Tafsir Surah an-Nahl Ayat 42 (Kepentingan Sabar & Tawakal)

Nahl Ayat 42: Apakah sifat mereka yang berhijrah itu kena ada?

الَّذينَ صَبَروا وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[They are] those who endured patiently and upon their Lord relied.

(MELAYU)

(iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal.

 

الَّذينَ صَبَروا

orang-orang yang sabar

Mereka itu adalah orang yang sabar semasa hijrah. Ini adalah kerana dugaan ketika berhijrah itu bukannya mudah. Tambahan pula kerana sebelum ini mereka harus meredah padang pasir atau lautan untuk ke tempat hijrah. Nanti sampai ke tempat yang mereka tidak ada kenalan, tidak ada kerja dan tidak ada keluarga. Maka para peringkat awal, mereka memang kena bersabar.

Kalimah صبِر daripada katadasar ص بِ ر yang bermaksud untuk mengikat; tabah; tetap; bertahan dengan sabar; berpegang teguh pada akal dan perintah; tenang. Maka ada elemen ikat nafsu di sini. Tetap melakukan benda yang baik dan tidak goyang ketika mengalami tekanan dan dugaan. Ikut arahan seperti arahan Allah ﷻ untuk meninggalkan perkara yang dilarang. Sebelum ini telah disebut tentang istiqamah dan sabar juga mempunyai elemen istiqamah juga.

Kita mungkin rasa kita sudah tahu apa itu sabar, sebab itu kita selalu juga nasihat orang lain: sabar ya, sabar ya…. Namun tahukah anda maksud sebenar ‘sabar’ dari segi syarak? Dari segi bahasa, الصبر itu adalah الحَبسُ dan المَنعُ. Tahukah apa itu الحبس والمنع? Tidak tahu bukan? Hendak tahu? Sabar, memang hendak beritahu pun. الحَبسُ bermaksud ‘tahan’ dan المَنعُ bermaksud ‘halang’.

Pertamanya tahan diri daripada marah. Apa-apabila berlaku, jangan melenting, tahan perasaan anda. Jangan layan perasaan kerana jika anda marah, maka anda telah kalah dengan syaitan. Ini memerlukan kekuatan seperti yang diriwayatkan daripada Abū Hurayrah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِي يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الغَضَبِ
Orang kuat itu bukanlah orang yang kuat bergusti, akan tetapi orang kuat adalah orang yang dapat menahan dirinya ketika marah.
(Riwayat Bukhārī (6114))

Keduanya, halang tubuh kita sama ada lidah atau anggota yang lain. Lidah jangan laju sahaja untuk menjerit atau memaki orang; jangan tampar muka dan koyakkan baju (perbuatan orang Arab dulu); tangan jangan laju untuk memukul orang, pecahkan barang atau baling pinggan mangkuk. Halang semua itu daripada berlaku.

Begitulah dalam banyak perkara, kita kena sabar. Sabar adalah sikap daripada jiwa yang besar dan terlatih. Iaitu terlatih dengan akhlak-akhlak yang diajar di dalam Al-Qur’an. Hendak sampaikan dakwah kepada umat pun, kena sabar; hendak menegur orang lain, kena sabar; hendak buat amal ibadat pun, kena sabar. Memang sepanjang hidup kita di atas dunia ini kena bersabar sepanjang masa. Kena latih diri untuk terima apa sahaja yang Allah ﷻ kenakan kepada kita.

Sebagaimana para Nabi juga mengalami kesusahan, maka kita pun kena bersabar. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi ejekan, tohmahan, amarah daripada orang lain dan sebagainya. Sebab itu Allah ﷻ sebut tentang sabar di dalam Muzzammil: 10 iaitu antara surah yang awal diturunkan kepada Rasulullah ﷺ semasa baginda memulakan dakwah,

وَاصبِر عَلىٰ ما يَقولونَ وَاهجُرهُم هَجرًا جَميلًا
Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.

Dalam kehidupan seharian kita, kita hendaklah mengamalkan sabar. Terutama sekali jikalau kita ditimpa masalah. Inilah pakaian kita yang kena sentiasa ada. Sabar itu ada tiga jenis:

1. Sabar dalam ketaatan. Iaitu untuk memenuhi arahan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul.

2. Sabar dalam meninggalkan larangan daripada Allah ‎ﷻ dan Rasul. Ini pun memerlukan kesabaran juga.

3. Sabar dalam menerima musibah dan ujian.

Daripada tiga jenis pula terdapat tiga peringkat:

1. Menahan diri daripada bercakap apa-apa dan menghalang diri daripada melakukan sesuatu. Ini adalah sabar peringkat pertama iaitu sudah dikira sebagai ‘sabar‘. Ini rasanya agak mudah untuk dilakukan.

2. Peringkat kedua adalah sabar dicampur redha dengan apa yang telah ditentukan oleh Allah ﷻ. Ini agak sukar sedikit untuk dilakukan kerana ramai yang mempersoalkan ketentuan daripada Allah ﷻ. Orang yang dapat mencapai peringat ini sedar yang Allah ﷻ boleh buat apa sahaja kepada dirinya yang hanya seorang hamba. Dia sedar yang dunia ini adalah ujian dan hari ini Allah ﷻ hendak uji dengan satu musibah.

3. Peringkat ini sabar tertinggi dan paling sukar untuk dicapai. Iaitu sabar campur redha kemudian ditambah dengan syukur pula! Iaitu orang itu boleh bersyukur pula apabila Allah ﷻ kenakan musibah kepada dirinya kerana dia tahu tentu ada hikmah di dalam ujian itu. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Insan: 2-3

إِنّا خَلَقنَا الإِنسٰنَ مِن نُّطفَةٍ أَمشاجٍ نَّبتَليهِ فَجَعَلنٰهُ سَميعًا بَصيرًا
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari setitis mani yang bercampur yang Kami hendak mengujinya (dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat.

إِنّا هَدَينٰهُ السَّبيلَ إِمّا شاكِرًا وَإِمّا كَفورًا
Sesungguhnya Kami telah menunjukinya jalan yang lurus; ada yang bersyukur dan ada pula yang kafir.

Lihatlah Allah ﷻ sebut bersyukur dengan ujian dan ada yang kufur dengan sebab ujian yang Allah ﷻ berikan. Maka kena letak dalam otak kita yang dunia ini ujian, dan selalunya ujian akan ada keputusan: sama ada lulus atau gagal! Tentu kita mahu lulus, bukan? Sebagai motivasi untuk kita bersabar dalam semua perkara, Allah ﷻ sebut balasan bagi orang yang bersabar di dalam Zumar: 10

إِنَّما يُوَفَّى الصّٰبِرونَ أَجرَهُم بِغَيرِ حِسابٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira

Apakah maksud ‘tanpa hisab’? Dibalas banyak sangat, sampai tidak boleh hendak kira. Hisab itu bermaksud ‘kira’. Balasan yang Allah ﷻ beri itu terlalu banyak sampai tidak terkira.

Tafsir kedua: ada juga hadith yang menunjukkan bahawa orang-orang yang sabar dengan dugaan berat yang mereka terima, tidak akan dihisab. Mereka terus sahaja masuk syurga. Padahal orang lain akan ditimbang-timbang dan dikira-kira amal ibadat mereka. Ini kerana menunggu untuk dihisab di Mahsyar itu pun sudah satu kesengsaraan juga kerana kena tunggu dalam masa yang amat lama. Maka kalau dapat masuk terus ke syurga tanpa hisab, itu adalah nikmat yang amat besar.

Kalau kita sabar dengan dugaan yang diberikan kepada kita, kita akan mendapat balasan daripada Allah ﷻ yang amat banyak. Ini kerana amalan ibadat seperti solat dan puasa akan dibalas dengan kadar amal kebaikan itu.

Antara sabar yang kita kena amalkan adalah dengan menahan marah. Ini kerana ia adalah sifat orang Mukmin seperti disebut dalam Ali Imran: 133-134

۞ وَسارِعوا إِلىٰ مَغفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُم وَجَنَّةٍ عَرضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالأَرضُ أُعِدَّت لِلمُتَّقينَ
Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa;

الَّذينَ يُنفِقونَ فِي السَّرّاءِ وَالضَّرّاءِ وَالكٰظِمينَ الغَيظَ وَالعافينَ عَنِ النّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ المُحسِنينَ
Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik;

 

وَعَلىٰ رَبِّهِم يَتَوَكَّلونَ

dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakal.

Mereka sanggup menghadapi segala dugaan itu dan mereka letakkan nasib mereka di tangan Allah ﷻ. Mereka tawakal terhadap apa yang terjadi bila sudah berhijrah. Maka di dalam ayat ini mengandungi dua lagi syarat untuk mendapat kelebihan di dalam berhijrah. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut ia mestilah dilakukan kerana Allah ﷻ dan setelah dizalimi di tempat asal mereka. Dua syarat lagi adalah:

Ketiga, mereka kena bersabar. Mungkin pada peringkat awal mereka akan susah kerana berhijrah bukannya senang. Maka kena ada sifat sabar yang kuat.

Keempat, mereka tawakal kepada Allah ﷻ setelah mereka berusaha. Serahkan kepada Allah ﷻ akan nasib dan takdir kita.

Untuk mendapat kelebihan setelah berhijrah, maka kena ada keempat-empat syarat ini. Kalau setelah berhijrah, tetapi hidup masih lagi susah, maka kena selidiki semula empat syarat ini.

Apabila melakukan hijrah itu, kena letakkan nasib kita di dalam tangan Allah ﷻ kerana Dia sahaja yang Maha Hidup seperti disebut dalam Furqan: 58

وَتَوَكَّل عَلَى الحَيِّ الَّذي لا يَموتُ
Dan bertawakallah kepada Allah yang hidup (kekal) Yang tidak mati,

Kenapa berharap kepada selain Allah ﷻ yang akan mati? Kalau dia mati, tentulah dia tidak dapat memberikan apa-apa kepada kita. Akan tetapi Allah ﷻ yang tidak mati-mati inilah yang kita sepatutnya berharap. Maka ayat ini mengingatkan kita supaya bertawakal kepada Allah ﷻ kalau kita benar-benar beriman. Tidak ada cara lain. Kita hendaklah berharap kepada Allah ﷻ sahaja. Hendaklah mereka serahkan semua urusan kita kepada Allah ﷻ. Memang inilah sifat tawakal yang semua orang beriman kena ada kerana kita adalah makhluk yang lemah. Dan formula untuk tawakal telah disebut di dalam Ahzab: 22.

وَلَمّا رَءَا المُؤمِنونَ الأَحزابَ قالوا هٰذا ما وَعَدَنَا اللهُ وَرَسولُهُ وَصَدَقَ اللهُ وَرَسولُهُ ۚ وَما زادَهُم إِلّا إيمٰنًا وَتَسليمًا
Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita”. Dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.

Kita boleh belajar betapa hebatnya tawakal Rasulullah ﷺ kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam hadith,

أَنَّ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَ أَنَّهُ غَزَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِبَلَ نَجْدٍ فَلَمَّا قَفَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَفَلَ مَعَهُ فَأَدْرَكَتْهُمْ الْقَائِلَةُ فِي وَادٍ كَثِيرِ الْعِضَاهِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتَفَرَّقَ النَّاسُ يَسْتَظِلُّونَ بِالشَّجَرِ فَنَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَحْتَ سَمُرَةٍ وَعَلَّقَ بِهَا سَيْفَهُ وَنِمْنَا نَوْمَةً فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُونَا وَإِذَا عِنْدَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ إِنَّ هَذَا اخْتَرَطَ عَلَيَّ سَيْفِي وَأَنَا نَائِمٌ فَاسْتَيْقَظْتُ وَهُوَ فِي يَدِهِ صَلْتًا فَقَالَ مَنْ يَمْنَعُكَ مِنِّي فَقُلْتُ اللَّهُ ثَلَاثًا وَلَمْ يُعَاقِبْهُ وَجَلَسَ
Bahawa [Jabir bin ‘Abdullah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] mengabarkan bahawa dia berangkat berperang bersama Rasulullah ﷺ melewati Najd. Ketika Rasulullah ﷺ kembali dan Jabir رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا pun ikut kembali, mereka menjumpai sungai di bawah lembah yang banyak pepohonannya. Maka Rasulullah ﷺ turun dan para sahabat pun bertebaran mencari tempat berteduh di bawah pohon. Dan Rasulullah ﷺ singgah berteduh di bawah suatu pohon lalu menggantungkan pedang baginda pada pohon tersebut kemudian baginda tidur sejenak. Ketika Rasulullah ﷺ memanggil kami, di hadapan baginda ada seorang lelaki Badwi. Baginda berkata: “Orang ini telah mengambil pedangku ketika aku tidur lalu aku bangun sedang tangannya sudah memegang pedang yang terhunus lalu dia berkata: “Siapa yang dapat melindungimu daripadaku?” Aku jawab: “Allah” sebanyak tiga kali. Maka orang itu tidak dapat berbuat apa-apa kepada baginda lalu dia terduduk lemah.
(Sahih Bukhari (2694))

Maka kita diajar untuk membiasakan diri ingat kepada tawakal. Maka satu amalan yang boleh mengingatkan kita adalah zikir yang dibaca ketika keluar rumah,

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا خَرَجَ الرَّجُلُ مِنْ بَيْتِهِ فَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ قَالَ يُقَالُ حِينَئِذٍ هُدِيتَ وَكُفِيتَ وَوُقِيتَ فَتَتَنَحَّى لَهُ الشَّيَاطِينُ فَيَقُولُ لَهُ شَيْطَانٌ آخَرُ كَيْفَ لَكَ بِرَجُلٍ قَدْ هُدِيَ وَكُفِيَ وَوُقِيَ
Daripada [Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ] bahawa Nabi ﷺ bersabda: “Jika seorang laki-laki keluar dari rumahnya lalu mengucapkan: ‘BISMILLAHI TAWAKKALTU ‘ALAALLAHI LAA HAULA WA LAA QUWWATA ILLA BILLAH (Dengan nama Allah aku bertawakal kepada Allah, tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan izin Allah). ‘ Beliau bersabda: “Maka pada saat itu akan dikatakan kepadanya, ‘Kamu telah mendapat petunjuk, telah diberi kecukupan dan mendapat penjagaan’, hingga syaitan-syaitan menjauh daripadanya. Lalu syaitan yang lainnya berkata, “Bagaimana (engkau akan menggoda) seorang laki-laki yang telah mendapat petunjuk, kecukupan dan penjagaan.”
(Sunan Abi Dawud (4431))
Status: Sahih

Maka amalkan doa ini dan faham maksudnya apabila anda membacanya. Kalau selalu dilakukan, maka anda akan mendapat pertolongan dan perlindungan daripada Allah ﷻ. Ia juga akan mengingatkan anda kepada tawakal kerana setiap kali hendak keluar, anda akan menyebutnya.

Bertawakallah sepertimana tawakalnya Hajar apabila ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di tanah tandus Mekah,

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ لَمَّا كَانَ بَيْنَ إِبْرَاهِيمَ وَبَيْنَ أَهْلِهِ مَا كَانَ خَرَجَ بِإِسْمَاعِيلَ وَأُمِّ إِسْمَاعِيلَ وَمَعَهُمْ شَنَّةٌ فِيهَا مَاءٌ فَجَعَلَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ فَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى قَدِمَ مَكَّةَ فَوَضَعَهَا تَحْتَ دَوْحَةٍ ثُمَّ رَجَعَ إِبْرَاهِيمُ إِلَى أَهْلِهِ فَاتَّبَعَتْهُ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ حَتَّى لَمَّا بَلَغُوا كَدَاءً نَادَتْهُ مِنْ وَرَائِهِ يَا إِبْرَاهِيمُ إِلَى مَنْ تَتْرُكُنَا قَالَ إِلَى اللَّهِ قَالَتْ رَضِيتُ بِاللَّهِ قَالَ فَرَجَعَتْ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الشَّنَّةِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا حَتَّى لَمَّا فَنِيَ الْمَاءُ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا قَالَ فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ هَلْ تُحِسُّ أَحَدًا فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا فَلَمَّا بَلَغَتْ الْوَادِيَ سَعَتْ وَأَتَتْ الْمَرْوَةَ فَفَعَلَتْ ذَلِكَ أَشْوَاطًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ تَعْنِي الصَّبِيَّ فَذَهَبَتْ فَنَظَرَتْ فَإِذَا هُوَ عَلَى حَالِهِ كَأَنَّهُ يَنْشَغُ لِلْمَوْتِ فَلَمْ تُقِرَّهَا نَفْسُهَا فَقَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ لَعَلِّي أُحِسُّ أَحَدًا فَذَهَبَتْ فَصَعِدَتْ الصَّفَا فَنَظَرَتْ وَنَظَرَتْ فَلَمْ تُحِسَّ أَحَدًا حَتَّى أَتَمَّتْ سَبْعًا ثُمَّ قَالَتْ لَوْ ذَهَبْتُ فَنَظَرْتُ مَا فَعَلَ فَإِذَا هِيَ بِصَوْتٍ فَقَالَتْ أَغِثْ إِنْ كَانَ عِنْدَكَ خَيْرٌ فَإِذَا جِبْرِيلُ قَالَ فَقَالَ بِعَقِبِهِ هَكَذَا وَغَمَزَ عَقِبَهُ عَلَى الْأَرْضِ قَالَ فَانْبَثَقَ الْمَاءُ فَدَهَشَتْ أُمُّ إِسْمَاعِيلَ فَجَعَلَتْ تَحْفِزُ قَالَ فَقَالَ أَبُو الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ تَرَكَتْهُ كَانَ الْمَاءُ ظَاهِرًا قَالَ فَجَعَلَتْ تَشْرَبُ مِنْ الْمَاءِ وَيَدِرُّ لَبَنُهَا عَلَى صَبِيِّهَا قَالَ فَمَرَّ نَاسٌ مِنْ جُرْهُمَ بِبَطْنِ الْوَادِي فَإِذَا هُمْ بِطَيْرٍ كَأَنَّهُمْ أَنْكَرُوا ذَاكَ وَقَالُوا مَا يَكُونُ الطَّيْرُ إِلَّا عَلَى مَاءٍ فَبَعَثُوا رَسُولَهُمْ فَنَظَرَ فَإِذَا هُمْ بِالْمَاءِ فَأَتَاهُمْ فَأَخْبَرَهُمْ فَأَتَوْا إِلَيْهَا فَقَالُوا يَا أُمَّ إِسْمَاعِيلَ أَتَأْذَنِينَ لَنَا أَنْ نَكُونَ مَعَكِ أَوْ نَسْكُنَ مَعَكِ فَبَلَغَ ابْنُهَا فَنَكَحَ فِيهِمْ امْرَأَةً
Daripada [Ibnu ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا] berkata; “Ketika Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ keluar berkelana bersama Isma’il dan ibu Isma’il, mereka membawa geriba (kantung empat air) yang berisi air, ibu Isma’il minum daripada persediaan air dalam geriba tersebut sehingga dia dapat menyusui bayinya. Ketika tiba di Makkah, Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menempatkan keduanya di bawah sebuah pondok. Tatkala Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak kembali kepada keluarganya, ibu Isma’il mengikutinya di belakang hingga ketika sampai di dataran yang agak tinggi, ibu Isma’il memanggilnya dari belakang; “Wahai Ibrahim, kepada siapa engkau meninggalkan kami?” Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menjawab; “Kepada Allah”. Hajar berkata; “Kalau begitu, Aku telah redha kepada Allah”. Perawi berkata; “Lalu Hajar kembali (ke tempatnya semula dan minum geriba kunonya dan menyusui bayinya hingga ketika air persediaan habis dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Perawi berkata; “Maka dia pergi dan naik ke atas bukit Safaa lalu melihat-lihat adakah ada orang namun dia tidak merasakan ada seorang pun. Ketika sampai di lembah dia berlari-lari kecil dan mendatangi Marwa, dia melakukan yang demikian berkali-kali. Kemudian dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihatnya, yang dimaksudnya adalah bayinya. Maka dia pergi mendatangi bayinya yang ternyata keadaannya seperti ketika ditinggalkan seolah-olah menghisap nafas-nafas kematian sehingga hati Hajar tidak tenang. Dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat-lihat barangkali ada orang”. Maka dia pergi untuk mendaki bukit Safaa lalu melihat-lihat namun tidak ada seorang pun yang ditemuinya hingga ketika dia telah melakukan upaya itu sebanyak tujuh kali (antara bukit Safaa dan Marwah) dia berkata; “Sebaiknya aku pergi dan melihat apa yang terjadi dengan bayiku”, ternyata dia mendengar suara, maka dia berkata; “Tolonglah (aku) jika memang kamu baik”. Ternyata (suara itu) adalah malaikat Jibril ‘عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Perawi berkata; Lalu Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berbuat dengan tumitnya begini. Dia mengais-ngais tanah dengan tumitnya”. Perawi berkata; “Maka memancarlah air dan ibu Ism’ail terperanjat dan segera menampungnya”. Perawi berkata; Berkata Abu Al Qasim ﷺ: “Seandainya Hajar membiarkannya pasti air akan mengalir”. Perawi berkata; “Maka Hajar minum air (zamzam) itu sehingga dapat menyusui bayinya”. Kemudian serombongan orang daripada suku Jurhum melewati di dasar lembah dan mereka melihat ada seekor burung, seakan mereka tidak percaya, Mereka berkata: “Tidak akan ada burung melainkan pasti kerana ada air”. Akhirnya mereka mengutus seorang utusan mereka untuk melihatnya yang ternyata mereka memang berada di kawasan yang ada air. Utusan itu kemudian kembali kepada mereka dan mengabarkan (apa yang dilihatnya). Kemudian mereka menemui Hajar dan berkata; “Wahai Ibu Isma’il, apakah kamu mengizinkan kami untuk tinggal bersama kamu atau kami hidup bertetangga bersama kamu?”. Kemudian anaknya (Isma’il) membesar menjadi seorang pemuda lalu menikah dengan seorang wanita”.
(Sahih Bukhari (3114))

Ya kita harus bertawakal dalam apa jua keadaan sekalipun, namun apakah maksud tawakal yang sebenar-benarnya? Kena faham apa maksud tawakal. Bukan setakat serah sahaja urusan kita kepada Allah ﷻ. Namun kena ada usaha, kemudian serah kepada Allah ﷻ, dan selepas itu apa-apa sahaja keputusan Allah ﷻ berikan kepada kita, kita kena redha. Janganlah pula kata tawakal, tetapi apabila Allah ﷻ buat keputusan yang kita tidak suka, kita marah pula.

Maknanya kita buat yang terbaik dan kemudian kita serah keputusan akhirnya kepada Allah ﷻ kerana kita hanya boleh berusaha sahaja dan hasilnya nanti terpulang kepada Allah ﷻ. Namun kena pastikan ada usaha, bukannya serah kosong sahaja. Ini disebut di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Nabi ﷺ bersabda:

لَوْ أَنَّكُمْ تَتَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرَزَقَكُمْ كَمَا يَرْزُقُ الطَّيْرَ تَغْدُو خِمَاصاً وَتَرُوحُ بِطَاناً
“Seandainya kamu semua benar-benar bertawakal pada Allah, sungguh Allah akan memberikan kamu rezeki sebagaimana burung mendapatkan rezeki. Burung tersebut pergi pada pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali petang harinya dalam keadaan kenyang.”
(Riwayat Ahmad (1/30), al-Tirmizi (2344), Ibn Majah (4164), Ibn Hibban (730) dan al-Hakim (7894))

Makna daripada hadith ini, kena keluar dan berusaha, bukannya tunggu rezeki di rumah sahaja. Oleh itu umat Islam kena jalankan usaha dengan cara terbaik yang kita boleh lakukan, gunakan segala strategi yang kita ada, segala taktik dan teknik yang ada, kemudian setelah kita lakukan, kita serah kepada Allah ﷻ. Melalui sirah pun kita tahu bagaimana berbagai usaha dan strategi yang digunakan oleh Rasulullah ﷺ sebelum berperang dan semasa berperang. Rasulullah ﷺ juga pernah berkata kepada seorang lelaki pemilik unta:

اَعقِلْهَا وَتَوَكَّلْ
Ikatlah (untamu), baru kamu bertawakal.
(Riwayat al-Tirmizi (2157) dan Ibn Hibban (708))

Maka daripada hadith ini kita tahu yang kita bukannya bergantung kosong sahaja tetapi hendaklah kita mengambil langkah-langkah untuk memastikan apa yang kita hendak itu boleh tercapai. Cuma kita tahu yang apa-apa sahaja usaha kita itu tidak akan berjaya jikalau Allah ﷻ tidak izinkan dan kerana itu kita serah kepada Allah ﷻ.

Oleh itu kita kena ingat bahawa ada syarat-syarat tawakal sebenarnya:

1. Tinggalkan dosa dan bertaubat kepada Allah ﷻ.

2. Sentiasa mentaati perintah Allah ﷻ.

3. Yakin apa yang Allah ﷻ telah catit di Lauh Mahfuz pasti akan berlaku sama ada baik atau buruk. Yakin bahawa apa yang Allah ﷻ taqdirkan adalah terbaik walaupun bukan seperti yang kita rancang dan kehendaki. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Tawbah: 51

قُل لَّن يُصيبَنا إِلّا ما كَتَبَ اللَّهُ لَنا هُوَ مَولىٰنا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
Katakanlah: “Sekali-kali tidak akan menimpa kita melainkan apa yang telah ditetapkan Allah untuk kita. Dialah Pelindung kita, dan hanya kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakal”.

4. Mesti berusaha tidak kira sekecil manapun. Bukannya menunggu sahaja. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ perintahkan Maryam menggoncang pokok kurma untuk menjatuhkan kurma seperti disebut dalam Maryam: 25. Kalau difikirkan dengan akal logik, apalah sangat goncangan seorang wanita yang baru sahaja melahirkan anak dapat lakukan terhadap pokok kurma yang teguh keras itu? Memang tidak ada apa-apa pun, tetapi Allah ﷻ hendak kita ada usaha.

وَهُزّي إِلَيكِ بِجِذعِ النَّخلَةِ تُسٰقِط عَلَيكِ رُطَبًا جَنِيًّا
Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.

5. Hendaklah yakin bahawa dengan tawakal kepada Allah ﷻ itu dia akan mendapat ganjaran yang paling besar iaitu redha dan cinta Allah ﷻ. Dalilnya Allah ﷻ berfirman dalam Ali Imran: 159

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ المُتَوَكِّلينَ
sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.

6. Mesti merasakan diri sebagai makhluk yang lemah dan sangat berhajat kepada Allah ﷻ yang Maha Hebat.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Januari 2024

Ringkasan Surah Nahl


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Ustaz Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solahudin

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment