Oleh Ustaz Nouman Ali Khan
BAHAGIAN 1
Kisah ini agak sukar untuk difahami kerana ia mengandungi banyak bahagian dan sebahagian daripadanya perlu kita fahami secara tidak langsung.
Sebagai permulaan, harus diingatkan bahawa terdapat 4 kisah yang paling penting yang perlu kita ketahui: kisah Nabi Adam, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Muhammad. Dan anda harus mempelajarinya mengikut susunan ini. Jika anda mengetahui 4 kisah ini, maka anda in sha Allah memahami Islam. Ya, memang terdapat ramai lagi kisah rasul dan nabi yang lain, namun begitu kisah nabi-nabi tersebut semuanya berkait dengan 4 nabi ini. Contohnya, kisah Nabi Nuh adalah kesinambungan daripada kisah Nabi Adam manakala kisah Nabi Isa pula berkait rapat dengan Nabi Musa.
Puak Yahudi juga percaya akan kisah Nabi Adam, Nabi Ibrahim dan Nabi Musa ini. Kisah mereka terdapat di dalam ‘Bible’ (Kitab Injil) mereka. Namun begitu, Qur’an menceritakan kisah Nabi-nabi ini dalam bentuk yang berbeza. Inilah yang kita akan sampaikan di sini.
Kisah Nabi Adam adalah yang paling mencabar kerana amat sukar untuk membezakan kisah yang sudah lama dipelajari dan diyakini selama ini. Kita sendiri sudah mempunyai pemahaman sendiri sejak sekian lama mengenai kisah Nabi Adam ini. Maka, kita hendaklah ‘unlearn’ kisah sebelum ini demi untuk memahami kisah daripada Qur’an yang sudah tentunya lebih tepat dan benar.
Kisah Nabi Adam
Kisah Nabi Adam telah diceritakan sebanyak 2 kali secara agak terperinci di dalam Qur’an. Secara keseluruhannya, kisah Nabi Adam telah diceritakan sebanyak 7 kali, tetapi yang paling rinci dijelaskan di dalam Surah Al-Baqarah dan Surah Al-A’raf. Secara dasarnya, ia merupakan kisah yang sama, cuma dijelaskan dalam sudut yang berbeza. Di dalam Surah Al-Baqarah, kisah Nabi Adam diceritakan dari sudut pandangan para Malaikat, manakala di dalam Surah Al-A’raf pula, ia diceritakan dari sudut pandangan Iblis. Hari ini, kita akan menekankan kisah daripada Surah Al-A’raf. Maka, secara tidak langsung kita akan mempelajari tentang asal usul syaitan.
Senario: Dunia di mana manusia belum dijadikan lagi. Hanya terdapat malaikat dan jin. Seperti yang kita ketahui, jin dijadikan daripada api. Mereka juga diberikan pilihan untuk membuat pilihan antara benar atau salah, sama seperti manusia. Pilihan ini tidak diberikan kepada para malaikat. Malaikat mesti tunduk dan patuh segala perintah Allah tanpa pilihan.
Namun begitu, harus difahami bahawa para Malaikat juga mempunyai perasaan. Mereka bukanlah robot. Mereka boleh berfikir, mampu menganalisa dan bertanyakan soalan. Mereka ada perasaan takut, risau, kasih dan sebagainya. Satu perbezaan ketara yang ada pada mereka adalah, jika diberikan pilihan mereka akan membuat apa sahaja pilihan yang dapat keredhaan Allah.
Terdapat salah satu daripada jin itu yang sangat taat kepada perintah Allah walaupun dia bukanlah Malaikat. Dia kuat beribadah dan patuh serta taat kepada perintah Allah sepanjang hidupnya. Maka Allah telah meninggikan darjatnya di sisi Allah. Dan darjatnya sentiasa dinaikkan kerana ketaatannya tahun demi tahun. Kedudukannya dinaikkan begitu tinggi sehingga dia layak duduk bersama-sama para Malaikat yang lain di langit. Malah dia dibenarkan untuk duduk bermesyuarat bersama-sama mereka.
Ada suatu ketika, terdapat mesyuarat yang membincangkan mengenai manusia. Allah telah membincangkan dengan Malaikat akan perihal manusia.
Siapakah jin tersebut? Dia dikatakan mempunyai 2 nama iaitu Iblis dan Syaitan. Iblis berasal daripada perkataan greek ‘diabolos’. Diabolos bermaksud seseorang yang tidak mempunyai harapan. Ia juga bermaksud seseorang yang suka menuduh dan membuat tohmahan.
Satu lagi namanya adalah Syaitan. Ia bermaksud musuh, atau seseorang yang mempunyai penuh kebencian. Dalam Bahasa Arab ia membawa maksud seseorang yang dipenuhi dengan sifat amarah.
Syaitan berada di dalam pertemuan ketika mana Allah mengumumkan bahawa Dia akan mencipta manusia dengan kulit yang terdedah iaitu بشر [Al-Hijr: 28]
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلاَئِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِّن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ ﴿٢٨﴾
Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku akan menciptakan seorang manusia daripada tanah liat kering (yang berasal) daripada lumpur hitam yang diberi bentuk,
Seperti yang kita semua tahu, manusia sememangnya telah dijadikan daripada tanah. Ketika ini, Allah telah menjadikan pelbagai makhluk daripada tanah contohnya seperti burung, ikan paus, tupai dan sebagainya. Semua makhluk ini dijadikan daripada tanah. Namun begitu, untuk kali ini, Allah akan menjadikan sesuatu yang unik daripada tanah. Ia adalah daripada bahan yang sama iaitu tanah, tetapi ia berbeza dan unik sekali.
Kejadian manusia tidak terhenti di situ sahaja. Allah kemudiannya telah menjadikan keseimbangan untuk manusia [Al-Hijr: 29]
فَإِذَا سَوَّيْتُهُ
Maka apabila Aku telah menyempurnakan (menyeimbangkan) kejadiannya
Banyak pendapat yang ditafsirkan untuk kalimah (سَوَّيْتُهُ) itu. Ada mufassir menafsirkan membawa maksud ‘seimbang’ di mana manusia di dalam keadaan seimbang dan boleh berjalan di atas dua kaki. Tidak seperti kebanyakan haiwan yang berjalan menggunakan empat kaki. Walaupun terdapat haiwan yang dapat berdiri dengan dua kaki, namun mereka tidak dapat berdiri dengan sempurna dan seimbang. Manusia pula dapat berdiri dengan sempurna.
Maksud kalimah (سَوَّيْتُهُ) yang lain pula ialah manusia dapat seimbangkan pelbagai perkara lain seperti keseimbangan di antara kesabaran dan kemarahan; di antara matlamat jangka panjang dan matlamat jangka pendek; di antara diam atau berkata-kata. Maksudnya kita masih dapat menahan diri daripada mengatakan apa di dalam benak fikiran kita iaitu dapat seimbangkan pengaruh lain yang datang kepada kita ketika itu. Haiwan tidak dapat melakukan perkara tersebut kerana mereka adalah makhluk impulsif. Mereka tidak mampu mengawal perbuatan mereka.
Selain daripada itu juga, kita manusia secara nalurinya mempunyai rasa keadilan. Kita inginkan keadilan, keseimbangan di dalam hidup ini. Sebab itulah kita dapat melihat neraca yang seimbang menjadi simbol keadilan di dunia ini.
Kemudian Allah telah berfirman bahawa Dia meniupkan roh-Nya ke dalam manusia itu [Al-Hijr: 29]
وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِي فَقَعُواْ لَهُ سَاجِدِينَ ﴿٢٩﴾
dan telah meniupkan ke dalamnya roh (ciptaan)-Ku, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud
Kalimah ‘roh’ berkait rapat dengan sesuatu yang membawa ketenangan, kesenangan, kemudahan, (salah satu nama-nama Allah). Maka di sini ia bermaksud Allah telah memberikan ketenangan ke dalam manusia. Makhluk lain tidak mendapat ketenangan ini.
Kemudian Allah berfirman: apabila Dia telah selesai, para malaikat mesti sujud kepadanya (manusia itu). Kenapa? Kerana manusia merupakan makhluk ciptaan-Nya yang amat hebat. Ini kerana apabila Allah telah melakukan sesuatu yang hebat, maka manusia mesti sujud sebagai tanda ketakjuban. Sebagaimana kisah para ahli sihir dengan Nabi Musa, seorang Muslim yang sujud syukur setelah memenangi perlawanan bola sepak. Oleh itu, pengajarannya di sini adalah apabila Allah telah melakukan sesuatu yang hebat, dan kita dapat menyaksikannya, maka kita harus sujud kerana takjub. Allah telah memberitahu para malaikat apa yang mereka harus lakukan dan ketika itu, Nabi Adam belum diciptakan lagi.
Di dalam ayat yang lain, Allah menambah lagi:
وَلَقَدْ خَلَقْنٰكُمْ ثُمَّ صَوَّرْنٰكُمْ ثُمَّ قُلْنَا لِلْمَلٰۤىِٕكَةِ اسْجُدُوْا لِاٰدَمَ فَسَجَدُوْٓا اِلَّآ اِبْلِيْسَۗ لَمْ يَكُنْ مِّنَ السّٰجِدِيْنَ
Dan sungguh, Kami telah menciptakan kamu, kemudian membentuk (tubuh)mu, kemudian Kami berfirman kepada para malaikat, “Bersujudlah kamu kepada Adam,” maka mereka pun sujud kecuali Iblis. Ia (Iblis) tidak termasuk mereka yang bersujud.
Ia bermaksud bahawa Allah telah membentuk kita, maka kita adalah makhluk yang begitu indah sekali ciptaanNya. Di sini membuktikan yang kita adalah makhluk yang tinggi kedudukannya. Setiap daripada kita layak untuk disujud oleh malaikat kerana kita dijadikan daripada tanah, diseimbangkan dengan sempurna, dan menerima roh daripada Allah. Kita amat berharga dan bernilai tinggi sekali. Oleh itu kita harus memahami maksud harga diri kita. Sesetengah daripada kita mengalami masalah ini. Ramai yang terlalu merendah diri sehingga hilang harga diri sehingga merasakan diri tiada nilai. Sedangkan Allah memandang tinggi kejadian manusia sehingga memerintahkan malaikat untuk sujud. Apabila kita fahami ini melalui Qur’am maka kita sedar betapa tingginya darjat kita di sisi Allah sehingga para malaikat turut mengagumi kita.
Maka, sehingga saat ini, kejadian manusia dan ketinggian nilainya hanyalah merupakan suatu pengumuman daripada Allah sahaja. Iblis telah mendengarnya tetapi tidak berkata apa-apa. Namun tidak dengan para malaikat. Mereka mempunyai persoalan dan terus mengajukan pertanyaan dan kemusykilan mereka kepada Allah. Ini kerana Allah telah berkata bahawa manusia akan menjadi Khalifah di bumi (Al-Baqarah: 30)
وَاِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلٰۤىِٕكَةِ اِنِّيْ جَاعِلٌ فِى الْاَرْضِ خَلِيْفَةً
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, “Aku hendak menjadikan khalifah di bumi.”
Perkataan خَلِيْفَةً berasal daripada خلف yang bermaksud ‘belakang’. Apakah maksudnya di sini? Analogi yang mudahnya adalah begini: Apabila kita keluar rumah dan meninggalkan anak kita di ‘belakang’ selama 30 minit, maknanya kita telah menjadikan mereka sebagai خَلِفَ. Jika kita meninggalkan mereka selama 9 bulan, maknanya kita telah menjadikan mereka خَلِيْفَةً, kerana 9 bulan merupakan tempoh yang lama berserta dengan tanggungjawab yang besar untuk mereka. Kita telah tinggalkan mereka secara bersendirian untuk menguruskan diri masing-masing. Benar kita berikan arahan dan panduan untuk melakukan tugas, tetapi mereka yang perlu membuat keputusan di dalam setiap situasi mereka hadapi sehari-hari kerana kita tidak ada untuk mengawal mereka. Dan ini adalah apa yang Allah telah tentukan terhadap kita semasa kita hidup di dunia ini. Iaitu kita ada pilihan untuk membuat keputusan sendiri.
Oleh sebab itulah, para malaikat berasa keliru dengan keputusan Allah untuk menjadikan manusia sebagai khalifah di bumi ini. Kerana para jin telah diberikan tanggungjawab tersebut sebelum manusia dan lihatlah apa yang telah berlaku kepada bumi? Inilah akibatnya apabila makhluk dibiarkan di muka bumi dengan mempunyai pilihan sendiri, dimana kebanyakan akan tidak memperdulikan peraturan, maka huru hara yang berlaku.
Katakanlah tiada polis ditugaskan untuk memantau kesalahan penjenayah. Apakah yang akan berlaku kepada sesebuah bandar atau penempatan manusia? Tiada sesiapa yang akan mematuhi undang-undang dan segalanya akan menjadi kacau bilau, jenayah akan berleluasa sana sini.
Oleh kerana itu kita boleh faham kenapa para malaikat amat terkejut dengan keputusan Allah itu. Mereka sudah mengetahui (daripada pengalaman) bahawa akan timbulnya pelbagai masalah nanti (Al-Baqarah: 30)
قَالُوْٓا اَتَجْعَلُ فِيْهَا مَنْ يُّفْسِدُ فِيْهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاۤءَۚ
Mereka berkata, “Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosakkan dan menumpahkan darah di sana,
Sedang mereka sendiri (para malaikat) pasti akan sentiasa bertasbih serta patuh kepada Allah,
وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۗ
sedangkan kami bertasbih memuji-Mu dan menyucikan nama-Mu?”
Atau dengan erti kata lain mereka berkata: Memilih manusia sebagai khalifah adalah pilihan yang tidak baik, tetapi adalah lebih baik jika memilih para malaikat untuk memikul tugas ini. Maka, mengapakah perlu diciptakan makhluk yang lain pula sedangkan kami ini ada untuk menggalas tanggungjawab ini?
Siapakah yang mendengar semua perbualan dan perbincangan ini? Iblis ada mendengar tetapi dia tidak berkata apa-apa. Sudah tentu dia ada merasakan sesuatu tetapi dia hanya mendiamkan diri sahaja. Sudah pasti ada sesuatu yang bermain dan menggelodak di fikirannya itu.
Maka, kita sekarang sedang mempelajari tentang syaitan pula. Ingat, apa sahaja yang dia rasakan, dia mahu kita merasakannya sama. Pengajaran pertama kita belajar di sini adalah: dia merasakan sesuatu tetapi dia hanya pendamkan sahaja. Dia tidak bertindak sebagaimana malaikat yang terus bertanya dan mendapatkan penjelasan daripada Allah. Ini amat penting sekali untuk kita fahami.
Kita sebagai manusia juga akan mengalami masalah yang sama jika suka memendam perasaan. Contohnya, jika kita bertemu seseorang dan menegurnya tetapi dia tidak membalas teguran kita. Sudah tentu pelbagai tanggapan terus datang ke benak pemikiran kita. Kita hanya mendiamkan diri sahaja tetapi pelbagai tanggapan telah ada dalam fikiran kita, bukan? Kita mencipta realiti kita sendiri dengan tanggapan tersebut kerana kita tidak menyuarakan apa yang kita rasa. Kita anggap apa yang kita fikirkan itu benar padahal kita tidak tahu kebenarannya. Biasanya apabila kita mendapat penjelasan sebenarnya, mungkin ia berbeza dengan apa yang kita anggap sebelum itu. Sebagai contoh, orang itu mungkin tidak membalas sapaan kita kerana dia telalu sibuk dan tidak mendengar kita. Tidak semestinya dia sengaja tidak membalas kerana marahkan kita.
Kita telah sebutkan tadi yang iblis telah mematuhi segala perintah Allah sepanjang hidupnya, tetapi apabila Allah berkata Dia akan mencipta suatu makhluk lain, maka sudah tentu iblis ada merasakan sesuatu. Namun begitu, dia tidak berkata apa-apa. Tetapi sudah pasti dia ada memikirkannya, bukan? Maka, inilah yang telah dilakukan oleh iblis. Oleh itu, jika kita gemar melakukan perkara seperti ini, maka sebenarnya kita telah meniru cara iblis. Dan lama kelamaan jangkitan di dalam minda kita akan bertambah teruk. Maka, ini merupakan masalah yang pertama
Masalah kedua pula adalah: Dia berfikir, “Kenapa Allah tidak pilih aku? Kenapa manusia dan bukan aku?” Ingat, iblis telah diberikan kedudukan yang tinggi. Ya, Adam telah diberikan tugas dan kedudukan menjadi khalifah di bumi, namun adakah ini bermakna kedudukan Iblis berkurangan pula? Tidak. Dia masih mempunyai kedudukan yang tinggi. Ia bermakna yang dia tidak kehilangan apa-apa pun. Namun dia tidak fikir begitu. Dia rasakan yang dia kurang bernilai pula apabila melihat makhluk lain yang mendapat sesuatu yang dia tidak dapat. Pernahkah anda merasa begini? Dia merasakan yang dia yang sepatutnya mendapat pengiktirafan itu, tetapi apabila orang lain yang mendapatnya, dia berasa tidak senang.
Iblis mahukan anda berperasaan begini juga. Contohnya jika seseorang tidak mengucapkan terima kasih kepada anda, tapi ucap terima kasih pula kepada orang lain, timbul rasa tidak senang di hati anda, bukan? Seolah-olah orang lain mendapat penghargaan tetapi kita tidak mendapatnya. Satu lagi contoh, apabila ibu kita memeluk orang lain, timbul rasa sakit di hati kita, bukan? Apabila satu anak ditunjukkan kasih sayang, manakala yang lain tidak, maka akan timbul rasa tidak senang di dalam hati anak yang lain itu. Namun sebenarnya, ini bukanlah bermakna ibubapa tersebut tidak menyayangi anak-anak lain pula. Kadangkala, anak yang diberikan perhatian dan penghargaan yang lebih itu kerana dia layak menerimanya. Mungkin kerana dia telah melakukan sesuatu yang menyenangkan hati ibu bapa itu. Tetapi, syaitan akan mengambil peluang ini. DIa akan cuba mengusik dan bermain di dalam pemikiran anak tersebut dengan menimbulkan rasa iri, dengki, cemburu. Inilah yang telah terjadi kepada adik beradik Nabi Yusuf.
Sekarang kembali semula kepada kisah iblis tadi. Allah telah mencipta kita semua dalam waktu yang sama. Kita sebenarnya telah wujud dan sedar di alam roh. Kita pernah berkomunikasi secara terus dengan Allah. Tubuh badan kita hanya merupakan jasad sementara di bumi ini. Kita sebenarnya telah dijadikan apabila Allah telah mengumumkan tentang kita kepada malaikat. Cuma roh sahaja dijadikan tanpa tubuh badan lagi pada waktu itu.
Ketika itu kita dikumpulkan beramai-ramai di alam arwah. Inilah sebabnya mengapa kadangkala kita mudah mesra dan tertarik rapat dengan seseorang. Ini kerana roh kita pernah diletakkan bersama ketika di alam arwah. Oleh kerana berdekatan, kita sudah mempunyai ikatan kemesraan dengan orang itu. Dan tidak semestinya ikatan ini adalah dengan ahli keluarga kita. Ini dapat menjelaskan fenomena di mana kita boleh rasakan ikatan yang kuat dengan seseorang tetapi tidak dengan yang lain. Inilah jawapannya. Ia kerana kita pernah bersama-sama ketika di alam roh.
Ketika para malaikat mempersoalkan keputusan Allah, Allah terus berfirman bahawa Dia lebih mengetahui apa yang malaikat tidak tahu:
قَالَ اِنِّيْٓ اَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُوْنَ
Dia berfirman, “Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”
Malaikat hanya mampu membuat spekulasi, namun Allah lebih mengetahui apa yang Dia lakukan. Kemudian nanti, Allah akan tunjukkan mengapa manusia ini begitu istimewa.
Allah memilih roh Adam dan meletakkannya di dalam satu jasad. Inilah yang dimaksudkan dengan ‘Allah telah memilih Adam’. Ia bermaksud Allah telah memilih roh Adam daripada banyak roh yang telah ada. Bukanlah ia bermaksud ketika itu roh Adam sahaja yang telah dijadikan. Semua roh telah ada, cuma roh Adam sahaja yang diberikan jasad.
Kemudian Adam ditunjukkan kesemua anak cucunya. Allah berfirman di dalam (Baqarah: 31)
وَعَلَّمَ اٰدَمَ الْاَسْمَاۤءَ كُلَّهَا
Dan Dia ajarkan kepada Adam nama-nama (benda) semuanya,
Setiap daripada kita ini telah ditunjukkan kepada Adam. Kemudian, Allah telah ajarkan setiap nama kita serta sifat yang ada pada kita. Ini kerana الْاَسْمَاۤءَ bermaksud nama berserta dengan sifatnya sekali. Bukan hanya nama semata-mata. Inilah yang ramai tidak tahu.
Maka Adam telah melihat segala potensi kebaikan di dalam diri kita (juga keburukan kita). Kemudian kita ditunjukkan pula kepada para malaikat.
ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلٰۤىِٕكَةِ فَقَالَ اَنْۢبِـُٔوْنِيْ بِاَسْمَاۤءِ هٰٓؤُلَاۤ
kemudian Dia perlihatkan kepada para malaikat, seraya berfirman, “Sebutkan kepada-Ku nama semua (benda) ini,
Malaikat telah melihat roh kita dan Allah memerintahkan mereka untuk menerangkan siapakah kita.
قَالُوْا سُبْحٰنَكَ لَا عِلْمَ لَنَآ اِلَّا مَا عَلَّمْتَنَا ۗ
Mereka menjawab, “Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami”
Mereka langsung tidak mengetahui apa-apa mengenai kita. Kemudian Allah memerintahkan Adam untuk menerangkannya.
قَالَ يٰٓاٰدَمُ اَنْۢبِئْهُمْ بِاَسْمَاۤىِٕهِمْ ۚ
Dia (Allah) berfirman, “Wahai Adam! Beritahukanlah kepada mereka nama-nama itu!”
Maka, pada ketika itu, kita telah diperkenalkan oleh Adam kepada para malaikat, seorang demi seorang. Tentunya ini mengambil masa yang amat lama. Oleh itu, malaikat sebenarnya telah mengenali anda dan saya serta kelebihan yang ada pada diri kita.
Ketika seluruh proses ini berlaku, Iblis ada bersama dan menyaksikan segala-galanya. Amat penting untuk kita mengingati peristiwa ini agar kita dapat benar-benar memahami apa yang telah berlaku kepada Iblis itu. Pada ketika itu, kita memiliki cahaya kerana kita berada dalam bentuk roh. Ini termasuk Firaun sekali. Adam menceritakan kepada malaikat tentang kelebihan dan kebaikan kita, dan apabila telah selesai, para malaikat memuji Allah. Sekarang, para malaikat sudah jelas dan memahami sepenuhnya kenapa mereka mesti sujud kepada manusia. Namun begitu, pada saat ini, Iblis masih lagi mendiamkan dirinya. Tetapi kita sudah semakin jelas betapa hasadnya perasaannya ketika ini, bukan?
Sekarang sudah tiba masanya untuk melakukan sajdah. Semua malaikat sujud kecuali Iblis (Baqarah: 34)
وَاِذْ قُلْنَا لِلْمَلٰۤىِٕكَةِ اسْجُدُوْا لِاٰدَمَ فَسَجَدُوْٓا اِلَّآ اِبْلِيْسَۗ
Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada para malaikat, “Sujudlah kamu kepada Adam!” Maka mereka pun sujud kecuali Iblis.
Siapakah yang sedang menyaksikan peristiwa sajdah tersebut? Kita! Kita berada di situ! Kita telah dijadikan dan telah diperkenalkan oleh Adam. Ia di dalam satu peristiwa yang sama.
Kita semua ada di situ ketika semua malaikat kecuali Iblis sujud kepada Adam. Iblis masih membangkang dalam diam sehinggakan Allah terpaksa bertanya kepadanya apakah yang menyebabkan dia tidak mahu ikut serta sujud bersama malaikat lain? (Al-A’raf: 12)
قَالَ مَا مَنَعَكَ اَلَّا تَسْجُدَ اِذْ اَمَرْتُكَ ۗ
(Allah) berfirman, “Apakah yang menghalangimu (sehingga) kamu tidak bersujud (kepada Adam) ketika Aku menyuruhmu?”
Harus diingatkan bahawa Allah telah memerintahkan mereka untuk sujud walaupun sebelum Adam dijadikan lagi. Maka, ini bukanlah suatu perintah yang baru.
Para Malaikat telah menyuarakan rasa kebimbangan mereka tentang keputusan Allah mengenai manusia. Hasilnya Allah telah menjelaskan kepada mereka sehingga mereka berpuas hati. Namun Iblis tidak berkata apa-apa. Maka, Allah tidak menjelaskan apa-apa kepadanya. Dia hanya buat anggapan sendiri sahaja dan memendam perasaannya tanpa menyuarakan apa yang dia rasa. Inilah yang berlaku jika anda tidak menyuarakan apa yang terpendam. Anda mula beranggapan buruk dan menganggap apa yang disangkakan itu adalah benar. Sedangkan tanggapan tersebut adalah tidak benar tanpa bukti yang kukuh tetapi hanya wujud di dalam fikiran sahaja dan ini amat sukar untuk dipecahkan oleh orang lain.
Ramai ibu bapa melakukan hal yang sedemikian. Mungkin ada ketika anak-anak mereka mungkin telah melakukan atau menyatakan sesuatu dan mereka mungkin telah salah sangka dan terus beranggapan yang anak-anak mereka tidak lagi menyayangi mereka. Malangnya, apabila ini terjadi, anak-anak tidak dapat menerangkan dan memperbetulkan anggapan mereka itu. Mereka tetap dianggap salah!
Maka, situasi inilah yang telah berlaku kepada Iblis. Dia sudah nekad membuat keputusannya. Dan tiada yang dapat mengubahnya sehingga sekarang, sehingga akhirat.
Namun begitu, mengapakah Allah telah bersungguh-sungguh juga menunjukkan kehebatan manusia kepada malaikat? Sedangkan para malaikat tetap akan mematuhi perintah Allah walau apapun yang berlaku? Sebab sebenarnya adalah untuk menunjukkan kepada Iblis supaya dia dapat melihatnya. Dia yang perlu melihatnya kerana dia ada pilihan untuk membuat keputusan. Malaikat tiada pilihan itu. Malaikat hanya tunduk dan patuh sahaja kepada arahan Allah walaupun Allah tidak menjelaskan kepada mereka.
Maka Iblis telah mempunyai masa untuk buat keputusan dan memilih. Ia bukanlah keputusan yang tergesa-gesa. Maka, ketika Iblis tidak sujud, bukan sahaja ini bermaksud dia merasakan yang dia lagi hebat daripada manusia, tetapi ini juga menunjukkan bahawa dia tidak kagum dengan ciptaan Allah itu. Dia sudah dibutakan dengan anggapan yang dibuatnya di dalam fikirannya.
Apabila ditanya, ini jawapan Iblis:
قَالَ اَنَا۠ خَيْرٌ مِّنْهُۚ
(Iblis) menjawab, “Aku lebih baik daripada dia.
Kemudian dia menambah lagi;
خَلَقْتَنِيْ مِنْ نَّارٍ وَّخَلَقْتَهٗ مِنْ طِيْنٍ
Engkau ciptakan aku dari api, sedangkan dia Engkau ciptakan dari tanah.”
Dia beralasan yang manusia dijadikan daripada tanah. Ini adalah benar kerana Allah turut menyatakan fakta tersebut. Namun, itu hanyalah ketika peringkat pertama sahaja. Manusia bukanlah makhluk daripada tanah seperti mana haiwan. Ini kerana Allah telah menyempurnakan kejadian kita dan meniupkan roh-Nya ke dalam kita.
Iblis sedar akan perkara ini tetapi ketika memberikan alasan dia sengaja meninggalkan fakta ini. Dia hanya menekankan ‘tanah’. Tujuannya agar manusia kelihatan seolah-olah sama taraf dengan haiwan sahaja. Pernyataan ini samalah seperti falsafah yang menyatakan bahawa manusia tidak lebih hanyalah bahan organik sahaja. Pegangan ini hendak menolak kewujudan roh dan menunjukkan hanya kedangkalan manusia sahaja.
Jika Iblis dapat meyakinkan manusia yang mereka sama taraf dengan haiwan, maka tidaklah salahlah kalau kita berperangai seperti haiwan, bukan? Haiwan nilainya lebih rendah daripada manusia, dan Iblis mahukan kita berfikiran begitu. Dia mahu manusia dipandang hanyalah seperti haiwan sahaja, maka mudah dikorbankan, mudah bertumpahan darah. Dia mahu manusia boleh melakukan apa sahaja sebagaimana haiwan tanpa perlu memikirkan halal atau haram.
Api biasanya disimbolkan sebagai panas baran dan impulsif. Maka, Iblis juga cuba memutarbelitkan fakta dengan mengatakan bahawa Allahlah yang telah menjadikan dia begitu, dan bukannya salah dia. Iblis hanya mahu menyalahkan Allah untuk permasalahannya itu. Di sinilah juga masalah dengan sesetengah manusia. Ramai yang suka menunding jari menyalahkan Allah di atas segala masalahnya kerana beralasan Allahlah yang menjadikan mereka begitu. Mereka hendak kata yang semua yang terjadi bukanlah salah mereka.
Seperti yang telah disebut sebelum ini, manusia dijadikan daripada tanah manakalah jin dijadikan daripada api. Namun begitu, jika dimasukkan tanah ke dalam api, tanah itu akan menjadi semakin keras dan boleh bertukar menjadi sesuatu yang lebih bermanfaat seperti tembikar yang boleh dimanfaatkan. Maksudnya apabila dibakar api, tidaklah pula tanah itu menjadi rosak malah akan bertukar menjadi suatu yang berfaedah. Maka boleh dilihat di sini, apabila Iblis menyerang manusia, sebenarnya akan membuatkan manusia itu menjadi lebih kuat! Amat menakjubkan, bukan?
Api dan tanah adalah unsur yang tentunya berbeza. Dan inilah yang Iblis mahu kita rasa dan buat, iaitu membandingkan sesama kita dan sering berasakan kita lebih baik daripada yang lain. Maka anda sering mendengar kata-kata seperti: Saya telah belajar di sini, anak saya melangsungkan perkahwinan di sini, inilah masjid saya yang hebat, lihatlah betapa majunya syarikat saya ini… Perkara ini biasa sahaja berlaku di dalam hidup dan masyarakat kita, sama ada di dalam masjid malah dalam organisasi Islam sekalipun. Syaitan akan datang di setiap penjuru kehidupan kita. Maka di sini, kita dapat memahami bahawa apa yang syaitan mahu kita lakukan adalah:
- Merendahkan diri sendiri sehingga berasa tiada nilai
- Merasa manusia tiada apa-apa nilai, hanyalah tanah sahaja
- Terus menerus membandingkan diri kita dengan orang lain
Segala apa yang dia telah rasakan, dia mahu kita merasakannya juga. Sebab itulah kita sentiasa bersaing dengan adik beradik kita ataupun orang lain semata-mata mahu diri berasa bernilai. Kita sebenarnya sedang meniru sikap syaitan yang tidak dapat melihat nilai dirinya sendiri. Dia sebenarnya telah berjaya, tetapi dia mahu membandingkan dirinya dengan Adam. Maka di situlah puncanya dia menjadi tidak senang dan hidup dalam gundah gulana.
Dan ya, dia mahukan kita berasa gundah sepanjang masa seperti dirinya juga. Oleh sebab itu, anda kena sedar di sini, setiap kali anda berasa gundah maka itu adalah kerja syaitan. Rasa gundah, resah, sedih berpunca daripada banyak sebab namun salah satu sebab utamanya adalah kerana bisikan syaitan.