Tafsir Surah al-A’raf Ayat 31 – 33 (Pengakuan musyrikin)

A’raf Ayat 31: Ini adalah nasihat ketiga yang dimulai dengan kalimah wahai anak-anak Adam. Ada banyak hukum yang boleh diambil daripada satu ayat ini sahaja.

يٰبَني ءآدَمَ خُذوا زينَتَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ وَكُلوا وَاشرَبوا وَلا تُسرِفوا ۚ إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُسرِفينَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

O children of Adam, take your adornment [i.e., wear your clothing] at every masjid,¹ and eat and drink, but be not excessive. Indeed, He likes not those who commit excess.

  • Literally, “place of prostration,” meaning any place that a Muslim prays upon the earth. The term may also refer specifically to a mosque.

(MALAY)

Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid, dan makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.

 

يٰبَني ءآدَمَ خُذوا زينَتَكُم عِندَ كُلِّ مَسجِدٍ

Hai anak Adam, pakailah pakaianmu yang indah di setiap (memasuki) masjid,

Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang kita hendaklah memakai pakaian yang merupakan perhiasan diri ketika melakukan ibadat tawaf. Begitu juga apabila melakukan ibadat di setiap tempat ibadat, termasuklah masjid, lebih-lebih lagi di tempat melakukan tawaf.

Ketika zaman dahulu, orang jahiliah sangka, kalau mereka ke MasjidilHaram, tidak boleh memakai pakaian yang mereka pernah pakai ketika membuat dosa. Maka mereka sangka mereka mesti bertelanjang bulat kerana tidak ada pakaian yang mereka tidak pernah tidak membuat dosa.

Orang Quraisy ketika itu telah membuat satu rekaan bid’ah dengan mengatakan mereka orang Quraisy yang dalam kalangan al-Hums الحُمْسُ iaitu orang-orang yang mulia dan kuat beragama, dinisbahkan kepada agama dan orang yang bertanggungjawab memelihara tanah haram. Itulah maksud al-Hums dan ia khusus untuk orang Quraisy sahaja.

Manakala orang Arab selain Quraisy pula dianggap golongan Arab al-Hullu الحُلّ atau al-Hullah الحُلَّة iaitu orang yang lebih hina berbanding Quraisy. Mereka tidak setaraf dengan kemuliaan Arab Quraisy. Maka, kumpulan al-Hullu perlu ada al-Hirmiy الحِرْمِي dalam kalangan Quraisy. Ini kerana orang Hullu yang bukan Quraisy, tidak boleh melaksanakan Haji di Mekah dengan pakaian mereka, mereka tidak boleh memakan makanan mereka ketika melaksanakan Haji dan Umrah di Mekah melainkan mesti makan daripada makanan orang Mekah atau Quraisy yang mulia. Orang Hullu juga, tidak boleh melaksanakan tawaf di Kaabah dengan pakaian mereka. Kerana apa? Kerana mereka menggunakan logik akal mereka sendiri dengan mengatakan, pakaian yang dipakai ketika melakukan maksiat dan dosa tidak wajar digunakan untuk melaksanakan ibadah tawaf yang merupakan perbuatan mengagungkan Allah ‎ﷻ.

Oleh sebab itu, mana-mana golongan Hullu yang ke Mekah untuk melaksanakan Haji ataupun Umrah, perlu ada kenalan dalam kalangan orang Quraisy yang dinamakan sebagai Hirmiy.  Hirmiy inilah yang akan meminjamkan pakaian kepada hullu dan memberi makanan kepadanya.

Manakala hullu lain yang tidak ada sesiapa yang mereka kenali dalam kalangan Quraisy, mestilah melakukan tawaf di Kaabah dalam keadaan bertelanjang, seperti yang semua kita sedia maklum. Untuk lelaki, mereka melakukan tawaf pada siang hari dalam keadaan bertelanjang manakala perempuan pula melakukan tawaf pada malam hari dalam keadaan telanjang. Bagi sebahagian mereka yang malu, mereka akan meletakkan kapas atau kain pada bahagian kemaluan sahaja.

Ini adalah fahaman salah mereka yang Allah ‎ﷻ betulkan dalam ayat ini. Ketika Nabi Muhammad ﷺ telah diangkat menjadi Nabi, masih ada lagi manusia yang tawaf dalam keadaan telanjang. Ini berlaku sehinggalah pada tahun 9 Hijrah. Amalan bertelanjang ini dihentikan apabila Nabi ﷺ menghantar sahabat untuk memberitahu bahawa tidak boleh telanjang lagi untuk beribadat di Kaabah.

Ayat ini juga dijadikan dalil bagi perbuatan salat kerana daripada hadith, Rasulullah ﷺ ada memberitahu yang tawaf itu adalah seperti salat. Maka ini bermaksud Allah ‎ﷻ juga memberitahu kita apabila kita pergi mengerjakan salat, tidak boleh bertelanjang, mesti menutup aurat lebih-lebih lagi kepada para wanita.

Selain daripada itu, kita juga hendaklah memakai pakaian yang indah. Ini kerana kalimah ‘zinah’ membawa maksud ‘perhiasan’. Maka pakailah pakaian yang cantik-cantik yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada kita ketika salat. Dan memang elok sekali jika memakai wangian semasa mengerjakan salat. Janganlah pakai seperti orang tidak ada rumah ketika sedang salat itu.

Walaupun jika salat di rumah sekalipun, hendaklah dijaga pemakaian kita. Ini adalah adab kita dengan Allah ‎ﷻ. Ingatlah yang kita sedang bermunajat dengan Allah ‎ﷻ, maka hendaklah kita berpakaian kemas dan seindah mungkin. Sebagai contoh, ulama’ mengatakan makruh bagi lelaki salat dengan terbuka bahunya. Kalau kita jumpa orang besar-besar pun bukankah kita memakai pakaian yang cantik? Siapakah lagi yang lebih besar daripada Allah ‎ﷻ?

Berdasarkan ayat ini dan hadith yang mengutarakan masalah yang semisal, disunatkan memakai pakaian yang indah di saat hendak melaku­kan salat, terlebih lagi salat Jumaat dan salat Hari Raya. Disunatkan pula memakai wangian, kerana wangian termasuk dalam pengertian perhiasan. Juga disunatkan bersiwak, kerana siwak merupakan kesempurnaan bagi hal tersebut.

Pakaian yang paling utama ialah yang berwarna putih, seperti yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad رحمه الله, yang dinilai sahih oleh Imam Ahmad sampai kepada Ibnu Abbas رضي الله عنهما dengan predikat marfu’:

حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ عَاصِمٍ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُثْمَانَ بْنِ خُثَيم، عَنْ سَعِيدِ بْنِ جُبَيْرٍ، عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ، فَإِنَّهَا مِنْ خير ثيابكم، وكَفِّنوا فيها موتاكم، وإن خَيْرِ أَكْحَالِكُمُ الإثْمِد، فَإِنَّهُ يَجْلُو الْبَصَرَ، وَيُنْبِتُ الشَّعْرَ”.

Disebutkan bahawa telah menceritakan kepada kami Ali ibnu Asim, telah menceritakan kepada kami Abdullah ibnu Usman ibnu Khaisam, daripada Sa’id ibnu Jubairbahawa Rasulullah ﷺ telah bersabda; Pakailah pakaian kalian yang berwarna putih, kerana sesungguh­nya pakaian putih adalah pakaian terbaik kalian, dan kafankanlah dengannya orang-orang mati kalian. Dan sesungguhnya sebaik-baik celak kalian memakai ismid, kerana sesungguhnya ismid itu dapat mencerahkan pandangan mata dan menumbuhkan rambut.

Hadith ini jayyid sanadnya, semua perawinya dengan syarat Muslim. Imam Abu Daud, Imam Tirmidzi, dan Imam Ibnu Majah meriwayatkan­nya melalui hadith Abdullah ibnu Usman ibnu Khaisam dengan sanad yang sama. Imam Tirmidzi mengatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

وَكُلوا وَاشرَبوا وَلا تُسرِفوا

dan makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. 

Asbabun Nuzul ayat ini adalah tentang Arab Jahiliyah. Semasa mengerjakan Haji, mereka tidak makan dan minum dengan menyangka itu adalah perbuatan yang baik. Ini adalah salah. Dan reka fahaman baru dalam agama seperti meninggalkan makan semasa mengerjakan Haji, termasuk berlebih-lebihan dalam agama (israf). Allah ‎ﷻ tidak suruh, tetapi kamu buat pula.

Secara umum, kita hendaklah makan dan minum dengan tidak ada pantang larang yang tidak patut. Kerana kalau mengamalkan pantang yang tidak disuruh dalam syarak, itu adalah syirik dari segi amali. Ini kita telah bincangkan dalam surah Maidah dan juga Surah An’am dengan panjang lebar.

Allah ‎ﷻ telah memberikan rezeki untuk kita makan dan minum, maka makanlah dan nikmatilah segala pemberian daripada Allah ‎ﷻ itu. Jangan pula kita mengharamkan makanan yang Allah ‎ﷻ tidak haramkan. Janganlah jadi seperti golongan sufi yang kononnya zuhud sampai tidak mahu makanan yang sedap kerana pada mereka, itu adalah nikmat dunia yang tidak patut dinikmati.

Perbuatan sebegitu adalah ekstrim dan Islam bukanlah agama yang ekstrim. Apa yang mereka ajar itu bukanlah daripada agama kita. Agama kita tidak menyusahkan umatnya. Agama Islam bukan hendak menyeksa umatnya.

Imam Bukhari رحمه الله mengatakan, Ibnu Abbas رضي الله عنهما berkata bahawa makna yang dimaksudkan ialah makanlah sesukamu dan berpakaianlah sesukamu selagi engkau hindari dua pekerti, iaitu berlebih-lebihan dan sombong.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا بَهْز، حَدَّثَنَا هَمّام، عَنْ قَتَادَةُ، عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْب، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: “كُلُوا وَاشْرَبُوا وَالْبَسُوا وَتَصَدَّقُوا، فِي غَيْرِ مَخِيلة وَلَا سرَف، فَإِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ أَنْ يَرَى نِعْمَتَهُ عَلَى عَبْدِهِ”

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Bahz, telah menceritakan kepada kami Hammam, daripada Qatadah, daripada Amr ibnu Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya, bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Makan, minum, berpakaian, dan bersedekahlah kalian tanpa dengan kesombongan dan berlebih-lebihan, kerana sesungguhnya Allah ‎ﷻ suka bila melihat nikmat-Nya digunakan oleh hamba-Nya.

شعيب الأرنؤوط (ت ١٤٣٨)، تخريج المسند لشعيب ٦٧٠٨ • إسناده حسن • أخرجه الترمذي (٢٨١٩)، والنسائي (٢٥٥٩)، وابن ماجه (٣٦٠٥) مختصراً، وأحمد (٦٧٠٨) واللفظ له

Shuaib al-Arna`ut (w. 1438), Takhrij al-Musnad oleh Shuaib 6708 • Sanadnya baik • Ia disertakan oleh al-Tirmidzi (2819), al-Nasa’iy (2559), dan Ibn Majah (3605) disingkatkan, dan Ahmad (6708) dan lafaznya adalah miliknya

Kita disuruh untuk makan, namun tidaklah berlebihan dan melampau. Kenalah dilihat apa yang kita makan itu. Jangan keterlaluan dalam memakan pula. Kalau asyik kisah pasal makan sahaja, sudah tidak pentingkan perkara yang lain, maka itu ada masalah.

Ini bukan tentang pembaziran, walaupun membazir itu juga salah, sampai dikatakan saudara syaitan. Namun ini termasuk dalam perbuatan israf (berlebihan melampau) juga tidak baik. Walaupun makanan itu halal, tetapi tidak dibenarkan jika berlebihan.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو الْمُغِيرَةِ، حَدَّثَنَا سُلَيْمَانُ بْنُ سُلَيْمٍ الكِناني، حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ جَابِرٍ الطَّائِيُّ سَمِعْتُ الْمِقْدَامَ بن معد يكرب الْكِنْدِيَّ قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: “مَا مَلَأَ آدَمِيٌّ وِعَاءً شَرًّا مِنْ بَطْنِهِ، حَسْبُ ابْنِ آدَمَ أَكَلَاتٌ يُقِمْنَ صُلبه، فَإِنْ كَانَ فَاعِلًا لَا مَحَالَةَ، فَثُلْثٌ طعامٌ، وَثُلُثٌ شرابٌ، وَثُلُثٌ لِنَفَسَهِ”.

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abul Mugirah, telah menceritakan kepada kami Sulaiman ibnu Salim Al-Kalbi, telah menceritakan kepada kami Yahya ibnu Jabir At-Tai; dia telah mendengar Al-Miqdam ibnu Ma’di Kariba Al-Kindi bercerita bahawa dia pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: Tiada suatu wadah pun yang dipenuhi oleh anak Adam yang lebih jahat daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang sulbinya. Dan jika dia terpaksa melakukannya, maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya, dan sepertiga lagi untuk nafasnya.

Imam Nasai dan Imam Tirmidzi meriwayatkannya daripada Yahya ibnu Jabir dengan sanad yang sama. Imam Tirmidzi mengatakan bahawa hadith ini hasan, sedangkan menurut salinan lainnya disebutkan hasan sahih.

Hukum yang kita boleh ambil daripada ayat ini, apa sahaja makanan dan minuman adalah halal kecuali jikalau ada dalil bagi mengharamkannya. Jika makan dan minum perkara yang haram, itu termasuk melampau juga.

Akan tetapi kalau makan terlalu banyak dan berlebihan pun dilarang juga daripada ayat ini. Ini kerana ia boleh membahayakan kesihatan. Daripada kajian pemakanan juga, kita tahu yang banyak penyakit adalah disebabkan oleh salah makan. Ada seorang tabib Kristian mengatakan kepada Ali bin Husain bahawa Al-Qur’an tidak mengandungi hal perubatan. Ali mengatakan kepadanya yang Allah ‎ﷻ telah merangkumkan keseluruhan sains perubatan di dalam ayat وَكُلوا وَاشرَبوا وَلا تُسرِفوا ini.

Ada juga yang membincangkan kenapa ada cerita tentang makan pula dalam ayat yang menyebut tentang salat? Ada yang membuat kajian tentang waktu makan, mereka dapati bahawa waktu makan yang sesuai untuk kesihatan adalah kalau dilakukan sama dengan waktu salat. Sebelum salat, makan dahulu – jadi ada lima waktu kita makan sehari semalam. Maksudnya kita susun waktu makan kita sama dengan waktu salat. Allahu a’lam.

As-Saddi mengatakan, dahulu (di masa Jahiliah) orang-orang yang melakukan tawaf di Baitullah sambil telanjang bulat mengharamkan minyak sapi ke atas diri mereka sendiri selama mereka berada di musim haji. Maka Allah ‎ﷻ berfirman terhadap mereka: makan dan minumlah kalian. (Al-A’raf: 31), hingga akhir ayat. Ertinya, janganlah kalian berlebih-lebihan dalam mengharamkan.

Oleh sebab itu, di dalam ayat ini ada larangan untuk melakukan israf dan larangan ini menjadikan israf adalah perbuatan yang berdosa. Dan bukan sahaja dalam bab makan sahaja. Dalam perkara lain pun jangan israf. Contohnya bab pakaian, kereta, barang-barang lain. Allah ‎ﷻ sebut dalam Ghafir: 43 yang mengancam orang yang melakukan israf:

وَأَنَّ المُسرِفينَ هُم أَصحٰبُ النّارِ

dan sebenarnya orang-orang yang melampau itu, merekalah ahli neraka. 

 

إِنَّهُ لا يُحِبُّ المُسرِفينَ

Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.

Ingatlah ayat ini kerana Allah ‎ﷻ tidak suka orang yang berlebih-lebihan dalam makanan dan dalam segala perkara pun. Islam adalah agama pertengahan yang sesuai diamalkan oleh setiap orang.

Ibnu Jarir mengatakan sehubungan dengan makna firman-Nya: Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan. (Al-A’raf: 31) Dan firman Allah ‎ﷻ: Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas. (Al-Maidah: 87); Yakni yang melampaui batasan Allah ‎ﷻ dalam masalah halal atau haram, yang berlebih-lebihan terhadap apa yang dihalalkan-Nya, iaitu dengan menghalalkan yang diharamkan-Nya atau mengharamkan yang dihalalkan-Nya. Tetapi Allah ‎ﷻ menyukai sikap yang menghalalkan apa yang dihalalkan-Nya dan mengharamkan apa yang diharamkan-Nya, kerana yang demikian itulah sifat pertengahan yang diperintahkan oleh-Nya.

Habis Ruku’ 3 daripada 24 ruku’ dalam surah ini.


 

A’raf Ayat 32: Nikmat yang disebut dalam ayat ini adalah nisbah kepada pakaian secara khusus. Dan kemudian disebut tentang rezeki yang lain secara umum. Allah ‎ﷻ berfirman, menyanggah pendapat orang yang mengharamkan sesuatu makanan atau minuman atau pakaian menurut kehendak hatinya sendiri tanpa ada dasar syariat daripada Allah ‎ﷻ.

قُل مَن حَرَّمَ زينَةَ اللَّهِ الَّتي أَخرَجَ لِعِبادِهِ وَالطَّيِّبٰتِ مِنَ الرِّزقِ ۚ قُل هِيَ لِلَّذينَ ءآمَنوا فِي الحَيوٰةِ الدُّنيا خالِصَةً يَومَ القِيٰمَةِ ۗ كَذٰلِكَ نُفَصِّلُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “Who has forbidden the adornment of [i.e., from] Allāh which He has produced for His servants and the good [lawful] things of provision?” Say, “They are for those who believe during worldly life [but] exclusively for them on the Day of Resurrection.” Thus do We detail the verses for a people who know.

(MALAY)

Katakanlah: “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?” Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat”. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.

 

قُل مَن حَرَّمَ زينَةَ اللَّهِ الَّتي أَخرَجَ لِعِبادِهِ

Katakanlah: “Siapakah yang mengharamkan perhiasan daripada Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya

Allah ‎ﷻ menempelak, siapakah pula yang pandai-pandai mengharamkan perhiasan Allah ‎ﷻ yang Allah ‎ﷻ telah berikan kepada hamba-Nya? Allah ‎ﷻ menegur mereka yang menghalang keindahan yang Allah ‎ﷻ telah berikan daripada digunakan oleh manusia. Sedangkan semua itu Allah ‎ﷻ yang telah ciptakan untuk sekalian hamba-Nya untuk digunakan.

Kalau kita lihat agama yang sesat seperti Hindu dan Buddha, kita boleh lihat orang agama mereka mengharamkan memakai pakaian biasa. Mereka dikenakan memakai satu kain dan satu warna sahaja.

Allah ‎ﷻ menggunakan lafaz زينَةَ اللَّهِ (keindahan Allah ‎ﷻ) kerana keindahan di dunia adalah manifestasi keindahan Allah ‎ﷻ. Keindahan Allah ‎ﷻ tidak dapat digambarkan malah dilarang untuk dibayangkan, tetapi kita boleh lihat keindahan alam ini yang Allah ‎ﷻ telah berikan. Dalam sebuah hadith sahih disebutkan,⁠


إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ⁠

“Sesungguhnya Allah Maha indah dan mencintai keindahan”

(HR. Muslim daripada Ibnu Mas’ûd رضي الله عنه).⁠

Maka ini mengajar kita yang mengharamkan ke atas diri sendiri pakaian yang cantik-cantik adalah salah. Ada juga orang jahil yang berfikiran begitu. Contohnya golongan sufi yang sengaja memakai pakai yang kotor dan koyak rabak. Mereka sangka ia adalah sebahagian daripada kebaikan dalam agama, padahal tidak pun. Lainlah cerita kalau memang tidak ada duit, maka tidaklah salah. Akan tetapi sekiranya ada kemampuan, maka pakailah pakaian yang cantik-cantik.

Rasulullah ﷺ turut memakai pakaian yang cantik-cantik dan kadangkala mahal yang telah diterimanya sebagai hadiah. Maka, memang tidak salah kalau berhias serta mencantikkan diri. Jika terdapat kisah baginda dan para sahabat yang memakai baju yang bertampal, itu adalah ketika itu mereka berada di dalam keadaan susah yang amat sangat.

Imam Malik رحمه الله juga turut dikatakan sering memakai pakaian yang indah-indah. Malah beliau tidak memakai pakaiannya sebanyak dua kali. Setelah sudah dipakai, diberikannya kepada orang miskin selepas itu.

Apabila Allah ‎ﷻ telah memberikan nikmat kesenangan dan kekayaan kepada seseorang, Allah ‎ﷻ suka sekiranya orang itu menzahirkannya. Antara cara menghargai nikmat pemberian Allah ‎ﷻ itu adalah dengan menunjukkannya (pakai). Kalau tidak dipakai, macam kita tidak suka pula.

Perbuatan menzahirkan ini tidak salah asalkan tidak menimbulkan perasaan takbur dalam diri seseorang. Janganlah dipakai dengan niat hendak menunjuk-nunjuk, bongkak serta hendak membezakan diri dengan orang lain, kononnya dia lebih tinggi darjatnya dan terhormat daripada orang lain.

 

وَالطَّيِّبٰتِ مِنَ الرِّزقِ

dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?”

Dan Allah ‎ﷻ menegur sesiapa yang mengharamkan rezeki yang bagus. Janganlah ekstrim dalam mengamalkan agama sampai ada yang mengharamkan makanan yang lazat ke atas diri mereka. Janganlah jadi manusia yang sebegitu.

Kita telah belajar dalam Surah An’am tentang Musyrikin Mekah yang mengharamkan sesetengah binatang ternak bagi mereka. Dalam surah ini juga kita belajar ada pula larangan memakan makanan tertentu ketika mengerjakan haji. Ini semua adalah pengharaman perkara yang halal yang Allah ‎ﷻ marah.

Maka jangan kita juga terikut dengan perbuatan yang amat salah ini. Memang ada orang Muslim  yang melakukannya, jangan tidak tahu. Antaranya ajaran tarekat sufi yang berpantang makanan berdarah apabila bersuluk; juga golongan silat yang juga ada pantang larang mereka.

 

قُل هِيَ لِلَّذينَ ءآمَنوا فِي الحَيوٰةِ الدُّنيا

Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia,

Allah‎ ﷻ yang menyediakan segala rezeki buat kita manusia di dunia ini. Yang beriman dan tidak beriman pun dapat nikmat rezeki daripada Allah ‎ﷻ. Ini adalah kerana kemurahan daripada Sifat Ar-Rahman Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ tidak menahan nikmat-Nya kepada orang kafir walaupun mereka menentangnya.

Akan tetapi di sini Allah ‎ﷻ sebut ia disediakan bagi orang-orang beriman. Kenapa? Ingatlah bahawa pakaian atau makanan di dunia ini sebenarnya percuma untuk orang mukmin untuk mereka gunakan semasa di dunia. Diberikan dengan percuma untuk mereka yang mukmin, sebab mereka itu telah menjalankan kewajipan untuk beriman.

Sedangkan, orang kafir yang memakan dan menggunakan segala nikmat di dunia ini, ia adalah tidak percuma untuk mereka kerana mereka akan disoal di akhirat kelak kenapakah mereka memakai rezeki daripada Allah ‎ﷻ tetapi tidak pula mentaati dan menyembah Allah ‎ﷻ ketika mereka berada di dunia ini?

Apakah yang mereka akan jawab nanti? Kalau kita pun tidak beriman dan taat kepada Allah ‎ﷻ, maka kita pun akan dipersoalkan begitu juga: “Kau makan dan guna segala nikmat yang Aku berikan semasa di dunia, tapi kenapa kamu tidak taat kepada Aku?!”

 

خالِصَةً يَومَ القِيٰمَةِ

khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat”. 

Dan lebih-lebih lagi, segala nikmat rezeki itu hanya diberikan khas kepada orang beriman sahaja pada hari kiamat. Orang beriman akan menikmati kehidupan yang baik semasa di dunia dan juga di akhirat dengan percuma.

Cuma kelebihan nikmat di akhirat sangatlah hebat. Untuk kita mendapat nikmat di dunia ini pun, ada kerja kita kena buat juga, bukan? Kena cari, kena fikir, kena usaha, kena guna tenaga untuk mendapatkannya. Namun di akhirat nanti, nikmat itu terus digunakan sahaja, tanpa ada usaha untuk mendapatkannya. Akan tetapi untuk mendapatkannya, kenalah ada usaha dengan amal di dunia ini.

Di dunia ini, orang tidak beriman pun akan mendapat juga kehidupan, tetapi mereka akan ditanya kemudian di akhirat. Namun di akhirat nanti, orang beriman sahaja yang akan menikmati kehidupan yang senang. Sedangkan orang tidak beriman, tidak akan diberikan dengan nikmat itu. Mereka akan mengalami kehidupan yang sukar, dimasukkan ke dalam neraka dan mereka akan kekal di dalamnya.

 

كَذٰلِكَ نُفَصِّلُ الآيٰتِ لِقَومٍ يَعلَمونَ

Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang mengetahui.

Allah ‎ﷻ memberikan penjelasan hukum halal haram bagi kaum yang mahu memahami, yang mahu belajar dan mahu memikirkan. Peringatan diberikan kepada semua orang, tetapi yang boleh menerimanya hanyalah mereka yang mahu mengambil perhatian. Sekiranya tidak ada keinginan dalam hatinya kepada kebenaran, maka mereka susah untuk terima.

Ayat ini pertama sekali ditujukan kepada Musyrikin Mekah yang sangka, jika mereka masuk Islam, hidup mereka akan susah. Namun siapa pula yang kata begitu? Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang kalau sesiapa masuk Islam, mereka masih lagi dapat menikmati kehidupan yang senang di dunia ini. Tidak ada sesiapa pun yang boleh melarang mereka daripada menikmatinya. Memang Allah ‎ﷻ jadikan dunia ini untuk dinikmati oleh manusia pun. Tuhan yang sama juga yang memberikan rezeki kepada mereka dahulu dan Tuhan yang mereka sembah di dalam Islam.


 

A’raf Ayat 33: Silalah ambil dan guna yang halal, akan tetapi tinggalkan yang haram. Masalah dengan orang jahil itu, yang halal mereka haramkan; dan yang haram mereka halalkan. Maka, mereka akan rugi di dunia kerana tidak menggunakan nikmat yang Allah ‎ﷻ berikan; dan di akhirat nanti mereka pun akan rugi kerana akan diseksa kerana mereka menggunakan yang haram. Lalu apakah yang Allah ‎ﷻ haramkan dan larang kita daripada melakukannya?

قُل إِنَّما حَرَّمَ رَبِّيَ الفَوٰحِشَ ما ظَهَرَ مِنها وَما بَطَنَ وَالإِثمَ وَالبَغيَ بِغَيرِ الحَقِّ وَأَن تُشرِكوا بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ سُلطٰنًا وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

(SAHEEH INTERNATIONAL)

Say, “My Lord has only forbidden immoralities – what is apparent of them and what is concealed – and sin,¹ and oppression without right, and that you associate with Allāh that for which He has not sent down authority, and that you say about Allāh that which you do not know.”

  • Any unlawful deed.

(MALAY)

Katakanlah: “Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji, baik yang nampak ataupun yang tersembunyi, dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar, (mengharamkan) mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu dan (mengharamkan) mengada-adakan terhadap Allah apa yang tidak kamu ketahui”.

 

قُل إِنَّما حَرَّمَ رَبِّيَ الفَوٰحِشَ

Katakanlah: “Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan yang keji,

Allah ‎ﷻ telah mengharamkan segala fahisyah – segala bentuk penderhakaan yang tidak taat kepada Allah ‎ﷻ. Ini adalah dosa-dosa besar. Juga termasuk perkara-perkara keji dalam apa bentuk pun.

Allah ‎ﷻ hendak menegur perbuatan salah manusia yang mengharamkan perkara halal yang baik-baik. Sedangkan yang Allah ‎ﷻ mengharamkan adalah benda yang buruk-buruk.

 

ما ظَهَرَ مِنها وَما بَطَنَ

yang nampak ataupun yang tersembunyi,

Semua perbuatan keji dan dosa itu dilarang, sama ada di buat dalam majlis yang ada orang atau buat berseorangan, tidak ada orang yang nampak.

قَالَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ: حَدَّثَنَا أَبُو مُعَاوِيَةَ، حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ، عَنْ شَقِيقٍ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “لَا أَحَدَ أَغْيَرُ مِنَ اللَّهِ، فَلِذَلِكَ حَرَّم الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَر مِنْهَا وَمَا بَطن، وَلَا أَحَدَ أَحَبُّ إِلَيْهِ الْمَدْحُ مِنَ اللَّهِ”.

Imam Ahmad رحمه الله mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Mu’awiyah, telah menceritakan kepada kami Al-A’masy, dari Syaqiq, daripada Abdullah yang mengatakan bahawa Rasulullah ﷺ pernah bersabda: Tidak ada seorang pun yang lebih cemburu daripada Allah ‎ﷻ, kerana itulah Dia mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang kelihatan mahupun yang tidak nampak Dan tidak ada seorang pun yang lebih suka dipuji daripada Allah ‎ﷻ.

Imam Bukhari dan Imam Muslim mengetengahkannya di dalam kitab Sahihain melalui hadith Sulaiman ibnu Mahran Al-A’masy, daripada Syaqiq (yakni Abu Wail), daripada Abdullah ibnu Mas’ud.

Mengenai pembahasan tentang hal-hal yang berkaitan dengan pengertian fawahisy (perbuatan-perbuatan yang keji), baik yang kelihatan mahupun yang tidak kelihatan, telah disebutkan di dalam tafsir Surah Al-An’am.

Dosa yang zahir kita tahu adalah yang perbuatan buruk yang jelas seperti mencuri, berzina, menganiaya orang dan sebagainya. Sementara dosa batin adalah perkara seperti syirik, nifak, takbur, riya’ dan sebagainya.

 

وَالإِثمَ وَالبَغيَ بِغَيرِ الحَقِّ

dan perbuatan dosa, melanggar hak manusia tanpa alasan yang benar,

Allah ‎ﷻ juga melarang kita daripada melakukan الإِثمَ dosa-dosa (dosa kecil).

Allah ‎ﷻ melarang kita melakukan البَغيَ (kezaliman satu sama lain). Iaitu yang melibatkan kesalahan kepada orang lain.

As-Saddi mengatakan, yang dimaksudkan dengan al-ithmu adalah maksiat, sedangkan yang dimaksudkan dengan al-bagyu ialah perbuatan melanggar hak orang lain tanpa alasan yang benar.

Mujahid mengatakan bahawa makna al-ithmu mencakupi semua perbuatan maksiat. Dan menurut suatu pendapat, yang dimaksudkan dengan al-baghyu ialah perbuatan menganiaya seseorang terhadap dirinya sendiri.

Kesimpulan daripada tafsir makna ithmu ialah dosa-dosa yang berkaitan dengan pelakunya sendiri, sedangkan al-bagyu ialah perbuatan pelanggaran hak orang lain. Allah ‎ﷻ mengharamkan kedua-dua perbuatan tersebut.

Akan tetapi ada disebut ‘tanpa alasan yang benar’. Maknanya bolehkah mengambil hak orang lain mengikut syariat? Ya, boleh. Contohnya apabila Nabi Muhammad ﷺ mengarahkan para sahabat untuk mengambil harta kafilah Abu Sufyan semasa perang Badr kerana kesalahan yang dilakukan oleh golongan Musyrikin Mekah. Jika dilihat secara mata kasar, mereka seolah-olah telah mengambil hak orang lain pula, bukan? Tetapi kita kenalah melihat keseluruhan isu itu secara menyeluruh. Bagaimana umat Islam telah ditindas, dihalau dan diambil harta mereka. Maka serangan kepada kafilah Abu Sufyan itu adalah sebagai balas balik sahaja.

 

وَأَن تُشرِكوا بِاللَّهِ ما لَم يُنَزِّل بِهِ سُلطٰنًا

dan mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang Allah tidak menurunkan hujjah untuk itu

Dan Allah ‎ﷻ melarang kita berbuat syirik dengan sesuatu yang lain – yang Allah ‎ﷻ tidak ada turunkan sebarang bukti pun (yang ia boleh dilakukan). Sebagai contoh, Allah ‎ﷻ tidak suruh kita menggunakan perantaraan dalam berdoa, Allah ‎ﷻ juga tidak suruh kita menyembah sesiapa pun selain daripada-Nya, dan Allah ‎ﷻ tidak suruh kita menjadikan sesiapa pun sebagai anak-Nya.

 

وَأَن تَقولوا عَلَى اللَّهِ ما لا تَعلَمونَ

dan mengatakan tentang Allah apa yang tidak kamu ketahui”.

Dan Allah ‎ﷻ larang berkata-kata tentang -Nya dalam hal yang kita tidak tahu. Oleh itu, kita kenalah tahu tentang Allah ‎ﷻ daripada dalil-dalil yang telah diberikan dalam nas.

Sebagai contoh, jangan kata Allah ‎ﷻ ada di mana-mana – ini tidak ada dalil; juga jangan kata Allah  itu wujud tanpa tempat – ini juga tidak ada dalil. Jangan memandai-mandai reka hal tentang Allah ‎ﷻ yang tidak ada dalil.

Dan bagaimana pula dengan golongan ahli bid’ah yang reka amalan dan kata Allah ‎ﷻ akan beri pahala kalau kita buat perkara itu? Ini pun termasuk dalam perbahasan ayat ini. Bayangkan kalau ada orang cat rumah kita tanpa kita suruh, kemudian minta kita bayar pula. Siapa janji untuk memberi upah kepada dia? Maka kalau kamu buat perkara bid’ah, siapa janji untuk beri pahala kepada kamu?

Namun begitu ada dalam kalangan orang bid’ah yang melakukan bid’ah itu kerana kejahilan sahaja. Kita tidak tahu apa yang di dalam hatinya. Semoga Allah ‎ﷻ mengampuni kesalahan yang dilakukannya. Belum pasti lagi dia masuk neraka disebabkan oleh amalan bid’ahnya itu. Cuma kita tetap kena beri peringatan dan nasihat kepada mereka.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 29 Ogos 2022

Ringkasan Surah A’raf


Rujukan: 

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Ibn Kathir

Maariful Qur’an

Ustaz Solahuddin

Ustaz Abdul Muien

Published by

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment