Tafsir Surah Yunus Ayat 98 – 99 (Kisah Nabi Yunus عليه السلام)

Yunus Ayat 98:

فَلَولا كانَت قَريَةٌ ءآمَنَت فَنَفَعَها إيمٰنُها إِلّا قَومَ يونُسَ لَمّا ءآمَنوا كَشَفنا عَنهُم عَذابَ الخِزيِ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَمَتَّعنٰهُم إِلىٰ حينٍ

Sahih International

Then has there not been a [single] city that believed so its faith benefited it except the people of Jonah? When they believed, We removed from them the punishment of disgrace in worldly life and gave them enjoyment for a time.

Malay

(Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).

 

فَلَوْلَا كَانَتْ قَرْيَةٌ ءآمَنَتْ

Kenapakah tidak (penduduk) sesebuah desa beriman

Kenapakah tidak penduduk setiap negeri beriman pada masa yang sepatutnya? Kenapakah penduduk setiap negara, setiap negeri, setiap pekan tidak beriman awal-awal lagi? Kenapakah mereka nak tangguh untuk beriman? Inilah teguran Allah ﷻ kepada mereka.

 

فَنَفَعَهَا إِيمٰنُهَا

supaya imannya itu mendatangkan manfaat.

Jikalau penduduk sesebuah negeri itu beriman awal-awal lagi, maka sudah tentu iman mereka itu akan dapat memberi manfaat kepada mereka. Ini kerana bila dia telah beriman, maka imannya itu akan mendidik orang itu untuk hidup dengan cara Islam. Barulah perjalanan hidupnya menjadi mulia, jadi molek. Hanya orang yang beriman akan hidup dengan cara yang seperti yang Allah ﷻ kehendaki, yang Allah ﷻ telah susun dengan baik. Apabila ia baik, maka ia akan memberi manfaat. Bukan hanya kepada orang itu sahaja, tetapi kepada mereka yang di sekelilingnya juga.

Setiap orang hendaklah beriman sebelum nyawa mereka sampai ke halqum. Ataupun sebelum mereka dinampakkan dengan azab. Sekiranya nyawa sudah sampai ke halqum, atau telah nampak azab, dan pada waktu itu baru hendak beriman, maka iman mereka tidak akan diterima.

Itu adalah hukum yang umum. Hanya ada satu pengecualian sahaja yang Allah ﷻ telah berikan:

 

إِلَّا قَوْمَ يُونُسَ

Kecuali kaum Nabi Yunus sahaja

Iman kaum yang terbit hanya apabila telah melihat azab yang Allah ﷻ telah turunkan kepada mereka tidak akan diterima, kecuali sekali sahaja – Kaum Nabi Yunus عليه السلام. Hanya kepada mereka sahaja ada pengecualian dan tidak ada lagi sebelum dan selepas itu.

Surah ini dinamakan Surah Yunus dan nama Yunus hanya disebut dalam ayat ini sahaja. Siapakah Nabi Yunus عليه السلام? Secara ringkasnya, baginda hidup 800 tahun sebelum datangnya Nabi Isa عليه السلام. Kaum Nabi Yunus عليه السلام ini hidup di kawasan yang sekarang ini dikenali sebagai negara Iraq. Kisah baginda ada disebut dalam ayat lain.

Ahli sejarah menyebutkan bahawa Nabi Yunus عليه السلام adalah keturunan para Nabi dalam kalangan Bani Israil iaitu daripada keturunan Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim. Akan tetapi, tidak ada keterangan yang rinci pada tahun ke-berapa. Ahli sejarah menyebutkan bahawa Nabi Yunus عليه السلام diutus kepada suatu daerah yang bernama Nainawa (Ninawa), iaitu di daerah Al-Musil (Mosul), Iraq.

Kisah baginda tidak disebut di sini tetapi disebut dalam ayat yang lain antaranya Saffat:139-149

وَإِنَّ يونُسَ لَمِنَ المُرسَلينَ
Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang rasul,

Dalam ayat ini Allah ﷻ menegaskan dengan huruf Lam Taukid agar jangan sampai ada keraguan tentang Nabi Yunus عليه السلام termasuk di antara para rasul. Jangan sampai kita meragui tentang kesolehan dan juga kedudukannya di sisi Allah ﷻ.

إِذ أَبَقَ إِلَى الفُلكِ المَشحونِ
(ingatlah) ketika dia lari, ke kapal yang penuh muatan,

Allah ﷻ menggunakan lafaz أَبَقَ di mana istilah ini digunakan apabila seorang hamba lari daripada tuannya. Sehingga seakan-akan Allah ﷻ mengatakan bahawa Nabi Yunus عليه السلام seperti seorang hamba yang lari daripada tuannya, iaitu baginda pergi tanpa izin daripada Allah ﷻ.

Nabi Yunus عليه السلام mendakwahi kaumnya dalam waktu yang cukup lama, namun kaumnya tetap juga tidak mahu beriman. Kemudian, Nabi Yunus عليه السلام pun mengingatkan kaumnya tentang azab yang akan menimpa kaumnya dalam waktu tiga hari. Ternyata mereka juga tetap tidak beriman.

Akhirnya, setelah sekian lama kaumnya didakwahi dan tetap tidak beriman, Nabi Yunus عليه السلام kemudian berhenti mendakwahi mereka dan pergi meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah. Baginda telah menaiki sebuah kapal untuk meninggalkan tempat itu. Para ulama’ menyebutkan bahawa inilah kesalahan Nabi Yunus عليه السلام iaitu meninggalkan dakwah tanpa izin daripada Allah ﷻ.

فَساهَمَ فَكانَ مِنَ المُدحَضينَ
kemudian dia ikut berundi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian.

Tatkala kapal tersebut berlayar, di tengah lautan terjadi ombak yang sangat dahsyat yang dapat mengakibatkan tenggelamnya kapal tersebut. Orang-orang di kapal tersebut membuang barang-barang yang ada di kapal untuk mengurangi risiko tenggelam. Namun, mereka masih lagi terancam untuk tenggelam. Ada yang mengatakan bahawa waktu itu terjadi kilat dan petir, yang menurut mereka itu adalah isyarat bahawa ada orang yang bersalah di antara penumpang kapal tersebut.

Ada pula yang mengatakan bahawa tatkala terjadi ombak yang besar dan supaya kapal tidak tenggelam, harus ada penumpang yang dikurangi untuk selamat. Tidak ada cara lain untuk menempuh pilihan kedua ini melainkan dengan cara undian.

Kemudian, para penumpang kapal tersebut melakukan undian untuk melihat siapa yang namanya keluar. Disebutkan oleh Ibnu Katsir رحمه الله dalam tafsirnya, tatkala mereka melakukan undian, nama yang keluar adalah nama Nabi Yunus bin Matta عليه السلام. Namun kerana orang-orang yang ada di kapal mengenal Nabi Yunus عليه السلام sebagai orang yang soleh, maka mereka menghalang baginda terjun daripada kapal. Akhirnya, mereka kemudian mengundi kembali untuk kedua kalinya. Ternyata nama Nabi Yunus عليه السلام sekali lagi yang keluar. Maka, mereka pun masih merasa tidak sedap hati dengan keputusan undian itu.

Mereka tidak terfikir langsung bahawa orang sesoleh Nabi Yunus عليه السلام telah melakukan kesalahan yang mengakibatkan ombak begitu besar. Akhirnya, mereka pun mengundi untuk kali ketiga. Ternyata nama Nabi Yunus عليه السلام sekali lagi juga yang keluar. Orang-orang yang berada di atas kapal masih tetap tidak mahu Nabi Yunus عليه السلام terjun ke laut. Akhirnya, Nabi Yunus عليه السلام pun menyedari bahawa namanya telah keluar sebanyak tiga kali. Maka, baginda pun berdiri dan membuka bajunya, kemudian terus terjun ke dalam laut yang begitu dalam.

فَالتَقَمَهُ الحوتُ وَهُوَ مُليمٌ
Maka dia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tertuduh.

Para ulama’ menyebutkan bahawa makna وَهُوَ مُلِيمٌ adalah Nabi Yunus عليه السلام telah melakukan perbuatan yang salah iaitu meninggalkan kaumnya tanpa izin daripada Allah ‎ﷻ.

فَلَولا أَنَّهُ كانَ مِنَ المُسَبِّحينَ
Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah,

لَلَبِثَ في بَطنِهِ إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ
nescaya dia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit.

Ketika Nabi Yunus عليه السلام berada di dalam perut ikan paus, baginda sedar bahawa baginda telah melakukan kesalahan kepada Allah ﷻ. Ketika itu Nabi Yunus عليه السلام menyeru Allah ﷻ di dalam kegelapan. Para ulama’ mengatakan bahawa Nabi Yunus عليه السلام tatkala itu sedang diliputi tiga kegelapan, yang pertama adalah kegelapan lautan, kedua adalah kegelapan perut ikan paus, dan ketiga adalah kegelapan malam.

Sekiranya Nabi Yunus عليه السلام tidak berdoa dan bukan termasuk orang-orang yang soleh, maka pasti Nabi Yunus عليه السلام akan tetap berada di dalam perut ikan paus tersebut hingga hari kiamat.

فَنَبَذنٰهُ بِالعَراءِ وَهُوَ سَقيمٌ
Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang dia dalam keadaan sakit.

Mengenai tempoh berapa lama Nabi Yunus عليه السلام berada di dalam perut ikan paus, terdapat beberapa pendapat. Ada yang menyebutkan bahawa Nabi Yunus عليه السلام ditelan di pagi hari, kemudian di petang hari dimuntahkan oleh ikan paus. Pendapat yang lain menyebutkan bahawa Nabi Yunus عليه السلام berada di dalam perut ikan paus selama tiga hari. Sementara ada pendapat yang lain menyebutkan bahawa baginda berada di dalam perut ikan paus selama 40 hari.

Wallahu a’lam bisshawab tentang pendapat mana yang benar, akan tetapi disebutkan bahawa Nabi Yunus عليه السلام keluar daripada perut ikan paus dalam keadaan sangat sakit yang menunjukkan baginda berada di dalam perut ikan paus dalam waktu yang cukup lama.

وَأَنبَتنا عَلَيهِ شَجَرَةً مِّن يَقطينٍ
Dan Kami tumbuhkan untuk dia sebatang pohon daripada jenis labu.

Allah ﷻ menempatkan baginda pada daerah yang kosong, di mana tidak ada manusia mahupun tumbuhan. Para ulama’ menyebutkan bahawa disebabkan lamanya Nabi Yunus عليه السلام berada di dalam perut ikan paus, baginda keluar dalam keadaan sakit seperti seekor anak burung yang baru menetas daripada telurnya, iaitu sangat lemah dan sangat kurus kerana tidak makan.

Allah ﷻ kemudian menumbuhkan labu agar dapat segera dimakan oleh baginda. Disebutkan bahawa buah labu termasuk buah yang mudah dimakan dan daunnya pula lebar sehingga dapat dijadikan selimut oleh Nabi Yunus عليه السلام. Kesimpulannya, terdapat hikmah tertentu yang Allah ﷻ kehendaki dengan memberikan kepada baginda pohon labu.

وَأَرسَلنٰهُ إِلىٰ مِائَةِ أَلفٍ أَو يَزيدونَ
Dan Kami utus dia kepada seratus ribu orang atau lebih.

Terdapat perbezaan pendapat tentang berapa jumlah kaum Nabi Yunus عليه السلام secara pasti. Yang jelasnya adalah Nabi Yunus عليه السلام diutus kepada kaum yang jumlahnya lebih daripada seratus ribu orang. Tentunya, ini merupakan jumlah yang cukup banyak pada zaman tersebut. Hal ini merupakan kemuliaan yang Allah ﷻ berikan kepada baginda, iaitu diutus kepada kaum yang jumlahnya sangat banyak. Kemudian Allah ﷻ berfirman,

فَئآمَنوا فَمَتَّعنٰهُم إِلىٰ حينٍ
Lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.

Di dalam ayat yang lain, Allah ﷻ menyebutkan bahawa tatkala Nabi Yunus عليه السلام pergi meninggalkan kaumnya setelah memberikan peringatan bahawa akan datang azab kepada mereka, kemudian mereka melihat tanda-tanda akan datangnya azab tersebut. Maka, kaumnya pun bertaubat kepada Allah ﷻ. Di antara pelajaran yang dapat diambil adalah bahawa hukum asal seseorang yang bertaubat jika dalam keadaan seperti ini, maka taubatnya tidak akan diterima tatkala tanda-tanda kematian atau azab baginya sudah di depan mata. Sebagaimana yang telah dialami oleh Firaun yang tidak diterima imannya ketika kematian telah di depan matanya.

 

لَمَّا ءآمَنُوا

ketika mereka beriman,

Hanya iman kaum Nabi Yunus عليه السلام sahaja yang diterima apabila mereka melihat azab. Apabila mereka telah melihat azab dan mereka beriman, iman mereka telah diterima. Akan tetapi kepada kaum-kaum lain yang telah diberikan azab oleh Allah ﷻ, iman mereka tidak diterima. Ini merupakan pengecualian khas yang Allah ﷻ berikan kepada kaum Nabi Yunus عليه السلام. Tidak disebutkan pengecualian kaum Nabi Yunus عليه السلام ini di atas kaum-kaum yang lain.

Apakah kamu sangka yang kaum-kaum yang ditimpakan azab itu tidak beriman apabila mereka nampak azab sampai di depan mata? Apabila mereka sudah melihat azab di depan mata mereka, tentulah mereka sudah beriman. Iman mereka pula amat ikhlas pada waktu itu. Memang mereka sungguh-sungguh beriman. Tetapi iman mereka pada waktu itu sudah tidak diterima lagi. Sama seperti iman Firaun apabila dia hampir mati.

 

كَشَفنا عَنهُم عَذابَ الخِزيِ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا

Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dari menimpa mereka dalam kehidupan dunia

Kenapakah Allah ﷻ terima iman kaum Nabi Yunus عليه السلام walaupun mereka telah melihat azab itu hampir dikenakan kepada mereka itu? Sebahagian ulama’ mengatakan antara kemungkinan hikmah daripada pengecualian tersebut adalah:

      1. Allah ﷻ mengetahui bahawa kaum Nabi Yunus عليه السلام akan beriman dengan benar jika Allah ﷻ angkat kembali azab tersebut. Sedangkan kaum yang lain Allah ﷻ mengetahui bahawa mereka akan kembali kafir setelah beriman jika azab diangkat.
      2. Kemungkinan hikmah yang lain adalah Allah ﷻ ingin menggembirakan hati Nabi Yunus عليه السلام yang tatkala meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah kerana mereka enggan beriman. Akan tetapi, setelah pemergiannya Allah ﷻ menjadikan mereka beriman.

3. Apabila mereka tahu azab sudah datang, mereka cepat-cepat telah bertaubat kepada Allah ﷻ. Mereka telah bertaubat dan menyesali perbuatan mereka selama 40 hari. Allah ﷻ Maha Tahu bahawa mereka benar-benar bertaubat, maka kerana itulah Allah ﷻ telah menarik balik azab itu.

4. Kes kaum Nabi Yunus عليه السلام ini tidak sama dengan kes Firaun. Pertamanya, Allah ﷻ tahu yang Firaun bukan benar-benar bertaubat pun. Lihatlah penggunaan perkataan yang digunakan oleh Firaun sewaktu dia mengucapkannya (Firaun menggunakan perkataan ‘Tuhan Bani Israil’, bukan ‘Allah’).

Keduanya, Firaun hanya mengucapkan imannya apabila nyawa sudah sampai ke halqum. Sedangkan kaum Nabi Yunus عليه السلام belum lagi sampai ke tahap itu. Mereka baru nampak azab itu, tetapi azab itu belum kena kepada mereka lagi. Seumpama mereka orang yang sakit tetapi belum sakaratul maut lagi. Taubat waktu itu masih diterima lagi. Seperti sabda Nabi ﷺ:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ
Daripada [Ibnu Umar رضي الله عنهما] daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai ke tenggorokan.”
Jami’ Tirmidzi (3460)
Status: Hasan

Akan tetapi mereka belum lagi sampai ke tahap itu. Oleh kerana mereka telah nampak azab yang telah pernah dijanjikan oleh Nabi Yunus عليه السلام itu kepada mereka, mereka pun keluar beramai-ramai bertaubat dan beriman kepada Allah ﷻ. Bilangan mereka dikatakan seramai 120,000 orang. Mereka semuanya telah diselamatkan.

5. Kerana Nabi Yunus عليه السلام telah meninggalkan kaumnya sebelum waktunya. Maka kelak nanti kaumnya mempunyai hujah di hadapan Allah ﷻ. Oleh kerana itu azab yang disediakan untuk mereka ditarik balik. Nabi Yunus عليه السلام telah berdakwah setelah sekian lama kepada kaum baginda tetapi tidak ada yang mahu beriman. Nabi Yunus عليه السلام merasakan yang mereka tidak akan beriman sampai bila-bila dan baginda tahu yang azab akan diturunkan kepada kaumnya itu.

Baginda meninggalkan kaumnya itu sebelum mendapat arahan daripada Allah ﷻ. Ini adalah kerana baginda telah merajuk. Maknanya, Nabi Yunus عليه السلام keluar tanpa perintah daripada Allah ﷻ yang mengarahkan baginda pergi. Ini menjadi salah satu dalil bahawa para Nabi itu pun manusia biasa sahaja, ada juga kesilapan yang mereka lakukan. Akan tetapi kesilapan mereka tidaklah sama dengan kita, kerana mereka itu ma’sum.

Dalam riwayat ada disebutkan bahawa baginda berpesan kepada kaumnya yang mereka akan menerima azab dalam masa tiga hari. Nabi Yunus عليه السلام meninggalkan kaumnya dalam perasaan marah sebagaimana Allah ﷻ telah berfirman di dalam Anbiya:87

وَذَا النُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَىٰ فِي الظُّلُمَاتِ أَن لَّا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau ! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

ذَا النُّونِ dalam ayat di atas adalah Nabi Yunus عليه السلام. Baginda digelar demikian kerana baginda telah dimasukkan ke dalam perut ikan Nun.

Azab dunia memang sudah ditetapkan untuk kaum Nabi Yunus عليه السلام itu. Selepas tiga hari Nabi Yunus عليه السلام meninggalkan mereka, mereka sudah nampak azab itu mendatang kepada mereka. Waktu itu mereka baru sedar kesalahan mereka dan mereka telah beriman dan bertaubat. Sepatutnya, iman mereka waktu itu tidak diterima lagi kerana azab sudah datang, sudah terlambat.

Namun begitu, oleh kerana Nabi Yunus عليه السلام telah meninggalkan mereka sebelum mendapat arahan daripada Allah ﷻ, maka Allah ﷻ telah menahan azab itu daripada mengenai mereka. Oleh kerana rasul mereka telah meninggalkan mereka maka hujah ke atas mereka sudah tidak lengkap lagi. Mereka boleh menggunakan hujah dengan mengatakan yang Rasul mereka telah meninggalkan mereka.

Cuma sebab ke 5 ini mendapat kritikan dan tidak semua para pentafsir bersetuju dengannya kerana pendapat itu condong untuk menyalahkan Nabi dan kita pun tahu semua Nabi adalah ma’sum. Memang para Nabi ada juga membuat kesalahan kecil akan tetapi tidak ada kesilapan dalam cara dakwah. Yang mengkritik pendapat ke 5 itu mengatakan kesilapan Nabi Yunus عليه السلام adalah kerana menaiki kapal untuk meninggalkan umatnya, bukannya kerana meninggalkan mereka selepas memberitahu tentang azab.

Kisahnya ringkasnya begini: setelah umat baginda menolak dakwah baginda, baginda telah diwahyukan yang mereka akan dikenakan dengan azab selepas tiga hari. Umat baginda berasa goyang kerana mereka tahu yang baginda tidak pernah menipu. Maka mereka berbincang sesama mereka, bersetuju untuk melihat tindakan Nabi Yunus عليه السلام. Sekiranya baginda pergi meninggalkan mereka, maka tahulah mereka yang memang baginda telah berkata benar.

Pada malam sebelum azab diturunkan, Nabi Yunus عليه السلام meninggalkan mereka. Ini tidak salah kerana azab sudah mendekat. Pada waktu itu umat baginda telah bersedia untuk bertaubat. Semasa awam hitam telah datang kepada mereka, mereka telah keluar beramai-ramai untuk bertaubat. Maka taubat mereka agak awal (tidak sama dengan taubat Firaun). Kerana itulah azab tidak diteruskan kepada mereka.

Pada masa yang sama, Nabi Yunus عليه السلام yang telah keluar dari kawasan kaumnya itu menunggu untuk memastikan azab telah turun ke atas mereka. Bila nampak tidak ada tanda-tanda begitu, maka baginda telah risau kerana seolah-olah baginda telah menipu pula. Undang-undang pada waktu itu, mereka yang menipu akan dihukum bunuh. Waktu itulah baginda mengambil keputusan untuk menaiki kapal dan meninggalkan negeri itu sedangkan baginda tidak mendapat arahan lagi daripada Allah ﷻ. Inilah kesilapan baginda iaitu meninggalkan negeri itu. Sedangkan umat baginda telah bertaubat dan memerlukan baginda untuk mengajar mereka hal agama. Sekian.

 

وَمَتَّعْنٰهُمْ إِلَىٰ حِينٍ

dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa yang telah ditetapkan.

Selepas 40 hari berada di dalam perut ikan itu, Nabi Yunus عليه السلام telah dilempar keluar ke pantai. Kaum baginda telah mencari-cari baginda dan akhirnya menjumpai baginda di tepi pantai itu. Mereka pun telah meminta Nabi Yunus عليه السلام untuk kembali dan mengajar agama kepada mereka.

Oleh kerana mereka telah beriman, maka Allah ﷻ telah melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka. Mereka telah menikmati kehidupan yang senang sehinggalah sampai ajal mereka yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Mereka hidup dalam iman.

Begitulah kisah Nabi Yunus عليه السلام yang mengandungi banyak pelajaran bagi kita. Namun jangan kita merendahkan kedudukan baginda di dalam hal ini sampaikan pernah Nabi ﷺ bersabda,

مَا يَنْبَغِي لِعَبْدٍ أَنْ يَقُولَ إِنِّي خَيْرٌ مِنْ يُونُسَ بْنِ مَتَّى وَنَسَبَهُ إِلَى أَبِيهِ
“Tidak patut bagi seorang hamba berkata bahawa aku (Muhammad ﷺ) lebih baik daripada Yunus bin Matta عليه السلام. Baginda menisbatkan pada bapanya.”
(Sahih Bukhari (3413))

Para ulama’ menyebutkan bahawa alasan Nabi Muhammad ﷺ mengkhususkan Nabi Yunus عليه السلام, adalah kerana ada kemungkinan seseorang yang berdakwah akan berprasangka buruk terhadap sikap Nabi Yunus عليه السلام yang meninggalkan dakwah kepada kaumnya. Sedangkan dia pula mungkin seorang yang bertahan dalam berdakwah. Ini tidak patut berlaku kerana kita tidak pernah tahu bagaimana keadaan kaum yang diutus oleh Allah ﷻ kepada Nabi Yunus عليه السلام yang membuatkan baginda lari daripada mereka. Intinya adalah Nabi Yunus عليه السلام adalah seorang Nabi yang mulia.

Apakah antara pengajaran yang kita boleh dapat daripada kisah Nabi Yunus عليه السلام ini?

1. Wajib berdakwah. Tugas dakwah Tauhid bukan sahaja tugas Nabi tapi tugas kita semua sebagai umat Islam.

2. Jangan lelah dalam berdakwah. Jangan merajuk dalam berdakwah. Lihatlah bagaimana Nabi Yunus عليه السلام dihukum kerana merajuk dalam dakwah. Itu baginda sudah dakwah, kalau kita yang tidak berdakwah langsung, bagaimana? Cuma memanglah hukuman kepada baginda itu sangat berat kerana kedudukan baginda sebagai seorang Nabi. Ini sesuai seperti sabda Rasulullah ﷺ:

عَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلَاءً قَالَ الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى الْعَبْدُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صُلْبًا اشْتَدَّ بَلَاؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ رِقَّةٌ ابْتُلِيَ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَمَا يَبْرَحُ الْبَلَاءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِي عَلَى الْأَرْضِ وَمَا عَلَيْهِ مِنْ خَطِيئَةٍ
Mus’ab bin Sa’ad meriwayatkan daripada bapanya yang berkata: “Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat mendapat ujian? Baginda menjawab: “Para nabi, kemudian orang-orang yang selanjutnya yang lebih utama dan selanjutnya. Seseorang hamba itu diuji menurut kadar agamanya (keimanannya). Sekiranya semakin kuat keimanannya, maka semakin berat ujiannya. Sekiranya semakin lemah keimanannya, maka dia diuji menurut kadar kesesuaian agamanya. Lalu, ujian itu akan berterusan menimpa seorang hamba sehinggalah dia akan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan suci daripada dosa.
(Riwayat Ibn Majah (4203))
Status: Hasan

3. Baginda diselamatkan kerana baginda selalu solat dan bertasbih sebelum baginda merajuk dan meninggalkan kaumnya itu. Maka ini mengajar kita yang zikir dan ibadah dapat menyelamatkan kita. Allah ﷻ telah terima doa pengampunan baginda di dalam Anbiya’:88

فَاستَجَبنا لَهُ وَنَجَّينٰهُ مِنَ الغَمِّ ۚ وَكَذٰلِكَ نُنجِي المُؤمِنينَ
Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.

4. Lihat cara Nabi Yunus عليه السلام meminta ampun. Baginda tidak sebut pun meminta ampun, tapi baginda mengaku yang baginda bersalah. Kalimat yang digunakan adalah لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي  كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri). Maknanya kita kena selalu mengaku dosa sendiri.

Inilah juga cara doa yang pernah diajar oleh Rasulullah ﷺ kepada Abu Bakr رضي الله عنه.

Abu Bakar As-Siddiq ‎رضي الله عنه, dia berkata kepada Rasulullah ﷺ, “Ajarkanlah aku suatu doa yang boleh aku berdoa dengannya ketika solat!” Maka baginda pun bersabda: “Bacalah,
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّك أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka itu ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang’.”
(Al-Bukhari 6326, Muslim 2705 – Mutafaqun ‘Alaih)


 

KEPERCAYAAN BUKAN PAKSAAN

Yunus Ayat 99: Ayat ini memberitahu kita bahawa Allah ﷻ boleh sahaja hendak menjadikan semua makhluk-Nya beriman. Namun Allah ﷻ tidak mahu buat begitu. Allah ﷻ telah memberi pilihan kepada manusia sama ada hendak beriman atau tidak.

وَلَو شاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَن فِي الأَرضِ كُلُّهُم جَميعًا ۚ أَفَأَنتَ تُكرِهُ النّاسَ حَتّىٰ يَكونوا مُؤمِنينَ

Sahih International

And had your Lord willed, those on earth would have believed – all of them entirely. Then, [O Muhammad], would you compel the people in order that they become believers?

Malay

Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

 

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ

Dan jika Tuhanmu menghendaki

Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang dikehendaki-Nya, tidak ada yang boleh menghalang. Sebenarnya ayat ini Allah ﷻ menegur Rasulullah ﷺ kerana baginda teringin sangat dan berharap sangat supaya seluruh umat baginda beriman. Allah ﷻ beritahu yang bukan Dia tidak boleh jadikan itu realiti, tetapi bukan itu cara-Nya.

Namun memang begitulah sifat Nabi ﷺ yang terlalu sayangkan umatnya seperti disebut dalam Tawbah:128

لَقَد جاءَكُم رَسولٌ مِن أَنفُسِكُم عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم حَريصٌ عَلَيكُم بِالمُؤمِنينَ رَءوفٌ رَحيمٌ
Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.

Ia sampaikan membahayakan diri baginda seperti disebut dalam Shu’araa’:3

لَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ أَلّا يَكونوا مُؤمِنينَ
Boleh jadi kamu (Muhammad) akan membinasakan dirimu, kerana mereka tidak beriman.

Maka Allah ﷻ beri nasihat dan teguran kepada baginda. Teguran pun teguran mesra, teguran sayang, kerana Allah ﷻ tidak mahu baginda terlalu bersedih, sesak, membinasakan diri baginda sehingga jatuh sakit disebabkan terlalu memikirkan umat baginda yang degil.

 

لَآمَنَ مَن فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا

nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi.

Allah ﷻ boleh sahaja hendak menjadikan SEMUA makhluk di bumi beriman. Apabila Allah ﷻ tambah di sini dengan kalimah جَمِيعًا, ia bermaksud bukan sahaja semua beriman, tetapi sekaligus pun boleh. Allah ﷻ boleh buat daripada qudrat-Nya supaya tidak ada seorang pun makhluk-Nya yang kufur. Allah ﷻ boleh jadikan semua makhluk-Nya itu taat dan baik-baik belaka. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk melakukan demikian. Lihatlah Allah ﷻ boleh sahaja menjadikan para malaikat-Nya taat dan patuh kepada-Nya sahaja.

Namun dari segi kebijaksanaan, Allah ﷻ tidak mahu memaksa manusia untuk beriman kerana kehidupan dunia ini adalah ujian. Jika makhluk itu dipaksa untuk beriman, maka di manakah ujiannya? Kerana kalau seseorang itu dipaksa untuk melakukan sesuatu itu, adakah dia benar-benar hendak melakukannya? Iman dalam paksaan bukanlah iman yang sebenarnya.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Allah ﷻ mampu memaksa semua manusia dan jin untuk semuanya beriman. Allah ﷻ berkemampuan buat begitu, tetapi adakah Nabi ﷺ mampu berbuat begitu?

 

أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ

Adakah engkau hendak memaksa manusia

Sedangkan Allah ﷻ sendiripun tidak memaksa manusia untuk beriman, adakah Nabi Muhammad ﷺ boleh memaksa? Adakah kita layak untuk memaksa orang lain beriman? Kita tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk beriman. Ingatlah bahawa tidak ada paksaan dalam agama, seperti yang disebut dalam Baqarah:256

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ
Tidak ada paksaan dalam ugama

Oleh itu jelas sekali bahawa kita tidak boleh memaksa manusia untuk beriman. Apa yang kita boleh lakukan hanyalah berdakwah kepada mereka dan memberi peringatan kepada mereka.

 

حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ

sehingga mereka menjadi orang-orang yang beriman?

Jika kita hendak memaksa sesiapa untuk beriman, kita tidak akan berjaya. Bayangkan, anak kita sendiri pun kita tidak boleh paksa, apatah lagi orang lain? Memanglah kita mahu dan berharap sangat orang yang rapat dengan kita beriman, bukan? Begitulah juga Rasulullah ﷺ amat berharap yang bapa saudara kesayangannya, Abu Thalib pun beriman juga. Akan tetapi Allah ﷻ sebut dalam Qasas:56 yang ia bukan di tangan baginda.

إِنَّكَ لا تَهدي مَن أَحبَبتَ وَلٰكِنَّ اللهَ يَهدي مَن يَشاءُ
Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 30 Jun 2023

Ringkasan Surah Yunus


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Taimiyyah Zubair

Dr. Firanda

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahuddin

Maariful Qur’an

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment