Tafsir Surah al-Isra’ Ayat 38 – 42 (Hujah menolak fahaman syirik)

KEPATUHAN KEPADA PERINTAH ALLAH ﷻ

Isra’ Ayat 38: Khulasah (kesimpulan) daripada ayat-ayat yang telah disampaikan sebelum ini.

كُلُّ ذٰلِكَ كَانَ سَيِّئُهُ ۥ عِندَ رَبِّكَ مَكرُوهًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

All that [i.e., the aforementioned] – its evil is ever, in the sight of your Lord, detested.

(MELAYU)

Semua itu kejahatannya amat dibenci di sisi Tuhanmu.

 

Semua yang disebut di atas tadi adalah kesalahan yang Allah ﷻ tidak suka dan suruhan yang wajib kita buat semampu kita. Telah banyak disebut hukum-hukum daripada Allah ﷻ sebelum ini. Ada 25 perkara semua sekali yang disenaraikan ulama’:

1) Jangan menjadikan bersama Allah ﷻ tuhan yang lain.
2) Dan Tuhanmu telah menetapkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia. Hal ini mengandungi dua tuntunan, pertama mengesakan Allah ﷻ dan kedua melarang mempersekutukan-Nya.
3) Dan hendaklah (kamu berbakti) kepada ibu bapa.
4) Janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah”.
5) Janganlah kamu membentak keduanya.
6) Ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang mulia.
7) Rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua.
8) Ucapkanlah (berdoalah): “Tuhanku! kasihilah keduanya.
9) Berikanlah kepada keluarga yang dekat akan haknya.
10) Juga berikan kepada orang miskin.
11) Dan kepada yang dalam perjalanan.
12) Jangan membazir.
13) Katakanlah ucapan yang mudah kalau tidak dapat membantu.
14) Jangan jadikan tanganmu terbelenggu.
15) Jangan terlalu mengulurkan bantuan sampai penat atau habis.
16) Jangan membunuh anak-anak kamu.
17) Jangan mendekati zina.
18) Jangan membunuh jiwa.
19) Jangan melampaui batas dalam membunuh.
20) Janganlah kamu mendekati (makan) harta anak yatim.
21) Sempurnakan janji.
22) Sempurnakan timbangan.
23) Timbanglah dengan adil.
24) Jangan mengikuti apa yang tiada bagimu pengetahuan.
25) Jangan berjalan di bumi dengan sombong.

Semua itu dari dulu lagi Allah ﷻ tidak suka perkara itu. Apabila digunakan kalimah مَكروهًا (makruh – tidak disukai) dalam Al-Qur’an, ia bermaksud dosa besar. Jangan samakan ‘makruh’ dalam Al-Qur’an dan ‘makruh’ dalam hukum feqah. Ini kerana Allah ﷻ kata bunuh itu juga ‘makruh’. Maka takkan setakat Allah ﷻ ‘tidak suka’ sahaja, bukan?


 

Isra’ Ayat 39:  I’adah (pengulangan) kepada Dakwa Tauhid. Ia adalah ulangan arahan yang telah disebut di dalam ayat 22 sebelum ini.

Diriwayatkan oleh Ibn Jarir daripada Ibn Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا bahawa beliau berkata: “Seluruh isi at-Taurat diperoleh 15 ayat daripada surah Bani Israil.

ذٰلِكَ مِمَّآ أَوحَىٰٓ إِلَيكَ رَبُّكَ مِنَ ٱلحِكمَةِ‌ۗ وَلَا تَجعَل مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ فَتُلقَىٰ فِى جَهَنَّمَ مَلُومًا مَّدحُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

That is from what your Lord has revealed to you, [O Muḥammad], of wisdom. And, [O mankind], do not make [as equal] with Allāh another deity, lest you be thrown into Hell, blamed and banished.

(MELAYU)

Itulah sebahagian hikmah yang diwahyukan Tuhanmu kepadamu. Dan janganlah kamu mengadakan tuhan yang lain di samping Allah, yang menyebabkan kamu dilemparkan ke dalam neraka dalam keadaan tercela lagi dijauhkan (dari rahmat Allah).

 

ذٰلِكَ مِمّا أَوحىٰ إِلَيكَ رَبُّكَ مِنَ الحِكمَةِ

Itulah sebahagian hikmah yang diwahyukan Tuhanmu kepadamu.

Semua hukum yang telah disampaikan adalah daripada hikmah kebijaksanaan yang Allah ﷻ berikan kepada kita. Ianya indah dan hebat kerana ia daripada Allah ﷻ yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Ia ada kelebihan untuk menjaga keharmonian kehidupan kita semasa kita di dunia ini. Apabila ia tidak dijaga, maka masyarakat menjadi rosak, seperti yang kita boleh lihat pada zaman sekarang.

Ada kelebihan-kelebihan yang kita dapat fikirkan daripada undang-undang Allah ﷻ, tetapi ada banyak lagi yang akal kita tidak dapat fikirkan. Kalau kita ikut hukum dan arahan itu, maka Allah ﷻ akan beri rahmat kepada kita.

Maka Allah ﷻ telah berfirman, “Semua yang Kami perintahkan kepadamu, Muhammad, berupa akhlak-akhlak yang baik; dan semua yang Kami larang kamu mengerjakannya, berupa sifat-sifat yang tercela yang Kami wahyukan kepadamu, hendaklah kamu anjurkan kepada manusia.

 

وَلا تَجعَل مَعَ اللهِ إِلٰهًا آخَرَ

Dan janganlah kamu mengadakan ilah yang lain di samping Allah,

Kemudian Allah ﷻ ulang perkara penting dalam agama, iaitu tentang tauhid. Iaitu jangan buat syirik. Ini adalah perkara yang amat penting. Kerana itu selepas Allah ﷻ sebut tentang hukum-hukum, Allah ﷻ ingatkan semula perkara yang amat penting ini – jangan buat syirik sekali lagi. Kerana kalau buat syirik, akan menyebabkan segala amalan dan segala tindakan baik (termasuk menjaga hukum yang Allah ﷻ telah tetapkan itu) menjadi sia-sia sahaja.

Akan tetapi ramai dalam kalangan umat Islam pun yang masih tidak faham apakah tauhid dan apakah syirik. Mereka sangka ‘ilah’ itu adalah mengadakan ‘tuhan’ lain seperti Allah ﷻ. Memang itu jarang dilakukan manusia. Namun yang selalu dilakukan manusia adalah menjadikan ‘ilah’ selain Allah ﷻ.

Ilah ini boleh jadi daripada berbagai-bagai keadaan seperti Nabi, jin, wali dan malaikat malah nafsu dan lain-lain lagi. Maka kena belajar apakah yang dimaksudkan dengan ilah. Ini adalah pemahaman yang amat penting. Ringkasnya ilah adalah tempat pengharapan, yang kita taati.

 

فَتُلقىٰ في جَهَنَّمَ مَلومًا مَّدحورًا

yang menyebabkan kamu dilemparkan ke dalam neraka dalam keadaan tercela lagi dijauhkan

Jikalau menjadikan ilah selain Allah ﷻ, pasti manusia itu akan dibuang dalam neraka dalam keadaan tercela (kamu akan cela diri kamu, Allah ﷻ akan cela dan semua makhluk lain pun akan cela juga).

Takut kamu nanti akan ditolak jauh masuk dengan kasar ke dalam neraka dan dijauhkan daripada rahmat Allah ﷻ, tidak ada peluang langsung untuk masuk ke dalam syurga. Maknanya mereka adalah orang-orang yang diusir. Kalimah مَّدحورًا daripada katadasar د ح ر yang bermaksud menghalau; menolak jauh; menutup; buang; dihalau; ditolak. Maksudnya mereka akan ditendang masuk ke dalam neraka. Maksudnya juga mereka terusir dan maksudnya adalah terusir dari rahmat. Kerana manusia akan masuk syurga dengan rahmat Allah ﷻ dan mereka tidak akan dapat rahmat Allah ﷻ itu dan kerana itu mereka akan masuk ke dalam neraka.

Khitab (penyampaian) ayat ini memang ditujukan kepada Rasulullah ﷺ, tetapi makna yang dimaksudkan ialah buat umatnya, kerana Rasulullah ﷺ adalah seorang yang ma’sum (dipelihara) daripada dosa.


 

PENOLAKAN KEPADA HUJAH MUSYRIKIN

Isra’ Ayat 40: Penjelasan tentang salah satu kesalahan syirik yang dilakukan oleh manusia. Maka ini adalah ayat Zajrun (teguran).

Bermula ayat ini sehingga ke ayat 60 adalah Perenggan Makro ke 4. Ia mengandungi jawapan kepada Musyrikin Mekah. Berbagai-bagai kesalahan yang mereka lakukan seperti disebut di dalam ayat-ayat Al-Qur’an yang banyak. Ayat sebelum ini menyebut larangan melakukan syirik, maka di dalam ayat ini disambung dengan contoh kesyirikan yang dilakukan mereka iaitu berkenaan para malaikat.

Antaranya Musyrikin Makkah mengadakan ilah-ilah tambahan, mendakwa malaikat itu anak perempuan Allah ﷻ, manusia tidak akan dibangkitkan, mempersenda kedatangan hari kiamat, mereka kata tiada azab neraka dan isinya (seperti pokok Zaqqum). Mereka juga menuduh Nabi ﷺ terkena sihir. Selain daripada itu mereka menyangka ilmu pengetahuan Allah ﷻ terbatas, tidak meluas.

أَفَأَصفَٮٰكُم رَبُّڪُم بِٱلبَنِينَ وَٱتَّخَذَ مِنَ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنَـٰثًا‌ۚ إِنَّكُم لَتَقُولُونَ قَولاً عَظِيمًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Then, has your Lord chosen you for [having] sons and taken [i.e., adopted] from among the angels daughters? Indeed, you say a grave saying.

(MELAYU)

Maka apakah patut Tuhan memilihkan bagimu anak-anak laki-laki sedang Dia sendiri mengambil anak-anak perempuan di antara para malaikat? Sesungguhnya kamu benar-benar mengucapkan kata-kata yang besar (dosanya).

 

أَفَأَصفَٮٰكُم رَبُّڪُم بِٱلبَنِينَ

Maka apakah patut Tuhan memilihkan bagimu anak-anak laki-laki

Salah satu salah faham syirik yang dilakukan oleh Musyrikin Mekah adalah mereka mengatakan yang para malaikat itu adalah anak perempuan Allah ﷻ. Sekarang Allah ﷻ berhujah menolak fahaman bodoh mereka itu. Kalimah أَفَأَصفَٮٰكُم daripada katadasar ص ف و yang bermaksud jelas; tulen; mengambil yang terbaik; dijelaskan; memilih mengikut keutamaan; beri keutamaan kepada orang lain dalam memilih apa-apa; memilih; yang terpilih; yang terbaik dan terpilih; batu keras; batu. Di sini diambil maksud memilih kerana kelebihan. Iaitu Musyrikin Mekah bukan sahaja mengatakan Allah ﷻ ada anak, tetapi mereka khusus memilih anak perempuan pula bagi Allah ﷻ.

Sedangkan mereka sendiri pun tidak suka kepada anak perempuan seperti disebut di dalam Nahl: 58

وَإِذا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالأُنثىٰ ظَلَّ وَجهُهُ مُسوَدًّا وَهُوَ كَظيمٌ
Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia menahan marah.

Maka amatlah tidak patut kalau mereka menisbahkan anak-anak Allah ﷻ itu anak perempuan, sedangkan mereka sendiri tidak suka anak perempuan. Tidak masuk akal mereka beri apa yang mereka sendiri tidak suka. Allah ﷻ sebut di dalam Zukhruf: 18

أَوَمَن يُنَشَّؤُا فِي الحِليَةِ وَهُوَ فِي الخِصامِ غَيرُ مُبينٍ
Patutkah (yang dikatakan anak Allah itu jenis perempuan) yang biasanya dididik dan dibesarkan dalam perhiasan, sedang dia semasa berbantah dan bertikam lidah tidak dapat memberikan alasan yang jelas?

Musyrikin Mekah ini memang kenal yang Allah ﷻ itu adalah Tuhan Pencipta, tetapi mereka memandai pula kata yang para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah ﷻ. Sudahlah entah datang dari mana mereka tahu yang jantina para malaikat itu perempuan pun kita tidak tahu. Kerana tidak mungkin mereka pernah lihat para malaikat itu, bukan? Bukti mereka kenal Allah ﷻ adalah seperti disebut di dalam Luqman: 25

وَلَئِن سَأَلتَهُم مَّن خَلَقَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ لَيَقولُنَّ اللهُ ۚ قُلِ الحَمدُ ِللهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ
Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Katakanlah: “Segala puji bagi Allah”; tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.

Oleh kerana pada pandangan mereka para malaikat itu adalah anak perempuan Allah ﷻ, maka mereka memuja dan berdoa kepada para malaikat itu supaya menyampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ. Sangka mereka, kalau anak perempuan yang tolong mintakan, tentulah Allah ﷻ akan beri, bukan?

Itu adalah salah satu contoh amalan syirik Musyrikin Mekah malangnya masyarakat kita pun buat juga tetapi dalam bentuk yang lain. Ramai yang sangka kerana para Nabi itu disayangi oleh Allah ﷻ, maka kalau minta menggunakan para Nabi itu, tentu Allah ﷻ akan beri. Maka ada yang meminta kepada para Nabi untuk sampaikan doa mereka kepada Allah ﷻ. Inilah amalan sesat Tawassul.

Orang Melayu kita ada yang minta kepada Nabi Muhammad ﷺ dan puak Habib itu memuja dan berdoa kepada Nabi Hud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk sampaikan doa mereka. Kalau Syiah pula mereka akan berdoa melalui Husin dan juga Saidina Ali رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ. Ini semua adalah kesesatan-kesesatan yang sedang diamalkan oleh masyarakat Muslim kita. Semoga kita diselamatkan daripada salahfaham dan kesesatan ini.

Untuk kesalahan menganggap malaikat adalah anak perempuan Allah ﷻ, Allah ﷻ jawab kekeliruan sesat mereka itu dalam ayat ini. Allah ﷻ beri hujah menggunakan kebiasaan mereka dalam kehidupan mereka. Masyarakat Arab memang teramat suka kepada anak lelaki dan tidak suka kalau mereka dapat anak perempuan. Maka Allah ﷻ kata, takkan kamu hendak Allah ﷻ beri anak lelaki kepada kamu, tetapi anak perempuan untuk Allah ﷻ pula?

 

وَٱتَّخَذَ مِنَ ٱلمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنَـٰثًا‌ۚ

sedang Dia sendiri mengambil anak-anak perempuan di antara para malaikat?

“Tapi kamu kata Allah ambil anak perempuan?” Ini kerana mereka kata para malaikat adalah anak-anak perempuan Allah ﷻ. Ini pun memang tidak patut kerana mana mereka tahu yang para malaikat itu berkelamin perempuan? Sebab itu dalam ayat 36 telah ditegur jangan cakap tanpa ilmu.

Jelas sekali ini memang tidak patut langsung – yang kamu tidak suka, kamu beri kepada Allah ﷻ; yang kamu suka, kamu ambil sendiri. Adakah ini patut? Takkan Allah ﷻ ambil anak perempuan dan beri anak lelaki pula untuk kamu? Takkan Allah ﷻ melebihkan kamu pula wahai manusia?

Takkan Dia terpaksa ambil anak perempuan kerana Dia telah beri anak lelaki kepada kamu? Kalimah ٱتَّخَذَ ada penambahan huruf ت di dalamnya yang memberi isyarat kesungguhan serta keterpaksaan. Ini tentulah mustahil kerana Allah ﷻ tidak boleh dipaksa-paksa.

 

إِنَّكُم لَتَقولونَ قَولًا عَظيمًا

Sesungguhnya kamu benar-benar mengucapkan kata-kata yang besar

Oleh itu, sangkaan kamu itu adalah kata-kata yang amat besar dari segi dosa. Pandai sahaja kamu kata yang Allah ﷻ ada anak perempuan. Dari mana kamu dapat kisah Allah ﷻ ada anak? Kemudian mana kamu tahu anak itu khusus anak perempuan pula? Sudahlah kamu buat syirik, kamu reka perkara yang tidak benar tentang Allah ﷻ.

Namun cara kamu buat itu pun teruk sangat – kamu beri kepada Allah ﷻ benda yang kamu tidak suka. Kamu sangka ini perkara kecil sahaja, perkara yang baik, Allah ﷻ pun kamu kata suka akan hal ini, tetapi sekarang Allah ﷻ beritahu yang ia adalah perkara yang amat-amat berat. Dalam ayat-ayat yang lain disebutkan oleh Allah ﷻ melalui firman-Nya:

وَقَالُوا اتَّخَذَ الرَّحْمَنُ وَلَدًا * لَقَدْ جِئْتُمْ شَيْئًا إِدًّا* تَكَادُ السَّمَاوَاتُ يَتَفَطَّرْنَ مِنْهُ وَتَنْشَقُّ الأرْضُ وَتَخِرُّ الْجِبَالُ هَدًّا* أَنْ دَعَوْا لِلرَّحْمَنِ وَلَدًا* وَمَا يَنْبَغِي لِلرَّحْمَنِ أَنْ يَتَّخِذَ وَلَدًا* إِنْ كُلُّ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ إِلا آتِي الرَّحْمَنِ عَبْدًا* لَقَدْ أَحْصَاهُمْ وَعَدَّهُمْ عَدًّا* وَكُلُّهُمْ آتِيهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَرْدًا
Dan mereka berkata, “Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak.” Sesungguhnya kalian mendatangkan suatu perkataan yang sangat mungkar, hampir-hampir langit pecah kerana perkataan itu, dan bumi terbelah, dan gunung-gunung runtuh, kerana mereka mendakwa Allah Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Dan tidak layak bagi Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil (mempunyai) anak. Tidak ada seorang pun di langit dan bumi, kecuali akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah selaku seorang hamba. Sesungguhnya Allah telah menentukan jumlah mereka dan menghitung mereka dengan hitungan yang teliti. Dan tiap-tiap mereka akan datang kepada Allah pada hari kiamat dengan sendiri-sendiri. (Maryam: 88-95)

Sekian Ruku’ 4 dari 12 ruku’ surah ini


 

Isra’ Ayat 41: Ayat Zajrun (teguran) lagi. Dalam ayat ini Allah ﷻ telah berhujah tentang kebodohan kata-kata mereka tentang para malaikat. Setelah Allah ﷻ beri teguran kepada mereka, mereka tetap juga berdegil. Maka Allah ﷻ cerita tentang golongan yang degil, yang tak boleh menerima teguran. Ramai juga orang kita sebegini. Kita tegur kerana kita sayang mereka, kita hendak beri kebaikan kepada mereka, tetapi kita pula yang dimarahi kerana menegur.

وَلَقَد صَرَّفنَا فِى هَـٰذَا ٱلقُرءَانِ لِيَذَّكَّرُواْ وَمَا يَزِيدُهُم إِلَّا نُفُورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And We have certainly diversified [the contents] in this Qur’ān that they [i.e., mankind] may be reminded, but it does not increase them [i.e., the disbelievers] except in aversion.

(MELAYU)

Dan sesungguhnya dalam Al Qur’an ini Kami telah ulang-ulangi (peringatan-peringatan), agar mereka selalu ingat. Dan ulangan peringatan itu tidak lain hanyalah menambah mereka lari (dari kebenaran).

 

وَلَقَد صَرَّفنَا فِى هَـٰذَا ٱلقُرءَانِ لِيَذَّكَّرُواْ

Dan sesungguhnya dalam Al Qur’an ini Kami telah ulang-ulangi, agar mereka selalu ingat.

Kalau kita lihat, surah ini menyebut Al-Qur’an dengan nama Al-Qur’an sendiri banyak kali. Kalau dibandingkan dengan surah-surah lain, kebanyakannya menyebut nama al-Kitab sahaja. Kenapa agaknya?

Kerana Allah ﷻ hendak memberitahu yang peringatan telah diberikan dengan berbagai-bagai cara untuk memberi kefahaman kepada manusia melalui Al-Qur’an ini. Atas kesalahan Musyrikin Mekah itu Allah ﷻ telah menjelaskan mereka berkali-kali akan kesalahan yang mereka telah lakukan. Allah ﷻ ubah-ubah cara penjelasan supaya mereka cuba memikirkan. Kerana ada orang yang faham cara begini dan ada yang faham dengan cara begitu. Maka banyak cara Allah ﷻ beritahu supaya manusia boleh faham.

Kerana itu kalimah yang digunakan adalah لِيَذَّكَّرُواْ yang bermaksud Al-Qur’an ini diberikan sebegitu rupa untuk kita ambil peringatan. Ulama’ ada menafsirkan kalimah لِيَذَّكَّرُواْ sebagai لِيَتَدَبَّرُوا (untuk mereka tadabbur – memikirkan) akan ayat-ayat Al-Qur’an itu.

Kalimah لِيَذَّكَّرُواْ asalnya daripada kalimah لِيَتَذَّكَّرُواْ akan tetapi huruf ت telah dihazafkan. Ini kerana huruf ت dan ذ makhrajnya sama. Al-Biqa‘i رَحِمَهُ اللَّهُ juga menyatakan hazaf tersebut untuk mengisyaratkan kesedikitan, yakni sedikit pun mereka tidak ingat. Atau, sedikit sangat mereka ingat.

Di dalam surah ini 10 kali kalimah ٱلقُرءَانِ disebut. Pertamanya di dalam ayat ke 9 iaitu Allah ﷻ memberitahu yang ٱلقُرءَانِ ini menunjuk kepada jalan yang lebih lurus. Sekarang Allah ﷻ menyebut ٱلقُرءَانِ menggunakan kaedah تصريف supaya manusia senang memahami Al-Qur’an.

Allah ﷻ ulangi cara memberitahu dengan mengulang-ulang tetapi dengan berbagai-bagai cara. Kalau kita lihat, ada banyak sekali ayat-ayat tentang tauhid yang disebut tetapi dalam berbagai-bagai cara. Ia mengulang perkara yang sama, tapi dengan cara yang berlainan. Sebagai contoh dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ bagi perbandingan: Takkan Dia beri kamu anak lelaki dan Dia ambil anak perempuan pula? Sekali dengan penjelasan yang menyentuh hati, di kali lain dengan argumen yang meyakinkan minda. Kali ketiga melalui perumpamaan, di kali lain dengan pengulangan dan pemaparan pengalaman sejarah. Ada ayatnya yang memerintah dengan tegas, ada juga yang menyinggung dengan halus, dan masih banyak cara serta gaya lainnya untuk meyakinkan manusia tentang keesaan Allah ﷻ dan kebenaran Rasul-Nya.

Cara berhujah sebegini diberikan supaya manusia senang faham dan tidak ada alasan yang mereka tidak faham kerana sudah berbagai cara diberikan kepada mereka untuk mereka faham. Allah ﷻ sebut sebanyak empat kali ayat yang mengatakan yang Dia telah memudahkan Al-Qur’an ini untuk diambil peringatan, lihat Qamar: 17

وَلَقَد يَسَّرنَا القُرءآنَ لِلذِّكرِ فَهَل مِن مُّدَّكِرٍ
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur’an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Maka kalau Allah ﷻ kata Al-Qur’an ini untuk kita ambil pengajaran dan Dia sendiri sudah mudahkan, kenapa kita tidak ambil pengajaran? Kenapa masih hanya setakat baca tanpa faham? Kenapa belajar tajwid sahaja dan kemudian Tarannum (tarannum tidak pernah menjadi sebahagian daripada ilmu Al-Qur’an maka tidak perlu belajar) sahaja? Kenapa ada ustaz yang jahil sangat sampai mengatakan Al-Qur’an ini ‘terlalu tinggi’ sampaikan kita tidak boleh faham. Orang tertentu sahaja yang boleh faham, katanya. Entah siapalah yang dia maksudkan mereka sahaja boleh faham. Malaikat agaknya. Orang sebegini sepatutnya ditarik status ‘ustaz’ dia kerana dia merosakkan manusia sahaja.

Antara perkara lain yang diulang-ulang dengan berbagai cara adalah ancaman (takhwif duniawi dan ukhrawi). Supaya manusia sentiasa diingati. Kerana itu kalau baca Al-Qur’an, rasanya tidak ada satu muka yang tidak ada peringatan kepada akhirat. Boleh dikatakan, setiap muka akan ada peringatan kepada akhirat.

 

وَما يَزيدُهُم إِلّا نُفورًا

Dan ulangan peringatan itu tidak lain hanyalah menambah mereka lari 

Walaupun telah diberi peringatan dengan berbagai-bagai cara, diulang-ulang penerangan tentang perkara yang penting-penting, tetapi Allah ﷻ menegur mereka kerana ia hanya menambah kebencian mereka kepada Al-Qur’an ini. Sepatutnya ia memberi kefahaman kepada mereka, tetapi tidak jadi begitu. Ini kerana mereka itu orang yang degil. Kalau memang sudah tidak suka, sampai bila pun mereka benci juga kepada Al-Qur’an itu.

Kalimah نُفورًا diambil daripada kalimah النفر an-nafar iaitu kebangkitan dengan bergegas atau dengan penuh semangat menuju sesuatu atau meninggalkan sesuatu dengan tergesa kerana takut atau tidak menyenangi. Makna meninggalkan dengan bergegas kerana tidak senang, itulah yang dimaksud ayat ini. Dalam bahasa kita, ‘angkat kaki’ sebab tidak tahan dengar apa yang disampaikan.

Begitulah yang terjadi dengan sebahagian masyarakat kita. Kita ajak mereka untuk faham tafsir Al-Qur’an supaya mereka dapat meninggalkan ajaran yang pelik dan khurafat. Namun tetap mereka akan pekakkan telinga dan tinggalkan kita.

Atau, kalau mereka tidak pergi, kita yang dimarahi pula. Mereka marah kita, akan tetapi mereka tidak perasan yang sebenarnya mereka marah kepada Al-Qur’an kerana apa yang kita sampaikan adalah daripada ayat-ayat Al-Qur’an. Kalau marah Al-Qur’an, siapa sebenarnya yang mereka marah? Siapa yang buat Al-Qur’an? Tentulah Allah ﷻ! Maka mereka ini marah kepada Allah ﷻ pula tetapi mereka tidak perasanlah kerana mereka itu setakat baca Al-Qur’an sahaja. Mereka bukan tahu pun apa yang mereka baca itu.

Mungkin ada orang berhujah: kalau memang Allah ﷻ telah memutuskan bahawa kehadiran Al-Qur’an dengan aneka cara dan argumentasi itu hanya menjauhkan mereka daripada tuntunan Ilahi, maka mengapa ayat-ayatnya masih terus turun? Jawapan yang dapat dikemukakan antara lain adalah jika ayat-ayatnya tidak terus diturunkan, maka keadaan mereka dapat lebih parah lagi.


 

ADAKAH ADA TUHAN YANG LAIN?

Isra’ Ayat 42: Ini adalah salah satu cara yang Allah ﷻ gunakan untuk menerangkan tentang kebodohan syirik, iaitu kepercayaan yang ada ilah selain Allah ﷻ. Dalam ayat sebelum ini telah disebut mereka menolak malah lari daripada kebenaran yang disampaikan kepada mereka. Maka apa yang perlu dilakukan terhadap mereka? Biarkan sahaja? Tentu tidak, sebaliknya kita kena berhujah lagi dengan mereka untuk membuktikan kesalahan cara fikir mereka. Maka sekarang Allah ﷻ beri hujah yang lain pula.

قُل لَّو كَانَ مَعَهُ ۥۤ ءَالِهَةٌ كَمَا يَقُولُونَ إِذًا لَّٱبتَغَواْ إِلَىٰ ذِى ٱلعَرشِ سَبِيلاً

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, [O Muḥammad], “If there had been with Him [other] gods, as they say, then they [each] would have sought to the Owner of the Throne a way.”¹

  • To please Him, recognizing His superiority. Another interpretation is “…they would seek a way” to depose Him (subḥānahu wa ta‘ālā) and take over His Throne.

(MELAYU)

Katakanlah: “Jikalau ada tuhan-tuhan di samping-Nya, sebagaimana yang mereka katakan, nescaya tuhan-tuhan itu mencari jalan kepada Tuhan yang mempunyai ‘Arsy”.

 

قُل لَّو كَانَ مَعَهُ ۥۤ ءَالِهَةٌ كَمَا يَقُولُونَ

Katakanlah: “Jikalau ada tuhan-tuhan di samping-Nya, sebagaimana yang mereka katakan, 

Apabila ada kalimah قل (katakanlah), ia bermakna arahan daripada Allah ﷻ kepada Rasulullah ﷺ untuk sampaikan kepada umat. Akan tetapi, bukankah seluruh ayat Al-Qur’an baginda kena sampaikan? Tentu sekali. Maka apabila ada arahan spesifik قل ini, maka ia adalah penekanan kepada baginda untuk sampaikan. Juga bermaksud apa yang hendak disampaikan itu adalah amat penting. Oleh itu bagi kita yang membaca Al-Qur’an ini, kena sedar yang ini adalah makluman yang besar dan berat, maka kena beri perhatian yang lebih lagi.

Banyak manusia yang mencipta ilah-ilah selain Allah ﷻ. Mereka meninggikan kedudukan Nabi, wali dan malaikat terlalu tinggi daripada yang sepatutnya sampai mencapai status ilah atau sebagai tuhan. Allah ﷻ suruh mereka fikirkan, kalaulah memang ada ilah-ilah lain seperti kata mereka itu,

 

إِذًا لَّٱبتَغَواْ إِلَىٰ ذِى ٱلعَرشِ سَبِيلاً

nescaya tuhan-tuhan itu mencari jalan kepada Tuhan yang mempunyai ‘Arsy”.

Tentulah ilah-ilah itu akan berkeinginan untuk naik pangkat lagi, bukan? Semua hendak jadi tuhan nombor 1, yang mutlak berkuasa. Sama ada mereka pergi lawan dan kalahkan Allah ﷻ, atau mereka berdebat untuk mendapat kuasa. Begitulah kalau kita lihat dalam agama yang ada banyak tuhan, tuhan-tuhan itu selalunya akan berkelahi sesama mereka. Kerana apabila banyak tuhan, tentu akan ada ‘tuhan utama’ dan tuhan-tuhan yang lain akan cuba untuk dapatkan tempat tuhan utama itu.

Maka ini tentunya akan menyebabkan kekacauan dalam alam ini. Akan tetapi ini tidak terjadi kerana alam ini harmoni sahaja, bukan? Hujah yang hampir sama telah Allah ﷻ berikan di dalam Mukminoon: 91

مَا اتَّخَذَ اللهُ مِن وَلَدٍ وَما كانَ مَعَهُ مِن إِلٰهٍ ۚ إِذًا لَّذَهَبَ كُلُّ إِلٰهٍ بِما خَلَقَ وَلَعَلا بَعضُهُم عَلىٰ بَعضٍ ۚ سُبحٰنَ اللهِ عَمّا يَصِفونَ
Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada ilah (yang lain) berserta-Nya, kalau ada tuhan berserta-Nya, masing-masing tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian daripada tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu,

Disebut juga di dalam Anbiya’: 22

لَو كانَ فيهِما ءآلِهَةٌ إِلَّا اللهُ لَفَسَدَتا
Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya itu telah binasa.

Begitu juga kita boleh bandingkan dengan monarki yang ada ramai Raja Muda yang masing-masing akan cuba untuk dapatkan kedudukan raja. Sampaikan ada yang saling bunuh membunuh sesama adik beradik kerana mahu hapuskan lawan mereka kepada takhta kerajaan.

Kerana itu Allah ﷻ suruh mereka fikirkan semula, kalaulah memang ada ilah-ilah yang lain, tentu ilah-ilah itu akan cuba untuk dapatkan kedudukan Allah ﷻ yang berada di Arasy. Tentu itu akan menjadikan alam ini kelam kabut kerana ilah-ilah berperang sesama mereka. Fahaman ini banyak terjadi dan kita boleh lihat dalam agama-agama sesat dalam dunia sekarang pun.

Tafsir yang lain: sekiranya memang ada ilah-ilah itu, maka tentulah ilah-ilah itu sendiri akan menyembah Allah ﷻ juga, mendekatkan diri mereka kepada-Nya, serta mencari jalan untuk sampai kepada-Nya. Mana patut, kamu sembah ilah-ilah itu sedangkan ilah-ilah yang kamu sembah pula sebenarnya sembah Allah ﷻ! Sebagai contoh, Nabi Isa  yang disembah sebagai tuhan, sebagai ilah, sebenarnya baginda itu menyembah Allah ﷻ. Hujah ini juga kuat kerana golongan musyrikin juga faham bahawa tujuan mereka menyembah ilah-ilah selain Allah ﷻ itu adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah ﷻ. Maka ilah-ilah itu juga tentunya hendak mendekatkan diri kepada-Nya. Ini seperti disebut di dalam Zumar: 3

وَالَّذينَ اتَّخَذوا مِن دونِهِ أَولِياءَ ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللهِ زُلفىٰ
Dan orang-orang yang mengambil selain daripada Allah pelindung dan penolong (wali-wali): “Kami tidak menyembah (atau memujanya) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”

Oleh kerana itu, sembahlah Allah ﷻ sahaja, sebagaimana sembahan-sembahan kalian menyeru-Nya. Kalian tidak memerlukan adanya sembahan yang menjadi perantara antara kalian dan Allah ﷻ. Sesungguhnya Allah ﷻ tidak menyukai hal tersebut dan tidak rela, bahkan membenci dan menolaknya. Tidak perlu perantara kerana Allah ﷻ mendengar apa sahaja permintaan daripada hamba-Nya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 1 Mei 2024

Ringkasan Surah Isra’


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Jalalain

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Solahudin

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment