Tafsir Surah Ali Imran Ayat 20 – 21 (Kebenaran Islam vs Kedegilan Ahli Kitab)

Ali Imran Ayat 20: Setelah didakwahkan kepada orang kafir, dan kepada orang yang menentang, adakah mereka terus akan terima? Tentu tidak, mereka akan berhujah dan buat helah.

فَإِن حآجّوكَ فَقُل أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ وَمَنِ اتَّبَعَنِ ۗ وَقُل لِّلَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالأُمِّيّينَ ءأَسلَمتُم ۚ فَإِن أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا ۖ وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ ۗ وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

SAHIH INTERNATIONAL
So if they argue with you, say, “I have submitted myself to Allah [in Islam], and [so have] those who follow me.” And say to those who were given the Scripture and [to] the unlearned, “Have you submitted yourselves?” And if they submit [in Islam], they are rightly guided; but if they turn away – then upon you is only the [duty of] notification. And Allah is Seeing of [His] servants.

MALAY
Oleh sebab itu jika mereka berhujah (menyangkal dan) membantahmu (Wahai Muhammad), maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”. Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi” (orang-orang musyrik Arab): “Sudahkah kamu mematuhi dan menurut (ugama Islam yang aku bawa itu)?” Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (tidak mahu menerima Islam), maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan (dakwah Islam itu). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.

 

فَإِن حاجّوكَ

Maka jika mereka berhujah membantahmu

Mereka yang menentang itu berbantah tentang hal tauhid, bukannya perkara lain. Ini adalah kerana perkara akidah adalah yang paling besar. Apabila selisih hal akidah inilah yang menyebabkan manusia pecah belah dengan amat teruk sekali.

Beginilah yang terjadi kepada Nabi Muhammad ketika bersemuka dengan ahli-ahli agama Kristian dari Najran. Mereka telah berdebat dan bertukar fikiran, tapi masih lagi degil. Segala bukti dan dalil telah diberikan  yang sepatutnya mereka telah faham, tapi tetap berdegil!

Tidak disebutkan siapakah yang berhujah dengan Nabi Muhammad. Ia tentulah golongan Yahudi, Kristian dan juga Musyrikin Mekah pada zaman itu. Mereka inilah yang menolak dakwah yang Nabi Muhammad sampaikan.

Dan begitulah juga yang terjadi zaman berzaman. Akan ada sahaja yang degil dan berhujah dengan hujah bodoh menggunakan akal dan hujah amalan tok nenek. Kitanya beri ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis-hadis yang sahih, mereka beri hujah akal pula… beri hujah tok guru…. beri hujah tok nenek…. Memang tidak ke manalah jawabnya kalau berdebat begitu. Maka sekarang Allah beritahu apa yang kita patut katakan kepada mereka.

Manusia memang sentiasa sahaja berhujah menentang kebenaran dan kadangkala mereka menggunakan ayat-ayat kita sendiri. Mereka pusing dan pusing untuk mengalahkan kita. Contohnya kita lihat Anbiya’:98

إِنَّكُم وَما تَعبُدونَ مِن دونِ اللهِ حَصَبُ جَهَنَّمَ أَنتُم لَها وٰرِدونَ
Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah, adalah kayu api Jahannam, kamu pasti masuk ke dalamnya.

Puak kafir pada zaman Rasulullah ada menggunakan ayat ini untuk memerangkap Nabi Muhammad. Ayat-ayat Al-Qur’an menegur tentang amalan menyembah ma’bud bathil. Antaranya berhala dan ada disebut di dalam ayat lain, berhala pun akan dibakar dalam neraka juga. Mereka tetap hendak berhujah dengan mengatakan oh kalau yang disembah itu masuk neraka, jadi kami sembah Nabi Isa, baginda masuk neraka jugalah? Yahudi pula sembah Uzair, beliau masuk neraka jugalah? Lihat permainan mereka. Kebenaran mereka tidak mahu terima, tapi mereka menggunakan hujah-hujah bodoh sebegini. Maka Allah jawab hujah mereka ini di dalam Anbiya’:101-102

إِنَّ ٱلَّذِينَ سَبَقَت لَهُم مِّنَّا ٱلحُسنَىٰٓ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ عَنہَا مُبعَدُونَ (١٠١) لَا يَسمَعُونَ حَسِيسَهَا‌ۖ وَهُم فِى مَا ٱشتَهَت أَنفُسُهُم خَـٰلِدُونَ (١٠٢)
Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi memperoleh kebaikan dari Kami, mereka dijauhkan dari Neraka itu. (101) Mereka tidak mendengar suara (julangan) api Neraka itu dan mereka akan kekal selama-lamanya di dalam (nikmat-nikmat Syurga) yang diingini oleh jiwa mereka. (102)

Maka Allah jawab orang seperti Nabi Isa, Uzair itu, mereka telah mendapat nikmat dari awal lagi. Mereka disembah itu bukannya kerana mereka suruh. Maka mereka pasti dijauhkan dari api neraka! Mereka pun tidak tahu yang mereka disembah. Dan nanti apabila diberitahu yang mereka disembah, mereka tidak redha pun dengan penyembahan itu!

 

فَقُل أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ

maka katakanlah: “Aku telah berserah diriku kepada Allah

Sekarang Allah ‎ﷻ ajar Nabi Muhammad supaya jawab sahaja begini. Di dalam ayat sebelum ini telah disebut, إِنَّ الدّينَ عِندَ اللَّهِ الإِسلٰمُ (Sesungguhnya ugama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam). Dan sekarang Nabi pun disuruh sebut oleh Allah untuk mengaku baginda sudah menyerah diri, baginda sudah Muslim. Kalau Nabi sendiri pun sudah mengaku, maka siapa kita untuk berdegil lagi?

Allah tak suruh Nabi menjawab hujah mereka, bukan? Kerana segala hujah telah disampaikan. Kalau layan lagi dengan hujah, takkan habis hujah mereka kerana mereka memang degil. Begitulah kadangkala kita bila berdakwah, kita akan jumpa orang sebegini. Maka Allah ajar, ada ketikanya jangan cakap banyak lagi dengan mereka. Ini kerana sudah banyak hujah yang diberikan kepada mereka. Mereka itu degil dan tidak akan berubah. Mungkin belum sampai masanya untuk mereka terima, jadi jangan buang masa lagi dengan mereka. Ada lagi orang lain untuk kita dakwahkan. Kalau layan mereka yang degil ini, buang masa dan buang karan sahaja. Maka beginilah juga kita diajar apabila berhadapan dengan orang-orang sebegini.

Contoh yang kita boleh baca sendiri adalah bagaimana Allah telah menegur Nabi Muhammad di dalam Surah Abasa. Nabi sedang berdakwah kepada pemuka Quraish kerana baginda berharap mereka akan beriman dan ramailah lagi akan beriman kalau begitu. Ketika itu datanglah Abdullah ibn Ummi Maktum yang buta hendak bertanyakan sesuatu kepada Nabi. Dahi baginda berkerut kerana ‘gangguan’ dari Abdullah itu. Allah menegur baginda kerana baginda sibuk melayan pemuka Quraish itu yang tidak akan beriman pun. Allah sebut di dalam Abasa:5-7

أَمَّا مَنِ ٱستَغنَىٰ (٥) فَأَنتَ لَهُ ۥ تَصَدَّىٰ (٦) وَمَا عَلَيۡكَ أَلَّا يَزَّكَّىٰ (٧)
Adapun orang yang merasa keadaannya telah cukup, tidak berhajat lagi (kepada ajaran Al-Quran), (5) Maka engkau bersungguh-sungguh melayaninya. (6) Padahal engkau tidak bersalah kalau dia tidak mahu membersihkan dirinya (dari keingkarannya). (7) 

Digunakan lafaz ‘wajah’ dalam ayat ini tetapi yang dimaksudkan semua sekali – jiwa, hati dan diri semua sekali. Ia adalah bahagian tubuh yang paling mulia. Kalau ada orang hendak pukul kita, kita selalunya akan tutup wajah kita, bukan? Dan kerana ia mulia, maka kita tundukkan wajah kita kepada Allah ketika di dalam sujud. Dan ketika itulah doa kita paling mustajab. Maka Allah sebut wajah kerana wajah mewakili keseluruhan tubuh. Kalau tubuh tertutup, wajah terbuka, masih boleh dikenal individu itu. Tambahan pula, wajah menjelaskan isi hati kerana apa yang dalam hati kita, boleh terzahir dengan wajah kita. Ini seperti firman Allah tentang bapa Arab Jahiliyyah yang dapat anak perempuan di dalam Nahl:58

وَإِذا بُشِّرَ أَحَدُهُم بِالأُنثىٰ ظَلَّ وَجهُهُ مُسوَدًّا وَهُوَ كَظيمٌ
Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia menahan marah.

Tambahan pula, di wajahnya juga ada mata, ada telinga, otak pun ada sekali di situ. Maknanya, walaupun sebut wajah sahaja, tetapi maksudnya semua sekali. Maksudnya, serah diri kepada Allah ‎ﷻ dengan mengikut syari’at dengan sepenuhnya. Begitulah kita baca kata-kata Nabi Ibrahim di dalam An’am:79

إِنّي وَجَّهتُ وَجهِيَ لِلَّذي فَطَرَ السَّمٰوٰتِ وَالأَرضَ حَنيفًا ۖ وَما أَنا مِنَ المُشرِكينَ
“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Wajah juga adalah tempat yang sentuh ketika kita sujud dalam solat, bukan? Apabila Allah sebut wajah di sini, ia juga adalah teguran pedas kepada mereka kerana Ahli Kitab telah meninggalkan solat, juga telah meninggalkan sujud, bukan? Sedangkan ia ada di dalam syariat mereka, dan malah masih disebut lagi di dalam kitab mereka, lihat Matius 26:39

“Kemudian Dia pergi jauh sedikit lalu meniarap ke tanah (menyembah/sujud) dan berdoa, ‘Ya Bapa-Ku, jika boleh, jauhlah cawan penderitaan ini daripada-Ku! Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.'”

 

وَمَنِ اتَّبَعَنِ

dan demikian juga orang-orang yang mengikutku”

Maksudnya sesiapa sahaja yang mengikut syari’at Nabi Muhammad ﷺ. Kalau mereka kata mereka ikut baginda, mereka juga akan serahkan seluruh diri mereka mengikut Nabi ﷺ dan syari’at Islam. Maka kalau kita mengaku sebagai umat baginda, maka hendaklah kita serahkan diri kita kepada Allah ‎ﷻ dan taat kepada segala suruhan-Nya.

Dan kena taat dan ikut Nabi Muhammad sepenuhnya, bukannya separuh ikut, separuh tidak. Jangan juga separuh ikut Nabi tapi separuh lagi reka sendiri dengan fahaman dan amalan bid’ah. Kena ingat yang kita kena ikut adalah Nabi Muhammad, bukannya guru kita. Kalau guru kita pun ikut Nabi, bagus. Tapi kalau tok guru pun masih goyang, kita pun tidak pasti dari mana ajaran dia dapat, baik tinggalkan sahaja.

Perhatikan ada pemisahan tentang Nabi Muhammad dan para pengikut di dalam ayat ini. Allah sebut أَسلَمتُ وَجهِيَ لِلَّهِ yang merujuk kepada Nabi Muhammad sendiri, kemudian barulah disebut وَمَنِ اتَّبَعَنِ yang merujuk kepada mereka ikut ajaran Nabi Muhammad. Kenapa ada pemisahan ini? Kenapa tidak disebut sahaja أَسلَمتُ وَمَنِ اتَّبَعَنِ وَجهنا لِلَّهِ?

Yang pertama, kerana tidaklah sama iman dan keikhlasan Nabi Muhammad dengan manusia yang lain. Yang kedua, kerana tanggungjawab dakwah yang utama sekali diletakkan di atas pundak baginda. Ini seperti firman Allah di dalam Nisa’:84

فَقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللهِِِ لَا تُكَلَّفُ إِلَّا نَفْسَكَ وَحَرِّضِ الْمُؤْمِنِينَ
Oleh itu, berperanglah (wahai Muhammad) pada jalan Allah (untuk membela Islam dari pencerobohan musuh); engkau tidak diberati selain daripada kewajipanmu sendiri. Dan berilah peransang kepada orang-orang yang beriman (supaya turut berjuang dengan gagah berani).

Perhatikan frasa yang digunakan di sini adalah وَمَنِ اتَّبَعَنِ (dan demikian juga orang-orang yang mengikutku) dan bukanlah وَمَنِ آمَنُوا بِي (dan yang beriman denganku). Kerana iman sahaja tidak cukup, tapi kenalah membuahkan hasil iman itu dengan mengikut jejak langkah Rasulullah. Nabi Muhammad bukan sahaja beriman dengan Allah, tapi baginda berdakwah dan menyampaikannya kepada umat. Maka kalau ikut jejak langkah baginda, kenalah ikut berdakwah juga. Jangan buat tidak tahu sahaja.

 

وَقُل لِّلَّذينَ أوتُوا الكِتٰبَ وَالأُمِّيّينَ ءأَسلَمتُم

Dan bertanyalah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi Kitab, dan orang-orang yang “Ummi”:  “Sudahkah kamu menyerahkan diri?

Walaupun telah ada frasa di atas yang berbunyi seolah-olah tidak ada lagi guna dakwah kepada mereka, akan tetapi sambungan ini memberitahu kita yang dakwah masih lagi tidak tertutup. Masih lagi Nabi Muhammad disuruh berdakwah kepada mereka. Sekarang Allah ‎ﷻ suruh Nabi Muhammad ﷺ tanya kepada Ahli Kitab dan penduduk Mekah yang tidak ada kitab. Allah tidak sebut Musyrikin Mekah tapi Allah gunakan istilah الأُمِّيّينَ (orang-orang yang tidak tahu menulis dan membaca). Kenapa mereka digelar begitu? Kerana mereka tidak ada kitab wahyu di tangan mereka seperti golongan Ahli Kitab. Mereka juga kebanyakannya tidak tahu menulis dan membaca.

Apakah soalan kepada mereka? Adakah kamu mahu menyerahkan diri 100% kepada Allah ‎ﷻ dalam hal akidah dan amalan agama?

Tanya mereka: adakah mereka ikut ajaran Nabi-nabi mereka sendiri yang mengaku mereka itu Muslim? Sebagai contoh, Yahudi kata ikut mereka ikut ajaran Nabi Musa عليه السلام; Kristian pula kata mereka ikut ajaran Nabi Isa عليه السلام; dan orang-orang Arab kata mereka mengikut ajaran Nabi Ibrahim عليه السلام. Sekarang tanya mereka: sudahkah mereka kaji apakah fahaman dan amalan Nabi-nabi mereka itu? Bukankah Nabi-Nabi itu semuanya Muslim (seperti yang mereka kata sendiri)? Oleh itu, adakah kamu mahu kembali kepada ajaran Nabi-nabi itu dan meninggalkan ajaran-ajaran daripada rabbi, paderi dan ulama’-ulama’ kamu yang berlawanan dengan ajaran para Nabi?

Maka ini adalah ayat dakwah walaupun ia di dalam bentuk soalan. Tujuannya adalah supaya ajak mereka kepada agama Islam yang menyerah diri sepenuhnya kepada Allah. Jangan lagi berpegang kepada agama selain dari agama Islam. Ini Nabi Muhammad telah lakukan. Baginda telah berdakwah kepada Yahudi, Nasrani, juga golongan Musyrikin. Bagaimana pula dengan kita?

Kita pun wajib untuk sampaikan kepada orang kafir juga dakwah Islam ini. Jangan kita simpan agama Islam ini untuk diri kita sahaja. Di dalam ayat ini, suruhan dakwah itu kepada Nabi Muhammad, tapi ia juga kepada kita juga, bukan? Apa yang Nabi dapat dari wahyu, kita pun kena sampaikan juga. Bukankah Rasulullah telah bersabda, melalui Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As r.a.

بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
“Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat. Ceritakanlah tentang (kisah) Bani Israil dan tidak ada dosa (untuk menceritakannya). Dan sesiapa yang mendustakan atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia bersiap sedia mengambil tempat duduknya di dalam neraka.”

(Riwayat al-Bukhari, No. 3461)

Maka ini mengajar kita, walaupun setelah kita dakwah kepada manusia, dan mereka menolak, jangan terus tinggalkan mereka. Mungkin ketika itu mereka tidak mahu beriman, tidak mahu ikut, kita tinggalkan dahulu. Tapi di hari lain, kita dakwah lagi kepada mereka. Kita dapat faham ini adalah dakwah di hari lain kerana kalimah permulaannya adalah وَقُل (dan katakanlah) yang memberi isyarat ini adalah kata-kata di waktu lain. Iaitu kita telah sampaikan tempoh hari dalil dan bukti, dan apabila kita berjumpa di lain kali, kita tanya balik: “amacam? boleh terima ke yang aku cakap hari tu?”

 

فَإِن أَسلَموا فَقَدِ اهتَدَوا

Kemudian jika mereka memeluk Islam, maka sebenarnya mereka telah memperoleh petunjuk; 

Sekiranya mereka mahu serah diri dan taat sepenuhnya kepada Allah dan ajaran Nabi Muhammad, barulah mereka dikira terpimpin yang sebenarnya. Barulah mereka boleh kata mereka telah menerima hidayah. Kalau tidak, mereka hanya perasan sahaja.

Serah diri kepada Allah itu bermaksud sepanjang masa kita beramal, bekerja, kehidupan kita adalah kerana Allah. Kita makan kerana Allah, kita bekerja kerana Allah, kita berkawan kerana Allah. Maknanya bukan solat dan puasa sahaja kerana Allah. Dalam segenap kehidupan juga adalah kerana Allah. Apa maksud kerana Allah? Iaitu kita menjalani kehidupan kita ikut hukum Allah, ikut syariat Allah, ikut panduan yang Allah berikan. Jangan semasa beribadah sahaja kita ikut cara Allah ajar kita, tapi dalam kehidupan seharian kita tidak ikut pula!

 

وَّإِن تَوَلَّوا فَإِنَّما عَلَيكَ البَلٰغُ

dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan

Kalau mereka tidak terima, maka Nabi ﷺ diingatkan yang tugas baginda hanya untuk sampaikan sahaja. Baginda dan juga kita tidak boleh memaksa orang beriman. Baginda tidak dipertanggungjawabkan sama ada mereka ikut atau tidak. Yang penting, baginda sudah sampaikan.

Begitu jugalah dengan kita. Kita hanya dipertanggungjawabkan untuk sampaikan ajaran wahyu ini kepada seramai yang boleh. Akan tetapi, malangnya ramai yang tidak akan dengar. Namun, tidak mengapa,  sekurang-kurangnya kita sudah sampaikan. Mereka terima atau tidak, itu di luar kuasa kita. Kalau mereka tidak terima pun, tanggungjawab kita sudah selesai dan dengan menyampaikan sahaja, kita sudah dapat pahala dakwah.

Maka ayat ini mengajar kita tentang usaha dakwah. Kadang-kadang mungkin kita rasa kalau kita cakap pun, hanya buang masa sahaja kerana kita rasa orang yang didakwah tidak akan dengar. Atau kita rasa tidak sedap hati untuk berdakwah, sebab walaupun kita sudah dakwah tetapi orang yang didakwah tidak ikut pun. Ramai yang putus asa dalam berdakwah.

Akan tetapi Allah ‎ﷻ beritahu dalam ayat ini yang tidak mengapa kalau mereka tidak ikut, kerana tugas kita adalah untuk sampaikan sahaja. Kita tetap akan dapat pahala setelah kita sampaikan dan kita akan tingkatkan iman kita setelah kita berdakwah. Maka jangan jemu berdakwah dan mengajar. Ini adalah tugas kita semua, kena sampaikan dakwah agama Islam kepada manusia.

 

وَاللَّهُ بَصيرٌ بِالعِبادِ

Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat (tingkah laku) sekalian hambaNya.

Allah ‎ﷻ sedang melihat usaha kita yang berdakwah. Kalau kita tidak dakwah, Allah ‎ﷻ pun lihat kita dan akan azab kita kerana tidak meneruskan tugas Nabi.

Allah ‎ﷻ juga sedang melihat mereka yang berpaling. Allah ‎ﷻ catit dalam kitab amalan mereka bagaimana mereka telah menolak dan malah mungkin menentang para pendakwah tauhid. Maka tidak perlulah kita risau sangat dengan apa yang terjadi. Janji Allah ‎ﷻ nampak usaha kita.

Sekian Ruku’ 2 dari 20 ruku’ surah ini


 

BALASAN BAGI MEREKA YANG DEGIL

Ali Imran Ayat 21: Ini adalah ayat zajrun (ayat teguran) dan takhwif ukhrawi (penakutan azab akhirat).

Mereka yang kufur dalam golongan Kristian Najran itu asyik bertanya kepada Nabi Muhammad ﷺ padahal mereka sudah ada kitab wahyu. Kedatangan mereka itu berjumpa dengan baginda adalah kerana mereka tidak puas hati bila dengar ada pula umat selain mereka yang dapat kitab, maka mereka hendak datang tanya.

Maka Allah ‎ﷻ beri ancaman kepada mereka dalam ayat ini.

إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ حَقٍّ وَيَقتُلونَ الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ مِنَ النّاسِ فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

SAHIH INTERNATIONAL
Those who disbelieve in the signs of Allah and kill the prophets without right and kill those who order justice from among the people – give them tidings of a painful punishment.

MALAY
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar, serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

 

إِنَّ الَّذينَ يَكفُرونَ بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah

Ini adalah ayat ancaman kepada mereka yang ingkar tak mahu nak pakai ajaran dari wahyu. Walaupun telah diajak kepada Islam, tapi masih ramai yang berdegil tidak mahu beriman juga lagi. Ini adalah kerana mereka menutup telinga dan hati mereka dari kebenaran. Maka mereka akan mendapat ancaman dalam ayat ini.

Apa lagi kesalahan yang mereka lakukan?

 

وَيَقتُلونَ النَّبِيّينَ بِغَيرِ حَقٍّ

dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang tidak benar,

Allah tegur golongan Bani Israil yang banyak tanya soalan kepada Nabi Muhammad itu. Allah kata tidak payahlah mereka nak tunjuk pandai. Nabi kamu sendiri pun kamu bunuh. Walaupun mereka itu keturunan Yahudi yang duduk tinggal di Madinah dan tidak pernah membunuh Nabi, tapi saki baki perangai jahat itu masih ada lagi dalam diri mereka. Buktinya, mereka pernah ada komplot untuk membunuh Nabi Muhammad sendiri.

Ya, memang benar Bani Israil banyak membunuh Nabi-Nabi dari kalangan mereka. Contohnya, mereka telah bunuh Nabi Zakariya dan anaknya Nabi Yahya. Mereka juga cuba buat komplot untuk bunuh Nabi Isa sendiri, tapi telah gagal. Kalau ada Nabi yang cakap sesuatu yang tak kena dengan jiwa mereka, mereka akan cuba untuk bunuh.

 

وَيَقتُلونَ الَّذينَ يَأمُرونَ بِالقِسطِ مِنَ النّاسِ

serta membunuh orang-orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil

Juga mereka bunuh guru-guru yang mengajar ajaran tauhid dengan benar. Begitulah yang terjadi sekarang kepada pada pendakwah tauhid. Ramai yang tidak disukai dan ditentang dan ditohmah. Kalau ajar agama sahaja tidak mengapa, tapi kalau sudah sentuh tentang tauhid, ramai yang akan melenting.

Sampaikan ada yang mendapat teguran dari orang ramai, malah ada yang ditohmah sampaikan dipenjarakan. Ini terjadi zaman berzaman. Sebagai contoh, lihat sejarah apa yang terjadi kepada Ibnu Taimiyyah dan juga Imam Syafie. Dan sampai zaman sekarang ini pun masih ada lagi perkara ini berlaku.

 

فَبَشِّرهُم بِعَذابٍ أَليمٍ

maka sampaikanlah berita gembira kepada mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Sekarang Allah perli mereka. Beri ‘berita gembira’ tapi sebenarnya berita yang diberikan adalah amat menakutkan.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 16 Ogos 2020

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir al-Azhar Dr Hamka

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment