Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 12 – 13 (Bai’ah dengan wanita)

Mumtahanah Ayat 12: Ayat ini adalah ayat penghormatan kepada golongan wanita. Kerana di dalam ayat ini disebut bai’ah dengan wanita. Sedangkan Nabi Muhammad ﷺ telah banyak mengadakan bai’ah dengan manusia, tetapi tidak disebut dalam Al-Qur’an.

Tapi apabila baginda ﷺ mengadakan bai’ah dengan wanita maka kandungan bai’ah itu disebut satu persatu seperti ada di dalam ayat ini dan tidak ada disebut di dalam ayat Al-Qur’an yang lain. Jadi ini menunjukkan kehebatan bai’ah yang baginda adakan dengan para wanita itu.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ إِذا جاءَكَ المُؤمِنٰتُ يُبايِعنَكَ عَلىٰ أَن لّا يُشرِكنَ بِاللهِ شَيئًا وَلا يَسرِقنَ وَلا يَزنينَ وَلا يَقتُلنَ أَولٰدَهُنَّ وَلا يَأتينَ بِبُهتٰنٍ يَفتَرينَهُ بَينَ أَيديهِنَّ وَأَرجُلِهِنَّ وَلا يَعصينَكَ في مَعروفٍ ۙ فَبايِعهُنَّ وَاستَغفِر لَهُنَّ اللهَ ۖ إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O Prophet, when the believing women come to you pledging to you that they will not associate anything with Allāh, nor will they steal, nor will they commit unlawful sexual intercourse, nor will they kill their children, nor will they bring forth a slander they have invented between their arms and legs,¹ nor will they disobey you in what is right – then accept their pledge and ask forgiveness for them of Allāh. Indeed, Allāh is Forgiving and Merciful.

  • This is an allusion to pregnancy and childbirth, i.e., to falsely attribute a child (whether adopted or born of adultery) to a woman’s husband.

(MELAYU)

Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia, bahawa mereka tiada akan menyekutukan Allah, tidak akan mencuri, tidak akan berzina, tidak akan membunuh anak-anaknya, tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka dan tidak akan mendurhakaimu dalam urusan yang baik, maka terimalah janji setia mereka dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

يٰأَيُّهَا النَّبِيُّ

Hai Nabi,

Ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad ﷺ, kerana bagindalah yang mengadakan bai’ah dengan para wanita itu. Atau sesiapa yang baginda wakilkan untuk melakukan bai’ah itu. Kerana ada yang baginda wakilkan kepada para sahabat yang besar.

Dan ia juga ditujukan kepada khalifah Islam selepas baginda. Kerana khalifah juga boleh melakukan bai’ah dengan rakyat juga.

إِذا جاءَكَ المُؤمِنٰتُ يُبايِعنَكَ

apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia denganmu,

Dalam ayat 10 sebelum ini, ia tentang ujian yang perlu dilakukan kepada wanita yang baru datang berhijrah ke Madinah. Selepas mereka diuji, maka barulah mereka dibai’ah. Akan tetapi bai’ah ini tidaklah hanya kepada mereka sahaja. Banyak kali bai’ah telah dilakukan pada zaman Nabi.

Bai’ah adalah janji untuk taat setia. Bai’ah ini salah satu kepentingannya adalah untuk memberikan perasaan ‘kekitaan’ kepada satu-satu kumpulan dan menunjukkan kesetiaan kepada kumpulan itu. Selepas melakukan bai’ah itu, akan menyebabkan rasa rapat dan masuk ke dalam satu-satu kumpulan atau negara.

Oleh kerana itu kita ada dengar bagaimana ada orang yang bersumpah ikrar untuk tinggal di sesuatu negara yang mereka masuk itu dan apabila mereka selesai majlis ikrar taat setia itu, ada yang menangis kerana mereka terharu. Kerana mereka telah dimasukkan dan diiktiraf di negara itu.

Itu baru masuk jadi warganegara satu negara, dan bagaimana pula kalau bai’ah itu adalah untuk berpegang kepada agama Islam ini? Maka tentulah ianya lebih memberi kesan kepada hati manusia. Kerana mereka bukan sahaja meninggalkan negara lama dan masuk negara baru, tapi mereka telah masuk ke dalam kehidupan  yang baru.

Maka mereka yang berbai’ah kepada Rasulullah ﷺ itu telah berjanji setia untuk masuk ke dalam agama Islam dan berjanji untuk taat kepada ajaran Islam. Yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah sekumpulan wanita yang telah masuk Islam dan telah berhijrah ke Madinah. Mereka telah dibai’ah oleh Rasulullah ﷺ. Apakah kandungan bai’ah mereka?

Selepas Pembukaan Mekah, Rasulullah ﷺ telah mengadakan bai’ah dengan para mukmineen yang masuk Islam di Bukit Safa. Dan baginda ﷺ arahkan Saidina Umar رضي الله عنه untuk menerima bai’ah dari golongan mukminaat pula. Dan apabila pulang ke Madinah, baginda ﷺ arahkan bai’ah dari para wanita dilakukan dan dilakukan oleh Saidina Umar رضي الله عنه juga.

Dan pernah baginda membacakan ayat ini dan mengadakan sendiri bai’ah dengan para wanita yang lain. Dan ada waktu-waktu lain juga para wanita datang kepada baginda ﷺ dan bai’ah dari mereka dilakukan. Jadi dalam semua keadaan itu, perkara yang dibai’ah adalah seperti yang di dalam ayat ini.

Apakah kandungan bai’ah mereka itu? Ada 6 perkara semua sekali.

أَن لّا يُشرِكنَ بِاللهِ شَيئًا

bahawa mereka tiada akan menyekutukan Allah dengan apa pun, 

Yang paling penting sekali adalah berjanji untuk tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ, dengan apa juga pun. Bukan dengan ilah yang lain, dengan benda, dengan sistem apa-apa pun. Itulah maksudnya شَيئًا iaitu apa-apa sahaja.

Ini kerana manusia dan jin melakukan syirik dengan berbagai-bagai cara dan semua cara itu telah dimasukkan di dalam kalimah شَيئًا ini. Tidak kira bagaimana caranya, semua itu tidak boleh dilakukan. Maka kena belajar jenis-jenis syirik ini kerana takut ada perbuatan syirik yang kita tidak sangka yang ianya adalah syirik.

Kerana itu disebut tentang syirik. Sedangkan tentu sudah disebut iman di tempat yang lain, bukan? Kerana iman tanpa meninggalkan syirik adalah sia-sia. Ramai yang tahu tentang apa yang perlu diimani, tapi ramai yang culas tentang syirik. Kerana ia tidak banyak ditekankan dalam pengajian di kalangan masyarakat kita.

وَلا يَسرِقنَ

dan tidak akan mencuri, 

Bai’ah kedua para wanita itu adalah tidak mencuri. Ini adalah tentang penjagaan harta manusia. Islam amat menjaga hak harta manusia. Dan kerana itulah ada hukum Hudud berkenaan pencurian dan rompakan.

Berkenaan bai’ah inilah Hindun, isteri Abu Sufyan bertanya kepada baginda ﷺ sama ada dia boleh ambil wang Abu Sufyan tanpa pengetahuannya itu.

Hindun ibnu Utbah menyebutkan bahawa dia pernah bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan adalah seorang lelaki yang kedekut, belum pernah memberi nafkah yang cukup untukku dan untuk anak-anakku, apakah aku berdosa jika kuambil sebahagian dari hartanya tanpa pengetahuan-nya?” Rasulullah Saw. menjawab:

“خُذِي مِنْ مَالِهِ بِالْمَعْرُوفِ مَا يَكْفِيكِ وَيَكْفِي بَنِيكِ”
Ambillah sebahagian dari hartanya dengan cara yang makruf untuk mencukupi keperluanmu dan keperluan anak-anakmu.
Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan hadis ini di dalam kitab sahihnya masing-masing.

وَلا يَزنينَ

dan tidak akan berzina, 

Ini adalah janji untuk tidak berzina iaitu menjaga maruah dan nasab keturunan. Kerana kalau zina dibiarkan berleluasa, maka maruah akan hancur dan keturunan akan rosak kerana sudah tidak tahu bayi itu anak lelaki yang mana.

Maka kalau itu terjadi, institusi kekeluargaan akan hancur. Kita pun tahu bahawa kalau anak tidak ada penjagaan dari ibu dan bapanya, mereka mungkin ada masalah. Tidaklah semua, tapi ramai juga yang begitu.

Ditekankan bai’ah ini kepada wanita kerana kalau mereka dapat jaga benar perkara ini, maka ia dapat mengurangkan zina di kalangan masyarakat. Kalau wanita jaga perkara ini, lebih mudah bagi lelaki untuk menjaga perkara ini juga. Kerana zina ini senang terjadi kalau wanita tidak menjaganya. Ini kerana zina mudah terjadi kalau wanita tidak menjaganya.

وَلا يَقتُلنَ أَولٰدَهُنَّ

tidak akan membunuh anak-anaknya, 

Ini adalah janji tidak akan membunuh anak yang lahir, sama ada anak itu lelaki atau wanita. Ini penting kerana pada zaman itu, ada yang membunuh anak perempuan kerana mereka malu kalau dapat anak perempuan. Maka ini adalah janji yang penting. Bukanlah semua orang Arab melakukannya, tapi ada yang buat. Sebagai contoh, Bani Quraish tidak melakukannya (jadi kisah yang mengatakan Saidina Umar membunuh anak perempuannya tidaklah benar).

Bukan zaman itu sahaja manusia tidak suka kepada anak perempuan. Malah pada zaman sekarang pun ada yang tidak suka. Kerana itu ada yang kalau tahu dapat anak perempuan, mereka akan gugurkan; atau kalau mereka dapat anak perempuan, muka mereka akan sedih kerana mereka kena jaga anak perempuan itu sampai besar dan akhirnya kahwin dengan lelaki lain, dia akan meninggalkan keluarga. Sudahlah semasa kecil tidak dapat membantu, selepas dewasa pun tidak membantu kerana pergi ikut suaminya.

Perihal pembunuhan anak perempuan dan juga ketidaksukaan kalau dapat anak perempuan disentuh dalam banyak ayat-ayat Al-Qur’an yang lain.

Pembunuhan anak ini termasuk juga pengguguran anak. Ada wanita yang menggugurkan anak sama ada anak itu anak halal ataupun anak zina. Berbagai sebab kenapa mereka melakukan perkara itu, tapi hukumnya adalah haram. Kecuali kalau kerana sebab-sebab tertentu dan ini terdapat dalam perbincangan ulama fiqh.

وَلا يَأتينَ بِبُهتٰنٍ يَفتَرينَهُ بَينَ أَيديهِنَّ وَأَرجُلِهِنَّ

tidak akan berbuat dusta yang mereka ada-adakan antara tangan dan kaki mereka 

Mereka berjanji untuk tidak memulakan skandal atau gosip walau di mana sahaja mereka berada. Jadi ‘buhtan’ boleh bermaksud kata-kata dusta atau fitnah atau sumpah palsu.

Ini disebut di dalam banyak ayat Al-Qur’an kerana perkara ini boleh menyebabkan sakit hati ataupun rendah hati pada pada mana-mana manusia yang akan menyebabkan mereka malu dengan semua orang. Bukan sahaja malu malah boleh menyebabkan perkelahian dan pertengkaran yang boleh sampai menyebabkan peperangan.

Ulama mengatakan ada dua maksud بِبُهتٰنٍ dalam ayat ini:

1. Mengatakan seorang wanita telah berzina dan menyebarkan berita palsu ini. Tidak dapat dinafikan, kaum wanita memang suka gossip begini dan kerana itu mereka diingatkan dengan perkara ini.

2. Seorang wanita telah berzina dengan lelaki selain dari suaminya sehingga melahirkan anak haram. Tapi dia mengatakan yang anak yang lahir itu adalah anak suaminya. Ini adalah penipuan yang amat besar.

Ibnu Abbas رضي الله عنه mengatakan bahawa makna yang dimaksudkan ialah janganlah mereka menisbatkan anak-anak mereka kepada selain ayah-ayah mereka. Hal yang sama telah dikatakan oleh Muqatil. Pendapat ini diperkuat dengan adanya hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud. Disebutkan bahawa:

حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ صَالِحٍ، حَدَّثَنَا بن وَهْبٍ، حَدَّثَنَا عَمْرٌو -يَعْنِي: ابْنَ الْحَارِثِ-عَنِ ابْنِ الْهَادِ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ يُونُسَ، عَنْ سَعِيدٍ المَقْبُري، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ويقول حِينَ نَزَلَتْ آيَةُ الْمُلَاعَنَةِ: “أَيُّمَا امْرَأَةٍ أدخَلت عَلَى قَوْمٍ مَنْ لَيْسَ مِنْهُمْ، فَلَيْسَتْ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ، وَلَنْ يُدْخِلَهَا اللَّهُ جَنّته، وَأَيُّمَا رَجُلٍ جَحَد وَلَدَهُ وَهُوَ يَنْظُرُ إِلَيْهِ، احْتَجَبَ اللَّهُ مِنْهُ، وَفَضَحَهُ عَلَى رُءُوسِ الْأَوَّلِينَ وَالْآخِرِينَ”

telah menceritakan kepada kami Ahmad ibnu Saleh, telah menceritakan kepada kami Ibnu Wahb, telah menceritakan kepada kami Amr ibnul Haris, dari Ibnul Had, dari Abdullah ibnu Yunus, dari Sa’id Al-Maqbari, dari Abu Hurairah, bahawa ketika ayat Mula’anah (li’an) diturunkan, dia mendengar Rasulullah Saw. bersabda: Siapa pun wanitanya yang memasukkan ke dalam kaum (nya) seseorang yang bukan berasal dari mereka, maka dijauhkanlah dia dari rahmat Allah, dan Dia tidak akan memasukkannya ke syurga. Dan siapa pun lelakinya yang mengingkari anaknya sendiri, padahal dia menyaksikannya, maka Allah menutup diri darinya dan memalukannya di depan mata kepala orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang terkemudian (di hari kiamat nanti).

Kenapa ada sebut ‘antara kaki dan tangan’ mereka? Allah mengingatkan tentang ‘saksi’ di akhirat kelak. Allah ingatkan bahawa kita ini ada saksi yang akan ulang balik kata-kata kita nanti. Iaitu kaki dan tangan kita akan jadi saksi di akhirat kelak.

 

وَلا يَعصينَكَ في مَعروفٍ

dan tidak akan mendurhakaimu dalam urusan yang baik,

Mereka juga berjanji akan taat kepada Rasulullah ﷺ dan tidak akan menderhakai baginda di dalam arahan baginda. Sebelum ini telah disebut perkara-perkara yang ‘jangan’ dilakukan. Iaitu perkara-perkara yang selalu dilakukan oleh wanita pada zaman itu. Dan sekarang disebut perkara yang ‘perlu’ dilakukan pula.

Disebut 4 perkara yang tidak boleh dilakukan dan sekarang bila suruhan melakukan sesuatu, hanya sebut satu sahaja: ikut arahan Nabi ﷺ sahaja. Allah ﷻ tak sebut ikut Al-Qur’an atau taat kepada Allah ﷻ dalam ayat ini, tapi Allah ﷻ suruh taat kepada Nabi ﷺ sahaja.

Ini mengajar kita untuk mengenal kedudukan Rasulullah ﷺ. Baginda ﷺ telah diberikan dengan tugas untuk membentuk masyarakat Islam dan baginda ﷺ telah diberikan kuasa yang luas. Apa-apa sahaja yang baginda ﷺ sampaikan adalah untuk kebaikan dan manusia kena taat kepada baginda. Apa-apa sahaja yang baginda ﷺ sampaikan adalah agama.

Memanglah kena taat kepada Allah ﷻ, tapi ketaatan kepada Allah ﷻ itu ditunjukkan dengan taat kepada Nabi ﷺ kerana baginda yang bawa amanah dari Allah ﷻ. Lalu bagaimana pula ada golongan yang terlalu bodoh sampaikan boleh terima ajaran Anti-Hadis? Mereka rasa mereka boleh ambil arahan dari Al-Qur’an sahaja dan tolak hadis Nabi? Bagaimana boleh sampai begitu? Kenapakah jahil sangat?

Jadi ini mengajar kita yang Hadis dan Sunnah juga adalah sumber hukum kita. Jangan tengok apa yang ada dalam Al-Qur’an sahaja. Kerana kata-kata Nabi (hadis) itu adalah wahyu juga. Jangan salah faham, jangan tidak tahu pula. Jangan pula kata: “aku tak mahu ikut kerana arahan ini tidak ada pun dalam Al-Qur’an!”. Ini adalah kata-kata orang yang sangat jahil dalam agama.

‘Perkara makruf’ adalah perkara yang telah diketahui perkara yang baik di dalam sesuatu masyarakat itu seperti yang telah tertulis di dalam undang-undang agama Islam. Perkara itu juga diketahui sebagai baik dalam masyarakat yang bukan Islam pun, jadi ia adalah perkara yang semua orang sudah tahu ianya ‘baik’. Sampaikan tak perlu nak ajar pun orang sudah tahu.

Oleh kerana itu kita sebut di dalam agama, disuruh untuk melakukan ‘amar makruf’ iaitu mengajak manusia untuk melakukan perkara baik yang mereka pun telah tahu ianya baik. Manusia juga tahu ianya baik kerana fitrah diri kita memang sudah kenal mana yang baik dan mana yang buruk. Kerana itu orang yang pertama kali mencuri atau berbohong, mereka akan ketakutan (berpeluh dan berdegup jantung mereka) kerana itu berlawanan dengan fitrah kejadian mereka.

Lihat kalimah yang digunakan dalam ayat ini: “dan tidak akan mendurhakaimu dalam urusan yang baik“. Maknanya, taat kepada baginda pun ada syarat juga: kena dalam urusan yang baik. Kalau Nabi ﷺ suruh buat benda salah pun tidak boleh taat.

Memanglah Nabi ﷺ tidak akan suruh buat benda yang salah, tapi Allah ﷻ hendak beritahu: kalau nak ikut Rasul pun kena tengok sama ada benda itu baik atau tidak, apatah lagi kalau ikut arahan manusia? Kerana ada yang salah faham dengan mengatakan kena taat kepada Raja/Pemerintah sepertimana taat kepada Rasul kerana Nabi ﷺ adalah pemerintah pada zaman baginda.

Ini adalah salah kerana dalam taat, hanya boleh dalam perkara yang makruf baik sahaja. Tidak boleh pakai ikut sahaja. Kerana kalau taat dalam perkara maksiat, tetap berdosa. Yang suruh akan berdosa dan yang ikut arahan itu juga akan berdosa.

Dan kerana baginda ﷺ itu menjadi sumber hukum juga, maka ada bai’ah yang baginda ﷺ juga tambah dari selain yang ada dalam ayat ini:

Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abdur Rahman ibnu Mahdi, telah menceritakan kepada kami Sufyan, dari Muhammad ibnul Munkadir, dari Umaimah binti Raqiqah yang telah menceritakan bahawa dia datang kepada Rasulullah Saw. bersama-sama dengan kaum wanita untuk menyatakan baiat (janji setia) mereka kepadanya. Maka baginda Saw. menyumpah kami dengan apa yang terkandung di dalam Al-Qur’an, iaitu kami tidak boleh mempersekutukan Allah dengan sesuatu pun, hingga akhir ayat. Lalu baginda Saw. bersabda: Dalam batasan sesuai dengan kemampuan dan kekuatan kalian. Kami berkata, “Allah dan Rasul-Nya lebih sayang kepada kita daripada diri kita sendiri.” Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa engkau tidak menjabat tangan kami (sebagaimana engkau membaiat kaum lelaki)?” Rasulullah Saw. bersabda:
“إِنِّي لَا أُصَافِحُ النِّسَاءَ، إِنَّمَا قَوْلِي لِامْرَأَةٍ وَاحِدَةٍ كَقَوْلِي لِمِائَةِ امْرَأَةٍ”
Sesungguhnya aku tidak mahu berjabat tangan dengan wanita (lain), sesungguhnya ucapanku kepada seorang wanita adalah sama dengan ucapanku kepada seratus orang wanita.

Selain itu, ada yang baginda ﷺ tambah lagi:

Ibnu Jarir mengatakan, telah menceritakan kepada kami Bisyr, telah menceritakan kepada kami Yazid, telah menceritakan kepada kami Sa’id, dari Qatadah sehubungan dengan ayat ini, bahawa pernah diceritakan kepada kami bahawa Nabi Allah Swt. telah menyumpah mereka untuk tidak melakukan niyahah dan janganlah mereka berbicara dengan kaum lelaki kecuali lelaki yang mahramnya. Maka Abdur Rahman ibnu Auf r.a. bertanya, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami sering mempunyai tamu-tamu, sedangkan kami sering meninggalkan isteri-isteri kami.” Maka Rasulullah Saw. menjawab: Bukan mereka yang aku maksudkan, bukan mereka yang aku maksudkan.

 

فَبايِعهُنَّ

maka terimalah janji setia mereka 

Allah ﷻ suruh Rasulullah ﷺ terimalah bai’ah mereka itu kerana bai’ah mereka itu ikhlas.

Dan kena ingat yang bai’ah itu tanpa ada pegangan tangan antara mereka dan Rasulullah ﷺ kerana itu adalah aurat. Jadi ini adalah teguran kepada sesiapa yang ada pula bai’ah bersalam antara guru lelaki dan anak murid perempuan seperti yang ada dilakukan oleh pertubuhan silat.

Siti Aisyah r.a. isteri Nabi Saw. pernah menceritakan kepadanya bahawa Rasulullah Saw. menguji setiap wanita mukmin yang berhijrah kepadanya kerana ada ayat ini, iaitu: Hai Nabi, apabila datang kepadamu perempuan-perempuan yang beriman untuk mengadakan janji setia. (Al-Mumtahanah: 12) sampai dengan firman-Nya: Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-Mumtahanah: 12) Urwah mengatakan bahawa Siti Aisyah melanjutkan kisahnya, bahawa barangsiapa di antara wanita-wanita yang mukmin itu mengakui persyaratan tersebut. Maka Rasulullah Saw. bersabda kepadanya: Aku telah membaiatmu (menerima janji setiamu) hanya dengan ucapan; dan demi Allah tangan baginda sama sekali tidak menyentuh tangan seorang wanita pun dalam baiat itu. Baiat baginda kepada mereka hanyalah melalui sabda beliau Saw. yang mengatakan: Aku telah membaiatmu atas hal tersebut. Riwayat Imam Bukhari.

وَاستَغفِر لَهُنَّ اللهَ

dan mohonkanlah ampunan kepada Allah untuk mereka. 

Dan selepas majlis bai’ah itu, Rasulullah ﷺ disuruh untuk minta ampun bagi pihak mereka.

إِنَّ اللهَ غَفورٌ رَّحيمٌ

Sesungguhnya Allah maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Maka Allah ﷻ akan ampunkan dosa-dosa mereka yang telah lalu. Allah ﷻ sanggup ampunkan dosa hamba-Nya yang minta ampun kerana Dia Maha Penyayang.


Mumtahanah Ayat 13: Kita sampai ke ayat terakhir surah ini. Diulang kembali perkara awal yang disebut di awal surah ini iaitu tidak berteman rapat dengan orang kafir.

Ayat 13 ini dikira sebagai Perenggan Makro Keempat dan terakhir surah ini. Ia mengandungi perintah setia kepada Negara Islam dan putuskan hubungan dengan puak kafiroon.

Orang-orang kafir (yang menentang Islam) dimurkai dan dilaknat oleh Allah ﷻ. Maka jangan jadikan mereka rakan kerjasama, kerana mereka telah memusuhi agama Islam.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَتَوَلَّوا قَومًا غَضِبَ اللهُ عَلَيهِم قَد يَئِسوا مِنَ الآخِرَةِ كَما يَئِسَ الكُفّارُ مِن أَصحٰبِ القُبورِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O you who have believed, do not make allies of a people with whom Allāh has become angry. They have despaired of [reward in] the Hereafter just as the disbelievers have despaired of [meeting] the companions [i.e., inhabitants] of the graves.

(MELAYU)

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu jadikan penolongmu kaum yang dimurkai Allah. Sesungguhnya mereka telah putus asa terhadap negeri akhirat sebagaimana orang-orang kafir yang telah berada dalam kubur berputus asa.

يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا

Hai orang-orang yang beriman,

Kalau tadi ayat ditujukan kepada Rasulullah ﷺ, sekarang ayat ditujukan kepada orang-orang beriman pula. Semua kena ambil peringatan dari ayat ini.

لا تَتَوَلَّوا قَومًا غَضِبَ اللهُ عَلَيهِم

janganlah kamu jadikan penolongmu kaum yang dimurkai Allah. 

Allah ﷻ memberitahu kepada orang-orang beriman supaya jangan berkawan rapat dengan orang-orang yang telah dibenci oleh Allah ﷻ.

Yang dimaksudkan adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani, serta orang-orang kafir lainnya yang dimurkai dan dilaknat oleh Allah ﷻ serta yang berhak diusir dan dijauhkan dari rahmat-Nya. Termasuk dalam hal ini adalah orang-orang munafik yang telah dikenalpasti siapakah mereka dari sikap-sikap mereka.

قَد يَئِسوا مِنَ الآخِرَةِ

Sesungguhnya mereka telah putus asa terhadap negeri akhirat 

Mereka yang dimurkai oleh Allah ﷻ itu tidak ada harapan lagi di akhirat kelak. Mereka tidak akan mendapat pengampunan dari Allah ﷻ sampai bila-bila.

كَما يَئِسَ الكُفّارُ مِن أَصحٰبِ القُبورِ

sebagaimana orang-orang kafir yang telah berada dalam kubur berputus asa.

Orang yang putus asa itu adalah seperti orang yang telah putus asa untuk bertemu dengan ahli keluarga mereka yang telah mati dan telah masuk ke dalam kubur. Memang kalau sudah mati salah seorang dari ahli keluarga, tidak akan dapat jumpa sampai bila-bila.

Dikatakan demikian kerana mereka tidak menyakini adanya hari berbangkit dan tidak pula dengan hari perhimpunan semua makhluk; harapan mereka telah putus untuk dapat bersua kembali dengan kerabat mereka yang telah tiada, menurut keyakinan mereka.

Tapi kita kena sedar yang orang Islam, masih lagi dapat jumpa ahli keluarganya di dalam syurga. Kalau ahli keluarga sama-sama dapat masuk ke dalam syurga, maka boleh duduk sekali dalam syurga. Ini adalah nikmat yang tidak ada pada orang kafir.

Juga bermaksud orang-orang kafir itu akan putus asa apabila mereka telah masuk ke dalam kubur nanti kerana mereka akan tahu nasib mereka. Barulah mereka tahu yang perkara yang mereka tolak dulu semasa di dunia adalah benar belaka.

Mereka akan nampak alam kubur, mereka akan berjumpa dengan malaikat Munkar dan Nakir dan mereka akan dikenakan dengan azab kubur. Mereka akan menyesal sungguh-sungguh. Tapi penyesalan waktu itu sudah terlambat. Kerana tidak akan ada peluang untuk patah balik ke dunia dan baiki segala kesalahan yang telah dilakukan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke surah yang seterusnya, Surah Saff.

Tarikh: 28 Oktober 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi
Maariful Qur’an

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

2 thoughts on “Tafsir Surah Mumtahanah Ayat 12 – 13 (Bai’ah dengan wanita)”

  1. Assalamualaikum,
    Ustaz, saya cuma nak beritahu, link ‘belajar kosakata ayat Quran’ di sebelah ni, sama dengan link ‘belajar Fiqh Praktis Sunnah’.

    Like

Leave a Reply to Rizal Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s