Ali Imran Ayat 3:
نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ
SAHIH INTERNATIONAL
He has sent down upon you, [O Muhammad], the Book in truth, confirming what was before it. And He revealed the Torah and the Gospel.
MALAY
Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Dia juga yang menurunkan Kitab Taurat dan Injil.
نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ
Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Qur’an) dengan mengandungi kebenaran,
Kalimah ٱلكِتَـٰبَ di dalam ayat ini bermaksud Al-Qur’an. Kenapa Allah tidak menggunakan kalimah ‘Al-Qur’an’ di sini? Penggunaan kata nama ini (bukan sekadar menyebut “Al-Quran” yang bermaksud bacaan) adalah satu bentuk pujian dan pengagungan (Tashrif). Penggunaan kata Al-Kitab dengan huruf Alif Lam (ال) di hadapannya memberikan makna Al-Kamal (Kesempurnaan), seolah-olah Allah ingin menyatakan: “Inilah satu-satunya kitab yang paling sempurna dan paling layak dipanggil sebagai Kitab daripada segala jenis kitab yang ada di dunia.”
Balaghah (Iltifat): Jika kita melihat ayat 2 sebelum ini, Allah disebut menggunakan kata ganti nama ketiga: “Allahu la ilaha illa Huwa…” (Allah, tiada Tuhan melainkan Dia…). Masuk sahaja ayat 3, subjeknya masih Allah (kata ganti nama ketiga/ghaib), tetapi ayat ini ditujukan secara langsung kepada Nabi Muhammad (kata ganti nama kedua/muwajjah – عَلَيكَ / Kepadamu). Perubahan dinamik ini dalam ilmu balaghah dipanggil Iltifat. Ia berfungsi untuk menghidupkan suasana teks, menarik perhatian pembaca, dan menunjukkan keakraban hubungan antara Sang Pencipta (Allah) dan utusan-Nya (Muhammad SAW).
Allah ﷻ telah menurunkan Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tapi tentulah ia bukan sahaja untuk baginda. Ia untuk semua umat manusia. Ia menjadi panduan hidup kita yang sepatutnya kita kena pelajari. Kerana Allah ﷻ yang turunkan, maka kita sebagai hambaNya, kenalah tahu apa yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada kita. Maka berhentilah setakat baca sahaja Al-Qur’an siang dan malam tanpa faham apa yang hendak disampaikan. Luangkanlah masa untuk belajar tafsir sedikit demi sedikit.
Kalimah نَزَّلَ maksudnya daripada segi bahasa adalah: menurunkan. Kenapa digunakan kalimah menurunkan? Kerana yang menurunkannya adalah Allah dan Allah di atas langit. Ini adalah satu lagi bukti dari bukti-bukti yang banyak sebagai dalil yang Allah di langit.
Balaghah: Susunan ayat yang biasa dalam tatabahasa Arab sepatutnya: نَزَّلَ ٱلكِتَـٰبَ عَلَيكَ (Dia menurunkan Al-Kitab kepadamu). Namun, Allah mengubah susunannya (Taqdim wa Ta’khir) menjadi: نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ (Dia menurunkan kepadamu Al-Kitab).
Rahsia Balaghah: Mendahului kata ganti nama “kepadamu” (عَلَيكَ) yang merujuk kepada Nabi Muhammad SAW berfungsi sebagai Al-Ihtimam (memberi perhatian khusus) dan Al-Ikram (memuliakan kedudukan Nabi SAW). Allah ingin menegaskan betapa tingginya darjat Nabi Muhammad SAW di sisi-Nya kerana bagindalah insan terpilih yang dada dan jiwanya mampu menerima bebanan wahyu yang sangat berat itu. Allah yang mulia, menurunkan Al-Qur’an yang mulia kepada insan yang mulia iaitu Nabi Muhammad.
Dan Allah kata Dia menurunkan Al-Qur’an itu بِالحَقِّ (dengan kebenaran). Ada dua maksud di sini:
1. Allah ﷻ menegaskan yang Kitab Al-Qur’an itu adalah benar dan ia diturunkan dengan tujuan memberitahu kebenaran – iaitu kebenaran tentang Allah ﷻ. Maka untuk kita tahu kebenaran, kenalah kita belajar tentang Al-Qur’an ini, iaitu dengan mempelajari ilmu tafsir.
2. Proses penurunan Al-Qur’an juga benar. Ia dari Allah dan bukanlah rekaan Nabi Muhammad atau baginda cedok dari mana-mana sumber lain.
مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ
yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya,
Al-Qur’an itu membenarkan ajaran akidah tauhid yang ada dalam Taurat dan Injil dan kitab-kitab yang lain. Bukanlah Allah ﷻ beritahu kitab-kitab itu sekarang benar. Ini adalah kerana semua kitab-kitab wahyu lain sebelum Al-Qur’an telah diselewengkan.
Namun sebelum ia diselewengkan, kitab-kitab itu juga membawa ajaran yang benar terutama sekali tentang Tauhid. Allah ﷻ hendak memberitahu, sama sahaja ajaran tauhid di dalam kitab-kitab itu dengan Al-Qur’an.
Allah hendak menempelak golongan Ahli Kitab yang tidak mahu beriman dengan Al-Qur’an. Sedangkan mereka beriman dengan Taurat dan Injil. Tapi sumber Al-Qur’an adalah sama dengan sumber Taurat dan Injil juga. Jadi kalau mereka menolak Al-Qur’an, mereka juga sebenarnya menolak kitab mereka sendiri.
Bagaimana cara Al-Qur’an membenarkan kitab-kitab sebelumnya? Bukankah di dalam kitab-kitab itu menyebut kedatangan Nabi Muhammad? Nah sekarang Nabi Muhammad yang dijanjikan telah muncul.
وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ
dan Dia juga yang menurunkan Taurat dan Injil.
Disebut Kitab Taurat dan Injil dalam ayat ini, memberi isyarat bahawa surah ini adalah tentang puak Nasara kerana mereka sahaja yang terima Taurat dan Injil. Ini kerana puak Yahudi tidak terima Injil sebagai kalam Allah ﷻ.
Golongan Nasara pun kena terima Taurat juga kerana itu juga sebahagian daripada kitab mereka. Kalau dalam Bible mereka sekarang, Taurat itu adalah Old Testament dan Injil adalah New Testament.
Balaghah: Perhatikan apabila menyebut tentang penurunan Al-Qur’an, kalimah نَزَّلَ digunakan dan apabila menyebut tentang Taurat dan Injil, kalimah أَنزَلَ pula yang digunakan. Kedua-duanya bermaksud menurunkan, tapi kenapa menggunakan wazan yang berbeza?
Nazzala (نَزَّلَ – Kata kerja berulang/bertahap): Perkataan ini mengandungi makna At-Tadrij (penurunan secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit, dan memakan masa yang lama).
Rahsia Balaghah: Allah menggunakan kata Nazzala khusus untuk Al-Qur’an kerana mukjizat ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara bertahap-tahap selama kira-kira 23 tahun. Istimewanya, di hujung ayat yang sama, apabila Allah menyebut tentang kitab Taurat dan Injil, Allah beralih menggunakan perkataan Anzala (أَنْزَلَ), kerana kedua-dua kitab terdahulu itu diturunkan sekali gus secara sekelip mata kepada Nabi mereka.
Penurunan Al-Qur’an secara beransur-ansur (At-Tadrij) selama kira-kira 23 tahun mempunyai hikmah dan kelebihan yang sangat besar, sama ada terhadap diri Nabi Muhammad SAW mahupun kepada para sahabat dan umat Islam keseluruhannya. Al-Qur’an sendiri merakamkan persoalan orang kafir yang mempertikaikan mengapa Al-Quran tidak diturunkan sekali gus, lalu Allah menjawabnya di dalam Furqan:32
وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لَولا نُزِّلَ عَلَيهِ القُرءآنُ جُملَةً وٰحِدَةً ۚ كَذٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ ۖ وَرَتَّلنٰهُ تَرتيلًا
Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa Al Qur’an itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?”; demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacanya secara tartil (teratur dan benar).
Tugas menyampaikan dakwah adalah sesuatu yang teramat berat. Nabi SAW sentiasa berhadapan dengan ujian, ancaman, penghinaan, dan penolakan daripada kaum musyrikin. Apabila wahyu turun secara berkala, ia bertindak sebagai sokongan moral yang berterusan daripada Allah. Setiap kali Nabi SAW berada dalam kesedihan atau menghadapi jalan buntu, Jibril akan datang membawa ayat baharu untuk memujuk, menguatkan semangat, dan memberikan panduan terus kepada baginda.
Masyarakat Arab pada zaman tersebut adalah masyarakat Ummi (majoritinya tidak tahu membaca dan menulis) yang bergantung sepenuhnya kepada kekuatan hafalan. Jika Al-Qur’an diturunkan sekali gus dalam sebuah buku yang tebal, sudah tentu ia teramat sukar untuk dihafal, diingati, dan difahami oleh para sahabat. Penurunan beberapa ayat demi beberapa ayat membolehkan para sahabat menghafalnya dengan mantap, memahaminya dengan mendalam, dan memindahkan ayat tersebut ke dalam dada mereka dengan sempurna sebelum berpindah ke ayat yang lain.
Masyarakat jahiliah ketika itu sudah sebati dengan tabiat buruk yang mendarah daging seperti menyembah berhala, berzina, berjudi, dan meminum arak. Untuk mengubah budaya ini, Islam menggunakan pendekatan psikologi yang bertahap. Contoh Klasik adalah Pengharaman Arak): Allah tidak mengharamkan arak secara mengejut. Fasa pertama, Allah menyatakan ada manfaat dan ada dosa pada arak, tetapi dosanya lebih besar (Baqarah:219). Fasa kedua, Allah melarang solat dalam keadaan mabuk (Nisa’:43). Fasa ketiga, barulah arak diharamkan secara mutlak dan total (Maidah:90). Saidatuna Aisyah RA pernah berkata:
عَنْ يُوسُفَ بْنِ مَاهَكَ قَالَ: إِنَّمَا نَزَلَ أَوَّلَ مَا نَزَلَ مِنْهُ سُورَةٌ مِنَ الْمُفَصَّلِ، فِيهَا ذِكْرُ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ، حَتَّى إِذَا ثَابَ النَّاسُ إِلَى الْإِسْلَامِ نَزَلَ الْحَلَالُ وَالْحَرَامُ، وَلَوْ نَزَلَ أَوَّلَ شَيْءٍ: لَا تَشْرَبُوا الْخَمْرَ، لَقَالُوا: لَا نَدَعُ الْخَمْرَ أَبَدًا، وَلَوْ نَزَلَ: لَا تَزْنُوا، لَقَالُوا: لَا نَدَعُ الزِّنَا أَبَدًا، لَقَدْ نَزَلَ بِمَكَّةَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنِّي لَجَارِيَةٌ أَلْعَبُ: {بَلِ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ وَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ} وَمَا نَزَلَتْ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَالنِّسَاءِ إِلَّا وَأَنَا عِنْدَهُ.
Daripada Yusuf bin Mahak, beliau menceritakan bahawa Saidatuna Aisyah RA pernah berkata: “Sesungguhnya ayat yang mula-mula turun daripada Al-Quran adalah surah daripada al-Mufassal (surah-surah pendek di bahagian akhir Al-Quran) yang di dalamnya disebut perihal syurga dan neraka. Sehinggalah apabila manusia telah murni hatinya dan kembali kepada Islam, maka barulah turun ayat-ayat mengenai halal dan haram. Sekiranya perkara pertama yang turun adalah larangan: ‘Janganlah kamu meminum arak’, nescaya mereka akan berkata: ‘Kami tidak akan meninggalkan arak selama-lamanya’. Dan sekiranya turun larangan: ‘Janganlah kamu berzina’, nescaya mereka akan berkata: ‘Kami tidak akan meninggalkan zina selama-lamanya’. Sesungguhnya telah turun di Mekah kepada Nabi Muhammad SAW ketika aku masih seorang kanak-kanak yang suka bermain, ayat (Surah Al-Qamar: 46): ‘Bahkan hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka, dan hari kiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit.’ Dan tidaklah Surah Al-Baqarah dan Surah An-Nisa’ (yang sarat dengan hukum-hakam) itu turun melainkan ketika aku sudah pun menjadi isteri di sisi baginda.”
Sahih Al-Bukhari. No. Hadis: 4993
Ali Imran Ayat 4:
مِن قَبلُ هُدًى لِّلنّاسِ وَأَنزَلَ الفُرقانَ ۗ إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ
SAHIH INTERNATIONAL
Before, as guidance for the people. And He revealed the Qur’an. Indeed, those who disbelieve in the verses of Allah will have a severe punishment, and Allah is exalted in Might, the Owner of Retribution.
MALAY
Sebelum (Al-Qu’ran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).
مِن قَبلُ
Sebelumnya,
Ini adalah sambungan daripada ayat sebelum ini – Taurat dan Injil telah diturunkan dahulu sebelum diturunkan Al-Qur’an.
هُدًى لِّلنّاسِ
menjadi petunjuk bagi umat manusia.
Semua kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah ﷻ adalah sumber hidayah kepada manusia.
Namun, perlulah kita ingatkan di sini bahawa bukanlah Taurat dan Injil yang ada sekarang menjadi sumber hidayah kepada manusia pula kerana Taurat dan Injil yang ada sekarang bukanlah yang asli, tetapi telah ada campur tangan tambahan daripada kata-kata manusia.
Taurat dan Injil yang asal memang menjadi sumber hidayah, tetapi Taurat dan Injil yang ada sekarang, tidak. Janganlah ada pula yang menggunakan dalil ayat ini dan ayat-ayat lain yang membenarkan dua kitab itu, untuk mengatakan boleh pakai Taurat dan Injil sekarang sebagai sumber hidayah.
وَأَنزَلَ الفُرقانَ
Dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqaan
‘Furqan’ daripada segi bahasa adalah ‘pembeza’ dan dalam ayat ini maksudnya menzahirkan mukjizat. Ini kerana Mukjizat membezakan antara manusia biasa dan para Nabi dan ia adalah sebagai bukti kenabian. Manusia akan percaya kepada Nabi (kepada yang mahu percaya) jikalau mereka menunjukkan bukti dan salah satu bukti kenabian adalah mukjizat.
Banyak kekeliruan tentang mukjizat ini. Allah ﷻ yang menzahirkan mukjizat itu, bukannya dengan kehendak Nabi. Oleh itu, mukjizat bukanlah kuasa yang ada pada para Nabi.
Sebagai contoh, kalau Nabi Musa رضي الله عنه saja-saja mengetuk laut atau sungai dengan tongkatnya untuk menyeberang laut atau sungai itu, laut atau sungai itu tidak akan terbelah. Hanya apabila Allah ﷻ suruh dan jadikan, barulah ia terjadi. Jadi, kalau Nabi hendak buat sendiri, ia tidak akan terjadi. Oleh itu digunakan lafaz Furqan untuk membezakan antara manusia dan Nabi.
Begitu juga dengan karamah. Karamah pun ramai yang keliru. Mereka sangka karamah itu adalah kuasa para wali. Ini adalah fahaman salah yang amat besar dalam masyarakat kita. Kena ingat yang seperti juga mukjizat bukan kuasa Nabi, karamah juga bukan kuasa wali. Hanya apabila Allah ﷻ hendak tunjukkan, baru ia akan terjadi. Maka, kalau ada orang yang dikatakan ‘wali’, dan dia boleh buat benda-benda ajaib (atas kehendak dia), itu bukan ‘karamah’, tetapi itu adalah ‘sihir’.
Furqan juga bermaksud membezakan mana yang benar dan mana yang tidak. Al-Qur’an itu membezakan manakah ajaran yang benar dan ajaran yang salah. Oleh itu, apa-apa sahaja ilmu agama, hendaklah dibandingkan dengan Al-Qur’an.
Malangnya ramai mereka dalam kalangan masyarakat kita tidak belajar Al-Qur’an, tetapi terus belajar ‘agama’ dengan guru yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an pun. Maka banyak ajaran-ajaran mereka ada yang pelik dan berlawanan dengan apa yang diajar oleh Al-Qur’an.
Ini kerana apabila guru dan anak murid sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak dapat bezakan mana yang benar dan mana yang tidak. Ini adalah masalah besar dalam masyarakat kita, sampai boleh menyebabkan pecah belah dan benci membenci.
إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ
Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat.
Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi untuk menakutkan mereka yang degil untuk beriman dengan ayat-ayat Allah ﷻ. Setelah diberi dengan dakwah tetapi masih tidak mahu beriman, Allah ﷻ janjikan kepada mereka azab yang pedih di neraka kelak.
وَاللَّهُ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ
Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa
Kalimah ذُو انتِقامٍ (yang mempunyai pembalasan dendam) maksudnya Allah ﷻ boleh terus menghukum manusia dengan memberi azab kepada makhluk pada bila-bila masa sahaja yang Dia mahu. Maksudnya Allah ﷻ mempunyai kuasa itu, tetapi Allah ﷻ tidak meletak sifat-Nya sebagai al-Muntaqim (yang membalas dendam).
Maksudnya, tidak semestinya Allah ﷻ terus berikan azab-Nya sebagai balas dendam kepada manusia. Allah ﷻ mempunyai sifat-sifat lain yang tidak terus mengazab makhluk-Nya.
Ali Imran Ayat 5: Ini adalah penyempurnaan kepada dalil yang telah disampaikan sebelum ini. Dalil-dalil ini diberi untuk menguatkan hujah bahawa Allah ﷻ itulah sahaja ilah.
إِنَّ اللَّهَ لا يَخفىٰ عَلَيهِ شَيءٌ فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ
SAHIH INTERNATIONAL
Indeed, from Allah nothing is hidden in the earth nor in the heaven.
MALAY
Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.
إِنَّ اللَّهَ لا يَخفىٰ عَلَيهِ شَيءٌ
Sesungguhnya Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatu pun
Hanya pada Allah ﷻ sahaja yang tidak tersembunyi segala perkara kepada-Nya. Nabi Isa عليه السلام dan Maryam itu banyak benda mereka tidak tahu, maka mereka bukanlah ilah yang boleh disembah.
فِي الأَرضِ وَلا فِي السَّماءِ
yang ada di bumi dan juga yang ada di langit.
Allah ﷻ Maha Tahu apa yang terjadi di bumi dan juga di langit. Manusia langsung tidak tahu apa yang terjadi di langit pun. Pengembaraan manusia ke langit itu hanya pada peringkat langit pertama sahaja dan itu pun hanya sedikit sahaja yang kita tahu.
ِAli Imran Ayat 6:
هُوَ الَّذي يُصَوِّرُكُم فِي الأَرحامِ كَيفَ يَشاءُ ۚ لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
SAHIH INTERNATIONAL
It is He who forms you in the wombs however He wills. There is no deity except Him, the Exalted in Might, the Wise.
MALAY
Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim (ibu kamu) sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
هُوَ الَّذي يُصَوِّرُكُم فِي الأَرحامِ كَيفَ يَشاءُ
Dia lah yang membentuk rupa kamu dalam rahim sebagaimana yang dikehendaki-Nya.
Allah ﷻ sahaja yang boleh memberikan rupa paras dan menentukan bagaimana bentuk manusia, bukan Nabi Isa عليه السلام dan Maryam. Lihatlah bagaimana semua dalil-dalil yang diberikan boleh dibandingkan kepada Nabi Isa dan Maryam kerana hendak membezakan Allah ﷻ dengan Nabi Isa عليه السلام dan Maryam yang bukan Tuhan. Kita kena ingat yang ayat-ayat ini turun untuk Nasara yang datang dari Najran.
Allah ﷻ sahaja yang menentukan bagaimana rupa kita, tinggi rendah dan sebagainya, semuanya dalam ketentuan Allah ﷻ . Maka jangan kita teringin hendak jadi macam orang lain. Jangan kita marah kalau rupa kita tidak cantik atau sebagainya kerana yang menentukannya adalah Allah ﷻ. Kalau kita tidak suka dengan rupa kita, maknanya kita marah kepada Allah ﷻ yang telah menjadikannya begitu.
Entah berapa banyak manusia yang telah dilahirkan daripada Nabi Adam عليه السلام sampailah nanti ke hari Kiamat. Tidak ada seorang pun yang sama rupa paras dan keadaan mereka. Allah ﷻ telah beritahu dalam ayat yang lain, cap jari setiap manusia itu pun berbeza juga. Semua ini terjadi kerana Allah ﷻ itu Maha Berkuasa dan Dia mampu untuk menjadikan manusia itu berlainan semenjak di dalam janin lagi.
لآ إِلٰهَ إِلّا هُوَ العَزيزُ الحَكيمُ
Tiada ilah melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Allah ﷻ ulang sekali lagi Dakwa Surah iaitu hanya Dia sahaja ilah.
Kalimah al-Aziz maksudnya Allah Maha Berkuasa untuk buat apa sahaja. Allah ﷻ berkuasa dan mampu untuk menyeksa dan memberi azab kepada makhluk-Nya yang ingkar. Kalau Allah ﷻ hendak buat, tidak ada sesiapa yang boleh menghalang.
Kalimah al-Hakim maksudnya Allah Maha Bijaksana dalam menangguh untuk beri hukum. Allah ﷻ boleh sahaja mengazab terus makhluk-Nya yang ingkar, tetapi Dia tidak buat. Semuanya dalam kebijaksanaan Allah ﷻ kerana dengan Allah ﷻ menangguh azab -Nya kepada kita, maka masih ada lagi peluang untuk kita bertaubat dan memperbaiki diri kita.
Allah ﷻ juga Maha Bijaksana dalam menentukan bagaimana rupa kita. Maka, jangan persoalkan apa yang Allah ﷻ telah lakukan. Bersyukurlah dengan rupa paras yang Allah ﷻ telah berikan.
Ayat 7: Ayat ini untuk memperjelaskan tentang kesamaran-kesamaran seperti yang telah disebut dalam pengenalan Surah Ali Imran ini. Antara kesamaran yang ada dalam Kitab Injil, telah disebut Nabi Isa عليه السلام adalah ‘Anak Allah’, ‘Roh Allah’ dan lain-lain lagi. Itu adalah lafaz-lafaz yang samar yang menyebabkan kekeliruan manusia tentang Nabi Isa عليه السلام.
Dalam Al-Qur’an juga ada ayat-ayat yang samar-samar yang boleh menyebabkan orang Islam salah faham. Maka perkara ini perlu diperjelaskan.
هُوَ الَّذي أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ مِنهُ ءَايَـٰتٌ مُّحكَمَـٰتٌ هُنَّ أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ ۖ فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ فَيَتَّبِعونَ ما تَشَـٰبَهَ مِنهُ ابتِغاءَ الفِتنَةِ وَابتِغاءَ تَأويلِهِ ۗ وَما يَعلَمُ تَأويلَهُ إِلَّا اللَّهُ ۗ وَٱلرّٰسِخُونَ فِي العِلمِ يَقولونَ ءَامَنَّا بِهِ كُلٌّ مِّن عِندِ رَبِّنا ۗ وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو ٱلأَلبَـٰبِ
SAHIH INTERNATIONAL
It is He who has sent down to you, [O Muhammad], the Book; in it are verses [that are] precise – they are the foundation of the Book – and others unspecific. As for those in whose hearts is deviation [from truth], they will follow that of it which is unspecific, seeking discord and seeking an interpretation [suitable to them]. And no one knows its [true] interpretation except Allah . But those firm in knowledge say, “We believe in it. All [of it] is from our Lord.” And no one will be reminded except those of understanding.
MALAY
Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Qur’an. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) – adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Qur’an untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.
هُوَ الَّذي أَنزَلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ
Dia lah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Qur’an.
Allah ﷻ memulakan ayat ini dengan mengingatkan kita bahawa Dialah yang menurunkan Al-Qur’an ini kepada Nabi Muhammad ﷺ untuk disampaikan kepada kita.
مِنهُ ءَايَـٰتٌ مُّحكَمَـٰتٌ
Sebahagian besar daripada Al-Qur’an itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat”
Majoriti dalam Al-Qur’an itu ada ayat-ayat yang jelas tentang tauhid dan akidah. Tidak ada ruang untuk kekeliruan dalam ayat-ayat Muhkamat. Ia adalah ayat-ayat yang kita akan mudah faham kalau kita belajar tafsir sebab itulah kita sentiasa tekankan kepentingan belajar tafsir Al-Qur’an supaya manusia boleh faham apakah yang hendak disampaikan.
Ayat-ayat Muhkamat itu juga mengandungi hukum untuk dijadikan panduan oleh makhluk yang dipertanggungjawabkan dengan syariat – manusia dan jin. Maka, ini pun kita kena belajar juga kerana kita kena taat. Kalau kita tidak belajar, bagaimana kita hendak taat?
Cuma, ayat Al-Qur’an akan memberikan hukum secara ringkas dan cara praktiknya akan diajar oleh Nabi ﷺ dalam hadith. Maksud hadith itu pula akan dijelaskan oleh ulama’. Maknanya, kena belajar dengan ulama’ juga, tidak boleh faham sendiri kerana kalau baca sendiri, kita tidak faham.
Sebagai contoh, dalam Al-Qur’an Allah ﷻ suruh kita mendirikan salat tetapi tidak disebut bagaimanakah cara mendirikan salat itu. Maka perincian cara-cara untuk melakukan salat itu diajar oleh Nabi ﷺ melalui hadith baginda dan kita tidak dapat lihat bagaimana cara Nabi ﷺ solat, maka kita kena belajar dengan ulama’ dan guru untuk mendapatkan cara yang betul untuk mendirikan salat itu.
هُنَّ أُمُّ ٱلكِتَـٰبِ
ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu isi Al-Qur’an.
‘Umm’ bermaksud ibu atau induk. Ayat-ayat Muhkamat itu disebut sebagai Ummul Kitab kerana ia adalah ‘asal kitab’ untuk dijadikan neraca untuk membezakan yang benar dan yang tidak. Ia adalah perdu atau pati kepada Al-Qur’an.
Oleh itu, ayat-ayat Muhkamat ini kita kena tahu, kena faham dan kena ikut. Janganlah lagi jadi orang yang jahil, tidak tahu apa yang disampaikan oleh Al-Qur’an ini. Janganlah hanya belajar agama tanpa belajar tafsir dahulu.
وَأُخَرُ مُتَشَـٰبِهَـٰتٌ
Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat”
Cuma selain daripada ayat-ayat Muhkamat yang jelas itu, kitab Allah ﷻ juga mengandungi ayat-ayat yang kurang jelas yang dinamakan Mutasyabihat. Daripada segi bahasa, mutasyabih bermaksud yang serupa, boleh jadi macam-macam makna, tidak tepat kepada satu erti sahaja, tetapi boleh jadi macam-macam makna.
Ia menyentuh perkara yang selain daripada hukum kerana ayat hukum memang kena jelas, tidak boleh samar-samar kerana kalau samar, susah manusia hendak ikut. Ayat-ayat yang samar-samar ini dinamakan ayat-ayat Mutayhabihat dan ia sukar difahami kalau dibaca sepintas lalu sahaja tanpa belajar.
Antara yang termasuk dalam jenis ayat-ayat Mutasyabihat ini adalah ayat-ayat yang kita tidak faham maksudnya, seperti ayat pertama surah ini – alif lam mim dan banyak lagi ayat-ayat muqatta’ah yang lain; termasuk juga dalam jenis ayat-ayat mutasyabihat adalah penerangan tentang Allah ﷻ – Allah ﷻ mempunyai tangan, Allah ﷻ bersemayam di Arasy, Allah ﷻ ada mata, dan sebagainya.
Walaupun samar-samar, tetapi ia masih boleh dijelaskan lagi supaya ada kefahaman setakat yang kita perlu tahu sahaja. Kalau baca sendiri dan sepintas lalu, tentu tidak faham. Takut kalau cuba untuk faham sendiri, akan menyebabkan salah faham dan sesat.
Maka kenalah belajar tafsir dengan mereka yang mahir untuk memahaminya. Janganlah pula tanya dengan guru-guru yang tidak tahu seperti guru tarekat atau guru yang tidak belajar tafsir pula kerana mereka akan pusing ayat-ayat itu sampai manusia keliru kerana mereka pun keliru juga.
Ada ayat-ayat Al-Qur’an yang tidak perlu dihuraikan pun kerana Nabi ﷺ sendiri tidak huraikan. Kalau Nabi sendiri ﷺ tidak huraikan, itu bermaksud kita tidak perlu sibuk hendak cari maksudnya. Ini kerana tugas Nabi ﷺ adalah menyampaikan syariat dan kalau ada ayat-ayat yang boleh menyebabkan kekeliruan, maka baginda pasti sudah menjelaskannya. Nabi ﷺ telah selesai menjalankan tugas baginda dalam menyampaikan agama ini kepada umatnya. Maka, ringkasnya, kalau Nabi ﷺ tidak huraikan, maknanya kita tidak perlu tahu. Tidak perlu pening-pening memikirkannya.
Selain daripada itu, kalau hendak menghuraikan ayat-ayat yang samar itu, kenalah bandingkan dan baca bersama dengan ayat-ayat muhkamat supaya pemahaman itu tidak lari daripada apa yang disampaikan dalam ayat-ayat Muhkamat. Harus diingatkan bahawa ayat Muhkamat adalah ayat asal dan induk kepada agama.
Memang ada banyak perkara yang kita tidak akan dapat tahu dengan mendalam. Sebagai contoh, tentang roh. Puak Yahudi Madinah pernah menyuruh Musyrikin Mekah tanyakan tentang roh kepada Nabi ﷺ. Mereka pesan kepada Musyrikin Mekah itu, kalau Nabi Muhammad ﷺ boleh beritahu tentang roh, maknanya baginda bukan seorang Nabi sebab dalam kitab mereka telah diberitahu yang jawapannya adalah ‘tidak tahu’.
Memang bila ditanya, jawapan yang diberikan oleh Nabi Muhammad ﷺ (setelah diberitahu oleh Allah ﷻ) adalah roh itu adalah urusan Tuhan. Memang kita manusia tidak diberikan dengan ilmu menyeluruh tentangnya. Yang kita tahu, Roh itu ada dan ia adalah urusan Allah ﷻ. Maka kena beriman sahaja setakat yang kita tahu. Allah ﷻ sahaja yang tahu secara keseluruhan dan Nabi ﷺ pun tidak huraikan sedangkan kalau ia perkara yang perlu diketahui, sudah tentu Nabi ﷺ telah huraikan.
Namun malangnya, dalam masyarakat kita, ada yang apabila membicarakan ayat-ayat mutasyabihat, mereka boleh pula menghuraikannya panjang-panjang sedangkan maklumat daripada nas tidak ada. Ini amatlah menghairankan.
Sebagai contoh, Imam Razi kata sampai ada seribu pendapat yang berbeza tentang roh. Padahal ia adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan. Benda yang patut dihuraikan dan dijelaskan tidak pula dihuraikan, tetapi sibuk tentang perkara yang tidak perlu.
فَأَمَّا الَّذينَ في قُلوبِهِم زَيغٌ
adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan,
Ingatlah, hati yang sudah ada kecondongan kepada syirik dan kesesatan, akan mudah mengikut ayat-ayat mutasyabihah yang boleh membawa makna lain daripada ayat-ayat Muhkamat. Hati yang telah punah akan bawa kepada pemahaman makna ayat Al-Qur’an yang punah. Ini amat bahaya.
Sepatutnya pemahaman ayat-ayat Mutasyabihat itu mesti difahami mengikut ayat Muhkamat. Namun, mereka yang hati telah punah itu akan takwil ayat-ayat mutasyabihah itu mengikut kehendak hati mereka. Ini kerana mereka hendak bawakan juga fahaman yang tidak sesuai dengan fahaman tauhid.
Ini pun ada banyak terjadi dalam masyarakat kita kerana ramai yang belajar dengan mereka yang tidak tahu. Maka punahlah masyarakat kita macam juga penganut Nasara yang takwil ikut suka hati mereka.
فَيَتَّبِعونَ ما تَشٰبَهَ مِنهُ
maka mereka menurut apa yang samar-samar daripadanya
Ramai yang dalam kalangan orang kita yang suka benar berbincang tentang ayat-ayat mustasyabihat ini. Mereka rasa macam hebat sahaja, membincangkan tentang apa maksud ‘nur’, tentang arasy Allah ﷻ , maksud Alif Lam Mim dan lain-lain lagi. Sedangkan banyak ayat-ayat tentang hukum, mereka tidak belajar dan amalkan pun lagi.
Oleh itu kita boleh lihat mereka yang banyak membincangkan ayat-ayat mutasyabihat ini adalah orang yang kurang pandai dalam agama tetapi mereka rasa mereka pandai kerana boleh cakap banyak kerana mereka sangka mereka boleh berbincang tentang perkara yang manusia lain tidak tahu. Itu sangkaan mereka sahaja.
Bukanlah ayat-ayat mutasyabihat itu tidak ada makna. Ini kerana apabila Allah ﷻ meletakkannya dalam Al-Qur’an, tentu ada makna. Cuma kita sebagai manusia tidak dapat memahaminya dan kita tidak perlu tahu pun, kerana dalilnya, Nabi ﷺ sendiri tidak beritahu kita.
ابتِغاءَ الفِتنَةِ
untuk mencari fitnah
Perbincangan tentang benda yang memang tidak boleh difahami akan menyebabkan fitnah dalam masyarakat Islam sahaja sebab akan ada banyak pendapat yang berbeza dan ada yang rasa pendapat dia yang benar dan menyalahkan pendapat lain. Maka hasilnya pecah belah dalam masyarakat sampai ada yang kafir mengkafir.
Lebih malang lagi jika daripada penerangan tentang ayat-ayat mutasyabihat itu boleh menyebabkan salah faham tentang Allah ﷻ sampaikan boleh membawa kepada syirik. Ini amat bahaya.
وَابتِغاءَ تَأويلِهِ
dan mencari-cari takwilnya
Mereka sengaja membuang masa hendak mencari dan hendak tahu apakah maksud (takwil) ayat-ayat mutasyabihaat itu. Padahal ia bukanlah perkara yang perlu diketahui. Mereka telah disibukkan dengan perkara yang tidak perlu.
وَما يَعلَمُ تَأويلَهُ إِلَّا اللَّهُ
Padahal tidak ada yang mengetahui takwilnya melainkan Allah.
Sedangkan Allah ﷻ sahaja yang tahu takwil kepada ayat-ayat mutasyabihat itu. Manusia tidak ada kelebihan itu. Awal-awal surah ini lagi telah diletakkan alif lam mim yang kita sendiri tidak tahu apakah maksudnya. Memang kalau kita pecah kepala fikir pun, tidak akan dapat tahu.
وَالرّٰسِخونَ فِي العِلمِ
Dan orang-orang yang mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama,
Iaitu mereka yang dalam, luas dan sudah kukuh ilmu mereka. Mereka telah belajar habis tentang agama, luar dan dalam. Mereka telah belajar sampai ke kemuncak ilmu yang boleh dicapai oleh manusia. Merekalah yang banyak menulis kitab-kitab tafsir yang muktabar.
يَقولونَ ءآمَنّا بِهِ كُلٌّ مِن عِندِ رَبِّنا
mereka berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami”
Mereka kata mereka beriman dengan ayat-ayat mutasyabihat itu sebagai ayat daripada Allah ﷻ. Mereka terima dengan seadanya, tanpa perlu tahu dan fikir secara mendalam sangat kerana dalam mencari ilmu agama, yang paling penting kita kena pastikan adalah sama ada ia adalah wahyu atau tidak. Kalau wahyu, maka kita terima dan beriman dengannya sama ada kita faham ataupun tidak.
Tidak ada malunya kalau kita terima ada perkara yang kita tidak akan dapat tahu. Ini kerana kita hanyalah manusia biasa. Sedangkan mereka yang amat-amat alim jauh lebih daripada kita pun cakap begitu, apatah lagi kita?
Ayat-ayat Mutasyabihat itu tidak banyak dalam Al-Qur’an, tidak sampai seratus ayatnya. Jadi, tidak mengganggu agama kita kalau kita tidak faham apakah maksud ayat-ayat mutasyabihat itu.
وَما يَذَّكَّرُ إِلّا أُولُو الأَلبٰبِ
Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.
Tidak ramai yang boleh mengambil pengajaran ini melainkan mereka yang ada akal yang waras. Akal yang waras akan terima yang ia hanya diketahui oleh Allah ﷻ. Semua Imam mazhab empat tidak menghuraikan ayat-ayat mutasyabihat. Begitu juga sahabat yang belajar terus dengan Nabi ﷺ. Sedangkan kalau yang tahu, tentulah mereka yang lebih tahu.
Tabein pun begitu juga kerana mereka belajar terus dengan para sahabat. Imam-Imam Mujtahid pun tidak menghuraikannya juga. Namun yang menghairankan, kenapa ulama’ kampung pula yang mahu menghuraikannya? Kalau dibaca tafsir ayat-ayat mutasyabihat, panjang berjela mereka hurai, tetapi akhirnya mereka akan kata itu adalah pandangan mereka sahaja dan Allah ﷻ lebih tahu. Itu adalah buang masa, namanya.
Ulul Albab adalah mereka yang menggunakan akal yang suci daripada emosi seperti marah, dengki, cinta dan sebagainya. Ini kerana emosi-emosi boleh mengganggu akal. Contohnya, kalau kita sudah cintakan sesuatu, keputusan yang kita buat akan condong kepada sesuatu perkara; kalau sedang marah pula, kita tidak dapat berfikir dengan baik.
Dengan akal yang suci, golongan ulul albab akan dapat memikirkan dengan mendalam sesuatu perkara itu. Minda mereka tidak bercampur dengan benda-benda yang buang masa, yang lagha.
Begitupun, selepas mereka fikir dengan mendalam, mereka tidak menghuraikan ayat-ayat mutasyabihat itu. Mereka beriman sahaja dan hati mereka redha dengan iman itu. Hati mereka tenang walaupun tidak tahu.
Ayat 8: Ini adalah sifat kedua mereka yang berilmu. Allah ﷻ sekarang menyebut tentang doa mereka. Doa ini banyak sekali dibaca oleh masyarakat kita. Mari sekarang kita lihat apakah tafsir bagi ayat (doa) ini.
رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ
SAHIH INTERNATIONAL
[Who say], “Our Lord, let not our hearts deviate after You have guided us and grant us from Yourself mercy. Indeed, You are the Bestower.
MALAY
(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.
رَبَّنا لا تُزِغ قُلوبَنا بَعدَ إِذ هَدَيتَنا
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,
Ini adalah tentang ketetapan hati. Kalau kita hendak bincang dan cuba hendak tahu juga perkara yang tidak perlu diketahui, lama-lama hati kita akan punah. Kerana hati kita akan terus tertanya-tanya.
Mereka yang telah mendalam ilmu mereka, akan doa begini. Mereka minta supaya Allah ﷻ jangan palingkan hati mereka. Mereka minta ditetapkan hati mereka atas iman. Ini kerana Allah ﷻ boleh sahaja palingkan hati manusia kalau Dia mahu. Dan ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
Walaupun sudah berilmu, masalah boleh juga ada kerana orang berilmu juga ada penyakit, iaitu mereka hendak nampak mereka tahu semua benda, malu untuk kata mereka ada benda yang mereka tidak tahu. Jadi, ada antara mereka yang cuba sedaya upaya akan cakap juga tentang perkara yang tidak perlu diketahui.
Allah ﷻ sudah kata jangan masuk bincang perkara-perkara yang samar, kalau kamu masuk juga – Allah ﷻ boleh memalingkan hati kita. Oleh itu, kita kena doa supaya Allah ﷻ menjaga hati kita daripada masuk membincangkan perkara-perkara sebegitu. Kita minta Allah ﷻ tetapkan hati kita.
وَهَب لَنا مِن لَّدُنكَ رَحمَةً
dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu;
Mintalah rahmat yang khas, iaitu keyakinan kepada janji Allah ﷻ; Keyakinan kepada hukum Allah ﷻ seperti keyakinan yang ada pada Nabi dan sahabat.
Sebenarnya, semua rahmat datang daripada Allah ﷻ, bukan? Tidak ada manusia atau makhluk lain yang boleh memberi rahmat. Jadi kenapa dimasukkan dalam ayat ini ‘Rahmat dari sisi Engkau’? Ia adalah untuk mengingatkan kita – bahawa Rahmat itu daripada Allah ﷻ sahaja, bukan daripada entiti lain.
إِنَّكَ أَنتَ الوَهّابُ
sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.
Ini adalah cara untuk berdoa kepada Allah ﷻ, iaitu dengan memuji-Nya. Sama ada puji Allah ﷻ di awal doa atau di hujung doa. Jadi, ini adalah satu contoh doa yang bagus untuk dibaca oleh kita semua.
Ayat 9: Selain daripada doa di atas, mereka juga doa begini.
رَبَّنا إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ
SAHIH INTERNATIONAL
Our Lord, surely You will gather the people for a Day about which there is no doubt. Indeed, Allah does not fail in His promise.”
MALAY
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada syak padanya”. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
رَبَّنا إِنَّكَ جامِعُ النّاسِ لِيَومٍ لّا رَيبَ فيهِ
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, pada suatu hari yang tidak ada syak padanya”.
Kita mengiyakan yang Allah ﷻ akan menghimpunkan semua makhluk-Nya termasuk manusia pada Hari Kiamat nanti. Dan hari itu tidak syak lagi akan berlaku.
Manusia berpecah belah dalam bermacam-macam fahaman, tetapi akan datang suatu masa yang semuanya akan duduk berhimpun di satu tempat menunggu pengadilan daripada Allah ﷻ .
Entah apalah nasib kita di sana nanti. Kita hendaklah doa dan berharap yang ia adalah baik untuk kita. Kenalah kita berusaha bersungguh-sungguh di dunia ini supaya harapan kita itu ada asasnya kerana tidaklah boleh hanya berharap kosong sahaja, namun usaha juga kena ada.
إِنَّ اللَّهَ لا يُخلِفُ الميعادَ
Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya.
Allah ﷻ tidak akan memungkiri janjiNya. Hari kebangkitan itu pasti akan berlaku, pada waktu yang Allah ﷻ telah tentukan, dan pasti semua makhluk akan dikumpulkan di tempat yang Allah ﷻ telah tentukan.
Kita kena ingat janji Allah ﷻ untuk membalas dengan kebaikan mereka yang berbuat baik dan janji Allah ﷻ juga untuk mengazab mereka yang lalai dan ingkar. Oleh sebab kerana kita tahu Allah ﷻ tidak mungkin mungkir janji inilah yang kita mesti memastikan yang akidah dan amalan kita sentiasa terjaga.
Jadi, itulah doa-doa yang dibaca oleh mereka yang rasikh ilmu mereka.
Sekian Ruku’ 1 dari 20 ruku’ surah ini
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 27 Februari 2021
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan

Alhamdullilah syukur pada Allah SWT terima kasih Ya Allah terima kasih kpd penulis
LikeLike