Yusuf Ayat 42: Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membuat perancangan untuk keluar dari penjara dengan meminta bantuan kepada salah seorang daripada banduan itu.
وَقَالَ لِلَّذِى ظَنَّ أَنَّهُ ۥ نَاجٍ مِّنهُمَا ٱذڪُرنِى عِندَ رَبِّكَ فَأَنسَٮٰهُ ٱلشَّيطَـٰنُ ذِڪرَ رَبِّهِۦ فَلَبِثَ فِى ٱلسِّجنِ بِضعَ سِنِينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And he said to the one whom he knew would go free, “Mention me before your master.” But Satan made him forget the mention [to] his master, and he [i.e., Joseph] remained in prison several years.
(MALAY)
Dan Yusuf berkata kepada orang yang diketahuinya akan selamat diantara mereka berdua: “Sebutlah tentang keadaanku kepada tuanmu”. Lalu syaitan menjadikan dia lupa menerangkan (keadaan Yusuf) kepada tuannya. Kerana itu tetaplah dia (Yusuf) dalam penjara beberapa tahun lamanya.
وَقَالَ لِلَّذِى ظَنَّ أَنَّهُ ۥ نَاجٍ مِّنهُمَا
Dan Yusuf berkata kepada orang yang dia yakin akan selamat di antara mereka berdua:
Sudah tentu lelaki yang mendapat berita buruk itu (yang dia akan dihukum bunuh) tidak mahu bercakap dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lagi kerana sudah sedih atau marah. Jadi baginda bercakap dengan seorang yang akan keluar itu sahaja. Lagi pun baginda hendak meminta tolong, jadi minta tolong kepada yang boleh tolong sahaja lah. Selepas dia dapat berita yang dia akan selamat, tentu dia suka dan sanggup untuk menolong Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Kalimah ظَنَّ selalunya digunakan untuk bermaksud menduga, dan juga boleh digunakan untuk bermaksud yakin. Ia adalah satu kepercayaan bagi seseorang setelah dia mendapat maklumat atau bukti. Setelah mendapat maklumat, seseorang akan mempunyai sebuah keputusan dalam benaknya akan sesuatu perkara. Cuma, kita pun tahu yang bukan semua maklumat itu benar, bukan? Ada orang yang melihat sendiri; tetapi ada orang yang setakat dengar sahaja pun mereka sudah percaya. Sebab itu berita viral senang dipercayai kerana bagi sesetengah orang, asal ada dalam media sosial sahaja, tentu betul. Kepercayaan sebegini pun sebenarnya adalah termasuk dalam ظَنَّ juga walaupun secara hakikatnya ia tidak benar pun. ظَنَّ ini adalah keyakinan seseorang setelah ada bukti dia dapat, tidak kiralah bukti itu benar atau tidak. Jadi ظَنَّ ini boleh jadi benar, boleh jadi tidak. Kerana itu kita tidak boleh yakin sangat dengan maklumat yang kita dapat, dan kerana itu kita tidak gunakan istilah يقين tetapi ظَنَّ sahaja kerana setakat kita tahu, itulah kebenaran bagi kita.
Ia juga boleh bermaksud yakin sepertimana digunakan di dalam Baqarah:46
الَّذِيْنَ يَظُنُّوْنَ اَنَّهُمْ مُّلٰقُوْا رَبِّهِمْ وَاَنَّهُمْ اِلَيْهِ رٰجِعُوْنَࣖ ٤٦
(Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepada-Nya.
Keyakinan tentang Hari Akhirat mestilah sampai ke tahap yakin, bukan agak-agak sahaja. Ada kala ia boleh bermaksud sangkaan seperti digunakan di dalam Hujurat:12
اَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اجْتَنِبُوْا كَثِيْرًا مِّنَ الظَّنِّۖ اِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ اِثْمٌ
Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangkaan, kerana sebahagian daripada sangkaan itu dosa.
Jadi kalimah ظَنَّ di dalam ayat ini boleh jadi yakin, boleh jadi sangkaan yang kuat. Kalau ia boleh jadi benar atau tidak, adakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak yakin kerana di sini digunakan istilah ظَنَّ sahaja? Ia adalah kalimah beradab kerana baginda yakin tetapi setakat yakin tahap manusia sahaja. Yang pasti selamatnya lelaki itu hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu, akan tetapi berdasarkan wahyu yang baginda terima, begitulah.
Ada juga yang bermaksud ظَنَّ di sini nisbah kepada banduan itu, kerana dia tidaklah yakin lagi dengan ta’wilan mimpi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sehinggalah dia benar-benar keluar dari penjara.
اذكُرني عِندَ رَبِّكَ
“Sebutlah tentangku di sisi tuanmu”.
Baginda meminta tolong kepada lelaki yang akan selamat keluar dari penjara itu kerana perkara itu memerlukan orang yang akan keluar dari penjara. Baginda meminta lelaki itu sebut tentang hal baginda kepada tuannya (raja) apabila sudah keluar nanti. Minta ceritakan keadaan baginda yang masuk penjara itu dengan cara paksa, tidak masuk mahkamah pun dan tolong beritahu yang baginda tidak bersalah. Tidak payah cakap banyak pun tidak apa, asalkan sebut sahaj sebab dia pun hanyalah pekerja bawahan sahaja, tentu tidak boleh hendak cakap banyak dengan raja. Akan tetapi yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ minta adalah sebut sahaja nama baginda. Ini kerana kalimah yang digunakan adalah عِندَ رَبِّكَ dan bukanlah اذكُرني لِرَبِّكَ. Masa tengah menuang air itu sebutlah sepatah: “Eh eh, kesian budak Usop tu….” Entah-entah raja itu pun pernah dengar nama baginda sebab bukankah baginda pernah bekerja dengan Al-Aziz pembesar Mesir? Mungkin raja itu pernah berjumpa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ sebelum itu. Mungkin nama Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun senang diingat kerana baginda bukan berbangsa Qibti tetapi daripada Bani Israil. Nama dan kedudukan baginda pun mungkin sudah diketahui. Cuma baginda telah dimasukkan ke dalam penjara secara senyap sampaikan orang yang kenal baginda pun tidak tahu apa yang berlaku kepada baginda, tiba-tiba hilang sahaja.
Ini mengajar kita yang meminta tolong kepada sesama manusia di dalam hal yang mereka mampu menolongnya. Tidak ada masalah meminta tolong kepada yang hidup dan dalam perkara yang mereka boleh bantu. Yang menjadi isu adalah kalau meminta tolong kepada orang yang tidak mampu menolong kerana mereka sudah mati. Ini adalah teguran kepada golongan yang suka meminta tolong kepada kononnya ‘wali’ yang telah mati yang kononnya keramat. Ketahuilah yang mereka tidak dapat membantu, malah mereka tidak dengar pun permintaan manusia yang hidup. Itu adalah perbuatan syirik dan hendaklah ditinggalkan serta merta.
Begitu juga sekiranya meminta tolong kepada orang yang hidup pun, mestilah di dalam hal yang dia boleh tolong. Jangan minta tolong dalam perkara yang orang itu tidak ada kuasa pula. Sebagai contoh, minta berkat kepada orang yang nampak soleh. Soleh bagaimana sekalipun orang itu, dia tidak boleh memberi berkat kerana berkat itu hak Allah ﷻ.
Ayat ini juga mengajar kita yang kita kena berusaha untuk keluar daripada masalah, cari jalan untuk mencapai kejayaan dan bukannya duduk menunggu sahaja. Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tentunya yakin dengan pertolongan Allah ﷻ tetapi baginda tetap berusaha. Meminta tolong kepada rakan penjaranya itu untuk menyebut nama baginda kepada raja adalah salah satu daripada usaha baginda.
فَأَنسَٮٰهُ ٱلشَّيطَـٰنُ ذِڪرَ رَبِّهِۦ
Lalu syaitan menjadikan dia lupa menerangkan (keadaan Yusuf) kepada tuannya.
Semasa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta tolong itu, lelaki itu kata dia sanggup untuk menolong Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Namun dia cakap begitu masa dia susah dalam penjara sahaja dan selepas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ memberitahunya berita gembira itu sahaja. Akan tetapi bila sudah keluar, sudah sibuk dengan kehidupannya sendiri, maka dia telah melupakan atau terlupa akan pesanan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Ini sama sahaja seperti orang yang minta pinjam duit; masa hendak pinjam macam-macam dia janji langit dan bumi tetapi apabila sudah dapat duit, hilang lesap entah ke mana, silap-silap kena blok dalam Whatsapp.
Allah ﷻ berkata syaitanlah yang menyebabkan dia terlupa. Ini kerana syaitan mahukan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terus duduk dalam penjara, dan syaitan menyibukkan dia sampai dia terlupa untuk memaklumkan kepada tuannya tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Syaitan memang boleh menyebabkan manusia lupa seperti disebut di dalam Kahf:63
قَالَ أَرَءَيتَ إِذ أَوَينَآ إِلَى ٱلصَّخرَةِ فَإِنِّى نَسِيتُ ٱلحُوتَ وَمَآ أَنسَٮٰنِيهُ إِلَّا ٱلشَّيطَـٰنُ أَن أَذكُرَهُ
Temannya berkata: “Tahukah apa yang telah terjadi ketika kita ketika berehat di batu besar itu? Sebenarnya aku lupakan hal ikan itu; dan tiadalah yang menyebabkan aku lupa daripada menyebutkan halnya kepadamu melainkan Syaitan
Ada lagi tafsiran lain yang mengatakan dia terlupa ‘tentang Allah ﷻ’ – tentang agama. Selepas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berdakwah kepadanya, sepatutnya dia terima dakwah itu dan beramal seperti yang diajar oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Ini penting kerana sepatutnya selepas dia melihat kebenaran yang telah disebut oleh Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, dia sepatutnya sedarlah yang agama yang dibawa oleh Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu adalah agama yang benar dan agamanya selama ini adalah agama salah. Namun apabila sudah keluar, dia terlupa apa yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ajar dia dahulu semasa di dalam penjara.
Potongan ayat ini banyak diperdebatkan di kalangan ahli tafsir. Ini adalah salah satu apa yang disebut مشكل القرآن. Istilah ini digunakan apabila terdapat kesulitan dalam menafsirkan sesebuah ayat, kerana ia membawa nuansa yang sedikit berbeza. Ia merujuk kepada ayat-ayat yang kelihatan bertentangan atau sukar diselaraskan dengan ayat lain atau fakta yang diketahui, dan memerlukan usaha yang besar untuk menyelesaikan konflik makna tersebut. Jadi perbincangan kita agak panjang di sini dan pembaca diminta bersabar sedikit.
Jadi tafsiran yang selalu kita dengar, lelaki itu yang lupa. Akan tetapi ada satu lagi tafsiran yang ketiga yang dipegang oleh ulama’ seperti Mujahid dan Qatadah. Bagi mereka, dhomir ه dalam فَأَنسَٮٰهُ merujuk kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan رَبِّهِۦ (Tuhannya) merujuk kepada Allah ﷻ. Tafsiran ini melihat bahawa syaitan telah membuat Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ lupa untuk bersandar sepenuhnya (bertawakkal) kepada Allah ﷻ sampai minta tolong pula kepada manusia. Apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta pertolongan daripada seorang manusia (banduan itu) untuk membebaskannya, ia dianggap sebagai suatu kelalaian kecil dalam tawakkul yang sempurna kepada Allah ﷻ.
Atau, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya meminta tolong kepada lelaki itu dan tidak sebut pun tentang Allah ﷻ. Contohnya baginda sepatutnya berkata: “Aku minta tolong kepada kamu, tapi semuanya bergantung kepada Allah juga”. Kalau kita lihat dalam ayat ketika baginda meminta tolong kepada Allah ﷻ, tidak disebut pun tentang Allah ﷻ. Sebagai pengajaran, Allah ﷻ membiarkan baginda kekal di dalam penjara untuk beberapa tahun lagi.
Jadi ada dua tafsir utama tentang ayat ini dan perbezaan utama adalah siapa yang lupa? Lelaki itu ataukah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Memang ini adalah antara isu yang berat untuk kita buat keputusan mana satukah yang lebih kuat. Kedua-dua tafsiran ini mempunyai sandaran dan hujah, ada yang mengatakan tafsiran yang pertama (merujuk kepada banduan) adalah yang paling kuat dan diterima secara meluas. Ini kerana ia lebih selari dengan konteks ayat secara keseluruhan dan aliran naratif dalam kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Maknanya senang difahami dalam konteks penceritaan. Tafsiran yang mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang lupa, meskipun memberi pengajaran yang mendalam tentang kepentingan tawakkul bagi setiap Muslim, dilihat oleh majoriti ulama sebagai tafsiran yang kurang tepat dan boleh menimbulkan persoalan tentang kemaksuman seorang Nabi.
Di dalam kitab tafsir memang ada disebut satu hadith,
رَحِمَ اللَّهُ يُوسُفَ، لَوْ لَمْ يَقُلْ: “اذْكُرْنِي عِنْدَ رَبِّكَ”، مَا لَبِثَ فِي السِّجْنِ بِضْعَ سِنِينَ
“Semoga Allah merahmati Yusuf. Seandainya dia tidak berkata: ‘Sebutkanlah aku di sisi tuanmu’, nescaya dia tidak akan tinggal di penjara tujuh tahun setelah sebelumnya telah tinggal lima tahun.”
(Matan ini diriwayatkan dalam beberapa kitab, antaranya Musnad Al-Bazzar dan Athar Al-Hasan Al-Basri.)
Status: Penting untuk diketahui bahawa hadith ini bukanlah hadith sahih dan tidak diriwayatkan dalam kitab-kitab sahih utama seperti Sahih Al-Bukhari atau Sahih Muslim. Sebaliknya, ia dikategorikan sebagai hadith mursal atau gharib yang sanadnya dianggap lemah oleh majoriti ulama hadith. Sama ada boleh menggunakannya untuk tafsiran ayat ini, terpulang kepada ahli ilmu. Kerana ada juga yang menggunakan hadith yang lemah daripada tidak ada hadith langsung (hanya menggunakan pendapat sahaja).
Namun begitu bagi yang mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang lupa pun mempunyai hujah yang juga. Pertama, hadith di atas yang walaupun lemah, tetapi ada juga yang menggunakannya. Keduanya dari segi bahasa, literal ayat ذِڪرَ رَبِّهِۦ adalah lupa kepada Tuhannya. Kalau kita hendak kata bekas banduan itu lupa mengingatkan tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada tuannya, kalimat itu sepatutnya ذِڪرَ لرَبِّهِۦ. Kalau kita hendak gunakan juga kalimat ذِڪرَ رَبِّهِۦ, kena bersilat sikit. Iaitu kita kena anggap harf ل itu dihazafkan. Konsep hazaf (dihilangkan) ini biasa sahaja di dalam bahasa Arab.
Yang ketiga, para Nabi telah diberikan dengan kayu ukur yang lebih tinggi daripada manusia biasa. Terlupa untuk menyebut Allah ﷻ ketika meminta tolong kepada manusia bukanlah satu kesalahan bagi manusia, akan tetapi ia berat bagi para Nabi kerana mereka itu menjadi ikutan dan dalil bagi manusia lain. Sebagai contoh, Nabi Muhammad ﷺ terus ditegur oleh Allah ﷻ di dalam Surah Abasa ketika baginda mengerutkan wajahnya ketika Abdullah ibn Ummi Maktum رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ (seorang yang buta) datang meminta pengajaran daripada Nabi ﷺ. Seandainya untuk orang lain, perbuatan ini tidaklah salah, akan tetapi kerana ia dilakukan oleh Rasulullah ﷺ, maka ia terus mendapat teguran daripada Allah ﷻ. Maka kerana itulah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ditegur dan dihukum oleh Allah ﷻ kerana baginda tidak menyebut Allah ﷻ ketika meminta tolong kepada banduan itu. Sebagai contoh, mungkin baginda boleh sebut: “Engkau mintalah tolong kepada tuanmu, dan aku dalam masa yang sama akan meminta tolong kepada Tuhanku.” Mungkin baginda rasa janggal untuk menyebut nama Allah kepada seorang Non-Muslim (seperti kita juga) akan tetapi baginda adalah ‘duta’ agama Islam ketika itu di Mesir dan bagindalah seorang sahaja yang akan menyebut nama Allah; maka tanggungjawab baginda menjadi berat dan sudah sepatutnya baginda memperbanyakkan menyebut nama Allah.
Keempat, kita ada contoh daripada ayah baginda sendiri iaitu Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan bagaimana cara Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ membuat perancangan. Meminta tolong dan merancang bukanlah salah dan ia tidak menolak tawakal. Akan tetapi kena serah kepada Allah ﷻ. Perhatikan ayat Yusuf:67
وَقَالَ يَـٰبَنِىَّ لَا تَدۡخُلُواْ مِنۢ بَابٍ وٰحِدٍ۬ وَٱدۡخُلُواْ مِنۡ أَبۡوٰبٍ مُّتَفَرِّقَةٍ ۖ وَمَآ أُغۡنِى عَنكُم مِّنَ ٱللَّهِ مِن شَىۡءٍۖ إِنِ ٱلۡحُكۡمُ إِلَّا لِلَّهِۖ عَلَيۡهِ تَوَكَّلۡتُۖ وَعَلَيۡهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُتَوَڪِّلُونَ
Dan Ya’qub berkata: “Hai anak-anakku janganlah kamu (bersama-sama) masuk dari satu pintu gerbang, tetapi masuklah dari pintu-pintu gerbang yang berlain-lain; namun demikian aku tiada dapat melepaskan kamu barang sedikit pun daripada (takdir) Allah. Keputusan menetapkan (sesuatu) hanyalah hak Allah; kepada-Nya-lah aku bertawakkal dan hendaklah kepada-Nya saja orang-orang yang bertawakkal berserah diri”.
Perhatikan bagaimana Nabi Ya’qub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak lupa menyebut Allah ﷻ walaupun apa yang baginda sedang lakukan adalah merancang sendiri bagaimana untuk menyelamatkan anak-anaknya daripada masalah di Mesir nanti. Baginda berusaha dan tidak menyerahkan sepenuhnya kepada Allah ﷻ sambil berharap sahaja; akan tetapi dalam usaha baginda itu baginda tidak lupa menyebut Allah ﷻ.
Apakah pengajaran bagi kita yang bukan Nabi ini? Kayu ukur bagi kita bukanlah seperti para Nabi itu. Akan tetapi ada kadangkala kita berada di dalam situasi yang kita dipandang sebagai orang yang alim, sebagai pendakwah, mungkin seorang ustaz. Maka ketika itu kayu ukur kita bukan seperti orang awam, akan tetapi sebagai ‘duta’ kepada agama Islam dan kita kena menjaga akhlak kita dan kata-kata kita. Kalau kita terlupa menyebut nama Allah, tidaklah kita akan lama dalam penjara, akan tetapi mungkin akan ada kesan yang kita tidak nampak ketika itu. Maka kena berhati-hati.
Namun begitu seperti yang kita telah sebut, tafsiran yang mengatakan lelaki itu yang terlupa lebih senang di hati. Ini kerana kalau kita hendak berpegang dengan pendapat yang mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang terlupa, maka kita secara tidak langsung mengatakan baginda lalai di dalam meminta pertolongan kepada Allah ﷻ dan ini adalah kritikan yang berat terhadap baginda. Sedangkan surah ini sentiasa menyebut tentang kehebatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan Allah ﷻ memuji baginda berkali-kali. Baginda mempunyai kesabaran yang tinggi dan tahap tawakal yang bukan calang-calang.
Keduanya kalau kita hendak menerima pendapat ini, bermakna kita menyatakan yang syaitan berjaya menipu baginda. Sedangkan Allah ﷻ telah berfirman di dalam Nahl:99-100
إِنَّهُ ۥ لَيۡسَ لَهُ ۥ سُلۡطَـٰنٌ عَلَى ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَلَىٰ رَبِّهِمۡ يَتَوَڪَّلُونَ (٩٩) إِنَّمَا سُلۡطَـٰنُهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ يَتَوَلَّوۡنَهُ ۥ وَٱلَّذِينَ هُم بِهِۦ مُشۡرِكُونَ (١٠٠)
Sesungguhnya syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. (99) Sesungguhnya pengaruh syaitan itu hanyalah terhadap orang-orang yang menjadikan dia pemimpin mereka dan orang-orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah. (100)
Adakah kita hendak mengatakan syaitan telah berkuasa ke atas Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan berjaya menipu baginda? Agak sukar untuk kita menerimanya. Seandainya baginda tergelincir sedikit, tentu sekali Allah ﷻ akan menegur baginda atau baginda sendiri akan segera meminta ampun kepada Allah ﷻ setelah menyedari kesalahan baginda. Nabi Daud عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pernah tersilap di dalam membuat keputusan dan baginda segera sujud dan meminta ampun kepada Allah ﷻ seperti disebut di dalam Sad:24
وَظَنَّ داوودُ أَنَّما فَتَنّٰهُ فَاستَغفَرَ رَبَّهُ وَخَرَّ راكِعًا وَأَنابَ
Dan Daud menyedari bahawa Kami mengujinya; maka dia meminta ampun kepada Tuhannya lalu menyungkur sujud dan bertaubat.
Begitu juga orang Mukmin akan segera sedar dan meminta ampun kepada Allah ﷻ setelah tersilap seperti disebut di dalam A’raf:201
إِنَّ الَّذينَ اتَّقَوا إِذا مَسَّهُم طائِفٌ مِّنَ الشَّيطٰنِ تَذَكَّروا فَإِذا هُم مُبصِرونَ
Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar).
Akan tetapi tidak disebut di mana-mana ayat yang mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah meminta ampun kepada Allah ﷻ kerana kesalahan baginda meminta tolong kepada sahabat penjaranya itu. Jadi kita boleh terima dengan tenang bahawa baginda tidak bersalah di dalam meminta tolong kepada manusia lain. Jadi pendapat yang mengatakan baginda tidak bersalah itu lebih tenang di hati kerana banyak sebab.
Pertamanya, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan segala usaha yang baginda boleh gunakan untuk mengubah keadaan baginda. Perbuatan ini tidaklah berlawanan dengan konsep tawakkul. Kerana dalam kita bertawakal kepada Allah ﷻ, kita hendak menggunakan segala usaha untuk mendapatkan apa yang kita hendak, bukannya berpeluk tubuh juga. Yang menjadi kesalahan adalah kalau kita menggunakan cara yang salah dalam usaha kita. Sebaliknya perbuatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta tolong kepada orang lain tidaklah bersalah. Tidak salah untuk kita meminta tolong kepada orang yang ada di hadapan kita. Yang jadi salah adalah kalau meminta kepada orang yang sudah mati seperti yang banyak dilakukan oleh golongan Habib dan tarekat sufi sekarang. Menjadi kesalahan juga kalau meminta tolong kepada orang yang hidup tetapi dalam perkara yang dia tidak ada kuasa. Contohnya untuk mengubah hati seseorang, tidak ada makhluk yang ada kuasa begini. Perbuatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ meminta tolong kepada rakan penjara itu termasuk di dalam perkara syar’ie dan tidak ada kesalahan langsung.
Kedua, kalau kita baca lagi kisah ini di hadapan nanti, memang tukang bawa air raja itu memang terlupa, sehinggalah raja mendapat mimpi dan barulah dia teringat kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Memang di dalam ayat 45 disebut وَٱدّكَرَ بَعدَ أُمَّةٍ (dia teringat (kepada Yusuf) sesudah beberapa waktu lamanya).
Ketiga, dari segi bahasa pun memang patut yang terlupa itu adalah lelaki itu, kerana kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang terlupa, kalimah yang digunakan sepatutnya adalah وَأَنسَٮٰهُ dan bukannya فَأَنسَٮٰهُ. Ini kerana kalau digunakan harf ف ia bermaksud lupa itu datangnya kemudian sepertimana yang terjadi kepada lelaki itu. Kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang terlupa, maka kena guna harf و (wawu hal) iaitu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ terlupa kepada Allah ﷻ ‘ketika’ sedang meminta tolong kepada lelaki itu.
Keempat, kita faham kisah ini secara kronologi begini: kerana banduan itu terlupa untuk beritahu kepada raja, maka tidak ada sesiapa yang menimbulkan isu Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, maka kerana itulah baginda terbiar sekian lama lagi di penjara. Senang untuk faham, bukan? Tidaklah kita terus mengatakan baginda tinggal lebih lama di penjara kerana hukuman daripada Allah ﷻ pula.
Namun bagaimana dengan isu kalimat ذِڪرَ رَبِّهِۦ? Kita telah sebut di atas, dari segi literal ia bermaksud ‘dia lupa kepada Tuhannya’. Kalau kita hendak kata ‘lupa menyebut Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada tuannya’ maka kita kena terima pendapat yang mengatakan harf ل (kepada) telah dihazafkan. Akan tetapi kita boleh selesaikan dengan menerima juga terjemahan literal ini dengan mengambil pendapat yang mengatakan yang terlupa kepada Tuhan itu adalah banduan itu juga! Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah berdakwah kepadanya akan tetapi setelah dia dapat keluar penjara dia lupa kepada dakwah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu. Kalau dia ingat kepada dakwah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu, maka tentulah dia akan ingat kepada Tuhannya (maksud رَبِّ yang biasa kita gunakan) dan tentulah dia akan ingat kepada siapa yang memperkenalkannya kepada Tuhan itu; dan kalau dia teringat kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, tentulah dia akan teringat untuk menyebut Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di hadapan tuannya/raja (maksud رَبِّ yang kedua).
Jadi boleh digunakan maksud رَبِّ kepada dua-dua maksud: Tuhan atau tuan. Ini kita telah bincangkan di dalam ayat 23 sebelum ini akan kata-kata Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada isteri al-Aziz,
إِنَّهُ ۥ رَبِّىٓ أَحسَنَ مَثوَاىَ
sungguh tuanku/Tuhanku telah memperlakukan aku dengan baik
Kita telah bincangkan panjang lebar di dalam ayat itu bahawa kalimah رَبِّ itu boleh digunakan untuk dua-dua maksud sama ada Tuhan atau tuan. Antara dua رَبِّ ini mana yang lebih penting? Tentu رَبِّ yang bermaksud Tuhan. Jika kita perhatikan, itu pun yang lebih dipentingkan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Itu yang lebih banyak baginda sebut kalau kita perhatikan:
إِنِّى تَرَكۡتُ مِلَّةَ قَوۡمٍ لَّا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَهُم بِٱلۡأَخِرَةِ هُمۡ كَـٰفِرُونَ (٣٧) وَٱتَّبَعۡتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبۡرٰهِيمَ وَإِسۡحَـٰقَ وَيَعۡقُوبَۚ مَا كَانَ لَنَآ أَن نُّشۡرِكَ بِٱللَّهِ مِن شَيْءٍ ۚ ذٰلِكَ مِن فَضۡلِ ٱللَّهِ عَلَيۡنَا وَعَلَى ٱلنَّاسِ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَشۡكُرُونَ (٣٨) يَـٰصَٰحِبَىِ ٱلسِّجۡنِ ءَأَرۡبَابٌ مُّتَفَرِّقُونَ خَيۡرٌ أَمِ ٱللَّهُ ٱلۡوٰحِدُ ٱلۡقَهَّارُ (٣٩) مَا تَعۡبُدُونَ مِن دُونِهِۦۤ إِلَّآ أَسۡمَآءً سَمَّيۡتُمُوهَآ أَنتُمۡ وَءَابَآؤُڪُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِہَا مِن سُلۡطَـٰنٍۚ إِنِ ٱلۡحُكۡمُ إِلَّا لِلَّهِۚ أَمَرَ أَلَّا تَعۡبُدُوٓاْ إِلَّآ إِيَّاهُۚ ذٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ (٤٠) يَـٰصَٰحِبَىِ ٱلسِّجۡنِ أَمَّآ أَحَدُكُمَا فَيَسۡقِى رَبَّهُ ۥ خَمْرًا ۖ وَأَمَّا ٱلۡأَخَرُ فَيُصۡلَبُ فَتَأۡڪُلُ ٱلطَّيۡرُ مِن رَّأۡسِهِۦۚ قُضِىَ ٱلۡأَمۡرُ ٱلَّذِى فِيهِ تَسۡتَفۡتِيَانِ (٤١)
Perhatikan panjang lebar baginda sebut dan sentuh tentang beriman kepada Allah ﷻ dan bandingkan permintaan pertolongan baginda pula:
ٱذۡڪُرۡنِى عِندَ رَبِّكَ
Maka panjang lebar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ajar tentang Allah ﷻ, tetap juga rakan banduannya itu lupa, bukan? Ini bukan khutbah ditujukan kepada ramai pendengar tetapi ‘one-on-one’ dakwah, maknanya ada sentuhan peribadi, tetapi lelaki itu tetap juga terlupa. Ini mengajar kita yang walau hebat macam mana pun ceramah dan tazkirah kita, kadangkala ia tidak diingati pun oleh orang yang kita dakwah dan ajarkan itu. Begitulah realiti manusia, jadi janganlah berasa pelik.
Kenapa lelaki itu lupa untuk menyebut tentang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ? Kerana dia lupa kepada Allah ﷻ. Dia tidak ingat ajaran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepadanya sebelum ini. Ini mengajar kita yang kalau kita tidak kisah tentang orang dan membantu mereka, tidak prihatin tentang nasib orang lain yang memerlukan bantuan kita, mungkin ia adalah kerana kita ini sendiri yang tidak ingat kepada Allah ﷻ dan apa yang Allah ﷻ mahu daripada kita iaitu bantu membantu sesama kita.
فَلَبِثَ فِي السِّجنِ بِضعَ سِنينَ
Kerana itu tetaplah dia (Yusuf) dalam penjara beberapa tahun lamanya.
Oleh kerana keadaan baginda tidak diberitahu oleh lelaki yang selamat itu, maka lama lagi baginda kena duduk dalam penjara. Baginda kekal di penjara beberapa lama – kurang lebih 10 tahun. Ada yang kata, 12 tahun dan pendapat lain mengatakan 14 tahun. Kita tidak tahu berapa lama baginda tinggal di dalam penjara. Juga tidaklah kita perlu tahu dengan pasti. Maknanya tidak perlu kita tetapkan. Terdapat israiliyyat dalam riwayat yang disebutkan oleh beberapa orang Mufassirin tentang tempoh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipenjarakan dan sebab baginda masuk ke dalam penjara buat beberapa tahun. Ini berlaku ketika mereka menafsirkan ayat ini. Ibnu Jarir, Tha’labi, al-Baghawi dan lain-lainnya telah menyebut beberapa pendapat dalam masalah ini. Wahab bin Munabbih telah berkata: “Nabi Ayub عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah ditimpa ujian selama tujuh tahun dan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dibiarkan tinggal di dalam penjara selama tujuh tahun dan Bakhtanasir diseksa selama tujuh tahun.
Malik bin Dinar berkata: “Apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata kepada orang yang memberinya minum, sebutlah aku kepada tuan engkau.” Allah ﷻ berfirman kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ: “Wahai Yusuf engkau telah menjadikan tuan selain daripada Aku maka Aku pasti akan memanjangkan lagi tempoh penjara engkau.” Maka Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menangis dan berkata: “Wahai Tuhanku, hati aku telah lalai kerana banyaknya ujian, lalu aku telah mengucapkan perkataan yang tidak sepatutnya aku ucapkan dan aku sekali-kali tidak akan mengulanginya.”
Ada ulama’ yang yakin bahawa riwayat-riwayat ini adalah termasuk dalam israiliyyat. Ini kerana ia menggambarkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dipenjarakan sebagai balasan daripada Allah ﷻ kerana perkataan yang diucapkannya sedangkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak pernah mengucapkan kata-kata tidak baik dan mungkar. Mencari jalan yang biasa dilakukan oleh manusia untuk melepaskan diri dan untuk menjelaskan diri tidak bersalah langsung dan tidak menafikan tawakal kepada Allah ﷻ. Bala yang menimpa para Nabi bukanlah sebagai hukuman akan tetapi adalah bertujuan untuk mengangkat darjat mereka serta supaya mereka menjadi ikutan yang baik bagi orang lain dalam berhadapan dengan ujian Allah ﷻ. Di dalam hadith sahih daripada Nabi ﷺ:
أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً الأَنْبِيَاءُ ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ
“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.”
[Sunan An-Nasaei, (7440)]
Rasulullah ﷺ juga bersabda:
يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ
“Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya sedang kuat, maka ujiannya akan ditambah.”
[Musnad Ahmad (1481)]
Jadi kita tidak tahu dengan pasti berapa lamakah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam penjara. Akan tetapi melalui kalimah ( البضع ) ia bererti tiga hingga sembilan atau hingga sepuluh tahun. Jadi kita boleh agak sahaja, boleh jadi sembilan tahun, lima tahun selagi mana di sana tidak ada hadith sahih daripada Nabi ﷺ. Akan tetapi pendapat yang ramai sebut adalah selama 7 tahun. Jadi ini adalah masa yang lama, kita 7 hari duduk dalam penjara pun sudah rasa sangat teruk. Jangan kata duduk penjara, elektrik tiada sejam pun kita sudah kepanasan, bukan?
Begitu juga kita mesti menyakini bahawa penjara itu bukanlah sebagai balasan Allah ﷻ ke atas perkataan yang telah diucapkannya. Akan tetapi, ia adalah ujian Allah ﷻ bagi mengangkat darjatnya.
Namun begitu apakah hikmah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ Allah ﷻ biarkan duduk lama di dalam penjara itu? Para ulama tafsir merumuskan beberapa hikmah utama di sebalik tempoh pemenjaraan yang panjang itu:
1. Persiapan Kepimpinan dan Kematangan
Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ditakdirkan untuk memegang jawatan yang sangat tinggi (Bendahari Negara Mesir). Kehidupan di penjara telah menyediakan beberapa latihan kritikal:
-
-
Latihan Sabar dan Keazaman: Penjara menguji kesabaran Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ secara maksimum, mematangkan jiwa baginda agar tidak gentar berhadapan dengan sebarang tekanan pentadbiran atau krisis.
- Pengenalan kepada Rakyat: Di penjara, baginda berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pegawai istana (pembuat roti dan pelayan minuman raja), warden dan sebagainya. Ini memberikan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pemahaman mendalam tentang rakyat yang akan diperintahnya kelak.
-
Latihan Pengurusan: Baginda sudah mula mempraktikkan kemahiran sosial, komunikasi, dan juga pengurusan (seperti mentafsir mimpi dan mengatur penjara) yang menjadi asas kepada peranan besar baginda dalam menguruskan krisis ekonomi Mesir.
-
2. Penyucian Niat (Tawhid)
Sesetengah ulama melihat bahawa permintaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kepada tahanan yang dibebaskan untuk menyebut namanya di hadapan raja adalah satu kealpaan yang kecil (zallah) terhadap prinsip tawakal yang sempurna (bergantung sepenuhnya kepada Allah ﷻ).
-
-
Maka Allah ﷻ melambatkan pembebasan baginda agar pelepasan itu datang secara langsung daripada perintah Ilahi (melalui mimpi raja yang tidak dapat ditafsirkan oleh orang lain), dan bukan melalui campur tangan manusia. Ini mengajar Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan umat Islam bahawa pertolongan sejati hanya datang daripada Allah ﷻ, mengukuhkan Tauhid baginda. Kalau baginda dikeluarkan cepat kerana rakan banduannya itu yang bantu, maka tentulah nampak bantuan itu daripada lelaki itu dan bukannya daripada Allah ﷻ.
-
3. Pembersihan Nama dan Pembuktian Tidak Bersalah
Apabila pembebasan itu berlaku melalui perintah raja, ia memerlukan penyiasatan rasmi terhadap kes lama Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
-
-
Ini membolehkan semua pihak, termasuk isteri Al-Aziz dan perempuan-perempuan lain, mengaku kebenaran tentang fitnah yang dikenakan.
-
Pembebasan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ bukan lagi atas dasar kasihan atau desakan orang yang dilupakan, tetapi atas dasar kebenaran yang jelas dan tidak dapat disangkal. Ini memulihkan nama baik baginda sepenuhnya di hadapan seluruh pentadbiran Mesir, menjamin integriti baginda apabila dilantik memegang jawatan tinggi. Baginda juga akan melakukan dakwah kepada agama Islam dan tentunya ia memerlukan nama baginda bersih daripada segala isu.
-
4. Menzahirkan Kehebatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ
Kalau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dikeluarkan awal, ketika itu raja tidak bermimpi lagi. Nanti apabila baginda keluar setelah raja bermimpi dan baginda berjaya menta’bir mimpi raja itu, barulah terserlah kehebatan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ.
Sekian kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menta’bir mimpi banduan di dalam penjara.
Sekian Ruku’ 5 daripada 12 ruku’ surah ini.
Kuiz (10 Soalan Jawab Pendek)
Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat ringkas.
Soalan 1: Jelaskan mengapa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hanya meminta bantuan kepada seorang daripada dua banduan tersebut?
Soalan 2: Apakah dua makna utama bagi kalimah Arab ظَنَّ (zanna) seperti yang dibincangkan dalam tafsiran, dan bagaimana ia dikaitkan dengan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ?
Soalan 3: Apakah perbezaan antara permintaan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang menggunakan kalimah عِندَ رَبِّكَ berbanding jika baginda menggunakan لِرَبِّكَ, dan apa implikasinya?
Soalan 4: Terangkan pandangan tafsir majoriti yang mengatakan lelaki banduan yang dibebaskan itu yang lupa. Mengapakah kelupaan ini dikaitkan dengan syaitan?
Soalan 5: Ringkaskan tafsiran alternatif yang mengatakan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang terlupa. Apakah maksud ذِكْرَ رَبِّهِۦ (zikra Rabbih) dalam konteks tafsiran ini?
Soalan 6: Apakah status hadith yang menyebut, “Seandainya dia tidak berkata: ‘Sebutkanlah aku di sisi tuanmu’, nescaya dia tidak akan tinggal di penjara tujuh tahun setelah sebelumnya telah tinggal lima tahun,” dan mengapa status ini penting?
Soalan 7: Mengapa majoriti ulama berpendapat bahawa Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak bersalah dalam meminta tolong kepada banduan itu, dan ia tidak menjejaskan konsep tawakal?
Soalan 8: Mengikut tafsiran, tempoh بِضْعَ سِنِينَ (bid’a sinīn) merujuk kepada tempoh berapa tahun? Mengapakah penulis sumber menasihati agar tidak terlalu menetapkan tempoh yang pasti?
Soalan 9: Apakah dua hikmah utama Allah ﷻ membiarkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ kekal lama di dalam penjara yang berkaitan dengan persiapan kepimpinan?
Soalan 10: Bagaimana pembebasan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ yang tertunda (datang melalui mimpi Raja) membantu dalam proses Pembersihan Nama dan Pembuktian Tidak Bersalah baginda?
Glosari Istilah Penting
ظَنَّ (Zanna): Kata kerja yang boleh bermaksud menduga, menyangka, atau yakin, bergantung pada konteks. Ia merujuk kepada keyakinan yang terbentuk setelah mendapat maklumat atau bukti (yang mungkin benar atau tidak).
رَبِّ (Rabb): Kalimah yang boleh bermaksud Tuhan (Allah) atau tuan/majikan, bergantung pada konteks ayat.
مشكل القرآن (Musykil al-Quran): Istilah yang digunakan apabila terdapat kesulitan dalam menafsirkan sesebuah ayat, kerana ia membawa nuansa yang kelihatan bertentangan atau sukar diselaraskan.
Dhomir (ضمیر): Kata ganti nama dalam bahasa Arab (cth: hu – dia). Dalam Ayat 42, dhomir ه dalam فَأَنسَٮٰهُ menjadi kunci perdebatan (merujuk kepada banduan atau Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ).
Hazaf (حذف): Konsep penghilangan atau pembuangan huruf atau kalimah yang biasa dalam bahasa Arab (contoh: penghilangan huruf Lam dalam ذِكْرَ لِرَبِّهِۦ).
Tawakkul (توكل): Berserah diri sepenuhnya kepada Allah ﷻ setelah melakukan usaha yang terbaik.
Zallah (زلة): Kesilapan atau kelalaian kecil yang dilakukan oleh Nabi, yang tidak dianggap sebagai dosa besar atau pelanggaran terhadap sifat kenabian.
Israiliyyat (إسرائيليات): Riwayat-riwayat atau kisah-kisah yang diambil daripada sumber-sumber Yahudi atau Kristian (Bani Israil), yang sering dimasukkan dalam tafsir tetapi status kesahihannya diragukan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 30 September 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan (deeper look)
Mutiara al-Qur’an
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)
Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)


Kuiz (10 Soalan Jawab Pendek)
Jawab setiap soalan dalam 2-3 ayat ringkas.
Soalan 1: Jelaskan mengapa Nabi Yusuf عليه السلام hanya meminta bantuan kepada seorang daripada dua banduan tersebut?
Soalan 2: Apakah dua makna utama bagi kalimah Arab ظَنَّ (zanna) seperti yang dibincangkan dalam tafsiran, dan bagaimana ia dikaitkan dengan Nabi Yusuf عليه السلام?
Soalan 3: Apakah perbezaan antara permintaan Nabi Yusuf عليه السلام yang menggunakan kalimah عِندَ رَبِّكَ berbanding jika baginda menggunakan لِرَبِّكَ, dan apa implikasinya?
Soalan 4: Terangkan pandangan tafsir majoriti yang mengatakan lelaki banduan yang dibebaskan itu yang lupa. Mengapakah kelupaan ini dikaitkan dengan syaitan?
Soalan 5: Ringkaskan tafsiran alternatif yang mengatakan Nabi Yusuf عليه السلام yang terlupa. Apakah maksud ذِكْرَ رَبِّهِۦ (zikra Rabbih) dalam konteks tafsiran ini?
Soalan 6: Apakah status hadis yang menyebut, “Seandainya dia tidak berkata: ‘Sebutkanlah aku di sisi tuanmu’, nescaya dia tidak akan tinggal di penjara tujuh tahun setelah sebelumnya telah tinggal lima tahun,” dan mengapa status ini penting?
Soalan 7: Mengapa majoriti ulama berpendapat bahawa Nabi Yusuf عليه السلام tidak bersalah dalam meminta tolong kepada banduan itu, dan ia tidak menjejaskan konsep tawakal?
Soalan 8: Mengikut tafsiran, tempoh بِضْعَ سِنِينَ (bid’a sinīn) merujuk kepada tempoh berapa tahun? Mengapakah penulis sumber menasihati agar tidak terlalu menetapkan tempoh yang pasti?
Soalan 9: Apakah dua hikmah utama Allah membiarkan Nabi Yusuf عليه السلام kekal lama di dalam penjara yang berkaitan dengan persiapan kepimpinan?
Soalan 10: Bagaimana pembebasan Nabi Yusuf yang tertunda (datang melalui mimpi Raja) membantu dalam proses Pembersihan Nama dan Pembuktian Tidak Bersalah baginda?
LikeLike