Pengenalan:
Ini adalah permulaan kepada rentetan surah-surah Madaniyah. Ia bermula dari Surah Hadid ini sampailah ke Surah at-Tahrim nanti.
Rentetan 10 surah ini adalah tempat paling banyak surah-surah Madaniyah dalam Al-Qur’an. Sampai ada 10 surah dan surah-surah ini dipanggil al-musabbihaat. Ia dinamakan begitu kerana kebanyakan daripada surah-surah ini dimulai dengan Tasbih kepada Allah (sebenarnya tidaklah semuanya dimulai dengan tasbih).
Allah memulakan surah ini dan surah-surah yang dengan Tasbih kerana Allah hendak menceritakan kepada kita yang semua makhluk melakukan Tasbih dengan cara mereka. Kita sahaja yang tidak tahu bagaimana cara mereka melakukan tasbih itu kerana pengetahuan kita memang terhad.
Tetapi banyak di dalam ayat-ayat yang lain Allah ada memberitahu bahawa sebaik-baik makhluk adalah manusia. Maka jikalau manusia itu makhluk yang terbaik, maka tentunya Tasbih yang terbaik dilakukan oleh manusia. Dan orang-orang Islam bukan sahaja manusia tetapi mereka adalah ‘sebaik-baik manusia’. Maka tentulah mereka melakukan Tasbih dengan banyak dengan cara yang terbaik, bukan?
Maka Allah hendak menegur orang-orang Islam di dalam surah-surah ini yang mereka tidak memenuhi kedudukan mereka sebagai insan yang terbaik. Sepatutnya mereka melakukan banyak Tasbih. Dan cara Allah menegur adalah dengan mengatakan makhluk lain melakukan Tasbih. Maka, wahai manusia, mana tasbih kamu?
Semua surah-surah al-musabihaat ini ada tema yang sama. Ia diturunkan di waktu umat Islam sudah banyak tapi iman mereka tidaklah sama seperti iman golongan Muhaajireen dan Ansar yang awal dahulu. Walaupun mereka sudah ramai dan kekuatan fizikal sudah semakin jelas, tapi waktu itu iman sudah kurang, bukan?
Oleh itu, surah-surah al-musabbihaat ini hendak menyegarkan kembali iman umat Islam waktu itu. Allah nak bagi semangat kepada orang Islam yang sudah lemah iman. Termasuklah sekarang dan pada bila-bila masa. Ada orang yang sudah lama Muslim, jadi lama-lama dia tidak terkesan sangat dengan agama, maka kenalah dia tadabbur ayat-ayat dalam surah-surah ini.
Memang waktu itu memerlukan suntikan semangat kepada umat Islam, tambahan pula ada ramai orang munafik (atau golongan yang lemah iman) pada waktu itu. Maka rentetan surah-surah ini amat penting untuk memberi kesegaran iman kepada manusia.
Dan kita akan dapat, asalkan kita mahu cuba memahami ayat-ayat Al-Qur’an. Ada dua keperluan yang kita perlu lakukan untuk cuba memahami Al-Qur’an. Yang pertama adalah dari segi akademik seperti kita belajar bahasa Arab, belajar Nahu Sorof dan pergi ke kelas belajar tafsir.
Tetapi selain dari itu ada satu keperluan lagi yang melibatkan psikologi kita. Dan ini mungkin lebih susah lagi kerana ia melibatkan perasaan kita dan bukan otak kita. Ini melibatkan perasaan dalaman kita. Dan ini dapat dicapai jikalau kita selalu mengingatkan diri kita kenapa kita belajar tafsir. Iaitu kita tahu, sedar dan terima kepentingan ilmu tafsir ini.
Ia amat perlu kerana kita memerlukan bimbingan setiap masa. Setiap hari kita diberikan dengan berbagai-bagai pilihan sama ada untuk berbuat baik ataupun berbuat jahat dalam kehidupan kita. Kita manusia diberi pilihan untuk buat pilihan yang tepat, atau pilihan yang salah. Dan untuk kita buat keputusan yang benar dan betul, maka kita memerlukan petunjuk dari Allah. Dan petunjuk itu ada dalam Al-Qur’an (dan Sunnah Nabi).
Dan kalau kita benar-benar menerima Al-Qur’an ini sebagai petunjuk dalam hidup kita, maka kita kena bersedia untuk ikut arahan yang Allah berikan di dalam Al-Qur’an ini.
Akan tetapi setiap hari ada sahaja cabaran kerana bisikan daripada nafsu dan juga bisikan dari syaitan. Maka kita kena selalu membaca Al-Qur’an ini dan mengingatkan diri kita apakah yang penting di dalam kehidupan kita ini. Maka jikalau kita hanya belajar tafsir sahaja tetapi kita tidak implementasi pengajaran Al-Qur’an ini di dalam kehidupan kita maka kita telah melakukan satu kesalahan besar.
Dalam surah ini Allah beritahu dua perkara penting iaitu infak dan jihad dalam tauhid.
Ayat 1 – 24 berkenaan Infak. Infak perlu dibuat di atas lima sebab.
Ayat 25 hingga akhir pula berkenaan Jihad. Memang infak dan jihad ini berkaitan dan banyak disebut dalam ayat-ayat Al-Qur’an.
Selepas Surah Hadid ini akan datang empat surah yang semuanya menceritakan tentang jihad menyambung perbincangan yang telah ada dalam Surah Hadid. Dalam empat surah itu ada dua surah yang ada kalimah Tasbih dan ada dua surah pula yang tidak ada kalimah Tasbih dalamnya.
Dan kemudian empat surah seterusnya semuanya berkenaan infak. Tasbih di dalam empat surah ini juga berselang seli.
Dan Tasbih di dalam surah-surah ini untuk menekankan tentang tauhid kerana Tasbih sebenarnya bermaksud tauhid. Iaitu menolak kepercayaan syirik yang ada dalam hati manusia yang lalai.
Apakah pula kaitan dengan jihad? Kenapa jihad perlu ditegakkan? Maka kita kenalah tahu bahawa jihad perlu dijalankan untuk menegakkan kalimah tauhid. Dakwah boleh dilakukan dengan lisan, tapi kadang-kala memerlukan kita berdakwah dengan pedang.
Dan surah ke sepuluh iaitu Surah Tahrim pula ada kembali dibincangkan dua-dua perkara itu balik iaitu infak dan jihad. Jadi ringkasannya:
1. Hadid – Infak & Jihad
2. Mujadilah – Jihad
3. Hashr – Jihad
4. Mumtahanah – Jihad
5. Saff – Jihad
6. Jumuah – Infak
7. Munafiqun – Infak
8. Taghabun – Infak
9. Talaq – Infak
10. Tahreem – Jihad & Infak
Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 5 perenggan makro. Ayat 1 – 15 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia mengandungi seruan kepada Tauhid, Iman dan Infaq.
Perenggan ini dimulai dengan sifat-sifat Allah yang disebut dalam ayat 1 – 6.
سَبَّحَ ِللهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Al-Ḥadeed: Iron.
Whatever is in the heavens and earth exalts Allāh,¹ and He is the Exalted in Might, the Wise.
- By praising Him and declaring Him far above and beyond any failure or imperfection.
(MELAYU)
Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebesaran Allah). Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
سَبَّحَ ِللهِ ما فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada Allah
Semua makhluk melakukan Tasbih kepada Allah. Tapi apakah maksud ‘Tasbih’?
Salah satu dari maksudnya adalah membesarkan Allah. Kita berikan satu analogi untuk menjelaskan: Kita boleh tahu kemahiran pelukis hanya dengan melihat gambarnya tanpa perlu kita melihat pelukis itu sendiri, bukan? Maka kita boleh kenal kehebatan Allah dengan melihat alam ini. Kalau alam ini sudah sangat hebat, maka tentu Allah lebih hebat. Maka kerana itu kita memujiNya dengan mengucapkan Tasbih.
Semua makhluk tidak kira bagaimana kejadiannya diberi dengan cara dan bahasa mereka untuk bertasbih kepada Allah. Kita sahaja tidak faham kerana kita tidak diberi kelebihan untuk memahami mereka. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam ayat lain melalui firman-Nya:
{تُسَبِّحُ لَهُ السَّمَاوَاتُ السَّبْعُ وَالأرْضُ وَمَنْ فِيهِنَّ وَإِنْ مِنْ شَيْءٍ إِلا يُسَبِّحُ بِحَمْدِهِ وَلَكِنْ لَا تَفْقَهُونَ تَسْبِيحَهُمْ إِنَّهُ كَانَ حَلِيمًا غَفُورًا}
Langit yang tujuh, bumi, dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun. (Al-Isra: 44)
Lalu apa lagi maksud ‘Tasbih’? Dari segi bahasa, Tasbih itu dari kata dasar س ب ح yang bermaksud ‘berenang’ iaitu jenis berenang yang timbul di atas air (kepala di atas air). Jadi ia digunakan untuk membawa maksud yang Allah itu tinggi dan tidak tenggelam dalam kefahaman syirik makhluk yang salah.
Oleh itu, ‘Tasbih’ membawa maksud ‘tauhid’ di mana kita diajar untuk membersihkan Allah daripada fahaman-fahaman syirik iaitu salah satunya fahaman yang mengatakan Allah memerlukan wakil dalam doa dan dalam pentadbiran alam. Dengan bertasbih, kita mengatakan: Allah tidak memerlukan wakil.
Itu salah satu sahaja fahaman syirik yang ada dalam hati manusia. Tasbih menolak kesemua salah faham syirik itu.
Ayat ini memperkenalkan Allah kepada pembaca Al-Qur’an. Tetapi, bukankah surah ini diturunkan empat tahun selepas Hijrah dan ianya adalah Surah Madaniyyah? Maka kenapa lagi Allah perlu memperkenalkan diriNya kepada umat Islam pada waktu itu sedangkan mereka semua sudah sepatutnya kenal Allah? Jadi ayat ini berbunyi seperti sifat Surah-surah Makkiyah padahal ianya adalah Surah Madaniyyah. Jadi ini agak pelik.
Maka tahulah kita yang ayat-ayat ini adalah teguran daripada Allah kepada umat Islam yang telah lemah iman mereka kerana mereka sudah semakin kuat (dari segi fizikal) tapi sudah lemah dari segi iman. Allah ingatkan balik kepada mereka dengan perkara-perkara asas balik. Perkara itu memang sepatutnya mereka sudah tahu tapi bila Allah ingatkan balik, itu bermaksud mereka sudah lupa.
Apabila Allah menyebut tentang makhluk di langit dan di bumi bertasbih kepada Allah maka Allah sebenarnya sedang bertanya tentang Tasbih umat-umat Islam pada waktu itu. “Mana Tasbih kamu, wahai manusia? Itu alam semua bertasbih, kamu tidak bertasbihkah?”
Maka surah ini menyentuh berkenaan kelemahan iman umat-umat Islam setelah sekian lama. Kelemahan iman umat Islam itu mungkin disebabkan oleh buta mata hati mereka dari melihat kehebatan Allah di dalam alam ini. Maka di dalam ayat ini sendiri Allah sudah beri jalan penyelesaian yang pertama untuk meningkatkan iman kita iaitu dengan banyak melakukan Tasbih. Maka dianjurkan kita selalu tasbih kepada Allah.
Tapi kenalah faham maksud tasbih itu. Amatlah malang apabila di kalangan kita ramai yang bertasbih terutama selepas solat, tapi tak faham apa yang mereka sebutkan.
Kalau ayat ini, kalimah سَبَّحَ dalam bentuk fi’il madhi (past tense) dan di dalam ayat lain, menggunakan fi’il mudhari’ (present and continuous). Sekejap begini dan sekejap begini, kenapa pula? Ini membawa maksud, semua makhluk dulu, sekarang dan akan datang akan terus bertasbih kepada Allah.
Kemudian Allah sebut sifatNya lagi:
وَهُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
Dan Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Apabila Allah mengatakan yang Dia Maha Perkasa yang bermaksud Dia boleh melakukan apa sahaja, dan tidak ada kuasa mana-mana pun yang dapat menghalang kehendakNya. Maka Allah mempersoalkan kenapa umat Islam pada waktu itu (dan bila-bila masa sahaja) tidak melihatnya sebegitu. Kenapa rasa macam Allah lemah sahaja? Kenapa tidak bergantung kepada Allah sahaja?
Dan apabila Allah mengatakan yang dia Maha Bijaksana, maka Allah sebenarnya sedang mempersoalkan umat Islam pada waktu itu (dan bila-bila masa sahaja) kenapa tidak mempercayai apa-apa sahaja yang dilakukan dan dihukum oleh Allah? Kenapa mereka masih lagi mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh Allah? Kenapa tidak redha dengan keputusan dan qada’ Allah?
Kenapa kamu tidak mempercayai bahawa apa sahaja yang Allah suruh kamu buat itu berdasarkan kepada kebijaksanaanNya yang Maha Tinggi? Adakah kamu rasa Allah telah salah buat keputusan? Adakah kamu rasa Allah tidak bijaksana pula?
Hebat sekali teguran dan sindiran Allah dalam ayat ini yang kita kena fikirkan dalam-dalam. Adakah kita termasuk dalam golongan yang ditegur oleh Allah ini? Adakah kita sudah lama dalam agama Islam sampaikan kita tidak tersentuh hati kita lagi?
Satu keindahan yang kita boleh ambil dari dua sifat ini adalah susunannya. Selepas Allah sebut al-Aziz, Allah terus sebut sifatNya al-Hakeem. Ini penting untuk kita memahami Allah. Allah hendak beritahu kita yang walaupun Allah berkuasa untuk buat apa sahaja, tapi perbuatan Allah adalah bijaksana. Tidaklah macam manusia yang ada kuasa besar dan kemudian mereka menggunakan kuasa mereka itu dengan tiada kebijaksanaan.
Kerana itulah kuasa-kuasa besar selalunya akan menyalahgunakan kuasa mereka kerana mereka tidak ada sifat hakeem ini. Untuk menyelamatkan dunia ini dari kehancuranlah maka Allah tidak berikan kekuasaan penuh kepada sesiapa atau kepada mana-mana kerajaan. Kalau ada kerajaan yang naik dan buat kerosakan, akan ada sahaja kekuatan negara lain yang akan menjatuhkannya, sama ada dari luar atau dari dalam.
Ayat 2: Ayat ini tentang Qudrat Allah Taala.
لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۖ يُحيي وَيُميتُ ۖ وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
His is the dominion of the heavens and earth. He gives life and causes death, and He is over all things competent.
(MELAYU)
Kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, Dia menghidupkan dan mematikan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
لَهُ مُلكُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
Kepunyaan-Nya lah kerajaan langit dan bumi,
Para sahabat dan orang Islam pada waktu itu juga telah tahu tentang sifat-sifat Allah ini. Kerana ayat-ayat ini telah banyak ada di dalam surah-surah Makkiyah kerana dua pertiga daripada Al-Qur’an adalah Surah Makkiyah dan mereka tentu telah membacanya.
Jadi daripada segi akademik, para sahabat sudah tahu tentang perkara-perkara ini jadi ini bukanlah berita-berita baru yang disampaikan kepada mereka. Tapi kenapa Allah sebut lagi dan mengulangnya?
Ini kerana ada sesuatu yang Allah hendak tegur. Apabila Allah memberitahu bahawa Dia memiliki kerajaan langit dan bumi, Allah sedang mempersoalkan kenapa umat Islam takut kepada musuh? Kenapa takut kepada kekuatan keduniaan yang ada pada musuh itu sedangkan Allah memiliki kekuasaan dan kerajaan langit dan bumi? Tidakkah kamu yakin wahai Muslim sekalian?
يُحيي وَيُميتُ
Dia menghidupkan dan mematikan,
Ada lagi yang Allah tegur: Kenapa kamu takut berperang dengan musuh? Adakah kerana kamu takut mati? Maka Allah ingatkan yang Dialah yang menghidupkan dan juga mematikan.
Kalau kamu berjuang di jalan Allah dan kemudian kamu mati, maka itu adalah kehendak Allah. Dan kalau kamu tidak berjuang menegakkan agama Allah pun kamu akan mati juga kerana hidup dan mati itu di tangan Allah.
Maka baiklah kalau kamu mati di dalam menegakkan agama Allah kerana kalau tidak berjuang di medan perang pun, kamu akan mati juga. Tapi kamu mati dalam murka Allah kerana tidak melakukan apa-apa untuk berkhidmat kepada Allah. Adakah kamu mahu begitu?
وَهُوَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ
dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.
Teguran lagi kerana memang surah ini penuh dengan teguran: Kenapa kamu tidak menerima hakikat yang keputusan di tangan Allah dan Allah boleh buat apa sahaja yang Dia kehendaki? Kenapa kamu mempersoalkan keputusan yang Allah lakukan kerana ia tidak sama dengan kehendak kamu?
Ayat 3: Sekarang ayat tentang ilmu Allah Taala pula.
هُوَ الأَوَّلُ وَالآخِرُ وَالظّٰهِرُ وَالباطِنُ ۖ وَهُوَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He is the First and the Last, the Ascendant¹ and the Intimate,² and He is, of all things, Knowing.
- Nothing being above Him. Another meaning is “the Apparent,” i.e., evident through His creation and revelation.
- Nothing being nearer than Him by way of His knowledge. Another meaning is “the Unapparent,” i.e., concealed from man’s physical senses.
(MELAYU)
Dialah Yang Awal dan Yang Akhir Yang Zhahir dan Yang Bathin; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.
هُوَ الأَوَّلُ وَالآخِرُ
Dialah Yang Awal dan Yang Akhir
Maksud ‘Al-Awal’: Sebelum ada apa-apa lagi wujud, Allah sudah ada. Tidak ada yang menjadikan Allah.
Maksud ‘Al-Akhir’: Dan apabila semua sudah tiada lagi kerana hancur, Allah tetap akan ada. Tiada yang kekal selain Allah. Lalu bagaimana dengan ahli syurga yang dikatakan kekal dalam syurga itu? Jawapannya, mereka kekal kerana Allah yang menjadikan mereka kekal. Bukannya mereka kekal sendiri.
Ayat ini adalah satu ayat yang berat untuk ditafsirkan dan ulama-ulama tafsir telah banyak berbincang mengenainya. Dan juga banyak kekeliruan yang timbul dari ayat ini sampaikan ada yang menggunakan ayat ini sebagai dalil kepada fahaman sesat ‘wahdatul wujud’ yang dipegang oleh golongan tarekat. Akan tetapi kita tidak mahu membincangkan tafsir-tafsir sebegitu kerana ia akan lebih mengelirukan sahaja.
Yang penting kita kena ambil pengajaran dari ayat ini dan apakah yang kita boleh amalkan. Bagaimana kita boleh amalkan ayat ini dalam kehidupan kita? Hendaklah kita jadikan Allah yang pertama sekali kita kena fikirkan apabila kita bangun tidur setiap hari. Dialah yang paling penting untuk kita ingatkan apabila kita memulakan hari kita.
Dan Allah juga yang kita kena fikirkan akhir sekali apabila kita hendak tidur di malam hari. Iaitu kita kena fikirkan: “apakah yang kita telah lakukan pada jalan Allah? Adakah aku telah menjalankan tugas aku sebagai seorang Muslim? Apakah aku telah melakukan kebaikan sepanjang hari ini atau banyaknya keburukan sahaja? Apakah yang aku telah lakukan untuk menegakkan agama Allah?” Dan kemudian berdoalah kepada Allah dengan doa yang baik-baik.
وَالظّٰهِرُ وَالباطِنُ
dan Yang Zhahir dan Yang Bathin;
Maksud ‘Az-Zhohir’: Tidaklah Allah zahir di depan mata kita tapi kita boleh nampak hasil kerja Allah di mana-mana. Apabila lihat alam sahaja, kita tahu itu adalah hasil dari qudrat dan perbuatan Allah. Hasil kerja Allah yang zahir kepada kita, bukannya Allah.
Dialah yang paling zahir kerana apa-apa sahaja yang zahir dalam alam ini adalah kerana kehendak dan kebenaran dari Allah. Tidaklah yang zahir itu menzahirkan dirinya sendiri tapi Allah yang bagi ia jadi zahir. Yang zahir itu pun nampak zahir kerana cahaya yang Allah berikan juga, bukan?
Dalam segala perkara yang terjadi setiap hari itu, kadangkala ada perkara yang kita tidak suka. Tapi kita kena ingat yang itu adalah kehendak Allah. Kita kena tahu yang segalanya dilakukan oleh Allah dan kita tidak boleh persoalkan apa yang Allah hendak buat.
Maka kita kena sabar kalau ada sesuatu yang kita tidak suka. Ketahuilah yang Allah nak ajar kita jadi sabar dengan apa yang berlaku itu. Dan ini biasa sahaja kerana dunia ini adalah tempat ujian. Kalau tidak ada ujian pula yang pelik, bukan?
Maksud ‘Al-Bathin’: Kalau kita tidak nampak Allah, ketahuilah yang Allah yang mengatur segalanya. Kamu sahaja tidak nampak Allah kerana Allah itu batin, iaitu tidak zahir pada kita. Bathin itu adalah lawan kepada zahir.
Allah juga yang paling batin kerana bukan sahaja mata kita tidak nampak Allah, tapi intelek kita juga tidak dapat menggarapi hakikat Allah. Fikir macam mana pun tidak akan dapat tahu perkara itu, maka tidaklah perlu difikirkan. Kita cuma terima sahaja apa yang ada diberitahu dalam Al-Qur’an. Memang tidak dapat difikirkan dan dibayangkan lebih dari itu.
وَهُوَ بِكُلِّ شَيءٍ عَليمٌ
dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.
Ini tentang ilmu Allah yang Maha Luas. Kamu tidak nampak Allah di sisi kamu tapi jangan sangka Allah tidak tahu apa yang berlaku dengan kamu kerana Allah tahu segala-galanya. Tidak ada apa yang berlaku tanpa pengetahuan Allah kerana itu semua adalah aturan Allah. Dan Allah tahu apa sahaja yang kamu lakukan, sama ada orang lain tahu atau tidak; malah, sama ada engkau tahu atau tidak.
Sebagai contoh, kamu tidak tahu pun pergerakan tubuh badan dalaman kamu, tapi Allah tahu. Perkara di tubuh kamu sendiri pun kamu tak tahu, tapi Allah tahu.
Dan mengenai ayat ini banyak hadis yang menerangkannya, antara lain ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Disebutkan bahawa:
حَدَّثَنَا خَلَفُ بْنُ الْوَلِيدِ، حَدَّثَنَا ابْنُ عَيَّاشٍ، عَنْ سُهيل بْنِ أَبِي صَالِحٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو عِنْدَ النَّوْمِ: “اللَّهُمَّ، رب السموات السَّبْعِ، وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، مُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْفُرْقَانِ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ شَيْءٍ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ، أَنْتَ الْأَوَّلُ لَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الْآخِرُ لَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ لَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ وَأَنْتَ الْبَاطِنُ لَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ. اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ، وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ”
telah menceritakan kepada kami Khalaf ibnul Walid, telah menceritakan kepada kami Ibnu Iyasy, dari Suhail ibnu Abu Saleh, dari ayahnya, dari Abu Hurairah, bahawa Rasulullah Saw. sering membaca doa ini menjelang tidurnya, iaitu: Ya Allah, Tuhan Yang Menguasai tujuh langit dan Tuhan yang menguasai ‘Arasy yang besar. Ya Tuhan kami, Tuhan segala sesuatu, Yang menurunkan Taurat, Injil, dan Al-Qur’an, Yang membelah biji dan benih, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan segala sesuatu, Engkaulah yang memegang ubun-ubunnya. Engkau adalah Yang Awal, maka tiada sesuatu pun sebelum Engkau. Dan Engkau adalah Yang Akhir, maka tiada sesuatu pun sesudah Engkau. Dan Engkau Yang Zahir, maka tiada sesuatu pun di atas Engkau. Dan Engkau Yang Batin, maka tiada sesuatu pun di balik Engkau. Tunaikanlah dari kami hutang-hutang kami, dan berilah kami kecukupan dari kefakiran.
وَرَوَاهُ مُسْلِمٌ فِي صَحِيحِهِ: حَدَّثَنِي زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ، حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ سُهَيل قَالَ: كَانَ أَبُو صَالِحٍ يَأْمُرُنَا إِذَا أَرَادَ أَحَدُنَا أَنْ يَنَامَ: أَنْ يَضْطَجِعَ عَلَى شِقِّهِ الْأَيْمَنِ، ثُمَّ يَقُولُ: اللَّهُمَّ، ربّ السموات وَرَبَّ الْأَرْضِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ، رَبَّنَا وَرَبَّ كُلِّ شَيْءٍ، فَالِقَ الْحَبِّ وَالنَّوَى، وَمُنْزِلَ التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ وَالْفُرْقَانِ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ كُلِّ ذِي شَرٍّ أَنْتَ آخِذٌ بِنَاصِيَتِهِ، اللَّهُمَّ، أَنْتَ الْأَوَّلُ فَلَيْسَ قَبْلَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْآخِرُ فَلَيْسَ بَعْدَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الظَّاهِرُ فَلَيْسَ فَوْقَكَ شَيْءٌ، وَأَنْتَ الْبَاطِنُ فَلَيْسَ دُونَكَ شَيْءٌ، اقْضِ عَنَّا الدَّيْنَ، وَأَغْنِنَا مِنَ الْفَقْرِ.Imam Muslim meriwayatkannya di dalam kitab sahihnya, bahawa telah menceritakan kepadaku Zuhair ibnu Harb, telah menceritakan kepada kami Suhail yang mengatakan bahawa dahulu Abu Saleh menganjurkan kepada kami bahawa apabila seseorang dari kami hendak tidur, hendaklah dia berbaring pada lambung kanannya, kemudian mengucapkan doa berikut: Ya Allah, Tuhan yang menguasai langit, Tuhan yang menguasai bumi, Tuhan yang menguasai Arasy yang besar. Ya Tuhan kami dan Tuhan yang menguasai segala sesuatu, Yang membelah biji dan benih, Yang menurunkan Taurat, Injil, dan Al-Qur’an, aku berlindung kepada Engkau dari kejahatan setiap makhluk yang jahat yang ubun-ubunnya berada di genggaman-Mu. Ya Allah, Engkau adalah Yang Awal, maka tiada sesuatu pun sebelum Engkau; dan Engkau Yang Akhir, maka tiada sesuatu pun sesudah Engkau; dan Engkau Yang Zahir, maka tiada sesuatu pun di atas Engkau; dan Engkau Yang Batin, maka tiada sesuatu pun di balik Engkau. Maka tunaikanlah dari kami hutang-hutang kami dan berilah kami kecukupan dari kefakiran.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Tarikh: 21 Januari 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi