Tafsir Surah Ali Imran Ayat 3 – 4 (Kehendak syahwat manusia)

Ali Imran Ayat 3:

نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

SAHIH INTERNATIONAL
He has sent down upon you, [O Muhammad], the Book in truth, confirming what was before it. And He revealed the Torah and the Gospel.

MALAY
Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Quran) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Dia juga yang menurunkan Kitab Taurat dan Injil.

 

نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ بِالحَقِّ

Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci (Al-Qur’an) dengan mengandungi kebenaran, 

Kalimah ٱلكِتَـٰبَ di dalam ayat ini bermaksud Al-Qur’an. Kenapa Allah tidak menggunakan kalimah ‘Al-Qur’an’ di sini? Penggunaan kata nama ini (bukan sekadar menyebut “Al-Quran” yang bermaksud bacaan) adalah satu bentuk pujian dan pengagungan (Tashrif). Penggunaan kata Al-Kitab dengan huruf Alif Lam (ال) di hadapannya memberikan makna Al-Kamal (Kesempurnaan), seolah-olah Allah ingin menyatakan: “Inilah satu-satunya kitab yang paling sempurna dan paling layak dipanggil sebagai Kitab daripada segala jenis kitab yang ada di dunia.”

Balaghah (Iltifat): Jika kita melihat ayat 2 sebelum ini, Allah disebut menggunakan kata ganti nama ketiga: “Allahu la ilaha illa Huwa…” (Allah, tiada Tuhan melainkan Dia…). Masuk sahaja ayat 3, subjeknya masih Allah (kata ganti nama ketiga/ghaib), tetapi ayat ini ditujukan secara langsung kepada Nabi Muhammad (kata ganti nama kedua/muwajjah – عَلَيكَ / Kepadamu). Perubahan dinamik ini dalam ilmu balaghah dipanggil Iltifat. Ia berfungsi untuk menghidupkan suasana teks, menarik perhatian pembaca, dan menunjukkan keakraban hubungan antara Sang Pencipta (Allah) dan utusan-Nya (Muhammad SAW).

Allah ‎ﷻ telah menurunkan Al-Qur’an kepada Nabi Muhammad ﷺ. Tapi tentulah ia bukan sahaja untuk baginda. Ia untuk semua umat manusia. Ia menjadi panduan hidup kita yang sepatutnya kita kena pelajari. Kerana Allah ﷻ yang turunkan, maka kita sebagai hambaNya, kenalah tahu apa yang Allah ﷻ hendak sampaikan kepada kita. Maka berhentilah setakat baca sahaja Al-Qur’an siang dan malam tanpa faham apa yang hendak disampaikan. Luangkanlah masa untuk belajar tafsir sedikit demi sedikit.

Kalimah نَزَّلَ maksudnya daripada segi bahasa adalah: menurunkan. Kenapa digunakan kalimah menurunkan? Kerana yang menurunkannya adalah Allah dan Allah di atas langit. Ini adalah satu lagi bukti dari bukti-bukti yang banyak sebagai dalil yang Allah di langit.

Balaghah: Susunan ayat yang biasa dalam tatabahasa Arab sepatutnya: نَزَّلَ ٱلكِتَـٰبَ عَلَيكَ (Dia menurunkan Al-Kitab kepadamu). Namun, Allah mengubah susunannya (Taqdim wa Ta’khir) menjadi: نَزَّلَ عَلَيكَ ٱلكِتَـٰبَ (Dia menurunkan kepadamu Al-Kitab).

Rahsia Balaghah: Mendahului kata ganti nama “kepadamu” (عَلَيكَ) yang merujuk kepada Nabi Muhammad SAW berfungsi sebagai Al-Ihtimam (memberi perhatian khusus) dan Al-Ikram (memuliakan kedudukan Nabi SAW). Allah ingin menegaskan betapa tingginya darjat Nabi Muhammad SAW di sisi-Nya kerana bagindalah insan terpilih yang dada dan jiwanya mampu menerima bebanan wahyu yang sangat berat itu. Allah yang mulia, menurunkan Al-Qur’an yang mulia kepada insan yang mulia iaitu Nabi Muhammad.

Dan Allah kata Dia menurunkan Al-Qur’an itu بِالحَقِّ (dengan kebenaran). Ada dua maksud di sini:

1. Allah ﷻ menegaskan yang Kitab Al-Qur’an itu adalah benar dan ia diturunkan dengan tujuan memberitahu kebenaran – iaitu kebenaran tentang Allah ‎ﷻ. Maka untuk kita tahu kebenaran, kenalah kita belajar tentang Al-Qur’an ini, iaitu dengan mempelajari ilmu tafsir.

2. Proses penurunan Al-Qur’an juga benar. Ia dari Allah dan bukanlah rekaan Nabi Muhammad atau baginda cedok dari mana-mana sumber lain.

 

مُصَدِّقًا لِّما بَينَ يَدَيهِ

yang mengesahkan isi Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya,

Al-Qur’an itu membenarkan ajaran akidah tauhid yang ada dalam Taurat dan Injil dan kitab-kitab yang lain. Bukanlah Allah ﷻ beritahu kitab-kitab itu sekarang benar. Ini adalah kerana semua kitab-kitab wahyu lain sebelum Al-Qur’an telah diselewengkan.

Namun sebelum ia diselewengkan, kitab-kitab itu juga membawa ajaran yang benar terutama sekali tentang Tauhid. Allah ﷻ hendak memberitahu, sama sahaja ajaran tauhid di dalam kitab-kitab itu dengan Al-Qur’an.

Allah hendak menempelak golongan Ahli Kitab yang tidak mahu beriman dengan Al-Qur’an. Sedangkan mereka beriman dengan Taurat dan Injil. Tapi sumber Al-Qur’an adalah sama dengan sumber Taurat dan Injil juga. Jadi kalau mereka menolak Al-Qur’an, mereka juga sebenarnya menolak kitab mereka sendiri.

Bagaimana cara Al-Qur’an membenarkan kitab-kitab sebelumnya? Bukankah di dalam kitab-kitab itu menyebut kedatangan Nabi Muhammad? Nah sekarang Nabi Muhammad yang dijanjikan telah muncul.

 

وَأَنزَلَ ٱلتَّورَٮٰةَ وَالإِنجيلَ

dan Dia juga yang menurunkan Taurat dan Injil.

Di dalam Baqarah:4 Allah berfirman:

وَالَّذينَ يُؤمِنونَ بِمآ أُنزِلَ إِلَيكَ وَمآ أُنزِلَ مِن قَبلِكَ
Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab “Al-Qur’an” yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu

Ketika itu Allah hanya sebut وَمآ أُنزِلَ مِن قَبلِكَ tanpa disebut nama kitab-kitab itu. Dan sekarang baru disebut nama Kitab Taurat dan Injil dalam ayat ini, memberi isyarat bahawa surah ini adalah tentang puak Nasara kerana mereka sahaja yang terima Taurat dan Injil. Ini kerana puak Yahudi tidak terima Injil sebagai kalam Allah ‎ﷻ.

Golongan Nasara pun kena terima Taurat juga kerana itu juga sebahagian daripada kitab mereka. Kalau dalam Bible mereka sekarang, Taurat itu adalah Old Testament dan Injil adalah New Testament.

Balaghah: Perhatikan apabila menyebut tentang penurunan Al-Qur’an, kalimah نَزَّلَ digunakan dan apabila menyebut tentang Taurat dan Injil, kalimah أَنزَلَ pula yang digunakan. Kedua-duanya bermaksud menurunkan, tapi kenapa menggunakan wazan yang berbeza?

Nazzala (نَزَّلَ – Kata kerja berulang/bertahap): Perkataan ini mengandungi makna At-Tadrij (penurunan secara beransur-ansur, sedikit demi sedikit, dan memakan masa yang lama).

Rahsia Balaghah: Allah menggunakan kata Nazzala khusus untuk Al-Qur’an kerana mukjizat ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara bertahap-tahap selama kira-kira 23 tahun. Istimewanya, di hujung ayat yang sama, apabila Allah menyebut tentang kitab Taurat dan Injil, Allah beralih menggunakan perkataan Anzala (أَنْزَلَ), kerana kedua-dua kitab terdahulu itu diturunkan sekali gus secara sekelip mata kepada Nabi mereka.

Penurunan Al-Qur’an secara beransur-ansur (At-Tadrij) selama kira-kira 23 tahun mempunyai hikmah dan kelebihan yang sangat besar, sama ada terhadap diri Nabi Muhammad SAW mahupun kepada para sahabat dan umat Islam keseluruhannya. Al-Qur’an sendiri merakamkan persoalan orang kafir yang mempertikaikan mengapa Al-Quran tidak diturunkan sekali gus, lalu Allah menjawabnya di dalam Furqan:32

وَقالَ الَّذينَ كَفَروا لَولا نُزِّلَ عَلَيهِ القُرءآنُ جُملَةً وٰحِدَةً ۚ كَذٰلِكَ لِنُثَبِّتَ بِهِ فُؤَادَكَ ۖ وَرَتَّلنٰهُ تَرتيلًا
Berkatalah orang-orang yang kafir: “Mengapa Al Qur’an itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?”; demikianlah supaya Kami perkuat hatimu dengannya dan Kami membacanya secara tartil (teratur dan benar).

 

Kelebihan Al-Qur’an diturunkan beransur-ansur

1. Tugas menyampaikan dakwah adalah sesuatu yang teramat berat. Nabi SAW sentiasa berhadapan dengan ujian, ancaman, penghinaan, dan penolakan daripada kaum musyrikin. Apabila wahyu turun secara berkala, ia bertindak sebagai sokongan moral yang berterusan daripada Allah. Setiap kali Nabi SAW berada dalam kesedihan atau menghadapi jalan buntu, Jibril akan datang membawa ayat baharu untuk memujuk, menguatkan semangat, dan memberikan panduan terus kepada baginda.

2. Masyarakat Arab pada zaman tersebut adalah masyarakat Ummi (majoritinya tidak tahu membaca dan menulis) yang bergantung sepenuhnya kepada kekuatan hafalan. Jika Al-Qur’an diturunkan sekali gus dalam sebuah buku yang tebal, sudah tentu ia teramat sukar untuk dihafal, diingati, dan difahami oleh para sahabat. Penurunan beberapa ayat demi beberapa ayat membolehkan para sahabat menghafalnya dengan mantap, memahaminya dengan mendalam, dan memindahkan ayat tersebut ke dalam dada mereka dengan sempurna sebelum berpindah ke ayat yang lain.

3. Masyarakat jahiliah ketika itu sudah sebati dengan tabiat buruk yang mendarah daging seperti menyembah berhala, berzina, berjudi, dan meminum arak. Untuk mengubah budaya ini, Islam menggunakan pendekatan psikologi yang bertahap. Contoh Klasik adalah Pengharaman Arak): Allah tidak mengharamkan arak secara mengejut. Fasa pertama, Allah menyatakan ada manfaat dan ada dosa pada arak, tetapi dosanya lebih besar (Baqarah:219). Fasa kedua, Allah melarang solat dalam keadaan mabuk (Nisa’:43). Fasa ketiga, barulah arak diharamkan secara mutlak dan total (Maidah:90). Saidatuna Aisyah RA pernah berkata:

عَنْ يُوسُفَ بْنِ مَاهَكَ قَالَ: إِنَّمَا نَزَلَ أَوَّلَ مَا نَزَلَ مِنْهُ سُورَةٌ مِنَ الْمُفَصَّلِ، فِيهَا ذِكْرُ الْجَنَّةِ وَالنَّارِ، حَتَّى إِذَا ثَابَ النَّاسُ إِلَى الْإِسْلَامِ نَزَلَ الْحَلَالُ وَالْحَرَامُ، وَلَوْ نَزَلَ أَوَّلَ شَيْءٍ: لَا تَشْرَبُوا الْخَمْرَ، لَقَالُوا: لَا نَدَعُ الْخَمْرَ أَبَدًا، وَلَوْ نَزَلَ: لَا تَزْنُوا، لَقَالُوا: لَا نَدَعُ الزِّنَا أَبَدًا، لَقَدْ نَزَلَ بِمَكَّةَ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنِّي لَجَارِيَةٌ أَلْعَبُ: {بَلِ السَّاعَةُ مَوْعِدُهُمْ وَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ} وَمَا نَزَلَتْ سُورَةُ الْبَقَرَةِ وَالنِّسَاءِ إِلَّا وَأَنَا عِنْدَهُ. 
Daripada Yusuf bin Mahak, beliau menceritakan bahawa Saidatuna Aisyah RA pernah berkata: “Sesungguhnya ayat yang mula-mula turun daripada Al-Quran adalah surah daripada al-Mufassal (surah-surah pendek di bahagian akhir Al-Quran) yang di dalamnya disebut perihal syurga dan neraka. Sehinggalah apabila manusia telah murni hatinya dan kembali kepada Islam, maka barulah turun ayat-ayat mengenai halal dan haram. Sekiranya perkara pertama yang turun adalah larangan: ‘Janganlah kamu meminum arak’, nescaya mereka akan berkata: ‘Kami tidak akan meninggalkan arak selama-lamanya’. Dan sekiranya turun larangan: ‘Janganlah kamu berzina’, nescaya mereka akan berkata: ‘Kami tidak akan meninggalkan zina selama-lamanya’. Sesungguhnya telah turun di Mekah kepada Nabi Muhammad SAW ketika aku masih seorang kanak-kanak yang suka bermain, ayat (Surah Al-Qamar: 46): ‘Bahkan hari kiamat itulah hari yang dijanjikan kepada mereka, dan hari kiamat itu adalah lebih dahsyat dan lebih pahit.’ Dan tidaklah Surah Al-Baqarah dan Surah An-Nisa’ (yang sarat dengan hukum-hakam) itu turun melainkan ketika aku sudah pun menjadi isteri di sisi baginda.”

Sahih Al-Bukhari. No. Hadis: 4993

4. Banyak ayat Al-Qur’an turun sebagai respons langsung kepada peristiwa yang sedang berlaku atau jawapan kepada soalan yang dikemukakan kepada Nabi SAW. Apabila orang Yahudi atau musyrikin mencabar Nabi dengan soalan-soalan sukar (seperti bertanya tentang roh, kisah Ashabul Kahfi, atau Zulqarnain), Allah menurunkan wahyu yang bermula dengan lafaz “Mereka bertanya kepadamu…” (يسألونك) untuk memberikan jawapan yang tuntas.

Ia juga turun untuk menyelesaikan konflik domestik, seperti peristiwa Hadithul Ifki (fitnah terhadap Aisyah RA) di mana Allah menurunkan ayat untuk membersihkan maruah beliau selepas sebulan berlalu.

5. Al-Qur’an diturunkan dalam tempoh 23 tahun, mengharungi pelbagai fasa kehidupan Nabi SAW: fasa duka di Mekah, fasa hijrah, fasa perang, dan fasa kemenangan di Madinah. Walaupun situasi dan emosi manusia bertukar-tukar sepanjang dua dekad tersebut, gaya bahasa, uslub, kualiti sastera, dan intipati Al-Qur’an tetap konsisten, harmoni, dan langsung tidak mempunyai percanggahan (kontradiksi) antara satu sama lain. Ini membuktikan secara balaghah dan akidah bahawa ia bukan rekaan fikiran Muhammad SAW, melainkan kalam mutlak daripada Allah Yang Maha Mengetahui.


 

Ali Imran Ayat 4:

مِن قَبلُ هُدًى لِّلنّاسِ وَأَنزَلَ الفُرقانَ ۗ إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ ۗ وَاللَّهُ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ

SAHIH INTERNATIONAL
Before, as guidance for the people. And He revealed the Qur’an. Indeed, those who disbelieve in the verses of Allah will have a severe punishment, and Allah is exalted in Might, the Owner of Retribution.

MALAY
Sebelum (Al-Qu’ran diturunkan), menjadi petunjuk bagi umat manusia. Dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqaan (yang membezakan antara yang benar dengan yang salah). Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa (kepada golongan yang bersalah).

 

مِن قَبلُ

Sebelumnya,

Ini adalah sambungan daripada ayat sebelum ini – Taurat dan Injil telah diturunkan dahulu sebelum diturunkan Al-Qur’an.

 

هُدًى لِّلنّاسِ

menjadi petunjuk bagi umat manusia. 

Semua kitab-kitab yang diturunkan oleh Allah ﷻ adalah sumber hidayah kepada manusia.

Namun, perlulah kita ingatkan di sini bahawa bukanlah Taurat dan Injil yang ada sekarang menjadi sumber hidayah kepada manusia pula kerana Taurat dan Injil yang ada sekarang bukanlah yang asli, tetapi telah ada campur tangan tambahan daripada kata-kata manusia.

Taurat dan Injil yang asal memang menjadi sumber hidayah, tetapi Taurat dan Injil yang ada sekarang, tidak. Janganlah ada pula yang menggunakan dalil ayat ini dan ayat-ayat lain yang membenarkan dua kitab itu, untuk mengatakan boleh pakai Taurat dan Injil sekarang sebagai sumber hidayah.

 

وَأَنزَلَ الفُرقانَ

Dan Dia juga yang menurunkan Al-Furqaan

‘Furqan’ daripada segi bahasa adalah ‘pembeza’ dan dalam ayat ini maksudnya menzahirkan mukjizat. Ini kerana Mukjizat membezakan antara manusia biasa dan para Nabi dan ia adalah sebagai bukti kenabian. Manusia akan percaya kepada Nabi (kepada yang mahu percaya) jikalau mereka menunjukkan bukti dan salah satu bukti kenabian adalah mukjizat.

Banyak kekeliruan tentang mukjizat ini. Allah ﷻ yang menzahirkan mukjizat itu, bukannya dengan kehendak Nabi. Oleh itu, mukjizat bukanlah kuasa yang ada pada para Nabi.

Sebagai contoh, kalau Nabi Musa رضي الله عنه saja-saja mengetuk laut atau sungai dengan tongkatnya untuk menyeberang laut atau sungai itu, laut atau sungai itu tidak akan terbelah. Hanya apabila Allah ﷻ  suruh dan jadikan, barulah ia terjadi. Jadi, kalau Nabi hendak buat sendiri, ia tidak akan terjadi. Oleh itu digunakan lafaz Furqan untuk membezakan antara manusia dan Nabi.

Begitu juga dengan karamah. Karamah pun ramai yang keliru. Mereka sangka karamah itu adalah kuasa para wali. Ini adalah fahaman salah yang amat besar dalam masyarakat kita. Kena ingat yang seperti juga mukjizat bukan kuasa Nabi, karamah juga bukan kuasa wali. Hanya apabila Allah ﷻ hendak tunjukkan, baru ia akan terjadi. Maka, kalau ada orang yang dikatakan ‘wali’, dan dia boleh buat benda-benda ajaib (atas kehendak dia), itu bukan ‘karamah’, tetapi itu adalah ‘sihir’.

Furqan juga bermaksud membezakan mana yang benar dan mana yang tidak. Al-Qur’an itu membezakan manakah ajaran yang benar dan ajaran yang salah. Oleh itu, apa-apa sahaja ilmu agama, hendaklah dibandingkan dengan Al-Qur’an.

Malangnya ramai mereka dalam kalangan masyarakat kita tidak belajar Al-Qur’an, tetapi terus belajar ‘agama’ dengan guru yang tidak belajar tafsir Al-Qur’an pun. Maka banyak ajaran-ajaran mereka ada yang pelik dan berlawanan dengan apa yang diajar oleh Al-Qur’an.

Ini kerana apabila guru dan anak murid sendiri tidak belajar tafsir Al-Qur’an, mereka tidak dapat bezakan mana yang benar dan mana yang tidak. Ini adalah masalah besar dalam masyarakat kita, sampai boleh menyebabkan pecah belah dan benci membenci.

 

إِنَّ الَّذينَ كَفَروا بِـَٔايَـٰتِ اللَّهِ لَهُم عَذابٌ شَديدٌ

Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah itu, bagi mereka azab seksa yang amat berat.

Ini adalah ayat Takhwif Ukhrawi untuk menakutkan mereka yang degil untuk beriman dengan ayat-ayat Allah ﷻ. Setelah diberi dengan dakwah tetapi masih tidak mahu beriman, Allah ﷻ janjikan kepada mereka azab yang pedih di neraka kelak.

 

وَاللَّهُ عَزيزٌ ذُو انتِقامٍ

Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa

Kalimah ذُو انتِقامٍ (yang mempunyai pembalasan dendam)  maksudnya Allah ﷻ boleh terus menghukum manusia dengan memberi azab kepada makhluk pada bila-bila masa sahaja yang Dia mahu. Maksudnya Allah ﷻ mempunyai kuasa itu, tetapi Allah ﷻ tidak meletak sifat-Nya sebagai al-Muntaqim (yang membalas dendam).

Maksudnya, tidak semestinya Allah ﷻ terus berikan azab-Nya sebagai balas dendam kepada manusia. Allah ﷻ mempunyai sifat-sifat lain yang tidak terus mengazab makhluk-Nya.

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 8 Jun 2026

Ringkasan Surah Ali Imran


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

One thought on “Tafsir Surah Ali Imran Ayat 3 – 4 (Kehendak syahwat manusia)”

Leave a comment