Tafsir Surah Muhammad Ayat 1 – 3 (Kelebihan jihad)

Pengenalan

Surah ini diturunkan sebelum Perang Badr berlaku. Selain dari Surah Muhammad ini, Surah Baqarah pun begitu juga. Dua-dua surah ini adalah sebagai persediaan mental kepada Perang yang akan berlaku di Badr. Allah beri persediaan dan hukum hakam peperangan kepada para sahabat pada waktu itu.

Oleh itu, Surah Muhammad ini adalah sambungan dari apa yang telah ada dalam Surah Baqarah. Allah ﷻ jadikan perbicaraan tentang perang di dalam surah yang lain. Dan stail surah ini pun lain dari surah-surah yang lain; kita boleh lihat bagaimana ia dimulai dengan isim mausul.

Surah ini turun selepas surah-surah Hamim Tujuh yang menyentuh tentang tauhid. Maka sepatutnya mereka yang membaca surah ini, tauhid mereka sudah kemas. Maka selepas faham tauhid, seterusnya adalah diarahkan untuk perang untuk menegakkan tauhid. Dan inilah arahan kepada Nabi Muhammad ﷺ. Kalau pergi jihad tapi tauhid pun tidak kemas, memang mati katak sahaja lah.

Maka kita sebagai umat baginda pun kenalah ikut apa yang telah dilakukan oleh baginda. Kita kena ingat yang Allah ﷻ yang arahkan peperangan untuk menegakkan tauhid itu. Nabi Muhammad ﷺ telah diarah untuk memerangi seluruh manusia sehingga mereka terima apa yang telah diajar dalam Surah-surah Hamim Tujuh dan Surah az-Zumar.

Oleh kerana surah ini ada elemen perang maka ia juga dinamakan Surah Qital (Surah Perang). Memang banyak surah ada lebih dari satu nama. Maka jangan pelik pula kalau lihat ada nama lain bagi surah ini.

Sebelum memulakan perang menegakkan tauhid itu, kita kena pastikan mukmin yang terlibat dalam jihad itu benar-benar putih dan yang dilawan itu hitam sungguh-sungguh. Kerana kita tidak mahu berada di pihak yang salah dan kita tidak mahu menyerang pihak yang tidak bersalah.

Maka surah ini ajar bandingan antara musuh. Oleh sebab perbezaan itu penting, maka kerana itu arahan qital tidak diberikan di awal Islam. Kerana Allah ﷻ hendak pastikan iman para mujahid itu telah mantap.

Mungkin kita rasa agak berat untuk menyerang musuh Islam. Oleh itu kita kena sedar yang Allah ﷻ izinkan qital kerana pihak Muslim telah dizalimi. Maka tidak ada halangan lagi sebenarnya hendak berperang dan bunuh para musuh Islam itu.

Sebelum ini, Allah ﷻ tidak izinkan berperang walaupun sahabat sudah minta izin untuk serang balas kepada musuh yang telah menyerang, menindas dan menyakiti mereka. Akan tetapi tidak mendapat kebenaran dari Allah ﷻ. Ini kerana mereka belum bersedia lagi.

Kita juga kena sedar yang manusia memang berperang pun dari dahulu lagi, jadi kalau peperangan terjadi, itu adalah perkara biasa sahaja. Tetapi Allah ﷻ tidak benarkan lagi peperangan di awal Islam kerana itu adalah qital ala kafir (perang cara kufur). Maka Allah ﷻ tangguhkan keizinan berperang sampailah Allah ﷻ izinkan dan keizinan ini terdapat dalam Surah al-Hajj.

Allah ﷻ izinkan berperang selepas ada lebih 70 ayat larang berperang. Allah ﷻ tidak benarkan umat Islam berperang lagi waktu awal kerana bimbang umat Islam berperang kerana sebab yang salah. Kalau kalau mati ketika perang kerana salah sebab, maka akan masuk neraka. Maka memang bahaya sungguh.

Jadi kena pastikan iman dan tauhid sudah mantap dan benar, barulah dibenarkan berperang. Jihad dalam Islam berbeza dengan perang biasa yang sudah dilakukan oleh manusia dari dahulu lagi. Manusia zaman berzaman sentiasa sahaja berperang kerana hendakkan kuasa, tanah, jajahan, dendam kesumat, atau mungkin kerana tidak ada kerja lain.

Tapi kita umat Islam disuruh berperang untuk sampaikan ayat-ayat Allah ﷻ. Kerana tugas kita kena sampaikan wahyu Al-Qur’an kepada orang bukan Islam. Dan penyampaian wahyu itu sebenarnya sudah bermula dari zaman Mekah lagi apabila umat Islam disuruh tabligh (sampaikan) dakwah kepada manusia.

Setelah Islam mula bertapak di Madinah, umat Islam sudah semakin ramai. Tetapi ada beza antara Muslim Mekah dan Muslim Madinah. Muslim Mekah sudah banyak berkorban untuk menegakkan dan mengamalkan ajaran Islam. Jadi mereka sudah tahu apakah maksudnya menjadi Muslim sejati.

Akan tetapi Muslim Madinah belum lagi diuji sebegitu. Memang mereka sudah nampak Islam itu indah, tetapi tiba-tiba apabila Nabi Muhammad ﷺ sudah mengeluarkan arahan berperang, mereka teragak-agak. Sebelum itu Nabi ﷺ sudah hantar 8 sariyyah (serangan kecil) sebelum Perang Badr terjadi lagi.

Namun mereka masih lagi tidak yakin. Oleh kerana itu apabila Nabi ﷺ beri arahan berperang di Badr, ada antara mereka yang rasa berat hati. Ramai dari kalangan golongan Muslim Madinah berasa tidak patut berperang berterusan dengan Musyrikin Mekah. Mereka rasa macam tidak patut kalau serang musuh, kenapa tidak berbincang sahaja?

Kita kena sedar yang mereka yang tidak yakin itu bukanlah munafik, tetapi memang orang Islam yang masih tidak faham lagi. Muslim Mekah sudah tahu apa yang berlaku pada waktu mereka ditindas dulu. Mereka tahu yang Islam itu agama yang aman tetapi masih ada keperluan untuk berperang. Dan masa untuk berperang (jihad) sudah sampai kerana waktu itu mereka sudah ada negara, mereka bukan kumpulan sahaja lagi. Ini penting untuk difahami kerana apabila sudah ada negara, kena ada undang-undang.

Kita telah belajar di dalam Surah-surah Hamim Tujuh yang mengajar kita bahawa hanya Allah ﷻ  sahaja yang layak disembah dan diseru dalam doa. Jadi kita sudah belajar tentang akidah yang utama iaitu tauhid dalam berdoa dan tauhid dalam menyembah. Dan sekarang kita masuk ke dalam Surah Muhammad yang mengajar kita bahawa jikalau ada manusia yang tidak mahu menerima Islam ini, maka kita perlu menyampaikan agama ini dengan perang.

Kerana kita tidak boleh membenarkan mereka yang kufur itu terus menghalang orang lain dari masuk ke dalam syurga Allah ﷻ. Kerana sebenarnya manusia yang degil dan menentang Islam ini tidak ramai. Yang ramai itu adalah mereka yang takut dan mengikut sahaja apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka. Kalau pemimpin negara itu benarkan Islam didakwah, disebar, maka tidak perlu memerangi mereka pun.

Tapi ramai pemimpin kufar memang tidak benarkan Islam didakwah. Maka kerana itu perang terpaksa dijalankan. Dengan cara itu sahaja Islam dapat disebarkan. Kerana itu kalau kita lihat di dalam sejarah Islam, para sahabat yang berjuang dan juga golongan salaf yang berjuang untuk memperkenalkan agama Islam, mereka itu tidak ramai yang mati tetapi hasil dari usaha mereka itu begitu ramai sekali yang telah masuk ke dalam Islam.

Ini adalah kerana selepas dimusnahkan pemimpin dan tentera-tentera mereka, rakyat jelata keseluruhannya mudah untuk masuk Islam. Kerana yang menentang Islam itu dari tersebar hanyalah golongan atasan sahaja. Kerana apabila penghalang dakwah telah tiada, maka rakyat jelata dapat mengenali Islam dan mereka dengan redha masuk Islam.

Jadi kita kena sedar bahawa peperangan itu adalah sebagai pembuka ruang kepada golongan-golongan yang tertindas untuk membebaskan diri mereka. Ia adalah untuk kebaikan sebenarnya. Ia untuk membebaskan mereka yang tertindas oleh pemimpin kufar mereka.

Jadi tidaklah Islam itu memaksa orang lain masuk Islam dengan cara perang. Kita kena tahu bahawa mereka yang masuk Islam itu setelah negara mereka diserang adalah kerana mereka rela untuk masuk Islam setelah mereka mengenali Islam.

Sebelum itu mereka tidak kenal Islam melainkan propaganda yang disampaikan oleh pemimpin mereka sahaja. Mereka tidak dapat maklumat yang benar tentang Islam. Tapi apabila mereka sudah dikenalkan dengan Islam, mereka masuk Islam dengan rela.

Bagaimana kita tahu mereka masuk Islam dengan rela? Kerana apabila tentang Muslim sudah tidak ada lagi, tidak berkuasa lagi, mereka masih tetap kekal dalam agama Islam. Kalaulah mereka dipaksa dulu masuk Islam dan mereka tidak redha, maka tentulah apabila sahaja kerajaan Islam sudah tidak ada, mereka semuanya kembali kepada agama kufar mereka. Tapi tidak terjadi begitu.

Jadi di dalam Surah Muhammad ini mengandungi syarat perang di mana Allah ﷻ menyuruh kita berperang untuk menyebarkan agama dan mengajar cara-cara perang itu. Islam adalah agama yang lengkap, sampaikan berperang pun diajar. Tidak macam agama lain yang tidak ada hal ini. Kerana itu kalau kita belajar Islam ini dengan lengkap, akan timbul sayang dan kagum dengan agama Islam ini. Ia bukan agama ‘biashe-biashe’ sahaja.

Dan di dalam surah ini juga mengandungi kutukan Allah ﷻ kepada mereka yang duduk di dalam negara Islam tetapi tidak suka untuk berperang. Ini adalah golongan yang tidak mahu berjihad ataupun mengeluarkan harta untuk membantu proses jihad. Mereka ini adalah golongan munafik sebenarnya. Maka pemimpin kerajaan Islam dan golongan mukmin yang lain kena berhati-hati dengan mereka kerana mereka ini gunting dalam lipatan.

Maka kena kenal sifat-sifat mereka. Kalau tidak kenal, bagaimana kita nak berhati-hati dengan mereka? Takut kita sangka mereka kawan, tapi mereka lawan sebenarnya.

 

Kaitan dengan surah-surah sebelum dan selepasnya

Kita telah tahu sebelum Surah Muhammad ini adalah Surah-surah Hamim Tujuh tentang tauhid. Dan selepas Surah Muhammad ini kita akan belajar Surah al-Fath di mana Allah ﷻ memberitahu kepada kita: jikalau kita menjalankan jihad dengan benar, Allah ﷻ akan bantu dengan memberi kemenangan kepada umat Islam.

Allah ﷻ memberi janji kemenangan kepada mereka yang mahu berkorban untuk menegakkan agama Islam di atas bumi ini. Kepada mereka yang terkorban di dalam medan perang, mereka dijanjikan dengan syurga dan kepada mereka yang menang, mereka dijanjikan dengan kejayaan membuka kawasan Islam yang baru dan kerana itu mereka akan mendapat pahala yang berpanjangan dari Islamnya orang-orang yang baru itu.

Mereka akan dapat pahala yang banyak kerana memasukkan orang lain ke dalam agama Islam. Itu merupakan saham akhirat yang berpanjangan untuk mereka. Kerana keturunan yang awal masuk Islam juga akan terus berada dalam Islam, bukan?

Dan selepas kejayaan umat Islam membuka dan membina Negara Islam yang semakin luas, maka tentunya negara Islam memerlukan perundangan Islam. Dan ini  diceritakan di dalam surah yang seterusnya iaitu Surah Hujurat. Dalam surah itu Allah ﷻ mengajar cara-cara untuk hidup di dalam negara Islam. Kerana kalau umat Islam tidak mengikut cara-cara yang diajar oleh Allah ﷻ itu, maka negara Islam itu akan menjadi kucar kacir dan rosak.

Maka tiga surah ini, iaitu Surah Muhammad, Surah Fath dan Surah Hujurat adalah tiga surah yang serangkai yang berkait rapat antara satu dengan lainnya. Kena belajar kesemua sekali dan buat kaitan antara ketiga-tiganya.

 

Muqaddimah Surah

Surat ini terbahagi kepada dua bahagian utama:

Ayat 1 – 19 adalah Bahagian Pertama. Terdapat contoh-contoh perbandingan di dalam bahagian pertama ini. Iaitu perbandingan antara golongan kafir dan golongan mukmin. Kerana yang berperang untuk pihak Islam itu hendaklah memastikan yang dirinya benar-benar orang yang beriman. Jangan setakat perasan sahaja.

Tidak boleh ada perangai-perangai Yahudi atau Nasara, atau sifat-sifat orang kafir dalam diri umat Islam. Dan kena pastikan yang busuk itu memang benar-benar orang kafir. Hanya apabila dia seorang Muslim sebenar yang mengamalkan agama Islam dengan benar dan menentang puak yang benar-benar kafir, barulah ada bantuan dari Allah ﷻ dalam perang.

Ayat 20 hingga akhir adalah Bahagian Kedua. Dalam bahagian ini Allah ﷻ memberitahu sifat-sifat munafik yang tidak patut ada dalam pasukan Islam. Khalifah kena pastikan bahawa tidak ramai yang bersifat munafik ini kerana mereka ini akan menjadi golongan musuh dalam selimut.

Mereka ini adalah orang yang dari segi luarannya bersifat Islam tetapi dari amalan dan fikiran mereka itu adalah kufur. Golongan yang sebegini akan menyebabkan tertahannya bantuan Allah ﷻ kerana jikalau akidah mereka rosak, maka amalan mereka juga rosak. Ini penting kerana Allah ﷻ hanya menjanjikan kemenangan kepada golongan mukmin yang sebenar saja.

Jadi untuk mengenali mereka, Allah ﷻ ceritakan tentang sifat-sifat mereka dalam bahagian kedua dari Surah Muhammad ini. Maka kita pun boleh kenal siapakah munafik itu kalau kita belajar.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 6 perenggan makro. Ayat 1 – 3 adalah Perenggan Makro Pertama dan ia berkenaan akidah orang kafir. Allah ﷻ memberi penjelasan siapakah kafir yang benar-benar hitam. Kita kena tahu sifat mereka kerana kita kena pastikan mereka itu memang kafir sebelum mereka diperangi.

 

الَّذينَ كَفَروا وَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ أَضَلَّ أَعمٰلَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Those who disbelieve and avert [people] from the way of Allāh – He will waste their deeds.¹

•i.e., cause them to be lost or make them worthless, earning no reward.

(MELAYU)

Orang-orang yang kafir dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah, Allah mensia-sia perbuatan-perbuatan mereka.

 

الَّذينَ كَفَروا

Orang-orang yang kafir

Orang kafir di dalam Al-Qur’an adalah mereka yang bukan sahaja tidak beriman dengan Islam, tetapi mereka menentang Islam. Bukannya setakat tidak beragama Islam sahaja. Ini adalah kerana ramai sahaja yang tidak beragama Islam, tetapi mereka tidak menentang Islam pun.

Jadi kena bezakan antara Non-Muslim dan Anti-Muslim. Yang kafir itu adalah mereka yang Anti-Muslim. Mereka itulah yang boleh diperangi. Kalau setakat Non-Muslim sahaja, belum boleh diperangi lagi.

 

وَصَدّوا عَن سَبيلِ اللهِ

dan menghalangi (manusia) dari jalan Allah,

Sudahlah dalaman mereka memang sudah kafir, mereka menghalang orang lain pula kepada Islam. Iaitu dengan memberikan propaganda yang mereka ada-adakan untuk menghalang agama Islam dari berkembang dan supaya ramai orang Islam keluar dari Islam atau jauh dari agama. Mereka menyebabkan orang yang terasa hendak masuk ke dalam agama Islam pun susah.

 

أَضَلَّ أَعمٰلَهُم

Allah mensia-siakan amalan-amalan mereka.

Allah ﷻ beritahu bahawa orang yang kufur dan menahan orang lain dari beriman, segala amal baik mereka telah musnah. Kerana orang kafir pun kadang-kadang ada amalan baik mereka juga. Tapi perbuatan baik mereka tidak ada nilai.

Ia juga bermaksud perancangan mereka juga sia-sia. Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang Musyrikin Mekah. Allah hendak memberitahu bahawa apa sahaja yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah itu sudah hancur. Sama ada untuk dunia atau akhirat. Maka perancangan yang mereka buat untuk berlawan dengan kerajaan Islam di Madinah juga sudah hancur sebenarnya.

Rancangan mereka telah gagal sebelum mereka datang pun lagi untuk berperang. Allah sudah tetapkan yang mereka akan gagal akhirnya. Sia-sia sahaja perancangan mereka, maka umat Islam jangan takut dengan Musyrikin Mekah itu.

Maka dari ini kita dapat tahu bahawa amalan baik orang kafir itu tidak mendapat balasan di akhirat dan kalau mereka melakukan amalan baik pun, balasan mereka akan dibalas di dunia lagi. Sebagai contoh, mereka akan mendapat rezeki yang baik, kesihatan yang baik dan sebagainya. Maknanya Allah ﷻ balas siap-siap di dunia lagi, supaya mereka tidak dapat hendak tuntut di akhirat kelak. Ini semakna dengan firman-Nya:

{وَقَدِمْنَا إِلَى مَا عَمِلُوا مِنْ عَمَلٍ فَجَعَلْنَاهُ هَبَاءً مَنْثُورًا}

Dan Kami hadapi amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan. (Al-Furqan: 23)

Kalimah yang digunakan adalah أَعمالَ yang dari segi bahasa bermaksud ‘amal yang baik’, bukan amal sahaja. Kerana kalau kita lihat memang ada kebaikan pun pada orang kafir. Ada yang berakhlak baik dan jasa mereka pun banyak kepada dunia. Ada yang buat penemuan sains yang memanfaatkan seluruh dunia. Ada yang banyak tolong orang dan sebagainya. Malah, kadangkala mereka itu kita nampak lagi baik dari golongan Muslim pun.

Namun, meskipun amalan mereka itu baik, tetapi Allah ﷻ lenyapkan amal kebaikan mereka itu kerana Allah ﷻ menilai apa yang ada dalam hati, bukan dari segi luaran sahaja. Kalau akidah mereka tidak benar, maka tidak berguna lagi segala amalan kebaikan mereka itu. Kerana akidah itu amat penting.

Jadi, ayat ini memberitahu kita tentang siapakah orang kafir itu. Kena pastikan yang mereka itu menentang Islam dan menghalang orang lain dari agama Islam juga. Barulah mereka itu boleh diperangi. Jangan pakai nak bom orang bukan Islam sahaja padahal mereka tidak kisah pun dengan agama Islam. Ramai Non-Muslim sebenarnya begitu, mereka tidak menentang umat Islam pun.

Mereka cuma tidak kenal Islam dengan mendalam, maka mereka tidak masuk Islam. Itu sahaja. Dan ini pun ada salah silap kita juga, tidak berdakwah dengan baik kepada mereka. Jadi mereka tidak nampak keindahan Islam. Bagaimana mereka boleh nampak keindahan Islam kalau mereka lihat umat Islam pun tunggang terbalik?


 

Ayat 2: Sekarang Allah ﷻ jelaskan pula siapakah yang dikira sebagai mukmin. Kena pastikan kita termasuk dalam kriteria ini.

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَءآمَنوا بِما نُزِّلَ عَلىٰ مُحَمَّدٍ وَهُوَ الحَقُّ مِن رَّبِّهِم ۙ كَفَّرَ عَنهُم سَيِّئَاتِهِم وَأَصلَحَ بالَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And those who believe and do righteous deeds and believe in what has been sent down upon Muḥammad – and it is the truth from their Lord – He will remove from them their misdeeds and amend their condition.

(MELAYU)

Dan orang-orang mukmin dan beramal soleh serta beriman kepada segala apa yang diturunkan kepada Muhammad dan itulah yang haq dari Tuhan mereka, Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka dan memperbaiki keadaan mereka.

 

وَالَّذينَ ءآمَنوا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ

Dan orang-orang mukmin dan beramal soleh

Ini adalah orang yang beriman sempurna. Iaitu beriman seperti yang sepatutnya. Dan iman yang sempurna adalah tidak ada syirik di dalam fahamannya. Dan kena belajar mana Tauhid dan mana Syirik. Ini hendaklah dilakukan dengan belajar tafsir keseluruhan Al-Qur’an. Ini mesti dilakukan, tidak boleh tidak.

Dan dia membuktikan imannya itu dengan beramal. Tidaklah mulut sahaja kata beriman, tetapi tiada amalan yang dilakukan.

Beramal pula kena dengan amalan yang soleh. Iaitu amalan yang sunnah – yang ada contoh dari Nabi ﷺ dan para sahabat. Jangan pula amalkan amalan bidaah.

 

وَءآمَنوا بِما نُزِّلَ عَلىٰ مُحَمَّدٍ

serta beriman kepada segala apa yang diturunkan kepada Muhammad

Dan mereka beriman dengan apa yang diturunkan kepada Muhammad ﷺ. Kerana mereka percaya apa yang Nabi ﷺ bawa adalah al-haq, iaitu dari wahyu.

Tetapi apakah yang diturunkan kepada baginda? Salah satunya tentulah Al-Qur’an tetapi bukan itu sahaja. Ia termasuk apa sahaja yang diberikan kepada baginda. Sama ada Al-Qur’an atau Sunnah. Kedua-duanya kena terima dan diimani.

Ini penting kerana ada kalangan munafik yang kononnya mahu terima Al-Qur’an sahaja, tapi mereka tidak berapa hendak pakai hadis dari Nabi ﷺ. Ini adalah kerana mereka berhujah yang baginda itu adalah seorang manusia sahaja dan mungkin ada melakukan kesalahan atau kesilapan. Seolah-olah mereka kata yang Nabi Muhammad ﷺ itu sebagai tukang bawa surat sahaja (posmen). Ini adalah pandangan yang amat salah.

Sekarang kita lihat Allah ﷻ sudah mula sebut tentang Nabi Muhammad ﷺ di dalam ayat ini. Hanya ada 4 kali sahaja nama Nabi Muhammad ﷺ disebut dalam Al-Qur’an. Dan tiga kali dari empat itu, Allah ﷻ gunakan kalimah ‘Rasul’ bersamanya. Iaitu apabila ada kalimah ‘Muhammad’ atau ‘Ahmad’, akan ada ditambah dengan kalimah ‘Rasulullah’.

Ini adalah salah satu dari kemuliaan Nabi Muhammad ﷺ yang diisyaratkan oleh Allah ﷻ. Kerana memang Allah ﷻ bila bercakap dengan Nabi Muhammad ﷺ di dalam Al-Qur’an, ianya berlainan kalau bercakap dengan Nabi-nabi yang lain – Nabi lain disebut nama sahaja – ya Ibrahim, ya Yahya, ya Zakariya dan sebagainya. Akan tetapi, di dalam Al-Qur’an, Allah ﷻ tidak pernah berfirman ya Muhammad – tetapi Allah ﷻ panggil dengan gelaran baginda ﷺ.

Namun dalam ayat ini, Allah ﷻ sebut nama Muhammad dan tidak disebut Rasulullah bersamanya. Agaknya kenapa? Ini adalah kerana kalimah ‘Rasul’ adalah bermaksud ‘pembawa risalah’ iaitu risalah dari Allah ﷻ. Allah ﷻ hendak tolak sesetengah fahaman salah seperti golongan yang munafik itu. Bukankah golongan munafik kata baginda hanya ‘pembawa surat’ sahaja?

Maka Allah ﷻ hendak beritahu apa sahaja yang diberikan kepada baginda adalah haq. Baginda bukan sahaja bawa apa yang Allah ﷻ sampaikan, bukan posmen sahaja, bukan hanya ulang kembali apa yang Allah ﷻ kata. Ini bermaksud apa sahaja arahan dari baginda kena diikuti, walaupun ianya bukan dalam bentuk ayat Al-Qur’an.

Dan arahan yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah arahan perang untuk menyerang kafilah Abu Sufyan iaitu peristiwa sebelum terjadinya Perang Badr. Kerana ada yang sangsi dengan arahan itu dan tidak mahu ikut arahan Nabi Muhammad ﷺ.

 

وَهُوَ الحَقُّ مِن رَّبِّهِم

dalam ia adalah al-haq dari Tuhan mereka,

Dan baginda adalah al-haq dan apa yang baginda katakan adalah al-haq. Dan memang wahyu yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ itu adalah kebenaran. Tetapi wahyu itu bukan hanya dalam bentuk ayat-ayat Al-Qur’an sahaja, namun ia ada dalam bentuk hadis, ada dalam bentuk hikmah.

Maka apabila baginda ﷺ suruh jihad, ianya adalah kebenaran. Itu juga adalah arahan dari Allah ﷻ juga. Jangan pandang ia hanya pandangan Nabi Muhammad ﷺ sahaja.

 

كَفَّرَ عَنهُم سَيِّئَاتِهِم

Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan mereka

Sesiapa yang beriman begitu, beriman seperti yang sepatutnya, ikut arahan Nabi ﷺ (walaupun ia tidak tertulis dalam Al-Qur’an), Allah ﷻ berjanji yang Allah ﷻ akan tutup dosa-dosa mereka. Tentu mereka ada buat dosa juga, bukan? Walaupun mereka itu beriman, tentu ada sedikit sebanyak kesalahan dan dosa yang dilakukan. Tetapi Allah ﷻ beri berita baik yang Dia akan ampunkan dosa-doa mereka.

 

وَأَصلَحَ بالَهُم

dan memperbaiki keadaan mereka.

Dan Allah ﷻ berjanji akan memperbaiki hal mereka dengan diberikan taufik kepada mereka. Maksudnya, Allah ﷻ akan baiki hati mereka supaya mereka layak masuk syurga. Allah ﷻ akan baiki dan bina mereka dari masa ke semasa. Allah ﷻ akan bawa mereka ke arah kebaikan. Ini adalah kerana apabila taat kepada Nabi ﷺ, mereka akan jadi semakin kuat, semakin baik.

Ia juga bermaksud Allah ﷻ akan memberi kepada mereka taufik untuk melakukan amalan baik dan terus melakukan amalan baik. Itulah maksudnya Allah ﷻ akan islahkan (baiki) mereka. Kerana kita tidaklah terus bermula menjadi sempurna, malah memerlukan masa untuk berubah ke arah kebaikan, bukan?

Dan caranya adalah bermula dengan iman yang betul – beriman dengan Allah ﷻ dan beriman dengan Rasulullah ﷺ. Dari situ akan membuka jalan kepada kebenaran dan kebaikan. Lihatlah betapa besarnya iman dan amal soleh. Ia akan membawa kita kepada kebaikan.

Maka perkara-perkara ini kena ada dalam diri umat Islam sebelum boleh berperang. Kena faham perkara ini dulu. Kerana kalau tidak, kalau iman tidak sempurna, Allah ﷻ tidak akan beri bantuan. Kalau arahan Allah ﷻ dan arahan Nabi ﷺ tidak diikuti, memang belum boleh nak berjihad lagi.


 

Ayat 3: Hikmah beza antara kufur dan iman.

ذٰلِكَ بِأَنَّ الَّذينَ كَفَرُوا اتَّبَعُوا البٰطِلَ وَأَنَّ الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّبَعُوا الحَقَّ مِن رَّبِّهِم ۚ كَذٰلِكَ يَضرِبُ اللهُ لِلنّاسِ أَمثٰلَهُم

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is because those who disbelieve follow falsehood, and those who believe follow the truth from their Lord. Thus does Allāh present to the people their comparisons.1

•So that they may know the results of their choice.

(MELAYU)

Yang demikian adalah kerana sesungguhnya orang-orang kafir mengikuti yang bathil dan sesungguhnya orang-orang mukmin mengikuti yang haq dari Tuhan mereka. Demikianlah Allah membuat untuk manusia perbandingan-perbandingan bagi mereka.

 

ذٰلِكَ بِأَنَّ الَّذينَ كَفَرُوا اتَّبَعُوا البٰطِلَ

Yang demikian adalah kerana sesungguhnya orang-orang kafir mengikuti yang bathil

Kalimah ذٰلِكَ merujuk kepada dua ayat sebelum ini yang mana Allah ﷻ telah memberikan perbezaan antara orang kafir dan orang yang beriman. Maka sekarang Allah ﷻ hendak memberitahu apakah hikmah perbezaan itu.

Amalan dan rancangan orang kafir akan dihancurkan kerana mereka ikut kebathilan. Kalimah اتَّبَعُوا di dalam bentuk past tense. Maknanya, mereka telah tunjuk yang mereka telah ikut yang bathil. Ianya telah pun berlaku. Maka tidak ada harapan lagi untuk mereka. Sekarang adalah masa untuk berperang dengan mereka, bukan hendak berbincang lagi dengan mereka.

 

وَأَنَّ الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّبَعُوا الحَقَّ مِن رَّبِّهِم

dan sesungguhnya orang-orang mukmin mengikuti yang haq dari Tuhan mereka.

Sedangkan orang mukmin ikut perintah dan arahan dari Allah ﷻ. Dan begitulah perbandingan orang yang beriman dan orang yang kufur. Manusia dari dulu sampai sekarang ada yang berperangai dalam iman dan ada yang berperangai kufur. Ini telah banyak disebut dalam ayat-ayat Al-Qur’an yang lain. Dan sebagaimana mereka yang dulu dikenakan dengan azab oleh Allah ﷻ kerana kesalahan yang mereka lakukan dalam agama, maka Musyrikin Mekah juga akan kena azab.

Tetapi kali ini, Nabi Muhammad ﷺ yang akan menyerang mereka dan menghancurkan mereka. Allah ﷻ beri tangan baginda yang melakukannya dan kelebihan ini tidak diberikan kepada Nabi-nabi yang lain. Kerana Nabi-nabi lain, umat mereka yang engkar dimusnahkan dengan azab Allah ﷻ seperti angin, tempikan, banjir, gegaran dan sebagainya.

 

كَذٰلِكَ يَضرِبُ اللهُ لِلنّاسِ أَمثٰلَهُم

Demikianlah Allah membuat untuk manusia perbandingan-perbandingan bagi mereka.

Begitulah Allah ﷻ hendak menceritakan kepada manusia keadaan manusia yang berbeza: antara orang beriman dan orang yang kufur. Dan kerana amalan dan iman mereka pun berlainan, maka balasan dari Allah ﷻ juga berlainan.

Begitulah Allah ﷻ sentiasa jelaskan keadaan yang sebenarnya supaya kita dapat bezakan. Asalkan kita mahu belajar dan mengambil pelajaran dari wahyuNya. Kalau kita tidak belajar, kita tidak faham dan tidak sedar kenapa kita kena serang orang-orang kafir itu.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 6 Jun 2020


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Muhammad Ayat 1 – 3 (Kelebihan jihad)”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s