Ayat 12: Ayat zajrun ke 3. Teguran Allah kerana kebodohan manusia yang menyembah selainNya.
يَدعو مِن دونِ اللهِ ما لا يَضُرُّهُ وَما لا يَنفَعُهُ ۚ ذٰلِكَ هُوَ الضَّلٰلُ البَعيدُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He invokes instead of Allāh that which neither harms him nor benefits him. That is what is the extreme error.
(MELAYU)
Dia menyeru selain Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudharat dan tidak (pula) memberi manfaat kepadanya. Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.
يَدعو مِن دونِ اللهِ ما لا يَضُرُّهُ وَما لا يَنفَعُهُ
Dia menyeru selain Allah, sesuatu yang tidak dapat memberi mudharat dan tidak (pula) memberi manfaat kepadanya.
Allah mengutuk manusia yang menyeru kepada selain Allah dengan sesuatu yang tidak boleh memberi mudarat dan manfaat pun kepada mereka. Kalau ada manfaat atau kalau tak sembah dia, dia akan beri mudharat, maka patutlah kalau nak sembah pun. Tapi kalau tidak ada segala itu, kenapa nak sembah?
Mereka inilah yang senang percaya kepada benda-benda yang karut seperti percaya kepada nombor-nombor bertuah, baju bertuah, hari bertuah dan sebagainya. Orang-orang sebegini lah juga yang takut kepada nombor empat, nombor 13 dan sebagainya.
Orang-orang sebegini lah juga yang walaupun berpelajaran tinggi, tetapi masih percaya kepada tukang-tenung nasib dan orang yang baca tapak tangan untuk merenung nasib. Semua itu perkara karut sahaja. Malangnya orang Islam pun ada buat juga rupanya.
ذٰلِكَ هُوَ الضَّلٰلُ البَعيدُ
Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.
Itu adalah sesat yang jauh. Jauh maksudnya susah nak diperbetulkan. Macam kita panggil orang yang jauh, kena jerit betul dan belum tentu dia boleh dengar lagi. Maka kena panggil berkali-kali. Tapi kerana jauh, amat susah untuk kembali.
Ayat 13: Ayat Zajrun ke 4.
يَدعو لَمَن ضَرُّهُ أَقرَبُ مِن نَّفعِهِ ۚ لَبِئسَ المَولىٰ وَلَبِئسَ العَشيرُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
He invokes one whose harm is closer than his benefit – how wretched the protector and how wretched the associate.
(MELAYU)
Dia menyeru sesuatu yang sebenarnya mudharatnya lebih dekat dari manfaatnya. Sesungguhnya yang diserunya itu adalah sejahat-jahat kawan.
يَدعو لَمَن ضَرُّهُ أَقرَبُ مِن نَّفعِهِ
Dia menyeru sesuatu yang sebenarnya mudharatnya lebih dekat dari manfaatnya.
Mereka yang musyrik itu sebenarnya menyeru sesuatu yang menyebabkan mudharat kepada mereka. Manfaat memang tak dapat langsung. Mereka nak perlindungan dan pertolongan dalam menyeru ilah lain tetapi yang mereka dapat sebenarnya adalah bahaya.
لَبِئسَ المَولىٰ وَلَبِئسَ العَشيرُ
Sesungguhnya yang diserunya itu adalah sejahat-jahat kawan.
Yang diseru itu adalah kawan yang buruk. Kalimah العَشيرُ bermaksud seseorang yang duduk sekali dengan kita macam keluarga. Dan yang kita berinteraksi dengan mereka seperti isteri dan keluarga.
Yang mereka seru sebenarnya adalah syaitan dan syaitan itu rapat dengan mereka dan kerana itu mereka selalu ikut bisikan syaitan itu. Syaitan itu sudah jadi seperti kawan atau keluarga mereka tapi syaitan adalah kawan atau keluarga yang buruk dan jahat sebenarnya. Yang menyeru itu sangka mereka menyeru Nabi, wali atau malaikat, tapi sebenarnya yang mereka seru adalah syaitan.
Ayat 14: Ayat tabshir ukhrawi kepada mereka yang yakin dengan akidah tauhid dan mengamalkan amal soleh.
إِنَّ اللهَ يُدخِلُ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ ۚ إِنَّ اللهَ يَفعَلُ ما يُريدُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Indeed, Allāh will admit those who believe and do righteous deeds to gardens beneath which rivers flow. Indeed, Allāh does what He intends.
(MELAYU)
Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh ke dalam syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki.
إِنَّ اللهَ يُدخِلُ الَّذينَ آمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحاتِ جَنّٰتٍ تَجري مِن تَحتِهَا الأَنهٰرُ
Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh ke dalam syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai.
Allah akan masukkan orang yang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga. Mereka lahir dan hidup, kemudian mati dan kemudian akan dibangkitkan untuk hidup dalam syurga. Alangkah indahnya!
Tapi kena penuhi syarat:
- Kena beriman sempurna – tiada syirik
- Kena amal amalan yang soleh – tidak boleh amal amalan bidaah.
إِنَّ اللهَ يَفعَلُ ما يُريدُ
Sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki.
Allah buat apa sahaja yang Dia berkehendak. Termasuk memuliakan orang yang taat kepada-Nya dan menghinakan orang yang durhaka kepada-Nya. Semuanya ikut kehendak Allah sahaja, keputusan di tangan Allah sahaja. Maka tidak boleh kita pertikaikan apakah yang ditentukan oleh Allah.
Ayat 15: Ayat Zajrun ke 5.
مَن كانَ يَظُنُّ أَن لَّن يَنصُرَهُ اللهُ فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ فَليَمدُد بِسَبَبٍ إِلَى السَّماءِ ثُمَّ ليَقطَع فَليَنظُر هَل يُذهِبَنَّ كَيدُهُ ما يَغيظُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Whoever should think that Allāh will not support him [i.e., Prophet Muḥammad (ṣ)] in this world and the Hereafter – let him extend a rope to the ceiling, then cut off [his breath],¹ and let him see: will his effort remove that which enrages [him]?
- i.e., strangle himself.
(MELAYU)
Barangsiapa yang menyangka bahawa Allah sekali-kali tiada menolongnya di dunia dan akhirat, maka hendaklah dia merentangkan tali ke langit, kemudian hendaklah dia memotongnya, kemudian hendaklah dia lihat apakah tipu dayanya itu dapat melenyapkan apa yang menyakitkan hatinya.
مَن كانَ يَظُنُّ أَن لَّن يَنصُرَهُ اللهُ فِي الدُّنيا وَالآخِرَةِ
Barangsiapa yang menyangka bahawa Allah sekali-kali tiada menolongnya di dunia dan akhirat,
Ada beberapa pendapat tentang maksud ayat ini kerana ayat ini tidak jelas kalau dibaca sahaja tanpa melihat perbincangan ulama tentangnya.
Untuk cuba memahaminya, kita boleh bayangkan seorang lelaki yang mahu menjaga agamanya dan berkhidmat untuk agamanya. Dia adalah seorang yang mahu memperbaiki dirinya tetapi mungkin dia tidak nampak tangga kejayaan. Mungkin dia rasa ilmunya tidak bertambah setelah sekian lama, ataupun dia tidak dapat rasa peningkatan rohani yang berlaku dalam dirinya.
Mungkin dia ada cuba baca Qur’an dan cuba tadabbur Qur’an itu, tapi dia rasa tidak rasa apa-apa dari usahanya itu. Mungkin juga dia seorang yang cuba untuk berdakwah atau anjurkan program-program Islam tetapi sekian lama tidak berjaya.
Dan dia sudah mula berasa putus asa. Jadi mungkin dia rasa Allah tidak akan membantunya di dunia dan kalau Allah tidak membantunya di dunia tentu Allah tidak membantunya di akhirat juga. Maka ayat ini adalah orang yang risau tentang keadaan itu.
فَليَمدُد بِسَبَبٍ إِلَى السَّماءِ
maka hendaklah dia merentangkan tali ke langit,
Ini adalah frasa yang susah untuk ditafsirkan kerana ia berbentuk perumpamaan. Dan perumpamaan yang digunakan di dalam ayat ini adalah ‘tali’. Kalimah سَبَبٍ dari kata dasar س ب ب yang bermaksud tali; sebab; laluan; cara untuk mendapatkan sesuatu; jalan; cinta; perhubungan. Di dalam frasa ini سَبَبٍ adalah tali. Tapi tali apa?
1. Ada yang berpendapat tali yang dimaksudkan adalah ‘tali Allah’. Dan tali Allah itu bermaksud tali yang panjang; satu hujung dipegang oleh kita dan satu lagi dipegang oleh Allah. Kemudian Allah suruh panjatlah tali itu, yang bermaksud: naik ke atas untuk memperbaiki diri.
2. Ada yang berpendapat itu ada tali biasa iaitu Allah suruh ambil tali dan ikat tali ke bumbung rumah. Kerana kalimah ٱلسَّمَاءِ asalnya merujuk ke tempat yang tinggi dan Allah suruh ikat tali itu jadi tali gantung. Ini kerana huruf ب di dalam بِسَبَبٍ boleh jadi Ba’ Al-Ilsāq (باء الإلصاق). Secara ringkas, Bā’ Al-Ilsāq bermaksud “Ba’ yang menunjukkan perlekatan atau persambungan.” Ilsāq (الإلصاق) secara bahasa bermaksud melekat, melekatkan, menyambungkan, atau menyentuh. Jadi ia bermaksud ambil tali dan ikat seperti ke siling rumah dan gantunglah diri. Jadi sekiranya orang kafir terlalu sakit hati terhadap kejayaan yang diterima oleh umat Islam, maka tiada cara lain untuk menghilangkan rasa sakit hati itu selain menamatkan riwayat sendiri dengan menggantung diri sendiri. Ini seperti disebut di dalam kitab Ma’ālim at-Tanzīl (معالم التنزيل) atau lebih dikenali dengan nama ringkasnya, iaitu Tafsir al-Baghawi. Jadi membunuh diri mereka lebih baik dari mereka melakukan kemungkaran dan mengganggu kekasih-kekasih Allah.
ثُمَّ ليَقطَع فَليَنظُر
kemudian hendaklah dia memotongnya, kemudian hendaklah dia lihat
Dan kemudian Allah suruh putuskan tali itu. Tetapi tentulah itu membahayakan diri? Sudah ada di atas, putuskan pula.
هَل يُذهِبَنَّ كَيدُهُ ما يَغيظُ
apakah usahanya itu dapat melenyapkan apa yang menyakitkan hatinya?
Maksudnya, kalau mereka putuskan tali itu dan mereka jatuh ke bawah, adakah kerisauan yang dirasai pada mula-mula itu akan hilang? Tentu tidak hilang, kerana orang itu akan jadi lebih teruk lagi kerana dia telah memutuskan tali yang sepatutnya memberi harapan kepada dirinya.
Jadi Allah hendak memberitahu: jangan berputus asa. Teruskan buat apa yang perlu dilakukan. Kalau tidak nampak kesan dari amalan ibadat dia, tidak mengapa. Kerana kalau tidak buat amalan itu, adakah kebaikan? Tentu sahaja tidak ada. Ini adalah tafsiran pertama.
Tafsiran kedua bagi ayat ini adalah berkenaan manusia yang tidak yakin yang Allah akan menolongnya, maka dia telah berdoa kepada selain dari Allah. Dia menggunakan tawasul dalam berdoa atau dia minta terus kepada selain Allah. Kemudian dia memasang tali ke bumbung rumahnya dan kemudian dia menjerut lehernya. Adakah dengan membunuh dirinya dapat menghalang kemarahan kepada Allah kerana tidak menolongnya? Begitulah Allah beri perumpamaan tentang orang yang jahil agama dan berharap kepada selain Allah. Mereka menyeru kepada selain Allah kerana seolah-olah mereka tidak yakin yang Allah dapat menyelesaikan masalahnya. Macam dia marah pula kepada Allah kerana tidak memakbulkan doanya maka dia telah minta kepada selain Allah.
Tafsir ketiga: ia adalah kiasan kepada Arab Mekah yang marah kepada Allah kerana tolong Nabi Muhammad. Maka Allah suruh mereka ikat tali dan naik ke atas dan kemudian potong tali itu. Adakah ia dapat menghilangkan kemarahan mereka itu? Tentu tidak kerana Allah tetap akan tolong Rasulullah. Allah telah berfirman di dalam Ghafir:51,
{إِنَّا لَنَنْصُرُ رُسُلَنَا وَالَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ الأشْهَادُ}
Sesungguhnya Kami menolong rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia dan pada hari berdirinya saksi-saksi (hari kiamat).
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 26 November 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Jalalain
Al-Qur’an yang telah Didekatkan (Mohd Dzul Khairi)

Maaf, Adakah ini sebuah ulasan bagi tafsir2 ulama? Kerana penulisan nampak bersahaja, Jika benar.. saya cuma tertanya mengapa perlu lakukan perkara ini? Penulisan para ulama sudah tersusun elok. Tidakkah berisiko untuk Salah maksud jika mengulasnya begini? Maaf, Sy cuma berasa kurang selesa dgn gaya penulisan diatas. ? Maaf sekali lg jika Sy Salah atas kejahilan Sy.
LikeLike
Ya tafsiran ulama’ tapi saya berikan bahasa yang mudah difahami. Kerana kebiasannya, kalau baca kitab tafsiran ulama’, bahasa agak sukar difahami. Tapi kalau pergi kelas tafsir (sudah banyak sekarang ada) beginilah bahasa yang digunakan. Yang penting supaya difahami oleh masyarakat.
Tidak salah untuk disebut kepada awam, kerana memang orang awam kena faham Qur’an pun. Selama hari ini orang awam tidak faham, sebab itu banyak masalah dalam amalan. Tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan dalam ilmu tafsir. Kita bukan ajar benda pelik pun. Yang sorok amalan adalah golongan sesat.
LikeLike
Maaf, adakah ini sebuah ulasan bagi tafsiran ulama.? Jika benar mengapa ini perlu di tempat awam? Bukankah boleh tersalah makna?
Sy bertanya kerana kurang senang dgn gaya penulisan.
Maaf sekali lg jika Sy silap atas kejahilan Sy sendiri. 🙏
LikeLike
Ya, tafsiran ulama’. kalau anda tidak selesa, mungkin sebab anda tidak pernah menghadiri kelas tafsir agaknya.
LikeLike
Maaf, mungkin benar apa yg kamu kata. Jika dengar secara lisan mungkin berbeza, Sy sebagai orang awam bila baca tafsir ulama, masih terasa membaca penerangan ayat Quran. Tapi bila baca ulasan diatas. seperti sudah hilang Aura dia.
Mungkin kerana gaya penulisan seperti diatas tidak layak diletakkan bersama ayat Quran, sy dah tersalah faham kerana biasanya ayat Quran diatas dan dibawahnya tafsir ulama. Tapi yg ni pula ayat Quran diatas dan dibawahnya ulasan kamu. Sedangkan kamu cuma mengulas balik tafsir para ulama.
LikeLike
Tidak mengapa, boleh teruskan sahaja membaca kitab tafsir muktabar. Tak perlu baca tulisan saya pun tidak mengapa
LikeLike