Tafsir Surah Yusuf Ayat 90 (Ya, akulah Yusuf)

Yusuf Ayat 90: Ini adalah Keadaan ke 14 di mana Nabi Yusuf عليه السلام akan memperkenalkan dirinya kepada saudara-saudaranya. Sekarang mereka terkejut sangat, bagaimana Menteri ini tahu tentang kisah itu? Mereka tak pernah pun sebut nama baginda. Mereka pun mula tengok Nabi Yusuf عليه السلام dari atas ke bawah dan sekarang melihat dengan teliti sekali.

Apa yang akan anda lakukan jika selepas bertahun-tahun menderita, anda akhirnya berkuasa penuh ke atas orang yang telah menzalimi anda? Fikiran kita mungkin membayangkan detik pembalasan dendam yang memuaskan. Namun, kisah Nabi Yusuf a.s. menawarkan perspektif yang luar biasa tentang kuasa, kesabaran, dan kemenangan sejati. Tindakannya pada saat genting ini, ketika abang-abangnya yang dahulu zalim kini melutut di hadapannya, mengandungi pengajaran yang mendalam untuk kehidupan kita.

قَالُوٓاْ أَءِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ‌ۖ قَالَ أَنَا۟ يُوسُفُ وَهَـٰذَآ أَخِى‌ۖ قَد مَنَّ ٱللَّهُ عَلَينَآ‌ۖ إِنَّهُ ۥ مَن يَتَّقِ وَيَصبِر فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجرَ ٱلمُحسِنِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “Are you indeed Joseph?” He said, “I am Joseph, and this is my brother. Allāh has certainly favored us. Indeed, he who fears Allāh and is patient, then indeed, Allāh does not allow to be lost the reward of those who do good.”

(MALAY)

Mereka berkata: “Apakah kamu ini benar-benar Yusuf?”. Yusuf menjawab: “Akulah Yusuf dan ini saudaraku. Sesungguhnya Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kami”. Sesungguhnya barang siapa yang bertakwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik”

 

قَالُوٓاْ أَءِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ‌

Mereka berkata: “Apakah kamu ini benar-benar Yusuf?”

Mereka kehairanan kerana Al-Aziz ini boleh tanya begitu pula, bagaimana baginda boleh tahu? Setelah mereka melihat Nabi Yusuf عليه السلام dengan teliti, barulah mereka perasan yang Menteri Kewangan itu ada iras-iras Nabi Yusuf عليه السلام. Sebelum ini mereka tidak perasan kerana tentulah mereka tidak ada sangkaan itu. Dan mereka mungkin teringat tentang mimpi yang dialami oleh Nabi Yusuf banyak tahun dahulu ketika baginda kecil yang mereka adik beradik dan ibubapa mereka akan sujud kepada baginda. Maka mereka sudah dapat tahu yang itu adalah tanda yang baginda akan mendapat kedudukan yang tinggi.

Nabi Yusuf a.s. tidak terus menjerit, “Akulah Yusuf!” Sebaliknya, baginda memilih pendekatan yang lebih bijaksana dan mendalam. Bayangkan suasana itu: adik-beradiknya berdiri jauh di bawah, manakala baginda duduk di atas takhta yang tinggi. Mungkin baginda turun dari takhtanya, mendekati mereka, merenung tepat ke dalam mata mereka dan mengajukan satu soalan yang spesifik dan tajam: “Tahukah kamu apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya…?”

Pendekatan ini sangat berkesan kerana ia tidak memberitahu, sebaliknya ia memaksa abang-abangnya untuk berfikir. Tiba-tiba, segala-galanya menjadi jelas. Dalam fikiran mereka yang panik, mereka mula menyambung sendiri titik-titik yang telah baginda tinggalkan: kemurahan hatinya yang luar biasa, permintaannya yang khusus untuk melihat Bunyamin, cara baginda bercakap. Kebenaran itu ibarat ilusi optik atau babak latar belakang dalam filem; ia sentiasa ada di depan mata mereka, tetapi mereka tidak melihatnya kerana mereka tidak “benar-benar mencari”. Bayangkan mereka telah berapa kali jumpa Nabi Yusuf tapi masih tak perasan adik mereka yang di hadapan mata mereka. Dengan memaksa mereka menemui kebenaran itu sendiri, kesedaran yang mereka alami menjadi jauh lebih mendalam dan mengubah hidup berbanding jika ia hanya diberitahu kepada mereka.

Mereka sebenarnya sudah ada sangkaan yang kuat, tapi untuk memastikan lagi, maka mereka tanya: adakah engkau Yusuf? Muka mungkin sudah biru agaknya. Waktu mereka bertanya itu mungkin suara mereka terketar-ketar. Kita boleh bayangkan dari kalimat yang digunakan. Sudahlah anda إنّ sebagai satu penegasan, ditambah pula dua kali mereka kata ‘engkau’ iaitu ك dan أَنتَ. Kemudian ada pula lam taukid (huruf ل sebagai penegasan). Mereka tanya itu bukannya kerana mereka kebingungan akan tetapi untuk dapat kepastian sahaja kerana mereka sebenarnya sudah tahu yang di hadapan mereka itu adalah Yusuf, adik mereka! Dalam kepala mereka sekarang terbayanglah segala perbuatan mereka dahulu itu. Dan kali terakhir bukankah mereka kata baginda seorang pencuri? Lihat Ayat 77,

قَالُوٓاْ إِن يَسرِق فَقَد سَرَقَ أَخٌ لَّهُ ۥ مِن قَبلُ‌
Mereka berkata: “Jika dia mencuri, maka sesungguhnya, telah pernah mencuri juga saudaranya sebelum itu”

Ulama tafsir ada membincangkan bagaimana mereka boleh kenal. Ada yang bagi pendapat kerana bila mereka tengok cara baginda senyum, ia sebiji seperti senyuman Yusuf adik mereka. Akan tetapi agak susah hendak terima pendapat ini kerana ini bukan waktu untuk senyum. Suasana sedang tegang, bukan? Ada juga yang kata baginda buka mahkota di kepala baginda dan abang-abangnya nampak ada tanda pada dahi baginda.

 

قَالَ أَنَا۟ يُوسُفُ وَهَـٰذَآ أَخِى‌

Yusuf menjawab: “Akulah Yusuf dan ini saudaraku.

Baginda mengaku yang baginda adalah Nabi Yusuf عليه السلام. Kemudian baginda kata ini Bunyamin. Buat apa kenalkan Bunyamin pula, bukannya mereka tidak kenal? Ini kerana baginda menekankan bahawa Bunyamin itu adalah adik baginda. Maknanya baginda hendak beritahu baginda adalah Yusuf saudara kepada Bunyamin ini, bukan Yusuf yang lain. Tapi ini agak lemah kerana selalunya kalau hendak perkenalkan diri, selalunya dikaitkan dengan ayah, bukan dengan adik.

Jadi mungkin Nabi Yusuf عليه السلام ingin memberitahu: jangan lupa, itu adalah adiknya (yang mereka telah buat tidak baik dengan dia juga). Macam kita jangan kacau gengster dan bukan hanya dia tapi keluarga dia juga, bukan? Siaplah kalau keluarga dia pun kena kacau. Seolah-olah dengan memberitahu namanya dan adiknya itu adalah sebagai isyarat untuk mereka ingat kembali tentang kezaliman yang abang-abang itu kenakan kepada mereka berdua. Akan tetapi kata-kata itu tidak keluar, cuma tersirat sahaja pada sebutan nama itu. Ia terucap secara halus sahaja. Seolah-olah baginda cakap: “Dulu kalian tidak sangat dengan kami, bukan? Sekarang amacam?”

Juga di dalam masa yang sama, baginda menyatakan yang mereka semua telah berjaya dalam misi mereka. Misi mana? Misi arahan ayah mereka untuk mencari Nabi Yusuf dan Bunyamin; sekarang dua-dua sudah di hadapan mata mereka. Tahniah, sudah jumpa.

Lihat bagaimana baginda tidak cakap pun mereka itu abang-abangnya. Ini kerana dahulu mereka tidak mengaku yang mereka berdua adalah sama dengan mereka, mereka kata mereka puak yang lain, sekarang baginda ulang semula sahaja. Baginda pulangkan balik kepada mereka kerana mereka sebelum ini geng dengan mereka berdua, bukan?

 

قَد مَنَّ اللهُ عَلَينا

Sesungguhnya Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kami”. 

Kalau tadi bunyi amat menakutkan kerana Nabi Yusuf boleh buat apa-apa sahaja. Baginda boleh buat 10 telaga untuk dimasukkan setiap seorang dari abang-abangnya itu. Tapi tiba-tiba Nabi Yusuf bercakap dengan nada positif pula. Lihat bagaimana Nabi Yusuf عليه السلام memuji Allah ‎ﷻ. Baginda kata Allah ‎ﷻ telah memberi banyak nikmat ke atas mereka berdua. Ada banyak nikmat yang kita boleh bincangkan. Pertamanya, nikmat mereka ditemukan kembali setelah sekian lama.

 

Anjakan Paradigma

Aduh indahnya apa yang baginda lakukan! Bayangkan seketika suasana tegang di dalam dewan itu. Adik-beradik yang kelaparan, ketakutan, dan rasa bersalah berdiri di hadapan pemerintah agung yang pernah mereka campakkan ke dalam perigi. Selepas mendedahkan identitinya, tentu mereka rasa dunia mereka pasti runtuh. Tak cukup tanah untuk mereka lari. Mereka hanya menanti hukuman. Tetapi apa yang keluar dari mulut Nabi Yusuf a.s. adalah sesuatu yang tidak dijangka sama sekali! Kata-kata pertamanya selepas berdekad-dekad kesakitan dan kesedihan menghadapi ujian bukanlah tentang dendam atau kesalahan mereka. Sebaliknya, ia adalah tentang kesyukuran: “Allah sesungguhnya telah mengurniakan nikmat kepada kami berdua.”

Persoalan: apa lagi nikmat apa yang baginda maksudkan? Ibn Abbas mengatakan nikmat mereka tetap di atas iman walaupun apa yang terjadi kepada mereka. Mereka tidak terpengaruh dengan bisikan syaitan yang sentiasa mengajak melakukan perkara yang salah.

Di sini ada perli kepada abang-abang itu: “Kami ini dapat jaga iman kami, tapi kamu? Kamu ikut nafsu kamu dan kamu ikut bisikan syaitan.” Tapi kalimat ini baginda tidak cakap tapi ia boleh difikirkan. Baginda tetap jaga hati mereka walaupun mereka tidak layak menerimanya.

Tindakan ini sangat luar biasa. Fikirannya serta-merta beralih daripada kesalahan yang mereka lakukan pada masa lalu kepada kebaikan yang Allah telah lakukan pada masa kini. Bukanlah Nabi Yusuf tak cakap langsung tentang apa yang telah berlaku. Baginda sudah sebut pun sebelum ini dalam Ayat 89: قَالَ هَل عَلِمتُم مَّا فَعَلتُم بِيُوسُفَ وَأَخِيهِ إِذ أَنتُم جَـٰهِلُونَ (Yusuf berkata: “Apakah kamu mengetahui (kejelekan) apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya ketika kamu tidak mengetahui (akibat) perbuatanmu itu?”) akan tetapi setakat ini sahaja. Tidaklah baginda sembur mereka. Sebaliknya baginda terus sebut perkara positif. Ia menunjukkan satu anjakan perspektif yang mendalam, daripada seorang mangsa yang mengingati penderitaan kepada seorang penerima nikmat yang mengiktiraf kurniaan Tuhan pada saat ini. Ia adalah satu anjakan paradigma yang hebat. 

Ini ada satu perkara yang kita boleh belajar dan amalkan dalam kehidupan kita untuk merendah diri. Nabi Yusuf sudah mempunyai kuasa, tapi baginda kembalikan nikmat itu kepada Allah ‎ﷻ. Baginda tidak berlagak kerana baginda tahu yang apa yang terjadi itu adalah semua dalam perancangan Allah ‎ﷻ. Ini seperti yang disebut oleh Nabi Sulaiman ketika baginda mendapat nikmat kekuasaan dari Allah, disebut di dalam Naml:40

قالَ هٰذا مِن فَضلِ رَبّي
dia pun berkata: “Ini termasuk kurnia Tuhanku”

Maka kalau orang tanya kita selepas ini, bagaimana tuan boleh jadi kaya? Maka jawapannya kita kembalikan kepada Allah. Jangan kita sibuk cerita usaha kita sahaja tapi lupa untuk selit nama Allah dalam kejayaan kita itu.

Nikmat seterusnya yang telah diberikan kepada Nabi Yusuf dan Bunyamin adalah dikeluarkan dari kekangan yang membelenggu mereka. Nabi Yusuf dari telaga, perhambaan dan penjara. Bunyamin pula dari kekangan buli abang-abang mereka. Allah telah selamatkan mereka dan memberi ketenangan kepada mereka. Ini adalah satu nikmat yang amat besar. Berapa ramai lagi dari kalangan kita yang masih di dalam kekangan belenggu ini? Dalam keluarga yang toksik, perkahwinan yang toksik, tempat kerja yang toksik dan sebagainya. Semoga Allah beri mereka kelapangan yang telah diberikan kepada Nabi Yusuf dan Bunyamin ini.

Satu lagi nikmat yang diberikan kepada mereka berdua itu adalah kelebihan mengatasi abang-abang itu. Kalau dahulu abang-abang itu menindas mereka, sekarang abang-abang itu tidak ada kuasa lagi untuk menindas. Mereka sudah tidak ada kuasa. Yang ada kuasa adalah Nabi Yusuf pula yang boleh menjaga adiknya itu. Tapi Nabi Yusuf tidaklah kata baginda mengatasi mereka pula. Hanya baginda cakap Allah telah beri nikmat sahaja ke atas mereka berdua. Kerana baginda masih lagi menjaga hati mereka. Mereka faham-faham sendiri sahaja. Dan malah mereka sendiri akan cakap selepas ini nanti: قَالُواْ تَٱللَّهِ لَقَد ءَاثَرَكَ ٱللَّهُ عَلَينَا وَإِن ڪُنَّا لَخَـٰطِـِٔينَ (sesungguhnya Allah telah melebihkan kamu atas kami).

 

Kekal Positif

Satu lagi ia mengajar kita ketika kita menceritakan kisah hidup kita kepada orang lain. Kita telah baca perjalanan hidup Nabi Yusuf dari awal lagi dan betapa susahnya hidup baginda. Ujian demi ujian telah diberikan kepada baginda. Akan tetapi di sini kita lihat baginda tidak sebut pun segala kesukaran itu sebaliknya baginda sebut tentang nikmat dari Allah sahaja. Maka ini adalah sunnah yang kita kena ikut. Iaitu setelah kita diselamatkan dari masalah, tak perlu untuk sebut-sebut lagi. Menyebut-nyebut masalah yang Allah telah selesaikan adalah tanda tidak syukur dan dinamakan sebagai كَنود (kanud) seperti yang disebut di dalam Aadiyat:6

إِنَّ ٱلإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ
sesungguhnya manusia itu sangat engkar, tidak berterima kasih kepada Tuhannya,

Jadi orang yang كَنود ini adalah orang yang nampak masalah memanjang, sedangkan yang nikmat Allah bagi dia tak nampak pun dan bila tak nampak, dia tidak bersyukur. Maka ingatlah kata-kata Nabi Yusuf ini yang hanya sebut nikmat sahaja. Kita masalah tak sebesar baginda pun, tapi satu kampung kita canang, bukan?

 

Makna ‘nikmat’

Kenyataan Nabi Yusuf a.s., “Allah telah memberi nikmat kepada kami berdua,” menimbulkan satu persoalan menarik. Bagaimana baginda boleh berkata begitu sedangkan keadaan mereka berdua (baginda dan Bunyamin) sangat berbeza? Nabi Yusuf adalah pemerintah yang kaya dan berkuasa, manakala Bunyamin datang dari keluarga yang kelaparan dan telah dizalimi.

Di sinilah letaknya pengajaran yang mendalam: Nabi Yusuf tidak mengukur nikmat Allah dari segi material. Bagi baginda, tidak kira sama ada persekitarannya adalah dinding perigi, sel penjara, atau istana… latar belakangnya mungkin berubah-ubah, tetapi nikmat Allah tetap kekal. Nikmat sejati yang mereka kongsi bukanlah kekayaan duniawi. Baginda memahami nikmat Allah bukan dalam bentuk materialistik semata seperti kita. Kalau kita, mungkin hanya memandang orang kaya sahaja yang telah mendapat nikmat, bukan? Ini adalah pandangan yang cetek. Semua orang dapat nikmat, mungkin dengan cara berbeza. Sebagai contoh, orang yang miskin tapi anak ramai. Ini juga adalah nikmat.

Nikmat di atas segala nikmat yang lain adalah apabila Allah membenarkan kita untuk berpegang pada iman kita tidak kira apa pun keadaan hidup. Maka ini mengajar kita menilai kembali definisi ‘nikmat’ itu sendiri. Nabi Yusuf mengajar kita yang nikmat terbesar bagi baginda adalah keupayaan untuk berpegang teguh pada iman dan maruah diri walau dalam apa jua keadaan. Dari sudut pandang ini, seorang raja dan seorang penggembala yang miskin boleh menjadi sama-sama diberkati. 

Dan baginda sebut ini ketika baginda di atas tahta kerajaan Mesir. Senanglah dia cakap begitu, bukan? Akan tetapi sama sahaja ketika baginda di dalam penjara pun, baginda sebut nikmat Allah juga. Ini kita boleh lihat di dalam Ayat 38,

ذٰلِكَ مِن فَضلِ ٱللَّهِ عَلَينَا وَعَلَى ٱلنَّاسِ
Yang demikian itu adalah daripada kurnia Allah kepada kami dan kepada manusia

Maknanya mata kita kena melihat nikmat Allah di dalam semua keadaan. Jangan di dalam senang sahaja kita nampak nikmat, tapi apabila susah, semua nikmat seolah tidak ada. Dan begitu juga apabila hidup senang, kena ingat yang segala nikmat ini adalah pemberian dari Allah.

 

Nikmat di dunia atau di akhirat? 

Nabi Yusuf telah diberikan dengan nikmat di dunia. Tentunya ini adalah salah satu nikmat kurnia dari Allah kerana bagi seorang yang mukmin, beriman, bersabar, malah seorang Muhsin. Adakah kalau berlaku baik di dunia, jaga segala solat, segala ibadah, tidak kacau orang dan sebagainya, adakah kita pasti akan dapat nikmat di dunia?

Ini adalah satu perbincangan yang besar. Kerana ramai orang jaga solat kerana mereka sangka dengan jaga solat, rezeki akan mudah, hidup akan senang dan sebagainya. Adakah ini pasti? Sebenarnya tidak ada kepastian yang disebut di dalam Al-Qur’an tentang seseorang itu akan pasti dapat kebaikan di dunia kalau dia menjadi seorang yang Mukmin. Yang pasti, dia akan dibalas di akhirat dengan kelebihan berlipat kali ganda. Tapi persoalannya adalah tentang balasan di dunia. Dapat atau tidak balasan keduniaan? Adakah kita tidak boleh berharap kebaikan di dunia, hanya tunggu di akhirat sahaja? Ini persoalan yang ditimbulkan di dalam benak kita, bukan?

Pertamanya kita kena ingat yang kita ini adalah hamba Allah dan redha dengan ketentuanNya. Ada orang dapat nikmat di dunia dan ada orang yang tidak dapat, maka dia boleh berharap balasan di akhirat. Akan tetapi adakah bersalah untuk berharap? Tentu tidak! Inilah yang kita dapat dari kisah dari surah ini. Kita lihat kepada Nabi Ya’qub sendiri. Baginda seorang yang sabar dan tentunya redha dengan ketentuan Allah. Tapi kita lihat baginda berharap untuk berjumpa dengan anaknya lagi, bukan? Tidaklah baginda tidak buat apa-apa, senyap sahaja; malah baginda selalu berharap untuk bertemu kembali dengan anaknya itu. Jadi kita boleh berharap kita jadi pandai, anak-anak sihat, hubungan keluarga kita baik, kejayaan syarikat kita hebat, ekonomi kita mantap dan lain-lain lagi.

Dan kita berusaha untuk mendapatkannya dengan cara yang halal. Bukan sahaja halal akan tetapi dengan cara terbaik. Sebagai contoh, untuk lulus peperiksaan, bukannya dengan berdoa dan Solat Tahajjud sahaja, tapi kenalah belajar! Tapi kalau tidak dapat, waktu itulah kita bersabar kerana Allah telah takdirkan kita tidak mendapat kesenangan di dunia. Tapi tidak salah kalau kita berharap dan berdoa untuk dunia juga. Begitulah yang Allah telah ajar kita di dalam Baqarah:201

وَمِنهُم مَّن يَقولُ رَبَّنا ءَاتِنَا فِي الدُّنيا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنا عَذابَ النّارِ
Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami daripada azab neraka”.

 

إِنَّهُ ۥ مَن يَتَّقِ وَيَصبِر

Sesungguhnya barang siapa yang bertakwa dan bersabar,

Nikmat taqwa dan sabar ini juga telah diberikan kepada Nabi Yusuf dan Bunyamin dan mereka bersyukur kerananya. Dan inilah yang perlu dilakukan oleh manusia: taqwa dengan jaga hukum dan sabar dengan ujian Allah ‎ﷻ. Mereka yang melakukan dua perkara ini akan mendapat balasan baik dari Allah ‎ﷻ. Kita sudah belajar tentang perjalanan hidup mereka terutama sekali Nabi Yusuf yang mengajar kita tentang dua sifat ini. Maka inilah dua pelajaran penting di dalam surah ini.

Ia juga mengajar kita yang untuk keluar dari masalah dan musibah adalah dengan taqwa dan sabar. Kalau ada kesedihan pun kena ada dua sifat ini. Begitulah juga Allah telah sebut di dalam Ali Imran:120 tentang dua sifat ini yang akan menyelamatkan kita,

وَإِن تَصْبِرُوا وَتَتَّقُوا لَا يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا
Dan kalau kamu sabar dan bertaqwa, (maka) tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikit pun

Siapa yang boleh dapat dua sifat ini? Yang boleh dapat begini kalau orang itu faham dengan konsep tauhid yang diambil dari Al-Qur’an. Maka kerana itu kita kena belajar bersungguh-sungguh tafsir Al-Qur’an ini dan kena luangkan masa. Kalau tidak, sebut nama Nabi Yusuf sahaja orang Melayu dua perkara sahaja tahu: Nabi Yusuf hensem dan baginda menikah pula dengan Zulaikha!

Jangan kita kata Nabi Yusuf kata dia bertaqwa dan bersabar pula. Kalimah مَن bermaksud ‘sesiapa’. Baginda hanya memberitahu yang dua kualiti itu akan menyelamat sesiapa sahaja, tapi tidaklah baginda kata baginda sudah ada dua sifat itu. Tapi tentulah baginda pun termasuk juga. Ini kerana kita tidak boleh memuji diri sendiri suci seperti disebut di dalam Najm:32

فَلا تُزَكّوا أَنفُسَكُم ۖ هُوَ أَعلَمُ بِمَنِ اتَّقىٰ
maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.

 

Taqwa

Apakah taqwa itu? Ringkasnya adalah perasaan takut kepada Allah kerana sedar yang Allah sedang memerhatikan kita. Jadi kita akan jaga hukum dan sedaya upaya tidak melanggarnya. Nabi Yusuf pun ada juga peluang untuk melakukan kemungkaran, contohnya dengan isteri Al-Aziz itu. Akan tetapi baginda masih ada taqwa dan Allah selamatkan baginda. Ia mengajar kita yang kita ini semua ada nafsu yang sentiasa mengajar kita melakukan banyak perkara yang haram. Akan tetapi yang menghalang kita dari melakukannya adalah taqwa. Taqwa itu yang menjaga kita. Macam abang-abang Nabi Yusuf itu telah termakan dengan bisikan syaitan yang membisikkan kedengkian dalam hati mereka. Mereka rasa ayah mereka melebihkan Nabi Yusuf dari mereka. Sepatutnya mereka sedar perkara itu dan menggunakan taqwa untuk menghalang mereka dari melakukan kezaliman. Apa mereka tidak tahukah yang dengki itu adalah sifat iblis yang menyebabkan dia benci kepada Nabi Adam dahulu? Takkan ayah tak pernah cerita?

Taqwa itu pula sekali dua sahaja, tapi kena sentiasa ada. Dan ini memerlukan sabar. Maka di sini Nabi Yusuf mengajar kita juga tentang sabar. Iaitu sabar untuk terus menjaga iman, akhlak, agama kita. Kalau tidak ada sabar, maka akan habis berantakanlah hidup kita ini. Sebenarnya bab sabar ini sudah banyak kita bincangkan dengan panjang lebar di tempat yang lain. Kali ini kita lihat sabar dari sudut lain pula.

 

Sabar

Kita sering mengaitkan sabar dengan ketabahan semasa ditimpa musibah. Namun, kisah Nabi Yusuf a.s. memperkenalkan kita kepada dua jenis sabar, dan salah satunya jauh lebih sukar daripada yang lain.

1. Jenis pertama adalah sabar dalam situasi di luar kawalan kita, seperti dicampak ke dalam perigi, difitnah, atau dipenjarakan tanpa sebab. Ini adalah jenis sabar yang biasa kita fahami.

2. Jenis kedua, yang jauh lebih sukar, adalah sabar (menahan diri) apabila kita mempunyai kuasa penuh untuk membalas dendam. Nabi Yusuf a.s., sebagai pemerintah Mesir yang berkuasa, boleh melakukan apa sahaja kepada abang-abangnya yang tidak berdaya. Namun, baginda memilih untuk menahan diri. Mengapa ini lebih sukar? Kerana kita boleh dan orang lain tidak boleh halang kita. Yang boleh menghalang kita adalah kita sendiri. Dan kesabaran ini hanya boleh lahir daripada kesedaran akan kekuasaan mutlak Allah ke atas diri kita, walaupun kita mempunyai kuasa duniawi ke atas orang lain. Kalau sabar jenis pertama kita tidak ada kuasa, tapi sebenarnya sabar jenis kedua ini pun kita tidak ada kuasa juga kerana Allah tetap berkuasa ke atas kita. Kerana itu dalam ayat ini Allah gandingkan sabar dengan taqwa. Kerana taqwa yang akan menghalang kita dari melakukan perkara yang melampau. 

Jadi jenis sabar ini sukar kerana anda perlu bertindak dengan menahan diri ketika anda mempunyai kuasa dan kawalan. Dan yang itu lebih sukar. Kesabaran Nabi Yusuf pada detik itu menunjukkan kekuatan karakter tertinggi, di mana penguasaan diri yang didorong oleh iman mengatasi keinginan untuk membalas.

Jangan salah faham pula. Kita memang ada hak untuk membalas kezaliman ke atas diri kita. Kita bukannya agama Kristian yang orang hentam kita, kita bagi lagi dia hentam seperti disebut di dalam Matthew 5:39-40: 39 But I say unto you, That ye resist not evil: but whosoever shall smite thee on thy right cheek, turn to him the other also. 40 And if any man will sue thee at the law, and take away thy coat, let him have thy cloke also. Di dalam Islam dengan jelas menyebut yang kita boleh balas kezaliman itu, cuma terdapat galakan untuk memaafkan. Ini disebut di dalam Syura:41-43

وَلَمَنِ ٱنتَصَرَ بَعۡدَ ظُلۡمِهِۦ فَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ مَا عَلَيۡہِم مِّن سَبِيلٍ (٤١) إِنَّمَا ٱلسَّبِيلُ عَلَى ٱلَّذِينَ يَظۡلِمُونَ ٱلنَّاسَ وَيَبۡغُونَ فِى ٱلۡأَرۡضِ بِغَيۡرِ ٱلۡحَقِّ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٌ (٤٢) وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذٰلِكَ لَمِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ (٤٣)
Dan sesungguhnya orang yang bertindak membela diri setelah dia dizalimi, maka mereka yang demikian keadaannya, tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka. (41) Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang-orang yang beroleh azab seksa yang tidak berperi sakitnya. (42) Dalam pada itu (ingatlah), orang yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). (43) 

Jadi dua sifat telah disebut oleh Nabi Yusuf. Dua sifat itu tidak ada pada abang-abangnya itu sampai menyebabkan mereka telah tersasar jauh dari jalan agama. Tapi mereka masih lagi ada peluang. Lihat kalimat يَتَّقِ وَيَصبِر di dalam bentuk present and continuous tense. Ini bermakna untuk masa sekarang dan masa hadapan; bukannya masa lalu. Masa lalu mungkin tidak ada sifat itu tapi hidup masih ada dan peluang untuk berubah terbentang luas. Maka ini memberi semangat kepada kita ini. Manusia mungkin menilai kita tentang kehidupan kita yang lalu tapi Allah bukan menilai kita di masa lalu tapi kedudukan kita di penghujung nyawa kita. Rasulullah telah bersabda,

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ
“Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.”

[Riwayat al-Bukhari (6607)]

 

فَإِنَّ اللهَ لا يُضيعُ أَجرَ المُحسِنينَ

maka sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik”

Perhatikan frasa yang digunakan: “Allah tidak mensia-siakan pahala”. Mengapa tidak disebut sahaja begini: “Allah memberi pahala”? Kerana taqwa (menahan diri dari dosa) dan sabar (menahan diri dari membalas dendam) sering kali terasa seperti satu kerugian atau peluang yang terlepas. Frasa ini adalah jaminan ilahi bahawa setiap pengorbanan dan pengekangan diri itu tidak pernah sia-sia di sisi Tuhan. Ia adalah satu jemputan terbuka kepada adik-beradiknya, dan kepada kita semua, untuk memulakan hidup baru berdasarkan prinsip abadi ini.

Sebelum ini telah disebut tentang taqwa dan sabar. Sekarang apakah gandingan taqwa dan sabar dan kepentingannya? Apakah kaitannya dengan sifat Muhsin? Taqwa adalah penghalang kepada nafsu dari bertindak semberono ikut suka dia. Jadi ia adalah perkara dalaman, peperangan yang sentiasa berlaku dalam diri kita. Sabar pula adalah perkara luaran iaitu apa yang dikenakan kepada kita. Contohnya orang tipu kita, kita kena sabar dari mengambil tindakan yang tidak patut. 

Sekarang Nabi Yusuf mengajar kita tentang Ihsan dengan satu ayat yang pendek sahaja. Iaitu kalau seseorang itu ada taqwa dan sabar, akan menjadikan seseorang itu sebagai seorang Muhsin (orang yang baik hati). Maknanya Allah ‎ﷻ ingin mengajar dalam ayat ini yang taqwa dan sabar adalah jalan ke Maqam Ihsan. Ini kerana kalau kita lihat ayat ini, selepas Nabi Yusuf menyebut tentang taqwa dan sabar, Allah tidak kata pula: Allah tidak menyia-nyiakan orang yang ada taqwa dan sabar; sebaliknya Allah sebut tentang المُحسِنينَ. Ini bermakna Allah sedang memberi isyarat yang taqwa dan sabar itu adalah jalan untuk mendapat peringkat yang tertinggi, iaitu المُحسِنينَ.

Di dalam Islam ada peringkat Muslim, Mukmin dan Muhsin. Muslim adalah peringkat pertama setelah mengucap Dua Kalimah Syahadah maka anda terus seorang Muslim. Mukmin adalah apabila sudah ada iman dalam diri. Dan peringkat yang lebih tinggi lagi adalah Muhsin. Dalam sebuah hadith popular yang dikenali dengan nama ‘Hadith Jibril’, di mana Rasulullah ﷺ menjelaskan makna Ihsan sebagai berikut,

أَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ
“Hendaklah Engkau beribadah kepada Allah ﷻ seakan-akan Engkau melihat-Nya. Kalaupun Engkau tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”

(Hadith Riwayat Muslim (8))

Apa kaitan melihat Allah ini dengan taqwa dan sabar? Kita telah sebut orang yang ada taqwa akan melawan kehendak nafsu dia dari melakukan dosa. Apakah yang menyebabkan dia boleh lawan itu? Jika dia yakin Allah sedang melihatnya! Dia hendak buat dosa sahaja dia akan takut dan berhenti kerana dia tahu yang Allah sedang memerhati.

Sabar pula adalah menerima dugaan dari luaran seperti diganggu, dizalimi, dikutuk, dituduh dan sebagainya. Orang yang sabar akan menahan dirinya dari melakukan perkara yang tidak patut kerana dia sedar segala musibah yang dia sedang terima itu adalah ujian dari Allah.

Dan kita telah lihat Nabi Yusuf telah menunjukkan Maqam Ihsan yang terbaik. Iaitu berbuat baik kepada orang yang jahat dengan baginda. Kita kena ingat yang ihsan ini lebih tinggi dari ‘adil’. Kalau adil itu membalas atau memperlakukan orang lain sama seperti yang dia lakukan terhadap kita. Sedangkan ihsan ini memberi lebih banyak dari yang harus diberikan.

Maka begitulah yang kita telah dilakukan oleh Nabi Yusuf. Kita telah belajar bagaimana isteri Al-Aziz telah menyebabkan baginda dimasukkan ke dalam penjara, tapi baginda tidak sebut pun namanya kepada raja. Abang-abangnya telah berlaku sangat zalim kepada baginda menyebabkan berpuluh tahun baginda merana menjadi hamba dan masuk penjara. Tapi apabila mereka datang, baginda beri mereka makanan. Dan nanti baginda akan maafkan mereka.

Begitulah syarahan Nabi Yusuf terhadap abang-abangnya itu. Kenapa agaknya baginda macam bagi ceramah pula? Ini baru sahaja dan patutnya jejak kasihlah patut berlangsung, tapi tidak, mereka dapat nasihat pula. Ibn Asyur mengatakan kerana Nabi Yusuf sedar yang ini adalah saat yang akan menjatuhkan ego abang-abangnya itu dan ketika manusia sedang jatuh egolah mereka boleh dengar nasihat. Maka Nabi Yusuf ambil peluang keemasan ini. Maknanya ini adalah salah satu dari usul dakwah juga, iaitu memilih masa yang tepat untuk berdakwah.

Baginda bukannya menegur mereka teruk sangat, kerana baginda tentu masih ingat apa yang ayahnya sebut lama dahulu ketika baginda masih kecil seperti disebut di dalam Ayat 5, masih ingat lagi?

قالَ يٰبُنَيَّ لا تَقصُص رُءياكَ عَلىٰ إِخوَتِكَ فَيَكيدوا لَكَ كَيدًا ۖ إِنَّ الشَّيطٰنَ لِلإِنسٰنِ عَدُوٌّ مُّبينٌ
Ayahnya berkata: “Hai anakku, janganlah kamu ceritakan mimpimu itu kepada saudara-saudaramu, maka mereka merancang rancangan terhadapmu. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia”.

Maknanya ini adalah kerja syaitan. Mereka telah termakan dengan hasutan syaitan sampai mereka telah buat apa yang mereka telah lakukan itu. Bukanlah salah mereka sahaja. Jadi ceramah ini penting supaya mereka ingat dan jangan termakan dengan hasutan syaitan lagi.

 

 

Kuiz Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam dua hingga tiga ayat, berdasarkan maklumat daripada konteks sumber.

1. Apakah pendekatan bijaksana yang digunakan oleh Nabi Yusuf a.s. untuk mendedahkan identitinya, dan mengapa ia lebih berkesan daripada pengakuan secara langsung?

2. Apakah bukti linguistik dalam pertanyaan abang-abang Nabi Yusuf (أَءِنَّكَ لَأَنتَ يُوسُفُ) yang menunjukkan mereka sudah mempunyai sangkaan kuat tentang identitinya?

3. Mengapakah Nabi Yusuf a.s. menyebut nama Bunyamin (وَهَـٰذَآ أَخِى) sejurus selepas memperkenalkan dirinya? Huraikan sekurang-kurangnya dua kemungkinan tafsiran.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan “anjakan paradigma” yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf a.s. selepas mendedahkan identitinya?

5. Menurut tafsiran Ibn Abbas, apakah salah satu nikmat terbesar yang dimaksudkan oleh Nabi Yusuf a.s. apabila baginda berkata “Allah telah melimpahkan kurnia-Nya kepada kami”?

6. Bagaimanakah Nabi Yusuf a.s. mentakrifkan semula konsep ‘nikmat’ yang berbeza daripada pandangan materialistik biasa?

7. Huraikan dua jenis sabar yang diperkenalkan dalam kisah Nabi Yusuf a.s. dan nyatakan jenis mana yang dianggap lebih sukar.

8. Apakah hubungan antara taqwa dan sabar dalam membentuk seorang Muhsin, seperti yang diisyaratkan dalam ayat ini?

9. Apakah yang dimaksudkan dengan istilah كَنود (kanud) dan bagaimana ia berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh Nabi Yusuf a.s.?

10. Mengapakah Nabi Yusuf a.s. memilih untuk memberi ‘ceramah’ atau nasihat kepada abang-abangnya pada saat pendedahan identitinya yang tegang itu?

Glosari Istilah Penting

Istilah
Definisi Berdasarkan Konteks
Al-Aziz
Gelaran yang merujuk kepada Menteri Kewangan Mesir pada zaman Nabi Yusuf a.s.
Anjakan Paradigma
Perubahan perspektif yang mendalam, seperti tindakan Nabi Yusuf a.s. beralih daripada mengingati penderitaan (sebagai mangsa) kepada mengiktiraf kurniaan Tuhan (sebagai penerima nikmat) pada saat genting.
Ihsan
Peringkat tertinggi dalam Islam selepas Muslim dan Mukmin. Maknanya dijelaskan sebagai “beribadah kepada Allah seakan-akan kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak melihat-Nya, sesungguhnya Dia melihatmu”. Berbuat baik kepada orang yang berbuat jahat adalah salah satu manifestasinya.
Kanud (كَنود)
Sifat manusia yang sangat engkar dan tidak berterima kasih kepada Tuhannya. Orang yang bersifat kanud cenderung untuk sentiasa melihat masalah dan tidak mensyukuri nikmat yang diberikan Allah.
Lam Taukid
Huruf ل yang digunakan dalam bahasa Arab sebagai salah satu bentuk penegasan (taukid) untuk menguatkan sesuatu kenyataan atau soalan.
Maqam Ihsan
Tingkatan atau kedudukan Ihsan, iaitu peringkat tertinggi dalam keimanan di mana seseorang sentiasa merasa diawasi oleh Allah. Jalan untuk mencapainya adalah melalui taqwa dan sabar.
Muhsin (المُحسِنِينَ)
Orang-orang yang berbuat baik; mereka yang telah mencapai Maqam Ihsan. Seseorang menjadi Muhsin apabila mempunyai sifat taqwa dan sabar.
Mukmin
Peringkat kedua dalam Islam selepas Muslim. Ia merujuk kepada seseorang yang sudah mempunyai iman yang teguh di dalam hatinya.
Muslim
Peringkat pertama dalam Islam, yang dicapai setelah seseorang mengucap Dua Kalimah Syahadah.
Sabar
Mempunyai dua jenis utama dalam konteks ini: (1) Sabar dalam menghadapi musibah yang di luar kawalan. (2) Sabar dengan menahan diri daripada membalas dendam apabila mempunyai kuasa penuh, yang dianggap lebih sukar dan memerlukan taqwa.
Taqwa
Perasaan takut kepada Allah yang lahir daripada kesedaran bahawa Allah sentiasa memerhatikan kita. Ia menjadi penghalang dalaman yang menjaga seseorang daripada melanggar hukum Allah dan mengikut hawa nafsu.

 

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 6 Disember 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 90 (Ya, akulah Yusuf)”

  1. Kunci Jawapan Kuiz
    1. Nabi Yusuf a.s. tidak terus menjerit “Akulah Yusuf!”, sebaliknya bertanya soalan yang tajam dan spesifik: “Tahukah kamu apa yang telah kamu lakukan terhadap Yusuf dan saudaranya…?”. Pendekatan ini lebih berkesan kerana ia memaksa abang-abangnya untuk berfikir dan menyambung sendiri titik-titik petunjuk yang ada, menjadikan kesedaran yang mereka alami jauh lebih mendalam berbanding jika kebenaran itu hanya diberitahu kepada mereka.
    2. Bukti linguistik menunjukkan sangkaan kuat mereka melalui penggunaan tiga penegasan dalam satu soalan. Mereka menggunakan إِنّ (satu penegasan), dua kali ganti nama ‘engkau’ (ك dan أَنتَ), dan lam taukid (huruf ل). Ini menunjukkan mereka tidak lagi kebingungan tetapi hanya mencari kepastian terakhir.
    3. Tafsiran pertama ialah Nabi Yusuf a.s. ingin menekankan bahawa Bunyamin adalah adiknya, seolah-olah mengingatkan kembali tentang kezaliman yang pernah mereka lakukan kepada kedua-duanya. Tafsiran kedua ialah baginda secara halus menyatakan bahawa misi abang-abangnya untuk mencari Yusuf dan Bunyamin, seperti yang diarahkan oleh ayah mereka, kini telah berjaya kerana kedua-duanya sudah berada di hadapan mata mereka.
    4. “Anjakan paradigma” merujuk kepada tindakan Nabi Yusuf a.s. yang serta-merta mengalihkan fokus daripada kesalahan lampau abang-abangnya kepada kesyukuran atas kebaikan Allah pada masa kini. Sejurus selepas mendedahkan dirinya, kata-kata pertamanya bukanlah tentang dendam, tetapi tentang nikmat Allah (قَد مَنَّ اللهُ عَلَينا), mengubah suasana daripada penantian hukuman kepada pengiktirafan kurniaan Tuhan.
    5. Menurut Ibn Abbas, salah satu nikmat terbesar yang dimaksudkan ialah nikmat mereka berdua (Yusuf dan Bunyamin) tetap di atas iman walaupun selepas melalui pelbagai penderitaan dan ujian. Mereka tidak terpengaruh dengan bisikan syaitan untuk melakukan perkara yang salah.
    6. Nabi Yusuf a.s. tidak mengukur nikmat Allah dari segi material (kekayaan atau kuasa). Bagi baginda, nikmat sejati adalah keupayaan untuk berpegang teguh pada iman dan maruah diri dalam apa jua keadaan, sama ada di dalam perigi, penjara, atau di atas takhta. Ini menunjukkan bahawa seorang raja dan seorang miskin boleh menjadi sama-sama diberkati jika mereka berpegang pada iman.
    7. Jenis sabar pertama ialah ketabahan semasa ditimpa musibah di luar kawalan, seperti dicampak ke dalam perigi atau dipenjarakan. Jenis kedua, yang lebih sukar, ialah sabar dengan menahan diri daripada membalas dendam apabila mempunyai kuasa penuh untuk melakukannya. Ia lebih sukar kerana yang menghalang seseorang hanyalah dirinya sendiri, yang didorong oleh taqwa kepada Allah.
    8. Ayat ini mengisyaratkan bahawa gandingan taqwa (menahan diri dari dosa secara dalaman) dan sabar (menahan diri dari tindakan tidak patut terhadap ujian luaran) adalah jalan untuk mencapai Maqam Ihsan. Selepas menyebut dua sifat ini, Allah tidak memuji orang yang bertaqwa dan sabar, sebaliknya menyebut pahala bagi المُحسِنِينَ, menunjukkan bahawa taqwa dan sabar adalah komponen yang membentuk seorang Muhsin (orang yang berbuat baik).
    9. كَنود (kanud) ialah sifat seseorang yang sangat engkar dan tidak berterima kasih kepada Tuhannya, di mana mereka sentiasa melihat masalah dan sering menyebut-nyebut kesusahan lampau yang Allah telah selesaikan. Ini berbeza dengan sikap Nabi Yusuf a.s. yang selepas diselamatkan daripada ujian, hanya menyebut tentang nikmat Allah dan tidak mengungkit segala kesukaran yang telah dilaluinya.
    10. Menurut Ibn Asyur, Nabi Yusuf a.s. memilih saat itu untuk memberi nasihat kerana ia adalah detik di mana ego abang-abangnya sedang jatuh. Ketika manusia berada dalam keadaan sedemikian, mereka lebih terbuka untuk mendengar nasihat. Oleh itu, Nabi Yusuf a.s. mengambil peluang keemasan ini untuk berdakwah dan mengingatkan mereka tentang hasutan syaitan.

    Like

Leave a comment