Tafsir Surah Yusuf Ayat 110 (Bantuan daripada Allah ‎ﷻ setelah putus asa) Part 2

Menelusuri tafsir ayat ini menjadi lebih kompleks kerana ada dua qira’at bagi kalimah كُذِبُوا. Kita telah kongsikan di atas hadith kata-kata A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا apabila ditanya oleh Urwah. Terdapat dua qira’at masyhur yang diriwayatkan daripada para sahabat dan tabi‘in dan dua-dua qira’at ini mutawatir dan terpakai. Kalau kita perhatikan hadith perbincangan Urwah dan A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا di atas, terdapat dua bacaan itu. Perbezaan antara dua qira’ah itu:

• Qira’ah pertama: كُذِّبُوا. Dibaca بالتشديد (dengan tasydid) [kuzzibu], bermakna “para rasul didustakan oleh kaumnya”. Ibn ‘Abbas رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا menafsirkannya bahawa para Rasul merasa putus asa daripada keimanan kaumnya, dan kaumnya mendustakan mereka .

• Qira’ah kedua: كُذِبُوا. Dibaca بالتخفيف (tanpa tasydid) [kuzibu], bermakna “kaum menyangka bahawa para rasul berdusta”. Ini menunjukkan bahawa sangkaan itu datang daripada kaum, bukan daripada para Rasul. Bacaan ini yang banyak digunakan di dalam mushaf.

Kedua qira’at ini juga dijelaskan oleh al-Ṭabarsī رَحِمَهُ اللَّهُ sebagai dua bentuk makna:
• yang كُذِّبُوا menunjukkan “تلقوا بالتكذيب” (mereka mendustakan para rasul),
• yang كُذِبُوا menunjukkan “كذبتك الحديث أي لم أصدقك” (yakni kaum menyangka para rasul tidak benar).

Oleh kerana itulah, terdapat banyak variasi bagi tafsiran ayat ini.

Satu perkara yang kita boleh belajar daripada hadith Urwah dan A’isyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا itu, bukan semua tahu tentang qira’at itu. Ini kerana bukan semua sahabat berada bersama Rasulullah ﷺ ketika baginda memberikan kedua-dua qira’at itu. Ini adalah salah satu daripada ilmu tentang Al-Qur’an yang luas. Kerana itu, kita takkan habis belajar tentang Al-Qur’an ini. Kerana bidang ilmunya terlalu luas dan kita tidak mampu menggarap kesemuanya sekali. Ilmu Al-Qur’an selain memahami maksud ayat-ayatnya, ada juga ilmu tentang Al-Qur’an itu sendiri seperti sejarah, cara pengumpulan, qira’at, tajwid dan sebagainya.

2. Mereka (orang kafir) menganggap para Rasul itu menipu. Mereka telah menjadi semakin berani menentang para Rasul kerana ancaman azab yang dijanjikan oleh para Rasul itu tidak terjadi pun. Jadi mereka rasa selamat dan ancaman daripada para Rasul itu kosong sahaja dan lebih kepada penipuan sahaja. Apabila ini berlaku, para Rasul itu diuji dengan lebih hebat lagi. Mereka sudah dapat lihat penolakan kaum mereka yang keras, tetapi pada masa yang sama, mereka tetap kena terus berdakwah. Kes klasik adalah Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang terus berdakwah walaupun ditolak selama 950 tahun! Hanya apabila Allah ‎ﷻ beritahu yang tidak akan ada lagi yang beriman, barulah baginda berhenti. Ini disebut di dalam Hud:36.

وَأُوحِيَ إِلَىٰ نُوحٍ أَنَّهُ لَن يُؤْمِنَ مِن قَوْمِكَ إِلَّا مَن قَدْ آمَنَ
“Dan diwahyukan kepada Nabi Nuh: ‘Bahawa sesungguhnya tidak akan ada yang beriman daripada kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman.’ 

Jadi, dua tafsiran ini adalah kalau kita mengambil bacaan كُذِبُوا.

3. Dua lagi pilihan adalah jikalau kita mengambil kira bacaan كُذِّبُوا. Oleh itu, satu lagi tafsiran adalah: mereka (para Rasul) hampir yakin bahawa mereka dikatakan sebagai penipu oleh orang-orang kafir. Para Rasul itu telah lama berdakwah, akan tetapi mereka yang kafir itu tidak nampak kebenaran yang disampaikan oleh para Rasul itu. Sampaikan para Rasul itu sudah hampir putus asa kerana tidak nampak orang-orang kafir itu akan berubah.

4. Pendapat ini pula menisbahkan mereka itu bukanlah orang kafir, tetapi orang beriman. Iaitu para pengikut Rasul yang telah beriman! Para Rasul itu takut orang-orang beriman pun sudah mula ada anggapan yang para Rasul itu menipu! Ini kerana keadaan sudah menjadi sangat teruk sampaikan para Rasul pun takut. Takut apa? Takut pengikut dan orang beriman pun merasa lelah sampai sudah tidak tetap lagi iman mereka, sampai mengatakan para Rasul itu sebagai penipu!

Begitulah kepayahan hidup boleh menggugat iman seseorang. Jangan kita anggap ia perkara kecil. Kalau iman tidak cukup kuat, boleh goyah jadinya. Kerana syaitan akan mengambil peluang kesusahan hidup itu sebagai punca untuk mencalar iman manusia. Kita mungkin rasa kita sudah beriman, tetapi bagaimana kalau hidup kita sudah sangat payah? Adakah kita pasti iman kita tidak tergadai? Begitulah yang terjadi pada golongan munafik zaman Nabi. Ia mula timbul apabila keadaan menjadi sangat teruk. Mereka tidak mahu kepayahan. Mereka sangka mereka akan senang kalau masuk Islam dan mereka tidak sangka mereka akan diuji; mereka kena berjihad dan sebagainya. Contohnya, ada yang tidak sangka mereka kena berperang/jihad (ketika Perang Badr) seperti disebut di dalam Anfal:5-7

كَمَآ أَخۡرَجَكَ رَبُّكَ مِنۢ بَيۡتِكَ بِٱلۡحَقِّ وَإِنَّ فَرِيقً۬ا مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ لَكَـٰرِهُونَ (٥) يُجَـٰدِلُونَكَ فِى ٱلۡحَقِّ بَعۡدَ مَا تَبَيَّنَ كَأَنَّمَا يُسَاقُونَ إِلَى ٱلۡمَوۡتِ وَهُمۡ يَنظُرُونَ (٦) وَإِذۡ يَعِدُكُمُ ٱللَّهُ إِحۡدَى ٱلطَّآٮِٕفَتَيۡنِ أَنَّہَا لَكُمۡ وَتَوَدُّونَ أَنَّ غَيۡرَ ذَاتِ ٱلشَّوۡڪَةِ تَكُونُ لَكُمۡ وَيُرِيدُ ٱللَّهُ أَن يُحِقَّ ٱلۡحَقَّ بِكَلِمَـٰتِهِۦ وَيَقۡطَعَ دَابِرَ ٱلۡكَـٰفِرِينَ (٧)
Sebagaimana (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga, sedang sebahagian daripada orang-orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang). (5) Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) setelah nyata (kepada mereka kemenangan yang engkau janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat (sebab-sebabnya). (6) Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu daripada dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (agama Islam) dengan Kalimah-kalimah-Nya dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya; (7) 

Bukan orang munafik sahaja yang rasa tertekan. Malah kalau orang yang memang ikhlas, iman mereka pun akan terasa tertekan dengan dugaan yang bertimpa-timpa. Begitulah yang dialami oleh para sahabat ketika di Mekah sampaikan mereka mengadu kepada Rasulullah ﷺ,

عَنْ خَبَّابِ بْنِ الأَرَتِّ، قَالَ شَكَوْنَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَهُوَ مُتَوَسِّدٌ بُرْدَةً لَهُ فِي ظِلِّ الْكَعْبَةِ، قُلْنَا لَهُ أَلاَ تَسْتَنْصِرُ لَنَا أَلاَ تَدْعُو اللَّهَ لَنَا‏.‏ قَالَ‏:‏ ” كَانَ الرَّجُلُ فِيمَنْ قَبْلَكُمْ يُحْفَرُ لَهُ فِي الأَرْضِ فَيُجْعَلُ فِيهِ، فَيُجَاءُ بِالْمِنْشَارِ فَيُوضَعُ عَلَى رَأْسِهِ فَيُشَقُّ بِاثْنَتَيْنِ، مَا يَصْرِفُهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَيُمْشَطُ بِأَمْشَاطِ الْحَدِيدِ مَا دُونَ لَحْمِهِ مِنْ عَظْمٍ أَوْ عَصَبٍ، مَا يَصْرِفُهُ ذَلِكَ عَنْ دِينِهِ، وَاللَّهِ لَيُتِمَّنَّ هَذَا الأَمْرَ حَتَّى يَسِيرَ الرَّاكِبُ مِنْ صَنْعَاءَ إِلَى حَضْرَمَوْتَ، لاَ يَخَافُ إِلاَّ اللَّهَ أَوِ الذِّئْبَ عَلَى غَنَمِهِ، وَلَكِنَّكُمْ تَسْتَعْجِلُونَ “
Daripada Khabbab bin al-Arat رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata: “Kami mengadu kepada Rasulullah ﷺ ketika baginda sedang berbantalkan kain burdah (sejenis kain selimut/pakaian luar) miliknya di bawah naungan Kaabah. Kami berkata kepada Baginda: ‘Tidakkah engkau memohon pertolongan untuk kami? Tidakkah engkau berdoa kepada Allah untuk kami?’ Baginda ﷺ bersabda: “Sesungguhnya pernah terjadi kepada orang-orang sebelum kamu; seorang lelaki ditangkap lalu digalikan lubang di tanah dan dia dimasukkan ke dalamnya. Kemudian dibawakan gergaji lalu diletakkan di atas kepalanya, maka kepalanya itu dibelah dua, namun seksaan itu tidak memalingkannya daripada agamanya. Dan ada pula yang disikat dengan sikat besi sehingga menembusi dagingnya hingga ke tulang atau urat, namun itu juga tidak memalingkannya daripada agamanya. Demi Allah! Urusan (agama) ini akan sempurna sehingga seorang pengembara mampu berjalan dari San’a (Yaman) ke Hadramaut tanpa merasa takut kepada sesiapa melainkan kepada Allah, atau (takut) serigala menerkam kambingnya. Akan tetapi, kamu semua adalah kaum yang terburu-buru.”

(Riwayat Bukhari No. 3612)

Kenapa para Rasul itu takut dan hampir putus asa? Kenapa mereka takut para pengikut pun berubah hati? Kerana mereka pun tidak tahu apa di dalam hati manusia lain, walaupun mereka itu telah beriman. Ini mengajar kita sekali lagi yang para Rasul juga tidak tahu apa yang ada di dalam hati manusia. Para Nabi dan Rasul itu ada pembantu, ada sahabat, ada pengikut. Akan tetapi, mereka tetap manusia; maka mereka tidak tahu siapakah yang sebenar-benar beriman.

Tadi kita telah sebutkan yang kalimah ظنّ mempunyai berbagai maksud. Ia berubah-ubah mengikut keadaan. Sekarang kita boleh kaitkan dengan beberapa pendapat yang kita telah berikan.

    • Sangkaan atau tekaan kerana tekanan ujian. Ini kerana para Rasul tidak tahu hati pengikut mereka. Mereka ada sangkaan sahaja.
    • Keyakinan (dalam qirā’ah tasydid). Para Rasul itu yakin yang orang-orang kafir menyangka mereka menipu.
    • Sangkaan kaum bahawa rasul berdusta. Ini adalah setakat sangkaan sahaja, kerana orang-orang kafir itu tidak ada keyakinan.

 

جاءَهُم نَصرُنا فَنُجِّيَ مَن نَشاءُ

datanglah kepada para rasul itu pertolongan Kami, lalu diselamatkan orang-orang yang Kami kehendaki.

Ketika mereka dalam rasa putus asa itulah, datang نَصرُ (bantuan yang besar) daripada Allah ‎ﷻ kerana kalimah نَصرُ bukan bermaksud bantuan yang kecil-kecil tetapi bantuan yang besar. Dan penggunaan kalimah نَصرُ ini khusus apabila ia digunakan untuk bantuan ketika menentang musuh. Dengan bantuan Allah ‎ﷻ itu, diselamatkan sesiapa yang Allah ‎ﷻ kehendaki. Di dalam kes Nabi Yusuf, نَصرُ itu adalah apabila baginda dikeluarkan dari penjara setelah sekian lama meringkuk di dalamnya. Bilakah نَصرُ bagi Nabi Muhammad ﷺ? Sekejap lagi kita jawab.

Menarik sekali, apabila kalimah جاءَ (datang) yang Allah ﷻ gunakan. Seolah-olah bantuan itu sudah ada pun, tunggu untuk datang sahaja. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ hendak beri kemenangan dan kejayaan kepada orang beriman, tetapi kenapa Allah ﷻ simpan dahulu bantuan yang sudah ada itu? Ini kita akan terangkan sebentar nanti.

Yang menarik tentang frasa ini adalah kalimah نَشاءُ (Kami kehendaki) yang digunakan. Ia di dalam bentuk mudhari‘ (present tense). Kita sangka Allah ﷻ bercakap tentang sejarah, tentang umat-umat sebelum ini yang menerima ujian, dan Allah ﷻ beri bantuan kepada mereka. Kalau itu sahaja, maka ia seharusnya di dalam bentuk madhi‘ (past tense) شِئْنَا. Dan memang kalimah-kalimah sebelum ini di dalam bentuk fi’il madhi, akan tetapi tiba-tiba ada iltifat (perubahan) pula kepada fi’il mudhari‘ dengan kalimah نَشاءُ ini. Menariknya, apabila Allah ﷻ menggunakan kalimah نَشاءُ di dalam bentuk semasa, maka ia memberi berita baik yang Allah ﷻ dahulu Dia bantu, sekarang dan di masa hadapan pun Allah ﷻ akan bantu sesiapa yang Dia kehendaki; bukan dahulu sahaja.

Perhatikan siapakah yang dibantu dan diselamatkan? Allah ﷻ beritahu di sini: مَن نَشاءُ (sesiapa yang Kami kehendaki) iaitu yang Allah ﷻ pilih. Allah ﷻ tidak kata pula Dia akan menyelamatkan para Rasul dan sahabat baginda sahaja, akan tetapi Allah ﷻ kata: مَن نَشاءُ. Ini kerana hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu siapa yang patut diselamatkan; kita sebagai manusia tidak tahu. Mungkin ada orang yang nampak seperti beriman, namun sebenarnya munafik, maka dia tidak layak diselamatkan. Mungkin pula ada orang yang nampak tidak beriman, tetapi dia sebenarnya beriman dengan sembunyi dan rahsia (mungkin takut ahli keluarganya tahu), maka kerana imannya itu, dia diselamatkan. Siapa yang tahu mereka itu? Hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu.

Oleh kerana itulah, kita perhatikan di dalam sejarah, ada penentang Rasulullah ﷺ yang keras seperti Khalid al-Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang menjadi tonggak utama puak kafir Mekah. Akan tetapi, mereka akhirnya telah beriman dan menjadi tonggak pula bagi Rasulullah ﷺ dan agama Islam! Siapa sangka orang yang kuat menentang Islam, akhirnya menjadi pendukung Islam pula! Allah ﷻ sahaja yang tahu dan Allah ﷻ pilih mereka kerana Allah ﷻ tahu mereka itu layak diselamatkan. Allah ﷻ tahu isi hati mereka.

Ayat ini diturunkan di Mekah dan ketika itu ada yang beriman dan ada yang tidak. Dalam kalangan yang beriman pula, ada yang menzahirkan iman mereka dan ada yang menyembunyikannya. Mungkin mereka orang yang lemah, mungkin mereka tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan keluarga mereka, maka mereka memilih untuk merahsiakan iman mereka. Mana kita tahu yang ada orang Mekah yang beriman tetapi menyembunyikan iman mereka? Dalilnya terdapat di dalam Fath:25

وَلَوْلَا رِجَالٌ مُّؤْمِنُونَ وَنِسَاءٌ مُّؤْمِنَاتٌ لَّمْ تَعْلَمُوهُمْ أَن تَطَئُوهُمْ فَتُصِيبَكُم مِّنْهُم مَّعَرَّةٌ بِغَيْرِ عِلْمٍ ۖ لِّيُدْخِلَ اللَّهُ فِي رَحْمَتِهِ مَن يَشَاءُ…
“…Dan kalaulah tidak kerana adanya lelaki-lelaki yang beriman dan perempuan-perempuan yang beriman (di Mekah) yang kamu tidak mengetahuinya, supaya kamu tidak memijak (menyerang) mereka lalu kamu ditimpa kesusahan/dosa (kerana membunuh mereka) tanpa pengetahuan kamu… (Allah menahan kamu daripada menyerang) supaya Allah memasukkan sesiapa yang dikehendaki-Nya ke dalam rahmat-Nya…”

Ayat ini tentang peristiwa Hudaibiyah ketika umat Islam datang ke Mekah untuk menunaikan Umrah. Hampir terjadi peperangan ketika umat Islam ketika itu sudah bersedia untuk berperang dengan Musyrikin Mekah tetapi Allah ﷻ tidak izinkan. Kerana kalau terjadi, ada kemungkinan orang beriman di Mekah yang menyembunyikan keimanannya akan dibunuh oleh umat Islam Madinah sendiri tanpa mengenali mereka. Allah ﷻ mahu selamatkan mereka.

Akhir sekali, perhatikan sekarang bilakah Allah ﷻ beri bantuan kepada para Rasul itu? Adakah dari mula? Kita tahu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah diberi bantuan oleh Allah ﷻ, tetapi bila? Adakah ketika baginda di dalam telaga? Adakah ketika baginda dijual sebagai hamba dan terpaksa bekerja di rumah Al-Aziz? Adakah ketika baginda meringkuk di dalam penjara? Tidak, bukan? Allah ‎ﷻ tidak terus beri bantuan kepada baginda.

Bagaimana pula dengan Nabi Muhammad ﷺ? Bilakah kejayaan yang Allah ‎ﷻ berikan kepada baginda? Baginda berdakwah selama 13 tahun di Mekah, adakah baginda dikira berjaya? Tidak. Bagaimana pula setelah baginda berhijrah ke Madinah? Adakah itu kejayaan? Belum lagi. Malah setelah beberapa tahun di Madinah, Allah ‎ﷻ hanya kata bantuan itu ‘dekat’ sahaja seperti disebut di dalam Baqarah:214

أَم حَسِبتُم أَن تَدخُلُوا الجَنَّةَ وَلَمّا يَأتِكُم مَّثَلُ الَّذينَ خَلَوا مِن قَبلِكُم ۖ مَّسَّتهُمُ البَأساءُ وَالضَّرّاءُ وَزُلزِلوا حَتّىٰ يَقولَ الرَّسولُ وَالَّذينَ ءآمَنوا مَعَهُ مَتىٰ نَصرُ اللَّهِ ۗ أَلا إِنَّ نَصرَ اللَّهِ قَريبٌ
Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).

Bilakah kejayaan itu diberi kepada Nabi Muhammad ﷺ dan umat Islam? Setelah 8 tahun berlalu di Madinah, bukan? Ketika Pembukaan Mekah, barulah Allah ‎ﷻ kata kejayaan telah diberikan. Barulah Allah ‎ﷻ kata di dalam Nasr:1

إِذا جاءَ نَصرُ اللَّهِ وَالفَتحُ
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan,

13 tahun + 8 = 21 tahun barulah Allah ‎ﷻ berikan kejayaan kepada baginda. Dan begitu juga dengan para Rasul yang lain. Kita belajar di sini Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dapat kejayaan entah 40 tahun rasanya setelah diuji oleh Allah ‎ﷻ. Begitulah Allah ‎ﷻ tidak terus beri kejayaan kepada mereka. Malah setelah mereka diuji sampai mereka hampir putus asa, bukan? Kenapa? Kerana Allah ‎ﷻ hendak beri kemanisan kejayaan itu. Kemanisan kejayaan tidak akan ada jikalau ia mudah didapati. Kemanisan itu terasa apabila kepayahan telah dirasai. Tanyalah kepada orang yang dapat berjalan setelah kakinya lumpuh; orang yang dapat melihat setelah buta sekian lama. Kita yang dapat nikmat berjalan dan melihat ini tidak menghargai sangat nikmat itu, bukan? Tapi bagi orang yang telah merasa kehilangannya, nikmat itu tidak dapat dibayangkan. Begitu juga dengan kejayaan yang didapati daripada usaha yang lama. Nikmat kejayaan itu lain macam!

Maka bagi kita yang menjalankan kerja dakwah Sunnah ini dan ditentang, diherdik, dicemuh dan sebagainya, bersabarlah. Dengan kita membaca ayat-ayat ini, sepatutnya memberi kelegaan kepada kita. Kejayaan masih jauh lagi dan mungkin akan sampai satu ketika, kita rasa hampir putus asa! Akan tetapi, kejayaan itu dekat dan Allah ‎ﷻ akan beri tepat pada masanya. Dan ketika itulah, kita akan merasai kemanisan kejayaan itu. Buat masa sekarang, kita buat kerja sahaja. Sebelum waktu itu sampai, ayat-ayat sebegini memberi kelegaan kepada kita. Bayangkan ayat ini diberikan kepada Rasulullah ﷺ di Mekah sebelum Hijrah, maka ia adalah masa yang lama. Namun, ia telah menjadi penghibur kepada hati Rasulullah ﷺ (Dakwa ke 3).

Akan tetapi, sebenarnya siapakah yang dimaksudkan dengan مَن نَشاءُ itu? Kalimat مَن نَشاءُ itu tidak disebut siapakah mereka. Adakah yang diselamatkan itu orang beriman? Atau orang tidak beriman? Ya, kita baca di sini yang para Rasul itu diberi kejayaan. Namun, adakah mereka yang perlu diselamatkan? Tidak sebenarnya. Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu diselamatkan kerana baginda telah selamat. Firaun sebenarnya yang perlu diselamatkan. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah selamat, tetapi abang-abangnya dan isteri Al-Aziz yang perlu diselamatkan. Nabi Muhammad ﷺ tidak perlu diselamatkan, tetapi para penentang bagindalah sebenarnya yang perlu diselamatkan. Ini adalah anjakan paradigma sebenarnya. Kita mungkin rasa para Rasul itu yang perlu diselamatkan oleh Allah ‎ﷻ, tetapi sebenarnya ia terbalik. Para penentang mereka yang memerlukan keselamatan! Kalau kita telah ada iman, kita selamat sebenarnya. Sebaliknya, kalau kita tidak beriman, walaupun kita ada kuasa besar, pengikut yang ramai dan kuasa kerajaan di tangan kita, kita sebenarnya tidak selamat!

 

وَلا يُرَدُّ بَأسُنا عَنِ القَومِ المُجرِمينَ

Dan tidak dapat ditolak seksa Kami daripada orang-orang yang berdosa.

Yang akan dibantu, akan diselamatkan oleh Allah ‎ﷻ dan mereka yang berdosa akan tetap dikenakan azab seksa. Mereka akan diperangi oleh Allah ﷻ kerana kalimah بَأسُ boleh ditafsirkan sebagai perang. Ia asalnya bermaksud azab, seksaan, atau hukuman tetapi selalu digunakan untuk merujuk kepada perang. Dan kalimah بَأسُنا bermaksud ‘perang Kami’ iaitu daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Kalau perang itu daripada Allah ‎ﷻ, tentu tidak akan dapat ditolak lagi. Begitulah yang Allah‎ ﷻ hendak timpakan kepada mereka yang melakukan syirik dan menentang Rasul dan orang beriman. Allah ﷻ berfirman di dalam Tariq:10

فَما لَهُ مِن قُوَّةٍ وَلا ناصِرٍ
maka sekali-kali tidak ada bagi manusia itu suatu kekuatan pun dan tidak (pula) seorang penolong.

Allah ﷻ kata Dia akan selamatkan orang yang Dia kehendaki iaitu orang-orang yang beriman, atau yang akan beriman. Apabila mereka diselamatkan, maka siapa yang tinggal? Yang tinggal hanyalah القَومِ المُجرِمينَ (kaum penjenayah_ dan mereka itulah yang akan dihancurkan, dikalahkan. Kita tahu semua kisah ketika banjir besar dan keluarga Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diselamatkan. Namun, bukan semua ahli keluarganya selamat, bukan? Anaknya yang tidak beriman tidak selamat dan dia ditenggelamkan bersama orang kafir yang lain. Anaknya sendiri yang tidak mahu beriman dan menolak apabila diajak untuk menaiki bahtera Nabi Nuh عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini seperti disebut di dalam Hud:42-43

وَهِيَ تَجْرِي بِهِمْ فِي مَوْجٍ كَالْجِبَالِ وَنَادَىٰ نُوحٌ ابْنَهُ وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ يَا بُنَيَّ ارْكَب مَّعَنَا وَلَا تَكُن مَّعَ الْكَافِرِينَ (42)
قَالَ سَآوِي إِلَىٰ جَبَلٍ يَعْصِمُنِي مِنَ الْمَاءِ ۚ قَالَ لَا عَاصِمَ الْيَوْمَ مِنْ أَمْرِ اللَّهِ إِلَّا مَن رَّحِمَ ۚ وَحَالَ بَيْنَهُمَا الْمَوْجُ فَكَانَ مِنَ الْمُغْرَقِينَ (43)
(42) “Dan bahtera itu pun bergerak membawa mereka dalam ombak yang besar seperti gunung-ganang. Dan Nabi Nuh memanggil anaknya, sedang anaknya itu berada di tempat yang terasing (dari bahtera itu): ‘Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau ada bersama-sama orang yang kafir!'” (43) “Anaknya menjawab: ‘Aku akan pergi berteduh di sebuah gunung yang dapat menyelamatkanku daripada air (banjir) itu.’ Nabi Nuh berkata: ‘Pada hari ini tidak ada sesiapa yang akan selamat daripada azab Allah, kecuali orang yang dikasihani-Nya.’ Dan (ketika itu) gelombang ombak pun menghalang antara keduanya, lalu jadilah dia (anak itu) daripada golongan orang yang ditenggelamkan.”

Begitulah, sebenarnya bukan Allah ‎ﷻ pilih bulu siapa yang selamat dan siapa yang tidak. Yang tidak diberi keselamatan itu adalah kerana mereka sendiri yang tidak mahu. Mereka sendiri yang menolak untuk beriman apabila diajak. Jadi mereka sendiri yang tidak mahu selamatlah.

Dan apabila azab dikenakan kepada mereka, ia akan tepat mengenai mereka. Begitulah Allah ‎ﷻ apabila memberi hukuman, tepat kena kepada yang ditentukan oleh-Nya. Kerana itulah apabila Allah ‎ﷻ mahu menjatuhkan azab kepada sesuatu kaum yang derhaka, Allah ‎ﷻ akan suruh Rasul dan orang beriman untuk tinggalkan tempat itu. Yang dimusnahkan hanya kaum yang telah melakukan kesalahan. Dan azab itu kena tepat. Sebagai contoh, batu yang dikenakan kepada umat Nabi Luth عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu siap bernama, seperti disebut di dalam Hud:82-83

فَلَمَّا جَاءَ أَمْرُنَا جَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهَا حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ مَّنضُودٍ (82) مُّسَوَّمَةً عِندَ رَبِّكَ ۖ وَمَا هِيَ مِنَ الظَّالِمِينَ بِبَعِيدٍ (83)
(82) “Maka apabila datang azab Kami, Kami jadikan negeri itu terbalik (yang atas ke bawah), dan Kami menghujani mereka dengan batu-batu daripada tanah yang dibakar (Sijjil) secara bertubi-tubi.” (83) “Yang ditandakan (Musawwamah) di sisi Tuhanmu; dan azab itu tidaklah jauh daripada orang-orang yang zalim itu.”

Perhatikan kalimah القَومِ yang digunakan di sini. Secara tradisi, القَومِ itu merujuk kepada sekelompok manusia yang mempunyai persamaan dari segi bangsa, bahasa, keturunan. Namun, di sini Allah ‎ﷻ memberi definisi baru, iaitu القَومِ boleh merujuk kepada kelompok manusia yang mempunyai pegangan akidah yang sama. Tidak kira mereka itu daripada bangsa mana, negara mana.

Yang menarik, ayat ini diletakkan di dalam Surah Yusuf. Maka kita kena lihat contoh yang Allah ‎ﷻ berikan di dalam surah ini. Kisah apa yang telah kita pelajari di dalamnya? Bukankah ada kisah orang yang telah berdosa tetapi akhirnya tidak dimusnahkan? Kita lihat kisah abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, dan kita lihat juga kisah isteri Al-Aziz yang jelas-jelas berdosa tetapi akhirnya mereka selamat, bukan? Kerana Allah ‎ﷻ tahu siapa yang patut diselamatkan. Kerana itu, kita telah menyebutkan contoh Khalid al-Walid رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ dan Abu Sufyan رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ yang asalnya menentang Rasulullah ﷺ, tetapi Allah ‎ﷻ tidak musnahkan mereka.

Ayat ini pertama sekali menjadi peringatan dan ancaman kepada Musyrikin Mekah yang menentang Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ mengingatkan mereka dengan umat terdahulu yang telah diseksa kerana menentang Nabi. Janganlah Musyrikin Mekah itu perasan yang mereka itu selamat kerana sehingga saat itu mereka belum lagi dikenakan azab. Allah ﷻ kata akan sampai masanya. Dan di dalam masa yang sama, ia adalah berita gembira kepada orang beriman. Allah ﷻ memberitahu yang bukanlah Allah ﷻ tidak tahu apa yang terjadi; bukanlah Allah ﷻ tidak boleh membantu mereka; itu semua tidak benar. Allah ﷻ menjanjikan kemenangan, cuma Allah ﷻ tidak sebut bilakah kemenangan itu. Tarikh kemenangan itu Allah ﷻ tidak letak dalam kalendar, tapi ia bergantung kepada keputusan daripada Allah ﷻ dan Allah ﷻ akan beri pada masa yang tepat.

Kenapa Allah ﷻ tidak terus beri azab kepada para penentang kebenaran? Ini adalah salah satu rahmat yang Allah ﷻ berikan kepada hambaNya. Allah ﷻ tidak terus beri azab, sebaliknya Allah ﷻ berikan masa untuk mereka berfikir dan berfikir. Allah ﷻ beri peluang kepada mereka untuk memerhatikan jalan mana yang benar, jalan mana yang selamat. Kalau mereka tetap memilih jalan kesesatan setelah sekian lama, barulah mereka layak dikenakan azab yang teruk.

Kuiz Kefahaman (Jawapan Pendek)

Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan konteks sumber yang disediakan. Setiap jawapan perlulah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.

  1. Apakah isyarat yang ingin disampaikan melalui penggunaan kalimah حَتَّىٰ di permulaan ayat 110?
  2. Jelaskan perbezaan antara kalimah استَيأَسَ (Istay’asa) dan يَاْيـَٔسُ (Ya’yasu) dalam konteks orang beriman dan orang kafir.
  3. Apakah yang dimaksudkan dengan istilah Muqaddar (المُقَدَّر) dalam ayat ini?
  4. Bagaimanakah Ibnu Taimiyyah menghujahkan bahawa para Rasul tidak mungkin putus asa terhadap rahmat Allah?
  5. Nyatakan tiga daripada empat fungsi wazan استفعل (Istaf’ala) yang dibincangkan dalam teks.
  6. Apakah dua Qira’at (bacaan) yang sahih bagi kalimah كُذِبُوا dan bagaimanakah ia mengubah makna ayat?
  7. Mengapakah Aisyah R.A. menolak tafsiran bahawa para Rasul menyangka Allah telah mendustai janji-Nya?
  8. Berdasarkan kisah Perjanjian Hudaibiyah, bagaimanakah “ijtihad” seorang Rasul boleh membawa kepada perasaan hampir putus asa?
  9. Apakah pengajaran di sebalik kelewatan bantuan Allah (Nasr) kepada para Rasul seperti Nabi Muhammad dan Nabi Yusuf?
  10. Siapakah yang dimaksudkan dengan golongan al-Mujrimin yang tidak dapat menolak seksaan Allah?

Glosari Istilah Kunci

Istilah
Definisi
Dakwa
Tema atau mesej utama yang ingin disampaikan oleh Allah dalam sesuatu bahagian ayat Al-Qur’an.
Muqaddar (المُقَدَّر)
Perkataan atau ayat yang tersirat (tidak tertulis) dalam teks tetapi difahami kewujudannya berdasarkan konteks.
Istay’asa (استَيأَسَ)
Keadaan hampir putus asa atau menuju ke arah hilang harapan terhadap sesuatu keadaan manusiawi.
Wazan (وزن)
Pola atau timbangan kata dalam bahasa Arab yang mengubah makna dasar sesuatu perkataan mengikut penambahan huruf.
Ma’sum (معصوم)
Sifat para Rasul yang terpelihara daripada melakukan dosa, kesalahan dalam menyampaikan wahyu, atau bersangka buruk kepada Allah.
Zan (ظنّ)
Istilah yang mempunyai pelbagai makna mengikut konteks, merangkumi keyakinan (yakin), sangkaan kuat, atau sekadar tekaan lemah.
Qira’at (قراءات)
Kaedah-kaedah bacaan Al-Qur’an yang berbeza yang diterima daripada Rasulullah SAW melalui sanad yang mutawatir.
Iltifat (التفات)
Gaya bahasa Al-Qur’an yang mengubah arah bicara, seperti perubahan dari kata kerja masa lampau (madhi) ke masa sekarang (mudhari’).
Nasr (نصر)
Bantuan yang besar dan khusus daripada Allah, biasanya merujuk kepada kemenangan dalam menghadapi musuh.
Ba’sun (بَأسُ)
Azab, seksaan, atau hukuman yang keras; juga sering digunakan untuk merujuk kepada peperangan.
Al-Mujrimin (المُجْرِمِين)
Orang-orang yang berdosa, khususnya mereka yang melakukan syirik dan menentang kebenaran yang dibawa oleh para Rasul.
Sunnatullah
Ketentuan atau hukum Allah yang tetap dan berlaku dalam alam semesta serta sejarah manusia.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Mac 2026

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 110 (Bantuan daripada Allah ‎ﷻ setelah putus asa) Part 2”

  1. Skema Jawapan

    1 Penggunaan Hatta memberi isyarat bahawa proses dakwah para Rasul mengambil masa yang sangat lama dan penuh penentangan, bukan berlaku secara tiba-tiba. Ia menggambarkan kemuncak kepada satu tempoh perjuangan yang panjang sehingga sampai ke situasi yang sangat kritikal.
    2 Kalimah Ya’yasu merujuk kepada putus asa sepenuhnya yang hanya dilakukan oleh kaum kafir dan hukumnya adalah haram. Manakala Istay’asa yang digunakan untuk para Rasul bermaksud “hampir” hilang harapan atau menuju ke arah putus asa terhadap respon manusia, namun tidak sekali-kali putus asa terhadap rahmat Allah.
    3 Muqaddar merujuk kepada perkataan atau makna tersirat yang tidak tertulis secara zahir tetapi difahami melalui konteks untuk melengkapkan makna ayat. Dalam ayat ini, Muqaddar-nya adalah dugaan yang berlarutan sehingga bantuan Allah terasa sangat lambat sampai kepada para Rasul.
    4 Ibnu Taimiyyah berhujah bahawa para Rasul adalah Ma’sum (terpelihara) daripada bersangka buruk kepada Allah dan mereka hanya “putus harap terhadap kaumnya” setelah segala usaha dakwah dilakukan. Beliau melihat keadaan ini sebagai sunnatullah di mana bantuan Allah hanya akan turun apabila ujian mencapai tahap paling puncak dan kritikal.
    5 Tiga fungsi wazan tersebut adalah menunjukkan permintaan (Al-Thalab), menunjukkan perubahan keadaan (Al-Sayrurah), dan menunjukkan anggapan atau keyakinan (Al-I’tiqad). Dalam konteks Istay’asa, fungsi yang paling sesuai adalah perubahan keadaan yang bermaksud menuju kepada putus asa tetapi belum mencapainya.
    6 Qira’at pertama ialah Kuzzibu (dengan tasydid) yang bermakna para Rasul didustakan oleh kaumnya, manakala Qira’at kedua ialah Kuzibu (tanpa tasydid) yang bermaksud kaum menyangka para Rasul telah berbohong. Kedua-dua bacaan ini adalah mutawatir dan memberikan dimensi makna yang berbeza terhadap tekanan yang dihadapi para Rasul.
    7 Aisyah R.A. menegaskan bahawa tidak mungkin para Rasul mempunyai sangkaan buruk sedemikian terhadap Tuhan mereka kerana iman mereka yang teguh. Beliau menjelaskan bahawa yang merasa tertekan dan menyangka bantuan tidak akan datang adalah para pengikut yang beriman apabila melihat bala bencana berlarutan terlalu lama.
    8 Dalam Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW berijtihad bahawa umrah akan berlaku pada tahun tersebut berdasarkan mimpi baginda, namun Allah menangguhkannya ke waktu lain. Perbezaan antara perkiraan manusia (ijtihad) dengan ketentuan masa dari Allah inilah yang boleh menggoncang hati walaupun minda tetap beriman.
    9 Kelewatan bantuan Allah bertujuan agar manusia menyedari bahawa kemenangan adalah murni datangnya daripada Allah dan bukan atas kekuatan manusia semata-mata. Selain itu, ia bertujuan agar nikmat kejayaan itu terasa lebih manis setelah melalui kepahitan dan kepayahan yang luar biasa.
    10 Golongan al-Mujrimin merujuk kepada kelompok manusia yang mempunyai pegangan akidah yang salah, melakukan syirik, dan menentang Rasul. Mereka adalah kelompok yang tetap akan dikenakan azab yang tidak dapat ditolak, walaupun Allah menyelamatkan sesiapa yang Dia kehendaki dalam proses tersebut.

    Like

Leave a comment