BILAKAH HARI KIAMAT
A’raf Ayat 187: Sebelum ini disebut tentang golongan yang sesat. Sekarang kita dibawa untuk kisah permulaan azab di akhirat. Kita akan melihat perbincangan tentang Kiamat dahulu.
يَسئلونَكَ عَنِ السّاعَةِ أَيّانَ مُرسٰها ۖ قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ رَبّي ۖ لا يُجَلّيها لِوَقتِها إِلّا هُوَ ۚ ثَقُلَت فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ ۚ لا تَأتيكُم إِلّا بَغتَةً ۗ يَسئلونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنها ۖ قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ اللَّهِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ
(SAHEEH INTERNATIONAL)
They ask you, [O Muḥammad], about the Hour: when is its arrival?¹ Say, “Its knowledge is only with my Lord. None will reveal its time except Him. It lays heavily² upon the heavens and the earth. It will not come upon you except unexpectedly.” They ask you as if you are familiar with it. Say, “Its knowledge is only with Allāh, but most of the people do not know.”
- Literally, “resting” or “establishment.”
- i.e., it is a source of concern, worry or fear.
MALAY
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. Hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu hanyalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
يَسئَلونَكَ عَنِ السّاعَةِ أَيّانَ مُرسٰها
Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?”
Ayat ini berkenaan Dakwa Ketiga. Ulangkaji:
Dakwa Pertama – Kena berani menyampaikan wahyu;
Dakwa Kedua – Kena ikut syariat Allah ﷻ;
Dakwa Ketiga – Hanya Allah ﷻ sahaja yang mempunyai sifat yang sempurna, maka kena seru dan buat ibadat kepada Allah ﷻ sahaja.
Salah satu perkara yang selalu ditanya oleh Musyrikin Mekah kepada Nabi Muhammad ﷺ adalah ‘bilakah akan terjadi Hari Kiamat (السّاعَةِ).’ Orang Melayu menggunakan kalimah ساعَةِ ini sebagai saat, akan tetapi di dalam Al-Qur’an ia bermaksud waktu Kiamat berlaku. Mereka tanya kepada baginda kerana Nabi ﷺ banyak memberitahu dan mengingatkan mereka tentang akhirat dan tentunya permulaan akhirat adalah dengan terjadi hari kiamat. Oleh kerana itu, mereka tanya kepada Nabi ﷺ, bilakah akan terjadi perkara itu? Mereka tanya Nabi ﷺ dalam perkara yang bukan hak Nabi untuk beritahu. Ini kerana memang Nabi ﷺ tidak tahu pun bila akan terjadinya hari kiamat itu.
Soalan: Kenapa Musyrikin Mekah banyak bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang Hari Kiamat? Kenapa sekarang masyarakat kita tidak bertanya? Ini kerana Rasulullah ﷺ sentiasa mengingatkan tentang Kiamat dan Hari Akhirat maka kerana itu Musyrikin Mekah sudah naik bosan, maka mereka hendaklah tanya bila Kiamat yang kamu asyik cakap sahaja itu ya Muhammad? Sedangkan ustaz-ustaz kita sekarang jarang sebut tentang Kiamat, sebab itu orang awam tidak bertanya. Seolah-olah Kiamat tidak berlaku pula. Mereka suka cerita benda lawak-lawak sahaja dan tidak mahu jemaah takut dengan isu Akhirat.
Akan tetapi orang yang mesra dengan Al-Qur’an akan sentiasa dekat dengan Kiamat dan Akhirat kerana selalu diulang-ulang di dalam Al-Qur’an tentangnya. Ia adalah perkara yang penting kerana itu Allah ﷻ banyak mengingatkan kita. Tidak ada satu pun halaman daripada Al-Qur’an yang tidak menyebut tentangnya.
Lafaz مُرساها berasal daripada katadasar ر س و yang bermaksud ‘tetap’. Lafaz مُرساها selalunya digunakan apabila dipasakkan kayu pasak kepada khemah. Maka, lafaz مُرساها dalam ayat ini sebagai isyarat kepada penetapan. Iaitu, bilakah Kiamat itu telah ditetapkan? Bilakah yang pasti ia akan terjadi?
Ayat ini menceritakan semula soalan yang ditanya oleh Musyrikin Mekah. Namun sebenarnya ada juga para sahabat yang bertanya seperti disebut di dalam sebuah hadith,
Daripada [Anas رضي الله عنه] bahawa ada seseorang yang bertanya kepada Nabi ﷺ tentang hari kiamat. Katanya; “Bila terjadinya hari kiamat?”. Baginda bertanya kembali kepada orang itu; “Apa yang telah kamu siapkan untuk menghadapinya?”. Orang itu menjawab; “Tidak ada. Kecuali, aku mencintai Allah dan Rasul-Nya ﷺ”. Maka baginda berkata: “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai”. Anas berkata; “Kami belum pernah bergembira atas sesuatu seperti gembiranya kami dengan sabda Nabi ﷺ, iaitu: “Kamu akan bersama orang yang kamu cintai”. Selanjutnya Anas berkata; “Maka aku mencintai Nabi ﷺ, Abu Bakr, ‘Umar dan aku berharap dapat berkumpul bersama mereka disebabkan kecintaanku kepada mereka sekalipun aku tidak memiliki amal seperti amal mereka”.
(Sahih Bukhari 3412)
Di dalam sebuah hadith yang lain, juga riwayat Anas, dalam hadith yang lebih kurang bunyinya,
Daripada [Anas] bahawa seorang laki-laki daripada penduduk kampung datang kepada Nabi ﷺseraya berkata; “Wahai Rasulullah, bilakah hari Kiamat akan terjadi?” Baginda menjawab: “Celaka kamu, apa yang telah kau persiapkan?” Laki-laki itu berkata; “Aku belum mempersiapkan bekal kecuali aku hanya mencintai Allah dan Rasul-Nya.” Baginda bersabda: “Kalau begitu, kamu bersama dengan orang yang kamu cintai.” Maka kami pun berkata; “Apakah kami juga seperti itu?” Baginda menjawab: “Ya.” Maka pada hari itu kami sangat bahagia, tiba-tiba pelayan Mughirah lalu -sedangkan dia termasuk teman dekatku- baginda lalu bersabda: “Jika (ajalnya) ini diakhirkan, pasti dia tidak akan mendapati penyakit tua sampai kiamat tiba.”
(Sahih Bukhari 7008)
Cuma di dalam hadith ini ditambah maklumat siapakah lelaki yang bertanya itu. Dikatakan dia daripada الْبَادِيَةِ iaitu orang Badwi. Mereka ini duduk di padang pasir, rumahnya khemah kulit sahaja dan mereka berpindah randah. Mereka jauh dari pekan dan tamadun. Maka ilmu mereka kurang, gasar orangnya. Mereka jenis bertanya tanpa befikir panjang. Berlainan dengan cara para sahabat yang sudah biasa bergaul dengan Rasulullah ﷺ yang tinggal di bandar. Para sahabat sudah tahu jangan banyak bertanya kerana itu akan menyusahkan mereka sahaja. Mereka juga sudah pernah ditegur dalam Maidah: 101
يٰأَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنوا لا تَسئلوا عَن أَشياءَ إِن تُبدَ لَكُم تَسُؤكُم
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menanyakan (kepada Nabimu) hal-hal yang jika diterangkan kepadamu akan menyusahkan kamu
Mereka telah ditegur kerana sudah mula bertanya soalan merapu seperti ‘siapa ayah aku?’, ‘adakah ayah aku di syurga atau neraka?’ Itu soalan-soalan tidak penting dan membuang masa ditanya sahaja. Maka para sahabat selepas itu banyak mendiamkan diri. Namun mereka amat suka kalau ada orang Badwi bertanya soalan kerana mereka akan mendapat ilmu baru daripada soalan-soalan orang Badwi itu.
Apakah tidak boleh bertanya? Tentu boleh, malah Rasulullah ﷺ mengajar kita untuk keluar daripada kejahilan dengan bertanya:
فَإِنَّمَا شِفَاءُ الْعِيِّ السُّؤَالُ
Sesungguhnya ubat kepada kejahilan adalah bertanya (kerana kejahilan itu seumpama penyakit)
(Sunan Abu Dawud, Sunan Ibn Majah & Musnad Ahmad)

Malah di dalam Al-Qur’an pun kita diajar untuk bertanya kepada orang yang tahu seperti disebut dalam Nahl:43 dan Anbiya’:7
فَاسأَلوا أَهلَ الذِّكرِ إِن كُنتُم لا تَعلَمونَ
maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui
Cuma kena ingat bahawa bertanya bukanlah cara belajar. Kita kena belajar dahulu dan kemudian tanya perkara yang kita tidak tahu daripada apa yang kita belajar itu. Bukannya tanya, tanya dan tanya tetapi belajarnya tidak. Maka keluarlah soalan yang tidak patut seperti, “Ustaz boleh ceritakan tentang syurga dan neraka?”. Alahai, soalan pendek tetapi bukankah topik itu amat besar? Takkan ustaz itu kena cerita dari mula sampai habis? Sepatutnya dia belajar dahulu, kemudian tanya mana yang tidak faham.
Atau ada juga soalan daripada apa yang mereka lihat di medsos. Semua yang lalu di medsos mereka tanya, siang dan malam, pagi dan petang.
Ustaz, betul ke macam ni?
Ustaz, dia buat macam ini boleh ke?
Ustaz, apa pendapat ustaz tentang video ini?
Ustaz, cuba check tulisan dia ini ustaz…
Ustaz, kalau saya buat macam ini boleh tak?
Ustaz, ustaz, ustaz….
Janganlah begitu, ustaz anda bukannya kaunter pertanyaan, dan bukanlah robot ChatGPT yang mengeluarkan segala jawapan di dalam dunia ini. Itu belum lagi terpaksa melayan orang yang suka bertanya serta mahukan jawapan segera pada waktu itu juga. Terdapat juga yang jenis bertanya, kemudian apabila diberi jawapan dia berasa tidak puas hati pula (tapi ustaz, ada ustaz lain kata boleh buat……). Ini semua adalah kerana mentaliti Badwi seperti di dalam hadith di atas, mentaliti tidak ada tamadun, orang gasar, malas belajar. Dia hanya hendak tahu benda yang dia hendak tahu sahaja.
Sedangkan kalau dia belajar, dia akan dapat benda yang dia PATUT tahu. Teringat satu kisah yang disampaikan oleh Maulana Asri tentang seorang pelajar yang asyik bertanya di dalam kelas. Setelah sekian lama, Maulana perasan yang dia sudah tidak bertanya lagi. Maka Maulana tanya dia kenapa sudah tidak tanya soalan? Dia cakap tidak perlu bertanya kerana dia perasan nanti di kelas-kelas di hadapan nanti akan ada jawapannya. Nah itulah kelebihan belajar, di mana anda akan dapat jawapannya sendiri.
قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ رَبّي
Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku,
Ini berkenaan dengan Dakwa Ketiga – Allah ﷻ sahaja yang ada sifat sempurna, dan salah satunya mengetahui bilakah terjadinya Hari Kiamat itu. Hanya Allah ﷻ sahaja yang ada maklumat ini dan tidak ada makhluk mana-mana pun yang tahu, termasuk para malaikat yang paling tinggi pun. Maka Nabi ﷺ disuruh sahaja untuk beritahu yang maklumat itu hanya ada pada Allah ﷻ, bukan di sisi baginda.
Cuma di sini disebut عِندَ رَبّي kerana Allah ﷻ hendak menekankan sifat Rabb yang mencipta, mengurus dan memelihara. Maka Dia sahaja yang tahu bilakah Kiamat itu kerana Dia yang mengurus.
لا يُجَلّيها لِوَقتِها إِلّا هُوَ
tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya waktunya melainkan Dia.
Ini adalah satu penekanan. Allah ﷻ tidak menzahirkan, tidak menjelaskan kepada sesiapa pun tentang tarikh bila berlakunya Kiamat itu. Kalimah يُجَلّيها berasal daripada katadasar ج ل ل yang bermaksud dijadikan jelas, dimaklumkan, didedahkan. Tidak mungkin sesiapa pun yang tahu maklumat itu, termasuk para malaikat yang paling dekat dengan Allah ﷻ pun.
Maka, tidaklah malu kalau kita beritahu yang kita tidak ada maklumat itu. Rasulullah ﷺ pun tidak perlu malu untuk beritahu yang baginda tidak tahu. Tidak jatuh martabat atau pangkat kenabian baginda kerana tidak tahu. Ini kerana memang tidak ada sesiapa pun yang tahu kecuali Allah ﷻ. Masalahnya Musyrikin Mekah itu sangka Nabi Muhammad ﷺ tahu dan sorok maklumat itu.
Nabi Muhammad ﷺ memang tidak tahu masanya yang tepat akan tetapi baginda telah dimaklumkan akan tanda-tanda kedatangannya. Baginda telah sampaikan kepada kitav sebagaimana sabdanya:
إِنَّهَا لَنْ تَقُومَ حَتَّى تَرَوْنَ قَبْلَهَا عَشْرَ آيَاتٍ – فَذَكَرَ – الدُّخَانَ، وَالدَّجَّالَ، وَالدَّابَّةَ، وَطُلُوعَ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَنُزُولَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَيَأَجُوجَ وَمَأْجُوجَ، وَثَلَاثَةَ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ، وَآخِرُ ذَلِكَ نَارٌ تَخْرُجُ مِنَ الْيَمَنِ، تَطْرُدُ النَّاسَ إِلَى مَحْشَرِهِمْ
“Sesungguhnya ia (hari Kiamat) tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelum daripadanya sepuluh tanda”. “Baginda ﷺ menyebut (tanda-tanda tersebut): Asap, Dajjal, al-Dabah, terbitnya matahari dari barat, turunnya Nabi Isa anak kepada Maryam, Ya’juj dan Ma’juj dan tiga gerhana iaitu satu gerhana di Timur, satu gerhana di Barat dan satu lagi gerhana di rantau atau jazirah Arab. Seterusnya, yang terakhir adalah keluarnya api dari Yaman yang menghalau manusia ke Mahsyar mereka”.
(Riwayat Muslim (2901))
Tidak perlu manusia tahu bila Kiamat itu kerana bukan ada kebaikan pun padanya. Pertama dia akan menjadi takut kerana asyik teringat Kiamat (atau bila dia akan mati), keduanya dia akan menangguh taubat dan beramal sehingga ke hujung waktu, ketiganya dia mungkin buat tidak kisah pun seperti disebut dalam Yaasin: 49
ما يَنظُرونَ إِلّا صَيحَةً واحِدَةً تَأخُذُهُم وَهُم يَخِصِّمونَ
Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan saja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar.
Iaitu mereka tetap juga membuang masa bertengkar sana sini. Seperti sekaranglah juga, sudah tahu kita semua akan mati, akan menghadapi Kiamat, tetapi masih sibuk bertengkar tentang kehidupan, malah tentang agama. Pihak sini kutuk pihak sana, pihak sana kutuk pihak sini, situasi yang amat merimaskan. Lihatlah sahaja dalam medsos itu memang memalukan kerana ramainya bercakap tanpa ilmu, tetapi mengikut perasaan sahaja.
ثَقُلَت فِي السَّمٰوٰتِ وَالأَرضِ
Hari kiamat itu amatlah berat (bagi makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi;
Amatlah berat keadaan langit dan bumi untuk menghadapi Kiamat. Lafaz ثَقُلَت biasanya digunakan kepada wanita yang mengandung dan hendak melahirkan anaknya, tinggal tunggu masa sahaja.
Begitulah juga dengan Kiamat nanti. Kejadian Kiamat itu menunggu masa sahaja, dan segala keperluan untuk Kiamat itu Allah ﷻ sudah sediakan di langit dan di bumi. Langit dan bumi sedang menanggung makhluk di dalamnya dan sebagaimana wanita mengandung sarat menanggung anaknya itu, beratlah juga langit dan bumi menanggung tanggungjawab mereka.
Ia juga bermaksud, apabila kiamat itu datang, ia adalah amat berat walaupun kepada langit dan bumi. Kalau mereka pun berasa berat dengan Kiamat itu, maka apatah lagi kepada kita? Memang menakutkan kalau kita baca ayat-ayat tentang kejadian Kiamat itu.
Satu lagi maksud, ia adalah satu rahsia yang amat berat yang perlu dihadapi, ditanggung oleh semua makhluk termasuklah langit dan bumi sebab tidak tahu bila ia akan berlaku. Terutama bagi orang beriman yang prihatin tentang Kiamat kerana mereka tidak tahu mereka selamat ataupun tidak. Apabila kita baca ayat-ayat tentang Akhirat, sendat rasanya dada kita. Ini seperti disebut dalam Shura: 17-18
وَما يُدريكَ لَعَلَّ السّاعَةَ قَريبٌ
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? Boleh jadi hari kiamat itu sudah hampir (masa datangnya).
يَستَعجِلُ بِهَا الَّذينَ لا يُؤمِنونَ بِها ۖ وَالَّذينَ ءآمَنوا مُشفِقونَ مِنها وَيَعلَمونَ أَنَّهَا الحَقُّ ۗ أَلا إِنَّ الَّذينَ يُمارونَ فِي السّاعَةِ لَفي ضَلٰلٍ بَعيدٍ
Orang-orang yang tidak beriman kepada hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.
Ia berat kerana ia menakutkan, boleh terjadi bila-bila masa. Memang tujuannya kerana Allah ﷻ hendak kita takut tentangnya. Inilah namanya ujian. Kalau kita sudah tahu, tidaklah ada hikmah ujian itu. Akan tetapi orang yang jahil tidak kisah pun, mereka tidak takut pun, kerana mereka memang sudah ditakdirkan jadi ahli neraka!
لا تَأتيكُم إِلّا بَغتَةً
ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”
Inilah maklumat yang menakutkan kita: Kiamat tidak datang melainkan dengan tiba-tiba. Apabila ia hendak datang, ia tidak beritahu sebelum itu yang ia akan datang. Tiba-tiba sahaja sudah muncul sewaktu manusia tidak teringat pun tentang Kiamat itu.
Cuma ada disebut dalam hadith, diberitahu yang kiamat hanya berlaku kepada orang kafir sahaja. Waktu itu hanya ada orang kafir sahaja yang hidup kerana orang beriman telah dimatikan dahulu dengan sejenis angin lembut.
ثُمَّ يَبْعَثُ اللهُ رِيحًا كَرِيحِ الْمِسْكِ مَسُّهَا مَسُّ الْحَرِيرِ، فَلَا تَتْرُكُ نَفْسًا فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ حَبَّةٍ مِنَ الْإِيمَانِ إِلَّا قَبَضَتْهُ، ثُمَّ يَبْقَى شِرَارُ النَّاسِ عَلَيْهِمْ تَقُومُ السَّاعَةُ
“Kemudian Allah mengirim angin, seperti semerbak minyak wangi, sangat lembut rasanya seperti menyentuh sutera. Tidak ada satu pun jiwa yang di dalam hatinya terselit iman sebesar biji, kecuali angin itu akan mematikannya. Kemudian tinggal tersisa manusia-manusia paling jelek. Di tengah merekalah, kiamat terjadi.
(Sahih Muslim 1942)
Ini adalah kerana Kiamat itu amat berat sampaikan Allah ﷻ tidak mahu ada orang beriman yang merasainya. Walaupun begitu, kita tahu yang Allah ﷻ itu maha berkuasa. Salah satu faham kita tentang kuasa Allah ﷻ ini, Allah ﷻ berhak dan boleh sahaja untuk buat apa sahaja yang Dia kehendaki, termasuk menjadikan Kiamat itu bila-bila masa sahaja. Allah ﷻ tidak tertakluk dengan apa-apa undang-undang pun.
Kita tidak tahu bilakah Kiamat itu, dan kita tidak tahu adakah kita sempat menyaksikannya atau tidak. Akan tetapi ada satu Kiamat yang kita pasti akan hadapi iaitu dipanggil Kiamat Kecil. Itulah kematian kita. Ini pasti akan berlaku. Ia juga berlaku secara tiba-tiba kerana kita tidak tahu bila ia akan berlaku. Ada orang sihat wal afiat tetapi tiba-tiba mati dalam kemalangan. Keluar pergi kerja pagi hari dan tidak balik-balik ke rumah.
Ini biasa sahaja sebenarnya. Yang menakutkan lagi adalah kalau kita tidak tahu menahu tentang Al-Qur’an dan tentang agama. Maka sia-sialah kehidupan di dunia dan bila sedar daripada kematian itu, ia amat menakutkan kerana nasib kita memang amat malang kalau tidak tahu dan mengamalkan ajaran Al-Qur’an.
يَسئَلونَكَ كَأَنَّكَ حَفِيٌّ عَنها
Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau bersungguh-sungguh hendak mengetahuinya.
Musyrikin Mekah itu tanya dan tanya kepada Nabi Muhammad ﷺ berkali-kali tentang bila kejadian Kiamat itu, seolah-olah Nabi ﷺ ada maklumat itu. Atau bersungguh-sungguh hendak mengetahuinya. Ini kerana kalimah حَفِيٌّ berasal daripada katadasar ح ف ي yang bermaksud kenal, beriya-iya, berusaha bersungguh-sungguh, bertanya bersungguh-sungguh tentang sesuatu, bersungguh-sungguh mencari sesuatu. Maka kalimah حَفِيٌّ bermaksud seseorang yang tahu setelah mengkaji untuk mendapatkan maklumat. Maknanya mereka bertanya seolah-olah Nabi ﷺ pun bersungguh hendak tahu tentang bila Kiamat seperti mereka dan sentiasa bertanya Allah ﷻ tentangnya. Seolah-olah baginda sudah tahu tentang waktunya.
Sedangkan baginda tidak pernah pun kata yang baginda bilakah ia akan terjadi. Sebenarnya, mereka tanya pun untuk persenda Nabi ﷺ sahaja, bukan untuk betul-betul tahu pun, kerana mereka tidak percaya kepada kejadian itu.
Al-Qur’an mempunyai segala maklumat yang diperlukan untuk kita. Sememangnya tidak ada diberitahu bilakah Kiamat akan terjadi, maka ia bukanlah tarikh yang kita perlu ketahui. Ini kerana kalau perlu, Allah ﷻ sudah beritahu kita. Akan tetapi yang ada banyak disebut dalam Al-Qur’an adalah tentang persiapan untuk menghadapi hari kiamat. Maka, itulah perkara yang lebih penting untuk diketahui; bukan bila hari Kiamat itu, tetapi apa persediaan kamu?
قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ اللَّهِ
Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu hanyalah di sisi Allah,
Allah ﷻ ulang lagi suruh Nabi ﷺ beri jawapan yang sama: hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu bilakah terjadi Kiamat. Maka jangan sibuk lagi hendak tanya kepada sesiapa pun, termasuk kepada Nabi Muhammad ﷺ. Allah ﷻ di dalam rahmat-Nya menjadikan maklumat ini rahsia yang hanya Dia sahaja ketahui.
Ini kerana sekiranya manusia tahu, mereka akan menjadi susah hati pula; atau mereka akan mengejek kalau waktunya terlalu lama, sampai manusia tidak mengambil pusing tentangnya. Jika kita tahu bila kita mati pun tidak senang duduk, bukan? Atau kita akan menangguhkan beramal baik tunggu sampai dekat hendak mati. Kalau begitu, rosakkan kehidupan manusia.
وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَعلَمونَ
akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
Allah ﷻ sebut yang kebanyakan manusia tidak tahu. Tidak tahu apa?
1. Mereka tidak tahu yang ilmu itu hanya ada pada Allah ﷻ sahaja. Mereka tidak berpuas hati dengan jawapan ini dan mereka sibuk mencari-cari dan bertanya bilakah ia akan berlaku.
Sampai ada ustaz-ustaz di negara kita pun ada yang cuba mengagak bilakah akan terjadinya Kiamat sedangkan jelas dalam Al-Qur’an yang hanya Allah ﷻ sahaja yang tahu. Mereka pun mulakan buat kira-kira begitu dan begini untuk berceramah mengatakan Kiamat akan terjadi bila dan bila. Hasilnya maka terngangalah mulut para hadirin di masjid/surau. Namun maklumat itu bukannya daripada dalil yang sahih. Lalu bagaimana mereka boleh membuat anggaran bilakah kiamat akan terjadi? Mereka tidak belajar Al-Qur’an kah?
Pernah sekali Malaikat Jibril عليه السلام datang menyerupai seorang Arab Badwi untuk mengajarkan kepada manusia perkara agama mereka, lalu beliau duduk di hadapan Rasulullah ﷺ seperti duduknya orang yang mahu bertanya, kemudian memohon petunjuk. Maka Jibril عليه السلام bertanya kepada Nabi ﷺ tentang Islam, lalu tentang iman dan ihsan, kemudian beliau bertanya, “Bilakah hari kiamat itu?” Maka Rasulullah ﷺ menjawabnya melalui sabdanya:
“مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ”
Orang yang ditanya mengenainya tidaklah lebih mengetahui daripada yang bertanya.
Dengan kata lain, aku bukanlah orang yang lebih mengetahui tentangnya daripada engkau; dan tidak ada seorang pun yang lebih mengetahui tentangnya daripada orang lain. Kemudian Nabi ﷺ membacakan firman-Nya: Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang hari kiamat. (Luqman: 34), hingga akhir ayat.
2. Yang keduanya, ramai manusia tidak tahu untuk membuat persiapan untuk menghadapi Kiamat dan Akhirat itu. Mereka leka dengan kehidupan dunia mereka. Nanti mereka itulah yang paling terkejut beruk kerana perkara yang mereka abaikan (Kiamat) itu sudah bermula dan mereka tidak ada apa-apa! Kalaulah mereka tahu ia benar, tentu mereka tidak akan membuang masa dengan perkara remeh temeh hal keduniaan yang pasti mereka akan tinggalkan.
Maka pengajaran yang paling penting bagi kita, kita kena bersedia untuk menghadapinya kerana entah-entah ia dekat sangat dengan kita seperti disebut dalam Ahzab: 63
يَسأَلُكَ النّاسُ عَنِ السّاعَةِ ۖ قُل إِنَّما عِلمُها عِندَ اللهِ ۚ وَما يُدريكَ لَعَلَّ السّاعَةَ تَكونُ قَريبًا
Manusia bertanya kepadamu tentang hari berbangkit. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang hari berbangkit itu hanya di sisi Allah”. Dan tahukah kamu (hai Muhammad), boleh jadi hari berbangkit itu sudah dekat waktunya.
Mungkin kita tidak sempat menghadapi Kiamat Besar itu (semoga kita diselamatkan kerana betapa besarnya Hari itu). Namun bukankah kita pasti akan menghadapi Kiamat Kecil (iaitu mati) yang pasti akan berlaku kepada setiap orang? Ini pun mungkin dekat sekali dengan kita. Entah-entah esok lusa kita boleh mati.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 14 Jun 2023
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan

Alhamdulillah selesai
LikeLike