Baqarah Ayat 116: Ini adalah rungutan keempat Allah ﷻ ke atas sifat degil manusia. Sudahlah tidak mengamalkan tauhid, kemudian melarang tauhid daripada diamalkan dan melawan penyebar tauhid, sekarang mereka kata Allah ﷻ pula ada wakil.
Ini adalah kata-kata yang amat berat. Mereka kata Allah ﷻ ada anak. Ini kerana mereka hendak seru anak Allah ﷻ yang dijadikan wakil itu dalam bentuk wasilah. ‘Anak’ dalam ayat ini maksudnya ‘wakil’ atau naib.
وَقالُوا اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا ۗ سُبحَـٰنَهُ ۖ بَل لَّهُ ما فِي ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَالأَرضِ ۖ كُلٌّ لَّهُ قَـٰنِتُونَ
They say, “Allah has taken a son.” Exalted is He! Rather, to Him belongs whatever is in the heavens and the earth. All are devoutly obedient to Him,
Dan mereka (orang-orang musyrik) berkata: “Allah mempunyai anak”. Maha Suci Allah (dari apa yang mereka katakan itu), bahkan Dia lah Yang memiliki segala yang di langit dan di bumi, semuanya itu tunduk di bawah kekuasaanNya.
وَقَالُوا
Dan mereka kata;
Yang berkata itu adalah orang Yahudi, Nasrani dan juga puak Musyrikin Mekah. Mereka berkata itu dalam keadaan menghina Allah ﷻ. Selain dari itu, ramai lagi manusia selain mereka yang juga berkata begitu, bukan mereka sahaja.
اتَّخَذَ اللَّهُ وَلَدًا
Allah mengambil anak;
Lafaz ‘anak’ di sini maksudnya adalah ‘anak angkat’. Maksudnya mereka bertawassul kepada sesiapa yang mereka anggap sebagai ‘anak angkat Allah ﷻ’. Iaitu mereka bertawassul kepada Nabi-Nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat.
Mereka hendak kata bahawa apabila kita berdoa, nabi-nabi, wali-wali dan malaikat-malaikat itu yang akan menyampaikan doa itu kepada Allah ﷻ.
Yahudi kata Nabi Uzair عليه السلام adalah anak Allah ﷻ.
Nasrani kata Nabi Isa عليه السلام adalah anak Allah ﷻ.
Orang Musyrikin kata malaikat-malaikat adalah anak perempuan Allah ﷻ.
Masyarakat kita yang jauh dari wahyu pun telah melantik ‘wakil’ bagi Allah ﷻ. Mereka akan berdoa melalui ‘perantara’ yang mereka sendiri lantik seperti Nabi, wali dan malaikat. Ini adalah ajaran rekaan yang dibawa manusia yang jauh dari wahyu.
سُبحَـٰنَهُ
Maha suci Allah;
Allah ﷻ suci daripada memiliki persamaan atau memerlukan wakil dalam penyembahan. Allah ﷻ tidak layak mempunyai anak.
Perkataan سُبْحَانَ berasal dari perkataan ‘berenang’. Iaitu berenang dengan kepala di atas air, kepala tidak tenggelam ke dalam. Bermaksud kita meninggikan Allah ﷻ daripada kata-kata manusia yang mengatakan tentang Allah ﷻ dengan kata-kata yang tidak benar. Oleh itu, apabila orang berkata yang salah tentang Allah ﷻ, kita kena kata Subhanallah. Kita menidakkan kata-kata mereka itu. Maksudnya, kita kata Allahﷻ tidak begitu.
Bukankah kalau berenang, kita berseorangan sahaja? Ini juga isyarat bahawa kadang-kadang kita sahaja yang terima Islam yang benar. Nabi-nabi selalunya berseorangan dalam menyampaikan dakwah mereka. Macam Nabi Ibrahim عليه السلام, baginda seorang sahaja yang beriman asalnya.
Ini seperti juga para sahabat Nabi di Mekah, selalunya mereka seorang sahaja yang menerima Islam dalam keluarga mereka. Berapa ramai juga orang yang lahir dalam keluarga kafir, tetapi dia seorang sahaja yang masuk Islam. Kalau dalam zaman sekarang, mungkin kita seorang sahaja dalam keluarga kita yang mengamalkan Sunnah.
Begitulah lumrah alam. Kadang-kadang kita berseorangan sahaja mengamalkan Islam yang sunnah. Ini tidak menjadi masalah kerana ini adalah sunnatullah. Ia berlaku semenjak zaman berzaman.
بَلْ لَّهُ مَا فِي ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَالْأَرْضِ
Bahkan sebenarnya milikNya sahaja apa sahaja yang di langit dan bumi;
Segala ada dalam alam ini adalah dimiliki oleh Allah ﷻ. Ini kerana Dia yang mencipta alam ini, maka Dia sahajalah yang layak menguasainya. Maka tidak ada ilah selain daripada Allah ﷻ, tidak ada tuhan selain daripada Allah ﷻ. Bayangkan, kalau Allah ﷻ mempunyai anak, tentulah anak itu ada pula ada kawasannya pula.
Maksudnya, kalau Allah ﷻ ada anak, maka Allah ﷻ berkongsi pula dengan anak-Nya dalam memerintah alam ini (ada kawasan ayah dan ada kawasan anak-anak pula). Tentulah tidak begitu. Semua alam ini milik Allah ﷻ sahaja.
كُلٌّ لَّهُ قَـٰنِتُونَ
Semua sekali makhluk-makhluk ini kepada Allah jua mereka tunduk patuh.
Semua makhluk tunduk patuh kepada Allah ﷻ belaka. Oleh itu, tidak ada yang menjadi wakil Allah ﷻ. Tidak ada yang berkongsi pemilikan dan pentadbiran alam ini dengan Allah ﷻ.
Selain Allah ﷻ semuanya adalah makhluk belaka dan semuanya tunduk kepada Allah ﷻ dan menyahut arahan daripada Allah ﷻ dengan taat. Maka kenapa kita tidak tunduk hanya kepada Allah ﷻ sahaja sedangkan semua yang lain tunduk patuh hanya kepada Allah ﷻ? Kenapa kita tidak terima ayat-ayat Allah ﷻ kepada kita?
Bagaimana hendak kata semua sekali patuh kepada Allah ﷻ? Bagaimana pula dengan orang kafir yang tidak menurut perintah Allah ﷻ? Walaupun orang kafir tidak menurut perintah Allah ﷻ tetapi tubuh badannya tetap menurut perintah Allah ﷻ. Bernafas, bergerak dan sebagainya.
Baqarah Ayat 117: Allah ﷻ terus menerangkan tentang Diri-Nya.
بَديعُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَالأَرضِ ۖ وَإِذا قَضىٰ أَمرًا فَإِنَّما يَقولُ لَهُ كُن فَيَكونُ
Originator of the heavens and the earth. When He decrees a matter, He only says to it, “Be,” and it is.
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” Lalu menjadilah ia.
بَدِيعُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَالْأَرْضِ
Dialah yang mencipta langit dan bumi;
Kalimah بَدِيعُ itu bermaksud mencipta sesuatu daripada tiada kepada ada. Allah ﷻ mencipta alam ini tanpa ada contoh daripada alam lain. Maksudnya Allah ﷻ tidak tiru daripada mana-mana alam lain.
Dari katadasar yang sama juga menjadi kalimah ‘bidaah’ yang kita selalu dengan itu. Ini kerana bidaah bermaksud mencipta amalan agama yang tidak ada contoh daripada Nabi.
Maka Allah ﷻ mencipta alam ini dengan tidak ada contoh. Tidaklah Allah ﷻ meniru alam ini daripada alam-alam yang lain. Kadang-kadang kita pun ada mencipta juga. Tetapi ciptaan kita adalah daripada bahan-bahan yang sudah ada dan kita bukannya mencipta benda yang baru. Ini kerana kita hanya mengubah atau menambahbaik daripada sesuatu yang sudah ada. Kalau kita cipta kapal terbang, kita hanya mengikut contoh burung yang Allah ﷻ ciptakan.
Tetapi Allah ﷻ mencipta alam ini daripada tiada kepada ada, dan tidak ada contoh pun sebelumnya. Allah ﷻ beritahu perkara ini kerana hendak memberitahu kita tentang kehebatan-Nya.
وَإِذَا قَضَىٰ أَمْرًا
Dan apabila Allah membuat keputusan untuk membuat sesuatu;
Allah ﷻ juga ada kehendak. Salah satu kehendak Allah ﷻ adalah untuk menjadikan sesuatu. Iaitu kehendak mencipta. Tetapi cara Allah ﷻ mencipta, tidaklah sama dengan kita. Kalau kita hendak buat sesuatu, banyak perkara yang kita kena lakukan.
فَإِنَّمَا يَقُولُ لَهُ كُنْ فَيَكُونُ
maka dia hanya perlu kata ‘jadi’, maka jadilah;
Apabila Allah ﷻ berkehendak untuk membuat sesuatu, maka sudah terjadi. Tidak perlu kata ‘kun’ pun sebenarnya. Allah ﷻ sebut tentang kalimah كن itu kerana hendak menunjukkan cepatnya qudrat Allah ﷻ.
Pemahaman كُنْ فَيَكُونُ sepatutnya difahami oleh orang Nasrani. Ini kerana Nabi Isa عليه السلام dijadikan begitu juga. Mereka pun tahu yang Nabi Isa عليه السلام dijadikan tanpa ayah. Kalau Nabi Adam عليه السلام, semua tahu baginda dijadikan tanpa ibu dan ayah. Maka tentulah kejadian baginda seperti كُنْ فَيَكُونُ ini juga.
Baqarah Ayat 118: Ini adalah rungutan kelima daripada Allah ﷻ.
وَقالَ الَّذينَ لا يَعلَمونَ لَولا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ أَو تَأتينا ءَايَةٌ ۗ كَذٰلِكَ قالَ الَّذينَ مِن قَبلِهِم مِّثلَ قَولِهِم ۘ تَشَـٰبَهَت قُلوبُهُم ۗ قَد بَيَّنَّا ٱلأَيَـٰتِ لِقَومٍ يوقِنونَ
Those who do not know say, “Why does Allah not speak to us or there come to us a sign?” Thus spoke those before them like their words. Their hearts resemble each other. We have shown clearly the signs to a people who are certain [in faith].
Dan (orang-orang musyrik) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata: “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mukjizat)?” Demikian pula orang-orang (kafir) yang terdahulu dari mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka; hati mereka (sekaliannya) adalah bersamaan (degil dan kufur). Sesungguhnya Kami telah pun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.
وَقَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Dan berkata orang-orang yang tidak tahu:
Yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah. Ayat ini tentang mereka kerana mereka tidak tahu wahyu dan tidak ada kitab. Nabi mereka pun sudah lama tidak ada jadi pengetahuan tentang agama mereka amat kurang. Ada juga pendapat yang mengatakan ia termasuk golongan Ahli Kitab yang jahil wahyu.
لَوْلَا يُكَلِّمُنَا اللَّهُ
kenapakah Allah tidak berbicara langsung kepada kami?;
Mereka kata kenapakah wahyu itu perlu melalui Nabi Muhammad ﷺ pula? Kenapa Allah ﷻ tidak bercakap terus sahaja dengan manusia? Ini sekarang mereka menggunakan logik akal mereka. Kalau pakai otak sendiri memang begitu.
Tentu ada yang terfikir: “Kalau terus dapat maklumat daripada Allah ﷻ, bukankah senang? Tentu tidak ada yang menentang Allah ﷻ lagi kerana semua sudah tahu kebenaran. Tetapi sekarang bila pakai perantara, kita pun rasa, entah benar ataupun tidak Allah ﷻ ada sampaikan maklumat wahyu ini?”
Atau, ia boleh bermaksud: kenapa Allah ﷻ sendiri tidak beritahu kami secara terus bahawa engkau Muhammad, adalah Rasul utusanNya?
Di dalam ayat yang lain, Allah ﷻ jelaskan kenapa Allah ﷻ tidak terus berkomunikasi dengan mereka. Ini kerana kedudukan Allah ﷻ amat tinggi maka tidak layak untuk bercakap terus dengan semua makhluk.
Ini juga kerana beratnya wahyu yang disampaikan, maka orang biasa tidak mampu untuk menerima wahyu terus daripada Allah ﷻ. Maka kerana itulah penyampaian wahyu dilakukan seperti yang Allah ﷻ telah tetapkan.
أَوْ تَأْتِينَا ءَايَةٌ
atau Dia datang bawa satu dalil bukti?;
Yang dimaksudkan adalah mukjizat. Iaitu mereka mahukan mukjizat diberikan kepada mereka. Antaranya mereka hendak Nabi Muhammad ﷺ menjadikan bumi Mekah yang berbatu dan gersang itu semua menjadi tanah. Mereka hendakkan air keluar dari bukit supaya mereka boleh bercucuk tanam.
Apabila manusia minta, tidaklah Allah ﷻ beri. Allah ﷻ tidak perlu ikut kehendak makhluk. Mukjizat bukan terjadi ikut kehendak sesiapa pun, kecuali kehendak Allah ﷻ. Walaupun Nabi Muhammad ﷺ pernah melakukan mukjizat, tapi itu bukanlah ikut kehendak baginda, tapi hanya apabila Allah ﷻ kehendaki.
كَذَٰلِكَ قَالَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ
Dan demikianlah, berkata orang-orang sebelum mereka;
Bukan Musyrikin Mekah yang mula-mula berkata begitu dan membuat permintaan dan hujah-hujah yang mengarut. Sebenarnya, orang-orang dahulu pun sudah berkata begitu juga.
مِّثْلَ قَوْلِهِمْ
sepertimana kata-kata mereka;
Sama sahaja kata-kata Musyrikin Mekah dan umat-umat terdahulu yang telah dibinasakan kerana sepertimana Nabi-nabi memperkatakan perkara yang sama tentang tauhid, syaitan-syaitan yang menyesatkan mereka pun menggunakan was-was yang sama sahaja.
Hujah yang sama sahaja yang syaitan gunakan kepada manusia dari dahulu sehingga sekarang. Kerana itulah kalau kita belajar tentang syaitan, sebagai contoh belajar Talbis Iblis, ajaran itu adalah relevan dari zaman berzaman kerana sama sahaja modal yang digunakan oleh syaitan.
تَشَـٰبَهَت قُلُوبُهُمْ
serupa sahaja hati-hati mereka;
Orang yang sesat dahulu dan sesat sekarang ini, sama sahaja kata-kata mereka dan apa yang ada di dalam hati mereka. Jadi, untuk kita kenal musyrikin sekarang, kita boleh lihat sama sahaja perkataan mereka dengan kata-kata orang-orang Musyrikin Mekah dahulu.
Memang menakjubkan, kerana kita akan dapat lihat bahawa kata-kata mereka itu adalah sama sahaja. Begitu juga dengan orang-orang yang sama macam orang-orang Yahudi dan Nasrani. Kita boleh lihat bahawa kata-kata mereka adalah sama sahaja.
Orang Melayu yang menentang wahyu Allah ﷻ pun sama sahaja. Apabila mereka keluarkan hujah, terdetik dalam kepala kita: “Alamak, samalah dengan kata-kata Abu Jahal dan kawan-kawan dia….”. Mereka sahaja tidak perasan kerana mereka tidak belajar tafsir Al-Qur’an.
قَدْ بَيَّنَّا ٱلأَيَـٰتِ
Sesungguhnya telah Kami jelaskan tanda-tanda bukti;
Sebenarnya, dalil dan bukti itu telah diberikan kepada semua manusia. Sudah banyak mukjizat ditunjukkan kepada mereka. Tetapi mereka minta macam-macam itu kerana hendak menjadikan Nabi terdiam tidak boleh menjawab kata-kata mereka.
Mukjizat yang mereka minta bukannya kerana hendakkan bukti tetapi kerana niat buruk mereka itu. Itu sebab mereka minta macam-macam perkara yang mengarut. Sememangnya Nabi ﷺ tidak boleh buat mukjizat mengikut suka baginda dan bukannya perlu untuk Allah ﷻ layan kehendak mereka itu.
Sepatutnya, kalau mereka hendakkan bukti, memang telah ada banyak diberikan kepada mereka, tetapi yang boleh terima hanyalah:
لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
orang-orang yang yakin sahaja;
Iaitu mereka yang yakin bahawa Allah ﷻ adalah Pencipta yang tiada tandingan. Mereka ini orang yang hati mereka telah contoh dengan kebenaran. Jadi apabila dalil dan bukti diberikan kepada mereka, mereka terus semakin yakin dengan kebenaran. Ini kerana hati mereka telah terbuka kepada kebenaran.
Sedangkan dalil yang sama diberikan kepada orang yang degil, tetapi mereka tolak kerana hati mereka memang tidak mahu menerima kebenaran. Hati mereka memang hendak buat apa yang mereka ingin sahaja.
Baqarah Ayat 119: Ayat ini adalah jenis ayat Tasliah. Maknanya pujuk rayu Allah ﷻ kepada Nabi ﷺ dan sahabat Nabi untuk meneruskan dakwah. Allah ﷻ hendak memberikan ketenangan kepada mereka supaya mereka terus kuat dalam usaha dakwah mereka.
Oleh kerana mereka semua telah meninggal, sekarang ia adalah pujuk rayu kepada orang yang sebar dan pegang agama tauhid. Maka ayat-ayat sebegini adalah sebagai motivasi kepada pendakwah.
إِنّا أَرسَلنَـٰكَ بِالحَقِّ بَشيرًا وَنَذيرًا ۖ وَلا تُسأَلُ عَن أَصحَـٰبِ الجَحيمِ
Indeed, We have sent you, [O Muhammad], with the truth as a bringer of good tidings and a warner, and you will not be asked about the companions of Hellfire.
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) pembawa khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman) dan pembawa amaran (kepada orang-orang yang ingkar). Dan (setelah engkau sampaikan semuanya itu), engkau tidak akan diminta (bertanggungjawab) tentang ahli neraka.
إِنَّا أَرسَلنَـٰكَ
Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (Muhammad);
Allah ﷻ menegaskan bahawa baginda telah diutus oleh Dia sendiri. Maka jangan baginda ragu-ragu. Jadi kita pun jangan ragu-ragu tentang perkara ini. Bila kita terima baginda sebagai Rasul, maka hendaklah kita terima ajaran baginda. Maka kena belajar apakah sunnah baginda.
Allah ﷻ berikan Rasul kepada manusia di atas rahmatNya. Kalaulah tidak diberikan Rasul, maka kita tidak ada contoh ikutan. Allah ﷻ tidaklah membiarkan kita terkontang-kanting tanpa panduan. Memang telah diberikan wahyu Al-Qur’an, tapi kalau tidak ada Rasul untuk memberikan contoh bagaimana mengamalkannya, bagaimana?
بِالْحَقِّ
dengan kebenaran;
Nabi ﷺ datang dengan agama yang benar. Baginda juga bawa kebenaran yang disampaikan oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak beritahu kepada baginda yang agama yang baginda bawa ini adalah benar. Maka jangan bimbang, jangan putus semangat.
Jadi ada dua perkara di sini:
1. Memang benar Nabi Muhammad ﷺ telah diutus oleh Allah ﷻ.
2. Nabi Muhammad ﷺ diutus dengan bawa kebenaran.
بَشِيرًا
Sebagai satu berita gembira;
Tugas baginda adalah untuk membawakan berita gembira kepada sesiapa yang mengikut pegangan tauhid dan membenarkan Nabi Muhammad ﷺ. Mereka dijanjikan dengan kemenangan dan kedudukan dalam syurga yang akan kekal abadi di dalamnya. Ini adalah sebagai motivasi semangat bagi orang yang baik-baik.
وَنَذِيرًا
dan sebagai ancaman;
Selain daripada berita gembira, tugas baginda juga menyampaikan ancaman. Ancaman pula kepada orang yang menentang tauhid. Maka kepada mereka yang masih lagi hendak membuat tawassul dalam berdoa dan menyembah selain Allah ﷻ, maka kepada mereka diberikan ancaman. Beritahu kepada mereka yang kalau mereka teruskan amalan syirik mereka itu, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.
Jadi, sampaikan berita gembira dan ancaman dan suruh mereka fikirkan: “Nak kekal dalam syurga atau nak kekal dalam neraka?” Ini adalah soalan yang amat penting. Ini bukan soalan main-main. Kalau gagal dalam peperiksaan, masih boleh tunggu tahun hadapan untuk ulang peperiksaan. Tetapi kalau gagal dalam pemilihan bab ibadah dan akidah, boleh kekal dalam neraka.
وَلَا تُسْأَلُ
Dan kamu tidak akan ditanya;
Allah ﷻ pujuk Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat رضي الله عنهم: Jikalau kamu telah melakukan kerja menyampaikan berita gembira dan peringatan ancaman kepada manusia, maka kamu tidak akan ditanya lagi. Kamu sudah menjalankan tanggungjawab kamu.
Maknanya, kita kenalah beritahu kepada manusia tentang tauhid dan ajaran agama Islam. Kalau kita simpan sendiri sahaja, tidak beritahu kepada kawan-kawan dan ahli keluarga kita, kita akan ditanya nanti. Kalau kita ditanya kenapa kita tidak sebarkan, apakah jawapan kita nanti di hadapan Allah ﷻ? Banyak sekali ayat-ayat dalam Al-Qur’an yang memberi isyarat kepada kita untuk menyampaikan ajaran Allah ﷻ kepada manusia.
عَنْ أَصحَـٰبِ الْجَحِيمِ
tentang penghuni neraka;
Kalau kita sudah sampaikan dakwah tauhid, kita tidak akan ditanya kenapa keluarga, sahabat dan jiran kita masuk neraka. Ini kerana mereka bukan lagi tanggungjawab kita. Kalau tidak buat lagi, pasti akan ditanya. Kalau kita sampaikan, barulah kita selamat.
Maknanya, kita kena sebar agama ini. Kena beritahu kepada keluarga, saudara mara dan sahabat handai. Ini adalah ayat yang menikam hati yang menggerakkan kita untuk menyebar agama kepada manusia. Memang hendak sampaikan dakwah ini agak berat. Kadangkala orang yang disampaikan itu tidak suka kita beri peringatan kepada mereka. Kadangkala kita ditentang.
Namun kita kena ingat, kalau kita tidak buat penyebaran itu, kita akan ditanya kenapa mereka masuk neraka. Sebelum mereka masuk neraka, kita dahulu yang akan ditanya. Maka memang ini adalah ujian bagi orang yang berilmu. Kita kena beritahu kepada manusia tentang Islam.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 28 Julai 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Jalalain