Oleh Ustaz Nouman Ali Khan
BAHAGIAN 2
Seperti yang telah difahami sebelum ini, syaitan telah dijadikan daripada api, dan ini bermaksud yang mereka ada keupayaan untuk ‘membakar’ dan ‘menyakiti’ orang lain. Malangnya, kita pun tidak terlepas daripada melakukan perkara sedemikian. Kadangkala ada di antara kita gemar mengeluarkan kata-kata kesat atau sindiran atau apa sahaja yang boleh menyakiti hati dan perasaan orang lain. Sebagai contoh, ketika dalam pertengkaran, kita akan sehabis boleh mencari perkataan yang paling menyakitkan supaya pihak lawan itu sakit hati. Kebiasaannya perkara ini terjadi ketika kita marah, dan bukankah sifat marah itu adalah sifat syaitan?
Di dalam Qur’an, diletakkan tentang kemarahan dan keangkuhan bersama. Sebab itulah mereka yang ada sifat suka marah juga mempunyai sifat angkuh. Angkuh bukan sahaja bermakna seseorang itu merasakan dia lagi hebat daripada yang lain, tetapi ia juga membawa maksud yang seseorang itu merasakan yang dia sentiasa betul. Mereka tidak boleh ditegur dan sikap mereka: “Siapa kau berani nak tegur aku?”
Keangkuhan tiada tempatnya di syurga sebagaimana firman Allah dalam (Al-A’raf: 13)
قَالَ فَاهْبِطْ مِنْهَا فَمَا يَكُوْنُ لَكَ اَنْ تَتَكَبَّرَ فِيْهَا
(Allah) berfirman, “Maka turunlah kamu darinya (syurga); kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di dalamnya.
Ini bermaksud turunlah kamu dari langit kerana ketika itu kita berada bersama Iblis di langit.
Namun kita kena ingat, yang kita manusia memang dijadikan untuk menjadi khalifah di bumi. Ini adalah pemahaman yang berbeza di antara kita dan puak Kristian yang menganggap kita telah diturunkan ke bumi sebagai hukuman. Sebenarnya kita telah dijadikan untuk tinggal di bumi semenjak awal lagi, lihat (Al-Baqarah: 30). Walau bagaimanapun, pada permulaannya Adam telah diletakkan di kedudukan yang tinggi di syurga.
Iblis adalah makhluk yang sangat angkuh. Dia telah ditunjukkan dengan segala kehebatan dan kelayakan manusia untuk menjadi khalifah di bumi, tetapi oleh kerana kedegilannya dan keangkuhannya itu, dia tidak dapat mengubah fikirannya itu. Di sini kita dapat fahami bagaimana Qur’an menjelaskan keangkuhan تَتَكَبَّرَ Iblis telah menghalangnya dari membuat keputusan yang baik dan kebenaran tidak dapat merubahnya.
Keangkuhan juga bermaksud iri atau hasad. Perasaan hasad timbul apabila melihat orang lain mendapat sesuatu dan merasakan kitalah yang patut mendapatkannya. Ia juga adalah sifat yang mahukan sesuatu yang telah menjadi milik orang lain. Ini juga bermaksud ‘insecurity’ (rasa tidak selamat atau terjamin). Perasaan ini semua bercambah menjadi keangkuhan.
Selain daripada itu, keangkuhan juga berpunca daripada rasa keperluan untuk membandingkan diri dengan orang lain. Perkara ini terlalu banyak berlaku pada hari ini dan ia amat berleluasa sekarang di media sosial. Manusia berlumba-lumba menunjukkan kebahagiaan mereka sedangkan realitinya mereka tidak bahagia pun. Mereka cuma mahu tunjukn kepada dunia yang kononnya mereka bahagia di lensa media sosial. Jika kita juga terperangkap dalam medan perbandingan ini, maka kita akan mengalami masalah besar. Lagi memburukkan keadaan apabila kita tercari-cari dan ternanti-nanti orang lain melakukan kesalahan atau mengaibkan atau kegagalan. Kita biarkan diri kita membaca segala komen-komen saling mengutuk dan mengeji di antara satu sama lain. Ini adalah kerana perasaan kita yang mahu berada di atas orang lain.
Fenomena ini adalah suatu penyakit. Kita kena ingat, ada banyak cara untuk meraih kedudukan tinggi. Pertama adalah dengan melakukan kebaikan, maka kita akan dinaikkan darjat dan mendapat pengiktirafan. Namun begitu, ada yang mengambil jalan pintas untuk ‘naik’ dengan menjatuhkan orang lain pula.
Iblis sudah merasakan bahawa dia berada di kedudukan yang lebih rendah daripada Adam dan dia rasa dia tidak mampu menyaingi Adam lagi. Maka, dia menggunakan taktik menjatuhkan Adam. Inilah masalahnya apabila kita membandingkan diri kita dengan orang lain. Apabila kita rasa kita tidak mampu untuk menyaingi orang itu, maka kita akan cuba menjatuhkannya pula, bukan? Sebab itulah Allah berfirman di dalam (An-Nisa’: 32)
وَلَا تَتَمَنَّوْا مَا فَضَّلَ اللّٰهُ بِهٖ بَعْضَكُمْ عَلٰى بَعْضٍ ۗ
Dan janganlah kamu iri hati terhadap kurnia yang telah dilebihkan Allah kepada sebahagian kamu atas sebahagian yang lain.
Oleh itu, janganlah kita suka membandingkan rupa, harta, wang ringgit, ilmu dan sebagainya. Semua ini adalah penyakit dan akan memusnahkan diri sendiri sahaja.
Disebabkan keangkuhan inilah, Iblis telah dibuang dari syurga dan Allah telah berfirman dalam (Al-A’raf: 13)
فَاخْرُجْ اِنَّكَ مِنَ الصّٰغِرِيْنَ
Keluarlah! Sesungguhnya kamu termasuk makhluk yang hina.”
Kalimah مِنَ الصّٰغِرِيْنَ bermaksud di antara yang kecil. Ia bukan sahaja bermaksud kecil dari segi saiz, tetapi ia bermaksud: tidak penting, tiada nilai, tiada penghormatan. Iblis telah berasa begitu hina sekali, maka apakah yang dia mahu kita rasakan? Sudah pasti perkara yang sama!
Oleh hal yang demikian, di sini kita dapat mempelajari bahawa Iblis tidak mempunyai kuasa langsung. Dia kecil sahaja sebenarnya, bukannya besar dan berkuasa pun. Di akhirat kelak, dia akan berkata kepada semua pengikutnya yang dia hanya mampu berbisik sahaja, tidak lebih daripada itu. Sekarang kita semakin jelas, jin yang paling hebat iaitu Iblis sendiri menyatakan yang dia tidak mempunyai kuasa ke atas kita. Dia hanya mampu berbisik. Ini telah diterangkan di dalam (Ibrahim: 22)
وَمَا كَانَ لِيَ عَلَيْكُمْ مِّنْ سُلْطٰنٍ اِلَّآ اَنْ دَعَوْتُكُمْ
Tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan (sekadar) aku menyeru kamu
Dan Allah juga telah berfirman di dalam (Isra’: 65)
اِنَّ عِبَادِيْ لَيْسَ لَكَ عَلَيْهِمْ سُلْطٰنٌۗ
“Sesungguhnya (terhadap) hamba-hamba-Ku, engkau (Iblis) tidaklah dapat berkuasa atas mereka.
Ini adalah kerana manusia mempunyai roh. Syaitan hanya mampu membisikkann was-wasa kepada manusia, tetapi tidak dapat mengawal mereka. Kalaulah kita dapat dikawal oleh mereka, maka bolehlah kita menyalahkan mereka, bukan? ‘Oh, aku telah lakukan perkara ini kerana syaitan yang telah mengawal diriku!’ Namun, itu bukanlah yang berlaku. Pilihan tetap berada di tangan kita. Dan kita tidak dapat menyalahkan syaitan di atas perbuatan dosa kita di akhirat kelak.
Oleh kerana Iblis adalah kerdil sebenarnya, maka dia mahu kita percaya yang dia adalah besar dan berkuasa. Maka, jika kita dengar sesetengah orang berkata, syaitan sungguh kuat dan mereka tidak mampu melawannya, ini adalah tidak benar sekali. Syaitan yang mahukan kita berasa begitu. Kita kena ingat yang syaitan adalah lemah. Apabila kita mengucapkan istirja’, ia sudah cukup melemahkan mereka dan mereka mesti lari meninggalkan kita.
Kemudian Iblis telah berkata (Al-A’raf: 14)
قَالَ اَنْظِرْنِيْٓ اِلٰى يَوْمِ يُبْعَثُوْنَ
(Iblis) menjawab, “Berilah aku penangguhan waktu, sampai hari mereka dibangkitkan.”
Ketika itu, dia telah menunding jari ke arah kita, kerana kita berada di situ. Maksudnya ‘mereka’ di dalam ayat ini bermaksud kita. Maka, dia tahu tentang hari pembalasan dan kita pun juga tahu. Sebagai khalifah, kita diberikan pilihan, tetapi kita hendaklah membuat pilihan yang benar dan tepat. Jika kita membuat pilihan yang benar secara berterusan, dan terbabas maka hendaklah kita segera bertaubat. Kita akan dinilai di hari pembalasan dan jika kita lulus maka Jannah lah tempat kita.
Itu adalah ujian untuk hari pembalasan nanti. Dan itu adalah ujian terbesar yang Allah jadikan untuk kita. Dan ia merupakan amanah yang paling besar kerana Allah telah memberi amanah kepada kita di muka bumi ini. Dan Dia telah berikan amanah ini kepada kita setelah menawarkannya kepada makhluk yang lain. Ini dapat dilihat di dalam firman-Nya (Al-Ahzab: 72)
اِنَّا عَرَضْنَا الْاَمَانَةَ عَلَى السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِ وَالْجِبَالِ فَاَبَيْنَ اَنْ يَّحْمِلْنَهَا وَاَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْاِنْسَانُۗ
Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir tidak akan melaksanakannya (berat), lalu dipikullah amanat itu oleh manusia.
Mereka tidak sanggup menerima amanah itu kerana mereka tahu yang jika mereka gagal, maka akibatnya adalah Neraka. Namun begitu, kita manusia menerima amanah tersebut dan kena ingat yang kita dilengkapi dengan roh, iaitu cahaya yang ada perhubungan dengan Allah. Roh inilah kekuatan kita. Dan kerana itulah kita sebenarnya yang mampu untuk menggalas amanah dan ujian ini berbanding makhluk lain. Kita mempunyai kualiti itu dan mampu untuk lulus ujian ini dengan cemerlang.
Namun adakah semua yang ada kemampuan akan melaksanakan? Contohnya seorang pelajar yang pandai, dia mungkin berusaha mengulangkaji dan mungkin tidak. Ini adalah keputusannya. Dia mungkin ada kemampuan itu, tetapi tidak semestinya dia akan melakukannya. Maka begitulah juga dengan amanah yang Allah berikan ini. Allah memberikan potensi dan peluang yang sama kepada semua manusia, tetapi bukan semua manusia menggunakan peluang itu.
Setiap manusia diuji. Kita telah fahami kenyataan ini di alam roh. Kita sudah tahu apa yang kita akan hadapi di dunia ini. Kita tahu kita akan diuji tetapi kita tetap menerimanya kerana kita tahu inilah sahaja jalannya ke Jannah. Kita harus melalui ujian dan lulus ujian tersebut untuk ke Jannah. Kesemua daripada kita telah setuju secara rela sebelum kita dilahirkan. Dan sebab itulah kita dilahirkan ke dunia ini. Jika kita tidak bersetuju maka kita tidak akan dilahirkan. Oleh sebab itu, jangan sesekali anda berkata: ‘Aku tak pernah minta dilahirkan ke dunia ini.’ Sebenarnya kita telah diberikan pilihan dan roh kita telah setuju untuk menerimanya. Maka, itulah sebabnya kita sekarang berada di bumi ini.
Iblis telah berkata (قَالَ اَنْظِرْنِيْٓ اِلٰى يَوْمِ يُبْعَثُوْنَ) yang merujuk untuk semua manusia. Iaitu Iblis minta tangguh sampailah kita semua akan dibangkitkan kelak. Maka, di sini jelas menunjukkan yang Iblis bukan hanya bermasalah dengan Adam tetapi dengan seluruh manusia. Ini semua berpunca daripada kebenciannya yang mendalam yang tidak berpenghujung terhadap semua manusia. Kita biasa mendengar istilah ‘kelaparan tiada had’ (insatiable hunger). Iblis pula mempunyai kebencian yang tiada had, tidak berkesudahan.
Baginya tidak cukup Adam sahaja yang gagal, tetapi dia mahu seluruh manusia gagal dan akhirnya ke neraka sepertinya. Dia sasarkan setiap daripada kita dan seboleh-bolehnya menjauhkan kita dari jalan ke Jannah. Dia mahu buktikan kepada Allah bahawa kita semua tidak layak ke Jannah. Iblis diberikan peluang dan masa untuk membuat hanya itu; untuk membuktikan yang dia adalah betul.
Dan ini adalah salah satu daripada sifat Iblis. Jika dia ditegur ketika melakukan kesalahan, dia tidak boleh menerimanya dan sedaya upaya akan membuktikan yang dia betul. Sebahagian manusia juga ada sikap sebegini, bukan? Ada kehendak dalam dirinya untuk membuktikan dia sentiasa betul. Dia mesti dilihat sentiasa betul kerana ia adalah bagaikan suatu kemenangan baginya. Dia tidak boleh menerima kritikan, tidak boleh kalah dalam berhujah.
Malah lebih teruk lagi Iblis menyalahkan Allah pula (Al-A’raf: 16)
قَالَ فَبِمَآ اَغْوَيْتَنِيْ
(Iblis) menjawab, “Karena Engkau telah menyesatkan aku,
Iblis menyalahkan Allah kerana baginya, Allah yang telah menyebabkannya sesat. Inilah kesalahannya yang paling nyata, iaitu menyalahkan Allah. Sebagaimana kebanyakan manusia yang kebiasaannya suka menyalahkan orang lain tanpa menyalahkan diri sendiri.
Apakah yang Iblis akan lakukan untuk membuktikan yang dia betul? Dia akan duduk berada (menghalang) di jalan yang itu:
لَاَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيْمَۙ
pasti aku akan selalu menghalangi mereka dari jalan-Mu yang lurus,
Di sini menunjukkan bahawa Allah telah beritahu kepada kita semua tentang jalan yang lurus itu, iaitu jalan ke Jannah. Iblis akan berada menunggu di situ untuk menghalang manusia melaluinya. Iblis akan mengganggu sesiapa sahaja yang melaluinya. Bukan sahaja dia hanya duduk-duduk di situ, tetapi dia juga berkata:
ثُمَّ لَاٰتِيَنَّهُمْ مِّنْۢ بَيْنِ اَيْدِيْهِمْ وَمِنْ خَلْفِهِمْ وَعَنْ اَيْمَانِهِمْ وَعَنْ شَمَاۤىِٕلِهِمْۗ
kemudian pasti aku akan mendatangi mereka dari depan, dari belakang, dari kanan dan dari kiri mereka.
Apakah yang dimaksudkan dengan semua arah ini? Apabila dia berkata (ثُمَّ” لَاٰتِيَنَّهُمْ مِّنْۢ بَيْنِ اَيْدِيْهِمْ) kemudian pasti aku akan mendatangi mereka, ia bermaksud di hadapan mereka. Ia bermaksud dia akan menghalang manusia daripada melangkah ke arah jalan lurus. “Kamu… tidak… akan … melepasi! Contohnya, dia akan menghadirkan perasaan takut di dalam diri manusia yang sedang berjalan ke arah jalan yang lurus. Dia timbulkan perasaan ‘was-wasa’: “Nanti apa orang akan kata?”, “Oh, betul sekarang kau baru nak solat?”, “Eh, nanti kau nampak pelik nanti!”, “Rilek lah, kau masih muda.”, “Nanti kau akan sorang-sorang…”
Begitulah caranya Iblis tidak akan mahu manusia mengambil jalan yang lurus. Dia akan sedaya upaya menghalang; atau dia akan berdiri di jalan itu dan akan menunjukkan jalan-jalan lain yang kelihatan lebih indah daripada jalan yang lurus itu. Untuk setiap jalan yang halal, masih terdapat banyak lagi jalan-jalan lain yang haram, bukan? Maka, dia akan tunjukkan jalan-jalan haram itu dengan segala bentuk keindahan.
Dia juga akan menarik manusia dari arah belakang (وَمِنْ خَلْفِهِمْ). Ini kerana, kebiasaannya apabila manusia melangkah menuju ke arah jalan yang lurus, mereka akan meninggalkan sesuatu yang buruk di belakang mereka, bukan? Mereka telah melakukan dosa, perkara yang buruk dan mereka tidak mahu melakukannya lagi dan mahu mula bergerak ke hadapan jalan yang lurus. Tetapi, Iblis akan menarik mereka ke arah belakang dan mengingatkan mereka dengan segala dosa-dosa mereka itu: “Bukankah seronok dapat buat benda-benda tu semua?”, “Agaknya apa lah kawan-kawan lama dulu tengah buat sekarang eh?”, “Baik aku hubungan mereka, supaya nanti aku bagi dakwah la kat diorang.”
Emosi manusia masih lagi terikat dengan perbuatan lama itu. Maka di sinilah, Iblis cuba menariknya ke belakang. Atau dia juga akan mengingatkan manusia tentang dosa-dosa itu dan berkata: “Kau ingat kau siapa? Kau ingat Allah nak terima taubat kau ni selepas segala apa yang telah kau buat tu?”
Dari arah kanan (وَعَنْ اَيْمَانِهِمْ) bermaksud dia membiarkan manusia melakukan kebaikan (ya, Iblis membiarkan kita melakukan kebaikan). Kemudian dia membiarkan kita berbangga dengan kebaikan kita itu, kononnya kita lebih hebat dan layak untuk menghakimi orang lain. Mungkin kita rajin ke kelas pengajian agama, atau sudah mula mengajar agama, maka mulalah kita berasa hebat daripada orang lain. Sebenarnya inilah yang paling menakutkan dan ujian paling hebat. Takabbur adalah ujian yang paling menakutkan.
Selain dari itu, Iblis akan tonjolkan satu sifat baik tentang diri anda, dan membuatkan anda rasa ‘selamat’: “Eh walaupun kau tak solat, kau tetap rajin sedekah, kan?”, “Memanglah apa kau buat tu salah, tapi kau tetap buat benda baik lain, kan? Dah tu apa nak susah hati sangat? Kau memang dah selamat dah tu, kau memang baik lah…”
Dan dari arah kiri (وَعَنْ شَمَاۤىِٕلِهِمْۗ) bermaksud tanpa rasa bersalah apabila telah melakukan dosa. Dia akan bisikkan: “Ala… kau kan manusia biasa, biasa lah tu…”, “Semua orang buat silap lah, kau janganlah rasa bersalah sangat…”, “Bukannya haram-HARAM sangat apa kau buat ni, haram sikit jer, sekurang-kurangnya takdalah kau bunuh orang pun…” Di sini perlu diingatkan: Jika anda ingin membandingkan diri anda dengan sesiapa yang lebih buruk daripada anda, anda pasti temuinya kerana akan selalu sahaja ada orang yang lebih buruk daripada anda. Jadi jangan guna hujah ini.
Apa yang menakutkan ialah perbuatan ‘tak lah teruk sangat’ itu lama kelamaan akan berubah menjadi perbuatan ‘eh mana ada teruk, ‘teruk sangat ke?’, ‘Eh tak paham lah! Tak boleh kah aku nak hidup normal yang bahagia sikit?’
Dan selepas semua ini, Iblis berkata:
وَلَا تَجِدُ اَكْثَرَهُمْ شٰكِرِيْنَ
Dan Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur.”
Kenapa pula Iblis berkata begini? Kita mungkin fikir dia akan berkata: “Ya Allah, Kau akan tahu manusia tidak akan patuh kepada-Mu.” atau “Kau akan dapati kebanyakan mereka akan lupa.” Tetapi mengapakah pula Iblis mahu membuktikan yang manusia tidak mahu bersyukur? Bersyukur dari segi apakah itu?
- Bersyukur dengan kedudukan paling tinggi yang Allah telah kurniakan. Mereka tidak akan menghargainya.
- Bersyukur yang Allah telah berikan ujian paling hebat untuk memberi peluang kepada mereka mendapat ganjaran terhebat iaitu Jannah.
- Bersyukur yang Allah telah bercakap secara terus dengan mereka.
Apabila kita tidak bersyukur, maka kita akan dapati diri kita tidak berguna. Apabila rasa diri tiada guna, maka apa sahaja nikmat yang diberi bagaikan tiada makna apa-apa. Kita bagaikan tidak dapat merasa dan melihat nilai nikmat tersebut. Contohnya orang yang dalam kemurungan. Percubaan kita untuk menggembirakan dirinya bagaikan tiada guna. Cubalah bawa dia ke restoran yang mewah dan hidangkan dia dengan segala makanan yang paling lazat. Dia tidak akan dapat menghargainya, tidak dapat menikmatinya, tidak nampak menilai nikmat yang diberikan kepadanya itu. Ini kerana mereka berasa diri mereka sudah tiada nilai.
Tiada apa-apa yang dapat membahagiakan diri mereka. Sebab itulah Iblis sentiasa menjatuhkan diri manusia. Selalu membiarkan manusia hanyut dengan perasaan rendah diri, hilang harga diri dan lama kelamaan dia akan hilang segala-galanya. Dia akan seringkali mengeluh, serba serbi tidak kena sahaja. Pernah anda bertemu orang sebegini?
Dan untuk mereka yang seperti ini, Allah telah tegur di dalam (Al-A’raf: 18)
قَالَ اخْرُجْ مِنْهَا مَذْءُوْمًا مَّدْحُوْرًا ۗ
(Allah) berfirman, “Keluarlah engkau dari sana (syurga) dalam keadaan terhina dan terusir!
Keluarlah kamu dari sini, kamu telah dimalukan, dihinakan. مَّدْحُوْرًا bermaksud dihancurkan. Seperti bola kertas, direnyuk-renyuk hancur. Ini adalah tentang Iblis yang ada pemikiran yang buruk di dalam dirinya. Pemikirannya sendiri yang menghancurkannya. Tiada sesiapa yang melakukannya tetapi dirinya sendiri.
Sekarang, apakah yang terjadi jika Iblis bertaubat? Kadangkala datang persoalan sebegini. (Ustaz, macam mana eh kalau iblis bertaubat?) Walaupun Iblis tidak akan bertaubat, tetapi kalaulah dia bertaubat, maka Allah akan terima taubatnya. Namun, itu tidak akan berlaku kerana Allah sendiri telah mengatakannya yang dia adalah مَّدْحُوْرًا. Perasaan bencinya itu akan terus menghancurkannya sehingga kiamat. Ia tidak akan berkesudahan.
Maka, tidak perlu dibacakan Qur’an kepadanya, kerana dia tetap tidak akan berubah. Ya, dia boleh mendengar segala bacaan Qur’an dan kandungannya, dan sebab itulah kita perlu membaca Istirja’ sebelum mula membaca Qur’an. Dia dengar segala bacaan Qur’an itu tetapi langsung tidak membawa apa-apa makna terhadap dirinya kerana dia berada di dalam dunianya sendiri. Tiada kata-kata Allah yang dapat merubahnya.
Allah kemudian berfirman dengan kata-kata yang amat menakutkan:
لَمَنْ تَبِعَكَ مِنْهُمْ لَاَمْلَـَٔنَّ جَهَنَّمَ مِنْكُمْ اَجْمَعِيْنَ
Sesungguhnya barangsiapa di antara mereka ada yang mengikutimu, pasti akan Aku isi neraka Jahanam dengan kamu semua.”
Sebelum ini Allah hanya bercakap dengan Iblis, sekarang Allah bercakap kepada kita pula. Jika kita ikut Iblis, kita semua akan masuk neraka. Maka, Allah mengingatkan kita tentang neraka sejak mula lagi.
Sekarang Allah mengalihkan perhatian-Nya kepada Adam pula (Al-A’raf: 19)
وَيٰٓاٰدَمُ اسْكُنْ اَنْتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ
Dan (Allah berfirman), “Wahai Adam! Tinggallah engkau bersama isterimu dalam syurga
Nabi Adam tinggal di dalam syurga itu untuk sementara (اسْكُنْ) sahaja. Apabila kita baca Qur’an, kita biasa dengar hukum sukun yang bermaksud berhenti seketika. Maka, di sini kita faham bahawa Adam tidak ditakdirkan untuk tinggal selama-lamanya di Jannah. Memang manusia telah ditakdirkan untuk tinggal di bumi. Berada di Jannah hanyalah untuk sementara sahaja. Tetapi kenapa? Seolah-olah diberikan sekejap sahaja rasa nikmat itu kemudian ditarik pula? Ini kerana Allah mahukan manusia pertama merasai nikmat Jannah dan agar dia dapat menggalakkan anak cucunya untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk memasuki Jannah. Maka Nabi Adam pernah berada di dalam Jannah dan baginda tahu bagaimana keadaannya.
Dan masukilah Jannah bersama pasanganmu kerana Jannah bukanlah Jannah tanpa pasangan hidup melalui perkahwinan. Kita manusia tidak mahu hidup bersendirian sebenarnya. Itu adalah dari naluri manusia yang normal. Sesuatu yang indah tidak akan kelihatan begitu indah tanpa pasangan kita, bukan? Bahagia bukanlah benar-benar bahagia tanpa teman di sisi. Kita perlukan seseorang untuk berkongsi kebahagiaan itu. Di sini Allah mengajar kita bahawa rasa keindahan Jannah yang pertama adalah dengan mempunyai pasangan. Mempunyai pasangan adalah detik pertama Jannah.
Di dunia lagi Allah telah berikan rasa keindahan ini. Mempunyai teman hidup memberikan kita rasa ketenangan dan sakinah (ketenangan). Iblis tidak mahukan ini bagi kita. Dia mahukan keresahan, gundah gulana untuk kita. Maka, perkara pertama yang dia akan serang adalah institusi perkahwinan. Dia akan menjadikan sesuatu yang sepatutnya secebis dari Jannah menjadi secebis dari Jahannam.
Pertama, dia akan bisikkan kita untuk mengadakan hubungan di luar nikah yang halal. Dan jika kita berjaya menghalalkan hubungan dengan pernikahan, dia akan usahakan supaya perkahwinan kita itu amat menyeksakan seolah-olah berada di neraka.
Namun begitu, Allah telah menggariskan 3 langkah formula untuk perkahwinan yang indah. (Ar-Rum: 21)
وَمِنْ اٰيٰتِهٖٓ اَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِّنْ اَنْفُسِكُمْ اَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَّوَدَّةً وَّرَحْمَةً ۗ
Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang.
Maka, langkah-langkah tersebut adalah: (لِّتَسْكُنُوْٓا اِلَيْهَا), kemudian (مَّوَدَّةً) dan (وَّرَحْمَةً). Ringkasnya: Tenteram – kasih – sayang (ambil berat). Malangnya, dalam kebanyakan perhubungan, kasih datang dahulu, kemudian barulah datangnya sayang (ambil berat). Bila kita kasihkan seseorang kita akan mengambil berat dan jaga dirinya. Tetapi rasa tenteram itu tiada. Lama kelamaan salah seorang daripada mereka akan mengeluarkan kata-kata yang terus menghilangkan rasa tenteram itu. Pergaduhan kecil mula tercetus, dan ketenteraman itu terus hancur sedikit demi sedikit. Kemudian ia bertukar menjadi caci maki, perkataan kasar yang menyakitkan satu sama lain. Semua ini akan menghilangkan rasa tenteram dan kasih. Rasa sayang (ambil berat) akan turut terjejas. Bila kasih sudah hilang, sayang juga sudah tiada.
Kita pun sedar yang kehidupan di dunia ini adalah cabaran. Kadangkala kita terpaksa menghadapi musibah dan huru hara yang datang kepada kita. Pasangan anda sepatutnya menjadi sumber ketenangan anda. Sepatutnya anda tidak sabar untuk bertemu dengannya, berada bersama-sama dengannya, bercerita dengannya, memujuknya, kerana inilah yang memberi ketenangan kepada kita. Ia tidak sama dengan anak-anak. Kita memang sayangkan anak-anak, tetapi anak-anak bukanlah sumber ketenangan anda.
Jika kita berjaya mengekalkan rasa tenteram dan tenang itu, maka rasa kasih dapat dikekalkan seterusnya sayang akan terus kekal. Tujuan utama pernikahan adalah tenteram, bukannya kasih. Rasa kasih dan sayang hanyalah perasaan. Ia boleh datang dan ia boleh pergi. Namun ketenangan adalah suatu keadaan emosi dan fikiran, dan apabila anda dapat mencapainya, maka kasih dan sayang akan terus kekal stabil.
Kita dapat melihat kata akar yang sama daripada (س ك ن) untuk uskun (tinggal) dan sakinah (tenteram).
Dan kemudian Allah telah berfirman:
فَكُلَا مِنْ حَيْثُ شِئْتُمَا
dan makanlah apa saja yang kamu berdua sukai.
Makanlah apa sahaja yang Nabi Adam sukai. Tetapi ia datang dengan larangan:
وَلَا تَقْرَبَا هٰذِهِ الشَّجَرَةَ فَتَكُوْنَا مِنَ الظّٰلِمِيْنَ
Tetapi janganlah kamu berdua dekati pohon yang satu ini. (Apabila didekati) kamu berdua termasuk orang-orang yang zalim.”
Ini adalah satu-satunya syariat mereka ketika berada di Jannah. Tiada lagi larangan yang lain. Hanya dua larangan ini: (makan apa sahaja yang kamu sukai; jangan hampiri pohon ini). Di dunia ini, pilihan haram memang banyak berbanding pilihan halal, tetapi berbeza dengan kisah ini (semua adalah halal, kecuali larangan ini sahaja). Jangan dekati pohon ini. Cukup mudah sebenarnya, bukan? Ya, larangan ini memang mudah untuk dijauhi sebenarnya tetapi Iblis sedang mengintai mereka dalam diam.
Iblis mula mewujudkan rasa was-wasa ke dalam diri Adam dan Hawa (Al-A’raf: 20)
فَوَسْوَسَ لَهُمَا الشَّيْطٰنُ
Kemudian setan membisikkan pikiran jahat kepada mereka berdua
Ini bermaksud, Iblis datang berbisik, kemudian dia pergi. Kemudian dia datang lagi berbisik, dan pergi. Bagaimanakah caranya dia melakukannya? Allah telah mengizinkan Iblis melakukan bisikan tersebut kepada mereka. Dan dengan cara inilah juga Allah mengizinkan bisikan Iblis kepada kita. Iblis dapat menyusup masuk ke dalam fikiran kita. Dia tidak perlu berada di sebelah kita. Dia mendapat akses terus masuk ke dalam fikiran kita. Bagaimana sebenar caranya, tidaklah kita dapat memastikannya. Ia sebagaimana isyarat wifi atau gelombang radio yang dapat berhubung dengan kita walaupun berada jauh daripada kita.
Apakah yang Iblis bisikkan kepada Adam dan Hawa? ‘Makanlah dari pohon itu.’ Allah telah menegaskan, jangan hampiri pohon itu. Tidak pula Allah berkata, jangan makan daripadanya. Walaupun itulah yang sebenarnya larangan terhadap mereka berdua. Allah berfirman secara jelas, “Jangan hampiri pohon ini.” Iblis membisikkan untuk pergi secara dekat dan semakin dekat.
Tidaklah Iblis terus bisikkan melakukan perkara haram. Dia tahu kalau dia buat begitu, mereka akan menolaknya. Sebab itulah Iblis akan bisikkan dan menolak mereka secara perlahan untuk menghampirinya. Tidaklah disuruh terus melakukan perkara haram itu, tetapi hanya langkah-langkah kecil ke arahnya. Sebab itulah manusia ada berkata: “Saya tak buat perkara haram pun, saya tengok saja, tak salah kan?” Dan dengan kata-kata itu, maka Iblis telah membawa kita sangat hampir dengan kehancuran.
Sebab itulah, agak sukar untuk menjawab atau mengeluarkan fatwa untuk sesetengah persoalan bagi sesuatu perbuatan itu kerana perbuatan itu masih belum jelas haram. Namun ia sedang menuju ke arah haram.
Di sinilah terserlahnya kebijaksanaan Iblis. Dia akan membisikkan langkah-langkah ke arah haram. Manusia pula menjadi imun kepada bisikan Iblis kerana kebanyakan manusia tidak sedar akan cara permainan Iblis ini. Ini adalah antara tipu helah Iblis yang menjerumuskan manusia ke arah perkara haram. Ia bermula hanya dengan perkara-perkara kecil sahaja. Tetapi perkara kecil inilah yang amat berbahaya sekali.
Was-wasa bukan sahaja bermaksud ‘bisikan’ kerana jika bisikan biasa ia adalah hamasa. Was-wasa adalah berbisik kemudian hilang. Kemudian ia muncul kembali berbisik, dan hilang. Kenapakah ini penting? Kerana apabila ia hilang, kita fikirkan ia bukan berasal daripada syaitan, tetapi datang daripada kita sendiri. Kita lihat sekeliling kita, memang tiada sesiapa kecuali diri sendiri. Maka, kira sangka sudah tentulah ia datang daripada fikiran kita. Tidak. Ia adalah bisikan syaitan. Cuma dia tidak lagi ada di situ untuk kita menyalahkannya.