Oleh Ustaz Nouman Ali Khan
BAHAGIAN 3
Maka, apakah modus operandi syaitan? Seperti telah disebut dalam (Al-Hijr: 28), Allah telah menjadikan manusia sebagai makhluk yang secara semulajadinya dengan kulit terdedah tanpa perlindungan, kerana kalimah (بشر) bermaksud kulit yang terdedah. Dan sebelum itu, telah disebut yang Iblis telah dimalukan, maka Iblis akan menggunakan asbab kulit manusia untuk memalukan mereka.
Oleh kerana kulit kita terdedah, maka semenjak dari Adam lagi sehingga keturunan seterusnya, manusia mencapai status penghormatan dengan menutup kulit mereka dengan pakaian. Haiwan tidak memerlukan ini. Ini adalah soal maruah kita. Dan Iblis amat memahami akan perkara ini. Dia tahu untuk menjatuhkan maruah manusia adalah dengan mendedahkan kulit mereka.
Apakah tujuan Iblis membisikkan was-wasa kepada Adam dan Hawa? (Al-A’raf: 20)
لِيُبْدِيَ لَهُمَا مَا وٗرِيَ عَنْهُمَا مِنْ سَوْءٰتِهِمَا
agar menampakkan aurat mereka berdua (yang selama ini) tertutup
Kalimah سَوْءٰتِ bermaksud ‘kehodohan’. Hodoh di sini, bukanlah bermaksud tubuh manusia itu hodoh pula. Tidak. Ia telah dijelaskan sebelum ini yang tubuh manusia adalah suatu kesenian dan amat cantik.
Namun begitu, apabila pakaian manusia dilucutkan tanpa izin Allah, maka di sinilah ia menjadi hodoh. Ia adalah hodoh kerana ia adalah suatu perbuatan yang melanggar perintah Allah. Sesuatu yang begitu indah pada mulanya boleh berubah menjadi hodoh dan buruk secara rohani, bukan? Maka, inilah perancangan Iblis: Melucut pakaian manusia dan ia merupakan suatu kemenangan kepada mereka jika ini berlaku. Matlamat Iblis adalah meniupkan was-wasa kepada mereka, supaya akhirnya pakaian mereka dilucutkan daripada mereka.
Apakah yang terjadi kepada Adam dan Hawa? Iblis telah berjaya memperdayakan mereka dengan helah:
وَقَالَ مَا نَهٰىكُمَا رَبُّكُمَا عَنْ هٰذِهِ الشَّجَرَةِ اِلَّآ اَنْ تَكُوْنَا مَلَكَيْنِ اَوْ تَكُوْنَا مِنَ الْخٰلِدِيْنَ
Dan (syaitan) berkata, “Tuhanmu hanya melarang kamu berdua mendekati pohon ini, agar kamu berdua tidak menjadi malaikat atau tidak menjadi orang yang kekal (dalam syurga).”
Inilah bisikan dan godaan Iblis untuk menipu Adam dan Hawa. Tetapi, mengapakah malaikat yang disebut di sini?
Dia berkata: Tuhan hanya tidak mahukan kamu berada di sini (di Jannah). Ingatkah kamu yang Dia akan meletakkan kamu di dunia? Kalau kamu nak tahu, dunia tidak sama seperti Jannah. Di sana nanti terdapat pelbagai masalah dan kesusahan. Jannah saja tempat terbaik yang tiada masalah tetapi kamu hanya tinggal di sini sementara sahaja, bukan? Tetapi sebenarnya… malaikat dapat tinggal kekal di sini, tahu tak? Maka, kamu perlu menjadi malaikat untuk kekal tinggal di Jannah. Dan untuk menjadi malaikat, kamu perlu makan daripada pohon ini.
Terdapat sesuatu yang halus di sebalik kata-kata Iblis ini. Iblis tidak mahu Adam dan Hawa rasa cukup dengan menjadi manusia. Dia mahukan mereka teringin menjadi sesuatu yang lain. Walhal, kejadian manusia cukup sempurna sehinggakan malaikat berasa kagum. Maka, di sini mengajar kita bahawa tidak perlu untuk menjadi orang lain kerana kita sudah cukup sempurna dan kita telah menjadi makhluk yang duduk teratas, bukan?
Kita telah diberikan darjat yang tinggi. Dan siapakah yang tidak mahu tinggal untuk selama-lamanya di Jannah? Tetapi untuk berada kekal di sana adalah dengan berada di dunia terlebih dahulu, jalani kehidupan di atas jalan yang lurus supaya kita ini layak mendapat ganjaran Jannah. Hanyalah itu caranya, tiada jalan pintas lain.
Adam dan Hawa telah makan daripada pohon terlarang itu, tetapi janganlah kita menyalahkan mereka pula. Dan untuk mengatakan disebabkan perbuatan mereka itu menyebabkan kita diletakkan di dunia. Tidak. Itu adalah kisah yang ditulis di dalam Bible manakala di dalam Qur’an Allah telah menjelaskan dari awal lagi yang Adam memang akan diturunkan dan menjadi khalifah di bumi. Berada di bumi bukanlah suatu hukuman.
Iblis telah memperdaya Adam dan Hawa untuk datang hampir dan semakin hampir kepada pohon terlarang itu seperti yang Allah terangkan di dalam (Al-A’raf: 22)
فَدَلّٰىهُمَا بِغُرُوْرٍۚ
dia (syaitan) memujuk mereka dengan tipu daya.
Dan salah satu sebab berjayanya tipu daya ini adalah kerana Iblis telah bersumpah seperti di dalam (Al-A’raf: 21)
وَقَاسَمَهُمَآ اِنِّيْ لَكُمَا لَمِنَ النّٰصِحِيْنَۙ
Dan dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya, “Sesungguhnya aku ini benar-benar termasuk para penasihatmu,”
Bisikan syaitan selalu kelihatan bagaikan mereka mengambil berat terhadap kita, menjaga kepentingan kita demi kebaikan kita, kononnya.
Kalimah (فَدَلّٰ) berasal daripada دلو yang bermaksud baldi atau timba. Dalam sesetengah masyarakat pemburu, mereka menggunakan timba untuk memburu haiwan. Mereka akan meletakkan makanan di dalam timba dan apabila haiwan nampak makanan itu, mereka akan bergerak ke arahnya, mereka akan menarik timba itu perlahan-lahan menghampiri mereka. Apabila sudah dekat, haiwan itu senanglah ditangkap. Perbuatan menarik secara sedikit demi sedikit itulah yang dipanggil دَلّٰوَ. Dan apabila anda meletakkan timba di dalam perigi pun, anda akan menariknya ke atas secara perlahan-lahan, bukan?
Maka, di sini mengajar kita, Iblis tidak memperdaya kita secara terus, tetapi perlahan-lahan, sedikit demi sedikit. Dia akan memperdaya kita melakukan sesuatu yang kelihatan tidak salah pun, namun akhirnya baru kita sedar: “Apakah telah aku lakukan ni? Bagaimana aku sampai di sini?” Itulah cara cilik Iblis. Tidaklah dia terus mengarahkan kita melakukan perkara haram, tetapi sebaliknya dia lakukan secara perlahan yang akhirnya menjerumuskan kita ke dalam kemusnahan.
Kembali kepada kisah tadi. Akhirnya Adam dan Hawa merasakan (buah) daripada pohon itu.
ذَاقَا الشَّجَرَةَ
mereka merasakan (buah) pohon itu,
Dan Iblis telah berjaya memperdayakan mereka. Kedua-dua mereka sekali, kerana jika Iblis hanya memperdayakan salah seorang sahaja, maka mereka akan saling mengingatkan di antara satu sama lain. Oleh itu, dia perdayakan kedua-dua dalam waktu yang sama. Mereka berdua sedar bahawa apa yang mereka lakukan adalah salah tetapi masing-masing tidak mengingatkan satu sama lain kerana keduanya telah terpedaya.
Kita perlu fahami ‘peperangan’ dengan Iblis ini. Iblis tidak pernah berhenti dan tidak akan berhenti. Sampailah kita mati. Satu-satunya cara untuk menghentikan rancangan Iblis ini hanyalah dengan mengingatkan satu sama lain akan kalam Allah. Atau jika anda ada kekuatan dan kesedaran, untuk mengingatkan diri sendiri.
Akan sentiasa ada dua kata-kata di dalam fikiran kita: Sama ada kata-kata Allah atau kata-kata was-wasa daripada Iblis. Jadi mana satu yang anda mahu ada dalam fikiran anda? Kata-kata Allah tidak akan muncul secara automatik ke dalam benak kita, sebaliknya kata-kata was-wasa Iblis akan sentiasa ada kerana dia tidak akan pernah berhenti. Maka, kita perlu berusaha dengan lebih kuat untuk terus menerus meletakkan kata-kata Allah ke dalam fikiran kita.
Oleh hal yang sedemikian, kita haruslah sentiasa berpesan-pesan saling mengingatkan di antara satu sama lain, sebagaimana firman Allah dalam (Al-Asr: 3)
وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ ەۙ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ࣖ
serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.
Kata-kata Iblis bagaikan kegelapan sebaliknya kata-kata Allah adalah cahaya. Jika kita tidak hidupkan cahaya itu, maka kita akan terus berada di dalam kegelapan. Makin lama semakin gelap. Ia akan tetap berlaku sama ada kita suka atau tidak. Sejak asal lagi, manusia berada dalam kesesatan. Seperti yang disebut di dalam Qur’an (Al-Asr: 2)
اِنَّ الْاِنْسَانَ لَفِيْ خُسْرٍۙ
sungguh, manusia berada dalam kerugian,
Jika kita tidak melakukan apa-apa pun, sememangnya kita sudah berada dalam kesesatan dan kerugian.
Apakah kata-kata Allah itu? Itulah Al-Qur’an. Qur’anlah yang seharusnya sentiasa berada di dalam hati dan minda kita kerana Iblis sentiasa membisikkan ke dalam hati dan minda kita. (An-Nas: 5)
الَّذِيْ يُوَسْوِسُ فِيْ صُدُوْرِ النَّاسِۙ
yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia,
Dan hanya dengan kata-kata Allah sahajalah yang dapat membersihkan fikiran kita daripada was-wasa syaitan.
Namun begitu, dalam kehidupan ini, adakalanya apabila kita mahu melepaskan diri kita daripada genggaman syaitan, mereka yang dekat dengan kita pula yang tidak bersedia. Bukanlah bermaksud mereka ini syaitan, tetapi mereka juga sedang bergelut untuk melepaskan diri mereka. Kita hendaklah mengajak mereka dengan penuh kasih sayang dan sentiasa mengingati di antara satu sama lain.
Sekarang kembali kepada kisah tadi. Sebaik sahaja Adam dan Hawa memakan (buah) daripada pohon itu, pakaian mereka terus terlucut daripada badan mereka.
بَدَتْ لَهُمَا سَوْءٰتُهُمَا
tampaklah oleh mereka auratnya,
Bertelanjanglah mereka dengan serta merta, tanpa seurat benang. Cepat-cepat mereka menutupi aurat mereka.
وَطَفِقَا يَخْصِفٰنِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَّرَقِ الْجَنَّةِۗ
maka mulailah mereka menutupinya dengan daun-daun syurga.
Tergesa-gesa mereka berlari mendapatkan daun-daun dari pokok di syurga dan menutupi aurat mereka dengannya.
Allah tidah pernah mengajar mereka untuk menutupi aurat mereka itu, tetapi Allah telah masukkan naluri semulajadi kepada manusia untuk menutupi diri mereka itu. Allah terapkan ke dalam naluri kita untuk berasa tidak selesa apabila aurat kita terdedah. Tetapi Iblis mahu kita lupakan perasaan ini. Iblis mahu kita berasa seronok dan bangga untuk mendedahkan badan kita kepada orang lain. Syaitan akan berkata: “Kamu ada badan yang cantik, kenapa harus tutup pula? Tunjuklah pada satu dunia!”
Anda sedarkah siapa yang tiada sedikit pun rasa malu untuk menunjukkan aurat mereka? Binatang! Dan ingatkah betapa Iblis mahukan kita berasa diri kita tidak lebih dari binatang? Tidak lebih daripada sekadar tanah sahaja? Itulah agenda Iblis kerana dia mahukan cahaya roh kita akan terus malap sedikit demi sedikit.
Kemudian Allah bertanya kepada Adam dan Hawa:
وَنَادٰىهُمَا رَبُّهُمَآ اَلَمْ اَنْهَكُمَا عَنْ تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ
Tuhan menyeru mereka, “Bukankah Aku telah melarang kamu dari pohon itu
Perlu diingatkan di sini, sebenarnya boleh sahaja Allah menghalang mereka ketika mereka mahu menghampiri pohon itu, bukan? Tetapi Allah tidak buat begitu. Sehingga ketika mereka menyentuh buah itu sekalipun, tidaklah Allah menahan mereka. Hanya ketika mereka telah merasa buah tersebut barulah Allah menyeru dan bertanya kepada mereka.
وَاَقُلْ لَّكُمَآ اِنَّ الشَّيْطٰنَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُّبِيْنٌ
dan tidakkah Aku telah mengatakan bahawa sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi kamu berdua?”
Lupakah kamu yang Iblis akan datang kepada kamu dari setiap arah?
Bayangkan betapa terperanjatnya Adam dan Hawa pada waktu itu. Mereka ketika itu berada di dalam keadaan yang sangat memalukan kerana tidak berpakaian. Dan sekarang ditegur pula oleh Allah sendiri! Maka, inilah yang manusia akan hadapi sepanjang hidup kita sehingga hari pembalasan. Akan berlakunya saat di mana kita akan buat salah, dan waktu itu kita akan berada di dalam kebingungan dan kita akan amat berharap agar kita dapat mendengar kata-kata Allah ketika itu. Ini berbeza dengan keadaan Adam dan Hawa, mereka dapat mendengar secara terus kata-kata Allah kepada mereka. Tidak sama dengan kita, kita hanya dapat mendengar kata-kata Allah hanyalah melalui Qur’an. Kita perlu membukanya dan membacanya sendiri.
Apakah jawapan mereka? (Al-A’raf: 23)
قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَآ اَنْفُسَنَا وَاِنْ لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّ مِنَ الْخٰسِرِيْنَ
Keduanya berkata, “Ya Tuhan kami, kami telah menzalimi diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang rugi.”
Ini adalah doa popular yang harus kita sentiasa ingat. Apakah maksud rugi itu? Rugi kerana telah kehilangan kebenaran yang telah Engkau berikan.
Ketika mereka berdua berdoa, mereka masih lagi berada di syurga. Mereka telah melakukan kesalahan dan Allah telah menegur mereka, dan mereka terus meminta ampun. Mereka belum lagi diturunkan ke dunia pada waktu itu. Di sini Allah mengajar kita bahawa apabila manusia benar-benar memohon keampunan, Allah akan terus mengampuninya. Maka, sebelum Adam dan Hawa diturunkan ke dunia, Allah telah mengampuni mereka. Ini bermakna mereka tidak diturunkan ke dunia sebagai hukuman, bukan? Kerana mereka telah diampunkan Allah sebelum turun ke dunia. Jadi tidak benarlah pendapat yang mengatakan mereka berdua diturunkan ke bumi kerana kesalahan mereka itu.
Kenapa pula mereka diletakkan di dalam Jannah terlebih dahulu, kemudian diletakkan di dunia pula? Ia adalah sebagai ujian. Ini kerana di Jannah terdapat banyak perkara halal manakala hanya ada satu sahaja perkara haram. Begitulah keadaan ujian. Ia bermula dengan yang mudah dahulu. Dengan ujian mudah begitupun Iblis berjaya memperdayakan ayah dan Ibu kita. Sekarang Allah telah menghantar mereka ke dunia di mana terdapat lebih banyak perkara haram berbanding halal. Di dunia inilah ujian sebenar bermula.
Terdapat lebih banyak perkara Iblis dapat perdayakan kita di dunia ini. Maka, jangan sesekali berasa selamat daripada tipu daya syaitan. Jangan katakan syaitan tidak ada apa-apa. Jangan perasan syaitan tidak dapat memperdaya kita, sebab kita kuat. Kita kena ingat, ayah dan ibu kita adalah manusia yang kuat dan mereka mendapat arahan secara terus daripada Allah sendiri. Dan pun begitu, mereka sendiri telah terpedaya dengan helah syaitan. Mereka kenal siapa itu malaikat, siapa itu Iblis malah dapat melihat dengan mata mereka sendiri. Tetapi mereka masih juga dapat diperdaya oleh syaitan.
Mereka juga telah terlupa kerana itu adalah sifat manusia. Maka dengan sifat lupa inilah syaitan telah memperdaya kita semua. Lupa, serta tidak menggantikan kata-kata syaitan dengan kata-kata Allah. Inilah caranya syaitan menghancurkan manusia. Penawarnya sudah ada, cuma jika kita tidak mengambilnya, Iblis akan memusnahkan kita.
Pohon itu adalah latihan ujian yang mudah sebenarnya. Ia adalah untuk menyediakan Adam dan keturunannya di dunia ini. Kedua ayah dan ibu kita telah diberikan latihan untuk menyiapkan diri mereka dan diri kita. Apa yang dapat kita belajar di sini adalah betapa mudahnya kita boleh terperangkap dengan perancangan Iblis. Adakah dia terlalu hebat setakat cerita ini? Tidak. Langsung tidak. Tetapi adakah dia konsisten? Sudah tentu. Dan kita hanya boleh melawan konsisten dengan konsisten (istiqamah) juga. Itulah yang harus kita ambil daripada kisah ini.
Allah kemudian telah mengampuni mereka dengan berfirman (Al-A’raf: 24)
قَالَ اهْبِطُوْا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۚوَلَكُمْ فِى الْاَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَّمَتَاعٌ اِلٰى حِيْنٍ
(Allah) berfirman, “Turunlah kamu! Kamu akan saling bermusuhan satu sama lain. Bumi adalah tempat kediaman dan kesenanganmu sampai waktu yang telah ditentukan.”
Siapakah ‘kamu’ yang Allah maksudkan dalam ayat ini? Kita semua. Terdapat banyak tafsir untuk ayat ini, tetapi salah satu daripadanya adalah Adam menjadi musuh dengan Hawa. Kenapa? Kerana tidak saling mengingatkan di antara satu sama lain berkenaan pokok itu. Kadangkala, Iblis akan berhelah agar kita mengeluarkan kata-kata jahat namun kadangkala helahnya adalah dengan berbisik agar kita mendiamkan diri sahaja (padahal kita seharusnya menegur ke arah kebaikan).
Kita hanya tinggal di dunia ini sementara sahaja untuk memenuhi takdir kita. (Al-A’raf: 25)
قَالَ فِيْهَا تَحْيَوْنَ وَفِيْهَا تَمُوْتُوْنَ وَمِنْهَا تُخْرَجُوْنَ
(Allah) berfirman, “Di sana kamu hidup, di sana kamu mati, dan dari sana (pula) kamu akan dibangkitkan.”
Sekarang Adam telah diturunkan ke bumi. Tapi kisah ini tidak tamat di sini sahaja. Sekarang Allah bercakap dengan kita pula. Di mana? Masih di Jannah. Kita masih di Jannah ketika itu, masih belum diturunkan ke dunia lagi. (Al-A’raf: 26)
يٰبَنِيْٓ اٰدَمَ قَدْ اَنْزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُّوَارِيْ سَوْءٰتِكُمْ وَرِيْشًاۗ وَلِبَاسُ التَّقْوٰى ذٰلِكَ خَيْرٌۗ
Wahai anak cucu Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan untuk perhiasan bagimu. Tetapi pakaian takwa, itulah yang lebih baik.
Di sini Allah mengingatkan kita tentang pakaian. Dan Dia mengajar kita tentang 2 jenis pakaian: Pakaian pertama dimaksudkan adalah pakaian yang diperbuat daripada bahan-bahan seperti kapas dan sutera; manakala pakaian kedua iaitu yang lebih penting adalah takwa. Takwa bermaksud kalam Allah.
Dan Dia terus mengingatkan kita,
ذٰلِكَ مِنْ اٰيٰتِ اللّٰهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُوْنَ
Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka ingat.
Semoga kita terus ingat pesanan Allah ini yang telah Dia sampaikan ketika kita berada di alam arwah. Ini kerana pakaian adalah sangat penting, begitu penting sekali sehingga Allah mengingatkannya ketika kita masih berada di alam roh di Jannah lagi. Allah berpesan sebagaimana wahyu-Nya telah diturunkan dari langit, maka begitu jugalah pakaian ini diturunkan. Maka, jagalah perkara ini sebaik mungkin. Jaga maruah kita dengan pakaian ini.
Allah berfirman lagi (Al-A’raf: 27)
يٰبَنِيْٓ اٰدَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ الشَّيْطٰنُ كَمَآ اَخْرَجَ اَبَوَيْكُمْ مِّنَ الْجَنَّةِ يَنْزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءٰتِهِمَا
Wahai anak cucu Adam! Janganlah sampai kamu tertipu oleh syaitan sebagaimana halnya dia (syaitan) telah mengeluarkan ibu bapamu dari syurga, dengan menanggalkan pakaian keduanya untuk memperlihatkan aurat keduanya.
Berjaga-jagalah dengan Iblis serta pengikut-pengikutnya. Iblis telah berjaya memperdaya ibu dan bapa kita dan dia pasti akan cuba melakukan perkara yang sama kepada kita. Kejayaannya itu membuktikan yang dia adalah ancaman terhadap untuk kita. Dia akan menyerang kita dengan cara ini setiap waktu dan ketika tanpa jemu.
Sementara kita masih hidup di bumi ini, Allah telah menggariskan beberapa hukum untuk kita, bukan? Hukum tentang zakat, harta, ibadah, pemakanan dan sebagainya. Tetapi hukum manakah yang paling Allah tekankan, yang akan diperdayakan oleh Iblis? Ia adalah hukum aurat. Hukum tentang pakaian. Maka, jelas di sini kita mesti betul-betul mengambil pengajaran dan fokus tentang hukum pakaian kerana Iblis mahu aurat dan maruah manusia terdedah.
Kita sekarang hidup dalam masyarakat dipenuhi dengan media sosial, di mana sumber kelucahan terlalu mudah untuk didapati. Tahap pendedahan anak-anak kita terhadap sumber terkutuk ini amatlah berleluasa dan statistiknya amat mengejutkan serta membimbangkan.
Kita juga kena ingat yang Iblis sentiasa memerhati kita
اِنَّهٗ يَرٰىكُمْ هُوَ وَقَبِيْلُهٗ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْۗ
Sesungguhnya dia dan pengikutnya dapat melihat kamu dari suatu tempat yang kamu tidak dapat melihat mereka.
Mereka sentiasa mencari peluang untuk memperdaya kita dan membisikkan was-wasa ke dalam hati dan minda kita. Dan terdapat di antara kita yang telah terperangkap dengan bisikan dan helah mereka ini
اِنَّا جَعَلْنَا الشَّيٰطِيْنَ اَوْلِيَاۤءَ لِلَّذِيْنَ لَا يُؤْمِنُوْنَ
Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin bagi orang-orang yang tidak beriman.
Mereka adalah jenis yang tidak kisah mendedahkan aurat mereka kepada orang lain tanpa rasa segan silu.
Syaitan begitu mudah memenangi peperangan ini. Kenapa? Kerana kita jauh daripada wahyu Allah. Satu-satu cara untuk memenangi peperangan ini adalah dengan menggantikan bisikan dan kata-kata Iblis dengan kata-kata Allah. Perangi kegelapan dengan cahaya. Tanyakan diri anda sendiri: Berapa banyakkah Qur’an ini menjadi sebahagian daripada hidup anda?
Kemudian Allah telah berbicara tentang tamadun yang lalu agar kita belajar daripada kesilapan mereka.(Al-A’raf: 28)
وَاِذَا فَعَلُوْا فَاحِشَةً قَالُوْا وَجَدْنَا عَلَيْهَآ اٰبَاۤءَنَا وَاللّٰهُ اَمَرَنَا بِهَاۗ
Dan apabila mereka melakukan perbuatan keji, mereka berkata, “Kami mendapati nenek moyang kami melakukan yang demikian, dan Allah menyuruh kami mengerjakannya.
Mereka mendakwa bahawa apa yang mereka lakukan itu adalah perkara yang biasa mereka lakukan dalam budaya mereka, perkara normal sahaja yang telah diamalkan sejak turun temurun sejak sekian lama. Mereka menyangka itulah yang Allah mahukan kerana semua orang mengerjakannya.
Tetapi nenek moyang siapakah yang kamu ikuti itu? Kerana bukankah nenek moyang kamu yang sebenarnya adalah Nabi Adam? “Oh, saya hanya ikut adat budaya keluarga saya sahaja.” Salah! Adat budaya kamu juga adalah Adam. “Saya ikut tradisi sahaja.” Silap! Adam jugalah sepatutnya tradisi kamu. Ayat-ayat yang baru sahaja kita pelajari inilah Allah menerangkan tentang asal, adat, budaya, sejarah, dan tradisi kita yang sebenar-benarnya.
Jangan gunakan Allah sebagai alasan dan hujah kamu. Kamu tidak boleh menggunakan nama Allah semata-mata ingin melakukan perkara terkutuk kamu itu.
قُلْ اِنَّ اللّٰهَ لَا يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاۤءِۗ
Katakanlah, “Sesungguhnya Allah tidak pernah menyuruh berbuat keji.
Adakah kamu menipu di atas nama Allah dengan perkara-perkara yang sendiri tidak mengetahuinya?
اَتَقُوْلُوْنَ عَلَى اللّٰهِ مَا لَا تَعْلَمُوْنَ
Mengapa kamu membicarakan tentang Allah apa yang tidak kamu ketahui?”
Jangan! Jangan sesekali lakukan itu!
Dan amat menarik sekali apa Allah firmankan selepas itu (Al-A’raf: 31)
يٰبَنِيْٓ اٰدَمَ خُذُوْا زِيْنَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ
Wahai anak cucu Adam! Pakailah pakaianmu yang bagus pada setiap (memasuki) masjid
Maka, kita hendaklah memakai pakaian yang indah setiap kali kita solat.
Kebiasaannya, bilakah kita memakai berhias memakai pakaian yang indah? Biasanya ketika ada acara istimewa seperti majlis graduasi, perayaan atau keraian, bukan? Ini menunjukkan pakaian indah dipakai ketika meraikan sesuatu atau ketika kita diraikan kerana dihargai atau diiktiraf. Dan harus diingatkan yang malaikat diperintahkan oleh Allah untuk sujud kepada manusia apabila ia diiktiraf.
Maka oleh sebab itu, kita sepatutnya berhias diri berpakaian indah ketika melakukan sujud. Ini kerana sujud itu seharusnya mengingatkan kita tentang pengiktirafan Allah terhadap kita. Ia merupakan suatu acara yang cukup istimewa dan kita seharusnya berhias dengan berpakaian indah. Sujud terhadap Adam itu telah berlaku di syurga dan perintah berkenaan pakaian juga telah diwahyukan di syurga. Alangkah indahnya apabila kedua-dua perkara yang berlaku di syurga dilakukan bersama!
Puak Kristian dan Yahudi memandang kehidupan di dunia ini sebagai hukuman dari Tuhan kerana kesalahan Adam dan Hawa. Tetapi kita telah jelaskan bahawa bukan begitu tujuan Allah. Semenjak dari awal lagi Allah telah menetapkan yang manusia akan hidup di bumi (malah sebelum kita dijadikan lagi), dan bukan kerana kesalahan yang dilakukan oleh Adam dan Hawa.
Allah telah berfirman di dalam ayat-ayat-Nya sebelum ini yang Dia telah berikan kesempurnaan (kestabilan, keseimbangan) kepada kita untuk hidup di dunia ini.
Namun begitu, adakah kita mempunyai keseimbangan itu? Kita mungkin berkata yang kedua ibubapa, ahli keluarga kita dan ramai lagi di antara kita bergelut dalam kemelut permasalahan di dunia ini. Negara kita, malah mana-mana negara Islam pun tidak stabil. Maka, kestabilan dan keseimbangan apakah yang Allah maksudkan di sini? Bukankah sejarah membuktikan dunia ini sentiasa dalam keadaan tidak stabil dan huru hara sana sini?
Dengar baik-baik dan ini adalah rumusan keseluruhan kisah ini. Terdapat dua dunia: Dunia luaran dan dunia dalaman kita. Dunia luaran adalah ujian yang paling susah Allah berikan kepada kita. Sebab itulah kita boleh lihat terlalu banyak ketidakstabilan di luar sana, di seluruh dunia. Sebab itu jugalah, para nabi yang merupakan manusia yang paling dicintai Allah, mereka telah melalui terlalu banyak ketidakstabilan dan ujian sepanjang hidup mereka.
Namun bagi mereka yang berada di jalan Allah, Allah telah letakkan sesuatu di dalam diri mereka iaitu roh dan juga kata-kata-Nya yang merupakan wahyu dan cahaya. Ini adalah dunia lain yang berada dalam fikiran kita. Gempabumi, runtuhan, bala bencana mungkin berlaku di sekeliling mereka, namun dalaman diri mereka tetap stabil. Segala-galanya mungkin bergoncang di luaran, namun dalaman mereka tetap tenang. Hinggakan kita mungkin berasa hairan bagaimana mereka ini boleh mencapai ketenangan sebegitu di sebalik huru hara yang berlaku di sekeliling mereka? Inilah seperti apa yang telah Allah firmankan dalam (Al-Ahzab: 22)
وَلَمَّا رَاَ الْمُؤْمِنُوْنَ الْاَحْزَابَۙ قَالُوْا هٰذَا مَا وَعَدَنَا اللّٰهُ وَرَسُوْلُهٗ وَصَدَقَ اللّٰهُ وَرَسُوْلُهٗ ۖوَمَا زَادَهُمْ اِلَّآ اِيْمَانًا وَّتَسْلِيْمًاۗ
Dan ketika orang-orang mukmin melihat golongan-golongan (yang bersekutu) itu, mereka berkata, “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita.” Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu menambah keimanan dan keislaman mereka.
Di sini Allah menceritakan kisah para sahabat yang sedang menghadapi pasukan tentera kafir yang bilangan mereka berganda-ganda lebih ramai. Walaupun kemungkinan akan kalah dan mati sangat tinggi, namun oleh kerana tahap keimanan mereka terhadap Allah dan Rasulullah yang begitu tinggi, maka mereka dikurniakan rasa ketenangan yang amat dalam.
Seorang ulamak pernah berkata, ketika seorang mukmin mula mahu berada di jalan Allah, Iblis dan bala tenteranya terus tahu dan bersedia memporak perandakan hidup orang mukmin itu dan orang-orang yang rapat dengannya. Inilah cara Iblis semenjak dahulu. Dan kita, yang telah ingin berada di jalan Allah ini, maka harus berusaha keras untuk mencari ketenangan itu di dalam diri kita. Dan letakkan sepenuh pengharapan dan pergantungan kita hanya kepada Allah. Ini kerana jika kita mencari ketenangan itu selain daripada Allah, maka kita akan dapati diri kita semakin jatuh dan kecewa. Sebaliknya, carilah ketenangan itu di dalam kata-kata Allah dan biarkan Allah ‘bercakap’ dengan anda.
Ingatlah, anda bukan seorang yang gagal. Anda tidak mewarisi kegagalan atau sifat-sifat buruk daripada keluarga anda. Ya, anda mungkin mewarisi rupa mereka tetapi bukan sifat mereka. Sifat buruk tidaklah diwarisi melalui darah. Setiap roh telah ada sebelum darah dijadikan. Dan setiap roh adalah unik. Setiap roh adalah tanda kehebatan Allah. Anda tidak akan dihakimi berdasarkan pencapaian orang lain. Inilah pertarungan di antara anda, Iblis dan kata-kata Allah. Itu sahaja. Apa yang paling kita mampu lakukan hanyalah tolong menolong di antara satu sama lain.
Akhirnya, kita akan berhadapan dengan Allah secara bersendirian (An’am: 94)
وَلَقَدْ جِئْتُمُوْنَا فُرَادٰى كَمَا خَلَقْنٰكُمْ اَوَّلَ مَرَّةٍ
Dan kamu benar-benar datang sendiri-sendiri kepada Kami sebagaimana Kami ciptakan kamu pada mulanya,
Maka, kita harus berjalan di jalan-Nya berseorangan dan tiada sesiapa yang akan menjalaninya untuk kita.
Inilah kisah Adam dan Iblis. Dan anda boleh lihat ia mungkin berbeza daripada apa yang anda fahami selama ini. Sekarang kita sudah jelas tentang permainan Iblis dan hubungkait kita dengannya. Dan kisah ini memberikan kita harapan bahawa kita boleh mendapat hubungan yang mendalam dengan kata-kata Allah dan ia akan membawa kita ke jalan yang lurus. Iblis mahu kita berputus harap dengan Allah, dan kita mesti tahu yang ini adalah tidak benar sama sekali. Malah Firaun telah mendapat peluang untuk bertaubat sehingga akhir hayatnya. Begitu juga kita.