KESEDIHAN NABI YA’QUB عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ
Yusuf Ayat 83: Setelah diberitahu kepada Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan berita itu, baginda tidak tahu sama ada mereka berkata perkara yang benar kerana baginda tidak tahu perkara ghaib. Maka inilah akidah kita: para Nabi pun tidak ada pengetahuan ghaib. Jadi bagaimana ada orang kita yang mengatakan tok guru itu dan ini boleh baca hati manusia, sedangkan jelas dalam Al-Qur’an menyebut para Nabi pun tidak tahu apa yang dalam hati manusia? Adakah tok guru mereka itu lebih hebat daripada para Nabi?
قَالَ بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًاۖ فَصَبرٌ جَمِيلٌۖ عَسَى ٱللَّهُ أَن يَأتِيَنِى بِهِم جَمِيعًاۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلعَلِيمُ ٱلحَڪِيمُ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
[Jacob] said, “Rather, your souls have enticed you to something, so patience is most fitting. Perhaps Allāh will bring them to me all together. Indeed, it is He who is the Knowing, the Wise.”
(MALAY)
Ya’qub berkata: “Hanya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu. Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semuanya kepadaku; sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.
قالَ بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًا
Ya’qub berkata: “Hanya dirimu sendirilah yang memandang ringan perbuatan (yang buruk) itu.
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ amat kesal dengan apa yang telah berlaku. Baginda kata anak-anaknya itu telah memudahkan sahaja perkara itu untuk diri mereka. Mereka pandang ringan sahaja perkara ini, sampai Bunyamin pun mereka sanggup kata dia mencuri. Inilah yang menyebabkan baginda tidak boleh terima kerana baginda kenal anak baginda. Bunyamin itu takkan mencuri! Maka mula-mula sekali Nabi Ya’qub kata بَل iaitu baginda menolak penjelasan mereka itu. Baginda tidak percaya.
Kemudian baginda mengulang kalimah سَوَّلَت yang dahulu baginda telah pernah sebut di dalam ayat 18 dahulu. Kalimah سَوَّلَت daripada س و ل yang bermaksud ditipu, diajak, dipujuk. Maka ia bermaksud:
1. Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahu mereka yang diri mereka telah mengajak dan memujuk mereka melakukan perkara yang terkutuk itu. Mereka telah termakan dengan pujukan nafsu mereka sendiri dan tentunya dibantu dengan bisikan syaitan.
2. Satu lagi maksud سَوَّلَت adalah memandang ringan perbuatan mereka itu sedangkan ia adalah hal yang besar sekali! Oleh itu, perbuatan taswil adalah menganggap sesuatu itu ringan sahaja, tidak kisah sangat kalau dilakukan. Macam kadang-kadang apabila kita sangka dosa itu kecil, kita tidak kisah untuk melakukannya. Ini adalah kerana syaitan telah menjadikan dosa yang berat nampak ringan sahaja.
Apakah yang ringan sahaja disebut oleh mulut anak-anaknya itu? Yang Bunyamin mencuri! Ini seperti disebut dalam ayat 81: فَقُولُواْ يَـٰٓأَبَانَآ إِنَّ ٱبنَكَ سَرَقَ (katakanlah: “Wahai bapa kami! Sesungguhnya anakmu telah mencuri). Laju sahaja dan ringan sahaja mereka mengatakan adik mereka itu mencuri. Mereka tidak cakap pun berlapik seperti Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang mengatakan barang itu dikeluarkan sahaja daripada karung Bunyamin seperti disebut di dalam ayat 79: قَالَ مَعَاذَ ٱللهِ أَن نَّأخُذَ إِلَّا مَن وَجَدنَا مَتَـٰعَنَا عِندَهُ (Berkata Yusuf: “Aku mohon perlindungan kepada Allah daripada menahan, kecuali orang yang kami ketemukan harta benda kami padanya). Maknanya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak pernah pun mengatakan Bunyamin itu mencuri, sebaliknya abang-abangnya itu terus membuat konklusi yang beliau telah mencuri!
Jadi amat teruk sekali pada pandangan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan perbuatan anak-anaknya itu. Baginda amat terkilan dengan tindakan mereka itu. Dahulu mereka telah berlaku zalim terhadap tubuh badan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan sekarang mereka berlaku zalim terhadap maruah Bunyamin pula. Sedangkan menjatuhkan maruah seorang Muslim itu adalah berdosa kerana maruah manusia lebih mulia daripada Ka’bah,
عَنِ ابْنِ عُمَرَ رضي الله عنهما قَالَ: رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَطُوفُ بِالْكَعْبَةِ وَيَقُولُ: «مَا أَطْيَبَكِ وَأَطْيَبَ رِيحَكِ، مَا أَعْظَمَكِ وَأَعْظَمَ حُرْمَتَكِ، وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَحُرْمَةُ الْمُؤْمِنِ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ حُرْمَةً مِنْكِ، مَالُهُ وَدَمُهُ»
Daripada Abdullah bin Umar رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, beliau berkata: Aku melihat Rasulullah ﷺ tawaf di Ka’bah dan bersabda: “Alangkah harumnya kamu dan alangkah baiknya baumu. Alangkah agungnya kamu dan alangkah agungnya kehormatanmu (Ka’bah). Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya kehormatan orang Mukmin (ḥurmatul mu’min) itu lebih agung di sisi Allah kehormatannya daripadamu (Ka’bah), iaitu hartanya dan darahnya.”
(Hadith Riwayat Ibnu Majah, No. 3932, dan At-Tirmidzi [dinilai hasan oleh At-Tirmidzi])
Begitulah sangkaan Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap anak-anaknya. Perkara ini dibincangkan oleh para ulama’ kerana anak-anaknya itu sudah bercakap benar kali ini. Mereka ada bukti atau ada hujah yang Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ boleh selidik dan tanya sendiri. Ia tidak sama dengan kes mereka menipu ketika mereka meninggalkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di telaga buta dahulu. Ini mengajar kita yang baginda tidak tahu perkara ghaib. Baginda tidak dapat memastikan sama ada mereka ikhlas atau tidak, bercakap benar atau tidak. Namun oleh kerana mereka telah pernah menipu dahulu, maka baginda tidaklah bersalah jika menganggap kali ini mereka pun menipu juga. Begitulah kalau kita sudah pernah menipu, orang hendak percaya pun payah. Maka janganlah menipu dari mula lagi. Ini macam kisah budak dan serigala yang sampai orang tidak percaya kepadanya lagi.
Maka dari sini adalah akidah yang kita pegang iaitu para Nabi tidak tahu ilmu ghaib. Mereka tidak boleh baca isi hati manusia. Maka kalau ada orang yang kata tok guru atau orang alim boleh tahu isi hati manusia, itu adalah fahaman sesat! Malangnya ramai sekali dalam kalangan orang Melayu kita yang ada akidah sesat ini. Mereka percaya tok guru mereka ada ilmu baca hati atau tahu berita ghaib!
Ataupun, menurut tafsir lain daripada Thathaba’i, bukanlah kali ini Nabi Ya”qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak percaya apa yang mereka sampaikan, kerana memang telah diberikan hujah yang kuat daripada mereka (boleh tanya orang Mesir atau boleh tanya kafilah yang balik bersama kami); cuma baginda hendak katakan, semua yang terjadi ini (Bunyamin ditahan, abang besar ditahan) adalah kerana perbuatan mereka yang dahulu itu ketika mereka menipu tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini semua rentetan daripada rancangan jahat mereka dahulu itulah! Perbuatan mereka dahulu ada kesannya dan kesannya sedang berlaku sekarang. Mereka telah pernah menipu dan berlaku zalim terhadap adik mereka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka sekarang Allah ﷻ balas dengan menahan Bunyamin pula.
Atau Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata mereka سَوَّلَت (yang antara lain bermaksud mudah) adalah mereka senang sangat melepaskan adik mereka Bunyamin itu. Memanglah sudah terjadi seperti apa yang terjadi, tetapi tidakkah mereka cuba juga untuk mendapatkan Bunyamin balik? Kenapa mengalah dengan mudah? Mereka boleh sahaja kata ketika mereka datang kali pertama dan pulang, mereka dapati barangan mereka yang mereka hendak jadikan sebagai tukaran kepada bahan makanan telah dimasukkan kembali ke dalam karung mereka; jadi memasukkan barang ke dalam karung bukanlah perkara baru dan ia boleh sahaja terjadi lagi.
Atau, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menegur mereka kerana mereka dengan mudah sahaja menerima tuduhan yang Bunyamin telah mencuri. Ia membuka peluang kepada mereka untuk memisahkan Bunyamin pula daripada bapa mereka. Kalau dahulu mereka telah pisahkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, sekarang peluang mereka datang dengan mudah untuk memisahkan Bunyamin pula kerana mereka pun tidak suka bapa mereka sayang kepada Bunyamin. Maka ini mengajar kita yang memang ada ahli keluarga kita yang tidak suka pun kepada kita dan malah ada yang merancang untuk menjatuhkan kita. Atau, sekurang-kurangnya kalau kita terjatuh, mereka tidak membuat apa-apa pun untuk membantu kita!
فَصَبرٌ جَميلٌ
Maka kesabaran yang indah
Baginda kata baginda akan bersabar. Huruf ف ini penting. Ia adalah jenis (Fā’ as-Sababīyyah) – Fā’ Sebab-Akibat. Apabila ahli keluarga kita telah melakukan kezaliman atau kesalahan kepada kita, maka kita hendaklah bersabar. Jangan mengamuk dan jangan putuskan hubungan dengan mereka. Kita lihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidaklah memaki anak-anaknya itu dan tidaklah baginda membuang mereka.
Akan tetapi adakah sabar ini bermaksud tidak berbuat apa-apa (takpelah, aku sabar jerlah… bukan boleh buat apa pun….). Ini adalah tanggapan yang salah terhadap sabar. Sabar bukanlah bermaksud duduk goyang kaki, putus asa dan tidak berbuat apa-apa. Nanti selepas ini kita akan lihat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi arahan kepada anak-anaknya untuk mencari Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin juga. Namun bagi orang yang faham tentang sabar, mereka akan lakukan apa yang mereka mampu, tetapi mereka sedar yang kesan daripada usaha mereka itu bukan di dalam tangan mereka. Mereka akan terima apa yang berlaku dan mereka akan tetap bersabar walau apa pun yang berlaku.
Kalimat صَبرٌ جَميلٌ bermaksud sabar yang tidak ada rungutan. Baginda cuma kata صَبرٌ جَميلٌ sahaja – bukan ayat lengkap pun. Baginda cakap pendek sahaja tetapi amat dalam maksudnya, kerana baginda sudah malas hendak cakap ayat penuh. Ini dipanggil Kalam Nāqis. Secara harfiah, Kalam Nāqis bererti “Kalimat yang Tidak Sempurna” atau “Ucapan yang Kurang”. Ia sebenarnya adalah monolog dalam diri baginda tetapi baginda cakap secara nyata untuk memberi peringatan kepada diri baginda. Kadangkala kita kena bercakap dengan diri kita seolah-olah bercakap dengan orang lain, bukan?
Perhatikan ini adalah pengulangan kepada kata-kata baginda juga dulu ketika mereka pulang tanpa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ seperti disebut di dalam ayat 18,
قَالَ بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًاۖ فَصَبرٌ جَمِيلٌ
Ya’qub berkata: “Sebenarnya dirimu sendirilah yang memandang baik perbuatan (yang buruk) itu; maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku).
Maksud صَبرٌ جَميلٌ adalah kesabaran tanpa rungutan kepada selain Allah ﷻ. Perbezaan utama antara صَبرٌ جَميلٌ dan sabar yang biasa terletak pada ketiadaan keluhan dan ketenangan hati yang penuh tawakal. Sabar yang biasa adalah peringkat pertama kesabaran. Ia adalah keupayaan untuk menahan diri daripada mengeluh, marah, atau panik ketika berhadapan dengan musibah atau kesulitan. Seseorang yang sabar menahan emosinya dan tidak melakukan perkara yang dilarang seperti meratap, merosakkan barang, atau menyalahkan takdir. Namun, صَبرٌ جَميلٌ (Sabar yang Indah) adalah tahap kesabaran yang lebih tinggi dan lebih sempurna. Ia bukan sekadar menahan diri, tetapi ia adalah kesabaran tanpa sebarang keluhan sama sekali. Seseorang yang mempunyai صَبرٌ جَميلٌ tidak hanya menahan diri daripada mengeluh di hadapan orang ramai, tetapi juga tidak mengeluh kepada dirinya sendiri atau kepada sesiapa pun selain daripada Allah ﷻ.
Akan tetapi ada yang mengatakan bukanlah sabar ini ada banyak jenis kategori dan sifat. Tidaklah ada sabar indah, sabar buruk, sabar gemuk, sabar kurus dan sebagainya. Sabar itu satu sahaja. Sabar itu sentiasa sahaja indah. Jadi apa maksudnya apabila Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata فَصَبرٌ جَميلٌ? Ia bermaksud sabar itulah yang indah. Baginda mengingatkan diri baginda yang sabar di dalam menghadapi situasi yang sukar adalah satu perbuatan yang indah. Walaupun anak-anaknya itu telah melakukan perkara yang buruk tetapi baginda memilih untuk bertindak balas dengan melakukan perkara yang indah, iaitu sabar.
Kata-kata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menjadi Sunnah yang kemudian beribu-ribu selepas baginda, disuruh oleh Allah ﷻ kepada Nabi Muhammad ﷺ dan kita untuk melakukannya seperti disebut di dalam Ma’arij:5
فَاصبِر صَبرًا جَميلًا
Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya.
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tahu bahawa sabar itu akan mendapat redha Allah ﷻ dan tidak ada yang lebih indah (جَميلٌ) daripada melakukan sesuatu untuk mendapatkan redha Allah ﷻ. Maka setelah baginda kehilangan anak-anaknya (yang indah pada pandangan mata baginda), baginda menggantinya dengan sesuatu yang lebih indah lagi daripada itu iaitu sabar.
Begitulah kita kena berpegang dengan sifat sabar ini. Kalau kita hilang sifat ini, maka rugilah dan rosaklah kita. Allah ﷻ telah berfirman di dalam Asr:2 bahawa manusia ini secara automatik akan rugi,
إِنَّ الإِنسانَ لَفي خُسرٍ
Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,
Akan tetapi kalau ada 4 sifat, maka manusia tidak akan rugi. Antaranya adalah ingat mengingati tentang kesabaran seperti disebut di dalam Asr:3,
وَتَواصَوا بِالصَّبرِ
nasihat menasihati kepada kesabaran
Ini bermakna, kalau tidak ada sabar, maka kita akan rosak binasa dan berada di dalam kerugian yang amat besar! Kita akan ada banyak kerugian dalam dunia ini seperti perniagaan dan sebagainya. Akan tetapi jikalau kita hilang sifat kesabaran, maka itu tidak ada gantinya!
Malah sabar dikaitkan dengan iman; dan kita kena ada iman, bukan? Buktinya kita boleh ambil ayat Taghabun:11 tetapi memerlukan penjelasan sedikit.
ما أَصابَ مِن مُّصيبَةٍ إِلّا بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَمَن يُؤمِن بِاللَّهِ يَهدِ قَلبَهُ
Tidak ada suatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barangsiapa yang beriman kepada Allah nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya.
Ayat ini nampaknya tidak ada pun sebut ‘sabar’, bukan? Akan tetapi perhatikan Allah ﷻ sebut tentang musibah. Apa yang kita perlu ada apabila ditimpa musibah kalau bukan sabar? Kemudian Allah ﷻ kata siapa yang ada ‘iman’ yang tentunya bermaksud sabar dalam musibah, bukan? Kelebihannya adalah Allah ﷻ akan pandu hati orang itu dan inilah yang yang kita amat perlukan. Bukankah kalau kita hilang sabar kita akan hilang pedoman?
Sementara di dalam Hujurat:7 Allah ﷻ kata Dia jadikan iman itu cantik di dalam hati kita, maka untuk kekalkan iman itu terus indah, kita kenalah ada sabar.
وَلٰكِنَّ اللهَ حَبَّبَ إِلَيكُمُ الإيمٰنَ وَزَيَّنَهُ في قُلوبِكُم
tetapi Allah menjadikan kamu “cinta” kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu
Satu lagi perhatikan ayat agung yang dinamakan Ayatul Birr (Baqarah:177) di mana Allah ﷻ senaraikan sifat-sifat orang Mukmin. Selepas Allah ﷻ senaraikan sifat itu dan ini, akhir sekali di penghujung iaitu di kemuncaknya, apa Allah ﷻ sebut?
وَٱلصَّـٰبِرِينَ فِى ٱلبَأسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَحِينَ ٱلبَأسِ
dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil.
Sabar itu menjadi indah kalau ia dibandingkan dengan alternatifnya. Kalau tidak sabar, apa yang kita akan buat? Kita akan mengamuk kalau ditimpa musibah, kita jadi putus asa, malah ada yang bunuh diri. Namun sekiranya kita sabar dalam menghadapi situasi yang buruk, maka keindahan sabar itu akan jelas kelihatan. Ia seperti terang itu akan jelas jika dibandingkan dengan kegelapan. Jadi ia adalah sesuatu yang indah kalau kita sedang ditimpa musibah yang besar, tetapi kita tenang sahaja, redha sahaja, yakin sahaja dengan Allah ﷻ.
Jadi kalau kita ringkaskan pengajaran tentang صَبرٌ جَميلٌ ini ada 5 perkara yang kita kena ingat:
1. Allah ﷻ mengatakan ia indah, maka kita pun kena percaya yang ia adalah indah. Walaupun ketika itu ia amat sukar bagi kita.
2. Ia indah kerana ia menyebabkan Allah ﷻ redha, maka tentulah ia indah juga kepada kita.
3. Ia mengganti perkara yang indah kepada perkara yang lebih indah. Kalau kita hilang sesuatu yang kita sayang, dengan sabar kita mendapat perkara yang lebih indah lagi.
4. Iman ada kaitan rapat dengan sabar dan iman itu indah, maka sabar itu juga indah.
5. Kesabaran itu akan ada kalau kita boleh terima yang rancangan Allah ﷻ itu ada hikmahnya dan indah (walaupun kita tidak tahu lagi buat masa itu).
Yang ke 5 ini kita akan terima kalau kita yakin dengan ketentuan dan rancangan Allah ﷻ. Macam Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di peringkat awal tidak tahu apakah rancangan Allah ﷻ. Ketika itu baginda sudah kehilangan 3 anaknya! Akan tetapi baginda dapat bersabar kerana baginda tahu yang apa sahaja rancangan Allah ﷻ, tentu ada hikmahnya dan jelas sekali ini yang sukar untuk kita yakin kerana kita hendak nampak di hadapan mata baru kita percaya. Namun ia adalah sesuatu yang kita pupuk ke dalam hati kita. Ini macam kita lihat seorang pelukis melukis karyanya. Pada peringkat awal, kita tidak nampak pun bagaimana garis itu dan warna ini boleh menjadi sebuah lukisan yang indah; ini kerana kita ini jahil, tidak tahu tentang lukisan kerana kita bukan pelukis. Hanya apabila lukisan itu sudah selesai, baru kita boleh kata: Owhhhh patutlah dia buat begitu….! Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak perlu tunggu ke hujung baru boleh terima rancangan Allah ﷻ. Dari sekarang lagi baginda sudah terima kerana baginda ada iman yang tinggi.
Namun begitu harus diingatkan bahawa صَبرٌ جَميلٌ itu mestilah sabar dalam perkara yang baik. Bukannya sabar dalam perkara yang salah. Ini kerana ada sahaja orang yang sabar untuk melakukan perkara yang salah. Pencuri yang hendak mencuri pun kena sabar, bukan? Namun itu sabar yang buruk. Lelaki yang hendak mengorat isteri orang pun kena sabar juga, tetapi itu pun buruk juga. Jadi kita kena tahu mana baik dan mana buruk.
عَسَى اللهُ أَن يَأتِيَني بِهِم جَميعًا
Mudah-mudahan Allah mendatangkan mereka semuanya kepadaku;
Beza dengan ayat 18 sebelum ini, Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak sebut kalimat: وَٱللَّهُ ٱلمُستَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ (Dan Allah sajalah yang dimohon pertolongan-Nya terhadap apa yang kamu ceritakan). Ini adalah kerana kali ini mereka tidaklah menipu kerana ada bukti yang mereka boleh keluarkan. Tidaklah mereka keluarkan bukti baju Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang berlumuran darah yang mereka entah ambil dari mana darah itu.
Namun begitu, baginda masih lagi berharap kepada Allah ﷻ. Baginda berharap kepada Allah ﷻ kerana baginda tidak boleh berharap kepada anak-anaknya itu. Nampak baginda beralih daripada bercakap dengan mereka kepada bercakap dengan Allah ﷻ pula. Sudah cukup apa yang baginda katakan kepada anak-anaknya itu dan sekarang baginda hendak bermunajat kepada Allah ﷻ pula. Baginda berharap Allah ﷻ akan bawakan mereka semua (Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Bunyamin) serta anaknya yang paling tua itu, kembali kepadanya semula. Baginda tidak kata يَأتِيَني بهما (mendatangkan mereka berdua) yang merujuk kepada Bunyamin dan abangnya yang tertua itu. Apabila digunakan بِهِم ia bermaksud 3 orang ke atas. Maka tentulah ini termasuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sekali.
Perhatikan susunan kata-kata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini. Selalunya kita kalau berdoa kepada Allah ﷻ, kita akan minta dahulu, bukan? Kalau begitu, susunan kata-kata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ adalah begini:
1. Baginda berdoa dan berharap Allah ﷻ akan kembalikan anak-anaknya,
2. Sementara menunggu keputusan Allah ﷻ itu, baginda akan bersabar.
Akan tetapi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak begitu pula. Anak-anaknya itu memang indah bagi baginda, tetapi baginda mendahulukan apa yang indah pada Allah ﷻ dahulu iaitu sabar. Maka baginda sebut sabar dahulu. Begitulah hebatnya Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang kita kena ikut dan jadikan sebagai sunnah ikutan. Kita yang jahil ini mementingkan benda yang kita mahu dahulu, barulah kita boleh bersabar, bukan? Kalau benda yang kita hendak tidak dapat, kita mungkin kata: ‘Apa gunanya sabar, tak dapat pun apa yang aku nak!’ Tidak begitu bagi Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, kerana baginda sedar sabar itu penting sama ada dapat apa yang baginda hendak atau tidak. Kerana itu baginda sebut sabar dahulu, kemudian baginda baru sebut tentang kehendak baginda. Kerana kalau dapat anak-anaknya, itu bagus. Namun kalau tidak dapat, baginda tetap bersabar juga dengan ujian Allah ﷻ itu.
Kata-kata Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ini menunjukkan kepada kita yang baginda tidak berputus asa. Baginda bukan sahaja boleh bersabar, akan tetapi baginda juga tidak putus asa. Kerana ada sahaja orang boleh bersabar, tetapi ramai yang sudah berputus asa. Contohnya dia ada anak yang degil dan tidak semenggah, maka dia bersabar. Namun dia berputus asa akan anaknya itu boleh berubah. Padahal kalau dia tidak berputus asa, dia masih lagi berharap dan masih lagi menasihati anak itu. Kadang ramai orang sudah tidak mahu menasihati lagi kerana dia tidak nampak anaknya itu akan berubah. Jangan begitu, jangan berputus asa dengan rahmat Allah ﷻ dan jangan putus asa dengan manusia kerana manusia boleh berubah. Nabi ﷺ pernah menyampaikan sebuah Hadith Qudsi supaya kita bersangka baik dengan Allah ﷻ,
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: يَقُولُ اللَّهُ تَعَالَى: «أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، وَأَنَا مَعَهُ إِذَا ذَكَرَنِي، فَإِنْ ذَكَرَنِي فِي نَفْسِهِ ذَكَرْتُهُ فِي نَفْسِي، وَإِنْ ذَكَرَنِي فِي مَلَإٍ ذَكَرْتُهُ فِي مَلَإٍ خَيْرٍ مِنْهُمْ…»
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, daripada Nabi ﷺ, Baginda bersabda: Allah Ta’ala berfirman: “Aku adalah sebagaimana yang hamba-Ku sangkakan (ẓannī) terhadap-Ku. Dan Aku bersamanya apabila dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam Diri-Ku. Dan sekiranya dia mengingati-Ku dalam perkumpulan (khalayak), Aku akan mengingatinya dalam perkumpulan yang lebih baik daripada mereka…”
(Hadith Riwayat Al-Bukhari No. 7405 dan Muslim No. 2675)
Syarah: Ini bermaksud bahawa layanan dan balasan Allah ﷻ terhadap hamba-Nya adalah berdasarkan keyakinan (حسن الظن – ḥusn aẓ-ẓann) hamba itu kepada-Nya. Jika hamba bersangka baik: Yakin bahawa Allah ﷻ akan mengampuni, mengasihi, menolong, dan menerima taubatnya, maka Allah ﷻ akan melayaninya berdasarkan keyakinan itu (iaitu mengampuni dan menolongnya). Jika hamba bersangka buruk: Berputus asa daripada rahmat Allah ﷻ, merasakan doanya tidak diterima, atau merasakan Allah ﷻ tidak akan memaafkannya, maka dia akan diharamkan daripada kebaikan yang disangkanya itu.
Lihatlah bagaimana baginda masih lagi berharap yang Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ akan kembali lagi. Padahal anak-anaknya itu sudah kata Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dibunuh oleh serigala. Maknanya, ini memberi isyarat bahawa baginda tidak percaya langsung dengan kisah mereka dahulu. Sekarang terjadi lagi kejadian yang hampir serupa – jadi tidak salahlah kalau baginda tidak percaya kepada mereka lagi.
إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلعَلِيمُ ٱلحَڪِيمُ
sesungguhnya Dialah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.
Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ serahkan segalanya kepada Allah ﷻ. Allah ﷻ tahu apa yang Dia lakukan dan apa sahaja yang Allah ﷻ lakukan, tentulah ada hikmah. Kita sebagai manusia mesti bersabar dan menerima apa yang Allah ﷻ telah tetapkan.
Mungkin juga anaknya berkata: ‘Wahai bapa, manalah kita nak cari Yusuf tu…dah lama bertahun dah kita tak jumpa dia…’ Maka Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan mereka yang Allah Maha Mengetahui. Dia tahu di mana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, Dia tahu bagaimana hendak memulangkan anaknya itu kepada mereka semula. Maka jangan berputus harap dengan Allah ﷻ. Ya, kamu kalau cari memang tidak jumpa, tetapi Allah ﷻ boleh sahaja kembalikan dia kepada kita.
Baginda yakin dengan kebijaksanaan Allah ﷻ. Baginda tidak tahu rancangan Allah ﷻ, tetapi baginda yakin dan terima apa sahaja ketentuan Allah ﷻ. Cuma baginda hendak beritahu juga apakah harapan dalam hatinya itu kepada Allah .
Maka ayat ini mengandungi amat banyak pengajaran kepada kita dalam menjalani kehidupan di dunia ini. Perhatikan ada dua bahagian di dalam ayat ini. Satu bahagian Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bercakap dengan anak-anaknya (قَالَ بَل سَوَّلَت لَكُم أَنفُسُكُم أَمرًاۖ) dan bahagian kedua dan lebih panjang baginda sebenarnya bercakap dengan Allah (عَسَى ٱللَّهُ أَن يَأتِيَنِى بِهِم جَمِيعًاۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلعَلِيمُ ٱلحَڪِيمُ). Maka ia mengajar kita yang dalam kehidupan kita, jangan lupa Allah ﷻ. Banyakkan berharap kepada Allah ﷻ lebih lagi daripada berharap kepada manusia. Dalam percakapan kita dan urusan kita, libatkan Allah ﷻ juga. Sebagai contoh katakan kita hendak melakukan sesuatu esok dan kita buat rancangan, jangan lupa kata in sha Allah. Kerana segala apa takkan berlaku tanpa izin Allah ﷻ, bukan?
Kuiz Soalan Pendek
Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda daripada teks tafsir.
1. Apakah reaksi segera Nabi Ya’qub terhadap berita yang dibawa oleh anak-anaknya mengenai Bunyamin, dan mengapa baginda bertindak sedemikian?
2. Jelaskan dua maksud utama kalimah سَوَّلَت (sawwalat) seperti yang diulangi oleh Nabi Ya’qub dalam ayat ini.
3. Bagaimanakah perbuatan anak-anak Ya’qub terhadap maruah Bunyamin dianggap lebih zalim berbanding perbuatan mereka terhadap tubuh badan Nabi Yusuf?
4. Apakah pengajaran akidah utama yang boleh diambil daripada keraguan Nabi Ya’qub terhadap anak-anaknya, walaupun mereka membawa bukti kali ini?
5. Apakah yang dimaksudkan dengan صَبرٌ جَميلٌ (Sabar yang Indah), dan apakah perbezaan utamanya dengan sabar yang biasa?
6. Menurut tafsir, sabar bukanlah bermaksud pasif atau putus asa. Apakah tindakan yang diambil oleh Nabi Ya’qub yang membuktikan pemahaman ini?
7. Mengapakah Nabi Ya’qub menggunakan kata ganti بِهِم (mereka semua) dalam doanya, dan apakah yang ditunjukkannya mengenai harapan baginda?
8. Terangkan perkaitan antara sabar dengan iman seperti yang dihuraikan melalui tafsiran Surah At-Taghabun ayat 11.
9. Apakah konsep ḥusn aẓ-ẓann (bersangka baik) kepada Allah, dan bagaimana Nabi Ya’qub mempraktikkannya dalam ayat ini?
10. Apakah kepentingan Nabi Ya’qub menyebut dua nama Allah, ٱلعَلِيمُ (Maha Mengetahui) dan ٱلحَڪِيمُ (Maha Bijaksana) di akhir ayat?
Glosari Istilah Penting
|
Istilah
|
Definisi
|
|
سَوَّلَت (Sawwalat)
|
Berasal daripada akar kata س و ل. Ia membawa maksud ditipu, diajak, atau dipujuk oleh nafsu untuk melakukan perbuatan buruk. Ia juga bermaksud memandang ringan sesuatu perbuatan dosa yang besar.
|
|
Taswil
|
Perbuatan menganggap sesuatu (biasanya perbuatan dosa) itu ringan dan tidak mengapa jika dilakukan, selalunya hasil daripada bisikan syaitan.
|
|
ḥurmatul mu’min (Kehormatan orang Mukmin)
|
Merujuk kepada kesucian dan kemuliaan seorang yang beriman di sisi Allah ﷻ, yang merangkumi maruah, harta, dan darahnya, yang mana kehormatannya lebih agung daripada Ka’bah.
|
|
Ilmu Ghaib
|
Pengetahuan tentang perkara-perkara yang tersembunyi atau masa depan yang hanya diketahui oleh Allah ﷻ. Para Nabi pun tidak dianugerahkan pengetahuan ini melainkan apa yang diwahyukan kepada mereka.
|
|
صَبرٌ جَميلٌ (Ṣabrun Jamīl)
|
“Sabar yang Indah.” Ia adalah tahap kesabaran tertinggi yang dilakukan tanpa sebarang keluhan kepada makhluk, sama ada secara lisan atau dalam hati, dan disertai dengan keredhaan dan tawakal penuh kepada Allah ﷻ.
|
|
Fā’ as-Sababīyyah
|
Huruf ‘Fa’ (ف) yang menunjukkan hubungan sebab-akibat. Dalam konteks ayat ini, ia membawa maksud “maka disebabkan perbuatan kamu itu, kesabaran adalah tindak balasku.”
|
|
Kalam Nāqis
|
Secara harfiah bermaksud “Kalimat yang Tidak Sempurna.” Ia adalah gaya bahasa di mana ayat diucapkan secara ringkas tetapi membawa makna yang mendalam, sering kali seperti monolog dalaman yang diluahkan.
|
|
Ayatul Birr
|
Merujuk kepada Surah Al-Baqarah ayat 177, yang menyenaraikan ciri-ciri kebaikan dan sifat orang mukmin sejati, dengan kesabaran disebut sebagai sifat kemuncak.
|
|
ḥusn aẓ-ẓann (حسن الظن)
|
Bersangka baik, terutamanya terhadap Allah ﷻ. Ia adalah keyakinan seorang hamba bahawa Allah ﷻ akan mengampuni, menolong, dan mengasihi, yang mana balasan Allah ﷻ adalah berdasarkan sangkaan hamba-Nya itu.
|
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 26 November 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)


Kunci Jawapan Kuiz
1. Reaksi segera Nabi Ya’qub adalah menolak penjelasan mereka dengan berkata بَل (bahkan), menandakan baginda tidak mempercayai mereka. Baginda bertindak sedemikian kerana mereka pernah menipunya sebelum ini dalam kes Nabi Yusuf, menyebabkan kepercayaan baginda terhadap mereka telah hilang, sama seperti kisah budak dan serigala.
2. Dua maksud utama kalimah سَوَّلَت ialah: pertama, nafsu mereka sendiri telah memujuk dan menipu mereka untuk melakukan perbuatan terkutuk itu. Kedua, ia bermaksud mereka memandang ringan perbuatan menuduh Bunyamin mencuri, padahal ia adalah satu perkara yang amat besar dan berat.
3. Perbuatan mereka dianggap lebih zalim kerana ia menyerang maruah Bunyamin. Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, kehormatan (ḥurmah) seorang mukmin, termasuk maruah, harta, dan darahnya, adalah lebih agung di sisi Allah berbanding kehormatan Ka’bah itu sendiri.
4. Pengajaran akidah utama ialah para Nabi tidak mengetahui ilmu ghaib dan tidak boleh membaca isi hati manusia. Keraguan Nabi Ya’qub menunjukkan bahawa walaupun baginda seorang Nabi, baginda tidak dapat memastikan sama ada anak-anaknya bercakap benar atau tidak, sekaligus menolak fahaman sesat bahawa ada tok guru yang boleh mengetahui isi hati orang lain.
5. صَبرٌ جَميلٌ adalah tahap kesabaran yang tertinggi dan paling sempurna, iaitu sabar tanpa sebarang rungutan atau keluhan kepada sesiapa pun selain Allah ﷻ. Perbezaannya dengan sabar biasa ialah ia bukan sekadar menahan emosi, tetapi disertai dengan ketenangan hati yang penuh tawakal dan ketiadaan keluhan sama sekali, baik secara zahir mahupun batin.
6. Sabar yang ditunjukkan oleh Nabi Ya’qub bukan pasif kerana selepas ini, baginda memberi arahan kepada anak-anaknya untuk pergi mencari Nabi Yusuf dan Bunyamin. Ini menunjukkan bahawa sabar yang sebenar melibatkan usaha melakukan apa yang termampu, sambil menyerahkan hasilnya kepada Allah dan menerima apa jua ketetapan-Nya.
7. Penggunaan kata بِهِم bermaksud tiga orang atau lebih. Ini menunjukkan bahawa harapan Nabi Ya’qub bukan hanya untuk kembalinya Bunyamin dan abangnya yang sulung, tetapi juga merangkumi Nabi Yusuf, yang telah lama hilang. Ini membuktikan baginda tidak pernah putus asa dan sentiasa berharap Nabi Yusuf akan kembali.
8. Dalam Surah At-Taghabun:11, Allah menyebut bahawa sesiapa yang beriman kepada-Nya ketika ditimpa musibah, Allah akan memberi petunjuk kepada hatinya. Tafsiran ini mengaitkan ‘iman’ dalam konteks musibah dengan ‘sabar’. Ini bermakna, sabar adalah sebahagian daripada iman, dan orang yang sabar akan dikurniakan petunjuk hati oleh Allah.
9. Konsep ḥusn aẓ-ẓann bermaksud sentiasa bersangka baik terhadap Allah, yakin bahawa Allah akan mengampuni, menolong, dan menerima taubat. Nabi Ya’qub mempraktikkannya dengan tidak berputus asa dari rahmat Allah, sebaliknya baginda berharap dan berdoa agar Allah mengembalikan kesemua anaknya, menunjukkan keyakinan penuh terhadap kekuasaan dan belas kasihan Allah.
10. Nabi Ya’qub menyebut ٱلعَلِيمُ untuk mengingatkan bahawa Allah Maha Mengetahui segala sesuatu, termasuk di mana keberadaan anak-anaknya. Baginda menyebut ٱلحَڪِيمُ untuk menyatakan keyakinannya bahawa setiap ketentuan dan rancangan Allah, walaupun pahit, pasti mengandungi hikmah yang agung, dan baginda menyerahkan segalanya kepada kebijaksanaan Allah.
LikeLike