلْمِ يَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانِ فِي الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ إِنَّ الْعُلَمَاءَ هُمْ وَرَثَةُ الْأَنْبِيَاءِ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Daripada [Katsir bin Qais] dia berkata; “Ketika aku sedang duduk di samping [Abu Darda رضي الله عنه] di masjid Damaskus, tiba-tiba datang seseorang seraya berkata; “Hai Abu Darda, aku mendatangi anda dari kota Madinah, kota Rasulullah ﷺ kerana satu hadith yang telah sampai kepadaku, bahawa engkau telah menceritakannya daripada Nabi ﷺ! ” Lalu Abu Darda رضي الله عنه bertanya; “Apakah engkau datang kerana berniaga?” Katsir bin Qais menjawab; “Bukan,” Abu Darda رضي الله عنه bertanya lagi, “Apakah kerana ada urusan yang lainnya?” Katsir bin Qais menjawab; “Bukan,” Katsir bin Qais berkata; “Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa meniti jalan untuk mencari ilmu, Allah akan permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para Malaikat akan membentangkan sayapnya kerana redha kepada penuntut ilmu. Dan seorang penuntut ilmu akan dimintakan ampunan oleh penghuni langit dan bumi hingga ikan yang ada di air. Sungguh, keutamaan seorang alim dibandingkan seorang ahli ibadah adalah ibarat bulan purnama atas semua bintang. Sesungguhnya para ulama adalah pewaris para Nabi, dan para Nabi tidak mewariskan dinar mahupun dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu. Barangsiapa mengambilnya, maka dia telah mengambil bahagian yang sangat besar.”
(Sunan Abu Dawud (219))
Status: Disahihkan oleh Albani
Kata-Kata Hikmah Berkaitan Kepentingan Ilmu
Telah berkata Ibn Abbas رضي الله عنهما: “Aku merendah diri ketika menuntut ilmu maka aku dimuliakan ketika diminta mengajarkan ilmu”.
Telah berkata Abu Darda’ رضي الله عنه: “Aku mempelajari satu masalah ilmu itu lebih aku suka daripada qiyamullail”.
Telah berkata Ibn al-Mubarak رضي الله عنه: “Aku hairan dengan orang yang tidak pernah menuntut ilmu. Bagaimana dia boleh mendakwa dirinya mulia?”.
Telah berkata Imam al-Syafi’e رحمه الله: “Menuntut ilmu itu lebih baik daripada melakukan ibadah sunat”.
Berkata Muaz bin Jabal رضي الله عنه:
قَالَ مُعَاذُ بْن جَبَل رَضِيَ اللهُ عَنْهُ: “تَعَلَّمُوا الْعِلْمَ فَإِنَّ تَعَلُّمَهُ لِلَّهِ خَشْيَةٌ، وَطَلَبَهُ عِبَادَةٌ، وَمدَارَسَتَهُ تَسْبِيحٌ، وَالْبَحْثُ عَنْهُ جِهَادٌ، وَتَعْلِيمَهُ لِمَنْ لاَ يَعْلَمُهُ صَدَقَةٌ، وَبَذْلَهُ لأَهْلِهِ قُرْبةٌ، وَهُوَ الأَنِيْسُ فِي الوَحْدَةِ، وَالصَّاحِبُ فِي الخَلْوَةِ”.
“Tuntutlah ilmu, sesungguhnya menuntutnya kerana Allah adalah satu bentuk ketaqwaan, mencarinya adalah ibadah, mengulangkajinya adalah tasbih, mengkajinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah, menyampaikannya kepada ahlinya adalah mendekatkan diri kepada Allah. Dia adalah teman kala keseorangan dan sahabat ketika bersendirian.”
لَعَلَّهُم يَحذَرونَ
supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.
Dengan adanya mereka yang mendalami agama dan menegur dan mengingatkan masyarakat mereka, mudah-mudahan masyarakat boleh belajar agama Islam dan menjaga agama mereka. Kalimah يَحذَرونَ daripada katadasar ح ذ ر yang bermaksud waspada, ambil iktibar, berhati-hati, langkah berjaga-jaga, takut, seseorang yang waspada.
Maka ini mengajar kita dengan belajar agama ini kerana kita hendak mengingatkan diri kita dan masyarakat untuk berjaga-jaga supaya jangan tersilap langkah dalam bertindak semasa hidup di dunia ini. Inilah tujuan belajar agama iaitu memberi peringatan. Bukannya semata-mata untuk mendapatkan sijil untuk layak bekerja atau naik pangkat, untuk mendapat gelaran ustaz, untuk disanjung masyarakat, untuk isi masa lapang dan lain-lain lagi.
Sebab itulah penting orang yang belajar agama secara tafaqquh sampaikan ilmu wahyu kepada masyarakat. Kalau tidak sampaikan maka akan dicela oleh Allah ﷻ sebagaimana Allah ﷻ mencela golongan Yahudi yang ada ilmu, tetapi tidak sampaikan. Ini ada disentuh di dalam tafsir Fatihah: 7
غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ
Bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai
Allah ﷻ juga tegur mereka dengan keras dalam Ali Imran: 71
يَـٰٓأَهلَ الْكِتٰبِ لِمَ تَلْبِسُونَ الْحَقَّ بِالْبٰطِلِ وَتَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu pula menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuinya?
Sekian Ruku’ 15 daripada 16 ruku’ dalam surah ini.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 26 Julai 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
