Tafsir Surah Yusuf Ayat 23 (Berlindung dengan Allah ‎ﷻ) Part 2

2. Kontrak Sosial 

Kontrak antara seorang lelaki dan wanita yang sudah bernikah bukan sahaja antara mereka berdua sahaja tetapi ia juga diakui dan patut dihormati oleh masyarakat sekeliling. Kerana itulah adanya majlis kenduri walimah dengan tujuan untuk mengisytiharkan perkahwinan mereka berdua. Maka sekarang mereka dikenali sebagai satu pasangan, walaupun belum beranak lagi. Masyarakat akan menghormati perhubungan antara mereka dan mereka tidak diganggu. Malah orang luar tidak boleh menggoda atau melakukan sesuatu yang boleh memisahkan mereka. Hubungan mereka perlu dihormati. Rasulullah ﷺ telah bersabda, riwayat daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

“لَيْسَ مِنَّا مَنْ خَبَّبَ امْرَأَةً عَلَى زَوْجِهَا أَوْ عَبْدًا عَلَى سَيِّدِهِ.”
“Bukanlah daripada kalangan kami (umatku) sesiapa yang merosakkan (hubungan) seorang isteri dengan suaminya atau seorang hamba dengan tuannya.”

(Riwayat Abu Daud No. 2175) Status: Sahih.

Perbuatan ini dikenali dengan istilah “takhtib” atau “takhbib” (تخبيب). Maka lelaki jangan mengorat isteri orang; wanita jangan hendak menyondol suami orang. Kalau tahu seseorang itu sudah bernikah, maka jarakkan diri daripada mereka. Ini kerana hubungan suami isteri adalah hubungan yang perlu dijaga, bukan oleh pasangan itu sahaja akan tetapi seluruh masyarakat. Ini kerana melalui pasangan itu akan lahir anak yang menjadi keluarga – daripada keluarga menjadi satu keluarga yang besar – yang membentuk masyarakat setempat – yang membentuk satu negeri – kemudian satu negara – akhir sekali satu dunia. Kalau diganggu gugat ekosistem ini, maka ia memberi kesan kepada keseluruhan masyarakat. Kalau suami isteri bergaduh berpecah belah, anak jadi tidak elok pembesarannya, jadi orang yang tidak belajar dengan baik, jadi orang yang bermasalah, mungkin jadi penagih dadah, mungkin jadi perompak dan nanti dirompaknya rumah kita pula. Siapa yang susah? Maka setiap daripada kita hendaklah menjaga hubungan pasangan orang lain walaupun mereka itu tidak kena mengena dengan kita kerana apa yang terjadi kepada mereka memberi kesan juga sedikit sebanyak kepada kita. Inilah yang dipanggil butterfly effect.

Kerana itulah hukuman bagi penzina sangat keras di dalam undang-undang Islam. Ini kerana bukan pasangan itu sahaja yang terkesan akan tetapi kesannya sampai merebak ke tempat yang lain dan mengganggu masyarakat. Ia bukan sahaja terjadi di waktu ini sahaja akan tetapi kesannya berpanjangan. Jangan kerana hendak sedap seketika sahaja, menyesal selama-lamanya.

 

3. Hubungan suci yang dimeterai oleh Allah ‎ﷻ

Pernikahan adalah hubungan suami isteri yang diajar oleh Allah ‎ﷻ dan dibenarkan oleh-Nya. Ia adalah perjanjian yang amat kuat dan dipanggil sebagai مِيثٰقًا غَلِيظًا (perjanjian yang kuat) seperti disebut di dalam Nisa’:21

وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثٰقًا غَلِيظًا
padahal kasih mesra kamu telah terjalin antara satu dengan yang lain, dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telah pun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?

Untuk bayangkan kekuatan perjanjian مِيثٰقًا غَلِيظًا ini, bayangkan istilah yang sama Allah ‎ﷻ gunakan untuk perjanjian antara-Nya dan para Nabi! Perhatikan contohnya di dalam Ahzab:7

وَإِذ أَخَذنا مِنَ النَّبِيّينَ ميثٰقَهُم وَمِنكَ وَمِن نّوحٍ وَإِبرٰهيمَ وَموسىٰ وَعيسَى ابنِ مَريَمَ ۖ وَأَخَذنا مِنهُم مّيثٰقًا غَليظًا
Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian daripada nabi-nabi dan daripada kamu (sendiri) dan daripada Nuh, Ibrahim, Musa dan Isa putera Maryam, dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian yang teguh.

Jadi hubungan suami isteri adalah ikatan suci yang keramat yang dimeterai oleh Allah ‎ﷻ sendiri. Menikah adalah ibadah, sunnah Rasulullah ﷺ dan malah ada yang berpendapat ia adalah wajib. Kerana ia sangat sucilah yang menyebabkan iblis amat suka kalau ikatan ini diputuskan oleh tentera syaitannya. Ini kita tahu daripada hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdillah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ إِبْلِيسَ يَضَعُ عَرْشَهُ عَلَى الْمَاءِ، ثُمَّ يَبْعَثُ سَرَايَاهُ، فَأَدْنَاهُمْ مِنْهُ مَنْزِلَةً أَعْظَمُهُمْ فِتْنَةً، يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: مَا فَعَلْتُ كَذَا وَكَذَا. فَيَقُولُ: مَا صَنَعْتُ شَيْئًا. ثُمَّ يَجِيءُ أَحَدُهُمْ فَيَقُولُ: مَا تَرَكْتُهُ حَتَّى فَرَّقْتُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ امْرَأَتِهِ. فَيُدْنِيهِ مِنْهُ وَيَقُولُ: نِعْمَ أَنْتَ.”
“Sesungguhnya iblis meletakkan singgahsananya di atas air, kemudian ia mengutus tentera-tenteranya. Maka syaitan yang paling dekat kedudukannya dengannya ialah yang paling besar fitnahnya. Datanglah salah seorang daripada mereka (syaitan) lalu berkata: ‘Aku telah melakukan demikian dan demikian.’ Iblis menjawab: ‘Kamu tidak melakukan apa-apa.’ Kemudian datang seorang yang lain lalu berkata: ‘Aku tidak meninggalkannya (seorang manusia) sehingga aku berjaya memisahkan antara dia dengan isterinya.’ Maka iblis pun mendekatkannya kepada dirinya (menghargainya) dan berkata: ‘Sebaik-baik kamu adalah kamu (kerana perbuatanmu itu).'”

(Riwayat Muslim No. 2813)

Maka menjadi tanggungjawab kita menjaga hubungan suami isteri ini. Kalau kita memutuskan ikatan ini, maka kita bukan sahaja melanggar perjanjian peribadi antara suami dan isteri, kontrak sosial, malah ia juga melanggar kehendak Allah ‎ﷻ! Allah ‎ﷻ suruh kita menikah dan jaga pernikahan itu, kita pergi buat sesuatu yang merosakkannya seperti berselingkuh dengan orang lain yang bukan pasangan kita.

 

Nasihat Perkahwinan yang percuma

Jadi apa yang perlu dilakukan oleh pasangan kalau tidak mendapat hak? Yang pertama kena ingat, jangan langgar hukum Allah. Macam rumah, kita boleh susun perabot hendak letak di mana sahaja, tapi tiang seri rumah jangan dikacau. Maka di dalam hidup kita, yang tak boleh dikacau adalah hukum Allah. Jangan buat dosa seperti yang kita sebut, pergi cari rakan selingkuh.

1. Pertamanya, cuba berkomunikasi dengan pasangan. Kadang-kadang kita ini bongok, ingatkan pasangan kita boleh baca fikiran kita, tahu yang kita tak puas hati. Kita lupa dia pun manusia juga, tidak boleh baca fikiran orang lain. Jadi kena diberitahu apa yang terbuku di hati. Kalau simpan sendiri, buat sakit sahaja, bukan? Jadi daripada tidak cakap, lebih baik cakap sahaja, biar dia faham. Ilmu komunikasi kenalah ada sikit, jangan sembur bila cakap kepada pasangan kita. Boleh cakap dengan serius, tetapi dalam keadaan tenang.

Namun begitu kita faham, orang kita bukannya biasa berterus terang. Adat dan budaya kita simpan sahaja dalam hati. Biarlah ia memakan diri, janji jangan cakap. Ini memang fahaman kuno dan ‘outdated’ dan sepatutnya tidak terpakai lagi zaman moden. Namun sekiranya pasangan kita sebegitu, mungkin tidak sesuai. Takut dia jadi ‘hulk hijau’ pula kerana marah sebab kita berani cakap begitu dengannya.

2. Maka kenalah gunakan khidmat orang tengah untuk sampaikan kepada dia. Penyelesaian ini ada disebut di dalam Nisa’:35 cuma orang kita sahaja tidak tahu kerana hanya pandai baca sahaja Al-Qur’an tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya,

‎وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن يُرِيدَا إِصْلٰحًا يُوَفِّقِ اللهُ بَيْنَهُمَا إِنَّ اللهَ كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang daripada keluarga lelaki dan seorang daripada keluarga perempuan. Jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam pengetahuan-Nya.

Semoga ada dalam kalangan wakil keluarga yang boleh menjadi wakil dan mereka itu orang terpelajar dan berakhlak. Kerana jika tersalah pilih pun masalah juga.

3. Akan tetapi kalau ini pun tidak selesai, maka jalan seterusnya adalah berpisahlah dengan baik. Islam memang membenarkan hal ini. Jangan disimpan perasaan yang tidak puas hati itu kerana syaitan akan mengambil peluang untuk menimbulkan jalan untuk mencari ‘makan luar’. Inilah tiang seri yang kita dilarang daripada ditukar iaitu melanggar hukum Allah. Ini adalah jalan paling buruk sekali. Maka bercerai itu lebih baik daripada berterusan dalam melakukan maksiat kepada Allah ‎ﷻ. Tidak ada apa-apa alasan yang boleh diberikan kalau kita telah melanggar hukum Allah. Jangan beri hujah: ‘Kau tak tahu apa aku rasa….aku tertekan….’ dan sebagainya. Itu semua adalah alasan daripada syaitan. Iblis semasa dia melanggar arahan Allah ‎ﷻ untuk sujud kepada Nabi Adam عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ pun dia ada beri alasan. Jadi alasan apa-apa sahaja tidak terpakai kalau sudah melanggar hukum Allah. Alasan itu hanya laku dalam kepala kita sahaja tetapi ia tidak bernilai dalam agama. Semua orang akan ada alasan kenapa mereka melakukan sesuatu, tetapi tidak semestinya alasan itu sah.

Jadi daripada berterusan memikirkan alasan-alasan yang tidak akan diterima, maka baik ambil jalan untuk bercerai sahaja daripada duduk di dalam perkahwinan yang toksik. Masalahnya di sini orang kita takut sangat hendak cerai. Ini kerana ada stigma dalam masyarakat terhadap orang bercerai itu sendiri. Macam-macam mereka takut dengan pandangan orang lain. Padahal orang lain bukan faham pun hal kita, orang lain bukan tanggung pun susah payah kita. Jadi pelik kenapa kita hendak hirau dengan kata-kata makcik bawang. Makcik bawang itu SPM pun belum tentu lulus, jadi buat tidak tahu sahaja kata-kata mereka.

 

وَغَلَّقَتِ الأَبوٰبَ

dan dia menutup pintu-pintu,

Sekarang kita kembali kepada kisah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan isteri Al-Aziz itu. Setelah wanita itu nekad untuk menjalankan rancangannya, maka pada suatu hari dia telah menutup pintu segala pintu-pintu (kerana الأَبوابَ dalam bentuk jamak). Kalau banyak pintu, kita boleh bayangkan betapa besarnya rumah itu. Ada yang mengatakan ada tujuh pintu dan kuncinya tetapi bilangan itu tidak penting dan tidak kisahlah berapa banyak pintu. Sudahlah mereka tinggal berdua sahaja pada waktu itu, sekarang segala pintu ditutup pula.

Kalimah غَلَّقَ bermaksud mengunci-ngunci – maksudnya banyak pintu yang dikuncinya, bukan satu sahaja – oleh itu, bukan senang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ hendak lari, kalau baginda hendak melarikan diri. Ini kerana mungkin ada yang fikir, baginda muda, kenapa tidak lari sahaja? Maka kita tahu melalui ayat ini yang memang baginda muda tetapi ada masalah kalau hendak lari kerana pintu sudah dikunci. Ada juga yang mungkin berkata, takkan semasa wanita itu menguncikan pintu, Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tengok begitu sahaja tidak berbuat apa-apa? Jadi jangan bayangkan begitu. Memang wanita menguncikan semua pintu tetapi boleh jadi dia kuncikan semua pintu tanpa pengetahuan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Cuma pintu terakhir sahaja yang dikunci setelah Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ masuk menyebabkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidak sempat berbuat apa-apa.

Dia juga mengunci pintu untuk memujuk Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ. Kerana dia agak tentu Yusuf ini akan takut hendak buat sesuatu kalau ada orang lain nampak, jadi aku akan kunci siap-siap dan kata kepada Yusuf: “Jangan takut, aku dah kunci dah semua pintu. Hanya kita berdua sahaja sekarang.”

Jikalau ia bermaksud mengunci, maka ini bermakna pada zaman itu sudah ada kunci. Peristiwa ini telah berlaku 6 ribu tahun yang lepas. Pengkritik Al-Qur’an mengatakan Al-Qur’an silap kerana pada mereka, kunci hanya dicipta dan digunapakai oleh golongan Yunani dan Rom seribu tahun Sebelum Masihi. Namun di sini kita dimaklumkan yang pada zaman Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ iaitu 3 ribu tahun sebelum itu pun telah ada kunci. Ini dibuktikan dengan kajian Mesir Purba (Egyptology) yang mendapati bukti ada konsep kunci yang telah digunakan. Namun kemudian ia telah ditambahbaik oleh Yunani dan Rom. Maka Al-Qur’an telah sekali lagi membuktikan yang ia adalah Kalamullah yang lebih tahu sejarah daripada manusia. Inilah mukjizat Al-Qur’an yang tidak dapat disangkal lagi.

 

وَقالَت هَيتَ لَكَ

seraya berkata: “Mari ke sini dengan segera, aku bersedia untukmu”. 

Kalimat هَيتَ bermaksud “datang ke mari” tetapi daripada kalimah yang digunakan, ia memberi isyarat bahawa wanita itu tegas dengan arahannya itu. Kalau sebelum ini dia memujuk-mujuk, maka sekarang dia sudah jadi tegas. Ada yang berpendapat kalimah ini bermaksud dia berteriak memanggil. Maknanya dia mengarahkan Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk segera datang kepadanya tanpa berlengah lagi. Kalimah لَكَ bahawa dia menyerahkan dirinya kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ untuk berbuat sekehendaknya.

Ini pun adalah satu kesusahan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ juga, kerana selalunya baginda akan taat kepada wanita itu semenjak kecil lagi. Maka serba salah jadinya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ di dalam keadaan ini.

 

قالَ مَعاذَ اللهِ

Yusuf berkata: “Perlindungan Allah,

Kalimat مَعاذَ اللَّهِ adalah kalimah menyatakan bergantung kepada Allah ‎ﷻ. Kalimah مَعاذَ adalah isim dzarf (masa dan tempat). Oleh itu, baginda bukan sahaja meminta perlindungan daripada Allah ‎ﷻ pada masa itu, tetapi baginda minta Allah ﷻ berikan tempat yang selamat untuk baginda. Baginda minta tempat menyorok, tempat yang selamat. Di sini kita boleh lihat yang baginda tidak hanya bergantung dengan kekuatan dirinya sahaja akan tetapi memohon pertolongan Allah ﷻ. Memang kita memerlukan bantuan daripada Allah ﷻ. Walaupun baginda seorang Nabi, tetapi baginda sedar yang baginda tidak boleh buat apa-apa tanpa bantuan daripada Allah ﷻ.

Kita kena sedar yang kita tidak mampu melawan kehendak tubuh kita kalau tanpa bantuan daripada Allah ﷻ. Sebagai contoh, kalau kita berpuasa di bulan Ramadhan, kita tetap lapar, bukan? Kerana lapar itu adalah satu sifat fizikal. Kita tidak boleh suruh tubuh kita supaya jangan lapar. Tubuh hendak lapar, dia terus lapar sahaja. Begitu juga dengan kehendak fizikal kepada syahwat kepada berlainan jantina. Ia adalah sesuatu yang kita tidak boleh kawal. Kita tidak boleh hilangkan nafsu kita. Yang kita boleh kawal adalah tindakan kita. Untuk kuat mengawal ini memerlukan bantuan daripada Allah ﷻ kerana kita mungkin tidak boleh hendak mengawal tindakan kita.

Maka kita belajar supaya berharap dan berdoa minta bantuan daripada Allah ﷻ daripada melakukan perkara yang salah. Kita mungkin tidak biasa dengan kalimah مَعاذَ اللَّهِ ini akan tetapi tentu kita semua biasa dengan kalimah أَعُوذُ بِاللَّهِ (Aku berlindung dengan Allah). Kalimah أَعُوذُ dan مَعاذَ daripada kata dasar yang sama, cuma dalam bentuk yang berlainan. Mari kita kupaskan: ia daripada kata dasar ع و ذ yang bermaksud mendapatkan atau mengambil perlindungan; perlindungan; seterusnya; (Allah) melarang; Ia juga digunakan di dalam Bahasa Arab untuk merujuk kepada tumbuhan yang melekat kepada batang pokok besar. Juga merujuk kepada daging yang melekat di tulang dan tidak boleh dibuang dengan mudah. Jadi apabila kita أَعُوذُ dengan Allah ﷻ, ia bermaksud kita melekat, melekap, berpegang dengan Allah ﷻ dan tidak akan lepaskan. Oleh itu apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata مَعاذَ اللَّهِ ia bermaksud baginda akan berpegang dengan sentiasa ingat kepada Allah ﷻ.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ diberikan dengan kepandaian menta’bir bukan mimpi sahaja tetapi kata-kata dan juga kejadian yang berlaku. Maka baginda sudah tahu yang ini bukan panggilan seperti biasa tetapi ada udang di sebalik batu. Maka baginda terus minta berlindung dengan Allah ﷻ. Ada muqaddar dalam ayat ini: “Aku meminta perlindungan kepada Allah ‎daripada keinginan nafsumu terhadapku.”

Maka kita lihat yang Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ ‎keluarkan nama Allah ﷻ kerana baginda seorang yang beriman. Maka kepada kita juga, hendaklah selalu menyebut nama Allah ‎ﷻ di dalam setiap ketika. Lazimkan kalimah Allah ‎ ﷻ di bibir kita. Jika selalu menyebut nama Allah ‎ﷻ maka itu tanda yang kita rapat dengan Allah ‎ﷻ. Kerana itulah kalau kita baca hadith, sahabat sentiasa sahaja sebut nama Allah ‎ﷻ dalam setiap keadaan.

Ujian yang dihadapi oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dalam situasi ini lebih teruk daripada ujian ketika baginda ditinggalkan di dalam telaga oleh abang-abangnya. Ini kerana ketika itu, baginda tidak ada pilihan lain selain sabar sahaja dengan apa yang berlaku. Akan tetapi apabila digoda oleh wanita yang menjadi tuan kepada tempat tinggalnya, seandainya baginda mahu, boleh sahaja baginda melayan kehendak wanita itu. Mereka pun duduk di rumah yang sama, jauh daripada orang lain dan pintu pun telah dikunci. Baginda pun bukannya duduk di kampung sendiri dan orang tidak kenal pun baginda, jadi kuranglah malu kalau baginda meneruskan hajat wanita itu. Isteri Al-Aziz itu tentulah pula seorang yang cantik kerana menikah dengan seorang menteri, bukan? Selalunya orang lelaki yang mengejar wanita tetapi kali ini wanita pula yang mengejar! Namun begitu, iman baginda menghalang baginda daripada melakukannya.

 

إِنَّهُ ۥ رَبِّىٓ أَحسَنَ مَثوَاىَ‌

sungguh tuanku telah memberikan aku tempat tinggal yang baik”.

Kalimah رَبّ dalam ayat ini boleh jadi merujuk kepada Allah ﷻ ataupun tuan rumah itu. Mungkin Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menggunakan kalimah itu dalam bentuk yang umum kerana asal maksud ‘rabb’ adalah ‘tuan’. Pada waktu itu boleh lagi memanggil tuan sebagai rabb. Sekarang tidak boleh lagi seperti disebut di dalam hadith, kerana ia boleh membawa kepada syirik. Jadi Rabb hanya boleh digunakan untuk Allah ‎ﷻ sahaja.

لاَ يَقُولَنَّ أَحَدُكُمْ لِمَمْلُوكِهِ: رَبِّي وَرَبَّتِي، وَلَكِنْ لِيَقُلْ: سَيِّدِي وَسَيِّدَتِي، وَلَا يَقُلْ الْمَمْلُوكُ: سَيِّدِي، وَلَا سَيِّدَتِي، وَلَكِنْ لِيَقُلْ: يَا مَوْلَايَ وَيَا مَوْلَاتِي
“Janganlah salah seorang daripada kamu memanggil tuannya: ‘Rabb-ku’ (Tuhan/Tuan-ku) dan ‘Rabb-ku’. Tetapi hendaklah dia berkata: ‘Sayyidi’ (Tuanku) dan ‘Sayyidati’ (Puan-ku). Dan jangan pula hamba sahaya berkata: ‘Sayyidi’ atau ‘Sayyidati’. Tetapi hendaklah dia berkata: ‘Wahai Maulaya’ (Tuan-ku) atau ‘Wahai Maulati’ (Puan-ku).”

(Riwayat Muslim No. 2249)

Zaman dahulu pun memang syirik telah dilarang akan tetapi jalan-jalan yang boleh membawa kepada syirik belum lagi dilarang. Jadi apa istilah yang digunakan oleh Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ tidaklah salah.

Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengingatkan wanita itu tuannya (suami wanita itu) telah menjaga dirinya (dan juga wanita itu) dengan baik selama hari ini. Baginda mengingatkan kembali bagaimana tuannya itu memberikan tempat tinggal yang baik dan layanan yang baik. Seperti telah disebut sebelum ini, kalimah مَثوَى bermaksud tempat tinggal generasi demi generasi. Ia adalah tempat tinggal yang diwarisi. Maknanya, tempat tinggal yang lama. Maknanya Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghargai tuan itu telah memberinya tempat tinggal untuk tinggal lama, yang bukannya tinggal sementara. Tidaklah patut kalau setelah mendapat nikmat itu, baginda tidur sekatil dengan isteri orang lain, terutama sekali dengan isteri orang yang telah berjasa kepadanya. Baru-baru ini pun ada berita seorang lelaki telah membunuh lelaki yang berselingkuh dengan isterinya kerana perkara ini tidak mungkin seorang suami  yang normal dapat menerimanya.

Namun mungkin susah juga untuk kita terima baginda telah diberikan tempat tinggal yang baik, bukan? Kerana baginda bukannya duduk di rumah sendiri tetapi di rumah orang lain, bekerja pula sebagai hamba abdi orang itu. Jadi apa yang baiknya? Ini kerana baginda tahu yang keberadaan baginda di rumah itu adalah takdir daripada Allah ‎ﷻ. Baginda tahu yang Allah ‎ﷻ tidak akan tinggalkan dan apa sahaja ujian yang Allah ‎ﷻ berikan kepada baginda, ia adalah sebagai pelajaran bagi baginda.

Begitulah sekali lagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ telah dikhianati dan diuji. Semasa kecil, baginda dikhianati oleh abang-abangnya yang sepatutnya menjaga baginda, tetapi mereka yang buang baginda. Sekarang, isteri itu sepatutnya menjaga baginda dan memberikan tempat tinggal yang baik, tetapi dia pula yang hendak mencabul baginda. Bukankah Al-Aziz telah suruh isterinya itu menjaga baginda seperti disebut di dalam ayat 21?

أَكرِمي مَثوىٰهُ
“Muliakanlah tempat tinggalnya,

Satu lagi tafsir, apabila Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ mengucapkan إِنَّهُ رَبّي, ia boleh jadi juga baginda merujuk kepada Allah ‎ﷻ. Kerana memang Allah ‎ﷻlah yang memberikan tempat tinggal yang baik kepada baginda dan memberi segala nikmat kepada baginda. Ada pendapat yang mengatakan pandangan yang mengatakan ia merujuk kepada Allah ‎ﷻ lebih kuat.

Namun bagaimana kalau kita gabungkan kedua-duanya sekali? Iaitu bagi Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ, apabila baginda menyebut رَبّي, mungkin baginda maksudkan Allah ‎ﷻ. Akan tetapi di dalam masa yang sama, apabila baginda menyebut رَبّي kepada wanita itu, mungkin yang wanita itu anggap ia merujuk kepada suaminya, tuan kepada Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ itu.

Walaupun kebaikan itu diberikan kepada diri baginda, tetapi baginda cakap dengan kuat kerana hendak mengingatkan kepada wanita itu (kerana tentu wanita itu pun dapat kebaikan daripada suaminya juga). Tidak patut kalau orang yang baik kita buat begitu. Tidak patut Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berhubungan dengan isteri tuannya, dan tidak patut isteri itu berlaku curang kepada suaminya yang baik itu.

 

إِنَّهُ ۥ لَا يُفلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ

Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya.

Baginda juga mengingatkan yang orang zalim tidak akan berjaya. Kalimah إفلاح digunakan untuk petani yang berjaya menuai hasil tanaman mereka setelah lama berusaha bercucuk tanam, mungkin setelah setahun. Itulah masanya mereka meraih kejayaan daripada hasil usaha mereka. Jadi orang yang zalim tidak akan mendapat hasil yang baik yang mereka harapkan.

Allah ‎ﷻ menggunakan ‘zalim’ dalam ayat ini kerana mereka yang melakukan fahsya’ (seperti yang dilakukan oleh wanita itu) sebenarnya mereka melakukan kezaliman terhadap Allah ‎ﷻ. Kena ingat yang khianat kepada orang yang baik juga adalah satu kezaliman dan orang yang zalim tidak akan selamat. Maka kita kena jaga tingkah laku kita. Jangan kita buat perkara mengikut kehendak kita sahaja tanpa memikirkan sama ada ia menjadi kezaliman kepada orang lain ataupun tidak.

 

Kuiz (10 Soalan Pendek)

Sila jawab soalan-soalan berikut dalam 2-3 ayat setiap satu.

  1. Apakah konsep “kontrak sosial” dalam konteks perkahwinan menurut sumber?
  2. Mengapakah majlis kenduri walimah penting dalam Islam berkaitan dengan kontrak sosial?
  3. Jelaskan maksud dan kepentingan larangan “takhbib” dalam menjaga hubungan suami isteri.
  4. Apakah makna istilah “مِيثٰقًا غَلِيظًا” dan mengapa ia digunakan untuk menggambarkan ikatan perkahwinan?
  5. Mengapakah iblis amat gembira jika ikatan pernikahan diputuskan?
  6. Menurut sumber, apakah langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pasangan yang menghadapi masalah dalam perkahwinan?
  7. Mengapakah Al-Qur’an disebut sebagai “Kalamullah” yang lebih tahu sejarah, terutamanya berkaitan dengan kewujudan kunci pada zaman Nabi Yusuf?
  8. Bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan pergantungan kepada Allah SWT apabila digoda oleh isteri Al-Aziz?
  9. Jelaskan dua kemungkinan tafsiran bagi kalimah “رَبّي” yang diucapkan oleh Nabi Yusuf, dan mana yang lebih kuat menurut sesetengah pendapat?
  10. Apakah maksud amaran “Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya” dalam konteks kisah ini?

Glosari Istilah Utama

  • Takhbib (تخبيب): Perbuatan merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya atau seorang hamba dengan tuannya.
  • Walimah: Majlis kenduri kahwin yang diadakan untuk mengisytiharkan perkahwinan kepada masyarakat.
  • Butterfly Effect: Kesan rantaian di mana tindakan kecil (seperti mengganggu ikatan perkahwinan) boleh membawa akibat yang besar dan meluas.
  • Fahsya’: Perbuatan keji, maksiat, atau dosa besar, terutamanya yang berkaitan dengan perbuatan zina.
  • رَبّ (Rabb): Tuan atau Tuhan; pada zaman dahulu boleh merujuk kepada tuan manusia, tetapi dalam Islam kini hanya boleh digunakan untuk Allah SWT.
  • مَثوَى (Mathwa): Tempat tinggal, terutamanya tempat tinggal yang kekal atau diwarisi dari generasi ke generasi.
  • إفلاح (Ifah): Kejayaan; istilah yang digunakan untuk petani yang berjaya menuai hasil tanaman mereka setelah berusaha lama, melambangkan kejayaan yang baik dan berpanjangan.
  • Zalim (ظالم): Orang yang melakukan kezaliman, iaitu melanggar hak Allah atau hak sesama manusia.
  • Kalamullah: Firman Allah; merujuk kepada Al-Qur’an.
  • Egyptology: Kajian tentang tamadun Mesir Purba.
  • Makcik Bawang: Istilah slanga tempatan yang merujuk kepada orang yang suka bergosip atau campur tangan dalam hal orang lain tanpa pengetahuan penuh.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 23 Ogos 2025

Ringkasan Surah Yusuf

Keseluruhan Surah Yusuf


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Mutiara al-Qur’an

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an (Mufti Shafi Usmani)

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Tafseer As-Sa’di (Shaykh Abdur Rahman Nasir as-Sa’di)

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Ustaz Solah (Pusat Pengajian Ahsanul Ulum)

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Yusuf Ayat 23 (Berlindung dengan Allah ‎ﷻ) Part 2”

  1. Kunci Jawapan Kuiz

    1. Apakah konsep “kontrak sosial” dalam konteks perkahwinan menurut sumber? Konsep kontrak sosial dalam perkahwinan bermaksud ikatan suami isteri bukan sahaja perjanjian antara dua individu, tetapi juga diiktiraf dan dihormati oleh seluruh masyarakat. Ini menekankan peranan masyarakat dalam melindungi dan menjaga keutuhan hubungan pernikahan.
    2. Mengapakah majlis kenduri walimah penting dalam Islam berkaitan dengan kontrak sosial? Majlis kenduri walimah penting sebagai cara untuk mengisytiharkan perkahwinan kepada masyarakat secara terbuka. Ini menjadikan pasangan dikenali sebagai suami isteri, memastikan hubungan mereka dihormati, dan mencegah gangguan dari pihak luar.
    3. Jelaskan maksud dan kepentingan larangan “takhbib” dalam menjaga hubungan suami isteri. Takhbib merujuk kepada perbuatan merosakkan hubungan seorang isteri dengan suaminya atau hamba dengan tuannya. Larangan ini sangat penting kerana gangguan terhadap ikatan perkahwinan boleh membawa kesan rantaian negatif yang meluas kepada keluarga, masyarakat, dan akhirnya seluruh negara, seperti “butterfly effect.”
    4. Apakah makna istilah “مِيثٰقًا غَلِيظًا” dan mengapa ia digunakan untuk menggambarkan ikatan perkahwinan? “مِيثٰقًا غَلِيظًا” bermaksud “perjanjian yang kuat” atau “perjanjian yang teguh.” Istilah ini digunakan untuk ikatan perkahwinan untuk menekankan betapa suci dan beratnya perjanjian tersebut di sisi Allah, setara dengan perjanjian yang Allah ambil daripada para Nabi.
    5. Mengapakah Iblis amat gembira jika ikatan pernikahan diputuskan? Iblis amat gembira jika ikatan pernikahan diputuskan kerana pernikahan adalah ikatan suci yang dimeterai oleh Allah dan merupakan ibadah. Memisahkan pasangan adalah kejayaan terbesar bagi tentera syaitan dalam usaha mereka untuk merosakkan manusia dan melanggar kehendak Allah.
    6. Menurut sumber, apakah langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pasangan yang menghadapi masalah dalam perkahwinan? Langkah pertama yang perlu dilakukan oleh pasangan yang menghadapi masalah adalah berkomunikasi secara langsung dan jujur antara satu sama lain. Pasangan disarankan untuk menyatakan apa yang terbuku di hati dengan tenang, kerana mengandaikan pasangan boleh membaca fikiran adalah satu kesilapan.
    7. Mengapakah Al-Quran disebut sebagai “Kalamullah” yang lebih tahu sejarah, terutamanya berkaitan dengan kewujudan kunci pada zaman Nabi Yusuf? Al-Quran disebut “Kalamullah” yang lebih tahu sejarah kerana ia menceritakan tentang kewujudan kunci pada zaman Nabi Yusuf (sekitar 6 ribu tahun dahulu), sebelum Yunani dan Rom, seperti yang dibuktikan oleh kajian Egyptology. Ini membantah dakwaan pengkritik Al-Quran dan menjadi salah satu mukjizatnya.
    8. Bagaimana Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan pergantungan kepada Allah SWT apabila digoda oleh isteri Al-Aziz? Nabi Yusuf عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menunjukkan pergantungan kepada Allah dengan mengucapkan “مَعاذَ اللهِ” (Perlindungan Allah). Kalimah ini menunjukkan baginda meminta perlindungan mutlak dari Allah, baik dari segi masa mahupun tempat, dan menyedari bahawa tanpa bantuan Allah, baginda tidak mampu melawan kehendak nafsu.
    9. Jelaskan dua kemungkinan tafsiran bagi kalimah “رَبّي” yang diucapkan oleh Nabi Yusuf, dan mana yang lebih kuat menurut sesetengah pendapat? Dua kemungkinan tafsiran “رَبّي” adalah: 1) Merujuk kepada Al-Aziz (suami wanita itu) yang telah memberi tempat tinggal yang baik, dan 2) Merujuk kepada Allah SWT yang merupakan pemberi segala nikmat. Pendapat yang mengatakan ia merujuk kepada Allah dianggap lebih kuat oleh sesetengah ulama.
    10. Apakah maksud amaran “Sesungguhnya orang-orang yang zalim tiada akan berjaya” dalam konteks kisah ini? Amaran ini bermaksud bahawa mereka yang melakukan fahsya’ (maksiat) atau khianat adalah zalim terhadap Allah dan orang lain, dan mereka tidak akan mencapai kejayaan yang diimpikan. Seperti seorang petani yang tidak menuai hasil baik, orang zalim tidak akan mendapat ganjaran positif dari perbuatan mereka.

    Like

Leave a comment