Tafsir Surah Saffat Ayat 103 – 113 (Siapa yang disembelih?)

Ayat 103:

فَلَمّا أَسلَما وَتَلَّهُ لِلجَبينِ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And when they had both submitted¹ and he put him down upon his forehead,

  • To the command of Allāh.

(MELAYU)

Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya).

 

Apabila kedua-dua anak beranak itu ‘berserah kepada Allah’ yang bermaksud mereka taat kepada perintah Allah. Kedua-duanya kena taat, tidak boleh salah seorang sahaja. Kerana walaupun Nabi Ismail yang menyerahkan dirinya untuk disembelih, tetapi sebagai seorang bapa, Nabi Ibrahim juga tentunya kena menerima dan berserah kepada Allah.

Mana mungkin seorang ayah sanggup untuk mengorbankan anaknya sendiri kalau kita gunakan logik akal. Tapi ketaatan dua Nabi ini kepada Allah tiada berbelah-bahagi.

Ini menunjukkan yang memang Nabi Ibrahim telah melakukan perintah yang diberikan oleh Allah. Baginda telah meletakkan kepala anaknya Nabi Ismail pada tanah untuk disembelih seperti menyembelih binatang. Baginda tidak menghadapkan muka anaknya itu ke atas tapi ke bawah kerana baginda tidak mahu melihat wajah anaknya itu kerana baginda takut tidak mampu melakukannya.


 

Ayat 104:

وَنٰدَينٰهُ أَن يٰإِبرٰهيمُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

We called to him, “O Abraham,

(MELAYU)

Dan Kami panggillah dia: “Hai Ibrahim,

 

Ada riwayat yang menyebutkan bagaimana pisau yang digunakan oleh Nabi Ibrahim itu tidak berkesan dan Nabi Ibrahim telah berkali-kali cuba untuk menyembelih anaknya tapi tidak berjaya.

Pada waktu itulah Allah menyeru kepada Nabi Ibrahim.


 

Ayat 105:

قَد صَدَّقتَ الرُّؤيا ۚ إِنّا كَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

You have fulfilled the vision.” Indeed, We thus reward the doers of good.

(MELAYU)

sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

 

قَد صَدَّقتَ الرُّؤيا

sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu

Allah memberitahu Nabi Ibrahim yang baginda telah membenarkan arahan Allah. Dan baginda telah melepasi ujian itu. Maka baginda tidak perlu meneruskannya lagi. Tambahan pula dalam mimpi itu bukanlah ditunjukkan Nabi Ibrahim benar-benar menyembelih Nabi Ismail sampai mati, tapi perbuatan hendak menyembelih sahaja.

Jadi kita boleh lihat bagaimana wahyu yang diberikan kepada Nabi Ibrahim juga ada yang dimansukhkan. Bukan wahyu kepada Nabi Muhammad sahaja yang ada mansukh tetapi Nabi Ibrahim juga ada wahyu yang dimansukhkan. Kerana wahyu pertama kepada baginda adalah untuk menyembelih Nabi Ismail tapi wahyu kedua ini memansukhkan wahyu yang pertama. Dua-dua adalah wahyu dan satu memansukhkan yang satu lagi.

 

إِنّا كَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ

sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

Allah hendak menilai kesanggupan Nabi Ibrahim dalam menjalankan arahan wahyu. Dan balasan kepada baginda, anak baginda Nabi Ismail tidak dimatikan. Sepertimana juga di dalam perjanjian Hudaibiyah para sahabat telah berbaiah dengan Nabi untuk berperang tetapi akhirnya peperangan tidak terjadi pun.

Ini kerana Allah hendak menguji kesanggupan para sahabat. Apabila mereka telah berbaiah, maka itu telah menunjukkan kesanggupan mereka untuk taat kepada Rasulullah dan sanggup untuk mengikut arahan baginda yang tentunya arahan dari Allah juga. Kalau memang perang berlaku, mereka tetap akan melakukannya. Tapi Allah beri rahmat, tidak terjadi peperangan. Tapi mereka telah dikira lepas ujian itu.


 

Ayat 106:

إِنَّ هٰذا لَهُوَ البَلٰؤا المُبينُ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, this was the clear trial.

(MELAYU)

Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata.

 

Allah memberitahu bahawa ujian yang dilalui oleh Nabi Ibrahim itu sememangnya adalah satu ujian yang amat besar. Bayangkan, menyembelih anak bukanlah satu arahan yang senang dan ringan. Tapi Nabi Ibrahim tetap taat.

Apabila diberikan arahan, lalu Nabi Ibrahim a.s. mengerjakannya dengan penuh rasa berserah diri kepada Allah dan tunduk patuh kepada perintah-Nya. Kerana itulah disebutkan oleh firman-Nya:

{وَإِبْرَاهِيمَ الَّذِي وَفَّى}
dan Ibrahim yang selalu menyempurnakan janji. (An-Najm: 37)

Kalimah bala’ di dalam bahasa Arab juga boleh membawa maksud ‘nikmat’ selain dari ujian. Maka kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya setelah diarahkan oleh Allah itu adalah satu nikmat. Kerana taat kepada Allah adalah satu nikmat. Dan Nabi Ismail diselamatkan pun adalah nikmat juga.

Begitulah, ketaatan kita kepada arahan Allah bukanlah dari kekuatan diri kita sebenarnya, tapi ianya adalah taufik dari Allah. Maka kerana itu kita kena sentiasa berdoa kepada Allah meminta diberikan taufik kepada kita. Kerana kalau tidak ada taufik, kita tidak ada kekuatan untuk menjalankan arahan dari Allah. Kerana kadangkala kita sudah tahu kita kena melakukan sesuatu, tapi kekuatan untuk melakukannya tidak ada.

Sebagai contoh, kita tahu yang solat berjemaah adalah wajib. Tapi tidak semestinya pengetahuan itu akan menyebabkan kita terus sanggup untuk melakukannya, bukan? Kerana ini memerlukan kekuatan. Maka kekuatan ini memerlukan bantuan dari Allah. Maka Allah boleh beri, maka kenalah kita minta.


 

Ayat 107:

وَفَدَينٰهُ بِذِبحٍ عَظيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We ransomed him with a great sacrifice,¹

  • Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) sent a huge ram to be sacrificed in place of Ishmael.

(MELAYU)

Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar.

 

Allah ganti (fidyah) penyembelihan Nabi Ismail itu dengan seekor kibas yang besar. Malaikat datang dan bawakan kibas sebagai ganti. Maka Nabi Ibrahim hanya perlu menyembelih kibas itu sahaja.

Dikatakan bahawa tanduk kibas itu disimpan di dalam Kaabah sampailah ke zaman Khalifah Abdullah bin Zubair, sehinggalah Kaabah berserta dengan tanduk itu dihancurkan oleh manjanik tentera Hajjaj bin Yusuf.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا سُفْيَانُ، حَدَّثَنَا مَنْصُورٌ، عَنْ خَالِهِ مُسافع ، عَنْ صَفِيَّةَ بِنْتِ شَيْبَةَ قَالَتْ: أَخْبَرَتْنِي امْرَأَةٌ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ -وَلدت عَامَّةَ أَهْلِ دَارِنَا-أَرْسَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى عُثْمَانَ بْنِ طَلْحَةَ -وَقَالَ مَرَّةً: إِنَّهَا سَأَلَتْ عُثْمَانَ: لِمَ دَعَاكَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟ قَالَ: قَالَ: “إِنِّي كنتُ رَأَيْتُ قَرْنَيِ الْكَبْشِ، حِينَ دَخَلْتُ الْبَيْتَ، فَنَسِيتُ أَنْ آمُرَكَ أَنْ تُخَمِّرَهُمَا، فَخَمَّرْهما، فَإِنَّهُ لَا يَنْبَغِي أَنْ يَكُونَ فِي الْبَيْتِ شَيْءٌ يَشْغَلُ الْمُصَلِّيَ”.
Imam Ahmad mengatakan, telah menceritakan kepada kami Sufyan, telah menceritakan kepadaku Mansur, dari pamannya (yaitu Musafi’ dan Safiyyah binti Syaibah) yang mengatakan bahawa telah menceritakan kepadanya seorang wanita dari Bani Salim yang telah melahirkan sebahagian besar penduduk perkampungan kami, bahawa Rasulullah Saw. mengirimkan utusan kepada Usman ibnu Abu Talhah r.a. (pemegang kunci Ka’bah). Wanita itu pernah bertanya kepada Usman, “Mengapa Nabi Saw. memanggilmu?” Maka Usman menjawab, bahawa Rasulullah Saw. bersabda kepadanya: Sesungguhnya aku melihat sepasang tanduk saat memasuki Ka’bah, dan aku lupa untuk memerintahkan kepadamu agar menutupinya dengan kain. Kerana itu, tutupilah sepasang tanduk itu dengan kain, sebab tidak patut bila di dalam Ka’bah terdapat sesuatu yang mengganggu kekhusyukan orang yang solat (di dalamnya).

Ibnu Abbas mengatakan, “Demi Tuhan yang jiwa Ibnu Abbas berada di tangan kekuasaan-Nya, sesungguhnya sembelihan itu merupakan kurban yang pertama dalam Islam, dan sesungguhnya kepala kambing itu benar-benar digantungkan dengan kedua tanduknya di talang Ka’bah hingga kering.”

Dan ini adalah sejarah kepada ibadah korban yang kita lakukan setiap tahun. Ianya mengingati perbuatan Nabi Ibrahim yang sanggup taat kepada arahan Allah. Maka apabila kita melakukan ibadah korban itu, kita sebenarnya telah mengikuti sunnah Nabi Ibrahim yang telah menunjukkan ketaatan baginda kepada arahan Allah.

Maka amalan korban itu bukanlah perbuatan yang ringan sahaja tapi ianya mengandungi falsafah yang besar. Kerana itulah dalam ayat ini, penyembelihan itu dikatakan sebagai ذِبحٍ عَظيمٍ (penyembelihan yang agung).

Dan ini mengajar kita yang kita kena taat kepada arahan Allah walaupun akal kita mungkin tidak dapat menerimanya. Kerana jikalau kita guna akal kita tentu Nabi Ibrahim tidak sanggup untuk menyembelih anaknya kerana tidak nampak hikmahnya di situ.

Maka kadangkala kita tidak tahu hikmat sesuatu perkara itu, tapi kerana ianya arahan dari Allah, maka kita kena jalankan juga. Sebagai contoh, Allah telah menetapkan bahagian faraid untuk lelaki adalah dua kali ganda bahagian wanita. Kalau ikut logik akal, macam tiak sesuai pula, bukan? Kerana wanita juga memerlukan harta zaman sekarang.

Dan kerana itulah ada yang sanggup untuk tinggalkan arahan Allah tentang faraid dan beri pembahagian yang sama bagi lelaki dan wanita. Maka ini adalah salah kerana telah melebihkan akal atas wahyu. Sepatutnya kita kena letak wahyu di hadapan akal dan bukan sebaliknya.

Lihatlah bagaimana arahan yang diberikan kepada Nabi Ibrahim kalau diikutkan akal memang tidak patut, tapi baginda tetap taat dan tidak mempersoalkan arahan Allah. Dan peristiwa ini diingatkan kepada kita dalam ibadah korban setiap tahun.

Maka apabila kita melakukan ibadah korban ataupun kita makan daging korban, kita kena ingat peristiwa ini. Dan kita kena tanya balik diri kita: adakah kita sanggup untuk melakukan arahan Allah kepada kita atau kita mempersoalkannya lagi? Adakah patut kita nak persoalkan arahan Allah sedangkan Dia yang menjadikan kita?

Ini penting untuk difahami kerana ada juga orang yang tahu hukum, tahu yang mereka kena buat semua arahan Allah, tetapi mereka memikir-mikir lagi. Banyak benda yang mereka sangsi dan persoalkan kenapa kena buat itu dan. Persoalannya, siapa kita nak mempersoalkan Allah?

Dan memang ada manusia yang sebegitu seperti yang disebut di dalam Nisa ayat 66. Dalam ayat ini disebut dua perkara iaitu arahan Allah untuk meninggalkan kampung halaman dan membunuh diri dan kedua-duanya telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim. Maka Nabi Ibrahim adalah sunnah yang kita kena ikut dalam taat kepada Allah.

وَلَو أَنّا كَتَبنا عَلَيهِم أَنِ اقتُلوا أَنفُسَكُم أَوِ اخرُجوا مِن دِيارِكُم ما فَعَلوهُ إِلّا قَليلٌ مِنهُم ۖ وَلَو أَنَّهُم فَعَلوا ما يوعَظونَ بِهِ لَكانَ خَيرًا لَهُم وَأَشَدَّ تَثبيتًا

Dan sesungguhnya kalau Kami wajibkan kepada mereka (dengan perintah): “Bunuhlah diri kamu sendiri, atau keluarlah dari tempat kediaman kamu”, nescaya mereka tidak akan melakukannya, kecuali sedikit di antara mereka. Dan sesungguhnya kalau mereka amalkan nasihat pengajaran (meliputi suruh dan tegah) yang telah diberikan kepada mereka, tentulah yang demikian itu lebih baik bagi mereka dan lebih meneguhkan (iman mereka).


 

Ayat 108:

وَتَرَكنا عَلَيهِ فِي الآخِرينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We left for him [favorable mention] among later generations:

(MELAYU)

Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian,

 

Dan Allah membiarkan sunnah Nabi Ibrahim ini menjadi satu amalan ibadah yang berkekalan zaman berzaman sehinggalah ke kiamat. Sampai sekarang kita ingat kisah ini dan kita abadikan dalam amalan kita setiap tahun. Kita sebut nama Nabi Ibrahim sebagai seorang manusia yang amat taat kepada Allah swt.

Ada juga pendapat di dalam israiliyat yang mengatakan bahawa anak Nabi Ibrahim yang disembelih itu bukannya Nabi Ismail tetapi Nabi Ishak. Tetapi pendapat ini tidak benar kerana banyak dalil-dalil yang mengatakan bahawa Nabi yang dimaksudkan adalah Nabi Ismail.

Salah satu hujah yang kuat adalah bagaimana orang Arab sudah tahu tentang ibadah penyembelihan korban lama sebelum Nabi Muhammad datang. Maka memang sembelihan korban sudah ada dalam tradisi mereka. Dan sejarah mereka tentunya berkenaan Nabi Ismail, bukannya Nabi Ishak.

Tetapi tentulah orang-orang Yahudi tidak mahu mengatakan Nabi Ismail yang disembelih di dalam kisah ini kerana mereka memandang rendah keturunan Nabi Ismail (golongan Arab). Maka mereka sanggup mengubah sejarah agama mereka. Sampai mereka sanggup menamakan satu tempat di Jerusalem dengan nama Bakka untuk menolak Mekkah sebagai tempat kejadian penyembelihan itu. Maka mereka kata di situlah kejadian Ishak disembelih. (Tapi kalau ditanya, di mana Bakka, mereka tidak dapat jawab pula. Mereka cuma kata sudah hilang).

Tapi, kalaulah Nabi Ishaq yang disembelih, kenapakah amalan korban ini tidak dilakukan oleh golongan Bani Israil sebagai anak cucu baginda? Kerana amalan ini masyhur di kalangan bangsa Arab iaitu anak cucu Nabi Ismail? Maka jelas yang hujah mereka itu amat lemah sekali.


 

Ayat 109:

سَلٰمٌ عَلىٰ إِبرٰهيمَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

“Peace upon Abraham.”

(MELAYU)

”Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim”.

 

Allah beri kelebihan kepada Nabi Ibrahim dengan memberi kesejahteraan kepada baginda di dalam alam dunia lagi.


 

Ayat 110:

كَذٰلِكَ نَجزِي المُحسِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, We thus reward the doers of good.

(MELAYU)

Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

 

Allah dengan segala limpah kurniaNya boleh memberikan balasan baik kepada manusia yang muhsin walaupun mereka di dunia lagi. Ini adalah sebagai balasan bagi kebaikan mereka.


 

Ayat 111:

إِنَّهُ مِن عِبادِنَا المُؤمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Indeed, he was of Our believing servants.

(MELAYU)

Sesungguhnya dia termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.

 

Allah puji Nabi Ibrahim dengan mengatakan yang baginda adalah seorang yang beriman. Ini adalah pujian dari Allah sendiri dan ini adalah satu pengiktirafan yang amat besar. Kerana kita yang beramal ini belum tentu lagi dikira sebagai orang mukmin.


 

Ayat 112: Ayat 112 & 113 adalah pujian kepada Nabi Ishaq. Allah juga memberitahu yang zuriat Nabi Ibrahim ada yang beriman dan ada juga yang menzalimi diri mereka sendiri.

وَبَشَّرنٰهُ بِإِسحٰقَ نَبِيًّا مِّنَ الصّٰلِحينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We gave him good tidings of Isaac, a prophet from among the righteous.¹

  • This verifies that the firstborn son who was to be sacrificed was Ishmael and not Isaac, as claimed by the Jews and Christians.

(MELAYU)

Dan Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishaq seorang nabi yang termasuk orang-orang yang saleh.

 

وَبَشَّرنٰهُ بِإِسحٰقَ

Dan Kami beri dia khabar gembira dengan (kelahiran) Ishaq

Dan sekarang Allah menyebut tentang anak Nabi Ibrahim yang kedua iaitu Nabi Ishaq. Ini menunjukkan yang memang Nabi Ismail yang disembelih di dalam kisah sebelum ini kerana waktu itu Nabi Ishaq tidak ada lagi.

Dalam Injil telah ada penukaran oleh golongan agama mereka yang mengatakan yang disembelih itu adalah Ishaq. Tapi ada kalimah “Take now thy son thine only son Isaac…”. Sedangkan dalam ayat lain dalam Injil sendiri mengatakan yang Ishaq bukanlah satu-satunya anak Nabi Ibrahim. Kerana selama 14 tahun, anak Nabi Ibrahim yang tunggal adalah Nabi Ismail (sebelum kelahiran Nabi Ishaq). Jadi apabila dikatakan ‘anak tunggal’ baginda waktu itu, adalah Nabi Ismail lah, bukannya Nabi Ishaq.

Akan tetapi seperti yang kita telah sebut sebelum ini, golongan Yahudi sanggup menipu kerana hendak menaikkan keturunan mereka. Mereka juga telah mengubah cerita ini juga. Mereka kata yang Nabi Ismail itu tidak diiktiraf sebagai anak sah kerana baginda lahir daripada seorang hamba itu Hajar.

Maka mereka sanggup menolak status seorang Nabi semata-mata untuk mengatakan yang Nabi Ishaq juga yang disembelih.

 

نَبِيًّا مِّنَ الصّٰلِحينَ

seorang nabi yang termasuk orang-orang yang saleh.

Jadi salah satu kelebihan yang diberikan kepada Nabi Ibrahim adalah mendapat anak kedua yang juga seorang Nabi yang saleh.

Kita kalau boleh mahukan anak-anak kita semuanya baik dan saleh belaka. Tapi tentulah ini tidak pasti kerana ini adalah rezeki dan kurnia dari Allah. Tapi lihatlah bagaimana Nabi Ibrahim bukan sahaja mendapat satu anak sebagai Nabi, tapi dua sekali!


 

Ayat 113:

وَبارَكنا عَلَيهِ وَعَلىٰ إِسحاقَ ۚ وَمِن ذُرِّيَّتِهِما مُحسِنٌ وَظالِمٌ لِّنَفسِهِ مُبينٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We blessed him and Isaac. But among their descendants is the doer of good and the clearly unjust to himself [i.e., sinner].

(MELAYU)

Kami limpahkan keberkatan atasnya dan atas Ishaq. Dan diantara anak cucunya ada yang berbuat baik dan ada (pula) yang zalim terhadap dirinya sendiri dengan nyata.

 

وَبارَكنا عَلَيهِ وَعَلىٰ إِسحاقَ

Kami limpahkan keberkatan atasnya dan atas Ishaq.

Maka Nabi Ibrahim dan Nabi Ishaq telah mendapat kelebihan diangkat sebagai Nabi dan mendapat hidayah taufik dari Allah. Ini adalah keberkatan yang amat besar dari Allah.

 

وَمِن ذُرِّيَّتِهِما مُحسِنٌ وَظالِمٌ لِّنَفسِهِ مُبينٌ

Dan diantara anak cucunya ada yang berbuat baik dan ada (pula) yang zalim terhadap dirinya sendiri dengan nyata.

Dan daripada keturunan Nabi Ibrahim dan Nabi Ishaq itu ada golongan-golongan yang baik dan ada golongan-golongan yang telah menzalimi diri mereka. Bukanlah semuanya baik dan bukanlah semuanya buruk perangai mereka.

Sebagai contoh, kita tahu kisah anak-anak Nabi Ya’kub yang asalnya teruk perangai mereka dan akhirnya mereka telah bertaubat (seperti yang dinaqalkan dalam Surah Yusuf). Ini adalah contoh anak cucu mereka yang baik. Bukanlah semua golongan Bani Israil itu jahat kerana ada yang baik. Jangan kita pukul rata mereka semuanya buruk belaka. Kerana apabila mereka beriman, memang mereka akan beriman sungguh dan menjadi manusia yang amat baik.

Tapi kita pun tahu banyak dari kalangan umat Bani Israil itu yang teruk perangai mereka. Dari Nabi Ibrahim adalah umat-umat Nabi Musa yang kita pun tahu mereka itu perangainya bagaimana. Banyak sekali disebutkan dalam Al-Qur’an tentang perangai mereka. Disebut perangai mereka supaya pun boleh elak dari menjadi seperti mereka.

Maka bukanlah Allah ceritakan perangai mereka untuk kita kutuk mereka sahaja, tapi kenalah kita jadikan perangai mereka itu sebagai sempadan bagi kita; janganlah kita jadi seperti mereka.

Tamat Ruku’ 3 dari 5 ruku’ dalam surah ini.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 9 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s