PARA PENGACAU
Tawbah Ayat 46: Ini adalah kenapa Rasulullah ﷺ tidak sepatutnya dengan mudah memberikan keizinan kepada mereka. Allah ﷻ bongkar apa yang di dalam hati mereka. Alasan yang mereka berikan tidak patut diterima.
۞ وَلَو أَرادُوا الخُروجَ لَأَعَدّوا لَهُ عُدَّةً وَلٰكِن كَرِهَ اللَّهُ انبِعاثَهُم فَثَبَّطَهُم وَقيلَ اقعُدوا مَعَ القٰعِدينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And if they had intended to go forth, they would have prepared for it [some] preparation. But Allah disliked their being sent, so He kept them back, and they were told, “Remain [behind] with those who remain.”¹
- i.e., the women and children.
(MALAY)
Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka. Dan dikatakan kepada mereka: “Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu”.
وَلَو أَرادُوا الخُروجَ لَأَعَدّوا لَهُ عُدَّةً
Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu,
Alasan yang mereka beri kepada Rasulullah ﷺ itu hanyalah alasan sahaja. Ini kerana kalaulah mereka memang ada kehendak untuk keluar berjihad, nescaya mereka akan membuat persiapan awal lagi. Baik persediaan dari segi harta dan diri mereka. Tidaklah mereka berlengah-lengah sampai hujung waktu. Ini kerana Rasulullah ﷺ sudah beritahu awal-awal rancangan untuk ke Tabuk.
Mereka beri alasan kepada Nabi ﷺ setelah sudah hampir waktu hendak pergi keluar jihad. Disebabkan masa sudah suntuk, maka alasan mereka tidak dapat dipastikan sama ada benar ataupun tidak. Akan tetapi Allah ﷻ pecahkan tembelang mereka. Allah ﷻ buka rahsia dalam hati mereka.
Kalau mereka benar-benar hendak pergi berjihad, tentu mereka sudah membuat persiapan awal lagi. Akan tetapi mungkin ada perkara yang menghalang di saat akhir yang menyebabkan mereka tidak boleh pergi. Ini barulah alasan yang benar. Seumpama seorang yang telah membuat rancangan untuk ke masjid Solat Jumaat, tetapi kemudian dia kemalangan di rumah yang menghalang dia untuk bergerak. Barulah benar dan terbukti yang dia ada niat hendak beribadah. Maka Allah ﷻ akan beri pahala sama seperti dia telah pergi Solat Jumaat.
Satu lagi contoh seorang yang membuat rancangan untuk bangun Solat Subuh. Dia telah mengunci jamnya, malah telah pesan kepada temannya untuk mengejutkannya supaya boleh solat sekali. Kemudian entah bagaimana, mungkin kerana terlalu penat, sampai tidak sedar bunyi jam. Kedua-dua dirinya dan temannya itu sama-sama berdengkur. Maka ini adalah alasan yang diterima. Rasulullah ﷺ pun pernah mengalami kejadian seperti ini. Baginda dan rombongan berehat setelah kepenatan dalam perjalanan dan baginda telah pesan kepada Saidina Bilal رضي الله عنه untuk mengejutkan semua orang. Akan tetapi kemudian tidak ada seorang pun perasan waktu Subuh termasuklah Bilal رضي الله عنه.
Maka ini mengajar kita yang dalam ibadah kita pun kena membuat persediaan awal. Sebagai contoh, kalau kita mahu solat berjemaah di masjid, maka kita akan menyusun jadual waktu kita dengan rapi, masa untuk kerja, tanggungjawab kepada keluarga, waktu makan dan sebagainya. Begitulah kita akan buat persediaan awal, bukannya apabila masa sudah masuk.
وَلٰكِن كَرِهَ اللَّهُ انبِعاثَهُم
tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka,
Kalimah انبِعاثَهُم berasal daripada katadasar ب ع ث yang bermaksud bangkit, bergerak. Oleh kerana mereka munafik, Allah ﷻ tidak suka pemergian mereka ikut berjihad. Mereka tidak pergi pun memang bagus kerana kalau mereka pergi, mereka akan buat kekacauan sahaja. Mereka akan mengotori iman para pejuang yang lain. Mereka akan melemahkan semangat orang mukmin yang ada.
Nanti akan disebut apakah yang golongan munafik lakukan (kerana ada juga golongan munafik yang pergi ikut sekali ke Tabuk).
فَثَبَّطَهُم
maka Allah melemahkan keinginan mereka.
Kalimah فَثَبَّطَهُم berasal daripada katadasar ث ب ط dan ia digunakan dalam ayat ini sahaja. Ia bermaksud tahan, halang. Maksudnya Allah ﷻ melemahkan semangat mereka untuk ikut serta dalam rombongan jihad. Allah ﷻ menahan mereka daripada pergi.
Memang mereka sendiri tidak mahu pergi dengan memberikan berbagai-bagai alasan. Akan tetapi sebenarnya Allah ﷻ pun tidak mahu mereka pergi. Mereka menjadi terhegeh-hegeh untuk membuat persediaan. Hendak tidak hendak sahaja buat persediaan.
Maka ini memberi sebuah lagi pengajaran yang menakutkan kepada kita iaitu jikalau Allah ﷻ tidak suka kepada kita, Allah ﷻ akan menghalang kita daripada melakukan ibadah. Kalau Allah ﷻ tidak suka dengar suara kita baca Al-Qur’an, akan ada sahaja halangan untuk kita membaca. Kalau Allah ﷻ tidak suka kita, solat sunat selepas solat fardhu pun kita tidak dapat buat! Ada sahaja perkara yang menyibukkan kita dengan perkara keduniaan yang remeh temeh. Atau, kalau ada beribadah pun, ibadah-ibadah yang bid’ah (yang tidak ada nilai). Nauzubillah min zalik, semoga kita tidak termasuk golongan ini.
Yang kita berharap adalah semoga Allah ﷻ memberikan kita minat kepada agama, senang untuk belajar, ringan untuk beribadah, benci kepada dosa seperti yang Allah ﷻ telah berikan kepada para sahabat dan disebut dalam Hujurat:7
وَلٰكِنَّ اللهَ حَبَّبَ إِلَيكُمُ الإيمٰنَ وَزَيَّنَهُ في قُلوبِكُم وَكَرَّهَ إِلَيكُمُ الكُفرَ وَالفُسوقَ وَالعِصيانَ
tetapi Allah menjadikan kamu “cinta” kepada keimanan dan menjadikan keimanan itu indah di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekafiran, kefasikan, dan kederhakaan.
Maka kalau kita suka dan ringan untuk beribadah seperti solat sunat, baca Al-Qur’an, hafal Al-Qur’an dan sebagainya, maka itu adalah nikmat yang amat-amat besar kerana bukan semua orang dapat buat perkara itu. Maknanya Allah ﷻ suka hendak menerima ibadah kita. Kerana itu antara doa yang diajar oleh Rasulullah ﷺ adalah doa Nabi Daud عليه السلام seperti di bawah:
اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِى يُبَلِّغُنِى حُبَّكَ اللَّهُمَّ اجْعَلْ حُبَّكَ أَحَبَّ إِلَىَّ مِنْ نَفْسِى وَأَهْلِى وَمِنَ الْمَاءِ الْبَارِدِ
“Ya Allah, aku mohon pada-Mu cinta-Mu dan cinta orang yang mencintai-Mu, amalan yang mengantarkanku menggapai cinta-Mu.Ya Allah, jadikan kecintaanku kepada-Mu lebih aku cintai daripada cintaku pada diriku sendiri, keluargaku, dan air dingin.”
Jami’ Tirmidzi (3490)
Status: Hasan
وَقيلَ اقعُدوا مَعَ القٰعِدينَ
dan dikatakan kepada mereka: “Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu”.
Lalu Allah ﷻ mengarahkan mereka untuk tidak ikut serta. Namun arahan ini dengan cara taqwini, bukan dengan syarak. Atau, dengan secara takdir, iaitu Allah ﷻ takdirkan mereka tidak ikut serta. Bukannya Allah ﷻ beri keizinan mereka untuk tidak pergi atau bercakap terus dengan mereka.
Maknanya tidaklah mereka diberi arahan daripada Nabi ﷺ yang mereka tidak perlu berjihad. Kerana arahan jihad tetap keluar untuk mereka. Akan tetapi Allah ﷻ campakkan dalam hati mereka, tidak ada keinginan untuk pergi jihad. Allah ﷻ jadikan mereka duduk bersama dengan orang-orang yang duduk tidak berperang (mereka yang lemah kerana ada keuzuran atau kanak-kanak dan para wanita).
Memang ada yang tidak diwajibkan jihad seperti kaum wanita, kanak-kanak dan orang yang uzur. Sedangkan puak munafik itu sihat sahaja. Namun Allah ﷻ jadikan mereka duduk dengan golongan yang dibenarkan untuk tidak serta. Maka ini sepatutnya memalukan mereka, kerana zaman dahulu kalau tidak pergi berperang, maknanya pengecut dan duduk pula bersama dengan golongan yang lemah. Maka ayat ini sebenarnya memperlekehkan mereka kerana dikatakan mereka hanya setaraf budak dan kaum wanita sahaja.
Dalam ayat ini, Allah ﷻ tidak khitab terus dengan mereka kerana Allah ﷻ marah. Allah ﷻ tidak mahu bercakap terus dengan mereka tetapi disebut dalam pihak ketiga sahaja.
Tawbah Ayat 47: Allah ﷻ menjelaskan kenapa Dia tidak suka puak munafik itu ikut serta dalam jihad. Ini adalah hikmah tidak adanya golongan munafik dalam tentera Muslim. Ramai yang tidak pergi walaupun ada juga yang terlepas dan ikut serta pergi berjihad.
لَو خَرَجوا فيكُم مّا زادوكُم إِلّا خَبالًا وَلَأَوضَعوا خِلٰلَكُم يَبغونَكُمُ الفِتنَةَ وَفيكُم سَمّٰعونَ لَهُم ۗ وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
Had they gone forth with you, they would not have increased you except in confusion, and they would have been active among you, seeking [to cause] you fitnah [i.e., chaos and dissension]. And among you are avid listeners to them. And Allah is Knowing of the wrongdoers.
(MALAY)
Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka, dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan di antara kamu; sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka. Dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim.
لَو خَرَجوا فيكُم مّا زادوكُم إِلّا خَبالًا
Jika mereka berangkat bersama-sama kamu, nescaya mereka tidak menambah kamu selain dari kerosakan belaka,
Sekiranya orang-orang munafik itu pergi juga bersama tentera Islam, mereka tidak menambahkan manfaat kecuali kerosakan sahaja. Sebab mereka bukan jiwa yang beriman. Kerana itu Allah ﷻ gunakan kalimah فيكُم (di dalam kamu) dan bukan مَعَكُم kerana mereka tidak pernah beriman lagi. Mereka bukan bersama (مع) dengan golongan mukmin. Lihatlah Allah ﷻ menggunakan kalimah yang tepat di dalam Al-Qur’an dan kita boleh mengetahui maksud tambahan kalau kita tadabbur (melihat dengan lebih mendalam) penggunaan ayatnya.
Lafaz خَبالًا bermaksud anggota badan yang tidak sihat, ada sakit. Maknanya, mereka itu bukan menambahkan kekuatan, tetapi melemahkan umat Islam adalah. Mereka akan mengadu domba, menyebarkan fitnah dan permusuhan dalam kalangan umat Islam yang pergi jihad itu.
Maka memang molek bila mereka tidak menyertai pasukan Muslim kerana mereka akan membuat onar. Mereka akan mengomel dan mengutuk macam-macam hal, contohnya. Ini akan melemahkan semangat para pejuang yang lain. Mereka tidak membantu pun tetapi mereka akan hanya mahu menyelamatkan diri mereka sahaja. Jika nampak seolah-olah pasukan Muslim akan kalah, mereka dulu yang lari ke belakang nanti.
وَلَأَوضَعوا خِلٰلَكُم يَبغونَكُمُ الفِتنَةَ
dan tentu mereka akan bergegas maju ke muka di celah-celah barisanmu, untuk mengadakan kekacauan di antara kamu;
Mereka akan memecut laju di celah-celah orang beriman. Kenapa? Mereka akan pergi ke sana ke sini, bercakap-cakap dengan puak Muslim yang lain supaya wujud fitnah dalam kalangan pasukan. Contohnya mereka mengadu kenapalah perjalanan ini jauh, kenapa keluar perang ketika berjihad, bolehkah melawan tentera Rom yang kuat itu, dan sebagainya. Ini bahaya kerana boleh melemahkan semangat pejuang Muslim yang lain.
Lafaz ‘fitnah’ yang dimaksudkan itu adalah kerosakan dan kekacauan dalam agama. Tujuan mereka adalah hendak merosakkan akidah. Lafaz أَوضَعوا berasal daripada katadasar و ض ع yang bermaksud ‘letak ke bawah’. Digunakan dalam ayat ini untuk menjelaskan bagaimana mereka menunggang kuda mereka dengan laju, di mana mereka akan menekan leher kuda itu ke bawah. Mereka buat begitu supaya kuda itu lari dengan laju. Maka ini adalah isyarat pergerakan mereka yang cepat di tengah-tengah para pejuang Muslim.
Ini adalah kerana rombongan perang itu tentu bergerak perlahan kerana ramai orang. Mereka yang munafik itu pula menaiki kuda. Maka mereka dapat bergerak dengan laju. Mereka akan pergi dari satu kumpulan ke satu kumpulan lain untuk menyebarkan fitnah mereka. Mereka akan mengeluarkan kata-kata yang tidak elok. Antaranya mereka akan merendahkan Nabi ﷺ, kutuk apa yang sedang berlaku dan sebagainya.
Contohnya, mereka mungkin berkata: “Ish, kenapalah kita kena pergi berjihad ini… kalau duduk-duduk di Madinah sahaja, bukankah senang?”. Kemudian mereka pecut ke kawasan lain pula dan bersembang dengan orang lain pula mengatakan perkara yang sama. Kata-kata sebegini boleh merendahkan motivasi mereka yang ikhlas mahu berjihad. Maka sebenarnya golongan munafik itu buat kerja syaitan bagi pihak syaitan.
وَفيكُم سَمّٰعونَ لَهُم
sedang di antara kamu ada orang-orang yang amat suka mendengarkan perkataan mereka.
Dalam kalangan Muslim ada yang suka mendengar kata-kata mereka itu. Iaitu golongan Muslim yang mudah ditipu dan terpesona dengan kata-kata manusia. Mereka pun dengarlah sahaja kerana yang datang kepada mereka pun berperawakan orang Islam juga, maka mereka sangka orang itu adalah dalam kalangan mereka juga, sedangkan mereka itu adalah munafik.
Ada lagi maksud lain, iaitu dalam kalangan munafik itu ada ‘pendengar’. Mereka yang mencuri dengar apakah yang dilakukan oleh pihak mukmin. Mereka masuk dalam kumpulan mukmin dan pasang mata, pasang telinga dan dengar apa yang dirancang oleh pihak mukmin.
Kemudian mereka akan sampaikan kepada sekutu mereka dalam kalangan munafik yang tegar. Kerana ada yang munafik tegar, langsung tidak mahu pergi jihad atau bercampur dengan mukmin yang lain. Mereka dapat maklumat daripada munafik lembut yang boleh lagi bercampur dengan pihak mukmin.
Begitu jugalah, zaman sekarang pun tentu ada orang-orang yang sebegini. Pihak yang ikhlas hendak berjuang, menegakkan sunnah ada, tetapi ada juga yang hanya datang untuk mencuri-curi dengar dan sampaikan maklumat kepada mereka yang anti-sunnah. Mereka masuk dalam kumpulan-kumpulan whatsapp pihak sunnah dan “shortcreen” kemudian sampaikan kepada teman mereka dalam kalangan anti-sunnah.
Oleh itu, maksud potongan ayat ini ada dua:
-
- Ada dalam kalangan mukmin yang mendengar dan memikirkan apa yang dikatakan oleh pihak munafik itu. Itu pun sudah tidak bagus; sepatutnya jangan dilayan mereka itu.
- Dalam kalangan Muslim, ada pihak yang menjadi mata-mata untuk sampaikan maklumat kepada musuh.
وَاللَّهُ عَليمٌ بِالظّٰلِمينَ
Dan Allah mengetahui orang-orang yang zalim.
Allah ﷻ mengetahui hati-hati mereka. Maka ada yang Allah ﷻ takdirkan untuk tidak sertai langsung rombongan jihad itu. Golongan mukmin tidak kenal mereka maka sekarang Allah ﷻ ceritakan tentang mereka dan apakah sifat-sifat mereka.
Tawbah Ayat 48: Masih lagi Allah ﷻ membuka rahsia dalam hati golongan munafik.
لَقَدِ ابتَغَوُا الفِتنَةَ مِن قَبلُ وَقَلَّبوا لَكَ الأُمورَ حَتّىٰ جاءَ الحَقُّ وَظَهَرَ أَمرُ اللَّهِ وَهُم كٰرِهونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They had already desired dissension before and had upset matters for you¹ until the truth came and the ordinance [i.e., victory] of Allah appeared, while they were averse.
- Or “turned matters related to you over [in their minds, considering how to cause you failure].”
(MALAY)
Sesungguhnya dari dahulu pun mereka telah mencari-cari fitnah dan mereka mengatur pelbagai macam tipu daya untuk (merosakkan)mu, hingga datanglah kebenaran (pertolongan Allah) dan menanglah agama Allah, padahal mereka tidak menyukainya.
لَقَدِ ابتَغَوُا الفِتنَةَ مِن قَبلُ
Sesungguhnya dari dahulu pun mereka telah mencari-cari fitnah
Allah ﷻ beritahu tentang sifat orang-orang munafik itu lagi: sebelum Perang Tabuk ini pun mereka telah cuba menabur fitnah, menimbulkan kekacauan dalam fikiran umat Islam. Mereka telah membuat banyak kerosakan dalam Madinah, antaranya mereka menuduh Aisyah رضي الله عنها telah berzina dengan lelaki lain.
Ini kita dapat tahu daripada kisah yang telah Allah ﷻ ceritakan dalam Surah Nur dan daripada pembelajaran hadith. Mereka juga telah membuat tohmahan lain-lain juga untuk melemahkan umat Islam. Mereka buat tuduhan-tuduhan seperti itu supaya menyusahkan Rasulullah ﷺ dan menimbulkan salah sangka dalam kalangan umat Islam.
Ada pendapat lain yang mengatakan bahawa yang dimaksudkan adalah tindakan mereka di dalam Perang Uhud. Apabila perang hendak berlaku, Rasulullah ﷺ telah bertanyakan pandangan umat Islam. Golongan munafik mencadangkan supaya perang dilakukan di Madinah sahaja (kerana senang mereka mahu lari perang terus masuk rumah). Akan tetapi Rasulullah ﷺ telah menerima pandangan orang-orang muda yang hendak berperang luar Madinah.
Oleh kerana tidak berpuas hati, golongan munafik telah meninggalkan medan perang. Asalnya tentera Muslim seramai seribu orang tetapi 300 daripada mereka meninggalkan perang diketuai oleh Abdullah bin Ubay. Maknanya 1/3 daripada kekuatan tentera Muslim telah hilang begitu sahaja! Ia telah menyebabkan Muslim lain pun mula goyang, malah ada yang hampir hendak ikut meninggalkan medan perang seperti disebut dalam Ali Imran:122
إِذ هَمَّت طّائِفَتانِ مِنكُم أَن تَفشَلا وَاللَّهُ وَلِيُّهُما ۗ وَعَلَى اللَّهِ فَليَتَوَكَّلِ المُؤمِنونَ
(Ingatlah) ketika dua puak daripada kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.
وَقَلَّبوا لَكَ الأُمورَ
dan mereka mengatur pelbagai macam tipu daya untuk menyusahkanmu,
Mreka telah mengatur berbagai-bagai helah untuk menymemusahkan Nabi ﷺ dan merosakkan keadaan umat Islam. Mereka tidak suka Nabi ﷺ dan mereka buat pelbagai rancangan untuk menyusahkan baginda. Sampaikan kalimah yang digunakan adalah قلبوا daripada katadasar ق ل ب yang bermaksud berbolak balik, tunggang terbalik, dan selalu digunakan untuk hati/jantung kerana hati/jantung itu berbolak balik.
Mereka membolak balikkan kebenaran. Yang benar menjadi buruk dan yang buruk menjadi baik. Contohnya mereka kata sebab keluar berperang luar Madinahlah yang menyebabkan umat Islam kalah.
Mereka ini musuh dalam selimut sebenarnya. Sampaikan mereka pernah buat perancangan untuk menghalau keluar golongan mukmin dari Madinah. Mereka telah bergabung dengan Yahudi untuk menjatuhkan Islam dari dalam. Mereka beri maklumat kepada musuh, dan sebagainya.
حَتّىٰ جاءَ الحَقُّ
hingga datanglah kebenaran
Mereka cuba membuat onar, sampailah Allah ﷻ datangkan kebenaran – janji Allah ﷻ. Sebagai contoh, Allah ﷻ telah membersihkan nama Aisyah رضي الله عنها daripada tohmahan mereka itu. Allah ﷻ juga telah memberikan kemenangan kepada umat Islam walaupun berbagai usaha telah dilakukan oleh golongan munafik itu. Allah ﷻ tetap membantu umat Islam yang mukmin, yang benar-benar beriman.
وَظَهَرَ أَمرُ اللَّهِ
dan menanglah agama Allah,
Sehingga zahirlah kehendak Allah ﷻ untuk beri kemenangan kepada umat Islam. Allah ﷻ buat seperti mana yang Allah ﷻ kehendaki dan tidak ada sesiapa yang boleh menghalang. Segala usaha golongan munafik atau musuh itu tidak berjaya. Islam tetap juga berkembang dan semakin ramai yang masuk Islam. Maka kita jangan takut sangat usaha untuk menjatuhkan Islam kerana Allah ﷻ tetap memberikan kemenangan kepada Islam, agama-Nya.
Di awal Islam di Madinah lagi, Allah ﷻ telah memberikan kemenangan kepada umat Islam di Perang Badr seperti Allah ﷻ sebut dalam Ali Imran:123.
وَلَقَد نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدرٍ وَأَنتُم أَذِلَّةٌ
Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah
Ini telah menyebabkan puak-puak munafik mula nampak bahawa Islam ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dijatuhkan. Akan tetapi mereka tetap juga berusaha dan Allah ﷻ sekarang suruh kita berhati-hati dengan mereka.
وَهُم كٰرِهونَ
padahal mereka tidak menyukainya.
Allah ﷻ menzahirkan kemenangan Islam, walaupun golongan munafik itu tentu tidak suka. Kemenangan demi kemenangan diberikan kepada umat Islam, dan agama Islam telah tersebar luas ke daerah-daerah dan kawasan-kawasan lain.
Tentunya mereka tidak suka begitu. Mereka tidak suka rancangan mereka tidak berjaya, tetapi Allah ﷻ tidak peduli dengan rancangan mereka.
ALASAN PALSU (2) GODAAN
Tawbah Ayat 49: Ini adalah ayat zajrun. Allah ﷻ menceritakan salah satu daripada alasan yang mereka berikan kenapa tidak menyertai Perang Tabuk (dan mana-mana jihad pun). Ada dalam kalangan munafik itu yang berani meminta izin kepada Nabi ﷺ untuk tidak menyertai peperangan dengan alasan yang bodoh. Dalam riwayat ada disebutkan yang namanya adalah Ibn Qais.
وَمِنهُم مَّن يَقولُ ائذَن لّي وَلا تَفتِنّي ۚ أَلا فِي الفِتنَةِ سَقَطوا ۗ وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحيطَةٌ بِالكٰفِرينَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
And among them is he who says, “Permit me [to remain at home] and do not put me to trial.” Unquestionably, into trial they have fallen.¹ And indeed, Hell will encompass the disbelievers.
- By avoiding their obligation, they fell into destruction.
(MALAY)
Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan aku terjerumus dalam fitnah”. Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah. Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir.
وَمِنهُم مَّن يَقولُ ائذَن لّي وَلا تَفتِنّي
Di antara mereka ada orang yang berkata: “Berilah saya keizinan (tidak pergi berperang) dan janganlah kamu menjadikan aku terjerumus dalam fitnah”.
Ini adalah kisah seorang munafik yang bernama Jadd ibnu Qais. Dia telah meminta izin kepada Nabi ﷺ dan minta Nabi ﷺ jangan masukkan dia dalam fitnah (ujian). Dia kata begitu kerana dia dengar yang wanita-wanita kafir itu cantik-cantik belaka dan kononnya dia takut dia rosak akidah kerana tertarik dengan wanita-wanita itu nanti dan dia pun masih muda. Dia kata dia tidak boleh tahan dengan wanita cantik. Itulah sebabnya dia minta dibenarkan tidak menyertai ekspedisi ke Tabuk itu. Lalu Nabi ﷺ telah beri izin kepadanya. Ibn Kathir رحمه الله meriwayatkan kisah ini di dalam tafsirnya:
Muhammad ibnu Ishaq telah meriwayatkan daripada Az-Zuhri, Yazid ibnu Rauman, Abdullah ibnu Abu Bakar. Asim ibnu Qatadah dan lain-lainnya. Mereka mengatakan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah ﷺ sedang bersiap-siap untuk berangkat berjihad, baginda bersabda kepada Jadd ibnu Qais, saudara lelaki Bani Salamah,
هل لك يا جد العام في جلاد بني الأصفر؟) فقال: يا رسول اللّه أو تأذن لي ولا تفتني، فواللّه لقد عرف قومي ما رجل أشد عجباً بالنساء مني، وإني أخشى إن رأيت نساء بني الأصفر أن لا أصبر عنهن، فأعرض عنه رسول اللّه صلى اللّه عليه وسلم وقال: (قد أذنت لك)، ففي الجد بن قيس نزلت هذه
“Hai Jadd, mengapa tahun ini kamu tidak berangkat untuk memerangi Banil Asfar (orang-orang Romawi)?” Jadd menjawab, “Wahai Rasulullah, berilah saya izin untuk tidak berangkat, dan janganlah engkau jerumuskan diriku ke dalam fitnah. Demi Allah, sesungguhnya semua kaumku telah mengetahui bahawa tidak ada seorang lelaki pun yang lebih suka kepada wanita selain diriku. Dan sesungguhnya aku merasa khuatir bila melihat kaum wanita Banil Asfar, maka aku tidak dapat mengekang diriku lagi daripada mereka.” Maka Rasulullah ﷺ berpaling daripadanya dan bersabda, “Aku memberi izin kepadamu untuk tidak berangkat.” Sehubungan dengan peristiwa Al-Jadd ibnu Qais inilah diturunkan ayat ini.
[Ibnu Ishaq meriwayatkan secara muallaq, Ibnu Hisyâm, 4/216- 217; at-Thabari, at-tafsîr, 14/287-288]
Ini memang alasan yang bongok sekali. Ia seumpama kalau ada orang kata dia tidak mahu pergi solat berjemaah di masjid kerana takut menjadi riak! Atau ada yang kata dia tidak pergi kelas pengajian kerana nanti kena tanya, atau nanti jadi pandai sangat, susah! Itu semua alasan mengarut sahaja. Yang sebenarnya mereka tidak mahu pergi.
أَلا فِي الفِتنَةِ سَقَطوا
Ketahuilah bahawa mereka telah terjerumus ke dalam fitnah.
Allah ﷻ beritahu sebenarnya mereka telah jatuh dalam fitnah pun kerana derhaka kepada suruhan Nabi ﷺ kepada jihad. Fitnah mereka adalah kerana kerugian besar kerana tidak ikut serta dengan Rasulullah ﷺ dan golongan mukmin untuk berperang. Memang mereka telah lama jatuh dalam fitnah, bukan akan jatuh. Ini adalah kerana iman mereka yang lemah.
وَإِنَّ جَهَنَّمَ لَمُحيطَةٌ بِالكٰفِرينَ
Dan sesungguhnya Jahannam itu benar-benar meliputi orang-orang yang kafir.
Allah ﷻ beritahu yang di akhirat nanti mereka akan masuk Neraka Jahanam. Neraka itu akan mengepung mereka, mereka tidak boleh lari dan tidak boleh pergi ke mana-mana lagi.
Lihatlah dalam ayat ini, Allah ﷻ panggil mereka ‘kafir’. Sebelum ini, mereka masih lagi termasuk dalam golongan Muslim kerana tidak jelas kekafiran mereka. Oleh itu selepas ayat ini, hanya ada orang mukmin dan orang kafir. Sama ada kamu mukmin atau kamu kafir, itu sahaja dan tidak ada pertengahan. Ayat ini telah membuka apa yang ada dalam hati mereka – kufur kepada Allah ﷻ dan agama. Jelas di sini bahawa golongan munafik itu sebenarnya kafir.
MEREKA YANG TINGGAL DI BELAKANG
Tawbah Ayat 50: Ayat Syikayah.
إِن تُصِبكَ حَسَنَةٌ تَسُؤهُم ۖ وَإِن تُصِبكَ مُصيبَةٌ يَقولوا قَد أَخَذنا أَمرَنا مِن قَبلُ وَيَتَوَلَّوا وَهُم فَرِحونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
If good befalls you, it distresses them; but if disaster strikes you, they say, “We took our matter [in hand] before,”¹ and turn away while they are rejoicing.
- The hypocrites claim to have protected themselves by remaining behind.
(MALAY)
Jika kamu mendapat suatu kebaikan, mereka menjadi tidak senang kerananya; dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami (tidak pergi perang)” dan mereka berpaling dengan rasa gembira.
إِن تُصِبكَ حَسَنَةٌ تَسُؤهُم
Jika kamu mendapat suatu kebaikan, mereka menjadi tidak senang kerananya;
Begitu teruknya golongan munafik itu, sekiranya kebaikan yang diperolehi oleh orang mukmin, mereka pula yang susah hati, tidak senang duduk. Mereka tidak suka Islam berjaya seperti menang dalam perang, ramai masuk Islam dan sebagainya, itu semua menyesakkan hati mereka. Mereka benci kepada Islam sampaikan kalau Islam berkembang, telah menyebabkan hati mereka resah dan sesak.
Bencinya mereka kepada orang mukmin dan Islam, sampaikan apabila Muslim pergi ke Mekah untuk mengerjakan Umrah pertama kali, mereka sudah gembira. Ini kerana mereka sangka tentunya umat Islam itu akan dibunuh semuanya oleh puak Mekah kerana orang Islam datang tanpa membawa senjata berat. Namun apabila umat Islam pulang dalam keadaan selamat, mereka marah sungguh.
وَإِن تُصِبكَ مُصيبَةٌ يَقولوا قَد أَخَذنا أَمرَنا مِن قَبلُ
dan jika kamu ditimpa oleh sesuatu bencana, mereka berkata: “Sesungguhnya kami sebelumnya telah memperhatikan urusan kami”
Jikalau puak mukmin mendapat musibah, mereka gembira. Sebagai contoh, jika mukmin kalah perang, mereka akan suka. Mereka kata: “sesungguhnya kami dahulu sudah ambil keputusan untuk berjaga-jaga dalam urusan kami dengan tidak menyertai jihad. Kerana kalau kami pergi, kami pun akan mati juga. Nasib baiklah kami tidak pergi….”
Oleh itu, mereka bangga kerana tidak terkena musibah. Ini semua adalah dalam fahaman mereka yang sesat kerana tidak percaya kepada janji Allah ﷻ.
وَيَتَوَلَّوا وَهُم فَرِحونَ
dan mereka berpaling dengan rasa gembira.
Selepas bercakap begitu, mereka berpaling. Mereka berpaling dengan berasa gembira sangat kerana musibah telah menimpa umat Islam. Mereka berpaling dengan perasaan puas hati. Mereka gembira namun mereka tidak sedar yang sebenarnya mereka menjerumuskan diri mereka ke lembah kehinaan.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 29 Mei 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan


