Tafsir Surah an-Nahl Ayat 75 – 77 (Analogi dengan Hamba sahaya)

Nahl Ayat 75: Allah ﷻ buat perbandingan sekali lagi untuk memberikan penjelasan tentang Tauhid dan Syirik kepada kita. Allah ﷻ terus buat perumpamaan selepas cakap tentang perumpamaan dalam ayat sebelum ini. Dalam ayat sebelum ini Allah ﷻ larang kita reka bandingan untuk-Nya, sekarang Allah ﷻ sendiri beri perbandingan. Maka gunakanlah bandingan yang Allah ﷻ sendiri beri ini.

۞ ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا عَبدًا مَّملوكًا لّا يَقدِرُ عَلىٰ شَيءٍ وَمَن رَّزَقنٰهُ مِنّا رِزقًا حَسَنًا فَهُوَ يُنفِقُ مِنهُ سِرًّا وَجَهرًا ۖ هَل يَستَوونَ ۚ الحَمدُ ِللهِ ۚ بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Allāh presents an example: a slave [who is] owned and unable to do a thing and he to whom We have provided from Us good provision, so he spends from it secretly and publicly. Can they be equal? Praise to Allāh! But most of them do not know.

(MELAYU)

Allah membuat perumpamaan dengan seorang hamba sahaya yang dimiliki yang tidak dapat bertindak terhadap sesuatu pun dan seorang yang Kami beri rezeki yang baik dari Kami, lalu dia menafkahkan sebahagian dari rezeki itu secara sembunyi dan secara terang-terangan, adakah mereka itu sama? Segala puji hanya bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tiada mengetahui.

 

ضَرَبَ اللهُ مَثَلًا عَبدًا مَّملوكًا لّا يَقدِرُ عَلىٰ شَيءٍ

Allah membuat perumpamaan seorang hamba sahaya yang dimiliki yang tidak dapat mampu terhadap sesuatu pun

Sekarang Allah ﷻ suruh kita lihat seorang hamba yang dimiliki. Memang kalau seseorang itu dinamakan hamba, tentulah dia tidak memiliki apa-apa, sedangkan dirinya sendiri dimiliki, bukan? Seorang hamba memang tidak boleh buat apa-apa pun tanpa kebenaran daripada tuannya. Sepanjang masa dia kena ikut arahan tuannya.

Kenapa Allah ﷻ gunakan kalimah ضَرَبَ yang bermaksud ‘pukul’ untuk perumpamaan? Kerana Dia hendak menekankan bahawa perumpamaan yang hendak diberikan ini adalah penting, maka kena beri perhatian. Ini seolah-olah kita menekankan sesuatu perkara sampaikan kita bercakap sambil menepuk meja.

.

 

وَمَن رَّزَقنٰهُ مِنّا رِزقًا حَسَنًا

dan seorang yang Kami beri rezeki yang baik dari Kami,

Allah ﷻ suruh bandingkan hamba tadi dengan seorang yang Allah ﷻ telah berikan rezeki yang baik. Maknanya dia adalah seorang yang kaya raya.

Allah ﷻ tekankan di sini bahawa rezeki itu daripada-Nya. Memang manusia berusaha untuk mendapatkan harta, akan tetapi yang buat keputusan untuk beri adalah Allah ﷻ. Rezeki yang Allah ﷻ berikan kepada lelaki itu adalah baik dan banyak.

 

 

فَهُوَ يُنفِقُ مِنهُ سِرًّا وَجَهرًا

lalu dia menafkahkan sebahagian daripada rezeki itu secara sembunyi dan secara terang-terangan, 

Dengan rezeki yang Allah ﷻ berikan kepadanya itu, dia infaqkan harta itu dengan cara rahsia dan terbuka. Maknanya dia seorang yang baik kerana dia infaq kerana Allah ﷻ. Kerana itu dia infaq secara rahsia kerana dia tidak mahu orang lain tahu. Ini kerana dia ikhlas untuk infaq harta itu.

Di dalam ayat ini Allah ﷻ sebut infaq secara sembunyi dahulu sebelum disebut infaq secara terang-terangan. Ini adalah kerana infaq secara sembunyi itu lebih baik lagi seperti yang Allah ﷻ jelaskan di dalam Baqarah: 271

إِن تُبدُوا الصَّدَقٰتِ فَنِعِمّا هِيَ ۖ وَإِن تُخفوها وَتُؤتوهَا الفُقَراءَ فَهُوَ خَيرٌ لَّكُم
Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu;

Dengan infaq secara sembunyi, maka kita akan dapat menjaga hati kita daripada riak. Kerana takut kalau orang tahu kita infaq nanti akan terselit rasa bangga pula di hati kita. Memang susah untuk dijaga hati ini, maka sebaiknya kita cuba elak. Tidak perlu post di medsos tentang aktiviti anda walaupun anda rasa tidak mengapa, aku ikhlas, aku tidak riak. Kerana kita tidak dapat pastikan yang kita dapat menjaga hati kita. Kerana kalau ada riak, maka sia-sialah pahala infaq itu.

Kerana itulah Allah ﷻ berjanji untuk memberi perlindungan di Mahsyar bagi golongan yang sedekah secara sembunyi seperti disebut di dalam satu hadith,

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: اَلْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللهِ ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللهِ اِجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ ، فَقَالَ : إِنِّيْ أَخَافُ اللهَ ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allah dalam naungan-Nya pada hari di mana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya: (1) Imam (pemimpin) yang adil, (2) pemuda yang menyibukkan dirinya dengan ibadah kepada Allah, (3) seorang yang hatinya selalu terikat ke masjid, (4) dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, keduanya berkumpul kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, (5) seorang laki-laki yang diajak berzina oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan lagi cantik, lalu dia berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah.’ Dan (6) seseorang yang bersedekah dengan satu sedekah lalu dia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfaqkan tangan kanannya, serta (7) seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sepi lalu dia menitiskan air matanya.”
(Bukhari (no. 660, 1423, 6479, 6806), Muslim (no. 1031 (91))

Kalau infaq secara terang-terangan pun tidaklah salah kerana ia juga ada kelebihan. Kerana kadangkala bila kita infaq, orang lain pun terkesan juga dan mereka juga turut infaq. Dan kita pun akan dapat pahala dari perbuatan mereka itu. Rasulullah ﷺ bersabda,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى كَانَ لَهُ مِنْ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلَالَةٍ كَانَ عَلَيْهِ مِنْ الْإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا
Daripada [Abu Hurairah رَضِيَ اللهُ عَنْهُ] bahawasanya Rasulullah ﷺ telah bersabda: “Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka dia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka dia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.”
(Sahih Muslim (4831))

 

 

Selain itu saya ingin berkongsi sebuah lagi hadith yang selalu disalahtafsir oleh golongan pengamal bid’ah. Mereka kata tidak salah kalau memulakan sesuatu yang ‘baik’ (mereka sahaja anggap ia baik). Mereka selalu potong hadith ini tetapi sekarang saya akan berikan hadith yang penuh.

عَنْ جَرِيرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ جَاءَ نَاسٌ مِنْ الْأَعْرَابِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْهِمْ الصُّوفُ فَرَأَى سُوءَ حَالِهِمْ قَدْ أَصَابَتْهُمْ حَاجَةٌ فَحَثَّ النَّاسَ عَلَى الصَّدَقَةِ فَأَبْطَئُوا عَنْهُ حَتَّى رُئِيَ ذَلِكَ فِي وَجْهِهِ قَالَ ثُمَّ إِنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَنْصَارِ جَاءَ بِصُرَّةٍ مِنْ وَرِقٍ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ ثُمَّ تَتَابَعُوا حَتَّى عُرِفَ السُّرُورُ فِي وَجْهِهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَيْءٌ
Daripada [Jarir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللهُ عَنْهُ] dia berkata; “Pada suatu ketika, beberapa orang Arab Badwi datang menemui Rasulullah ﷺ dengan mengenakan pakaian daripada bulu biri-biri (wool). Lalu Rasulullah ﷺ memperhatikan keadaan mereka yang menyedihkan. Nampak mereka sangat memerlukan pertolongan. Maka Rasulullah ﷺ menganjurkan para sahabat untuk memberikan sedekah kepada mereka. Tetapi sayangnya, para sahabat lambat untuk melaksanakan anjuran Rasulullah ﷺ itu, hingga kekecewaan terlihat pada wajah baginda.” Jarir رَضِيَ اللهُ عَنْهُ berkata; ‘Tidak lama kemudian seorang sahabat daripada puak Ansar datang memberikan bantuan sesuatu yang dibungkus dengan daun dan kemudian diikuti oleh beberapa orang sahabat lainnya. Setelah itu, datanglah beberapa orang sahabat yang turut serta menyumbangkan sedekah (untuk diserahkan kepada orang-orang Arab Badwi tersebut) hingga nampaklah keceriaan pada wajah Rasulullah ﷺ.’ Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Barang siapa dapat memberikan contoh tauladan yang baik dalam Islam, lalu contoh tauladan tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat untuknya pahala sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikit pun pahala yang mereka peroleh. Sebaliknya, barang siapa memberikan suri tauladan yang buruk dalam Islam, lalu suri tauladan tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa yang mereka peroleh sedikit pun.’
(Sahih Muslim (4830))

Nota: Mengetahui hadith ini secara lengkap penting kerana geng bid’ah hasanah selalunya hanya menyebut potongan ini sahaja: مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلَا يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ (Barang siapa dapat memberikan contoh tauladan yang baik dalam Islam, lalu contoh tauladan tersebut diikuti oleh orang-orang sesudahnya, maka akan dicatat untuknya pahala sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikit pun pahala yang mereka peroleh). Maka mereka dengan jahilnya mengatakan: tidak mengapa buat amalan baru sebab sahabat ada buat, dapat pahala pula!

 

هَل يَستَوونَ

adakah mereka itu sama?

Allah ﷻ tanya: adakah mereka sama? Tentulah tidak sama – yang satu memberi manfaat kepada orang dan satu lagi tidak. Di dalam ayat ini hendak membandingkan antara Allah ﷻ dan sembahan-sembahan (ma’bud bathil) selain Allah ﷻ. Allah ﷻ memberikan rezeki kepada makhluk tetapi sembahan-sembahan yang lain itu tidak dapat berbuat begitu. Tentulah tidak sama, bukan? Kalau hendak sembah tuhan, mestilah yang boleh bantu kita, bukan? Maka Allah ﷻ suruh pembaca Al-Qur’an berfikir terutama sekali yang menyembah selain-Nya.

Di sini juga Allah ﷻ suruh kita bandingkan diri kita dengan makhluk lain seperti binatang yang tidak ada duit untuk infaq kepada orang. Maka kita ada kelebihan berbanding binatang kerana kita yang ada peluang untuk infaq. Maka jangan kita lepaskan peluang untuk infaq kepada yang memerlukan.

Allah ﷻ juga bandingkan antara hamba yang kafir dan hamba yang mukmin. Hamba yang kafir tidak menafkahkan rezeki mereka sedangkan orang mukmin akan menafkahkan rezekinya. Walaupun orang kafir itu mungkin bukan seorang hamba, tetapi kerana dia tidak nampak kepentingan infaq, tidak percaya dengan janji Allah ﷻ, dia tidak infaq dan sedekah pun. Maka dia seolah-olah sama sahaja seperti seorang hamba!

 

الحَمدُ ِللهِ

Segala puji hanya bagi Allah,

Kerana kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepada kita itu, kita haruslah menyebut alhamdulillah. Kerana ada yang Allah ﷻ jadikan sebagai hamba dan ada yang dijadikan sebagai tuan. Maka kalau kita dijadikan sebagai tuan yang diberikan dengan rezeki dan kita boleh gunakan rezeki itu untuk infaq, maka itu adalah kelebihan yang Allah ﷻ berikan kepada kita.

Kalimah الحَمدُ ِللهِ adalah Kalimah Tauhid. Golongan Musyrikin Mekah juga adalah memuji berhala-berhala mereka dan sembahan mereka yang lain. Kalimah الحَمدُ dengan tambahan ال adalah pujian yang khusus yang diberikan kepada ilah. Maka ia hanya layak diberikan kepada Allah ﷻ sahaja. Ini penting dan kerana itulah setiap hari kita diingatkan dengan kalimat ini di dalam ayat Surah Fatihah ٱلحَمدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلعَـٰلَمِينَ (Segala puji yang khusus hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam).

Dalam konteks kita, tidaklah kita sembah berhala pula, bukan? Akan tetapi bagaimana dengan ketaatan kita? Adakah kita benar-benar taat kepada arahan Allah ﷻ? Cuba fikirkan. Bukankah kita lebih taat kepada pemimpin kita, bos kita, suami kita atau isteri kita? Kalau bab masuk kerja, kita jaga betul-betul masa masuk, tetapi bab solat kita tidak jaga; kalau tutup aurat pula ramai yang tidak tutup aurat. Bila kerajaan wajibkan menutup hidung dan mulut ketika Covid melanda, kita taat sungguh.

 

بَل أَكثَرُهُم لا يَعلَمونَ

tetapi kebanyakan mereka tiada mengetahui.

Akan tetapi Allah ﷻ merungut kerana kebanyakan manusia tidak tahu tentang perkara ini. Ramai yang menyembah selain Allah ﷻ kerana tidak kenal Allah ﷻ. Ramai yang telah ditipu oleh syaitan dan kerana mereka jauh daripada ilmu wahyu, mereka senang ditipu oleh syaitan. Mereka sembah dan memohon doa kepada berhala yang tidak berkuasa apa-apa itu, tidak memiliki apa-apa, buta, pekak, bisu, lumpuh, hanyalah kayu, tembaga, batu dan pasir. Yang lemah sebegitu yang mereka jadikan tempat meminta tolong, lalu mereka lupakan Allah ﷻ yang bebas memberi apa yang Dia sukai, sebab Dia yang memiliki dan menguasai semua di dalam alam ini.

Dalam hal infaq juga Allah ﷻ merungut akan mereka dapat rezeki tetapi tidak gunakan kelebihan itu untuk infaq kepada orang lain. Mereka tidak tahu kelebihan infaq itu yang amat banyak. Ramai yang nampak duit mereka berkurang bila sedekah, tetapi mereka tidak tahu betapa banyaknya ganjaran yang Allah ﷻ berikan.


 

Nahl Ayat 76: Sekarang diberikan misal yang kedua. Ia adalah perumpamaan antara orang yang melakukan syirik dan orang lain yang mengamalkan tauhid.

وَضَرَبَ اللهُ مَثَلًا رَّجُلَينِ أَحَدُهُما أَبكَمُ لا يَقدِرُ عَلىٰ شَيءٍ وَهُوَ كَلٌّ عَلىٰ مَولٰهُ أَينَما يُوَجِّههُ لا يَأتِ بِخَيرٍ ۖ هَل يَستَوي هُوَ وَمَن يَأمُرُ بِالعَدلِ ۙ وَهُوَ عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And Allāh presents an example of two men, one of them dumb and unable to do a thing, while he is a burden to his guardian. Wherever he directs him, he brings no good. Is he equal to one who commands justice, while he is on a straight path?

(MELAYU)

Dan Allah membuat (pula) perumpamaan: dua orang lelaki yang seorang bisu, tidak dapat berbuat sesuatu pun dan dia menjadi beban atas penanggungnya, ke mana saja dia disuruh oleh penanggungnya itu, dia tidak dapat mendatangkan suatu kebajikan pun. Samakah orang itu dengan orang yang menyuruh berbuat keadilan, dan dia berada pula di atas jalan yang lurus?

 

وَضَرَبَ اللهُ مَثَلًا

Dan Allah membuat perumpamaan: 

Allah ﷻ buat lagi satu perumpamaan. Allah ﷻ banyak mengajar dengan cara menggunakan perumpamaan dengan perumpamaan, kita senang faham. Memang begitulah salah satu cara Allah ﷻ mengajar kita. Kerana kita manusia memang senang faham kalau diberikan dengan contoh. Maknanya Allah ﷻ hendak kita faham Al-Qur’an ini. Namun kenapalah ada pihak yang mengatakan kita orang biasa tidak boleh memahami tafsir Al-Qur’an ini?

 

رَّجُلَينِ أَحَدُهُما أَبكَمُ لا يَقدِرُ عَلىٰ شَيءٍ

dua orang lelaki yang seorang bisu, tidak dapat berbuat sesuatu pun

Sekarang bayangkan dua orang hamba lelaki pula. Salah seorang daripada mereka itu tidak boleh bercakap kerana bisu. Dia tidak berupaya buat apa-apa pun kerana dia seorang yang cacat. Dia bisu itu pun mungkin kerana dia pun tidak boleh mendengar (pekak). Oleh kerana tidak pernah dengar percakapan, maka dia pun tidak boleh bercakap.

 

وَهُوَ كَلٌّ عَلىٰ مَولٰهُ

dan dia menjadi beban atas tuannya,

Oleh kerana dia bisu dan tidak boleh buat apa-apa dengan tenaganya sendiri, dia menjadi beban kepada tuannya. Kalimah كَلٌّ daripada katadasar ك ل ل yang selalunya bermaksud ‘semuanya’. Maknanya dia bergantung sepenuhnya kepada tuannya.

Oleh itu hamba sahaja jenis ini tentulah tidak boleh menolong tuannya seperti hamba yang biasa, sebagai contoh tidak boleh tolong berniaga, mengemas rumah dan sebagainya. Kerana kita hendak beri arahan kepadanya pun dia tidak dengar. Maka payah pula untuk berurusan kerja dengannya dan malah tuannya itu pula yang kena menjaga dia sebabkan dia hendak jaga dirinya sendiri pun tidak mampu. Bayangkan, budak hamba itu pula yang menjadi beban kepada tuannya.

 

أَينَما يُوَجِّههُ لا يَأتِ بِخَيرٍ

ke mana sahaja dia dihadapkan (oleh tuannya), dia tidak dapat mendatangkan suatu kebajikan pun.

Dia tidak dapat membantu kerana ke mana sahaja tuannya suruh dia buat, dia tidak boleh buat. Maka dia adalah seorang hamba yang tidak membantu sedikit pun. Dia tidak dapat membuahkan hasil dan tidak dapat menunaikan hajat tuannya. Ini adalah kerana dia cacat. Tuannya pula yang kena jaga dia.

 

هَل يَستَوي هُوَ وَمَن يَأمُرُ بِالعَدلِ

Samakah orang itu dengan orang yang menyuruh dengan adil, 

Sekarang Allah ﷻ suruh bandingkan dengan yang seorang lagi. Adakah mereka sama? Namun bandingkan dengan siapa? Tentulah kita kena bandingkan dengan seorang hamba yang boleh bekerja dan membantu tuannya. Begitulah kalau ikut logik: tadi cerita tentang lelaki bisu yang tidak boleh kerja, bukan? Maka kalau hendak bandingkan, sepatutnya lelaki yang boleh bercakap dan boleh buat kerja sepatutnya.

Akan tetapi dalam ayat ini, Allah ﷻ suruh kita bandingkan dengan seorang yang menyuruh kepada keadilan. Kenapa pula begitu?

Perumpamaan ini sebenarnya Allah ﷻ samakan dengan keadaan Musyrikin Quraisy. Mereka yang tidak beriman itu sebenarnya tahu bahawa apa yang Nabi Muhammad ﷺ bawa dan sampaikan itu adalah benar dan mereka setuju. Akan tetapi mereka tidak berani mahu kata setuju dan menyokong Nabi ﷺ kerana kalau mereka cakap begitu, mereka akan susah, tidak boleh ikut nafsu mereka lagi.

Maka mereka terus أَبكَمُ (membisukan diri). Kerana itu, perumpamaan yang satu lagi adalah orang yang mengajak kepada keadilan, merujuk kepada sahabat yang beriman dan sanggup menyatakan keimanan mereka serta sanggup berdakwah kepada orang lain.

Oleh itu, dalam ayat ini, Allah ﷻ sebenarnya menegur Quraisy yang tidak beriman. Juga termasuklah mereka yang sama seperti mereka – tahu kebenaran tetapi tidak berani mahu menyatakan kebenaran dan menyokong kebenaran. Ini termasuklah orang kita yang sudah belajar agama, sudah belajar tafsir Al-Qur’an tetapi takut untuk sampaikan kebenaran kepada manusia lain kerana takut dituduh Wahabi, contohnya.

Allah ﷻ mahu katakan bahawa mereka itu seperti beban sahaja atas bumi ini – tidak ada guna dan menyusahkan sahaja.

Ada satu lagi tafsir bagi perumpamaan ini. Iaitu Allah ﷻ buat perumpamaan bagi berhala yang golongan Musyrik sembah itu, yang tidak dapat berbuat sesuatu apa pun malahan berhala-berhala itulah yang memberati kepada tuannya kerana yang empunya itulah yang kena angkat dan mengangkutnya dari satu tempat ke tempat lain. Maka terkata Tuhan; “Samakah berhala yang memberati ini dengan yang memerintahkan berbuat adil?” Pertanyaan yang mengandung herdikan sekali, yang menjelaskan bahawa Tuhan bersabda. “Tidaklah sama di antara berhala dengan berhala yang Pencipta alam”.

Kalau kita hendak sembah ilah pun, mestilah ada pulangannya, bukan? Yang boleh bantu, beri rezeki dan sebagainya. Kalau sikit habuk pun tifak boleh bantu kita, menyusahkan kita pula, memang buang masa sahaja.

 

وَهُوَ عَلىٰ صِرٰطٍ مُّستَقيمٍ

dan dia berada pula di atas jalan yang lurus

Allah ﷻ memuji pula orang yang mengajak kepada keadilan itu kerana orang itu berada di atas jalan yang lurus. Allah ﷻ umpamakan manusia yang syirik seperti orang cacat dan orang yang menerima tauhid seperti orang yang mahir dan berguna.

Sekarang jikalau yang dimaksudkan perumpamaan itu adalah antara berhala dan Allah ﷻ. Adalah Allah ﷻ itu berada di atas jalan yang lurus, tidak berkata melainkan yang benar, tidak menyuruh melainkan yang adil dan tidak Dia berbuat melainkan apa yang baik dan mempunyai rahmat, hikmah dan adil. Dia selalu di atas kebenaran dalam kata-kata-Nya dan perbuatan-Nya dan Dia tidak pernah Dia melakukan kezaliman kepada hamba-Nya dan tidak Dia menghukum jikalau hamba-Nya tidak melakukan kesalahan. Dia tidak mengurangi kurniaan-Nya sedikit pun. Malah tidak pula ditanggungkan ke atas diri seorang hamba-Nya satu kesalahan yang diperbuat oleh hamba-Nya yang lain. Dia tidak berbuat satu perbuatan yang tidak terpuji kerana segala sesuatu yang Dia buat mempunyai hikmah.

Maka begitulah perumpamaan-perumpamaan yang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Kena ada usaha untuk memahaminya. Sebahagian ulama Salaf mengatakan, “Apabila aku membaca suatu masal (perumpamaan) dari Al-Qur’an, lalu aku tidak memahaminya, maka aku menangisi diriku sendiri, kerana Allah ﷻ telah berfirman: ‘dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’ (Al-Ankabut: 43).”

وَتِلكَ الأَمثٰلُ نَضرِبُها لِلنّاسِ ۖ وَما يَعقِلُها إِلَّا العٰلِمونَ
Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buat untuk manusia; dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.

Malangnya orang kita rata-ratanya tidak kisah pun. Jangankan perumpamaan, ayat-ayat yang muhkam tanpa perumpamaan pun mereka tidak faham. Ramai yang baca sahaja tanpa faham sebutir habuk pun apa yang ada dalam Al-Qur’an itu. Lalu bagaimana hendak mengambil hidayah daripadanya?

Sekian Ruku’ 10 daripada 16 ruku’ surah ini.


 

Nahl Ayat 77: Sebelum ini telah disebut dengan banyak dalil aqli. Dan telah diberikan dua misalan untuk pemahaman kita. Sekarang disebutkan natijah dan khulasah (rumusan) daripada dalil-dalil aqli dan misalan itu. Ayat ini juga mengandungi takhwif ukhrawi.

وَِللهِ غَيبُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ وَما أَمرُ السّاعَةِ إِلّا كَلَمحِ البَصَرِ أَو هُوَ أَقرَبُ ۚ إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And to Allāh belongs the unseen [aspects] of the heavens and the earth. And the command for the Hour is not but as a glance of the eye or even nearer. Indeed, Allāh is over all things competent.

(MELAYU)

Dan kepunyaan Allah-lah segala apa yang tersembunyi di langit dan di bumi. Tidak adalah kejadian kiamat itu, melainkan seperti sekejap mata atau lebih cepat (lagi). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

 

وَلِلهِ غَيبُ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ

Dan kepunyaan Allah-lah segala apa yang tersembunyi di langit dan di bumi.

Ketahuilah kita bahawa Allah ﷻ sahaja yang memiliki ilmu tentang perkara ghaib di langit dan di bumi. Tidak ada makhluk lain yang tahu, baik para Rasul atau para malaikat. Melainkan yang diberitahu kepada mereka sahaja.

Apabila kalimah لِلهِ ditaqdimkan (diawalkan), ia membawa maksud eksklusif. Iaitu hanya Allah ﷻ sahaja yang memiliki ilmu ghaib itu. Tidak ada diberikan kepada sesiapa langsung. Maka kalau kita ada kata tok guru, ustaz atau sesiapa sahaja tahu ilmu ghaib, maka itu adalah perbuatan syirik. Kerana telah memberikan sifat Allah ﷻ kepada makhluk.

Perkara ghaib boleh dibahagikan kepada dua: ghaib nisbi dan ghaib mutlak. Ghaib nisbi adalah perkara ghaib bagi seseorang, tetapi tidak bagi seseorang. Contohnya perkara yang terjadi di Jepun sekarang adalah ghaib bagi kita, tetapi tidak bagi orang yang berada di sana. Ghaib mutlak pula adalah seperti jin, malaikat, syurga, neraka, Allah ﷻ yang memang kita tidak nampak dan tidak tahu melainkan yang diberitahu kepada kita.

 

وَما أَمرُ السّاعَةِ إِلّا كَلَمحِ البَصَرِ

Tidak adalah urusan kiamat itu, melainkan seperti sekelip mata

Termasuk perkara yang paling rahsia adalah bilakah akan terjadinya Hari Kiamat itu. Tidak ada sesiapa yang tahu melainkan Allah ﷻ sahaja.

Ayat ini adalah takhwif ukhrawi. Hari Kiamat itu akan terjadi dalam sekelip mata sahaja. Bila dikatakan ‘sekelip mata’ ia hanya secara majazi (kiasan) sahaja, bukan secara hakikat. Maknanya ia akan akan datang sekaligus dan semua akan terjadi dengan segera. Tidak ada tanda yang beritahu manusia sebelum ia akan terjadi. Bila terjadi sahaja, ia berlaku dalam sekelip mata sahaja. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk melakukannya seolah-olah seperti sekelip mata sahaja. Kerana Allah ﷻ tidak perlu buat persediaan yang susah-susah macam kita apabila kita hendak melakukan perkara yang besar-besar.

 

أَو هُوَ أَقرَبُ

atau lebih cepat (lagi).

Kiamat itu akan terjadi dalam sekelip mata atau lebih cepat lagi. Tidak tahu bagaimana lagi cepat melebihi sekelip mata lagi (kerana sekelip mata pun sudah cepat). Allahu Akbar, sangat menakutkan! Begitulah kuasa Allah ﷻ yang tidak ada hadnya.

 

إِنَّ اللهَ عَلىٰ كُلِّ شَيءٍ قَديرٌ

Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Allah ﷻ boleh sahaja buat semua Hari Kiamat yang besar itu dalam sekelip mata atau lebih cepat lagi, kerana Qudrat Allah ﷻ itu Maha Luas. Allah ﷻ boleh lakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Kemudian setelah Dia matikan semua sekali, untuk bangkitkan semua makhluk yang telah mati itu pun mudah sahaja bagi Allah ﷻ. Lihat firman Allah ﷻ di dalam Luqman: 28

مّا خَلقُكُم وَلا بَعثُكُم إِلّا كَنَفسٍ وٰحِدَةٍ
Tidaklah Allah menciptakan dan membangkitkan kamu (dari dalam kubur) itu melainkan hanyalah seperti (menciptakan dan membangkitkan) satu jiwa saja.

Satu lagi kekuasaan Allah ﷻ, Allah ﷻ boleh buat bila-bila sahaja Kiamat itu. Walaupun ada disebut tanda-tanda Kiamat, tetapi seandainya Allah ﷻ hendak buat sebentar lagi pun, terpulang kepada Allah ﷻ. Buktinya, apabila ada angin kuat bertiup, Rasulullah ﷺ pun menjadi takut.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 19 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment