Tafsir Surah Saba’ Ayat 15 – 18 (Kisah Negeri Saba’)

Ayat 15: Sekarang kita masuk kepada kisah Negeri Saba’ yang dijadikan tajuk surah ini. Dari ayat 15 – 21 adalah Perenggan Makro 3 berkenaan Kaum Saba’ dan kekufuran mereka.

Di awal surah ini telah disebut penolakan kepada Hari Kebangkitan oleh Musyrikin Mekah. Sampaikan mereka kata Nabi menipu ataupun gila. Maka Allah telah menolak hujah mereka itu. Dan kemudian Allah menceritakan tentang Palestin dengan dua pemimpin besarnya iaitu Nabi Daud a.s. dan Nabi Sulaiman a.s. Mereka itu bersyukur dengan nikmat dari Allah dan kerana itu Allah beri mereka nikmat lagi dan lagi.

Dan sekarang Allah beri contoh Negeri Saba’ pula. Mereka itu kaum yang tidak bersyukur dengan nikmat dari Allah. Maka Allah balas dengan tarik balik nikmat mereka.

Maka ini adalah hujah dari Allah tentang Hari Kebangkitan. Alam ini dijadikan oleh Allah dan Allah tidak biarkan ia begitu sahaja. Allah sentiasa mengawal dan mengurusnya. Dan Allah balas perbuatan manusia berdasarkan ketaatan mereka kepadaNya. Di dunia lagi Allah sudah boleh beri balasan. Jadi bagaimana mereka sangka yang perbuatan mereka semasa di dunia ini tidak dipertanggungjawabkan?

لَقَد كانَ لِسَبَإٍ في مَسكَنِهِم ءآيَةٌ ۖ جَنَّتانِ عَن يَمينٍ وَشِمالٍ ۖ كُلوا مِن رِّزقِ رَبِّكُم وَاشكُروا لَهُ ۚ بَلدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفورٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

There was for [the tribe of] Saba’ in their dwelling place a sign: two [fields of] gardens on the right and on the left. [They were told], “Eat from the provisions of your Lord and be grateful to Him. A good land [have you], and a forgiving Lord.”

(MELAYU)

Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (kepada mereka dikatakan): “Makanlah olehmu dari rezeki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun”.

 

لَقَد كانَ لِسَبَإٍ في مَسكَنِهِم ءآيَةٌ

Sesungguhnya bagi kaum Saba’ di tempat kediaman mereka ada tanda 

Penduduk Saba’ telah diberikan dengan kelebihan dari segi keduniaan. Kelebihan yang mereka dapat itu menjadi tanda bahawa itulah kelebihan yang Allah berikan kepada mereka yang patuh kepada Allah Taala. Mereka kena sedar yang apa yang mereka ada itu bukanlah dari mereka sendiri tapi diberikan kepada mereka. Allah yang berikan kepada mereka.

Saba’ adalah nama raja-raja negeri Yaman dan juga nama penduduknya, dan Tababi’ah (jamak Tubba’ sebagai nama julukan Raja Yaman) berasal dari keturunan mereka. Ratu Balqis  termasuk salah seorang dari raja-raja negeri Yaman. Dahulu kala mereka hidup berlimpah dengan kenikmatan dan kesenangan di negeri mereka; kehidupan mereka sangat menyenangkan, dan rezeki mereka berlimpah, begitu pula tanam-tanaman dan buah-buahannya.

Kemudian Allah Swt. mengutus kepada mereka rasul-rasul yang memerintahkan kepada mereka agar memakan rezeki Allah dan bersyukur kepada-Nya dengan cara mengesakan dan menyembah-Nya; mereka tetap diseru oleh para rasul selama masa yang dikehendaki oleh Allah Swt. Tetapi mereka berpaling dari apa yang diperintahkan oleh para rasul kepada mereka. Akhirnya mereka diazab dengan didatangkan kepada mereka banjir besar yang memporak-porandakan seluruh negeri, sebagaimana yang akan diceritakan kisahnya nanti dalam pembahasan berikut ini, insya Allah.

Jadi ini adalah tanda bagi mereka dan bagi kita. Apa yang mereka ada itu boleh ditarik balik. Kerana memang ianya bukan hak mereka. Apabila ianya ditarik balik nanti, sepatutnya mereka kena sedar dengan lebih lagi. Dan sekarang ia menjadi tanda bagi kita yang kita hendaklah bersyukur dengan nikmat yang kita ada. Kalau tidak, Allah pun boleh tarik balik nikmat yang telah diberikanNya kepada kita.

 

جَنَّتانِ عَن يَمينٍ وَشِمالٍ

dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri.

Mereka diberikan dengan kebun yang berpanjangan di sebelah kiri bandar dan di sebelah kanan bandar.

Dikatakan bahawa bukanlah ada dua sahaja kebun di seluruh Saba’ itu. Tapi kerana kebun ada di mana-mana, maka di mana-mana sahaja penduduk negeri itu berdiri, mereka akan nampak satu kebun di kiri dan satu kebun di kanan.

Disebutkan bahawa wanita dari kalangan mereka berjalan di bawah pepohonan itu dengan membawa keranjang atau bekas buah-buahan di atas kepalanya. Maka buah-buahan berjatuhan memenuhi keranjang­nya tanpa susah payah harus memetiknya kerana buahnya rimbun dan masak-masak. Hebat sekali nikmat yang Allah berikan kepada mereka.

 

كُلوا مِن رِّزقِ رَبِّكُم وَاشكُروا لَهُ

“Makanlah olehmu dari rezeki Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya.

Mereka disuruh untuk makan dari rezeki yang Allah berikan dan maklumat itu disampaikan melalui para Nabi mereka.

Mereka disuruh untuk mensyukuri nikmat-nikmat yang Allah telah berikan. Jangan makan sahaja rezeki dari Allah tapi arahan Dia tidak diikuti pula. Kerana tanda syukur adalah dengan taat kepada perintah Allah. Satu lagi kenalah seru Allah taala sahaja dan jangan diseru selain Dia dalam ibadat.

Ayat ini memberi isyarat bahawa mereka sepatutnya bersyukur dengan pemberian yang Allah telah berikan kepada mereka tetapi mereka tidak bersyukur.

 

بَلدَةٌ طَيِّبَةٌ

negeri yang baik 

Bersyukurlah kerana Allah telah berikan negeri yang baik dan subur kepada mereka. Banyak kemudahan yang mereka dapat yang akan disebut selepas ini.

 

وَرَبٌّ غَفورٌ

dan (Tuhanmu) adalah Tuhan Yang Maha Pengampun”.

Walaupun mereka tidak bersyukur, tetapi Allah tetap memberi keampunan kepada mereka walaupun mereka tidak bersyukur. Allah masih beri peluang kepada mereka.


 

Ayat 16: Apakah balasan yang dikenakan kepada mereka?

فَأَعرَضوا فَأَرسَلنا عَلَيهِم سَيلَ العَرِمِ وَبَدَّلنٰهُم بِجَنَّتَيهِم جَنَّتَينِ ذَواتَي أُكُلٍ خَمطٍ وَأَثلٍ وَشَيءٍ مِّن سِدرٍ قَليلٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

But they turned away [refusing], so We sent upon them the flood of the dam,¹ and We replaced their two [fields of] gardens with gardens of bitter fruit, tamarisks and something of sparse lote trees.

  • i.e., caused by a break in their dam. Another meaning is “the overwhelming flood.”

(MELAYU)

Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Atsl dan sedikit dari pohon Sidr.

 

فَأَعرَضوا

Maka mereka berpaling,

Mereka telah ‘berpaling’ dan tidak disebut dari apakah mereka berpaling itu. Yang dimaksudkan adalah mereka tidak melakukan syukur kepada Allah di atas segala nikmat yang mereka telah dapat. Maka mereka tidak taat kepada perintah Allah kerana kalau seseorang itu bersyukur dengan nikmat Allah, maka mereka akan taat dengan arahan Allah.

Ini tidak patut sama sekali. Sedangkan di utara semenanjung Tanah Arab itu kita telah belajar bagaimana Nabi Daud dan juga Nabi Sulaiman bersyukur di atas nikmat yang mereka dapat. Dibandingkan dengan penduduk Yaman yang tidak bersyukur dengan kelebihan yang mereka ada itu.

Sebaliknya mereka menyembah matahari, bukannya menyembah Allah. Sebagaimana yang dilaporkan burung Hud-hud kepada Nabi Sulaiman a.s. Hal ini menceritakan oleh firman-Nya:

{وَجِئْتُكَ مِنْ سَبَإٍ بِنَبَإٍ يَقِينٍ. إِنِّي وَجَدْتُ امْرَأَةً تَمْلِكُهُمْ وَأُوتِيَتْ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ وَلَهَا عَرْشٌ عَظِيمٌ. وَجَدْتُهَا وَقَوْمَهَا يَسْجُدُونَ لِلشَّمْسِ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ فَصَدَّهُمْ عَنِ السَّبِيلِ فَهُمْ لَا يَهْتَدُونَ}

dan kubawa kepadamu dari negeri Saba’ suatu berita penting yang diyakini. Sesungguhnya aku menjumpai seorang wanita yang memerintah mereka, dan dia dianugerahi segala sesuatu serta mempunyai singgahsana yang besar. Aku mendapati dia dan kaumnya menyembah matahari, selain Allah; dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak dapat petunjuk (An-Naml: 22-24)

 

فَأَرسَلنا عَلَيهِم سَيلَ العَرِمِ

maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar

Kalimah عَرِمِ bermaksud empangan dan سيل bermaksud banjir. Kawasan penempatan mereka itu di bawah paras air laut dan dihalang oleh empangan mereka. Dan apabila empangan itu pecah maka kawasan mereka itu telah dilimpahi dengan air laut dan menjadikan banjir besar yang merosakkan tempat tinggal mereka itu. Maka kalimat سَيلَ العَرِمِ bermaksud jenis banjir yang terjadi apabila empangan pecah.

Atau pendapat lain mengatakan bukan air laut yang melimpah jadi banjir. Sebaliknya empangan air yang mereka kumpul sendiri. Dikatakan yang Negeri Saba’ subur berkat adanya bendungan yang dinamakan Saddi Ma’rib, yang pada mulanya air itu datang dari celah-celah air yang ada di antara kedua bukit, lalu berkumpul di lembah dan bercampur dengan air hujan yang turun kepada mereka dari bukit-bukit yang ada di sekitarnya. Lalu raja-raja mereka dahulu buat rancangan untuk memanfaatkan air tersebut, maka mereka membangun sebuah empangan yang besar lagi kukuh untuk membendung air tersebut dan boleh dimanfaatkan.

Akhirnya permukaan air naik dan memenuhi lembah yang ada di antara kedua bukit tersebut. Kemudian mereka menanam pohon-pohon dan bercucuk tanam, serta menghasilkan buah-buahan yang sangat banyak dan bermutu baik. Maknanya tanaman mereka subur kerana ada bekalan air yang cukup. Sehinggalah banjir terjadi apabila empangan itu pecah.

Dari sejarah, kejadian ini berlaku pada tahun 450 Masehi.

Wahb ibnu Munabbih menceritakan bahawa mereka menjumpai dalam kitab-kitab mereka (Ahli Kitab), bahawa penyebab hancurnya bendungan tersebut adalah kerana digigit oleh tikus. Asalnya, orang-orang Saba’ menjaga bendungannya dengan kucing-kucing liar, tetapi Allah takdirkan tiba tikus-tikus itu dapat mengalahkan kucing-kucing penjaga bendungan tersebut. Akhirnya tikus-tikus itu masuk ke daerah bendungan dan melubanginya sehingga bendungan mereka pecah dan banjir menimpa mereka.

 

وَبَدَّلنٰهُم بِجَنَّتَيهِم جَنَّتَينِ ذَواتَي أُكُلٍ خَمطٍ

Kami ganti kedua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit,

Dan selepas itu kebun mereka yang hebat itu telah diganti dengan makanan yang lain. Yang walaupun boleh dimakan tetapi ianya pahit atau tidak ada rasa. Atau rasa tidak sedap. Maka nikmat mereka sebelum ini telah ditarik.

 

وَأَثلٍ وَشَيءٍ مِّن سِدرٍ قَليلٍ

pohon Atsl dan sedikit dari pohon Sidr.

Pokok أَثلٍ adalah sejenis pokok berduri. Buah yang ada pun pahit juga. Mungkin juga dipanggil pokok Tamaris di negara kita.

Ada juga pokok bidara. Tapi buahnya tak lebat lagi. Kalau dulu lebat, sekarang sudah tidak lebat lagi. Itu sebab dikatakan ada sedikit sahaja.

Atau, ia adalah pohon pengganti yang terbaik dari pepohonan sebelum itu. Buah-buahan yang baru tidak bermanfaat dan kalau nak kata bermanfaat pun, buah Bidara sahaja.

Ini adalah kerana apabila banjir terjadi, maka semua tanaman telah musnah dan sistem pengairan telah musnah di dalam banjir itu. Maka apabila sistem pengairan tidak ada lagi, maka tanaman tidak mendapat bekalan air yang baik dan tanaman tidak subur lagi. Jadi yang dapat tumbuh adalah tumbuh-tumbuhan yang telah disebut di atas.


 

Ayat 17:

ذٰلِكَ جَزَينٰهُم بِما كَفَروا ۖ وَهَل نُجٰزي إِلَّا الكَفورَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[By] that We repaid them because they disbelieved. And do We [thus] repay except the ungrateful?

(MELAYU)

Demikianlah Kami memberi balasan kepada mereka kerana kekafiran mereka. Dan Kami tidak menjatuhkan azab (yang demikian itu), melainkan hanya kepada orang-orang yang sangat kafir.

 

ذٰلِكَ جَزَينٰهُم بِما كَفَروا

Demikianlah Kami memberi balasan kepada mereka kerana kekafiran mereka.

Yang dikenakan kepada mereka itu adalah kerana mereka kufur. Dan kufur yang dimaksudkan adalah ‘kufur nikmat’. Mereka tidak menghargai nikmat yang Allah berikan kepada mereka dan kerana itu mereka tidak bersyukur. Apabila mereka tidak bersyukur, maksudnya mereka tidak taat kepada syariat Allah.

 

وَهَل نُجٰزي إِلَّا الكَفورَ

Dan Kami tidak menjatuhkan azab (yang demikian itu), melainkan hanya kepada orang-orang yang sangat kafir.

Balasan sebegini Allah hanya berikan kepada mereka yang kufur sahaja. Iaitu kalau tidak bersyukur dengan nikmat yang Allah telah berikan, maka Allah akan tarik balik.

Al-Hasan Al-Basri mengatakan bahwa Maha benar Allah Yang Mahabesar, tidaklah Dia menghukum dengan hukuman yang setimpal kecuali hanyalah orang-orang yang sangat kafir. Tawus mengatakan, tidaklah diberi pelajaran kecuali hanya orang-orang yang sangat kafir.


 

Ayat 18: Allah sambung dengan kisah sejarah mereka. Ini adalah nikmat kedua selepas nikmat pertanian yang telah disebut sebelum ini.

وَجَعَلنا بَينَهُم وَبَينَ القُرَى الَّتي بٰرَكنا فيها قُرًى ظٰهِرَةً وَقَدَّرنا فيهَا السَّيرَ ۖ سيروا فيها لَيالِيَ وَأَيّامًا ءآمِنينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We placed between them and the cities which We had blessed¹ [many] visible cities. And We determined between them the [distances of] journey,² [saying], “Travel between them by night or by day in safety.”

  • In the lands of what is now southern Syria and Palestine.
  • i.e., We placed the intermediate settlements at calculated distances for the convenience of travelers.

(MELAYU)

Dan Kami jadikan antara mereka dan antara negeri-negeri yang Kami limpahkan berkat kepadanya, beberapa negeri yang berdekatan dan Kami tetapkan antara negeri-negeri itu (jarak-jarak) perjalanan. Berjalanlah kamu di kota-kota itu pada malam hari dan siang hari dengan dengan aman.

 

وَجَعَلنا بَينَهُم وَبَينَ القُرَى الَّتي بٰرَكنا فيها قُرًى ظٰهِرَةً

Dan Kami jadikan antara mereka dan antara negeri-negeri yang Kami limpahkan berkat kepadanya, beberapa negeri yang jelas kelihatan. 

Kalimat القُرَى الَّتي بٰرَكنا فيها (negeri yang Kami limpahkan berkat ke atasnya) merujuk kepada Palestin. Maknanya antara Palestin dan Saba’ ada banyak negara yang mereka boleh berdagang. Sepanjang-panjang perjalanan itu ada kawasan-kawasan penempatan. Mereka boleh berdatang sampai ke Palestin di utama semenanjung.

Tapi yang menyebabkan mereka boleh mudah ke sana adalah kerana di antara dua lokasi itu, antara penempatan-penempatan yang mereka boleh singgah. Kerana kalau dari Saba’ ke Palestin itu tentu perjalanan yang jauh dan bahaya kalau tidak ada penempatan lain.

 

وَقَدَّرنا فيهَا السَّيرَ

dan Kami tetapkan antara negeri-negeri itu (jarak-jarak) perjalanan.

Tempat-tempat itu boleh dilawati oleh mereka di jalan yang selamat. Dan jarak antara satu kawasan ke satu kawasan tidak jauh. Mereka boleh pergi ke tempat-tempat itu sama ada siang ataupun malam. Kerana kalau jauh ianya bahaya.

Kerana sepanjang perjalanan itu ada tempat penempatan yang mereka boleh bermalam padanya dan selamat daripada para penyamun di padang pasir. Sehingga orang yang mengadakan perjalanan di antara mereka tidak perlu membawa bekal makanan dan air minum banyak, bahkan di mana pun dia turun istirehat pasti dia menjumpai air dan buah-buahan.

Dia dapat pula beristirehat siang hari di suatu kota, lalu menginap di kota lainnya menurut keadaan yang diperlukan dalam perjalanan. Maka perjalanan itu mudah bagi pengembara zaman itu.

 

سيروا فيها لَيالِيَ وَأَيّامًا ءآمِنينَ

Berjalanlah kamu di kota-kota itu pada malam hari dan siang hari dengan dengan aman.

Maka mereka boleh mengembara untuk berdagang sama ada pada waktu siang atau malam. Ini penting kerana selalunya perjalanan malam adalah bahaya pada waktu itu. Tapi Allah telah mudahkan bagi mereka, kalau nak bermusafir di malam hari pun masih selamat lagi.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tarikh: 2 Julai 2019


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Tafhim-ul-Qur’an, Abul A’la Maududi

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s