Tafsir Surah Dhuha Ayat 1 – 5 (Nikmat untuk Rasulullah)

Pengenalan dan latarbelakang kepada surah ini

Ada tempoh beberapa lama yang Nabi tidak mendapat wahyu (selepas baginda mula mendapat wahyu). Dalam berbelas hari juga (walaupun berapa lama tidak ada kepastian). Musyrikin Mekah, apabila mengetahui perkara ini, mereka mula mengejek Nabi dengan mengatakan bahawa Tuhan Muhammad telah meninggalkannya dan tidak suka kepada baginda.

Lebih tepat lagi, yang mengatakan demikian adalah isteri Abu Jahal. Tentunya Nabi amat sedih tentang perkara itu. Tambahan pula baginda takut kalau-kalau ada kesalahan pada baginda sampai baginda tidak diberikan lagi dengan wahyu. Maka dengan penurunan Surah Ad-Dhuha ini, Allah memberi berita gembira kepada baginda.

Kenapa Allah berhentikan seketika penurunan wahyu kepada baginda? Kita tidak tahu secara pasti tapi ada yang berpendapat, ianya untuk memberi rehat kepada baginda. Kerana tentu ada hikmah di sebalik apa yang Allah telah lakukan. Kerana penerimaan wahyu amat berat, maka Allah berikan rehat kepada baginda.

Surah ini memberitahu bahawa tidaklah Allah melupakan Nabi dan membiarkan baginda begitu sahaja. Seperti juga malam itu tidak lama – akan datang juga siang, maka kelewatan wahyu diturunkan kepada Nabi itu tidaklah lama. Isyarat kelewatan itu adalah pada malam dan isyarat datangnya wahyu kembali adalah dengan datangnya siang – waktu dhuha.

Nabi risau kafir Quraish tidak menerima dakwah yang disampaikannya. Dia takut kalau manusia tak terima dakwahnya, mereka akan binasa. Dan bukan umat Arab sahaja yang akan binasa tapi seluruh alam kerana baginda adalah rasul dan Nabi terakhir. Baginda takut kalau-kalau ada apa kesalahan atau kekurangan dalam dakwah yang baginda sampaikan.

Maka dalam surah ini, Allah hendak menenangkan perasaan Nabi dengan mengatakan bahawa tidak ada salah pada dirinya dan dakwahnya. Nabi tidak bersalah dan Allah tidak marah kepada baginda.

Surah ini menceritakan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada Nabi dan apakah cara untuk mensyukuri nikmat-nikmat itu. Dan apabila diberikan caranya kepada Nabi, kita sebagai umat Islam pun kena ikut juga.

 

Kaitan dengan Surah al-Layl dengan Durah Ad-Dhuha ini:

1. Surah Al-Layl menyebut malam dahulu (وَاللَّيلِ إِذا يَغشىٰ), sedangkan Surah Ad-Dhuha menyebut siang dahulu (وَالضُّحىٰ).

2. Surah Al-Layl khitab kepada Kafir Quraish, manakala Surah Ad-Dhuha khitab kepada Nabi.

3. Di hujung Surah Al-Layl, Allah menyebut: وَلَسَوفَ يَرضىٰ – mereka yang menerima nikmat itu akan berpuas hati kerana berjaya. Dalam surah ini, akan diberikan contoh tentang orang yang mencari keredhaan Allah, iaitu Nabi Muhammad.

4. Dalam Surah al-Layl, Allah menjanjikan kesenangan membawa ke syurga kepada mereka yang memberi infak dan bertaqwa (فَسَنُيَسِّرُهُ لِليُسرىٰ). Tetapi dalam surah sebelum itu (Surah Asy-Syams), dikatakan yang ianya adalah aqabah (sesuatu yang susah) pula (فَلَا اقتَحَمَ العَقَبَةَ), jadi bagaimana pula? Dalam surah ini, Allah memberitahu, walaupun mulanya susah, tapi nanti akan menjadi semakin senang (وَلَلآخِرَةُ خَيرٌ لَكَ مِنَ الأولىٰ).

5. Dalam Surah Al-Layl, Allah memuji orang yang memberi sedekah (فَأَمّا مَن أَعطىٰ وَاتَّقىٰ). Dalam Surah Ad-Dhua, Allah pula memberi segala macam nikmat kepada Nabi, kerana Nabi telah ‘memberi’ sebelum itu. Nabi telah menghabiskan hartanya dan harta Khadijah untuk mengubah masyarakat ke arah kebaikan (sebelum baginda dilantik menjadi Nabi).

6. Dalam Surah Al-Layl, disebut tentang orang yang وَصَدَّقَ بِالحُسنىٰ (membenarkan dengan kebaikan), iaitu apabila datang kebenaran, mereka membenarkannya. Dalam surah ini, diceritakan bagaimana Nabi kita sebelum mendapat kebenaran Islam, baginda memang mencari-cari apakah kebenaran dan akhirnya Allah memberikannya kepada baginda (وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ). Dan apabila kebenaran itu sampai kepada baginda, baginda membenarkan (menerimanya).

7. Dalam Surah al-Layl, disebut tentang orang yang ghina’, rasa cukup dan tidak perlukan orang lain (وَأَمّا مَن بَخِلَ وَاستَغنىٰ). Mereka rasa mereka tidak memerlukan sesiapa kerana mereka sudah kaya. Tapi kekayaan mereka sebenarnya tidak akan mencukupkan mereka dan tidak akan dapat melepaskan mereka apabila mereka jatuh ke dalam lembah kehinaan.

Dalam Surah Ad-Dhuha, Allah sebut Dia yang Nabi menjadikan Nabi cukup (وَوَجَدَكَ عائِلًا فَأَغنىٰ). Maknanya, bukan harta yang mencukupkan seseorang, tapi Allah sahaja yang boleh menjadikan seseorang itu cukup. Oleh itu, kalau kita cari pemberian dari Allah, Allah akan mencukupkan kita.

8. Dalam Surah al-Layl, telah disebut tentang mereka yang infak harta untuk membersihkan diri mereka (الَّذي يُؤتي مالَهُ يَتَزَكّىٰ); dalam Surah Ad-Dhuha, Allah beritahu di mana tempat yang boleh kita berikan infak – kepada anak yatim (فَأَمَّا اليَتيمَ فَلا تَقهَر), dan kepada orang yang meminta (وَأَمَّا السّائِلَ فَلا تَنهَر).

9. Disebut balasan paling baik dalam Surah al-Layl dimana mereka akan berpuas hati dengan apa yang mereka akan terima nanti (وَلَسَوفَ يَرضىٰ); dalam Surah Ad-Dhuha, disebut apabila dapat kebaikan, kena ceritakan (وَأَمّا بِنِعمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّث).

10. Kedua-dua surah ini tentang petunjuk, iaitu petunjuk yang kita harapkan hanya dari Allah. Oleh itu juga, hak memberi petunjuk dari Allah (إِنَّ عَلَينا لَلهُدىٰ). Allah boleh pilih siapa yang Dia hendak beri petunjuk itu – dalam Surah Ad-Dhuha diberitahu bagaimana Allah telah memberi hidayah menuju kepadaNya (وَوَجَدَكَ ضالًّا فَهَدىٰ).

11. Dalam Surah al-Layl, kita mengharap kepada Allah, maka kita menghadapkan diri kita kepada Allah dalam permintaan kita; dalam surah ini, ada orang yang memerlukan infak juga dan mereka juga telah menghadapkan wajah mereka kepada Allah, maka jangan menolak mereka yang memerlukan pertolongan dari kita (وَأَمَّا السّائِلَ فَلا تَنهَر). Kerana mungkin kitalah asbab (penyebab) bagi Allah memberi bantuan kepada mereka.


 

Ayat 1: Surah ini boleh dibahagikan kepada 3 perenggan makro. Ayat 1 – 5 adalah Perenggan Makro Pertama. Ia adalah tasliah (pujukan) kepada Nabi yang dukacita kerana lama tidak didatangi wahyu.

Allah mulakan surah ini dengan sumpah. Ini adalah sumpah yang pertama dari Allah.

وَالضُّحىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

AdhDhuḥā: The Morning Brightness, i.e., the brightness or heat of the sun.

By the morning brightness

(MALAY)

Demi waktu matahari sepenggalahan naik,

 

Allah bersumpah dengan Waktu Dhuha. Ianya adalah waktu di pagi yang amat menenangkan di mana manusia mula bergerak untuk memulakan kehidupan dan kerja mereka. Kalau subuh, orang baru bangun tidur dan belum keluar rumah ramai-ramai lagi. Tapi Waktu Dhuha memang manusia ramai-ramai akan keluar untuk memulakan kerja atau memulakan aktiviti mereka hari itu.

Waktu itu manusia dalam keadaan segar kerana belum mula bekerja lagi dan baru lepas berehat di malam hari. Waktu itu juga suasana nyaman kerana ia tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas.

Waktu Dhuha adalah isyarat kepada wahyu yang datang kepada Nabi Muhammad SAW; ianya menyegarkan baginda sebagaimana juga waktu Dhuha itu. Ianya wahyu yang penuh dengan cahaya, sebagaimana juga dengan cahaya Waktu Dhuha.

Allah membezakan Waktu Dhuha dengan masa yang akan disebut selepas ini iaitu malam yang bening. Ada pasangan di antara siang dan malam. Sebagaimana setiap sesuatu ada pasangannya masing-masing – kiri dan kanan, atas bawah, lelaki perempuan dan sebagainya. Manusia memang memerlukan kedua-duanya.

Pasangan kepada siang (Waktu Dhuha) adalah malam. Dengan malam, manusia baru nampak kebaikan dan kesenangan yang ada dengan adanya siang. Kerana kalau kita sakit, barulah kita dapat menilai nikmat sihat, bukan? Oleh itu, dua-dua waktu itu kita perlukan: siang untuk bekerja dan malam untuk berehat.

Begitu juga dengan kehidupan kita – ada waktu senang dan ada waktu susah. Ianya adalah sebahagian dari putaran hidup kita. Sebagai manusia, memang kita kena lalui susah dan senang. Memang ada kebaikan juga apabila kita ada kesusahan. Eh, bagaimana pula? Kerana ada pengajaran yang Allah hendak berikan kepada kita semasa kita melalui kesusahan itu.

Sebagai contoh, dengan adanya susahlah baru ada perasaan sabar. Kerana sifat sabar itu datang setelah adanya kesusahan dalam hidup. Kalau tidak ada susah, bagaimana lagi kita nak belajar sabar itu? Dan sabar hanya keluar semasa susah, bukan? Dan kalau kita sabar dengan dugaan hidup, kita akan dapat pahala. Maknanya kalau kita tidak dapat susah, kita tidak dapat peluang untuk mendapatkan pahala sabar.

Apa lagi kelebihan yang ada pada kesusahan? Lagi satu, perasaan menghargai sesuatu hanya akan ada apabila sesuatu kepunyaan kita pernah diambil, hilang, rosak dan sebagainya. Jadi kita lebih menghargai barang yang kita ada kerana kita pernah hilang sesuatu itu. Dan ada banyak lagi contoh yang boleh dibincangkan oleh manusia tentang kelebihan musibah dan dugaan hidup ini. Oleh itu ingatlah, walaupun dalam kesusahan, ada kebaikan.

Allah bersumpah dengan Waktu Dhuha, kita tak boleh. Kita hanya dibenarkan bersumpah dengan nama Allah sahaja. Apabila Allah bersumpah dengan Waktu Dhuha, itu menunjukkan ada kelebihan pada waktu Dhuha.

Waktu Dhuha adalah waktu yang terang tapi cahaya belum panas lagi. Oleh itu, kita dapat melihat bagaimana surah ini akan menggunakan bahasa-bahasa yang lembut dan menyenangkan juga. Ini adalah kerana Allah sedang bercakap dengan RasulNya yang Dia amat sayangi, maka tentulah Dia bercakap dengan nada yang lembut dan menyenangkan. Ini menunjukkan cinta Allah kepada baginda.


 

Ayat 2: Sumpah kedua.

وَاللَّيلِ إِذا سَجىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And [by] the night when it covers with darkness,¹

  • And becomes still.

(MALAY)

dan demi malam apabila telah sunyi (gelap),

 

Malam apabila ia senyap sunyi menandakan isyarat kepada satu waktu di mana Nabi tidak mendapat wahyu. Ini adalah fatratil wahy di mana buat beberapaa waktu, wahyu dihentikan dari diberikan kepada baginda. Ianya seperti malam kerana sebagaimana malam itu gelap, begitu juga alam ini seumpama gelap tanpa cahaya wahyu.

Kenapa Allah sebut waktu dhuha dulu sebelum sebut waktu malam? Disebut siang dulu menandakan wahyu sudah mula diturunkan dan malam apabila wahyu berhenti seketika. Ini mengikut susunan keadaan yang hendak disampaikan dalam surah ini iaitu tentang wahyu yang diturunkan semua selepas fatratil wahy.

Kalimah سَجىٰ bermaksud tenang, tidak bergerak, berhenti. Pada waktu malam yang bening, waktu itu daun pokok pun tidak bergerak. Walaupun malam itu gelap, tapi tentunya ada guna malam seperti yang disebut dalam  Ghafir:61.

اللهُ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ اللَّيلَ لِتَسكُنوا فيهِ وَالنَّهارَ مُبصِرًا ۚ إِنَّ اللهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ

Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.


 

Ayat 3: Ini adalah jawabul qasm (jawapan kepada sumpah sebelum ini). Sekarang kisah tentang tuduhan orang kafir Quraish terhadap Rasulullah. Allah hendak menolak tuduhan mereka. Seperti yang kita telah sebut, mereka menuduh yang Tuhan Muhammad telah meninggalkan baginda.

ما وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَما قَلىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Your Lord has not taken leave of you, [O Muḥammad], nor has He detested [you].

(MALAY)

Tuhanmu tidak meninggalkan kamu dan tidak (pula) benci.

 

Dalam ayat ini Allah hendak menegaskan yang Allah tidak meninggalkan Nabi Muhammad dan tidak membenci baginda. Selepas wahyu berhenti turun seketika, puak kafir Quraish sudah kata yang Allah sudah meninggalkan Nabi Muhammad kerana benci kepada baginda. Allah menidakkan tuduhan mereka itu.

Atau, mungkin baginda sendiri sudah rasa begitu apabila wahyu berhenti seketika. Kerana baginda takut sangat kalau-kalau ada kesalahan yang baginda telah lakukan. Tapi Allah hendak beritahu yang baginda tidak ada buat apa-apa kesalahan.

Lagi satu keindahan bahasa yang digunakan dalam surah ini, Allah gunakan Waktu Dhuha dan malam sebagai sumpahNya kerana kedua-dua perkara itu tidak kekal. Hendak menunjukkan, walaupun Allah tidak turunkan wahyu seketika, tapi itu tidaklah kekal sebagaimana waktu dhuha dan waktu malam tidak kekal. Sekejap sahaja Allah tidak turunkan wahyu itu, kerana kemudian disambung balik.

Kalimah وَدَّ, seperti yang digunakan dalam kalimah tawaf wida’ (tawaf selamat tinggal), bermakna mengucapkan selamat tinggal. Tidak benar apa yang dikatakan oleh orang kafir bahawa Allah telah meninggalkan Nabi dengan tidak menurunkan wahyu lagi kerana benci.

Mana mungkin Allah membenci Nabi. Allah sayangkan Nabi dan para sahabat baginda. Bahasa yang digunakan dalam surah ini adalah bahasa yang lembut menunjukkan betapa kasihnya Allah terhadap Nabi Muhammad.

Allah menggunakan perkataan ‘ما’ dalam ayat ini dan bukan ‘لا’ kerana perkataan ‘ما’ itu menunjukkan past tense – iaitu Allah ‘tidak pernah’ meninggalkan baginda. Kerana itu ada penekanan apabila digunakan kalimah ما. Ini tidak sama kalau guna لم sahaja kerana kalau guna ما, ia bermaksud ada sesuatu yang hendak ditolak (tuduhan orang kafir).

Dan ada sebab kenapa Allah menggunakan perkataan ‘rabb’ dalam ayat ini – ‘Rabb’ bermaksud Tuhan yang mencipta, menjaga dan memelihara. Allah mengatakan bahawa Tuhan yang menjaga dan memelihara kamu tidak pernah meninggalkan kamu. Bagaimana Tuhan yang menjaga dan memelihara baginda boleh meninggalkan baginda? Allah tidak pernah tinggalkan baginda.

Kalimah قَلىٰ digunakan apabila marah kepada seseorang, sampaikan tidak mahu bercakap dengan orang itu lagi. Tidaklah Allah berperasaan begitu dengan Nabi Muhammad. Allah hendak memberitahu baginda yang Allah tidak membenci baginda langsung.

Dalam ayat ini, Allah berfirman وَما قَلىٰ (dan tidaklah Dia benci). Allah tidak kata: وَما قلّاك (dan tidaklah Dia membenciMU) kerana tidak ada huruf ك dalam ayat ini. Dari segi bahasa, sepatutnya kena sebut siapa yang tidak disukai itu kerana قَلىٰ adalah dalam bentuk muta’addi, bermaksud mesti ada yang ‘kena buat’ atau penerima perbuatan itu.

Akan tetapi Allah tidak gunakan huruf ك yang merujuk kepada Nabi dalam ayat itu. Sedangkan dalam وَدَّعَكَ, ada pula ك. Ini adalah kerana kalimah وَدَّعَ, boleh juga digunakan kalau perpisahan antara seorang yang dalam perhubungan baik; jadi tidak salah sangat kalau dikenakan ganti nama Nabi dalam perkataan itu. Ini macam kita mengucapkan selamat tinggal kepada kawan kita, dan ini biasa.

Akan tetapi kalau قَلىٰ, ianya antara orang yang tidak berbaik dan ada perkelahian, ada elemen negatif di dalamnya. Jadi Allah tidak gunakan untuk kaitkan dengan Nabi. Sampai begitu sekali Allah jaga penggunaan bahasa.

Ada satu lagi kelebihan apabila huruf ‘ك’ tidak digunakan, bermakna maksudnya lebih luas. Bermakna bukan sahaja Allah tidak membenci Nabi, malah Allah juga tidak membenci para sahabat dan pengikut baginda.


 

Ayat 4: Ayat tasliah (pujukan) kepada Nabi.

وَلَلأَخِرَةُ خَيرٌ لَّكَ مِنَ ٱلأُولَىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And the Hereafter is better for you than the first [life].

(MALAY)

Dan sesungguhnya hari kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang sekarang (permulaan).

 

Dan sesungguhnya kesudahan untukmu adalah lebih baik dari permulaannya. Apabila ada ل tambahan dalam وَلَلآخِرَةُ, itu menunjukkan ada penekanan (taukid) – pasti sekali akhirat itu lebih baik. Allah beri penekanan kerana ada yang mendengar tidak percaya (Musyrikin Mekah).

Ia mungkin bermaksud akhirat, ataupun kesudahan perjuangan Nabi. Jadi ada dua pendapat tentang kalimah آخِرَةُ.

Tetapi, bagaimana boleh dikatakan apa yang akan dilalui oleh baginda selepas itu dikatakan senang sedangkan kita pun tahu, nanti Nabi akan menerima banyak lagi dugaan. Jawabnya, memang di permulaan dakwah Nabi adalah amat berat. Salah satunya kerana pengikutnya tidak ramai. Mereka mendapat cemuhan dan dugaan yang banyak. Tapi nanti Allah mengatakan bahawa ianya akan menjadi lebih mudah. Sampaikan baginda akan dapat menakluk Mekah dan membersihkan Ka’bah dari berhala-berhala yang ada di situ.

Dan bagaimana pula dikatakan yang keadaan awal itu lagi susah? Dari sejarah Islam, kita tahu nanti baginda akan kena halau, baginda akan bertempur di Perang Badr, Perang Uhud dan macam-macam lagi dugaan dan perjuangan yang kena dilalui oleh baginda. Bukankah itu semua susah?

Sebenarnya memang lagi susah kerana di Mekah, dugaan yang dihadapi adalah dugaan psikologi. Kerana itu adalah tahap awal lagi, dan mereka amat sedikit. Tapi lama kelamaan, apabila baginda dan sahabat sudah semakin yakin dengan kebenaran Islam, maka walaupun ada tentangan dan dugaan selepas itu, tapi hati baginda sudah tetap dan semakin mantap.

Kita juga kata, satu pendapat lagi,  آخِرَةُ bermaksud ‘akhirat’. Dalam makna kedua ini, ia bermaksud yang kehidupan Akhirat untuk Nabi adalah juga lebih baik untuk Nabi. Ianya khusus untuk baginda kerana Allah letak لَكَ (untuk kamu) dalam ayat ini. Ini adalah kerana Nabi akan mendapat kelebihan dan kedudukan tinggi yang tidak diberi kepada orang lain. Nabi akan mendapat maqam mahmudah dan baginda akan diberikan Telaga Kauthar dan lain-lain lagi kelebihan eksklusif.

Tapi itu bukanlah bermakna baginda susah selamanya di dunia ini. Ini adalah kerana di dunia lagi Nabi sudah diberi dengan kelebihan melebihi orang lain. Sebagai contoh, nama baginda akan disebut bersama dengan nama Allah dalam azan, dalam tasyahud dan macam-macam lagi. Dan banyak lagi kelebihan-kelebihan yang baginda akan dapat.

Sebagai contoh, baginda akan mendapat kemenangan peperangan yang banyak, dapat menakluk Mekah,  dapat membersihkan Ka’bah dan lain-lain lagi. Dan sekarang walaupun akhirat belum bermula lagi, baginda sudah mendapat banyak kelebihan. Bayangkan, segala amal ibadat yang kita lakukan, Nabi akan mendapat pahala sedekah jariah.

Kita boleh gunakan makna ‘الأولىٰ’ itu untuk awal periode dakwah Nabi dan juga kehidupan dunia untuk Nabi kerana Allah menggunakan perkataan yang luas (الأولىٰ). Sebagai contoh, dari sejarah kita tahu yang Nabi itu adalah anak yatim, Nabi mencari-cari kebenaran, Nabi juga miskin kerana baginda tidak ada ayah dan ibu.

Tapi itu semua adalah kehidupan awal baginda (الأولىٰ) kerana selepas itu Allah telah memberikan banyak nikmat kepada baginda. Dalam surah ini Allah mengingatkan yang Nabi telah pun mendapat kebaikan yang lebih baik dari dulu lagi. Dan Allah hendak memberitahu, kebaikan itu akan bertambah-tambah.

Allah tak sebut ‘dunia’ dalam ayat ini. Kalau Allah gunakan perkataan ‘dunia’, akhirat itu lebih baik dari ‘dunia’, itu bermakna kelebihan itu hanya untuk akhirat sahaja. Tapi kita tahu yang dalam dunia juga Nabi telah mendapat kebaikan. Iaitu Nabi akan dapat kebaikan semasa di dunia lagi dan tentunya di akhirat kelak. Jadi, Allah gunakan kalimah الأولىٰ untuk merujuk kepada segala perkara yang awal.

Setelah Allah menjanjikan kebaikan di masa hadapan yang amat banyak, maka Allah hendak memujuk Nabi – tidak mengapalah kalau susah sedikit kalau nanti akan mendapat kebaikan yang banyak sekali. Kalau kita tahu yang kita susah hanya sekejap sahaja tapi akan senang kemudian, tentulah lega sedikit hati kita bukan?

Begitu jugalah pujukan Allah kepada kita. Memang menegakkan agama ini susah, tapi sabarlah kerana nanti di akhirat akan dapat kelebihan yang tinggi. Dan pembalasan di akhirat itu lebih baik.

Dan juga hendak mengingatkan kita, dakwah ini paling susahnya di peringkat awal. Kerana baru hendak mula. Tapi lama kelamaan ia akan senang kerana Allah akan bantu. Kita pun sudah semakin banyak pengamalan, jadi kerja dakwah akan menjadi lebih senang.


 

Ayat 5: Allah janji yang nanti baginda akan diberi nikmat sampai baginda sampai puas hati.

وَلَسَوفَ يُعطيكَ رَبُّكَ فَتَرضىٰ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

And your Lord is going to give you, and you will be satisfied.

(MALAY)

Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas.

 

Dan sesungguhnya Allah akan memberikan kelebihan nikmat kepada Nabi Muhammad sehingga baginda akan berpuas hati. Huruf ل dalam وَلَسَوفَ adalah sebagai taukid – penekanan, kepastian. Pasti Allah akan lakukan, pasti Allah akan beri.

Pada masa ayat ini diturunkan, Nabi dan para sahabat sedang menghadapi cubaan dan dugaan yang amat berat dan Allah ingin memberitahu kepada Nabi dan para sahabat bahawa mereka akan mendapat kebaikan yang banyak. Selalunya Allah apabila Dia menceritakan tentang masa hadapan, Dia akan memberikan penekanan.

Sebab selepas ayat ini diturunkan, memang baginda dan sahabat akan menerima kepayahan lagi, jadi Allah nak tekankan bahawa baginda tentunya akan menerima kebaikan yang banyak. Ini supaya Nabi dan para sahabat akan terus bersemangat – Allah hendak beritahu: jangan takut, nanti kamu akan menang juga akhirnya.

Kalimah سَوفَ dari segi bahasa adalah masa hadapan yang agak jauh kalau dibandingkan dengan huruf س. Oleh itu, Allah akan beri, tapi tidaklah cepat sangat – maka mereka kena tunggu juga. Sebelum sampai masa mendapat apa yang dijanjikan, ada masa yang lama juga, maka kena bersabar sepanjang waktu itu. Tapi waktu senggang itu bukanlah duduk-duduk sahaja, tapi ada kerja yang perlu dilakukan, dan itu akan diberitahu nanti.

Perkataan يُعطيكَ (memberikan kepadamu) bermaksud pemberian yang amat banyak sekali. Ini adalah kerana kalimah أعطى membawa maksud pemberian yang banyak, bukan pemberian biasa kerana kalimah itu dalam bentuk isim mubalaghah (bersangatan). Oleh itu, dalam penggunaan bahasa pun sudah memberi isyarat yang apa yang akan diberi itu adalah pemberian yang besar.

Lagi satu, apabila digunakan أعطى, penerima boleh buat apa sahaja dengan apa yang dia dapat. Kalau digunakan أتى sahaja, mungkin ada tanggungjawab terhadapnya. Sebagai contoh, apabila Allah kata Dia beri al-kitab, ada kerja yang kena dilakukan dengan kitab itu – iaitu kena ikut, kena sampaikan.

Tapi apabila kalimah أعطى digunakan, penerima pemberian itu tidak bertanggungjawab untuk melakukan apa-apa sahaja, boleh menikmati nikmat itu. Jadi kalimah أعطى adalah satu pemberian yang hebat sekali kerana memang pemberian itu adalah pemberian yang tanpa tanggungjawab yang perlu dilakukan.

Apakah pemberian yang dimaksudkan itu? Persoalan ini mungkin timbul sebab tidak disebut apakah yang akan diberikan kepada baginda. Allah hanya kata nak beri sahaja, tapi tak disebut apakah yang akan diberikan. Kenapa Allah tidak sebut?

Allah tidak menjelaskan apa yang akan diberikan, bermakna ianya adalah tidak ada hujungnya. Macam-macam akan diberikan sampai baginda akan redha dengan pemberian itu. Allah adalah Tuhan, jadi apa sahaja Dia nak beri, Dia boleh beri. Kalau kita fikirkan, pemberian itu mengikut siapa yang memberi, bukan?

Sebagai contoh, kalau orang kaya, tentu dia boleh beri lebih banyak lagi dari orang yang sederhana, bukan? Bagaimana kalau raja yang kurnia? Tentu lebih banyak lagi. Lalu bagaimana pula kalau Allah yang akan memberi? Kalau manusia, tentulah terhad apakah yang manusia boleh beri, tapi yang janji nak beri dalam ayat ini adalah Allah. Maka pemberian itu amat banyak sampai tidak dapat dibayangkan.

Apakah yang akan diberikan? Banyak sekali perkara yang dikatakan oleh para mufassir tentang apa yang baginda akan dapat. Jadi kita tidak dapat nak sebut apakah yang akan diberikan kerana banyak sangat. Tapi para mufassir cuba juga untuk menyenaraikan beberapa perkara yang mungkin termasuk dalam ‘pemberian’ ini.

Antaranya mereka katakan, Allah akan memberikan kepada Nabi kelebihan memberikan syafaat kepada umatnya nanti. Inilah satu kelebihan yang amat besar yang diberikan kepada baginda. Dan inilah juga yang diharapkan oleh kebanyakan umat Islam.

Cuma nanti akan ada dua syafaat. Yang pertamanya akan diberikan kepada mereka yang mengikuti jalan baginda. Diberikan kepada mereka untuk menyelamatkan mereka dari neraka.

Tapi bukan hanya memberi pertolongan sahaja, tapi ada juga yang baginda akan ‘dakwa’ umat Islam. Kerana di akhirat nanti, Nabi akan mengadu kepada Allah tentang mereka yang menentang dan tidak menerima ajarannya. Baginda juga akan menjadi saksi kepada mereka yang menerima dan mereka yang tidak menerima dakwah baginda.

Kerana tidak faham perkara ini, banyak Muslim yang ada salah faham dengan syafaat. Mereka sangka mereka boleh buat apa sahaja, dan nanti Nabi akan beri syafaat kepada mereka. Sebab itulah ada orang yang senang sahaja buat amalan bidaah dan dalam masa yang sama, tidak malu minta syafaat dari Nabi.

Sebagai contoh, golongan Habib yang buat amalan bidaah antaranya mereka buat majlis terkinja-kinja minta syafaat terus dari Nabi Muhammad. Mereka sangka mereka akan dapat syafaat dari Nabi, tapi nanti akan jadi sebaliknya, kerana Nabi akan mendakwa mereka kerana tidak ikut sunnah. Ayat yang menakutkan ini ada dalam Furqan:30.

وَقالَ الرَّسولُ يٰرَبِّ إِنَّ قَومِي اتَّخَذوا هٰذَا القُرآنَ مَهجورًا

Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al Qur’an itu sesuatu yang tidak diacuhkan”.

Nabi mengadu kepada Allah bagaimana ramai dari umatnya yang meninggalkan Al-Qur’an. Nabi tidak kata pun ‘kafir’ yang tinggalkan Al-Qur’an, tapi qawmi – kamuku (yang merujuk kepada kita umat Nabi Muhammad).

Maksud ‘tinggalkan’ bukannya tidak baca, tapi tidak faham dan tidak amalkan. Kerana ramai dari kalangan orang kita yang suka dan rajin baca Al-Qur’an tapi mereka fahamkah apa yang mereka baca itu? Kalau tidak faham, bagaimana nak amalkan apa yang di dalam Al-Qur’an itu? Maka kalau kamu tidak belajar tafsir Al-Qur’an, agaknya kamu duduk dalam kumpulan yang mana?

Kalimah فَتَرضىٰ bermaksud: kamu akan redha. Redha dengan siapa? Tentulah dengan Allah. Sebenarnya, kalau Allah tidak beri nikmat tambahan lagi pun, Nabi telah redha dengan Allah juga, bukan? Jadi kenapa sebut dalam ayat ini? Maksudnya Allah akan benarkan baginda meminta sehingga baginda puas hati.

Dan banyak lagi pemberian yang Allah akan beri lagi kepada Nabi. Antaranya adalah Maqam Mahmoodah; dan baginda juga akan diberikan dengan Telaga al Kauthar, yang baginda boleh beri umatnya yang mengikut jalan baginda untuk minum dari telaga itu; dan baginda akan diberikan dengan sahabat yang ramai yang akan mengikuti baginda.

Selain itu baginda juga akan diberikan dengan ‘ikhwan’ nanti. Iaitu mereka yang lahir di zaman hadapan yang walaupun tidak melihat baginda, tapi mengikuti ajaran baginda. Semoga kita termasuk golongan ‘ikhwan’ ini.

Itulah antara perkara-perkara yang disenaraikan oleh ulama berkenaan apakah yang akan diberikan kepada baginda. Ada lagi pendapat-pendapat yang lain yang berbagai-bagai.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 5 Oktober 2019


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

5 thoughts on “Tafsir Surah Dhuha Ayat 1 – 5 (Nikmat untuk Rasulullah)”

  1. Maaf encik. Boleh tlg jelaskan..
    Dalam Surah al-Layl, kita mengharap kepada Allah, maka menghadapkan diri kita kepada Allah dalam permintaan kita; dalam surah ini, ada orang yang memerlukan infak dari kita, dan mereka yang memerlukan wajah Allah, juga tidak akan menolak mereka yang memerlukan kita (وَأَمَّا السّائِلَ فَلا تَنهَر).

    Apakah maksud mereka yg memerlukan wajah Allah?

    Like

  2. Alhamdulillah..tafsir yg terbaik pernah saya belajar dan ketemui.semoga Allah swt memberi rahmat kepada yg membangunkan apps tafsir ini..Aamiin..

    Like

Leave a Reply to Muhammad Iqbal Cancel reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s