BERKORBAN DI JALAN ALLAH ﷻ
Baqarah Ayat 243: Ini adalah pengulangan semula bab jihad. Banyak ayat-ayat jihad dan infak diselit antara ayat-ayat Umur Munazimah. Ini adalah kerana Allah ﷻ hendak memberitahu bahawa perkara-perkara Umur Munazimah itu penting supaya jihad dan infak dapat dilakukan kerana apabila umat Islam berbaik dan bersatu hidup aman sentosa, barulah jihad dan infak dapat dilakukan. Maknanya, tujuan utama adalah untuk jihad dijalankan. Kalau kehidupan kita sendiri tidak harmoni (tidak mengikut hukum Allah ﷻ) mana mungkin kita mampu hendak menjalankan jihad yang tentunya lebih berat?
Tujuan jihad dilakukan pula adalah untuk memperkenalkan Allah ﷻ kepada manusia. Sekiranya orang yang melakukan jihad itu sendiri tidak kenal Allah ﷻ, tidak tahu apa tauhid dan syirik, maka jihadnya itu adalah sia-sia sahaja. Hendak ajak orang kenal Allah ﷻ, tetapi diri sendiri tidak kenal Allah ﷻ dan tidak taat kepada hukum Allah ﷻ. Kalau dia sendiri mati semasa berjihad itu, dia akan terus masuk neraka kerana dia sendiri mungkin ada mengamalkan syirik.
Sekiranya seseorang itu mengamalkan tauhid dan meninggalkan syirik, barulah Allah ﷻ akan tolong dia dalam jihad. Apabila kita kata ‘kenal Allah ﷻ’, kenalah kenal Allah ﷻ sebagaimana yang Dia ajar dalam Al-Qur’an. Bukanlah mengenali Allah ﷻ itu sepertimana cara tarekat dan tasawuf yang banyak berzikir untuk kenal Allah ﷻ. Itu bukan caranya. Untuk kenal Allah ﷻ adalah melalui ilmu dan untuk mendapat ilmu, mestilah belajar. Yang penting adalah mesti mempelajari tafsir Al-Qur’an kerana Allah ﷻ memperkenalkan Diri-Nya dalam Al-Qur’an. Wajiblah belajar tafsir dan belajar Asma’ul Husna.
Tambahan pula, apabila kita hendak berdakwah, kita kena bawa ajaran Islam. Lalu ajaran Islam apa yang kita hendak bawa kalau masyarakat kita sendiri tunggang langgang? Islam ajar tentang keindahan hidup bermasyarakat di dalam Islam. Orang yang tidak kenal Islam akan nampak rupanya Islam ini hebat dan indah, hal nikah cerai pun ada diajar dan dipelihara kesantunannya. Maka ini akan menarik mereka kepada Islam.
Apabila disebut tentang jihad, salah satu perkara yang menghalang jihad dijalankan adalah takut mati. Maka Allah ﷻ membuka cerita dalam ayat ini tentang golongan terdahulu yang takut mati sampai tidak menjalankan jihad. Ini penting kerana untuk terus hidup, kita tidak boleh takut mati. Untuk menekankan tentang hal ini Allah ﷻ bawakan satu kisah sebagai pengajaran. Kisah ini dibawa semasa umat Islam akan berperang dengan Musyrikin Mekah (Perang Badr).
Allah ﷻ membawakan kisah Bani Israil sekali lagi dalam ayat ini. Ada kisah yang bagus dan ada kisah yang tidak baik tentang mereka. Kita sudah banyak baca tentang kesalahan yang dilakukan oleh golongan ini. Namun ada juga dalam kalangan mereka yang Allah ﷻ suruh kita jadikan sebagai contoh.
۞ أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم وَهُم أُلوفٌ حَذَرَ المَوتِ فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا ثُمَّ أَحيٰهُم ۚ إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ
SAHIH INTERNATIONAL
Have you not considered those who left their homes in many thousands, fearing death? Allah said to them, “Die”; then He restored them to life. And Allah is full of bounty to the people, but most of the people do not show gratitude.
MALAY
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu” kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
أَلَم تَرَ إِلَى الَّذينَ خَرَجوا مِن دِيٰرِهِم
Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya
Kalimah أَلَم تَرَ adalah di dalam bentuk istifham (soalan). Namun begitu di dalam Al-Qur’an, penggunaan istifham bukanlah di dalam bentuk soalan untuk bertanya, tetapi hendak membawa makna yang lain. Kalimah أَلَم تَرَ di dalam ayat ini adalah Istifham Ta’ajjub (Kehairanan/Kekaguman). Pertanyaan ini digunakan untuk menyatakan rasa hairan, kagum, atau terkejut. Iaitu tidak hairankah dengan mereka ini?
Digunakan kalimat أَلَم تَرَ di dalam maksud ألم تعلم (tidakkah engkau tahu?). Maknanya walaupun digunakan kalimah تَرَ (melihat) akan tetapi ia bukanlah bermaksud melihat dengan mata tetapi melihat dengan mata hati (ru’yah al-qalbi) iaitu memahami. Ini kerana kejadian ini telah berlaku entah berapa ribu tahun yang lepas, sudah tentulah Rasulullah ﷺ tidak dapat melihatnya. Maka ia adalah tentang pengetahuan. Namun begitu kenapakah tidak digunakan sahaja kalimah ألم تعلم? Ini sebagai penekanan tentang benarnya ia berlaku. Ini kerana kalau kita tahu dengan orang beritahu dan kita nampak, yang lebih kuat adalah kita nampak sendiri, bukan? Walaupun di dalam ayat ini, kejadian itu bukan disaksikan dengan mata Nabi ﷺ, namun apabila Allah ﷻ yang menyebutnya, maka ia sudah sampai ke tahap benar yakin seolah-olah melihat dengan mata sendiri.
Allah ﷻ tidak sebut siapakah orang-orang ini tetapi ada pendapat yang mengatakan kisah ini tentang golongan Bani Israil dahulu yang lari keluar dari kampung halaman mereka kerana takut mati.
وَهُم أُلوفٌ
sedang mereka beribu-ribu ramainya
Kalimah yang digunakan di sini adalah أُلوفٌ yang bermaksud beribu-ribu. Akan tetapi ia bukan jamak yang biasa namun جمع الكثرة (jamak yang banyak). Ini kerana kalau seribu, أَلْفٌ; kalau lebih daripada seribu tetapi tidak melebihi sepuluh ribu, maka kalimah yang digunakan adalah آلاَفٌ. Akan tetapi apabila ia digunakan dalam bentuk أُلوفٌ, ia bermaksud lebih daripada sepuluh ribu. Sebab itu ada banyak pendapat tentang bilangan mereka ini: ada kata 30 ribu, ada kata 80 ribu dan lain-lain bilangan.
Sedangkan bilangan mereka waktu itu beribu-ribu dan lebih ramai daripada musuh mereka pada waktu itu tetapi mereka masih juga takut dan mereka tetap lari. Kalau musuh itu ramai, masuk akal juga, tetapi tidak. Ini adalah kerana mereka takut mati sangat sampaikan mereka tidak mempertahankan kampung halaman mereka sendiri.
Kita manusia biasa memang takut mati pun, jangan kata tidak takut pula. Namun kalau kita dijanjikan syurga kalau kita mati, siapa yang tidak mahu? Ingatlah bahawa Roh orang yang mati syahid akan terus dimasukkan ke dalam syurga, tidak sama dengan roh orang lain.
Roh mereka yang mati bukan semasa jihad, kena tunggu dibicarakan di Mahsyar barulah boleh masuk syurga. Oleh kerana telah dijanjikan dengan syurga sebegitu rupa, jadi tidak patut kalau kita takut mati dalam jihad.
حَذَرَ المَوتِ
kerana takutkan mati
Ada dua pendapat tentang kisah mereka ini. Ada yang mengatakan mereka ini lari kampung halaman mereka kerana takut penyakit taun yang menular di kampung tempat mereka tinggal. Maka mereka lari untuk menyelamatkan diri mereka kerana sudah ramai orang yang mati. Perbuatan mereka ini salah sebenarnya kerana mereka sepatutnya terus tinggal di kawasan tempat mereka. Kerana kalau mereka keluar, mereka akan menjangkiti orang lain pula. Ada hadith tentang perkara ini,
عَنْ عَائِشَةَ ـ رضى الله عنها ـ زَوْجِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَتْ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الطَّاعُونِ، فَأَخْبَرَنِي “ أَنَّهُ عَذَابٌ يَبْعَثُهُ اللَّهُ عَلَى مَنْ يَشَاءُ، وَأَنَّ اللَّهَ جَعَلَهُ رَحْمَةً لِلْمُؤْمِنِينَ، لَيْسَ مِنْ أَحَدٍ يَقَعُ الطَّاعُونُ فَيَمْكُثُ فِي بَلَدِهِ صَابِرًا مُحْتَسِبًا، يَعْلَمُ أَنَّهُ لاَ يُصِيبُهُ إِلاَّ مَا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ، إِلاَّ كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ شَهِيدٍ ”.
Daripada Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا isteri Nabi ﷺ, beliau berkata: Aku telah bertanya kepada Rasulullah ﷺ tentang taun (wabak). Maka Rasulullah ﷺ mengkhabarkan kepadaku: “Ia adalah suatu azab yang Allah utus kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah telah menjadikannya rahmat bagi orang-orang mukmin. Tiadalah seseorang yang ditimpa taun kemudian dia tetap berada di negerinya dengan sabar, mengharapkan ganjaran Allah, serta menyakini bahawa tidak akan menimpanya melainkan apa yang telah ditentukan Allah baginya, melainkan baginya ganjaran syahid.”
(Sahih Bukhari No. 3474 dan Muslim No. 2219)
Dari sini kita belajar tentang pengawalan penyakit iaitu konsep Kuarantin. Ini kita semua tahu sebab kita telah melalui zaman Covid-19. Benarlah seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan itu menghadkan perjalanan kerana tidak mahu penyakit ini merebak. Kalau sudah kena di satu kawasan, jangan keluar dari tempat itu. Kena ada kesabaran dan keyakinan bahawa itulah yang terbaik. Kalaulah mati pun di tempat itu, seperti yang disebut di dalam hadith di atas, kematiannya adalah syahid.
Begitu juga jikalau sudah tahu ada wabak di sesuatu tempat, jangan masuk. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang lain,
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَامِرٍ، أَنَّ عُمَرَ، خَرَجَ إِلَى الشَّأْمِ، فَلَمَّا كَانَ بِسَرْغَ بَلَغَهُ أَنَّ الْوَبَاءَ قَدْ وَقَعَ بِالشَّأْمِ، فَأَخْبَرَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ إِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَقْدَمُوا عَلَيْهِ وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا فِرَارًا مِنْهُ”
Daripada Abdullah bin ‘Amir رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, bahawa Umar bin Al-Khattab رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ sedang dalam perjalanan ke Syam. Apabila sampai di Sargh, beliau mendengar berita bahawa wabak taun sedang merebak di Syam. Kemudian Abdurrahman bin Auf memberitahu Umar رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Apabila kamu mendengar (berita) tentang taun di suatu negeri, maka janganlah kamu memasukinya. Dan apabila ia berlaku di suatu negeri sedang kamu berada di dalamnya, maka janganlah kamu keluar darinya melarikan diri daripadanya.”
(HR. Bukhari No. 5730 dan Muslim No. 2218)
Intisari hukum daripada hadith-hadith ini:
-
- Larangan Memasuki Kawasan Wabak (الحجر على الدخول – al-hajr ‘ala ad-dukhul): Jika seseorang berada di luar kawasan yang dilanda wabak, dia dilarang untuk masuk ke dalamnya. Ini adalah tindakan pencegahan untuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada penyakit dan mencegah penyebaran lebih lanjut.
- Larangan Keluar dari Kawasan Wabak (الحجر على الخروج – al-hajr ‘ala al-khuruj): Jika seseorang sudah berada di dalam kawasan yang dilanda wabah, dia dilarang untuk keluar dari kawasan tersebut. Ini adalah untuk mengelakkan penyakit daripada merebak ke kawasan lain.
Konsep ini dikenali sebagai kuarantin (الحجر الصحي – al-hajr al-ṣiḥḥī) dalam fiqh Islam, dan telah diamalkan oleh umat Islam sejak dahulu kala sebagai langkah pencegahan wabak. Hikmahnya adalah untuk menjaga kesihatan awam, membatasi penyebaran penyakit, dan mengurangkan jumlah korban. Hadith-hadith ini menunjukkan betapa awal dan cermatnya ajaran Islam dalam menghadapi krisis kesihatan awam, jauh sebelum ilmu perubatan moden mengenal konsep kuarantin.
Ini juga mengandungi pengajaran kepada kita untuk berusaha untuk menyelamatkan diri kita dan tidak pergi ke tempat yang ada bahaya. Kita sebagai Muslim diajar untuk tawakal, akan tetapi kita kenalah mengambil langkah-langkah keselamatan dan menjaga keamanan diri kita. Sebagai contoh, kalau tahu sesuatu kawasan itu banyak gangsterism dan selalu sahaja berlaku rompakan, maka janganlah pergi.
Kisah yang lain mengatakan mereka ini telah diberikan dengan arahan untuk berjihad. Namun oleh kerana takut berjihad dek kerana takut mati, maka mereka melarikan diri bagi menyelamatkan jiwa mereka. Apabila arahan jihad telah dikeluarkan kepada mereka oleh Nabi mereka, mereka lari daripada berjihad mempertahankan tanah air mereka. Oleh kerana itu, mereka menjadi lemah dan telah dihalau dari Jerusalem dan telah dibawa ke Babylon dan dijadikan hamba abdi. Inilah bahayanya apabila cintakan dunia sangat sampaikan tidak mahu meninggalkan dunia walaupun dengan cara yang mulia. Sedangkan kita semua akan tetap mati akhirnya, tidak ada yang hidup selama-lamanya. Maka bukankah lebih baik jika diberi pilihan untuk mati dalam jihad, bukan?
Maka di sini mengandungi pengajaran bahawa seorang Muslim tidak boleh meninggalkan jihad kerana takutkan kematian. Ketakutan itu pasti ada, namun dia mestilah lawan perasaan itu. Dia kena sedar bahawa setiap orang akan mati dan tidak ada sesiapa yang dapat mengelak daripada kematian. Allah ﷻ berfirman tentang hal ini di dalam Ali Imran: 156 tentang golongan munafik yang tidak menyertai jihad.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ وَقَالُواْ لِإِخۡوَٲنِهِمۡ إِذَا ضَرَبُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ أَوۡ كَانُواْ غُزًّ۬ى لَّوۡ كَانُواْ عِندَنَا مَا مَاتُواْ وَمَا قُتِلُواْ لِيَجۡعَلَ ٱللَّهُ ذَٲلِكَ حَسۡرَةً۬ فِى قُلُوبِہِمۡۗ وَٱللَّهُ يُحۡىِۦ وَيُمِيتُۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٌ۬ (١٥٦)
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang kafir yang berkata kepada saudara-saudara mereka apabila mereka (saudara-saudara itu) pergi berperang di muka bumi atau mereka menjadi orang-orang yang berperang: “Kalaulah mereka bersama-sama kami, tentulah mereka tidak mati dan tidak dibunuh.” (Kata-kata yang demikian) menyebabkan Allah menjadikan yang demikian itu sebagai penyesalan dalam hati mereka. Dan Allahlah yang menghidupkan dan mematikan, dan Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.”
Allah ﷻ berfirman di dalam Nisa’: 78 juga,
أَيْنَمَا تَكُونُوا يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ
Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh
Maka takut kepada kematian itu biasa sahaja dan kita mungkin tidak dapat hendak elak. Namun begitu, jangan jadikan ketakutan itu sebagai perkara yang menghalang kita daripada menjalankan kewajipan jihad setelah mendapat arahan daripada Allah, Rasul dan Ulul Amri (pemimpin).
Sekali lagi diingatkan yang di dalam Al-Qur’an dan hadith Nabi tidak disebut kenapakah mereka lari dari kampung halaman mereka. Kita telah berikan dua pendapat daripada kitab-kitab tafsir yang mengatakan sama ada kerana wabak penyakit atau kerana takut mati di medan perang. Atau mungkin kerana sebab-sebab yang lain. Itu tidak penting kerana Allah ﷻ tidak sebut. Yang Allah ﷻ hendak beritahu adalah mereka ada cubaan untuk menghindar daripada kematian.
فَقالَ لَهُمُ اللَّهُ موتوا ثُمَّ أَحيٰهُم
Maka Allah berfirman kepada mereka: “Matilah kamu” kemudian Allah menghidupkan mereka.
Maka oleh kerana mereka takutkan mati sangat, Allah ﷻ mengarahkan mereka mati terus. Sama ada ia adalah lafaz daripada Allah ﷻ sendiri ataupun Allah ﷻ mengarahkan para malaikat untuk mematikan mereka. Sebenarnya Allah ﷻ tidak perlu sebut pun (seperti juga Allah ﷻ tidak perlu sebut kun fayakun untuk menjadikan sesuatu). Dalam tafsir ada disebut bahawa mereka dimatikan selama lapan hari dan memang mereka mati betul, bukan pengsan. Ini kerana mereka takut mati sangat, maka Allah ﷻ matikan mereka terus.
Di sini mengajar kita bahawa yang mematikan adalah Allah ﷻ sahaja. Allah ﷻ yang menghidupkan, maka Allah ﷻ jua yang mampu mematikan dengan mudah sahaja. Sejauh mana pun kita lari untuk menyelamatkan diri kita daripada kematian, kematian tetap akan datang. Ia tidak boleh ditentukan oleh kita, melainkan masa dan caranya ditentukan oleh Allah ﷻ sahaja. Mati tetap mati. Perhatikan firman Allah ﷻ di dalam Jumuah: 8
قُل إِنَّ المَوتَ الَّذي تَفِرّونَ مِنهُ فَإِنَّهُ مُلٰقيكُم ۖ ثُمَّ تُرَدّونَ إِلىٰ عٰلِمِ الغَيبِ وَالشَّهٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِما كُنتُم تَعمَلونَ
Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan”.
Kemudian Allah ﷻ menghidupkan kembali setelah seminggu mereka mati. Sebenarnya itu pendapat sahaja kerana tidak ada dalil sahih tentang berapa lama mereka mati. Cuma tidaklah mereka mati dan terus dihidupkan kerana kalimah ثُمَّ digunakan di sini yang menunjukkan ada sengkang waktu yang agak lama. Di sini Allah ﷻ hendak beritahu yang mereka takut mati sangat itu kenapa? Sedangkan mati itu adalah hak Allah ﷻ. Allah ﷻ boleh hidupkan dan Allah ﷻ boleh matikan. Kamu tidak boleh lari daripada kematian.
Ada juga yang mengatakan bukan mereka dimatikan dari segi fizikal, tetapi hati mereka yang dimatikan sampai tidak mempunyai daya untuk melawan dan berjihad. Hanya keturunan selepas mereka sahaja yang kemudian berjihad. Namun begitu kita lebih suka kepada pendapat yang mengatakan memang mereka mati sungguh.
إِنَّ اللَّهَ لَذو فَضلٍ عَلَى النّاسِ
Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia
Allah ﷻ memiliki banyak kurniaan besar kepada manusia iaitu Allah ﷻ masih lagi memberi peluang kepada manusia walaupun manusia sudah banyak berbuat salah. Sebagai contoh, boleh sahaja seandainya Allah ﷻ mematikan mereka dan kemudian terus memasukkan mereka ke dalam neraka. Namun Allah ﷻ masih lagi memberi peluang kepada mereka dan menghidupkan mereka kembali . Begitulah juga kita, entah berapa banyak peluang Allah ﷻ telah berikan kepada kita. Kita masih bernafas ini pun adalah kurniaan daripada Allah ﷻ. Masih lagi Allah ﷻ beri peluang kepada kita untuk beribadat dan bertaubat.
Kurniaan kedua yang kita boleh fikirkan daripada ayat ini adalah pengajaran yang Allah ﷻ berikan kepada kita melalui kisah ini supaya menjadi tauladan bagi kita. Iaitu kita jangan takut sangat kepada mati kerana memang ia pasti berlaku. Kalau kita takut pun, ia tetap akan berlaku. Jadi buat apa untuk takut dua kali? Apabila ia terjadi nanti, maka ketika itu barulah kita takut. Untuk sekarang yang kita perlu lakukan adalah membuat persediaan bagi menghadapi kematian. Kalau takut dan takut, tetapi langsung tidak berbuat apa-apa, itu adalah takut yang sia-sia. Ada sebuah mutiara kata yang menarik:
“Worrying doesn’t take away tomorrow’s troubles, it takes away today’s peace.”
Sekarang perhatikan soalan para sahabat رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ tentang bilakah Kiamat dan perhatikan apa jawapan Nabi ﷺ terhadap soalan itu. Memang jawapan yang tepat dan mengajak kita berfikir dan memperbetulkan fahaman kita.
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَتَى السَّاعَةُ قَالَ وَمَا أَعْدَدْتَ لِلسَّاعَةِ قَالَ حُبَّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ قَالَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَمَا فَرِحْنَا بَعْدَ الْإِسْلَامِ فَرَحًا أَشَدَّ مِنْ قَوْلِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّكَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ قَالَ أَنَسٌ فَأَنَا أُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ فَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ مَعَهُمْ وَإِنْ لَمْ أَعْمَلْ بِأَعْمَالِهِمْ
Daripada Anas bin Malik رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ beliau berkata; “Pada suatu hari seorang laki-laki datang kepada Rasulullah ﷺ seraya bertanya; ‘Ya Rasulullah, bilakah kiamat itu akan datang?’ Mendengar pertanyaan laki-laki itu, Rasulullah ﷺ kembali bertanya: ‘Apa yang telah engkau siapkan untuk menghadapi kiamat? ‘ Laki-laki itu menjawab; ‘Kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.’ Kemudian Rasulullah ﷺ bersabda: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ berkata; ‘Tidak ada yang lebih menyenangkan hati kami setelah masuk Islam selain sabda Rasulullah ﷺ yang berbunyi: ‘Sesungguhnya engkau akan bersama orang yang engkau cintai.’ Anas berkata; ‘Kerana saya mencintai Allah, Rasulullah, Abu Bakar, dan Umar, maka saya berharap kelak akan bersama mereka meskipun saya tidak dapat beramal seperti mereka.’
(Sahih Muslim No. 4777)
Satu lagi kata-kata yang menarik,
“God grant me the serenity to accept the things I cannot change, the courage to change the things I can, and the wisdom to know the difference.”
Reinhold Niebuhr (The Serenity Prayer)
وَلٰكِنَّ أَكثَرَ النّاسِ لا يَشكُرونَ
tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
Namun ramai manusia yang tidak bersyukur di atas peluang yang Allah ﷻ telah berikan kepada mereka. Mereka tidak mengambil peluang dengan kehidupan yang mereka ada sekarang. Mereka ambil ringan sahaja. Allah ﷻ juga telah berfirman di dalam Yusuf: 38
Dan aku mengikuti agama bapa-bapaku: Ibrahim, Ishak dan Ya’qub. Tiadalah patut bagi kami mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Allah. Yang demikian itu adalah sebahagian daripada kurnia Allah kepada kami dan kepada seluruh manusia, tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.“
Begitu juga di dalam Yunus: 60
Dan apakah dugaan orang-orang yang mengada-adakan dusta terhadap Allah pada hari kiamat? Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia (melimpah) atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.“
Juga di dalam Ghafir: 61
“Allahlah yang menjadikan untuk kamu malam untuk kamu berehat padanya, dan siang (menjadikan) terang benderang. Sesungguhnya Allah benar-benar mempunyai kurnia yang dilimpahkan atas manusia, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.“
Namun yang lebih penting kita kena tahu adalah bagaimana cara bersyukur? Adakah hanya dengan menyebut Alhamdulillah sahaja? Itu tidak cukup kerana perbuatan syukur yang sebenar adalah dengan mentaati perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Barulah dikira benar-benar syukur. Kalau kita mendapat sesuatu daripada orang, adakah kita akan lawan cakap dia? Tentu tidak, bukan? Maka begitulah juga dengan Allah ﷻ. Dengan segala nikmat yang telah diberikan kepada kita, adakah layak kita melawan arahan-Nya? Allah ﷻ ajar kita cara bersyukur seperti disebut dalam Baqarah: 172
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا كُلُوْا مِنْ طَيِّبٰتِ مَا رَزَقْنٰكُمْ وَاشْكُرُوْا لِلّٰهِ اِنْ كُنْتُمْ اِيَّاهُ تَعْبُدُوْنَ
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.
Ternyata di dalam ayat ini Allah ﷻ memberitahu yang jikalau kita mendapat rezeki makanan, maka hendaklah bersyukur. Ayat ini kena dibaca dengan Mukminoon: 51 untuk mendapat pemahaman tentang apakah itu syukur.
يا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا
Hai rasul-rasul, makanlah daripada makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh.
Kalau dibaca kedua-dua ayat ini, kita boleh kaitkan bahawa syukur yang dimaksudkan di dalam Baqarah: 172 itu adalah dengan melakukan amal soleh seperti disebut pula di dalam Mukminoon: 51. Inilah kaitan antara syukur dan beramal soleh. Maka ia bukanlah dari segi iktikad dan melafazkan Alhamdulillah sahaja, tetapi hendaklah diikuti dengan melakukan amal soleh. Kerana itulah Rasulullah ﷺ banyak melakukan ibadat seperti yang disebut di dalam hadith yang masyhur,
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى قَامَ حَتَّى تَفَطَّرَ رِجْلَاهُ قَالَتْ عَائِشَةُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَصْنَعُ هَذَا وَقَدْ غُفِرَ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ فَقَالَ يَا عَائِشَةُ أَفَلَا أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا
Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا berkata, Rasulullah ﷺ ketika melaksanakan solat maka baginda berdiri hingga kedua kakinya bengkak. Aisyah رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا bertanya, “Wahai Rasulullah, apa yang engkau perbuat, sedangkan dosamu yang telah lalu dan yang akan datang telah diampuni?” Lalu baginda menjawab, “Wahai Aisyah, bukankah seharusnya aku menjadi hamba yang banyak bersyukur?”.
(Sahih Muslim No. 5046)
Dari sini kita dapat belajar bahawa semakin banyak nikmat yang kita dapat, hendaklah kita menunjukkan syukur dengan lebih banyak melakukan ibadah.
Apakah lagi maksud syukur? Ia juga bermaksud taat kerana kalau tidak taat, itu adalah kufur. Ini seperti yang Allah ﷻ telah sebut dalam Baqarah: 152
وَاشكُروا لي وَلا تَكفُرونِ
dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur
Cuma kufur itu ada banyak jenis. Ada kufur yang mengeluarkan seseorang itu daripada Islam dan ada yang tidak. Contohnya seperti ayat Baqarah: 152 ini, ia bermaksud kufur nikmat. Iaitu tidak iktiraf yang Allah ﷻ telah beri nikmat kepada kita. Ada orang yang mendapat segala nikmat namun dia tidak kata itu daripada Allah ﷻ, tetapi daripada kepandaian dia bekerja atau berniaga katanya.
Satu lagi kufur nikmat adalah dengan tidak menggunakan pemberian Allah ﷻ itu untuk kebaikan seperti yang telah disebut di atas tadi. Juga kena ingat yang kita sekarang menikmati segala pemberian daripada Allah ﷻ. Jika Allah ﷻ yang telah memberikan segalanya kepada kita, takkan kita hendak melawan Dia pula? Bayangkan ada orang yang beri hadiah dan kurnia kepada kita, tetapi kita lawan cakapnya, bagaimana?
Maka pengajaran syukur adalah untuk menjadikan diri kita menjadi insan yang baik dan beribadah. Ini kerana kita tidak akan dapat hendak mengira berapa nikmat Allah ﷻ yang terlalu banyak untuk dikira. Jadi tidak perlu kira, tetapi ketahuilah yang ia sangat banyak dan kita kena tahu yang kita hendaklah beramal sebanyak mungkin. Allah ﷻ berfirman di dalam Nahl: 18
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak akan mampu menghitungnya. Sungguh, Allah benar-benar Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
Baqarah Ayat 244: Kenapa pentingnya ada keberanian? Kerana Jihad memerlukannya.
وَقٰتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
SAHIH INTERNATIONAL
And fight in the cause of Allah and know that Allah is Hearing and Knowing.
MALAY
Dan berperanglah kamu pada jalan Allah; dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
وَقٰتِلوا في سَبيلِ اللَّهِ
Dan berperanglah kamu pada jalan Allah
Sekarang Allah ﷻ beri arahan berjihad. Umat Islam telah diwajibkan dengan urusan jihad (sampaikan ada yang mengatakan ia rukun – namun ia bukanlah rukun) kerana ia amat penting. Ya, zaman sekarang ia tidak berlaku akan tetapi kita kena tahu bahawa ia ada di dalam syariat Islam. Kalau kita pergi berjihad pun, kita kena ada niat untuk berjihad. Ini kerana ada hadith tentang hal ini, daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
مَنْ مَاتَ وَلَمْ يَغْزُ، وَلَمْ يُحَدِّثْ بِهِ نَفْسَهُ، مَاتَ عَلَى شُعْبَةٍ مِنْ نِفَاقٍ
Barangsiapa yang mati sedangkan dia tidak pernah berperang, dan tidak pernah berniat dalam hatinya untuk berperang, maka dia mati dalam satu cabang daripada kemunafikan.
(Hadith riwayat Imam Muslim No. 158)
Kenapa ia dipanggil سَبيلِ اللَّهِ? Kerana ia adalah suruhan daripada Allah ﷻ. Keduanya kerana kalau melakukannya, ia adalah jalan yang membawa kepada keredhaan Allah ﷻ. Ini adalah berperang dalam jihad kemuncak, iaitu jihad perang yang ada kemungkinan boleh mati. Kita gunakan terma ‘jihad kemuncak’ untuk membezakan antara beberapa jenis jihad. Jihad kemuncak adalah jihad yang paling tinggi iaitu iaitu jihad perang yang ada kemungkinan mencabut nyawa kita. Inilah jihad yang berhadapan dengan mati. Ini hendak membezakan sebab jihad itu ada bermacam jenis – jihad melawan nafsu, jihad lisan dalam dakwah dan sebagainya. Kemuncak segala jihad itu adalah jihad perang. Dalil bahawa ia adalah kemuncak adalah hadith,
Diriwayatkan daripada Mu’az bin Jabal رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ, beliau berkata:
“Aku ada bersama Nabi ﷺ dalam suatu perjalanan. Aku pun berkata: “Wahai Nabi Allah, beritahukanlah kepadaku tentang suatu amalan yang dapat memasukkanku ke syurga dan menjauhkanku dari neraka.”
Baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau telah bertanya tentang perkara yang besar, dan sesungguhnya ia adalah ringan bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah Azza wa Jalla. Engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah.”
Kemudian Baginda bersabda lagi: “Mahukah aku khabarkan kepadamu pintu-pintu kebaikan?” Aku berkata: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Puasa adalah perisai, sedekah memadamkan dosa seperti air memadamkan api, dan solat seorang lelaki di tengah malam.” Kemudian Baginda membaca ayat: “تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ” (Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhan mereka dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. [Surah As-Sajadah: 16]).
Kemudian Baginda bersabda: “Mahukah aku khabarkan kepadamu tentang kepala perkara, tiangnya dan kemuncak (bonggolnya)?” Aku berkata: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذِرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ” “Kepala segala urusan adalah Islam, tiangnya adalah solat, dan kemuncak (bonggol)nya adalah jihad.”
Kemudian Baginda bersabda: “Mahukah aku khabarkan kepadamu tentang kendali semua itu?” Aku berkata: “Sudah tentu, wahai Nabi Allah.” Baginda memegang lidahnya dan bersabda: “Jagalah ini.” Aku berkata: “Wahai Nabi Allah, adakah kami akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kami ucapkan?” Baginda bersabda: “Semoga ibumu kehilanganmu, wahai Mu’az! Adakah yang menjerumuskan manusia ke dalam neraka di atas wajah mereka atau di atas hidung mereka melainkan hasil ucapan lisan mereka?”
Hadith ini diriwayatkan oleh Imam At-Tirmidzi dalam kitab Sunan At-Tirmizi, Kitab Iman, Bab Ma Jaa’a Fii Hurmahish Shalati, hadith no. 2616. At-Tirmidzi menyatakan hadith ini Hasan Sahih. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad dan Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah.
Namun begitu perang ini ada syarat-syaratnya yang perlu diperhatikan oleh para mujahideen. Jangan ikut perlakuan orang-orang kafir yang melampau. Kita telah belajar antaranya seperti firman Allah ﷻ di dalam Baqarah: 190
وَقَـٰتِلُواْ في سَبيلِ اللَّهِ الَّذينَ يُقَـٰتِلُونَكُم وَلا تَعتَدوا ۚ إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ المُعتَدينَ
Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.
Ada hadith sahabat bertanya apakah maksud jihad yang sebenarnya kepada Nabi ﷺ. Ini adalah kerana peperangan bukanlah maksud yang utama kerana peperangan adalah perkara biasa sahaja di mana orang kafir pun berperang juga. Maka apa bezanya antara peperangan mereka dan jihad orang Islam? Manusia ada yang berperang untuk mendapatkan harta, meluaskan tanah jajahan mereka ataupun kerana marahkan orang lain dan bukanlah mereka berperang untuk memperkenalkan Allah ﷻ dalam akidah tauhid. Maka itu bukanlah jihad yang dikehendaki oleh Allah ﷻ. Jadi sahabat bertanya apakah maksud jihad di ‘Jalan Allah’ itu? Nabi ﷺ menjawab:
مَنْ قَاتَلَ لِتَكُونَ كَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا، فَهْوَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Barangsiapa yang berperang dengan tujuan supaya kalimatullah – yakni agama Allah itu menjadi tinggi-maka orang sedemikian itulah yang disebut jihad fisabilillah”.
(Sahih Bukhari No. 7458)
Peperangan itu bukanlah perkara yang utama tetapi diizinkan kepada umat Islam apabila kita ini dizalimi. Bukannya kita terus sahaja pergi berperang dan membunuh orang-orang kafir. Sampai ada yang kata Islam berkembang kerana berperang dan memaksa manusia yang dijajah itu masuk Islam. Ramai yang bertanggapan begitu dan itu adalah fahaman yang salah. Kita hendak menyampaikan dakwah Tauhid kepada manusia dan kalau mereka mati sebelum mereka mendengar dakwah kita, bagaimana pula kita dianggap mencapai objektif yang dikehendaki oleh Allah ﷻ?
Sebenarnya kita berjihad perang itu kerana hendak berdakwah. Kalau manusia benarkan kita berdakwah, maka tidak perlu berperang. Yang jadi masalah apabila dakwah Islam dihalang oleh kerajaan kafir. Selain dizalimi, kita juga dibenarkan untuk memerangi orang kafir jikalau mereka menghalang kita untuk menyampaikan dakwah Tauhid kepada manusia. Ini berkenaan dengan pemimpin negara yang tidak membenarkan dakwah Tauhid dibenarkan dalam negara mereka. Sudahlah dia tidak kenal Allah ﷻ malah dia menghalang pula orang lain untuk kenal Allah ﷻ dan Tauhid, maka mereka sebegitu tidak layak untuk hidup di dunia lagi. Kalau mereka begitu, barulah boleh kita menghantar tentera Islam ke sana untuk membebaskan rakyat negara itu. Akan tetapi sekiranya mereka tidak menghalang, maka umat Islam tidak dibenarkan untuk mula mencetuskan peperangan.
وَاعلَموا أَنَّ اللَّهَ سَميعٌ عَليمٌ
dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Allah ﷻ tahu laungan hamba yang menyeru dan mengajak kepada jihad. Allah ﷻ juga tahu laungan hamba yang hendak menghentikan jihad kerana pengecut jiwanya. Ada yang sanggup mengatakan jihad perang tidak ada dalam Islam. Itu adalah pendapat yang salah kerana itu sudah menidakkan satu perkara yang penting dalam agama Islam.
Allah ﷻ tahu hati manusia sama ada mereka ikhlas dalam jihad atau tidak kerana itu ada kisah sahabat yang mati dalam jihad tetapi dia tidak mendapat syahid. Ini kerana dia berjihad bukan kerana agama. Allah ﷻ tahu dalihan yang digunakan oleh manusia yang hendak mengelak daripada melakukan jihad. Allah ﷻ tahu apa yang ada dalam isi hatinya.
Apabila kita tahu Allah ﷻ bersifat سَميعٌ عَليمٌ, maka ia memberi motivasi kepada kita untuk berdoa dan menyerahkan pengharapan kita kepada Allah ﷻ. Ini kerana Allah ﷻ sentiasa سَميعٌ mendengar doa kita dan عَليمٌ tahu apa yang kita perlukan. Jadi Dia akan beri apa yang kita patut dapat dan baik untuk kita. Bilakah kita amat memerlukan Allah ﷻ? Tentunya ketika berjihad, bukan? Kerana kita waktu itu sedang menghadapi satu keadaan yang nyawa kita boleh melayang bila-bila masa. Maka waktu itulah perbanyakkan berdoa kepada Allah ﷻ. Perhatikan doa yang dipanjatkan para nabi dan pengikut mereka yang berjuang di jalan Allah seperti yang dinaqal oleh Allah ﷻ di dalam Ali Imran: 147:
“Tidak ada perkataan mereka selain ucapan: “Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tindakan kami yang berlebihan dalam urusan kami, dan teguhkanlah pendirian kami, serta tolonglah kami atas kaum yang kafir.”
Waktu berperang itulah kita menyerahkan urusan kita kepada Allah ﷻ kerana hanya Dia sahaja yang boleh membantu kita. Begitulah yang diajar oleh Allah ﷻ di dalam Ali Imran: 173
“(Iaitu) orang-orang (mukmin) yang ketika dikatakan kepada mereka: “Sesungguhnya manusia (musuh) telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka”, maka perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: “Cukuplah Allah menjadi Penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik Pelindung.“
Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya
Kemaskini: 4 Jun 2025
Rujukan:
Maulana Hadi
Nouman Ali Khan
Kitab Asbabun Nuzul oleh Imam As-Suyuthi
Tafsir Al-Azhar Prof. HAMKA
Tafsir Al-Mishbah (Dr. M. Quraish Shihab)



