PARA RASUL ALLAH
Yusuf Ayat 109: Di sini Allah ﷻ beritahu kenapa para Nabi dipilih dari kalangan manusia juga. Ini adalah kerana ada yang persoalkan kenapa Rasul dari kalangan manusia – kenapa tidak dihantar sahaja malaikat? Jadi ayat ini menangani dua bantahan terhadap kedudukan para Rasul. Allah ﷻ menetapkan bahawa rasul sentiasa رِجَالًا (lelaki) iaitu manusia, bukan malaikat. Dan mereka sentiasa مِّنْ أَهْلِ ٱلْقُرَىٰٓ (daripada kalangan penduduk bandar/pekan) iaitu penduduk tempatan, bukan orang asing.
وَمَآ أَرسَلنَا مِن قَبلِكَ إِلَّا رِجَالاً نُّوحِىٓ إِلَيهِم مِّن أَهلِ ٱلقُرَىٰٓۗ أَفَلَم يَسِيرُواْ فِى ٱلأَرضِ فَيَنظُرُواْ كَيفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبلِهِم ۗ وَلَدَارُ ٱلأَخِرَةِ خَيرٌ لِّلَّذِينَ ٱتَّقَواْۗ أَفَلَا تَعقِلُونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And We sent not before you [as messengers] except men to whom We revealed from among the people of cities. So have they¹ not traveled through the earth and observed how was the end of those before them? And the home of the Hereafter is best for those who fear Allāh; then will you not reason?
- Those who deny Prophet Muḥammad (ṣ).
(MALAY)
Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki yang Kami berikan wahyu kepadanya diantara penduduk negeri. Maka tidakkah mereka bepergian di muka bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul) dan sesungguhnya kampung akhirat adalah lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memikirkannya?
وَمآ أَرسَلنا مِن قَبلِكَ إِلّا رِجالً
Kami tidak mengutus sebelum kamu, melainkan orang laki-laki
Sebelum Nabi Muhammad ﷺ, para Rasul yang diutuskan pun adalah dari kalangan manusia juga. Jadi memang sunnatullah adalah dihantar manusia sebagai Nabi untuk manusia juga. Takkan hendak hantar malaikat untuk didik manusia pula? Ayat ini menangani bantahan berulang kali daripada kaum Quraisy tentang Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم — mengapa Allah menghantar seorang lelaki biasa, seseorang yang mereka kenali, seseorang yang berjalan di pasar-pasar, sebagai pesuruh-Nya? Ini seperti disebut di dalam Furqan:7
وَقالوا مالِ هٰذَا الرَّسولِ يَأكُلُ الطَّعامَ وَيَمشي فِي الأَسواقِ ۙ لَّولا أُنزِلَ إِلَيهِ مَلَكٌ فَيَكونَ مَعَهُ نَذيرًا
Dan mereka berkata: “Mengapa rasul itu memakan makanan dan berjalan di pasar-pasar? Mengapa tidak diturunkan kepadanya seorang malaikat agar malaikat itu memberikan peringatan bersama-sama dengan dia?
Hujah ini selalu digunakan oleh penentang wahyu dan dinukilkan di dalam Al-Qur’an. Antara lain adalah Mukminun:24
فَقالَ المَلَأُ الَّذينَ كَفَروا مِن قَومِهِ ما هٰذا إِلّا بَشَرٌ مِّثلُكُم يُريدُ أَن يَتَفَضَّلَ عَلَيكُم وَلَو شاءَ اللهُ لَأَنزَلَ مَلٰئِكَةً مّا سَمِعنا بِهٰذا في آبائِنَا الأَوَّلينَ
Maka pemuka-pemuka orang yang kafir di antara kaumnya menjawab: “Orang ini tidak lain hanyalah manusia seperti kamu, yang bermaksud hendak menjadi seorang yang lebih tinggi dari kamu. Dan kalau Allah ﷻ menghendaki, tentu Dia mengutus beberapa orang malaikat. Belum pernah kami mendengar (seruan yang seperti) ini pada masa nenek moyang kami yang dahulu.
Mereka mengharapkan sesuatu yang lebih hebat, mungkin malaikat atau seseorang yang mempunyai sifat luar biasa. Allah menjawab dengan menetapkan bahawa ini sentiasa menjadi jalan-Nya — semua Rasul sepanjang sejarah adalah lelaki dari kalangan kaum mereka sendiri.
Ayat ini meneruskan tema daripada Ayat 108 di mana Nabi صلى الله عليه وسلم diperintahkan untuk mengisytiharkan jalannya dan tauhidnya, serta menyatakan secara jelas bahawa baginda tidak seperti orang musyrik. Ayat 109 ini menyusul dengan menenangkan baginda bahawa baginda tidak sendirian dalam pendirian ini — semua Rasul terdahulu berdiri berasingan daripada masyarakat mereka dengan cara yang sama, bersatu hanya melalui wahyu yang mereka terima. Kalimah رِجالً bermaksud seorang lelaki, berseorangan sahaja membawa dakwah Tauhid.
Ada perbincangan lain tentang ayat ini. Ayat ini juga menjadi dalil bahawa sesungguhnya Allah ﷻ mengutus rasul-rasul-Nya hanyalah dari kalangan kaum lelaki, bukan kaum wanita. Demikianlah menurut pendapat jumhur ulama’, seperti yang ditunjukkan oleh konteks ayat yang mulia ini. Disebutkan bahawa Allah ﷻ tidak memberikan wahyu kepada seorang wanita pun dari kalangan anak Adam عليه السلام, iaitu wahyu yang mengandungi hukum. Antara hikmahnya:
-
- Ketabahan Fizikal & Mental: Tugas dakwah memerlukan seseorang berhadapan dengan penentangan kaum, peperangan, dan perjalanan yang jauh. Semua ini lebih patut dihadapi oleh seorang lelaki dan bukannya wanita.
- Kepimpinan: Tugas seorang Rasul merangkumi menjadi imam solat dan pemimpin masyarakat, yang mana tanggungjawab ini diletakkan di bahu lelaki.
Pelantikan lelaki sebagai Rasul juga adalah nikmat dari Allah. Kenapa? Bayangkan kalau dilantik wanita jadi Rasul? Kalau Rasul itu wanita, tentu payah kerana nanti datang haidh pula, emosi tak kuat. Merajuk pun kuat, nanti kalau ditolak nanti tarik mula pula. Kalau hendak berhujah pun, tidak berapa pandai, melainkan guna airmata sahaja nanti, bukan?
Ia adalah juga pujian kepada Rasulullah. Dalam bahasa Arab, terdapat perbezaan antara الذكور (lelaki dari sudut biologi) dan رِجَالاً (lelaki dari sudut sifat dan kualiti).
1. “Rijal” sebagai Simbol Ketabahan (Syaja’ah)
Seorang Nabi bukan hanya lelaki, tetapi dia adalah “Rijal”—iaitu sosok yang memiliki keteguhan hati yang luar biasa. Dakwah para Nabi di Al-Qura (pusat tamadun) memerlukan kekuatan untuk:
-
- Berhadapan dengan raja yang zalim (seperti Nabi Musa dengan Penguasa Mesir).
- Sabar menghadapi ejekan manusia yang berkata mereka hanya “manusia yang berjalan di pasar”.
Kesan penggunaan kata ini menunjukkan bahawa para Nabi adalah individu yang “tahan banting” dan tidak goyah oleh badai penentangan.
2. Menunjukkan Kepimpinan dan Tanggungjawab
Kalimah Rijal sering dikaitkan dengan Qiwamah (kepimpinan dan perlindungan). Dengan menggunakan istilah رِجَالاً, Allah ingin menegaskan bahawa tugas Kenabian memerlukan:
-
- Kewibawaan: Untuk memimpin umat dan memberikan Bayan (penjelasan) yang jelas.
- Keberadaan di Medan: Seorang Rijal tidak bersembunyi. Mereka turun ke masyarakat, ke pasar, dan ke pusat kota untuk menyampaikan kebenaran secara terang-terangan.
Ayat ini juga menjadi dalil bagi pendapat yang mengatakan tiada Rasul dari kalangan bangsa jin. Isu sama ada terdapat Nabi atau Rasul daripada kalangan jin dibahaskan oleh para mufassir. Terdapat dua pandangan utama, namun pendapat yang dominan menafikan kewujudan Nabi atau Rasul daripada bangsa jin. Sebahagian besar ulama’ (majoriti) menyatakan bahawa tiada Nabi atau Rasul daripada jin, dan semua Nabi atau Rasul adalah daripada kalangan manusia. Mereka menggunakan Ayat 109 ini sebagai dalil kerana kalimah رِجالً yang digunakan. Dan رِجالً adalah lelaki dari golongan manusia, bukan jin.
Akan tetapi terdapat pandangan sebahagian mufassir (minoriti) yang berpendapat Allah pernah mengutus Rasul daripada bangsa jin, tetapi pandangan ini tidak menjadi arus perdana. Sebagai contoh, ada disebut yang Allah pernah mengutus kepada bangsa jin seorang Rasul dari kalangan mereka yang bernama “يوسف”. Namun, pandangan ini dinilai oleh ulama lain sebagai khilaf tidak muktabar, kerana ia bertentangan dengan zahir ayat dan dengan Ayat 109 dan pandangan majoriti.
Walaupun tidak ada Nabi daripada jin, jin tetap menerima risalah melalui para Rasul manusia, khususnya Nabi Muhammad ﷺ. Banyak tafsir menjelaskan bahawa jin mendengar Al‑Qur’an, lalu kembali kepada kaum mereka sebagai نذر (pemberi peringatan), bukan sebagai rasul yang diutus oleh Allah. Menurut sumber-sumber yang ada, bangsa jin pada zaman sekarang belajar agama melalui manusia, khususnya para ulama, para dai, dan orang beriman yang menyampaikan ajaran Islam. Jin yang beriman akan datang mendengar bacaan, majlis ilmu, zikir, atau dakwah manusia, lalu menyampaikan kepada kaum mereka.
نوحيٓ إِلَيهِم مِّن أَهلِ القُرىٰ
yang Kami berikan wahyu kepadanya di antara penduduk negeri-negeri.
Bukan sahaja dihantar manusia kepada manusia, Allah ﷻ akan hantar Rasul kepada أَهلِ القُرىٰ (penduduk tempat itu). Maksudnya tidaklah Allah ﷻ hantar Rasul melainkan dari tempat itu juga, kerana Rasul itu akan menggunakan bahasa masyarakat itu. Takkan hantar Rasul dari tempat lain kerana susah pula untuk berkomunikasi nanti.
Kedua, mesti orang dari kawasan itu kerana mereka yang faham dengan situasi itu. Kalau setakat hendakkan sama bahasa, sebenarnya boleh sahaja orang luar belajar bahasa penduduk itu, bukan? Tetapi untuk jadi Rasul yang efektif, kenalah berasal dari kawasan situ juga supaya Rasul itu sudah tahu apakah budaya mereka, sejarah mereka dan apa yang mereka lalui di tempat itu. Ini supaya tidak ada sebab untuk penduduk di situ menolak Rasul itu atas alasan kerana Rasul adalah orang luar. Supaya jangan penduduk negeri itu berhujah: “Kau mana tahu keadaan kami di sini dan masalah kami….”
Maka kerana itu kita boleh perhatikan fenomena linguistik dan fenomena sosiologi yang berlaku di sini. Allah ﷻ memberitahu kita di tempat lain iaitu di dalam Ibrahim:4
وَمَآ أَرْسَلْنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوْمِهِۦ
“Kami tidak mengutus mana-mana rasul melainkan dengan bahasa kaumnya”
Tetapi kita telah sebutkan tadi bahawa sekadar bertutur bahasa seseorang tidak mencukupi. Seorang warga asing boleh mempelajari bahasa penduduk tempatan. Namun, untuk benar-benar berhubung dengan manusia, anda memerlukan lebih daripada sekadar kosa kata dan tatabahasa. Anda perlu memahami budaya mereka, sejarah mereka, pemikiran mereka, perjuangan mereka, dan konteks mereka. Itulah sebabnya para Rasul sentiasa dari dalam komuniti tersebut. Mereka memahami dari mana orang ramai itu berasal. Mereka bukan orang luar yang memaksakan konsep asing. Orang ramai tidak boleh mengetepikan mereka dengan berkata: “Siapakah ini yang membawa idea asing? Dia tidak memahami masyarakat kita. Dia tidak mempunyai penghargaan terhadap budaya kita. Dia menganggap agama asingnya lebih baik daripada tradisi kita.”
Rasul tersebut tentunya mengenali masyarakat mereka secara mendalam kerana dia adalah salah seorang daripada mereka. Inilah perbezaan antara bertutur bahasa seseorang dengan bertutur bahasa harian (lingo) mereka. Anda boleh mempelajari sesuatu bahasa di mana-mana sahaja, tetapi untuk mengetahui lingo, iaitu simpulan bahasa, rujukan budaya, dan anggapan yang tidak diucapkan, anda mestilah berasal daripada kalangan orang itu sendiri.
Frasa مِن أَهلِ القُرىٰ (dari kalangan penduduk bandar) menghubungkan kembali kepada keseluruhan naratif kisah Nabi Yusuf عليه السلام dalam Surah ini. Nabi Yusuf adalah seorang warga asing (datang dari Kan’an) yang kemudiannya menjadi warga Mesir, seorang yang akhirnya dilihat oleh orang ramai sebagai salah seorang daripada mereka, malah lebih setia kepada negara mereka berbanding penduduk asal. Ini kerana baginda sampai menjadi menteri di Mesir, bukan? Ini menunjukkan yang para Nabi, walaupun pada mulanya dianggap orang luar, akhirnya sebati dalam komuniti mereka. Mereka tetap dianggap sebagai penduduk negeri itu, dan maka itu layak memberi dakwah kepada penduduk di situ.
Untuk perbincangan seterusnya, kita kena jelaskan apa maksud القُرىٰ. Yang dimaksudkan dengan istilah القُرىٰ di dalam ayat ini ialah kota, bukan daerah pedalaman atau kampung yang penduduknya sedikit. Memang suasana di kota tidak sama kalau dibandingkan dengan penduduk daerah pedalaman. Orang-orang yang tinggal di daerah yang ramai lebih mudah untuk diajak berkomunikasi daripada orang-orang yang tinggal di daerah pedalaman. Ini kerana mereka lebih memahami bahasa dan perbincangan yang tinggi sikit. Dan kerana itu mereka itu lebih kuat agamanya kalau dibandingkan dengan orang pedalaman. Kerana itulah Allah ﷻ menyebutkan dalam firman-Nya di dalam Tawbah:97
الأَعرابُ أَشَدُّ كُفرًا وَنِفاقًا وَأَجدَرُ أَلّا يَعلَموا حُدودَ ما أَنزَلَ اللَّهُ عَلىٰ رَسولِهِ
Orang-orang Arab Badwi itu, lebih kuat kekafiran dan kemunafikannya, dan lebih berkemungkinan tidak mengetahui hukum-hukum yang diturunkan Allah kepada Rasul-Nya.
Orang-orang Badwi itu maksudnya yang tinggal di pedalaman, padang pasir, yang hidup nomad berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat, tidak ada tempat tinggal yang tetap. Kalau kita perhatikan, Nabi-nabi yang besar dan utama memang diutus ke pusat-pusat tamadun manusia; sebagai contoh, Nabi Musa عليه السلام ke Mesir (kuasa besar pada zamannya), Nabi Ibrahim عليه السلام pula berpindah-pindah antara penempatan utama zaman itu, dan Nabi-nabi lain ke komuniti yang signifikan pada zaman mereka. Para ulama tafsir (seperti Imam Ibnu Kathir) menjelaskan mengapa Rasul dipilih daripada penduduk القُرىٰ (bandar/negeri) dan bukannya penduduk pedalaman (ahlul badiyah atau yang kita biasa guna – badwi):
-
- Kematangan Akal: Penduduk bandar atau negeri yang menetap biasanya lebih matang, tenang, dan mempunyai santun budi pekerti. Mereka tidak gasar seperti penduduk pedalaman yang cakap pakai lepas sahaja.
- Kefasihan Bahasa: Mereka memiliki lisan (bahasa) yang lebih jelas untuk menyampaikan bayan (penjelasan), selari dengan ayat Ibrahim:4 yang telah dikongsikan di atas. Kosa kata mereka banyak jadi senang hendak bawa mereka bincang.
- Penyebaran Ilmu: Bandar atau pekan adalah pusat pertemuan manusia, memudahkan dakwah tersebar ke kawasan lain.
Jadi apa maksud القُرىٰ? Mesir dirujuk secara eksplisit dalam Surah ini melalui kisah Nabi Yusuf عليه السلام, dan kadangkala disebut sebagai الْقَرْيَةَ (jamak: القُرىٰ) dan ada juga disebut ٱلمَدِينَةِ. Perhatikan di dalam Ayat 82, abang-abang Nabi Yusuf menyebut Mesir sebagai الْقَرْيَةَ,
وَاسْأَلِ الْقَرْيَةَ الَّتِي كُنَّا فِيهَ
“Dan tanyalah (penduduk) negeri (al-Qaryah) tempat kami berada di situ,
Akan tetapi di dalam Ayat 30 Allah menggunakan istilah ٱلمَدِينَةِ pula,
وَقَالَ نِسوَةٌ فِى ٱلمَدِينَةِ
Dan wanita-wanita di kota berkata
Jadi untuk memahami maksud القُرىٰ, kita kena rujuk kepada Arab Klasik. Jangan kita rujuk kepada bahasa Arab moden sekarang kerana القُرىٰ yang mufradnya الْقَرْيَةَ digunakan untuk kampung sahaja sekarang (kita orang Melayu pun sebut kariah, bukan?). Tapi kenapa sekejap الْقَرْيَةَ dan sekejap ٱلمَدِينَةِ pula? Al-Qur’an menggunakan bahasa yang tepat, bukan? Jadi tidak sewenangnya Allah sekejap tukar begitu sahaja, jadi tentu ada penjelasannya, bukan? Kerana itu kalau Allah hendak sebut betul-betul kampung, istilah badiyah yang digunakan seperti disebut di dalam Yusuf:100
وَجَآءَ بِكُم مِّنَ ٱلبَدوِ مِنۢ ٱلبَدوِ
dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir
Secara etimologi (bahasa), قَرْيَةَ berasal daripada kata dasar ق ر ي yang antaranya bermaksud mengumpul. Maka, apa sahaja tempat yang menjadi pusat pengumpulan manusia, sama ada ia kecil atau sebuah kota raya yang besar, boleh dipanggil sebagai قَرْيَةَ. Jadi ia bukan terhad kepada kampung sahaja.
Ulama’ ada menjelaskan perbezaan الْقَرْيَةَ dan ٱلمَدِينَةِ dari sudut pandang:
-
- Al-Madinah: Merujuk kepada aspek fizikal dan geografi (bangunan, keluasan, kemajuan, pusat pentadbiran).
- Al-Qaryah: Merujuk kepada aspek sosial dan penduduk (komuniti manusia yang tinggal di dalamnya). Itulah sebabnya dalam Yusuf: 82, mereka kata “Tanyalah qaryah itu”, kerana yang boleh ditanya adalah penduduknya, bukan bangunan fizikalnya.
Jadi, apabila Al-Qur’an merujuk kepada tempat fizikal, digunakan istilah ٱلمَدِينَةِ; apabila merujuk kepada penduduk tempat itu, digunakan istilah الْقَرْيَةَ. Ia merujuk kepada penduduk yang mempunyai kesamaan di dalam bentuk agama, kesukaan, kenegaraan. Kerana itu apabila Al-Qur’an menyebut azab yang dikenakan, istilah القُرىٰ yang digunakan, kerana tempat itu tidak bersalah; penduduk yang tinggal di situ yang bersalah. Mereka bersatu dalam kesesatan, jadi memang patut dihancurkan semua sekali tanpa tinggal kesan. Oleh kerana itu ada contoh di mana Allah sebut yang dimusnahkan adalah manusianya, tapi tempat itu dibiarkan begitu sahaja dan orang lain boleh tengok peninggalannya; ini seperti di dalam A’raf:92 tentang kaum Nabi Syuaib,
الَّذينَ كَذَّبوا شُعَيبًا كَأَن لَّم يَغنَوا فيهَا
Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib (punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah mendiami negeri itu.
Maknanya tempat tinggal mereka itu masih tetap berdiri lagi, cuma tidak nampak kesan mereka pernah didiami. Contoh lain adalah Mesir sendiri pada zaman Nabi Musa. Allah keluarkan Fir’aun dan segala pengikut dia dan benamkan dalam laut. Mesir kemudian didiami dan digunakan oleh orang lain.
Lagi pun kita pun tahu yang Mesir bukan tempat yang biasa. Jadi tidaklah patut kalau kita kata ia ‘kampung’ sahaja. Piramid Mesir telah wujud selama kira-kira 1,000 tahun sebelum zaman Nabi Yusuf عليه السلام mengikut anggaran sejarah. Sampai sekarang manusia yang pakar masih lagi mengkaji sejarah Mesir dan mereka masih lagi kebingungan tentang banyak perkara. Oleh itu, struktur besar ini pastinya terkenal di seluruh dunia purba, mewakili kemuncak pencapaian seni bina manusia. Kaum Quraisy pasti menyedari tentang tamadun Mesir dan negara-negara lain yang telah musnah seperti Aad dan Thamud, yang runtuhannya kekal kelihatan di landskap bumi Arab. Perintah untuk mengembara dan memerhati runtuhan menghubungkan ayat ini kepada konteks masyarakat Arab ketika itu di mana sisa-sisa kaum Thamud dan kaum lain yang musnah boleh dilihat di sepanjang laluan perdagangan. Kaum Quraisy adalah pedagang yang sering melalui laluan ini dan pasti melewati tapak-tapak purba tersebut. Runtuhan tersebut berfungsi sebagai bukti fizikal tentang kekuasaan Allah untuk memusnahkan tamadun yang gagah.
Jadi para Rasul dihantar ke bandar-bandar. Seperti yang kita telah lihat, Nabi Yusuf dihantar ke Mesir, Nabi Muhammad dihantar ke Mekah. Tapi bagaimana pula dengan Nabi seperti Nabi Ya’qub yang dihantar ke Kan’an, tempat yang bukan bandar, tapi kecil sahaja? Di sini kita kena bincangkan perbezaan antara Nabi dan Rasul.
Perbezaan antara Nabi dan Rasul adalah salah satu topik asas dalam ilmu Tauhid. Walaupun kedua-duanya adalah insan pilihan yang menerima wahyu, terdapat perbezaan khusus dari segi skop tugas dan syariat yang dibawa. Berikut adalah perbezaan utamanya:
1. Definisi dan Syariat
Nabi: Seorang lelaki pilihan yang menerima wahyu daripada Allah untuk dirinya sendiri atau untuk meneruskan syariat Rasul sebelumnya. Dia tidak membawa kitab suci atau syariat baru.
Rasul: Seorang lelaki pilihan yang menerima wahyu dengan syariat baru dan diperintahkan untuk menyampaikannya kepada umatnya (terutamanya umat yang menentang atau belum mengenal kebenaran).
2. Skop Tugasan (Tabligh)
Nabi: Diutus kepada kaum yang sudah beriman untuk menguatkan syariat yang sedia ada. Contohnya, para Nabi Bani Israil yang diutus selepas Nabi Musa a.s. untuk menjalankan hukum Taurat.
Rasul: Diutus kepada kaum yang ingkar, kafir, atau sesat untuk membawa ajaran baru atau melakukan perubahan besar dalam syariat.
Dalam ilmu akidah, terdapat satu kaedah: “Setiap Rasul adalah Nabi, tetapi bukan semua Nabi itu adalah Rasul.” Jika kita lihat semula Ayat 109 ini, yang digunakan adalah kalimah أَرسَلنَا (Kami utus), yang biasanya merujuk kepada Rasul. Jadi ini menjawab persoalan kenapa Nabi Yusuf dihantar ke Mesir dan Nabi Ya’qub dihantar ke Kan’an. Kedudukan mereka tidak sama.
Di sini kita nampak hikmah mengapa Rasul dipilih dari penduduk Al-Qura (bandar/negeri):
- Kerana Rasul tugasnya berat—iaitu berhadapan dengan kaum yang menentang.
- Pusat tamadun (bandar) adalah tempat berhimpunnya golongan cendekiawan dan penentang yang hebat, maka Rasul perlukan Lisan Qaum (bahasa) yang sangat kuat dan Hikmah yang tinggi untuk mematahkan hujah mereka. Berdebat dengan orang bandar yang berpendidikan tidak sama berdebat dengan orang kampung, bukan? Orang bandar sudah terbuka kepada dunia luar dan mungkin telah mengetahui tentang prinsip agama-agama yang ada di dunia. Jadi para Rasul perlu mempunyai kekuatan yang lebih, dan kerana itu Allah berikan mereka dengan mukjizat yang hebat.
Terdapat ironi sejarah yang ketara dalam tindakan Allah mengutus pesuruh terakhir-Nya صلى الله عليه وسلم ke Mekah, yang bukan merupakan kuasa besar dunia seperti Rom, Parsi, Mesir, China atau India pada masa itu. Ia agak terpencil di padang pasir Arab, namun dari tempat yang “tidak penting” ini, Islam tersebar menjadi pusat intelektual dan budaya bagi sebahagian besar dunia bertamadun dalam masa satu generasi. Pemikiran hebat dari tamadun purba Parsi, Rom, India dan Afrika menjadi ulama Islam, mempelajari Al-Qur’an yang datang dari “tempat tanpa nama” ini.
Tapi Mekah itu memang pekan/bandar bagi masyarakat Arab ketika itu. Oleh sebab itulah dakwah Sunnah hendaklah diterapkan di kawasan pekan dahulu. Apabila orang pekan/bandar sudah terima, maka, ia senang diterima di kawasan pedalaman kerana selalunya orang pedalaman mengikut perkara yang berlaku di pekan/bandar. Sebagai contoh, sudah menjadi kebiasaannya fesyen bermula di pekan dan kemudian orang pedalaman akan ikut. Ini kerana orang di pedalaman selalunya akan ikut orang yang datang dari bandar/pekan.
Para Rasul itu ya memang manusia, tapi mereka bukanlah manusia biasa. Yang membezakan mereka dengan manusia lain adalah kerana mereka telah diberikan dengan wahyu dari Allah yang membimbing mereka. Dan dengan wahyu itu mereka kena sampaikan kepada umat. Manusia memerlukan petunjuk dari Allah dan ia datang dalam bentuk wahyu yang disampaikan melalui para Rasul.
Struktur ayat ini meletakkan نوحيٓ إِلَيهِم (Kami wahyukan kepada mereka) di tengah-tengah antara رِجالً (lelaki) dan مِن أَهلِ القُرىٰ (daripada penduduk bandar). Kedudukan ini adalah sengaja — ia adalah satu-satunya perkara yang membezakan Nabi daripada orang biasa, namun mereka tetap terhubung dengan orang ramai di kedua-dua sisi wahyu tersebut.
Manusia – رِجالً
Wahyu – نوحيٓ إِلَيهِم
Kembali kepada manusia – مِن أَهلِ القُرىٰ
Para Nabi kekal sebagai manusia sepenuhnya dan terhubung sepenuhnya dengan komuniti mereka, tetapi wahyu mengubah pandangan (basirah) mereka. Mereka mahukan yang terbaik untuk kaum mereka, tetapi apa yang mereka fahami sebagai “yang terbaik” kini dipandu oleh bimbingan ilahi dan bukannya melihat kepada keperluan sosial semata-mata. Ia mengajar kita bahawa kalau kita mahukan kebaikan untuk masyarakat kita, kita hendaklah berpandukan kepada wahyu Allah.
Berikut adalah beberapa pengajaran ringkas daripada Surah Yusuf ayat 109:
• Sunnatullah dalam Melantik Rasul: Allah SWT menetapkan bahawa semua Rasul sepanjang sejarah adalah daripada kalangan manusia (lelaki) dan bukannya malaikat. Ini bertujuan supaya mereka boleh menjadi contoh teladan yang praktikal bagi manusia lain.
• Hikmah Pemilihan Lelaki (Rijal): Rasul dipilih daripada kalangan lelaki kerana tugas dakwah yang berat memerlukan ketabahan fizikal, mental, serta kepimpinan untuk berhadapan dengan penentangan dan mengetuai masyarakat.
• Kepentingan Konteks Tempatan: Rasul diutus daripada kalangan penduduk bandar atau negeri (Ahl al-Qura) supaya mereka faham akan bahasa, budaya, sejarah, dan pemikiran masyarakat setempat. Ini memudahkan komunikasi dan mengelakkan dakwah ditolak atas alasan membawa “idea asing”.
• Pusat Tamadun sebagai Hub Dakwah: Allah memilih pusat-pusat tamadun (bandar) sebagai tempat pengutusan Rasul kerana penduduknya biasanya lebih matang akal, fasih berbahasa, dan bandar merupakan pusat pertemuan manusia yang memudahkan penyebaran ilmu ke kawasan lain.
• Wahyu sebagai Pembeza Utama: Perkara tunggal yang membezakan seorang Nabi dengan manusia biasa adalah wahyu yang diterimanya. Walaupun mereka manusia sepenuhnya, pandangan hidup mereka dibimbing oleh petunjuk ilahi, bukan sekadar keperluan sosial semata-mata.
• Ibrah daripada Sejarah: Manusia diperintahkan untuk mengembara dan memerhatikan kesudahan tamadun terdahulu yang mendustakan Rasul. Runtuhan fizikal (seperti di Mesir) menjadi bukti kekuasaan Allah memusnahkan bangsa yang gagah namun ingkar.
• Keutamaan Negeri Akhirat: Ayat ini menegaskan bahawa negeri akhirat adalah jauh lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa berbanding kenikmatan dunia yang bersifat sementara.
• Tuntutan Menggunakan Akal: Allah menutup ayat ini dengan persoalan retorik agar manusia menggunakan akal fikiran untuk merenung kebenaran wahyu dan pengajaran sejarah demi kebaikan diri mereka sendiri.
Kuiz Kefahaman: Soalan Jawapan Pendek
Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.
1. Mengapakah Allah SWT mengutuskan para Rasul dalam kalangan manusia dan bukannya malaikat?
2. Jelaskan perbezaan antara istilah “Zukur” dan “Rijal” dalam konteks ayat ini.
3. Kenapakah para Rasul dipilih daripada kalangan “Ahl al-Qura” (penduduk bandar/pekan)?
4. Apakah perbezaan penggunaan istilah “Al-Qaryah” dan “Al-Madinah” menurut sudut pandang ulama tafsir? “
5. Mengapakah seorang Rasul perlu berasal daripada kaum yang sama dengan penduduk tempatan?
6. Bagaimanakah kedudukan golongan jin dalam menerima risalah dakwah menurut teks tersebut?
7. Apakah dua hikmah utama di sebalik pelantikan lelaki sebagai Rasul menurut jumhur ulama?
8. Bagaimanakah Al-Quran menggambarkan sifat orang Arab Badwi (penduduk pedalaman) berbanding penduduk bandar?
9. Terangkan perbezaan asas antara seorang Nabi dan seorang Rasul.
10. Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada struktur ayat yang meletakkan “Wahyu” di antara “Manusia” dan “Penduduk Bandar”?
Glosari Istilah Utama
• Ahl al-Qura: Merujuk kepada penduduk bandar atau pekan yang menetap; pusat tamadun manusia.
• Badiyah / A’rab: Penduduk pedalaman atau dusun di padang pasir (Arab Badwi) yang hidup nomad.
• Basirah: Pandangan mata hati atau kefahaman mendalam yang dipandu oleh bimbingan ilahi.
• Bayan: Penjelasan atau keterangan yang jelas dan fasih.
• Lisan Qaum: Bahasa kaum; merujuk kepada bahasa dan dialek tempatan yang digunakan oleh para Rasul untuk berkomunikasi.
• Nabi: Lelaki pilihan yang menerima wahyu daripada Allah, namun biasanya mengukuhkan syariat yang sedia ada.
• Nuzur: Pemberi peringatan; merujuk kepada peranan jin yang menyampaikan ajaran Islam kepada kaum mereka.
• Qiwamah: Kepimpinan, perlindungan, dan tanggungjawab yang diletakkan di bahu lelaki.
• Rasul: Utusan Allah yang membawa syariat baru atau kitab suci kepada kaum yang ingkar atau sesat.
• Rijal: Istilah bagi lelaki yang menekankan kualiti sifat seperti ketabahan, keberanian, dan kewibawaan.
• Sunnatullah: Ketentuan atau jalan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sepanjang sejarah manusia.
• Wahyu: Kalam Allah atau bimbingan ilahi yang disampaikan kepada para Nabi dan Rasul.
Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya
Kemaskini: 26 Februari 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Kuiz Kefahaman: Soalan Jawapan Pendek
Sila jawab soalan-soalan berikut berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks sumber. Setiap jawapan hendaklah terdiri daripada 2 hingga 3 ayat.
1. Mengapakah Allah SWT mengutuskan para Rasul dalam kalangan manusia dan bukannya malaikat? Allah menetapkan para Rasul sebagai manusia (lelaki) agar mereka dapat mendidik manusia lain secara efektif melalui pengalaman hidup yang serupa, seperti makan dan berjalan di pasar. Jika malaikat diutus, manusia mungkin akan berasa sukar untuk mencontohi sifat luar biasa mereka dalam kehidupan seharian.
2. Jelaskan perbezaan antara istilah “Zukur” dan “Rijal” dalam konteks ayat ini. “Zukur” merujuk kepada lelaki dari sudut biologi semata-mata, manakala “Rijal” merujuk kepada lelaki yang memiliki kualiti sifat seperti ketabahan, keberanian, dan kepimpinan. Penggunaan istilah “Rijal” dalam ayat ini menekankan bahawa para Nabi adalah individu yang “tahan banting” dalam menghadapi penentangan masyarakat.
3. Kenapakah para Rasul dipilih daripada kalangan “Ahl al-Qura” (penduduk bandar/pekan)? Penduduk bandar dipilih kerana mereka biasanya lebih matang dari segi akal, mempunyai budi pekerti yang lebih halus, dan memiliki kosa kata yang lebih luas untuk menyampaikan penjelasan (bayan). Selain itu, bandar merupakan pusat tamadun yang memudahkan penyebaran ilmu ke kawasan lain secara lebih meluas.
4. Apakah perbezaan penggunaan istilah “Al-Qaryah” dan “Al-Madinah” menurut sudut pandang ulama tafsir? “Al-Madinah” digunakan apabila Al-Quran ingin merujuk kepada aspek fizikal dan geografi sesebuah kota seperti bangunan dan pusat pentadbiran. Manakala “Al-Qaryah” merujuk kepada aspek sosial, iaitu komuniti manusia yang tinggal di dalamnya dan berkongsi nilai atau agama yang sama.
5. Mengapakah seorang Rasul perlu berasal daripada kaum yang sama dengan penduduk tempatan? Rasul perlu berasal dari komuniti tersebut agar beliau memahami budaya, sejarah, dan “lingo” atau simpulan bahasa harian masyarakatnya secara mendalam. Ini mengelakkan penduduk tempatan daripada menolak dakwah atas alasan bahawa ajaran tersebut adalah asing atau dibawa oleh orang luar yang tidak memahami situasi mereka.
6. Bagaimanakah kedudukan golongan jin dalam menerima risalah dakwah menurut teks tersebut? Majoriti ulama berpendapat tiada Rasul dalam kalangan jin, sebaliknya mereka menerima risalah melalui para Rasul manusia seperti Nabi Muhammad ﷺ. Jin yang beriman akan mendengar ajaran Islam daripada manusia dan kemudian kembali kepada kaum mereka sebagai pemberi peringatan (nuzur).
7. Apakah dua hikmah utama di sebalik pelantikan lelaki sebagai Rasul menurut jumhur ulama? Pertama, tugas dakwah memerlukan ketabahan fizikal dan mental yang luar biasa untuk menghadapi peperangan dan perjalanan jauh. Kedua, peranan Rasul merangkumi tanggungjawab kepimpinan masyarakat dan menjadi imam solat yang diletakkan di bahu lelaki.
8. Bagaimanakah Al-Quran menggambarkan sifat orang Arab Badwi (penduduk pedalaman) berbanding penduduk bandar? Teks menyatakan bahawa orang Arab Badwi cenderung lebih kuat kekafiran dan kemunafikannya serta hidup nomad tanpa tempat tinggal tetap. Mereka digambarkan sebagai lebih gasar dan kurang memahami hukum-hukum Allah berbanding penduduk bandar yang lebih tenang dan berpendidikan.
9. Terangkan perbezaan asas antara seorang Nabi dan seorang Rasul. Nabi ialah lelaki pilihan yang menerima wahyu untuk dirinya sendiri atau untuk meneruskan syariat terdahulu tanpa membawa kitab baru. Rasul pula diutus kepada kaum yang ingkar dengan membawa syariat atau hukum baru yang wajib disampaikan kepada umatnya.
10. Apakah pengajaran yang boleh diambil daripada struktur ayat yang meletakkan “Wahyu” di antara “Manusia” dan “Penduduk Bandar”? Struktur ini menunjukkan bahawa wahyu adalah satu-satunya perkara yang membezakan Nabi daripada manusia biasa, namun mereka tetap terhubung dengan masyarakat. Wahyu mengubah pandangan (basirah) mereka supaya dapat membimbing masyarakat berdasarkan bimbingan ilahi, bukan sekadar mengikut keperluan sosial.
LikeLike