Tafsir Surah al-A’raf Ayat 204 (Adab dengan Al-Qur’an)

A’raf Ayat 204: Setelah Allah ‎ﷻ menyebutkan bahawa Al-Qur’an adalah bukti-bukti yang nyata bagi manusia dan petunjuk serta rahmat bagi mereka, lalu Allah ‎ﷻ memerintahkan agar mereka mendengarkannya baik-baik serta penuh perhatian dan tenang di saat Al-Qur’an dibacakan, untuk mengagungkan dan menghormatinya. Maka ini adalah targhib (ajakan) untuk kembali kepada Al-Qur’an.

وَإِذا قُرِئَ القُرءآنُ فَاستَمِعوا لَهُ وَأَنصِتوا لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when the Qur’ān is recited, then listen to it and pay attention that you may receive mercy.

MALAY

Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.

 

وَإِذا قُرِئَ القُرءآنُ فَاستَمِعوا لَهُ وَأَنصِتوا

Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah

Ini adalah adab kita apabila dibacakan ِAl-Qur’an. Kena dengarlah betul-betul dan jangan buat bising. Jangan ada gangguan waktu itu. Lafaz فَاستَمِعوا bermaksud: dengar baik-baik, betul-betul. Kena dengar dengan betul kerana hendak faham. Bukan dengar-dengar biasa sahaja kerana itulah kalimah yang digunakan di sini adalah فَاستَمِعوا dan bukan فاسمعوا. Di dalam kalimah فَاستَمِعوا itu ada penambahan huruf ت yang menambah maknanya.

Kalimah فَاستَمِعوا bermaksud kena dengar dengan niat dan dengan fokus. Kalau kalimah فاسمعوا boleh jadi sambil lewa sahaja, atau terdengar tanpa niat. Kita jangan buat malu dengan golongan jin. Ada golongan jin yang bila dengar Al-Qur’an, mereka pun mendengar dengan teliti! Ini disebut dalam Jin:1

قُل أوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ استَمَعَ نَفَرٌ مِّنَ الجِنِّ فَقالوا إِنّا سَمِعنا قُرءآنًا عَجَبًا

Katakanlah (wahai Muhammad): “Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Qur’an (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!

Lihatlah di dalam Surah Jin ini digunakan kalimah استَمَعَ iaitu mereka mendengar dengan teliti. Sebab itu mereka takjub dengan Al-Qur’an dan kemudian beriman dengannya.

Allah ‎ﷻ tambah dalam Surah A’raf ini kalimah أَنصِتوا, maksudnya kena senyap, kena diam kerana hendak dengar. Kalau setakat senyap sahaja dan bukan untuk mendengar, kalimah سكت yang digunakan. Kalimah أَنصِتوا dari katadasar ن ص ت yang bermaksud senyap, beri perhatian, dengar.

Ada juga pendapat yang mengatakan kalimah أَنصِتوا di sini berinteraksi dengan ayat-ayat yang dibaca. Iaitu mentaati. Contohnya apabila baca ayat tentang syurga, hatinya teringin dan rindu untuk pergi ke syurga dan buat persediaan untuk masuk ke dalamnya. Jadi bukanlah baca sahaja tanpa ada apa-apa kesan kepada yang membacanya.

Maka jangan bercakap pada waktu itu dan jangan buat benda dan hal lain dan tumpukan perhatian untuk mendengar satu persatu ayat-ayat Al-Qur’an. Inilah adab kita dengan Al-Qur’an yang jarang orang kita sedar. Namun kenapa kena senyap? Bukankah boleh sahaja dengar sambil bercakap atau buat kerja lain? Kerana fikiran manusia tidak boleh buat banyak benda dalam satu masa. Kalau kita bercakap, kapasiti minda kita akan berkurang banyak sampaikan kita tidak dengar sangat apa yang disebut.

Kerana itulah kena senyap. Dalam bahasa Inggeris terdapat perbezaan antara ‘hear’ dan ‘listen’. Untuk ‘hear’, itu hanya perbuatan mendengar sahaja, mungkin di luar kawalan kita, tidak memerlukan daya fokus tinggi, bunyi dikesan oleh pancaindera kita sahaja, akan tetapi untuk ‘listen’, memerlukan mendengar dengan teliti, memerlukan daya fokus dan perhatian daripada kita. Syaratnya memang kena senyap. Cuba lihat huruf yang membina perkataan ‘listen’ itu. Jika disusun menggunakan huruf yang sama, ia menjadi ‘silent’.

Hear or Listen?

 

LISTEN AND SILENT
Untuk mendengar kena senyap

Inilah juga dalil bagi mengatakan tidak boleh untuk kita memasang MP3 Al-Qur’an dan biarkan ia sebagai background music. Ramai yang buat seperti itu. Mereka memasang Al-Qur’an tetapi lepas itu buat kerja lain – bukan hendak dengar pun. Perbuatan ini tidak beradab dengan Al-Qur’an. Ketika Al-Qur’an dibacakan, kita tidak boleh buat kerja lain dan kita mesti dengar.

Begitulah juga kita semasa baca Al-Qur’an dalam salat, bukan? Kita baca Al-Qur’an dan kita dengar dengan baik dan cuba fahami apa yang kita sedang bacakan. Oleh itu, jangan pasang TV semasa kita sedang baca Al-Qur’an kerana kalau begitu, tandanya kita tidak menumpukan perhatian kepada ayat yang kita baca.

Begitu juga, semasa belajar Al-Qur’an atau belajar tafsir, kena tinggalkan perkara lain, jangan bersembang dengan kawan, jangan periksa telefon dan sebagainya – tumpukan perhatian kepada pengajaran. Barulah boleh faham apa yang disampaikan dan tidak tersalah faham pula.

Sekali lagi kita patut berasa malu dengan jin kerana Allah ‎ﷻ sebut ada antara mereka yang bila mendengar ayat Al-Qur’an dibacakan, mereka dengar dan mereka senyap mendengar dengan hormat. Ini disebut dalam Ahqaf: 29

وَإِذ صَرَفنا إِلَيكَ نَفَرًا مِّنَ الجِنِّ يَستَمِعونَ القُرءآنَ فَلَمّا حَضَروهُ قالوا أَنصِتوا ۖ فَلَمّا قُضِيَ وَلَّوا إِلىٰ قَومِهِم مُّنذِرينَ

Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Qur’an; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): “Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Qur’an itu dengan) memberi peringatan dan amaran.

Lihatlah di dalam ayat ini Allah ‎ﷻ sebut mereka يَستَمِعونَ (dengar dengan teliti) dan menegur kawan-kawan mereka supaya senyap أَنصِتوا. Hasilnya mereka faham Al-Qur’an dan boleh menjadi pendakwah pula kepada bangsa Jin. Kita pula tidak menghormati Al-Qur’an, tidak fokus dan tidak usaha belajar untuk faham. Sebab itu langsung tidak dapat dakwah kepada masyarakat menggunakan ayat Al-Qur’an. Sebab itu ada yang dakwah melalui nyanyi qasidah dan joget!

Dalam bab Fiqh, ayat ini menjadi dalil yang kita senyap semasa imam membaca ayat-ayat Al-Qur’an di dalam salat jama’ah. Bukannya kita sibuk dengan membaca Fatihah. Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا وَإِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوا وَإِذَا قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا اللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ

Daripada [Abu Hurairah] beliau berkata; bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Yang dijadikan imam adalah untuk diikuti. Maka bila dia bertakbir maka bertakbirlah kalian dan jika dia sedang membaca (Al Qur’an) maka diamlah. Bila dia mengucapkan, ‘Sami ‘alluhu liman hamidah (Allah Maha Mendengar terhadap semua yang memuji-Nya) ‘ maka ucapkan, ‘Allahumma rabbana lakal hamdu (Ya Allah Tuhan kami, segala puji untuk-Mu) ‘.”

(Sunan Nasa’i (912)) Status: Sahih

Di dalam hadith yang lain:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصَرَفَ مِنْ صَلَاةٍ جَهَرَ فِيهَا بِالْقِرَاءَةِ فَقَالَ هَلْ قَرَأَ مَعِي أَحَدٌ مِنْكُمْ آنِفًا قَالَ رَجُلٌ نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِنِّي أَقُولُ مَا لِي أُنَازَعُ الْقُرْآنَ قَالَ فَانْتَهَى النَّاسُ عَنْ الْقِرَاءَةِ فِيمَا جَهَرَ فِيهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْقِرَاءَةِ مِنْ الصَّلَاةِ حِينَ سَمِعُوا ذَلِكَ

Daripada [Abu Hurairah] bahawa Rasulullah ﷺ setelah salat yang bacaannya diperdengarkan, baginda bersabda: “Apakah tadi ada salah seorang daripada kalian yang ikut membaca ayat Al Qur’an bersamaku?” Seorang laki-laki menjawab.”Ya, wahai Rasulullah ﷺ!” Rasulullah ﷺ lalu bersabda: “Aku berkata kepada diriku apakah yang menandingiku dalam bacaan Al Qur’an?!” Abu Hurairah berkata; “Setelah mendengar sabda Nabi ﷺ tersebut orang-orang tidak membaca Al Qur’an lagi pada salat yang Rasulullah ﷺ mengeraskan bacaannya.”

(Sunan An-Nasa’i (910)) Status: Sahih

Akan tetapi mereka harus membaca dalam salat yang imam tidak mengeraskan bacaannya padanya, iaitu dengan suara yang perlahan dan hanya dapat didengar oleh mereka sendiri. Seseorang yang berada di belakang imam tidak layak pula ikut membaca bersama imam dalam salat jahriyah-nya, baik dengan bacaan perlahan mahupun keras.

Namun begitu bagaimana pula dengan hadith yang mengatakan tidak sah salat tanpa Fatihah? Ini seperti disebut di dalam senuah hadith yang masyhur:

لا صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Tiada salat bagi siapa yang tidak membaca al-Fatihah.

(Riwayat Al-Bukhari (756))

Ia tidak menjadi masalah kerana bacaan imam dikira sebagai bacaan makmum juga. Bacaan Imam itu menanggung Fatihah makmum. Ini seperti disebut dalam sebuah hadith:

مَنْ كَانَ لَهُ إِمَامٌ فَقِرَاءَةُ الإِمَامِ لَهُ قِرَاءَةٌ

“Barangsiapa yang salat di belakang imam, bacaan imam menjadi bacaan untuknya.”

(Musnad Ahmad dan Ibnu Majah no. 850. Syaikh Al Albani mengatakan bahawa hadith ini hasan)

Begitulah pendapat yang mengatakan ayat ini diturunkan secara khusus berkenaan berkata-kata di dalam salat. Maksudnya tidak boleh baca apa-apa surah ketika imam sedang membaca surah (selepas baca Fatihah). Inilah pendapat Imam Mazhab Hanafi, Maliki dan Ahmad.

Akan tetapi ada pendapat yang mengatakan ayat ini adalah panduan umum. Bila-bila masa sahaja kita dengar ayat Al-Qur’an dibaca, kena diam dan kena dengar. Maka makruhnya hukumnya kita berkata-kata atau melakukan apa-apa kerja lain yang menghalang kita daripada fokus kepada ayat Al-Qur’an yang sedang dibacakan.

Oleh kerana ia adalah umum (bukan ketika salat) maka bagi Mazhab Syafi’iy, tetap wajib membaca Fatihah setelah imam membaca Fatihah. Mereka berdalilkan hadith yang telah dikongsi sebelum ini tentang bacaan Fatihah:

لا صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Tiada salat bagi siapa yang tidak membaca al-Fatihah.

(Riwayat Al-Bukhari (756))

Maka ada khilaf ulama’ dalam pembacaan Fatihah di belakang imam yang salat jahr.

Satu lagi hukum daripada ayat ini mengajar kita yang kita tidak boleh berkata-kata di dalam salat. Pada awal Islam, dibolehkan lagi mereka yang salat bertegur sapa dalam salat, tetapi kemudian ia dilarang dengan turunnya ayat ini.

قال ابن مسعود : كنا يسلم بعضنا على بعض في الصلاة : سلام على فلان ، وسلام على فلان ، فجاء القرآن ( وإذا قرئ القرآن فاستمعوا له وأنصتوا لعلكم ترحمون )

Ibnu Mas’ud pernah menceritakan, “Dahulu para sahabat biasa mengucapkan salam di antara sesama mereka dalam salat, “maka turunlah ayat yang mengatakan: Dan apabila dibacakan Al-Qur’an, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kalian mendapat rahmat. (Al-A’raf: 204)

Walau bagaimanapun hal ini tidak menjadi masalah bagi kita kerana kita memang tidak bercakap-cakap pun ketika salat.

Bagaimana pula kalau ada orang di sebelah kita atau di sekeliling kita sedang membaca Al-Qur’an. Adakah kita pun kena dengar juga dan tidak buat apa-apa? Ulama’ khilaf tentang hal ini. Maka dalam perkara ini kena berhati-hati bagi para qari (pembaca) Al-Qur’an. Jangan baca dengan kuat sampai menyebabkan serba salah orang di sekeliling. Bacalah supaya telinga sendiri sahaja yang dengar.

Selain itu juga, tidak patut kalau bacaan ayat Al-Qur’an dikumandangkan ketika manusia memang tidak bersedia mendengarnya. Antaranya kita lihat ada sahaja  kedai-kedai yang memasang ayat Al-Qur’an sedangkan orang ramai bukan hendak dengar pun. Juga AJK masjid yang memasang ayat-ayat Al-Qur’an sebelum azan dikumandangkan. Pasang pada speaker yang kuat, kononnya untuk bagi orang dengar, tapi tidak pun. Sudahlah mengganggu orang ramai dan ini adalah salah. Seolah-olah memaksa orang mendengar ayat Al-Qur’an sedangkan mereka tidak bersedia waktu itu.

Isu ini sampai menjadi viral di negara kita apabila ada orang yang menegur dan marah-marah apabila suara bacaan Al-Qur’an itu mengganggu mereka (entah anak sedang tidur, sedang bekerja dan apa-apa sahaja). Bila ditegur, mulalah masyarakat kita marah kepada yang menegur. Sedangkan yang salahnya adalah orang surau/masjid yang memasang ayat Al-Qur’an menggunakan speaker itu. Begitulah realitinya orang surau tidak semestinya orang yang pandai agama.

 

لَعَلَّكُم تُرحَمونَ

supaya kamu beroleh rahmat.

Kalau kita beradab dengan Al-Qur’an, kita akan mendapat rahmat. Kalau kita mahu mendengar dengan saksama, kita akan mendapat rahmat.

Satu lagi yang kita kena lakukan apabila membaca Al-Qur’an adalah membaca isti’azah. Satu-satunya ibadah yang kita diajar baca isti’azah sebelum melakukannya adalah membaca Al-Qur’an. Kalau ketika makan dan perkara lain pun tidak diajar untuk baca isti’azah, bukan? Lihat Nahl: 98

فَإِذا قَرَأتَ القُرآنَ فَاستَعِذ بِاللهِ مِنَ الشَّيطانِ الرَّجيمِ

Apabila kamu membaca Al Qur’an hendaklah kamu meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk.

Ini adalah kerana syaitan akan mengganggu kita dalam pembacaan Al-Qur’an. Sudahlah syaitan tidak suka kita mendengar dan membaca Al-Qur’an, kemudian kalau kita dengar dan baca, syaitan akan kacau supaya kita tidak fokus. Bagaimana dapat rahmat kalau begitu? Syaitan tidak suka kalau kita faham dan ikut ajaran Al-Qur’an. Syaitan juga akan bisikkan fahaman-fahaman yang salah daripada Al-Qur’an jikalau kita tidak fokus.

Bukan syaitan sahaja tidak suka kita fokus kepada Al-Qur’an, malah orang kafir juga. Dalam ayat yang lain, ada disebut yang Musyrikin Mekah tidak suka kalau Al-Qur’an dibacakan. Mereka akan buat bising supaya orang lain tidak dengar Al-Qur’an dibacakan kerana mereka lihat, kalau orang yang mendengar Al-Qur’an dibacakan oleh Nabi Muhammad ﷺ dan para sahabat, ramai yang masuk Islam. Maka mereka tidak mahu orang lain dengar kerana mereka tidak mahu ramai yang masuk Islam. Ini disebut di dalam firman-Nya:

لَا تَسْمَعُوا لِهَذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ

Janganlah kalian mendengar dengan sungguh-sungguh akan Al-Qur’an ini dan buatlah hiruk pikuk terhadapnya. (Fussilat: 26)

Untuk mendapat rahmat daripaada pembacaan Al-Qur’an, tentulah kita kena faham ayat-ayat Al-Qur’an ini seperti golongan salaf dahulu. Amat rugi kalau kita tidak faham kerana kita tidak dapat mengambil manfaat dan rahmat daripada Al-Qur’an.

Malah terlebih bahaya kalau kita tidak belajar tafsir dengan sebenarnya, sampaikan kita reka pula fahaman baru yang salah tentang Al-Qur’an. Ini sebagaimana hadith Nabi ﷺ tentang Golongan Khawarij. Sifat-sifat golongan ini telah diisyaratkan oleh Rasulullah ﷺ dalam hadith Zu al-Khuwaisirah. Abi Sa’id al-Khudri berkata: Ketika kami bersama Rasulullah ﷺ sedang baginda membahagi-bahagikan beberapa pembahagian harta. Datanglah kepada Baginda, Zu al-Khuwaisirah daripada Bani Tamim lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ اعْدِلْ، فَقَالَ: «وَيْلَكَ، وَمَنْ يَعْدِلُ إِذَا لَمْ أَعْدِلْ، قَدْ خِبْتَ وَخَسِرْتَ إِنْ لَمْ أَكُنْ أَعْدِلُ». فَقَالَ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ائْذَنْ لِي فِيهِ فَأَضْرِبَ عُنُقَهُ؟ فَقَالَ: «دَعْهُ، فَإِنَّ لَهُ أَصْحَابًا يَحْقِرُ أَحَدُكُمْ صَلاَتَهُ مَعَ صَلاَتِهِمْ، وَصِيَامَهُ مَعَ صِيَامِهِمْ، يَقْرَءُونَ القُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ

“Wahai Rasulullah berlaku adillah!” Baginda ﷺ bersabda: “Celakalah engkau! Siapakah yang akan berlaku adil jika aku tidak adil, sungguh merugilah engkau jika aku tidak berlaku adil.” Maka Umar al-Khattab رضي الله عنه berkata: “Wahai Rasulullah! Izinkan aku untuk memenggal lehernya.” Baginda bersabda: “Biarkan dia, kerana dia mempunyai teman-teman yang salah seorang antara kamu akan diremehkan salatnya jika dibandingkan dengan salat mereka, dan puasanya jika dibandingkan dengan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melebihi kerongkong mereka, mereka terlepas daripada Islam sebagaimana terlepasnya anak panah daripada busurnya.”

(Riwayat al-Bukhari (3610))

Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “(Golongan Khawarij) itu dahulu digelar al-Qurra’ disebabkan oleh kerajinan mereka dalam membaca al-Qur’an dan beribadah. Kecuali mereka mentakwilkan al-Qur’an dengan apa yang tidak dimaksudkan dengannya. Taksub dengan pemikiran mereka dan berlebih-lebihan dalam zuhud, khusyuk dan selainnya.” (Lihat Fath al-Bari, 12/283)

Maka sebaliknya jadilah seperti golongan ibaadur rahman yang disebut di dalam Furqan: 73

وَالَّذينَ إِذا ذُكِّروا بِئآيٰتِ رَبِّهِم لَم يَخِرّوا عَلَيها صُمًّا وَعُميانًا

Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang-orang yang tuli dan buta.

Maknanya mereka ini boleh mengambil peringatan daripada ayat-ayat Al-Qur’an yang mereka baca dan mereka dengar. Mereka tidaklah seperti orang tuli (seolah tidak mendengar apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an kerana tidak faham) dan buta (tidak nampak pengajaran yang diajar oleh Al-Qur’an). Maka untuk menjadi orang sebegini, kena faham apa yang dibaca iaitu dengan belajar tafsir Al-Qur’an.

Semoga kita tidak termasuk orang yang Rasulullah ﷺ akan mengadu tentang umatnya nanti di akhirat kelak. Kalau baginda sampai mengadu kepada Allah ‎ﷻ, maka tentulah ini adalah hal yang amat besar, bukan? Apa aduan baginda itu? Ia disebut dalam Furqan: 30

وَقالَ الرَّسولُ يٰرَبِّ إِنَّ قَومِي اتَّخَذوا هٰذَا القُرآنَ مَهجورًا

Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Qur’an itu sesuatu yang tidak diacuhkan”.

Ketahuilah wahai umat Islam sekalian; kalau anda tidak mahu tahu apa yang disampaikan di dalam Al-Qur’an ini, tidak mahu belajar tafsir, tidak mahu tadabbur Al-Qur’an, maka nanti Rasulullah ﷺ akan mengadu tentang anda nanti di hadapan Allah ‎ﷻ!

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 2 Februari 2024

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment