Tafsir Surah Baqarah Ayat 285 (Dengar dan Taat) Part 2

وَرُسُلِهِ

dan Rasul-rasul-Nya.

Iman kepada rasul-rasul Allah adalah rukun iman yang keempat dalam Islam. Ini bererti seorang Muslim wajib menyakini dengan sepenuh hati bahawa Allah ‎ﷻ telah memilih laki-laki tertentu (tiada Nabi dan Rasul dalam kalangan wanita) dalam kalangan manusia (pendapat yang kuat mengatakan tidak ada Nabi dalam kalangan jin), mengutus mereka dengan wahyu, dan memerintahkan mereka untuk menyampaikan petunjuk kepada umat manusia.

Beriman kepada rasul-rasul Allah mencakupi beberapa perkara penting:

1. Semua Rasul adalah Manusia yang Dipilih Allah ‎ﷻ: Para rasul adalah manusia biasa, bukan makhluk ilahi atau anak Tuhan. Mereka makan, minum, menikah, tidur, merasa sakit, dan meninggal dunia seperti manusia lainnya. Namun, mereka istimewa kerana dipilih oleh Allah ‎ﷻ untuk menerima wahyu dan menjadi perantara antara Allah ‎ﷻ dan hamba-Nya. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Kahf:110

قُل إِنَّمَآ أَنَا۟ بَشَرٌ مِّثلُكُم يُوحَىٰٓ إِلَىَّ أَنَّمَآ إِلَـٰهُكُم إِلَـٰهٌ وٰحِدٌ
“Katakanlah (Muhammad), ‘Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahwasanya Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa’.”

2. Jumlah Mereka Banyak, dan Percaya kepada yang Disebutkan Namanya: Allah ‎ﷻ telah mengutus ramai rasul ke seluruh umat di setiap zaman. Bilangan mereka kita tidak tahu dengan pasti. Kalau ada bilangan-bilangan yang disebut, itu tidak ada dalil padanya. Al-Qur’an menyebutkan nama 25 nabi dan rasul, dan kita wajib menyakini keberadaan dan kenabian/kerasulan mereka semua. Meskipun hanya 25 orang yang disebutkan, kita menyakini bahawa ada ramai rasul lain yang tidak disebutkan dalam Al-Qur’an.

3. Mereka Diutus dengan Kebenaran dan Mukjizat: Para rasul diutus dengan membawa kebenaran (tauhid dan ajaran ilahi) serta didukung oleh mukjizat-mukjizat yang luar biasa untuk membuktikan kerasulan mereka. Mukjizat adalah kejadian di luar kebiasaan yang tidak dapat ditiru oleh manusia, seperti mukjizat Nabi Musa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dengan tongkatnya, Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ menghidupkan orang mati, dan Al-Qur’an sebagai mukjizat terbesar Nabi Muhammad ﷺ.

4. Mereka Menyampaikan Risalah dengan Amanah: Para rasul adalah orang-orang yang sangat jujur (siddiq), terpercaya (amanah), menyampaikan (tabligh) seluruh wahyu tanpa menyembunyikan atau mengubahnya, dan cerdas (fathanah). Mereka telah menyampaikan risalah yang diperintahkan Allah ‎ﷻ secara sempurna kepada umat mereka.

5. Nabi Muhammad ﷺ adalah Rasul Terakhir dan Universal: Nabi Muhammad ﷺ adalah penutup para Nabi dan Rasul (Khatamun Nabiyyin). Tidak akan ada nabi atau rasul lagi setelah baginda. Risalah baginda (Islam) adalah universal, untuk seluruh umat manusia hingga Hari Kiamat, membatalkan dan menyempurnakan syariat-syariat sebelumnya. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Ahzab:40

مَا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ وَلَٰكِن رَّسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ
Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapak dari seorang laki-laki di antara kamu, tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi (khataman-nabiyyin).

5. Wajib Mentaati dan Mengikuti Rasulullah ﷺ: Iman kepada rasul-rasul, khususnya Nabi Muhammad ﷺ, menuntut ketaatan penuh kepada ajaran dan sunnah baginda. Mengikuti sunnah Nabi adalah bentuk ketaatan kepada Allah ‎ﷻ. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Nisa’:80

مَّن يُطِعِ الرَّسُولَ فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ
“Barangsiapa mentaati Rasul, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah.”

Pentingnya Iman kepada Rasul-rasul Allah:

  • Penyampai Petunjuk Ilahi: Para Rasul adalah satu-satunya jalan bagi manusia untuk menerima petunjuk langsung daripada Allah ‎ﷻ mengenai tujuan hidup, cara beribadah yang benar, dan hukum-hukum-Nya. Tanpa mereka, manusia akan tersesat.
  • Contoh Terbaik: Para Rasul adalah teladan hidup yang sempurna dalam segala aspek: akhlak, ibadah, muamalah, kepemimpinan, dan kesabaran.
  • Membangun Dasar Tauhid: Semua Rasul menyeru kepada tauhid (pengesaan Allah ‎ﷻ), mengikis segala bentuk syirik, sehingga menguatkan asas akidah.
  • Tanda Keadilan dan Rahmat Allah ‎ﷻ: Pengutusan Rasul menunjukkan keadilan Allah ‎ﷻ yang tidak akan menghukum suatu kaum sebelum diutusnya seorang pemberi peringatan, serta rahmat-Nya yang tidak membiarkan manusia tanpa bimbingan. Allah ‎ﷻ berfirman di dalam Isra’:15

وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا
dan Kami tidak akan mengazab sebelum Kami mengutus seorang rasul.

Surah ini bermula dengan iman dan sekarang lihatlah yang ia juga ditutup dengan topik tentang iman juga. Akan tetapi kita belajar akidah dengan sempurna iaitu kena luangkan masa untuk tahu tuntutan kepada kita dalam setiap Rukun Iman ini. Ini kerana ramai yang buat fahaman sendiri dan kemudian ajar kepada orang yang jahil; orang yang jahil pun ikutlah pula fahaman sesat dan salah itu.

 

لا نُفَرِّقُ بَينَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ

“Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya”.

Maksud ayat ini adalah semua Rasul kita terima. Kita terima semua Nabi-Nabi عَلَيْهِمُ السَّلَامُ itu adalah utusan Allah ‎ﷻ juga tetapi kepada Nabi Muhammad ﷺ, kita ikut sepenuhnya syari’at baginda. Tentang tidak membezakan antara Rasul ini telah disebut di dalam Baqarah:136 sebelum ini. Ringkasnya, semua para Nabi itu kita terima sebagai Nabi, kita tidak tolak mana-mana Nabi. Kalau tolak satu Nabi sahaja bermakna menolak semua sekali Nabi dan akan jadi kafir. Akan tetapi tidaklah salah kalau kita melebihkan sesetengah Nabi daripada para Nabi yang lain kerana kedudukan para Nabi itu tidak sama. Antaranya, Nabi yang paling utama dan tertinggi adalah Nabi Muhammad ﷺ.

Oleh itu, kita hendaklah ada hubungan dengan hadith. Mesti mempelajari hadith-hadith Nabi. Tidak boleh bezakan mana-mana rasul. Jangan jadi seperti Yahudi yang menolak Nabi Isa عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ dan jangan jadi seperti Nasara yang tidak menerima Nabi Muhammad ﷺ sebagai Nabi.

Jadi ayat ini telah menyebut senarai Rukun Iman yang wajib kita percayai dan perhatikan. Perhatikan juga hadith yang dinamakan Hadith Jibril tentang Rukun Iman ini. Kita berikan bahagian iman sahaja, kerana hadith ini asalnya panjang.

قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنِ اْلإِيْمَانِ قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاللهِ وَمَلاَئِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ
(Jibril عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ berkata): “Khabarkan aku tentang Iman”. Lalu baginda bersabda: “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya dan hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik mahupun yang buruk”
(Riwayat Muslim No. 8)

Cuma kalau mata anda pantas, mungkin anda akan perasan di dalam hadith ini dan silibus kita menyebut Rukun Iman itu ada 6 akan tetapi di dalam ayat ini hanya menyebut 4 sahaja. Tidak disebut di dalam ayat beriman kepada Hari Akhirat dan Qada’ dan Qadar. Ini kerana Ayat 285 ini lebih fokus pada prinsip-prinsip dasar tauhid (keesaan Allah ‎ﷻ) dan risalah (kenabian dan kitab suci). Rukun Iman itu saling terkait satu sama lain. Ketika seseorang beriman kepada 4 rukun yang disebutkan dalam ayat ini, maka secara tersirat dia juga beriman kepada hari akhir dan qada/qadar:

  • Iman kepada Allah ‎ﷻ termasuk keyakinan bahawa Allah ‎ﷻ adalah Tuhan yang Maha Adil dan Maha Bijaksana. Kehadiran hari akhir (hari perhitungan, balasan syurga dan neraka) adalah kesan yang logik daripada keadilan dan kebijaksanaan Allah ‎ﷻ. Tanpa hari akhir, tujuan penciptaan manusia dan adanya perintah serta larangan menjadi tidak sempurna. Oleh kerana itu, iman kepada Allah ‎ﷻ secara automatik tersirat di dalamnya iman kepada hari akhir.

  • Iman kepada Kitab-kitab-Nya dan Rasul-rasul-Nya: Semua kitab suci dan rasul Allah, tanpa terkecuali, menyampaikan berita tentang hari kebangkitan, hari perhitungan, syurga, dan neraka. Jadi, ketika seseorang beriman kepada kitab dan rasul, dia pasti beriman kepada apa yang mereka sampaikan, termasuk hari akhir.

  • Kaitan dengan Qada/Qadar: Keyakinan kepada Allah yang Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, dan Maha Bijaksana (yang termaktub dalam iman kepada Allah ‎ﷻ) secara automatik mencakupi keyakinan bahawa segala sesuatu terjadi atas kehendak dan ketetapan-Nya. Oleh kerana itu, iman kepada qada dan qadar adalah bahagian yang sudah termasuk daripada iman kepada Allah ‎ﷻ itu sendiri.

 

وَقالوا سَمِعنا وَأَطَعنا

dan mereka berkata lagi: Kami dengar dan kami taat

Inilah yang perlu kita lakukan: Dengar wahyu dan ikut apa yang disampaikan dalam wahyu itu. Kalau setakat dengar sahaja, tetapi tidak taat dan tidak ikut, juga langsung tidak berguna. Di dalam hal ini terbahagi kepada tiga:

1. Ada yang tidak dengar dan tidak taat. Ini adalah contoh orang kafir.
2. Ada yang dengar tetapi tidak taat. Ini adalah contoh orang munafik.
3. Ada yang dengar dan taat, inilah contoh orang Mukmin.

Maka kita kena tanya, kita termasuk golongan yang mana? Berapa ramaikah dalam kalangan kita sudah tahu tentang kewajipan yang perlu mereka lakukan, tetapi mereka tidak melakukannya? Semoga kita tidak menjadi orang yang sebegitu.

Di dalam masa yang sama, Allah ‎ﷻ suruh kita dengar dahulu, kemudian baru taat. Maka kena tahu syariat Allah, apa yang Allah ‎ﷻ mahukan daripada kita. Maka mestilah belajar tentang agama terutama sekali mesti ambil tahu wahyu Allah daripada Al-Qur’an dan hadith. Kalau kita kata kita taat, sudahkah kita tahu apa yang kita kena taat dahulu? Pelik bukan, kata taat tetapi tidak tahu apa yang perlu ditaati. Maknanya, ‘dengar’ itu kenalah dengan ‘faham’. Kita yang menjadi umat Nabi Muhammad ﷺ hendaklah dengar wahyu yang baginda sampaikan. Memang ilmu agama ini kita kena tadah telinga untuk menerimanya. Kena luangkan masa dan fokus belajar, barulah ilmu akan masuk. Tidaklah masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Kena dengar dan terima dengan hati. Jangan jadi seperti orang munafik seperti disebut di dalam Anfal:21-22

وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ قَالُواْ سَمِعۡنَا وَهُمۡ لَا يَسۡمَعُونَ (٢١) ۞ إِنَّ شَرَّ ٱلدَّوَآبِّ عِندَ ٱللَّهِ ٱلصُّمُّ ٱلۡبُكۡمُ ٱلَّذِينَ لَا يَعۡقِلُونَ (٢٢)
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (kafir dan munafik) yang berkata: Kami dengar, padahal mereka tidak mendengar (tidak mahu menerima dan mematuhinya). (21) Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatu pun (dengan akal fikirannya). (22)

Maka jangan kita jadi seperti orang kafir yang disebut di dalam Baqarah: 171 yang tidak mahu mendengar, degil untuk menerima nasihat dan dakwah. Allah ﷻ tempelak mereka sebagai orang yang pekak, bisu dan buta!

وَمَثَلُ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا كَمَثَلِ الَّذِيْ يَنْعِقُ بِمَا لَا يَسْمَعُ اِلَّا دُعَاۤءً وَّنِدَاۤءً ۗ صُمٌّ ۢ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لَا يَعْقِلُوْنَ
Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain daripada mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.

Dalam ayat ini, orang beriman dengar dan taat. Bandingkan dengan Yahudi yang dengar, tetapi mereka tidak taat. Maka kalau kita tidak taat setelah mendengar kewajipan, maka samalah kita dengan orang-orang Yahudi itu. Lihat Baqarah:93

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ خُذُوا مَا آتَيْنَاكُم بِقُوَّةٍ وَاسْمَعُوا ۚ قَالُوا سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا
“Dan (ingatlah), ketika Kami mengambil janji kalian lalu Kami angkat bukit Thur (di atas)mu (seraya Kami berfirman): “Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan dengarkanlah!” Mereka menjawab: “Kami dengar tetapi kami tidak taat.”

 

Asbabun Nuzul Ayat 285 Surah Al-Baqarah

Seperti yang telah dibahas sebelumnya, ayat 284 Surah Al-Baqarah (لِّلَّهِ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ ۗ وَإِن تُبْدُوا مَا فِي أَنفُسِكُمْ أَوْ تُخْفُوهُ يُحَاسِبْكُم بِهِ اللَّهُ ۖ فَيَغْفِرُ لِمَن يَشَاءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ) telah menimbulkan kekhuatiran dan ketakutan yang mendalam dalam kalangan para sahabat Nabi Muhammad ﷺ. Ini kerana ketika ayat 284 turun, para sahabat memahami bahawa mereka akan dihisab oleh Allah ‎ﷻ di atas segala sesuatu yang terlintas di hati mereka, baik niat baik mahupun niat buruk, bahkan bisikan hati yang tidak disengaja. Mereka merasa sangat berat dan tidak mampu mengendalikan fikiran serta bisikan hati sepenuhnya. Mereka datang kepada Rasulullah ﷺ dan berkata:

“Ya Rasulullah, kami dibebani dengan sesuatu yang tidak mampu kami pikul. Kami telah dibebani dengan solat, puasa, jihad, dan sedekah. Sekarang turun ayat ini (ayat 284), dan kami tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya. Kami akan dihisab atas apa yang ada dalam hati kami.”

Mereka merasakan kesulitan yang luar biasa kerana hal-hal dalam hati seringkali tidak mampu dikendalikan sepenuhnya oleh manusia. Melihat kegelisahan para sahabat, Nabi Muhammad ﷺ menenangkan mereka dan memerintahkan mereka untuk tetap beriman dan taat. Baginda bersabda: “Apakah kalian ingin berkata seperti dua umat sebelum kalian (Yahudi dan Nasrani) yang berkata: ‘Kami dengar dan kami tidak taat’? Katakanlah: ‘Kami dengar dan kami taat, kami memohon ampunan-Mu ya Tuhan kami dan kepada-Mu tempat kembali’.” Maknanya Allah ‎ﷻ telah  berfirman, maka hendaklah mereka ikut, walaupun mereka rasa berat. Setelah Rasulullah ﷺ berkata begitu, maka mereka pun redha dan mengucapkan سَمِعنا وَأَطَعنا (kami dengar dan kami taat). Ketika para sahabat mengucapkan kalimat tersebut dengan penuh kepatuhan dan keimanan, kemudian Allah ‎ﷻ menurunkan dua ayat terakhir Surah Al-Baqarah, iaitu ayat 285 dan 286.

Oleh itu ayat 285 ini datang sebagai penegasan keimanan dan kepasrahan yang diminta oleh Nabi ﷺ dari para sahabat. Ini menunjukkan sikap seorang mukmin yang sejati: mendengar perintah Allah ‎ﷻ, mempercayainya sepenuh hati, dan melaksanakannya dengan ketaatan, sambil senantiasa memohon ampunan dan menyedari bahawa hanya kepada Allah ‎ﷻ tempat kembali. Ayat ini adalah bentuk pujian Allah ‎ﷻ kepada Rasul-Nya dan orang-orang beriman atas ketaatan dan keyakinan mereka. Kemudian, datanglah ayat 286 sebagai pelengkap, yang memberikan keringanan langsung atas kekhuatiran mereka yang akan kita bincangkan selepas ini.

Ayat ini juga mengajar kita yang kita mestilah mendengar سمع wahyu Allah ‎ﷻ – maknanya mestilah belajar, bukan dengar kosong sahaja. Orang kita selalu kata mereka taat, tetapi apa yang mereka hendak taat, kalau wahyu itu sendiri mereka belum belajar lagi? Maka, kenalah kita pergi ke kuliah agama dan mempelajari wahyu Allah ‎ﷻ ini. Hendaklah belajar tafsir Al-Qur’an, belajar syarah hadith-hadith kerana hadith adalah wahyu daripada Allah ‎ﷻ juga.

Ingatlah yang golongan yang selamat adalah golongan yang dengar dan taat. Jika susah untuk taat kepada arahan, maka akan ada masalah. Antaranya, golongan Ateis yang susah untuk terima ada kuasa di atas mereka yang mereka kena taat.

 

غُفرانَكَ رَبَّنا

keampunan-Mu wahai Tuhan kami,

Fi’il bagi doa ini telah dihilangkan iaitu نسئل (kami meminta). Di sini mengajar kita yang semakin tinggi iman dan ketaatan seseorang, semakin banyak dia akan minta ampun kerana dia sedar ada banyak kekurangan pada dirinya. Kita minta ampun kepada Allah ‎ﷻ kerana kita banyak dosa. Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, Rasulullah ﷺ bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ، وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ
“Setiap anak Adam pasti berbuat kesalahan (dosa), dan sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan adalah yang bertaubat.”
(Sunan At-Tirmidzi No. 2499, Ibnu Majah No. 4251)
Status: Sahih (Al-Albani)

Kita pun sudah pernah dengar hadis yang Nabi Muhammad sendiri istighfar seratus kali dalam sehari. Kalau baginda yang tiada dosa pun begitu, kita apatah lagi? Dari Al-Agharr bin Yasar Al-Muzani radhiyallahu ‘anhu, dia berkata: Rasulullah ﷺ bersabda:

“يَا أَيُّهَا النَّاسُ تُوبُوا إِلَى اللَّهِ وَاسْتَغْفِرُوهُ فَإِنِّي أَتُوبُ فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ”
“Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya, kerana sesungguhnya aku bertaubat (beristighfar) dalam sehari seratus kali.”

Sahih Muslim: (No. Hadis 2702)

Lihatlah bagaimana doa ini tentang mereka yang telah mendengar dan telah kata mereka akan taat tetapi kenapa kita kena meminta ampun lagi? Kerana kalau kita sudah taat pun, kita kena sedar yang entah-entah kewajipan yang kita perlu lakukan itu tidak seperti yang Allah ‎ﷻ harapkan. Maka, kita minta ampun kalau-kalau ada salah dan kurang dalam amalan kita. Beginilah halusnya mereka yang beriman. Kalau tidak beriman, langsung tidak kisah tentang perkara ini. Perhatikan bagaimana Nabi Ibrahim عَلَيْهِ ٱلسَّلَامُ setelah membangunkan Ka’bah pun baginda minta ampun lagi kepada Allah ‎ﷻ seperti disebut di dalam Baqarah:127

وَأَرِنا مَناسِكَنا وَتُب عَلَينا ۖ إِنَّكَ أَنتَ التَّوّابُ الرَّحيمُ
Dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani

Inilah satu lagi ubat kepada ujub. Kita kena rasa ada kurang dengan ibadah kita. Kita tidak boleh yakin yang pahala sudah tentu dapat kerana walaupun kita sedang melakukan ketaatan, kita tidak pasti ia adalah seperti yang Allah ‎ﷻ kehendaki ataupun tidak. Entah ada kurang di mana-mana, kita pun tidak tahu. Kerana itulah Nabi Muhammad ﷺ telah mengajar kita untuk terus istighfar tiga kali selepas sahaja salam dalam solat. Ini adalah kerana kita tidak tahu sama ada solat kita itu cukup ataupun tidak, kita khusyuk ataupun tidak, kita baca betul ataupun tidak dan bermacam-macam lagi kekurangan yang ada. Perhatikan juga setelah Nabi Muhammad ﷺ berjaya menakluk Mekah dan Ka’bah setelah sekian lama ia menjadi pusat syirik, dan setelah baginda mengembangkan agama Islam setelah berdakwah selama 21 tahun, apa yang Allah ‎ﷻ suruh baginda buat di dalam Nasr:3?

فَسَبِّح بِحَمدِ رَبِّكَ وَاستَغفِرهُ ۚ إِنَّهُ كانَ تَوّابًا
maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.

Sekali lagi perhatikan di dalam Muzzammil:20. Setelah orang mukmin melakukan Solat Tahajjud dengan berjaga malam, apa yang mereka disuruh lakukan? Bukankah mereka disuruh lagi istighfar?

وَما تُقَدِّموا لِأَنفُسِكُم مِن خَيرٍ تَجِدوهُ عِندَ اللَّهِ هُوَ خَيرًا وَأَعظَمَ أَجرًا ۚ وَاستَغفِرُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ غَفورٌ رَحيمٌ
Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, -sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

 

وَإِلَيكَ المَصيرُ

dan kepada-Mu jualah tempat kembali”.

Kita sedar bahawa kita semua akan mati akhirnya dan akan bertemu dengan Allah ‎ﷻ. Maka kita kenalah sentiasa ingat hal ini dan sentiasa bersedia dengan amalan-amalan yang baik. Kita kena ingat yang hidup kita di dunia ini, walau bagaimana sedap pun, ia hanya sementara sahaja. Jadi jangan kita lebihkan dunia ini atas akhirat. Banyak sekali peringatan daripada Rasulullah ﷺ tentang hal ini seperti hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, dia berkata:

“Rasulullah ﷺ tidur di atas tikar kasar, lalu tikar itu membekas di tubuh baginda. Kami berkata: “Wahai Rasulullah, bolehkah kami buatkan alas tidur yang lebih lembut untukmu?” Maka baginda bersabda:
“مَا لِي وَلِلدُّنْيَا؟ إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ الدُّنْيَا كَرَاكِبٍ قَالَ تَحْتَ شَجَرَةٍ، ثُمَّ رَاحَ وَتَرَكَهَا”
“Ada apa denganku dan dunia? Sesungguhnya perumpamaanku dan perumpamaan dunia adalah seperti seorang pengembara yang berteduh di bawah pohon, lalu dia pergi meninggalkannya.”
(Hadith Riwayat At-Tirmidzi No. 2377)

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya

Kemaskini: 27 Julai 2025

Ringkasan Baqarah


Rujukan:

Maulana Hadi

Nouman Ali Khan

Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA

Maariful Qur’an

Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)

Ustaz Solah

Ustaz Abdul Muien Ghulam Dakwah

Published by

Unknown's avatar

CelikTafsir

Blog mentafsir Quran berdasarkan fahaman Sunnah dan salafussoleh.

Leave a comment