AZAB BAGI GOLONGAN KAFIR
Ali Imran Ayat 10: Setelah menyebut tentang kepastian Hari Akhirat dan permintaan doa minta diselamatkan, maka sekarang diseimbangkan pula dengan disebut tentang lawannya, iaitu kalau tidak selamat.
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم وَلآ أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئًا ۖ وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ
SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, those who disbelieve – never will their wealth or their children avail them against Allah at all. And it is they who are fuel for the Fire.
MALAY
Sebenarnya harta benda orang-orang kafir, dan juga anak-pinak mereka tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka dari (azab seksa) Allah sedikit juapun; dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا لَن تُغنِيَ عَنهُم أَموٰلُهُم
Sesungguhnya orang-orang kafir, tidaklah dapat menyelamatkan mereka harta benda mereka
Ini adalah ayat takhwif ukhrawi. Ini adalah tentang mereka yang kafir kerana degil. Harta mereka tidak boleh membantu mereka langsung, tidak kira walau kaya macam mana sekalipun.
Dalam ayat sebelum ini telah disebut tentang semua manusia akan dikumpulkan di Mahsyar kelak. Apa yang bernilai pada waktu itu adalah akidah dan amal kita. Harta-benda tidak akan mempunyai nilai langsung. Maka kalau orang ingkar yang kaya, kekayaan mereka itu tidak akan dapat menyelamatkan mereka.
Harta benda dan kekayaan adalah antara perkara yang boleh melalaikan manusia dan menyebabkan manusia sesat. Ini kerana mereka sudah tidak ada rasa bergantung kerana semua senang dapat, masalah pun kurang. Maka mereka lupa kepada Allah. Apabila ada duit banyak pun, memang senang terpesona dengan dunia kerana senang sahaja untuk mereka buat maksiat sana sini. Hendak belajar agama pun sudah kurang, sebab sibuk ke sana sini. Kemudian untuk mendapatkan harta itu pula, ramai yang menggunakan cara yang salah, menipu, riba, dan sebagainya. Maka agama memang jauh dari manusia sebegini. Bukan semua, tapi ramai.
Maka ini mengajar kita, janganlah kita hanya asyik mengumpulkan harta sahaja. Harta banyak mana pun bukannya boleh menyelamatkan kita kalau kita akan dimasukkan ke dalam neraka. Tapi sebenarnya harta itu sendiri tidak bersalah. Hendaklah kita beramal dengan kebaikan dan harta itu hendaklah kita infakkan. Harta yang ada sebenarnya boleh menjadikan peluang untuk kita buat pahala dengan lebih banyak kalau kita ada kesedaran. Maka jadinya ia peluang untuk pahala, bukannya lubuk untuk dosa.
وَلا أَولٰدُهُم مِّنَ اللَّهِ شَيئً
dan juga anak pinak mereka dari Allah sedikit pun
Juga anak atau pengaruh tidak akan menyelamatkan mereka daripada azab Allah ﷻ kerana ia tidak akan berguna sedikit pun.
Dua perkara yang menyibukkan manusia adalah harta tadi dan sekarang disebut anak pinak pula. Anak pinak pun ada berkaitan dengan harta juga sebenarnya. Ramai yang sibuk mengumpul harta benda kerana mereka hendak simpan untuk kegunaan anak pinak. Ilmu agama dan akhlak tidak diajar kepada anak pinak itu, tetapi harta yang disibukkan untuk mereka. Padahal, harta itu anak pinak boleh cari sendiri apabila mereka sudah dewasa nanti, bukan? Yang penting untuk mereka di waktu kecil adalah pendidikan agama. Malangnya, ramai ibubapa tidak ambil peduli. Alangkah ruginya!
Lagi satu anak pinak ini senang sangat melalaikan kita. Sibuk kita bermain dengan mereka, sibuk tentang nasib mereka, tentang makan pakai mereka, tentang permainan mereka, sakit pening mereka dan sebagainya. Bukanlah salah, tapi kalau sampai ia melalaikan kita dari agama, dari beribadah dan dari mendalami ilmu agama, maka ia jadi buruk. Kerana itu ada yang kalau kita ajak kelas agama, sibuk kerana anak hendak peperiksaan, anak hendak tuisyen, anak itu dan ini. Jadi lemah ilmu agama kerana sibuk dengan anak sahaja akhirnya.
Asbabun Nuzul: Selepas kejayaan umat Islam di Badr, puak Yahudi telah telah cuba menyakitkan perasaan para sahabat yang baru pulang daripada kemenangan Badr. Yahudi kata apa yang para sahabat itu baru hadapi tidak ada apa-apa sebenarnya; dan mereka kata nanti puak Islam akan menghadapi masalah dan tentangan yang lebih besar. Mereka kata orang Mekah itu tidaklah hebat mana. Mereka (Yahudi itu lagi hebat). Maka Allah ﷻ turunkan ayat ini untuk memberitahu yang harta dan anak pinak puak kafir itu tidak akan dapat membantu mereka apa-apa pun. Jangan mereka sangka mereka akan selamat. Jangan bangga diri dengan kelebihan keduniaan yang ada.
وَأُولٰئِكَ هُم وَقودُ النّارِ
dan mereka itulah bahan bakaran api neraka.
Ini adalah ayat jenis Takhwif Ukhrawi (menakutkan manusia dengan azab di akhirat). Mereka akan jadi bahan bakar api neraka. Harta dan anak pinak banyak tapi kena bakar dengan api neraka, buat apa?
Dan neraka jangan buat main-main. Api neraka sampai takut dengan penambahan ahli neraka sebab neraka akan jadi semakin panas apabila bertambah ramainya ahli neraka. Ini kerana semakin ramai ahli neraka, semakin menyebabkan neraka itu sendiri menjadi sakit disebabkan bertambah kepanasannya. Bayangkan neraka yang memang kerjanya bakar orang pun rasa panas dengan penambahan ahli neraka. Setiap kali masuk seorang ahli baru, semakin naik suhu kepanasan.
Untuk takut dengan neraka (dan supaya kita jangan buat dosa), maka kita hendaklah banyak baca ayat-ayat tentang Neraka. Ramai yang seolah-olah tidak takut dengan neraka sebab neraka ini tidak nampak lagi depan mata. Tapi ia boleh dibayangkan kalau kita selalu baca ayat-ayat tentangnya.
Ali Imran Ayat 11:
كَدَأبِ ءَالِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم ۚ كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم ۗ وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ
SAHIH INTERNATIONAL
[Theirs is] like the custom of the people of Pharaoh and those before them. They denied Our signs, so Allah seized them for their sins. And Allah is severe in penalty.
MALAY
(Keadaan orang-orang kafir itu) sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu dari mereka; mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksaNya.
كَدَأبِ ءَالِ فِرعَونَ وَالَّذينَ مِن قَبلِهِم
sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka;
Kalimah كَدَأبِ bermaksud ‘seperti kebiasaan’. Kalimah دَأبِ bermaksud pekerjaan yang dilakukan dengan penuh kesungguhan dan berulang-ulang sehingga menjadi kebiasaan dan berterusan. Seksa yang menimpa Firaun dan golongan sebelum mereka adalah kerana kederhakaan mereka yang berulang dan berterusan.
Kenapa mereka degil? Kekufuran golongan kafir itu kerana ada bersangkutan dengan harta. Ini seperti yang berlaku kepada Firaun juga. Disebabkan dia kaya dan ada pengaruh besar, maka dia tidak mahu mendengar dakwah Nabi Musa عليه السلام. Bukan hanya Firaun sahaja, malah kaum terdahulu pun menentang Nabi mereka kerana sebab yang sama. Ini memang kebiasaan yang berlaku zaman berzaman.
Kerana sayangkan keduniaanlah, Musyrikin Mekah melawan Nabi Muhammad ﷺ kerana baginda merupakan seorang anak yatim dan miskin. Mereka amat berbangga dengan harta dan pengaruh yang ada pada mereka. Puak kafir yang menentang Islam akan mendapat nasib yang sama macam yang telah dikenakan kepada Firaun.
كَذَّبوا بِـَٔايَـٰتِنَا فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنوبِهِم
mereka mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka.
Kerana mereka tidak mahu juga pakai wahyu dari Allah ﷻ, maka Allah ﷻ azab mereka. Mendustakan ayat-ayat Allah ﷻ itu bermaksud tidak mahu ikut apa yang disampaikan dalam wahyu. Mungkin tidak disebut mereka ‘tolak’ wahyu, tapi apabila mereka tidak mahu ikut apa yang disampaikan, maka itu menjadi tanda yang mereka menolak ajaran wahyu.
Mereka telah menerima seksaan itu di dunia lagi. Ini kerana sebelum ini disebut tidak berguna harta dan anak-anak mereka. Dan kerana di dalam ayat ini digunakan dalam bentuk fi’il madhi (past tense). Jadi ia bermaksud azab yang mereka terima ketika di dunia. Azab akhirat belum bermula lagi. Di akhirat pun mereka akan kena azab juga. Ini seperti firman Allah di dalam Ra’d:34
لَّهُم عَذابٌ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا ۖ وَلَعَذابُ الآخِرَةِ أَشَقُّ ۖ وَما لَهُم مِّنَ اللهِ مِن واقٍ
Bagi mereka azab dalam kehidupan dunia dan sesungguhnya azab akhirat adalah lebih keras dan tak ada bagi mereka seorang pelindung pun dari (azab) Allah.
وَاللَّهُ شَديدُ العِقابِ
Dan (ingatlah), Allah Maha berat azab seksa-Nya.
Allah ﷻ mengingatkan kita betapa beratnya azab dari-Nya. Tidak dapat dibayangkan dengan akal. Ini hendak menakutkan kita. Jangan main-main dengan ayat-ayat Allah ﷻ. Allah ﷻ beri amaran dalam ayat ini.
Ali Imran Ayat 12: Azab itu bukan hanya di akhirat sahaja. Di dunia lagi Allah ﷻ sudah boleh tunjuk.
قُل لِّلَّذينَ كَفَروا سَتُغلَبونَ وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ ۚ وَبِئسَ المِهادُ
SAHIH INTERNATIONAL
Say to those who disbelieve, “You will be overcome and gathered together to Hell, and wretched is the resting place.”
MALAY
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang kafir itu: “Kamu akan dikalahkan (di dunia ini) dan akan dihimpunkan (pada hari kiamat) ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.
قُل لِّلَّذينَ كَفَروا
Katakanlah kepada orang-orang kafir itu:
Allah ﷻ suruh beri ancaman kepada orang-orang kafir itu. Orang Kafir yang dimaksudkan dalam ayat ini boleh jadi sama ada musyrikin Mekah, Nasara atau Yahudi. Iaitu mereka yang menentang ajaran wahyu.
سَتُغلَبونَ
Kamu akan dikalahkan
Allah ﷻ hendak beritahu yang mereka akan dikalahkan. Memang sekarang mereka nampak mereka kuat, tetapi nanti mereka akan dikalahkan. Akan tetapi kekayaan dan kekuasaan yang mereka ada itu tidak akan dapat memenangkan mereka dan menyelamatkan mereka dari kekalahan. Kalah atau menang di tangan Allah.
Mungkin ada yang mengkritik ayat ini kerana umat Islam sekarang sedang lemah, takkan boleh mengalahkan orang kafir sekarang. Akan tetapi ayat ini bukannya tentang sepanjang zaman. Tapi ia adalah tentang musuh umat Islam ketika ayat ini diturunkan. Iaitu puak Musyrikin Mekah yang dikalahkan di dalam banyak peperangan dengan tentera Muslim dan akhirnya Mekah ditakluk oleh umat Islam. Ia juga merujuk kepada musuh lagi satu iaitu puak Yahudi yang juga dikalahkan oleh umat Islam di Madinah. Sampaikan mereka dihalau keluar dari Semenanjung Arab ketika itu.
وَتُحشَرونَ إِلىٰ جَهَنَّمَ
dan akan dihimpunkan ke dalam neraka Jahannam,
Di dunia lagi kamu akan dikalahkan dan di akhirat kelak kamu akan dimasukkan ke dalam neraka.
وَبِئسَ المِهادُ
dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”.
Neraka itu bukanlah tempat berehat tetapi tempat dikenakan azab. Mereka hidup senang dan indah di dunia, tapi balasannya mereka akan merempat dalam neraka nanti! Tidak ada tempat yang lebih buruk daripada neraka itu. Maka sepatutnya kita takut dan orang kafir pun sepatutnya takut dengan ancaman ini.
Kalimah المِهادُ sebenarnya adalah buaian. Bayi sedap tidur di dalam buaian kerana mereka rasa tenang dan selesa. Tapi adakah di neraka selesa? Tentu tidak! Maka ini adalah perli kepada mereka. Duduklah kamu dalam ‘buaian’ di neraka!
BANTUAN ALLAH PADA PERANG BADR
Ali Imran Ayat 13:
قَد كانَ لَكُم ءَايَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا ۖ فِئَةٌ تُقـٰتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ وَأُخرىٰ كافِرَةٌ يَرَونَهُم مِّثلَيهِم رَأيَ العَينِ ۚ وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِۦ مَن يَشاءُ ۗ إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي ٱلأَبصَـٰرِ
SAHIH INTERNATIONAL
Already there has been for you a sign in the two armies which met – one fighting in the cause of Allah and another of disbelievers. They saw them [to be] twice their [own] number by [their] eyesight. But Allah supports with His victory whom He wills. Indeed in that is a lesson for those of vision.
MALAY
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu (di medan perang); satu pasukan (orang-orang Islam) berperang pada jalan Allah (kerana mempertahankan ugama Allah), dan yang satu lagi dari golongan kafir musyrik. Mereka (yang kafir itu) melihat orang-orang Islam dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya berbanding dengan mereka sendiri. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang berfikiran (yang celik mata hatinya).
قَد كانَ لَكُم ءَايَةٌ في فِئَتَينِ التَقَتا
Sesungguhnya telah ada satu tanda (bukti) bagi kamu pada (peristiwa) dua pasukan yang telah bertemu
Allah ﷻ bukan sekadar memberi ancaman kosong sahaja, malah Allah ﷻ memberikan contoh perkara yang telah berlaku. Allah ﷻ berikan contoh bagaimana Dia telah menolong golongan yang benar dan mengalahkan golongan sesat.
Yang dimaksudkan di dalam kisah ini adalah Perang Badr. Surah Ali Imran ini memang ada menyebut tentang Perang Badr dan Perang Uhud. Maka kita belajar sedikit sebanyak tentang sejarah dalam surah ini.
فِئَةٌ تُقـٰتِلُ في سَبيلِ اللَّهِ
satu pasukan berperang pada jalan Allah
Yang dimaksudkan adalah tentera Muslim. Mereka waktu itu seramai 313 orang sahaja. Perjuangan mereka adalah kerana hendak menegakkan kalimah Allah ﷻ. Musuh mereka yang kafir itu pula berjuang kerana menjaga harta mereka. Jadi, walaupun tentera Muslim waktu itu sedikit, tetapi oleh kerana yakin dengan Allah ﷻ, maka mereka berani menghadapi pihak musuh yang lebih ramai dan lebih lengkap (dari segi peralatan perang) daripada mereka.
Balaghah: kita tahu yang pihak yang berperang pada jalan Allah ﷻ ini adalah pihak mukmin. Memang tidak dilafazkan dalam ayat ini kerana ia dihazafkan untuk mencantikkan bahasa. Ini kerana kalau disebut akan menyebabkan panjang dan ia tidak perlu kerana dapat difahami apabila kita melihat kepada bahagian yang lain iaitu dalam bahagian ayat selepas ini disebut yang pihak yang lagi satu adalah pihak ‘kafir’.
Jadi, Allah ﷻ tidak menyebut pihak mukmin kerana telah disebut lawannya, iaitu pihak kafir itu. Kita dapat ambil pemahaman daripada lawannya. Apabila telah disebut lawannya, tidak perlu lagi disebutkan dengan panjang lagi.
وَأُخرىٰ كافِرَةٌ
dan yang satu lagi dari golongan kafir
Yang dimaksudkan adalah Musyrikin Mekah. Bilangan mereka waktu itu seramai seribu orang. Mereka tiga kali ganda lebih ramai daripada puak Islam.
Dalam potongan ayat ini juga ada balaghahnya. Tidak disebut yang pihak kafir ini berperang atas jalan taghut tetapi kita dapat faham bahawa mereka berperang di atas jalan taghut kerana dalam potongan ayat sebelum ini telah disebut bagaimana pihak yang lagi satu (tentera Mukmin) berperang pada jalan Allah ﷻ. Maka dihazafkan maklumat yang pihak kafir ini berperang atas jalan taghut kerana telah disebut lawannya.
يَرَونَهُم مِّثلَيهِم رَأيَ العَينِ
Mereka melihat lawan dengan pandangan mata biasa – dua kali ramainya
Siapa yang nampak siapa? Ada dua tafsir dalam ayat ini:
1. Waktu itu kumpulan Muslim nampak puak kafir itu dua kali ganda lebih ramai daripada mereka padahal bilangan mereka sebenarnya tiga kali ganda lebih ramai. Maknanya, tidaklah nampak ramai sangat. Atau, apabila mereka melihat bilangan tentera musuh itu dua kali ganda mereka, mereka lebih berharap dan berdoa kepada Allah. Mereka pun sudah menerima janji Allah seperti yang disebut di dalam Anfal:66
فَإِن يَكُن مِّنكُم مِّاْئَةٌ صابِرَةٌ يَغلِبوا مِاْئَتَينِ ۚ وَإِن يَكُن مِّنكُم أَلفٌ يَغلِبوا أَلفَينِ بِإِذنِ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ مَعَ الصّٰبِرينَ
Maka jika ada di antaramu seratus orang yang sabar, nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang kafir; dan jika di antaramu ada seribu orang (yang sabar), nescaya mereka akan dapat mengalahkan dua ribu orang, dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.
2. Ataupun boleh juga bermaksud, puak kafir yang nampak puak Muslim itu yang dua kali ganda lebih ramai daripada mereka, walaupun realitinya, mereka yang lebih ramai. Ini adalah untuk menakutkan puak kafir itu. Supaya semangat juang mereka menjadi kendur.
وَاللَّهُ يُؤَيِّدُ بِنَصرِهِ مَن يَشاءُ
Dan Allah sentiasa menolong dengan pertolongan-Nya, sesiapa yang dikehendaki-Nya,
Walaupun puak kafir waktu itu lebih ramai daripada orang Islam, tetapi Allah ﷻ tolong orang beriman dan beri kemenangan kepada umat Islam dalam Perang Badr itu. Ramainya orang bukanlah alamat yang mereka pasti akan dapat kemenangan.
Kemenangan bergantung kepada kehendak Allah ﷻ. Allah ﷻ yang menentukan siapa yang akan menang. Kerana segala kuasa penentuan berada di tangan Allah ﷻ. Kita hanya mampu berusaha sahaja, tapi ditentukan oleh Allah ﷻ.
إِنَّ في ذٰلِكَ لَعِبرَةً لِّأُولِي الأَبصٰرِ
Sesungguhnya pada peristiwa itu terdapat satu pengajaran yang memberi insaf bagi orang-orang yang melihat
Ini adalah satu pengajaran sampai bila-bila masa. Ada banyak pengajaran di dalam perang Badr itu. Banyak pengajaran yang boleh mendidik manusia. Antaranya kemenangan itu bukan di tangan tentera yang lebih ramai dan lebih canggih. Boleh sahaja kumpulan yang nampaknya lemah mengalahkan kumpulan yang lebih besar dan kuat.
Akan tetapi yang boleh mengambil pengajaran itu adalah mereka yang kuat pemikiran sampai mendapat mengambil natijah dari kesudahan sesuatu perkara. Mereka inilah yang boleh gunakan akal mereka yang waras untuk memikirkan.
Mereka inilah yang boleh nampak realiti sesuatu perkara. Mereka tidak hanya melihat sahaja tetapi mereka memikirkan sekali apakah kesudahan yang boleh terjadi. Mereka boleh nampak yang tersurat kerana mereka menggunakan akal mereka.
Kalimah yang digunakan di dalam ayat ini adalah أُولِي الأَبصٰرِ. Kalimah الأَبصٰرِ di sini bermaksud pandangan mata zahir. Ini bukanlah pandangan mata batin atau mata hati kerana kalau yang itu, kalimah yang digunakan adalah أُولِي البَصائِر.
Di dalam Al-Qur’an, digunakan tiga kalimah untuk merujuk kepada pandangan mata dan setiap satunya ada perbezaan. Iaitu نظر، بصر dan رأى.
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 2 Julai 2026
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

