Ayat 63: Ini adalah ayat Zajrun – ayat ancaman dari Allah:
كَذٰلِكَ يُؤفَكُ الَّذينَ كانوا بِئآيٰتِ اللهِ يَجحَدونَ
Thus were those [before you] deluded who were rejecting the signs of Allah .
Sebagaimana terpalingnya mereka itu (daripada menyembah Allah), terpaling juga orang-orang yang mengingkari keterangan-keterangan Allah.
كَذَٰلِكَ
Begitulah.
Ini memasukkan orang dulu dan orang sekarang yang ada sifat yang serupa. Sebagaimana orang dahulu terpesong, begitu jugalah orang sekarang zaman berzaman. Inilah yang dimaksudkan dengan huruf ‘kaf’ itu. Maknanya, orang dulu terpesong, orang sekarang pun ada yang terpesong juga.
يُؤْفَكُ الَّذِينَ كَانُوا
dipesongkan orang-orang yang mereka dulunya,
Bukan Allah sengaja nak pesongkan mereka, tapi mereka terpesong itu kerana ada kesalahan mereka.
بِئآيٰتِ اللهِ يَجْحَدُونَ
dengan ayat-ayat Allah dengan mereka engkar.
Iaitu mereka sendiri yang engkar dengan ayat-ayat Allah. Ramai yang menolak ajaran wahyu dari Rasul mereka. Dan begitu juga umat Nabi Muhammad. Ramai apabila diajak belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak mahu belajar, buat tak endah sahaja. Apabila diberitahu maksud tafsir sesuatu ayat itu, mereka tidak mahu terima, kata kita tafsir salah pula. Dan macam-macam cara lagi mereka engkar.
Ayat 64: Ini adalah Dalil Aqli Afaqi. Allah suruh kita lihat alam ini.
اللهُ الَّذي جَعَلَ لَكُمُ الأَرضَ قَرارًا وَالسَّماءَ بِناءً وَصَوَّرَكُم فَأَحسَنَ صُوَرَكُم وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبٰتِ ۚ ذٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُم ۖ فَتَبارَكَ اللهُ رَبُّ العٰلَمينَ
It is Allah who made for you the earth a place of settlement and the sky a ceiling and formed you and perfected your forms and provided you with good things. That is Allah , your Lord; then blessed is Allah , Lord of the worlds.
Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan Dia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam.
اللهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الْأَرْضَ قَرَارًا
Allahlah yang menjadikan untuk kamu bumi itu tempat yang tetap
Apabila Allah jadikan bumi ini duduk dengan tetap, mudahlah kita nak guna bumi ini dan duduk di atasnya. Kalaulah bumi ini bergerak-gerak, kita nak buat rumah pun tak boleh. Bukit itu pun akan runtuh semua sekali, jadi rata. Lama-lama semua masuk dalam laut kalau bumi tidak berhenti bergegar.
Memang ada tempat yang sekali sekala ada gegaran. Tapi itu sekejap sahaja. Allah nak tunjukkan, kalaulah bumi ini sentiasa bergegar macam itu sahaja sepanjang masa, tentu kita tidak dapat hidup. Jadi, bila kita dengar berita ada tempat dapat gegaran, maka bersyukurlah kepada Allah kerana Dia tidak jadikan tempat kita tinggal bergegar macam itu dan Allah tidak jadikan seluruh dunia ini bergegar macam itu.
وَالسَّمَاءَ بِنَاءً
Dan langit itu sebagai bumbung
Allah jadikan langit sebagai bumbung kita. Dan hebatnya penciptaan Allah, langit yang begitu hebat pun, Allah bina tanpa tiang. Atau, ada tiang tapi kita sahaja yang tidak nampak. Tidak ada kerosakan apa-apa pun yang kita boleh lihat pada langit itu.
وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ
dan Dia membuat rupa kamu dalam sebaik-baik rupa paras.
Ini adalah Dalil Aqli Anfusi. Rupa kita memang cantik kalau dibandingkan dengan makhluk lain. Kalau bandingkan rupa kita dengan beruk, jauh sangat rupa kita. Kita ini Allah telah jadikan sebagai sebaik-baik makhluk. Dan Allah telah berikan kelebihan kepada kita manusia, ada perasaan dan ada otak, kalau dibandingkan dengan haiwan.
وَرَزَقَكُمْ مِّنَ الطَّيِّبٰتِ
dan Dialah yang memberikan kamu rezeki dari yang baik-baik.
Kita dapat yang baik-baik sahaja. Tidak putus rezeki dari Allah kepada kita. Dan Dia beri yang terbaik bagi kita. Macam lembu, makan rumput sahaja hari-hari. Tak sama makanan kita kalau dibandingkan dengan makanan untuk haiwan. Begitu elok dan disediakan dengan baik sekali segala makanan kita.
ذَٰلِكُمُ اللهُ رَبُّكُمْ
yang mempunyai sifat sedemikian itu adalah Allah, Tuhan yang mencipta, memelihara kamu
Itulah Allah yang telah melebihkan kita dari makhlukNya yang lain. Oleh kerana Dia sudah beri segala kelebihan kepada kita, kenapa tidak berdoa hanya kepada Dia sahaja? Kena nak sembah selain Allah? Kenapa nak gunakan tawasul dalam berdoa?
فَتَبَارَكَ اللهُ رَبُّ الْعٰلَمِينَ
Maha berkat Allah milik Allah yang mencipta dan memelihara bumi.
‘Maha Berkat’ itu adalah hak Allah. Hanya Allah yang ada berkat, dan yang selain Allah adalah ‘penerima berkat’. Maka kalau ada sesiapa yang boleh beri berkat, dia kena boleh cipta bumi ini juga.
Tapi banyak kekeliruan dalam hal ‘berkat’ ini kerana kebanyakan masyarakat kita tidak belajar tafsir Al-Qur’an dan senang ditipu oleh guru yang sesat. Sampai sekarang, ada yang nak ambil berkat dari ustaz, dari guru, dari barang dan sebagainya.
Tidak kurang juga yang ambil berkat dari Nabi. Memang Nabi itu ada berkat, tapi Nabi tidak boleh beri berkat kepada manusia. Berkat ini katakanlah macam pangkat Dato’. Seseorang itu tak boleh nak beri pangkat Dato’ itu kepada anak dia walau dia ada sepuluh pangkat Dato’ yang diterimanya dari berlainan negeri.
Maka, yang hanya boleh beri berkat adalah Allah taala sahaja. Maka minta berkat dari Allah sahaja, jangan minta dari selain Allah.
Ayat 65: Ulangan Dakwa sekali lagi.
هُوَ الحَيُّ لا إِلٰهَ إِلّا هُوَ فَادعوهُ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ ۗ الحَمدُ ِللهِ رَبِّ العٰلَمينَ
He is the Ever-Living; there is no deity except Him, so call upon Him, [being] sincere to Him in religion. [All] praise is [due] to Allah , Lord of the worlds.
Dia lah Yang Tetap Hidup; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal ugama kamu kepadaNya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
هُوَ الْحَيُّ
Dialah yang Maha Hidup.
Allahlah sahaja yang tak pernah mati-mati, dulu atau akan datang. Selain dari Allah, akan mati belaka. Jadi macam mana nak bergantung harap kepada mereka yang mati, telah mati atau akan mati?
Allah sahaja yang hidup dengan sebenar-benarnya. Kehidupan kita ini bukanlah hidup yang sebenar. Kerana kehidupan kita bergantung kepada Allah.
Maka, kerana hidup kita pun bergantung dengan Allah, maka bergantung kepada Allahlah sahaja dalam segenap kehidupan kita; seru dan doa kepada Allah sahaja, kerana Dia sahaja yang Maha Hidup. Dia tidak akan mati-mati. Jadi kita dapat pasti bahawa ada yang dapat mendengar doa kita kerana Dia tidak mati-mati. Allah nak beritahu jangan berdoa kepada yang mati, seperti para wali dan para Nabi. Mereka yang sudah mati tidak boleh beri apa-apa.
لَا إِلَٰهَ إِلَّا هُوَ
Tidak ada ilah melainkan Dia sahaja.
Tidak ada ilah sebagai sandaran hati kita melainkan Allah sahaja. Tidak ada tempat pengharapan kita dalam segala permintaan dan doa kita melainkan kepada Allah sahaja. Ini barulah pemahaman yang jelas tentang syahadah itu.
Kerana kalau kita hanya kata: “Tiada tuhan melainkan Allah”, tak cukup lagi pemahaman tu. Memang benar tiada tuhan selain Allah. Tapi ramai manusia yang menjadikan selain Allah sebagai ‘tempat pengharapan’. Itu yang salah kerana kita kena jadikan Allah sahaja tempat pengharapan kita.
فَادْعُوهُ
Maka hendaklah kamu seru kepada Dia sahaja.
Diulangi lagi Dakwa Surah kerana kepentingan perkara ini. Hendaklah mengesakan Allah dalam doa. Doa hanya kepada Allah sahaja, jangan minta kepada yang selain Allah. Dan terus doa kepada Allah, tanpa melalui perantaraan (tawasul).
Seru kepada Allah sahaja. Jangan seru selain Allah seperti yang dilakukan oleh orang yang sesat. Ada ramai yang seru Nabi, seru wali, seru malaikat. Dan yang lebih teruk, ada juga orang Islam yang seru jin, seru hantu dan sebagainya.
مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ
Tulus ikhlas kepada Dia sahaja dalam berdoa.
Perkataan ‘deen‘ di sini bermaksud ‘doa’. Dalam berdoa, jangan campur doa kepada selain Allah. ‘Ikhlas’ itu bermaksud tidak bercampur dengan apa-apa. Dalam bahasa kita, dipanggil ‘tulen’. Kalau kita berdoa kepada Allah, tapi dalam masa yang sama, kita seru kepada selain Allah, itu adalah syirik. Oleh itu, jangan seru kepada Nabi, wali, malaikat dan jin. Terus sahaja seru kepada Allah sahaja.
Jangan doa seperti doa orang Buddha, Hindu dan agama-agama lain. Mereka juga mengharap sangat-sangat kepada sembahan mereka, tapi tidak diterima ibadat doa mereka itu. Kena ikhlas sepertimana yang diajar oleh Tuhan dan Nabi. Kalau tak ikut macam mereka, ikhlas macam mana pun tidak akan diterima.
Apa sahaja ibadat yang dibuat, ikhlas macam mana pun, tapi kalau bukan dari cara yang Nabi suruh, tidak akan diterima. Selain amalan yang diajar Nabi, dinamakan ‘bidaah‘. Siapa yang kata bidaah boleh buat, dia telah dusta kepada Allah. Sebab Tuhan atau Nabi tak pernah beritahu pun boleh buat amalan-amalan bidaah yang mereka buat itu.
Mereka akan dihadapkan ke hadapan Allah taala di akhirat nanti dan akan ditanya kenapa mereka buat amalan bidaah itu. Kita kalau dusta sesama kita pun, kita sudah marah dah. Tapi ini dusta kepada Allah, lagi zalim. Ingatlah, bahawa kalau kita kata Allah akan beri pahala kepada ibadah yang Allah tidak pernah beritahu, maka kita telah berdusta atas nama Allah.
الْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعٰلَمِينَ
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.
Janganlah kita memuji Allah dengan lafaz pujian di mulut sahaja, tapi ikutilah dengan amalan dan cara yang telah diajarNya dan disampaikan melalui NabiNya.
Maksud kalimat ini telah ditafsirkan pada Surah Fatihah dahulu, jadi tidak perlu diulang semula di sini.
nota: habis bahagian pertama surah Ghafir ini. Seperti yang kita telah sebut, ada dua bahagian kepada surah ini.
Ayat 66. Sekarang kita masuk ke bahagian Kedua surah ini. Di dalam bahagian kedua ini juga ada Dakwa dan dalil diberikan untuk menyokong Dakwa Surah ini. Ianya mengulang apa yang telah disampaikan dalam bahagian pertama: untuk menguatkan lagi hujah tentang Tauhid dalam doa.
Ayat ini adalah Dalil Wahyu. Nak beritahu bahawa apa yang Nabi sampaikan tentang Tauhid dalam doa ini bukanlah dari rekaan baginda sendiri tapi ianya adalah dari Allah. Seperti yang kita telah sebut dalam perbincangan istilah, Dalil Wahyu adalah titah khas yang Allah berikan kepada Nabi untuk dijalankan oleh baginda. Bukan untuk baginda sahaja tapi untuk kita juga.
۞ قُل إِنّي نُهيتُ أَن أَعبُدَ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللهِ لَمّا جاءَنِيَ البَيِّنٰتُ مِن رَّبّي وَأُمِرتُ أَن أُسلِمَ لِرَبِّ العٰلَمينَ
Say, [O Muhammad], “Indeed, I have been forbidden to worship those you call upon besides Allah once the clear proofs have come to me from my Lord, and I have been commanded to submit to the Lord of the worlds.”
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku dilarang menyembah benda-benda yang kamu sembah yang lain dari Allah – setelah datang kepadaku keterangan-keterangan yang jelas nyata dari Tuhanku; dan aku diperintahkan supaya tunduk taat bulat-bulat kepada perintah Tuhan sekalian alam”.
قُلْ
Beritahu (kepada mereka wahai Muhammad)
Inilah Dalil Wahyi yang dimaksudkan: Nabi Muhammad disuruh untuk sampaikan ajaran tauhid kepada manusia.
Kalau Nabi Muhammad nak amalkan agama Islam bersendirian, Musyrikin Mekah tak marah pun. Kerana memang sudah ada banyak jenis agama pun semasa di Mekah dan Tanah Arab dulu pun. Mereka boleh sahaja biarkan. Tapi apabila Nabi Muhammad bawa ajaran tauhid, dan kemudian dakwah kepada orang lain, mereka amat marah. Kenapa?
Yang mereka marah adalah kerana Nabi Muhammad menyampaikan ajaran tauhid kepada manusia. Dan ajaran tauhid berlawanan dengan fahaman sesat mereka. Dan bukan sahaja berlawanan, tapi ia juga membongkar kesalahan dalam fahaman mereka. Tentulah mereka akan marah. Tapi baginda tidak ada pilihan lain, kerana memang menyampaikan ajaran Tauhid adalah arahan khusus dari Allah.
Begitu jugalah kita, kalau kita selepas belajar ini, buat senyap sahaja, tidak ada sesiapa yang marah kepada kita. Sebab kita tak buat kerja dan syaitan pun suka dengan kita. Tapi kalau kita buat kerja dakwah seperti yang diarahkan kepada Nabi Muhammad ini, memang kita akan bertemu dengan banyak penentang.
إِنّي نُهيتُ أَن أَعبُدَ الَّذينَ تَدعونَ مِن دونِ اللهِ
“Sesungguhnya aku dilarang menyembah benda-benda yang kamu sembah yang lain dari Allah
Nabi disuruh beritahu kepada Musyrikin Mekah: Sesungguhnya aku ini dilarang untuk sembah, puja, kirim salam sama ada kepada malaikat ini, malaikat itu, Nabi-nabi, roh-roh yang sudah mati, sama ada wali ataupun tidak sepertimana yang kamu seru mereka itu. Maknanya, apa yang kamu buat, aku takkan buat.
Kenapa Nabi kena cakap begini? Kerana sampai satu waktu, Musyrikin Mekah telah datang kepada Nabi Muhammad untuk berkompromi. Mereka kononnya nak cari jalan tengah antara mereka dan baginda. Mereka kata tak payahlah mereka terus berbalah, pakailah ajaran dua-dua. Tahun ini kita beramal dengan ajaran Nabi, tahun depan beramal dengan apa yang mereka telah lama diamalkan (iaitu amalan syirik).
Itulah sebabnya Nabi disuruh beri jawapan sebegini. Kerana tidak ada kompromi dalam hal tauhid dan syirik. Islam tidaklah macam agama lain yang boleh campur-campur amalan dan fahaman mereka. Begitu juga kita, tak boleh kompromi dengan fahaman syirik dan amalan bidaah. Kalau salah, maka kita kena tegur dan betulkan.
Macam dalam negara kita, begitu ramai yang mengaku Muslim tapi bermacam-macam cara doa mereka. Cara-cara itu tidak ada dalil dalam agama, tapi diajar oleh guru-guru yang sesat. Jangan kita ikut cara-cara mereka itu.
لَمّا جاءَنِيَ البَيِّنٰتُ مِن رَّبّي
apabila sudah datang kepada aku dalil bukti yang nyata dari Tuhanku
Kalau dulu kita pernah buat, itu sebab kita pun jahil, tak belajar tentang Tauhid, tidak belajar tafsir Al-Qur’an, tidak belajar tentang bahaya tawasul. Tapi sekarang kita sudah tahu mana boleh buat, mana yang tak boleh buat, takkan kita nak buat lagi? Setelah datang ilmu, maka kita kenalah berhenti dari melakukan kesalahan lagi.
Ayat ini bukanlah hendak menceritakan yang Nabi Muhammad dulu ada buat syirik dalam berdoa, tapi apabila sudah dapat wahyu, baginda berhenti. Dulu baginda tidak pernah buat pun tapi cuma waktu itu baginda tiada dalil lagi.
Sebenarnya, Nabi tidak pernah melakukan syirik kerana semua para Nabi dipelihara oleh Allah dari melakukan syirik. Cuma waktu itu baginda tidak ada dalil, dan sekarang sudah ada dalil. Dan apabila baginda sudah ada dalil, maka baginda kena sampaikan kepada orang lain.
وَأُمِرتُ أَن أُسلِمَ لِرَبِّ العٰلَمينَ
Dan aku juga diperintahkan supaya serah diri bulat-bulat kepada pencipta, pemelihara, penjaga seluruh alam,
Kita telah diperintahkan untuk menyerahkan diri kita sepenuhnya kepada pencipta dan pemelihara alam semesta ini, iaitu Allah taala.
Apakah yang dimaksudkan dengan ‘serah diri semuanya’? Maksudnya kena terima semuanya yang telah disampaikan oleh Allah dan Nabi. Jangan tolak sikit pun.
Jangan jadi macam apa yang dilakukan oleh satu negeri yang telah mengubah hukum Faraid. Mereka tolak ayat-ayat Faraid itu seperti mereka mengatakan bahawa pendapat dan cara mereka lebih baik dari Allah. Kerana harta Faraid itu mereka beri kepada perempuan semuanya sekali.
Padahal apa yang disuruh Allah dalam Al-Qur’an, lain. Maknanya, ada beberapa ayat Al-Qur’an yang mereka dah tolak. Padahal negeri itu ada mufti. Memanglah mereka tidak pernah kata mereka ‘tolak’ ayat Al-Qur’an, tapi perbuatan mereka itu sudah menunjukkan mereka tolak. Sebab mereka tolak dengan ‘tidak pakai’.
Itu sebagai contoh. Islam ini kita kena terima semua sekali, tidak boleh sikit-sikit dan jangan tolak walau satu ayat Al-Qur’an pun. Berlapang dada untuk terima apa yang telah disampaikan dalam wahyu.
Janganlah kerana kita sudah selalu amal tawasul, tapi apabila diberitahu ada ayat dalam Al-Qur’an yang larang tawasul, kita tolak tepi ayat Al-Qur’an itu dan tetap nak tawasul juga.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 19 Julai 2019
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Ibn Kathir