NASIHAT KEPADA RASULULLAH
Isra’ Ayat 78: Ayat jenis Umur Muslihah (anjuran untuk melakukan ibadah). Ia adalah ‘Amalan-amalan yang memberi kesan kepada Islah diri’. Ianya adalah ayat-ayat yang mengajar amalan-amalan yang memberi kesan kepada islah (memperbaiki) diri.
Setelah Allah ﷻ beritahu dengan dugaan-dugaan yang akan dihadapi oleh baginda, apakah yang baginda kena lakukan? Allah ﷻ beritahu dalam ayat ini, untuk meringankan musibah yang baginda hadapi di Mekah itu, penawarnya adalah dengan melakukan ibadah.
Bermula ayat ini sehingga ke ayat 82 adalah Perenggan Makro ke 7. Ia memberitahu kita yang kebatilan akan terhapus kesan daripada hubungan baik dengan Allah ﷻ. Solat juga adalah perisai terbaik daripada musuh.
Penempatan ayat ini pada Surah al-Isra’ sungguh tepat, kerana dalam peristiwa itu Nabi ﷺ dan umat Islam diperintahkan untuk melaksanakan lima kali solat wajib sehari semalam.
أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيلِ وَقُرءَانَ ٱلفَجرِۖ إِنَّ قُرءَانَ ٱلفَجرِ كَانَ مَشہُودًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Establish prayer at the decline of the sun [from its meridian] until the darkness of the night¹ and [also] the Qur’ān [i.e., recitation] of dawn.² Indeed, the recitation of dawn is ever witnessed.
- i.e., the period which includes the thuhr, aṣr, maghrib, and ‘ishā’ prayers.
- i.e., the fajr prayer, in which the recitation of the Qur’ān is prolonged.
(MELAYU)
Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat).
أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيلِ
Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam
Dalam ayat ini, Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk tumpukan perhatian baginda kepada ibadat. Kerana dengan menumpukan diri pada ibadat, akan mengurangkan perhatian baginda kepada kesesakan jiwa yang dialami oleh baginda disebabkan oleh kata-kata dan perbuatan kaum baginda yang menentang baginda (seperti disebut di dalam ayat-ayat sebelum ini). Ini konsep mengalihkan fokus kita.
Ini juga telah disebut di dalam ayat Hijr: 97-98
وَلَقَد نَعلَمُ أَنَّكَ يَضيقُ صَدرُكَ بِما يَقولونَ
Dan Kami sungguh-sungguh mengetahui, bahawa dadamu menjadi sempit disebabkan apa yang mereka ucapkan,
فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَكُن مِّنَ السّٰجِدينَ
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan jadilah kamu di antara orang-orang yang bersujud (solat),
Allah ﷻ suruh sibukkan dengan amal ibadat supaya tidak fikirkan sangat tentang apa yang para penentang kata. Maka ini adalah cara untuk menghilangkan kesedihan sempit dada yang kita alami. Daripada ingat kepada hal mereka, baik ingat kepada Allah ﷻ dengan melakukan amal ibadat, kerana kalau ingat kepada Allah ﷻ, hati akan menjadi tenang. Maka bertasbihlah banyak-banyak kepada Allah ﷻ. Zikir dan tasbih ada di dalam solat, maka kerana itu ada yang menafsirkan ‘tasbih’ ini bermaksud ‘solat’.
Kalau dilihat apabila Allah ﷻ menyebut arahan tentang solat, mesti ditambah dengan kalimah أَقِمِ dan sepertinya. Maksudnya adalah ‘mendirikan’ solat. Allah ﷻ tidak kata: lakukan solat. Ini adalah kerana solat itu merangkumi banyak perbuatan, bukan solat itu sahaja. Contohnya sebelum solat kena membersihkan diri (taharah) dan menjaga tempat solat, jaga aurat dan banyak lagi. Maka untuk kita ‘mendirikan’ solat itu, banyak perkara yang kita kena lakukan dan jaga, yang memerlukan ilmu tentang solat. Maka mesti dipelajari ilmu fiqh solat supaya kita menyerupai cara yang diajar oleh Rasulullah ﷺ.
Solat ini amat penting untuk menghalang kita daripada melakukan dosa seperti disebut dalam Ankabut: 45
إِنَّ الصَّلَوٰةَ تَنهىٰ عَنِ الفَحشاءِ وَالمُنكَرِ
Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar.
Maka dari sini kita tahu bahawa solat yang baik dan khusyuk itu akan mendidik pelakunya untuk meninggalkan amalan-amalan yang salah terutama sekali syirik. Satu lagi pengajaran ayat ini adalah untuk membaiki diri kita. Dalam kita berdakwah kepada manusia lain, jangan lupa pula amal ibadat kita. Itu pun kena dijaga juga. Begitulah Nabi Muhammad ﷺ, semakin banyak baginda berdakwah, semakin banyak baginda beribadat. Jangan kita sangka, semenjak kita sudah berdakwah kita boleh pula kurangkan amalan kita kerana sudah diganti dengan dakwah. Bukan begitu. Sebaliknya lagi banyak dakwah, lagi banyak kita kena beribadat untuk menguatkan diri kita.
Yang penting kita kena ingat kepada Allah ﷻ kerana ia dapat menenangkan hati kita seperti disebut dalam Ra’d: 28
أَلا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
Ingatlah, dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.
Ibadat yang utama adalah solat kerana Nabi ﷺ memang akan tenang dalam solat. Kalau baginda ada masalah, maka baginda akan solat. Maka kita pun kenalah jadikan solat sebagai satu sumber ketenangan kepada kita. Kalau ada masalah, banyakkan solat dan mengadu kepada Allah ﷻ dalam solat itu.
Masalahnya, kita tidak faham konsep solat itu dengan sempurna, sampaikan pada kita, solat itu hanya sebagai satu kewajipan yang kena dilakukan sahaja. Kerana itu ramai yang rasa ‘lega’ selepas mengerjakan solat kerana pada mereka, ia adalah ‘beban’ yang sudah dilepaskan. Mereka tidak merasakannya sebagai penyejuk jiwa, sebaliknya sebagai beban sahaja. Maksudnya ia tidak menjadi sebagai sumber penawar kepada hati kita.
Maka Allah ﷻ telah berikan penyelesaian kepada umat Islam untuk menangani gerakan daripada musuh. Maknanya, penyelesaian itu adalah kembali kepada Allah ﷻ dan serahkan diri kita kepada Allah ﷻ. Hendaklah kita memohon bantuan kepada Allah ﷻ. Ini pun telah diajar kepada kita di dalam Baqarah: 153
يَـٰٓأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا استَعينوا بِالصَّبرِ وَٱلصَّلَوٰةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصّٰبِرينَ
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar
Dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh dirikan solat bermula لِدُلوكِ الشَّمسِ ‘matahari terlepas’. Kalimah دلك apabila dikaitkan dengan matahari maka ia bererti tenggelam atau menguning, atau tergelincir dari tengahnya. Ia bermaksud apabila matahari hendak turun, atau hendak tergelincir. Boleh diterjemah tergelincir dari khatulistiwa (semasa matahari tegak di atas kepada) menunjukkan telah masuk waktu Zuhur. Ia juga merujuk kepada Solat Maghrib ketika matahari terbenam. Ia juga secara tersirat merujuk kepada waktu Asar kerana waktu itu matahari mula hendak menguning.
Solatlah sehingga ke غَسَقِ ٱلَّيلِ kegelapan malam, yang merujuk kepada Solat Isya’. Kalimah غَسَقِ pada mulanya bererti ‘penuh’. Malam dinamai dengan غَسَقِ ٱلَّيلِ kerana pada waktu itu angkasa dipenuhi dengan kegelapannya. Ini menjadi dalil bagi pendapat yang mengatakan Solat Isyra’ hingga ke tengah malam sahaja, bukannya sampai ke pagi. Sebenarnya waktu berakhirnya Solat Isyak ini terdapat tiga pandangan dalam kalangan ulama’:
Pertama; sebelum berakhir sepertiga malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Asy-Syafi’iy رَحِمَهُ اللَّهُ dan Imam Ahmad رَحِمَهُ اللَّهُ serta segolongan ulama’ yang lain.
Kedua; sebelum berakhir separuh malam. Pandangan ini diutarakan oleh Imam Abu Hanifah رَحِمَهُ اللَّهُ.
Ketiga; sehingga terbit fajar sadiq
Perbincangan tentang perkara ini ada disentuh di dalam Ilmu Fiqh bab ‘Waktu-waktu Solat’. Oleh itu sebaiknya kita solatlah Isya’ itu awal, jangan sampai dekat subuh baru hendak solat. Ini kerana pendapat kedualah yang paling kuat.
Potongan ayat ini telah merangkumi Solat Zuhur ke Isya’, oleh itu empat waktu sudah disebut. Mana pula waktu Subuh?
وَقُرءَانَ ٱلفَجرِۖ
dan Qur’an subuh.
Telah disebut solat-solat daripada Zuhur hingga ke Isya’ dan tinggal satu lagi solat, iaitu Solat Subuh. Namun lihat bagaimana Allah ﷻ tidak sebut ‘Solat Fajr’ tetapi Allah ﷻ sebut قُرءَانَ ٱلفَجرِ. Secara literal ia bermaksud bacaan Al-Qur’an di waktu fajar. Akan tetapi tidak ada kewajipan membaca Al-Qur’an di waktu fajar, kecuali waktu solat sahaja. Maka ia merujuk kepada waktu Subuh.
Cara penyebutan tentang waktu solat Subuh ini nampak berlainan sikit daripada kebiasaan. Allah ﷻ tidak terus sebut ‘Waktu Subuh’. Kita boleh lihat isyarat ada kelebihan dan kelainan pada Solat Fajr yang menyebabkan Allah ﷻ asingkan penyebutannya dan cara penyebutannya di sini (dan tidak disebut bersama dengan Solat Zuhur sampai Isya’ di atas).
Kenapa diasingkan penyebutan tentang Solat Subuh ini, tidak dengan solat-solat yang lain? Ini kerana waktu Solat Subuh berdiri sendiri. Kalau solat yang lain, mereka berterusan. Solat Asar bermula sebaik sahaja habis Solat Zuhur, Solat Maghrib bermula sebaik sahaja Solat Asar tamat, dan Solat Isya’ bermula sebaik sahaja habis Solat Maghrib. Namun Solat Subuh tidak bermula sebaik sahaja Solat Isya’ tamat (bagi pendapat yang mengatakan habis waktu Solat Isya’ adalah waktu malam). Waktu Solat Subuh bukanlah sehingga masuknya waktu Zuhur, bukan? Maka anda boleh nampak yang ia berdiri sendiri dan bukannya bertaut dengan waktu-waktu solat yang lain. Kerana itulah Allah ﷻ menyebutnya berasingan.
Antara lain kelainannya adalah kerana ia disaksikan para malaikat, Al-Qur’an juga dibaca secara jahr pada waktu Solat Subuh dan ia menjadi ujian bagi manusia untuk melakukannya sampaikan golongan Munafik akan ponteng solat pada waktu ini.
‘Al-Qur’an’ di dalam ayat ini bermaksud ‘solat’ kerana Al-Qur’an adalah bahagian yang utama di dalam solat (paling kurang wajib dibaca Fatihah). Allah ﷻ sebut Al-Qur’an untuk merujuk kepada Solat Subuh kerana kita sepatutnya membaca Al-Qur’an dengan banyak pada waktu Solat Subuh itu. Kerana itulah sunnah Rasulullah ﷺ memanjangkan Solat Subuh berjemaah dengan para sahabat. Waktu itu baru lepas bangun dari tidur, maka tubuh sudah segar, maka boleh berdiri lama. Lagi pun waktu inilah Nabi Muhammad ﷺ memperdengarkan bacaan Al-Qur’an yang baginda baru dapat kepada para sahabat.
Dalil Rasulullah ﷺ membaca banyak ayat semasa Solat Subuh adalah hadith riwayat daripada Abu Barzah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْرَأُ فِي صَلَاةِ الْغَدَاةِ بِالسِّتِّينَ إِلَى الْمِائَةِ
”Sesungguhnya Rasulullah ﷺ membaca di dalam solat Subuh sebanyak enam puluh ke seratus ayat.”
(Riwayat Al-Nasaie (939))
Sheikh Syu’aib Al-Arnaut رَحِمَهُ اللَّهُ menyatakan bahawa sanad hadith ini adalah sanad yang sahih.
Sekali lagi kalimah ٱلقُرءَانِ disebut. Di dalam surah ini 10 kali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut.
1. Pertamanya di dalam ayat ke 9 iaitu Allah ﷻ memberitahu yang ٱلقُرءَانِ ini menunjuk kepada jalan yang lebih lurus.
2. Kemudian Allah ﷻ menyebut ٱلقُرءَانِ di dalam ayat 41 dengan menyebut ia menggunakan kaedah تصريف supaya manusia senang memahami ajaran yang disampaikan.
3. Di dalam ayat 45 kita diberitahu lagi satu maklumat tentang ٱلقُرءَانِ. Ia menjadi pembimbing kepada orang yang percaya adanya akhirat, akan tetapi kepada orang yang tidak percaya akhirat, ia akan menjadi dinding yang menghalang.
4. Di dalam ayat 46 kita diberitahu yang orang musyrik melarikan diri apabila Al-Qur’an hanya menyebut Allah ﷻ sahaja Tuhan yang Esa.
5. Di dalam ayat 60 disebut satu ancaman di dalam neraka iaitu Zaqqum tetapi Musyrikin Mekah memperolok-olokkannya. Maknanya mereka memperolok dan mengejek Al-Qur’an.
6. Di dalam ayat ini kita diberitahu yang para malaikat hadir untuk mendengar bacaan Al-Qur’an di waktu Solat Subuh.
إِنَّ قُرءَانَ ٱلفَجرِ كَانَ مَشہُودًا
Sesungguhnya Qur’an subuh itu disaksikan
Bacaan Al-Qur’an sewaktu Solat Fajar itu disaksikan oleh malaikat yang menjaga manusia dari malam dan malaikat yang baru turun untuk mengambil alih tugas kawalan kepada manusia. Waktu subuh itu adalah waktu pertukaran ‘syif’ antara dua kumpulan malaikat itu.
Maka oleh kerana itu lebih ramai malaikat yang menyaksikan pembacaan Al-Qur’an sewaktu Solat Subuh itu. Antara dalil yang menjadi dalil bagi perkara ini adalah:
عَنِ الزُّهْرِيِّ، عَنْ أَبِي سَلَمَةَ -وَسَعِيدِ بْنِ الْمُسَيَّبِ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “فَضْلُ صَلَاةِ الْجَمِيعِ عَلَى صَلَاةِ الْوَاحِدِ خَمْسٌ وَعِشْرُونَ دَرَجَةً، وَتَجْتَمِعُ مَلَائِكَةُ اللَّيْلِ وَمَلَائِكَةُ النَّهَارِ فِي صَلَاةِ الْفَجْرِ”. وَيَقُولُ أَبُو هُرَيْرَةَ: اقْرَءُوا إِنْ شِئْتُمْ: {وَقُرْآنَ الْفَجْرِ إِنَّ قُرْآنَ الْفَجْرِ كَانَ مَشْهُودًا}
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Nabi ﷺ telah bersabda: Keutamaan solat berjemaah atas solat sendirian ialah dua puluh lima darjat, dan malaikat yang bertugas di malam hari dan yang bertugas di siang hari berkumpul dalam solat Subuh. Kemudian Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata, “Bacalah jika kalian suka membaca¬nya,” iaitu firman Allah ﷻ: dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat). (Al-Isra: 78)
(Sahih Bukhari (4348))
Alangkah baiknya jikalau di waktu para malaikat berkumpul tukar syif itu kita sedangkan mendirikan solat? Tidak sukakah kita jikalau para malaikat melaporkan kepada Allah ﷻ yang kita sedangkan mendirikan solat seperti di dalam hadith di bawah?
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلَائِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلَائِكَةٌ بِالنَّهَار،ِ وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلَاةِ الْعَصْرِ وَصَلَاةِ الْفَجْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ فَيَسْأَلُهُمْ وَهُوَ أَعْلَمُ بِكُمْ فَيَقُولُ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي؟ فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّون (رواه البخاري)
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahwa Rasulullah ﷺ bersabda: “Di tengah-tengah kalian ada Malaikat yang silih berganti bertugas mengiringi kalian di waktu malam dan siang hari. Mereka bertemu ketika waktu slat ‘Asar dan waktu solat Subuh. Malaikat yang mengawasi kalian di malam hari naik ke langit, lantas Allah bertanya mereka, ‘bagaimana kalian tinggalkan hamba-hamba-Ku? Para Malaikat menjawab, ‘Kami tinggalkan mereka sedang mereka tengah mendirikan solat, dan kami datangi mereka sedang mereka mendirikan solat’.”
(Sahih Bukhari No. 373)
Allah ﷻ juga hendak memberitahu bahawa solat itu disaksikan oleh-Nya walaupun manusia tidak ramai yang saksikan (kerana tidak ramai yang Solat Subuh).
Oleh itu, kesimpulannya ayat ini menyentuh keseluruhan solat lima waktu walaupun nampak seolah-olah hanya menyebut tiga waktu sahaja. Kerana ayat لِدُلوكِ الشَّمسِ إِلىٰ غَسَقِ اللَّيلِ bukanlah لِدُلوكِ الشَّمسِ وغَسَقِ اللَّيلِ. Kalimah الى itu bermaksud ‘hingga’ iaitu dari Zuhur hingga ke Isya’. Maka ia termasuk dengan waktu Zuhur, Asar, Maghrib sampaikan Isya’ dan kemudian ditambah dengan waktu subuh.
Maka lengkaplah lima waktu solat disebut dalam ayat ini. Akan tetapi ada golongan jahil yang mengatakan solat lima waktu tidak disebut di dalam Al-Qur’an. Ini adalah kerana mereka jahil tentang tafsir Al-Qur’an.
Isra’ Ayat 79: Tadi telah disebut solat fardhu. Sekarang disebut solat lain pula, iaitu Solat Tahajjud.
وَمِنَ ٱلَّيلِ فَتَهَجَّد بِهِۦ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحمُودًا
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And from [part of] the night, pray¹ with it [i.e., recitation of the Qur’ān] as additional [worship] for you; it is expected that² your Lord will resurrect you to a praised station.³
- Literally, “arise from sleep for prayer.”
- This is a promise from Allāh (subḥānahu wa ta‘ālā) to Prophet Muḥammad (ṣ).
- The position of intercession by permission of Allāh and the highest degree in Paradise.
(MELAYU)
Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.
وَمِنَ ٱلَّيلِ فَتَهَجَّد بِهِۦ نَافِلَةً لَّكَ
Dan dari sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu;
Nabi Muhammad ﷺ disuruh untuk mendirikan Solat Tahajjud pada malam hari. Ini merujuk kepada solat malam dan bacaan Al-Qur’an yang selain daripada Solat Fardhu sebagai tambahan. Ia bukan solat sahaja kerana kalimah به (dengannya) adalah dengan Al-Qur’an kerana ayat sebelum ini tentang Al-Qur’an yang disaksikan. Namun ia juga bermaksud solat kerana Al-Qur’an di dalam ayat sebelum ini telah ditafsirkan sebagai solat.
Makna tahajjud ialah solat yang dikerjakan sesudah tidur. Demikianlah menurut pendapat Alqamah, Al-Aswad, Ibrahim An-Nakha’i, dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang. Kalau tidak tidur dahulu, itu dinamakan Qiyamullail (mendirikan malam). Cara mendirikan sama sahaja, cuma bergantung sudah tidur atau belum.
Kalimah تَهَجَّد daripada katadasar ه ج د yang bermaksud berjaga malam, terus berjaga tidak tidur, bangun/bangkit daripada tidur. Daripada katadasar ini menjadi هجود (hujuud) yang bermaksud tidur dan juga bangun daripada tidur. Daripada ini kalimah تَهَجَّد bermaksud perbuatan bangun daripada tidur. Dari segi syariat, ia bermaksud bangun untuk mengerjakan solat malam. Bagi al-Biqa‘I تَهَجَّد bermaksud tinggalkan tidur untuk melakukan solat.
Ada juga pendapat yang mengatakan tidak ada syarat تَهَجَّد itu mesti dilakukan setelah tidur sekejap. Maknanya kalau tidak tidur pun dikira تَهَجَّد juga. Kerana syarat ini tidak pernah disebut dengan jelas. Cuma menjadi kebiasaan Rasulullah ﷺ dan para sahabat untuk تَهَجَّد selepas tidur sekejap. Maka kita boleh katakan ini adalah cara yang Sunnah dan terbaik. Tambahan pula kalau bangun di hening hari (waktu semua orang sedang nyenyak tidur) ia lebih khusyuk dan lebih berkesan.
Menjadi perbincangan juga kalimat نَافِلَةً لَّكَ (sebagai suatu ibadah tambahan bagimu). Kalimah نَافِلَةً daripada katadasar ن ف ل yang bermaksud memberi seseorang hadiah; memberi atau melakukan lebih dan melebihi apa yang diharapkan; hadir secara sukarela; rampasan atau keuntungan; anugerah ilahi tanpa perlu bekerja untuknya; harta rampasan perang; ; cucu. Daripada kalimah ini menjadi Solat Nafilah yang bermaksud tambahan dan dalam konteks sembahyang ialah sembahyang tambahan daripada apa yang difardhukan oleh Allah ﷻ.
Menurut suatu pendapat, makna yang dimaksudkan ialah Nabi Muhammad ﷺ secara khusus wajib melakukan tahajjud itu. Maka ada ulama yang menganggapnya sebagai suatu kewajipan khusus bagi Nabi ﷺ sendiri, tidak bagi umat¬nya. Kepada umat Nabi Muhammad ﷺ, ia adalah sunat. Demikianlah menurut pendapat yang diriwayatkan oleh Al-Aufi, daripada Ibnu Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا.
Inilah yang dikatakan oleh salah satu pendapat di antara dua pendapat yang ada dalam kalangan ulama, juga menurut salah satu pendapat Imam Syafi’i رَحِمَهُ اللَّهُ, dan pendapat inilah yang dipilih oleh Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ.
Akan tetapi adakah نَافِلَةً itu sebagai tambahan bonus atau sebagai tambahan kepada kewajipan? Maknanya solat fardhu yang 5 itu memang sudah wajib, kemudian ditambah lagi dengan Solat Tahajjud. Kerana itu ada juga pendapat yang mengatakan oleh kerana ia menjadi tambahan kewajipan kepada Nabi Muhammad ﷺ, maka ia juga menjadi kewajipan bagi kita.
Solat malam ini sebenarnya pernah menjadi wajib kepada umat Islam pada awal Islam. Iaitu sebelum Solat 5 waktu diwajibkan. Ini seperti disebut di dalam Surah Muzzammil. Kemudian apabila Soat 5 waktu telah disyariatkan (selepas Isra’ Mi’raj) maka hukum Solat Tahajjud menjadi sunat. Maknanya hukum wajib itu telah mansukh.
Namun benarkah ia tetap kekal wajib kepada Rasulullah ﷺ? Ada pendapat yang mengatakan ia juga telah mansukh kepada baginda juga. Kerana itu kalimah yang digunakan adalah لك (bagi engkau) dan bukannya عليك (ke atas engkau). Kerana kalau ia wajib, maka kalimah عليك lebih sesuai.
Akan tetapi kenapa sebut نَافِلَةً لَّكَ (sebagai suatu ibadah tambahan bagimu) juga dan khitab (ditujukan) kepada Nabi Muhammad ﷺ (لك)? Kerana bagi umat Islam, amalan nawafil (jamak kepada nafilah) adalah sebagai kafarah kepada dosa dan sebagai penampung kepada ibadah yang ada kekurangan (seperti solat yang tidak khusyuk contohnya). Ini seperti disebut di dalam hadith berikut,
عَنْ حُرَيْثِ بْنِ قَبِيصَةَ قَالَ قَدِمْتُ الْمَدِينَةَ فَقُلْتُ اللَّهُمَّ يَسِّرْ لِي جَلِيسًا صَالِحًا قَالَ فَجَلَسْتُ إِلَى أَبِي هُرَيْرَةَ فَقُلْتُ إِنِّي سَأَلْتُ اللَّهَ أَنْ يَرْزُقَنِي جَلِيسًا صَالِحًا فَحَدِّثْنِي بِحَدِيثٍ سَمِعْتَهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يَنْفَعَنِي بِهِ فَقَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنْ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ
Huraits bin Qabishah berkata; “Lalu aku berteman dengan [Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ], aku kemudian berkata kepadanya, “Sesungguhnya aku telah meminta kepada Allah agar memberiku rezeki seorang teman yang soleh, maka bacakanlah kepadaku hadith yang pernah engkau dengar daripada Rasulullah ﷺ, semoga dengannya Allah memberiku manfaat.” Maka Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ pun berkata; “Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Pada hari kiamat pertama kali yang akan Allah hisab atas amalan seorang hamba adalah solatnya, jika solatnya baik maka dia akan beruntung dan selamat, jika solatnya rosak maka dia akan rugi dan tidak beruntung. Jika pada amalan fardhunya ada yang kurang maka Rabb عَزَّ وَجَلَّ berfirman: “Periksalah, apakah hamba-Ku mempunyai ibadah sunnah yang boleh menyempurnakan ibadah wajibnya yang kurang?” Lalu setiap amal akan diperlakukan seperti itu.”
(Sunan Tirmidzi (378))
Status: Sahih
Akan tetapi bagi Rasulullah ﷺ yang ma’sum (terpelihara daripada melakukan dosa), baginda tidak memerlukannya. Maka amalan sunat bagi baginda memang benar-benar sebagai penambah pahala, bukannya sebagai kafarah dosa dan untuk membaiki amalan yang rosak.
Amalan solat sunat yang paling utama di sisi Islam adalah solat Tahajjud. Ini sebagaimana sabda Nabi ﷺ:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ. وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ
Puasa yang paling utama setelah puasa Ramadan adalah puasa (sunat) pada bulan Allah iaitu bulan Muharram. Sedangkan solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam (Tahajjud).
(Hadith Riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Shiyam, No. 1163)
Malah dimakruhkan (dibenci) meninggalkan solat tahajud bagi yang sudah kebiasaan bangun malam.
Nabi ﷺ pernah mengatakan kepada ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al-‘Ash رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا,
يَا عَبْدَ اللَّهِ ، لاَ تَكُنْ مِثْلَ فُلاَنٍ ، كَانَ يَقُومُ اللَّيْلَ فَتَرَكَ قِيَامَ اللَّيْلِ
“Wahai ‘Abdullah, janganlah engkau seperti si fulan. Dahulu dia rajin mengerjakan solat malam, namun sekarang dia meninggalkannya.”
(Sahih Bukhari, no. 1152)
Hukum mengerjakan Solat Tahajjud adalah Sunnat Muakkadah iaitu sunat yang diberatkan. Ia lebih tinggi daripada sunat biasa kerana Rasulullah ﷺ tidak pernah meninggalkannya. Menjaganya adalah antara ciri-ciri orang bertaqwa seperti disebut di dalam Dzariyat: 15-18
إِنَّ المُتَّقينَ في جَنّاتٍ وَعُيونٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa itu berada dalam taman-taman (syurga) dan mata air-mata air,
آخِذينَ ما آتاهُم رَبُّهُم إِنَّهُم كانوا قَبلَ ذٰلِكَ مُحسِنينَ
sambil menerima segala pemberian Rabb mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat kebaikan.
Kemudian Allah ﷻ sebut kenapa mereka diberikan dengan nikmat yang amat hebat itu:
كانوا قَليلًا مِنَ اللَّيلِ ما يَهجَعونَ
Di dunia mereka sedikit sekali tidur di waktu malam.
وَبِالأَسحارِ هُم يَستَغفِرونَ
Dan selalu memohonkan ampunan diwaktu pagi sebelum fajar.
Disebut pula di dalam Sajdah: 16
تَتَجافىٰ جُنوبُهُم عَنِ المَضاجِعِ يَدعونَ رَبَّهُم خَوفًا وَطَمَعًا وَمِمّا رَزَقناهُم يُنفِقونَ
Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada Rabbnya dengan penuh rasa takut dan harap, serta mereka menafkahkan apa-apa rezeki yang Kami berikan.
Waktu yang paling afdal (utama) ialah pada sepertiga akhir malam.
Daripada Abdullah bin Amr رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا sesungguhnya Nabi ﷺ bersabda,
أحب الصلاة إلى الله صلاة داود عليه السلام ، وأحب الصيام إلى الله صيام داود ، وكان ينام نصف الليل ، ويقوم ثلثه ، وينام سدسه ، ويصوم يوماً ويفطر يوماً (متفق عليه)
“Solat yang paling dicintai oleh Allah adalah solat Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, puasa yang paling dicintai Allah adalah puasa Daud. Dia tidur setengah malamnya, lalu qiyamullail (menunaikan solat) sepertiganya, kemudian tidur lagi seperenamnya. Dan (beliau) puasa sehari serta berbuka sehari.”
(Sahih Bukhari No. 1063)
عَسَىٰٓ أَن يَبعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحمُودًا
mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.
Allah ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ melakukan Solat Tahajjud itu supaya baginda mendapat kedudukan yang tinggi di akhirat kelak. Walaupun Allah ﷻ kata عَسىٰ (dari segi bahasa bermaksud mudah-mudahan) tetapi sudah pasti kedudukan tinggi itu akan diberikan kepada baginda di akhirat kelak. Harapan tidak bersangkut dengan Allah ﷻ kerana Allah ﷻ boleh sahaja buat. Kerana harapan mengandungi maksud ketidakpastian sedangkan tidak ada sesuatu pun yang tidak pasti bagi Allah ﷻ.
Istilah الْمَقَامَ الْمَحْمُودَ ini adalah disebut di dalam hadith. Memang ia adalah kedudukan yang akan diberikan kepada Nabi Muhammad ﷺ,
عَنْ آدَمَ بْنِ عَلِيٍّ قَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ إِنَّ النَّاسَ يَصِيرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ جُثًا كُلُّ أُمَّةٍ تَتْبَعُ نَبِيَّهَا يَقُولُونَ يَا فُلَانُ اشْفَعْ يَا فُلَانُ اشْفَعْ حَتَّى تَنْتَهِيَ الشَّفَاعَةُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَلِكَ يَوْمَ يَبْعَثُهُ اللَّهُ الْمَقَامَ الْمَحْمُودَ
Daripada [Adam bin’Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] dia berkata; Aku mendengar [Ibnu ‘Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] berkata; Sesungguhnya pada hari kiamat kelak manusia akan menjadi bangkai. Setiap umat akan mengikut Nabinya hingga mereka saling berkata; ‘Ya Fulan, berilah aku syafa’at, ya fulan, berilah aku syafa’at.’ Sampai akhirnya mereka mendatangi Nabi ﷺ. Itulah hari ketika Allah membangkitkan Nabi ﷺ pada kedudukan yang terpuji.
(Sahih Bukhari (4349))
Ibnu Jarir رَحِمَهُ اللَّهُ mengatakan, kebanyakan ulama ahli takwil mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan kedudukan yang terpuji ini ialah kedudukan yang diperoleh Nabi ﷺ pada hari kiamat nanti, iaitu memberikan syafaat bagi umat manusia, agar Tuhan membebaskan mereka daripada kesengsaraan hari itu. Ia dipanggil al-syafa’ah al-kubra (Syafa’at terbesar). Ia berlaku di Mahsyar apabila sudah lama sangat manusia berkumpul dan semua bani Adam meminta syafaat kepada para Nabi dan semuanya menolak, kecuali Nabi Muhammad ﷺ sahaja.
Di hari Kiamat nanti, setelah kebangkitan manusia dari kubur dan ketika mereka berada di Padang Mahsyar, sengatan panas matahari sangat perih dirasakan lebih-lebih bagi yang bergelumang dengan dosa. Keringat manusia bercucuran sesuai dengan dosa masing-masing, sampai-sampai ada di antara mereka yang keringatnya hampir menenggelamkan badannya sendiri. Demikian bunyi suatu riwayat. Rasa takut menyelimuti jiwa setiap orang. Pada situasi yang sangat mencengkam di Mahsyar itulah, Allah ﷻ menunjukkan secara nyata betapa tinggi kedudukan Nabi Muhammad ﷺ di sisi-Nya. Ketika itu-sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, manusia saling pandang-memandang, mencari siapa gerangan yang dapat diminta untuk bermohon kepada Allah ﷻ agar situasi yang mencengkam dan sengatan matahari itu dapat dielakkan. Mereka pergi kepada Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa dan ‘Isa عليهم السلام tetapi semua para Nabi yang mulia itu menolak dan menyebut dosa masing-masing sambil berkata: “Nafsi, nafsi” (diriku sendiri, diriku sendiri), kecuali Nabi ‘Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang juga menolak tanpa menyebut dosa. Akhirnya mereka menuju ke Nabi Muhammad ﷺ. Baginda menerima permohonan mereka dan bermohon – setelah menyampaikan pujian kepada Allah ﷻ pujian yang belum pernah terucapkan sebelumnya. Allah ﷻ memerintahkan baginda mengangkat kepala sambil bermohon, maka baginda berkata singkat: “Tuhanku, umatku-umatku.”
Inilah maksud Nabi Muhammad ﷺ dengan hadith baginda,
لِكُلِّ نَبِىٍّ دَعْـوَةٌ مُسْـتَجَابَةٌ فَتَعَجَّـلَ كُلُّ نَبِىٍّ دَعْوَتَـهُ وَإِنِّى اخْتَبَأْتُ دَعْـوَتِى شَــفَاعَةً لأُمَّـتِى يَوْمَ الْقِيَـامَـةِ فَهِىَ نَائـِلَةٌ إِنْ شَـاءَ اللَّهُ مَنْ مَـاتَ مِنْ أُمَّـتِى لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا
“Setiap Nabi mempunyai doa yang mustajabah, maka setiap Nabi doanya dikabulkan segera, sedangkan aku menyimpan doaku untuk memberikan syafa’at kepada umatku di hari kiamat. Syafaat itu insya Allah diperoleh umatku yang meninggal tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Menurut Ibnu Kathir رَحِمَهُ اللَّهُ, sesungguhnya Rasulullah ﷺ mempunyai beberapa ke¬muliaan di hari kiamat yang tidak ada seorang pun yang menandinginya. Sebagaimana baginda pun memiliki beberapa keutamaan yang tiada seorang pun dapat menyainginya, iaitu seperti berikut:
1. Nabi ﷺ adalah orang yang mula-mula dibangkitkan dari kuburnya.
2. Nabi ﷺ dibangkitkan dalam keadaan berkenderaan menuju Padang Mahsyar.
3. Nabi ﷺ adalah pemegang panji yang bernaung di bawahnya Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan nabi-nabi lain sesudahnya, semuanya berada di ba¬wah panjinya.
4. Nabi ﷺ mempunyai Telaga (Kautsar) yang di tempat perhentian itu tiada sesuatu pun yang lebih banyak pendatangnya daripada telaga yang dimilikinya.
5. Nabi ﷺ pemegang syafa’atul ‘uzma di sisi Allah ﷻ agar Allah ﷻ mahu datang untuk memutuskan peradilan di antara makhluk-Nya. Yang demikian itu terjadi sesudah semua manusia meminta kepada Adam, Nuh, Ibrahim, Musa عليهم السلام, lalu Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ; mereka masing-masing mengatakan, “Saya bukanlah orangnya.”Akhirnya mereka datang kepada Nabi Muhammad ﷺ Maka Nabi ﷺ bersabda: Akulah orangnya, akulah orangnya.
6. Keistimewaan lainnya yang dimiliki oleh Nabi ﷺ ialah memberikan syafaat kepada sejumlah kaum, padahal kaum-kaum itu telah diperintahkan untuk diseret ke dalam neraka, akhirnya mereka diselamatkan darinya.
7. Umat Nabi ﷺ adalah umat yang paling pertama menerima keputusan daripada Allah ﷻ dalam peradilan-Nya di antara sesama mereka. Mereka adalah umat yang mula-mula melewati sirat bersama nabinya.
8. Nabi ﷺ adalah orang yang mula-mula diberi syafaat oleh Allah ﷻ untuk masuk ke dalam syurga, seperti yang disebutkan di dalam hadith sahih Muslim. Di dalam hadith sur (sangkakala) disebutkan bahawa semua orang mukmin tidak dapat masuk syurga kecuali dengan syafaat daripada Nabi ﷺ. Nabi ﷺ adalah orang yang mula-mula masuk syurga bersama umatnya sebelum umat-umat lainnya.
9. Nabi ﷺ memberikan syafaat untuk meninggikan darjat sejum¬lah kaum yang amal perbuatan mereka tidak dapat mencapainya.
10. Nabi ﷺ adalah pemilik wasilah yang merupakan kedudukan tertinggi di syurga. Kedudukan ini tidak layak disandang kecuali hanya oleh Nabi ﷺ sendiri.
11. Apabila Allah ﷻ telah memberikan izin untuk memberi syafaat kepada orang-orang yang durhaka, maka barulah para malaikat, para nabi, dan kaum mukmin memberikan syafaatnya masing-masing. Nabi ﷺ memberikan syafaatnya kepada sejumlah besar makhluk yang tiada seorang pun mengetahui bilangannya kecuali hanya Allah ﷻ. Tiada seorang pun yang dapat menyamainya dan setara dengan baginda dalam hal memberi syafaat.
Maka hendaklah kita mendoakan kedudukan ini bagi baginda Rasulullah ﷺ. Ada doa yang jika kita baca, dijanjikan syafaat daripada Rasulullah ﷺ nanti di Hari Akhirat.
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Daripada [Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa yang membaca ketika mendengar azan; “ALLAHUMMA ROBA HADZIHID DA’WAATIT TAAMMAH WAS SHALATIL QOOIMAH ATI MUHAMMADANIL WASILATA WAL FADHIILAH WAB’ATSHU MAQOOMAM MAHMUDANIL LADZI WA’ADTAHU” (Ya Allah pemilik panggilan yang sempurna ini dan solat yang didirikan berilah Muhammad wasilah dan keutamaan dan bangkitkanlah dia pada tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan padanya) melainkan dia akan mendapatkan syafa’atku pada hari kiamat.”
(Sahih Bukhari (4350))
Maka inilah cara untuk mendapatkan syafaat daripada baginda. Bukannya dengan menyeru-nyeru dan memanggil Rasulullah ﷺ meminta syafa’at daripada baginda seperti yang dilakukan oleh golongan Habib dan pengikut mereka yang bodoh di stadium dan di tempat-tempat keramaian. Ia kerja bodoh kerana Rasulullah ﷺ tidak dengar pun apa yang mereka minta kerana baginda sudah lama wafat dan berada di alam lain.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.
Kemaskini: 4 Mei 2024
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Jalalain
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

