Tafsir Surah Hashr Ayat 7 – 9 (Kelebihan puak Ansar)

Hashr Ayat 7:

مّا أَفاءَ اللهُ عَلىٰ رَسولِهِ مِن أَهلِ القُرىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسولِ وَلِذِي القُربىٰ وَاليَتٰمىٰ وَالمَسٰكينِ وَابنِ السَّبيلِ كَي لا يَكونَ دولَةً بَينَ الأَغنِياءِ مِنكُم ۚ وَما ءآتٰكُمُ الرَّسولُ فَخُذوهُ وَما نَهٰكُم عَنهُ فَانتَهوا ۚ وَاتَّقُوا اللهَ ۖ إِنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And what Allāh restored to His Messenger from the people of the towns – it is for Allāh and for the Messenger and for [his] near relatives¹ and orphans and the [stranded] traveler² – so that it will not be a perpetual distribution among the rich from among you. And whatever the Messenger has given you – take; and what he has forbidden you – refrain from. And fear Allāh; indeed, Allāh is severe in penalty.

  • Those of Banū Hāshim and Banū Muṭṭalib, whom he (ṣ) had prohibited from accepting zakāh.
  • This ruling concerning properties abandoned by an enemy without a war effort differs from that in Sūrah al-Anfāl, verse 41, which refers to spoils of war in which four fifths is distributed among those who fought in Allāh’s cause.

(MELAYU)

Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan, supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu. Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.

 

مّا أَفاءَ اللهُ عَلىٰ رَسولِهِ مِن أَهلِ القُرىٰ

Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada Rasul-Nya (daripada harta benda) yang berasal daripada penduduk kota-kota

Yang dimaksudkan adalah harta rampasan daripada penduduk Kota Bani Nadhir itu. Ayat ini menjadi dalil bagi pembahagian harta Fai selepas ini.

 

فَلِلَّهِ وَلِلرَّسولِ

maka adalah untuk Allah dan untuk Rasul,

Apakah yang dimaksudkan dengan diberikan kepada Rasul? Ia adalah untuk diberikan dan dibahagikan oleh Rasulullah ﷺ kepada mereka yang memerlukan. Keputusan itu adalah keputusan muktamad daripada Nabi ﷺ. Kenapa  jadi begitu?

Kerana Nabi ﷺ atau pemerintah akan melihat kepada keperluan umat. Oleh itu maksud ‘kepada Allah’ adalah seperti pembinaan masjid, persediaan untuk jihad dan sebagainya. Iaitu keperluan umum masyarakat Islam.

Memang Nabi ﷺ ada mengambil sebahagian untuk keperluan hidup baginda dan keluarga baginda cukup untuk kegunaan selama setahun, dan selebihnya diberikan kepada keperluan umum.

 

وَلِذِي القُربىٰ

dan untuk kaum kerabat,

Dan untuk ahli keluarga Nabi ﷺ, ada satu bahagian. Jangan salah sangka pula, kerana kita kena faham bahawa ahli keluarga Rasulullah ﷺ tidak boleh mendapat harta zakat dan harta sedekah, maka mereka hanya boleh mendapat harta  Fai dan juga Ghanimah. Maka ini adalah salah satu pendapatan rezeki bagi mereka. Akan tetapi tentulah yang diberikan kepada yang miskin dan fakir sahaja (yang memerlukan). Tujuannya adalah untuk menjaga kemuliaan mereka.

Malah keturunan Nabi ﷺ tidak boleh menerima sedekah. Yang dimaksudkan adalah keturunan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib. Dengan ini, baginda dapat membantu ahli keluarga baginda.

Apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah tiada, maka bahagian ini diberikan kepada BaitulMal. BaitulMallah yang bertanggungjawab untuk menyampaikannya kepada ahli keluarga baginda. Tentang perkara ini, banyaklah pendapat para ulama’. Kita cuba ringkaskan:

1. Kena diberikan dua bahagian pertama ini (kepada Allah dan Rasul) kepada keturunan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib.
2. Pada zaman Abu Bakr dan Umar رضی اللہ عنھما, dua bahagian ini tidak diberikan kepada mereka.
3. Saidina Ali رضي الله عنه berpendapat bahagian itu layak diberikan kepada Bani Hashim dan Bani al-Muttalib, tetapi kerana Abu Bakr dan Umar رضی اللہ عنھما tidak melakukannya, maka beliau tidak membahagikan kepada Bani Hashim dan Bani al-Muttalib.
4. Ada yang berpendapat bahagian pertama diberikan kepada Khalifah dan bahagian kedua diberikan kepada ahli keluarga Khalifah.
5. Bahagian pertama dan kedua ini digunakan untuk keperluan jihad.
6. Pada zaman pemerintahan Umar Abd Aziz  رحمه الله, beliau mula memberikan bahagian kepada keluarga Bani Hashim.
7. Imam Syafie  رحمه الله berpendapat keturunan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib yang miskin atau kaya, layak mendapat bahagian ini.
8. Imam Abu Hanifah  رحمه الله berpendapat hanya keturunan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib yang miskin sahaja layak mendapatnya.
9. Imam Malik  رحمه الله berpendapat Khalifah boleh buat keputusan tetapi yang sebaiknya diberikan juga kepada keturunan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib.

 

وَاليَتٰمىٰ وَالمَسٰكي

dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin

Rasulullah ﷺ juga akan membahagikan harta itu kepada anak yatim dan orang miskin. Maka pemerintahan khalifah Islam juga kena melakukan perkara yang sama.

 

وَابنِ السَّبيلِ

dan orang-orang yang dalam perjalanan,

Bagi yang terputus bekalan dalam perjalanan. Kadangkala musafir itu kaya tetapi waktu dalam musafir itu yang dia keputusan bekalan. Maka baitulmal kena bantu.

Kesimpulannya, kalau kita ringkaskan, harta fai ini adalah untuk:

1. Nabi ﷺ dan keluarga baginda.
2. Ahli keluarga baginda yang daripada keturunan Bani Hashim dan Bani al-Muttalib.
3. Anak yatim
4. Orang Miskin
5. Musafir

Mengikut pendapat Imam Syafie رحمه الله, harta fai dibahagikan kepada 5 bahagian dulu dan barulah dibahagikan sama rata. Maknanya setiap 5 bahagian itu mendapat bahagian masing-masing. Bahagian pertama diberikan kepada umat Islam secara umum, bahagian kedua diberikan kepada Bani Hashim dan Bani al-Muttalib. Dan kemudian tiga bahagian yang seterusnya.

Akan tetapi bagi Imam Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad رحمهم الله, kesemua harta fai itu diberikan untuk kepentingan umat Islam secara umum.

Maka, kita boleh lihat yang banyak pendapat dalam perkara ini dan ini adalah bidang pada ahli fiqh dan pemimpinlah yang harus membuat keputusan dan membahagikannya. Ini adalah tugas yang berat dan mereka kena belajar perkara ini. Kena lihat pendapat-pendapat yang ada.

 

كَي لا يَكونَ دولَةً بَينَ الأَغنِياءِ مِنكُم

supaya harta itu jangan beredar di antara orang-orang kaya saja di antara kamu. 

Harta dibahagikan kepada orang yang ramai supaya tidaklah yang kaya terus semakin kaya dan yang miskin berterusan miskin. Kalimah دولَةً berasal daripada katadasar د و ل yang bermaksud sentiasa berpusing, berubah. Dalam ayat ini bermaksud harta yang berpusing, berpindah tangan sentiasa.

Ini adalah polisi ekonomi di dalam Islam. Pembahagian ini bertujuan supaya harta tidak berpusing-pusing di antara orang yang kaya sahaja, supaya orang-orang yang susah dan miskin pun boleh mendapat harta itu.

Tidaklah orang kaya semakin kaya dan orang miskin semakin miskin. Dan ini memang akan berlaku kerana boleh dilihat dari sejarah di mana apabila orang kaya semakin kaya maka kesannya adalah orang miskin akan menjadi semakin miskin. Akibatnya jurang kehidupan antara kaya dan miskin amat berbeza.

Syah Waliyullah رحمه الله walaupun hidup berkurun yang lalu, tetapi beliau sudah memberitahu apa yang akan terjadi zaman sekarang. Beliau berkata nanti akan ada golongan yang sangat-sangat kaya dan ada golongan yang sangat-sangat miskin. Dan ia akan menjadi masalah kepada masyarakat.

Ini kerana yang kaya akan disibukkan dengan kekayaannya dan sudah tidak ada masa untuk agama. Begitulah yang terjadi kepada kebanyakan orang kaya. Sibuk hendak pergi ke sana sini, beli itu dan ini. Mana sempat untuk beramal ibadat lagi sebab sibuk hendak habiskan duit yang tidak habis-habis.

Sementara orang yang sangat miskin pun akan ada masalah kerana mereka sudah sibuk memikirkan hidup mereka yang tidak menentu. Mereka memikirkan bagaimana mereka hendak makan hari itu, hendak tinggal di mana, belanja anak sekolah macam mana dan sebagai.

Oleh kerana sibuk hendak mencari kehidupan, mereka  pun tidak teringat untuk datang belajar agama dan buat amalan lebih, kerana banyak benda yang mereka rasa lebih penting dan perlu difikirkan. Antaranya hendak cari sesuap nasi dan bayar sewa rumah. Itu belum campur hutang yang semakin berkepuk.

Dan lebih teruk lagi, dua golongan ini tidak baik sesama sendiri. Yang kaya akan memandang rendah kepada orang miskin dan rasa mereka itu tidak ada harga. Dan orang miskin pula pandang dengan rasa benci kepada orang kaya kerana nampak semua harta dan kesenangan dibolot oleh orang kaya dan mereka yang miskin tidak ada apa. Mereka dengki kepada orang kaya dan ada ketidakpuasan dalam hati mereka. Dan ini boleh menyebabkan ‘class society’ yang tidak bagus. Mungkin istilah ‘kasta’ ramai lebih faham.

Ayat ini digunakan oleh Saidina Umar رضي الله عنه semasa pemerintahannya apabila umat Islam telah menjajah negara-negara luar seperti kerajaan Parsi. Waktu itu jikalau negara itu tanahnya dibahagikan kepada mereka yang berperang, maka ia akan mewujudkan satu kelas bangsawan di mana mereka itu menjadi terlalu kaya.

Maka kalau dibiarkan ia akan menjadikan suasana yang bahaya dalam kerajaan Islam kerana akan ada orang yang terlalu kaya kalau dibandingkan dengan orang-orang lain.

Maka Umar رضي الله عنه telah menggunakan kebijaksanaannya untuk mengatakan yang para tentera boleh mendapat harta rampasan perang yang ada ditinggalkan dalam medan peperangan sahaja, tetapi tanah-tanah kepunyaan mereka walaupun telah dijajah oleh tentera tetapi ia menjadi harta kerajaan. Ia tidak menjadi harta persendirian anggota mujahideen.

Dan inilah pertama kali di dalam sejarah dunia kerajaan memiliki tanah-tanah yang telah dijajah. Maka hasil daripada tanah-tanah itu diberikan kepada kerajaan Islam dan kerajaan membahagikan hasil-hasil itu kepada seluruh rakyat dalam Negara Islam. Maka ramailah yang mendapat manfaat. Inilah polisi yang bersesuaian dengan ayat ini.

Ini tidak terjadi sebelum itu kerana jikalau dulu, apabila satu-satu tanah itu dijajah oleh mana-mana negara maka ada badan-badan persendirian yang membeli tanah-tanah itu dan menggunakan hasil daripada tanah itu untuk terus mengkayakan mereka. Macam Melaka dahulu apabila dijajah ia menjadi milik syarikat, bukan? Iaitu Syarikat Hindia-Timur British (British East India Company). Bukanlah kerajaan British yang menguruskan, tetapi syarikat persendirian.

Islam memang telah ada sistem di mana kekayaan itu tidak hanya tertumpu kepada satu-satu keluarga sahaja kerana selepas orang kaya mati, maka harta pusaka itu dibahagikan kepada anak-anaknya dan mungkin kepada adik beradik dia dan mereka itu akan berkahwin dengan orang lain dan sebagainya. Maka harta itu dibahagi kepada ramai orang dan tidak semuanya pergi kepada seorang anak sahaja.

Di dalam Islam juga ada institusi zakat di mana harta itu perlu dikongsi dengan orang-orang yang miskin. Maka tidaklah harta itu menjadi milik orang kaya sahaja keseluruhannya akan tetapi orang miskin pun akan mendapat bahagian daripada harta orang kaya itu. Maka memang dari dulu lagi harta umat Islam dibahagikan kepada umum.

Al-Qur’an dan juga hadith banyak menganjurkan untuk memberi sedekah kepada yang memerlukan. Allah ﷻ dan Rasul-Nya menjanjikan berbagai-bagai balasan termasuk yang disebut dalam Surah-surah Musabbihaat ini.

Sifat-sifat bakhil juga dikutuk dalam Islam. Ini untuk mengajak manusia untuk ringan tangan memberikan bantuan kepada orang yang memerlukan. Maka memang ajaran agama Islam telah ada sistem supaya harta orang kaya tidak hanya di tangan orang kaya sahaja.

Kerana itulah juga riba diharamkan kerana riba itu mengkayakan orang yang memang sudah kaya dan memiskinkan lagi orang yang sudah miskin. Ini kerana yang miskin memerlukan wang dan bila mereka terpaksa meminjam daripada orang kaya dan terpaksa membayar dengan lebih pula, maka itu menyebabkan orang miskin itu semakin susah dan orang kaya itu menjadi semakin kaya dengan cara yang  mudah.

 

وَما ءآتٰكُمُ الرَّسولُ فَخُذوهُ

Dan apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. 

Maka umat Islam kenalah terima apa yang diberikan oleh Rasulullah kepada mereka. Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang harta Fai; apabila Allah ﷻ dan Rasul telah tetapkan, maka kena terima dan kena taat. Jangan mempersoalkan keputusan Nabi ﷺ.

Oleh kerana potongan ayat ini dalam bentuk umum, ia bukanlah terhad kepada harta Fai sahaja, tetapi dalam perkara syariat sekali. Kita kena terima syariat yang diajar oleh baginda. Sama ada faham atau tidak, itu perkara kedua. Kena ikut dulu barulah datang kefahaman. Jangan melawan syariat yang disampaikan oleh baginda.

Bagaimana kita tahu ayat ini dalam bentuk umum? Kerana ayat ini menyebut: apa sahaja yang ‘diberikan’ oleh Rasulullah ﷺ. Kalau ia hanya untuk harta Fai, maka tidaklah digunakan ayat ini kerana ramai yang ‘tidak dapat’ harta itu, bukan?

Maka inilah hujah golongan sunnah untuk mengajak manusia beramal dengan amalan sunnah. Kena lihat apa yang Nabi ﷺ ajar dan amalkan. Bukannya ambil dari tempat dan sumber lain. Jangan kata: ada dalam kitab ini dan itu… ada ustaz sebut… ada ulama kata boleh… takkan tak boleh kalau ianya baik… dan macam-macam lagi alasan.

 

وَما نَهٰكُم عَنهُ فَانتَهوا

Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. 

Dan jikalau ada yang baginda tidak berikan, maka mereka tidak boleh ambil. Jangan mereka mengutuk atau mengata yang tidak patut kepada Nabi Muhammad ﷺ kerana pembahagian itu adalah keputusan penuh atas baginda.

Termasuk juga dengan ajaran Nabi ﷺ. Kalau Nabi ﷺ larang, jangan sekali-kali dilakukan. Dan ini termasuklah amalan bid’ah kerana Nabi ﷺ sudah pernah larang.

Ikutlah apa yang Nabi ﷺ suruh dan tinggalkanlah apa yang Nabi ﷺ larang, kerana sesungguhnya yang diperintahkan oleh Rasul ﷺ itu hanyalah kebaikan belaka, dan sesungguhnya yang dilarang olehnya hanyalah keburukan belaka. Di dalam kitab Sahihain telah disebutkan pula melalui Abu Hurairah, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda:

“إِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَائْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ، وَمَا نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ فَاجْتَنِبُوهُ”.

Apabila aku perintahkan kalian dengan sesuatu, maka kerjakanlah ia menurut kemampuan kalian; dan apa yang aku larang kalian mengerjakannya, maka tinggalkanlah ia.

(HR Bukhari dan Muslim)

 

وَاتَّقُوا اللهَ

Dan bertaqwalah kepada Allah.

Yang penting kena bertaqwa kepada Allah ﷻ iaitu takut kepada Allah ﷻ dan kerana takut kepada Allah ﷻ, maka manusia akan menjaga amalan mereka sepanjang hari. Ini kerana mereka sedar yang Allah ﷻ sentiasa memerhatikan mereka.

Antara sifat taqwa itu adalah taat kepada arahan dan larangan Rasulullah ﷺ kerana baginda menyampaikan apa yang Allah ﷻ kehendaki. Sanggup menerima arahan dan tidak melakukan larangan Nabi memerlukan taqwa. Kalau tidak ada taqwa, semuanya dilanggar.

 

إِنَّ اللهَ شَديدُ العِقابِ

Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya.

Allah ﷻ mengingatkan yang kalau tidak ikut syariat seperti yang disampaikan oleh Rasulullah ﷺ, maka bersedialah untuk menerima azab di akhirat. Dan azab itu amat keras dan tidak akan mampu ditanggung oleh sesiapa pun.


 

Hashr Ayat 8: Ini adalah takhsis (pengkhususan) pembahagian harta fai.

لِلفُقَراءِ المُهٰجِرينَ الَّذينَ أُخرِجوا مِن دِيٰرِهِم وَأَموٰلِهِم يَبتَغونَ فَضلًا مِّنَ اللهِ وَرِضوٰنًا وَيَنصُرونَ اللهَ وَرَسولَهُ ۚ أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

For the poor emigrants who were expelled from their homes and their properties, seeking bounty from Allāh and [His] approval and supporting Allāh and His Messenger, [there is also a share]. Those are the truthful.

(MELAYU)

(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan dari harta benda mereka (kerana) mencari kurnia dari Allah dan keredhaan-Nya dan mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. Mereka itulah orang-orang yang benar.

 

لِلفُقَراءِ المُهٰجِرينَ الَّذينَ أُخرِجوا مِن دِيٰرِهِم وَأَموٰلِهِم

(Juga) bagi orang fakir yang berhijrah yang diusir dari kampung halaman dan daripada harta benda mereka

Daripada harta Fai itu, ada bahagian khusus yang perlu diberikan kepada golongan Muhajireen. Ini adalah kerana mereka memerlukan bantuan kewangan kerana mereka datang dari Mekah dan mereka tidak ada pendapatan yang tetap. Mereka meninggalkan kampung halaman dan harta benda mereka.

Ini adalah arahan Allah ﷻ tetapi dalam ayat ini Allah ﷻ beritahu kenapa mereka mendapat bahagian yang besar. Ini kerana mereka telah meninggalkan tanah dan juga kekayaan mereka. Mereka terpaksa meninggalkan segala harta mereka kerana mereka dipaksa keluar dengan cara zalim. Kalau mereka tinggal lagi di Mekah, mereka akan dikenakan dengan seksaan.

Atau, kalau mereka tinggal lagi di Mekah, mereka tidak dapat mengamalkan agama Islam dengan sebenarnya kerana mereka akan ditahan. Maka mereka telah terpaksa meninggalkan tanah air mereka sendiri hanya kerana hendak mengamalkan agama.

Oleh itu, pengorbanan mereka amat besar. Segala harta dan tanah mereka telah diambil oleh golongan Musyrikin.

 

يَبتَغونَ فَضلًا مِّنَ اللهِ وَرِضوٰنًا

mencari kurnia daripada Allah dan keredhaan-Nya 

Kenapa mereka sanggup meninggalkan tanah air yang mereka sayangi dan segala harta mereka? Allah ﷻ beritahu keikhlasan hati mereka. Mereka melakukan semua itu hanya kerana mencari redha Allah ﷻ kerana kalau mereka tidak ikhlas, mereka tidak akan mampu untuk melakukannya.

 

وَيَنصُرونَ اللهَ وَرَسولَهُ

dan kerana mereka menolong Allah dan Rasul-Nya. 

Ini adalah jumlah Muqaddar. Mereka berhijrah itu kerana hendak membantu agama Allah ﷻ. Mereka hendak menghidupkan agama Allah ﷻ. Kalau mereka terus kekal di Mekah, mereka tidak akan boleh menghidupkan agama Allah ﷻ kerana amat banyak kekangan di Mekah.

Oleh kerana itulah juga, kalau di tempat tinggal kita tidak memungkinkan kita mengamalkan agama dengan sepenuhnya, maka hendaklah kita berusaha untuk berhijrah ke negara Islam.

 

أُولٰئِكَ هُمُ الصّٰدِقونَ

Mereka itulah orang-orang yang benar.

Allah ﷻ beritahu yang golongan Muhajireen itu adalah golongan yang benar dan jujur. Oleh kerana kelebihan dan keikhlasan mereka itu, maka mereka telah diberikan dengan bahagian yang besar daripada harta Fai Bani Nadhir itu. Mereka tidak minta tetapi Allah ﷻ yang berikan kepada mereka.

Ayat ini bukan sahaja untuk muhajireen dari Mekah sahaja. Kalau ada pada zaman sekarang sampai ke hari Kiamat nanti ada golongan yang terpaksa meninggalkan tanah air dan harta mereka kerana hendak menjaga agama, maka negara Islam kena bantu mereka dengan memberi bantuan kewangan dan harta.


 

Hashr Ayat 9: Kemudian untuk mengubat hati golongan Ansar, Allah ﷻ memuji mereka.

وَالَّذينَ تَبَوَّءُوا الدّارَ وَالإيمٰنَ مِن قَبلِهِم يُحِبّونَ مَن هاجَرَ إِلَيهِم وَلا يَجِدونَ في صُدورِهِم حاجَةً مِّمّا أوتوا وَيُؤثِرونَ عَلىٰ أَنفُسِهِم وَلَو كانَ بِهِم خَصاصَةٌ ۚ وَمَن يوقَ شُحَّ نَفسِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [also for] those who were settled in the Home [i.e., al-Madīnah] and [adopted] the faith before them.¹ They love those who emigrated to them and find not any want in their breasts of what they [i.e., the emigrants] were given but give [them] preference over themselves, even though they are in privation. And whoever is protected from the stinginess of his soul – it is those who will be the successful.

  • Before the settlement of the emigrants (Muhājireen) among the Anṣār, for whom a share is delegated as well.

(MELAYU)

Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekali pun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung

 

وَالَّذينَ تَبَوَّءُوا الدّارَ

Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah 

Allah ﷻ sekarang memuji orang-orang Ansar. Mereka itu adalah penduduk asal Kota Madinah. Mereka yang mula duduk di situ tetapi mereka telah membenarkan pihak muhajireen menempati kampung halaman mereka.

Mereka juga ada yang  menerima bahagian daripada harta Fai itu tetapi tidak ramai. Ini adalah kerana bahagian besar diberikan kepada puak Muhajireen kerana mereka lebih memerlukan. Disebut tiga nama sahaja: Abu Dujanah, Sahl bin Hunaif dan Harith bin as-Simmah.

 

وَالإيمٰنَ مِن قَبلِهِم

dan telah beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin),

Allah ﷻ kata mereka itu telah beriman sebelum Nabi ﷺ dan para sahabat datang ke Madinah pun. Ini kerana ada wakil-wakil mereka yang telah datang ke Mekah dan berjumpa Rasullullah ﷺ dan mereka telah beriman dan telah membawa iman ke Madinah. Golongan Madinah waktu itu beramai-ramai telah masuk Islam.

Mereka menyediakan tempat hijrah kepada pihak muhajireen. Mereka berhati baik kerana mereka bersedia membantu.

 

يُحِبّونَ مَن هاجَرَ إِلَيهِم

mereka (Ansar) ‘mencintai’ orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). 

Allah ﷻ juga beritahu yang hati golongan Ansar itu cinta kepada golongan muhajireen.

Selalunya pada mana-mana zaman, selalunya penduduk asal tidak suka kepada pendatang kerana mereka rasa pendatang itu mengambil tanah dan juga kerja-kerja mereka. Tetapi Allah ﷻ memuji golongan Ansar itu kerana hati mereka sayang kepada golongan Muhajireen yang datang ke tempat mereka.

 

وَلا يَجِدونَ في صُدورِهِم حاجَةً مِّمّا أوتوا

Dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); 

Orang-orang Ansar itu walaupun mereka bukannya orang senang tetapi mereka sanggup berkongsi apa sahaja harta sedikit yang mereka ada dengan golongan Muhajireen itu kerana golongan Muhajireen itu memang langsung tidak ada apa-apa.

Haajatan dalam ayat ini dengan maksud hasadan. Maksudnya mereka tidak iri hati dengan apa yang diberikan kepada golongan muhajireen itu daripada harta Fai itu. Hati mereka begitu mulia kerana mereka tidak sakit hati apabila Allah ﷻ dan Rasul membuat keputusan untuk memberi bahagian besar daripada harta Fai itu kepada golongan Muhajireen itu. Mereka redha dengan keputusan Allah ﷻ dan Rasul.

Akan tetapi ada juga golongan yang tidak suka, iaitu golongan munafik kerana mereka itu mahukan kekayaan sahaja dan apabila mereka tidak mendapat harta maka mereka tentunya benci kepada golongan Muhajirin.

Mereka memang tidak suka berperang dan apabila mendapat harta tanpa berperang maka mereka rasa mereka pun patut dapat juga. Maka mereka tentu sudah berharap mendapat harta daripada Bani Nadhir itu. Tiba-tiba bila tidak dapat, maka memang marah sangatlah mereka.

Allah ﷻ tidak memuji mereka kerana mereka itu golongan munafik dan golongan yang hasad. Yang Allah ﷻ puji dalam ayat ini adalah golongan Ansar yang baik hati.

 

وَيُؤثِرونَ عَلىٰ أَنفُسِهِم وَلَو كانَ بِهِم خَصاصَةٌ

dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan.

Mereka يُؤثِرونَ (mengutamakan) golongan muhajireen atas diri mereka. Allah ﷻ kata orang Ansar itu lebihkan golongan Muhajirin itu di atas diri mereka sendiri walaupun mereka sendiri tidak ada makanan dan harta.

Maknanya mereka pun memerlukan harta itu, bukannya mereka ada terlebih pun. Kalau bagi semasa banyak atau bagi benda yang tidak diperlukan lagi, itu biasa sahaja. Akan tetapi mereka ada ithar (keinginan) dan keperluan juga. Namun mereka tidak kisah. Mereka sanggup memberikan harta yang mereka sendiri sayangi dan ini seperti yang Allah ﷻ sebut dalam ayat yang lain:

{وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ}

dan memberikan harta yang dicintainya. (Al-Baqarah: 177)

 

Maka ini adalah pujian yang melambung tinggi untuk golongan Ansar. Ini semua adalah hasil daripada tarbiyah Nabi ﷺ. Kedudukan mereka terpelihara dalam Islam dan terkenal sampai bila-bila. Umar رضي الله عنه mengatakan,

“Aku berwasiat kepada khalifah sesudahku agar memperhatikan kaum Muhajireen yang pertama, hendaknya hak mereka tetap diberikan kepada mereka dan kehormatan mereka tetap dipelihara. Aku juga berwasiat agar orang-orang Ansar diperlakukan dengan baik, iaitu mereka yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman sebelum kedatangan mereka (Muhajireen). Hendaklah orang-orang yang baik daripada mereka diterima, dan orang-orang yang berbuat buruk daripada mereka dimaafkan.”

 

Demikianlah menurut apa yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam tafsir ayat ini.

Begitulah hebatnya sifat mereka, sehingga kisah mereka dinukilkan dalam beberapa buah hadith. Antaranya kisah tiga orang sahabat nabi ﷺ yang terluka ketika Perang Yarmuk. Semoga Allah ﷻ meredhai mereka dan membuat mereka puas dengan balasan pahala-Nya.

 

Daripada Abdullah bin Mush’ab Az Zubaidi dan Hubaib bin Abi Tsabit, keduanya menceritakan, “Telah syahid pada perang Yarmuk al-Harits bin Hisyam, Ikrimah bin Abu Jahal dan Suhail bin Amr. Mereka ketika itu akan diberi minum, sedangkan mereka dalam keadaan kritis, namun semuanya saling menolak. Ketika salah satu daripada mereka akan diberi minum dia berkata, “Berikan dahulu kepada si fulan”, demikian seterusnya sehingga semuanya meninggal dan mereka belum sempat meminum air itu. Dalam versi lain perawi menceritakan, “Ikrimah meminta air minum, kemudian ia melihat Suhail sedang memandangnya, maka Ikrimah berkata, “Berikan air itu kepadanya.” Dan ketika itu Suhail juga melihat al-Harits sedang melihatnya, maka iapun berkata, “Berikan air itu kepadanya (al Harits)”. Namun belum sampai air itu kepada al Harits, ternyata ketiganya telah meninggal tanpa sempat merasakan air tersebut (sedikitpun). 

(HR Ibnu Sa’ad dalam ath Thabaqat dan Ibnu Abdil Barr dalam at Tamhid, namun Ibnu Sa’ad menyebutkan Iyas bin Abi Rabi’ah sebagai ganti Suhail bin Amr)

 

Berikut pula kisah sahabat Nabi ﷺ yang kedatangan tamu menunjukkan kemuliaan hati golongan Ansar:

حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا جَرِيرُ بْنُ عَبْدِ الْحَمِيدِ عَنْ فُضَيْلِ بْنِ غَزْوَانَ عَنْ أَبِي حَازِمٍ الْأَشْجَعِيِّ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ إِنِّي مَجْهُودٌ فَأَرْسَلَ إِلَى بَعْضِ نِسَائِهِ فَقَالَتْ وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا عِنْدِي إِلَّا مَاءٌ ثُمَّ أَرْسَلَ إِلَى أُخْرَى فَقَالَتْ مِثْلَ ذَلِكَ حَتَّى قُلْنَ كُلُّهُنَّ مِثْلَ ذَلِكَ لَا وَالَّذِي بَعَثَكَ بِالْحَقِّ مَا عِنْدِي إِلَّا مَاءٌ فَقَالَ مَنْ يُضِيفُ هَذَا اللَّيْلَةَ رَحِمَهُ اللَّهُ فَقَامَ رَجُلٌ مِنْ الْأَنْصَارِ فَقَالَ أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ فَانْطَلَقَ بِهِ إِلَى رَحْلِهِ فَقَالَ لِامْرَأَتِهِ هَلْ عِنْدَكِ شَيْءٌ قَالَتْ لَا إِلَّا قُوتُ صِبْيَانِي قَالَ فَعَلِّلِيهِمْ بِشَيْءٍ فَإِذَا دَخَلَ ضَيْفُنَا فَأَطْفِئْ السِّرَاجَ وَأَرِيهِ أَنَّا نَأْكُلُ فَإِذَا أَهْوَى لِيَأْكُلَ فَقُومِي إِلَى السِّرَاجِ حَتَّى تُطْفِئِيهِ قَالَ فَقَعَدُوا وَأَكَلَ الضَّيْفُ فَلَمَّا أَصْبَحَ غَدَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ قَدْ عَجِبَ اللَّهُ مِنْ صَنِيعِكُمَا بِضَيْفِكُمَا اللَّيْلَةَ

Telah menceritakan kepadaku [Zuhair bin Harb], Telah menceritakan kepada kami [Jarir bin Abdul Hamid] daripada [Fudhail bin Ghazawan] daripada [Abu Hazim Al Asyja’i] daripada [Abu Hurairah] dia berkata; “Seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ lalu dia berkata: ‘Aku berada dalam kesulitan (susah hidup dan lapar).’ Maka baginda membawa orang itu ke rumah sebahagian isteri-isteri baginda, menanyakan kalau-kalau mereka memiliki makanan. Para isteri baginda menjawab; ‘Demi Allah yang mengutus Anda dengan kebenaran, Aku tidak sedia apa-apa selain air.’ Begitulah jawapan mereka masing-masing hingga seluruh isteri baginda mengatakan dengan jawapan yang sama. Lalu baginda bersabda kepada para sahabat: ‘Siapa bersedia menjamu tamu malam ini nescaya dia diberi rahmat oleh Allah Ta’ala.’ Maka berdirilah seorang laki-laki Ansar seraya berkata; ‘Aku, ya Rasulullah! ‘ kemudian dibawalah orang itu ke rumahnya. Dia bertanya kepada isterinya; ‘Adakah engkau sedia makanan? ‘ Jawab isterinya; ‘Tidak ada, kecuali makanan anak-anak.’ Katanya; ‘Alihkan perhatian mereka dengan apa saja. Dan bila tamu kita telah datang, matikanlah lampu dan tunjukkan kepadanya bahawa kita seolah-olah ikut makan bersamanya. Caranya bila dia telah mulai makan, berdirilah ke dekat lampu lalu padamkan. Maka duduklah mereka, dan sang tamu pun makan. Setelah Subuh, sahabat tersebut bertemu dengan Nabi ﷺ. Lalu kata baginda: ‘Sungguh Allah kagum dengan cara kamu berdua melayani tamu kalian tadi malam’.

(Hadith Riwayat Muslim No. 3829)

 

وَمَن يوقَ شُحَّ نَفسِهِ فَأُولٰئِكَ هُمُ المُفلِحونَ

Dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung

Kalimah شُحَّ bermaksud kedekut. Mereka yang diselamatkan daripada sifat kedekut adalah orang yang berjaya. Sifat pemurah adalah sifat yang amat mulia.

Untuk mendapat sifat ini, kenalah dihilangkan sifat tamak. Iaitu kena ada zuhud dalam hati. Iaitu tidak memandang dan mengejar-ngejar dunia. Oleh kerana itulah golongan Ansar sanggup melebihkan golongan muhajireen kerana mereka lebih nampak balasan pahala daripada Allah ﷻ. Mereka nampak balasan di akhirat yang lebih utama dan kerana itu mereka tidak tamak dunia.

Mereka sanggup berkongsi apa sahaja dengan puak muhajireen itu, harta, tanah, malah para isteri mereka pun (bagi yang ada lebih daripada satu).

Allah ﷻ memberi isyarat di dalam ayat ini bahawa setiap manusia itu ada sedikit sebanyak rasa tamak atau kedekut dan hendak melebihkan diri sendiri. Ini memang biasa ada dan telah ada pun dalam diri kita. Kerana itu kita lihat kanak-kanak susah hendak berkongsi permainan mereka kerana ada perasaan tamak semenjak kecil lagi.

Dan kadangkala ia memang perlu untuk kelangsungan hidup kita. Kalau semua harta kita berikan kepada orang lain, bagaimana kita hendak makan dan anak isteri kita hendak makan pula? Maka yang tidak boleh adalah tamak berlebihan sahaja.

Maka jikalau manusia itu diselamatkan daripada perasaan kedekut yang berlebihan seperti golongan Ansar itu, maka mereka itulah orang-orang yang benar-benar mendapat kejayaan besar kerana dapat melawan sifat yang buruk. Ini kerana sifat kedekut ini bahaya seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad رحمه الله:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاكُمْ وَالظُّلْمَ فَإِنَّ الظُّلْمَ ظُلُمَاتٌ عِنْدَ اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُحْشَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَالتَّفَحُّشَ وَإِيَّاكُمْ وَالشُّحَّ فَإِنَّهُ دَعَا مَنْ قَبْلَكُمْ فَاسْتَحَلُّوا مَحَارِمَهُمْ وَسَفَكُوا دِمَاءَهُمْ وَقَطَّعُوا أَرْحَامَهُمْ

Daripada Abu Hurairah رضي الله عنه berkata; Rasulullah ﷺ bersabda: “Janganlah kalian berbuat zalim, kerana kezaliman akan menjadi kegelapan pada hari kiamat di sisi Allah, janganlah berbuat keji kerana Allah tidak suka kekejian dan perbutan keji, janganlah bersikap kedekut, kerana itu yang menyebabkan kerosakan orang-orang sebelum kalian, sehingga mereka menghalalkan kehormatan, menumpahkan darah dan memutus hubungan silaturahim mereka.”

(HR Ahmad No: 9202) Status: Hadith Sahih

 

 

Maka ini adalah kelebihan lagi kepada puak Ansar. Kalimat yang digunakan dalam ayat ini adalah bentuk pasif: وَمَن يوقَ (sesiapa yang dipelihara). Maksudnya untuk mendapat sifat ini, memerlukan bantuan Allah ﷻ juga. Bukannya boleh buat sendiri. Makanya, kita kena berharap kepada Allah ﷻ. Ini adalah doa yang baik untuk diminta kepada Allah ﷻ.

Sufyan As-Sauri telah meriwayatkan daripada Tariq ibnu Abdur Rahman, daripada Sa’id ibnu Jubair, daripada Abul Hayyaj Al-Asadi yang mengatakan bahawa ketika dia sedang tawaf di Baitullah, dia melihat seorang lelaki mengucapkan doa, “Ya Allah, peliharalah diriku daripada kekikiran diriku.” Hanya itu doa yang dibacanya, tidak lebih. Lalu aku bertanya kepadanya, “Mengapa demikian?” Dia menjawab, “Jika aku dipelihara daripada kekikiran diriku, bererti aku tidak akan mencuri, tidak berzina, dan tidak berbuat macam-macam dosa.” Dan ternyata lelaki itu adalah sahabat Abdur Rahman ibnu Auf رضي الله عنه. Demikianlah menurut riwayat Ibnu Jarir.

 

Maka kita kenalah berdoa dan melatih sifat ini di dalam diri kita. Antaranya dengan menunaikan tanggungjawab zakat, juga dengan menunaikan hak orang lain. Kemudian biasakanlah diri untuk bersedekah kecil-kecilan dan jangan tinggalkan amalan qurban setiap tahun.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Julai 2021

Ringkasan Peta Minda Surah


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment