Tafsir Surah Yusuf Ayat 70 – 75 (Helah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan piala)

Yusuf Ayat 70: Rentetan bagaimana helah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mendapatkan Bunyamin duduk dengannya. Ini adalah untuk menyelamatkan adiknya itu daripada terus dizalimi.

فَلَمَّا جَهَّزَهُم بِجَهَازِهِم جَعَلَ ٱلسِّقَايَةَ فِى رَحلِ أَخِيهِ ثُمَّ أَذَّنَ مُؤَذِّنٌ أَيَّتُهَا ٱلعِيرُ إِنَّكُم لَسَـٰرِقُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

So when he had furnished them with their supplies, he put the [gold measuring] bowl into the bag of his brother. Then an announcer called out, “O caravan, indeed you are thieves.”

(MALAY)

Maka tatkala telah disiapkan untuk mereka bahan makanan mereka, Yusuf memasukkan piala (tempat minum) ke dalam karung saudaranya. Kemudian berteriaklah seseorang yang menyerukan: “Hai kafilah, sesungguhnya kamu adalah orang-orang yang mencuri”.

 

فَلَمّا جَهَّزَهُم بِجَهازِهِم

Maka tatkala telah disiapkan untuk mereka bahan makanan mereka,

Setelah urusan mereka nampak selesai dan barangan makanan pun mula dimasukkan ke dalam bekas mereka. Ini adalah kejadian semasa memasukkan barang makanan ke atas unta mereka. Tujuan mereka datang adalah untuk mendapatkan bahan makanan.

 

جَعَلَ السِّقايَةَ في رَحلِ أَخيهِ

Yusuf memasukkan piala (tempat minum) ke dalam karung saudaranya (Bunyamin). 

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri memasukkan sesuatu ke dalam karung Bunyamin. Di dalam ayat 62, baginda suruh hambanya yang memasukkan, tetapi kali ini baginda sendiri yang memasukkan. Ini adalah kerana ini adalah langkah atau tindakan  yang amat rahsia dan baginda tidak mahu ia terbongkar. Lagi pun, baginda sahaja yang boleh melakukannya kerana piala itu milik kerajaan dan orang sembarangan tidak dibenarkan mengambil barang itu.

Kalimah السِّقايَةَ adalah gelas tetapi bukan gelas yang biasa. Ia daripada kata dasar س ق ي yang bermaksud kepada air; beri minum; mengairi. Ia dipanggil “goblet” – dan ia adalah mahal. Ini jenis bekas minuman yang digunakan oleh orang yang kaya dan berkedudukan tinggi dan sekiranya kita menggunakan gelas ini, bukan kita yang menuangnya sendiri air itu tetapi ada orang lain yang tuangkan. Bekas السِّقايَةَ raja ini ada yang kata diperbuat daripada emas dan ada yang kata ia dibuat daripada batu mahal seperti zamrud.

Ada juga yang mengatakan yang dimasukkan itu adalah penyukat Raja. Iaitu sukatan yang digunakan untuk menilai berapa banyak gandum yang diberikan kepada mereka yang memerlukannya. Jadi sama ada ia digunakan oleh raja sendiri atau raja telah menetapkan piala itu digunakan sebagai alat penyukat. Apa-apa pun, ia dikaitkan dengan Raja Mesir dan ia adalah barangan yang berharga.

Kalimah yang Allah ‎ﷻ gunakan adalah السِّقايَةَ dengan ال yang bermakna ‘piala itu’, bukannya mana-mana piala. Tiba-tiba sahaja Allah ‎ﷻ berkata tentang piala. Untuk orang yang pertama kali membaca ayat ini tentu tertanya-tanya tentang apakah piala itu dan apakah ceritanya. Begitulah Allah ‎ﷻ menarik perhatian pembaca Al-Qur’an untuk mengajak manusia berfikir. Itulah pentingnya menggunakan pemikiran yang kritis apabila membaca Al-Qur’an. Kerana itu penggunaan akal penting dalam Islam dan dalam mengenal agama Islam.

Dari segi zahirnya, nampak seolah-olah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sedang mengkhianati Bunyamin pula. Namun kita kena faham yang apa yang baginda lakukan itu adalah suruhan daripada Allah ‎ﷻ sendiri. Ada rancangan yang Allah ‎ﷻ hendak jalankan. Lagi pun baginda telah berbincang dengan Bunyamin tentang hal ini. Bunyamin sendiri mungkin sudah minta supaya beliau tidak dibiarkan lagi dengan abang-abangnya itu, maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kata ini sahaja cara yang membolehkan Bunyamin terus tinggal di Mesir bersama baginda.

 

ثُمَّ أَذَّنَ مُؤَذِّنٌ أَيَّتُهَا ٱلعِيرُ

Kemudian berteriaklah seseorang yang menyerukan: “Hai kafilah, 

Selepas memasukkan gelas (atau penyukat itu), Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎telah sengaja membuat kecoh  bertanyakan di manakah penyukat Raja itu. Atau, ada pegawai yang perasan piala itu tidak ada lagi dan dia pun tidak tahu perancangan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Maka berteriaklah pegawai kerajaan Mesir memanggil dan hendak menahan mereka.

Kalimah ٱلعِيرُ daripada kata dasar ع ي ر yang bermaksud mengembara, berjalan maju mundur, caravan atau kafilah, kafilah unta yang membawa bekalan jagung. Memang pada zaman itu unta banyak digunakan sebagai kenderaan untuk pengangkutan. Unta memiliki berbagai kelebihan yang membuatnya sangat sesuai sehingga digelar ‘kapal padang pasir’. Kelebihan-kelebihan ini merupakan adaptasi luar biasa terhadap lingkungan gurun yang ekstrem:

1. Kemampuan Bertahan Hidup Tanpa Air (dan Makanan) dalam Waktu Lama:

    • Penyimpanan Air: Unta tidak menyimpan air di pundaknya (pundak itu untuk menyimpan lemak), tetapi mereka memiliki mekanisme tubuh yang sangat efisien untuk menyimpan air. Mereka dapat minum air dalam jumlah besar (hingga 100-150 liter) dalam sekali minum dan dapat bertahan tanpa air selama berminggu-minggu, bahkan berbulan-bulan jika ada cukup tumbuhan yang lembap.
    • Toleransi Dehidrasi: Unta dapat kehilangan hingga 25% berat tubuhnya kerana dehidrasi tanpa mengalami gangguan fungsi tubuh yang serius, jauh lebih tinggi dibandingkan haiwan lain (manusia hanya dapat tahan kalau hilang air sekitar 10-12%).
    • Metabolisme Air: Metabolisme unta sangat efisien dalam menghasilkan air daripada oksidasi lemak di pundaknya.
    • Ketahanan Tanpa Makanan: Unta dapat bertahan hidup berminggu-minggu tanpa makanan, dengan memakan lemak di pundaknya.

2. Adaptasi untuk Gurun Pasir:

    • Kaki Lebar dan Kusyen: Kaki mereka lebar dengan bantalan empuk yang memungkinkan mereka berjalan di pasir lembut tanpa tenggelam, seperti memakai sepatu salji.
    • Bulu Tebal dan Warna Cerah: Bulu tebal melindungi mereka dari panas matahari yang menyengat di siang hari dan dinginnya gurun di malam hari. Warna bulunya yang cerah juga memantulkan panas jadi mereka kurang kepanasan.
    • Hidung dan Bulu Mata Khusus: Lubang hidung unta dapat ditutup rapat untuk mencegah pasir masuk. Mereka juga memiliki dua baris bulu mata yang sangat panjang dan tebal untuk melindungi mata dari pasir dan angin.
    • Pundak: Pundaknya menyimpan simpanan lemak yang boleh ditukar menjadi tenaga dan air ketika makanan dan air kurang.

3. Regulasi Suhu Tubuh yang Unik:

Unta dapat membiarkan suhu tubuh dalamannya berubah hingga beberapa darjah Celsius (dari sekitar 34°C di pagi hari hingga 41°C di siang hari). Ini mengurangi keperluan untuk berpeluh untuk mendinginkan diri, sehingga dapat mengurangkan keperluan air.

4. Kemampuan Memakan Tanaman Gurun:

Mulut dan bibir unta yang kuat dan tebal membolehkan mereka memakan tanaman gurun yang berduri atau berserat keras yang tidak dapat dimakan oleh haiwan lain.

5. Penglihatan dan Penciuman:

Memiliki penglihatan dan penciuman yang baik untuk menemukan sumber air dan makanan di hamparan gurun yang luas.

Disebabkan semua kelebihan adaptasi ini, maka unta telah menjadi alat pengangkutan, sumber makanan (daging dan susu), dan tenaga kerja yang tidak tergantikan bagi peradaban di padang pasir selama ribuan tahun. Sampaikan Allah ‎ﷻ sebut dan suruh kita melihat dan mengkaji unta itu kerana betapa hebatnya ia. Lihat Ghasyiyah:17

“أَفَلَا يَنظُرُونَ إِلَى الْإِبِلِ كَيْفَ خُلِقَتْ”
“Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta, bagaimana ia diciptakan?”

Maka unta itu sangatlah sesuai sebagai binatang pengangkutan. Unta ini mempunyai kaki yang kuat. Kita boleh sahaja mengarahkan ia turun tunduk agar mudah untuk kita meletakkan barang dagangan di atasnya. Kemudian setelah selesai, unta itu boleh bangun berdiri semula. Berbeza dengan lembu atau kambing, walaupun kita arahkan mereka duduk dan kemudian letak barang di atas mereka, mereka tidak akan mampu melakukannya kerana kaki mereka tidak kuat. Ini pun sebuah nikmat jika kita perhatikan.

Kalimah ثُمَّ digunakan memberi isyarat tidaklah mereka telah dipanggil melainkan telah berlalu sekian waktu. Waktu itu adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sudah meninggalkan tempat itu tetapi masih lagi boleh dipanggil.

 

إِنَّكُم لَسَـٰرِقُونَ

sesungguhnya kamu adalah sesungguhnya orang-orang yang mencuri”.

Pegawai negara itu terus menuduh mereka sebagai golongan pencuri.


 

Yusuf Ayat 71:

قَالُواْ وَأَقبَلُواْ عَلَيهِم مَّاذَا تَفقِدُونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said while approaching them, “What is it you are missing?”

(MALAY)

Mereka menjawab, sambil menghadap kepada penyeru-penyeru itu: “Barang apakah yang hilang dari pada kamu?”

 

قالوا وَأَقبَلوا عَلَيهِم

Mereka menjawab, sambil menghadap kepada penyeru-penyeru itu: 

Adik beradik itu terasa sungguh apabila dikatakan mereka pencuri. Kalimah أَقبَلوا memberi isyarat yang mereka mengadap tukang seru itu dengan sikap yang marah. Jika benar mereka pencuri tentu mereka yang lari dahulu tetapi tidak kerana mereka tidak mencuri. Mereka datang dengan baik dan hendak pergi dengan baik. Maka mereka pun berpatah balik dengan nada marah juga. Marah kerana dituduh. Maka, mereka dengan berani terus menghadap penyeru itu.

 

مّاذا تَفقِدونَ

“Barang apakah yang hilang daripada kamu?”

Mereka tanya apakah barang yang hilang itu? Mereka memang yakin benar yang mereka tidak mengambil apa-apa pun jadi mereka berani hendak tanya lebih.


 

Yusuf Ayat 72:

قَالُواْ نَفقِدُ صُوَاعَ ٱلمَلِكِ وَلِمَن جَآءَ بِهِۦ حِملُ بَعِيرٍ وَأَنَا۟ بِهِۦ زَعِيمٌ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “We are missing the measure of the king. And for he who produces it is [the reward of] a camel’s load, and I am responsible for it.”

(MALAY)

Penyeru-penyeru itu berkata: “Kami kehilangan piala raja, dan siapa yang dapat mengembalikannya akan memperoleh bahan makanan (seberat) beban unta, dan aku menjamin terhadapnya”.

 

قالوا نَفقِدُ صُواعَ المَلِكِ

Penyeru-penyeru itu berkata: “Kami kehilangan piala raja,

Sekarang digunakan kalimah قالوا (mereka berkata) sedangkan sebelum ini seorang sahaja مُؤَذِّنٌ. Ini bermakna keadaan sudah kecoh dan sudah ramai pegawai kerajaan datang melihat perkara itu. Digunakan قالوا walaupun seorang sahaja bercakap kerana seorang itu mewakili semua pegawai.

Kali ini digunakan kalimah صُواعَ pula sedangkan sebelum ini digunakan istilah السِّقايَةَ. Kalimah صُواعَ daripada kata dasar ص و ع dan ia bermaksud alat untuk mengukur, menimbang. Ia dikatakan milik raja jadi ia bukanlah piala kepunyaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun. Atau, mungkin ia digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana baginda mewakili raja. Kiranya ia adalah milik kerajaan. Yang pasti, ia memang sesuatu yang amat bernilai.

 

وَلِمَن جَآءَ بِهِۦ حِملُ بَعِيرٍ

dan siapa yang dapat mengembalikannya akan memperoleh bahan makanan (seberat) beban unta,

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah membuat pengumuman: kepada sesiapa yang boleh memulangkan (menjumpai) gelas diraja itu, dia akan memperolehi muatan tambahan seberat satu beban unta.

Ayat ini menjadi dalil (dasar hukum) atas kebolehan (disyariatkan) memberikan imbalan atau hadiah (upah) kepada orang yang berhasil menemukan barang yang hilang atau melakukan suatu pekerjaan tertentu, yang disebut dalam fiqh sebagai Al-Ju’alah (sayembara atau janji upah). Al-Ju’alah adalah janji upah yang tidak terikat dengan pihak tertentu (siapa saja boleh mengerjakannya) dan tidak pula terikat dengan waktu yang pasti. Dalam kisah Bunyamin ini, sesiapa pun yang membawa kembali piala raja akan diberikan hadiah satu beban unta bahan makanan. Kebolehan Al-Ju’alah ini berbeza dengan akad sewa/upah (Ijarah) yang memerlukan kejelasan pekerja dan jangka waktu. Antara contoh lain, Al-Ju’alah boleh diberikan kepada sesiapa yang boleh beri maklumat sampai penjenayah ditangkap.

Frasa حِمْلُ بَعِير (beban unta) menunjukkan bahawa imbalan yang dijanjikan harus jelas dan diketahui jenis serta ukurannya, meskipun tidak terperinci secara sangat spesifik, kerana beban unta adalah takaran yang umum dikenal pada masa itu. Dalam fiqh, ini adalah syarat sahnya Al-Ju’alah; hadiah yang dijanjikan tidak boleh mengandung ghaharar (ketidakjelasan) yang berlebihan.

 

وَأَنَا۟ بِهِۦ زَعِيمٌ

dan aku menjamin terhadapnya”.

Siapakah yang memberi jaminan ini? Adakah pegawai kerajaan atau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Kalau pegawai itu mungkin tidak sesuai kerana dia bukannya pemimpin dan tidak layak memberi jaminan sebegini. Jadi mungkin yang berkata dan memberi jaminan ini adalah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata baginda memberi jaminan akan memberikan balasan muatan seekor unta itu kepada sesiapa yang boleh mengembalikan gelas diraja itu.

Kalimah za’im (ضامن/penjamin) dalam konteks ini menunjukkan bahawa orang yang mengucapkan janji itu bertindak sebagai penjamin (kafil) atas hadiah tersebut. Ini menjadi dalil bagi disyariatkannya Akad Jaminan (Al-Kafalah) dalam Islam, di mana satu pihak menjamin untuk menunaikan kewajipan pihak lain (dalam hal ini, kewajipan memberikan upah/hadiah). Begitu juga penjamin boleh ada di dalam urusan hutang. Contohnya seorang hendak berhutang dan pemberi hutang (pemiutang) tidak akan beri melainkan ada orang yang akan menjadi penjaminnya. Pemiutang boleh mengambil bayaran hutang daripada penjamin itu jikalau penghutang tidak dapat membayarnya. Kemudian penjamin itu hendaklah memastikan bayaran daripada penghutang nanti.

Akan tetapi kenapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberi jaminan ini? Kerana kalau ada orang yang mencuri barang dan kita mahukannya kembali, kita boleh menawarkan hadiah untuk sesiapa yang dapat mengembalikannya. Akan tetapi kalau pencuri sebenar, tentu dia takut untuk memulangkan, takut ditangkap. Jadi jaminan ini penting kerana ia memberi rasa selamat bagi pencuri iaitu dia tidak ditangkap, malah dapat hadiah pula. Bagi tuan empunya barang pula, yang dia mahukan adalah barangnya dipulangkan sahaja kerana ia mungkin amat penting baginya dan tidak kisah kalau yang memulangkannya adalah pencuri pun. Sebagai contoh kalau dompet kita hilang, ada yang iklankan: ‘Ambillah wang di dalam dompet itu asalkan pulangkan barang yang lain’.

Namun begitu kita yang sedang belajar ayat ini tentu sudah tahu yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang meletakkan piala itu di dalam karung adiknya itu. Jadi kenapa sampai kena buat tawaran sebegitu pula? Ini adalah sebagai helah dan rancangan daripada baginda sahaja dan untuk menjayakannya, perlu dijadikan seolah-olah ia benar-benar berlaku. Perbuatan helah ini dibenarkan kerana Allah ‎ﷻ sendiri yang memberi wahyu dan arahan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini seumpama kebenaran menggunakan helah di dalam perang seperti sabda Nabi ﷺ,

“Perang itu adalah tipu daya (helah).”

Hadith ini adalah Sahih dan diriwayatkan dalam kitab-kitab hadith utama: Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan Sunan Abu Dawud


 

Yusuf Ayat 73:

قَالُواْ تَٱللَّهِ لَقَد عَلِمتُم مَّا جِئنَا لِنُفسِدَ فِى ٱلأَرضِ وَمَا كُنَّا سَـٰرِقِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They said, “By Allāh, you have certainly known that we did not come to cause corruption in the land, and we have not been thieves.”

(MALAY)

Saudara-saudara Yusuf menjawab “Demi Allah sesungguhnya kamu mengetahui bahawa kami datang bukan untuk membuat kerosakan di negeri (ini) dan kami bukanlah para pencuri”.

 

قالوا تَاللهِ

Saudara-saudara Yusuf menjawab “Demi Allah

Kalimah تَاللهِ adalah lafaz sumpah. Namun biasanya kalimah ِوالله yang digunakan untuk sumpah. Kalimah تَاللهِ digunakan apabila orang yang mengatakannya itu dalam keadaan terkejut dan kerana itu ia lebih kuat daripada  ِوالله. Sedangkan kalimah والله adalah kalimah sumpah sebagai penekanan untuk semua keadaan. Namun apabila guna تَاللهِ, ia lebih kuat lagi.

 

لَقَد عَلِمتُم مَّا جِئنَا لِنُفسِدَ فِى ٱلأَرضِ

sesungguhnya kamu mengetahui bahawa kami datang bukan untuk membuat kerosakan di negeri (ini) 

Adik beradik Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berhujah untuk mempertahankan diri mereka. Mereka kata orang Mesir itu pun tahu yang mereka datang bukan hendak berbuat masalah dan hendak mencuri. Bukan mereka orang berbuat kerosakan di atas muka bumi dengan melanggar syariat, iaitu mencuri. Ketika mereka datang, mereka telah diperiksa dan telah disoal siasat, malah mereka kali ini datang dengan adik mereka yang 11 sebagai bukti yang mereka memang jujur. Jadi kedudukan mereka sudah diketahui oleh pegawai-pegawai di Mesir itu.

 

وَمَا كُنَّا سَـٰرِقِينَ

dan kami bukanlah para pencuri”.

Mereka menekankan yang mereka bukanlah golongan pencuri pun. Mereka orang terhormat, anak seorang Nabi pula. Malah bukan ini kali pertama mereka datang ke Mesir. Pada tahun lepas pun mereka sudah datang dan mereka telah bercakap-cakap dengan Menteri Kewangan sendiri – tidak mungkin mereka hendak mencari pasal pula. Selama ini mereka datang ke Mesir, tidak ada masalah pun.


 

Yusuf Ayat 74:

قَالُواْ فَمَا جَزٓؤُهُ ۥۤ إِن كُنتُم ڪَـٰذِبِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

They [the accusers] said, “Then what would be its recompense¹ if you should be liars?”

  • The punishment for theft.

(MALAY)

Mereka berkata: “Tetapi apa balasannya jikalau kamu betul-betul pendusta? “

 

Oleh kerana mereka mempertahankan diri mereka, maka ditanya kembali kepada mereka: Kalau kamu tipu, apa agaknya balasan untuk kamu?

Maksudnya mereka bertanyakan apakah hukuman yang dikenakan di tempat asal mereka, kerana mereka datang dari Kan’an. Kalau benar mereka mencuri, apakah hukuman yang dikenakan di sana?


 

Yusuf Ayat 75:

قَالُواْ جَزٓؤُهُ ۥ مَن وُجِدَ فِى رَحلِهِۦ فَهُوَ جَزٓؤُهُ ۥ‌ۚ كَذٰلِكَ نَجزِى ٱلظَّـٰلِمِينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[The brothers] said, “Its recompense is that he in whose bag it is found – he [himself] will be its recompense.¹ Thus do we recompense the wrongdoers.”

  • According to their law, a convicted thief was made a slave of the one from whom he had stolen.

(MALAY)

Mereka menjawab: “Balasannya, ialah pada siapa diketemukan (barang yang hilang) dalam karungnya, maka dia sendirilah balasannya (tebusannya)”. Demikianlah kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang zalim.

 

قَالُواْ جَزٓؤُهُ ۥ مَن وُجِدَ فِى رَحلِهِۦ فَهُوَ جَزٓؤُهُ ۥ‌

Mereka menjawab: “Balasannya, ialah pada siapa diketemukan (barang yang hilang) dalam karungnya, maka dia sendirilah balasannya (tebusannya)”. 

Anak-anak Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu beritahu undang-undang mereka di Kan’an iaitu syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Sekiranya seseorang itu didapati mencuri dan ditangkap, orang yang mencuri itu akan menjadi hamba kepada siapa yang dicuri. Yang mencuri itulah yang menjadi balasan kepada kesalahan itu di mana dia akan dijadikan hamba. Mereka dikehendaki menjadi hamba tuan punya barang dicuri itu selama setahun.

Undang-undang Mesir tidak begitu. Begitulah yang dikehendaki oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kerana tindakannya itu adalah supaya Bunyamin dapat tinggal di Mesir bersama dengannya.

 

كَذٰلِكَ نَجزِى ٱلظَّـٰلِمِينَ

Demikianlah kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang zalim.

Begitulah cara syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terhadap orang zalim di Kan’an dan abang-abang itu dengan beraninya memberikan keputusan itu kerana memang mereka tidak mencuri pun. Orang yang tidak mencuri memang tidak takut apa-apa.

Namun kenapa disebut itu balasan bagi ٱلظَّـٰلِمِينَ (orang-orang zalim) dan bukan سَـٰرِقِينَ (pencuri-pencuri)? Bukankah ini hukuman kepada pencuri? Kerana orang zalim adalah apabila meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Apabila mencuri, kita mengambil hak orang yang tidak sepatutnya kita ambil. Maka Kalimah zalim juga boleh terpakai kepada pencuri kerana mengambil hak orang dan bukan diletakkan pada tuan punya hak itu.

 

Kuiz Pemahaman

Jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat berdasarkan pemahaman anda daripada teks tafsir.

1. Apakah tujuan utama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meletakkan piala ke dalam karung Bunyamin?

2. Mengapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sendiri yang meletakkan piala tersebut dan tidak menyuruh hambanya seperti sebelumnya?

3. Apakah dua nama yang digunakan untuk piala raja dalam ayat-ayat ini dan apakah maksudnya?

4. Apakah ganjaran yang ditawarkan kepada sesiapa yang dapat mengembalikan piala raja, dan apakah prinsip fiqh yang berkaitan dengannya?

5. Siapakah yang memberikan jaminan untuk ganjaran tersebut dan apakah konsep fiqh yang berkaitan dengan jaminan itu?

6. Bagaimanakah reaksi abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ apabila mereka dituduh sebagai pencuri?

7. Apakah hujah yang digunakan oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk mempertahankan diri mereka?

8. Apakah perbezaan lafaz sumpah تَاللهِ berbanding dengan واللهِ seperti yang dijelaskan dalam tafsir?

9. Apakah hukuman bagi pencuri menurut syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, seperti yang diterangkan oleh abang-abang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?

10. Mengapakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ perlu bertanya kepada abang-abangnya tentang hukuman bagi pencuri menurut undang-undang mereka dan tidak menggunakan undang-undang Mesir?

 

Glosari Istilah Utama
Istilah
Definisi
السِّقايَةَ (As-Siqayah)
Gelas atau piala minuman yang mahal, seperti ‘goblet’, yang digunakan oleh golongan kaya dan berkedudukan tinggi. Diperbuat daripada bahan berharga seperti emas atau zamrud dan dikaitkan dengan Raja Mesir.
صُواعَ ٱلمَلِكِ (Suwa’ al-Malik)
Piala Raja, juga difahami sebagai alat untuk mengukur atau menimbang, seperti sukatan yang digunakan untuk menilai jumlah gandum yang diberikan. Ia adalah milik kerajaan.
Al-Ju’alah (الجُعَالَة)
Satu konsep dalam fiqh yang merujuk kepada janji upah/hadiah kepada sesiapa sahaja (pihak tidak terikat) yang berjaya menemukan barang hilang atau melakukan suatu pekerjaan. Hadiah yang dijanjikan mestilah jelas.
Al-Kafalah (الكَفَالَة)
Akad Jaminan dalam Islam, di mana satu pihak (penjamin) menjamin untuk menunaikan kewajipan pihak lain. Dalam konteks ini, jaminan untuk memberikan hadiah yang dijanjikan.
ٱلعِيرُ (Al-‘Iir)
Merujuk kepada kafilah atau karavan, terutamanya kafilah unta yang membawa bekalan seperti gandum dan jagung.
حِملُ بَعِيرٍ (Himlu Ba’ir)
Beban unta. Ia merujuk kepada ganjaran bahan makanan seberat satu muatan unta, satu takaran yang umum dan difahami pada zaman itu.
زَعِيمٌ (Za’im)
Penjamin (kafil). Seseorang yang memberi jaminan dan bertanggungjawab atas sesuatu, dalam konteks ini, menjamin pemberian hadiah.
تَاللهِ (Tallahi)
Lafaz sumpah dalam keadaan terkejut. Ia dianggap lebih kuat daripada lafaz sumpah yang biasa digunakan, واللهِ (Wallahi).
الحَرْبُ خَدْعَةٌ (Al-harbu khad’ah)
“Perang itu adalah tipu daya (helah).” Sebaris hadith sahih yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, dan Abu Dawud, yang membenarkan penggunaan helah dalam peperangan.
Syariat Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ
Undang-undang atau peraturan yang diikuti oleh Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ anak-anaknya di Kan’an. Dalam konteks ini, hukuman bagi pencuri adalah dengan menjadikan pesalah sebagai hamba kepada mangsa selama setahun.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 15 November 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan (deeper look)

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

3 thoughts on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 70 – 75 (Helah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan piala)”

  1. Skema Jawapan Kuiz
    Berikut adalah jawapan bagi soalan-soalan kuiz di atas.
    1. Tujuan utama Nabi Yusuf عليه السلام adalah untuk menyelamatkan adiknya, Bunyamin, dari terus dizalimi oleh abang-abangnya dan untuk membolehkan Bunyamin tinggal bersamanya di Mesir. Helah ini adalah sebahagian daripada rancangan yang diwahyukan oleh Allah ‎ﷻ.
    2. Nabi Yusuf عليه السلام meletakkannya sendiri kerana ia adalah satu tindakan yang amat rahsia dan baginda tidak mahu rancangannya terbongkar. Selain itu, piala itu adalah milik kerajaan dan orang biasa tidak boleh memegangnya.
    3. Dua nama yang digunakan ialah السِّقايَةَ (as-siqayah) dan صُواعَ (suwa’). السِّقايَةَ merujuk kepada piala minuman mahal seperti ‘goblet’ yang diperbuat daripada emas atau batu mahal, manakala صُواعَ merujuk kepada alat penyukat atau penimbang yang digunakan oleh raja.
    4. Ganjaran yang ditawarkan ialah bahan makanan seberat muatan seekor unta (حِملُ بَعِيرٍ). Prinsip fiqh yang berkaitan dengannya ialah Al-Ju’alah, iaitu janji upah atau hadiah kepada sesiapa yang berjaya melakukan sesuatu pekerjaan tertentu.
    5. Tafsir tersebut menyatakan kemungkinan besar Nabi Yusuf عليه السلام sendiri yang memberikan jaminan (زَعِيمٌ). Konsep fiqh yang berkaitan ialah Al-Kafalah (Akad Jaminan), di mana satu pihak menjamin untuk menunaikan kewajipan pihak lain.
    6. Abang-abang Nabi Yusuf merasa sangat terkejut dan marah kerana dituduh mencuri. Mereka berpatah balik dan dengan berani menghadap penyeru-penyeru itu untuk bertanya barang apa yang hilang, menunjukkan keyakinan bahawa mereka tidak bersalah.
    7. Mereka berhujah dengan bersumpah demi Allah (تَاللهِ) bahawa pihak Mesir sendiri tahu mereka datang bukan untuk membuat kerosakan. Mereka juga menekankan bahawa mereka bukan daripada golongan pencuri dan mempunyai reputasi yang baik sebagai anak seorang Nabi yang pernah datang sebelum ini tanpa sebarang masalah.
    8. Lafaz sumpah تَاللهِ digunakan apabila seseorang berada dalam keadaan terkejut, menjadikannya lebih kuat daripada lafaz sumpah واللهِ. Lafaz واللهِ pula adalah kalimah sumpah yang digunakan sebagai penekanan dalam semua keadaan.
    9. Menurut syariat Nabi Ya’qub عليه السلام, hukuman bagi pencuri ialah orang yang didapati mencuri itu akan dijadikan hamba atau kuli kepada orang yang dicuri barangnya selama setahun.
    10. Nabi Yusuf عليه السلام bertanya tentang undang-undang mereka kerana undang-undang Mesir berbeza. Dengan menggunakan undang-undang mereka (syariat Nabi Ya’qub), hukuman menjadikan pencuri sebagai hamba akan membolehkan Bunyamin ditahan dan terus tinggal di Mesir bersamanya, yang merupakan matlamat utama rancangan tersebut.

    Like

Leave a reply to arfansukeri Cancel reply